KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 08, 2007

Bolehkah Rakyat Keluar Semula Dalam Pilihan Raya Ke 12 Macam Harimau Lapar!

"Lima tahun lagi kita jumpa beb!" - agaknya itulah yang diucapkan Pal Lah kepada Haji Mohd Sabu setelah BN menang besar dalam pilihan raya umum ke 11 (2004)

Naib Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu mahu rakyat bangkit seperti "Harimau Lapar" dalam pilihan raya umum ke 12 tidak lama lagi. Soalnya, mampukah rakyat bangkit lagi sedangkan momentum pilihan raya amat menyenakkan!

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Husam Musa yang ligat membawa perubahan dalam PAS bagi mempastikan PAS mampu bersaing dengan BN dalam pilihan raya....

Apakah gegaran mereka (TG Abdul Hadi Awang ) dan (DS Anwar Ibrahim) mampu mematahkan segala strategi Pak Lah dan bala tenteranya dalam pilihan ke 12 ini. Sama-samalah kita saksikan...


Muqqaddimah: PAS dan Keadilan bersepakat memboikot Pilihan Raya Kecil Batu Talam. Ia suatu tindak berani. Tidak diduga oleh sesiapapun. Tetapi apakah kesan pemboikotan ini terhadap SPR dan BN? Bagaimana dengan simpati rakyat terhadap PAS? Naib Presiden PAS, HAJI MUHAMAD SABU mengharapkan berlakunya anjakan dalam pilihan raya umum ke 12 nanti. Paling penting, rakyat keluar seperti harimau lapar pada pilihan raya itu. Saya sempat menginterbiunya bagi menjolok kotak fikirnya, apakah di sebalik “boikot“ Batu Talam itu ada lampu aladdin yang bakal menerangi PAS? Kami berbual di sebuah restoran Iran di Bukit Bintang.

TARMIZI: Mengapa PAS dan BA tiba-tiba boikot Pilihan Raya Kecil Batu Talam. Ia suatu yang mengejutkan...

MUHAMAD SABU: Kita tahu sejarah pilihan raya yang paling buruk ialah tahun 2004. Bukan kita kalah teruk pada 2004 tetapi lebih teruk pada 1986. Kita dapat satu kerusi sahaja di peringkat perlimen iaitu Pangkalan Chepa dan tak ada negeri yang kita kuasai. Tetapi pilihan raya 2004 adalah pilihan raya yang penuh dengan penipuan iaitu kita berlawan dengan SPR. Dia bermula dari reformasi tahun 1999. Iaitu bila SPR dibawah pimpinan Tan Sri Nik Rashid tidak mengizinkan orang mendaftar pengundi lepas reformasi untuk mengundi. Itu SPR telah menyelamatkan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan daripada jatuh ketangan BA. Tahun 2004 pula, dengan undang-undang baru dan SPR pula memainkan peranan menghuru-harakan senarai pemilih di negeri Selangor yang menyebabkan 200,000 orang tidak dapat mengundi (ada cari tempat mengundi tak jumpa). Dan pendaftaran pemilih yang mendadak naik di Terengganu, yang tidak pernah berlaku dalam sejarah iaitu kenaikan daftar pemilih sehingga 17%.

Apa tindakan PAS?

PAS telah hantar memorandum. Adakan pertemuan. Buat pelbagai tuntutan terhadap SPR, tetapi Pengerusi SPR terus angkuh dan memberi pelbagai alasan untuk tidak mengembalikan kewibawaan SPR. Saya sebut mengembalikan, sebab SPR sebelum ini, sedikit ada kewibawaan yang menjalankan pilihanraya sejak zaman Bristish tahun 1955 sampailah zaman-zaman sebelum Tan Sri Nik Rashid. Walaupun, bukanlah kita kata bersih sangat. Tapi adalah kewibawaan.

SPR di bawah Tan Sri Abdul Rashid ada yang tak kena...

Memang banyak yang tak kena. Di bawah Tan Sri Abdul Rashid, SPR sudah dinodai. Sebelum itu kita lihat Projek Dr. M untuk menawan Sabah dengan menggunakan Kad Pengenalan palsu. Diikuti dengan pilihan raya 1999 melengahkan orang daftar memilih untuk pergi mengundi, yang mereka sebenarnya layak mengundi tahun 1999. Dan 2004, peranan SPR untuk merampas negeri Terengganu dan juga menghalang BA menang di Selangor. Kita nampak kita berlawan dengan SPR. Bukan lagi berlawan dengan BN. SPR sepatutnya jadi badan bebas, sudah tidak bebas lagi. Oleh itu, kita berpendapat menyertai pilihan raya Batu Talam ini perkara yang tidak logik sedangkan Pengerusi SPRnya tidak buat perubahan apa-apa.

Tidakkah langkah boikot ini memberikan impak buruk kepada PAS Pahang dan jentera pilihan raya Raub khususnya?

Kalau kita boikot semata-mata, kita mendiamkan diri, tidak buat penjelasan, tak bagi penerangan, ia akan memberi impak buruk. Tapi kalau kita dapat bagi penerangan, bagi tahu ahli kenapa kita ambil tindakan begini. Ia akan melahirkan perkara yang lebih positif. Kalau kita masuk juga, mestilah masuk sebagai seorang pahlawan dan semua petugas SPR itu kita kena curiga termasuklah di barungnya dengan Pemuda dan Puteri Umnonya. Semua pegawai SPR mesti dianggap musuh dan bukannya jadi orang sebagai pengadil. Ini yang kita nak letakkan dalam pemikiran rakyat kecuali ada perubahan drastik yang dibuat SPR menjelang pilihan raya akan datang.

Apa rasional PAS ambil tindakan boikot ini dalam keadaan politik Malaysia agak tenang, maknanya tidak ada berlaku ketidaktelusan yang melampau secara umumnya...

Macam saya kata tadi, bila kita bertemu Pengerusi SPR minta diadakan tanda jari kepada pengundi yang sudah mengundi, dia mempermain-mainkan kita. Bila dia (Tan Sri Nik Rashid) jumpa dengan DAP, dia kata PAS tak setuju. Bila dia jumpa PAS, dia kata orang Islam di Bangladesh, di Pakistan tak setuju. Sedangkan itu perkara mudah untuk dilaksanakan. Dia kata ini cara kolot. Dia tidak kemukakan apa cara yang moden untuk nak mengawal supaya orang tidak boleh mengundi dua kali. Melalui komputer ka, sistem mata ka, cap jari ka. Banyak cara. Dia jelas nak pertahankan sistem yang ada sebab peluang untuk memanipulasikan penipuan lebih menguntungkan parti pemerintah daripada pembangkang. Mana-mana dunia ini, akan berlaku begitu. Atas sifat itulah kita, tidak menyertai pilihan raya Batu Talam. Satu kita memberitahu kepada rakyat tentang ketidakadilan SPR sebagai pengadil. Kedua kita bagi tahu dunia yang imej Malaysia yang begitu baik tentang demokrasi ini, sebenarnya tidak begitu. Demokrasinya begitu buruk.

Apa kesannya pemboikotan ini?

Sebenarnya kita tak dapat lihat kesan pemboikotan, sehari dua ini. Tetapi kita boleh nampak dah perubahan itu. Sokongan rakyat...

Isunya pilihan raya tidak telus. Tapi ini bukan isu baru. Isu lapuk. Mengapa sekarang boikot ini dijadikan jalan oleh PAS untuk menekan SPR dan BN…

Kita sudah lama hantar memorandum. Pergi mesyuarat. Dengar taklimat. Kita tidak meneroka benda-benda baru. Sedangkan negara-negara lain dalam menuntut keadilan ini sudah berjaya seperti di Indonesia, Thailand, Filipina, Sri Lanka, Nepal dan paling terakhir Bangladesh sudah demokrasi. Tapi rakyatnya masih tidak puashati sehingga tercetusnya darurat dan kerajaan di bawah darurat ini berjanji antara agenda awal mereka ialah untuk membersihkan daftar pemilih. Jadi begitulah pekanya rakyat negara lain dalam menuntut hak demokrasi ini. Sedangkan kita, setiap tahun kita bercakap kita ditipu, demokrasi tak ada. Apa tindakan kita? Tindakan kita tak ada. Kita harap Batu Talam ini sebagai langkah mula. Mungkin genarasi saya, atau genarasi akan datang untuk sempurnakan agenda ini. Macam saya kata di Batu Talam kelmarin, kita memilih demokrasi, kita bukan memilih cara militan, angkat senjata maka hormatlah pemilihan rakyat ini. Kita pilih demokrasi sedangkan “demokrasi“ tak ada, ini suatu tindakan yang bodoh. Itu pendirian kita.

Boikot ini. Ada pandangan kata akan buka jalan kepada Barat khususnya Amerika untuk membuat tuduhan kepada PAS mula mencari jalan lain untuk berkuasa.

Jenis Amerika ini, kalau puak Islam menang sepenuhnya dia tetap tidak sokong walaupun ikut saluran demokrasi. Seperti yang berlaku di Palestin. Soal Amerika ini, kita tidaklah letakkan kayu ukur yang tinggi sangat. Yang pentingnya kepada kita sendiri. Buat apa masuk pilihan raya yang berulang kali kita ditewaskan bukan kerana rakyat tolak kita tetapi yang pertama maklumat dari kita tidak sampai dan kedua berlaku penipuan. Kita akan perjuangkan perkara ini sampai berjaya. Biar siapa yang dipilih oleh rakyat itu adalah pilihan rakyat. Bukan pilihan SPR.

Hamas sebelum ini pernah boikot pilihan raya kemudian menang besar. Macam mana senarionya waktu itu...

Saya yakin kita juga akan jadi begitu. Setidak-tidaknya pilihanraya akan datang ini, saya yakin keputusan kita akan jadi lebih baik dari 2004. Sebab ahli kita masuk pilihan raya kali ini, lebih bersedia diperingkat minda. Iaitu mereka akan kawal pengundi hantu, tak percaya pada kakitangan SPR. Masuk macam kita masuk pilihan raya ala 1969. Dengan keberanian dan persiapan. Bukan seperti kita masuk pilihan raya tahun 2004. Saya yakin, kita akan jadi macam di Palestin dengan meraih kemenangan yang lebih hebat.

Apakah boikot ini mengambil kira kenyataan Pengerusi SPR, berkenaan dengan pengakuan dia bahawa sistem pilihan raya kita sudah 50 tahun, lapuk dan perlu dirombak...

Sebenarnya dia buat kenyataan itu, dia tak sangka kita akan boikot. Kenyataannya itu membantu kita. Dia sendiri dalam kenyataan itu akui memang banyak kelemahan dan perlu diperbaiki. Dan ini peluang bagi kita. Dia jerat diri dia sendiri dengan kenyataan itu. Tambahan kenyatannya hari ini, dia kata PAS bodoh boikot Batu Talam kerana kekuatan PAS tidak boleh dibanding dengan jentera kekuatan BN. Mana boleh dia memihak begitu sebagai Pengerusi SPR. Itu melambangkan dia mengelabah dalam membuat kenyataan. Eloklah dia letak jawatan.

Nota: Foto-Foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.

Ingatkah Lagi Kg. Brembang? Bukti Umno Lanyak Orang Melayu, Bangsa Ku!

You're Fires Pak Lah!

Palbagai hadiah yang mengazabkan rakyat diberi percuma oleh BN tetapi rakyat terus"begoong" dan "bahlul" pangkah lagi lambang kati...

Tian Chua ditangkap dan rumah rakyat diroboh oleh siapa? Oleh kerajaan Melayu! Oleh Penguatkuasa Melayu?


Polis, FRU dan Penguatkuasa Kerajaan Tempatan digunakan oleh Umno atas nama undang-undang untuk "menghapuskan" Kg. Brembang. Kemudian mereka majukan, maka yang kaya adalah kroni-kroni Umno. Apakah Umno Ampang tidak bersubahat di Kg. Brembang?


Sedih... rumah meraka diranapkan oleh kerajaan tidak bermaruah...

Apalah malangnya duduk di bumi sendiri? Kami diusir...


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

SEHARI selepas Tian Chua merempuh pintu pagar zing yang dibina pemaju “haram” mengelilingi Kg. Brembang, saya bersama Naib Presiden PAS, Haji Muhamad Sabu menziarahi mangsa penindasan untuk menghulurkan beras dan sedikit duit.

Cuaca ketika itu, panas terik walaupun jam baru 11 pagi. Terfikir saya, bagaimanakah mereka yang dihalau dari Kg. Brembang boleh bertahan mendirikan khemah sementara di luar pagar pemaju, sepanjang laluan masuk di bawah kabel elektrik itu?

Cukup azab ujian yang dihadapi oleh mereka. Matahari menyinar terik di atas kepala. Bekalan air tiada. Agak saya, 30 ke 40 keluarga bertekad untuk mempertahankan hak mereka di Kg. Brembang itu.

Anak-anak yang agak remaja, dapat merasai derita ibubapa mereka. Yang kecil dan masih “berhingus” mundar-mandir meneruskan kehidupan, bermain-main, berlari-lari di celah-celah timbunan perkakas rumah yang dipunggah dari rumah asal mereka.

“Cuba anta tengok, nasib orang Melayu 50 tahun meneroka Kg. Brembang. Kena halau. Siapa halau? Umno! Duduk bawah kabel elektrik,” bisik Muhamad Sabu kepada saya. Beliau meminta saya mengambil gambar yang menampakkan khemah-khemah sementara betul-betul berada di bawah kabel elektrik.

Timbalan Pengerusi Lajnah Buruh, Cikgu Ishak Surin turut bersedih dan memeluk beberapa kenalan seusianya sebaik tiba bersama Cikgu Ezam Ahmad (Setiausaha Lajnah Buruh & Peneroka PAS Pusat), Badiul Azmi Razali, Abdul Halim, Mohd Radhi dan Ibrahim Awang, rakan-rakan dari Lajnah Buruh & Peneroka PAS Pusat dan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

Saya sempat menanyakan khabar kepada Mak Wan, iaitu veteran asal yang membuka, menerokai dan memberikan nama kepada Kg. Brembang. Dulu, Mak Wan adalah aktivis atau pemimpin kaum ibu Umno cawangan Kg. Brembang yang paling aktif semasa mudanya.

Sebut sahaja, siapa pemimpin Umno Selangor tahun-tahun 60an, 70an dan 80an yang tidak didampinginya? Semuanya ada ikatan atas tiket keaktifannya dalam Umno dulu. Harapannya untuk memiliki tanah di Kg. Brembang cair dibawa arus deras apabila Umno hari ini dipimpin oleh orang berhati batu.

Apa tidaknya, ketika Kg. Brembang berdiri megah dengan perpaduan dan jati diri tulen warganya, pemimpin-pemimpin Umno keluar masuk ke kampung ini menjanjikan itu dan ini untuk kesejahteraan mereka. Antara yang dijanjikan termasuklah untuk memberikan tanah yang mereka terokai itu sebagai milik kekal.

Sebagai aktivis Umno yang rapat dengan serambi kuasa, sudah tentulah Mak Wan tidak banyak mempersialkan janji-janji madu itu. Pakat-pakat percaya dan berangan-angan, pada suatu hari nanti Kg. Brembang yang berada di tengah kota kosmopolitan ini menjadi milik mereka.

Cuaca terik begitu terasa. Kami dihulurkan air batu sirap bagi membasahkan tekak. Terfikir saya, beginilah agaknya penduduk Kg. Brembang memerlukan rumah dan tanah di kawasan yang mereka terokai. Macam saya perluka air untuk membasahkan tekak sebentar tadi.

Telah beberapa kali saya dan Cikgu Ishak Surin menjenguk Kg. Brembang, sebelum pemaju bertindak ganas menghalau terus penghuninya, yang kini sudahpun musnah. Kami menghantar beras, daging korban serta duit belanja dapur bagi meringankan bebanan yang dihadapi oleh mereka.

Bagi saya, kebinasaan Kg. Brembang adalah luka yang tidak akan sembuh. Masa depan mereka yang menentang tindakan MPAJ, sekutu kerajaan BN, belum ada kata pasti.

Kata Haji Muhamad Sabu, nasib khemah-khemah mereka di bawah kabel elektrik juga boleh dan akan “diganggu” oleh MPAJ. Puak Umno ini, boleh pengaruhi TNB kononnya bahaya menduduki tanah di bawah kabel. Pelbagai alasan lain boleh diada-adakan untuk menutup bukti skandal di Kg. Brembang.

Apa yang pasti, tidak seorangpun pemimpin Umno Bahagian Ampang termasuklah wakil rakyatnya datang menjengah mereka. Begitulah kerasnya hati mereka terhadap warga Kg. Brembang yang sebelum ini adalah pendokong gagah Umno bagi Parlimen Ampang.

Khir Toyo tidak tahu jerih generasi awal Umno di sini menimbus lombong, meratakan tanah dan membangunkan kampung.

“Dia (Khir Toyo) apa tahu. Budak baru. Kira nak rampas saja. Gila sangat dengan pembangunan. Kami jadi mangsa Selangor Maju lah ni... Taubat kami nak sokong Umno. Cukuplah ini sebagai sempadan,” bisik seorang penduduk dengan wajah yang sayu.

Ini adalah pengajaran penting seluruh rakyat Malaysia terhadap Umno dan para pemimpinnya. Berhati-hati sepanjang masa. Mereka akan mengunyah tebu ketika ada manisnya dan akan menyepahkannya, bila sudah jadi hampas.

Hal ini juga terjadi kepada peneroka bandar di Kg. Semarak, Kg. Banjar Gombak, Kg. Wira Damai Batu Caves dan banyak lagi.

Feel hodoh pemimpin Umno ini, bukanlah rahsia lagi. Kg. Brembang menyaksikan. Walhal, datuk-nenek dan ibu-bapa mereka yang dihalau, telah menerokai tapak lombong bijih timah ini sejak tahun 1958. Iaitu setahun selepas merdeka, melalui sokongan MB Selangor, Datuk Harun Idris.

Malah pihak Istana Selangor juga telah mengizinkan tanah tersebut diterokai dan dijadikan penempatan penduduk.

Sehingga kampung tersebut dibantai MPAJ hingga ranap, telah ramai anak-anak peneroka Kg. Brembang lahir dan sudah menjadi penghuni genarasi ketiga, ketika ini. Menurut Mak Wan, yang berumur 70an, penduduk pernah memohon tanah tersebut dari Majlis Daerah Gombak sekitar tahun 1968 dan ditemuduga pada 26.12.1969.

Mak Wan adalah peneroka awal dan orang yang memberi nama tempat itu sebagai Kg. Brembang, seperti yang saya ungkapkan diawal tulisan ini.

Permohonan mereka dapat sokongan dari Tengku Bendahara Selangor, YAM Tengku Azman Shah Al-Hajj melalui sepucuk surat bertarikh 1.2.1973 dengan nada: “...saya telah dapat kesempatan meliat keadaan kampung itu dengan lebih dekat... adalah sewajarnya permohonan dari mereka itu mendapat perhatian, kerana semua mereka yang duduk di tanah itu adalah orang-orang Melayu (Bumiputera) yang tidak mempunyai tanah tempat kediaman yang tetap selain dari menumpang kawasan tanah itu.”

Tiba-tiba apabila Kg. Brembang hendak dimusnahkan, tidak pasal-pasal tanah ini sudahpun siap diagih-agihkan oleh Pejabat Daerah Gombak kepada individu ternama dan kerabat diraja pada tahun 1984 lagi.

Penduduk melihat sendiri senarai pemilik tanah ini di Pejabat Tanah dan ianya pernah disiarkan oleh akhbar arus perdana. Ia sudah menjadi tanah anugerah kepada orang-orang elit. Rakyat musdha’afin menebas menebang, menimbus merata, akhirnya jadi milik orang lain.

Ini bermakna, tanah itu bukanlah tanah kerajaan seperti yang didakwa sebelum ini. Sudah ada yang punya sejak 1984 lagi. Saya terkejut. Cikgu Ishak terkedu. Bila mengetahui mereka yang dianugerahkan tanah itu terdiri dari nama-nama tersohor dan orang kaya-raya macam Datuk Buyong Abdullah, Tan Sri Mahfoz Khalid, Tan Sri Wan Hamzah Wan Mohamed, Tan Sri Nasaruddin Borhan, Datuk Mohd Sopiee Sheikh Ibrahim, Datuk Dr. Syed Mohd Alwi Al-Hady, Datuk Zainal Abidin Endut, Tan Sri Jamal Abdul Latiff, Datuk Ismail Ibrahim, Tan Sri Yaakob Hitam, Datuk Abu Hassan Abdullah, Tan Sri Zakaria Mohd Ali, Tan Sri Shamsudin Abd Kadir, Tan Sri Jamil Mohd Jan, Datuk Mohamad Hoessain Enas, Datuk Abdullah Mohd Hanafiah, Datuk Mohd Nazim Ab Hamid, Datuk Ibrahim Mohaidin, Datuk Mohamed Pilus, Raja Abdul Aziz Raja Addruse.

Sekadar menulis beberapa nama besar yang dipetik dari Sunday Mail 13 Mac 2005 halaman 3.


Mak Wan yang sudah 48 tahun mendiami Kg. Brembang, menggerakkan wanita Umno atau kaum ibu, tentulah paling sedih dan kecewa kerana baktinya selama ini tidak langsung dihargai.

Tiba-tiba ketika susah begini, pembangkang pula yang tidak henti-henti menolong dan membantu. ADUN DAP Klang bermurah hati mengambil kes mereka. JERIT dan pelbagai NGO lain gigih memandu arah.

Matahari makin terik menyinar, tekak terus kering, debu-debu berterbangan, udara di bawah khemah juga meluap-luap hangat, akhirnya, rombongan kami menyerahkan sumbangan beras dan sedikit duit kepada wakil penduduk, Sdra. NoralizanAli pada majlis ringkas.

Sebelum beredar, Haji Muhamad Sabu berjanji dengan wakil penduduk akan membantu mereka dengan membawa barangan dapur dari masa ke semasa dan meminta penduduk memasak secara gotong-royong.

Saya dan Cikgu Ishak sempat menemui beberapa aktivis Jawatankuasa Bertindak Penduduk dan memberi sedikit nasihat, meminta mereka bersabar.

Kami meninggalkan Kg. Brembang dengan perasaan sedih, terkedu dan terharu... mengenangkan dairi harian mereka, sepanjang berkhemah di bawah kabel elektrik itu. Dalam kereta, saya catatkan di buku hijau yang saya usung ke mana-mana, bahawa Kg. Brembang adalah bukti Umno tidak pernah ada niat mahu tolong bangsanya yang bernama Melayu!


Nota: Foto-Foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohot di maya internet.

Lakonan Terkesan Pak Lah Dalam Conflict Of Interest Di Kawah Oil-For-Food

"Ya Allah.... hambamu ini benar-benar tak tahu! Hamba hanya mahu membongkar kitab suci. Khazanah Ghazali... huhh huh huhhh!

Pak Lah membilang projek-projek yang diberikan kepada Scomi, milik anaknya Kamaluddin. Scomi "meletup-letup" kejayaannya setelah Pak Lah menjadi PM nombor wahid!

"Saya tidak tahu, tak tahu sungguh! Ya saya tak tau! Tak tau sungguh!" - Itulah yang banyak diungkapkan oleh Pak lah bila diajukan isu pembabitan beliau menganugerahkan projek kepada anaknya, Kamaluddin ke dalam Scomi...

Benarkah dakwaan Sang kelembai, Malaysia kini diperintah oleh Kerajaan Tiga Beranak?


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

SAYA begitu tertarik dengan laporan yang diterbitkan di Amerika Syarikat oleh Charles Duefler dan Paul A Volker dari CIA bertarikh 30 Sept 2004 kepada Sanet Amerika sebagai Jawatan Kuasa Menyeiasat Bebas bertarikh 27 Okt 2005 yang menuduh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi sebagai salah seorang yang terlibat dalam skandal Oil-for-Food.

Pak Lah sedari awal lagi menafikan pembabitannya dalam skandal itu. Saya tidak fikir dia akan mengaku atau mengiyakan tuduhan tersebut. Dia kata, dia tidak ada kepentingan langsung dalam syarikat-syarikat Malaysia yang terlibat.

Mudahnya Pak Lah mengelak boleh diperhatikan dari dalih kononnya “sesiapapun boleh berkata dan membuat tuduhan tetapi dia tahu apa yang dia buat”.

Saya bimbang, apa yang dikatakannya “dia tahu apa yang dia buat” itu sebenarnya perkara yang memang dia tidak tahu. Komen popularnya terhadap pelbagai isu dalam negara dengan istilah “tidak tahu” cukup memualkan sejak beliau menggantikan Tun Mahathir sebagai PM.

Pak Lah memberitahu bahawa menandatangani surat syor dan pengenalan bagi membantu syarikat-syarikat yang mencari peluang perniagaan adalah perkara biasa bagi seorang pemimpin (PM) dan tidak bermakna pemimpin tersebut mempunyai kepentingan.

Walaupun itu hujahnya, ia tidak dapat membersihkan namanya dari dituduh melakukan penyelewengan dana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini kerana, Pak Lah dituduh menerima rasuah daripada Saddam Hussein. Adakah dia tahu atau sedar syarikat kepentingan kerajaan telah diketepikan dalam urusniaga itu? Petronas tidak mahu bersengkongkol memberi kick-back, hanya diberi kuota 14.1 juta tong minyak.

Pada hal syarikat Mastek yang bukan sahaja berkepentingan persendirian tetapi apa yang menguatkan hujah sesiapa saja; berlakunya conflict of interest yang jelas kerana syarikat Mastek adalah milik adik ipar Perdana Menteri. Adakah jika ia bukan syarikat adik ipar Pak Lah, Mastek boleh meraih kuota 45 juta tong minyak berbanding Petronas 14.1 juta tong minyak?

Isu yang sama juga pernah dibangkitkan oleh Dr. Mahathir apabila mengulas mudahnya menantu Pak Lah, Khairi Jamaluddin meminjamkan RM9 juta untuk membeli saham ECM Libra! Inilah conflict of interest yang Pak Lah berlagak tidak tahu dan seolah-seolah menolak semuanya itu tiada kaitan langsung dengan pengaruhnya sebagai PM.

Pada saya, persoalannya, mengapa Pak Lah mengsyorkan syarikat adik iparnya terlibat dalam merebut peluang berkenaan sedangkan Petronas lebih aula dan afdal mendapatkannya. Apa tidaknya, Mastek sebuah syarikat yang tidak terlibat langsung dalam dalam industri minyak dan gas tetapi bertindak hanya sebagai orang tengah (broker) sahaja.

Dikuatkan lagi hujah, adik iparnya bukanlah dikenali sebagai ahli perniagaan!

Saya mempersoalkan mengapa Pak Lah tidak memberikan prioriti kepada Petronas? Mengapa pula alihkan prioriti sepatutnya itu kepada kepentingan orang perseorangan yang tidak ada kelayakkan melebihi syarikat kerajaan Petronas?

Jadi, salahkan kalau ada orang menuduh Pak Lah terlibat dalam penyelewengan ini kerana ingin membantu kaum keluarga? Adakah, jika ia bukan adik iparnya, kriteria perseorangan dan tidak mempunyai pengalaman bisnes serta tiada kepakaran berkaitan, syarikat itu akan dipilih oleh Pak Lah?

Apakah pula jawapan Pak Lah kepada kedua-dua laporan CIA tersebut yang mencatatkan namanya sebagai seorang yang dikatakan “penerima yang sebenar” atau intended beneficiary?

Nota: Foto-Foto dikutip dari pelbagai website dan blog tersohor di maya internet.

Betulkah Mood Pilihan Raya Kini Sudah Sugul "Putus Haid"?

Perang bendera hanya "angkuh" di Kelantan dan Trengganu sahaja? Bagaimana PAS di negeri lain? Mengapa masih kaku dan kaget...

Pak Lah tidak mengantuk dan tidur dalam menentukan tarikh pilihan raya. Pelbagai isu yang sarat kini, tidak mungkin Pak Lah membubarkan Parlimen hujung tahun ini...

Apakah undi anak-anak muda kali ini akan memihak kepada pembangkang? Bagaimana kesan asakan Umno terhadap anak-anak muda di kampus, PLKN serta gerakan belia dan wadah Puetri dan Putra Umno selepas Pilihan Raya Umum 1999 lalu?

Inilah badut BN yang bekerja kuat membodek kerajaan sekalipun ekor penuh dengan najis... barangkali cerminan Islam Hadhari

Kalau rakyat tidak ambil peduli, mood pilihan raya menjadi "putus haid", apakah langkah pembangkang untuk mengemudi hati rakyat agar bangkit menjatuhkan BN dalam pilihan raya ke 12 ini?


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

TIGA empat bulan lalu, sengaja saya membawa anak-anak ke Rumah Peringatan P Ramlee, tidak jauh dari rumah. Cuacapun agak lembab. Sebelah paginya hujan.

Hajat di hati mahu menyudahkan kerja-kerja penyuntingan Majalah Iktisad tetapi kesian pula melihat anak-anak yang terperuk sahaja di rumah sepanjang cuti penggal persekolahan.

Entah berapa kali, saya ke sinipun sudah tidak berapa ingat. Kira-kira 25 minit mundar-mandir, berbelit-belit dengan anak-anak membelek dan membaca “kehebatan” P Ramlee sebagai pengarah, pelakon, penyanyi, pelawak dan entah apa-apa lagi, tiba-tiba bahu kanan saya ditepuk seseorang.

Saya berpaling. Ah… rupa-rupanya seorang rakan yang dulu sama-sama mencari jalan macam mana nak boikot pementasan drama retorik di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Ketika En. Abu Hassan Hasbullah (sekarang Dr. PhD) menjadi pensyarah subjek Retorik.

Sebab rakan saya inilah yang beriya-iya mengajak boikot pementasan drama itu, jadi saya cukup ingat akan dia.

“Apa khabar?” Tanya beliau sambil menghulurkan salam. “Eh.. baik. Hang apa habaq?” pintas saya dengan loghat utara walaupun dia kelahiran Johor.

“YB tak tanding pilihan raya ke kali ini? Nampak surat khabar, tv sibuk fokos pilihan raya. Semalam saya ada taklimat. Macam pilihan raya akan dibuat hujung tahun ni. Tapi… mengapa mood rakyat lain sangat? Sugul je?” usik rakan saya itu, macam sedang menjolok respon saya.

Ketika di kampus dulu, dialah rakan yang acapkali memanggil saya YB kerana dia tahu saya pernah bertanding di Dun Bota, dalam Parlimen Parit Negeri Perak pada pilihan raya umum tahun 1995. Dan dia juga antara peminat buku politik tulisan saya sebelum saya “mengaji” bersama-samanya di Jabatan Pengajian Media.

“Awat, hang nampak mood pilihan raya tak hangat ka? Sana-sini PAS buat ceramah. Isu panas-panaspun makin banyak. Tengok Ketua BPR rasuah (?), Johari Baharom rasuah (?). Altantuya lagi panas! Anwar tak duduk diam, ligat turun padang !” umpan saya, takut-takut dia akan terlajak memberikan maklumat baru berkenaan taklimat yang dikatakannya semalam.

Rakan saya itu memberitahu, ada pagawai yang cakap penuh yakin dalam taklimat yang dihadirinya, pilihan raya kali ini milik penuh Pak Lah lagi. Sebab katanya, rakyat tak berapa ambil peduli isu-isu yang dibawa oleh pembangkang.

Pegawai itu, kata rakan saya, memahatkan bukti kegagalan pembangkang meraih simpati rakyat terhadap isu kenaikan harga tol, harga petrol dan setinggan sifar sekitar Lembah Klang.

Berapa kerat sahaja, rakyat yang turun? Tunjuk perasaan hanya dikendalikan oleh orang yang sama macam Dr. Hatta, Ezam, Sallehudin, Tian Chua dan beberapa orang lagi. Peserta semua hardcore parti bukan rakyat dalam erti kata sebenar, kata rakan saya mengulas hujah pegawai itu dalam taklimat yang dihadirinya.

Saya tidak sempat berbual panjang, kerana rakan saya kena pergi segera. Ada temu janji katanya di Hotel Astana, Jalan Pekeliling. Sekembali saya ke rumah, kebetulan agaknya, Cikgu Ishak Surin yang kini Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan menghubungi saya menerusi telefon.

Katanya, tengahari tadi, Pejabat Agung PAS yang baru dekat Lorong Haji Taib ada menghubunginya. Tok Guru Nik Aziz berhajat nak jumpa. Kebetulan Tok Guru ada mesyuarat di bangunan baru atau Pejabat Agung PAS yang baru itu.

Saya dan Cikgu rasanya belum menjejakkan kaki ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut, yang dikatakan sepelaung jaraknya dari PWTC.

Saya terus bergegas ke rumah Cikgu Ishak. Kebetulan memang nak menuju ke kilang percetakan untuk mencetak Tabloid POLITIK@KL bagi bilangan 5. Cikgu Ishak sebenarnya tidak percaya yang Tok Guru Nik Aziz mahu berjumpanya ketika itu.

Lalu saya capai telefon bimbit dan cuba menghubungi semula nombor telefon yang dikatakan dari Pejabat Agung PAS itu (maklumlah nombor telefon Pejabat Agung baru ini juga asing sebab belum simpan dalam telefon).

Seorang pagawai yang dikenali sebagai Cik Nurul (memang kami kenali) menjawab. Dia mengesahkan yang memang Tok Guru Nik Aziz mahu berjumpa dengan Cikgu Ishak tengahari tadi, tapi ketika saya call, Tok Guru sudah meninggalkan Pejabat Agung.

Dalam perjalanan menuju kilang, saya membuka topik perbualan mengapa mood rakyat begitu sugul (meminjam kata-kata rakan saya tadi) sekarang ini. Walhal, isu-isu panas begitu bermaharajalela. Bergentayangan.

Saban hari, ada sahaja isu yang boleh membenamkan Umno bersama labu-labunya. Cikgu Ishak yang sedang memandu, juga merasakan fenomena itu. Mood rakyat suram, celahnya walaupun benakfikirnya tertanya-tanya mengapa agaknya Tok Guru Nik Aziz nak berjumpa.

Sehingga kini, tidak ada penulis yang berani melabur untuk menerbitkan buku-buku politik semasa. Macam ketika pemecatan Anwar Ibrahim dulu. Baik Yahya Ismail, Lutfi Othman, saya mahupun Pak Habib.

Majalah-majalah isu tidak berkala juga tiada siapa yang mahu mencuba nasib. Malah akhbar-akhbar alternatif PAS Kedah, Pahang, Perak, Pulau Pinang dan Selangor, tidak bernafas lagi. Hanya, kami di Wilayah Persekutuan cuba melawan arus, terus gigih menerbitkan lidah rasmi POLITIK@KL.

Bukan tidak ada isu. Isu cukup banyak. Rasuah Ketua BPR, rasuah Timbalan Menteri, rasuah Menteri AP, kecaman Mahathir, kapal layar Pak Lah, jet pribadi PM, bisnes Scomi, Khairi PM Malaysia, jambatan bengkok, kejatuhan saham, rasuah Kasitah, pembelasahan terhadap penunjuk protes tol, petrol; kekejaman terhadap penduduk Kg. Brembang, Kg. Semarak dan banyak lagi kawasan peneroka bandar, IFC, Islam Hadhari dan lain-lain yang sukar dibariskan di sini.

Mengapa sugul ya? Apa dah jadi dengan rakyat kita?

Benarkah mereka sudah kurang minat dengan politik? Atau tidak yakin dengan pembangkang?

Atau amat berpuashati dengan kepimpinan insan bernama Pak Lah ini?

Tidak payahlah kajian dibuat. Tetapi berdasarkan naluri hati kita, mood politik sekarang cukup sugul dan memualkan. Apa pengukur arasnya juga, tidak perlu diberitahu. Yang penting, belum terlambat untuk PAS & PKR menggerakkan jentera parti masing-masing. Mempersiapkan diri untuk bertarung.

Cuma yang kurang sedap, mood rakyat kini benar-benar monopaus, sugul dan lesu. Barangkali ada yang tak setuju! Ia boleh dibelek dan ditelek sendiri. Ditambah dengan “kehebatan“ puaka pemimpin Umno berpencak silat dengan SPR, dan kita pula gagal membenamkan badan yang tidak bebas itu, maka makin benarlah anggapan pegawai yang berhujah pilihan raya kali ini milik penuh Pak Lah lagi. Daftar Pemilih sudah tentu di sebelah mereka.

Kita khuatir yang amat sangat, mood rakyat yang bangkrap ini akan menjadi tembok kebal menghalang pembangkang mempengaruhi mereka mengundi BA dalam pilihan raya tidak lama lagi.

Cuma, untuk “menyedapkan hati“ mungkin ayat ini boleh digunakan: “Rakyat kita sebenarnya protes dalam senyap. Masa ngundi mereka pangkah bulan dan mata. Mereka tak mahu hinggar-binggar macam Pilihan Raya 1999“! Benarkah jawapan ini?

Nota: Foto-Foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.

50 Tahun Merdeka: Melayu Makin "Mati Pucuk", Tanahair Kian Terkubur Angkara Saka Umno!

Mengapa Kempen 50 tahun Merdeka tidak mendapat sambutan rakyat? Kerana Umno cuba mengekploitasi kempen ini untuk menonjolkan Presiden-Presiden Umno dan parti itu kononnya sebagai perintis kemerdekaan. Di mana pejuang-pejuang tulen kemerdekaan dihumban oleh mereka?

Umno terus menjadi pembelit dan pendakyah tersohor di negara ini dengan berselindung di sebalik kuasa dan undang-undang...

Cikgu Ishak, Tarmizi dan Ustaz Marzuki menyampaikan Memorandum Membantah Kempen 50 Tahun Merdeka kepada Kekwa. Memo diterima oleh Setiausaha Akhbar Datuk Rais Yatim, Jamuddin Idris di pejabatnya.


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

BUKAN kepalang lagi, Umno menggerakkan Kementerian Penerangan Malaysia “melobi” rakyat kononnya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah “Bapa Kemerdekaan”.

Cerita dan mentera tahyul lain, kononnya Umnolah parti keramat yang menuntut dan memperjuangkan kemerdekaan di tanahairku yang tercinta ini.
Cerita mitos dan dongeng ini, terus dipacu siang malam melalui akhbar jajahan mereka dan televisyen yang dicengkam rakus. Atas nama kerajaan, Umno begitu giat berkempen bagi menjayakan sambutan “50 Tahun Kemerdekaan Negara”.

Yang peliknya, tiada gerakkan yang berani menyanggah atau membetulkan fakta palsu yang disogokkan kononnya Tunku dan Umnolah yang menggerakkan usaha kemerdekaan.

Bagaimanakah laungan “Merdeka” oleh Ibrahim Yaakob? Dan apa kaitannya dengan gerakkan merdeka yang diperjuangkan oleh PKMM, KMM, API dan AWAS sebelum diharamkan penjajah?

Saya bersama man Setiausaha Agung Partai Rakyat, CIKGU ISHAK SURIN yang juga antara aktivis yang terlibat diperingkat awal gerakan kemerdekaan, ketika aktif bersama API, baru-baru ini cuba menggerakkan satu gerakan “pemutihan” dan “penulisan semula” sejarah kemerdekaan, bersama beberapa rakan lain.

“Menulis semula sejarah” tidak bermakna melakarkan 1001 kisah benar dari hal perjuangan kemerdekaan dan diadaptasikan ke dalam buku. Sebenarnya jauh dari itu. Skopnya lebih luas.

Kami berhajat untuk membengkelkannya. Menseminarkannya. Mewawancara tokoh-tokoh sejarah yang masih hidup baik dari Umno, PAS, atau bekas-bekas pejuang kemerdekaan yang sudah dilupakan.

Kami mahu mempertemukan mereka. Berdiskusi kisah silam. Membetulkan fakta sejarah. Bukan meneruskan pembohongan seperti yang sedang dilakukan oleh Umno dan BN muktahir ini.

Langkah ini mendapat sokongan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan. Gerakan harus dimulakan. Bukan mengutip fakta baru dan membenamkan fakta palsu semata-mata, kemudian dicetak sebagai buku.

Penulisan semula ini harus digembelingkan tenaga pemikir, tokoh sejarah, gerakerja pengumpulan maklumat. Yang paling penting “Team Penggerak” gerakan ini harus tahu di mana ianya patut dimulakan.

Sambutan 50 Tahun Merdeka, bulan lalu, kerajaan giat berkempen melalui media cetak dan televisyen tentang sambutan “50 Tahun Kemerdekaan Negara”. Tujuannya untuk tanamkan kepercayaan bahawa Umnolah yang mempelopori kemerdekaan.

Walhal faktanya palsu... Memanglah itu yang sedang berlaku. Usaha ini giat dijalankan untuk menafikan gerakkan awal kemerdekaan negara.Saya bersama Cikgu Ishak, juga rakan-rakan lain seperti Haji Suhaimi Abdul Rahman, Haji Jamhor Nawawi, Haji Ismail Yahya, Ustaz Marzuki Zakaria, Ibrahim Awang, Mohd Nawi, Ahmad Hasyim dan dua orang wartawan Harakah merempuh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekWa) pada 16 Julai lalu untuk menghantar secebis memorandum berkenaan isu ini.

Datuk Rais Yatim ada di Melaka, pada tengahari itu kerana pada malamnya ada program mega sambutan 50 Tahun Merdeka di Padang Hiliran, Melaka. Jadi, kami dilayan oleh Setiausaha Akhbarnya, Jamuddin Idris.

Kami mewakili PAS Kawasan Batu. Kamilah satu-satunya PAS yang memulakan penghantaran memo berkenaan isu 50 Tahun Merdeka. Kemudian diikuti oleh Dewan Pemuda PAS Pusat, kira-kira sebulan selepas itu.
Kita amat prihatin. Kerajaan cuba menonjolkan Umnolah yang mempelopori kemerdekaan dalam Kempen 50 Tahun Merdeka.

Bagi saya, usaha terancang begini amat dayus dilakukan oleh kerajaan semata-mata untuk mempengaruhi genarasi muda kini akur bahawa Umno dan pemimpin hari ini adalah kesinambungan pejuang kemerdekaan.

Umno cuba menafikan fakta sejarah yang sebenar. Siapa Tunku Abdul Rahman pada waktu merdeka dahulu? Siapa Umno? Macam mana Umno itu ditubuhkan?

Semuanya ini perlu dikaji semula oleh kita supaya fakta sejarah yang sebenar dapat diketahui oleh genarasi akan datang dan seterusya. Sebenarnya, Umno begitu takut untuk membongkar rahsia sejarah sebenar berhubung gerakan kemerdekaan ini.

Pejuang-pejuang terdahulu seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boeastamam, Dr. Burhanuddi Helmy dan lain-lain cuba dihapuskan nama mereka dalam buku-buku dan dokumentasi sejarah. Gerakan KMM, PKMM, API dan AWAS juga tidak disebut sebagai pelopor kemerdekaan sedangkan hakikatnya, kumpulan inilah yang mula-mula melaung dan membakar api kemerdekaan.

Maknanya kita ada pandangan kedua dalam isu ini. Mesti ada. Jangan nafikan hal ini. Umno bukan pelopor kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman bukan Bapa Kemerdekaan. Isu ini patut di ketengahkan. Ia bukan idea atau sanggahan membabi buta tetapi ia adalah fakta sejarah. Sejarah tidak boleh ditipu. Sejarah tetap sejarah.

Dengan adanya kempen-kempen media cetak dan televisyen ini (tajaan Umno), kita amat bimbang genarasi muda sekarang dibohongi kerajaan dan Umno khususnya. Mereka mahu fakta sejarah dipesongkan, diseleweng!

Dalam hal ini, kita mesti bertegas bahawa Umno bukan pelopor kemerdekaan. Umno ditubuhkan untuk menentang pembentukan Malayan Union semata-mata.
Tidak langsung disebut pada masa itu soal kemerdekaan.

Sedangkan sebelum itu, telah ada kumpulan tertentu yang bergerak secara tersusun, selepas sahaja tamat Perang Dunia Kedua.

Umpamanya penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Diikuti penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhamad. Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Merekalah (KMM, PKMM, API dan AWAS) yang memulakan gerakan tersusun untuk menentang penjajahan Inggeris di Tanah Melayu ketika itu. Inilah golongan yang sebenarnya patut diketahui oleh rakyat dan genarasi kini yang memula dan memperjuangkan kemerdekaan.

Dan Ibrahim Yaakoblah orang pertama yang melaungkan kalimat “MERDEKA”!. Bukannya seperti yag diwar-warkan, Umno atau Tunku Abdul Rahman.

Sebaliknya, orang-orang ini dilupakan langsung. Akibat laungan kemerdekaan mereka dan keberanian mereka menentang penjajah, maka mereka akhirnya disumbat dalam penjara dan KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan oleh penjajah.

Persoalannya, bilakah Umno muncul dalam catatan sejarah sebagai pejuang kemerdekaan? Jawapannya mudah. Iaitu selepas pejuang kemerdekaan tulin seperti Ibrahim Yaakob, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestaman dan lain-lain dipenjarakan oleh penjajah atas pelbagai alasan yang dicipta.

Selepas KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan. Barulah mereka muncul. Seolah-olah pemimpin-pemimpin Umno inilah yang beriya-iya mahukan kemerdekaan setelah ruang kosong yang ditinggalkan oleh KMM, PKMM, API dan AWAS.

Pada waktu ini, Umno adalah “anak didik” penjajah dan bukan penentang penjajah. Sebab itu, penjajah cukup sayang dan memapah Umno sebagai parti yang boleh “ditarik hidungnya” dan “dipulas telinganya”.

Tadi disebut kumpulan awal seperti KMM, PKMM, API dan AWAS adalah pejuang tulin kemerdekaan. Kemudian pemimpin utama mereka ditahan dan pertubuhan mereka diharamkan. Penjajah pula mengetengahkan Umno hasil kekosongan ini sebab hanya Umno yang boleh meneruskan dasar-dasar penjajah.

Soalnya, mengapa penjajah menentang atau tidak bersengkongkol dengan kumpulan pejuang gerakan kemerdekaan tulin yang awal?

Persoalan ini lazim dikemukakan apabila membicarakan isu ini. Realitinya, Inggeris (penjajah) tahu, mereka yang menggerakkan KMM, PKMM, API dan AWAS terdiri dari pejuang kemerdekaan tulin yang tidak mahu bersengkongkol dengan penjajah. Mereka ini tidak dapat diperkotak-katikkan oleh Inggeris.

Jika ditakdirkan mereka ini berjaya “memerdekakan” tanahair kita, tentu sekali lanskap politik negara kita tidak seperti hari ini.

Selepas diberikan kemerdekaan pada 1957, kita masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah, dasar-dasar penjajah diteruskan, pendidikan penjajah dijalankan, ekonomi penjajah diperkenalkan dan macam-macam lagi “tahi” penjajah dimamah oleh rakyat kita yang dikatakan sudah 50 tahun merdeka.

Rakyat Malaysia, yang kononnya sudah “MERDEKA” tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang terjajah. Penjajahan paling teruk dan kontra dengan “Islam sebagai Agama Rasmi negara” ialah memakai Perlembagaan Lord Reid milik penjajah yang memberikan “kemerdekaan” kepada Umno.

Undang-undang yang diterima pakai hari ini, bukan milik orang Melayu (Umno + PAS + PKR), juga bukan warisan orang India (MIC) atau harta peninggalan orang Cina (MCA + Gerakan). Tetapi milik orang putih yang menjajah Tanah Melayu.

Sebab itu, PAS mengemukan gagasan supaya Malaysia diIslamkan agar Perlembagaan Lord Reid milik penjajah itu ditukar kepada Perlembagaan Islam yang sudah tentu dimiliki bersama oleh orang Melayu, orang Cina dan orang India di negara ini.

Fenomena ini membuktikan rakyat diikat oleh penjajah. Dan Umno yang menjadi “belaci” penjajah sanggup menjalankan dasar-dasar penjajah ini. Inggeris percaya, jika kemerdekaan diberi kepada pejuang tulin seperti Ibrahim Yaakob, dasar-dasar Inggeris tidak akan terlaksana.

Sekarang jelas, sejarah dipalsukan dari segi gerakan menuntut kemerdekaan. Ini kerana Umno yang diberi kemerdekaan oleh Inggeris telah menggunakan kesempatannya sebagai kerajaan untuk memalsukan sejarah dalam semua aspek. Dokumentasi, buku sejarah dan seumpamanya. “Jenayah” ini mesti dibetulkan segara.

Perkara ini harus ditangani secara serius. Lihat balik pemalsuan sejarah dan sejarah sebenar. Betulkan fakta dalam buku sejarah yang jadi rujukan sebagai teks bacaan pelajar kita di sekolah-sekolah. Ini penting.

Kerana melalui paparan dari buku-buku sejarah inilah, pemalsuan berjalan secara rasmi dan terancang. Pelajar-pelajar kita adalah genarasi akan datang yang bakal mentadbir negara.

Tetapi, fakta sejarah yang melekat dalam kepala mereka hanyalah fakta palsu. Mereka tak kenal siapa itu Ibrahim Yaakob, iaitu orang yang mula-mula melaungkan kalimah “merdeka” kepada rakyat untuk mengnyahkan penjajah ketika itu.

Teringat cerita seorang rakan yang berasal dari Sabah yang kini bertugas di Harakah, bagaimana guru mata pelajaran Sejarahnya seringkali mendedahkan, mewar-warkan dan memesongkan fakta sejarah kononnya Ibrahim Yaakob adalah seorang komunis dan pejuang komunis.

Oleh kerana, ketika itu, beliau tidak tahu cerita sebenar, maka seperti murid lain, menganggukkan kepala dan merimanya bulat-bulat.

Saya yakin, cerita begitu menjadi “zikir” sesetengah guru mata pelajaran sejarah era tahun-tahun selepas merdeka hingga 80-an. Barangkali, masih ada lagi guru yang begitu, menanamkan doktrin kononnya Ibrahim Yaakob, PKMM, KMM, API dan AWAS adalah rangkaian mata rantai komunis di tanah air kita. Terutama guru-guru sejarah dari aliran Umno “totok” yang memegang jawatan diperingkat Bahagian.

Mengapa Ibrahim Yaakob yang mempelopori kemerdekaan bukan Tunku Abdul Rahman? Satu kajian yang dibukukan oleh Umno Johor, memperakui hakikat ini. Buku itu mendakwa orang yang mula mempelopori gerakan kemerdekaan tanahair ialah Ibrahim Yaakob. Berpusat gerakannya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Ibrahim membentuk jaringan dari Maktab Perguruan ini hingga idea kemerdekaan bertaburan ke seluruh tanahair; hingga ke Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ibrahim aktif menanamkan api kemerdekaan dalam kesatuan pelajar di Maktab.

Dari sini, pelajar Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak yang tamat pengajian mereka, membawa balik idea dan perjuangan kemerdekaan ini. Ia adi menyeluruh.

Di sinilah mula bibit kemerdekaan tercetus. Fakta ini dinafikan oleh Umno yang cuba meletakkan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Bagi kita yang “membaca” sejarah, tidak segan-slu lagi mempertegaskan bahawa Ibrahim Yaakoblah patut dinabatkan “Bapa Kemerdekaan” sebenar bukan Tunku yang tidak tahu apa-apa.

Sebab itu, satu gerakan penulisan semula sejarah PAS patut digerakkan segera. Kita kena betulkan fakta palsu Umno itu. Gembelingkan tenaga. Kumpulkan pejuang-pejuang yang terlibat diawal gerakan kemerdekaan tulin. Kumpulkan kajian-kajian ilmiah yang dilakukan oleh universiti-universiti.

Penulisan semula sejarah kemerdekaan wajib dibuat. Kita jangan asyik menyanggah soal kemerdekaan ini dalam tulisan-tulisan picisan ketika menjelang setiap kali sambutan hari kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun. Kita mesti sedarkan rakyat bahawa Umno bukan parti yang mempelopori gerakan kemerdekaan di tanahair kita. Tunku bukan Bapa Kemerdekaan.

Semuanya ini kita mesti dipersoalkan semula secara serius. Ini bukan kerja main-main. Kita percaya, semua tokoh-tokoh sejarah dalam negara kita akan bersama dengan kita jika usaha terancang dibuat untuk membetulkan fakta sejarah ini. Tidak mengikut acuan sejarah yang disediakan oleh Inggeris dan dipekik-pekikkan oleh Umno.

Fakta yang ada adalah fakta orientalis Barat yang mahu dilihat sebagai tiadanya penentangan serius dari rakyat terhadap penjajahan mereka. Pemerintahan diberi secara aman kepada Umno bagi menunjukkan baik dan bijaknya Inggeris pada mata dunia sepanjang penjajahan mereka.

Sebab itu, kami cuba mempelopori usaha ini kerana ia penting untuk genarasi akan datang. Ia tidak boleh tunggu lebih lama lagi. Kalau lebih lama, maka banyaklah penyelewengan sejarah akan dilakukan oleh Umno. Memang, PAS Wilayah akan cuba mempeloporinya. Isya-Allah!

Rabu, Oktober 03, 2007

Mufti Perlis Buat Qunut Nazilah, Marina Mahathir "Doa Selamat" Pelbagai Agama

Tun Mahathir ketika menerima rawatan di IJN sebelum pembedahan dilakukan. Khabarnya, kini beliau beransur pulih tetapi malangnya, anak perempuannya Marina membetulkan tanggapan orang berkenaan anutan Islam liberalnya...

Marina memberikan ucapan dalam majlis "doa selamat" yang diadakan di rumahnya, di Damansara baru-baru ini





PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

APA nak jadi iya? Sukar juga untuk dipercayai. Ia hanya banyak berlaku di Indonesia. Tetapi kini, sudah terjadi. Dulupun sudah berlaku. Mereka menyifatkan dan mengakui bahawa semua agama itu baik dan tuhan-tuhan mereka juga baik.

Jadi, tiada salah bagi mereka untuk memohon pertolongan dan barangkali keampunan dari mana-mana agama dan mana-mana tuhan.

Di saat Mufti Perlis Indera Kayangan, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin meminta semua masjid seluruh Perlis melakukan "Qunut Nazilah" memohon ke hadrat Allah SWT pertolongan "menyelamatkan" dan "menyembuhkan" Dr. Mahathir telah dibedah, kerana sakit jantung, ada insan lain melakukan sesuatu yang lain dari yang lain bagi tujuan yang serupa.

Anaknya, Marina Mahathir pula bertindak cukup berlainan. Tun Mahathir dibedah kerana sakit jantung. Keadaannnya agak kritikal tetapi terkawal. Kisahnya masuk IJN diketahui semua orang kerana dilaporkan oleh media.

Semua rakyat termasuk pembangkangpun mendoakan agar Tun cepat sembuh dan sihat seperti sediakala. Sudah banyak kali, Tun keluar masuk IJN. Seorang rakan saya di TV3, pernah membisikkan kepada saya, semua video dan pita-pita bacaan al-Quran sudah siap jika terjadi sesuatu yang tidak diingini (kematian) kepada Tun.

Saya juga mengingatkan beliau, jangan jadi macam Radio Era, Sultan Selangor belum mangkat lagi, tetapi dalam keadaan nazak, sudah diputar bacaan al-Quran. Dakwa mereka Sultan sudah tiada lagi. Tetapi, semuanya itu suatu kesilapan...

Mufti Perlis melaungkan "Qunut Nazilah". Marina pula mengundang ramai tetamu ke rumahnya di Damansara. Barangkali untuk "doa selamat" atas kejayaan pembedahan jantung ayahnya.

Tetapi dengan cara agak ganjil apabila mengundang tok-tok pekong fahaman lain macam para sami Budha, mubaligh Kristian, sami Hindu dan meminta mereka "mendoakan" agar ayahnya sihat walafiat selepas di bedah. Sudah tentulah "doa" itu mengikut cara agama masing-masing....

Dulu kalau anda masih ingat, Menteri Perlancongan, Kadir Shekih Fadzil juga pernah meminta semua agama dan para pemimpin agama di Malaysia (Hindu, Islam, Kristian, Budha dll) membuat "doa selamat" dan "majlis kesyukuran" mengikut cara masing-masing untuk meraikan kemerdekaan Malaysia.

Soalnya sekarang, apa nak jadi dengan umat Islam Malaysia hari ini? Adakah ini kesan apabila Islam Laberal diberi tempat oleh pemimpin Umno dalam negara ini... atau pemimpin Umno sendiri cukup serasi dengan Islam liberal yang sedang rancak dipromosikan oleh Sisters In Islam dan sekutunya.

Paling menyenakkan, Mazhab Islam Hadhari yang dianggap mukjizat baru oleh ahli Umno tidak menentang ajaran Sisters In Islam yang memperjuangkan Islam liberal ini. Nampaknya, Islam Hadhari 2 X 5 dengan Islam Liberal.

Sama-samalah kita lihat, sejauh mana Imam Besar Islam Hadhari mahu menyembunyikan fakta bahawa Islam Hadhari itu sebenarnya tidak betul. Ini disahkan lagi oleh kesanggupan Al-Fadhil Ustaz Bush untuk melagangkan mazhab baru itu ke tengah masyarakat antarabangsa...

Pelikkan!

Sifir mudahnya, kalau Islam Hadhari itu mengancam Amerika dan sekutu kafirnya, sudah tentulah segala senjata akan ditalakan ke Malaysia
...
Apapun, Islam Hadhari bukanlah Islam yang menghambat Israel atau mengnyahkan nahi mungkar!

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor dalam maya internet.