KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 31, 2008

Benarkah BN TUMPAS dek TSUNAMI dan GERILAWAN SIBER?

Tanpa disuruh, gerila-gerila siber ini telah melahirkan ribuan laman untuk “menyerang” pemerintah BN. Teknologi blog telah menyebabkan perang gerila siber menjadi semakin hebat. Kurang dari 3 minit, sebuah blog sudah boleh dimulakan.

By AMIN ISKANDAR

TINJAUAN yang dibuat di beberapa buah negeri sewaktu kempen pilihanraya umum lalu, menyaksikan “jentera BN” tidak bergerak seperti sediakala. Di Selangor, Terengganu dan Kelantan, kempen BN tidak sehebat pilihanraya umum 2004.

Rakan-rakan di Kedah, Pahang, Perak dan Melaka menyuarakan ”kerisauan” mereka mengenai perihal jentera BN itu. Bilik gerakan BN dikatakan kosong dan pekerja parti tidak banyak kelihatan.

Macam-macam teori dikeluarkan dalam menganalisis strategi Umno dan BN. Ada yang mengatakan jentera BN tidak bergerak kerena tempoh kempen kali ini agak panjang (13 hari).

Malahan, ada yang berfikir bahawa BN telah membuat strategi baru yang tidak disedari pakatan pembangkang. Ramai juga yang percaya ketua bahagian Umno “menahan” peruntukan kerana mahu menggunakannya untuk pemilihan agung Umno yang bakal menjelang.

Tajol Rosli Ghazali mengesahkan teori yang pertama. Bekas menteri besar Perak itu - ketika ditanya oleh wartawan mengenai kelesuan kempen BN pada 1 Mac 2008 - dengan angkuhnya beliau berkata bahawa tempoh kempen pilihanraya terlalu panjang dan BN tidak memerlukan masa yang lama untuk berkempen.

“BN tidak perlu berkempen jika pembangkang tidak menabur fitnah. BN hanya turun untuk menjelaskan perkara sebenar bagi menangkis dakyah yang disebarkan pembangkang” katanya dengan penuh keyakinan. (Buletin Tengah Hari, TV3, 1 Mac 2008).

Mungkin kerana kenyataan 'sombong' yang dikeluarkan oleh Tajol Rosli itu, rakyat Perak telah menghukumnya dengan memberikan undi kepada pakatan pembangkang yang akhirnya menyaksikan, buat pertama kalinya, menteri besar Perak dilantik daripada parti yang bukan Umno.

Faktor Anwar Ibrahim

Selepas 10 tahun, inilah pertama kalinya Anwar Ibrahim berkempen dalam pilihanraya umum. Walaupun usianya telah meningkat, kehebatannya berpidato, tidak dapat dinafikan.

Saya sempat menyaksikan siri ceramah Anwar di Machang, Kelantan. Ribuan manusia yang majoritinya “berkopiah putih” khusyuk mendengar pidato politik Anwar. Mereka sesekali tergelak ketika Anwar berjenaka.

Di kalangan ribuan yang hadir itu, terdapat juga hadirin yang kelihatan seperti orang Umno. Untuk apa mereka datang, tidak dapat pula saya pastikan. Tetapi ada kemungkinan, orang Umno ini rindukan bekas timbalan presiden mereka.

Strategi Abdullah-Khairy membubarkan parlimen sebelum Anwar dibenarkan bertanding membawa padah.

Tanpa mempunyai sebarang beban untuk “menjaga kawasan”, Anwar menjelajah ke seluruh negara. Jika Anwar dibenarkan bertanding, tidak mungkin beliau akan mempunyai banyak masa untuk bergerak sebegitu bebas.

Di setiap tempat yang Anwar pergi, pastinya dihadiri ribuan orang. Rakyat yang menghadiri ceramah Anwar terdiri daripada pelbagai kaum.

Di sesetengah tempat, masyarakat Cina dan India kelihatan lebih ramai daripada orang Melayu.

Penerangan bekas menteri kewangan itu tentang bagaimana beliau akan menurunkan harga minyak jika pakatan pembangkang diberi peluang untuk mentadbir negara, mampu meyakinkan rakyat.

Dengan fakta dan bahasa yang mudah, rakyat dapat memahami apa yang cuba diterangkan oleh Anwar.

Tahun lalu, dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Jocelyn Tan di akhbar The Star, kumpulan “tingkat empat” yang diketuai menantu Pak Lah mengatakan bahawa Anwar bukanlah lagi satu faktor bagi Umno untuk menghadapi pilihanraya.

Khairy, Norza Zakaria dan Zaki Zahid yang mendakwa mereka mewakili generasi muda di Malaysia, yakin generasi yang mereka wakili tidak terpengaruh dengan Anwar.

Kesombongan kumpulan “tingkat empat” sampai ke kemuncaknya apabila Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Norza Zakaria mencabar Anwar bertanding di mana-mana kerusi di Kuala Lumpur.

Akan tetapi, Anwar tidak dapat menyambut cabaran itu kerana beliau tidak boleh bertanding dalam pilihanraya sebelum 14 April 2008.

Tidak lama lagi, “pantang” bekas timbalan perdana menteri itu akan berakhir.

Jika salah satu kerusi parlimen di Kuala Lumpur dikorbankan oleh mana-mana ahli parlimen pakatan pembangkang untuk Anwar bertanding, beranikah Norza berdepan dengannya?

Gerila Siber

Pembangunan Multimedia Super Corridor (MSC) telah memerangkap pemerintah Malaysia. Rakyat Malaysia kini telah mempunyai satu ruang di mana mereka terdedah kepada pelbagai maklumat tanpa adanya sekatan.

Dengan adanya internet, penguasaan terhadap maklumat telah berjaya dipecahkan. Portal media seperti Malaysiakini, Malaysia Today, Harakahdaily , KL Pos dan banyak lagi, telah menjadi media alternatif kepada rakyat Malaysia.

Dahulu, maklumat boleh dikawal sepenuhnya oleh Umno-BN. Rakyat Malaysia hanya dapat membaca, melihat dan mendengar berita-berita yang disajikan oleh media arus perdana.

Tekanan dan cengkaman yang kuat pemerintah Malaysia terhadap rakyat, dengan menggunakan akta-akta tidak demokratik, telah malahirkan begitu ramai “gerilawan siber”.

Kelahiran gerila siber ini bertambah dari masa ke semasa sehinggakan pasukan “cybertrooper” tajaan Azalina Othman yang baru sahaja dilantik sebagai Menteri Perlancongan, tidak berdaya untuk melawan.

Tanpa disuruh, gerila-gerila siber ini telah melahirkan ribuan laman untuk “menyerang” pemerintah BN. Teknologi blog telah menyebabkan perang gerila siber menjadi semakin hebat. Kurang dari 3 minit, sebuah blog sudah boleh dimulakan.

Kalau tak percaya sila layari http://sopo-sentral.blogspot.com, anda pasti akan terperanjat dengan lahirnya begitu banyak laman blog “sosio politik” di Malaysia.

Serangan demi serangan dari pelbagai penjuru, akhirnya merebahkan BN di beberapa negeri terutama di bandar-bandar yang mempunyai akses kepada internet.

Contoh yang terbaik ialah di Kuala Lumpur di mana pakatan pembangkang berjaya menyapu sembilan daripada 10 kerusi parlimen. Bandar Shah Alam yang selama ini menjadi kubu kuat Umno, jatuh kepada PAS.

Hala tuju Umno dan BN?

Walaupun hilang majoriti dua pertiga BN di parlimen, Abdullah Ahmad Badawi terus menjadi perdana menteri Malaysia bagi penggal kedua. Abdullah tidak menghiraukan desakan dan tuntutan yang mahukan beliau meletakkan jawatan.

Mukhriz Mahathir menjadi pencetus kepada gerakan dalam Umno menuntut Abdullah meletakkan jawatannya.

Beliau mengikut jejak ayahnya yang menghantar surat kepada perdana menteri untuk mendesaknya meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab kepada hilangnya majoriti dua pertiga BN dan beberapa negeri kepada pembangkang.

Dr Mahathir pernah melakukan perkara yang sama selepas Perikatan kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969 apabila beliau menghantar surat kepada Tunku Abdul Rahman.

Sebelum ini, Abdullah ketika diminta mengulas tentang surat Mukhriz berkata, beliau menyerahkan kepada Ketua Pemuda Umno, Hishamuddin Tun Hussein untuk mengambil tindakan.

Namun, selepas mesyuarat pemuda Umno semalam, Hishamuddin berkata, Mukhriz tidak dikenakan sebarang tindakan dan menyerahkan balik perkara itu kepada Abdullah sebagai presiden Umno.

Kabinet baru yang diumumkan oleh Abdullah telah menyingkirkan separuh daripada muka lama, dijangka menyemarakkan pertembungan dalam Umno.

Orang Najib Tun Razak telah terkeluar dari senarai tersebut. Kabinet baru ini dijangka membantu Abdullah dalam pemilihan pucuk pimpinan Umno yang akan datang, dan sekaligus mengekang kemaraan Najib.

Walaupun Khairy Jamaluddin tidak diberikan sebarang jawatan menteri, orang-orangnya telah berada “dalam” kabinet dan memegang portfolio penting.

Contohnya, Wan Farid Wan Salleh yang dilantik menjadi senator, memegang jawatan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Sepupu kepada menantu PM, Shaziman Mansor pula dilantik menjadi Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi.

Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan oleh Tun Razak Hussein pada tahun 1973 sebagai satu formula baru selepas kegagalan Perikatan dalam pilihanraya 1969 kini sudah menunjukkan tanda-tanda sudah “expired”.

Kemungkinan besar satu formula baru akan dirancang sebagai langkah untuk mengembalikan keyakinan rakyat.

Persoalannya ialah siapakah yang akan mengepalai formula baru ini? Sempatkah Najib mengikut jejak bapanya? - Malaysiakini.com

Ya! REDHUAN OON sudah kembali. Apa Selepas Ini?

Keadaan ini mendorong saya terus meninggalkan bangku sekolah di Saint Francis Institute (SFI), Melaka, dan terus mengembara 100% menuntut ilmu Pencipta dan Ad-dinNya.

By REDHUAN D OON

SAYA pilih untuk tulis tajuk dengan istilah 'selepas' dan mengabaikan sedikit tentang 'kemasukan' saya dalam Islam kerana ingin lebih fokus pada soal yang releven bagi manfaat pembaca umum.

Tetapi saya ingin juga memperbandingkan keadaan saya sebelum dan selepas memeluknya yang agak berbeza dalam beberapa segi. Sebelum saya memeluk Islam, saya cuma kenal dan fokus tentang soal krisis spiritual yang melanda hidup saya.

Keadaan sekeliling dianggap sebagai satu jenis perangkap yang saya mesti lalui. Saya seolah dalam perigi yang dalam dan ingin sangat mencari satu inspirasi dalam hidup saya.

Terdapat seribu satu perasaan terpendam yang mahu dilepaskan hampir serentak.

Selepas memeluk Islam, saya tersedar beberapa perkara mengenai hakikat dan makna menjadi seorang muslim, yang membuka minda saya - suka atau tidak.

Inna mukminul al-ikhwan - Sesungguhnya orang yang beriman itu semuanya adalah bersaudara. Cukup sedap dengar, cukup enak rasa. Saya rupa-rupanya mewarisi jutaan umat mukmin yang lain sebagai adik beradik.

Semua satu keluarga yang besar dan tentunya membuat saya rasa seronok dan bahagia. Mau jadi menantu pun boleh! Tetapi hakikatnya saya juga mewarisi segala jutaan permasalahan yang melanda umat Islam waktu itu.

Keadaan umat Islam kucar-kacir selepas jatuhnya pemerintahan Khalifah Uthmaniah yang terakhir dalam tahun 1920an. Keadaan solidaritas umat begitu rapuh dimana pelbagai teori dan kumpulan baru bercakaran satu sama lain untuk mendominasi keadaan.

Sejuta satu isu kelemahan umat Islam dalam hampir semua aspek kehidupan - dari ekonomi sehingga pencapaian teknologi.

Yang paling ketara ialah umat Islam tidak bersatu langsung dan tidak mempunyai suara walaupun kerdil padahal mereka masih menguasai purata bilangan penduduk yang tinggi dan sumber ekonomi yang cukup besar dan bermakna.

Di Malaysia itu sendiri, terdapat kaum Melayu yang bersifat muslim nasionalis (UMNO) yang dominasi pemerintahan sebagai parti komponen tunjang kepada Barisan Nasional (Perikatan) yang telah memerintah tanpa henti sejak merdeka dari British lagi.

Ia pula ditentang oleh parti pembangkang Parti Islam seMalaysia (PAS) yang dikatakan memperjuangkan Islam tanpa kezaliman kaum ke atas kaum yang lain.

PAS menolak UMNO kerana UMNO itu perkauman, dan perkauman itu tidak ada dalam Islam, kata PAS.

Disamping itu, pada tahun 1980 semasa saya memeluk Islam, juga merupakan era kebangkitan Islam 1400 Hijrah, iaitu satu abad baru yang sering dianggap sebagai membawa tajdid hadhari atau pembaharuan ketamadunan kepada Islam.

Masa tu lah zaman Imam Khomeini yang kembali membebaskan Iran dari cengkeman Amerika Syarikat, dan seterusnya meniupkan semangat fahaman Shia ke seluruh dunia.

Masa tu lah zaman USSR melanggar Afghanistan, zaman Maududi di Pakistan, zaman Ikwanul Muslimin oleh Hassan alBanna di Mesir, zaman Muamar Ghadafi di Libya, zaman Yasser Arafat di Palestin, zaman Tabligh dari India, zaman Al-Arqam di Sg Penchala, dan zaman Anwar Ibrahim dari ABIM.

Pendek kata, suka atau tidak, saya terpaksa peka dan terima keadaan saudara-mara saya yang lain dalam Islam.

Saya tidak sedar sebelum masuk Islam tentang begitu banyak perkara yang melanda sejarah dan warisan Islam. Saya baru tau rupanya tanah besar Cina lagi ramai umat Islam dari bumi Malaysia.

Dan Islam sampai di Cina 600 tahun lebih awal dari Melaka rupanya. Saya baru tau bahawa Soviet Union juga ada 4 wilayah yang muslim. Saya baru tahu bahawa Mongghollah pengerak paling hebat menjadi India kaum muslim yang terbanyak semasa zaman Moghul.

Semua sejarah ini membuka lembaran yang amat unik dan mencabar kerana kebetulan saya adalah berbangsa Cina dan amat terpaut kepada warisan saya kerana legasi bangsa yang hebat dari Tanah Besar Cina lagi - yang berusia 5 ribu tahun dengan segala sejarah agungnya.

Seolah-olah saya terkeluar dari satu timba ribuan rasa kepada satu lagi tempayan yang tiada sempadan mahunya.

Keadaan kesan krisis spiritual yang mengelombangi hidup saya pada saat memeluk Islam mendorong saya untuk terjun dibawa oleh apa jua arus yang ada.

Saya ingat lagi bahawa pada hari-hari saya memeluk Islam saya dikelilingi oleh pelbagai kumpulan yang aktif mengenai soal Islam. Saya masuk Islam di Semabok, Melaka.

Nah, di sana ada pejabat Abim, saya pun kerap mengunjungi sahabat di sana. Dekat Jasin pula ada penempatan Al-Arqam, saya pun berpeluang menziarahi dan disuruh berikan ceramah perdana saya di sana.

Di sebelah bandar Melaka pula ada Masjid Tengkera yang merupakan pusat tabligh, saya pun dapat chance ikut keluar ke jalan Allah. Sungguh aktif saya dibuatnya.

Kadang-kadang tertanya pula hati nurani saya. Apakah saya yang memeluk Islam ke atau ada kuasa lain yang memilih saya supaya masuk Islam pada saat itu yang amat tepat kerana pelbagai pelajaran saya kutip dalam langkah-langkah awal hidup saya sebagai muslim.

Keadaan ini mendorong saya terus meninggalkan bangku sekolah di Saint Francis Institute (SFI), Melaka, dan terus mengembara 100% menuntut ilmu Pencipta dan Ad-dinNya.

Pada masa itu poket saya pun tidak ada wang. Tetapi betul sangat janji Allah. Kamu meninggalkan kampung halaman mencari Daku, nescaya malaikat di langit mengembangkan sayap mereka menaungi kamu, ikan-ikan di laut berdoa buat kamu, rezeki keluarga yang kamu tinggalkan terjamin, rezeki kamu terjamin, mati kamu adalah hidup syuhada, jalan kamu adalah fisabilillah.

Keluarga yang saya tinggalkan amat terkejut saya sanggup tinggalkan sekolah Victoria di Kuala Lumpur untuk belajar di sekolah yang lebih mundur yang tidak ada pun subjek sains biologi.

Lantaran pula keluarga angkat saya di Melaka terkejut apabila saya meninggalkan mereka untuk mengikuti Tabligh, tanpa sumber pendapatan terjamin selepas itu.

Apa jadi dengan impian saya ingin lanjutkan pelajaran ke bangku Universiti?

Saya yang terkenal dengan suka lawan orang ada saja jawapan pantas. "Ilmu Allah lebih mulia dari ilmu dunia". Saya masa itu terlalu yakin dengan ayat dan doa yang saya sempat terbaca.

Saya yakin dengan kuasa Allah Subhanahu wata'Ala. Tidak lagi dengan kuasa makhluk. Saya diselamatkan dari ambang kematian suicidal kepada cahaya, maka semestinya kepada saya tidak ada pilihan melainkan menghabiskan jalan ini tanpa henti.

Jika saya imbas kembali detik-detik waktu itu dalam sejarah saya, saya sendiri akan termenung serta bingung macamana saya boleh berani sampai sedemikian.

Jika di suruh saya buat hijrah macam itu lagi hari ini tentu sekali saya akan fikir panjang-panjang. Tetapi saya masih ingat lagi dengan jelas bahawa masa itu tidak ada kebimbingan langsung dalam hati saya.

Cuma semangat yang berkobar-kobar, bahawa Islam lah jawapannya. Yang lain tidak penting. Tawakallah kepada Allah, Dialah sebaik-baik pengurus.

Kata-kata yang sedemikian seolah datang dari seorang gila atau madzub, yang tengelam dalam dadah agama, seperti Mao Zedong pernah sifatkan agama ketuhanan itu.

Alhamdulillah, peristiwa kemasukan saya dalam Islam sudah berlalu hampir 28 tahun. Macam-macam kumpulan agama sudah saya lalui.

Tariqa pun ada, pengajian dipondok pun ada, hijrah kelilingi bumi Sumatera dan Jawa pun ada. Masuk politik pun ada, kena tangkap polis kerana demonstrasi pun ada.

Jadi pemangku editor Harakah pun ada, jadi pekebun pun ada. Macam-macam orang dari seluruh dunia saya dapat jumpa.

Tetapi saya tidak lupa tentang tanggungjawab saya sebagai rakyat di sini yang sudah mendirikan sebuah keluarga 2 puteri dan 2 putera bersama seorang (one only) isteri selama 18 tahun sejak 1989.

Setiap hari membuka lembaran baru bagi saya. Tentu sekali saya sebagai manusia akan lalai dan mengharapkan teguran dari saudara saya sendiri. Tentu sekali saya terjumpa mutiara dan ingin sekali berkongsi dengan saudara jua.

Saya stop sekejap di sini. Maklumlah banyak kerja kertas, kerja tertimbun. Projek dah ada, kertasnya pulak belum siap.

Malam ini pula Macma (Persatuan Cina Muslim Malaysia) yang saya sama-sama tubuh dulu tetapi abaikan selama ini sudah maju dan menjadi wakil kepada mesyuarat agung tahunan Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia yang al Marhum Tunku Abdul Rahman tubuhkan).

Malam ini ada dinner. Nasib baik ada orang jemput. Dapatlah catchup dengan kawan-kawan lama. Ya, Redhuan Oon sudah kembali. I have returned.

Kedah dan Kelantan AKAN Lantik SUBKY dan MOHD SABU SENATOR?

PAS Kelantan dan Kedah patut memikirkan untuk memberi peluang kepada Ahmad Subky Latif dan Mohd Sabu melangkah ke Dewan Negara atas banyak sebab!

By HAJI MOHD SAYUTI OMAR

SEBELUM saya terbaca tulisan yang mencadangkan agar Muhammad Sabu dilantik sebagai Senator, cadangan itu juga sudah terpeta di dalam kepala saya.

Apa lagi nama Muhammad Sabu antara 10 nama yang saya senaraikan patut berada dalam Parlimen pada penggal ini.

Apabila beliau kalah tipis di Kuala Terengganu dengan kekurangan 628 undi, ia benar-benar mengecewakan saya. Ada beberapa sebab kenapa Muhammad Sabu harus dan perlu berada dalam Parlimen bersama sembilan nama lain yang saya senaraikan itu.

Muhmmad Sabu telah menunjukkan keupayaan sebagai ahli Dewan Rakyat yang berjaya sebelum ini. Isu-isu atau perbahasan yang beliau ambil bahagian mengaitkan kepentingan rakyat marhaen, kepentingan Islam, dan bangsa Melayu.

Beliau akan mendepani sesiapa saja dan penjara baginya adalah bukan penghalang lagi.

Dalam membentangkan hujah beliau tidak pergi terlalu professional, lengkap dengan slide atau rakaman video sehingga sukar untuk difahami, namun dalam laras bahasa yang mudah.

Muhamamd Sabu bagi saya benar-benar memperjuangkan denyut nadi rakyat dan seorang pejuang bawahan yang sangat simple. Kerana itu Muhammad Sabu menjadi kegemaran orang kampung.

Kalau hendak pastikan ceramah Pas dibanjir ribuan orang maka senarailah nama Muhammad Sabu sebagai pemidato. Ada kalanya Muhammad Sabu dijadikan pelaris untuk meramaikan orang bagi mendengar pemidato profesional.

Apabila ada orang menulis mencadangkan beliau agar dilantik menjadi Senator, maka saya menyokong penuh kalau mana-mana negeri, Kelantan dan Kedah khususnya memberi kouta Senator kepada Muhammad Sabu.

Bukan untuk survival kehidupannya. Muhammad Sabu boleh hidup dengan duit lima ringgit dan dia boleh menjelajah ke seluruh Malaysia dalam tempoh tiga hari tiga malam.

Tetapi kita mahu Dewan Senat panas dan hangat dengan perbahasan seperti juga Dewan Rakyat sesuai dengan kebanjiran 82 ahli Parlimen Barisan Rakyat (BR) kini.

Kita tidak mahu Dewan Senat hanya menjadi rubber stam yang mengendorcekan apa yang Parlimen luluskan. Atas kepentingan itulah perlunya bekas MP Kuala Kedah dan Kubang Kerian itu dilantik menjadi ahli Senat untuk menjadi pemantau di Dewan Senat.

Apabila berbicara soal kerusi Senator ini, kepala saya juga sudah lama tersumbat sendiri memikirkan sesuatu polisi Pas yang saya tidak faham.

Dalam pengamatan saya ada seorang tokoh yang cukup layak untuk diangkat menjadi ahli dewan Senat namun ia seakan tidak pernah terfikir.

Sewaktu Pas menguasai kerajaan Terengganu tahun 2004 saya sudah ingin menyuarakan agar melantik tokoh berkenaan. Namun kerana Pas telah membuat peraturan dan ketetapan bahawa kerusi Senator hanya untuk muslimah menyebabkan saya mendiamkan diri.

Namun kerana kini sudah ada anjakan, di mana muslimah juga sudah menjadi Exco dan wakil rakyat DUN dan Parlimen, bermakan kerusi Senator bukan lagi menjadi kerusi muslimat mutlak.

Sehubungan itu adalah baik kalau Kerajaan Kelantan atau Kedah yang memiliki masing-masing dua kouta kerusi Senat melantik tokoh banyak berjasa ini.

Tokoh yang saya maksud itu tidak lain dan tidak bukan ialah sdr Subky Abdul Latif, seorang penulis dan wartawan politik terkenal.

Sebenarnya beliau bukan wartawan biasa tetapi lebih wajar dianggap sebagai bapa wartawan moden Malaysia khususnya keterampilan dalam mengulas isu-isu politik kontemporari.

Kemuculan puluhan penulis politik dan wartawan politik dua tiga dekad ini adalah sedikit sebanyak kerana menumpang semangat beliau.

Kehebatan ini satu aset kepada Pas apabila beliau memilih Pas sebagai wadah perjuangan. Namun Pas semacam tidak merasai akan kehebatan beliau ini.

Bahkan saya mendapat tahu suatu masa dulu untuk beliau menulis dalam Harakah, akhbar rasmi Pas pun menjadi masalah walhal Harakah itu adalah hasil buah tangannya.

Generasi muda mungkin tidak tahu sejarah dan jatuh bangun beliau dalam perjuangan Pas. Beliau pernah bertanding beberapa kali baik dalam pilihan raya kecil maupun piliahan raya umum.

Seingat saya kali pertama beliau bertanding ialah dalam pilihan raya kecil di Klang dalam tahun 70-an. Menurut seorang teman beliau pernah berhutang dengan orang Umno untuk membayar deposit pilihan raya.

Demi perjuangan Pas beliau telah mengorbankan masa depan dan kerjayanya dalam bidang wartawan.

Saya yakin kalau beliau tidak memilih untuk bersama Pas beliaulah orang yang akan mengendalikan Utusan Malaysia apabila ditawarkan untuk diantik menjadi Ketua Pengarang Kumpulan. Jelas kerana perjuangan Pas – Islam, beliau rela mengenepikan tawaran glomor itu.

Manakala di dalam Pas pula beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Agung beberapa penggal. Antara jawatan tertinggi pernah dipegang ialah selaku Ketua Penerangan Pas Pusat dan juga Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan.

Adalah tepat sekali dan sesuai kalau kerusi Senator diberikan kepada Subky.

Pemikiran, ulasan dan kritikan-kritikan beliau masih relevan dan hijau. Kelebihan dan keistimewaan beliau menghayati dan mengulas sesuatu isu sangat berguna untuk diwacanakan dalam Dewan Senat.

Manakala dari segi sejarah dan peranan pembangunan bangsa menerusi journalis, Subky mempunyai pengalaman yang luas dan tidak semua orang memilikinya.

Sebahagian yang ada dalam khazanah pemikirannya tidak ada dalam kepada wartawan muda atau veteran hari ini.

Kalau membaca catatan-catatannya menjelaskan beliau adalah antara orang penting (setidak-tidak menjadi pendengar dan saksi) bagaimana kerajaan Tuanku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein dibentuk dan menyaksi dan merasai sendiri kemelut negara-bangsa disaat-saat berlakunya Tragedi 13 Mei.

Walaupun kini penulis dan wartawan itu sudah sering uzur kerana gaout, dan kadang kala berjalan bertemankan tongkat, namun pemikirannya tidak pernah usur.

Kerajinan dan kemampuan menulis dan mengolah isu dalam beberapa akhabar termasuk Siasah, Harakah dan Buletin Rakyat menjelaskan beliau masih sihat dan bersemangat. Semangatnya dalam dunia penulisan mengalahkan anak mudah baru tumbuh susuh.

Hendaknya Pas yang ada kalanya terlalai terhadap budi dan jasa orang terdahulu tidak sama mengkesampingkan budi dan jasa Subky sejak berpuluh tahun itu.

Ingat dan sedarlah apa yang dinikmati kini adalah atas rintisan beliau.

Pun begitu melantik Subky sebagai Senator tetap tidak sepadan dengan pengorbannya dalam perjuangan Islam (Pas) selama ini, namun setidak-tidaknya perlantikan itu kelak akan dapat dijadikan sebagai cenderamata perjuangannya selama ini. - Blog Merah Tinta

KUOTA Halang: KU LI Ada Enam Bulan Masa BERKEMPEN?

By AGENDADAILY

GONG pemilihan UMNO sudah dipalu. Yang pasti antara sekarang hingga ke 9 Oktober nanti bila 191 UMNO Bahagian di seluruh negara mula bersidang calon-calon yang mengintai jawatan sudah perlu get set untuk mendapatkan pencalonan.

Setiap pemilihan sebelum ini fokusnya sentiasa bertumpu kepada jawatan tiga Naib Presiden UMNO dan 25 barisan Majlis Tertinggi UMNO.

Sepanjang enam bulan akan datang ini setiap gerak langkah bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah tentunya mencuri perhatian setelah beliau mengumumkan hasrat untuk berentap jawatan Presiden UMNO.

Mampukah beliau mendapat pencalonan?

Itu satu teka teki menarik menjelang bahagian-bahagian UMNO mula bersidang nanti.

Halangan yang perlu ditempoh oleh Ketua UMNO bahagian Gua Musang ini untuk membolehkan beliau bertanding semasa pemilihan yang akan berlangsung pada Perhimpunan Agung UMNO bermula 16 Disember nanti tentunya kuota pencalonan jawatan Presiden UMNO!

Zam TUDUH MAHATHIR "API DALAM SEKAM" Buat Umno...

Zainuddin menuduh Dr Mahathir sendiri tidak menyangka bahawa bibit-bibit ketidakkeyakinan yang ditanamnya di kalangan rakyat sejak Abdullah mengambil alih pemerintahan negara terutama apabila projek jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau Johor dibatalkan telah mendorong rakyat membuat undi protes yang paling membinasakan.


By BERNAMA

DATUK Seri Zainuddin Maidin berkata, tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan mengkritik kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi umpama "api dalam sekam" yang akhirnya menghakis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara, kredibiliti Umno dan Barisan Nasional (BN).

Bekas Menteri Penerangan itu berkata kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan kesal melantik Abdullah sebagai penggantinya telah menggugat Umno dan menyebabkan Umno terpaksa mengumpul tenaga untuk menyatukan sokongan terhadap Abdullah.

"Tidak dinafikan kenyataan itu merupakan "api dalam sekam" yang terus merebak di dalam Umno," katanya dalam satu kenyataan.

Zainuddin berkata kewibawaan Abdullah terus tercabar apabila Dr Mahathir membuat kenyataan menjelang pilihan raya umum bahawa Abdullah hanya untuk satu penggal (sebagai Perdana Menteri) sahaja dan keanggotaan pembangkang perlu diperkuat dalam Parlimen.

Katanya, antara kenyataan Dr Mahathir yang paling meracuni bukan sahaja orang Melayu tetapi juga bukan Melayu kalangan profesional dan akademik ialah mengenai peranan Khairy Jamaluddin (menantu Abdullah) dalam percaturan politik dan ekonomi negara serta peranan penasihat-penasihat di tingkat empat (Jabatan Perdana Menteri).

"Beliau (Dr Mahathir) tidak sedar atau mungkin sengaja tidak mahu sedar bahawa kredibilitinya sebagai seorang bekas Perdana Menteri masih tinggi dan kuat, pengaruhnya sebagai legenda pemimpin negara masih berakar umbi.

"Maka itu sumbangannya terhadap menghakis keyakinan rakyat berbilang kaum (terhadap BN) adalah mengatasi pengaruh blog dan laman web... kata-katanya berbisa dan beracun," kata Zainuddin lagi.

Zainuddin berkata Dr Mahathir sendiri tentu tidak menyangka bahawa bibit-bibit ketidakkeyakinan yang ditanamnya di kalangan rakyat sejak Abdullah mengambil alih pemerintahan negara terutama apabila projek jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau Johor dibatalkan telah mendorong rakyat membuat undi protes yang paling membinasakan.

Hasilnya, kata Zainuddin, pilihan raya umum lepas menjadi titik hitam yang memisahkan BN daripada sejarah kekuatannya sejak beberapa pilihan raya sebelum ini.

"Oleh itu meletakkan kesalahan keruntuhan BN ini semata-mata kepada kepimpinan Abdullah adalah tidak wajar kerana jelas sekali tangan yang membinanya (Dr Mahathir) juga telah meruntuhkannya kerana perasaan dendam dan marah tidak terkawal," katanya.

"Comedy of Error" Yang MEMALUKAN Di Terengganu!

Walaupun pada amalannya Perdana Menteri boleh memberi nasihat dan pandangan, kuasa melantik Menteri Besar adalah di tangan Raja. Raja boleh melantik sesiapa sahaja yang pada pandangan Baginda mempunyai keyakinan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

By DATUK A KADIR JASIN

AHMAD Said yang pelantikannya sebagai Menteri Besar Terengganu dianggap "bercanggah dengan perlembagaan" oleh Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, hari ini mengangkat sumpah jawatan.

Dia berbuat demikian di hadapan Pemangku Sultan, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin, di Istana Maziah, Kuala Terengganu.

Beberapa hari lampau, Abdullah dengan lantang berkata tindakan melantik orang lain selain daripada Idris Jusoh sebagai Menteri Besar "adalah bercanggah dengan Perlembagaan" - unconstitutional.

Serentak itu Ahmad Said "dipecat" daripada Umno dan 22 ADUN Umno yang "menyokong" Abdullah dan "mahukan" Idris mengumumkan pemulauan majlis mengangkat sumpah Ahmad Said sambil mengancam akan meletakkan jawatan.

Sekonyong-konyong, sekitar Rabu lalu, Abdullah mengubah rentak dengan mengumumkan penerimaan pelantikan Ahmad Said. Seolah-olah tidak ada apa yang terjadi, dia mengumumkan isu itu selesai.

Hari ini, turut hadir di hadapan Putera Mahkota Terengganu yang berusia 10 tahun itu adalah 22 ADUN Umno yang sehingga tiga hari lalu enggan menyokong pelantikan Ahmad Said.

Inilah cerita kacau-bilau, kelam-kabut dan kucar-kacir apabila yang diberi mandat dan amanah gagal menggunakan akal, kebijaksanaan, pengetahuan dan budi bicara.

Dengan izin, "comedy of error" ini tidak sepatutnya berlaku kerana pelantikan Menteri Besar bukanlah perkara baru.

Walaupun pada amalannya Perdana Menteri boleh memberi nasihat dan pandangan, kuasa melantik Menteri Besar adalah di tangan Raja. Raja boleh melantik sesiapa sahaja yang pada pandangan Baginda mempunyai keyakinan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Akibat tindak-tanduk Perdana Menteri dan para penasihatnya itu, perkara berikut telah berlaku:-

1. Kerajaan Negeri Terengganu lewat ditubuhkan. Ia sepatutnya berlaku pada 10 Mac;
2. Hubungan antara Istana dengan kepemimpinan Umno dan Kerajaan Pusat tercemar;
3. ADUN Umno Terengganu dijadikan bahan percaturan yang merendahkan martabat mereka dan mencetuskan kemarahan rakyat Terengganu;
4. Tidak fasal-fasal mereka dituduh "kurang ajar," "biadab" dan "derhaka" kepada Raja;
5. Akhirnya mereka terpaksa menelan ludah sendiri kerana terlalu taasub kepada pemimpin walaupun dia ternyata silap; dan
6. Memberi modal percuma kepada pari-parti lawan bagi memesatkan lagi propaganda mengenai keangkuhan, kelemahan dan kecelaruan kepemimpinan Umno.

Bagi Abdullah, seperti kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Pulau Pinang hari ini, dia bukan sahaja kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur malah dia juga "kehilangan" Perlis, Terengganu dan, mungkin juga, Johor di mana calon-calon Menteri Besar pilihannya ditolak oleh Raja-Raja.

Dr Mahathir yang berucap di mesyuarat agung tahunan Persatuan Melayu Tanjung (Permata) meneruskan rayuannya kepada ahli dan pemimpin Umno agar menukar kepemimpinan parti demi menyelamatkan Umno daripada ditolak secara mutlak oleh orang Melayu.

Sementara itu, berikut adalah ulasan saya dalam blog Dr Mohd Khir Toyo (drkhir.blogspot.com):

Sdr Dr Khir,
Selamat datang ke dunia blog. Tahniah. Mungkin ini permulaam merawat Umno yang sedang sakit teruk.

Terima kasih kerana akhirnya mendengar suara rakyat. Orang Melayu bukan jahil dan penakut lagi.

Tindak tanduk para pembesar Umno sejak akhir tahun 2003 telah menyedarkan orang Melayu bahawa Umno tidak boleh lagi diubati dari dalam.

Para pembesar Umno tidak lagi mendengar suara hati orang Melayu. Mereka mendengar suara bisikan nafsu mereka dan konco-konco mereka.

Kalau pembesar Umno, termasuk Sdr, mendengar jeritan batin orang Melayu dan ahli Umno, bala yang menimpa Umno pada 8 Mac, Insya-Allah, tidak berlaku.

Tetapi para pembesar Umno terlalu sibuk mendengar kata manis anak mentantu dan konco-konco mereka sehingga membuatkan rakyat benci.
Umno kalah teruk kerana orang Melayu sudah benci. Sudah jelak diperkotak-katikkan.

Terima kasih kerana kini mahu mendengar. Jadilah Ketua Pembangkang yang berwibawa di dalam DUN Selangor dan lakukan perubahan dalam Umno.

Mencium keris, meneriakkan slogan dan menyokong kepemimpinan yang lemah akan memburukkan penyakit Umno.

Jangan biarkan penyakit Umno menjadi penyakit terminal yang membawa maut.

Kerajaan Perak UMUM PORTFOLIO Barisan EXCOnya

Menteri Besar, Ir Mohd Nizar Jamaluddin bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

By HARAKAHDAILY

PEJABAT Menteri Besar Perak hari ini mengumumkan senarai portfolio 10 anggota Exco kerajaan campuran negeri yang mengangkat sumpah jawatan Sabtu lepas dan portfolio yang dipegang Menteri Besar, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bernama dalam laporannya menjelaskan, Menteri Besar bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Senarai portfolio bagi 10 anggota Exco yang terdiri daripada enam anggota Dewan Undangan Negeri dari DAP, tiga Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang wakil PAS, mengikut kenyataan yang dikeluarkan di sini ialah seperti berikut:

1. Ngeh Koo Ham (Adun Sitiawan): Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam.

2. Nga Kor Ming (Pantai Remis): Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam.

3. A. Sivanesan (Sungkai): Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.

4. Seah Leong Peng (Pasir Bedamar): Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan.

5. Chen Fook Chye (Keranji): Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna.

6. Su Keong Siong (Pasir Pinji): Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi.

7. Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.

8. Tai Sing Ng (Kuala Sepetang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Penerangan.

9.Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering): Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

10. Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Lubuk Merbau): Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan.

Konsep Raja Berperlembagaan: AZIZ BARI SANGGAH RAIS YATIM

Hanya Raja yang berilmu dan beriman dapat membuat keputusan yang tegas dan bijaksana itu kerana sebenarnya bukan mudah untuk berdepan dengan suasana yang tegang dan membingungkan seperti kemelut yang melanda politik hari ini!

By TARMIZI MOHD JAM

DALAM wawancara dengan Berita Minggu semalam (30 Mac) Menteri Luar Datuk Seri Utama Rais Yatim seolah-olah menyatakan bahawa tindakan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertentangan dengan konsep raja berperlembagaan.

Beliau juga menyatakan perlantikan pakatan pembangkang sebagai kerajaan negeri tidak mengikuti undang-undang kerana ia bukan satu entiti sebagaimana Barisan Nasional.

Saya menghubungi Profesor Dr Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan. Beliau terlebih dahulu memberi definisi raja berperlembagaan.

Katanya konsep itu tidak semestinya bertindak mengikut nasihat kerana raja berperlembagaan sebenarnya “merujuk kepada seorang raja yang dibatasi oleh kekangan-kekangan tertentu dalam tindakan-tindakannya, khususnya yang berhubung dengan pentadbiran negeri.”

Dalam soal perlantikan kerajaan, konsep raja berperlembagaan adalah jelas kerana, katanya lagi, raja tertakluk kepada beberapa kriteria yakni calon itu mesti ahli dewan yang mempunyai sokongan majoriti dan calon itu mestilah orang Melayu yang beragama Islam.

“Jadi adalah jelas bahawa meskipun raja mempunyai kuasa budibicara dalam perlantikan Menteri Besar, baginda masih tertakluk kepada beberapa syarat yang dinyatakan oleh Perlembagaan.

"Jadi bagaimana Rais boleh membayangkan yang keputusan oleh Pemangku Raja Perak itu tidak selaras dengan konsep raja berperlembagaan?” Aziz bertanya.

Dalam wawancara dengan Berita Minggu itu Rais seolah-olah membayangkan perlunya ada nasihat dari Perdana Menteri.

Aziz tidak setuju kerana dalam soal perlantikan kerajaan, Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa baik Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang di-Pertua Negeri boleh bertindak mengikut budibicara masing-masing.

“Bagaimana mereka hendak mendengar nasihat itu sedangkan orang yang berkenaan belum dilantik menjadi Menteri Besar?

"Ibarat pasangan yang belum bernikah, bagaimana mereka hendak menuntut hak masing-masing? Soal mendengar nasihat cuma timbul bila orang berkenaan telah dilantik menjadi Menteri Besar,” tegas Aziz.

Beliau menambah soal perlantikan adalah soal dan urusan negeri yang diletakkan di bahu Sultan atau Yang di Pertua Negeri. Dan yang penting ia adalah kuasa budibicara yang subjektif sifatnya.

Aziz hairan bagaimana Rais boleh melibatkan Perdana Menteri dalam soal itu kerana Perlembagaan tidak menyebutnya langsung. Selain itu ia juga tidak selaras dengan konsep federalisme yang kita amalkan, tambahnya.

Rais juga mempersoalkan kenapa istana Perak melantik calon dari gabungan parti-parti yang tidak berdaftar sebagai satu entiti sebagaimana Barisan Nasional?

Aziz berkata soal ini tidak timbul kerana Perlembagaan tidak menyebut soal parti; Perlembagaan cuma menyebut seseorang yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli dewan.

Jadi apa yang dilakukan oleh Pemangku Raja Perak sebenarnya betul di sisi Perlembagaan, tegas Aziz.

“Walaupun pada satu peringkat Lim Kit Siang ada menimbulkan keraguan, dengan mengeluarkan kenyataan meminta ADUN DAP memboikot upacara perlantikan, tindakan tersebut tidak jelas menarik sokongan DAP keatas pakatan PKR-DAP-PAS.

“Apa yang penting ialah selepas itu Lim Kit Siang menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf kepada istana. Selepas itu kesemua ADUN dari ketiga-tiga parti itu solid, berdiri teguh di belakang calon PAS,” terangnya lagi.

Profesor undang-undang UIAM itu tidak bersetuju dengan tanggapan Rais, malah menyifatkan tindakan Raja Nazrin sebagai amat bijak dan menunjukkan pandangan jauh baginda.

“Sebenarnya baginda boleh mengambil jalan mudah dengan melantik Datuk Seri Tajol Rosli selepas Kit Siang mengeluarkan kenyataan mengejut itu.

"Bagaimanapun, saya fikir baginda sedar dan mengikuti perkembangan dan melantik Tajol adalah tidak bijak kerana Kit Siang sendiri tidak menarik DAP keluar dari pakatan berkenaan.

“Baginda mahu membentuk sebuah kerajaan majoriti di dalam dewan. Baginda mahu mengelakkan pembentukan kerajaan minoriti yang kemudiannya akan berhadapan dengan masalah.

“Dengan kata lain Pemangku Raja Perak tidak hanya melihat soal siapa yang memiliki sokongan terbanyak tetapi turut mengambilkira apa akan terjadi selepas kerajaan itu terbentuk,” hurai Aziz dengan panjang lebar.

Aziz berkata apa yang dilakukan oleh Raja Perlis juga betul kerana selain mengikut peruntukan Perlembagaan baginda juga mempastikan sendiri bahawa sokongan yang didakwa itu benar-benar jujur dan bukan diarah atau dilakonkan.

“Apa yang berlaku itu memang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Hal yang sama juga dilakukan oleh Sultan Selangor apabila baginda membuat keputusan mendengar sendiri sokongan itu dari para ADUN DAP dan PAS.

“Tetapi ini terpaksa dibuat apabila laporan media tidak memberi gambaran sebenar dan istana menghadapi kesulitan kerana tidak pasti kedudukan sebenar itu,” ujar Aziz.

Mengenai perlantikan di Terengganu, Aziz menyatakan bahawa sebenarnya kalau kita menerima bahawa Raja adalah pelindung dan penjaga negeri dan Perlembagaan, apa yang dilakukan oleh MPPR itu adalah benar dan tidak menyalahi falsafah Perlembagaan.

“Saya fikir istana tahu dan sentiasa mengikuti perkembangan. Dan MPPR tahu bahawa apa yang dikatakan sokongan majoriti itu tidak harus diterima bulat-bulat kerana ia mungkin akan menghancurkan negeri”.

Aziz berkata sebagai pelindung Perlembagaan, istana Terengganu mempunyai tanggung jawab untuk mempastikan bahawa orang yang didakwa terlibat dengan rasuah dan keganasan politik tidak terus merajalela dengan berselindung di sebalik Perlembagaan.

Beliau berkata dalam kes Terengganu, ada dua jenis kuasa yang terbabit; yang pertama ialah kuasa melantik dan yang kedua ialah kuasa simpanan atau reserve powers untuk melindungi negeri dan Perlembagaan.

“Saya berpendapat istana menggunakan kuasa simpanan itu untuk mengambil tindakan drastik yang tidak pernah kita saksikan selama 50 tahun kita merdeka,” tambahnya.

Apakah ini sesuatu yang buruk?

Aziz berkata apa yang disaksikan ialah sesuatu yang positif kerana kita dapat melihat pelaksanaan sebenar konsep raja berperlembagaan.

“Adalah jelas bahawa konsep raja berperlembagaan itu berguna untuk melindungi rakyat dan sekarang kita dapat melihat sendiri bahawa ia bukan bermakna boneka atau lembu dicucuk hidung yang boleh ditarik ke sana ke mari,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Aziz menambah, hanya Raja yang berilmu dan beriman dapat membuat keputusan yang tegas dan bijaksana itu kerana sebenarnya bukan mudah untuk berdepan dengan suasana yang tegang dan membingungkan.

Dan di sinilah terletak kelebihan sistem beraja kerana raja-raja tidak dilantik oleh ahli politik, tegasnya mengakhiri perbualan.

Ahad, Mac 30, 2008

Fahaman ATHEIS Bawa Saya RAPAT DENGAN ISLAM!


By REDHUAN D OON

ATHIESMA bermakna tidak percaya kepada Tuhan maupun satu kuasa ajaib yang menyeluruh dalam hidup kita.

Saya walaupun dilahirkan dalam keluarga yang beragama Kristian, mula terhakis kepercayaan saya kepada agama tersebut kerana ia tidak dapat menjawab banyak persoalan yang melanda jiwa dan otak saya.

Semasa saya berada dalam darjah enam saya suka belajar dan telah mengisi satu borang belajar secara menerusi pos mel atau surat menyurat untuk mazhab Katholik, iaitu satu cabang penting dalam agama Kristian.

Oleh kerana sumber itu dalam akhbar inggeris mengajak saya memohon untuk dapat pelajaran percuma itu, maka saya pun menulis memohonlah.

Mereka hantar saya bab-bab agama Katholik menerusi pos lebih kurang setiap minggu dan saya mengikuti sepenuhnya sehingga dapat kelulusan dari sumber Katholik itu.

Mereka hantar saya sehelai sijil dimana di dalamnya diperakui saya ini lulus dengan cemerlang agama Katholik.

Tetapi saya tidak berhenti di situ. Saya masih tertanya-tanya dan ingin meneroka lagi mana-mana sumber yang mengajak saya bertanya. Tidak ada sumber lain dalam akhbar zaman itu yang dari agama Hindu, Buddha atau Islam.

Di dalam rumah saya ada disimpan kitab Bible. Boleh dikatakan saya terhafal banyak bab dalam kitab tersebut. Saya tau ayat mana yang mengatakan manusia ini semua berdosa dari zaman nabi Adam lagi.

Saya tau ayat mana yang suruh kita sayang kepada jiran kita macam diri sendiri. Tentang Tuhan sayang dunia ini sehingga menghantar anak tunggalnya untuk diimani oleh sesiapa yang inginkan keselamatan akhirat.

Saya bukanlah cari sangat keselamatan akhirat. Saya cuma nak cari keselamatan dunia. Saya kebingungan mengapa saya lahir ke dunia ini.

Mengapa pula dilahir sebagai lelaki? Mengapa dilahirkan berbangsa Cina? Mengapa tidak berbangsa Melayu yang hidup senang releks sahaja? Cina ni susah. Asyik rotan anak.

Oleh kerana tidak ada sumber lain waktu itu, saya mula menganuti pemikiran atheis. Sebagai seorang atheis yang tidak percaya tuhan, bermakna tidak perlu berdoa, kerana tidak ada tuhan yang akan dengar doa tersebut.

Jika ada apa-apa mau tau, siasat sendiri sehingga dapat. Jika tak dapat, tunggu je lah. Mana tahu, satu hari nanti ada fakta baru keluar yang boleh menerangkan tentang kejadian alam ini.

Namun saya tidak kekal lama sebagai atheis. Jiwa itu apabila dah mula bertanya-tanya akan sentiasa tertanya hebat sehingga diluar kawalan diri kita sendiri.

Perlu juga satu minuman spiritual baginya. Saya mula mencari lebih mendalam menerusi lorong-lorong dalam kawasan perpustakaan. Saya dapat jawatan Penolong Librari di sekolah Victoria.

Saya dapat banyak buku mengenai agama Buddha, Tao atau Zen. Amat kurang waktu itu mengenai Islam atau Hindu. Semua agama saya mau terokai. Mana tau mana yang betul.

Tak akan tau sehingga diterokai dulu. Dengan itu saya menjadi lebih rapat dengan agama Buddha dan Tao. Dalam ajaran tersebut banyak mengajak bertafakur secara alami atau menyeluruh.

Itu dinamakan prinsip Ying dan Yang. Ada jantan, ada betina. Ada hitam, ada putih. Semua benda ada oppositenya. Saya pun berfikir waktu itu saya akan akhiri hidup saya sebagi sami buddha di atas gunung Nepal satu hari nanti.

Namun akhirnya tidaklah begitu. Apabila berlaku krisis dalam keluarga, saya menjadi agak panik dan serius tentang kemana harus saya bertanya untuk mendapatkan jawapan nekad.

Saya buka diari saya dan menulis kata-kata yang ditujukan kepada tuhan, seolah-olah mengaku diri tuhan itu ujud dan boleh memberi jawapan pulak kembali ke saya.

Enam bulan kemudian saya memeluk Islam iaitu pada tanggal 12hb, Januari, 1980. Hidup saya mengambil arah dan arus yang cukup menarik selepas itu.

Sehingga hari ini saya kira hala tuju perjalanan saya belum selesai. Namun banyak soalan hidup saya terjawab menerusi beberapa potong ayat Al-Quran. Misteri kejadian alam dan manusia lebih jelas sekarang.

Hanya saya seorang sahaja dalam keluarga saya yang memeluk Islam. Saya tidak berapa sanga pula ingin mengajak yang lain mengikuti saya.

Pernah adik setahun muda dari saya sendiri tanya saya tentang pilihan saya. Saya cuma jawab bahawa ia adalah perjalanan hidup yang personal dan private.

Masing-masing kubur masing-masing. Engkau, engkau, aku, aku. Cuma kebetulan kita adik beradik di alam ini. Itu lebih merupakan kebetulan.

Yang penting engkau harus bertanya, mengapa engkau ujud, dan mula mencari jawapannya. Orang lain tak mungkin menemui jawapan tersebut buat engkau.

Itu dah lebih dari 20 tahun dahulu. Masa itu beliau mengalami sakit jiwa kerana putus kasih dengan girlfriendnya yang merupakan seorang pramugari. Dengar khabar lari ikut airline pilot.

Adik saya cuba buat yoga dan bertapa untuk menghilangkan peritnya. Tak lama kemudan dia sembuh agaknya kerana dah tak nampak beryoga maupun bertanya lagi pasal agama.

Tahun lepas adik perempuan saya pula yang mengalami krisis dalam hidup sehingga hampir-hampir mau membunuh diri. Terpaksa saya pula cuba memberi kaunseling kepadanya.

Tidak dapat elak dia bertanya pula tentang Islam. Saya jawablah apa yang saya boleh. Tetapi saya tetap dengan prinsip saya, bahawa mengenal Islam itu hendaklah personal dan private, bukan kerana peer pressure atau ajakan orang semata-mata.

Jika anda mau, anda akan tau dan ambilnya. Jika sekadar main-main seolah Islam itu ubat sakit jiwa maaflah, saya kurang setuju ia diperlakukan sedemikian.

Akhirnya adik saya terbiar begitu sahaja tidak memasuki mana-mana agama. Kawan-kawan kristian dia pun pening macamana nak layan permasalahannya.

Satu hari mungkinkah mereka jumpa jalan atau tidak, saya tidak tau. Kerana kepada saya, kita tidak mungkin dapat mengenal Allah. Adalah terpulang kepada Allah samada Dia ingin memberi kita hidayah atau tidak.

Kita tidak berkuasa menukar agama orang lain. Itu pun Al-Quran meletakkan 'Tiada paksaan di dalam Ad-din. Yang terang adalah mengalahkan yang lain.' Ia adalah obvious.

Jika orang tidak terima, kita tidak hairan. Kita masih menjalani hidup kita dengan gembira dan aman damai. Yang penting ialah jangan kita sengsara atas perkara yang diluar kawalan kita.

Kita harus ikhtiar atas perkara yang dalam kawalan kita. Kepada saya perkara itu adalh ilmu dan perjalanan hidup kita. Mungkin saya ini tidak cukup ilmu bathin sehingga tidak dapat menguasai hati nurani adik-beradik saya.

Tetapi saya cukup menunjukkan contoh yang seberapa baik kepada suku sakat saya. Apabila ada seorang datuk sebelah emak saya jatuh sakit, saya biayai dia di rumah orang tua sehingga dia meninggal dunia.

Apabila ada seorang pakcik saya sebelah bapak sakit jantung dan tiada wang, saya tolong bayar duit doktornya.

Apabila hari Tahun Baru Cina, saya bawa isteri dan anak-anak duduk dengan emak saya. Sering hanya kami sahaja yang menemani dia pada hari tersebut. Adik-beradik yang lain ada sahaja hal. Emak saya mula sedar yang anak sulungnya sahaja yang taat.

Pernah emak saya hairan saya masuk Islam. Dia kata Cina banyak agama. Buddha pun ada, orang putih pun ada, mengapa saya pilih agama orang Melayu?

Tetapi kemudiannya dia kata dia ingat yang negeri Cina pun ramai dan lebih dulu masuk Islam daripada Malaysia. Akhirnya dia bukan sahaja terima saya masuk Islam malah menyiapkan tempat untuk saya solat!

Makanan saya pun dia jaga supaya halal khas untuk saya. Cuma waktu berpuasa dia cukup panik. Dalam bahasa hokkien dia akan bagi tau saya, "Awak sudah banyak kurus, buat apa puasa lagi? Tak makan nanti lagi kurus! Jangan bimbang makan di dalam gerai kita ini. Tak ada orang lain nampak!"

Saya jawab, "tak kira nampak ke tidak, puasa itu wajib, dan tak memudaratkan. Saya tak boleh makan sehingga berbuka".

Emak saya balas, "Makan! Boleh makan! Ada orang melayu sembunyi kat gerai saya makan!"

Itulah yang lucu. Payah saya mau terangkan tentang amalan Islam kepada emak saya padahal orang Islam yang lain pecah curfew.

Satu hari saya merancang mau kahwin. Emak saya pula tanya bangsa apa yang saya mau ambil dari sebagai isteri. Saya jawab tak kisahlah, bangsa apa pun. Emak saya pula kata, "Melayu tak boleh. Awak tak ingat 513?". 513 bermakna Mei 13.

Entah macamana calon untuk saya kahwin itu pulak susah saya cari dari kalangan bangsa Melayu maupun kaum polynesia yang lain.

Maklumlah kebanyakannya ketot berbanding dengan saya yang 6 kaki 2 inci tinggi. Akhirnya saya kahwin dengan orang putih afrika.

Kepada saya, pada awalnya agama Islam itu ganjil dan membingbangkan akhirnya apabila saya makin menyelaminya tidaklah begitu sama sekali, malah sudah menjadi sanubari hidup saya sekeluarga, dan sentiasa tidak kering gusi untuk saya mengkhabarkan kisah-kisah menarik sepanjang perjalanan hidup kami.

YDP MAIPP Didesak "UNDUR" Dari Jawatan Itu Segera!

By MOHD SABRI SAID

ATAS rasa tanggungjawab PAS Tanjung melancarkan memorandum membantah kedudukan Shabudin Yahya sebagai Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) dan dijangka akan menyerahkan memorandum tersebut pada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairudin awal minggu depan.

Yang DiPertua PAS Tanjung, Yacoob Omar berkata, kutipan tanda tangan sedang digerakan oleh aktivis PAS Tanjung serta individu yang mahu melihat YDP Maipp melepaskan jawatanya dengan berhemah.

"Kami rasa terpanggil untuk melancarkan memorandum membantah kedudukan YDP Maipp yang tidak mahu lepaskan jawatan dengan baik setelah kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu. Kami laksanakan tugas ini bukan menangguk di air keruh tapi atas rasa tanggungjawab sebagai rakyat negeri ini, " ujarnya dengan nada marah.

Jelas Yacoob, semenjak kutipan tanda tangan berjalan ramai masyarakat Islam kecewa dengan keengganan YDP Maipp untuk turun dari jawatan tersebut walaupun alasanya jawatan tersebut dipersetujui oleh Yang DiPertuan Agong.

PAS Tanjung rasa terharu dengan sikap yang ditunjukan oleh Timbalan Ketua Menteri ketika berhadapan dengan isu ini yang mahukan isu berkenaan diselesaikan dengan santun tidak mahu melukakan hati mana-mana pihak.

"Satu penghormatan patut diberikan pada Timbalan Ketua Menteri kerana begitu sabar menghadapi situasi sebegini, " tegasnya.

Shabudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Berangan masih berkeras tidak mahu melepaskan jawatan berkenaan sepertimana kenyataan yang dikeluarkanya dalam akhbar arus perdana baru-baru ini.

Kata Yacoob lagi, setakat ini lebih 1000 orang telah menandatangani memorandum yang dilancarkan ketika kedatangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Malaysia (KeAdILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Masjid Jamek Omar Al-Khatab, Bayan Baru 21 Mac lepas.

Memorandum itu akan diserahkan kepada Timbalan Ketua Menteri di pejabatnya tingkat 52 Komplek Tun Abdul Razak (Komtar) awal minggu depan sebelum mesyuarat mingguan exco diadakan

PERAK Tak Paksa Ketua Kg. dan JKKK LETAK JAWATAN

Kerajaaan campuran bertindak di atas keputusan muafakat yang dibuat secara menyeluruh dan bersama. Apa saja tindakan akan membawa apa jua isu berbincang bersama di Mesyuarat Exco Kerajaan dengan menggunakan ketiga-tiga parti!

By EKMAL YUSOF

MENTERI Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan setakat ini hanya seorang penghulu kampung yang sah meletakkan jawatan, namun kerajaan negeri tidak pernah memaksa mana-mana Ketua Kampung atau JKKK meletak jawatan.

Menurut Mohamad Nizar, penghulu Kampung Batu Melentang, Tapah sahaja yang telah sah memberikan surat rasmi kepada kerajaan negeri untuk meletakkan jawatan JKKK ketika Majlis Pertemuan Menteri Besar dengan Ketua Kampung dan JKKK di Dewan Banquet Bangunan Setiausaha Kerajaan Perak (SUK) baru-baru ini.

Beliau mengesahkan demikian dalam sesi dialog di Sidang Akhbar bersama Ahli-Ahli Anggota Exco Perak di Safari Resort dekat sini semalam.

Beliau seterusnya menegaskan bahawa pihak kerajaan tidak memaksa Ketua-ketua Kampung dan JKKK di zaman Umno-BN lalu meletak jawatan.

"Itu terpulanglah di atas perkiraan kebijaksanaan mereka," ujarnya.

Beliau menegaskan, kerajaan Barisan Rakyat tidak membezakan mana-mana rakyat meski pun berlainan agama dan berbeza fahaman politik.

Terdahulu dalam sidang media yang sama beliau melahirkan kesyukurannya di atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Pemangku Sultan Perak, Raja Muda Dr Nazrin Shah yang telah menyempurnakan Angkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Exco) di Istana Iskandariah, Bukit Chandan dekat sini semalam.

Beliau menyatakan kerajaan Barisan Rakyat sungguh terhutang budi kerana telah diberikan mandat menggantikan kerajaan negeri Perak yang ditadbir BN sebelum ini.

"Saya mengucapkan jutaan maaf kerana agak terlewat sedikit perlaksanaannya kerana senario yang berlaku di negeri ini agak berlainan di mana memerlukan persefahaman positif di antara ketiga-tiga parti DAP, KeADILan dan PAS," katanya.

Barisan kerajaan campuran ini banyak memberikan kebaikannya kerana segala hanya untuk manfaat rakyat Melayu, Cina dan India nanti yang inginkan perubahan di atas kehidupan sosial, politik dan agama masing-masing, katanya.

Sememangnya, kata Mohammad Nizar kerajaan negeri akan sedia akur di atas kehendak pengundi-pengundi yang ramai di luar sana.

"Kerajaaan campuran ini akan bertindak di atas keputusan muafakat yang dibuat secara menyeluruh dan bersama. Apa saja tindakan hendak buat akan membawa isu dan perkara tersebut berbincang bersama di Mesyuarat Exco Kerajaan dengan menggunakan ketiga-tiga parti bersama," tegasnya.

PAS Bantah Keras Filem Anti-Islam Belanda

By ROSLAN SMS

PRESIDEN PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang merakamkan bantahan sekeras-kerasnya terhadap sebuah filem Belanda terbitan Geert Wilders bertajuk "Fitna" yang jelas memberikan gambaran buruk terhadap Islam dan menghina al Quran dan Nabi Muhammad saw.

Filem tersebut turut menggambarkan Islam sebagai sebuah agama yang ganas.

Dato Seri Tuan Guru merasakan filem yang tidak bertanggungjawab ini akan mencetuskan ketegangan antara masyarakat Islam dan bukan Islam dunia dan dengan itu mengesyorkan agar ianya tidak ditayangkan lagi.

Presiden PAS turut menyeru Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), negara-negera Islam dan NGO serta badan dan petubuhan Islam lainnya mengenakan tekanan ke atas Belanda agar bertindak terhadap penerbit filem ini dan meyakinkan dunia Islam bahawa tindakan biadap seumpama ini tidak berulang lagi.

Tambah Dato Seri Tuan Guru, PAS menghormati kebebasan berkarya, namun ia perlu ada had dan batasan, dan dalam hal filem Belanda ini ia ternyata tidak menghormati sensitiviti agama Islam dan penganutnya yang kini merupakan hampir separuh penduduk dunia.

Beranikah GRASSROOT Umno DERHAKA Disember Ini?

Jika Umno tidak dirawat, ahli-ahli Umno mungkin tidak lagi menyambut pemimpin-pemimpin mereka di Parlimen atau PWTC tetapi di Muzium Negara di mana Umno akan ‘ditempatkan’.

By ZULKIFLEE BAKAR

PADA 16 hingga 20 Disember ini, ribuan pemimpin dan ahli UMNO sekali lagi akan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ini kerana di situlah akan berlangsung Perhimpunan Agung parti berkenaan. Sebelum itu pada 17 Julai hingga 24 Ogos mesyuarat peringkat cawangan akan diadakan diikuti peringkat bahagian pada 9 Oktober hingga 9 November.

Ketiga-tiga mesyuarat itu akan menyaksikan pemilihan semua jawatan dari pemeriksa kira-kira hinggalah kepada Presiden.

Bagaimanapun pemilihan kali ini dianggap akan dijalankan dalam suasana agak berbeza selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 menunjukkan UMNO kini bukan lagi sebuah parti yang digeruni.

Malah lebih daripada itu, pemimpin dan ahli UMNO akan bermesyuarat dalam keadaan mereka menjadi pembangkang di lima negeri.

Tumbangnya UMNO di Kedah, gagalnya UMNO di Kelantan, tewasnya UMNO di Perak, kecundangnya UMNO di Selangor dan tersungkur UMNO bersama Parti Gerakan di Pulau Pinang sudah memberi isyarat yang jelas bahawa sesuatu perlu dilakukan oleh ahli-ahli parti itu bagi mengembalikan maruah mereka.

Sama ada hendak diakui atau tidak populariti UMNO sebagai parti orang Melayu kini semakin tergugat.

Oleh itu usaha perlu dilakukan bagi memulihkan imejnya, ia akan bermula dengan melihat sejauh manakah ahli-ahli UMNO di semua peringkat mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan terutamanya dari segi kepimpinan.

Pemilihan kali ini adalah medan terbaik bagi ahli-ahli UMNO memilih pemimpin-pemimpin yang benar-benar berwibawa bagi meningkatkan semula keupayaan parti itu meraih sokongan rakyat.

Mereka tidak harus takut untuk menyingkirkan pemimpin yang tidak lagi diterima oleh rakyat dan menggantikannya dengan pemimpin lain.

Jika ahli-ahli UMNO berfikir kini adalah masa terbaik untuk membuat perubahan, mereka perlu melakukannya.

‘‘UMNO perlu berubah jika mereka mahu kekal relevan,’’ kata pemerhati politik, Prof. Mustafa Mohamed Ishak.

Hakikatnya, semua pihak memahami perasaan ahli-ahli UMNO sekarang yang marah, geram dan kecewa dengan keputusan pilihan raya lalu.

Namun kalau menangis empat hari empat malam pun tetapi jika tidak berani untuk melakukan perubahan bagi mencari yang terbaik tiada gunanya juga.

Mengulas perkara ini, Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Mohd Alwi Che Mat memberikan ‘panduan’ kepada ahli-ahli UMNO, pemimpin seperti manakah yang mereka mahukan.

Pemimpin

‘‘Jangan pilih pemimpin sombong, pilihlah pemimpin yang ikhlas dan jujur dalam agama dan perjuangan,’’ katanya ketika dihubungi.

Sebagai seorang pemimpin yang berada di sebuah negeri yang ditawan oleh pembangkang sejak 1990, Mohd Alwi sudah tentulah memahami apa kesannya jika UMNO memilih pemimpin sombong dan tidak mahu berdamping dengan rakyat.

Keputusan pilihan raya umum telah menunjukkan bagaimana sesetengah pemimpin ditolak oleh rakyat kerana peribadinya.

Namun begitu ada juga pemimpin yang tewas dalam pilihan raya tetapi masih boleh diberi ruang untuk terus memegang jawatan dalam parti, siapa? Biarlah ahli UMNO menentukan.

Ini kerana adalah tidak adil jika pemimpin itu ditolak sedangkan kekalahannya bukan disebabkan oleh faktor peribadi tetapi akibat ‘arus tsunami pusat’ yang ‘menghempas’.

‘‘Ahli UMNO kena membuat pertimbangan yang waras kerana orang yang kalah itu mungkin bukan kerana dia dibenci, mungkin ada faktor lain dan kadangkala rakyat salah melakukan pertimbangan.

‘‘Lihatlah kemenangan beberapa calon pembangkang yang kita sendiri boleh nilai keupayaan sebenar mereka,’’ kata Mohd Alwi.

Bagaimanapun bagi Naib Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Kelantan, Rahim Mohd. Zain, ahli-ahli UMNO tidak perlu panik berikutan pencapaian parti dalam pilihan raya umum lalu.

‘‘Kita hanya kurang lapan kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga, UMNO dan BN masih kuat.

‘‘Namun begitu ada beberapa perubahan yang perlu kita lakukan, ini termasuklah memastikan pemimpin yang bakal dipilih di semua peringkat nanti benar-benar menjadi hamba kepada rakyat dan bukannya bersikap ego dan sombong,’’ katanya.

Itulah pandangan Mohd Alwi dan Rahim mengenai kriteria pemimpin yang perlu diletakkan dalam saf kepimpinan UMNO bagi mengubat kembali luka berikutan tsunami politik yang melanda.

Tetapi persoalan yang lebih jelas ialah beranikah ahli UMNO? apakah perubahan yang diimpikan akan menjadi kenyataan? Tidakkah pemilihan UMNO acap kali dikaitkan dengan politik wang? Bolehkah perbuatan yang dilaknat oleh Allah ini dihapuskan dalam pemilihan kali ini?

Istilah ‘salji’ turun beberapa jam sebelum pemilihan pada tahun 2004 bukan sahaja menjadi begitu popular tetapi juga menjadi ‘fobia’ kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Mereka bimbang jika pemilihan kali ini juga akan dihiasi dengan ‘turunnya salji-salji’ yang bakal membekukan amanat awal yang mereka berikan kepada perwakilan siapa seharusnya dipilih menjadi pemimpin di peringkat pusat.

‘‘Kebimbangan mengenai politik wang ini semakin diperkatakan oleh ahli-ahli UMNO, saya tidak pasti sama ada pencapaian dalam pilihan raya lalu mampu menjadi ‘tangkal’ bagi menghalang perbuatan berkenaan dalam pemilihan kali ini,’’ kata seorang ketua UMNO bahagian di Kedah, ketika dihubungi.

Ia disebabkan sesetengah pemimpin sanggup melakukan apa sahaja bagi mendapat kuasa dan kedudukan biarpun mereka sendiri melaungkan hapuskan politik wang.

Sikap

Sikap tidak jujur ini hanya boleh dihapuskan oleh ahli-ahli UMNO sendiri yang perlu memahami bahawa pemilihan kali ini adalah penentu masa depan parti.

Mereka harus bijak membuat penilaian dan paling penting memahami bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda salah satu golongan yang dilaknat oleh Allah ialah seorang pemimpin yang mahu terus memimpin biarpun ditolak oleh kaumnya.

Pemimpin seumpama inilah yang akan ‘membenarkan salji-salji berguguran’ ketika pemilihan dan sekali gus diharap akan menyejukkan ‘bara’ yang kini menyala di dada ahli-ahli UMNO berikutan pilihan raya lalu.

Apa pun segala-galanya terserah kepada ahli-ahli UMNO dan mereka perlu memahami bahawa pemilihan tahun ini amat penting bagi survival politik parti itu.

Jika mereka terus mengamalkan sikap memilih ‘pemimpin Santa Claus’ dan bukannya pemimpin yang benar-benar disukai rakyat, percayalah kedukaan ‘tsunami politik 2008’ akan berulang lagi kira-kira empat atau lima tahun akan datang dan mungkin ia lebih buruk.

Ketika itu, ahli-ahli UMNO mungkin tidak lagi menyambut pemimpin-pemimpin mereka di Parlimen atau PWTC tetapi di Muzium Negara di mana UMNO akan ‘ditempatkan’.

Justeru jadikanlah gelanggang pemilihan kali ini sebagai medan untuk memastikan UMNO terus kekal relevan bukan sahaja untuk ahlinya tetapi paling penting rakyat Malaysia. Beranilah melakukan perubahan demi agama, bangsa dan negara.

Khir Toyo Jadi PENULIS BLOG!

By UTUSAN MALAYSIA

SETELAH melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor pada 19 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo kini turut terlibat dalam bidang penulisan untuk laman blognya sendiri.

Laman blog yang dilancarkan hari ini dibuat sebagai salah satu saluran kepada bekas Menteri Besar Selangor itu untuk menyuarakan pandangannya terhadap pentadbiran baru kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohamad Khir ketika dihubungi di sini hari ini berkata, laman blog yang beralamat di www.drkhir.blogspot.com itu diwujudkan supaya setiap masalah rakyat diambil kira oleh kerajaan negeri termasuk melaksanakan semua janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

‘‘Saya kini ada banyak masa berbanding sebelum ini yang saya tumpukan terhadap tugas sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO serta Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.

‘‘Oleh itu, saya gunakan masa yang ada selain memberi tumpuan kepada rakyat di Sungai Panjang, saya turut menyuarakan pandangan dan pendapat melalui laman blog supaya ia dapat dikongsi oleh semua rakyat termasuk kerajaan negeri sendiri,’’ katanya.

Malah, katanya lagi, beliau turut mengalu-alukan sebarang komen daripada semua pihak khususnya jika ia membabitkan masalah rakyat.

Exco Perak ANGKAT SUMPAH: 6 DAP, 3 PKR, 1 PAS

Pengagihan barisan Exco itu adalah seperti yang dipersetujui sebelum ini dalam satu mesyuarat ketiga-ketiga parti berkenaan bagi membentuk kerajaan campuran di Perak.

By ANGELINA SINYANG

TIGA minggu selepas kemenangan di luar dugaan pada pilihan raya umum lalu dan pelbagai spekulasi serta kemelut, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan campuran negeri Perak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

Anggota Exco itu terdiri enam daripada DAP, tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada Pas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Enam daripada DAP ialah Ngeh Koo Ham (Sitiawan), Nga Kor Ming (Pantai Remis), Su Keong Siong (Pasir Pinji), Chen Fook Chye (Keranji), Seah Leong Peng (Pasir Bedamar) dan A. Sivanesan (Sungkai).

Wakil daripada PKR pula ialah Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Tai Sing Ng (Kuala Sepetang), Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering) dan seorang wakil Pas, Mohd. Zainudin Mohd. Yusof (Lubuk Merbau).

Pada istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu, kesemua mereka menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Exco kerajaan negeri.

Mereka kemudiannya menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk V. T Singam.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim; Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan beberapa wakil ADUN Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun tiada pengumuman mengenai portfolio termasuk dua jawatan Timbalan Menteri Besar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Pengagihan barisan Exco itu adalah seperti yang dipersetujui sebelum ini dalam satu mesyuarat ketiga-ketiga parti berkenaan bagi membentuk kerajaan campuran di Perak.

Upacara itu juga sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai kemelut yang dihadapi kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas dalam pembentukan kerajaan negeri dan pengagihan barisan Exco.

Kerajaan campuran yang diterajui tiga parti itu dibentuk selepas memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu manakala BN menang 28 kerusi.

Pada 13 Mac lepas, PKR dilaporkan kecewa dan mengancam keluar daripada kerajaan campuran Perak kerana tidak bersetuju dengan pembahagian kerusi Exco kerajaan negeri.

Satu mesyuarat antara ketiga-tiga parti berkenaan kemudiannya memutuskan PKR diberikan tiga jawatan Exco berbanding satu yang diagihkan kepadanya sebelum itu dan DAP mendapat enam kerusi Exco berbanding lapan daripada peruntukan awal manakala Pas kekal dengan satu kerusi Exco, selain jawatan Menteri Besar.

Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac lalu. - Utusan Malaysia

Umno Kini BERGANTUNG KUASA Pada AHLI PARLIMEN Sabah Sarawak - KU LI

Ku Li dakwa suara di Parlimen yang tidak sampai separuh bagi kuasa Umno di Semenanjung, harus disedari oleh pemimpin Umno di semua peringkat. Umno bergantung kuasa dengan Sabah dan Sarawak!

By BERNAMA

AHLI Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sekali lagi menegaskan peri pentingnya Umno mengadakan Perhimpunan Agung Khas untuk membincang keputusan pilihan raya umum lalu dan merumuskan langkah-langkah yang wajar diambil oleh parti.

Katanya, perkara yang penting sekarang ialah memperbaiki kedudukan parti melalui Perhimpunan Agung Khas itu.

"Sebelum itu Bahagian-bahagian (Umno), kalau bersetuju, perlu diadakan mesyuarat Perwakilan Bahagian khas dan untuk membawa satu usul membincang keputusan pilihan raya umum lalu mengenai mengapa kita kalah begitu teruk sehingga hilang lima negeri dan hilang kuasa dua pertiga di Parlimen.

"Dan merumuskan apakah langkah-langkah yang wajar diambil oleh parti kita kerana Umno tanpa sokongan daripada ahli-ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak tiada kuasa langsung di Parlimen," kata beliau kepada pemberita setibanya dari Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini, malam tadi.

Katanya, orang Melayu di semenanjung kini sudah hilang kuasa di Parlimen setelah Umno dan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

"Dengarlah, kita dengarlah suara daripada bawah ajak semua orang datang kita timbang perkara ini dengan serius.

"Jangan tak mahu berjumpa langsung dengan orang bawah. Kita orang atas sudah gagal kita dengar suara orang bawah pulak," katanya.

Beliau berkata dengan langkah itu, Umno pasti dapat memperbaiki kedudukannya seperti langkah yang pernah diambil oleh Umno pada 1969.

"Kita dulu selepas tahun 1969 kita kalah juga tapi tidak seteruk ini. Kita telah melahirkan Dasar Ekonomi Baru yang mempunyai inspirasi kepimpinan kita kepada rakyat untuk membela rakyat," kata Tengku Razaleigh.

Katanya, Umno sekarang terpaksa bergantung kepada sokongan ahli-ahli Parlimen BN daripada Sabah dan Sarawak dalam menentukan kuasa negara.

Tengku Razaleigh berkata pertemuannya dengan pemimpin Ketua-Ketua Bahagian Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini adalah untuk menerangkan perlunya cadangan agar diadakan Perhimpunan Agung Khas.

Beliau berkata suara di Parlimen yang tidak sampai separuh bagi kuasa Umno di Semenanjung, harus disedari oleh pemimpin Umno di semua peringkat.

Dalam menjelaskan lagi pertemuannya dengan ketua-ketua Bahagian Umno beliau berkata masih terdapat perasaan takut terhadap kedudukan mereka.

Namun kebimbangan yang dinyatakan secara jelas dan terang oleh kepimpinan Umno bahagian adalah kebimbangan dan perasaaan takut kepada masa depan parti dan orang Melayu.

Katanya, pemimpin-pemimpin bahagian juga berpendapat perlunya perubahan dilakukan dalam parti bagi menentukan halatujunya supaya Umno terus menjadi inspirasi kepada rakyat.

Tengku Razaleigh menegaskan sekali lagi perkara yang penting ialah Umno perlu perbaiki kedudukannya agar orang Melayu mempunyai masa depan yang lebih baik.

Tun MAHATHIR Mahu Anak Badawi Hapus SISTEM KUOTA

Bernama melaporkan ditanya sekiranya beliau merasakan bahawa Tengku Razaleigh adalah pencabar berpotensi bagi jawatan nombor satu parti, Dr Mahathir menjawab: "Tengku Razaleigh adalah salah seorang dari mereka, ada banyak lagi".

By AGENDADAILY

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata UMNO seharusnya memansuhkan sistem kuota yang memerlukan pencalonan daripada sekurang-kurangnya 60 bahagian bagi membolehkan seseorang itu bertanding ke jawatan presiden parti.

Katanya beliau mencadangkan perubahan itu kerana sistem kuota ketika ini kelihatan "terbuka kepada penyalahgunaan oleh mereka yang mempunyai kuasa".

"Peraturan itu menghalang anggota-anggota daripada menamakan calon pilihan mereka, apabila mereka yang mempunyai kuasa itu cenderung untuk bertindak menyekat sebarang langkah menentang mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-46 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kuala Lumpur Sabtu.

Menurut Perlembagaan UMNO, seseorang calon perlu memperolehi pencalonan minimum daripada 60 bahagian bagi membolehkan beliau bertanding ke jawatan presiden parti.

Bagaimanapun peraturan ini diperkenalkan selepas Dr Mahathir sendiri dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 dan beliau berjaya mengekalkan jawatan Presiden dengan hanya kelebihan 43 undi.

Selepas peristiwa itu, sudah menjadi tradisi bagi UMNO untuk tidak mengadakan pertandingan bagi jawatan tertinggi parti. Bagaimanapun Dr Mahathir berkata semasa tempoh pentadbirannya "semua orang bebas mencabar dan berkempen sepenuhnya".

"Semasa tempoh saya (Presiden), Tengku Razaleigh mencabar saya, semua cabar saya, dan mereka bebas mencabar, bebas berkempen sepenuhnya, tapi pada masa itu adalah mudah untuk mendapat (sokongan) 60 bahagian," katanya.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan serta Menteri Perdagangan dan Industri, merupakan Anggota Parlimen yang paling lama berkhidmat, sejak tahun 1969 lagi.

Bernama melaporkan ditanya sekiranya beliau merasakan bahawa Tengku Razaleigh adalah pencabar berpotensi bagi jawatan nombor satu parti, Dr Mahathir menjawab: "Tengku Razaleigh adalah salah seorang dari mereka, ada banyak lagi".

Dr Mahathir berkata selain beliau, Perdana Menteri ketiga negara Tun Hussein Onn juga pernah dicabar oleh Sulaiman Palestin bagi jawatan Presiden parti.

Katanya beliau merasakan bahawa cabaran adalah sihat bagi parti, tapi ia seharusnya diuruskan dengan rapi bagi menghalang daripada disalah guna oleh pihak yang mempunyai kuasa.

Berhubung tindakan tiga Anggota Parlimen UMNO yang menolak pelantikan ke jawatan timbalan menteri, Dr Mahathir berkata ia adalah hak prerogatif mereka.

Bagaimanapun katanya beliau menyanjung sangat keputusan mereka, kerana menurutnya beliau difahamkan penolakan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana tidak dilantik ke jawatan menteri penuh.

Sabtu, Mac 29, 2008

Lebih 3,000 Sambut Majlis Kesyukuran PAS Wilayah



By TARMIZI MOHD JAM

LEBIH 3,000 petugas pilihan raya dan orang ramai mengunjungi Majlis Kesyukuran PAS Wilayah Persekutuan yang diadakan di Padang Awam Taman Maluri, dalam Parlimen Titiwangsa baru-baru ini.

Jamuan tengahari disediakan dengan masakan kari daging dan kambing kepada hadirin disamping beramah mesra dengan Ahli Parlimen Titingwasa yang baru, Dr. Lo Lo Datuk Haji Ghazali dari PAS.

Turut berucap pada majlis itu Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah, Cikgu Ishak Surin, Pesuruhjaya, Haji Mohamad Mohd Noor dan Dr. Lo Lo selaku Ahli Parlimen tunggal PAS di Kuala Lumpur.

Rata-rata yang hadir, melahirkan rasa gembira dan teruja dengan kemenangan tersebut dan berjanji akan membantu ahli parlimen dalam menjayakan misi PAS di Wilayah Persekutuan.

PAS Wilayah mengucapkan terimaksih kepada DBKL yang memberikan keizinan penggunaan padang awam tersebut disamping membekalkan khemah-khemah serta kerusi meja untuk tujuan tersebut.

Beberapa TIMBALAN MENTERI Akan LETAK JAWATAN Tak Lama Lagi!

By DATUK RUHANIE AHMAD

TIMBALAN Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Ghapur Salleh, daripada Sabah, meletakkan jawatan berkenaan malam tadi (27 Mac 2008).

Beliau merupakan Timbalan Menteri yang pertama sekali meletakkan jawatan setelah mengangkat sumpah baru-baru ini.

Blog ini (Kudakepang.Blogspot)difahamkan bahawa Datuk Ghapur bertindak sedemikian bukannya atas motivasi wang ringgit. Ini bermakna beliau tidak “dibeli” oleh mana-mana pihak.

Sebaliknya, adalah dipercayai bahawa tindakannya lebih kepada usaha memberikan tekanan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya meletakkan jawatan Perdana Menteri dan lain-lain jawatan politiknya.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Anifah Aman, juga dari Sabah, dan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, dari Pahang, menolak perlantikan masing-masing sejurus nama mereka diumumkan.

Blog ini difahamkan beberapa lagi Timbalan Menteri sedang diperingkat akhir membuat keputusan seperti Datuk Ghapur.

Munajat: KEMPEN Akhir Nafikan AWANG ADEK MB Baru Kelantan

STOP: Ikuti Rencah Berita TVPAS Anda

JERIT Marah Kerajaan Baru Selangor Teruskan SETINGGAN SIFAR...!

Sehingga kini, hanya Dr. Nasir (Hasyim) - adalah Adun PSM/PKR Kota Damansara - sahaja yang telah mengeluarkan kenyataan untuk tidak berkompromi dengan dasar "Setinggan Sifar" ini.

By AMIN
ISKANDAR@BLACK

KHIR TOYO, bekas MB Selangor memang terkenal dengan slogan “sifarnya”. Selain setinggan sifar, beliau juga berkempen untuk “pembangkang sifar” di negeri Selangor.

Lihatlah apa yang terjadi kepada beliau? Hilang negeri yang dipimpin dan letak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Berikutan dengan pengumuman MB baru Selangor untuk meneruskan dasar “Setinggan Sifar” ciptaan Khir Toyo, Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) memberi reaksi mereka.

Dr. Mohd Nasir Hasyim, Adun PSM yang bertanding atas tiket PKR di Dun Kota Damansara, Selangor


JERIT mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan negeri. Diantara tuntutan mereka:

“Membatalkan dasar setinggan sifar dan menggantikannya dengan Dasar Perumahan Rakyat Untuk Semua bagi menyediakan kemudahan perumahan dan tanpa niat memaksa pengusiran” - (JERIT)

JERIT mengakhiri kenyataan mereka dengan slogan, “Jangan Khianati Peneroka Bandar! Hak Peneroka Bandar Harus Dibela!” Sila klik DISINI untuk membaca kenyataan penuh JERIT.

Sehingga kini, hanya Dr. Mohd Nasir (Hasyim) - adalah Adun PSM/PKR Kota Damansara - sahaja yang telah mengeluarkan kenyataan untuk tidak berkompromi dengan dasar ini.

Klik DISINI kenyataan Dr. Nasir. Masih belum kedengaran dari yang lain-lain.

Dimanakah suara aktivis-aktivis lain yang terpilih sebagai Adun atau Ahli Parlimen?

Setinggan Sifar: Tan Sri Khalid "DIINGAT" JANGAN TIRU Khir Toyo!

Jangan ulangi tindakan Khir Toyo yang kejam dan zalim. Jika pendekatan yang ingin Tan Sri Khalid gunakan sama macam Khir Toyo maka sudah tentulah peneroka bandar ini akan bangkit memberontak.

By MALCOM

HARI ini heboh apabila kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang baru menegaskan ingin meneruskan polisi Dasar Setinggan Sifar. Kenyataan ini dikecam dengan begitu hebat.

Antaranya Dr. Nasir (Hasyim - Adun Kota Damansara), JERIT, sahabat– sahabat didalam perjuangan dan para pejuang rakyat.

Saya akan membicarakan dari dua sudut yang senantiasa menjadi isu besar. Robohnya rumah setinggan atas desakan pemaju yang rakus atau robohnya rumahnya setinggan kerana ingin meningkatkan kualiti hidup mereka.

Dua persoalan yang harus dirungkaikan dengan baik. Saya bukan penulis yang bagus tapi berharap anda semua pembaca yang bijaksana faham akan maksud saya dan diakhir nanti saya berharap saudara bahaskan dengan baik.

Desakan Pemaju

Jika kita melihat kes – kes perobohan rumah – rumah peneroka bandar di seluruh negara, kita dapat membahagikan kepada dua jenis keadaan.

Keadaan yang pertama, perobohan yang berjalan lancar dan aman kerana pihak kerajaan negeri dan pemaju telah memberi pampasan yang setimpal dan menempatkan mereka semula dengan kediaman yang selesa dan infrastruktur yang lengkap.

Manakala keadaan yang kedua, perobohan yang tidak lancar dan ganas kerana pihak kerajaan negeri dan pemaju tidak memberikan tempoh yang cukup untuk mereka pindah, tidak menyiapkan rumah yang sepatutnya menempatkan mereka semula, pampasan yang tidak setimpal, dan bermacam – macam hal lagi.

Dua kes yang pernah menggemparkan negara. Kampung Berembang dan Taman Sri Rimba Jaya -(Maaf kalau salah nama taman.

Kedua-dua kes ini merupakan satu contoh dimana pihak peneroka bandar atau bahasa kasarnya penghuni rumah setinggan tidak mendapat pampasan yang setimpal.

Saya pernah terlibat dengan kes Kg. Melayu Fajar di Taman Melawati. Kampung tersebut ingin dirobohkan oleh pihak PBT kerana desakan pemaju yang tidak sabar–sabar mahu mendirikan projek di sana.

Seluruh penduduk kampung tersebut bantah perobohan tersebut. Mereka menentang kerana mereka diarahkan berpindah dalam tempoh yang cukup singkat. Malah ada sebahagian mereka dijanjikan rumah namun apa tiba saatnya rumah mereka mahu dirobohkan rumah yang dijanjikan tidak siap.

Nah dengan segera aksi penentangan dihasilkan. Saya dapat merasakan kesedihan setelah ditipu oleh pihak yang berkenaan. Mungkin begitu juga dengan kes di Kampung Berembang kerana janji–janji yang ditaburkan tidak ditunaikan.

Inilah masalah yang sering dihadapi oleh pihak peneroka bandar. Mereka merasakan diri mereka dipermainkan.

Ada juga rumah sudah siap akan tetapi keadaan rumah yang tidak selesa, bilik hanya ada dua, infrastruktur yang tidak lengkap dan lain – lain.

Perkara ini juga boleh menimbulkan aksi penentangan kerana bayangkan rumah yang mereka duduki dahulu mempunyai 3 bilik namun rumah yang baru pula hanya ada 2 bilik. Mungkin ada yang mengatakan mereka ini mengada.

Tapi kita harus hargai mereka. Mereka yang meneroka kawasan tersebut hingga tanah yang tidak bernilai menjadi bernilai. Mereka manusia sepatutnya mereka patut diberikan rumah yang selesa dan infrastruktur yang lengkap.

Jika semua ini dapat dipenuhi sudah pasti tidak akan wujud sebarang aksi penentangan.

Mungkin ada yang akan mengatakan mana mungkin semua benda ini dapat dipenuhi. Saya memberi contoh.

Seorang sahabat saya Mohd Khairi Fauzi. Bekas penduduk rumah setinggan di Pantai Dalam. Bekas penduduk Kampung Pasir Kiri, sewaktu menanyakan semasa arahan untuk berpindah dikeluarkan adakah wujud sebarang penentangan oleh penduduk kampung tersebut.

Beliau mengatakan tiada langsung kerana pihak yang berkenaan telah memindahkan mereka dengan tempat yang lebih selesa, infrastruktur yang lebih mantap dan berkualiti.

Jadi apa yang saya cuba sampaikan adalah jikalau pihak yang berkuasa ingin tanah itu kembali haruslah memberikan pampasan yang setimpal sesuai dengan jerit-payah mereka menebas semak samun, pokok dan lain–lain, tempatkan mereka dengan tempat yang lebih selesa dan juga sebagaimana yang saya katakan infrastruktur yang berkualiti.

Jika kesemua perkara ini tidak dibuat maka para peneroka bandar ada hak untuk membuat aksi penentangan.

Keperluan Hidup

Ketua negeri dan ketua negara terbahagi kepada 2 jenis mengikut pengamatan saya. Yang jahat, rakus dan zalim. Yang baik, jujur dan adil.

Kedua–duanya menginginkan kemajuan kepada negara atau negeri masing–masing. Tapi yang negatif perangainya ketika mahu membangunkan sesuatu kawasan akan berperangai seperti bekas MB Selangor dahulu.

Kerana tamakkan habuan, tidak sabar–sabar sesuatu projek itu dibangunkan kerana ada saham atau komisyen didalam projek tersebut maka apa jua cara penduduk setinggan harus dihalau sama sekali.

Mereka tidak pentingkan kebajikan penduduk kawasan tersebut. Rumah yang dijanjikan hanya sekadar janji. Paksaan untuk keluar dari rumah mereka dalam tempoh yang singkat amat memeritkan.

Kalau dipindahkan sekali pun rumah yang diberikan layak digelar umpama sarang burung merpati, infrastruktur yang teruk dan pampasan yang begitu sikit.

Perbuatan seperti ini harus ditentang habis–habisan dan inilah yang menjadi perjuangan kepada badan NGO seperti JERIT, aktivis masyarakat dan lain–lain.

Saya yakin perbuatan seperti ini akan mendapat simpati masyarakat seluruh negara.

Buat pemimpin yang mahu membangunkan kawasan setinggan tapi masih mementingkan kebajikan penduduknya pemimpin seperti ini harus diberi kredit walaupun sedikit.

Kalau tanah itu mahu diambil untuk tujuan pembangunan tapi kalau pampasan yang diberikan setimpal maka sudah pasti tidak akan muncul aksi penentangan oleh kaum peneroka.

Pemimpin baik sudah pasti mahu melihat rakyatnya hidup dalam keadaan selesa, infrastruktur yang bagus, rumah yang selesa, dan lain–lain.

Saya yakin setiap pemimpin yang baik mahu melihat rakyatnya hidup dalam keadaan selesa. Berikan saya contoh pemimpin mana yang mahu melihat rakyatnya hidup dalam keadaan yang tidak selesa?

Saya setuju dengan tuntutan JERIT agar mereka harus dilayan dengan baik dan tanpa ada unsur pengusiran. Malah kaedah yang ingin dilakukan oleh Tan Sri Khalid ingin mengadakan dialog dengan kaum peneroka bandar sebelum tanah yang mereka terokai dulu diambil juga merupakan satu tindakan yang baik.

Jangan ulangi tindakan Khir Toyo yang kejam dan zalim. Saya bukan untuk membela Tan Sri Khalid tapi jika itulah pendekatan yang ingin beliau gunakan maka tidak ada sebab mereka yakni kaum peneroka akan bangkit memberontak.

Bukankah dalam temubual beliau menekan mereka tidak akan diperlakukan seperti mana yang dilakukan oleh Khir Toyo dahulu.- AI@Black