KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

PAS Kawasan Batu ucap takziah ke atas keluarga mangsa runtuhan bangunan Jaya Supermarket

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Batu mengucapkan takziah kepada seisi keluarga yang terbunuh dalam tragedi bangunan runtuh di Seksyen 14, Petaling Jaya Selangor 28 Mei lalu. Naib Yang Dipertuanya, Tarmizi Mohd Jam menyifatkan kejadian itu sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak agar kerja-kerja meruntuh dijalankan mengikut piawaian yang betul.

Tragedi itu berlaku kira-kira pukul 4.45 petang Khamis, 28 Mei iaitu ketika kira-kira 20 hingga 30 pekerja asing sedang menjalankan kerja-kerja persediaan sebelum merobohkan salah satu blok bangunan itu.

Pasukan mencari dan menyelamat telah mengeluarkan mayat mangsa keempat dari runtuhan bangunan Jaya Supermarket itu kira-kira jam 4 petang, 29 Mei. Annuaruddin, operator kren, berusia 38 tahun, ditemui mati terperangkap pukul 3.30 petang. Mayat dikeluarkan 37 minit kemudian. Sehingga awal pagi 29 Mei, tiga orang telah disahkan terbunuh dalam tragedi itu.

Dalam pada itu, laporan Bernama menyebut, mayat ketiga yang ditemui awal pagi itu di bahagian bawah tempat letak kereta bangunan yang pernah menempatkan Jaya Supermarket yang runtuh berjaya dikeluarkan pada jam 2 petang, 29 Mei.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, mayat Muhamad Maskur, 31, warga Indonesia, dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Penemuan itu menjadikan jumlah korban meningkat kepada tiga orang setelah dua mayat ditemui pada 28 Mei. Empat lagi mangsa dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan yang berlaku jam 5 petang, 28 Mei.

Mayat pertama yang dikenali sebagai Maskor, 28, dikeluarkan dari tapak runtuhan pada 6.50 petang manakala mayat kedua, yang belum dikenal pasti, dikeluarkan pada 10.20 malamnya. Arjunaidi berkata terdapat seorang atau dua lagi mangsa dipercayai berada berhampiran dengan kawasan mayat ketiga ditemui.

"Usaha sedang dijalankan untuk mengeluarkan mangsa yang tinggal," katanya.

Mayat Muhamad disahkan oleh rakan sekerja yang juga sepupunya dikenali sebagai Suryano, 21, yang membuat pengecaman di bilik mayat PPUM berdasarkan baju dan kasut yang dipakainya. Beliau berkata Muhamad gagal menyelamatkan diri dan beliau sendiri nampak sepupunya itu tertimbus dalam runtuhan.

Tarmizi menyokong langkah Kerajaan Selangor yang telah mengarahkan semua kerja-kerja meroboh bangunan Jaya Supermarket itu diberhentikan serta-merta bagi membolehkan satu siasatan dijalankan untuk mencari punca mengapa berlakunya tergedi itu.

Salahuddin Ayub memperkatakan usaha mempersadakan perjuangan Pemuda selepas undur

Salahuddin Ayub antara calon popular kerusi Naib Presiden PAS yang akan dipertandingkan pada 5 Jun depan.

MUQADDIMAH: Setelah terlibat selama 30 tahun bersama Pemuda PAS merentasi ranjau pahit manis perjuangan, Salahudin Ayub akan meninggalkan dunia pemuda lewat Muktamar Tahunan PAS, Jun ini. Penglibatan beliau dalam sayap kanan parti itu bermula sebagai Ketua Pemuda PAS Pontian pada 1983. Disusuli sebagai Exco Pemuda PAS Johor (1987-1989).
Beliau kemudiannya menjawat Ketua Pemuda PAS Johor selama 10 tahun. Daripada tahun 1991 sehinggalah 2003 diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat. Salahudin kemudian dipilih Ketua Pemuda PAS Pusat dari 2003 hingga sekarang. Bersama-sama TAUFEK YAHYA dan AZAMIN AMIN, beliau berkongsi rasa dan meninggalkan pesan serta harapan kepada barisan pemimpin Pemuda PAS.


Sepanjang pembabitan 30 tahun saudara daripada tahun 1983 di era kepimpinan Mustafa Ali, Ustaz Abdul Halim Arshat, Ustaz Abu Bakar Chik, Mohammad Sabu dan Mahfuz Omar apakah perubahan penting yang saudara dapat lihat dalam organisasi Pemuda PAS ini?

SALAHUDDIN AYUB: Saya meneliti dengan cermat tentang perubahan zaman itu. Dalam setiap era itu ada beberapa indikator dan peristiwa penting yang mahu dan tidak mahu sudah pasti mencorakkan kepimpinan Pemuda ketika itu.
Pada zaman Mustafa Ali dan Abu Bakar Chik, boleh saya simpulkan zaman ketika itu kita 'confont' iaitu kita terpaksa berhadapan dengan musuh kita Barisan Nasional (BN) yang pendekatannya ketika itu cukup agresif. Di samping tuduhan liar, tindakan-tindakan seperti wujudnya kumpulan samseng yang menggangu PAS.
Masa itu ceramah-ceramah PAS diganggu dan dilempar dengan telur-telur busuk. Masa kita melihat pertentangan fizikal sehingga berlakunya pukul-memukul di kawasan-kawasan PAS tidak kuat. Sehinggalah kepada operasi besar-besaran ISA dan Operasi Lalang pada tahun 1984 dan 1987.
Di situ mencorakkan 'nature' - sifat semula jadi Pemuda PAS dahulu, cukup agresif kerana pendekatannya kita terpaksa berhadapan secara fizikal. Dibantu juga dengan penceramah dan pemidato yang cukup hebat ketika itu antaranya seperti Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Bunyamin Yaacob, Abu Bakar Chik sendiri.
Kita begitu agresif kerana penentangan ideologi ketika itu diterjemahkan dengan penentangan berbentuk fizikal.
Walaupun saya tidak sempat dalam exco di era Mustafa Ali, tetapi saya sudah jadi Ketua Pemuda PAS kawasan dan dapat melihat bagaimana era PAS berada dalam BN dan 'ditendang' keluar daripada BN. Ketika itu, saya melihat kemelut dan krisis politiknya cukup tajam sekali.
Selepas itu di hujung era Abu Bakar Chik, PAS sudah mula mengukuhkan struktur organisasi parti. Pada ketika itu, Pemuda PAS mula dibentuk secara lebih bersistematik. Sebenarnya pada era 80-an dahulu tidak semua PAS kawasan ada sayap Pemuda. Hanya di negeri tertentu sahaja seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di era Abu Bakar Chik diwujudkan Pemuda PAS di setiap kawasan.
Pemuda mula mengorak langkah dengan begitu serius dalam mengatur gerak kerja dengan lebih tersusun. Keadaan begitu sukar sekali pada waktu itu dengan ahli-ahli yang terhad namun dengan semangat kekuatan pada tarbiah dan daya juang ahli, peningkatan dari sudut organisasi mula berkembang.
Di era itu juga tumbuhnya, Lajnah-lajnah dan Jabatan-jabatan yang berkaitan mahasiswa, jabatan kerajaan dan swasta, tarbiah, pendidikan, sukan dan rekreasi di mana kita membentuk kekuatan dalaman organisasi.
Mahfuz Omar, Mohammad Sabu dan saya berada di dalam kabinet Abu Bakar Chik. Kita menjadi 'key player' membawa mesej parti dan membina organisasi dan terus melancarkan gerakan penerangan ke seluruh negara.
Masa itu kekuatan politik dan organisasi pemuda adalah seimbang. Mahfuz bernasib baik kerana ketika memegang tampuk Pemuda PAS pada 1999, tercetusnya era Reformasi. Dan terus beliau menang sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena dan PAS terlibat dalam keriuhan dan kerancakan gelombang reformasi. Kita pula menang besar, 27 kerusi parlimen dalam Barisan Alternatif (BA).
Pada era Mahfuz, berlakunya lonjakan sokongan anak muda kepada PAS dan BA. Masa itu kita bersama-sama Ezam Mohd Noor. Sejarah tetap sejarah. Memang begitu bersemaraknya perjuangan pemuda ketika itu.
Pada ketika itu ruang terbuka kepada kelas-kelas atas dan menengah Melayu untuk turut serta dalam PAS. Tidak ada masalah untuk membawa mesej kita kepada masyarakat.
Organisasi parti terus kukuh. Ahli-ahli Pemuda PAS diperkenalkan dengan beberapa gagasan baru seperti "Gagasan Membina Ulama Muda". Keadaan politik ketika itu sangat menyebelahi kita.

Bagaimana di era saudara, apa ranjau duri yang dilalui?

Saya mengambil alih Pemuda PAS pada Ogos 2003, ketika zaman peralihan kuasa Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi yang disusuli pula dengan pilihan raya ke-11 pada 2004. Dan saat itu sungguh perit rasanya apabila kita kalah teruk.
Saya menganggap itulah cabaran besar saya. Para pengundi pula telah memberi harapan kepada Pak Lah. Kita hilang Terengganu, menang majoriti mudah di Kelantan dan tinggal hanya lima kerusi dalam Parlimen.
Saya walaupun menang di Kelantan, tetapi begitu sukar rasanya menghadapi saat itu iaitu majoriti 9/10 BN (di Dewan Rakyat). Saya menganggap pasukan (Ahli Parlimen BA) yang ada masa itu umpama menolak sebuah treler naik ke bukit. Begitulah beratnya tugas dan tanggung jawab pemuda ketika itu untuk mmemulihkan kembali semangat dan mengatur urus kembali strategi dan pendekatan kita.
Kita terpaksa memikirkan beberapa gagasan baru untuk menarik kembali sokongan orang muda. Masa itu juga kita memikirkan gagasan kita dalam dunia hiburan. Memikirkan tentang muzik alternatif, mendekati golongan seniman dan budayawan.
Kita mendekati kembali anak-anak muda yang bermasalah yang terlibat dengan gejala sosial. Membuat dan memperkasakan kembali hubungan kita dengan masyarakat dan kerajaan termasuklah bekerja kuat mendekati belia-belia yang bukan beragama Islam.

Maksud saudara era "engagement"?

Ya. Ini 'dunia engagement' yang saya terokai, yang saya percaya kekuatannya. Alhamdullilah kerja kuat pasukan pemuda di era saya ini, kita mudah 'mengetuk pintu' dan memecahkan tembok-tembok kita ke dalam masyarakat. Kita mudah untuk masuk ke jabatan-jabatan kerajaan dan mendekati semua segmen dalam masyarakat.
Inilah peluang saya gunakan sebaik-baiknya untuk meneruskan perjuangan.
Alhamdullilah, ramai juga kawan-kawan yang sependapat yang mengatakan bahawa perwatakan yang Allah berikan kepada saya bersifat sederhana. Saya akui memang tidak seagresif tokoh lain seperti Abu Bakar Chik, Mohammad Sabu, Mahfuz Omar. Penampilan mereka mungkin dilihat agak agresif berbanding saya yang mungkin sederhana.
Mungkin Allah letakkan watak saya sesuai dengan era yang sedang saya hadapi. Saya dapati penerimaan dan persepsi masyarakat luar terhadap PAS agak mudah didekati.
Kalau dulu bila kita nak berjumpa dengan jabatan dan agensi kerajaan, yang akan melayan kita hanyalah pegawai biasa ataupun Setiausaha Politik menteri sahaja.
Tetapi pada era ini, bukan sahaja ketua jabatan malah ketua pengarah pun turut serta. Seperti kunjungan kami ke Badan Pencegah Rasuah (BPR). Turun menemui kita ialah Ketua Pengarah BPR, Dato' Zulkifli Mat Noor bersama-sama 10 ketua jabatannya.
Mereka buat 'homework' untuk berhadapan dengan kita dan bayangkanlah 'level of discussion' yang begitu tinggi. Kita ke Kementerian Pengajian Tinggi, Menterinya bertemu Pemuda PAS. Begitu juga Mara, menteri dan ketua pengarah Mara turun sama-sama berbincang dengan kita tentang masalah-msalah yang berbangkit.
Inilah yang saya bangga, Pemuda PAS sudah berada di peringkat yang begitu tinggi sekali. Saya percaya pasukan Pemuda PAS mampu melahirkan pemimpin pemuda yang mempunyai fikiran dan pandangan-pandangan yang konkrit sekaligus dihormati dan disegani.
Dalam era "engagement" ini, kita mampu menganjak satu pemikiran baru, yang tidak lagi dilihat dan duduk di dalam kepompong pembangkang semata-mata tetapi kepada satu paradigma pandangan yang konstruktif kepada pihak luar. PAS sudah dilihat dalam isu-isu tertentu, dalam soal kepentingan rakyat dan negara, PAS boleh pergi merentasi sempadan politik.
Sebab itulah itu saya menawarkan beberapa gagasan seperti "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang".
Pemuda juga mesti ada sifat negarawan di mana isu yang dihadapi adalah dalam skala yang lebih besar dan tidak tertumpu hanya kepada politik dan kepartian semata-mata.
Kita mesti berfikiran lebih luas dan terbuka kerana PAS merupakan "government in waiting" yang sudah diterima oleh lapisan masyarakat.
Kini pemuda India, Iban, Kadazan, Cina dan lain-lain sudah boleh memakai baju PAS, membawa bendera PAS malah ahli Kelab Muda Penyokong PAS semakin ramai. Mereka boleh kibarkan bendera PAS di rumah dan kenderaan mereka.
Kita sudah sampai ke tahap di mana rakyat menunggu apa yang boleh PAS tawarkan kepada negara. Hari ini rakyat tidak mahu lagi dengar retorik perjuangan semata-mata tetapi sudah percaya kepada prinsip kita, malah belia bukan Islam sudah mendekati dan boleh bersama kita maka kita mesti menganjak lebih jauh lagi selepas ini.
PAS boleh mengunjurkan pemikiran yang lebih jauh, mencakupi masalah ekonomi, pendidikan, penyelesaian terhadap isu sosial, perpaduan negara, antarabangsa dan juga masalah-masalah kehendak tuntutan orang bukan Islam itu sendiri yang perlu ditangani dengan bijak supaya mereka tidak terlepas daripada menyokong kita.

Dalam era Mustafa Ali perkenalkan "kepimpinan ulama", era Abdul Halim Arshat "Makan Malam Pemikir Ummah" sehingga tercetusnya Angkatan Perpaduan Ummah dan banyak lagi peristiwa penting dan gagasan Pemuda sehingga kini. Adakah saudara yakin pelapis baru Pemuda PAS mampu mencetuskan idea-idea dan gagasan baru?

Saya perlu menjawab secara jujur. Ianya sama seperti saya mula-mula di beri peluang selepas Mahfuz Omar. Saya akui ada yang memberikan pandangan yang agak kritikal. Adakah saya mampu atau tidak? Kritikan memang tetap ada di peringkat awal.
Secara jujur juga ramai yang melahirkan kebimbangan Pemuda PAS yang saya akan tinggalkan. Saya percaya kepada satu pemikiran bahawa seseorang apabila diberi peluang dia akan membuat yang lebih baik. Pemimpin dari segi fitrah dan 'naturenya' akan bersikap begitu. Setiap orang baik dalam apa jua organisasi, politik mahupun dalam kerajaaan, akan buat yang lebih baik jika diberi peluang.
Namun begitu, saya melihat ada kerisauan kerana ada yang mengatakan pengganti saya adalah ustaz ataupun orang 'relate' kepada ulama, sama ada sesuai dengan era Pemuda PAS yang telah digagaskan.
Saya nak tegaskan di sini bahawa manusia menilai bukan dari segi pakaian, serbannya, jubahnya, kot atau tali leher yang mereka pakai tetapi melalui pemikiran yang mereka bawa dan terjemahkan.
Kalau jubah besar atau kot mahal tetapi tidak mampu melahirkan pemikiran yang baik, tidak akan ke mana juga. Oleh itu, saya tegaskan kepada Pemuda yang saya tinggalkan bahawa, ini era pertembungan PAS dengan dunia luar maknanya akan ada lebih banyak perdebatan di peringkat pemikiran.
Maknanya, pasukan yang baru, mestilah mempunyai kekuatan gagasan intelektual yang cukup kuat. Kita lihat 'counter-part' kita.
Kita lihat Anthony Loke (DAPSY), Shamsul Iskandar Mat Akin (Angkatan Muda KeADILan), Khairy Jamaludin (Pemuda Umno) dan Ketua-ketua pemuda komponen BN yang lain di mana di era akan datang pasukan Pemuda PAS mesti berupaya mendepani mereka ini di pentas yang lebih intelektual bentuknya.
Di samping kita tidak menafikan Pemuda PAS perlu lebih sifat "agresif" dalam mendepani pelbagai isu. Sifat fundamental yang ada dalam Pemuda PAS seperti berani dan "agresif" mesti diteruskan kerana Pemuda PAS memang mahu begitu. Itu jati diri Pemuda PAS. Mesti terus tampil dan turut serta dalam siri-siri demonstrasi, roadshow, ceramah, pidato, serahan memo, engagement dan lain-lain.
Namun itu semua tidak cukup, tetapi mesti ada nilai tambahnya di atas itu. Fundamentalnya kuat dan kukuh tetapi ada peningkatan khususnya nilai intelektual itu tadi. Pandangannya mesti 'knowledgable", berpengetahuan kerana kita berhadapan dengan masyarakat yang sedang menilai PAS.
Pemuda PAS mesti bukan sahaja berani berdemonstrasi dan pidato sahaja, tetapi beralih kepada paradigma yang lebih besar, lebih 'competitive' (berdaya saing) dan bersifat 'versatile' (serba boleh).
Kerana itulah tema Muktamar Pemuda PAS Pusat kali ini adalah "Mempersadakan Perjuangan" supaya perjuangan Pemuda mesti berada di persada politik tanah air kita.

Harapan saudara kepada Pemuda PAS yang akan ditinggalkan?

Harapan saya, Pemuda perlu kepada pemikiran yang kritis, intelektual dan berinovasi mencipta dan melahirkan idea dan gagasan baru bersesuaian dengan zaman yang kita hadapi. Dan semoga Pemuda akan menjadi sayap kanan yang lebih dihormati, terus menerus melahirkan pemimpin pelapis akan datang.
Jangan rosakkan pemuda dengan elemen-lemen perpecahan, sentimen sempit dan jumud, politik berpuak-puak dan jangan rosakkan dengan panggilan dan label-label yang dilemparkan oleh musuh kita tetapi tampil dengan pemikiran yang segar, kuat dan kontemporari.
Mesti ada daya juang yang tinggi dan jihad yang berterusan dan insya Allah dengan pakej komponen-komponen kekuatan ini, Pemuda PAS akan terus dihormati oleh kawan dan lawan di masa-masa akan datang.

Tulisan belakang tshirt bukti kelirunya masyarakat Malaysia tentang "Islam"!



KUALA LUMPUR: Barangkali tshirt yang dipakai oleh pemuda berkenaan menggambarkan kerencaman dan kelirunya masyarakat hari ini tentang Islam. Gambar ini dikirimkan oleh seseorang ke emel saya dan saya dapati ia mengandungi nilai yang patut dikongsi bersama.

Sekalipun menunaikan solat, tetapi tulisan yang tertera pada belakang tshirt pemuda itu "rock, drink dan fuck" memberitahu sesuatu tentang pemahaman Islam masyarakat hari ini. Sama-samalah kita renungi dan amat-amati bersama!

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan bidas mulut celupar Ibrahim Ali

Dato' Ibrahim Ali ketika diwawancara oleh Tarmizi Mohd Jam tahun lalu di pejabatnya


KUALA LUMPUR: PAS Kelantan membidas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali yang dilihat cuba untuk menyatakan sokongan kepada Umno apabila mengeluarkan kenyataan yang sinis terhadap parti yang diwakilinya itu pada Pilihan Raya Umum ke 12 lalu, lapor Intan Abdullah.

Menurut Pengarah Pilihan Raya PAS bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, Abdul Fatah Harun menyelar Jika betul kenyataannya itu, beliau minta Umno atau Barisan Nasional (BN) 'menggunakan beliau sebaik mungkin' untuk berceramah di Manek Urai. Jika BN sendiri mendengar idea atau pandangan Ibrahim, BN sendiri akan terperangkap.

"Kenyataan Ibrahim Ali memang tidak boleh 'dipakai'. Sebenarnya kenyataan Ibrahim ini sudah tidak didengar oleh rakyat Kelantan. Rata-rata pandangan masyarakat melihat sudah banyak pembangunan yang dilakukan sepanjang pemerintahan PAS di Kelantan. Begitu juga dengan kawasan Manek Urai yang kita lihat sudah banyak perubahan pembangunan yang dijalankan," tegas beliau yang juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan ketika dihubungi.

Ibrahim yang bertanding atas tiket PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, dalam kenyataannya menyebut Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai adalah landasan terbaik kepada BN untuk mendedahkan kelemahan PAS mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.

Beliau juga mendakwa PAS gagal membawa perubahan serta memajukan ekonomi negeri itu, sebaliknya PAS berselindung di sebalik kelemahan Umno untuk meneruskan kelangsungan parti itu di Kelantan.

Ibrahim juga menganggap sepanjang PAS menerajui Kelantan, banyak perkara boleh dipersoalkan daripada segi ekonomi, peluang pekerjaan dan hasil negeri yang menurut beliau tidak menampakkan sebarang kesan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, suruhanjaya tersebut hanya boleh memberikan nasihat kepada parti-parti politik agar memilih calon wakil rakyat yang mempunyai rekod kesihatan yang baik.

"Saya nasihat elok pilih yang sihat, tetapi soal kematian ini kita tidak tahu kerana ada orang yang hari ini nampak sihat pun kalau ditakdirkan dia meninggal dunia, dia meninggal dunia juga, macam berlaku kemalangan.

"Kita minta janganlah ada kematian wakil rakyat lagi tetapi kalau ada juga kematian kita tidak boleh persoalkan, pilihan raya kecil tetap perlu diadakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai 28 Mei lalu.

Abdul Aziz mengulas kekerapan berlakunya pilihan raya kecil dalam tempoh setahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu.

Dalam perkembangan yang lain, Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak boleh menyifatkan kempen Pilihan Raya Kecil DUN Penanti yang berlangsung sekarang adalah yang terbaik meskipun mengakui suasana di sana cukup tenang.

Dato' Mahfuz Omar mahu gaji Najib Tun Razak dipotong RM10.00 sekali sebagai hukuman!

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri Aziz mengusulkan kepada parlimen yang akan bersidang pada 15 Jun nanti supaya menghukum Perdana Menteri dengan memotong gajinya sebanyak RM10.00 sekali saja, lapor Irwan Muhamad Zain.

Beliau menempelak Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pertama kerana berbohong kepada rakyat. Najib berbohong apabila sebelum ini membuat kenyataan, mendakwa negara tidak akan terkena tempias krisis ekonomi yang sedang melanda dunia.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan Pokok Sena pada 28 Mei lalu, beliau mencadangkan gaji Najib dipotong sebanyak RM10.00 sahaja sebagai hukuman dan pengajaran.

"Parlimen perlu menghukum Najib yang telah berbohong kepada rakyat mengenai keadaan ekonomi negara. Dato' Nazri yang menjaga hal ehwal parlimen perlu membawa usul tersebut bila dewan rakyat mula bersidang pada 15 Jun nanti," tegas Mahfuz.

Keadaan ekonomi negara kini berada ditahap kritikal bila Bank Negara mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku tahun pertama tahun ini.

Malah, tegas Mahfuz, Perdana Menteri telah mengakui KDNK negara akan mengalami pengucupan sebanyak 4 hingga 5 peratus sepanjang tahun ini. Sebelum ini Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), menjangkakan ekonomi negara akan mengalami kemelesetan teknikal.

Keadaan ini, jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu membuktikan slogan Satu Malaysia Najib gagal kerana pencapaian negara telah meleset.

Mahfuz juga mendesak supaya kerajaan menyediakan satu kertas putih untuk dibahaskan di Parlimen mengenai keadaan ekonomi negara kerana apa yang dijelas oleh Najib minggu lalu tidak dibahaskan secara khusus.

Mengulas kenyataan Najib yang mengatakan KDNK negara akan mengalami peningkatan pada suku terakhir tahun ini, Mahfuz menegaskan perkara tersebut mustahil akan berlaku.

"Bagaimana ia akan pulih jika suku pertama dan kedua sudah mengalami pengucupan yang teruk?" soal Mahfuz. Beliau juga bersetuju jika ada cadangan supaya menteri kewangan ditukar.

Beliau menegaskan perlunya seorang menteri kewangan yang bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan pihak lain. Mahfuz mencadangkan kerajaan agar tidak mengharapkan ekonomi dunia pulih sebaliknya perlu berusaha sendiri bagi mengatasi masalah ini.

IKTIBAR: Benarkah wujud kilang menjual organ manusia seperti dalam gambar ini? Di mana?






Mohd Sabu jangka isu pembahagian kerusi di kalangan Pakatan Rakyat akan dibahas pada Muktamar ini

Mohamad Sabu salah seorang Naib Presiden PAS yang popular dan beliau mahu membantu Presiden mendekati golongan marhaen, bukan Islam dan NGO di negara ini. Itulah visinya untuk kerusi Timbalan Presiden PAS, Jun ini.

KUALA LUMPUR: Usul Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) dijangka akan menjadi perbahasan hangat pada Muktamar Agung PAS yang akan berlansung 5 hingga 7 Jun depan. Muktamar kali ini diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam Selangor, lapor Irwan Muhamad Zain.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin perwakilan dijangkakan akan mencadangkan kepada muktamar agar pembahagian kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat dikaji semula memandangkan sokongan terhadap PAS dari kalangan bukan Melayu telah meningkat.

Tegas beliau, jika sebelum ini kawasan yang majoriti bukan Melayu diberikan kepada KeADILan kerana faktor sokongan bukan Melayu lebih kepada parti itu tetapi dalam PRU 13 nanti PAS juga harus memikirkan kembali, kerana PAS kini juga mendapat sokongan dari mereka.

"Pembahagian kerusi dijangka akan dibahaskan oleh perwakilan kali ini kerana dilihat sokongan bukan Melayu terhadap PAS sudah meningkat. Sebelum ini kerusi yang majoriti bukan Melayu diberikan kepada KeADILan atas faktor sokongan bukan Melayu lebih kepada mereka tetapi kali ini tidak lagi.

"PAS selepas PRU 12 mendapat sokongan kuat dari bukan Melayu jadi perwakilan dijangka akan menuntut supaya pembahagian kerusi dikaji semula," tegas Mohamad.

Beliau menegaskan lagi, tidak timbul soal PAS mahu merampas kerusi KeADILan kerana sudah menjadi kebiasaan menjelang pilihan raya umum, PAS, DAP dan KeADILan akan mengkaji dan menentukan kembali kerusi yang akan dipertandingkan.

Selain dari itu, Mohamad juga menjangkakan perwakilan turut akan membahaskan soal memperkasakan parti dengan cara menarik lebih sokongan daripada golongan bukan Melayu. Ini kerana kata beliau, sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai agama dan bangsa, PAS perlu juga mendapat sokongan bukan Melayu.

"Isu memperkasakan parti akan dibincangkan berkenaan usaha untuk menarik sokongan bukan Melayu dengan lebih banyak disamping tidak meminggirkan sokongan pengundi Melayu.

"Malah usaha untuk menarik sokongan masyarakat Melayu yang tidak menyertai mana-mana parti juga akan ditingkatkan supaya kerusi yang sebelum ini kita tewas dapat dikuasai," jelas beliau.

Bila membahaskan usul PRU 13, Mohamad turut menjelaskan isu ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan dibincangkan secara serius oleh perwakilan. PAS, tegas beliau amat konsisten menuntut agar SPR menjadi sebuah badan yang benar-benar telus dan berintegriti serta tidak mengikut telunjuk pihak lain.

Perwakilan katanya akan menuntut supaya pimpinan terus membuat desakan supaya undi pos dihapuskan selain desakan supaya SPR lebih telus. Justeru itu, tegas Mohamad, usul PRU 13 dijangkakan hangat kerana ia membabitkan persiapan dan peluang parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang hanya dua atau tiga tahun dari sekarang.

Mike Tyson, Mohamad Zain boikot kehadiran Najib di Selangor

Jika dilihat kepada kehendak Umno Selangor, memang Najib dialu-alukan datang ke Selangor tetapi apa yang mengejutkan, kedatangan Najib tidak mendapat sambutan yang diharapkan apabila Muhammad dan Mohd Zin, antara nama besar di Selangor 'memboikotnya'


KETIKA Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak menyusun perlantikan Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri, tentulah tujuannya mahu memperkuatkan kepimpinan Umno negeri-negeri dengan suntikan baru.

Malangnya, harapan Najib itu tidak kesampaian. Umno Selangor yang diketuainya, tidak solid di belakangnya apabila dua dari 22 kepimpinan bahagian, menolak kehadiran Presiden Umno itu sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Untuk catatan, lima negeri mendapat pengerusi perhubungan baru iaitu Selangor (Najib), Wilayah Persekutuan (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin), Terengganu (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), Pulau Pinang (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan Kedah (Datuk Seri Mohd Shafie Afdal).

Dua bekas menteri kabinet, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamad jelas 'tidak menghormati' Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu, dengan tidak hadir pada mesyuarat pertama Umno negeri yang dipengerusi Najib.

Najib tentunya sudah menjangka, Muhammad dan Mohd Zin tidak akan dapat 'bersamanya' kerana selepas Muhammad kalah bagi jawatan Timbalan Presiden Umno, Muhammad dipinggirkan oleh Najib dari jawatan yang disandang Muhammad iaitu Ketua Penerangan Umno dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Ketika seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dikenakan tindakan disiplin dan dilarang bertanding, dilantik menganggotai MT, Muhammad yang kalah di tangan Muhyiddin, tetapi mendapat undi hampir 1,000 disisihkan dari jawatan-jawatan penting.

Muhammad juga hilang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang baru disandangnya.

Bagi Mohd Zin pula, walaupun sejak sekian lama dia dikenali sebagai 'orang Najib' tetapi dalam penyusunan kabinet, Najib menolak namanya keluar dari senarai. Mohd Zin yang merupakan Ketua Umno Bahagian Sepang dan menang di tempat ke 6 daripada 25 kerusi MT dengan undi 1,854 turut menerima nasib seperti Muhammad, hilang jawatan Menteri Kerja Raya.

Tempat Zin, digantikan Datuk Shahziman Abu Mansor yang menang tempat ke 9, dengan undi 1,705. Apa sebab Najib 'membuang' dua wakil Selangor ini tidak siapa dapat mengulas dengan tepat tetapi – ramai yang merasakan Najib mahu menjauhkan dirinya dari 'orang-orang Tun Abdullah Ahmad Badawi' dari kabinetnya.

Ketika Najib tidak memberi tempat kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo untuk jawatan-jawatan penting dalam Umno Selangor dan tidak melantiknya menganggotai MT, selepas dia kalah jawatan Ketua Pergerakan Pemuda, ramai yang hairan apa perlunya melantik Mohamad Khir sebagai Panel Pemikir Umno negeri.

Banyak juga benda-benda pelik yang Najib lakukan apabila menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ketika nama Datuk Seri Rais Yatim dikekalkan sebagai anggota kabinet, ramai yang hairan mengapa Rais turut dilantik menjadi ahli MT.

Dari segi undi yang dikutip, Rais hanya mendapat sekitar 400 undi sedangkan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin mendapat 1,400 undi, tempat ke empat di belakang Datuk Seri Mohd Shafie Afdal bagi kerusi Naib Presiden Umno.

Adakan kerana Khaled orang Tun Abdullah menyebabkan dia tidak dilantik menganggotai MT?

Najib tidak perlu menjawab semua pertanyaan ini tetapi penyokong Umno akan terus tertanya-tanya, apakah strategi yang sedang disusun oleh Najib untuk mengemudi Umno bagi menghadapi PRU 13 akan datang?

Jika dilihat kepada kehendak Umno Selangor, memang Najib dialu-alukan datang ke Selangor tetapi apa yang mengejutkan, kedatangan Najib tidak mendapat sambutan yang diharapkan apabila Muhammad dan Mohd Zin, antara nama besar di Selangor 'memboikotnya'.

Beberapa pihak yang diminta mengulas situasi politik di Selangor ini berpendapat, sepatutnya Najib mendapat sokongan 100 peratus di kalangan ketua-ketua bahagian kerana dari segi pencalonan bagi jawatan Presiden Umno, Najib menerima 22 pencalonan daripada 22 bahagian.

Berbanding dengan Muhyiddin, hanya mendapat satu dari 22 bahagian pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden yang menyebabkan ada beberapa pihak di Selangor risau kalau-kalau Najib menamakan Muhyiddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Artikel dari IDRIS SAMAD

Dato' Mahfuz Omar mahu pembahas tingkatkan idea, fakta, isu dan penghujahan

Mahfuz Omar antara calon popular untuk kerusi Naib Presiden PAS pada pemilihan Muktamar Agung PAS ke-55, 5 Jun ini

MUQADDIMAH: Terdapat beberapa klasifikasi usul yang harus diutarakan pada muktamar Jun ini. Kualiti pembahas usul juga cukup ditekankan agar ianya jelas dan usul tidak ditolak. Berikut wawancara WAN NORDIN WAN YAACOB bersama Pengerusi Jawatankuasa Penapis Usul, Dato' Mahfuz Omar memperkatakan persediaan pembahas usul untuk melontarnya ke gelanggang muktamar.


Boleh Dato' nyatakan apakah usul-usul yang telah diterima untuk dibawa pada Muktamar Agung PAS ke-55 nanti untuk dibahas?

DATO' MAHFUZ OMAR: Pertamanya saya telah menerima sejumlah 36 usul daripada 17 kawasan yang menghantar usul. Ada usul yang hanya untuk peringkat kawasan, negeri dan ada usul yang di peringkat nasional.
Jawatankuasa ini telah melihat seluruh usul dan kita kenal pasti apa usul yang wajar diangkat pada muktamar kali ini. Jadi hanya 17 sahaja kawasan seluruh negara termasuk satu dari Sabah yang dihantar sebelum tarikh tutup pada 20 Mei lalu.
Dan kita dapati bahawa daripada 17 kawasan itu sebahagian besarnya menghantar usul yang bersifat persoalan-persoalan dalaman parti yang berkaitan dengan pemerkasaan Majlis Syura Ulama, kepimpinan ulama dan kemudian pemerkasaan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, selain cadangan meminda perlembagaan berkaitan pemerkasaan organisasi dan sebagainya.

Usul bersifat politik bagaimana?

Usul-usul yang bersifat politik ini tidak begitu banyak tetapi kita telah pun kenal pasti beberapa usul yang akan dipilih untuk diangkat menjadi usul yang akan dibahas dalam sidang muktamar.
Kita sifatkan bahawa daripada jumlah yang kita terima ini sebahagian besarnya ialah bersifat cadangan yang perlu diangkat kepada Jawatank Kuasa Kerja PAS Pusat untuk dibincangkan dan tiada keperluan untuk dijadikan satu topik perbincangan khusus atau usul, atau mereka boleh sentuh dalam perbahasan ucapan dasar Presiden dan juga dalam perbahasan laporan tahunan.
Ada juga yang bersifat cadangan yang selepas dari muktamar yang perlu diangkat kepada Jawatan Kuasa PAS Pusat untuk diagihkan kepada lajnah-lajnah untuk melihat relevan atau tidak untuk dilaksanakan oleh parti.

Apa usul di peringkat dewan dan kawasan yang akan dibentang dan dibahaskan di peringkat Pusat?

Jawatankuasa usul yang telah bermesyuarat baru-baru ini, telah mengenalpasti usul yang perlu dipertimbangakan untuk diberi perhatian dan dibahas dalam muktamar.
Antara usul tersebut ialah, usul yang telah diputuskan oleh Dewan Muslimat yang diterima tanpa bahas di peringkat dewan tersebut yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Usul Muslimat yang berkelayakan mewakili dewan itu. Ia adalah usul lanjutan krisis kepercayaan terhadap institusi kehakiman yang juga dikaitkan dengan kemelut di Perak. Isu itu relevan dan kami fikirkan ia menyentuh persoalan semasa yang perlu diberikan satu gambaran jelas terhadap masyarakat. PAS perlu memperlihatkan sikap yang tegas terhadap isu intergriti hakim-hakim.

Bagaimana dengan usul dari Dewan Pemuda dan Ulama?

Usul daripada Dewan Pemuda PAS Pusat juga telahpun kita lihat. Satu usul yang berkait dengan soal ekonomi iaitu soal pegangan 30 peratus ekuiti tempatan yang telah dimansuhkan dalam liberalisasi ekonomi dalam 27 subsektor yang diumumkan oleh PM baru-baru ini.
Usul ini penting kerana apa yang dilihat isu ini satu penjajahan baru melalui penguasaan ekonomi oleh kepentingan asing. Ini merupakan satu usul yang perlu diperbahaskan bagi memberi signal kepada masyarakat dan rakyat tentang bahaya dan ancaman baru Umno/BN mendedahkan kita kepada penjajahan baru.
Kemudian usul daripada PAS Kawasan, iaitu yang dipilih setakat ini ialah PAS Kawasan Rembau (Negeri Sembilan) berhubung isu PPSMI. Walaupun usul ini telah diperkata pelbagai pihak dan ada tindakan yang dibuat tetapi timbul isu baru iaitu apabila pengumuman yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa ada satu kajian baru nak dibuat dan seolah-olah mengetepikan kajian yang telah dibuat oleh menteri terdahulu. Ini kita kira satu helah melengahkan keputusan yang sewajarnya mansuhkan PPSMI. Ini kehendak semua pihak dalam negara kita dari seluruh segmen masyarakat dan kaum.

Usul Dewan Ulama, macam mana?

Kami juga masih menunggu usul dari Dewan Ulama, sebab baru-baru ini dewan tersebut tidak menghantar wakil dalam mesyuarat jawatankuasa usul. Namun secara spesifiknya selepas muktamar dewan-dewan, kita akan semak semula secara terperinci dan buat pemilihan apa usul yang benar-benar akan dibawa ke muktamar pusat.

Adakah banyak usul yang akan dibahas? Berapa?

Sebanyak empat usul. Kita beri peruntukan satu usul kepada dewan-dewan tetapi dengan melihat sejauh mana kekuatan usul itu, kualiti usul dan kemudian daripada PAS Kawasan. Jika tiada usul yang dibawa oleh dewan-dewan yang kita sifatkan sebagai berkualti, kita akan beri kepada PAS Kawasan. Begitu sebaliknya.

Apa klasifikasi usul mengikut Jawatan Kuasa Penapis Usul yang dipengerusikan oleh Dato'?

Sosial, pendidikan, ekonomi dan politik serta organisasi. Saya nak menyebut bahawa persoalan pemerkasaan parti tidak perlu menjadi usul, sebaliknya ia boleh disentuh dalam perbahasan ucapan dasar Presiden PAS, dan pertimbangan Jawatankuasa PAS Pusat yang akan dipilih selepas ini dari semasa ke semasa melalui Dewan Harian yang diketuai Presiden sendiri untuk dibincang sebaiknya.
Usul itu lebih bersifat apa yang perlu kita suntik kepada masyarakat agar memperlihatkan keprihatinan PAS terhadap isu yang menyentuh rakyat. Sebab itu isu kehakiman, PPSMI dan ekonomi yang menyentuh rakyat ini yang perlu kita tumpukan.
Saya juga ingin menyentuh bahawa perwakilan perlu juga membahaskan isu Kelab Penyokong PAS dalam perbahasan Ucapan Dasar Presiden, untuk berikan input yang wajar untuk kepimpinan selepas muktamar iaitu perlu buat keputusan segera dari segi status Kelab Penyokong PAS ini samada mahu mengangkat kelab jadi sayap sama seperti dewan-dewan lain, atau mahu kekalkan ia seperti mana sedia ada sebagai satu kelab. Adakah kewajaran mereka ini ahli bersekutu atau tetap, keputusan ini perlu dihadamkan segera agar pergerakan kelab ini menjadi lebih baik dan berada pada 'massa'.

Nasihat Dato' kepada perwakilan berhubung kualiti perbahasan?

Saya harap setiap pembawa usul mesti membawa idea, fakta usul dan isu usul itu sendiri dan penghujahannya yang cukup meransang, meyakinkan perwakilan agar tidak timbul kontroversi yang akhirnya usul itu tidak akan ditolak.
Dan begitu juga kepada pembahas yang lain perlu buat rujukan, saya akan maklumkan awal kepada kawasan tentang spesifik usul yang bakal dibahaskan. Pencarian fakta penting kepada perwakilan supaya muktamar kita nanti betul-betul mempamerkan kualiti muktamar kita.

Dato' Harun Taib membedah Kepimpinan Ulamak PAS untuk berdepan cabaran masa depan parti!


MUQADDIMAH: Berikut adalah Kertas Kerja Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang baru, DATO' HARUN TAIB bertajuk "Kepimpinan Ulamak: Cabaran dan Masa Depan" yang dibentangkan pada Sambutan Ijtima Jubli Perak 25 Tahun Kepimpinan Ulamak PAS di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 23 Mei 2009:

Bagi kita ulamak bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya, tetapi yang kita maksudkan ulamak ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias.

Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka, tetapi mereka juga mungkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama, tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keislaman yang memungkinkan mereka memahami Islam dari sumbernya yang di Ijmakkan itu.

Walau bagaimana pun, mereka hendaklah terdiri dari kalangan orang yang takut kepada Allah s.w.t. Allah berfirman yang bermaksud: “dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun”. - (Faathir: 28)

Abu Al-Sauud dalam tafsirnya berkata: “Sesiapa yang tidak takut kepada Allah, maka ia bukan Ulamak”.

Kedudukan Ulamak di dalam Islam

Untuk menggambarkan kemuliaan dan ketinggian kedudukan ulamak di dalam islam, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “… Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna”. - (Al-Zumar: 9)

Firman Allah Ta’ala lagi yang bermaksud: “… supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan”. - (AI-Mujadalah: 11)

Rasulullah s.a.w. juga ada menjelaskan bekenaan kedudukan ulamak di dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang melalui sesuatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya untuk penuntut ilmu kerana berpuas hati dengan perbuatannya. Dan sesungguhnya orang-orang alim itu meminta ampun baginya oleh sekalian yang ada di langit dan bumi sehingga ikan-ikan di air turut meminta ampun baginya. Dan kelebihan orang alim berbanding dengan yang beribadat seperti kelebihan bulan berbanding dengan sekalian bintang. Dan para ulamak itu adalah pewaris kepada nabi-nabi. Dan sesungguhnya para nabi itu tidak meninggalkan emas dan perak, malahan mereka meninggalkan ilmu pengetahuan. Sesiapa yang menerimanya maka dia telah mendapat bahagian yang cukup sempurna”. - (Riwayat Abu Daud)

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan ulamak’ dimuka bumi laksana bintang dilangit yang menjadi pedoman didalam kegelapan didarat dan dilaut. Maka apabila bintang itu telah gelap maka hampir-hampirlah juru petunjuk itu sesat”. - (Riwayat oleh Imam Ahmad)

Ternyata daripada nas di atas bahawa ulamak itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta’ala. Rasulullah s.a.w. telah meletakkan mereka sebagai pewaris para nabi. Pewaris yang dimaksudkan disisinya ialah: “Pengganti tugas nabi didalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya”.

Islam menghendaki supaya para ulamak menjadi pengganti nabi dalam urusan mentadbir dunia dan menjaga agama. Mesej ini difahami dengan jelas oleh para sahabat nabi dan para cerdik pandai islam yang amanah dengan ilmunya seperti Sadatina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan lain-lain daripada para khulafa’ memberii contoh yang jelas kepada kita bagaimana cara mewarisi peninggalan nabi dari sudut menjaga agama dan mentadbir dunia.

Pengiktirafan yang begitu tinggi oleh Allah hanyalah kepada ulamak yang benar-benar memainkan peranannya sebagau penyebar ilmu kebenaran dan pembenteng kedaulatan islam. Ini adalah kerana terdapat individu atau golongan cerdik pandai islam yang mendakwa sebagai ulamak semata-mata kerana ilmu yang dituntutinya sedangkan dari aspek lain, jauh panggang dari api juga hendak dilebelkan dengan pangkat ulamak pewaris nabi.

Ulamak Islam di zaman sekarang

Ulamak kita di zaman sekarang bolehlah dibahagikan kepada lima bahagian:

1. Ulamak yang pada zahirnya nampak baik, bertaqwa, ikhlas, amalan dan ibadat mereka semata-mata kepada Allah s.w.t. Namun demikian mereka mengasingkan diri daripada dunia. Mereka tidak mengambil tahu tentang permasaalahan orang Islam walaupun sedikit. Mereka saling tak tumpah seperti ahli-ahli tasauf di zaman mutaakhir Islam iaitu tasauf yang negatif yang mengasingkan diri daripada dunia.
Mereka melihat bahawa menjauhi diri daripada dunia adalah satu jalan selamat untuk mereka dan suatu amalan bertaqarrub kepada Allah Azza Wa Jalla. Oleh kerana itu terdapat terlalu ramai daripada kalangan orang-orang Islam dewasa ini yang menjadi mangsa kepada segala taghut dan si zalim.
Ulamak seperti ini tidak mengambil tanggungjawab dalam mempertahankan orang-orang Islam sama ada pada hak-haknya, aqidahnya, kemuliaanya, kehormatannya dan Iain-Iain lagi. Taghut terus bermaharajalela tanpa mendapat gangguan dari kumpulan ini. Mereka semacam tidak tahu kenapa para Nabi diutuskan mendengar sebarang peringatan dan nasihat untuk berbuat kebaikan.
Mereka semacam tidak pernah membaca firman Allah s.w.t yang bermaksud: “dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya”. - (Ali lmran: 104)
Dan mereka semacam tidak teserempak dengan sabda junjungan yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa). Sekiranya kamu tidak mampu hendaklah diubah dengan lidah dan sekiranya kamu tidak mampu hendaklah kamu membencinya di dalam hati kamu, itulah selemah-lemah iman". - (Sahih Muslim)
Dan mereka semacam tidak bertemu dengan Hadith ini yang bermaksudnya: "Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim". - (Sunan Al-Termizi)

2. Golongan yang nampaknya macam setia kepada Islam, cemburu kepadanya namun begitu mereka terlalu baik hati, niat mereka terlalu Ikhlas. Mereka memberikan penilaian bahawa setiap orang yang mencium tangannya, menghadirkan diri di dalam majlis zikir serta menghadiri jemputan mereka sebagai orang yang cintakan agamanya. Justeru itu ramai di kalangan penipu yang berjaya menipu ulamakk yang seperti ini. Mereka dibenarkan berkhutbah di masjid-masjid, di majlis-majlis kempen pilihanraya untuk memberi sokongan kepada ‘figure’ (individu) tertentu. Tulisan-tulisan mereka memihak dan memuja orang-orang tertentu pada hal orang yang dipuji adalah orang yang paling kuat permusuhannya dengan Islam, kalau mereka mempunyai sedikit sifat hazar sudah barang tentu mereka tidak dapat diperalatkan oleh golongan itu.

3. Mereka yang pada zahirnya sangat cintakan agama, cemburu kepadanya. Mereka menjalankan kegiatan amar ma'ruf dan nahi mungkar, akan tetapi mereka lupa kepada ‘Roh Al-Syari'ah’ dan risalahnya dibidang kemasyarakatan dan sosial. Mereka terlalu mengambil berat tentang sembahyang, puasa dan Iain-Iain syiar agama namun begitu mereka tidak mengambil cakna tentang ‘Maqasidi Syari'ah’. Mereka tidak begitu mengambil peduli bahawa sembahyang, puasa dan Iain-Iain syiar Islam sebagai pusat latihan untuk manusia, latihan moral, hati dan Iain-Iain. Oleh kerana itu kita dapati mereka ini berlumba-lumba menunaikan solat bila mendengar azan namun demikian mereka masih terlibat dalam riba, mereka masih menjadi penyokong dan pengampu si zalim, pengkhianat bangsa dan negara. Mereka bermusuh dengan lelaki yang memakai emas tetapi terus membisu terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan hukum-hukum syariah dan terlibat dengan rasuah. Jika mereka ditanya siapa yang lebih besar dosanya di sisi Allah, yang memakai cincin emas atau pemimpin yang tidak menjalankan hukum Allah? Mereka sudah tentu akan menjawab bahawa pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah s.w.t itu lebih besar dosanya, tetapi mereka terus membisu.

4. Ulamak jahat yang mencari makan dengan menggunakan kedudukannya dan memperniagakan syariat. Mereka menghampiri(mengampu) semua taghut, bersahabat dengan semua yang jahat dan zalim, mereka terus menyokong golongan tersebut. Islam tercabar oleh mereka. Mereka tidak merasa malu untuk mengatakan bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam adalah perjuangan sesat, pecah belah masyarakat, keterlaluan, tidak sederhana dan sebagainya. Pada mereka dikata orang: si fasik yang melakukan segala macam maksiat kerana untuk mendapat harta(sesuap pagi) dan sedikit kelazatan hidup dunia lebih bertaqarrub kepada Allah s.w.t berbanding dengan si alim yang menjadi pengampu kepada segala yang taghut. Mereka mengkhianati agama, ummah dan lain-lain dengan memberi sokongan kepada si penjenayah.

5. Ulamak "Muslihun Harakiyyun". Mereka memahami bahawa Islam satu cara hidup yang membawa kesejahteraan kepada manusia. Islam pembebas ummah daripada memperhambakan diri kepada yang lain daripada Allah s.w.t. Mereka ini berhempas pulas berusaha untuk mengajak ummah kembali menghayati syariatNya di samping mengajak ummah manusia seluruhnya menganut agama Islam.
Keterlibatan mereka di dalam kerja-kerja Islam sangat kelihatan. Begitu juga dalam kancah politik tanahair tidak dapat dinafikan lagi. Mereka memberi kesedaran betapa perlunya ummah Islam membebaskan diri dari belenggu penjajahan politik, ekonomi, pemikiran dan Iain-Iain lagi. Hampir keseluruhan negara ummah Islam mencapai kemerdekaan melalui usaha-usaha mereka yang gigih itu, namun demikian usaha mereka untuk menjadikan ummah Islam menghayati syariatnya dalam semua aspek belum mendapat kejayaan. Ini adalah dlsebabkan kerana negara-negara ummah Islam meminggirkan para ulamakk daripada pentadbiran dan pemerintahan negara selepas mencapai kemerdekaan. Akhirnya mereka menjadi musuh buruan oleh pemerintah yang juga mengaku ianya Islam. Atas nama Islam mereka ditangkap, dipenjara dan berbagai-bagai lagi.
Mereka bukan sahaja dikecam oleh pemerintah tetapi juga oleh golongan ulamakk yang boleh dipergunakan oleh pemerintah. Kalau golongan ulamakk yang pernah digunakan oleh para pemerintah sedar, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan situasi yang ada sekarang ini, maka sudah tentu mereka dapat mengerti yang sebenarnya menjadi musuh kepada kerajaan warisan penjajah itu ialah Islam. Siapa sahaja yang ingin melaksanakan Islam - yang hendak menerangkan Islam seperti mana yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, pasti akan mendapat tentangan daripada kerajaan warisan itu. Golongan Ulamakk inilah yang dikenali sebagai ‘ulamak warasatul anbiya’.

Cabaran

Cabaran yang kita maksud kan disini ialah, cabaran dari sudut haraki. Cabaran ini kita dapat rumuskan kepada 5 golongan:

1. Umat Islam yang belum memahami Islam.
2. Ulamak Su’ (Ulamak Dunia/Ulamak yang bukan ‘warathatul anbiya’)
3. Kerajaan yang memerintah.
4. Gerakan dan Pertubuhan Dirar.
5. Musuh Tradisi

Harapan

Pada awal 70an, orang barat bercakap tentang peranan kedamaian dalam suku terakhir kurun kedua puluh. Mereka membuat beberapa ramalan dan andaian sekiranya tidak berlaku perang dunia ketiga pada suku abad ini, bagaimanakah corak dunia ketika itu. Dalam perbincangan ini mereka mewarnakan peta dunia kepada tiga warna.

Warna merah sebagai lambang pengaruh Komunis, warna kuning sebagai tanda pengaruh Kristian dan warna hijau sebagai isyarat kepada pengaruh Islam. Mereka berpendapat warna merah akan terus pudar dan akan hilang, begitu juga dengan warna kuning. Adapun warna hijau akan terus melebar dan mengambil tempat menggantikan warna kuning dan merah itu.

Perbincangan tersebut berlaku pada waktu diamana dunia ini dikuasai oleh dua pengaruh besar. Pengaruh timur yang dipelopori oleh empayar komunis Rusia dan pengaruh barat yang dikuasai oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang beragama Kristian.

Pendapat ini sukar sekali untuk diterima yang ianya akan menjadi kenyataan pada waktu itu. Walau bagaimanapun sekarang ini ia mula menjadi kenyataan. Empayar Komunis sudah tumbang. Kebangkitan Islam dinegara-negara bekas jajahan Komunis itu tidak dapat dinafikan lagi. Kebangkitan Chechya dan lain-lain Negara menjadi kenyataan.

Manakala di sebelah barat pun ternyata benar apabila gereja Kristian dibeli oleh orang-orang Islam seterusnya bertukar menjadi Masjid. Perkembangan ini menyebabkan kerajaan British mengenakan satu akta untuk menghalang pertukaran gereja kepada Masjid. Pertumbuhan Masjid baru di Amerika Syarikat, di Francis dan lain-lain adalah menjadi bukti tambahan.

Perkembangan tersebut dibantu pula dengan perkembangan pejuang Islam didalam negeri Islam sendiri termasuklah Negara kita walaupun perjuangan umat Islam dibawah kepimpinan ulamak untuk menegakkan Islam didalam Negara mereka sendiri dihalang oleh mereka yang kita sebutkan sebelum ini.

Namun begitu perjuangan ini terus mendapat sambutan dan mendapat tempat dihati rakyat. Perjuagan ini telah menampakkan kejayaan walaupun belum dapat melaksanakan beberapa agenda utama seperti menegakkan pemerintahan Islam, perundangan Islam, ekonomi Islam dan lain-lain.

Perkembangan-perkembangan yang tersebut dan pendapat-pendapat yang diutarakan ini bukanlah suatu perkara yang baru bagi orang yang sentiasa mendampingkan diri mereka dengan Al-Quran.

Antara lain Allah berfirman yang beraksud: “mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian)”. - (At-Taubah: 32)

Maksudnya: “Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) Dengan membawa petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikanNya atas Segala ugama Yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”.
- (At-Taubah: 33)

Rasulullah S.A.W bersabda antara lainnya yang bermaksud: “Agama ini akan terus sampai di mana sahaja sampainya siang dan malam”. - (Riwayat Ibn Hibban)

Dalam pada itu kita mesti ingat bahawa kejayaan dan kemenangan yang dijanjikan Allah itu tidak diberi secara percuma. Malahan mestilah melalui perjuangan yang gigih. Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Dan jika Allah mahu nescaya ia memberi kemenangan (mudah bagi kamu) dalam menentang mereka, dan tetapi ia menguji setengah kamu dengan setengah yang lain”. - (Muhammad:4)

Kerja yang telah dilakukan oleh PAS dibawah kepimpinan ulamak didalam menangani keadaan yang ada sekarang bolehlah dirumuskan seperti berikut:

1. Bertindak menjelaskan Islam dari semua sudut dan penjuru dalam semua bidang kehidupan kepada semua lapisan masyarakat.

2. Mengadakan perbandingan yang rapi dan terperinci antara Islam dan yang bukan Islam dalam semua aspek seperti ekonomi, undang-undang, politik, pentadbiran, pemerintahan dan sebagainya dimana hal ini diterjemahkan secara amali diKelantan,di Kedah dan pernah juga di Terengganu.

3. Menghapuskan segala kekeliruan yang dilemparkan kepada Islam.

4. Mentarbiyah dan mendidik orang Islam supaya benar-benar mengerti Islam dan memahami tanggungjawab perjuangan untuk menegakkan Islam. Selepas 1982 tertubuhnya pusat-pusat tarbiyyah PAS seperti cendawan diseluruh Negara. PAS juga memasuki IPTA, IPTS dalam dan luar Negara.

5. Menyusun rapi segala tenaga yang telah dididik supaya semuanya berfungsi dan berperanan.

6. Menjadi benteng kepada Islam untuk menghadapi segala cabaran golongan taghut dan seterusnya mengundurkan golongan tersebut dari kerusi masing-masing melalui cara-cara yang dibenarkan oleh undang-undang di Kelantan, Kedah dan lain-lain.

7. Melibatkan diri dalam semua kegiatan kemasyarakatan politik tanah air sehingga berlakunya Tahaluf Siyasi yang meyakinkan rakan-rakan akan Islam dan dasar-dasarnya.

Justeru, Kita tidak perlu risau dengan kepimpinan Ulamak’ walaupun banyak cabaran. Malam itu sangat gelap tetapi fajar akan menyising dan matahari akan terbit.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka”. - (An-Nur:55)

Ustaz Zolkharnain sifatkan "dapat 1, 2 lagi terlepas" akibat rebut kerusi Timbalan Presiden PAS!

Blogger Tarmizi Mohd Jam dalam satu pertemuan dengan Nasharuddin di lobi Parlimen awal tahun ini


KUALA LUMPUR: Blogger yang juga mantan Adun Santan, Perlis, Ustaz Zolkharnain Abidin tidak dapat menolak sebarang kemungkinan, memang Nasharudin, Husam dan Mohamad (disebut mengikut bilangan pencalonan yang diterima) pasti akan bertanding untuk kerusi Timbalan Presiden. Kerusi itu hanya satu, bukan dua dan rasanya tak akan jadi dua atau tiga.

Katanya pada salah satu posting Blog Bila Sauh Dibongkar, jawatan itu sepenting Presiden. Bukan sekadar sebagai pembantu utama Presiden tetapi sebagai Presiden ketika ‘keuzuran’ Presiden. Sebab itu ia cuma satu dan bukan dua atau tiga.

Keputusan Majlis Syura Ulamak menyerahkan kepada muktamar untuk menentukan siapa yang layak untuk menduduki kerusi itu adalah tepat. Bukan masanya untuk berpolemik ‘ulamak dan profesional’. Polemik itu umpama membongkar bata bangunan untuk dimasuki kelawar. Sekali kelawar masuk, sukar benar untuk dihalau keluar.

Ketiga-tiganya adalah orang baik dan hebat. Sebagaimana tiada seorang pun daripad
a mereka menjadi yang terbaik, begitu juga tiada sesiapa pun yang menjadi tercorot. Seperti mana tiada sesiapa pun yang sempurna, begitu juga tiada sesiapa pun yang buruk semuanya.

Ustaz Zolkharnain berkata, sesiapa sahaja di kalangan mereka boleh merasakan dirinya adalah terbaik dan layak dipilih, namun jangan ada sesiapa pun yang merasakan saingannya adalah buruk dan tidak layak terpilih. Tuhan benci manusia takabbur. Orang itu tiada tempat di dalam syurga. Orang takabbur ialah penolak kebenaran dan penghina manusia lain.

Mereka bertiga hanya bersaing untuk jawatan itu sahaja. Apabila salah seorang menang, yang dua lagi akan tidak bertempat dalam hirarki utama parti.

Kalau mereka mempertahankan jawatan masing-masing sekarang sahaja, ulasnya, diyakini kita akan mendapat ketiga-tiganya. Tetapi apabila mereka bersaing untuk Timbalan Presiden, kita akan dapat satu dan akan keguguran dua.

"Kalau pakai ilmu lojik, mana lebih baik antara dapat tiga dengan dapat satu dan gugur dua? Tentu jawabnya, dapat tiga lebih baik. Namun, itu hanya menjadi matematik sahaja kerana keputusan mereka untuk bersaing adalah muktamad," usik beliau.

Benar, Presiden boleh melantik dua orang yang tidak terpilih untuk menduduki kerusi harian Pas Pusat samada Setiausaha Agung, Bendahari dan Ketua Penerangan atau AJK Pas Pusat. Dan, rasanya itu yang bakal dilakukan Presiden. Beliau tentu tidak mahu kehilangan seorang pun daripada mereka.

Katanya lagi, mereka yang tidak terpilih juga tidak akan janggal untuk ‘turun ke bawah’, tetapi ibarat tangga yang ada tiga anak, kita gugurkan dua daripadanya. Dua yang digugurkan itu pula kukuh-kukuh belaka.

Ini tidak bermaksud bahawa mereka yang bakal bersaing untuk jawatan Naib Presiden untuk menggantikan Husam dan Mohamad tidak bagus. Mereka bagus tetapi apa yang ingin diungkapkan di sini ialah kita akan keguguran dua daripada tiga yang bagus juga.

"Jangan marah kalau saya kata begini. Pemimpin kita yang bakal bersaing itu memangsakan perwakilan. Saya tidak berkata bersaing itu salah. Saya juga tidak berkata perwakilan muktamar tidak bijak.

"Perwakilan sayang ketiga-tiganya tetapi kita memaksa dan memangsakan mereka untuk memilih salah satu daripada tiga. Mereka sepatutnya dapat ketiga-tiganya, tetapi mereka hanya boleh mengambil satu sahaja. Adakah itu adil?" tanya Zokharnain.

Apa pun, katanya, beliau tetap mendoakan kebaikan untuk semuanya. Sebagaimana orang lain, beliau juga sayangkan tuan-tuan bertiga. "Mana-mana yang saya suka untuk diri saya, itu juga yang saya suka untuk tuan-tuan bertiga."

"Cuma satu harapan terakhir saya. Semasa undi dikira, saya harap jumlah undi yang diperolehi oleh tuan-tuan bertiga tidak termasuk undi tuan-tuan untuk diri sendiri. Saya harap tuan-tuan mampu melakukannya. Kalau tidak, tuan-tuan hitunglah diri tuan-tuan sendiri," Zolkharnain mengakhiri posting bertajuk "Kita Dapat Satu, Tapi Terlepas Dua" yang diapungkan pada blog beliau Bila Sauh Dibongkar pada Isnin, 2009 Mei 25.

Penarik Beca sokong penuh saranan Dr Haron Din agar waspada "musuh dalam selimut"?

Dr. Haron Din dipersoalkan?

KUALA LUMPUR: "Saya menyokong sepenuhnya cadangan Ustaz Dr Harun Din di dalam apa yang diSMSkan merata-rata sebagai "Jubli Kekempenan Ulama (baca: Ustaz Nasharudin Mat Isa)" di Markaz Tarbiyyah PAS, Taman Melewar," kata Penarik Beca.

Katanya, keahlian PAS boleh menerima sesiapa sahaja yang Islam dan mereka adalah penentu kepada kepimpinan PAS itu sendiri. Ini akan membuka peluang besar kepada Umno atau musuh luar negara untuk meramaikan ahli PAS bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam.

Seperti orang lain, Penarik Beca juga sangat bimbang kepada musuh di luar negara. Sebab itulah, para pemimpin negara atau parti Islam mesti berhati-hati berurusan dengan pihak luar negara terutama negara-negara kuasa angkuh seperti Amerika Syarikat.

Sebab itulah, ujarnya, apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan yang luar biasa dari negara-negara luar beliau rasa tak sedap hati. "Saya tak tuduh. Tapi, saya rasa tak sedap hati. Lebih tak sedap hati lagi kalau wujud dakwaan ada pemimpin PAS yang selalu berseorangan ke Amerika, Australia, Singapura."

Persoalannya, benarkah ada pemimpin PAS yang sering pergi seorang diri ke Amerika, Australia, Singapura dan menginap di hotel enam bintang di pulau itu serta melakukan transaksi melibatkan wang di sana?

Kalau benar, tegasnya, beliau rasa tak sedap hati. "Saya tak berani tuduh. Tapi kalau benar, saya rasa tak sedap hati. Maklumlah, ada perkara yang pada awalnya dicelakan sebagai fitnah tetapi akhirnya terbukti memang benar-benar berlaku seperti perkhabaran mengenai berkendak politik dalam gelap dengan Umno."

Ulasanya, Dr Harun juga kelihatan bimbang Umno akan mengambil peluang menghantar orang-orangnya "bagi tujuan mempengaruhi pemilihan PAS atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam".

Memang, semua orang mesti merasa bimbang seperti beliau kalau Umno buat kerja seperti itu. Kalau benar, ia sama bahaya dengan kenyataan Dr Harun sendiri di muka hadapan salah satu keluaran akhbar Siasah yang mencadangkan PAS dan PKR dibubarkan serta ditubuhkan parti baru yang berketuakan Anwar. Na'uzu biLlahi min zalik!

Mengambil kira kebimbangan Dr Harun itu, Penarik Beca tertanya-tanya benarkah dua orang yang dikenali sebagai pak yet Anwar menjadi orang yang mula-mula mengatur pertemuan antara beberapa orang berkedudukan tinggi dalam PAS dengan hamlau-hamlau berkedudukan tinggi dalam Umno.

Jika benar dua orang yang saya kenali sebagai pak yet Anwar itu melakukan kerja sebusuk itu, adakah mereka patut dimaafkan? "Saya juga tertanya-tanya adakah mereka sudah berhenti menjadi pak yet Anwar kerana bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak lagi menjadi pembesar Umno dan tidak ada lagi projek untuk diberikan? (Masih ingat business deal di Hotel Ming Court?) "

"Saya juga tertanya-tanya benarkah wujudnya kutu cikai yang didakwa bernama Datuk Wan Abu Bakar dari Task Force 2010 yang menjadi tok dalang langkah politik beberapa orang dalam PAS? Langkah politik itu pula didakwa bertujuan melunakkan pendirian ahli-ahli PAS terhadap Umno sehingga bersedia berkerjasama dengan parti itu atas dasar memilih darurat yang lebih ringan atau akhafud-dharurain," katanya lagi.

"Saya sebut kutu cikai kerana kedudukannya yang dilaporkan setakat satu dua takah sahaja di atas pangkat kapten. Jika benar wujudnya kutu cikai itu dan jika benar beliau menjadi tok dalang kepada langkah politik beberapa orang berkedudukan tinggi dalam PAS, tak patut sungguh kalau kutu kemere seperti itu yang menjadi pengatur langkah politik orang-orang yang berkedudukan begitu tinggi serta berilmu tinggi di dalam PAS. "

Sedangkan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusatlah yang sepatutnya memberikan kata putus mengenai langkah politik itu jika benar wujudnya langkah politik berdasarkan propaganda kurang ajar dari kutu cikai yang kedudukannya hanya setakah dua sahaja di atas pangkat kapten itu, tegasnya.

Jangan lupa, Revolusi 1982 di dalam muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka dahulu berlaku antara lain kerana langkah politik PAS sentiasa berlainan dengan keputusan Jawatankuasa Agong PAS ketika itu. Beliau bertanya, masihkah wujud elite circle yang membuat keputusan di dalam PAS yang di luar dari pengetahuan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat?

Dengan memohon maaf kepada yang telah pergi dan yang masih hidup dalam keadaan uzur, pada masa itu bergema tuduhan bahawa keputusan di dalam PAS dibuat di "nombor 10 Downing Street" (sebenarnya nombor 10, Jalan Swee Guat iaitu rumah Almarhum Tan Sri Asri Muda) dan dibuat oleh Asri, (Almarhum Puan Sri) Sakinah (Junid) dan seorang lagi yang beliau (Penarik Beca) tak gamak sebut namanya kerana dia sangat uzur. Bukan soal benar atau tidak tuduhan itu. Tetapi itulah tuduhan yang sering bergema waktu itu.

Mengenai kutu cikai itu lagi, beliau bertanya, benarkah kutu kemere itu diupah mencari jalan untuk melanjutkan pemerintahan seorang Perdana Menteri yang dituduh bodoh dan melingkupkan partinya sendiri? Rasa-rasa macam kenal Perdana Menteri yang mempunyai deskripsi seperti itu. Siapa agaknya yang hendak berhenti pada tahun 2010 tetapi dihambat dari kedudukannya sebelum sempat menarik nafas dua tiga kali?

Mungkin sebab itulah projek kutu cikai itu dinamakan Task Force 2010.

Jika benar berlakunya langkah politik berasaskan proganda kutu cikai itu, benarkah propaganda kutu cikai itu dipercayai oleh orang orang-orang yang berilmu tinggi termasuk yang mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi, ijazah sarjana malah ada yang mempunyai PhD?

Jika benar mereka terpedaya dengan propaganda taik kucing kutu cikai itu, tidakkah mereka tahu bahawa karut-marutnya itu adalah sebahagian dari grand design untuk menyelamatkan dan mengekalkan kuasa seorang Perdana Menteri yang dituduh bodoh dan melingkupkan partinya sendiri?

"Jika benar, mengapa mereka menjatuhkan kedudukan mereka kepada penipuan kutu cikai yang yang kedudukannya hanya setakah dua sahaja di atas pangkat kapten itu? Benarkah kutu cikai itu menjalani kehidupan yang tidak bertepatan dengan apa yang dihalal dan diharamkan oleh Islam? Jika benar, adakah orang-orang berkedudukan tinggi di dalam PAS itu tidak tahu perkara tersebut?" tanya Penarik Beca dalam postingnya.

Beliau turut mendedahkan, dalam pertemuan antara beberapa orang berkedudukan tinggi dalam PAS dengan hamlau-hamlau berkedudukan tinggi dalam Umno selepas pilihan raya umum tahun lalu itu, benarkah pengarah jawatankuasa tertentu di dalam PAS memberitahu Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa tokoh-tokoh muda di dalam PAS mudah sangat diyakinkan supaya menerima langkah politik berdasarkan propaganda kutu cikai itu?

"Benarkah Dr Harun sendiri mengadakan tiga kali pertemuan dengan Abdullah. Saya tidak tuduh dan hanya bertanya. Saya juga tidak tahu sebab pertemuan itu, jika ia benar berlaku. Mungkin Abdullah hendak ubat. "

"Saya sama sekali tidak bersetuju dengan usaha mewujudkan kerajaan katak 16 September (lihat posting saya, "Tun boleh la, Tun Banyak duit"). Tetapi saya lebih tidak bersetuju jika benar dakwaan bahawa kenyataan penentangan pengarah tertentu terhadap empayar katak itu dibuat berdasarkan keputusan apa yang didakwa sebagai "komiti Wan Abu Bakar" itu. "

"Saya amat sedih apabila ada yang mendakwa bahawa program di Markaz Tarbiyyah semalam adalah extension dari usaha demi usaha untuk menepis keresahan ahli-ahli PAS terhadap langkah-langkah politik yang diilhamkan oleh perancangan busuk kutu cikai itu," tegasnya Penarik Beca.

Allah Maha Menyaksikan segala-galanya. Saya tidak tahu dan saya bertanya. Dan, jika saya mereka-reka fitnah, Allah jua yang akan menghukum saya. Kepada Allah saya menyerah diri.

Blog Jiwokelate sifatkan Dr Haron Din berkempen guna Sinar Harian untuk menangan Nasharuddin!

Tidak siapa dapat menafikan minat Dr. Haron Din mahukan kerusi Timbalan Presiden diisi oleh Nasharuddin Mat Isa pada pemilihan PAS, 5 Jun ini


KUALA LUMPUR: Baca Sinar Harian hari ini 30 Mei 2009 bertajuk “KESETIAAN AHLI DIRAGUI”. Banyak perkara boleh direnungkan.

"Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din semalam menyuarakan kebimbangan bahawa tahap wala’ ahli kepada Presiden Parti semakin berkurangan kerana ada segelintir lebih menumpukan kepada pemimpin lain dalam memperjuangkan agendanya."

Jika ragui kepada ahli batalkan saja program Jom Sertai PAS. Kasihan kepada Program ini. Tutup saja Laman ini http://www.jomsertaipas.com/.

Siapa tak wala’ ni? Kerana pertandingan jawatan dalam parti, timbul isu tidak wala’? Bukankah pertandingan itu dibenarkan oleh Perlembagaan PAS dan Majlis Syura pada mesyuaratnya 10 Mei lalupun mempertegaskan persoalan ini.

“Konsep kepimpinan ulama bermakna Presiden, Timbalan Presiden dan ahli jawatankuasa pusat parti akan dipandu oleh Majlis Syura Ulama,” kata Dato’ Dr Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS. – 10 Mei 2009.

Dr Haron Din tidak berkempen?

Mengulas mengenai pemilihan peringkat tertinggi khususnya pertandingan bagi peringkat jawatan Timbalan Presiden dalam Muktamar parti Jun ini, Dr Haron Din membanyangkan bahawa calon yang bertaraf Ulamak perlu dan akan menguasai kerusi itu. – Sinar Harian 30 Mei 2009.


Sebagai Timbalan Mursyidul Am PAS, Dr Haron Din tidak sepatutnya berkempen, sepatutnya beliau senyap sahaja. Kerana beliau juga kena baca Perlembagaan PAS Fasal 14 Hak-Hak Ahli.

Sepatutnya beliau menjadi ‘orang tengah’ tidak berpihak kepada mana-mana kelompok Ulama, Profesional atau aktivis kerana setiap kelompok ini ada peranan masing-masing yang perlu digunakan bagi memajukan parti.

Jika orang seperti Haron Din sudah memihak dan menunjukkan sikap seperti ini: “Dalam keadaaan sekarang parti perlu menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh setengah pihak yang menyatakan bahawa terdapat puak yang dinamakan sebagai ‘Erdogan’ yang lebih pro kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Umno, semua ini perlu diatasi oleh PAS” – Sinar Harian 30 Mei 2009.

Siapa setengah pihak itu? Sipa pula yang dituduh sebagai Erdogan yang Pro Anwar? Maka alangkah malangnya PAS selepas ini jika Dr Haron Din yang asyik ‘menuduh’ atau mendengar sahaja apa yang diperkatakan pembantu tanpa siasatan rapi ataupun sekurang-kurangnya bawalah ke mesyuarat supaya diputuskan.

Ingat! Dato’ ini bakal menggantikan Tok Guru Nik Aziz sebagai Mursyidul Am pula.

Adakah tuduhan Dr Haron Din boleh dipertanggungjawabkan, berFAKTA?. Apakah ini tidak boleh dibawa bincang dalam Majlis Syura Ulamak atau Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, TERPAKSA diluahkan kepada media-media yang dianggap musuh sebelum ini. Adakah dengan meluahkan kepada media semua masalah parti dapat diselesaikan?

Apakah Haron Din telah lupa, suatu ketika dulu, dua perkara besar yang berlaku keatas dirinya:

1. beliau telah diamanahkan untuk bertanding di Kawasan Parlimen Arau pada Pilihanraya Umum ke 11, beliau menolak dengan alasan. Alasannya memang logik? Tetapi dimana Wala’nya ketika itu. Ini juga bukti tidak ada wala’ kepada Jemaah. JIKA BELIAU SENDIRI TIDAK WALA’, APA NAK DIKATA. Semua ahli PAS Kecewa dengan sikapnya ketika itu. Dan kenapa pula pada pilihanraya ke 12, Mac 2008 lalu beliau sanggup bertanding. Alasannya juga kemas. Masalah dulunya sudah selesai. Sudah Beres Pak. Tetapi PAS terpaksa berkorban untuknya? Nak tahu lanjut, tanya PAS atau pemimpin-pemimpin PAS yang kanan-kanan. Tetapi mungkin mereka tak cerita. Jangan tanya saya. Saya pun dengar juga. Jika tanya saya, sila berikan ICnya kita periksa di Pejabat Kerajaan.

2. Suatu ketika dulu (Siasah?) Dr Haron Din pernah mencadangkan supaya PAS dibubarkan dan ditubuhkan parti baru dengan melantik orang lain (Anwar) jadi Ketua. Ini juga mengkhianati wala’ yang diberikan.

Akhir sekali jangan tuduh orang sembarangan, kerana orang lainpun boleh kata macam itu juga. “SIAPA MUSUH DALAM SELIMUT” – Orang yang berkendak dalam gelap atau orang yang menentang Orang Berkendak dalam gelap.

Cubaan membawa parti berkompromi dengan Umno jelas memperlekehkan wala’ yang ahli PAS berikan. Jangan lupa Orang ‘Baling Batu Sembunyi tangan’. Orang macam ini pun sangat membahayakan parti.

Dato' Wan Rahim mahu perwakilan Muktamar PAS beri input pastikan kemenangan PAS di Manek Urai

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Rahim Abdullah berkata, pandangan dan idea bernas mengenai isu Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manik Urai yang akan dicetus para perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS ke 55 nanti akan dijadi input yang berguna kepada pimpinan parti, lapor Roy Rasul.

Perwakilan ujarnya mungkin cuba memberikan pengalaman masing-masing untuk memastikan PAS mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil tersebut pada 14 Julai depan.

"Jadi pandangan-pandangan yang baik daripada perwakilan, khasnya yang mempunyai pengalaman di tempat masing-masing merupakan input-input yang berguna kepada pimpinan parti dalam merangka dan menyusun strategi menghadapi pilihan raya kecil Manek Urai," katanya semasa diminta mengulas mengenai isu pilihan raya kecil Manik Urai yang dijangka menjadi topik perbahasan dalam Muktamar Agung PAS pada 5 hingga 7 Jun ini.

Kerusi Manek Urai kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun), Ismail Yaacob 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Ismail, 60, yang mewakili PAS memenangi kerusi Manek Urai sejak pilihan raya umum 1986 kecuali pada 2004 kerusi tersebut diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim tetapi tewas ditangan calon BN Mohamed Zulkifli.

Pada pilihan raya umum ke-12, Ismail yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Krai menewaskan Mohamed Zulkifli dari BN dengan majoriti 1,352 undi. DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut terdiri daripada DUN Dabong, Guchil serta Mengkebang.

Menurut Wan Rahim yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Umno beranggapan Dun Manek Urai memberi satu peluang yang baik kepada mereka untuk mencari kemenangan dalam membakar semangat dan memberi satu peralihan baru sejak siri pilihan raya kecil yang bermula daripada Permatang Pauh sehingga ke Penanti.

Ujarnya, beliau tidak menolak Umno mempunyai peluang 50-50 di Manek Urai berdasarkan kepada hakikat BN pernah memenanginya dalam pilihan raya umum 2004 walaupun dengan majoriti yang kecil.

Oleh kerana itu tegasnya, PAS menghadapi satu penentangan yang cukup kuat dari BN pada pilihan raya kali ini.

Wan Rahim berkata, PAS tidak boleh terlalu yakin untuk mencapai kemenangan dan jentera pilihan raya perlu membuat penyusunan yang rapi dalam gerakerja. Malah katanya, pengalaman lalu menunjukkan kelalaian dan kesilapan kecil membawa kepada kekalahan PAS pada 2004.

"Inilah yang menjadikan pilihan raya Manek Urai cukup menarik dan Umno akan bermati-matian bagi mendapat kemenangan di sini untuk menyuntik satu semangat baru kepada ahli-ahli mereka.

"Umno akan cuba untuk memberikan satu arah baru dalam senario politik nasional," katanya.

Ujarnya, mungkin perwakilan akan cuba memberikan pandangan masing-masing kerana Manek Urai merupakan satu mercu tanda dalam perjuangan PAS di Kelantan. Sejarah pernah tercipta pada tahun 1978 apabila PAS hilang kuasa dalam pilihan raya ketika itu. PAS hanya menang di dua kerusi sahaja iaitu Dun Manek Urai dan Sering daripada 36 kerusi yang ditandingi.

Dua Dun tersebut katanya, Umno mengelarnya sebagai "batu nisan" kepada PAS.

"Jadi benda-benda ini mungkin cukup menarik untuk perwakilan di muktamar nanti memberikan pandangan mereka mengenai penyusunan jentera pilihan raya mengenai calon, sikap terlalu yakin kepada kemenangan yang akan membawa kepada kekalahan," tegasnya.

Walaupun Wan rahim berpendapat, PAS mempunyai peluang untuk menang namun jentera pilihan raya kecil perlu bekerja lebih kuat dan perlu melaksanakan kegiatan-kegiatan mesra pengundi.

Tegasnya lagi, di samping cuba untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada, PAS tidak boleh terlalu yakin dan perlu hati-hati dan kuat bekerja. Apa lagi katanya jika diukur dari faktor calon, PAS tidak mampu mencari calon yang baik seperti allahyarham Ismail atau Pak Su Weil.

"Oleh kerana Pok Su Weil (Ismail) cuma satu saja kita tidak mungkin dapat cari yang lebih baik dari allahyarham. Sama juga kita tidak boleh cari pengganti Tok Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan) sebagai pimpinan parti di Kelantan. Tak mungkin ada orang lebih baik daripada beliau. Begitu juga di Manek Urai pun sama juga," ujarnya sambil menyifatkan Ismail seorang Adun cemerlang dalam perkhidmatannya kepada masyarakat Manek Urai.

Kira-kira 5,000 ahli Umno Dun Penanti dijangka tidak akan keluar mengundi esok

Calon PKR, Dr Mansor Osman berkempen menemui peniaga pasar malam dalam usahanya untuk meningkat jumlah undi pada PRK Dun Penanti

PENANTI: Kira-kira 5,000 ahli Umno tidak akan keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Penanti esok kerana calon BN tidak bertanding, kata Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, lapor Malaysiakini.

"Jika mereka keluar (mengundi), ia seolah-olah mengkhianati parti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam. Datuk dan nenek mereka adalah pengundi BN, jadi mereka setia kepada parti," katanya lagi.

Di samping itu, katanya, tindakan tidak keluar mengundi itu boleh mengurangkan rasa sombong PKR yang didakwanya mengambil mudah terhadap pengundi. BN memutuskan tidak meletakkan calonnya bertanding dalam pilihanraya kecil tersebut atas alasan kekosongan kerusi tersebut adalah usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalamannya.

BN juga mendakwa pilihanraya kecil ini satu permainan politik pembangkang. Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan ketua menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin.

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas - bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Terdapat seramai 15,384 pengundi di DUN Penandi di mana 72.6 peratus daripadanya adalah Melayu, 24.2 peratus Cina, 2.4 peratus India dan 0.7 peratus kaum lain.

Zainal Abidin juga menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa pihaknya merancang membawa ahli Umno Penanti melawat Padang Besar, Thailand supaya mereka tidak mengundi Ahad ini.

Katanya, Umno bahagian Permatang Pauh tidak pernah menempah bas untuk tujuan tersebut.

"Khabar angin yang sedang disebarkan mengenai perkara itu adalah sengaja untuk memburuk-burukkan imej Umno. Kalau tidak percaya, lihatlah pada hari mengundi adakah bas yang buat rombongan. Tetapi saya tahu ada 15 majlis kenduri di Penanti, Ahad ini. Jangan kata, kenduri itu ditaja oleh Umno," katanya.

Zainal Abidin (foto) berkata, beberapa blog telah menyiarkan laporan tersebut sejak beberapa hari lalu. Menurutnya, beliau memberi jaminan Umno tidak akan mengadakan rombongan pada hari mengundi Ahad ini.

"Kalau ada satu atau dua bas, itu bukan Umno yang taja, mereka dah buat rancangan awal sempena musim cuti sekolah," katanya. Zainal berkata, ahli Umno tidak keluar mengundi kerana calon BN tidak bertanding di Penanti.

Katanya, tindakan Mohammad Fairuz mengosongkan kerusi Penanti menyebabkan pengundi di kawasan berkenaan terpaksa mengundi tiga kali dalam tempoh 15 bulan. Kali pertama, katanya ialah pilihanraya umum lalu, diikuti peletakan jawatan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan kini peletakan jawatan Mohd Fairuz.

Akan undur diri dari dunia seni, kebenaran akan terungkai 2 Jun ini, kata Waheeda kecewa

Waheeda menafikan khabar angin kononnya dirinya amat tertekan dengan tindakan Maizawati itu yang terus-menerus mengeluarkan kenyataan. Malah, khabar angin kononnya Waheeda kesal dengan tindakan Akhil yang masih terus mendiamkan diri

NADA suaranya kedengaran cukup ceria, tetapi adakalanya, penyanyi dan pelakon Waheeda ini jelas gagal menyembunyikan perasaan sedihnya berdepan dengan kontroversi yang amat hebat dalam dirinya ketika ini, tulis Wahida Asrani untuk mSTAR.Online.

Benar kata penyanyi yang popular dengan lagu Wassini ini, bukan mudah untuk menjadi 'dirinya'...apa yang ditanggung selama ini cukup berat. Dikecam sebagai perampas suami orang serta pemusnah rumahtangga adalah label yang amat dahsyat diberikan sesetengah pihak yang belum tahu hujung pangkal kebenarannya.

Tetapi, luah wanita berusia 30 tahun ini, biarlah apa saja tanggapan yang singgah terhadap dirinya. Asalkan keluarga dan kenalan rapat mengetahui kisah sebenarnya, itu sudah cukup memadai buat Waheeda walaupun tohmahan buruk akan terus berselingkar di dalam dirinya.

Pendedahan isteri penyanyi nasyid dan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy, iaitu Maizawati Zainal yang mengaku suaminya memang mempunyai hubungan dengan penyanyi itu juga nampaknya semakin 'panas' apatah lagi bila Maizawati dilihat semakin 'berani' mengeluarkan kenyataan kepada media tentang masalah yang melanda rumahtangganya itu sehingga dia mengambil keputusan untuk bercerai dengan Akhil.

Antara yang didedahkan oleh Maizawati, dia pernah menyatakan persetujuan membenarkan Akhil berkahwin lagi dan bersedia hidup bermadu setelah suaminya itu mengaku tentang hubungannya dengan Waheeda.

"Saya sudah bosan. Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya."

Namun, dia tidak tahu apa status hubungan suaminya dengan penyanyi itu kini apatah lagi Akhil sendiri sudah tiga bulan tidak pulang ke rumah dan hanya mengikuti perkembangan kisah suaminya itu menerusi media.

Kata Maizawati lagi, dia terpaksa mengambil keputusan bercerai untuk membina kehidupan baru dan kes berkaitan perceraiannya dengan Akhil akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada 2 Jun depan.

Dengan keadaan sekarang yang dilihat semakin 'berapi' ini, tutur Waheeda, biarlah dia terus bersabar dengan apa yang berlaku. Apapun, kesabaran itu tetap ada hadnya, cuma katanya, biarlah masa saja yang menentukan.

Namun, luah Waheeda, dia menafikan khabar angin yang mengatakan dirinya amat tertekan dengan tindakan Maizawati itu yang terus-menerus mengeluarkan kenyataan. Malah, khabar angin itu turut mengatakan Waheeda juga turut kesal dengan tindakan Akhil yang masih terus mendiamkan diri.

Akibat terlalu tertekan dengan hal ini, Waheeda dikatakan menjerit-jerit seperti orang gila sehinggakan beberapa barang di rumahnya juga habis dihempaskan kerana terlalu geram.

"Tak mengapalah. Biar mereka (Akhil dan Maiza) selesaikan. Kita tunggu saja 2 Jun ini...kebenaran akan terungkai juga," luah Waheeda dalam nada perlahan, sambil enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Katanya, buat masa ini dia lebih memberikan perhatian kepada kesihatannya yang tidak begitu baik sejak kebelakangan ini.

"Sekarang ini saya tengah berubat...penyakit yang sudah lama sebenarnya saya alami. Cuma sekarang ini semakin teruk pula," ujarnya yang tidak mahu bercerita lanjut tentangnya.

Nekad tinggalkan dunia seni

Lebih setahun yang lalu, Waheeda pernah menyuarakan hasratnya untuk meninggalkan karier seninya sebagai penyanyi dan pelakon. Ketika itu, ramai yang merasakan keputusan tersebut dibuat oleh Waheeda gara-gara isu kononnya penyanyi ini telah berkahwin dengan Akhil.

Namun, Waheeda masih lagi dilihat terus aktif dengan aktiviti seninya sehingga hari ini. Katanya ketika itu, dia menunggu album terbarunya dikeluarkan terlebih dahulu sebelum terus berundur. Dan memandangkan pada waktu itu semakin banyak tawaran yang datang, dia tidak menolaknya sementara menantikan albumnya itu siap.

Tetapi, tegasnya, dia tetap menyimpan hasratnya untuk tinggalkan bidang seni satu masa nanti.

Namun, dengan kontroversi hebat yang melanda dirinya ketika ini, kata Waheeda, dia memang nekad untuk 'bersara' dan kemungkinan besar akan terus menghentikan projek penghasilan album terbarunya itu.

"Saya sudah bosan. Dari dulu sampai sekarang macam-macam orang bercakap tentang saya. Kontroversi seperti inilah sebenarnya yang membuatkan saya ingin berhenti ketika itu. Untuk apa saya terus berada di sini sedangkan reputasi dan kredibiliti saya sudah tiada.

"Mungkin dulu saya bercakap seperti ini juga, tetapi saya tetap terus berada di dalam industri. Tetapi kini, saya rasa cukuplah apa yang saya lalui. Saya nekad untuk berhenti terus.

"Tidak guna untuk saya terus berdakwah menerusi bidang ini jika orang akan pertikaikan kredibiliti saya. Ibubapa saya juga menyarankan perkara yang sama kerana mereka tak sanggup melihat saya terus dilanda benda-benda macam ni.

"Sekarang ini saya tengah tunggu untuk selesaikan dulu projek-projek lakonan termasuklah program Cafe Akhil Hayy," kata Waheeda.

Walaupun sedar tindakannya itu tidak bermaksud akan mengakhirkan segala kontroversi yang melanda, namun kata Waheeda, 'at least' kehidupannya selepas ini mungkin akan lebih 'tenang'.

"Saya masih ada banyak benda yang boleh dibuat. Saya ingin terus lakukan kerja-kerja kebajikan. Ketika ini pun saya bertugas sebagai 'facilitator' di Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (PERKID).

"Mungkin jika saya ingin siapkan juga album tersebut, saya akan buat 'senyap-senyap' saja tanpa sebarang publisiti. Siapa yang nampak album saya itu di pasaran, itu sajalah...tidak akan ada majlis pelancaran atau sebagainya," kata Waheeda yang akui dia telah merakamkan semua lagu dalam album terbarunya itu.

PAS mahu Masjid Syaidina Ali buang slot Ucapan Ketua Umno Batu sempena Sambutan Jubli Perak masjid itu, Ahad ini!

KUALA LUMPUR: Ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat di kawasan Batu diminta tidak memberikan kerjasama kepada Penganjur Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Masjid Syadina Ali, Kg. Padang Balang selagi Ketua Umno Bahagian Batu, Dato' Yahya Mat Ghani masih diizinkan mengambil bahagian berucap pada hari perasmian sambutan.

Sepucuk nota bantahan telah diserahkan kepada pengerusi masjid berkenaan, Haji Zainal Abidin Maas selepas solat Maghrib, 28 Mei lalu oleh Setiausaha PAS Kawasan Batu, Haji Ismail Yahya.

Menurut beliau ketika ditemui, PAS memandang serius ucapan Ketua Umno Bahagian Batu pada acara perasmian Jubli Perak, 7 Jun depan sebelum perasmian dilakukan oleh YB Dato’ Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Wilayah Persekutuan.

Tegasnya, PAS menyifatkan slot tersebut sengaja diwujudkan dengan niat Umno mahu mengambil keuntungan politik mencari publisiti murahan dan mempolitikkan masjid pada program tersebut.

"Ada cadangan nak pakai baju Umno. Nak kerah kaum ibu Umno. Tetapi yang jelas, ucapan Ketua Umno Bahagian Batu itu sudah dicetak pada tentatif. Kenapa dia nak berucap? Ini program masjid," tegas beliau.

Secara objektifnya, ujar Ismail, masjid mesti bebas dari sebarang acara politik kepartian dan ini sudah diterima oleh seluruh ahli kariyah dan PAS akur dengan pernyataan itu dan tidak mahu ada kumpulan parti politik mengambil kesempatan atas apa jua alasan untuk berbuat demikian.

Pada nota bantahan itu, PAS memohon budi bicara pihak penganjur untuk membuang slot Ucapan Ketua Umno Bahagian Batu itu pada acara tersebut. Ini kerana ucapan itu semata-mata mewakili Umno Bahagian Batu dan bukan atas sebarang kapasiti lain yang mewakili rakyat teramai.

Bagaimanapun, tegasnya, PAS boleh menerima perasmian dilakukan oleh menteri sekalipun beliau adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan kerana kehadirannya atas kapasiti menteri kabinet, sama seperti ucapan Ahli Parlimen Batu, YB Tian Chua yang bukan bertindak sebagai Ketua KeADILan Bahagian tetapi atas kapasiti sebagai wakil rakyat Parlimen Batu.

"Mengapa Ucapan Ketua Umno Bahagian itu diselitkan di tengah-tengah acara yang tiada kaitan langsung dengan politik kepartaian Umno apatah program ini merayakan Jubli Perak 25 Tahun Masjid Syaidna Ali K.W yang sepatutnya penganjur prihatin dengan sensitiviti ahli kariyah," katanya.

PAS katanya, cukup faham dengan permainan licik pemimpin Umno itu.

Justeru, kiranya pihak penganjur gagal membatalkan slot Ucapan Ketua Umno Bahagian Batu itu, maka PAS Kawasan secara automatik mengarahkan seluruh ahli dan penyokong PAS yang menjadi AJK Masjid, petugas dan ahli kariyah agar tidak memberikan komitmen kepada majlis tersebut sebagai protes terbuka terhadap pembabitan Ketua Umno Bahagian Batu yang secara jelas menjadikan masjid sebagai gelanggang politik.

Yang Dipertuanya, Haji Ishak Surin ketika dihubungi menjelaskan, PAS tidak menentang program tersebut tetapi mahu pembabitan Ketua Umno Bahagian Batu itu ditiadakan. Malah, ujarnya, PAS menyokong penuh usaha yang dijalan oleh pihak masjid berkenaan dan akan mengerahkan seluruh ahlinya merayakan sambutan itu.

Bagi Naib Yang Dipertuanya pula, Tarmizi Mohd Jam, pihak pengajur sepatutnya bertegas dengan taktik pemimpin Umno untuk menyerap masuk ke institusi masyarakat setelah parti itu ditolak oleh rakyat. Mereka cuba mencari publisiti semula.

Katanya, mereka akan mencari jalan untuk menjadi "hero" dalam isu-isu rakyat. Sebab itu, slot ucapan yang hanya 10 minit disediakan itu, cukup bermakna kepada Dato' Yahya Mat Ghani kerana kemunculannya akan meletakkan Umno seolah-olah pejuang kepada nasib rakyat.

Walaupun sambutan Jubli Perak masjid itu hanya diumpamakan sebagai kulit pisang dan isinya ialah bantahan Draf KL 2020 tetapi, pengajur seharusnya faham bahawa dalang kepada Draf KL 2020 itu ialah Umno yang mahu mengambil kesempatan dari ursuniaga tanah-tanah rezab Melayu di sekitar Sentul termasuk Kg. Padang Balang untuk membukitkan kekayaan mereka.

"PAS Batu tidak menentang usaha murni Jubli Perak dan bantahan Draf KL 2020. Cuma yang kita minta, jangan babitkan Umno secara kepartian. Tapi kalau Dato Yahya itu bercakap atas nama mana-mana Pengerusi NGO, kita tidak bantah. Tapi kalau berucap atas nama Ketua Umno Bahagian Batu, itu salah bagi kami dan ia mesti disanggah," tegasnya ketika dihubungi.