KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 25, 2009

Hi-Tea bersama Nizar dan Mohd Sabu di Taman Melawar, 28 Jun ini

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan mantan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu akan menjadi tetamu khas kepada Majlis Ramah Mesra dan Hi-Tea anjuran Ikatan Anak Perak Diperantauan pada 28 Jun ini di Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar.

Menurut Presidennya, Ahmad Ezam Ahmad, selain dari hi-tea secara santai, program ini akan memberi peluang kepada kedua-dua tokoh PAS ini menjawab isu-isu yang dibangkitkan oleh hadirin disamping bertukar-tukar fikiran.

Ezam menggalakkan anak-anak Perak di Lembah Klang menyertai program ini bagi mendapatkan gambaran jelas tentang krisis yang melanda Perak, masa depan PAS, hala tuju Pakatan Rakyat serta kisah perbicaraan mahkamah yang berat sebelah dirasai Nizar.

Program sepetang ini akan diadakan antara jam 2 hingga 6 petang pada Ahad, 28 Jun ini. Kupon-kupun bernilai RM15 sudah mula dijual kepada orang ramai dan sesiapa yang berminat boleh mendapatkannya dari Asmadi-Kajang (017-6727584); Fahmi-Shah Alam (013-3657491); Fakhru Razi-Puchong (019-2316539) dan Pak Chat-Cheras/Ampang (019-3521849).

Pesuruhjaya PAS yang baru mahu meningkatkan sokongan pengundi Melayu di Perak


MUQADIMAH: Dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS, baginya adalah amanah berat yang mesti dipikul. Namun, amanah itu mesti bergerak seiring dengan tindakan. Ada kewajaran ahli-ahli PAS diajarkan dengan ilmu-ilmu politik yang menjadi sebahagiah daripada usrah. Malah konsep satu usrah, satu cawangan akan dijalankan selain dari memperkasa Lajnah Penerangan PAS Negeri. Kempen meramaikan ahli PAS, penambahan cawangan serta pendaftaran pemilih baru akan diligatkan selain membanyakan Kelab Penyokong PAS. Ikuti wawancara JOHARI JAAFAR berkenaan visi dan misi Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Husein di Pejabat Harkah Perak baru-baru ini.

Terlebih dahulu Harakah mengucapkan tahniah kepada ustaz yang telah dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang baru.

USTAZ ABU BAKAR: Terima kasih. Pemilihan saya sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Perak yang baru bagi menggantikan Ustaz Ahmad Awang, saya melihatnya satu tanggungjawab bukan penghormatan. Tanggungjawab yang bukan sedikit tetapi satu tanggungjawab yang besar kerana jawatan itu adalah amanah.
Saya dengan rasa rendah diri menerima jawatan itu. Saya percaya dengan sokongan dan bantuan dari rakan-rakan terutama ketiga tiga sanyap parti, Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat saya akan menjalankan tanggungjawab ini dengan kekurangan yang ada pada saya dan sedikit pengalaman.

Sebagai Pesuruhjaya PAS yang baru, apa yang bakal ustaz lakukan?

Saya akan sedaya mungkin untuk merealisasikan apa yang telah putuskan dalam Konvensyen PAS Perak baru baru ini di Teluk Intan. Iaitu memperkasakan dakwah dalam konteks memperkasakan dakwah dan tarbiyah. Dan ini akan menjadi keutamaan saya. Ada banyak perkara yang lompang yang perlu diperbetulkan.
Saya merasakan ada beberapa mekanisma yang perlu diberi nafas baru dalam kerja dakwah. Setiap ahli PAS perlu mengammalkan mesra dakwah. Walau apapun bidang kerja yang mereka lakukan, ahlli PAS mesti bersikap mesra dakwah. Ini yang saya mahu lakukan.
Sebagai ahli PAS mereka mesti prihatin dengan kerja kerja dakwah. Sebagai contoh mereka yang terlibat dalam bidang politik, dia tidak hanya bincang dari sudut politik semata -mata dengan masyarakat di luar PAS, tetapi mereka juga mesti mengambil kira pendekatan dakwah kepada masyarakat di luar PAS dan bukan Islam. Ini kadang kadang tidak diambil kesempatan oleh ahli PAS.
Kita perlu mendekatan diri dengan orang-orang Umno tetapi tidak bermakna kita bersama sama dengan mereka. Kita mendekati mereka adalah untuk menarik mereka bagi memahami politik Islam dan menyokong perjuangan PAS.
Rata rata orang Melayu yang memiliki pendapatan yang rendah tidak celik politik. Oleh kerana itu menjadi tugas ahli ahli PAS mempunyai ilmu politik yang mantap bagi menyedarkan orang-orang Melayu agar celik politik. Mereka masih menyokong Umno kerana mereka tidak celik politik, mereka menyokong Umno secara membuta tuli. Dalam hal ini dakwah itu perlu 'upgrade' khususnya kepada ahli ahli PAS sendiri.
Kita melihat dalam pilihanraya umum yang lalu, orang orang Cina dan India boleh menyokong PAS tetapi masih ramai orang Melayu tidak memilih PAS. Ini kerana sikap ta'sub orang-orang Umno menyokong BN. Mereka tidak faham politik, ini yang dikatakan mereka tidak celik politik. PAS kena ubah ini. Orang-orang Melayu di kampung perlu diberikan kesedaran untuk mereka celik politik.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS menang 6 kerusi Dun di Perak berbanding dengan Umno. Isu ini digunakan oleh Umno bahawa Umno masih mendapat sokongan besar dari orang Melayu. Jadi, macam mana PAS mampu menggantikan Umno?

Menang benar kita cuma dapat enam kerusi sahaja. Saya pun tewas di Dun Pengkalan Baru dengan majoriti hanya 14 undi. Saya melihat kewajaran ahli-ahli kita diajarkan dengan ilmu-ilmu politik. Ilmu politik kena diajar dan ianya mestilah dijadikan sebahagiah daripada usrah.
Saya berpeluang berkunjung ke Turki. Dalam usrah-usrah mereka diselitkan atau diajar mengenai ilmu politik kerana mereka adalah parti politik. Ketika negeri ini dilanda krisis, ilmu politik seperti Perlembagaan Perak, undang undang perlu dipelajari oleh ahli ahli PAS.

Antara faktor masyarakat Melayu di kampung-kampung menolak PAS kerana maklumat tidak sampai. Di sini lajnah penerangan memainkan peranan. Bagaimana ustaz melihat kepentingan Lajnah Penerangan PAS Negeri?

Kita mengakui antara sebab penolakan orang Melayu di kampung-kampung kerana mereka tidak mendapat maklumat. Dalam masa yang sama lajnah penerangan tidak berkemampuan menyalurkan maklumat ke sasaran yang sepatutnya. Saya merasakan lajnah ini perlu tingkatkan peranannya lagi. Saya akan memastikan lajnah itu mampu berperanan dengan baik.
Sumber-sumber maklumat perlu disebarluaskan ke kampung-kampung menerusi apa sahaja cara. Di kawasan yang semakin penting, penyebaran risalah atau pamplet yang mengandungi maklumat kepada orang ramai mesti dilakukan.

Bagaimana dengan misi PAS Perak?

Saya akan meneruskan momentum yang ada dengan dibuat beberapa pemerkasaan. Usaha bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri akan diteruskan dengan menjelajah ke kawasan-kawasan untuk memberi penerangan. Di samping itu kawasan-kawasan diminta melakukan usaha berterusan solat hajat dan munajat akan diteruskan, sehingga Dun dibubarkan.
Perjalanan pentadbiran negeri Perak dilihat tidak begitu lancar dan Dato' Seri Zambry tidak mendapat sokongan padu dari kakitangan kerajaan dan rakyat. Mengembalikan hak kepada rakyat adalah jalan terbaik dengan mengadakan pilihan raya semula di negeri ini.
Tarbiyah perlu dikukuhkan lagi kepada ahli-ahli. Walau apa pun yang berlaku, mereka yang ditarbiah akan mampu melihat perkembangan semasa yang berlaku dalam parti dari sudut yang positif.
Percanggahan pendapat dalam parti perkara biasa. Oleh itu kita mahu ahli ahli ditarbiyahkan dapat melihat ini dan berpegang kepada kebenaran. Perbezaan pendapat bukan pergeseran, ianya hanya perbezaan pendapat. Ahli yang ditarbiyah dapat memahami ini.

Tema konvensyen PAS Perak baru-baru ini "Memperkasakan Dakwah". Apakah sebelum ini dakwah dan tarbiah kepada ahli-ahli PAS di negeri ini masih ditahap yang rendah?

Tidak begitu. Apa yang kita mahu lakukan memperkasakan dakwah dan tarbiah. Kita mahu konsep satu usrah, satu cawangan itu berlaku dan dijalankan dengan lebih baik.

Hubungan antara Pakatan Rakyat penting terutama di Perak. Bagaimana Ustaz melihat perkara ini?

Kerjasama antara parti-parti Pakatan Rakyat berjalan baik di negeri ini. Kita masih lagi di peringkat permulaan. Mungkin ada yang terlepas pandang. Saya melihat hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat boleh berjalan terus.
Kerjasama ini telah membuahkan hasil bukan sekadar kita diberikan kepercayaan menjadi Menteri Besar, tetapi pemimpin-pemimpin DAP mulai mengenali keadilan Islam dan mahu mendekati Al Quran. Kita sedang fikir untuk mengadakan program bersama dalam memperkukuhkan Pakatan Rakyat di negeri ini.

Hubungan PAS dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagaimana?

Kita menyedari pentingnya peranan NGO dalam menyokong keadilan dan perjuangan yang ingin ditegakkan oleh PAS. Oleh itu kita mahu hubungan PAS dan NGO terus dikekalkan, bukan sekadar dengan NGO Islam tetapi dengan NGO bukan Islam.
Kita mahu mereka dapat melihat keadilan Islam dan menentang kezaliman. Sekiranya NGO mampu berperanan dengan baik menyokong perjuangan PAS, masyarakat akan mudah mendekati PAS.

Bagaimana dengan Kelab Penyokong PAS yang kian mendapat sambutan?

Disamping itu kelab-kelab penyokong PAS di negeri ini akan diperbanyakan. Tiap tiap kawasan mesti ada Kelab Penyokong PAS. Dalam masa yang sama ahli PAS mesti menunjukkan syaksiah yang baik dan ukhuwah yang yang mantap. Kita mahu ahli-ahli kita mampu menunjukkan akhlak yang baik yang dikagumi oleh mereka.
Pemimpin-pemimpin Umno tidak mampu menunjukkan contoh yang baik. Mereka lebih percaya kepada orang PAS. Kerana itu ahli-ahli kelab penyokong PAS perlu diyakinkan dengan keadilan Islam dan kezaliman bukan ajaran Islam. Apabila memahaminya, sokongan dari bukan Islam lebih terasa.

Apakah ustaz akan meneruskan apa yang telah di ketengahkan oleh Ustaz Ahmad Awang sebelum ini?

Saya akan meneruskan apa yang telah dijalankan oleh Ustaz Ahmad Awang, antaranya kempen meramaikan ahli PAS, kempen penambahan cawangan. Kita akan perhebatkan kempen tersebut termasuk kempen pendaftaran pemilih baru.

Pilihan raya umum ke 13, mampukah PAS menarik lebih ramai sokongan dari pengundi Melayu?

Sejauh mana kita mampu menarik sokongan dari kalangan orang-orang Melayu bergantung kepada pendekatan dan strategi kita. Kita perlu mencari pendekatan terbaik agar lebih ramai orang Melayu menyokong PAS. Mereka yang tidak menyokong PAS mungkin tidak mendapat cukup maklumat atau terpedaya dengan fitnah Umno.
Ini bermakna kerja kita bukan mudah tetapi ianya mampu dilakukan. Di mana silapnya orang Melayu tidak menyokong PAS? Ini perlu kita fikirkan dan mencari jalan mengatasinya. Tidak mustahil PAS mampu menggantikan Umno dalam pesada politik negara.
Islam itu cantik tetapi tidak dilihat cantik, tentunya ada penghalangnya. Kita kena musnah yang menghalangnya.

Suruhanjaya Bebas lebih diyakini mampu siasat PKFZ secara telus!


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menegaskan hanya dengan penubuhan Suruhanjaya Bebas, fakta-fakta yang sebenarnya dapat diketahui dalam menyiasat isu skandal Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Jelasnya laporan audit Pricewaterhouse Coopers terhadap projek PKFZ, yang kosnya kini melambung RM12.5 bilion yang telah dikeluarkan pada 28 Mei lalu mungkin untuk 'menutup' isu ini.
"Skandal PKFZ merupakan masalah besar yang melanda negara. Selagi tidak ditubuhkan suruhanjaya ini, kita tidak akan dapat mengetahui siapa sebenarnya yang terlibat dalam skandal ini.

"Apa yang kita tahu bekas pemimpin MCA terlibat dalam skandal ini. Sekiranya terdapat suruhanjaya penyiasatan, barulah individu yang terlibat dapat dibawa ke pengadilan. Jika kerajaan jujur dan betul-betul ingin melaksanakan konsep 'Satu Malaysia', barulah betul-betul dikatakan kerajaan mendahului rakyat, " katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Tegasnya lagi, penubuhan suruhanjaya tersebut lebih penting walaupun penerangan telah diberikan oleh Menteri Pengangkutan, Ong Tee Kiat mengenai laporan semakan kedudukan PKFZ oleh Pricewaterhouse Coopers Adivisory Services Sdn. Bhd di Dewan Rakyat pada 22 Jun lalu.

Ong Tee Kiat sewaktu membentangkan Penerangan Menteri berhubung laporan semakan kedudukan PKFZ yang diusahakan Pricewaterhouse Coopers serta langkah-langkah susulan yang digariskan oleh Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Klang itu adalah untuk menjadikan projek tersebut berdaya maju.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dalam sidang akhbarnya di lobi Parlimen melahirkan rasa kecewa dengan penjelasan yang diberikan oleh Tee Keat. Jelasnya, beliau amat berharap Ong Tee Kiat akan akan datang ke Parlimen dengan penuh persediaan bagi menjelaskan mengenai isu PKFZ itu.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak menyangka menteri berkenaan tidak menjawab soalan yang dikemukakan berhubung skandal tersebut bahkan, jawapannya begitu ringkas dan pendek.

"Lima soalan yang saya kemukakan sejak tahun lepas mengenai skandal ini tidak dijawab. Dan jawapannya pada hari ini terlalu ringkas dan pendek," katanya.

Tok Guru Nik Aziz di Himpunan Perdana Perpaduan 100 Ribu Rakyat

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan menganjurkan Himpunan Perdana Perpaduan 100 Ribu Rakyat pada 30 Jun nanti.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, program tersebut diadakan bagi menjelaskan kekeliruan terhadap segala fitnah dan konspirasi yang ditimbulkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan tujuan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Beliau yang mewakili Sekretariat Pakatan Rakyat menyeru orang ramai hadir ke program tersebut yang akan diadakan di Stadium MPPJ, Kelana Jaya bermula jam 9.00 malam.

"Program ini diadakan bagi menerangkan kepada orang ramai terhadap fitnah dan konspirasi yang dimainkan oleh Umno-BN yang bertujuan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat," jelas beliau kepada Harakah.

Satu ceramah perdana akan diadakan pada malam tersebut melibatkan kesemua pemimpin utama Pakatan Rakyat.

Antara yang telah menyatakan persetujuan untuk hadir pada malam tersebut; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan pemimpin-pemimpin utama ketiga-tiga parti.

PAS mesti rebut peluang 12 juta pengguna internet untuk rapatkan parti dengan mereka

KUALA LUMPUR: PAS mesti merebut peluang yang terdedah dengan sejumlah 12 juta rakyat negara ini mengakses internet sekali gus mendekatikan parti itu dengan hubungan yang lebih luas, pantas dan berpengaruh.

Mantan Pengerusi Lujnah Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar yang kini Naib Presiden PAS berkata, pendekatan dan pencambahan teknologi maklumat dalam era globalisasi, kini memberi peluang kepada PAS untuk berada di sisi segenap lapisan masyarakat dalam negara ini.

Katanya, fenomena-fenomena seperi facebook dan blog seharusnya dimanfaatkan oleh PAS bukan sahaja dalam konteks kekeluargaan dan pengajian tetapi dalam konteks lebih luas termasuklah panyaluran maklumat dalam bidang politik.

Dalam satu majlis ringkas penyerahan tugas, Mahfuz turut menyerahkan beberapa dokumen dan cakera padat yang mengandungi maklumat Lujnah Penerangan kepada pengerusi yang baru iaitu Ustaz Idris Ahmad di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, 22 Jun lalu.

Mahfuz juga mengharapkan Lujnah Penerangan dapat mewujudkan kumpulan pembaca dan penulis media utama sebagai usaha membentuk pemikiran dan fikrah rakyat terhadap persoalan dan isu yang berbangkit dalam negara.

Sehubungan itu, beliau juga yakin di bawah kepimpinan penggantinya, Idris Ahmad akan membentuk kumpulan penonton dan pemanggil khususnya dalam siri program realiti yang bersifat wacana intelektual.

"Kita memanfaatkan pendekatan ini supaya ada kumpulan penonton dan pemanggilan terus membuat panggilan terhadap rancangan yang disiarkan siaran langsung yang banyak membincangkan isu-isu semasa.

"PAS harus mengambil kesempatan ini dalam pelbagai bentuk strategi untuk menyampaikan pendapat dan pandangan dalam pelbagai isu," katanya.

Bahkan Mahfuz juga percaya dengan pendekatan ini PAS mampu menguasai pemikiran masyarakat walaupun tidak boleh memonopoli media.

"Kalaupun kita tidak boleh menguasai media arus perdana ini tetapi kita boleh menguasai pendekatan kumpulan pembaca," katanya yang mengharapkan pendekatan ini akan memberi lonjakan lebih besar untuk PAS mencipta kemenangan dalam PRU-13.

Dalam pada itu, Idris optimis rakyat akan berubah apabila ada maklumat benar yang disampaikan kepada mereka.

"Inilah tanggungjawab besar Lujnah Penerangan untuk memberi pemahaman kepada rakyat," katanya.

Idris tidak menafikan masyarakat luar bandar lebih mempercayai medium penyiaran yang dianggap paling berkesan mempengaruhi mereka, bagaimanapun PAS akan memastikan maklumat akan sampai ke akar umbi.

Bagaimanapun, katanya dengan wujudnya akhbar alternatif dan blog-blog di dalam internet sekali gus, maklumat itu disampaikan kepada ahli keluarga yang berada di luar bandar.

"Kita akan bekalkan maklumat ini kepada jentera penerangan di peringkat kawasan kita bekalkan isu peringkat nasional serta pendirian parti serta dasar," katanya.
di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut pada majlis ringkas penyerahan tugas.

Zailah desak PM bayar segera royalti petroleum untuk Kelantan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Ustazah Siti Zailah Yusuf mendesak agar Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak memberi pertimbangan yang adil terhadap rakyat Kelantan dalam pemberian royalti petroleum di negeri tersebut.

Jelasnya, hasil daripada petroleum di perairan Kelantan sejak 2004 itu termasuk dalam perangkaan hasil negara.

"Sudah semestinya sebagaimana negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak yang menerima bayaran royalti daripada hasil petroleum, kenapa Kelantan dinafikan haknya?

"Kerajaan Kelantan adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan rakyat Kelantan juga membayar cukai. Justeru saya amat berharap kerajaan dapat mengembalikan hak yang seharusnya menjadi milik rakyat Kelantan. Ini merupakan satu hak yang menjadi tanggung jawab kerajaan pusat yang termasuk dalam perlembagaan," tegasnya sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS menegaskan, setiap kali isu mengenai pemberian royalti petroleum ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam sesi soal jawab di Parlimen, menteri berkaitan memberi jawapan Kelantan tidak berhak ke atas royalti tersebut.

Jelasnya, pelbagai cara dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menyembunyikan fakta sebenar mengenai isu tersebut. Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat turut menyelar pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan yang disifatkan menganiayai pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

"Kerajaan Kelantan adalah kerajaan yang sah, yang dipilih oleh rakyat. Rakyat Kelantan membayar cukai. Jadi, seharusnya khazanah anugerah Allah ini dikongsi bersama oleh seluruh rakyat.

"Kita bimbang sekiranya kerajaan pusat tidak memberikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat, bukan sahaja rakyat akan mengutuk tindakan tersebut, bahkan kita bimbang akan diturunkan bala, sebab keberkatan itu tidak ada. Dengan kezaliman yang dilakukan, mungkin pelbagai ujian lagi akan menimpa kerana tidak memberikan hak kepada yang berhak," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar kerajaan menyegerakan pemberian royalti sebanyak RM1 billion kepada kerajaan Kelantan.

Hadapi Sister In Islam dengan cara damai, penghujahan - Khalid Samad

MUQADIMMAH: Usul menyiasat dan mengharamkan Sister In Islam (SIS) oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Shah Alam membuka satu 'polemik' kepada PAS yang menyebabkan ada sisi pandang berlainan terhadap parti. Walaupun sebenarnya ia ada berlaku kesilapan teknikal dalam susun atur ayat usul itu, namun ia telah memberi sedikit gambaran negatif tentang 'engagement' dan pendekatan PAS dalam usaha membetulkan keadaan umat Islam apabila berlakunya pandangan 'samar' yang sering dikeluarkan SIS sebelum ini.
Menggunakan konsep engagemet sebagai langkah terbaik mengatasi kelompok yang sering menyalah tafsir perundangan dan ketetapan dalam Islam, WAN NORDIN WAN YAACOB menemubual ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad merangkap Yang diPertua Kawasan Shah Alam berhubung penjelasan isu usul pengharaman Sister In Islam (SIS).


Boleh YB beri penjelasan tentang kekeliruan yang timbul dalam isu usul yang dibawa Muslimat PAS Shah Alam yang dikatakan mahu mengharamkan SIS?

ABDUL KHALID SAMAD: Yang pertama, apa nak ditegaskan bahawa pendirian kita terhadap SIS ini ialah, sikap mereka dan kenyataan mereka tidak betul dan mengelirukan. Ada yang bercanggah dengan tuntutan syariat dan pendirian itu memang kekal.
Itu bukan isunya kita tidak katakan SIS itu betul atau tak lagi bawa satu corak pemikiran yang diistilah sebagai Islam Liberal tetapi apa yang kita mahu dedah ialah kaedah yang kita nak tangani isu ini ialah 'engagement' bukan 'high handed' yang menggunakan kekuasaan atau paksaan.

Apa yang tak kena dengan usul yang dibawa?

Ayat dalam usul itu memberikan gambaran PAS ini suruh siasat, lepas itu haramkan. Maknanya tiada soal perbahasan atau hujah untuk membetulkan melalui satu proses dialog perbahasan yang terbuka.
Sedangkan pandangan mereka ini (SIS) sebenarnya kita boleh perbetulkan melalui proses itu, sepertimana yang pernah dizahirkan dalam sejarah umat ISlam sendiri apabila dalam kes umat Islam dilanda dengan fahaman Muktazilah, di landa dengan falsafah Yunani, fahaman batiniah,Jabbariah, Kadariah dan sebagainya ketia itu ianya tidak ditangani dengan alim ulama atau kerajaan ambil sikap tangkap dan tahan, tetapi satu perbahasan dan pendedahan yang ahkirnya meyakinan masyarakat umum bahawa fahaman yang dibawa oleh golongan muktazilah dan sebagainya itu adalah tidak tepat.
Ini sebagaimana yang dilakukan oleh Imam al Ghazali yang mengarang banyak kitab untuk menjelaskan pendirian Islam yang sebenar. Lalu kaedah yang seperti itu perlu diamalkan dengan isu menyentuh kenyataan-kenyataan SIS ini juga dan dengan mana-mana kumpulan yang membawa pandangan yang tidak tepat.
Maka kita desak Majlis Fatwa perlu ambil tindakan yang proaktif berbahas dan menjelaskan dimana silapnya dan yang tak betul lalu dalam proses itu ia akan mendidik masyarakat kepada satu tahap kefahaman yang lebih mantap.
Namun jika kita gunakan kaedah sekat, tahan dan haramkan ini merupakan kaedah yang tidak mendidik masyarakat dan tidak menjadikan masyarakat itu lebih kebal dari sudut pengaruh fahaman yang menyeleweng dan sebagainya.

Sejauh mana kaedah 'engagement' atau berbahas dan sebagainya yang tidak berkisarkan kepada hukuman ini diyakini boleh memperbetulkan keadaan?

Pada saya penting untuk kita zahirkan satu fahaman bahawa kita ingin membetulkan, menyelamatkan dan sedia untuk berbahas dan tidak cenderung untuk gunakan kekuasaan dan kekerasan.
Kalau tidak ianya akan memberikan satu gambaran negatif kepada PAS itu sendiri dan akan timbulkan ketakutan di kalangan masyarakat. Kalau kita cenderung untuk menggunakan kekerasan dan kekuasaan, orang akan bertanya jika kita berkuasa nanti apa yang akan berlaku? semua yang kita tidak setuju kita haramkan, semua yang kita anggap tidak betul kita tahan dan kita sekat dan sebagainya. Itu bukan kaedah dan penedakatan yang diinginakn oleh PAS

Apa sebabnya usul itu dibawa?

Antara sebab mengapa mula-mula usul itu dikemukakan di kawasan saya telah tegur pada DMPP Shah Alam dan meminta mereka betulkan kerana saya faham bahawa dari sudut pandang mereka juga mereka tidak setuju dengan kaedah dan pendekatan (kekerasan/ mengharamkan) itu.
Mereka juga tidak sedar susunan ayat yang sebegitu boleh memberikan imej yang sedemikian rupa dan apabila saya bertanyakan mereka apa yang sebenarnya mereka mahu, mereka jawab ialah mereka mahu betulkan apa yang tidak betul supaya jangan SIS ini tidak terus keluarkan kenyataan yang jelas bercanggah dengan syariat dan sebaginya sedangkan dalam masa yang sama tiada pihak yang keluar kenyataan tegur dan berbahas atau hujah dengan mereka (SIS) dan sebaginya.
Lalu tumpuan dan matlamat dan tujuan sebalik usul itu ialah untuk membetulkan apa yang ada yang tidak betul dan bukan mengharamkan SIS kerana kita tahu SIS ini juga ada banyak kerja-kerja dan aktiviti membantu wanita Islam yang diceraikan tetapi tidak dapat hak mereka, lalu kita tidak mahu nafikan keseluruhan usaha mereka ini.
Kita mahu bimbing usaha dan niat baik ahli mereka dengan kita memberikan juga kepada mereka kefahaman dan juga cara yang kita kena lakukan dengan kita 'engange' dan berhujah dengan mereka.

Dengan isu berbangkit, persepsi buruk terhadap PAS tentunya sudah tersebar...

Bagi PAS selaku sebuah parti politik, soal persepsi adalah penting kalau kita beri gambaran persepsi bahawa kita tidak berani mahu berhujah. Tidak ada kekuatan dan cenderung untuk paksa dan tahan. Pasti ia akan menjadi negatif.
Apabila saya jelaskan kepada Muslimat PAS Pusat, nampaknya mereka setuju tetapi malangnya mereka tidak membuat pindaan sepertimana yang dibincang dan dipersetujui dan oleh kerana saya juga tidak sempat untuk memeriksa dan akhirnya usul itu dihantar kepada PAS Pusat dalam bentuk yang asal tanpa apa-apa pindaan, ianya diterima tanpa bahas di muktamar.

Adakah penjelasan ini dah diberi kepada PAS Pusat atau bagaimana?

Sekarang ini apa yang saya buat, saya minta PAS Kawasan menulis surat kepada PAS Pusat dan apa yang saya nyatakan bahawa harapan kita ialah oleh kerana usul itu telah diluluskan dan saya minta pentafsiran usul itu nanti serta pelaksaan usul itu akhirnya nanti akan mengambil kira apa maksud sebenar sebalik usul itu dikemukakan.
Kerana pada saya apabila PAS Pusat dah terima usul itu dia dah tetap tetapi mereka kena ambil perhatian tentang persepsi, tentang pentafsirannya dan sebagainya.
Justeru kita nyatakan secara bertulis dan harap mereka akan ambil kira dan saya nampak apabila Presiden PAS pun menyebut soal pengharaman itu bukan bawah bidang kuasa PAS, itu merupakan satu kenyataan yang telahpun mengambil kira apa yang kita sebut dan nyatakan.
Sebenarnya persoalan kesilapan itu saya dah nyatakan kepada sebuah akhbar internet pada 7 Jun ketika hari terakhir muktamar itu berhubung kesilapan tidak memperhalusi usul itu sebaik diserah Dewan Muslimat PAS Kawasan kepada jawatankuasa usul di peringkat Shah Alam.
Saya membuat kenyataan ini pada hari yang sama ketika muktamar pada 7 Jun, dan ini menunjukkan bahawa saya tidak ditekan oleh PKR atau DAP sepertimana ada tuduhan yang dilontarkan kepada saya. Saya sedari hal ini sebaik sahaja hari yang sama iaitu 7 Jun.

Apa sebenarnya yang menyebabkan usul itu dibawa?

Isu yang timbnul, usul itu ialah program 'Musawaa' anjuran SIS yang membincangkan tentang 'equality' faraid dan soal poligami dan persoalan Amena Wadud menjadi imam solat jemaah dan benda-benda ini dilihat seolah berjalan dan tiada pihak yang nampaknya mahu menegur atau memberi respons yang jelas sama ada daripada Majlis Fatwa atau Pejabat Agama.
Dan tiada orang yang memanggil mereka (SIS) untuk berbincang dan akhirnya mewujudkan persepsi benda ini macam betul. Sedangkan kita faham bahawa dari Islam ialah soal hukum hakamnya adalah berpandukan dalam AlQuran dan Sunnah yang ada sumbernya tentang undang-undang Islam.
Apabila memberi pendirian tentang hukum agama ini, SIS perlu bersandarkan kepada dua perkara yang disebut tadi iaitu Al-Quran dan Sunnah. Pandangan yang dikeluarkan SIS itu jelas bercanggah tetapi tiada sebarang pembetulan oleh mana-mana pihak khususnya pihak berkuasa agama.

Pandangan YB tentang pendekatan mengharamkannya?

Pendekatan untuk minta haram menunjukkan satu pendekatan yang keras sedangkan apa yang perlu ialah pendekatan engagement. PAS sebelum ini ada beberapa pengalaman pernah ada 'engagement' dengan SIS dalam beberapa forum.

Pendekatan dalam kes-kes sebegini selepas ini bagaimana?

Kita setuju untuk menggunakan kaedah menerangkan, mendapat sokongan dan meyakinkan itu kaedah PAS yang disebut berkali-kali di mana berhadapan dengan masyarakat dengan cara damai, penghujahan.
Kita kena ingatkan ahli kita agar setuju kaedah menerangkan yang paling sesuai dengan cara para ulama dan Rasulullah saw sendiri iaitu dengan kaedah berbahas atau berhujah hingga mereka faham akan perihal yang sebenar menurut Islam yang sebenar yang mengikut Al-Quran dan Sunnah.

Mampukah strategi Tok Pa di Jeli diaplikasi BN di lapangan Dun Manek Urai?

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar dari kita masih ingat lirik sebuah lagu nyanyian Seninam Negara Tan Sri P. Ramlee berjudul ‘Apabila Mama Pakai Celana’ yang menyebabkan Papa naik bingung kerana sesuatu yang pelik telah berlaku dalam sebuah rumah tangga. Lirik lagu nyanyian P. Ramlee ini mempunyai persamaan dengan strategi politik yang digunakan oleh Umno untuk menawan Dun Manek Urai pada 14 Julai 2009 nanti.

Sebagamana Papa naik bingung apabila Mama pakai celana (seluar panjang), begitu juga dengan pengundi Manek Urai turut naik bingung apabila ada Pak Menteri yang sanggup menjadi rakyat biasa, tidur di rumah orang kampung, sembahyang bersama di surau-surau dan ada yang menoreh getah.

Pendekatan ini adalah terhasil dari pendekatan yang digunakan oleh Dato’ Mustapha Mohamad (atau panggilan manjanya Tok Pa) dan dengan menggunakan pendekatan ini Tok Pa dikatakan dapat bertahan begitu lama di Parlimen Jeli.


Beliau hanya kalah kepada calon PAS pada pilihan raya umum 1999. Apa yang perlu difahami ialah sungguhpun rakyat (pengundi) Kelantan secara luarannya nampak sederhana, namum mereka memiliki kebijaksanaan politik yang tinggi. Hujah-hujah politik yang dikemukakan oleh seorang pengundi biasa Kelantan di kedai-kedai kopi, besar kemungkinan dapat mengalahkan hujah-hujah seorang Professor Sains Politik yang berada di menara gading.

Mereka ketawa sinis terhadap gelagak Pak Menteri yang ingin jadi orang kampung untuk tujuan pilihan raya. Mereka sedar bahawa ini adalah sebuah lakonan politik; dan ini mempunyai backlash politiknya yang tersendiri yang merugikan Umno.

Perlu juga difahami hakikat bahawa kekuatan pendekatan orang kampung yang digunakan oleh Tok Pa bukanlah merupakan faktor kritikal yang memenangkan beliau tetapi yang memenangkan beliau ialah wujudnya beberapa kem tentera dalam parlimen Jeli yang memberi advantage kepada Tok Pa.

Dianggarkan undi pos dikalangan tentera adalah sekitar 3 ribu orang. Kehebatan sebenar Tok Pa boleh diukur apabila beliau menang parlimen Jeli tanpa sokongan pengundi pos. Berdasarkan data pilihan raya umum 2008, DUN Manek Urai hanya mempunyai 83 undi pos.

Manek Urai: Pasarana Sosio-politik

Manek Urai adalah salah satu dari empat DUN dalam parlimen Kuala Krai. Dalam konteks politik Kelantan ia dikenali sebagai salah satu pengkalan atau ‘lubuk’ PAS. Satu lagi pengkalan PAS yang selalu disebut-sebut ialah parlimen Pengkalan Chepa berhampiran Bandar Kota Bharu.

Untuk satu jangka masa yang agak lama parlimen Pengkalan Chepa adalah sinonim dengan nama Tuan Guru Nik Abd. Aziz, Menteri Besar Kelantan. Manek Urai pernah melalui 10 kali pilihan raya umum dan hanya kalah dua kali. Sekiranya tiga pilihan raya umum terakhir diambil kira, prestasi PAS di Dun Manek Urai masih mantap.

Pada pilihan raya umum 1999, disebabkan faktor Anwar dan perpecahan Umno, PAS menang besar di DUN Manek Urai. Pada pilihan raya umum 2004 disebabkan faktor-faktor seperti Pak Lah sebagai Perdana Menteri baru dengan imej ‘Mr.Clean’ dan mempunyai latarbelakang agama, pimpinan baru Umno Kuala Krai dan calon baru yang dikemukakan oleh PAS maka natijahnya PAS mengalami kekalahan tipis iaitu sekitar 53 undi.

PAS merampas kembali Dun Manek Urai pada pilihan raya umum 2008 dengan kemenangan yang agak selesa. Antara faktor-faktor yang membawa kepada kemenangan PAS ialah calon lama iaitu Allahyarham Hj Ismail Yaacob bertanding semula, janji-janji Umno yang tidak dikotakan dan kempen melampau Umno. Berdasarkan huraian di atas, sekiranya PAS meletakkan calon tempatan yang mesra rakyat, maka peluang PAS untuk memenangi pilihan raya kecil pada 14 Julai nanti amatlah cerah.

Dari segi kependudukan, terdapat seramai 31,000 orang yang mendiami DUN Manek Urai dan 99.2% adalah terdiri dari orang Melayu. Secara bandingan, terdapat hanya 60 pengundi Cina. Dari segi aktiviti ekonomi ia melibatkan sektor pertanian dan penduduk terlibat dengan penanaman kelapa sawit, getah dan buah-buahan.

Terdapat juga aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan perhutanan seperti pembalakan dan kilang-kilang papan. Sebahagian besar dari pengundi adalah peneroka skim pembangunan tanah yang diusahakan oleh Kerajaan Kelantan pimpinan PAS semasa Dato’ Asri menjadi Menteri Besar.

Rancangan pembangunan tanah yang diusahakan oleh Kerajaan Kelantan ini adalah antara rancangan-rancangan tanah yang boleh dianggap berjaya, setanding dengan skim-skim pembangunan tanah tajaan FELDA. Rancangan pembangunan tanah yang diusahakan oleh kerajaan negeri ini begitu berjaya dan dari segi budaya politiknya ia diidentifikasi secara dekat dengan PAS. Hakikat ini dapat dilihat apabila sebuah sungai dalam rancangan tanah ini diberi nama Sungai Pas.

Terkini pengurusan tanah rancangan dalam DUN Manek Urai diambil alih oleh agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti KESEDAR, FELCRA dan RISDA. Peranan agensi-agensi Kerajaan Pusat ini hanyalah untuk membekalkan kemudahan awam seperti jalan-jalan kampung dan dewan-dewan orang ramai.

Atas perkiraan populariti Umno/BN amatlah rendah pada masa kini, adalah dijangkakan bahawa Umno akan menggunakan agensi-agensi Kerajaan Pusat seperti KESEDAR dan RISDA untuk tujuan politik mereka. Adalah difahamkan bahawa RISDA telah bergerak memainkan peranannya dengan mengedar duit one-off atau bantuan bulanan sebanyak RM250 bagi setiap keluarga.

Besar kemungkinan keluarga-keluarga yang menerima bantuan ini adalah penyokong-penyokong tegar Umno. Harga kelapa sawit dan getah yang melambung tinggi, sungguhpun sekarang agak menurun sedikit, menjadikan duit one-off atau bantuan bulanan oleh RISDA tidak mempunyai saham politik yang tinggi.

Seorang pengundi di Manek Urai Lama memberi tahu saya bahawa dia mampu menjual seekor kambing biri-birinya dengan harga RM500. Beliau memiliki seramai 30 ekor kambing biri-biri. Ini bermakna autonomi ekonomi agak terserlah di DUN Manek Urai.

Mengikut salah satu sumber yang saya diperolehi, Dato’ Annuar Musa, bekas Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, memberi tahu salah seorang pengundi di DUN Manek Urai bahawa adalah agak mustahil bagi Umno memenangi pilihan raya kecil ini.

Satu cara sahaja sekiranya Umno ingin berjaya iaitu dengan merampas semua kad pengenalan milik penyokong-penyokong PAS. Mengikut Dato’ Annuar Musa, kaedah ini mempunyai risiko yang tinggi kerana pihak keselamatan PAS juga mempunyai mereka yang pakar dalam bidang undang-undang pilihan raya. Mengikut Dato’ Annuar Musa lagi, terkini individu-individu terbaik lebih berminat untuk bersama PAS berbanding Umno.

Secara yang lebih mikro, data terkini memperlihatkan DUN Manek Urai terdiri dari sembilan Daerah Mengundi (DM) atau dari sudut operasi parti politik ia dikenali sebagai Unit Peti Undi (UPU).

Daerah- daerah Mengundi ini terdiri dari Temalir, Sungai Perial, Manek Urai Lama, Manek Urai Baru, Sungai Sok, Chuchoh Puteri, Lata Rek, Manjor dan Laloh. Daripada Sembilan UPU ini hanya tiga darinya yang boleh dikategori sebagai kurang memihak kepada PAS. UPU-UPU yang dimaksudkan ialah Manek Urai Lama, Manek Urai Baru dan Manjor.

Sungguhpun UPU-UPU ini dianggap lemah, namun sekiranya peratusan sokongan pengundi 50% ke atas telah dianggap menang dalam pilihan raya, maka hanya satu UPU sahaja yang betul-betul lemah iaitu Manjor di mana sokongan kepada PAS pada pilihan raya umum ke 12 yang lalu adalah sebanyak 48.22%.

Sokongan yang kuat kepada PAS ini diperkukuhkan lagi dengan laporan tidak resmi oleh Cawangan-cawangan Khas (SB) yang turut membuat risikan di DUN Manek Urai.

Laporan tidak resmi ini menyebut bahawa hanya 5% daripada pengundi Manek Urai yang tidak berpuas hati dengan Kerajaan Kelantan pimpinan PAS. Maka fahamlah kenapa program-program anjuran Pak-Pak Menteri Umno yang berketayap dan berkain pelikat bersama rakyat tempatan tidak mendapat sambutan.

Kekuatan satu-satu parti dalam pilihan raya amat bergantung kepada jentera pilihan rayanya. Terkini isu yang dimainkan oleh media arus perdana milik Umno/BN ialah betapa kurangnya tenaga kerja pilihan raya dari PAS Pusat. Ini harus difahami dari hakikat bahawa pilihan raya di Kelantan berbeza dengan pilihan raya di luar Kelantan. Kelantan negeri yang sinonim dengan PAS sudah semestinya mempunyai jentera pilihan raya yang kuat.

Jentera pilihan raya PAS Kelantan adalah sifu kepada jentera-jentera pilihan raya di luar Kelantan. Atas dasar inilah sumbangan tenaga dari luar Kelantan dilihat sebagai sesuatu yang tidak begitu terdesak.

Kesimpulan: Manek-manek yang Terlerai

Pilihan raya kecil Manek Urai merupakan pilihan raya kecil yang ke 7 yang diadakan selepas pilihan raya umum ke 12 yang di adakan pada 8 Mac 2008. Dalam sejarah politik Malaysia, inilah jangka masa yang paling kerap berlakunya pilihan raya kecil.

Pada enam pilihan raya kecil yang lepas, lima darinya di menangi oleh Pakatan Rakyat, kesemuanya di Semenanjung. Hanya satu pilihan raya kecil yang dimenangi oleh Umno/BN iaitu di Batang Ai di Sarawak.

Berdasarkan kepada pencapaian yang memberangsangkan ini, maka tidak ada sebab kenapa PAS tidak boleh memenangi pilihan raya kecil Manek Urai yang akan diadakan. Mungkin terselit hikmah dari Allah di sebalik kekerapan pilihan raya kecil yang diadakan. Mungkin ini merupakan latihan politik bagi PAS dan Pakatan Rakyat, membiasakan diri dengan selok belok politik bagi mempersiapkan diri sebagai pimpinan negara selepas berlangsungnya pilihan raya umum ke 13 nanti.

Dalam hal ini, perjumpaan Menteri Mentor Singapura dengan Presiden PAS dan lawatan beliau ke Kelantan baru-baru ini mempunyai kesignifikanannya yang tersendiri. Kekalahan Umno/BN dalam pilihan raya kecil, satu demi satu, boleh diumpamakan sebagai manek-manek yang terlerai dari kalungannya; dan pilihan raya kecil Manek Urai akan merupakan paku terakhir untuk keranda Umno/BN.

Oleh HAJI WAN ABDUL RAHMAN WAN AB LATIFF
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Tanpa publisiti, MB Kedah bekerja untuk rakyat hingga Umno Kedah menikus


KUALA LUMPUR: Dato' Seri Aizan Abdul Razak menjadi MB Kedah dalam keadaan yang cukup tenang. Bukan sahaja beliau jauh dari kontroversi, malahan dilihat cukup berhemah dalam banyak keadaan.

Sebagai seorang yang begitu lama dalam politik, Ustaz Azizan bukan sahaja mampu membuktikan kemampuannya menerajui Kedah, malahan, cukup berterus-terang kalau bercakap.

Hingga peringkat ini, belum ada satu pun isu besar yang mampu menggugat kepimpinannya, walaupun di kalangan pembangkang di Kedah pernah menceritakan Ustaz Azizan dicemburui orang-orang muda di dalam PAS.

Beliau dikatakan cukup berhemah dalam berbelanja, malahan tidak mengambil kesempatan untuk membina pagar rumah walaupun berhak berbuat demikian, hingga menimbulkan keinsafan di kalangan pemimpin Umno, melihat begitu berhematnya Menteri Besar ini menguruskan kewangan.

Ketika kerajaan Perak mengambil keputusan menukar penggunaan Proton Perdana kepada Cambry sebagai kereta rasmi Exco, Ustaz Azizan memilih untuk mengekalkan penggunaan Proton Perdana.

Satu hal yang cukup pelik di Kedah, banyak perkara yang boleh didedahkan tentang penyalah urusan kewangan syarikat-syarikat kerajaan negeri ketika di bawah pentadbiran Umno, namun Ustaz Azizan tidak memilih untuk mengaibkan sesiapa.

Apakah tiada satu pun ‘kesalahan dan kemungkaran’ yang pernah pentadbiran dulu lakukan? Jika ada, kenapa sehingga hari ini Ustaz Azizan tidak memilih untuk menyerahkannya kepada SPRM untuk menyiasat seterusnya jika mempunyai bukti, mendakwa mereka ini?

Kalau bercakap, Ustaz Azizan tidak kisah DAP atau PKR, yang tidak betul, beliau akan tegur tetapi kalau betul, walaupun datangnya dari kepimpinan Umno, Ustaz Azizan memilih untuk ‘mengatakannya betul’.

Seorang setiausaha Umno bahagian di Kedah ketika dihubungi memberitahu, selama dia melihat beberapa Menteri Besar sebelum ini menerajui kerajaan negeri, kepimpinan Ustaz Azizan jauh berbeza dari kepimpinan terdahulu.

“Dulu, sama-sama Umno sering salah menyalah. Bila seseorang Menteri Besar berundur, Menteri Besar yang baru akan mula menyerang dan menuding jari terhadap kepimpinan terdahulu. Tetapi, kini ia seperti tidak berlaku. Ustaz Azizan sibuk memperbaiki beberapa kerosakan dan terus mahu membawa Kedah keluar dari imej kemiskinan,” kata pemimpin Umno ini.

Politik Kedah kelihatan tenang. Umno yang kehilangan kuasa masih sibuk bertelagah sama-sama sendiri tetapi kerajaan negeri di bawah Ustaz Azizan kelihatan begitu berjaya dan terhindar dari kontroversi.

Jika Lim Guan Eng di Pulau Pinang masih menghadapi pelbagai isu termasuk perlantikan YDP PBT hingga menimpulkan konflik, di Kedah ianya tidak berlaku. Dalam pilihan raya kecil Dun Bukit Selambau, Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan kerusi itu dan seperti yang dijanjikan Ustaz Azizan melantik Adun tersebut menjadi anggota Exco kerajaan negeri.

Satu formula Ustaz Azizan yang menjadikan beliau terselamat dari serangan pembangkang dan kontroversi ialah mengamalkan perbelanjaan yang cukup berhemah dan tanpa slogan rakyat diutamakan tetapi melaksanakan komitmen kerajaan negeri dengan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan mana-mana parti politik.

Beliau berjaya memperkenalkan dirinya sebagai Menteri Besar rakyat dan tidak mengamalkan pilih kasih ketika membuat kebajikan.

Itulah sebabnya, setakat hari ini, ketika MB Selangor sentiasa menghadapi piket kerana rasa tidak puashati mereka yang merasakan kampungnya tersisih dari arus pembangunan, di Kedah, ianya tidak berlaku.

Perlis yang berjiran dengan Kedah dan merupakan negeri yang terkecil sekali pun, disebabkan Menteri Besarnya dari kalangan Umno, kontroversi tidak dapat dielakkan. Ketika Mat Isa Sabu sibuk melantik kawan-kawannya mengelilinginya di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Umno negeri, rakyat Perlis terus kagum mengapa Ustaz Azizan tidak diselubungi masalah.

Bila timbul isu kononnya ada pegawai Menter Besar Kedah bernikah dengan isteri orang, Ustaz Azizan secara terbuka menerima aduan tersebut dan mengarahkan pegawai berkenaan memberi penjelasan kepadanya.

Hari ini terbukti, fitnah itu adalah usaha pihak-pihak tertentu yang mahu mencemarkan imej seseorang yang kebetulan orang itu bekerja di Pejabat Menteri Besar.

Satu ketika dahulu, ada Pemuda Umno yang membuat dakwaan kononnya ada Exco Kerajaan Negeri Kedah yang bercakap kasar hingga menyentuh pihak Istana tetapi apabila dicabar supaya membuktikannya, sehingga hari ini tiada siapa yang mampu tampil kehadapan.

Setakat hari ini, mungkin Umno sedang berusaha mencari atau mengumpul bahan-bahan yang boleh menjejaskan imej kepimpinan Ustaz Azizan tetapi jelas, tiada apa yang boleh digunakan.

Umno sebenarnya perlu belajar dari stail Ustaz Azizan. Kuasa tidak merubah kehidupannya. Jawatan tidak menjadikan beliau seorang manusia yang lupa asal usul.

Malahan, kakitangan kerajaan tentunya dapat membezakan Ustaz Azizan dengan Menteri Besar-Menteri Besar Umno sebelum ini. Ustaz Azizan tidak perlu memperkenalkan kempen menanam padi atas bumbung untuk menjadi popular, seperti yang pernah Sanusi Junid mahu melakukannya dahulu.

Malahan, Ustaz Azizan tidak langsung mengambil kesempatan untuk ‘kondem’ usaha bekas Menteri Besar terdahulu sebaliknya memperbaiki beberapa kelemahan bertujuan melakukan sesuatu yang lebih baik, demi kesejahteraan rakyat Negeri Kedah.

Beliau boleh bekerja tanpa seberang publisiti dan beliau boleh berkhidmat tanpa sebarang slogan yang tidak mendatangkan apa-apa faedah. Beliau membuktikan 'PAS Boleh'! Dan kini sentuhannya menyebabkan Umno menikus di Kedah.

Oleh IDRIS SAMAD

Manek Urai: Menguji keutuhan kepimpinan 19 Tahun Tok Guru Nik Aziz tadbir Kelantan!

KUALA LUMPUR: Kawasan pilihan raya Dewan undangan negeri Manek Urai bakal menghadapi pilihan raya kecil berikutan berlaku kekosongan kerana kembalinya ke rahmatullah ahli dewan undangan negeri (Adun) di situ, Hj Ismail Yaacob pada 22 Mei 2009.

Sementara pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan 6 Julai adalah hari penamaan calon dan 14 Julai hari mengundi. Maka, tempoh kempen bersih selama 8 hari adalah antara yang terpendek bagi parti-parti bertanding mengatur rancangan kempen rasmi.

Walau apapun, hakikatnya kempen sudah bermula berikutan pemimpin-pemimpin dan media sudah menjalankan pelbagai aktiviti mendekati rakyat dan pengundi Manek Urai. Labih-lebih lagi pihak BN yang didukungi oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam kerajaan BN telah turun menemui rakyat melalui rancangan kempen yang diatur oleh agensi-agensi kerajaan.

Ia disusuli dengan pemimpin daripada Pakatan Rakyat turut mengemaskan tapak pergerakan memahami persoalan rakyat. Justeru itu, kepanasan kempen pilihan raya kecil Manek Urai sudah meruap-ruap.

Memahami realiti tersebut, maka didapati kepanasan kempen pilihan raya kecil Manek Urai adalah suatu sudut kelainan dengan pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Ini kerana asas kepanasan kempen itu adalah berkisar kepada tiga permasalahan utama: Kepayahan hidup rakyat tempatan, pertikaian isu kerajaan perpaduan yang menyentuh kesantunan dalaman PAS, dan cetusan kesungguhan pemulihan maruah BN yang acapkali kalah dalam pilihan raya kecil.

Kepayahan hidup rakyat

Permasalahan kepayahan hidup rakyat tempatan adalah sesuatu yang bersifat lokal. Ia suatu realiti dan standard rakyat negara ini, apabila social-life begitu bergantung kepada corak kehidupan tradisional.

Meskipun, negara telah bebas dari cengkaman penjajah sekian lama, namun kawasan Manek Urai sama juga dengan pedalaman Pahang negeri Perdana Menteri dan pedalaman Johor negeri Timbalan Perdana Menteri. Maka isu-isu kepayahan hidup rakyat itu agak tidak pelik masih kekal di Manek Urai yang letaknya di Kelantan, negeri Menteri Besar yang merupakan Mursyidul Am PAS.

Maksud kepayahan hidup di sini adalah suatu corak kehidupan yang masih terikat kepada alam persekitaran yang tidak lekang daripada pengaruh iklim, tanah, hutan dan bukit serta hubungan manusia dengannya.

Nyata sekali, rakyat Manek Urai masih erat punca rezekinya bergantung kepada ketentuan Tuhan yang menyuburkan tanah, melimpahkan hujan dan menghijaukan pokok-pokok serta menstrukturkan permukaan lurah dan bukit. Maka, di celah-celah antara ketentuan Tuhan itu, rakyat di situ berjaya mengusahakan tanah-tanah di antara lurah dan bukit dengan penanaman getah dan dusun.
Sementara, sebahagian pula mengusahakan penanaman kelapa sawit, menjadi pekerja ladang kelapa sawit yang ditaja oleh Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), mengusahakan kebun getah dan dusun dengan bantuan pihak Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan Lembaga Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Sehubungan itu, musim kempen pilihan raya kecil nanti sudah pasti realiti kepayahan hidup itu akan dijadikan ruang dan peluang bagi parti-parti mahupun calon yang mewakilinya untuk mencipta pengaruh ke arah mencapai kemenangan.

Paling tepat boleh dikatakan, KESEDAR akan mengambil langkah aktif mengatur rancangan kempen bagi pihak BN, kerana pengerusinya Dato’ Ramzi Ab. Rahman merupakan Ketua Umno Bahagian Kuala Krai.

Sementelah pula, didapati sebahagian Manek Urai memang terlibat dengan kawasan pentadbiran KESEDAR. Mungkin janji-janjinya dalam pilihan raya umum lalu akan diperbaharui semula sebagai menarik keyakinan pengundi menyokong BN.

Antara janjinya ialah membayar kepada peserta yang terbabit dengan penanaman semula sebanyak RM500 sebulan yang akan dibayar melalui Bank Pertanian Malaysia, di samping meluluskan beberapa projek kecil yang bersifat ‘mee segera’ untuk ditawarkan kepada pengundi.

Menyokong kepada rancangan kempen KESEDAR, mungkin pihak RISDA boleh mensendatkan lagi ruang memautkan sokongan pengundi melalui beberapa projek yang popular boleh menambat hati rakyat.

Berdasarkan rekod baik RISDA membantu pengundi kalangan pekebun kecil getah dalam pilihan raya umum 2004 dan 2008 lalu, ternyata ramai penerima bantuan sara hidup boleh komited menyokong BN. Sehingga di beberapa kawasan kuat PAS berjaya dimenangi BN, termasuk di Manek Urai.

Misalnya, melalui pembinaan Pusat Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil, anjuran RISDA seperti di Sungai Sok dan beberapa tempat lagi dalam Manek Urai, dianggap berjaya meraih komitmen pengundi wanita untuk lebihy rapat dengan BN, kerana Wanita Umno adalah penggerak penting di belakang pusat tersebut.


Begitu juga, pengaruh RISDA sebagai agensi kerajaan BN lebih melekatkan hati pengundi menyokong BN ialah melalui pembayaran geran untuk penanaman semula getah kepada pekebun dalam bentuk wang sara hidup sebanyak RM500-700 sebulan selama tiga tahun.

Mungkin juga RISDA boleh terus mendekatkan pengundi melalui gatekeeper Umno Manek Urai dengan cara menyalurkan pelbagai bantuan input untuk pekebun seperti baja, racun, anak benih dan peralatan berkebun.

Sementara bagi pihak PAS pula, kepayahan hidup rakyat Manek Urai sebenarnya tidak membuka banyak ruang untuk dimanfaatkan bagi mengatur rancangan kempen. Melainkan PAS boleh menjanjikan seorang calon yang boleh meneruskan legasi Pak Su Weil yang sedia bergelumang dan merapati kepayahan hidup rakyat di situ sepanjang waktu siang dan malam.

Meskipun, PAS memiliki agensi pembangunan sosial dan ekonomi atas nama kerajaan negeri, sebenarnya ia masih menghadapi kekangan kepayahan dana untuk menyaingi rancangan kempen agensi kerajaan BN. Tambahan pula, penggunaan agresif agensi kerajaan untuk mengatur rancangan kempen pilihan raya bukanlah prinsip bagi kerajaan negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Justeru itu, kepayahan hidup rakyat Manek Urai pastinya memberi kelebihan kepada BN untuk meraih sokongan pengundi, terutama kalangan pekebun kecil dan peserta rancangan kemajuan tanah. Bagi PAS, kelebihan yang mungkin agak berpihak adalah membuktikan kesetiaan khidmat kepada rakyat Manek Urai dengan menjanjikan seorang calon yang rapat menyelami kepayahan hidup rakyat.

Kerajaan perpaduan

Kebetulan berlaku pilihan raya kecil Manek Urai adalah agak semput bagi PAS, berikutan parti itu baru selesainya Muktamar ke-55 yang melibatkan pemilihan kepimpinan parti. Kepanasan hawa muktamar belum kembali normal, pihak media telah mencuri keluar isu-isu panas perbincangan di muktamar.

Antaranya ialah isu kerajaan perpaduan yang telah ditarik balik oleh Presiden PAS sebelum muktamar. Namun, pemasangan agenda media arus perdana berjaya mencuri isu kerajaan perpaduan itu dengan mengaitkannya dengan cerita-cerita yang berlaku di dalam ‘gelap’ mengenai usaha untuk menyertai Umno.

Ia menyebabkan pihak awam begitu mudah memahaminya sebagai kerajaan perpaduan adalah jambatan untuk bersama atau menyertai Umno. Meskipun hubungan asal kerajaan perpaduan yang dicetuskan secara smart oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi adalah formula ke arah penyelesaian kemelut semasa yang dihadapi rakyat dalam negara ini.

Namun, bacaan politiknya tidak ke situ, ia telah mejangkaui persoalan pembentukan kerajaan tanpa pembangkang melibatkan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional. Malah, ia dilihat sebagai usaha merintis ke arah membawa PAS sekali lagi untuk terjun ke lubang yang sama sebagaimana langkah PAS pada era kepimpinan Dato’ Mohd Asri.

Hakikat itu telah meletakkan isu kerajaan perpaduan sebagai suatu kepanasan dalam kempen pilihan raya kecil Manek Urai setelah pihak pemimpin BN, bermula daripada Datuk Seri Mohd Najib selaku Perdana Menteri telah memuji PAS di atas landasan kerajaan perpaduan.

Meskipun pujian itu difahami bernada sinis, namun ia telah cukup memerangkap rakyat yang setia dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk terus bertembung idea sehingga melahirkan reaksi-reaksi yang panas dan pastinya memanaskan hawa kempen di Manek Urai.

Bagi PAS, isu kerajaan perpaduan sebenarnya tidak berbangkit dan bukannya modal sebenar untuk meraih sokongan rakyat di Manek Urai. Namun, perkiraan strategi kempen BN amatlah berlainan. Atas isu kerajaan perpaduan inilah dilihat ruang untuk mengadu-domba beberapa tokoh dalaman PAS dan Pakatan Rakyat.

Walaupun, realiti rakyat Manek Urai dilihat tidak memberi perhatian kepada isu-isu nasional, namun sekiranya media, khususnya televisyen dan radio setiap hari menghidangkan manipulasi adu-domba tersebut, maka sampai satu peringkat rakyat akan bersikap jemu untuk keluar mengundi.

Natijahnya, siapakah rakyat yang tidak akan keluar mengundi. Antaranya ialah mereka daripada kalangan penyokong PAS yang bosan dengan gelagat adu-domba dan kalangan mereka yang bersikap atas pagar. Dalam hal ini, rakyat yang menyokong BN tidak akan terjejas untuk terus menyokong BN. Maka, PAS dilihat akan terkesan jumlah sokongannya.

Oleh itu, kepanasan hawa isu kerajaan perpaduan pastinya akan dijadikan modal perang saraf utama pihak jentera kempen BN. Maka, pelbagai saluran televisyen dan radio akan terus menghamburkan berita-berita yang boleh mengugatkan kejituan strategi kempen PAS dengan matlamat untuk mengalih tumpuan rakyat dari PAS kepada BN.

Inilah cabaran besar yang mungkin dihadapi PAS, dan ia memerlukan langkah-langkah serang-balas untuk mengunci strategi perang saraf BN itu.
Antaranya, mungkin pihak PAS dapat memanfaatkan kekeliruan rakyat tentang isu ‘Satu Malaysia’ dan mengulas tema-tema retorik kerajaan BN seperti ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ atau mengkritik tema kempen BN ‘Rakyat Didahulukaan, Manek Urai Diutamakan’.

Apa yang penting, jentera kempen sebelah-menyebelah dijangka ligat bertindak, masing-masingnya balas-membalas serangan di atas setiap isu. Bagi BN adalah penting untuk membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat sudah berpecah atas isu kerajaan perpaduan. Sebaliknya bagi PAS pula, akan terus membuktikan hakikatnya BN terus-menerus ditolak oleh rakyat di setiap kali pilihan raya kecil.

Pemulihan maruah

Sebagaimana dinyatakan oleh Pengarah Pilihan Raya BN Manek Urai, Dato' Mustapa Mohamed, BN turun selaku 'underdog' (bukan pilihan) pada pilihan raya kecil kali ini. Namun, ia tetap mencetus suatu gerakan besar yang bersifat pemulihan maruah BN.

Oleh itu, BN dikatanya mampu memberi saingan sengit pada pilihan raya kecil kali ini. Meskipun, dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini BN sering tewas berdepan dengan kempen PAS dan Pakatan Rakyat, ruang kempen di Manek Urai adalah peluang BN untuk bangkit bersatu menjayakan kempen. Langkah sedemikian adalah sesuatu yang perlu ke arah pemulihan maruah BN.

Mungkin kesungguhan BN di Manek Urai itu didorong oleh dua faktor utama. Pertama, bagi membuktikan Umno terus relevan di kawasan pengundi teras Melayu dan keduanya, ke arah mengabsahkan kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib selaku Persiden Umno yang baru dan layak membawa Umno kepada masa depan yang gemilang.

Dalam konteks kedua-dua faktor itu, kesan daripada semua pilihan raya kecil yang terdahulu adalah menggambarkan sentimen rakyat tidak menyebelahi BN dan Umno, kecuali di Batang Ai, Sarawak.

Kekalahan calon Umno berdepan dengan PAS di Bukit Gantang dan Kuala Terengganu, berdepan dengan KeADILan di Permatang Pauh, dan tindakan memulau pilihan raya kecil Penanti, semuanya telah manjatuhkan imej Umno di mata rakyat.

Ditambah pula, semua itu berlaku pada saat peralihan kuasa dalam Umno sudah tentu mencalarkan maruah saf kepimpinan baru Umno, terutamanya Datuk Seri Mohd Najib sebagai orang nombor satu. Diikuti pula dengan peningkatan undi yang dicapai oleh calan-calon parti lawan, ia mengambarkan suatu rentetan ketidakyakinan rakyat kepada BN sebagai parti yang berkuasa.

Sehubungan itu, ruang pilihan raya kecil Manek Urai adalah mengandungi harapan besar di pihak Umno untuk membaiki segala-gala maruah di kalangan pengundi Melayu dan di mata seluruh rakyat. Maka, Umno sudah tentu akan memastikan jentera kempennya mengutamakan strategi pengukuhan keyakinan orang Melayu.

Oleh itu, isu-isu kepentingan semasa dan masa depan orang Melayu akan didahulukan, diikuti dengan nada dan olahan pemimpin mengenai isu-isu Melayu akan disampaikan secara ‘ala-BTN’, dan mungkin pengagihan ‘sogokan benda’ kepada pengundi juga akan berlapikkan nilai-nilai keagamaan, adat resam dan tradisi Melayu. Usaha memenangi hati dan perasaan orang Melayu di Manek Urai akan diutamakan.

Maka, dijangkakan para pemimpin Umno, khususnya Dato' Mustapa Mohamed selaku pengarah pilihan raya akan lebih banyak berkupiah dan berbaju Melayu. Apa yang pasti, cara dan gaya penampilan pemimpin Umno di khalayak akan bersifat harmoni dengan budaya hidup rakyat Manek Urai.

Sebaliknya pula, PAS dan pemimpinnya mungkin akan mengambil langkah-langkah yang lebih responsif terhadap strategi kempen BN. Komitmen dan kesungguhan kempen PAS pastinya akan bersifat pendekatan serang-balas yang dapat mempertegaskan lagi misi perjuangan PAS untuk membela orang Melayu dan kesucian agama Islam.

Namun, jika dibandingkan dengan Umno, ternyata PAS mempunyai upaya yang tinggi terutama dari segi penguasaan pentas keagamaan, seperti masjid dan surau kerana PAS mempunyai dukungan kuat alim-ulamak dan ustaz-ustaz yang terlatih dengan penyampaian kuliah, kelas pengajian, majlis tahlil, majlis bacaan Yasin dan talkin kematian.

Dalam konteks rakyat Manek Urai, budaya beragama dan keserasian sedemikian adalah antara penghubung penting rakyat dengan pemimpin lokal mahupun wakil rakyat mereka. Ini bermakna, calon pilihan raya kecil Manek Urai nanti hendaklah dipilih kalangan individu yang bersifat mesra dengan aktiviti lokal sedemikian.

Sekiranya kedua-dua belah pihak dapat menghayatinya, demi meraih keyakinan sentimen Melayu, maka pelaksanaan aktiviti kempen berasaskan keagamaan akan memanaskan lagi kempen di Manek Urai. Sementelah pula, kenyataan awal Tuan Guru Nik Abdul Aziz begitu istiqamah untuk memanfaat khutbah sebagai salah satu saluran dakwah dan kempen.

Walau bagaimanapun, bukan semua isu yang berlaku itu adalah sesuai untuk dijadikan tarikan kalangan rakyat Manek Urai. Ini kerana persoalan orang Melayu Manek Urai masih berkisar kepada tuntutan untuk mendapatkan jaminan-jaminan demi survival mereka.

Antaranya isu tanah, kos makan-minum, masa depan anak-anak dan layanan selesa kehidupan seharian. Maka, seni pemikiran dan sikap pengundi terhadap isu-isu panas di luar lingkup kehidupan mereka hanyalah bersifat selayang-pandang yang mungkin mengukuhkan lagi sentimen Melayu untuk berpihak sama ada kepada PAS mahupun BN.

Justeru itu, ada beberapa isu yang cukup kukuh untuk rakyat Manek Urai terus menyokong PAS, antaranya isu penyelesaian tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri pimpinan PAS, program kebajikan seperti kifalah, bantuan armalah, bantuan rumah, program pendidikan Islam dan program ekonomi skim ladang rakyat.

Di samping itu, PAS sendiri dapat menolak isu-isu yang berada di sekitaran kempen BN untuk memaut keyakinan orang Melayu. Misalnya, konsep ‘satu Malaysia’ merupakan satu konsep yang boleh difahami sebagai bersifat terbuka tanpa ada keistimewaan kepada mana-mana bangsa, hubungan renggang antara parti-parti komponen BN (parti PPP bertelagah, penyokong MCA sudah tidak percayakan BN dan perpecahan dalaman Gerakan), mencetus balik kesan-kesan kenaikan harga barang, amalan politik wang kalangan Umno dan perpecahan Umno Kuala Krai serta kecelaruan di dalam pemilihan calon untuk pilihan raya kecil Manek Urai.

Mungkin juga, besar kesannya kepada rakyat Manek Urai, sekiranya PAS membangkitkan semula janji-janji BN dalam pilihan raya lalu yang sampai ke hari ini masih banyak belum dikotakan lagi. Pokoknya janji-janji pemimpin BN untuk pembangunan negeri Kelantan adalah sesuatu yang sensitif, kerana di sebaliknya terpamer sikap munafik dan pembohongan pemimpin kepada rakyat.

Dalam konteks Manek Urai sahaja, rakyat sampai kini masih tertunggu-tunggu pelaksanaan janji bekas wakil rakyat BN dulu, Zukifli Omar yang sepanjang menjadi wakil rakyat (2004-2008) begitu liat memenuhi apa yang dijanjikan – jambatan, jalan kampung, baiki rumah, bantuan kebajikan, input pertanian, baiki masjid/surau, bantuan pelajaran, wang sara hidup – kesemuanya tak ketahuan sehinggalah BN kalah pada pilihan raya umum 2008.

Apa yang rakyat lihat sesetengah projek itu hanya berligar di kalangan rakan rapat Umno bukannya rakyat yang benar-benar memerlukan.

Secara keseluruhannya, pilihan raya kecil Manek Urai tetap penting sebagai petunjuk aras sokongan rakyat. Bagi BN, ia penting untuk membuktikan perubahan jawatan-jawatan tertinggi parti kalangan pemimpin yang ada adalah diterima rakyat.

Sementara bagi PAS pula, amat penting sebagai ukuran penerimaan rakyat yang masih utuh kepada PAS dan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menerajui pentadbiran kerajaan sejak 19 tahun yang lalu.

Oleh itu, kempen pilihan raya kecil di Manek Urai bakal melalui hawa panas yang tersendiri bakal mengiringi kempen PAS mahupun BN sebagai parti yang akan bertanding. Semoga hawa panas kempen di Manek Urai bakal menguntungkan semua pihak, khususnya rakyat kawasan Manek Urai.

Oleh WAN NIK W YUSSOF NGAH
Pengarah PKS Negeri Kelantan

LENSA: Pesta Sukan Pasti Malaysia kali ke-5 di Padang Kompleks Sukan Universiti Industri Selangor (UNISEL), 21 Jun '09
























Rabu, Jun 24, 2009

Pengkebumian Kerajaan Perpaduan pada 22 Jun 2009, harap tidak hidup semula!





KUALA LUMPUR: Isukerajaan perpaduan sudah tamat. Umno tidak boleh memanipulasikan lagi isu ini untuk kepentingannya di Manek Urai. Segala sokongan lunak dan laporan indah dari media kuasannya, sudahpun berakhir.

Harapan Umno dan pemimpinnya untuk melihat PAS kecundang di Manek urai, terburai sebaik sahaja Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat mengeluarkan kenyataan bersama, menolak kerajaan perpaduan yang diidam-idamkan oleh Umno.

Kenyataan itu cukup kuat didokongi bersama, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Ia diputuskan pada 22 Jun dalam satu mesyuarat yang diadakan di Bangunan Parlimen.

Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang. Majlis Pimpinan menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN yang disifatkan fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat Pakatan Rakyat.

Umno cukup kecewa dengan keputusan itu. Namun, kekecewaannya makin parah apabila menjelang senja, tarikh yang sama, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Nik Mat bertindak secara negarawan menarik balik kenyataannya yang mahukan Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan Ahli Parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Keputusan Majlis Pimpinan Pakatan pada tengahari itu, yang menolak kerajaan perpaduan ditegaskan lagi oleh Mursyidul Am PAS dengan persetujuan sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta.

Kesemuanya ini, adalah kejayaan besar PAS menangani isu dalaman yang membadai, pada tempoh yang singkat dengan semangat ukhwah seperti yang diajar oleh Islam. Hasil perbincangan dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di Pejabat Agung PAS itu, satu keputusan nekad diambil bagi meredakan fitnah yang membara dilancarkan oleh Umno untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Dengan semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan beberapa isu politik semasa, seperti yang ditangguk oleh media perdana, pertemuan 10 pemimpin utama PAS itu akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

Mereka kembali bertaut, mengerat ukhwah bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

Keinginan Umno untuk melihat Tok Guru Nik Abdul Aziz "berperang" dengan Ustaz Nasharuddin Mat Isa berjaya ditepis melalui pertemuan singkat dan penuh makna ini. Selaku Mursyidul Am PAS, beliau menarik balik segala kenyataannya terhadap Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Bachok dengan satu ikatan, ianya (gesaan keluar PAS dan letak jawatan Ahli Parlimen Bachok) tidak berbangkit lagi.

Sebelum ini, media massa kuasaan Umno mengambil kesempatan memperbesar-besarkan isu ini, dengan beberapa usaha menerbitkan semula keratan-keratan akhbar lama yang mereka simpan, bertujuan menjadikan ianya senjata menyerang kembali PAS.

Walaupun, kebanyakkan pemimpin Umno menyahut secara terbuka kesediaan mereka berjumpa untuk memperkatakan isu kerajaan perpaduan ini tetapi, hakikatnya mereka semuanya belum boleh dikatakan bersetuju untuk memulakannya. Ini terbukti, respons Najib Tun Razak apabila Pakatan Rakyat menolak agenda kerajaan perpaduan ini.

Kini, Manek Urai menjadi bebanan Umno. Isu kerajaan perpaduan sudah tidak boleh lagangkan lagi. Jika dulu, media massa kuasaan Umno akan dijadikan ‘senjata’ untuk memerangkap pemikiran pengundi kini, ia sudah tidak mungkin berlaku.

Malahan, mereka yang membaca media itu sudah tidak menelan bulat-bulat apa yang mereka baca, sebaliknya sekadar dijadikan rutin harian, sebelum merujuk kepada sumber-sumber lain terutama media baru seperti internet, barangkali bahannya dihantar oleh anak-anak mereka.

Untuk membuktikan Umno kembali pulih, segala usaha dilakukan bagi memperlihat Pakatan Rakyat berpecah. Jika keadaan ini tidak dieksploitasi, seolah-olah Umno seperti sudah tidak wujud lagi di maya pada ini.

Tolak kerajaan perpaduan, keputusan bijak pemimpin Pakatan Rakyat - Salahuddin, Mahfuz


KUALA LUMPUR: Keputusan pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat menolak kerajaan perpaduan dengan Umno-BN dianggap bijak oleh kedua-dua Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin yang menegaskan keputusan tersebut merupakan isyarat jelas kepada parti dan ahli supaya mementingkan perpaduan parti.

Dengan kata sepakat yang dicapai itu, tegas Mahfuz, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat akan terus memperkasakan gabungan pembangkang dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

"Dengan keputusan yang dicapai itu, Pakatan Rakyat dapat merapatkan saf kepimpinan parti yang cuba difitnah dan diadu domba dengan begitu terancang oleh pemimpin Umno-BN menerusi media milik mereka.

"Mereka juga cuba untuk mengasing PAS daripada Pakatan Rakyat dan juga berusaha untuk memecahbelahkan PAS," tegas beliau.

Mahfuz menganggap keputusan menolak kerajaan perpaduan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat merupakan sesuatu yang dinantikan oleh rakyat.

Rakyat, tegas beliau, tidak bersedia untuk menerima sebuah kerajaan yang dibina hasil kerjasama dengan Umno. Beliau juga menjelaskan, keputusan itu juga dicapai hasil ketinggian ilmu yang dimiliki oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat telah menghasilkan satu resolusi yang bijaksana dan ia juga memperlihatkan ketinggian ilmu tuan guru presiden. Rakyat umumnya menantikan keputusan tersebut kerana mereka tidak bersedia menerima sebuah kerajaan yang dibina hasil kerjasama dengan Umno-BN," tegas beliau.

Salahuddin Ayub juga turut menempelak sikap pemimpin Umno-BN yang cuba menghancurkan Pakatan Rakyat dengan memainkan isu kerajaan perpaduan.

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang berkata BN mampu mentadbir negara bersendirian tanpa bergabung dengan mana-mana parti, Salahuddin berkata apa yang diucapkan oleh Presiden Umno itu merupakan gambaran sikap tidak ikhlas pemimpin Umno-BN.

Selama ini, tegas beliau, pemimpin Umno-BN tidak pernah ikhlas untuk mengadakan perbincangan dengan pembangkang demi kebaikan rakyat sebaliknya menggunakan isu tersebut untuk memperlihatkan kejujuran mereka semata-mata untuk mendapat sokongan rakyat.

"Apa yang dicakapkan oleh Najib itu merupakan gambaran sikap sebenar pemimpin Umno-BN yang tidak ikhlas. Mereka menjadikan isu kerajaan perpaduan sebagai senjata untuk memecah belahkan PAS dan juga Pakatan Rakyat," tegas beliau.

Justeru, tegas Salahuddin rakyat harus bijak menilai sikap pemimpin Umno-BN dan menolak mereka dalam PRU-13 nanti.

Dalam satu mesyuarat yang diadakan pada 22 Jun lalu, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sepakat menolak perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno atau BN.

Pemimpin tiga parti tersebut PAS, DAP dan KeADILan mengulangi pendirian mereka untuk meneguhkan kerjasama dalam gabungan pembangkang dengan hasrat mengambil alih kerajaan persekutuan suatu masa nanti.

Kenyataan bersama mereka ditandatangani oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan Penasihat KeADILan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, kedua-dua Naib Presiden PAS itu menyokong tindakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menarik balik kenyataannya terhadap Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa sebagai sikap seorang negarawan.

Mereka sependapat menganggap Mursyidul Am PAS itu berjiwa besar kerana sanggup melakukan apa saja demi memastikan parti terus kukuh dan keyakinan rakyat terhadap PAS tidak terhakis.

Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 22 Jun lalu, mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Syukur, keputusan tolak kerajaan perpaduan legakan hati akar umbi

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Dr Mahfodz Mohamad berkata, keterlanjuran PAS dalam menghadapi isu kerajaan perpaduan sekali gus telah memperlihatkan kepura-puraan Umno kononnya untuk bekerjasama dalam membentuk kerajaan perpaduan.

Katanya, Umnolah antara yang paling kecewa dengan keputusan PAS dan Pakatan Rakyat yang menolak kerajaan perpaduan dengan bermacam-macam tohmahan termasuklah mengatakan PAS penakut.

"Umno tohmah kita mengatakan kita takut dengan Pakatan Rakyat sebab itulah mereka beriya-iya sangat hendak mewujudkan kerajaan perpaduan," katanya semasa dihubungi.

Sebenarnya, kata Ustaz Mahfodz, PAS dalam masa yang sama boleh melihat sejauh mana hati budi serta keikhlasan Umno dalam merealisasikan agenda itu.

"Tetapi akhirnya PAS melihat hati budi Umno sebenarnya. Nampaknya Umno sudah terlalu terlajak dalam memberi respons dalam isu ini. Sehingga surat khabar yang tidak pernah memuji PAS akhirnya terlalu memuji PAS dan Umno pula sanggup menawarkan bermacam-macam syarat untuk menarik PAS bekerjasama dalam kerajaan perpaduan," katanya.

Bagaimanapun, beliau bersyukur atas keputusan majlis Pakatan Rakyat dan juga Majlis Syura PAS yang menolak kerjasama dengan Umno.

Mahfodz yang juga Pesuruhjaya PAS Johor juga bersyukur kerana keputusan itu melegakan semua pihak di peringkat akar umbi yang selama ini 'susah hati' kerana mainan politik umno yang sengaja mahu melihat Pakatan Rakyat berpecah.

"Keputusan itu sekaligus menyatupadukan semula PAS dan Pakatan Rakyat termasuk ahli dan penyokong PAS dari peringkat bawah hinggalah ke atas," katanya.

Beliau juga turut mengingatkan pimpinan parti itu jangan mudah terpedaya dengan mainan politik Umno BN sekali gus berbincang terlebih dahulu bersama pimpinan tertinggi mereka sebelum memberi reaksi sesuatu perkara.

"Apabila ada keputusan pimpinan tertinggi mereka diperingkat bawah akan taat setia dengan keputusan itu," katanya selepas ini ahli dan penyokong PAS menumpukan sepenuhnya kepada pilihan raya kecil Manek Urai.

‘Manek Urai Kito’ temui pengundi dedahkan pelbagai maklumat

KUALA KRAI: Badan Perhubungan PAS Kelantan menerbit risalah khas yang dikenali ‘Manek Urai Kito’ bagi menyampaikan maklumat kepada pengundi di Dun Manek Urai sempena pilihan raya kecil.

Ketua Editornya, Haji Rosidi Ismail berkata, risalah terbabit akan diterbit setiap hari sehingga sehari sebelum hari pengundian.

"Terbitan pertama pada 20 Jun lalu dan akan diikuti 28 Jun, 4 Julai dan hari penamaan calon (6 Julai) sehingga 13 Julai.

"Pada tarikh-tarikh tersebut orang ramai di Manek Urai boleh mendapat risalah tersebut setiap pagi. Ia akan diedarkan di setiap peti undi dan tempat-tempat yang menjadi tumpuan ramai," katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap Manek Urai Kito menjadi bahan untuk menangkis segala tohmahan pihak lawan dan menjelaskan mesej PAS dan Pakatan Rakyat kepada pengundi.

Beliau yang juga Penolong Pengarah Penerbitan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri berharap skuad pengedaran Manek Urai Kito dapat menyebar secara lebih menyeluruh di setiap kawasan peti undi.

Tiada komen. Dah habis stok, tak boleh bincang - Nuridah Salleh

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Pusat menerima secara terbuka penolakan kerajaan perpaduan dengan Umno yang dicapai oleh Majlis Pakatan Rakyat dan pertemuan lapan pemimpin utama PAS, 22 Jun lalu.

Demikian ditegaskan oleh ketuanya, Ustaz Nuridah Mohd Salleh ketika dihubungi Harakah.

"Tiada yang boleh saya komen. Ini menunjukkan tidak ada apa lagi untuk pihaknya memberi komen. Kita no komen. Dah habis stok dan tak boleh bincang," katanya ringkas.

Katanya, Muslimat menyerah keputusan tersebut kepada pucuk pimpinan parti dan apa yang telah dicapai itu, diterima oleh Dewan Muslimat dengan hati yang terbuka.

Malah ujarnya, sebagai ahli parti mereka perlu menerima keputusan tersebut seperti mana yang dibincangkan pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Isnin lalu.

Tolak kerajaan perpaduan beri pukulan TKO pada Umno

KUALA LUMPUR: PAS yakin dengan terlerainya isu pembentukan kerajaan perpaduan dengan Umno yang telah disepakati oleh tiga pimpinan utama Pakatan Rakyat, 22 Jun lalu, tidak akan diperkatakan lagi oleh media kerana pendirian tegas Pakatan telah memberikan satu pukulan 'TKO' kepada pemimpin Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad merakamkan kesyukuran kerana keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang menolak pembentukan kerajaan perpaduan kerana mengambil kira suara rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat.

Jelasnya tindakan tersebut juga bersesuaian ke arah untuk menjadikan kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat sebagai kerajaan menunggu dalam Pilihan Raya Umum yang ke 13, dua atau tiga tahun lagi.

Beliau juga menegaskan keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat itu juga merupakan salah satu usaha 'mematikan' pihak media yang dilihat melaga-lagakan antara pimpinan PAS.

"Kita juga telah melihat bagaimana kehebatan di kalangan pimpinan PAS yang telah berjaya merungkaikan kemelut yang timbul dalam masa yang singkat. Penyelesaian yang ditangani dengan roh ukhwah Islamiah yang tidak ada pada Umno.

"Ini merupakan kehebatan yang ada pada pimpinan PAS dalam menangani krisis yang mana pimpinan Umno perlu mempelajari apa yang ditunjukkan oleh pimpinan PAS dalam menghadapi isu yang begitu besar," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau percaya isu tersebut menjadi hangat kerana media telah mencorakkan pemikiran dan suasana politik.

Justeru beliau menaruh keyakinan isu tersebut tidak akan ditimbulkan oleh media kerana pendirian tegas Majlis Presiden Pakatan Rakyat itu telah memberikan satu pukulan 'TKO' kepada Umno.

Idris turut menegaskan BN dan Umno bukanlah parti yang jujur dalam persahabatan.

"PAS yang terkenal sebagai parti yang tidak pernah melanggar perjanjian sewaktu berkawan dengan mana-mana parti yang mengikat perjanjian bersama. Contohnya pada 1986, PAS telah membuat satu ikatan dengan parti-parti komponen kecil pembangkang seperti Nasma, PSRM, SDP. Jadi, bukan PAS yang ingkari perjanjian dengan mereka.

"Begitu juga pada 1989 sewaktu menubuhkan Barisan Alternatif. Bukan PAS juga yang telah meninggalkan kawan. Begitu juga pada 2004, kita tetap juga dengan semangat setiakawan sehingga hari ini," tegasnya.

Justeru beliau berpandangan, semangat setiakawan yang ada pada PAS menyebabkan musuh-musuh PAS dan Pakatan Rakyat gagal meleraikan perpaduan yang dibina.

Kerajaan Perpaduan: Pengkhianatan Umno kini terbongkar! - Dato Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Isu kerajaan perpaduan yang dimanipulasikan media perdana, akhirnya pengkhianatan Umno terhadap PAS terbongkar apabila Najib Tun Razak mengakui keikhlasannya bersama parti itu tetapi pada masa yang sama menuduh seolah-olah PAS mahu menyertai mereka.

"Umno telah lakukan pengkhianatan walaupun Najib sebut keikhlasan PAS (bentuk kerajaan perpaduan) dalam masa yang sama melakukan penyelewengan laporan akhbar mendedahkan seolah-olah PAS nak joint Umno," tegas Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya, keputusan melalui mesyuarat Pakatan Rakyat mengambil kira semua faktor termasuk kesan isu itu kepada ahli dan penyokongnya. Keputusan Pakatan Rakyat itu katanya, mengundang kesan politik yang sangat besar sekali gus meredakan keadaan politik dalam pakatan terutama penyokong mereka.

Ekoran daripada isu itu, katanya Umno bertambah tertekan sehingga Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sanggup member laluan kepada PAS untuk membentuk kerajaan perpaduan tanpa syarat.

"Umno kecewa dengan keputusan ini. Saya sangat sebak dada apabila kita buat keputusan hasil tandatangan ketiga-tiga pimpinan Pakatan Rakyat. Banyak 'sms' kita terima dari rakyat Malaysia yang seronok dengan keputusan itu begitu juga kelab penyokong PAS mereka juga menerima baik," katanya.

Mengulas keterbukaan Mursyidul Am Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat memaafkan Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa sekali gus membersihkan imej Nasaruddin dan seluruh ahli parti.

Kemelut Umno Terengganu: Mampukah team Ahmad Said gugat dan gigit Geng 10?

KUALA LUMPUR: Akhirnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan tiga nama sebagai Setiausaha, Ketua Penerangan dan Bendahari Umno Terengganu.

Seperti dijangkakan, Dato' Tengku Putera Tengku Awang yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu dan Speaker Dun Terengganu dilantik sebagai setiausaha perhubungan menggantikan Datuk Rosli Mat Hassan yang enggan dilantik semula.

Tengku Putera, adalah salah seorang ketua bahagian yang digugurkan dari bertanding dalam PRU 12 yang lalu. Dalam zaman kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tengku Putera pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Kewangan dan pernah menang Ahli MT Umno.

Beliau yang pernah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, dilihat adalah bakal Menteri Besar Terengganu suatu ketika dahulu tetapi Idris dan Abdullah ‘bersetuju’ menggugurkan namanya dalam PRU 12, walaupun beliau masih ketua bahagian.

Dalam pertandingan ketua bahagian tahun lalu, Tengku Putera nyaris ditewaskan lawannya.

Ketika Geng 10 bertindak memboikot Persidangan Dun Terengganu April lalu, Tengku Putera dilihat bersama-sama kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said walaupun mengumumkan tidak akan mengambil apa-apa tindakan terhadap 10 Adun yang ‘menyembunyikan diri’ kerana bimbang akan keselamatan nyawa masing-masing.

Perlantikan Tengku Putera sekaligus membuktikan bahawa Hishammuddin tidak berjaya dipengaruhi Geng 10 yang mahukan salah seorang dari anggotanya dilantik menjadi setiausaha perhubungan.

Sebelum ini beberapa pihak menyebut, Datuk Din Adam, penyokong kuat Datuk Seri Idris Jusoh bakal dilantik menjadi setiausaha perhubungan kerana hubungan rapatnya dengan Hishammuddin.

Sementara itu, banyak pihak di Terengganu bersetuju apabila Hishammuddin menamakan Datuk Ahmad Shabery Chik sebagai Ketua Penerangan Umno negeri walaupun sebelum ini jawatan itu pernah disandangnya ketika Idris menjadi pengerusi perhubungan.

Ahmad Shabery yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kemaman dikatakan mempunyai hubungan yang rapat dengan Ahmad Said yang juga ketua Umno Kemaman dan pengguguran Datuk Zuber Embong sebenarnya bukanlah satu ‘isu’ di Terengganu kini.

Beberapa pihak yang kesal kerana kelewatan Hishammuddin mengumumkan perlantikan dan mengadakan mesyuarat badan perhubungan tidak terkejut apabila nama Datuk Rohin Said yang juga Exco Kerajaan Negeri dinamakan sebagai Bendahari menggantikan Datuk Roslan Awang Chik kerana Roslan sendiri dikatakan mahu berundur dari aktif berpolitik setelah tamat tempohnya sebagai Ahli Dewan Negara (Senator).

Cuma, timbul pertanyaan, kenapa Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga bekas Menteri Besar yang tidak dilantik semula selepas PRU 12, masih tidak dapat menghadirkan diri.

Sebagai catatan, Idris memang tidak pernah sekali pun menghadirkan diri dalam mesyuarat badan perhubungan Umno negeri selama Ahmad Said dilantik menjadi pengerusi perhubungan.

Apakah selepas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak melantik Hishammuddin, Idris masih tidak dapat ‘menerima hakikat’ untuk menghadiri mesyuarat yang jarang-jarang sekali diadakan?

Khabarnya, Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin memang tidak mempunyai cukup keberanian untuk bertindak ke atas Idris Jusoh kerana Idris dikatakan seorang pemimpin Umno yang terlalu diperlukan dalam politik Umno Malaysia.

Dia dilantik menjadi Pengerusi Mara oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kerana pemikiran dan strategi Idris dikatakan bertaraf dunia dan Abdullah (kini Najib dan Muhyiddin) memang mengharapkan idea-idea Idris untuk meletakkan Mara bertaraf dunia.

Ahmad Said dikatakan tidak menghadapi masalah untuk meneruskan tugasnya dengan gandingannya seperti Tengku Putera, Rahin dan Ahmad Shabery tetapi mampukah gandingan ini mengatasi populariti Geng 10 yang mempunyai ‘jaringan kerja’ hebat di Kuala Lumpur?

Walaupun tiada sesiapa dari Geng 10 dilantik memegang jawatan penting dalam Umno negeri, namun Hishammuddin dijangkakan akan mengujudkan jawatan-jawatan tertentu bagi memberi laluan kepada anggota Geng 10 yang didakwa merupakan penyokong kuatnya ketika dia masih menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Hishammuddin adalah satu-satunya pengerusi perhubungan yang paling lewat mengadakan mesyuarat badan perhubungan hingga menimbulkan syak wasangka kononnya dia tidak dapat membuat keputusan siapakah yang harus dilantiknya menjadi ‘pegawai’ dalam Umno Terengganu.

Semua pengerusi perhubungan yang dilantik seperti Najib, Muhyiddin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Afdal sudah pun berjaya mengadakan mesyuarat pertama di Selangor, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang dan Kedah.

Malahan, Najib sudah dua kali mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Selangor.
Hishammuddin juga dikatakan terlalu sibuk hingga tidak ada masa untuk ke Terengganu menyebabkan beberapa pihak risau jikalau dia akan menerima laporan yang salah dari ‘bekas penyokong-penyokongnya’ yang masih mengharapkan tempat dalam Umno Terengganu.

Sehubungan dengan itu, banyak pihak mengharapkan Tengku Putera yang baru dilantik menjadi Setiausaha perhubungan dapat menenangkan emosi bekas Setiausaha perhubungan lama, Datuk Rosol Wahid yang merupakan orang penting dalam Geng 10.

Geng 10 sendiri mempunyai tiga calon mereka untuk ditonjolkan sebagai menteri besar jika Ahmad Said mahu digantikan menyebabkan ikatan Geng 10 ini dikatakan mudah pecah jika masing-masing mempunyai pertembungan kepentingan.

Oleh Idris Samad