KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 05, 2010

Tak dapat perolehi lesen judi bola - Vincent Tan salahkan Pakatan Rakyat dan bookie haram


Alasan Tan Sri Vincent Tan kononnya Pakatan Rakyat (PR) dan bookie haram menjadi punca kenapa Kerajaan Malaysia menarik balik kebenaran syarikatnya Ascot Sport dari menjalankan perniagaan judi sukan, membuktikan ia tiada kaitan langsung dengan bantahan dilakukan Umno. Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat, Umno tidak menjadi kudis walaupun pemimpinnya mendakwa pembatalan lesen judi atas desakan parti itu.

Kewujudan bookie haram dalam negara berpunca daripada penguatkuasaan yang lemah dan permintaan judi yang memberangsangkan, tegas beliau. Dakwanya, permintaan tinggi terhadap judi adalah datangnya daripada rangsangan syarikat-syarikat judi itu sendiri. 

"Syarikat judi yang diberi lesen oleh kerajaanlah yang telah memberi peluang kepada rakyat berjudi dan menyebabkan mereka ketagih judi.  Jika negara ini bersih daripada judi, penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan rakyat terdidik membenci judi maka tiadalah permintaan terhadap judi seterusnya bookie haram tidak akan wujud dalam negara," tegas beliau.

Dedah beliau, ini bermaksud salah satu punca kehadiran bookie haram berpunca daripada aktiviti judi yang dihalalkan oleh kerajaan.  Oleh kerana Syarikat Berjaya mempunyai pelaburan judi yang besar maka tuduhan Tan Sri Vincent Tan itu bagaikan meludah ke langit, ujarnya.

Vincent Tan tegasnya, harus melihat kehendak rakyat khususnya anak muda Malaysia sudah berubah sekarang. Mereka mahu melihat negara ini bebas daripada nilai-nilai yang tidak sihat.  Suhaizan turut menasihati Vincent Tan agar mencari pelaburan lain di negara ini yang boleh memacu negara menjadi sebuah negara yang maju, aman dan damai.

Dalam perkembangan  berkiatan, Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) akan meneruskan kempen tahap kedua iaitu 'Kempen Tak Nak Judi; ke seluruh negara bagi mendesak kerajaan mendidik masyarakat membenci judi; memperketatkan penguatkuasaan undang-undang judi dan mengurangkan lesen judi.