KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 13, 2010

Lim Guan Eng tetap jadikan Khalifah Umar sebagai model pemerintahan


WALAUPUN berstatus bukan Islam, tidak menghalang Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk mencontohi cara pemerintahan idolanya, Khalifah Umar Abdul Aziz. Baginya Umar Abdul Aziz terlalu hebat untuk diikuti. Namun, beliau bertekad untuk melaksanakan cara kepimpinan Umar Abdul Aziz setakat yang terdaya.
Ikuti bahagian kedua temubual AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, WAN NORDIN WAN YAACOB, IZWAN ABDUL HALIM serta SABRI MOHD SAID menemui beliau di Pejabat Ketua Menteri, di Bangunan Komtar pada jam 8.30 malam, 3 Februari 2010.


Selama hampir dua tahun saudara sering menyebut mengenai meneladani kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz. Setakat mana ia telah diterap dalam kepimpinan di Pulau Pinang dan sejauh mana kepimpinan Umar Abdul Aziz dan prinsip CAT boleh diteladani pegawai-pegawai kerajaan di Pulau Pinang? Ada dakwaan mengatakan sesetengah kes tertentu ada sabotaj dari pegawai kerajaan?
LIM GUAN ENG: Yang utamanya kita cuba memupuk sikap profesionalisme. Sebab itu kita lantik tanpa mengira Melayu, Cina atau India.
Sebelum ini kita lantik Yang Dipertua MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) dari setiausaha yang layak ketika itu seorang berbangsa Cina, kena hentam kromo, (saya dituduh) main perkauman.
Sebenarnya tidak, saya hanya lantik orang yang paling layak. Selepas dia bersara saya lantik dari orang Melayu, mereka sudah tidak bising, tapi ada sesetengah rakyat kurang puas hatilah sebab dia wanita pertama jadi YDP MPPP.
Saya lantik bukan dasar jantina, atau warna kulit. Saya lihat kebolehan, itu yang saya cuba hendak ubah. Jangan lihat kepada aspek bangsa sahaja, lihat sudut negara Malaysia dan kemampuan, sudut nilai sama ada bertakwa atau tidak. Lantik mereka yang mampu.
Kita ambil kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz melalui teladan, beliau adalah model. Beliau buat banyak perkara. Kalau saya cerita tak habislah.
Macam bila orang minta dia bina tembok, dia cakap luaran tidak penting, yang penting kita bina keadilan. Keadilan lebih penting dari tembok. Apa guna tembok besar-besar kalau anda tidak terapkan prinsip keadilan? Jika rakyat memberontak, tembok pun tak guna.

Maknanya, bagi saudara, yang penting adalah keadilan...

Ya, kalau sistem adil, tak payah tembok, pemerintahan anda akan terus berterusan. Jadi itulah cara dia yang kita amalikan. Prinsip dia tak bazirkan wang, dia tak gunakan untuk diri sendiri. Kita cuba amalkan, tapi tidak mampu amalkan semuanya. Dia hebat. Kita ikut sikit sikit.
Macam naik kapal terbang, naiklah kelas ekonomi. Saya balik dari Korea ini pun naik ekonomi. Kerana saya naik ekonomi ada orang kata saya tidak ada 'class'. Tak apalah, kalau naik tambang ekonomi tak ada 'class', tak ada 'class'lah.
Ada orang cakap Ketua Menteri tak ada 'class' bukan macam ada sesetengah Menteri dia naik kapal terbang macam sewa satu kapal terbang. Jadi saya naik kapal terbang naik ekonomi. Jadi itu kepimpinan berhemah, bersih, kita cuba amalkan.
Kita tak kata kita tak buat kesilapan, tetapi kesilapan ialah kerana kita manusia. Sabotaj tentu ada, bila kita buat sesuatu, ada yang buat khabar angin yang bukan-bukan. Macam cerita gerai, itu sangat jahatlah.
Bila kita lantik pegawai, mereka lihat dari sudut warna kulit bukan dari segi kemampuan dan prestasi masing-masing. Yang penting adalah kita boleh berusaha teruslah.
Saya yakin kalau ada peluang untuk terus memerintah, rakyat akan lihat perbezaan. Kita akan selalu naik pangkat mereka yang mahu buat kerja dan mampu buat kerja tak kira latarbelakangnya. Tak kiralah dia Melayu, Cina, atau India atau Umno, MCA atau MIC. akalau dia boleh buat kerja kita lantik.
Kita juga masukkan konsep profesionalisme macam Lembaga Rayuan yang ditubuhkan untuk mendengar aduan atau rintihan penduduk yang terjejas kerana keputusan yang dibuat PBT.
Dulu semuanya ahli politikus, sekarang kita semuanya lantik ahli profesional.
Kadang-kadang bila kita buat macam ini, BN bila yang dahulunya dapat lantikan dan habuan, ini kita tidak bagi sekarang.
Tapi saya percaya dalam Pakatan Rakyat semua faham kecuali sekerat dua yang jadi masalah. Saya rasa kita semua bersatu hati untuk menghadapi dan menanganinya.

Banyak kenyataan yang menghentam peribadi saudara, apakah ini memberi kesan kepada saudara?

Saya tidak terjejas kerana saya tahu siapa kawan saya. Yang itu bukan kawan saya sebab kawan jadi lawan, kerana mereka tak dokong amar maaruf nahi mungkar.

Biarpun kerana itu menyebabkan ramai yang tidak suka...

Saya selalu sebut bahawa kerana mengangkat amar maaruf nahi mungkar saya sanggup kehilangan kawan, malah bersedia untuk terima kawan jadi lawan.
Asalkan kita dapat laksanakan CAT dan amar maaruf nahi mungkar, ini perjuangan dan prinsip saya, saya ada kawan yang bersama, saya tak gentar kerana rakyat bersama kita dan kita terus pegang prinsip ini.
Jika berlaku sesuatu itu adalah ketetapan tuhan, yang penting kita dijalan benar.
Semua serangan ini ialah muslihat untuk mengalih perhatian kita dari kes Anwar Ibrahim, kerana kita seharusnya tumpu kepada kes Anwar, di mana Anwar dianiayai, saya kesali ialah ada mereka yang cakap dan rupa macam Pakatan Rakyat tetapi sebenarnya tidak lagi Pakatan Rakyat.
Sebenarnya hati mereka ini sudah berada di dalam Umno. Apa yang pasti, saya lihat PAS sangat baik, tiada masalah dengan kami. Hubungan kita dengan Ustaz Salleh Man sangat baik, ini semua memberi kerjasama dengan kami di kerajaan negeri.

Timbul dakwaan bahawa kontraktor Melayu hanya dapat dapat projek Kelas F?

Ini Kelas F, Kelas F hanya untuk orang Melayu sahaja. Jadi, Kelas F dahulunya anda tahulah, kroni Umno sahaja yang dapat dengan meluas, sekarang kita buat tender terbuka. Semuanya lebih senang, lebih cepat.
Kita ada kriteria, kita buat secara terbuka di mana Melayu, Cina, India boleh sama-sama buat tender.
Apabila kita proses ini tender, kita tidak lihat latar belakang. Kita hanya proses sahaja, tetapi bila kita dapat maklumat, terkejut bila dapat tahu daripada kontrak tender yang diberikan 67 hingga 70 peratus adalah daripada kontraktor Melayu.
Ini menunjukkan kontraktor Melayu mampu berdaya saing dengan kontraktor bukan Melayu. Apa yang kita hendak tegaskan ialah bukan tengok dari sudut bangsa, lihat dari sudut dasar-dasar yang gagal, dasar-dasar gagal yang masih diterima pakai.
Kalau dasar itu betul, rakyat akan berdaya saing. Jangan lihat dari sudut individu atau bangsa, lihat dari sudut dasar. Ini yang akan memartabatkan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Menyentuh persoalan ekonomi, Pulau Pinang sejak lama dikenali sebagai negeri yang maju dengan industri. Sejauh mana FDI masuk ke dalam negeri ini sejak ditadbir Pakatan Rakyat?

Itu dahulu dikenali, kebelakangan ini sudah menjunam... 18 tahun sudah menjunam. Jadi saya ingat keempat atau kelima tapi saya ingat boleh pulih balik.

Sejak Pakatan Rakyat amalkan dasar ketelusan dan anti-rasuah, adakan pelaburan luar masuk?

Tahun 2008, tahun pertama kita berjaya menarik RM10.2 bilion iaitu rekod terbesar dalam sejarah Pulau Pinang. Tahun lepas kerana kekangan ekonomi kira-kira RM2 bilion, tetapi ini kejatuhan yang sekali dengan seluruh dunia dan di Malaysia.
Itu perkara biasa, semua unjur begitu. Tahun 2008 kita berada di tempat keempat, tahun 2009 masih kekal di tempat keempat, tidak ada perbezaan.
Sungguhpun kita tidak berpengalaman, kita berjaya tarik pelaburan dan saya amat-amat yakin bukan sahaja dari segi kuantiti tapi juga mutu pelaburan.
Kita nak tarik (pelaburan) yang berteraskan pengetahuan, yang berteknologi tinggi, yang inovatif dan kreatif. Kita berjaya beberapa syarikat yang berteknologi tinggi.
Kita juga galakkan Teknologi Hijau. Kita buat halal hub. Ini kejayaan yang paling menyerlah, kerana sebelum ini tidak ada usaha pun untuk buat halal hub. Bila saya jadi Ketua Menteri, saya lihat begitu banyak syarikat dari Pulau Pinang, tetapi kerajaan negeri (BN sebelum ini) tidak membantu.
Saya terkejut dan saya siasat. Saya tanya, mereka jawab sebelum ini tiada minat. Apa? Tiada usaha untuk masuk itu pasaran halal? Ini pasaran berbilion, kena masuk.
Dulu tidak masuk kerana tidak ada penekanan. Dia ingat orang Islam jaga orang Islam, orang bukan Islam tak boleh jaga orang Islam. Ini adalah pemikiran yang kolot.
Rakyat Malaysia mesti jaga satu sama lain. Tak bolehlah buat diasingkan. Jadi kita usahakan, saya minta Exco Agama bantu dapatkan sumber-sumber yang ada.
Dalam setahun kita telah cipta sedikit kejayaan, kita telah buat ekspo dan konvensyen. Saya juga telah peruntukan tanah untuk buat taman industri halal.
Itu yang kita telah buat daripada sifar dan telah memenangi hadiah pemudahcara paling baik dari HACC. Jadi itulah satu kejayaan yang kita rasa menyerlah.

Dari sudut peningkatan taraf hidup rakyat, Umno canang kerajaan negeri pimpinan saudara meminggirkan kaum Melayu, sejauh mana benar?

Dari segi aspek mana? Kita bela miskin tegar dia tidak buat dalam 51 tahun, kita buat dalam 1 tahun. Ini yang saya tidak faham. Bila kita beri wang kita bukan bagi kepada kroni-kroni tertentu, kita bagi semua orang.
Macam kifalah, kita nak mulakan selepas bulan Mac. Ini mendatangkan manfaat kepada rakyat. Microkredit kita beri semua kepada rakyat Pulau Pinang.
Tentu orang Umno akan cakap saya pinggirkan Melayu, MCA cakap saya pinggir Cina, MIC cakap saya pinggir India. Tetapi yang pinggirkan rakyat Malaysia ialah BN. Jadi itulah perbezaannya.
Di sini, apakah yang kita dapat kalau kita pinggirkan rakyat? Macam saya kata tadi takkanlah saya bodoh macam itu untuk pinggirkan rakyat. Tidak ada! Kita cuba bantu semua rakyat Malaysia. Itu yang kita usahakan.

Dalam 2 tahun kerajaan Pakatan Rakyat, hubungan Pakatan Rakyat dan dasar yang dijalankan, apakah ia akan menjadi sandaran terbaik kepada Pakatan untuk berdepan pilihan raya umum akan datang?

Ini terserah kepada rakyat, kita boleh merancang dan tuhan menentukan. Dalam dua tahun ini kita tahu siapa makruf dan siapa mungkar, kita datangkan prinsip yang baik bukan pecah perintah seperti BN.
Kita tegakkan kerajaan yang mengutamakan rakyat. Kita tegakkan prinsp 3P, iaitu perkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan, dengan masyarakat berilmu mereka boleh jaga hak, seterusnya, perkasakan hak kebebasan dan tanggungjawab rakyat dan ketiga perkayakan rakyat.
Sebab itu kita buat kifaalah warga emas. Kita telah pecahkan temberang Umno-BN, kita berikan wang bantuan kepada rakyat yang memerlukan. Kita hadapi cabaran yang mana mungkin ada yang masih terpesona dengan cara BN dulu yang mahu kronisme, berbanding kita yang mementingkan persoalan ketelusan, reformasi, hubungan erat antara Pakatan Rakyat. Bagi saya buang yang keruh ambil yang jernih. Terima kasih.

Lim Guan Eng pembela Melayu Pulau Pinang - Ustaz Salleh Man

PESURUHJAYA PAS Pulau Pinang yang juga Adun Permatang Pasir, Ustaz Salleh Man tampil mempertahankan Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Bagi beliau, banyak perkara yang dilakukan oleh Setiausaha Agung DAP itu, untuk membantu orang-orang Melayu yang jauh terpinggir sejak zaman kepimpinan Barisan Nasional.
Ustaz Salleh lebih berbangga dengan Guan Eng, yang ternyata mampu memartabatkan Islam, jauh lebih baik dari kerajaan yang dipimpin Gerakan-Umno dahulu.
Untuk lebih memahami senario yang berlaku, ikuti temubual AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN, dan WAN NORDIN WAN YAACOB menemui Ustaz Salleh di Tapak Expo sempena Karnival Penang Harmoni di Seberang Jaya, 3 Februari lepas.

Bagaimana kerjasama yang dibuat PAS kepada pentadbiran kerajaan Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri, Lim Guan Eng?

USTAZ SALLEH MAN: Kita sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang. Misi kita, kita mahu membantu kerajaan yang boleh kita ketengahkan.
Setakat ini kita banyak diberi ruang dan kesempatan dan beberapa kepentingan yang diisi oleh kepimpinan PAS yang mana beberapa jawatan-jawatan tertentu diberikan kepada kita untuk kita laksanakan tugas kita mengikut saluran yang telah diberikan. Jadi nampak kita diberi kepercayaan untuk meningkatkan diri dalam laksanakan agenda Kerajaan Pulau Pinang.

Bagaimana PAS berperanan dalam memastikan orang Melayu di sini memberi keyakinan kepada kerajaan yang dipimpin oleh Guan Eng?

Kita sedari bahawa Umno memiliki kelebihan dalam kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang ini. Sebab itu walaupun saya nampak penukaran kerajaan Umno-Gerakan, walaupun kini Umno masih nak kekalkan kerusinya. mereka ada 11 kerusi.
Tetapi dalam meletakkan keyakinan dan harapan masyarakat Melayu umumnya di Pulau Pinang, sudahpun ada gambaran apa yang dilaksana oleh Umno sebelum ini memberi hanyalah untuk kepercayaan kepada Gerakan, bukan Melayu, ini kalau nak disebut persoalan konteks Melayu.
Namun kita dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, dalam mendapatkan keyakinan dan harapan penyokong Melayu dengan strategi dan pendekatan.
Apa yang kita nampak dasar-dasar yang dijalankan oleh kerajaan pimpinan Lim Guan Eng hari ini di Pulau Pinang, jelas memberi keyakinan bahawa hak Melayu terjaga dan orang Melayu mula yakin dan memberi sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.
Umumnya di kalangan rakyat memanglah memberi sokongan kepada dasar-dasar pakatan rakyat. Dalam pilihan raya akan datang mereka akan tolak BN.

Mutakhir ini serangan dikenakan ke atas Guan Eng, apa sebabnya?

Memang itu berlaku. Sebenarnya dalam situasi sekarang ini Umno hadapi tekanan yang kuat dalam kepimpinan mereka.
Imej mereka mutakhir ini di seluruh negara diperlihatkan mereka ini Kerajaan Persekutuan telah nampak kegagalan yang akibatkan keputusan-keputusan diambil untuk menyerang semula kerajaan Pakatan Rakyat dengan isu sentimen Melayu. Matlamat untuk menarik semula sokongan Melayu, yang mana Umno memang mengharapkan dapat mereka pulihkan sokongan Melayu ini kerana Umno-BN hilang keyakinan mereka ini. Saya yakin usaha mereka akan gagal.

Serangan terhadap Guan Eng oleh Dato' Seri Zahrain Hashim sangat hebat, apa sebabnya?

Dia (Zahrain) lebih tumpukan secara peribadi dan bukan atas dasar kepimpinan Guan Eng sendiri. Sebab rakyat memahami di atas tindakan dan pelaksaaan kerajaan Pakatan Rakyat kini yang telahpun dilakukan berdasarkan apa yang disebut dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimana dengan isu perobohan gerai Melayu?

Telah dibuat penjelasan terbuka oleh pimpinan negeri, sebab sebelum ini maklumat sebenar tak diberikan sebelum ini.
Setelah timbul isu ini, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telahpun hari ini kemukakan penjelasan yang memperlihatkan apa yang berlaku mutakhir ini ialah fitnah yang dilontarkan untuk tarik perhatian masyarakat Pulau Pinang. Apa yang dijelaskan dalam tohmahan itu mereka (Umno) gawat untuk menandingi ketelusan dasar yang dijalankan kerajaan pimpinan Guan Eng.
Kita yakin situasi ini berlaku hanya serpihan, dimana ada suara-suara yang kononnya tak dapat letak keyakinan kepada kerajaan yang ada tertapis sebenarnya apa yang berlaku ini ialah mainan yang dijalankan Umno-BN. Kita bimbang, peluru yang dilontar ini kesannya kepada kita dan mencabar. Namun PAS yakin kita akan terus bersama-sama dengan pakatan dan bekerjasama dengan kerajaan negeri yang ada hari ini. Kita akan menjelaskan apa yang dialami hari ini.

Zahrain serang peribadi, apa penyebabnya? Mengapa tidak beliau guna majlis Pakatan Rakyat untuk menyuarakan pandangan?

Ia lebih kepada serangan peribadi, bukan pentadbiran. Ini satu tohmahan yang seolah-olah diadakan bagi menarik perhatian, dan dengan isu ini Umno-BN mengambil kesempatan.
Ia sebenarnya menunjukkan tidak bijaknya sebahagian pimpinan atau wakil rakyat KeADILan dalam mengetengahkan isu berhubung tidak puas hati mengenai soal peribadi.
Kita ada sekretariat Majlis Pakatan Rakyat untuk meluahkan isu ini, sepatutnya tidak perlu didedahkan kepada pihak lawan. Majlis pakatan ini wujud di Pulau Pinang, dah dua tiga kali kita berbincang dan tiada isu besar yang memisahkan kita.
Sekarang ini telah timbul isu ini kita akan bermesyuarat untuk membincangkan hal tersebut.

Apa yang digambarkan media Umno-BN ialah teruknya krisis yang berlaku di Pulau Pinang, apa situasi sebenar?

Di Pulau Pinang ini walaupun media main begitu panas tetapi kita rasa masyarakat tidak terkesan atau termakan dengan isu ini. Ini mainan media untuk kepentingan politik sahaja. Saya harap selepas ini kita tidak melayan fitnah-fitnah sebegini lagi.

Dalam soal memartabatkan keadilan Islam, apa peranan PAS?

Sebab itu kekuatan kita berada di situ, sebelum ini walaupun kita sebut sebagai pemerintahan Islam, tetapi Guan Eng telahpun mengguna pakai konsep pemerintahan cara Khalifah Umar Abdul Aziz. Ini satu kebanggaan kita di Pulau Pinang, kita harap ia bukan setakat slogan tetapi penghayatan itu yang penting.
Kita mahu ia terus dilaksanakan di bawah kerajaan Guan Eng ini. Sebab itu oleh kerana kita di Pulau Pinang sama dengan orang lain, kita akan terus berfungsi untuk membantu kerajaan yang ada. Dalam soal memartabatkan Islam pula, baru-baru ini Ketua Menteri sendiri telah melancarkan Majlis Syura yang telah ditubuhkan sebelum ini.
Peranan Majlis ini ialah banyak membantu untuk menaikkan lagi majlis agama Islam ini ke martabat yang tinggi,Sebelum ini ada penganugerahan atau bantuan kepada golongan Huffaz yang sangat tinggi oleh Ketua Menteri sebab dia menyanjung tinggi golongan Huffaz ini yang berjaya melancar dan menghafaz ayat al-Quran yang berjumlah 6666 ayat ini.
Ini mendapat perhatian beliau sendiri yang kagum umat islam boleh hafal Quran. Beliau juga mengharapkan agar sebuah rumah ada seorang Huffaz. Dan baru-baru ini, mereka beri RM500 kepada setiap Huffaz yang bejumlah lebih 100 orang yang telah menerima anugerah ini. Semua anak-anak Pulau Pinang. Kita akan terus berperanan dalam hal ini.Kita akan bantu lebih untuk imarahkan Majlis Agama Islam ini, Umno-BN yang mentadbir majlis ini sebelum ini dalam keadaan layulah.
Apabila kita buat perubahan-perubahan ini, yang kita rasa perlu dibbuat untuk manfaat selain apa yang telah dilakukan untuk membentuk atau menbentuk masyaraiat yang baik. Kita telah bentuk satu portfolio baru, Pembangunan Generasi Pewaris ini diwujudkan dengan kerjsama anggota keselamatan bagi tangani masalah sosial remaja Pulau Pinang ini dalam kes jenayah dan lain-lain.

Dari sudut PAS sendiri, bagaimana PAS memberikan pandangan dan idea kepada kerajaan negeri?

Kita sentiasa adakan perbincangan walaupun tidak tetap atau formal tetapi oleh kerana kita telah ada tempat kita sering bertemu walaupun tak secara formal, saya selalu jumpa dengan pentadbiran kerajaan negeri, selain itu kita juga menyantuni kakitangan di peringkat jabatan kerajaan negeri.

Sebelum ini ada suara pemuda PAS yang mengkritik kerajaan negeri, bagaimana sekarang ini?

Sudah berubah. Oleh kerana sikap dan hubungan yang telah ditunjukkan kepimpinan Guan Eng hari ini. Hubungan ini sangat baik,kerajaan negeri selalu minta pandangan dan kerjasama kita, untuk mana-mana kepincangan dan boileh bantu bagaimana nak dekati Melayu di Pulau Pinang. Ini mereka beri satu harapan di mana kitalah yang akan membantu dan bagaimana kita boleh buat membabitkan banyak persoalan. Mereka memahami. Dalam soal agama, ada benda yang boleh kita bersama kita bersama dan ada yang tak boleh kita bersama, mereka (DAP) akan fahamlah.
Di peringkat pemuda pula, kita telah ada kerjasama yang baik dengan adanya sekretariat pemuda PAS, DAP dan KeADILan. Mereka telah duduk semeja dah dua kali memulakan perbincangan.Ini kita harapkan agar terus dipulihkan hubungan ini. Apa-apa pun kita ada pimpinan, kita mesti hormati pimpinan yang ada hari ini barulah stabil.jika kita tidak hormati pimpinan atasan ini sukarlah.

Nasir Safar rebah dalam '1Malaysia' ciptaan bossnya Najib Razak

RAKAN saya IDRIS SAMAD mengulas begini tentang isu Nasir Safar: Awal Februari lalu, heboh orang bercakap isu Pegawai Khas Perdana Menteri, Dato' Nasir Safar meletakkan jawatannya kerana mengambil tanggungjawab apa yang diucapkannya ketika menghadiri program 1Malaysia di Melaka.

Ramai yang tahu mengenai Nasir dan ramai juga yang tidak tahu siapa dia. Dia jadi popular seketika apabila ada laporan polis dibuat beberapa orang ahli MIC yang tidak bersetuju dengan isi ucapannya – menyentuh soal orang India dan Cina di Malaysia.

Tepat pepatah Melayu, terlajak perahu boleh diundur, telajak kata buruk padahnya. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Nasir pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Johor. Ketika Nasir menjadi Ketua Pemuda Umno negeri, dia berbalah dengan Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Muhyiddin pernah menyelar Pemuda Umno di bawah kepimpinan Nasir sebagai Pemuda yang dilanda sindrom bisu.

Ketika Nasir dipilih menjadi Adun Pulai Sebatang di Pontian, khabarnya Nasir memberitahu beberapa kawan-kawannya, bukan Muhyiddin yang memilihnya tetapi atas arahan dan kehendak Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Adun Pulai Sebatang ketika itu, Khatijah Md Som terpaksa dipindahkan ke Dun Benut di bawah Parlimen Sungai Benut untuk memberi laluan kepada Nasir.

Khatijah tidak bersetuju kerana dia adalah Ketua Pergerakan Wanita Umno Pontian tetapi terpaksa bertanding di Sungai Benut, kawasan lain walaupun bersebelahan.

Hubungan tidak mesra Nasir dengan Muhyiddin berpanjangan. Itulah sebabnya, Najib dikatakan tidak dapat menerima kehadiran Muhyiddin kerana kebanyakkan orang-orang Najib memang tidak suka kepada Muhyiddin.

Apabila dalam pemilihan Umno tahun 2009, regu Najib-Muhyiddin disangsikan beberapa pihak kerana kehadiran Nasir sebagai pegawai Najib.

Jawatan sebenar Nasir di Pejabat Perdana Menteri ialah Pegawai Penerangan Perdana Menteri – satu jawatan yang direka khas untuk meletakkan Nasir di situ.

Sebelum ini, jawatan dan kedudukan yang Nasir pegang itu tidak pernah wujud ketika Perdana Menteri lain, sebelum kehadiran Najib.

Nasir pernah diberi tempat menjadi Ketua Penaja Umno Bahagian Tanjung Piai tetapi dia kemudiannya dikalahkan oleh Datuk Mohd Othman Yusof. Tahun lalu, Nasir menang jawatan timbalan ketua bahagian sementara Mohd Othman masih merupakan ketua di bahagian itu.

Ramai yang pernah mendengar Nasir berucap, menyifatkan Nasir sebagai seorang Pegawai Khas yang diwujudkan sebagai 'simpati Najib' kepada seorang kawan yang pernah menjadi penyokong setianya.

Nasir sering memainkan peranan menghantar sms kepada penyokong-penyokong Najib untuk meramaikan lapangan terbang ketika menghantar dan menyambut Najib mahu berangkat ke luar negara dan kembali dari luar negara.

Tugas lain Nasir ialah memastikan kawan-kawan Najib yang memegang jawatan di peringkat Umno bahagian sentiasa diundang untuk majlis berbuka puasa dengan Najib dan menyambut Hari Raya di majlis rumah terbuka.

Namun, disebabkan majlis berbuka puasa dan rumah terbuka hanya setahun sekali, Nasir dikatakan mempunyai masa lapang di pejabat yang menyebabkan dia berminat untuk turut sama berceramah di majlis-majlis kerajaan termasuklah program 1Malaysia yang mungkin dia sendiri belum begitu faham motif dan matlamatnya.

Itulah sebabnya, ucapan Nasir tersasar. Nasir tidak boleh marah orang yang menyifatkan dia sebagai seorang pegawai Perdana Menteri yang gagal ditarbiyahkan.

Walaupun tahun 2009 Nasir sudah menyampaikan 60 ceramah, seperti pengakuan Najib ketika mengesahkan menerima surat perletakan jawatan Nasir, tetapi Nasir sebenarnya belum layak berucap di majlis kerajaan yang dihadiri pegawai-pegawai kerajaan dan pemimpin mesyarakat.

Barangkali di Johor sendiri, walaupun Nasir sudah pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri, sudah pernah menjadi Ketua Penaja Umno Bahagian Tanjung Piai tetapi Nasir jarang dijemput menyampaikan ceramahnya di bahagian-bahagian lain termasuk Bahagian Pontian, di mana di situlah tempat bermulanya kareir politik Nasir.

Bukan sedikit yang terkejut apabila Nasir dilantik oleh Najib menjadi Pegawai Penerangan kepada Timbalan Perdana Menteri, ketika Najib menjadi timbalan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, bagi orang-orang politik Umno di Johor mereka tahu Nasir memang 'budak Najib' sejak sekian lama.

Hari ini, apabila ada beberapa pemimpin belia mempertahankan Nasir, ramai juga yang pelik kerana Najib tidak pula mempertahankan Nasir.

Jika Najib memang mahukan Nasir bekerja dengannya, mengapa sebelum siasatan dijalankan, Nasir sudah disahkan mahu melepaskan jawatannya?

Adakah memang Najib mahu menyingkirkan Nasir sejak sekian lama tetapi tiada alasan yang munasabah untuk berbuat demikian?

Pegawai-pegawai yang mengelilingi Najib sekarang perlu lebih berhati-hati. Mereka bukan sahaja perlu memahami aspirasi Najib malahan mereka juga perlu berhati-hati bercakap kerana orang yang mendengar ucapan bukan dari kalangan mereka yang boleh disumbatkan dengan ucapan kosong yang berapi-api.

Mereka jangan ingat Umno yang mereka bergelumang sejak sekian lama masih menjadi parti kesayangan orang-orang Melayu.

Jika mereka masih berfikiran secara lama, maka mereka akan menjadi mangsa kepada ucapan mereka sendiri.

Zaman sudah berubah. Mereka yang hanya bersekolah rendah empat puluh tahun dahulu jangan cuba untuk bercakap soal-soal globalisasi dan dunia tanpa sempadan jika mereka sendiri tidak pernah mahu belajar dan mencari pendedahan baru yang mereka sendiri jahil mengenainya.

Dalam era semua maklumat sudah berada di hujung jari, janganlah ada mana-mana pegawai atau pemimpin Umno masih lagi menyangka mereka berucap di hadapan ahli-ahli Umno dan ketua-ketua cawangan yang merasakan mereka hidup dalam era Umno menguasai segala-galanya.

Itulah sebabnya, mereka mesti sanggup berubah jika mereka tidak mahu rebah.

Nasir adalah satu contoh di mana dia rebah ketika mahu bercakap tentang slogan 1Malaysia yang dia sendiri mungkin gagal diberikan fahaman secara mendalam pengertian tersebut.

Nasib baik Nasir tidak bercakap isu Islam Hadhari atau Wawasan 2020 yang akhirnya menyebabkan orang yang mendengar ucapannya menganggap Nasir seperti orang mengigau – bercakap tanpa pedoman dan panduan.

Kenapa Najib benarkan orang seperti Nasir menjelajah ke seluruh negara untuk berucap? Adakah Najib tidak mempunyai pegawai lain yang lebih hebat dari Nasir dalam menyampaikan ucapan mengenai 1Malaysia?

Zamry, MB pertama dilantik oleh mahkamah - MP Ipoh Barat

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang sebulat suara mengisyhtihar Dato' Zambri Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sekaligus membuktikan Zambri Menteri Besar pertama di negara ini yang dilantik oleh mahkamah, kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, N Kula Segaran.

Keputusan itu juga katanya, satu sejarah dan kerana itu beliau berharap Zambry lebih matang dan memahami pelantikannya adalah sebagai seorang Menteri Besar oleh mahkamah.

Katanya, sebagai seorang Menteri Besar, Zambry sendiri sewajarnya membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak bagi membersihkan kemelut politik yang berlarutan di negeri itu.

"Hanya dengan cara itu akan dapat menyelesai krisis politik di Perak. Ini kerana pandangan masyarakat terhadap krisis itu disebabkan oleh BN yang memancing Adun Pakatan Rakyat menyertai parti BN.

Tambahan pula kata Kula Segaran, dalam pilihan raya 2008 yang lalu, 56 peratus pengundi di Perak mengundi Pakatan Rakyat dan hanya 44 peratus sahaja yang mengundi BN.

Mahkamah perakui rampasan kuasa di Perak - Tok Guru Nik Aziz


KOTA BHARU: "Itu keputusan mahkamah seperti mengakui rampasan kuasa yang berlaku di Perak dan bukannya melalui pilihan raya," kata Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Oleh itu beliau meminta rakyat di seluruh negara khususnya Perak memprotes sekurang-kurangnya dengan cara benci.

"Allah Taala menterjemahkan rasa benci-Nya terhadap manusia yang kufur serta fasik dan derhaka.

"Apa yang berlaku di Perak adalah kerja fasik kerana mereka menang tidak melalui pilihan raya dan pihak yang menang itu pula melompat keluar dari kerajaan yang dipilih rakyat," tegasnya ketika ditemui di sini Selasa lalu.

Beliau diminta mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan kedudukan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, selepas tiga Adun Pakatan Rakyat mengisytihar sebagai wakil rakyat Bebas tahun lepas.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, rakyat memprotes keputusan mahkamah kerana seolah-olah mengesahkan mereka yang melompat parti.

Katanya, perlu diperjelaskan perbuatan melompat parti sehingga menjatuhkan Kerajaan Perak yang dipilih rakyat secara sah mengikut demokrasi adalah salah.

"Sekiranya keputusan mahkamah berhubung penggunaan kalimah Allah baru-baru ini diprotes pihak tertentu, tidak ada salah juga protes yang sama juga perlu dibuat berhubung kes mahkamah hari ini," ujarnya.

Katanya, walaupun tidak menentang dengan cara demontrasi, namun ia boleh dilakukan dengan cara menanam rasa benci di hati rakyat berhubung perkara itu.

Tegas beliau, melompat parti disifat sebagai pecah amanah rakyat yang mengundi mereka. Tambahnya pecah amanah sedemikian akan berulang pada masa akan datang disebabkan mereka semakin galak (berminat) melakukan kerja jahat.

"Tidak mustahil huru hara akan berlaku di negara ini sekiranya tindakan galak tersebut dibiarkan berterusan," ujarnya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mendakwa Umno sebuah parti yang tidak berlandaskan Islam, langsung tiada moral dan akhlak. Oleh itu katanya, selagi negara ini diperintah golongan sekular seperti Umno, selagi itu tidak akan bertapak iman di hati rakyat.

"Ia seumpama seorang anak akan menuruti perangai ibu bapa masing-masing, begitu juga rakyat akan mengikut landasan pemerintahan yang dipimpin golongan sekular.

"Sekiranya pemimpin beriman, rakyat akan beriman, sekiranya pemimpin tidak bermoral atau seumpamanya, begitu juga rakyat akan mengikut," ujarnya.

Ketika ditanya kemungkinan rakyat berdemontrasi kerana tidak puas hati katanya, itu terpulang kepada mereka.

Bagaimanapun katanya, bagi peringkat pertama beliau cadangkan biar mereka tanam rasa benci kepada mereka yang melakukan kerja tidak bermoral termasuk melompat parti.

Kata beliau demontrasi sesuatu tindakan yang halal di sisi demokrasi dan suasana tegang telah berlaku sejak wakil rakyat dari Pakatan melompat parti.

"Ketegangan berlaku bermula detik itu sehingga berlaku ketegangan dalam dewan negeri, berebut jubah Speaker Dun dan berbagai lagi, jadi kenapa dibimbangi berlaku ketegangan," katanya.

Pada 9 Februari lalu, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat setelah berpuas hati Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Turut bersidang bersama Alauddin ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Zulkefli Ahmad Makinuddin, Dato' Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Mahkamah tak junjung demokrasi ulas Prof Dr Abdul Aziz Bari


KUALA LUMPUR: Mahkamah Persekutuan gagal mendaulatkan intipati perlembagaan yang cuba melaksanakan demokrasi di dalam pembentukan sesebuah kerajaan.

Demikian komen awal dari Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika ditanya mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya Selasa lalu.

"Bagaimanapun ia tidaklah terlalu memeranjatkan kerana sebelum ini kita telah melihat keputusan yang sama di Mahkamah Rayuan. Begitu juga dengan keputusan berhubung dengan kuasa Speaker Dun Perak. Semuanya menyalahi perlembagaan; baik peruntukan maupun semangatnya. Ada peruntukan yang diberi makna yang ganjil meskipun mahkamah sendiri telah membuat keputusan yang selaras dengannya sebelum itu," ujarnya.

Aziz mengulangi pendapatnya bahawa apa yang diputuskan Selasa lalu itu mempunyai kesan yang serius ke atas sistem perlembagaan negara termasuk di peringkat pusat.

"Apa yang berbeza hanyalah nombor peruntukan sedangkan perkataan dan prinsipnya sama," jelasnya. Dengan keputusan itu Perdana Menteri boleh dijatuhkan melalui konspirasi yang sama di peringkat Persekutuan, katanya.

"Sebab itu sebaik-baiknya hendaklah diadakan undi tidak percaya di dalam dewan. Cara lain memang boleh tetapi jika kerajaan yang ada tidak menentang - malah mahukan undi tidak percaya itu - mengapa cara yang lain itu perlu dilakukan?" soal beliau.

Dalam penghakimannya Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa undi tidak percaya bukan satu-satunya cara untuk menjatuhkan Menteri Besar dan Sultan boleh meminta Menteri Besar meletak jawatan.

Cara tersebut, tambah Aziz, berbahaya kerana ia boleh dimanipulasikan dan ianya tidak telus. Tambahnya, cara itu juga boleh menyebabkan 'istana terseret ke dalam kancah politik dan ini akan mengkompromikan kedudukan neutralnya sebagai bapa negeri'.

Ditanya mengenai pembubaran Dun, Aziz berkata ia bukanlah hak mutlak meskipun perlembagaan menyebutnya sebagai kuasa budibicara.

"Kuasa itu sepatutnya digunakan dengan baik; termasuk memberi peluang kepada rakyat yang jelas mahu membuat keputusan dalam kemelut di Perak. Saya mendapat kesan bahawa mahkamah seolah-olah tidak mengambil maklum akan senario yang ada di Perak. Agak jelas mereka tidak mengambil kira konteks sebenar krisis itu," ujarnya.

Krisis politik pada hujung Januari 2009 itu bermula apabila Barisan Nasional mengatur lompatan dan penyeberangan yang melibatkan tiga Adun Pakatan Rakyat yang tiba-tiba 'hilang' dan tidak dapat dikesan.

Mereka kemudiannya muncul dan mengisytiharkan sokongan kepada BN. Dua daripada tiga Adun itu sebelum itu ditangkap kerana didakwa melakukan rasuah.

Pada 9 Februari lalu, panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pakatan Rakyat setelah berpuas hati Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Turut bersidang bersama Alauddin ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Zulkefli Ahmad Makinuddin, Dato' Wira Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong.

Umno gagal seret PAS dalam isu kalimah Allah - Chua Jui Meng


KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Dato' Chua Jui Meng mendakwa isu penggunaan kalimah Allah yang menimbulkan kontroversi di negara ini dicetuskan Umno untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat.

Jelasnya, Umno pada mulanya menganggap isu ini akan dipertahankan PAS sebaliknya, PAS dan Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk mempertahankan penggunaan kalimah ini.

Chua yang juga Anggota Majlis Pimpinan Pusat KeADILan sewaktu berucap sebagai ahli panel dalam Forum Perdana Kalimah Allah anjuran Lajnah Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat menegaskan penggunaan kalimah Allah sehingga tercetusnya insiden pembakaran gereja dan rumah ibadat adalah isu politik bukannya isu agama.

"Umno terkejut kerana pada mulanya mereka ingat PAS akan bersama-sama menyokong mereka tetapi selepas kejadian pembakaran gereja itu, Presiden PAS Dato' Seri Abdul Hadi Awang pergi melawat kawasan tersebut, menyebabkan para peimpin Umno terkejut dengan tindakan PAS.

"Ditambah pula selepas pembakaran tersebut, penganut agama Kristian tidak memberontak dengan insiden itu dan mengampuni orang membakar gereja mereka," katanya.

Chua yang juga bekas Naib Presiden MCA mendakwa isu membakar gereja di Desa Melawati dan dua gereja di Petaling Jaya yang terletak di Selangor, negeri di bawah Pakatan Rakyat cuba digunakan sebagai strategi Umno untuk merampas kuasa di Selangor seperti yang pernah mereka lakukan di Perak sebelum ini.

Jelasnya, Umno akan mengharapkan orang Kristian membalas dendam di atas insiden yang berlaku dan seterusnya akan menimbulkan huru haru.

"Sekiranya tercetus ketegangan atau keadaan yang tidak aman di Selangor maka Umno akan mengisytiharkan darurat. Kita lihat apa yang berlaku di Kelantan pada 1977, ketika itu Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

"Ada pihak tertentu mengupah orang untuk membakar kedai serta harta orang Cina sehingga mencetuskan huru haru. Akhirnya darurat diisytihar dan pilihan raya diadakan. Akhirnya PAS tumbang di tangan Umno," katanya.

Chua menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tekanan kepada akhbar Herald Khotalik setelah penganut agama Kristian dikatakan cenderung menyokong Pakatan Rakyat sebelum Pilihan Raya Umum ke 12.

Ini kerana jelasnya, sebelum Pilihan Raya Umum 2008, berlaku demonstrasi besar-besaran oleh BERSIH dan Herald menyiarkan di muka hadapan artikel dan gambar demonstrasi BERSIH itu.

Beliau mendakwa menteri ketika itu mengeluarkan surat serta tekanan kepada NGO supaya menariknya balik, maka Herald Katolik tidak ada cara lain selain menuntut keadilan di mahkamah.

Sendiket penyeludupan dadah di negara ini dilindungi - Naib Presiden PAS

KUALA LUMPUR: PAS tidak menolak kemungkinan ada sindiket penyeludupan dadah yang dilindungi di negara ini.

Pendedahan-pendedahan yang dibuat oleh Raja Petra Kamarudin yang terang-terangan menuduh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melindungi sindiket jenayah amat membimbangkan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Baru-baru ini, katanya, kerajaan negara China telah menghantar nota diplomatik kepada Malaysia menggesa kerajaan Malaysia meningkatkan penguatkuasaan di pintu-pintu keluar dari negara ini untuk menghalang percubaan menyeludup dadah dari negara ini ke negara-negara luar, terutama China.

Di dalam nada diplomatik, China menegaskan ia mungkin menghentikan bantuan kepada Malaysia apabila berurusan dengan warganegara Malaysia yang ditangkap di negara itu akibat kesalahan dadah jika Malaysia gagal meningkatkan penguatkuasaan yang dituntut itu.

"Hakikat bahawa Malaysia menerima nota diplomatik dari negara asing kerana ia dilihat sebagai pusat pengedaran dadah amat memalukan," kata Salahuddin.

Ia bukan pertama kali China menyatakan keprihatinannya, kata Salahuddin lagi.

Pada tahun 2004, negara itu telah menyatakan keprihatinannya terhadap kemasukan kaldai-kaldai dadah atau mereka yang dipergunakan untuk menyeludup dadah dari Malaysia ke negara itu.

Menurut beliau, laporan menyatakan bahawa dari 1,410 rakyat Malaysia yang ditahan di dalam penjara-penjara di luar negara, 710 dari mereka melakukan kesalahan dadah atau yang berkaitan dadah.

Kesalahan-kesalahan lain, katanya lagi, termasuk 246 kes pemalsuan dokumen (termasuk kad kredit) dan 66 kes kesalahan imigresen.

Lebih memalukan lagi, kata Salahuddin, ialah apabila kerajaan terpaksa membenarkan tiga negara menempatkan pegawai perhubungan lapangan terbang (ALO) mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memeriksa rakyat negara ini negara ini yang mengambil penerbangan terus ke negara mereka.

Negara-negara tersebut ialah United Kingdom, Australia and Belanda. Mereka meminta untuk menempatkan pegawai-pegawai tersebut sejak tahun lalu.

Salahuddin juga mendedahkan bahawa ramai rakyat Malaysia yang pergi ke negara-negara asing dibuli akibat nama buruk negara ini sebagai pusat pengedaran dadah.

"Malah, terdapat banyak laporan bahawa mereka ditangkap tanpa sebab yang munasabah malah dikasari ketika berada dalam tahanan," katanya.

Oleh kerana Malaysia menjadi pusat pengedaran dadah, beliau juga yakin bekalan dadah begitu mudah diperolehi oleh para penagih dalam negara ini.

"Pengedaran dan penagihan dadah sering dilaporkan telah mengakibatkan pelbagai jenayah lain termasuk jenayah jalanan.

"Persoalannya, bagaimana pihak berkuasa mahu menangani jenayah jalanan, jika punca kepada jenayah tersebut tidak ditangani?" Salahuddin mempersoalkan.

Salahuddin mendakwa, di tengah-tengah segala perkara yang memburukkan lagi nama Malaysia itu, Najib tiba-tiba memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang kononnya GTP ini akan memberikan fokus "pengurangan indeks jenayah yang dilaporkan secara menyeluruh, dengan tumpuan kepada jenayah jalanan".

"Kita mengalu-alukan pembanterasan jenayah jalanan. Kita tidak lupa, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar menyatakan bahawa beliau dan keluarganya tidak lagi berasa selamat berjalan-jalan di Kuala Lumpur.

"Tetapi pada masa yang sama mengapa GTP kelihatan membisu terhadap jenayah yang memalukan negara? Malaysia dilihat sebagai pengkalan pengedaran dadah dan pusat jenayah memperdagangkan manusia (human trafficking)," Ahli Parlimen Kubang Kerian itu mempersoalkan.

Putar belit yuran sekolah bebani ibubapa - Pemuda PSM


KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) berasa kesal dengan rakyat Malaysia yang didakwa terus ditekan dan dihimpit bebanan yuran persekolahan.

Buktinya, kata Penyelaras Pemuda PSM, Karthiges, mereka mendapat banyak aduan dan keluhan daripada ibu bapa yang mendakwa yuran dan kos persekolahan terlalu tinggi dan membebankan.

"Tahun 2007, rakyat diputarbelitkan yuran persekolahan dikatakan percuma tetapi tidak. Pada 2010 pula para ibu bapa merungut lagi yuran sekolah makin tinggi," katanya dalam satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina, dekat sini.

Beliau mendakwa, kadar yuran yang dikenakan rata-rata bagi seorang murid sebanyak RM100 hingga RM150 dan ini bertambah buruk lagi, apabila ibu bapa dipaksa membayar dan sekiranya gagal anak-anak mereka tidak diberi buku.

"Kebanyakan ibu bapa yang miskin tegar mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak ke sekolah," kata Karthiges.

Kerajaan BN masih prajudis dengan Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas mendakwa kerajaan masih prajudis dan menganggap bahasa ibunda tidak mampu memajukan negara sebab itulah mereka berhasrat untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek lulus bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau juga tidak menolak hasrat kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Inggeri tetapi cuma pelaksanaan sahaja yang berbeza.

"Kalau dahulu kerajaan memperkenalkan dasar PPSMI yang terang-terangan ditolak oleh rakyat, tetapi kali ini mereka mencadangkan pula lulus subjek Bahasa Inggeris. Kedua-dua matlamat adalah sama tetapi pelaksanaan yang berbeza," katanya ketika ditemui.

Hasni menegaskan kerajaan sepatutnya menekankan agar subjek ibunda itu dijadikan subjek wajib lulus.

"Kalau Bahasa Inggeris wajib lulus, seolah-olah kerajaan menyama tarafkan bahasa itu dengan Bahasa Melayu," katanya.

Malah katanya, cadangan itu juga akan membebankan murid luar bandar yang sememangnya tidak boleh menguasai Bahasa Inggeris di tambah pula prasarana yang tidak mencukupi.

Oleh itu tegasnya, langkah kerajaan itu hampir sama dengan agenda PPSMI iaitu melakukan kerosakkan yang sama dan kesannya adalah merendahkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Benarkah Kerajaan Johor bakal muflis pada 2012?

KUALA LUMPUR: PAS Johor akan menggerakkan perhimpunan rakyat sebelum menyerahkan memorandum kepada Sultan Johor, Tunku Ibrahim Ismail ekoran kedudukan kewangan kerajaan negeri itu yang didakwa sangat lemah sehingga dijangka muflis pada 2012.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat berkata, bagi menggerakkan perhimpunan rakyat tersebut, PAS Johor akan mengambil masa dua hingga tiga bulan bagi memberi penerangan kepada rakyat negeri itu mengenai masalah kewangan Johor.

Jelasnya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS, 8 Februari lalu, kempen berkenaan akan diisi dengan jelajah ke seluruh daerah di Johor, forum, ceramah, serta edaran risalah berkaitan.

Tambahnya lagi, jawatankuasa tersebut sedang mendapatkan sokongan dan dokongan daripada seluruh rakyat melalui Badan Bukan Kerajaan (NGO), dan parti-parti politik.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Zulkifli Ahmad yang turut serta dalam sidang media tersebut mendedahkan kedudukan kewangan dan ekonomi negeri Johor tidak sehebat yang digambarkan.

"Pakar ekonomi meramalkan ekonomi (KDNK) negeri Johor akan berkembang 5 peratus pada 2010 mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional iaitu tiga peratus. Iskandar Malaysia telah berjaya menarik pelaburan terus asing (FDI) sebanyak RM 40 bilion daripada sasaran RM47 bilion sehingga 2010.

"FDI yang diterima Johor dalam 2008 sebanyak RM 9.4 bilion merupakan 21 peratus daripada keseluruhan FDI yang diterima Malaysia. Sehingga Jun 2009, Johor dikatakan menerima RM2.6 bilion FDI iaitu merupakan 16.3 peratus daripada keseluruhan FDI yang diterima Malaysia. Angka-angka muluk ini sebenarnya indah khabar dari rupa," katanya.

Beliau mendedahkan, bagi tempoh tiga tahun berturut-turut negeri itu mengalami defesit sebanyak RM2.04 juta (bajet 2008), RM2.746 juta (bajet 2009) dan RM1.5 juta (bajet 2010).

Dalam masa yang sama katanya, hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan meningkat 20.6 peratus daripada RM841.13 juta pada 2007 kepada RM1,010 juta atau RM1.01 bilion pada 2008.

Jelasnya lagi, menurut laporan Ketua Audit Negara 2008, kecairan tunai (Liquidity Ratio) kerajaan Johor adalah rendah kerana jumlah aset semasa hanyalah berjumlah RM201.53 juta (Tunai RM36.37 juta dan pelaburan RM165.16 juta) berbanding tanggungan semasa yang berjumlah RM943.54 juta.

"Dengan kata lain, jumlah aset semasa tidak dapat menampung jumlah tanggungan semasa. Sebagai perbandingan jumlah aset semasa negeri Johor adalah RM1,424.66 juta manakala Pulau Pinang adalah RM1,025.89 juta," katanya.

Menurut Zulkifli, PAS Johor mengharapkan agar Sultan Johor campur tangan dalam urus tadbir kewangan Johor Corporation (Jcorp) dan kerajaan negeri yang sedang mengalami krisis yang serius.

Tambahnya lagi, perbelanjaan negeri Johor lebih kurang RM785 juta setahun atau RM65 juta sebulan dan ini bermakna jika tiada pendapatan baru diterima, maka jumlah aset semasa sebanyak RM201.53 juta hanya membolehkan Kerajaan Johor bertahan selama tiga bulan sahaja sebelum diisytiharkan muflis.

Jelasnya, hutang terkumpul Jcorp pula berjumlah RM4.032 bilion.

Beliau juga mempersoal kemampuan Jcorp menampung kekurangan sebanyak RM2 bilion atau RM2,000 juta memandangkan purata keuntungan sebelum cukai Jcorp adalah lebih kurang 600 juta setahun.

"Ini bermakna menjelang tahun 2012, Jcorp hanya mampu mengadakan lebih kurang RM1.5 bilion bagi menebus bayar bon. Kemungkinan Jcorp dan kerajaan negeri Johor akan mengambil jalan pintas dengan cara menjual aset-aset ataupun hartanah strategik milik mereka.

"CEO Iskandar Investment Berhad (IIB) juga telah membuat kenyataan baru-baru ini bahawa IIB telah membeli Menara Pejabat Plaza Kotaraya daripada Jcorp dan tapak CIQ di Stulang daripada kerajaan Johor. Sedangkan kedua-dua aset atau hartanah tersebut mempunyai lokasi yang sangat strategik dan sangat baik untuk disimpan sebagai pelaburan jangka panjang," kata Zulkifli.

Sehubungan itu, PAS Johor mendesak Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kedudukan kewangan Jcorp dan kerajaan negeri yang sedang kritikal serta memberikan penjelasan kepada rakyat Johor sebab kedudukan kewangan negeri berada pada tahap sedemikian.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga katanya seharusnya segera melakukan siasatan secara menyeluruh ke atas Jcorp dan 392 anak syarikatnya bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan kerugian besar yang dialami Jcorp serta menyeret mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Dakwa Pegawai Khas PM bernama Dato' Nasir Safar di mahkamah segera


KUALA LUMPUR: PAS bertegas untuk mendesak pihak polis melakukan siasatan dan membuat pendakwaan terhadap Pegawai Khas Perdana Menteri, Dato' Nasir Safar yang terang-terangan menghina kaum India dan Cina di negara ini.

Kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, PAS sesekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan hak mana-mana kaum yang sah taraf sebagai warganegara ini.

Katanya, selagi Umno, MIC dan MCA masih wujud, isu perkauman akan sentiasa menjadi bahan pertikaian.

PAS melihat tindakan Nasir ini sebagai natijah penglibatannya yang sekian lama bergelumang dengan parti perkauman Umno dan beliau perlu dibicarakan kerana jelas pandangannya itu telah menghina intitusi Perlembagaan negara ini yang menjamin hak setiap warganegara tanpa mengira kaum, tegas beliau .

"Walau pun Nasir menafikan itu pendirian Perdana Menteri, namun jelas Perdana Menteri telah gagal untuk mengajar pegawainya untuk memahami gagasan 1 Malaysia yang dicanangkannya.

"Jika Pegawai yang rapat dengan beliau boleh menganggap gagasan itu sebagai remeh, bagaimana rakyat mahu percaya keikhlasan Najib terhadap dasar berkenaan," soal beliau.

Tegas Ustaz Idris lagi, jika apa yang Nasir lontarkan itu disebut oleh pimpinan Pakatan Rakyat pasti mereka sudah dipenjarakan dengan akta ISA dan dalam isu ini, PAS tetap menolak akta ISA dan Akta Hasutan.

"PAS mahu Nasir didakwa segera di Mahkamah," tegas beliau sekiranya kerajaan mahu berlaku adil.

Jika para blogger yang menghina Institusi Beraja di negara ini boleh dibicarakan, tegasnya, maka Nasir juga berhak untuk menerima tindakan yang serupa walaupun beliau sudah meletakan jawatan sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Idris melahirkan rasa kesal dengan kerapuhan sistem keselamatan agensi pertahanan negara mutakhir ini kerana sebelum kes kehilangan enjin pesawat F5E selesai, kini timbul pula isu kebocoran maklumat sulit Angkatan Tentera Malaysia.

Katanya, Angkatan Tentera sepatutnya menjadi contoh dan penanda aras kepada sistem keselamatan agensi pertahanan lain, namun insiden terbaru ini menimbulkan kebimbangan di hati rakyat kerana negara ini boleh dianggap tidak selamat.

"Apa sahaja kekuatan dan kelematan sistem pertahanan yang ada dalam negara ini begitu senang diketahui musuh."

Ustaz Idris berkata, intergriti anggota keselamatan negara bakal menjadi pertikaian jika ianya gagal ditangani segera dan PAS yakin, insiden pembocoran maklumat ini melibatkan pegawai-pegawai kanan berpangkat tinggi kerana dari segi amalan kerahsiaan dalam organisasi kerajaan dan pertahanan, hanya mereka yang yang berpangkat tinggi sahaja mempunyai akses terhadap maklumat bertaraf sulit, rahsia dan rahsia besar.

"PAS berharap agar agensi keselamatan negara membuat kajian semula tentang tahap keselamatan yang ada. Rakyat memerlukan satu jaminan yang kondusif terhadap tahap keselamatan negara," tegas beliau.

PAS mahu kerajaan mendakwa dan memberikan hukuman yang berat kepada pengkhianat negara yang terlibat dalam kes ini.

KES LIWAT: Najib, Rosmah dicabar beri keterangan di mahkamah

KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin mencabar Dato' Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor jangan menggunakan sebarang alasan untuk tidak tampil memberi keterangan di mahkamah.

Jelasnya, apabila Anwar Ibrahim mensapina Perdana Menteri dan isterinya itu, ia memberi kesan yang besar kepada kepimpinan negara, justeru pasangan tersebut seharusnya hadir memberi keterangan.

Iskandar menegaskan, apabila mantan Timbalan Perdana Menteri itu mensapina Najib dan Rosmah, rakyat ingin melihat sama ada kedua-dua mereka mempunyai keberanian untuk hadir atau tidak ke mahkamah.

Iskandar mendakwa terdapat dua alasan yang dilihat bercanggah antara satu sama lain iaitu yang pertama apabila Najib memberitahu beliau berjumpa Saiful kerana Saiful ingin memohon biasiswa.

"Bukti kedua apabila Najib memberitahu beliau berjumpa Saiful kerana Saiful mendakwa dia diliwat Anwar," katanya lagi.

Tegasnya, dengan dua bukti utama itu, beliau percaya Najib atau Rosmah tidak boleh lari untuk hadir ke mahkamah memberi keterangan.

Tambahnya lagi, apa yang rakyat ingin tahu apa istimewa Saiful ini sehinggakan Najib berani membuat keuputusan untuk berjumpa dengannya.

"Dakwaan atau sangkaan rakyat wujudnya konspirasi yang melibatkan Najib untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik Anwar ini makin benar dan semakin kuat.

"Kita boleh selesaikan perkara ini di mahkamah. Mahkamah mempunyai ruang untuk bertanya dan ruang untuk peguam bela Anwar untuk menyoal balas," katanya.

Pada 2 Februari lalu Anwar telah meminta peguamnya, Karpal Singh supaya mensapina Najib dan Rosmah untuk menjadi saksi dalam kes liwat terhadapnya.

Anwar yang juga Ketua Umum KeADILan berkata, beliau mempunyai bukti kukuh untuk menunjukkan Mohd Saiful Bukhari Azlan, telah menemui Rosmah dan kemudian Najib, dua hari sebelum membuat laporan polis.

Pembocor rahsia negara patut dihukum - Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan pembocor maklumat rahsia negara kepada pihak luar patut dihukum kerana ia mendedahkan keselamatan negara terhadap pelbagai ancaman.

PAS tegasnya, sama sekali tidak bersetuju tindakan Menteri Pertahanan, Dato'Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelesaikan isu pembocoran maklumat rahsia negara secara saluran diplomatik.

Tegasnya, cara tersebut terlalu simplistik sedangkan apa yang berlaku itu melibat soal keselamatan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata, isu pembocoran maklumat rahsia negara ini tidak boleh diselesaikan dengan alasan diplomatik, sebaliknya, Menteri Pertahanan mesti bertanggungjawab untuk mengemukakan satu kertas kepada kabinet untuk ditubuh satu Suruhanjaya Diraja menyiasat hingga sampai ke akar umbi.

Tok Guru Nik Aziz mahu PAS utamakan dialog Islam dengan Umno


MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat masih berlapik, orang lain boleh menggunakan kalimah Allah tetapi dengan syarat tidak menyalahgunakanya. Beliau bimbang, akibat tebalnya pengaruh sekularisme yang dijaja penjajah Barat, nilai-nilai norma umat Islam kini kian parah. Dialog antara agama boleh tetapi bagi beliau, dialog dengan Umno patut didahulukan, kerana Umno enggan melaksanakan Islam. Ikuti pandang tembusnya, ketika diinterbiu INTAN ABDULLAH baru-baru ini di Rumah Kelantan, Kuala Lumpur.

Isu penggunaan kalimah Allah masih belum menemu jalan keluar. Barangkalai Tok Guru ada yang nak dijelaskan berkenaan isu sensitif ini...

TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ: Sehari dua ini kita disibukkan dengan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang lain. Saya berpendirian, orang lain boleh menggunakan nama Allah tetapi dengan syarat tidak mengubahsuaikan pengertian asalnya.
Kerana Allah ini satu dan tidak ada kongsi, tiada anak, dan tiada yang setanding. Maka dalam surah al-Ikhlas kerana pada teorinya apabila Allah lebih daripada satu, yang lebih itu adakah ianya sama gagah ataupun ada yang lemah.
Kalau sama gagah, ia akan bertengkar, bertelagah dan berebut kuasa. Kerana perkataan Tuhan ini membawa maksud yang Maha Kuat, Maha Gagah, Maha berkuasa. Jadi, kalau sama gagah, maka akan bertelagah, berebut kuasa, akan hancurlah langit dan bumi ini.
Dan kalau tidak sama gagah, ertinya ada yang lemah dan ada yang gagah. Maka yang lemah itu tidak boleh menjadi Tuhan Bagaimana hendak jadi Tuhan sekiranya ia lemah?

Dalam perkara ini, apa kebimbangan sebenarnya yang Tok Guru nampak?

Dibimbangi orang Melayu berfikir nagatif kerana kempen-kempen daripada pihak yang mengambil peluang. Kita jawab Muslim di seluruh dunia tidak akan terkeliru kecuali mereka sendiri bodoh. Mereka ini jahil kerana tidak mendapat pengertian yang sah daripada ahli agama.
Dan yang bodoh ini, di mana-mana pun mereka akan ditipu baik di bidang korporat, rumahtangga bahkan dalam urusan harian. Oleh kerana itu, Islam mewajibkan penganutnya beraqidah.
Aqidah bermaksud simpulan, atau tali yang disimpul. Bila tali sudah disimpul, tentunya kukuh. Tetapi oleh kerana orang Islam di seluruh dunia hari ini hanya menerima Islam secara keturunan bukan secara belajar, maka di mana-mana pun mereka ditipu.
Penjajah Eropah merupakan yang paling ke depan dalam menipu manusia sedunia. Mereka ini menipu dari segenap segi, baik dari segi aqidah, ekonomi, dan sosial.

Berdasarkan pengamatan Tok Guru, bentukj penipuan yang macam mana begitu terkesan menimpa umat Islam hingga ke hari ini?

Satu daripada penipuan yang dibawa oleh penjajah ialah agama dan politik adalah berasingan yakni terpisah. Dan dengan dukacitanya Melayu sekular sekarang ini pun membesar-besarkan teori ini yang menyebabkan timbul perasaan kendur dalam hati muslim kerana mereka fikir bahawa agama berbeza dengan pentadbiran negeri.
Politik agama, politik kewangan, termasuklah masalah tadbir negara, ekonomi, rumahtangga, sosial, budaya... apabila perkara ini dimasukkan dalam senarai politik maka yang tinggal di dalam agama hanyalah solat, puasa dan kahwin.
Inilah sahaja perkara yang menyebabkan mereka terasa apabila menunaikan solat akan beroleh pahala, dan meninggalkannya akan mendapat dosa.
Apabila apa yang dikatakan tadi terlibat dengan agama dan agama menetapkan dosa pahala maka masalah pentadbiran dan yang lain-lain tidak akan termasuk dalam agama.

Maksudnya terdapat pemisahan antara agama dan kehidupan yang begitu ketara...

Ya. Macam kalau mencuri pun dapat pahala, kerana untuk mendapatkan duit, merompak pun tidak mengapa, begitu juga dengan menyamun atau merasuah.
Di sinilah mulai longgar pegangan orang Melayu muslim hasil daripada teori yang dibawa oleh orang Eropah yang mengasingkan antara perkara agama (solat dan puasa) dengan masalah politik, mentadbir negeri dan sebagainya.
Itulah sebabnya sekarang ini kenapa orang Melayu Islam kita mulai rasuah, dadah, zina, rogol, bunuh, ragut dan segala jenis jenayah.

Jadi, apa penyelesaian yang Tok Guru nampak bila berdepan dengan fenomena ini?

Tiada cara lain yang dapat menyelamatkan negara dan menyelamatkan rumahtangga melainkan dengan cara kembali semula kepada ajaran yang sebenar.
Iaitu agama dan politik adalah untuk Allah sebagaimana yang kita ikrarkan dalam solat, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah untuk Tuhan sekalian alam. Bacaan ini adalah bacaan untuk orang Islam di seluruh dunia.

Tadi merupakan impak dari pengaruh Barat hingga meruntuhkan norma-norma umat Islam tapi demokrasi juga datangnya dari Barat. Bagaimana Tok Guru melihat perkara ini?

Antara sifat Allah selain daripada Yang Maha berkuasa adalah Yang Maha Pencipta, al-Khaliq. Sebab itu nama Allah, al-Khaliq. Bila Allah yang mencipta bererti Dia mempunyai kuasa yang mutlak ke atas ciptaanNya. Tiada sesiapa yang boleh pandai-pandai campurtangan dalam urusan hidup.
Kebetulan penjajah apabila datang ke negeri-negeri yang dijajah, mereka membawa teori demokrasi di antara kefahaman yang timbul dalam demokrasi adalah kita berkuasa penuh ke atas negeri yang kita takluki pada pilihan raya yang dimenangi.
Kita hendak buat undang-undang apa pun kita yang berhak. Sama ada untuk mengharamkan yang halal, atau menghalalkan yang haram, kita berkuasa kerana begitulah ajaran demokrasi.
Inilah satu lagi perkara yang menyebabkan ikatan tali Allah tadi semakin renggang. Maka mulalah manusia berebut kuasa tanpa mengira halal-haram, berebut sumber ekonomi, tanpa mengira halal-haram, berebut pangkat tanpa mengira halal-haram.

Adaklah kemelut royalti petroleum yang membadai Kelantan hari ini, berpunca dari pengaruh Barat ini. Mereka berkuasa maka mereka boleh lakukan apa sahaja...

Isu petroleum Kelantan kesemuanya berpunca daripada sini, daripada manusia yang merasakan mereka berkuasa penuh di atas segala sumber, tanpa mengira moral, nilai-nilai murni, kerana masalah yang membabitkan moral dan nilai murni ini tidak mendatangkan hasil ekonomi.
Sedangkan dalam Islam meyakinkan kepada kita bahawa dunia ini setelah dilenyapkan oleh Allah manusia akan dibalas dengan syurga Allah dan neraka kepada sesiapa yang zalim.
Kerajaan Pusat sendiri pun tidak mempunyai setitik minyak, yang pusat mendapat tuah daripada negeri-negeri yang mempunyai telaga minyak.
Tuah daripada Terengganu, Sabah, Sarawak dan Kelantan sejak akhir-akhir ini. Segala peraturan yang kita buat mesti berasas kepada ajaran Allah yang kalau kita buat undang-undang yang bercanggah dengan undang-undang Allah, di akhirat kelak kita akan dibalas sesuai dengan kesalahan-kesalahan kita.

Sepatutnya, bagaimana tindakan Kerajaan Pusat dalam isu ini?

Oleh yang demikian, minyak yang dihasilkan oleh tanah sesebuah negeri mesti diberi terlebih dahulu kepada tuan punya negeri kemudian bolehlah Kerajaan Pusat memintanya.
Dan negeri-negeri tentunya bersedia untuk memberikannya. Ini merupakan perkara asas. Tidak boleh Kerajaan Pusat ambil minyak orang lain, kemudian hendak beri kepada negeri ini dengan nama wang ihsan.
Ini merupakan keadaan yang terbalik. Negeri yang memberi wang ihsan kepada Kerajaan Pusat bukannya mereka (Kerajaan Pusat) berikan wang ihsan kepada negeri. Itu merupakan asas kepada keadilan.

Apa pandangan Tok Guru mengenai cadangan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang ingin menganjurkan dialog interfaith dengan beberapa agama di bawah anjuran Pakatan Rakyat?

Islam memang membuka ruang dengan seluas-luasnya untuk berdialog dalam apa sahaja isu. Cuma dialog pada pandangan saya, kalau orang Islam iaitu memberi keterangan penuh bahawa Islam sahaja agama langit berdasarkan hujah-hujah tadi.
Islam sahaja yang menjadi agama langit sekarang ini. Allah itu satu, misalnya bandingkan keadaan orang yang mengangkat barang yang berat dalam keadaan tenaga dua atau tiga orang, tetapi seorang lagi mengangkatnya bersendirian. Mana yang lebih gagah antara yang seorang tadi dengan yang seorang?
Mula-mula dari segi matematiknya, bilangan ini bermula dari nombor tiga atau nombor satu? Mula-mula kosong, selepas itu datang satu, dua dan tiga.
Soalnya, Islam letak Allah itu satu. Yang lebih daripada satu ini kerana apa? Apa perlu Allah lebih daripada satu? Kalau lebih daripada satu, kita kembali yang tadi pula sama ada yang lebih daripada satu itu sama gagah, maka akan berlaku pertengkaran.
Seperti mana firman Allah yang bermaksud, kalau Tuhan itu lebih daripada satu, maka langit dan bumi ini akan hancur. Kemudian, ianya kelihatan seperti tidak logik iaitu bagaimana hendak dikatakan gagah dalam keadaan yang ramai.
Rasulullah saw dalam surat-surat kirimannya kepada raja-raja zaman dahulu yang belum memeluk Islam, semua sekali menyebut ayat al-Quran yang bermaksud, Hai ahli kitab! Marilah berhimpun kita cari titik pertemuan, kita jangan puja selain daripada Allah.
Itu dari segi aqidahnya. Yang keduanya, jangan mempertuhankan dirinya antara satu sama lain, mesti patuh kepada Allah yang Esa.
Tetapi saya lebih suka berdialog dengan Umno terlebih dahulu bagi menyelesaikan masalah dengan Umno. Kenapa Umno menolak Islam?

Kenapa berdialog dengan Umno, Tok Guru utamakan?

Sebabnya, apabila mereka menolak Islam bererti mereka menganggap Islam ini cacat, yakni ada kelemahan, dan tidak sempurna. Bila Islam cacat, Nabi Muhammad, Jibril, dan Allah sendiri turut cacat. Saya lebih suka selesaikan masalah dengan Umno lebih dahulu. Kenapa Umno tolak Islam?
Betulkah Islam ini cacat? Bila Islam cacat, Nabi Muhammad pun cacat. Selepas selesai masalah dengan Umno barulah kita berbincang dengan orang lain. Umno ini seumpama rumahtangga orang Melayu.
Oleh yang demikian, dalam panel untuk berunding isu ini, Umno tiada hak kerana ia sendiri mencacatkan, memperlekehkan Islam.

Adakah kerana Umno suka berpura-pura dalam perkara Islam?

Sebab itu Umno tidak memperjuangkan Islam. Mereka hanya berpura-pura. Kepura-puraan ini berlaku sejak zaman Rasulullah lagi. Masjid Dhirar merupakan contoh yang paling utama. Begitu juga dengan peristiwa hijrah. Hijrah daripada Makkah ke Madinah. Ada hijrah kerana Allah dan ada yang berhijrah berpura-pura kerana menurut tunang dan perniagaan.
Bila ramai penduduk Mekah lari ke Madinah maka pasaran mereka di Mekah semakin berkurangan kerana pelanggan mereka semuanya lari ke Madinah. Jadi ini merupakan kepura-puraan. Itu merupakan dua perkara.

Jadi Tok Guru lebih berminat untuk berdialog dengan Umno terlebih dahulu. Begitu?

Pada pandangan saya, dalam isu agama ini kita bincang dengan Umno terlebih dahulu. Selebihnya terpulang kepada Anwar jika beliau ingin menganjurkan dialog tersebut.
Dalam sepotong ayat al-Quran yang ditulis oleh Rasulullah kepada raja-raja Parsi, Kisra, Rom, Habshah (Najasyi), Mesir dalam surat-surat baginda kepada mereka menggambarkan Islam begitu toleransi dengan meminta semua ahli kitab yang mengambil satu titik pertemuan iaitu kita jangan puja selain Allah. Kedua, jangan mempertuhankan antara satu sama lain.

Krisis antara KeADILan dan DAP di Pulau Pinang agak runcing. KeADILan ingin mengkaji semula kerjasama dengan Pakatan Rakyat terutamanya DAP? Apa sikap Tok Guru...

Saya tidak suka masuk campur parti orang lain. Tapi apa erti kita buat pakatan kalau kita hendak rombak semula. Dalam masalah kelemahan PKR dan DAP ini, soalnya kenapa dalam parlimen baru-baru ini semasa undi bajet hanya terdapat tiga orang sahaja majoroti undi belah itu.
Ke mana perginya yang lain? Apakah puncanya kesemua hal ini kalau tidak kerana ada rasa kurang berpuas hati? Ke manakah perginya ahli parlimen yang lain?
Ini merupakan suatu perkara yang memalukan. Kalau hendak dikira perkara yang tidak puas hati, di mana-mana pun wujud rasa tersebut. Sedangkan suami-isteri pun timbul rasa itu sehingga bercerai.
Adik beradik pun bertengkar, begitu juga dengan parti politik. Bagi kita sebagai manusia yang memahami politik, apabila kita tidak berpuas hati kita kena rujuk kepada salurannya.
Ada saluran yang disediakan, bukan mendedahkan kepada media bagi menyelesaikan masalah tersebut. Itu bukan suatu cara yang profesional. Berunding lebih baik.
Di mana-mana... Tunku Abdul Rahman semasa menjadi Presiden Umno di akhir hayatnya, keluar Umno dan menyertai Semangat 46.
Dato Asri, Presiden PAS juga di akhir hayatnya menubuhkan parti Hamim, Dr Mahathir yang keluar parti Umno, kemudian masuk semula.

Adakah Tok Guru melihat 'kekecohan' ini sebagai masalah peribadi individu, budan soal dasar?

Saya perhatikan apa yang timbul dan kecoh sekarang ini adalah berpunca daripada masalah peribadi dan melibatkan orang-orang tertentu. Ini bukan cara politik.
Kalau kita hendak mencari peribadi yang kita puas hati sepenuhnya, mana ada di dunia ini. Boleh jadi ini (berlaku) disebabkan oleh unsur-unsur masa. Maknanya oleh kerana Pakatan Rakyat ini baru berusia setahun jagung, belum biasa menempuhi gelombang fitnah maka berlakulah perkara-perkara seperti ini.
PAS di zaman dahulu, semasa mula-mula timbul, melompat parti ini suatu perkara yang senang. Dalam awal tahun 1960-an, wakil-wakil rakyat PAS melompat ke sana-sini.
Ada yang dibawa ke Kuala Lompur untuk melompat. Ada yang apabila pulang semula, melompat semula kepada PAS. Tetapi sekarang ini, alhamdulillah PAS telah mantap dan sudah dewasa.

Apakah Tok Guru melihat sekarang ini, wakil rakyat PAS telah benar-benar bebas dari gejala 'lompat parti' atau 'kena beli'?

Sebelum pilihan raya baru-baru ini, kita dapati lebih kurang lima wakil rakyat PAS Kelantan diusaha untuk disogok wang berjuta-juta tetapi tidak melompat kerana mereka yakin dunia ini tidak kekal, yang kekal ini adalah akhirat.
Oleh kerana yakin dengan aqidah ini... apalah dapat dibuat dengan wang berjuta-juta. Firaun pun mati, Abu Jahal pun masuk kubur, segala harta benda tinggal di atas dunia, yang kekal hanyalah syurga dan neraka. Atas aqidah inilah PAS sudah mulai mantap, kukuh dan tidak melompat.

Lembaga Disiplin PAS telah pun menjatuhkan hukum terhadap Dato' Hasan Ali dan Khalid Samad. Suatu yang ditunggu-tunggu, keputusannya. Apa reaksi Tok Guru?

Disiplin ini diputuskan oleh lembaga dan setiap ahli serta jawatankuasa mesti patuh kepada peraturan. Mana boleh tindakan itu dibuat kalau tidak bersalah dan kenyataan ini dibuat setelah begitu lama bermesyuarat dan membuat penyelidikan.
Kalau ada yang rasa tidak berpuas hati itu adalah perkara biasa. Sedangkan orang bercerai suami isteri pun ada rasa yang tidak puas hati.
Dalam Islam telah ada contohnya. Waktu kahwin bukan main lagi kita sambut kenduri dengan meriah, tetapi bila nak bercerai... jadi jugak.
Mana nak cari di dunia ini perkara yang puas hati? Selagi manusia duduk di atas dunia ini maka mereka tidak akan berpuas hati selama-lamanya.
Nak puaskan nafsu manusia semuanya itu adalah suatu perkara yang mustahil. Tetapi titik pertemuan mesti ada. Di mana-mana zaman pun berlaku. Yang pastinya kalau kita tidak buat salah, mana boleh lembaga ambil tindakan. Dalam Umno pun ada tindakan, begitu juga dalam PAS.

Umno terus dakwa Melayu Pulau Pinang tidak terbela di bawah Pakatan Rakyat


KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang kerana berjaya menunjukkan prestasi yang begitu membanggakan selepas mentadbir negeri pulau mutiara itu sejak dua tahun yang lalu.

"Walaupun Barisan Nasional yang kalah dalam Pilihan Raya Umum 2008 cuba untuk menaburkan fitnah bahawa Pakatan tidak mampu tadbir negeri itu dengan baik, namun rakyat akhirnya dapat melihat sendiri bagaimana cekapnya pemerintahan dibawah Pakatan," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakah.

Katanya, pada 2007, kerajaan BN mensasarkan Belanjawan 2008 mengalami defisit RM35 juta tetapi sebaik sahaja Kerajaan bertukar kepada Pakatan Rakyat, belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang.

Bagi Belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta.

Menurut Ustaz Idris, pada 2008 peruntukan untuk hal-ehwal Islam yang dibuat oleh Kerajaan BN dalam belanjawan tahun sebelumnya hanya bernilai RM12.5 juta, namun pada pembentangan belanjawan tahun 2008 Kerajaan Pakatan telah menambah kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009.

Pada pembentangan Belanjawan 2009 peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010. Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini.

Katanya, kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

Beliau turut menolak dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno, kononnya Melayu dipinggirkan dalam agihan projek di negeri itu.

Pada 2008, jelas beliau, seramai 78 kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu telah menerima projek melalui sebut harga dan seorang kontraktor Melayu dan seorang kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

Pada 2009, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja.

Pada tahun yang sama, projek yang diberi kepada Kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu 6 Syarikat, ujar beliau.

Ustaz Idris berkata, peningkatan yang ketara ini membuktikan kerajaan Pakatan masih menghormati hak kaum Melayu dan tidak menafikan hak kaum lain. Keutamaan pemberian projek adalah bergantung kepada kelayakan, kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemohon tanpa mengira kaum mereka.

"Inilah bukti kesungguhan, dan iltizam pembangunan yang dilaksanakan hasil dari kepercayaan rakyat dalam pilihan raya lalu. Pakatan sesekali tidak akan mensia-siakan harapan dan amanah rakyat apabila mentadbir mana-mana negeri," ujar beliau.

PAS ujarnya, amat berharap agar kejayaan ini dapat diteruskan dan rakyat dinegeri berkenaan dapat memberikan keyakinan serta mandat yang berterusan kepada Pakatan untuk penggal yang akan datang.

Perak jadi negeri ke 3 termiskin setelah dirampas Zamry - Nga

KUALA LUMPUR: DAP Perak menyifatkan kerajaan Kudeta pimpinan Dato' Seri Zamry Abdul Kader bukan sahaja gagal menarik pelaburan asing, malah Perak telah menjadi negeri ketiga termiskin dalam negara selepas Sabah dan Terengganu.

Mendedahkan lagi, Setiausaha DAP negeri, Nga Kor Ming menegaskan akibat politik perkauman yang sentiasa diapi-apikan oleh Umno serta kuncu-kuncunya, menyebabkan selepas rampasan kuasa tercetus, jumlah pelaburan asing yang mengalir masuk ke Perak dipercayai merosot sehingga RM400 juta sahaja iaitu jatuh 600% dalam tahun 2009.

Berbanding ketika Perak dibawah kepimpinan Dato Seri Nizar Jamaluddin, kerajaan negeri berjaya menarik pelaburan sebanyak RM3.15 billion pada tahun 2008, dimana RM2.4 billion adalah pelaburan asing.

Nga mendakwa, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat juga berjaya mendapat pengiktirafan dan pujian terbuka dari Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang yang memberi pengiktirafan Empat Bintang serta markah cemerlang 93.2% kepada kerajaan PR kerana rekod yang bersih, amanah dan cekap.

Salah guna kuasa dan pecah amanah Kerajaan Pusat, Petronas


KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Salleh Abas mendakwa Kerajaan Persekutuan telah menyalahgunakan kuasa dengan mengarahkan bayaran royalti atau bayaran tunai tidak kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan juga telah melakukan pecah amanah kerana telah membelanjakan wang tersebut secara tidak telus dan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada rakyat Terengganu yang dijanjikan terbela dan terjamin.

Tegasnya lagi, Petronas pula telah melakukan pecah perjanjian terhadap Kerajaan Negeri Terengganu kerana tidak membayar royalti atau bayaran tunai seperti mana yang termaktub dalam perjanjian dengan Kerajaan Negeri Terengganu.

Tun Salleh mendedahkan perkara ini sewaktu diwawancara Harakah, bagi menjelaskan kemelut isu royalti petroleum yang membabitkan tuntutan Kelantan terhadap Kerajaan Pusat yang kini sedang berlangsung.

Tegas beliau, bayaran Tunai (Cash Payment) di bawah Akta Petroleum 1974 adalah bayaran yang 'wajib' dibuat oleh Petronas walau atas nama apa sekali pun yang diberi sama ada bernama Royalti, Wang Ihsan atau Dana Khas.

"Wang tersebut tetap kepunyaan Kerajaan Negeri Terengganu kerana ia wajib dibayar di bawah Akta Petroleum 1974. Seperti mana yang telah saya nyatakan sebelum ini, 'Wang Ihsan' adalah suatu pemberian yang tidak wajib di mana tiada pihak yang boleh dipertanggungjawabkan.

"Manakala, Royalti adalah bayaran yang diwajibkan mengikut Akta dan Undang-undang.

Tun Salleh yakin wang royalti untuk Negeri Terengganu (wang ihsan) ini tidak boleh dianggap sebagai hasil Kerajaan Persekutuan kerana sekiranya ia adalah hasil Kerajaan Persekutuan, ia mestilah dibayar masuk ke dalam 'Federal Consolidated Fund'.

"Yang mana perbelanjaan dan pengeluaran hendaklah melalui bajet dan Akta Bekalan (Supply Act). Ada kemungkinan besar, wang ini tidak dianggap sebagai hasil kerana ianya dibayar masuk ke dalam satu dana yang dinamakan 'Dana Khas' yang diurus oleh Kerajaan Persekutuan," tegas beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Terengganu sewaktu PAS memerintah Terengganu.

Ini bermakna, tegas Tun Salleh lagi, wang ini sebagai wang teras (wang amanah) dan mesti dibayar mengikut cara amanah, jika tidak, nescaya berlakulah pecah amanah (breach of trust).

"Setakat ini tidak ada ketelusan, bagaimana wang ini dibelanja dan apakah akaunnya?

"Kita juga tidak tahu adakah ianya diaudit oleh Ketua Audit Negara (Auditor General) dan adakah dengan cara ini, hasrat kerajaan Dr. Mahathir semasa mengeluarkan Kenyataan akhbar (press release) pada 5 September 2000 untuk membela rakyat Terengganu tercapai," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri Kewangan yang juga pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) tetap tidak bersetuju royalti diganti dengan wang ihsan walaupun RM20 juta dijangka akan diberikan kepada Kelantan Mac ini.

Dalam sidang medianya Jumaat lalu, Ku Li berkata, "Tidak ada perjanjian lain, yang saya 'sign' dan yang saya buat inilah dia! Tak ada yang lain, dan ini yang kita pakai sekarang kalau dia (Petronas) 'sign' kemudian hari perjanjian ini tidak laku la. Kalau ini tidak laku bermakna tidak sahlah Petronas tu.

Sambil mendedahkan surat perjanjian Petronas itu kepada media, Ku Li tetap mempertahankan bahawa hanya ada satu perjanjian sahaja dan Petronas seharusnya mengikut syarat perjanjian itu iaitu memberi royalti kepada Kerajaan Kelantan.

"Kita ada perjanjian, kita ada undang-undang. Jadi kita kena ikut undang-undang yang terpakai. Kita tidak boleh ikut selera kita sahaja, undang-undang ini Parlimen yang luluskan!

"Bukan perkara ini kita ambil tepi jalan, perjanjian ini Petronas dengan kerajaan negeri yang mewakili rakyat. Bukan perkara kecil. Tidak boleh hendak main-mainkan," tegas Ku Li.

Double standard Umno dan Rais yang merapu 'kipas' Najib!

RAKAN saya IDRIS SAMAD menulis begini: Tidak ada sesiapa yang terperanjat sebenarnya dalam seminggu dua ini apabila membaca terlalu banyak kenyataan keluar dari mulut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Dato' Seri Dr. Rais Yatim.

Ada kenyataannya boleh dianggap lelucon, ada yang mengampu dan ada yang dilihat sekadar menunjukkan dia masih menjadi menteri dan sedang menjalankan kerja.

Yang dianggap lelucon ialah kenyataan yang menegaskan tindakan tidak perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang sudah meminta maaf atas keterlanjurannya – merujuk blogger yang mengutuk dan memburuk-burukkan Almarhum Sultan Iskandar Johor yang mangkat baru-baru ini.

Namun, apabila diserang hebat, Rais menarik balik kenyataan lucunya itu dan bersetuju siasatan dan pendakwaan terhadap blogger itu.

Kenapa Rais terlalu banyak bercakap? Adakah kerana dia seorang menteri yang memang diberikan peranan bercakap atau kerja sebagai Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memang mesti banyak bercakap, termasuk yang bukan bidang kementeriannya?

Ramai yang tertawa apabila Rais dipetik sebagai berkata, Tengku Razaleigh Hamzah sudah berubah dengan kenyataannya mengenai royalti minyak, berbanding dengan 10 tahun yang lalu.

Malahan, ada yang melihat Rais sebagai seorang yang pandai buat lawak kerana Rais sendiri juga berubah-ubah sebenarnya, jika sesiapa tahu 'tesis' yang dibuatnya dulu untuk melayakkannya mendapat PhD.

Cuma, disebabkan Rais yang kalah kerusi Naib Presiden Umno selepas banyak kali mencuba, menarik diri dan merajuk tidak pernah jemu untuk bercakap, seolah-olah di kalangan menteri yang ada dalam kabinet Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, dia sahajalah yang dilihat bekerja dan lebih penting, tahu membalas budi.

Bayangkan, dari semua calon Naib Presiden Umno yang tewas, hanya Rais seorang sahaja yang dilantik menduduki kerusi MT Umno, sedangkan mereka yang mendapat undi yang lebih tinggi dari Rais pun diketepikan seperti Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Rasanya Rais memang ditatang bagai minyak yang penuh oleh Najib.

Dulu, ketika Rais menyertai Parti Melayu Semangat 46, Rais pernah menjadi Timbalan Presiden parti itu tetapi dalam sejarah politik, dialah satu-satunya Timbalan Presiden parti pembangkang yang tidak pernah menang pilihan raya, sama seperti dalam Umno, dia tidak pernah menang kerusi Naib Presiden.

Namun, disebabkan dia pandai bercakap, banyak bercakap dan rajin bercakap dalam pelbagai isu, termasuk isu Menteri Besar Terengganu akan gugur seperti nangka masak – Rais nampaknya masih diterima oleh setiap Perdana Menteri, bermula dari Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini, Najib.

Rais mungkin mahu melupakan cerita Menteri Besar Terengganu akan gugur seperti nangka masak tetapi disebabkan ada orang yang tidak akan memaafkan kenyataannya itu, menuntut Rais membuat ucapan kononnya Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu berbeza dengan negeri-negeri lain.

Dari segi berubah, seperti kata Tengku Razaleigh ketika mengulas mengenai kata-kata Rais terhadapnya, Rais seorang sahaja yang tahu sejarah tetapi orang lain tidak tahu.

Tengku Razaleigh sebenarnya banyak tahu siapa yang lebih jauh berubahnya antara dirinya dengan Rais. Bukan setakat Tengku Razaleigh sahaja yang banyak tahu tetapi kawan-kawan Rais di Jelebu juga banyak tahu, termasuk orang yang pernah melantik Rais menjadi Penasihat Umno Bahagian Jelebu hingga menyebabkan akhirnya Rais menentang orang yang melantiknya itu dan Rais juga memecat orang itu dari jawatan Setiausaha Politik.

Inilah politik Umno sebenarnya. Mereka yang pandai buat lelucon pun masih boleh diterima sebagai seorang menteri yang dianggap penting kononnya!

Hari ini, ramai yang menunggu siapakah di kalangan Umno yang berani mencadangkan secara terus terang supaya Tengku Razaleigh dipecat.

Dalam Umno ada 'double standard'. Bila Tengku Razaleigh dianggap melakukan kesalahan melanggar disiplin parti, ramai yang menyerangnya termasuk mencadangkan Tengku Razaleigh supaya keluar dari Umno.

Tetapi dalam kes ada 10 Adun di Terengganu memboikot sidang Dun, tiada siapa pula yang berani mencadangkan supaya tindakan dikenakan terhadap 10 Adun ini.

Terbaru, ada dua Adun di Terengganu dari kalangan BN, menyerang Menteri Besar yang nyata menyalahi peraturan whip BN kerana mereka mempunyai ruang untuk bercakap dalam 'pre council' tetapi semua orang Umno, yang kecil dan yang besar, yang berjawatan dan yang tidak berjawatan tidak berani mencadangkan supaya tindakan dikenakan terhadap kedua-dua Adun ini.

Apakah kesalahan yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh lebih besar dari kesalahan 10 Adun BN di Terengganu yang memboikot sidang Dun?

Soalan yang sama juga boleh ditujukan kepada dua Adun BN yang berucap seperti pembangkang di sidang Dun Terengganu, apakah kesalahan yang dilakukan mereka ini tidak ada apa-apa jika dibandingkan dengan apa yang dilakukan oleh Tengku Razaleigh?

Inilah yang tidak boleh diterima dalam Umno. Hukuman berbeza dari kesalahan yang serupa. Dulu, ketika Mohd Isa Samad dikenakan dakwaan politik wang ketika pemilihan Umno, dia digantung tiga tahun, dilucutkan jawatannya sebagai Naib Presiden Umno, Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Ketika Dato' Seri Mohd Ali Rustam ditangkap atas dakwaan serupa, dia dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno tetapi kemudiannya dilantik menjadi Ahli MT dan kekal sebagai Ketua Menteri Melaka dengan jawatannya sebagai ketua bahagian dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka dikekalkan.

Apakah Tengku Razaleigh akan mengalami nasib seperti Mohd Isa Samad?
Sementara 10 Adun BN di Terengganu pula akan dikekalkan di situ dan tiada apa-apa tindakan malahan mungkin diberi ganjaran lagi oleh pucuk pimpinan?

Malahan, perundingan 10 Adun ini dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim juga tidak diambil kisah oleh Perdana Menteri kerana Najib dan Muhyiddin mungkin ada perkiraan sendiri terhadap nasib Menteri Besar Terengganu yang dikatakan dilantik pihak istana dan bukan pilihan parti.

Suatu Tafsiran Terhadap Perkembangan Terkini Politik Kelantan

WAN ABDUL RAHMAN WAN AB. LATIF menulis begini: Beberapa bulan kebelakangan ini ada usaha-usaha oleh tangan-tangan ghaib untuk merencanakan satu grand design bagi tujuan menjatuhkan Kerajaan Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abd Aziz.

Berdasarkan metodologi kajian masa depan (future studies) tangan-tangan ghaib ini menggunakan keadah backcasting iaitu ‘menghidupkan’ semula aktor-aktor sejarah lama, agar peristiwa sejarah itu berulang semula.

Dalam ilmu sains politik, pendekatan ini juga dikenali sebagai pendekatan simulasi (simulation approach). Apa yang berlaku dalam pendekatan simulasi ialah aktor sejarah 'dihimpunkan' dalam satu 'makmal' sejarah dan berdasarkan angkubah-angkubah yang ada apakah peristiwa sejarah yang lalu dapat 'dicipta' semula (re-invent).

Dalam konteks Kelantan 'peristiwa' sejarah yang dimaksudkan ialah peristiwa tahun 1977 yang berakhir dengan pilihan raya Dun Kelantan pada 1978 di mana Kerajaan Kelantan pimpinan PAS tumbang.

Aktor-aktor penting pada masa itu ialah antara lain, Dato’ Asri Muda (Yang DiPertua PAS), Dato’ Mohammad Nasir (Menteri Besar Kelantan), Ibrahim Ali (masa ini pimpinan pelajar ITM), Tun Hussin Onn (Perdana Menteri Malaysia), Ku Li dan Dr. Mahathir (Timbalan Perdana Menteri). Sebahagian dari aktor-aktor sejarah ini masih ada hari ini dan sebahagian lagi telah meninggal dunia.

Terpukul dengan Peristiwa 13 Mei

Peristiwa 1977 bermula lebih awal iaitu apabila Umno/BN terpukul hebat selepas pilihan raya umum 1969 yang berakhir dengan tercetusnya Peristiwa 13 Mei yang tragis itu.

Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak, mengadakan pertemuan dengan Dato’ Asri untuk membincang berkaitan kelangsungan masa depan Melayu yang dicabar oleh kuasa politik bukan Melayu khususnya orang Cina (melalui DAP dan elemen kiri).

Atas keyakinan rapatnya hubungan antara 'Melayu' dan 'Islam', Dato’ Asri bersedia untuk bekerjasama. Niat baik PAS telah diambil peluang oleh Umno untuk menjatuhkan PAS di Kelantan dengan berkeras untuk melantik Dato’ Mohammad Nasir sebagai Menteri Besar PAS, sungguhpun PAS mempunyai calon mereka sendiri iaitu Ustaz Wan Ismail (Timbalan Menteri Besar ketika itu).

Umno berkeras untuk melantik Mohammad Nasir kerana mereka yakin Mohammad Nasir lebih senang untuk dimanipulasi bagi memenuhi tujuan dan cita-cita politik mereka.

Dalam saat yang sama, Dato’ Asri dikritik hebat sebagai seorang pemimpin yang mengutamakan keluarganya. Pihak istana juga turut terlibat, besar kemungkinan secara tidak langsung, melalui Ku Li.

Ku Li pada masa itu adalah Ketua Perhubungan Umno Kelantan dan seorang tokoh Umno yang tersohor di peringkat Pusat. Ibrahim Ali, sebagai pemimpin pelajar, turut memainkan peranan.

Kerajaan Pusat istihar darurat

Akhirnya wujud konflik antara Asri dan Nasir yang berakhir dengan pemecatan Nasir dari PAS dan keadaan politik yang 'kacau-bilau' ini dijadikan alasan oleh Kerajaan Pusat untuk mengistiharkan darurat di Kelantan.

Peristiwa sejarah politik (dalam bentuk grand design oleh Umno untuk menjatuhkan PAS) yang melatari politik Kelantan pada tahun 1977 amat difahami oleh pimpinan PAS pada masa itu termasuklah Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang pada masa itu memegang jawatan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Mereka memahami hakikat bahawa 'kekacauan' yang berlaku di Kelantan adalah dirancang (orchestrated) dan sistem Federalisme yang lebih memihak kepada Kerajaan Pusat telah digunakan untuk menghukum Kelantan.

Untuk menghidupkan semula Peristiwa 1977 pada masa sekarang (2009-2010), kadar kejayaannya amatlah rendah. Peristiwa 1977 berlaku dalam suasana politik (political milieu) yang berbeza dengan apa yang ada sekarang. Apa yang lebih penting ialah budaya politik masyarakat Kelantan pada tahun 1977 tidak sama dengan budaya politik masyarakat Kelantan sekarang.

Kehebatan Asri tidak mempunyai nilai tarbiyah yang tinggi berbanding Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Mursyidul Am PAS ini melalui ceramah dan kelas-kelas ilmu beliau (terutamanya pada hari Jumaat) mempunyai kesan tarbiyah yang mendalam kepada masyarakat Kelantan.

Hasil dari usaha gigih Tuan Guru, sebahagian besar anggota masyarakat Kelantan telah menerima (internalized) konsep 'Islam sebagai cara hidup'.
Ini diakui sendiri oleh seorang pengkaji yang tersohor di peringkat antarabangsa iaitu Farish Noor dalam kajian beliau mengenai PAS yang terperinci dari sudut sains politik dan sosiologi berjudul Islam Embedded.

Kekuatan pengaruh Tuan Guru Nik Abdul Aziz ini turut diperakui oleh dua orang tokoh akademik tempatan iaitu Dr. Agus Mohd Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia (terkenal melalui program Hujah di TV 9) dan Dr. Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya (terkenal dengan kajian masa depan).

Mereka berdua sependapat bahawa selagi Tuan Guru Nik Abdul Aziz memimpin Kelantan agak mustahil bagi Umno/BN untuk merampas semula Kelantan. Selanjutnya dapatlah dihujahkan bahawa segala usaha untuk 'menghidupkan' semula Peristiwa 1977 akan membawa kepada kegagalan; dan besar kemungkinan lebih merugikan Umno/BN (political backlash).

Pilihan Raya Kecil Manek Urai dan perkembangan terkini politik Kelantan.

Apa kaitan antara Pilihan Raya kecil Manek Urai ( yang berlangsung pada 14 Julai 2009) dengan perkembangan terkini politik Kelantan? Ia mempunyai kaitan apabila Dato' Md Alwi Che Ahmad, Ketua Penerangan Umno Negeri Kelantan menemplak pandangan Dr. Agus dan Dr. Abu Hassan.

Beliau secara sinis mengatakan bahawa dunia akademik adalah seumpama fekah, ada yang kata harus, sunat, makruh dan wajib. Apa yang hendak dikatakan oleh Ketua Penerangan Umno Kelantan ialah pandangan ahli akademik tidak boleh dipakai; pandangan mereka tidak semestinya betul.

Harus diingat bahawa kedua-dua ahli akademik ini mengakaji politik Kelantan secara yang terperinci dan saintifik (objektif) sehingga menghasilkan tesis-tesis PhD. Apa yang lebih penting kedua-dua mereka ini adalah berasal dari Kelantan (Machang) dan ini menjadikan mereka lebih peka dengan budaya politik Kelantan.

Ketua Penerangan Umno Kelantan bersandarkan hujah beliau bahawa terkini PAS Kelantan adalah lemah berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil Manek Urai yang menyaksikan PAS menang tipis (65 undi).

Umno telah mencanang seluruh negara bahawa kemenangan tipis PAS adalah juga 'kemenangan moral' bagi mereka. Mereka beriya-riya ingin mengeksportkan 'kemenangan moral' kepada Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir yang diadakan selepas Manek Urai.

Keghairahan Umno terkecai apabila mereka terpukul dengan teruk apabila calon mereka kalah kepada calon PAS dengan majoriti lebih dari 4000 undi. Saya sendiri ditugaskan oleh PAS Pusat untuk membuat post-mortem dan menyelidiki apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada kemenangan tipis PAS.

Beberapa hasil kajian ini akan dikemukakan dalam tulisan ini untuk membuktikan sama ada pandangan Ketua Penerangan Umno Kelantan itu boleh diterima atau sebaliknya.

Post-mortem PRK Manek Urai postif

Kajian post-mortem Pilihan Raya Kecil Manek Urai dijalankan sebulan selepas berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Manek Urai. Ia melibatkan 303 responden dari lapan Unit Peti Undi (UPU).

Kajian ini mengguna kaedah tinjauan (survey) ke atas responden yang bersifat rawak dan berlapis (random and stratified). Bagi tujuan perbincangan kita, saya akan rumuskan beberapa dapatan kajian.

Apabila ditanya soalan apakah keputusan Pilihan Raya Kecil Manek Urai mempunyai kesan kepada politik Kelantan secara khusus dan politik Malaysia secara umum, majoriti responden berpandangan kesan kepada politik Kelantan 'hanya sedikit' dan kesan kepada politik Malaysia 'tiada langsung'.

Pandangan responden ini tepat dalam kes kesan kepada politik Malaysia
di mana (sebagaimana yang dirujuk sebelum ini) dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir, calon PAS menang besar.

Sekiranya pandangan responden berhubung dengan kesan Pilihan Raya Kecil Manek Urai kepada politik Malaysia secara umum adalah tepat, saya yakin pandangan mereka terhadap kesan Pilihan Raya Kecil Manek Urai kepada politik Kelantan lagi tepat kerana mereka terdiri dari anggota masyarakat Kelantan sendiri.

Penemuan lain yang menarik untuk dikemukakan ialah berhubung dengan ciri-ciri yang perlu ada kepada seseoranag calon. Ciri-ciri yang dimaksudkan ialah (berdasarkan urutan keutamaan); Mesra rakyat, berpendidikan/berpengetahuan agama (Islam) dan mampu membawa pembangunan.

Kemenangan calon PAS (Abang Uji) disebabkan beliau memiliki dua daripada tiga ciri-ciri yang dimaksudkan berbanding calon Umno/BN yang memiliki ciri ketiga (mampu membawa pembangunan).

Dapatan kajian seterusnya ialah betapa seriusnya penggunaan politik wang oleh Umno untuk usaha membeli undi. Ia dirancang secara amat teliti apabila pihak keselamatan menyediakan satu senarai mereka yang boleh dibeli dengan harga yang berbeza-beza.

Responden memberitahu bahawa harga yang dibayar adalah paling minima sebanyak RM300 dan paling maksima RM10,000 bagi setiap pengundi. Dengan begini merebaknya politik wang, besar kemungkinan betul dakwaan yang mengatakan Umno/BN memperuntukkan sekitar RM24 juta untuk pilihan raya kecil ini.

Ia juga menyebabkan dua buah bank di Kelantan hampir-hampir muflis. Umno/BN juga menggunakan pendekatan psikologi berupa rayuan dan simpati politik dengan mengatakan: "Tolong sekali ini sahaja undi Umno, sekiranya PAS kalah pun ia tidak menjejaskan Kerajaan Negeri. Kelantan masih bawah PAS yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Abd. Aziz".

Pendekatan politik wang yang begitu berleluasa dan rayuan politik mempunyai kesan yang signifikan apabila PAS hampir-hampir kecundang dalam pilihan raya kecil ini.

Dapatan terakhir kajian yang kita boleh kongsi bersama dalam makalah yang ringkas ini ialah berkaitan dengan pengaruh Tok Guru (Menteri Besar) dengan Tok Pa (Dato Mustafa Mohamad - Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan).

Dalam kajian oleh Merdeka Centre, dua minggu sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Manek Urai, memperlihatkan pengaruh Tok Pa (60%) mengatasi populariti Tok Guru (50%). Hasil post-mortem yang saya jalankan (sebulan selepas pilihan raya kecil berlangsung) memperlihatkan penemuan yang sebaliknya iaitu Tok Guru (56%) dan Tok Pa (46.1%).

Ini bermakna semasa diasak dengan pelbagai tawaran dan tekanan, menggunakan seluruh kemudahan dan kekuatan yang ada pada negara, adalah wajar populariti Tok Guru menurun; tetapi dalam keadaan biasa, di luar musim pilihan raya, populariti Tok Guru mendapat tempat di hati rakyat Kelantan semula.

Sekiranya dalam sebuah pilihan raya kecil pun, PAS (khususnya di Kelantan) susah untuk ditumpaskan, inikan pula dalam pilihan raya umum.

Sungguhpun ada kata-kata bahawa 'sejarah akan mengulangi dirinya sendiri' (that history will repeat itself), kata-kata ini tidak semestinya tepat. Dalam banyak kes sejarah senantiasa meninggalkan kita. Periode sejarah biasanya ditentukan oleh penggunaan peralatan yang tertentu.

Zaman Batu (Stone Age) diganti dengan Zaman Gangsa (Bronze Age) dan sekarang Zaman ICT (penggunaan komputer). Perkembangan teknologi akan bertambah canggih dan tidak mungkin manusia akan kembali ke Zaman Batu semula.

Dalam hal ini, usaha-usaha untuk 'menghidupkan' semula sejarah adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Seiringan dengan ini, usaha Umno/BN untuk 'menghidupkan' semula Peristiwa 1977 dalam usaha mereka untuk merampas Kelantan merupakan kerja yang sia-sia.

Peristiwa sejarah seperti Peristiwa 1977 hanya boleh dilakonkan dalam filem-filem dan terbukti benar bahawa pimpinan Umno/BN adalah pelakon-pelakon terhandal di pentas politik Malaysia.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penyelidikan PAS Pusat dan bekas pensyarah Jabatan Sains Politik, UKM.