KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Jun 29, 2010

Tuduh Tuan Guru Abdul Hadi Awang pengganas dan Wahabi: Desak Najib mohon maaf kepada Presiden PAS


Dewan Ulama PAS Pusat mendesak kerajaan Umno-BN pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak memohon maaf secara terbuka kerana melempar tuduhan dan cuba menanam persepsi buruk kepada rakyat kononnya Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebagai individu yang mempunyai hubungan dengan pengganas dan seorang Wahabi. Tegas Naib Ketuanya, Dato' Dr. Mahfodz Mohamad kepada Harakah, kerajaan harus bertanggunjawab dan mengemukakan bukti sebelum melemparkan tuduhan jahat tersebut.

"Kita minta kerajaan mengemukakan bukti sebelum mengaitkan seseorang dengan aliran Wahabi atau apa jua fahaman. Ia satu tindakan yang tidak wajar apatah lagi mengaitkan seorang pemimpin dengan pengganas," tegasnya.

Dakwa Dr. Mahfodz, mengaitkan Presiden PAS dengan keganasan adalah satu penghinaan terhadap beliau, PAS serta pendokong dan penyokong PAS yang berjumlah hampir sejuta orang.  Ia hanyalah sikap manusia yang 'desperate' serta dengki terhadap populariti beliau, bahkan orang sebegini hanya bencikan pengaruh PAS yang semakin diterima oleh kelompok bukan Islam.

"Presiden PAS adalah pemimpin PAS sejak tahun 1980an lagi. Daripada menjadi Naib Yang Di Pertua, Timbalan Presiden sehingga kini menjadi Presiden PAS sejak tahun 2002. Dia juga Ahli Parlimen dan seorang Adun. Mana mungkin seorang pengganas bergerak atas platform rasmi negara. Semua aktiviti beliau diketahui sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jadual beliau sendiri dimaklumkan kepada media," tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan.

Katanya, pengganas tidak bersifat demikian, sebaliknya pengganas akan bertindak secara senyap-senyap dan tidak berani menzahirkan diri di khalayak kerana beliau takut dirinya ditangkap.  Jelasnya, segala aktivitinya juga tidak akan didedahkan. Ambillah contoh beberapa figur yang dianggap pengganas dan segala aktiviti hidupnya. Sudah pasti amat jauh berbeza dengan peribadi Presiden PAS.

"Kalau Tuan Guru Presiden PAS seorang pengganas, maka sudah lama negara ini menjadi huru hara. Sudah pasti ada kejadian membakar dan mengebom bangunan sepertimana yang berlaku di Indonesia dan Thailand berlaku. Pengikut PAS dan penyokong YB Tuan Guru Dato’ Seri Presiden PAS ada di mana-mana di Malaysia ini. 

"Boleh dikatakan bukan setakat umat Islam, bahkan bukan Islam pun ramai yang menjadi penyokong beliau. Populariti beliau lebih daripada YAB Perdana Menteri sendiri. Beliau dikenali di dunia Islam antarabangsa, walaupun beliau bukan Perdana Menteri. Ucapan dan tulisan beliau disukai oleh setiap lapisan masyarakat," terangnya.

Ustaz Nasruddin bertanya, apakah kerana ketegasan Presiden PAS itu terhadap isu umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Chehnya, Selatan Filipina dan Thailand ini dianggap sebagai pengganas?  Sedangkan tegasnya, itulah sikap sebenar sebagai pemimpin umat Islam yang tulen. Sewajarnya pemimpin umat Islam yang lainnya bersikap keras sekiranya ada negara-negara umat Islam yang diserang dan dicerobohi.

Beliau menakankan, keganasan bukan cara PAS mendapatkan kuasa. Sejak tahun 1951, PAS telah menyertai pilihan raya. Kaedah demokrasi berparlimen yang diamalkan sekarang itulah yang diamalkan oleh PAS. Tidak pernah PAS mengajak mana-mana ahli dan penyokongnya bertindak ganas dalam mana-mana aktivitinya. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat pula membidas tuduhan liar itu sebagai tidak masuk akal, berniat jahat dan mahu menghilangkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan PAS.

Ustaz Nuridah Mohd Salleh ketika dihubungi mendakwa penglibatan JI dan penyebaran propaganda hitam Unit Polis Indonesia Detachment 88 yang diwujudkan dan dibiayai oleh kerajaan Amerika Syarikat dan Australia adalah usaha terdesak Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak. Tindakan ini ditafsirkan sebagai usaha terdesak Najib untuk meyakinkan Presiden Obama bahawa Malaysia adalah sekutunya dalam isu pengganas tersebut.

Tegas beliau, usaha jahat yang dilakukan oleh kerajaan Umno-BN itu sebenarnya telah memudahkan APCO serta anasir Zionis Yahudi menjalankan jarum khianatnya terhadap rakyat dan umat Islam di negara ini. Dewan Muslimat tegasnya, mohon rakyat bertenang dan jangan membuat sebarang tindakan yang akan mengeruhkan lagi keadaan.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw, melihat taktik jahat ini untuk menakut-nakutkan bukan Islam/Melayu yang kini semakin ramai menerima PAS sehingga berjaya menubuhkan Dewan, sekaligus mengurangkan sokongan kaum tersebut terhadap BN.

"Ini satu percubaan yang tidak masuk akal. BN terdesak melakukannya kerana orang bukan Islam sudah tidak menerima BN. MIC tidak diterima, MCA tidak diterima.  Begitu juga PPP dan sebagainya," dakwa beliau ketika dihubungi.

Pang Chaw yang pernah menjadi setiausaha akhbar bagi akhbar Cina kepada Ustaz Abdul Hadi berkata, Presiden PAS itu merupakan seorang ulama yang alim dan seorang pemimpin yang tidak suka bercakap berputar-belit. Pang Chaw berkata, pengalaman bersama Ustaz Abdul Hadi membuktikan Ahli Parlimen Marang itu seorang pemimpin yang 'humble', selain amanah dan berpegang teguh kepada ajaran Islam.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mahu pihak Kerajaan BN dan Polis Diraja Malaysia memberikan penjelasan terhadap laporan Malaysiakini yang mengatakan Presiden PAS didakwa sebagai pengganas dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung Jamah Islamiah (JI) di Bukit Aman Isnin lalu dan PAS memandang serius dakwaan ini.

Tegasnya, Menurut Malaysiakini, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin membuat dakwaan bahawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama bekas mufti negeri itu Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis sekarang Dr. Juanda Jaya dan mantan menteri besar negeri itu Datuk Seri Shahidan Kassim adalah pengganas dalam taklimatnya.

PAS katanya, mencurigai kredibiliti Zamihan yang mendakwa penglibatan Presiden PAS dalam gerakan wahabi yang turut dikaitkan dengan Jamaah Islamiah yang dirangkumkan bagi membentuk persepsi bahawa beliau adalah pengganas.

Puak-puak Umno keliru teruk: Pengharaman judi tak sama dengan arak atau babi


Isu pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dan babi, memandangkan secara jelasnya tidak ada mana-mana agama yang membenarkan kegiatan judi dijalankan. Ini kerana tabiat judi itu mengundang lebih banyak keburukan dan kemudaratan seperti pergaduhan, permusuhan dan perbalahan sesama manusia, selain ia turut melingkari setiap peringkat usia.

Bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang, menegaskan dalam hukum Islam jelas menyatakan judi merupakan perbuatan keji dan perbuatan syaitan yang wajib dijauhi berdasarkan perintah Allah. "Surah Al-Maidah, ayat 90-91 membawa maksud yang menyatakan judi merupakan amalan yang berasal dari syaitan yang mendorong manusia lalai kepada Allah, selain menggalakan permusuhan dan kebencian di antara manusia," tegas beliau ketika dihubungi.

Jelas beliau, amalan judi mengundang kepada permusuhan dan pergaduhan apabila mereka yang kalah berjudi akan berasa tidak puas hati dengan yang menang, orang yang berhutang untuk berjudi gagal menjelaskan hutang kepada pemberi hutang dan berbagai-bagai sebab permusuhan akibat judi," tegas beliau.

Ustaz Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang menyokong pemberian lesen judi atas alasan kononnya amalan berjudi merupakan budaya orang bukan Islam. Kenyataan dan tindakan bekas Perdana Menteri itu, kata beliau seolah-olah Mahathir mewakili orang bukan Islam, sedangkan beliau mengaku beragama Islam dan ianya menjurus ke arah dosa.

"Apa yang dikatakan beliau, dan juga Rais (Dato' Seri Rais Yatim) tentang kononnya orang Cina mahu berjudi sudah menjadi dosa.  Dua kali berdosa. Pertamanya, berdosa kerana menghalalkan apa yang diharamkan Allah. Keduanya, memandai-mandai mempertahankan apa yang dikatakan hak orang bukan Islam, sedangkan mereka (bukan Islam) tahu ia tidak dibenarkan pada agama mereka juga," tegas beliau.

Justeru, Ustaz Ahmad menyelar sikap pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mengaku beragama Islam bertindak mengeluarkan hujah menggunakan alasan untuk kepentingan bukan Islam bagi meluluskan pemberian lesen judi tersebut.

Timbalan Menteri KPT dakwa masalah peribadi punca 4 tokoh ditohmah Wahabi, pengganas


Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dato' Saifudin Abdullah (BN-Temerloh) mengesahkan masalah peribadi adalah merupakan penyebab kepada timbulnya isu melabel empat tokoh agama dan politik dengan fahaman Wahabi dan Jamaah Islamiyah. Kenyataan tersebut dibuat ketika menjawab soalan yang dibangkitkan Dato' Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) semasa membuat ucapan penggulungan di Dewan Rakyat baru-baru ini.


"Saya percaya orang yang memberikan taklimat kedua mempunyai masalah peribadi dengan bekas Mufti Perlis  (Dr Asri) itu," ujarnya dalam nada tegas pada sidang parlimen.

Saifuddin menegaskan pihaknya tidak akan membenarkan orang tertentu 'dikambinghitamkan' hanya kerana ada orang tertentu yang tidak sesuai dengan orang tertentu. Ketika berhujah  menolak isu Wahabi dengan kegiatan kumpulan pengganas Jamaah Islamiyah (JI), Saifudin turut menjelaskan tentang asal usul Wahabi yang membabitkan Kerajaan Saudi Arabia.

"Dalam isu keganasan di IPT sekarang ini, kita rasa tidak sesuai labelkan individu atau organisasi dengan Wahabi. Jadi sebenarnya tiada alasan yang hendak disabitkan," katanya. Menjelaskan lagi, Saifudin yakin tiada hujah yang kukuh bagi mendakwa empat individu terbabis sebagai teroris atau pengganas.

"Saya yakin tiada hujah kukuh untuk mensabitkan kesemua yang disebutkan itu sebagai teroris kerana kita perlu mempunyai premis untuk menyatakan seseorang itu wahabi atau apa sahaja, kita rasa tidak sesuai labelkan individu atau organisasi dengan Wahabi jadi tiada alasan," tegas timbalan menteri itu. Beliau percaya apa yang sedang berlaku sekarang ini adalah hasil daripada satu tanggapan semata-mata.

Pada masa yang sama Saifudin turut mengaitkan apa yang terjadi sebagai simptom yang akan membawa kepada kewujudan ideologi Islamophobia yang mahu menakutkan rakyat dengan Islam. Terdahulu menurutnya, terdapat dua taklimat khusus mengenai isu membabitkan kegiatan pengganas di Institusi Pengajian Tinggi Awam pada 21 Jun lalu.

Ujarnya, taklimat pertama dikendalikan oleh pihak Bukit Aman, segala maklumat yang disampaikan adalah tepat kerana tiada masalah, tetapi dalam taklimat kedua, kerana ia membabitkan Marang (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang); bekas Menteri Besar Perlis (Datuk Seri Shahidan Kassim), Mufti Perlis (Dr. Juanda Jaya) dan bekas Mufti Perlis (Dr Mohamad Asri Zainal Abidin).

Mahfuz semasa mengutarakan soalan kepada Saifuddin berkata, isu melabel tokoh agama dan politik memberi kesan dan menyebabkan diskriminasi terhadap mereka yang disebutkan. Walhal, polis tidak dapat membuktikan pensyarah dan pelajar dengan gerakan JI mahupun tuduhan yang dikaitkan terhadap Presiden PAS yang dilihat sesuatu yang memalukan, kata Mahfuz.

Sambil melahirkan kebimbangan dengan tuduhan tidak berasas yang dilemparkan terhadap Presiden PAS itu, Mahfuz menegaskan setakat ini Ustaz Abdul Hadi tidak pernah dikaitkan dengan apa juga kes keganasan. Malah pemimpin utama PAS itu adalah seorang yang demokratik kerana pernah menggalas tugas  Menteri Besar dan kini selaku Presiden sebuah parti, katanya.

Kontroversi sebalik saman Suara KeADILan: Felda bakal gulung tikar angkara Najib



Ahli Parlimen Pakatan Rakyat digesa membuat usul tergempar di Parlimen bagi membincangkan masa depan Felda yang berkemungkinan besar akan gulung tikar sebagaimana berlaku kepada Bank Bumiputera. Kedudukan tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009. Kemerosotan RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun adalah suatu malapetaka yang berpotensi membankrapkan Felda, tegas Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman.

"Felda adalah Institusi pembangunan tanah milik bumiputera yang bertujuan menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan. Pendedahan yang dibuat oleh Dr Tan Kee Kwong selaku bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi yang menterinya ketika itu Tan Sri Kasitah Gadam adalah sangat serius," katanya.

Bahkan, pengakuan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri  Dato' Ahmad Maslan sangat memeranjatkan apabila jelas kemerosotan rezab tunai Felda lebih 60 peratus dalam tempoh lima tahun di bawah pengendalian Najib adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Apa yang menghairankan tegas Mazlan, sebagai institusi multi nasional yang membangunkan tanah terbesar dunia dengan mempunyai 43 anak syarikat dan 23,000 kakitangan kumpulan kestabilan Felda telah menjadi tanda tanya.

"Wang peneroka telah dibazirkan sesuka hati. Adakah betul untuk kepentingan rakyat atau kegiatan politik kerajaan Umno-BN kerana Felda adalah talian hayat terakhir mereka. Logiknya, beberapa tahun akan datang, sama ada Felda terpaksa membuat pinjaman baru berskala besar atau diisytiharkan bangkrup!" tambah beliau. Isu ini membabitkan kepentingan 112,635 orang peneroka dan 800,000 generasi baru Felda.

Selain mendesak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat, Anak telah mengambil inisiatif memimpin road show ke seluruh negara untuk mendedahkan penyelewengan dan salahguna kuasa yang diketuai oleh Najib Tun Abd Razak yang menerajui Felda sehingga kini. Antara langkah awal, adalah membuat laporan polis beramai-ramai. Pada 23 Jun baru-baru ini, 30 orang peneroka dan Generasi Kedua sekitar Temerloh bersama Mazlan membuat laporan polis di IPD Temerloh. 

Pada 25 Jun pula, 12 orang aktivis peneroka dan Pakatan Rakyat telah membuat laporan serupa di IPD Kota Tinggi. Kata Mazlan lagi, oleh kerana isu ini membabitkan institusi pembangunan tanah terbesar bumiputera dan berada ditahap kritikal dijangkakan beratus-ratus laporan polis akan terus dibuat dalam jangkamasa terdekat antaranya di gugusan Keratong, Taib Andak, Serting, Jengka, Redong, Kerteh dan lain-lain.

Tambahnya, laporan beramai-ramai di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mendesak Najib dan Ahmad Maslan disiasat dan diambil tindakan segera kerana bertanggungjawab menyalahgunakan wang warga Felda. Konvoi 30 buah kenderaan termasuk sebuah bas akan dilancarkan pertengahan Julai ini selama seminggu di beberapa destinasi penempatan Felda seluruh negara untuk mengedarkan pamplet 'Najib Bankrapkan Felda'.

"Sedih, marah dan terkilan yang amat sangat terhadap pemimpin Melayu yang seperti harapkan pagar, pagar makan padi," kata Mazlan. Justeru, katanya warga Felda harus bangkit menentang penyelewengan ini, bukan sekadar membantah, cukuplah pengundi Felda selama ini menjadi talian hayat kepada BN.

Judi bola: Radhi Mat Din mendakwa pemain bola sepak akan disogok lakonkan perlawanan

Tindakan kerajaan Umno-BN yang meluluskan judi sukan telah membunuh serta menghancurkan kecemerlangan dan kualiti industri sukan negara, kerana ini menjadikan sukan khususnya bola sepak menjadi tidak mencabar serta tidak dapat dinilai prestasinya.

"Judi sukan telah merosakkan kualiti sukan negara kerana ia melibatkan pertaruhan dan kekalahan. Saya tidak pasti apa yang difikirkan kerajaan, yang kelihatan seperti membina industri sukan tetapi pada masa yang sama meruntuhkannya," kata bekas pemain bola sepak negara, Mohd Radhi Mat Din. Ketika diwawancara WebTV PAS, beliau menceritakan terdapat kes tertentu keputusan perlawanan bola sepak telah diketahui dua tiga hari sebelum ianya diadakan.

"Ada kes apabila pemain menerima sogokan daripada pihak tertentu sehingga menyebabkan Persatuan Bola sepak Malaysia atau FAM mengambil tindakan menghalang mereka daripada beraksi dalam perlawanan seterusnya.

"Ini kerana jika diteruskan maka apa yang kita saksikan adalah lebih kepada lakonan semata-mata dan perkara ini terbukti wujud dalam sukan di negara kita. Apa yang kita tonton bukanlah permainan bola sebenar tetapi lakonan permaian bola. Ini kerana semua pemain dan jurulatih telah disogokkan dengan sejumlah nilai wang untuk keuntungan pihak-pihak tertentu. Maka rasuah dalam bola sepak akan menjadi lebih serius," tegasnya.

Radhi berkata, judi sukan bola sepak boleh dipecahkan kepada pelbagai pertaruhan sperti pertaruhan menentukan pasukan bertanding, minit jaringan pertama, penjaring gol pertama, pemain terbaik, pasukan yang menang, pasukan yang kalah dan macam-macam lagi. Semuanya akan dipertaruhkan.

Beliau menimbulkan rasa cemas itu setelah berpengalaman mengharungi beberapa siasatan yang melibatkan hal-hal demikian. Ramai daripada mereka yang terlibat dengan gejala ini sukar dikesan berlaku oleh pihak FAM dan pihak berkuasa.

Mohd Radhi mendakwa kes sogokan kepada pemain memang wujud dan ianya masih lagi berterusan. Beliau menyeru kepada semua pihak terutamanya peminat dan pemain yang terlibat agar turun beramai-ramai ke perhimpunan membantah judi bola di perkarangan Masjid Negara pada 3 Julai nanti.

"Saya mengajak dan menyeru kawan-kawan, peminat untuk hadir ke himpunan tersebut bagi membantah dan menunjukkan rasa tidak puas hati kepada tindakan menghalalkan judi sukan kerana apa yang berlaku ini adalah sangat serius. Ia akan menyebabkan industri bola sepak kita merudum dan hancur," kata bekas pemain bola sepak kebangsaan berasal dari Kedah itu.

Mahathir dianggap "orang gila judi" bila bermati-matian pertahan dasar judi


Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyelar ucapan Mahathiryang mengatakan beliau akan meluluskan lesen judi jika masih kerajaan (Ketua Negara) dan ini adalah kenyataan orang gila dan hanya memikirkan dirinya sendiri, bidas pemangku ketuanya, Herman Shamsudden.

Sebagai seorang bekas pemimpin, beliau tidak sewajarnya melabelkan sesuatu kaum itu (Cina) sebagai kaum yang suka berjudi kerana tidak semua manusia yang suka berjudi malah, dalam mana-mana agama pun termasuk Buddha tidak pernah menghalalkan judi. 

Catatan didalam kitab Tipika Buddha sendiri menyatakan bahawa: "There are these six dangers of being addicted to gambling. In winning one begets hatred; in losing one mourns the loss of one’s wealth; one's word is not accepted in court; one is avoided by both friends and officials; one is not sought after for marriage because people say a gambler cannot support a wife." - (D.III,183).

Didalam buku lain Buddha menyebut 'squandering wealth on dice' leads to one's decline (Sn.106). Jelas kata Herman, apa yang Mahathir sebut dan menganggap judi tidak diharamkan dalam masyarakat Cina adalah sesuatu yang prejudis kepada kaum ini.

"Orang Cina juga tahu judi itu merugikan mereka. Walaupun ada yang menganggapnya sebagai hiburan, tetapi itu bukanlah sesuatu yang diajar dalam agama mereka kerana banyak lagi hiburan lain yang mereka boleh lakukan," ujarnya.

Sekitar tahun 80-an dan 90-an Kerajaan Hong Kong dan China mempromosikan kempen membenci judi dengan menayangkan filem-filem perjudian seperti 'God of Gambler' yang mesejnya menyeru rakyat mereka
jangan berjudi. Namun tegas Herman lagi, mesej ini tidak difahami Mahathir sehingga ke hari ini kerana dalam kepalanya beliau sentiasa menganggap orang Cina ini sebagai saingan orang Melayu. 

"Sebab itu dalam perhimpunan Perkasa baru-baru ini beliau dengan selambanya mengatakan bahawa orang Cina suka berjudi sebagai mengambarkan bahawa masyarakat Cina adalah masyarakat yang suka benda-benda yang negatif dan berfoya-foya," tegas beliau. Beliau bersyukur kerana Mahathir sudah lama berhenti jadi Perdana Menteri dan di zaman Pak Lah dulu, isu judi terhenti sebentar kerana misinya adalah Islam Hadhari yang amat dibenci Mahathir. 

Namun bila Najib jadi Perdana Menteri, Mahathir bermatian-matian pertahankan dasar judi yang diumumkan. Ini kerana Mahathir tidak mahu ditempelak oleh Najib kerana zaman dia jadi Perdana Menteri beliau pernah meluluskan lesen judi bagi Bukit Tinggi Resort, iaitu sebuah syarikat yang hampir-hampir muflis kerana banyak beban hutang. Salah seorang ahli lembaga pengarahnya ketika itu adalah Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga salah seorang Menteri Kabinet Mahathir, dakwa Herman.

Patutlah digelar Maha Firaun: Lulus judi, Mahathir dianggap angkuh dan sombong!


Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammad disifatkan sungguh angkuh dan sombong apabila bertegas akan meluluskan lesen judi bola jika beliau masih dalam kerajaan (Perdana Menteri), kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan.

"Kalau saya jadi kerajaan, saya luluskanlah," Mahathir dipetik sebagai berkata ketika ditemui media selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya. Kata Ustaz Nasruddin, kenyataan Tun Mahathir itu cukup biadap selain bercanggah dengan Islam dan semua agama kerana judi adalah musibah dan malapetaka kepada rakyat dan negara.

Umum mengetahui Malaysia sudah telah terkenal sebagai 'Darul Kasino' pada zaman pemerintahannya bermula dari sekecil-kecil jadi seperti berlaga ayam sehinggalah judi di puncak bukit dan judi di atas kapal wujud dalam negara ini. Jelasnya, tidak hairanlah jika Mahathir begitu teruja untuk terus menyokong industri judi dan bangga dengan perluasannya di dalam negara ini.

"Lagaknya bercakap tak ubah seperti dia masih Perdana Menteri, sedangkan Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri hari ini jelas kelihatan teragak-agak untuk bercakap soal judi bila berdepan dengan penentangan dari rakyat," tegasnya kepada Harakah.

Katanya, berbeza dengan sikap Mahathir yang terus mempamerkan kejahilannya yang sukar dididik kepada umum, apabila beliau menyamakan isu judi dengan isu babi yang perlu diluluskan oleh kerajaan untuk bukan Islam dengan alasan ianya tidak haram untuk bukan Islam. 

Dewan Pemuda PAS tegasnya mencabar Mahathir menjelaskan agama apa yang menghalalkan judi atau agama apa yang dianut oleh beliau? Judi telah ditentang oleh pelbagai agama dan bangsa kerana menyedari kesan buruk dari judi selain ianya turut diharamkan oleh pelbagai agama termasuk Kristian, Budha dan Hindu, jelas beliau.

Sebagai contoh, kata Ustaz Nasruddin, judi turut ditentang oleh Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng, wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, Ser Choog Eng dan dari Budayawan Bertindak, Lee Ban Chen, malah mereka semuanya bergabung dalam satu wadah Gerakan Membantah Judi (GMJ).

"Semua mereka adalah Chinese dan bukan Islam. Tidak cukup lagikah pelbagai jenayah dan keruntuhan akhlak serta kepincangan sosial yang berlaku ekoran industri judi yang kian berleluasa?" soal beliau.

Sepatutnya sebagai orang tua negara, Mahathir lebih peka terhadap masa depan generasi muda dan keamanan atau kesejahteraan negara, bukannya terus mengheret rakyat khasnya generasi muda terjerumus dalam kancah perjudian yang hanya meletakkan mereka terus bergantung nasib di meja judi, tidak lagi menjadi warga negara yang berdikari dan berbakti kepada tanahair, ujarnya.

Tegas tokoh pemuda PAS itu lagi, negara masih mempunyai banyak pilihan untuk mencari dana dan meningkatkan upaya perolehan hasil negara tanpa menyuburkan industri judi yang turut membawa kesan buruk kepada pertumbuhan insan dan generasi dinamik masa depan.

Ustaz Nasruddin menyeru supaya rakyat bangkit dengan tegas dan yakin untuk mendesak kerajaan agar tidak melangsungkan usaha mereka untuk menyuburkan lagi industri judi negara . Beliau juga percaya selepas ini sukan tidak lagi menjadi riadah atau aktiviti yang bertujuan untuk menghasilkan pemikiran dan jasad yang sihat sebaliknya menjadi aktiviti yang dipertaruhkan akhirnya akan menghasilkan kesan buruk kepada masyarakat.

"Pertaruhan sering mendorong berlakunya pergaduhan. Yang menang dilihat menindas yang kalah sementara yang kalah menyimpan dendam tidak berkesudahan. Kekalahan pula membuatkan mereka terdesak lalu mereka akan terjebak dalam kancah jenayah ragut, curi, rompak dan bunuh serta bunuh diri," jelas beliau.

Perjudian adalah satu penindasan, justeru katanya hampir tiada yang berjudi menjadi kaya dengan hasil judi melainkan keuntungan besar hanya akan dikaut oleh tauke judi.  Bahkan katanya, judi memerangkap penjudi menjadi hamba kepada nasib yang tidak menentu tanpa memiliki kudrat untuk bangkit berdikari mencari hasil dari sumber yang halal dengan keupayaan sendiri.

Justeru, Dewan Pemuda PAS menggesa supaya seluruh rakyat prihatin terutama generasi muda untuk turun bersama GMJ menyertai Himpunan Aman 100K pada 3 hb Julai 2010 dan berarak ke istana negara untuk menyerahkan memorandum kepada Ke bawah Duli Yang diPertuan Agong.

Tun Mahathir "Kepala Judi": Sanggup luluskan judi sukan kalau dia masih berkuasa


Kenyataan angkuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan meluluskan judi sukan, jika beliau masih berkuasa (jadi PM) dianggap biadap dan jahil dari segi pemahaman agama tentang judi yang keji ini. Orang bukan Islam khususnya kaum Cina pula bertambah marah dengan dakwaan bias beliau, yang mengaitkan kononnya judi adalah budaya kaum Cina, sama seperti minum arak dan makan babi. 

"Kalau saya jadi kerajaan, saya luluskanlah," Mahathir dipetik sebagai berkata ketika ditemui media selepas satu majlis di pejabatnya di Putrajaya. Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menyifatkan kenyataan Mahathir itu cukup bercanggah dengan Islam dan semua agama kerana judi adalah musibah dan malapetaka kepada rakyat dan negara.

Sejak zaman pentadbiran Mahathir, Malaysia cukup terkenal sebagai 'Darul Kasino' bermula dari sekecil-kecil judi seperti berlaga ayam sehinggalah judi di puncak bukit dan judi di atas kapal wujud dalam negara ini tanpa segan-silu oleh sebuah kerajaan yang kononnya mengaku mentadbir sebuah Negara Islam.

Isu pengharaman judi tidak boleh disamakan dengan pengharaman arak dan babi, memandangkan secara jelasnya tidak ada mana-mana agama yang membenarkan kegiatan judi dijalankan, tegas bekas Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang. Ini kerana tabiat judi itu mengundang lebih banyak keburukan dan kemudaratan seperti pergaduhan, permusuhan dan perbalahan sesama manusia, selain ia turut melingkari setiap peringkat usia. 

Kenyataan dan tindakan Mahathir itu kata beliau, seolah-olah bekas PM itu mewakili orang bukan Islam, sedangkan beliau mengaku beragama Islam dan ianya menjurus ke arah dosa. Sebenarnya, isu judi menjadi kudis dalam pentadbiran Najib Tun Razak yang juga cucu kepada Pengerusi Genting (Syarikat judi terbesar negara) yang pertama, Tan Sri Mohammed Noah Omar. 

Menolak tuduhan liar Mahathiur kononya PAS hanya menentan isu judi bola sepak sahaja, Ketua Penerangannya, Ustaz Idris Ahmad menegaskan sejak dari mula-mula PAS ditubuhkan lagi konsisten dengan perjuangan menentang judi dan dakwaan Mahathir PAS hanya menentang judi bola adalah satu fitnah.  Mahathir lupa katanya, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, PAS membantah kelulusan lesen judi yang beliau hadiahkan kepada Syarikat Bukit Tinggi Resort yang hampir muflis, dedahnya.

Mengaitkan kaum Cina sebagai pencandu judi, sangat tidak wajar kata Pengerusi Gerakan Mansuh Judi (GMJ), Azmi Abdul Hamid. Tun Dr Mahahthir Mohamad patut memohon maaf dengan kaum Tionghua apabila menuduh amalan berjudi merupakan budaya kaum itu.

Apa yang Mahathir sebut dan menganggap judi tidak diharamkan dalam masyarakat Cina adalah sesuatu yang prejudis kepada kaum Cina dan sikap Mahathir yang menyamakan sesuatu bangsa dengan tabiat negatif itu hanyalah merupakan satu penghinaan terhadap sesuatu bangsa. Judi telah ditentang oleh pelbagai agama dan bangsa kerana menyedari kesan buruk dari judi selain ianya turut diharamkan oleh pelbagai agama termasuk Kristian, Budha dan Hindu, jelas beliau.

Bagi bekas pemain bola sepak kebangsaan, Radhi Mat Din menyifatkan tindakan kerajaan Umno-BN meluluskan judi sukan telah membunuh serta menghancurkan kecemerlangan dan kualiti industri sukan negara, kerana ini menjadikan sukan khususnya bola sepak menjadi tidak mencabar serta tidak dapat dinilai prestasinya.

PAS bertekad untuk menyokong himpunan membantah judi anjuran Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) dan semua ahli PAS diwajibkan untuk turun pada 3 Julai ini bagi menunjukkan bantahan rasmi kepada dasar kerajaan yang jahil ini. 

GMJ turut disertai Naib Setiausaha Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Goh Kean Seng; wakil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor; Ser Choog Eng dan dari Budayawan Bertindak, Lee Ban Chen, malah mereka semuanya bergabung dalam satu wadah Gerakan Membantah Judi (GMJ).

Belakang tabir: Team IT PAS Pusat nadi utama siaran Muktamar Tahunan PAS ke-56


Setiap kali munculnya program besar atau peristiwa penting seperti pilihan raya kecil/umum atau Muktamar Tahunan PAS, pasukan sokongan bersifat fasiliti atau service provider seperti Team IT akan turun padang bagi mengendalikannya. Biarpun hanya segelintir yang mengetahui individu yang menjadi tenaga kerja serta operasi yang dijalankan di belakang tabir, namun kerja mereka tetap diteruskan tanpa mengenal erti penat-lelah, termasuklah pada setiap kali Muktamar Tahunan PAS yang diadakan di mana-mana jua.

Pada Muktamar PAS ke-56 yang berlangsung daripada 9 hingga 13 Jun, bertempat di Pusat Tarbiyah Islamiyah PAS Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, Kelantan; Team IT yang terdiri dari kalangan profesional turut sama menyumbangkan masa dan tenaga serta kepakaran mereka bagi mempastikan medium utama seperti laman web Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang boleh dilayari di http://muktamar56.pas.org.my terus diisi dengan pelbagai info berkaitan kepada pengunjung web yang tidak berkelapanagn hadir mengikuti acara tahunan PAS itu secara dekat.

Bermula dari 9 Jun, kesemua petugas atau Team IT bersiap sedia dengan segala keperluan bagi melicinkan perjalanan majlis perasmian muktamar  bagi ketiga-tiga sayap kanan PAS iaitu Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang dibuat secara serentak di Putik buat pertama kalinya. Penyediaan montaj, tayangan video dan slaid, gimik perasmian yang menggunakan teknologi maklumat yang diselaraskan dengan bahagian kawalan audio-visual menjadi fokus utama sepanjang majlis.

Kelantan yang sudah berpengalaman menjadi tuan rumah pada program seumpama muktamar ini, menggalas tugas dan amanah bagi mempastikan kesemua acara berjalan berdasarkan perancangan. Dua tahun lalu, Putik yang merupakan lokasi utama muktamar, selain muktamar dewan-dewan, khidmat tenaga Team IT sangat diperlukan bagi melaporkan perkembangan terkini dalam laman web rasmi muktamar.

Selain ucapan penuh perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am PAS, teks ucaptama ketua-ketua dewan turut disiarkan. Malah teks penuh Ucapan Presiden juga dipaparkan sepenuhnya untuk tatapan pengunjung selain pelbagai berita berkaitan. 

Team IT juga turut menyiarkan perjalanan muktamar penuh dan dewan-dewan secara live atau rakaman, serta menyiar ceramah perdana sempena muktamar untuk tatapan ahli dan pelayar di laman sesawang yang disediakan. Bagi melaksanakan tugas sebagai stesen penyiar rasmi sempena Muktamar Tahunan PAS tersebut, Team IT mempunyai tenaga pakar yang berpengalaman dalam tugas-tugas penyiaran dan pengurusan laman web.

Begitu juga dengan kandungan informasi yang disiarkan mendapat kelulusan daripada kepimpinan PAS, malah sepanjang bertugas di bilik operasi Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut meluangkan masa meninjau perjalanan operasi yang dilakukan. Pada masa yang sama, beberapa program secara rakaman seperti wawancara dengan pimpinan utama PAS, tetamu asing serta forum turut dilangsungkan oleh Unit WebTV PAS bagi mempastikan maklumat disampaikan secara berkesan dengan penjelasan yang lengkap.

Manakala rakaman berbentuk dokumentari dan tinjauan dilakukan bagi merancakkan lagi kemeriahan muktamar sempena pameran di perkarangan Putik. Kesemua bahan disiapkan segera, kerana mesti disiar terbit secepat kilat untuk tatapan, berbanding media cetak yang lain. 

Dengan laman web yang disediakan, Team IT melaporkan berita, menyiarkan acara secara langsung dan rakaman tertunda melalui webtv. Pendek kata sepanjang muktamar, team ini tidak menang tangan untuk menjayakan pelbagai pengisian kepada pengunjung web. Dalam situasi tiada sebarang program, Team IT ini berperanan membantu pembangunan dan pengemaskinian laman web rasmi parti di alamat laman web www.parti-pas.org. 

Lajnah IT PAS Pusat diketuai oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan memberi tanggungjawab utama kepada Pengarah Jabatan IT PAS Pusat, Suhaimi Embong. - Intan Abdullah

Rakyat diminta turun padang: Himpunan Rakyat Tak Nak Judi diteruskan pada 3 Julai 2010

Memandangkan bahawa tugas kita mendidik rakyat membenci judi baru bermula, masih terlalu banyak aktiviti perjudian dalam negara dan masih serius lagi kesan sosial & jenayah berpunca daripada judi maka mesyuarat Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) pada Ahad, 27 Jun 2010 di Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Perhimpunan Rakyat pada 3-Julai-2010 jam 2 petang tetap akan diadakan di Masjid Negara.

Perhimpunan ini di namakan "Himpunan Rakyat Tak Nak Judi". Kempen Tak Nak Judi akan dilancarkan dalam himpunan ini.

GMJ berpendapat jika pihak kerajaan menjadikan asas agama dan politik untuk membatalkan lesen judi sukan maka pihak kerajaan sememangnya wajar membatalkan lesen-lesen judi yang lain secara berperingkat. Rakyat perlu di didik membenci judi. Undang-undang perlu diperketatkan penguatkuasaanya. 

GMJ mengajak semua pihak daripada pelbagai agama dan bangsa tanpa mengira fahaman politik agar dapat bersama dalam himpunan ini. Perhimpunan ini sangat penting bagi mempastikan rakyat Malaysia bebas daripada judi. Sesungguhnya judi adalah bertentangan dengan semua agama dalam dunia ini. Judi boleh meruntuhkan masyarakat dan negara.

Suhaizan Kaiat
Setiausaha
Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ)

Jenayah beli Adun dan tawaran jadi MB selepas PRU 1969 kini berulang - bekas Adun Kg. Gajah, Cikgu Mahmud Zainal Abidin


Mungkin sejarah hari ini sepatutnya telah dipahat sejak beberapa dekad lalu, namun ia tidak berlaku lantaran pilihan keputusan dan tindakan di masa itu. Akhirnya ia tempa di masa ini, mengisi makna di era ini bersama tokoh-tokoh yang melakarkannya.

Tatkala berlangsungnya Muktamar PAS, di situ juga pasti sejarah dan tokoh ditemui. Pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berlangsung di Kelantan Trade Center (KTC), Kota Bharu, 10 Jun, Wartawan Harakah, Izwan Abdul Halim berkesempatan bertemu bekas Adun PAS Kampung Gajah, Perak (sekarang Dun Bota) iaitu Mahmod Zainal Abidin, 73 tahun yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mahmod.

Berkongsi nostalgia lalu, beliau mengimbau sejarah Pilihan Raya Umum 1969 yang menyaksikan Pulau Pinang dan Kelantan bertukar kerajaan. Manakala di Perak, Perikatan yang diketuai Umno telah kehilangan majoriti. Perikatan hanya mempunyai 19 kerusi Dun, sedang pembangkang terdiri daripada PPP, DAP, Gerakan dan PAS memiliki 21 kerusi.

Keadaan itu menimbulkan usaha dari Perikatan untuk 'membeli' Adun-adun pembangkang. Cikgu Mahmod selaku Adun PAS juga diajak menyertai Perikatan, namun beliau bertegas bahawa hal itu mestilah terlebih dahulu mendapat persetujuan parti. Selepas satu perundingan oleh rakannya, Haji Taib di Chemor, maka Mahmod dibawa ke Kelantan bertemu Yang DiPertua PAS, Dato’ Asri Muda.

"Tidak boleh macam itu Cikgu Mahmod. Kita sekarang dah jadi kerajaan (di Kelantan). Usah kata membentuk kerajaan campuran dengan DAP dan PPP, dengan Umno lagi tidak boleh kerana Umno musuh PAS," ujarnya termasuk memetik peringatan Dato' Asri yang menolak untuk bergabung dengan Perikatan.

Akur dengan keputusan itu beliau terus pulang ke Perak dan memaklumkan kepada Yang DiPertua PPP, Dharma Raja Seenivasangam. Maka berlakulah perundingan dengan DAP untuk membentuk kerajaan campuran serta bersetuju melantik antara tiga Adun Melayu yang ada iaitu Shamsudin Harun (PPP), Ibrahim Singgeh (DAP) dan beliau (Cikgu Mahmod) sebagai Menteri Besar. Malangnya, Shamsudin yang merupakan 'anak emas' PPP telah melompat parti menyertai Umno sekaligus mengembalikan majoriti kepada Perikatan.

Menurut Mahmod, beliau dimaklumkan bahawa Shamsudin telah dipujuk dengan bayaran jutaan ringgit, tetapi hanya menerima RM80,000 sahaja. Nilai yang agak besar waktu itu. Pada Pilihan Raya Umum 1974, Mahmod bersama beberapa Adun PPP bertanding sebagai calon Bebas berikutan semua parti ketika itu kecuali DAP telah menyertai Barisan Nasional (BN) selepas pemerintahan MAGERAN. Beliau bertanding di Dun Bota, yang sebelum itu dimenanginya atas tiket PAS.

Menurut beliau, Dato' Asri yang berhasrat untuk menjadi Menteri Kemajuan Tanah di bawah Kerajaan BN ketika itu tidak meletakkannya semula bertanding sebaliknya menggantikan dengan Dato' Latif Mohd Lazim (allahyarham) dari Kg. Lambor Kiri, Parit. Turut diberi bertanding ketika itu ialah adik ipar Dato’ Asri bernama Md Junid.

Penyertaannya bersama rakan calon Bebas lain disepakati untuk membentuk kerajaan bersama selepas itu, malangnya semua mereka tewas. Pun begitu ujar Cikgu Mahmod, rakyat masih memberi sokongan kuat kerana mereka semua tidak hilang deposit. Jelas beliau, gelombang rakyat ketika itu khususnya sebelum PRU 1974 sememangnya kesedaran untuk berubah. Rakyat merasakan Perikatan gagal memberi khidmat yang baik serta tidak berlaku adil dalam banyak perkara.

Malang juga, kesedaran dan semangat itu semakin terpadam setelah BN membina imejnya. Manakala keyakinan kepada PAS kian menjunam ekoran beberapa tindakan Dato' Asri termasuk memecat Ahli Parlimen Parit, Hashim Gera yang sangat diterima ketika itu. Pun begitu, sejarah tersebut telah berlalu. Jelas Cikgu Mahmod yang ditemani rakannya Ustaz Helmi Samad Noh iaitu anak Tuan Guru Samad Noh Padang Rengas, kebenaran pasti tetap datang dan kini PAS sudah pun berada dilandasan kejayaannya.

Selian Ustaz Helmi, turut hadir dalam pertemuan itu bekas Bendahari Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Darji Mutalib; Yang Dipertua PAS Tapah, Abdul Rahim Nordin, Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam dan wartawan Bernama, Mohd Nasir Rani. 

Tarmizi yang mengenali Cikgu Mahmod, Darji, Rahim dan Ustaz Helmi meminta saya mengutip sejarah silam yang terselit dalam lipatan minda Cikgu Mahmod kira-kira 42 tahun lalu. Jika kekuatan pakatan pembangkang sekuat Pakatan Rakyat Perak hari ini ketika itu, nescaya Cikgu Mahmod ada kemungkinan boleh menjadi Menteri Besar Perak, seperti Dato' Seri Nizar Jamaluddin sekarang.

Baik Perikatan mahupun pembangkang, Mahmod adalah Adun PAS yang satu-satunya jadi penentu kepada pembentukan Kerajaan Perak ketika itu. Secara khusus, masa depan PAS di Perak katanya sangat baik tetapi perlu terus kuat berusaha. Ujarnya, rakyat terutamanya masyarakat bukan Melayu sangat menyayangi PAS lebih-lebih lagi setelah peristiwa rampasan kuasa tahun lalu. Bahkan, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin, telah menjadi ikon dan buah mulut yang sangat dikagumi dan disegani rakyat di Perak, jelas Mahmod mengakhiri sembang panjang kami. - Izuan Abdul Halim

Ada ulama muda tertipu, Umno makin kuat mengelentong semata-mata mahu menyaingi PAS

Tidaklah terkejut sangat. Memang Umno dulu, kini dan selamanya kaki kelentong. Mengelentong kerana nakkan pangkat, kuasa dan kekakyaan. Itu saja. Macam perompak jugalah. Matlamatnya bukan untuk kemakmuran orang lain tapi mengisi kepentingan diri.

Empat ulama muda nafi menyertai Umno Jumaat lepas seperti dihebohkan media arus perdana sebaliknya mereka dijemput hadir kerana dikatakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

Salah seorang daripada mereka, Ustaz Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, (gambar) dari Sungai Buloh berkata demikian ketika berucap menafikan perkara itu di majlis Pentas Pemuda Pakatan Rakyat anjuran Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini malam tadi.

“Kami dibawa masuk melalui bangunan sebelah Mall, naik escalator, pusing-pusing tiba-tiba sudah berada di dalam Bangunan Umno di PWTC, diminta beratur menyambut Najib datang dan bersalaman, ketika itu gambar diambil bertalu-talu. Sekali lagi, Najib terpukul. Bukan orang lain yang memukulnya tapi kalangan pemimpj dalam Umno sendiri.

“Kemudian diumumkan kepada media bahawa inilah 40 ulama muda yang menyertai Umno, benar ada yang menyertai Umno tetapi ramai yang tertipu melihat kepada reaksi mereka yang asyik menunduk sahaja,” jelasnya ketika ditemui selepas berucap pada majlis itu.

Hosni merupakan seorang pelajar hafiz menamatkan pengajiannya di Markaz Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Selangor di Jugra pada 2003 dengan mendapat diploma dalam bidang itu. Bermula 2004, beliau belajar di Universiti Al-Albayt, Mafraq, Jordan dan 2009 mendapat Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Usul di Kuliah Syariah dan kini bersedia menyambung pengajian Master di sebuah universiti tempatan.

Anak ketiga daripada empat beradik ini sangat kesal dengan kejadian menipu oleh Umno kerana masyarakat telah memandang serong dengan paparan media yang secara langsung menjatuhkan reputasinya sebagai pewaris ilmu.

“Saya dan tiga lagi sahabat lepasan Jordan, Mohd Fakhruzzaman, 37, dari Shah Alam, Mohd Akram An-Nazilin, 27, (Putrajaya) dan Mohd Jalaluddin Tahir, 26 (Sungai Petani) menafikan kami berbuat demikian sebaliknya Umno yang menipu,” tegasnya.

Majlis tersebut turut disertai Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat, Ketua DAPSY, Anthony Look dan Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari.

Mengulas kejadian itu, Idris berkata, jika ulama pun Umno tipu, apatah lagi rakyat biasa sambil menegaskan PAS tidak gentar dengan penyertaan seberapa ramai ulama kerana rakyat lebih tahu sama ada PAS baik atau Umno sudah gelisah.

Nampaknya awal-awal subuh lagi, ulama muda ini sudah ditemberang dan dikongkalikong oleh pemimpin Umno. Tiada besarlah harapan, untuk ulama muda ini duduk selamat dalam Umno, kononya membawa misi berdakwah dari dalam. Yang ke dalam betul, kamu, tapi yang tenggelam ialah dakwahnya nanti. Mereka hanya akan jadi alat Umno untuk menentang apa jua aspirasi Islam yang dibawa oleh PAS. Itu saja, tiada lebih dari itu. 

Kalau ulama muda dan seluruh ummat Islam di negara ini membaca buku kajian khusus Ibrahim Ahmad bertajuk "Konflik Umno-PAS: Dalam Isu Islamisasi", maka ianya cukup jelas matlamat yang diinginkan Umno dalam pelaksanaan apa jua "Islam" dalam kerajaan, semata-mata mau menenggelamkan Islam yang diperjuangan oleh PAS. Terbitan IBS Buku Sdn. Bhd. 

Maruah Najib Tun Razak dicalar puak-puak Umno Kelantan akibat politicking dalaman



Lawatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ke Kelantan pada 16 Jun lepas telah melakar sejarah tersendiri kepada maruah politik beberapa pihak. Lakaran sejarah itu dilihat lebih bersifat maruah politik kerana di sebaliknya ada sesuatu yang tidak kena telah dilakukan oleh Umno Kelantan selaku tuan rumah kepada lawatan tersebut. Antaranya, tindakan Umno Kelantan membelakangkan Kerajaan Negeri, terutama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sesuatu yang mencalar maruah politik di depan rakyat Kelantan.


Berikut adalah catatan diari Perdana Menteri sepanjang sehari membuat lawatan rasmi ke Kelantan.  Diari ini boleh dicapai menerusi lama web rasmi Perdana Menteri di alamat http://www.pmo.gov.my/index.php?menu=event&page=1855. 

Masa dan acara pada 16 Jun 2010:
9:30 pagi - Perjumpaan bersama Bandan Perhubungan Umno Kelantan di Hotel Renaissance, Kota Bharu.
10:30 pagi - Majlis Pelancaran Ar0Rahnu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersebelahan Komnpleks MARA Kota Bharu.
10:50 pagi - Tinjauan mesra bersama pemandu teksi, kereta sewa dan penarik beca di Tapak Bomba Lama & Stesen Pohon Pinang, Kota Bharu.
1:10 petang - Mengadap KDYMM Al-Sutan Kelantan di Istana Mahkota.
3:30 petang - Program bersama rakyat di Wat Machimaran, Jubakar Tumpat.
6:15 petang - Mengadap YMM Pemangku Sultan Kelantan di Istana Telipot.
9:00 petang - Majlis Perasmian Karnival Kelantan Fiesta 2010 di Stadium Sultan MUhamad Kota BHaru.

Analisis mudah lawatan Perdana Menteri

Berdasarkan acara ketat daripada catatan diari Perdana Menteri di Kelantan itu, ternyata sifat lawatannya berstrategi serampang dua mata. Maksudnya adalah bermotif politik dalaman Umno Kelantan dan Barisan Nasional amnya, dan acara perasmian anjuran pihak di luar kelompok parti politik. 

Acara politik dalaman melibatkan perjumpaan Badan Perhubungan Umno (bukan BN) diikuti perjumpaan masyarakat Siam di Tumpat sebagai langkah pemerkasaan politik BN di akar umbi. Sementara acara perasmian anjuran pihak di luar kelompok parti politik ialah melibatkan BIMB untuk merasmikan pajak gadai Islam Ar-Rahnu dan syarikat Red Carpet untuk merasmikan Karnival Kelantan Fiesta 2010. Pun begitu ada juga program sampingan yang bersifat kosmetik iaitu melibatkan penerimaan memorandum pemandu teksi dan minum-minum di restoran bersama pemimpin Umno dan MCA Kelantan.

Lawatan politik

Sumber berita (Berita Harian, 17 Jun 2010) melaporkan, Ar-Rahnu Bank Islam adalah pajak gadai Islam pertama Kota Bharu. Pembabitan Bank Islam dalam perkhidmatan pajak gadai Islam merupakan agensi kewangan keempat berlaku di Kelantan. Sebelum ini telah ada Ar-Rahn Permodalan Kelantan Berhad (PKB), Ar-Rahnu Bank Rakyat dan Pajak Gadai Islam Farihan Corporation. Di samping telah ada juga pajak gadai Islam anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YAPEIM) dan koperasi serta pajak gadai konvensional (riba) yang dilesenkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Namun, pembabitan BIMB dengan pajak gadai di Kelantan adalah hasil pengambil-alihan dan usaha sama strategik dengan Farihan Corporation Sdn Bhd (FCSB) yang dimiliki oleh mantan Pengurus Besar PKB, Haji Aziz Nawi. Sekadar catatan, Aziz yang mengasaskan Farihan telah mendapat lesen Kementerian Kewangan bagi membuka pajak gadai Islam sebaik beliau berundur dari PKB.

Melalui Ar-Rahnu Bank Islam ini, BIMB menguasai 80 peratus kepentingan dalam FCSB dan 20 peratus lagi dimiliki oleh Pengarah FCSB, Haji Aziz Nawi dan keluarganya. Maka, kemunculan Ar-Rahnu Bank Islam ini sudah tentu bakal bersaing dengan pajak gadai Islam yang sedia ada. Sekali gus, menjadikan pasaran pajak gadai Islam di Kelantan adalah antara pemacu ekonomi Islam di negeri ini.

Namun, apa yang menjadi isu di sebalik pembukaan Ar-Rahnu Bank Islam adalah terserlah nilai politik tersendiri. Ia mencatat maruah politik berikutan kehadiran Perdana Menteri merasmikan pajak gadai tersebut tanpa menjemput Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. 

Sedangkan Menteri Besar Kelantan adalah pencetus dan pendorong serta faktor pertumbuhan kepada sistem kewangan Islam di Kelantan. Hatta, Aziz sendiri pun ketika di PKB dulu adalah penggerak asal yang berjaya merealisasikan cetusan dan dorongan kewangan Islam Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tiba-tiba, kejayaan itu telah tidak dikongsi bersama Perdana Menteri semasa majlis perasmian premis kewangan Islam tersebut. Maka, ia sudah dilihat sebagai isu politik Kelantan dan lawatan Perdana Menteri merasmikan pajak gadai itu adalah lawatan politik.

Di manakah silapnya? 

Ada khabar mengatakan berlaku demikian bukan atas kehendak pihak Bank Islam, tetapi disebabkan tekanan politik Umno Kelantan yang tidak ingin Menteri Besar Kelantan hadir bersama-sama Perdana Menteri. Mungkin ada hubungannya dengan isu fitnah membabitkan penggunaan masjid semasa Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor (25 April 2010) apabila Najib menuduh Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai mengengkari Sultan Selangor.  Mungkin logik dan benar, kerana Umno Kelantan sekarang sudah lemas dan tercungap-cungap. Oleh itu, tidak bolehlah dipersalahkan kepada pihak Bank Islam dan jangan nanti Bank Islam dipulau pula oleh rakyat Kelantan.

Memperkukuhkan lagi perkara yang berlaku di sebalik perasmian pajak gadai Islam itu, adalah jadual lawatan Perdana Menteri seperti dalam diari, menunjukkan keutamaan acara adalah nilai politik. Antaranya, permulaaan acara lawatan itu sebaik tiba dari jet khas di Pengkalan Chepa adalah perjumpaan dengan Badan Perhubungan Umno Kelantan di hotel penginapan (tidak di bangunan Umno – sudah menggambarkan naifnya Umno Kelantan kerana melayan Perdana Menteri selaku Presiden Umno di hotel bukan di bangunan sendiri).

Pada perjumpaan itu, sudah tentu Perdana Menteri telah mendengar beberapa asakan politik berkaitan program sehari lawatan ke Kelantan (sebenarnya lawatan hanya berlaku di Kota Bharu dan Tumpat sahaja). Oleh itu, wajarlah semua program lawatan Perdana Menteri tidak disertai sama pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan. Atas rasional tersebut, semasa lawatan ke Wat Budhha bertemu masyarakat Siam di Tumpat maka tiada seorang pun pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan dijemput.

Perdana Menteri menabur janji

Justeru, ia mendorong Perdana Menteri mengumumkan banyak janji dan umpan bagi memperkasakan sokongan akar umbi kepada politik BN. Ia dipekukuhkan lagi dengan seruan memujuk masyarakat Siam supaya memberi kerjasama kepada BN untuk bersama menegakkan 'dacing' supaya 'seimbang' tidak senget seperti yang disindirkan oleh wakil masyarakat Siam yang berucap. 

Mengukuhkan lagi seruan memujuk itu ialah janji untuk meluluskan peruntukan RM200 ribu bagi membiayai pengajian bahasa Siam. Janji tersebut diungkapkan di depan pemimpin Umno Kelantan dalam keadaan rakyat mempersoalkan di mana janji untuk mendaulatkan bahasa Melayu tanpa diketahui berapa kos yang diluluskan. Semua janji itu, telah disiar langsung pihak RTM Kelantan dan didengari oleh majoriti orang Melayu, termasuk ahli Umno.

Maka, ucapan politik Perdana Menteri bersama masyarakat Siam nampaknya cukup janggal. Ia kelihatan janggal bukan sahaja berpolitik dalam wat (tempat ibadat), tetapi juga kerana masyarakat Siam yang minoriti itu sudah nampak majoriti. Lebih-lebih lagi, tindakan Perdana Menteri itu turut mempromosikan jenama perniagaan politik Umno bertemakan "1Malaysia" sebenarnya berniat memujuk sentimen masyarakat bukan Melayu kembali menyokong BN. 

Sedangkan majoriti rakyat Kelantan adalah majoriti orang Melayu yang tertunggu-tunggu sekian lama akan pengumuman Perdana Menteri bagi merungkaikan kemelut pembangunan Melayu Kelantan, khususnya bagi pemimpin Umno Kelantan yang sentiasa tak puas hati dengan pencapaian pembangunan negeri Kelantan sepanjang 20 tahun di bawah PAS. 

Namun, kehadiran Perdana Menteri kali ini tidak memenuhi harapan majoriti rakyat Kelantan yang masih mempersoalkan kewibawaan Dato' Mustapa Mohamad selaku Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan di dalam menguruskan projek besar yang kesemuanya tergendala. Tiada jawapan daripada Perdana Menteri kenapa tergendalanya projek-projek pembinaan Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Politeknik Jeli, Jabatan Sultan Yahya Petra, Jalan Pasir Puteh-Tok Bali, Jalan Jeli-Jelawang dan Jalan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang serta perlebaran lapangan terbang. 

Malah lebih dari itu, majoriti rakyat ingin kepastian kenapa judi bola diluluskan dan bila wang royalti petroleum akan diberikan kepada kerajaan negeri? Realitinya, Perdana Menteri datang dengan alunan sumbang, maka kekecewaan terluah di kalangan majoriti rakyat Kelantan.

Maruah Perdana Menteri tercalar teruk

Demikian juga pemimpin dan ahli Umno begitu kecewa, kerana lawatan yang merangkumi agenda ketat lagi besar termasuk menghadap Sultan dan Pemangku Raja serta kemuncaknya adalah perasmian Karnival Kelantan Festa 2010 dianggap gagal mencapai matlamat. Paling kecewa kerana Karnival Kelantan Fiesta 2010 dengan misi pelancongan, perdagangan dan pemaklumatan telah bertukar kepada pesta menjatuhkan maruah Perdana Menteri. 

Apa yang terjadi ialah sirami hujan dan cakap tanpa suara gembira Pengerusi Umno Kelantan, Dato’ Mustapa Mohamed menggantikan Perdana Menteri merasmikan karnival yang sudah tidak bertaraf sukaneka Umno cawangan. Kekecewaan itu jelas tergambar melalui kenyataan penganjur (Red Carpet) yang mengaitkan kepulangan Perdana Menteri tanpa hadir merasmikan karnivalnya sebagai berpunca daripada sabotaj oleh Kerajaan Negeri (Sinar Harian, 21 Jun 2010). 

Secara tidak langsung juga kenyataan Red Carpet (dilihat selaku proksi kepada Umno Kelantan) itu turut mengaitkan maruah Pemangku Raja dan Menteri Besar Kelantan. Layaklah dikatakan penganjur karnival itu adalah agen besar yang sudah kecewa (desprate). Kekecewaan itu telah terpalit sama Umno Kelantan yang diluahkan oleh olak fikiran di luar rasional.

Sepatutnya, ketidak hadiran Pemangku Raja Kelantan dan Perdana Menteri merasmikan karnival tersebut tidak boleh dipersalahkan kepada kerajaan negeri. Sebaliknya yang bersalah adalah pihak penganjur sendiri yang tidak mengamalkan sikap hormat menghormati. Apa yang tersebar luas, pihak penganjur telah menolak penglibatan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, sedangkan penganjuran majlis telah menggunakan nama negeri, premis dan prasarana serta perundingan awal dengan wakil kerajaan negeri. 

Apakah motif sebenar pihak penganjur? 

Jawapan kepada persoalan tersebut adalah apa yang tersirat di sebalik realiti. Di sana telah ada politicking sesama pemimpin Umno Kelantan. Akibatnya, perjumpaan sesama pemimpin Umno didahulukan, kunjungan hormat menghadap Pemangku Raja dikemudiankan serta menafikan kebersamaan Menteri Besar di semua majlis yang dihadiri Perdana Menteri. Nampak sangat ia adalah acara lawatan politik seorang Presiden Umno untuk Umno Kelantan. 

Demikian lagi, berlaku secara halus gerakan anti-Mustapa sehingga menjatuhkan maruahnya yang terpaksa merasmikan Karnival Kelantan Fiesta 2010 dalam cahaya 'blackout' di padang bola stadium yang muatnya 30 ribu tetapi dihadiri hanya tiga ratus orang. Natijahnya, Perdana Menteri sudah diaibkan dan maruahnya sudah dicalar kerana penganjur gagal mempromosikan karnival itu ke taraf nasional akibat daripada otak sempit yang turut menafikan pengaruh Menteri Besar Kelantan di dada rakyat. 

Maka, tugas Mustapa selepas ini adalah menjawab secara logik untuk memujuk dan menyapu calaran di muka Perdana Menteri. Di samping terpaksa membersihkan syak wasangka pemimpin Umno akar umbi akibat kegagalannya memantau dan menjamin lawatan Perdana Menteri pada sehari 16 Jun mencapai matlamat.

Berdasarkan apa yang berlaku, sebenarnya majoriti rakyat Kelantan sudah tahu ceritanya kenapa semua itu terjadi. Apa yang pasti takdir Ilahi, Tuhan Yang Maha Esa telah mengarahkan aparatusnya, berupa hujan dan ribut serta 'blackout' sebagai pengiring mengakhiri lawatan Perdana Menteri ke Kelantan. 

Sudah pasti tercatat rasa kekecewaan pemimpin Umno, tetapi janganlah sampai Tuhan dipersalahkan. Ingatlah manusia sekadar merancang, Tuhan pun merancang dan segala-galanya adalah Tuhan yangmenentukan. Rumusannya, Umno Kelantan sudah mengalami kecelaruan akibat kekecewaan yang turut mencalar maruah seorang Perdana Menteri.- Wan Nik Wan Yusoff

Isnin, Jun 28, 2010

Kontroversi keputusan hakim kes Tian Chua akibat sistem kehakiman sudah tidak bebas - Prof. Dr. Abdul Aziz Bari


KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengekalkan hukuman ke atas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua telah menimbulkan kontroversi. Ia menjadi perdebatan ramai ekoran keputusan mahkamah mengenakan denda RM2,000 ke atasnya selepas didapati bersalah mengigit seorang penjawat awam yang bertugas. Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan. Bagi menjelaskan kontroversi ini, TARMIZI MOHD JAM mendapatkan pengamatan pakar perlembagaan, Profesor Dr. Abdul Aziz Bari berkenaan simpang-siur isu ini. 

Apa pandangan profesor terhadap kedudukan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu?

PROF. DR ABDUL AZIZ BARI: Saya fikir isu ini mudah dan tidak sepatutnya menjadi perbahasan. Kalau kita lihat undang-undang ia cukup jelas di mana Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 48(1)(e) jelas menyebut bahawa Tian Chua hilang kelayakan kerana beliau telah disabitkan dengan satu kesalahan dan dihukum denda tidak kurang daripada RM2,000.  Dalam kes ini, Tian Chua didenda RM2,000 jadi apa yang tidak jelas? Saya setuju dengan pandangan yang sama yang dinyatakan oleh YB Karpal Singh dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Dato' NH Chan. Malaysia menjadi bahan ketawa dunia kerana bertengkar dalam soal yang cukup jelas. Orang biasa yang tak belajar undang-undang pun tahu maksud "tidak kurang daripada dua ribu". Apa yang hendak dibelit lagi?

Kalau begitu apa yang jadi kelam kabut dan timbul macam-macam pandangan tentang sama ada Tian Chua masih atau telah terbatal kedudukannya sebagai ahli parlimen?

Saya rasa kita tahu kenapa jadi begitu. Kita tahu kenapa Tian Chua diseret ke mahkamah dan disabitkan. Tetapi selepas kekalahan di kubu mereka di Sibu, Barisan Nasional (BN) jadi takut. Kita boleh faham kenapa SPR sendiri dengan tiba-tiba macam tidak begitu berminat mengadakan pilihan raya. Dan saya sendiri pelik kenapa soal mengelakkan pilihan raya kecil disebut oleh Hakim Dato' Ghazali Cha.

Apakah Profesor menganggap kenyataan hakim berkenaan tidak betul?

Saya tidak fikir hakim berkenaan patut berkata begitu. Kita kena sedar bahawa kes Tian Chua ialah kes jenayah dan dengan itu ia perlu ditangani mengikut undang-undang jenayah. Kalau beliau bersalah beliau perlu dihukum mengikut undang-undang. Pada saya hakim tidak perlu mengambilkira kesan hukuman itu; itu pertimbangan politik bukan undang-undang. Macam juga kes Bung Mukhtar yang berpoligami tanpa kebenaran. Hukumlah mengikut undang-undang yang berkenaan. Jangan kaitkan benda yang tidak relevan. Dan saya amat prihatin dengan kenyataan YB Tian Chua yang menyebut bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak melayan hujahnya yang mahukan keterangan yang diterima oleh majisteret dalam mensabitkan dirinya. Ini cukup penting bagi saya; yakni sama ada benar Tian Chua menggigit anggota polis berkenaan sebagaimana yang dituduh atau sebaliknya.

Mengandaikan Profesor menjadi hakim dalam kes Tian Chua ini, apa yang akan Profesor akan lakukan?

Kalau saya duduk di situ, saya akan timbangkan hujah Tian Chua yang mempertikaikan bukti-bukti yang diterima dalam mensabitkan beliau. Kalau majisteret itu betul, kekalkan hukuman yang dikenakan ke atas Tian Chua. Kalau tidak batalkan keputusan majisteret itu dan bebaskan Tian Chua.  Apa kaitan dan relevannya soal pilihan raya kecil? Di sinilah kesalahan hakim mahkamah tinggi itu. Mungkin dia tidak baca dengan teliti peruntukan perlembagaan tadi walaupun beliau hendak mengelakkan pilihan raya kecil. Apa pun saya sudah katakan tadi, ini tak betul kerana tak ada kaitan. Kalau Tian Chua bersalah dia perlu dihukum; soal sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan atau tidak tidak ada kaitan. Kerana kesilapan hakim itu seluruh negara jadi kelam kabut sebab isu yang kecil ini. Kita semua jadi bodoh kerana membincangkan satu benda yang cukup jelas; yang tidak ada keraguan.

Apa yang menyebabkan kelam kabut ini timbul?

Pada saya mudah sahaja. Inilah yang berlaku apabila kehakiman sudah tidak bebas. Walaupun ada pihak yang akan menafikan, kita tahu, berdasarkan kes-kes yang dibawa ke mahkamah, undang-undang dibaca dengan pelik dan ganjil. Saya tidak fikir kita tidak tahu mengapa Tian Chua dibawa ke mahkamah.  Dan kita tahu mengapa beliau disabitkan atas keterangan yang begitu dipersoalkan. Saya tak nampak logiknya Tian Chua menggigit anggota polis. Lainlah kalau kita memang anti Tian Chua dan sentiasa mencari jalan untuk membatalkan kerusi parlimen yang disandangnya.

Profesor menyebut kehakiman yang tidak bebas; boleh huraikan lebih lanjut khususnya dalam konteks kes Tian Chua ini.

Pertama bebas atau tidak itu adalah soal tanggapan, soal persepsi. Tetapi ini kita rumuskan berdasarkan apa yang berlaku di depan mata kita. Dalam kes Tian Chua ini seperti yang saya katakan tadi ia perlu diputuskan berdasarkan undang-undang; khususnya undang-undang jenayah dan undang-undang keterangan.  Bukan kerja hakim untuk mengatakan bahawa pilihan raya kecil patut diadakan atau tidak. Hakim patut mengelakkan dari dari meletakkan mahkamah dalam kontroversi. Sekarang ini kita lihat ada dua aliran; yang pertama kes-kes diputuskan dengan cara membaca undang-undang melalui cara yang ganjil dan luar biasa dan yang kedua kita lihat hasil akhirnya sering memihak kepada Barisan Nasional (BN). Saya tak fikir ini satu kebetulan. Semacam ada sesuatu yang dirancang. Apalagi bila undang-undang tidak dibaca dengan betul.

Pilihan raya Kecil Batu: Terpulang kepada SPR dan speaker putuskan - Majlis Peguam

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan berkata isu Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu dibangkitkan ekoran tafsiran terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua yang dikenakan denda tidak lebih daripada RM2,000 yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

"Walaupun jelas terdapat kemungkinan hukuman denda RM2,000 itu dilaksanakan tetapi isu penterjemahan denda yang tidak lebih dari RM2,000 itu terpulang kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Speaker Dewan Rakyat bagi memutuskannya," katanya. Tegasnya, isu pilihan raya kecil hanya akan relevan selepas mahkamah dan Speaker Dewan Rakyat membuat keputusan.

"Jika tidak, maka tiada sebarang pilihan raya perlu diadakan. Kita kena tunggu keputusan rayuan beliau (Tian Chua) di Mahkamah Rayuan kelak," ujarnya.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat akan memberi kata putus bagi menentukan sama ada Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang yang didenda mahkamah RM2,000 akan dilucutkan jawatannya, kata Timbalan Speaker Dato' Dr Wan Junaidi Jaafar. Ini sekaligus bercanggah dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz sebelum ini yang mengatakan Parlimen tidak ada kuasa untuk menentukannya.

Wan Junaidi berkata Pejabat Speaker kini sedang menunggu surat daripada Peguam Negara dan notis penghakiman rasmi dari Mahkamah Tinggi sebelum ia boleh meneruskan untuk pertimbangkan perkara itu.

"Kita perlu mengkaji pelbagai perkara, termasuk hujahan hakim semasa keputusan penghakiman. Apabila kita terima notis rasmi penghakiman, kita akan meneliti perkara tersebut…kemungkinan termasuk berbincang dengan peguam dan Peguam Negara sendiri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata perkara itu kemudiannya akan dibawa ke Pejabat Speaker untuk memutuskan sama ada kerusi Parlimen Batu perlu dibawa ke dalam Dewan Rakyat untuk dibahaskan. Persoalan kini timbul membabitkan tafsiran Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan berhubung pembatalan kelayakan seseorang ahli Parlimen.

Selain itu, wujud juga gesaan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar pilihan raya kecil diadakan, namun SPR memutuskan untuk menunggu surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat. Namun Wan Junaidi menegaskan bahawa Parlimen perlu menunggu 'kenyataan rasmi daripada mahkamah' sebelum memutuskannya untuk tindakan lanjut.

"Kenyataan saya bukan untuk menentukan sama ada Tian Chua digugurkan kelayakannya atau tidak, tapi penghakiman rasmi perlu dikemukakan ke Parlimen dan Parlimen perlu dimaklumkan sama ada seseorang itu digugurkan kelayakannya mengikut Perlembagaan. Parlimen juga dialu-alukan jika mahu berbahas mengenainya," katanya.

Kongkalikong: Isu kesahihan gigit polis lenyap, keputusan hakim diperdebatkan

ISU mengenai status Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjadi perdebatan ramai ekoran keputusan Mahkamah Tinggi mengenakan denda RM2,000 ke atasnya selepas didapati bersalah mengigit seorang penjawat awam yang bertugas. Tian Chua didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007. Pegawai terbabit bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah. Namun, Hakim Mahkamah Tinggi, Dato' Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan ke atas Ahli Parlimen Batu itu sebaliknya mengurangkan jumlah hukuman denda kepada RM2,000 atau dua bulan penjara setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, melihat alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi ketika mengurangkan hukuman ke atas Tian Chua, hakim tersebut nampaknya tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan di Parlimen Batu. Atas dasar itu beliau mengurangkan hukuman denda daripada RM3000 kepada RM2000. 

Isu ini melibatkan tafsiran Artikel 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan (PP). Artikel 48 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan kehilangan kelayakan Ahli Parlimen. Yang mana menjelaskan kelayakan seorang ahli parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan.

Bagi pengamal undang-undang seperti Hanipa Maidin, adalah lebih wajar hakim tersebut mengurangkan denda Tian Chua kepada jumlah kurang dari RM2000 seperti RM1900 misalnya bagi mengelakkan kecelaruan.  Dalam keadaan beliau bersetuju tidak wajar diadakan pilihan raya kecil maka adalah lebih elok beliau mengurangkan hukuman denda kepada jumlah yang kurang dari RM2000.

"Saya merasa pelik bagaimanakah Hakim Mahkamah Tinggi boleh mengekalkan sabitan keputusan Mahkamah Majistret yang memutuskan Tian Chua bersalah dalam keadaan keterangan pendakwa bahawa Tian Chua menggigit pegawai polis penuh dengan keraguan. Saya lebih nampak kedua-dua keputusan Majistret dan Hakim Mahkamah Tinggi itu adalah keputusan yang tidak betul atau boleh dikatakan "keputusan politik" semata-mata," dakwa Hanipa.

Pengerusi DAP, Karpal Singh terus mempertahankan hujah dan pendiriannya bahawa kerusi Parlimen Batu perlu diisytiharkan kosong walaupun Tian Chua adalah rakan Pakatan Rakyat.  Karpal turut menegaskan sebenarnya Dewan Rakyat tidak ada kuasa untuk menentukan sama ada kerusi Batu perlu dikosongkan atau sebaliknya. Beliau juga merasa pelik mengapa kes Tian Chua ini menjadi satu isu besar kerana ia adalah satu kes yang jelas dan nyata.

"Sangat jelas dan nyata... jika saya hendak jual anjing saya pada harga tidak kurang dari RM2,000, ia bermakna harga yang saya letak ialah RM2,000 dan ke atas," bukankah begitu, tanya Karpal.

Paling aneh, pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Dakwanya Tian Chua boleh memilih untuk menjalani hukuman penjara dua bulan jika beliau tidak mahu kehilangan kerusi parlimennya itu. Junaidi bagaimanapun berkata, Tian boleh memilih untuk menjalani hukuman dua bulan penjara bagi mengelak risiko terbatal kelayakannya sebagai ahli parlimen berhubung isu denda tersebut.

Pada pilihan raya umum ke-12 2008, Tian Chua memenangi kerusi Parlimen Batu menewaskan calon Barisan Nasional dari Gerakan, Lim Si Pin dengan majoriti 9,445 undi. Persoalan yang jelas, isu kesahihan Tian Chua menggigit polis gagal dibuktikan namun mahkamah menjatuhkan hukuman. Kini sekali lagi, keputusan hakim mempamerkan adanya campur tangan politik. Tiada lagi berbangkit isu gigit polis yang tak sahih, kini berdeabt tentang keputusan hakim yang main politik pula seoalah-olah terdapat "konspirasi" dari awal untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil di Batu.

Teruskan kerja, enggan layan hipotesis, tegas Tian Chua berikutan keputusan terkini hakim


MERUJUK kepada Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen Batu yang disabitkan kesalahan menyifatkan artikel itu cuba menyekat hak rakyat dan menutup pintu bersuara. Beliau hairan, mengapa isu ini menjadi perdebatan hangat. Baginya, beliau tetap wakil rakyat yang sah, akan terus berkhidmat dan menolak sebarang hipotesis. Wartawan SALMIYAH HARUN cuba menjolok minda Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua dalam isu yang sedang dihadapinya.

Kes saudara mengundang kontroversi. Ia menjadi kelam-kabut samada kosongkan kerusi atau tidak di Parlimen Batu. Seolah-olah ada "permainan" pihak tertentu untuk mewujudkan pilihan raya kecil di Batu. Apa respons saudara?

Bagi saya tidak perlu risau hal ini sebab ia bukan masalah saya. Masalah saya, apa yang saya fahami kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen Batu tidak tergugat atau terancam. Kita sepatutnya jangan terlalu fokus dalam perbahasan ini sebab kita harus faham Artikel 48 adalah satu artikel yang 'repressive' macam ISA. Katakanlah mahkamah bebaskan seseorang daripada ISA, jadi sama ada undang-undang ISA membenarkan mahkamah bebaskan itu sepatutnya kita tidak perlu bahas.

Bagaimana saudara memahami Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan?

Artikel 48 itu adalah artikel yang tidak patut wujud. Ia menekan suara wakil rakyat. Kerajaan menggunakan artikel ini sebagai alat untuk menakutkan wakil rakyat supaya mereka tidak berani untuk pergi demontrasi atau tidak berani bersuara. Ini tutup hak rakyat. Sekat kebangkitan rakyat. Bimbang rakyat berhimpun. Artikel ini digunakan. Isunya sekarang adalah saya tidak melakukan apa-apa dan saya rasa... saya berhak untuk terus berkhidmat sebagai ahli parlimen dan saya fikir rakyat tidak bimbang dengan tindakan undang-undang itu. 

Apakah Artikel 48 itu perlu dipinda?

Kita bukan hendak ketepikan undang-undang, tetapi undang-undang ini tidak adil dan tidak patut kita diikat. Jika tidak kita patut ubah artikel ini supaya membolehkan ahli-ahli parlimen kita bebas bersuara dan berani melawan. Oleh kerana kita terikat dengan artikel itu, akhirnya kita tidak berani untuk turun ke padang dan tidak berani bersuara. Bimbang akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen. Baik parlimen atau kehakiman saya memang dipilih oleh rakyat, saya tidak mahu fokus sangat kepada masalah ini.

Bagaimana reaksi saudara jika keputusan selepas ini memihak kepada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu?

Kalau pilihan raya kecil betul-betul berlaku barulah saya boleh bagi kenyataan. Oleh kerana tidak berlaku saya tidak mahu fokus ke arah itu. Kita tidak mahu layan hipotesis sebab ini bukan berada di depan kita. Jadi saya tidak mahu cakap perkara itu.

Dalam isu ini apa yang dilihat adalah permainan media. Pada hakikatnya senario ini juga membimbangkan Umno-BN untuk mengadakan pilihan raya kecil. Jika BN kalah, akan jadi pukulan maut kepada mereka dan kayu ukur hadapi PRU-13 nanti. Reaksi saudara? 

Saya tidak nafikan, ia adalah dilema Umno-BN. Saya bukan ahli Umno dan bukan kedudukan saya untuk memahami apa kebimbangan Umno-BN. Bagi saya jelas, dalam Pakatan Rakyat kita harus berkerja dan terus memberi khidmat kepada rakyat atas kapasiti kita sebagai wakil rakyat.

Bagaimana saudara melihat 'mood' pengundi di Parlimen Batu sekarang berdasarkan pelbagai isu yang mencengkam BN?

Bagi saya bukan sahaja 'mood' pengundi di Parlimen Batu akan berubah tetapi keseluruhannya. Rakyat keseluruhannya tidak setuju dengan dasar dan taktik mereka yang tidak adil. Baik pun Umno-BN hendak membeli ahli parlimen Pakatan Rakyat atau hendak tekan mereka supaya hilang kelayakan. Itu semua akan dimarahi rakyat. Kalau lebih banyak lagi taktik macam ini, saya agak lebih ramai pengundi yang akan sokong Pakatan Rakyat.

Jika saudara dikenakan tindakan penjara, apa langkah seterusnya?

Ini bukan kerja saya dan bukan masalah saya. Artikel 48 ini bukan dibuat oleh saya dan saya pun tidak ada kuasa. Saya tidak ada tindakan apa-apa. Saya akan tetap meneruskan kerja sebagai Ahli Parlimen Batu. Misalnya kalau orang bertanya "kalau 'u' dapat kanser apa yang 'u' akan buat? Masalahnya saya belum dapat kanser (Gelak). Saya fikir ini adalah hipotesis.

Jadi apakah ini mainan media sebenarnya?

Saya tidak menafikan, hari ini awak tanya soalan. Esok awak tanya soalan lain pula jadi jawapannya akan berubah-berubah mengikut soalannya. Daripada tidak ada isu akan timbulnya isu. Bagaimana pun saya tidak nampak kedudukan dan relevannya isu ini pada hari ini.