KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Ogos 30, 2010

Ceramah Khas "Palestin Dalam Bahaya" 2 Sept di Dewan Bandaran Ipoh jam 9.30 malam

Pengarah JAIS dan Pengerusi MAIS marah non-muslim masuk masjid surau: Mereka bercakap atas hukum apa dan bagi pihak siapa?


Rosmah antara isteri pemimpin negara yang tak memakai tudung kepala, berucap dalam keadaan tidak menutup aurat di sebuah surau...


Umno kantoi lagi apabila Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid dan Ruang Solat Utama di dalam Masjid. 

Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa: "Pelancong bukan Islam diharuskan memasuki Masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan senantiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimana pun, perbuatan berdoa atau bertafakkur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Tindakan dan sikap yang diambil oleh Pengarah JAIS Khusrin Munawi dan Pengerusi MAIS Mohamad Adzib Mohd Isa yang tidak membenarkan non muslim memasuki masjid dan surau adalah bertentangan dengan fatwa yang telah diputuskan baru-baru ini.

Sebelum ini Khusrin Munawi juga menolak keras cadangan saya yang mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat agar Nikah Khitbah dipopularkan sebagai salah satu kaedah atau pendekatan untuk mengatasi bencana sosial yang melanda negara.

Kegagalan mereka memberi gambaran dan nasihat yang betul dan tepat ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Negeri Selangor berhubung kes ini adalah sangat dikesali dan ia dianggap sebagai suatu kegagalan ketara dalam menjalankan tugas.

Sikap yang saya ambil bukan kerana mahu mepertahankan MP Serdang tersebut tetapi satu sikap dan tindakan yang berasaskan ilmu. Jika ianya satu tindakan yang tidak menyalahi hukum Islam kenapa saya mesti membantahnya. 

Sebab itu , saya nasihatkan semua pihak agar bertindak dan memberi pandangan mestilah berasaskan ilmu dan Islam adalah agama ilmu bukan agama emosi dan fantasi. (Perbahasan agama dalam perkara ini, saya akan lampirkan dalam posting saya akan datang insyaallah...)

Saya melihat Khusrin dan Mohd Adzib wajar memberi perhatian bagaimana mereka boleh bertindak untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran ummat Islam yang masih ramai melanggar syariat Islam. Masih ramai isteri-isteri pemimpin negara yang beragama Islam tidak menutup aurat ketika menghadhiri majlis-majlis rasmi negara samaada di dalam masjid atau di luar masjid. 

Perlu diingat bahawa malaikat Allah yang mencatat rekod perilaku ummat manusia bukan hanya beroperasi di dalam masjid sahaja. Sepanjang bulan Ramadhan ini saya melihat bagaimana pusat-pusat hiburan masih beroperasi sehingga ke awal pagi dan kelihatan ummat Islam yang derhaka tidak segan silu mengunjunginya.

Sepatutnya dalam hal seperti ini , Khusrin dan Mohd Adzib menasihati ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan agar Baginda murka dan mengambil tindakan tegas ke atas muslim derhaka kerana ia lebih menghina Islam dan kesuciannya.

Saya telah meminta pihak sekteriat Dewan Pemuda PAS Pusat supaya menganjurkan Nadwah Kefahaman Islam (NKI) bersiri setiap bulan untuk menjelaskan apa jua isu yang timbul dalam negara kita menurut perspektif Islam dan disiplin ilmunya. 

Sebagai contoh isu berkait hukum hudud, nikah khitbah dan lain-lain termasuk hukum non muslim memasuki masjid semuanya boleh ditimbulkan dalam nadwah tersebut.  Kita akan undang tokoh-tokoh penting yang sering salah faham terhadap Islam atau keliru mengenainya untuk menghadhiri siri nadwah yang akan kita anjurkan kelak.

Kini Dewan Pemuda PAS Pusat telah bersedia dengan segala keupayaan dan kemahiran untuk menangani dan mengurus isu serta konflik yang melibatkan hukum Islam secara ilmiah, bersemuka, dialog dan hujjah.

Apa jua keadaan yang agama benarkan maka kita benarkan walau ia melibatkan orang lain. Sementara keadaan yang bertentangan dengan agama, kita tetap akan kata salah walau ia melibatkan diri kita sendiri.  Ini prinsip perjuangan saya dan rakan-rakan Dewan Pemuda PAS Pusat. - Ustaz Nasruddin Hassan

Serangan "bom" Umno untuk musnahkan PAS: Logik tak logik, isu agama terus diputarbelit!

Akhir-akhir ini agak kasar dan keras bentuk "serangan politik" yang dilakukan oleh UMNO dan BN ke atas PAS dan Pakatan Rakyat. Media cetak dan elektronik pastinya menjadi "peluru tembaga" yang cuba untuk mensasarkan kekebalan "jantung" Pakatan Rakyat.

Modus operandi mereka cukup mudah untuk dibaca kerana ia diatur dan digerakkan dalam keadaan cemas dan terdesak demi meningkatkan kembali reputasi mereka yang jatuh teruk dan meraih semula kepercayaan rakyat kepada prestasi mereka.

Tindakan UMNO dan BN mutaakhir ini demi memburukkan nama baik PAS semakin liar dan kelihatan tidak terkawal. Baru-baru ini ditimbulkan isu doa kepada Lim Guan Eng dalam khutbah jumaat yang kononnya salah dan bertentangan dengan Islam malah didakwa cuba menggantikan nama Yang di Pertuan Agong. Akhirnya mereka kantoi apabila didedahkan perbuatan doa malah membaca Yassin dan solat hajat yang dilakukan oleh UMNO buat calon BN Kamalanathan di Hulu Selangor dalam pilihanraya kecil baru-baru ini.

Sedang doa yang dibacakan oleh Al Fadhil Ustaz Zakaria Ahmad dalam khutbahnya adalah untuk memohon hidayah Allah swt kepada Lim Guan Eng agar Lim Guan Eng menerima Islam. Satu doa yang terpuji dari pandangan agama Islam agar pemimpin itu diberikan hidayah. Terkini UMNO dan BN memainkan isu Yb Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang masuk surau dan ia dianggap sebagai suatu yang terlarang.

Mereka menggambarkan kononnya MP Serdang itu menyampaikan "tazkirah" kepada ummat Islam di surau tersebut. Sepantas itu pihak JAIS dan MAIS bertindak disamping turut menyelar tindakan tersebut. Lebih malang mereka cuba mengheret pihak ke bawah Duli Yang Maha Mulia sultan Selangor untuk kepentingan politik mereka. - Ustaz Nasruddin Hassan

Puak Umno lihat ganjil: Zaman Nabi SAW, kafir Quraisy dibenar tidur, makan dan minum dalam masjid


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan tindakan anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral, Ahad lepas. Menteri Besar Kelantan itu berkata tindakan anggota Parlimen tersebut tidak menyalahi hukum Islam, malah sebaik-baik cara untuk mendekatkan mesyarakat bukan Islam kepada Islam.

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau diminta mengulas tindakan Anggota Parlimen DAP itu yang menyampaikan sumbangan dan tazkirah di ruang solat utama surau terbabit. Tindakan Teo itu menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan Majlis Agama Islam Selangor menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pengurusan surau tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abdul Aziz berkata tindakan itu dilihat ganjil kerana umat Islam sekarang terlalu jahil dengan agama sedangkan pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. baginda mengajak orang kafir Quraisy tinggal di dalam masjid termasuk dibenar tidur, makan dan minum.

“Cuma apa yang dilihat (benda) itu sebagai pelik di zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama,” katanya. - Bernama

Sikap KDN berat sebelah tangani akhbar fitnah: Keadilan bukannya di tangan menteri tetapi di mahkamah! - Prof Dato' Hamdan Adnan


Kementerian Dalam Negeri (KDN) wajar bertegas terhadap mana-mana akhbar yang dipercayai menabur fitnah, termasuk Utusan Malaysia, bukan hanya mengambil tindakan terhadap akhbar yang tidak mesra kerajaan, seperti Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket.

Bekas Pesuruhjaya Suhakam, Profesor Dato' Hamdan Adnan, menegaskan KDN perlu bersikap adil dalam menangani semua akhbar yang dikatakan menabur 'fitnah' agar rakyat tidak mempertikaikan kredibiliti mana-mana akhbar.

"Apa yang penting, sikap adil kerajaan (KDN) kepada semua pihak. Tak kira sama ada media kuasaan Barisan Nasional (BN) atau media pro Pakatan Rakyat," tegas beliau ketika ditemui di kediamannya, 23 Ogos lalu.

Hamdan berkata demikian sebagai mengulas tindakan Utusan Malaysia yang didakwa menaburkan fitnah dan mengelirukan rakyat berhubung isu khutbah yang memuatkan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Terdahulu Pengerusi Umno Pulau Pinang, Zahid Hamidi, selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno di Tasek Gelugor pada 19 Ogos mendedahkan kononnya ada khatib di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggantikan doa yang sepatutnya dibacakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Utusan Malaysia, terus melaporkan secara bermotif dan menjadikan isu itu tajuk utama muka depan, yang jelas boleh menimbulkan kekeliruan, rasa marah dan suasana tidak tenteram di kalangan rakyat.

Dalam laporan itu, seolah-olah khatib-khatib seluruh negeri telah menerima arahan, menggantikan doa itu kepada doa versi baru untuk Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ditanya sikap kerajaan yang dilihat tidak mengambil kira ianya (laporan itu) sebagai fitnah atau mengelirukan, sebaliknya KDN mengambil sikap lain terhadap lidah rasmi KeADILan, Suara Keadilan yang dianggap menyebar fitnah, Hamdan menegaskan perkara itu memerlukan keadilan untuk semua.

Malah, katanya pihak polis yang menjalankan siasatan juga perlu berlaku adil supaya tidak dianggap hanya mengikut telunjuk BN. Jika ada kes pun, polis sepatutnya diam-diam sahaja bagi mengelakkan dilihat berpihak.

Menyentuh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, beliau mahu akta ini dimansuhkan atau sekurang-kurangnya dipinda bagi membolehkan setiap kes dapat diadili secara adil di mahkamah terbuka, dan bukannya diputuskan oleh menteri.

"Sekarang kalau dibaca akta ini, kuasa menteri cukup besar. Boleh buat apa sahaja. Sepatutnya, apa jua kes, ia boleh dicabar di mahkamah. Ini kerana mahkamahlah tempat rakyat mendapatkan keadilan. Mana ada tempat lain lagi?

"Bila menteri saja yang putuskan ikut budibicara dia, seolah-olah hakim kat mahkamah tak tahu hal-hal akta ini. Untuk dapatkan keadilan mesti di mahkamah bukannya di tempat lain," tegas beliau.

Hamdan turut menyokong Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) memperjuangkan usaha menghapuskan atau meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar ia dilihat lebih telus dan adil kepada semua pihak.

Beliau yang dikunjungi Pengerusi dan Setiausaha KAMI, Ahmad Lutfi Othman dan Tarmizi Mohd Jam di kediamannya bagi membincangkan isu akta ini, turut bersetuju agar KAMI memanjangkan sekali lagi kepada Suhakam untuk tindakan lanjut.

Ahad, Ogos 29, 2010

PAS jangka tangkapan ISA ala Operasi Lallang akan digunakan pulih pengaruh Umno

PAS bimbang kegawatan politik yang menuju isu-isu perkauman hari ini sengaja dicetuskan oleh Umno-BN bagi menaikkan kemarahan kaum. Dengan suasana tegang yang dibina, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, pihak kerajaan akan mengambil kesempatan untuk menangkap dan menahan para pemimpin Pakatan Rakyat kononnya menjadi punca kepada suasana tak harmoni.  

Dakwanya, selepas PRU 2008, politik Malaysia terus panas dengan pelbagai isu, apabila Umno-BN tidak tahu menghormati keputusan rakyat dalam sebuah negara demokrasi. 

"Kes yang terbaru lakonan rasa tidak puas hati Presiden MCA Dato' Sri Dr  Chua Soi Lek mengenai kouta 30% dalam ekuiti Bumiputera. Chua telah mengambil pendirian yang berani untuk menyokong kongres Cina yang mencadangkan kerajaan menghapuskan kouta 30%," katanya.

Kenyataan Cua itu katanya, telah menimbulkan kemarahan secara terbuka oleh  Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno. Tiba-tiba Lee Kim Sai, Timbalan Presiden MCA mangatakan bahawa orang Melayu juga kaum pendatang dan hak keistimewaan Bumiputera juga dipertikaikan. Pdamasa yang sama Umno berpeca Team a dan Team B. 

Akhirnya Operasi Lallang berlaku, Lee Kim Sai lari ke Australia, sebaliknya yang menjadi mangsa ialah pemimpin PAS, DAP dan NGO yang disumbat di Kamunting. Ada beberapa pemimpin Umno ditangkap juga, sekadar untuk main wayang kemudian dibebaskan.

Ustaz Idris mengharapkan pihak kerajaan dan keselamatan jangan mengkambing hitamkan pembangkang, kerana hendak melindungi masalah dalaman parti komponen BN.

2/3 majoriti lebur: Kini Umno negeri gagal bermesyuarat, Menteri Besar Negeri Sembilan makin goyah


Umno Negeri Sembilan bukan banyak memberi kesan dan pengaruh kepada keseluruhan Umno di Malaysia, tetapi ia sedikit sebanyak turut mewarnai politik Umno negara ini, dengan beberapa pencapaian individu tertentu, sekaligus nama Negeri Sembilan agak lebih baik dari Terengganu dan Perlis.

Dari segi pencapaian tinggi, selepas Allahyarham Dato' Bahaman Shamsuddin, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad merupakan wakil Negeri Sembilan yang berjaya menjamah kerusi Naib Presiden Umno, sedangkan usaha berterusan yang dibuat Dato' Seri Dr. Rais Yatim, untuk memenangi salah satu dari tiga kerusi Naib Presiden terus dihampakan oleh perwakilan.

Kini, Khairy Jamaluddin pula berada di hirerki agak tinggi, menjawat jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, satu kedudukan yang setaraf dengan Naib Presiden – sekaligus memperlihatkan ada wakil dari Negeri Sembilan yang dilihat dapat diterima oleh perwakilan dari seluruh negara.

Malangnya, tanpa sesiapa tahu, kebelakangan ini, Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, yang diketuai Menteri Besar, Dato' Seri Mohamad Hassan 'telah gagal' untuk mengadakan mesyuarat bulanan – ekoran tidak cukup korum.

Ini cerita yang didengar. Khabarnya, yang datang mesyuarat apabila dipanggil, hanyalah Setiausaha Kerja, Ketua Penerangan Negeri dan seorang dua ketua bahagian, yang kebetulan Exco Kerajaan Negeri. Itupun, kata sumber yang boleh dipercayai, jika ketua bahagian ini bukan Exco, nescaya Menteri Besar hanya bermesyuarat dengan Setiausaha Kerja dan Ketua Penerangan, sedangkan yang lain-lain, tidak menunjukkan muka langsung.

Tidak pula diketahui apakah dua orang ketua bahagian yang berjawatan menteri, Dato' Shahziman Abu Mansor (Tampin) dan Rais (Jelebu) turut hadir atau tidak, apabila dipanggil bermesyuarat yang menjadikan Umno Negeri Sembilan kini, sebagai bahan ketawa orang ramai yang mengetahui cerita ini.

Dalam sejarah Umno Negeri Sembilan, nama-nama hebat yang pernah dilahirkan termasuk Dato' Mansor Osman, Tan Sri Abd Samad Idris, Tan Sri Napsiah Omar dan Dato' Khalid Yunus. Suatu ketika, Umno (BN) Negeri Sembilan pernah menang 100 peratus kerusi dalam pilihan raya, walaupun ketika itu, Rais berada di pihak pembangkang dan merupakan Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 (S46).

Bila Rais bertanding di Jelebu, lawannya hanya seorang bekas pegawai tentera bernama Ibrahim Sureh yang tidak berjawatan dalam Umno Bahagian Jelebu dan tidak terkenal. Rais tewas dan merupakan satu-satunya timbalan presiden parti yang terpaksa mengambil cuti untuk menyambung pelajaran.

Rais pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan buat seketika. Dia juga pernah menjadi menteri, sebelum berundur kerana bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah menentang kepimpinan Dr. Mahathir. Ketika itu, Umno Negeri Sembilan dikatakan bakal 'hancur' kerana pengaruh Rais namun ia tidak seperti yang dijangkakan.

Namun, kini suasana berbeza. Dalam PRU 12 Mac 2008, Negeri Sembilan antara negeri yang hampir-hampir tumbang. Hanya dengan kelebihan empat kerusi, Mohamad Hassan kekal sebagai Menteri Besar. Jika tidak, Negeri Sembilan mungkin senasib dengan Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan...BN kecundang.

Dalam Umno, Mohamad Hassan antara Menteri Besar yang tewas dalam pertandingan merebut salah satu kerusi Majlis Tertinggi (MT).  Sebelum mengumumkan hasrat bertanding MT, Mohamad Hassan pernah berura-ura mahu merebut jawatan Naib Presiden tetapi membatalkan hasratnya itu ekoran ada dua lagi calon Naib Presiden dari Negeri Sembilan iaitu Mohamad Isa dan Rais.

Di mana silapnya kepimpinan Mohamad Hassan? Apakah dia ditolak oleh ketua-ketua bahagian di Negeri Sembilan seperti yang pernah didedahkan oleh Ketua Umno Bahagian Seremban, Dato' Ishak Ismail ketika mewakili Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan berucap di Perhimpunan Agung Umno, tidak lama dahulu?

Kata Ishak, macam-macam cara Menteri Besar Mohamad Hassan buat terhadapnya. Ishak bercakap di hadapan hampir 2,500 perwakilan dan didengari Presiden dan semua ahli MT. Apakah jika ketua bahagian lain yang berucap, cerita yang Ishak dedahkan ini juga turut diucapkan? Apakah Mohamad Hassan memang ada krisis dengan ketua-ketua bahagian?

Cuma, dari luar jika sesiapa yang faham politik Negeri Sembilan, tentulah boleh tabik kepada Mohamad Hassan kerana dia berjaya menyingkirkan dua orang kuat Tun Abdullah Ahmad Badawi dari politik Negeri Sembilan ketika Abdullah masih merupakan Perdana Menteri (PM) dan Presiden Umno.

Kedua-dua orang itu, Dato' Zakaria Nordin (Exco) dan Datuk Rais Zainuddin (Exco). Kedua-dua orang ini, diketahui umum sebagai ‘orang kuat’ Abdullah di Negeri Sembilan, malahan pernah diramalkan salah seorang dari kedua-duanya bakal menjadi Menteri Besar jika Mohamad Hassan mahu digantikan.

Dulu, penggal pertama Mohamad Hassan menjadi Menteri Besar, isu yang paling banyak disebut ialah kisah dia melantik abangnya, Dato' Azman Hassan menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri. Adiknya, Abd Ghani Hassan pula dilantik sebagai pengurus pasukan bolasepak negeri dan secara diam-diam menjalankan kerja-kerja selaku setiausaha kerja Umno negeri.

Itu belum lagi himpunan cerita penguasaan projek dan Azman pernah digelar sebagai Menteri Besar sebenar Negeri Sembilan sementara Mohamad Hassan hanya boneka. Cerita itu kini sudah lenyap. Ia berlalu bersama-sama cerita baru, Mohamad Hassan kini tidak mampu melakukan apa-apa lagi di Negeri Sembilan, kerana parti yang dia terajui di peringkat negeri dikatakan tidak menjadi 'kenderaan' untuk dia menuju ke destinasi.

Khabar paling menyedihkan, Umno negeri juga dikatakan gagal menjelaskan bayaran membuat jacket untuk digunakan peserta program Umno berjumlah lebih RM200 ribu.

Cerita ini yang dijaja sekarang di dalam setiap program berbuka puasa dan moreh anjuran Umno bahagian-bahagian. Jika ada orang politik bertemu, mereka akan bertanya sama-sama sendiri, betulkah semua dakwaan ini atau, ia hanya fitnah yang mahu merosakan reputasi Menteri Besar yang memang sedang merudum itu.

Mohamad Hassan setakat ini 'menjahit' mulutnya. Dia membisu seribu bahasa. Musuh-musuh politiknya bertambah dari sehari ke sehari. Dia bukan sahaja dikatakan bermasalah dengan ketua-ketua bahagian, kecuali bahagian Rasah dan Kuala Pilah, tetapi dia juga dikatakan bermasalah dengan ramai orang.- Safar Jumaat

Kutip tandatangan bantahan: Pemuda PAS terus asak JPJ dan polis mansuh saman ekor!


Dalam usaha PAS memperkasakan Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Dewan Pemuda PAS Pusat berjaya mengumpul seribu tandatangan rakyat dalam pelancaran kempen tandatangan membantah saman ekor di bazar Ramadan Keramat pada 22 Ogos baru-baru ini. Kempen yang berlangsung kira-kira satu jam itu diketuai oleh Ketuanya, Ustaz Nasrudin Hassan, diiringi setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau berkata, Pemuda PAS mengambil inisiatif mengumpul tandatangan itu kerana mendengar banyak rintihan rakyat yang menjadi mangsa kepada saman ekor.

"Saman ekor yang dikenakan terhadap pengguna jalan raya ini merupakan satu kezaliman dan penindasan pihak berkuasa terhadap rakyat, " katanya ketika ditemui media. Tegasnya, setiap orang yang didakwa bersalah perlu diberi peluang membela diri, bukan terus mengenakan hukuman dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban.

Beliau berkata, Pemuda PAS akan mengumpul sebanyak mungkin tandatangan dengan turun ke setiap negeri dan akan dilampirkan bersama memorandum untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sementara itu, Khairul Faizi berkata, meskipun kerajaan telah mengumumkan untuk menangguhkan saman ekor sehingga bulan Februari tahun hadapan, ini tidak bererti ianya telah dihapuskan terus.

"Kemungkinan besar saman ekor akan diteruskan kembali selepas Februari 2011. Kami mengharapkan agar saman ekor ini akan terus dihapuskan selepas dari tarikh tersebut," katanya.

Pengunjung dan penjual di bazar berkenaan memberikan respons yang baik terhadap Pemuda PAS sewaktu mengedarkan borang tandatangan itu dan kempen berkenaan juga tidak diganggu pihak polis walaupun ada beberapa orang anggotanya dilihat meronda di kawasan berkenaan.

Adik Mufti Pulau Pinang, Ustaz Zakaria Ahmad akan saman Utusan Malaysia?


Khatib jemputan, Ustaz Zakaria Ahmad yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini ekoran doa yang dibacakan untuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media massa dan pihak terbabit kerana memfitnah beliau.

Katanya, pihak beliau mendapati media dan pihak-pihak tertentu cuba mempolitikkan isu tersebut, di samping memfitnah beliau dalam hal ini. Ustaz Zakaria menjelaskan, doa yang dibacanya meminta agar Guan Eng diberikan petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam, selain tidak mengabaikan doa untuk Yang DiPertuan Agong.

"Memang saya tidak menyebut nama Agong secara khusus, tetapi sudah didoakan secara umum apabila menyebut pemimpin-pemimpin negara termasuk baginda.  Saya cuma menambah atas inisiatif saya sendiri untuk mendoakan agar Lim diberikan hidayah.  Itu yang tidak difahami puak-puak Umno," kata beliau ketika dihubungi Harakah. Beliau yang telah membaca khutbah sama sejak setahun lalu, melahirkan rasa kesal dengan tindakan pihak terbabit yang cuba memfitnah beliau.

"Sudah setahun saya membaca khutbah yang serupa pada bahagian doanya, tapi tidak pernah timbul isu seperti baru-baru ini.  Isu ini timbul hanya di Masjid Sungai Menora, hanya kerana ia dipegang oleh Umno.  Selama ini, tiada masalah pun dengan masjid-masjid lain," tegas beliau selain menafikan bacaan khutbah itu tidak diarahkan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Ustaz Zakaria berkata beliau telah berbincang dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) berkenaan isu ini dan bersedia menerima teguran majlis berkenaan. Katanya, walaupun MAIPP mengatakan khutbah yang dibacanya tidak salah, namun beliau dinasihatkan untuk membacanya di luar khutbah, tidak sebagai khutbah Jumaat.

"Berdasarkan perbincangn dengan MAIPP, mereka berpendirian khutbah saya itu tidak salah.  Cuma pendekatan itu agak salah hingga menimbulkan kekeliruan.  Jadi, mereka minta saya tidak membacanya sebagai khutbah.  Saya menerimanya, saya tidak akan menjadikannya khutbah tetapi akan terus membaca doa tersebut di luar khutbah," tegas beliau.

Kontroversi doa khutbah: Umno, Zahid macam cacing kepanasan orang Melayu makin berani sokong Lim Guan Eng


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Dato' Seri Dr Zahid Hamidi didakwa bimbang kelangsungan pengaruh politik di negeri itu berkurangan jika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memeluk agama Islam. Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Misbahul Munir Masduki berkata pengaruh Pakatan Rakyat dibawah kepimpinan Lim Guan Eng yang kini semakin menebal di Pulau Pinang menjadi ketakutan Zahid dan Umno.

"Inilah yang akhirnya mendorong Zahid bercakap merapu dan mengarut," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakah.  Menurutnya, Umno akan mengalami masalah sekiranya Setiausaha Agung DAP itu berminat kepada Islam dan beliau mendakwa keadilan Islam akan lebih menyerlah setelah Lim bergelar muslim.

"Umat Islam dan bukan Islam Pulau Pinang tidak akan rugi dengan Islamnya Lim Guan Eng, sebaliknya pihak yang akan mengalami kerugian ialah Umno-BN. Mereka akan menjadi makin lemah manakala PAS dan Pakatan Rakyat pula semakin kuat," katanya.

Misbah yang juga bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Perak yang disingkirkan, menganggap apa yang dilakukan Zahid adalah bermotif politik bagi meraih sokongan Melayu kepada Umno dengan menanamkan bibit kebencian.

"Kenyataan Zahid terhadap isu Khutbah Jumaat di Pulau Pinang hanya memperlihatkan kedangkalan dan kejahilannya.  Zahid bukan sahaja berbohong malahan sengaja menimbulkan provokasi jahat bagi menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap Lim Guan Eng," tegasnya.

Zahid juga ujarnya menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri membenarkan atau mengarahkan Khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh Pulau Pinang mendoakan kesejahteraan kepada Lim Guan Eng dan membuang doa untuk Yang Dipertua Agung. 

"Inilah kenyataan jahat dan bahaya dari seorang menteri yang bermentaliti rendah. Orang yang bermentaliti rendah sering mengambil kesempatan dan memutarbelitkan isu untuk kepentingan politik murahannya," katanya lagi. Tambah Misbah lagi, Exco Bahagian Hal Ehwal Agama Pulau Pinang telah menjawab dan menafikan tuduhan jahat Zahid itu.

"Saya hubungi beberapa pimpinan PAS Pulau Pinang tentang isu ini dan menurut mereka, memang ada khatib membaca doa untuk Lim Guang Eng tetapi bukan memohon kesejahteraan dan keselamatan, doa yang dipohon adalah agar Allah SWT memberi taufiq dan hidayah kepada Lim Guang Eng supaya terbuka hatinya untuk menganut Islam.

Jelasnya, inilah juga doa yang pernah nabi pohonkan kepada penduduk Thaif sewaktu mereka mengusir Rasulullah SAW dengan cara yang sangat kasar dan biadab dari negerinya: "Ya Allah, berilah mereka petunjuk, sesungguhnya mereka ini kaum yang tidak mengetahui". 

Rasulullah SAW juga pernah berdoa agar salah satu dari pemuka Quraisy yang terkenal dengan kezaliman terhadap sahabat-sahabatnya mendapat hidayah. Rasulullah SAW pernah berdoa; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam" - Hadtih riwayat At-Thabarani. 

Dedahnya, dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa: "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab." Misbah mendakwa jika doa tersebut yang dibaca oleh khatib dan diaminkan oleh para jamaah yang ramai, maka ia tidak menjadi sebarang kesalahan dan kesilapan.

"Kita sepatutnya mengaminkan doa khatib tersebut agar Lim Guan Eng menerima Islam supaya dengan Islamnya beliau, umat Islam di Pulau Pinang akan bertambah kuat dan terpelihara kepentingan dan kebajikannya. 

Katanya, Lim telahpun menunjukkan sikapnya yang baik kepada umat Islam, sepanjang Ramadan beliau turut berbuka puasa bersama umat Islam sekalipun beliau tidak berpuasa, turut menyumbangkan more berbuka puasa di masjid-masjid dan surau, memberi peruntukkan yang banyak kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bagi menjalankan aktiviti Islam, mengiktiraf para penghafaz al Quran dengan memberi sumbangan wang ringgit dan sijil penghargaan, menghadiri semua upacara sambutan hari kebesaran Islam dan sebagainya.

Individu yang berakhlak demikian katanya, sekalipun berjasa kepada Islam tetapi di sisi Allah orang ini tetap tetap tidak beriman, orang yang tidak beriman sekalipun membuat kebajikan tetapi tidak diterima amalannya oleh Allah SWT selagi tidak beriman, sebagaimana Abu Talib (bapa saudara nabi), banyak jasanya kepada Rasulullah SAW, tetapi disebabkan tidak beriman, dia tetap kafir di sisi Allah SWT. 

Kebaikan dan sumbangan Lim Guan Eng cukup banyak di Pulau Pinang berbanding Ketua-ketua Menteri sebelumnya, ujar Misbah. "Supaya kebaikannya dibalas oleh Allah SWT di akhirat kelak, lebih baik kita doakan Lim Guang Eng agar terbuka hatinya untuk menerima Islam sebagai anutannya," katanya lagi.

Husam Musa mahu rakyat Kelantan bayar zakat fitrah dengan dinar, dirham tahun ini


Exco Kerajaan Kelantan, Dato Paduka Husam Musa menyarankan rakyat negeri itu membayar zakat fitrah pada tahun ini menggunakan dinar dan dirham Kelantan. Katanya, anak Kelantan yang berada di perantauan sebaiknya menunaikan zakat fitrah di negeri asal mereka sekali gus membantu golongan yang memerlukan. Ini juga katanya, sebagai tanda sokongan kepada usaha Kelantan untuk mengembalikan syiar Islam yang sudah lama menggunakan dinar dan dirham sebagai mata wang.

"Balik Kelantan, bayar zakat fitrah dengan dirham Kelantan," kata Husam. Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Majlis Berbuka Puasa Persatuan Anak Darul Naim (Persada) Kuala Lumpur dan Selangor, di ibu negara baru-baru ini.

Turut berucap pada majlis itu, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. Tambahnya, selain menggunakan dinar dan dirham sebagai mata wang ianya juga sebagai satu pelaburan yang bijaksana untuk masa depan. 

"Dinar dan dirham adalah 'growing asset'. Siapa kata ini merugikan rakyat Malaysia, saya tidak boleh maafkan," katanya.  Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyatakan hasratnya untuk membayar zakat fitrah tahun ini menggunakan dinar dan dirham.

Hasrat sama juga turut dizahirkan para Exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) serta pemimpin PAS negeri itu. Tun Mahathir turut mengakui nilai dinar itu apabila beliau sendiri pernah melancarkan 'gold coin' yang dinamakan Kijang Emas keluaran Bank Negara Malaysia suatu ketika dulu.

Pada 18 Julai 2001 sekeping syiling Kijang Emas seberat satu auns harganya ialah RM1,082. Hari ini pada tarikh 1 Julai 2010 ia sudah boleh dijual dengan harga RM4,104. Isu dinar dan dirham yang diperkenal Kelantan menjadi kontroversi apabila Kerajaan Pusat menganggap ianya bertentangan dengan undang-undang.

Menurut mereka, hanya Kerajaan Persekutuan melalui kelulusan Bank Negara, boleh mengeluarkan mata wang. Kelantan bagaimanapun berpendapat, pengeluaran dinar dan dirham tersebut hanyalah untuk kegunaan rakyat negeri itu sesama mereka atau sebagai perhiasan bukannya sebagai mata wang seperti yang didakwa Umno.

Pada 2006, Kerajaan Kelantan telah melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23 mm dengan berat 4.25 gm bernilai RM332.25. Selain itu, separuh dinar bersaiz 20 mm (1.06 gm) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21 mm (0.5 gm) bernilai RM99.38.

Kini nilaian dinar tersebut sudah meningkat berbanding ketika dilancarkan. Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin. Pada majlis pelancaran baru-baru ini oleh Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, sejumlah RM100,000 telah dibeli orang ramai.

Ku Li yakin dinar, dirham jadi "alat pertukaran' yang efektif di Kelantan


Mantan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah optimis dengan usaha Kerajaan Kelantan yang memperkenalkan sistem dinar dan dirham dalam urus niaga di sana. Ketika berucap dalam majlis berbuka puasa anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah (Persada) pada 21 Ogos lalu, beliau berkata sistem itu patut diusahakan dan diperjuangkan Kerajaan Kelantan yang percaya kepada mata wang itu.   Tambahnya, kejayaan penggunaan dinar dan dirham bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap wang berkenaan.

"Ini kerana nilai wang itu bergantung kepada permintaan emas dan perak di pasaran," katanya di hadapan kira-kira 250 jemputan. Beliau berkata lagi, penerangan meluas juga perlu dijalankan supaya rakyat tidak keliru mengenai nilai wang dinar dan dirham.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Tengku Razaleigh menegaskan rakyat Kelantan bebas menggunakan wang dinar dan dirham itu sekiranya mereka yakin penggunaanya sebagai alat pertukaran. Jelasnya, dinar dan dirham sebagai alat pertukaran dan ia terpulang kepada rakyat untuk menerimanya tetapi undang-undang menegaskan hanya Ringgit Malaysia (RM) sah diperlakukan.

"Kalau ada orang yang hendak terima dirham itu dia boleh terima. Itu dia punya hal lah," katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang. Bagaimana pun katanya, Kerajaan Kelantan melakukan kesalahan sekiranya mengeluarkan wang berkenaan bagi menggantikan mata wang RM.

"Kalau nak keluarkan, dia boleh keluarkan tapi tanggungjawab untuk keluarkan matawang adalah Bank Negara. Tapi nak guna dirham untuk seluruh negara tak bolehlah. Kerajaan Kelantan tak ada kuasa di bawah undang-undang," tegasnya. Di bawah undang-undang ini, katanya, hanya Bank Negara mempunyai kuasa yang diizinkan kerajaan persekutuan bagi mengeluarkan RM. 

Ketika mengulas prestasi ekonomi Kelantan apabila menggunakan mata wang dinar dan dirham, beliau menjelaskan prestasi ekonomi tidak ada kena mengena dengan alat pertukaran wang. "Sama ada ekonomi naik turun bergantung kepada kegiatan ekonomi itu sendiri, tidak semestinya alat pertukaran yang digunakan," jelas beliau.

Naikkan harga air: Cadangan Najib bercanggah 'rakyat didahulukan', PAS terus bantah!


Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS terkejut cadangan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan negeri menaikan tarif air dan cukai tanah untuk meningkatkan hasil pendapatan negeri. Tambahan pula tegasnya, cadangan ini dikemukakan ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan barang keperluan. 

"Pelik, Perdana Menteri sering melaungkan slogan rakyat didahulukan tiba-tiba beliau kemukakan cadangan itu dalam mesyuarat kewangan negara yang dipengerusikan oleh beliau sendiri," katanya kepada Harakah Isnin lalu.

Katanya, sebagai Perdana Menteri dengan gaji dan elaun yang melimpah ruah, perlu fikirkan bagaimana untuk meringankan bebanan rakyat. Menurut Ustaz Idris, Najib mengambil jalan pintas dengan menaikkan cukai, hapuskan subsidi, GST, saman ekor, menaikan harga minyak. 

Persoalan pokok dalam menyelesaikan masalah kelembapan ekonomi  yang berpunca daripada rasuah, ketirisan, beri kepada mereka yang bukan ahlinya, pentingkan kroni, hak keistimewaan orang umno dakwanya, tidak pernah ada dalam fikiran mereka untuk diperbaiki supaya khazanah negara dapat dinikmati semua rakyat, jelas beliau.

"Bagi PAS cadangan itu hanya dicadang oleh orang yang tidak mengetahui derita rakyat bawahan yang begitu perit, terutama dalam bulan Ramadan ini," katanya.

PAS mengucap tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertegas tidak akan menaikkan tarif air, biarpun didesak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas). Ini katanya, Khalid  bersedia ke mahkamah semata-mata untuk kepentingan rakyat dan memastikan kekayaan Selangor dapat dinikmati oleh semua rakyat di Selangor.

"Rakyat Selangor dapat menikmati air percuma 20 meter padu. Umno melenting kerana memberi air percuma kepada rakyat. kononnya membazir wang negeri. Inilah pemimpin Umno, bukan hendak bagi hak rakyat. Selangor juga menolak cadangan kerajaan BN dahulu untuk mengambil bekalan air daripada Pahang dengan harga RM8 bilion, sebaliknya Selangor akan meneroka sendiri sumber air dengan kos RM2 bilion dan boleh jimat wang rakyat RM6 bilion," katanya.

Menolak politik adu domba Umno dalam isu doa khutbah Jumaat di Pulau Pinang


Bahang doa khutbah kedua solat Jumaat kian memakan diri Umno-BN. Langkah awalnya untuk memukul Pakatan Rakyat Pulau Pinang, menyerlahkan lagi politik adu domba mereka. Umno kini benar-benar terdesak, dalam usaha untuk memulih pengaruh mereka di seluruh negara. Sasaran mereka ialah memujuk orang Melayu agar menolak Pakatan Rakyat yang di dalamnya ada DAP.

Sejak DAP berkuasa di Pulau Pinang, pelbagai usaha untuk memburukkan parti itu dilagang ke mana sahaja, walhal dasar-dasar terkini yang diperkenalkan jauh lebih baik dalam membela nasib orang Melayu di negeri itu.

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Zahid Hamidi, selepas mesyuarat Badan Perhubungan Umno di Tasek Gelugor pada 19 Ogos mendedahkan kononnya ada khatib di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggantikan doa yang sepatutnya dibacakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Oleh kerana yang memperkatakannya seorang menteri, maka akhbar kuasaan Umno-BN terus melaporkan secara bermotif dan besar-besaran. Tajuk utama muka depan, membuktikan niat mereka yang sebenar. Dalam laporan itu, seolah-olah khatib-khatib seluruh negeri telah menerima arahan, menggantikan doa itu kepada doa versi baru untuk Ketua Menteri Lim Guan Eng. Laporan itu ternyata berniat jahat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim, 20 Ogos lalu telah menafikan dakwaan itu berdasarkan kepada teks khutbah yang dikeluarkan oleh JHEAIPP memang tidak meletakkan nama Ketua Menteri sebagai doa dalam khutbah tersebut.

Dalam sidang media, 21 Ogos pula, sekali lagi Abdul Malik bersama Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr  Mujahid Yusof Rawa telah memberi amaran kepada Umno supaya tidak menjadikan isu agama sebagai alat untuk meraih sokongan orang Melayu.

Sebenarnya, Umno masih gagal membuktikan ada khutbah yang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada Lim Guan Eng. Serangan Umno bersifat umum, kemudian diperkuat oleh media kuasaan mereka yang jelas membelakangi etika kewartawanan. Mujahid memberi tahu dengan terang, jika doa untuk meminta kesejahteraan, itu adalah "standard" dan tidak boleh diubah kepada nama-nama lain.

Barangkali ada makmum yang salah faham. Jika ada doa yang dibaca secara umum untuk diberikan hidayah, itu tidak menjadi kesalahan kerana ia suatu perkara yang biasa apabila rakyat berdoa untuk diberi petunjuk kepada sesiapa sahaja termasuk Ketua Menteri. Apa yang menjadi isu, Umno telah membesar-besarkan perkataan 'ganti' yang digunakan dan ia satu pembohongan tegar yang sengaja dicetuskan untuk menimbulkan kemarahan rakyat.

Dengan menggambarkan doa kedua bagi khutbah Jumaat itu 'diganti' seolah-olah, semua khatib mendapat arahan dari kerajaan negeri mengeluarkan doa untuk Yang di-Pertuan Agong kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Dan itulah tajuk akhbar kuasaan Umno-BN dalam mengadu-domba rakyat dalam isu ini. Meletakkannya pada muka depan, sudah tentu amat berharap, rakyat bangkit marah dan simpati dengan Umno.

Sekali lagi Umno terpukul dengan isu ini. Memang tak logik langsung jika ada arahan berbuat begitu. Tidaklah sebodoh itu, Guan Eng mengizinkan perkara senstitif ini dilakukan. Penghormatan beliau terhadap Islam, dan kefahamanya juga jauh lebih baik dari sesetengah pemimpin Umno. 

Hakikatnya, isu ini membuka pintu perdebatan baru antara PAS-Umno. Tetapi, ilmunya berkembang apabila sirah nabi disusuri semula. Pada zaman Rasulullah SAW Baginda turut mendoakan supaya Allah SWT menurunkan hidayah kepada Sayyidina Umar Al Khattab (belum memeluk Islam) supaya menerima agama Islam.

Sebenarnya tidak salah untuk mendoakan kepada sesiapa, tetapi kita perlu melihat konteks doa itu sendiri, apakah tujuan dan matlamat doa itu.  Pada asalnya di dalam mana-mana khutbah, tidak semestinya perlu menyebut nama sesiapa kerana ia bukan menjadi rukun bagi khutbah. Menyebut nama seseorang di dalam khutbah tidak menjadi satu kesalahan.

Amaran Presiden PAS, waspada dengan mainan api perkauman Umno-BN


Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, permasalahan yang dicetus Presiden MCA, Dato' Seri Chua Soi Lek berbentuk resolusi dari kongres ekonomi yang dianjurkan oleh parti itu baru-baru ini, satu lagi manifestasi kegagalan BN dalam memahami kehendak keadilan yang perlu dilaksanakan terhadap rakyat pelbagai kaum dalam negara ini. 

Tegasnya, keadaan ini tambah merumitkan apabila MCA yang merupakan satu parti yang dianggotai oleh golongan elit dan kaya, tidak membela nasib rakyat bawahan berketurunan Cina yang memerlukannya.  Kegagalan inilah juga turut dikongsi bersama oleh parti  MIC, kata bekas Menteri Besar Terengganu itu kepada Harakah.

Ustaz Abdul Hadi berkata, orang Melayu dalam negara ini tidak boleh lagi terus percaya bahawa Umno akan membela nasib mereka, setelah selama puluhan tahun rakyat sama-sama melihat bagaimana sistem yang ada dalam negara ini menuju kepada pengagihan hasil ekonomi negara kepada kelompok Umno-putra. 

"Ketidakadilan ini bukan sahaja dirasai oleh pelbagai kaum yang wujud dalam negara kita, bahkan juga berlakunya diskriminasi terhadap orang Melayu dan Bumiputera yang berlainan fahaman politik dengan kerajaan yang dipimpin oleh Umno-BN," dakwa beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Katanya, bukan itu sahaja, politik perkauman sempit dan laungan bersifat rasis kini telah menjadi bahan ugutan dan senjata untuk meraih sokongan oleh pimpinan BN ketika terdesak, seolah-olah rakyat dengan begitu senang boleh dipengaruhi pada zaman langit terbuka ini. 

"Saya menyeru agar semua lapisan rakyat dalam negara ini, agar dapat bertenang dan menilai dengan adil tiupan api perkauman yang saban hari semakin menebal oleh pimpinan Umno-BN," tegas beliau lagi.

Ustaz Abdul Hadi menyeru kepada seluruh rakyat, agar terus bersama PAS dan Pakatan Rakyat dalam melakukan suatu anjakan perubahan dan keluar dari politik songsang mainan Umno-BN ini segera. Katanya, dengan sama-sama meletakkan negara di landasan yang sepatutnya dalam menghadapi cabaran zaman yang mendatang, ke arah suasana yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Harakah hantar USD 10,000 ke Pakistan sumbangan bencana banjir


Bagi melaksanakan amanah sebagai saudara seIslam dan menunaikan tuntutan membantu rakyat yang sedang dilanda bencana banjir besar di Pakistan, Harakah telah memperuntukkan kira-kira USD 10,000 untuk didermakan kepada mangsa bencana.

Ia adalah sebahagian daripada hasil sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Harakah yang telah diwujudkan sejak tahun 2009. Pengerusi Ahli Lembaga Jemaah Harakah, Dato' Mustafa Ali berkata buat masa ini Harakah telah menghulurkan sumbangan hasil kutipan orang ramai kepada mangsa di Gaza sebanyak RM1.7 juta. 

"Pelbagai agensi antarabangsa telah menyatakan peranan dan komitmen mereka bagi membantu mangsa banjir di Pakistan dengan mewujudkan pelbagai bentuk bantuan.  Begitu juga dengan Harakah, kami berharap akan dapat membantu semampu yang boleh," katanya pada sidang media pelancaran Tabung Kemanusiaan Mangsa Bencana Banjir Pakistan di Pejabat Harakah dekat sini.

Mustafa memberikan keyakinan kepada rakyat negara ini untuk menghulurkan sumbangan ikhlas bagi mengurangkan penderitaan dan kesengsaraan yang ditanggung rakyat Pakistan khususnya umat Islam dalam menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan ini.

"Saya yakin kita dapat sama-sama menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab sosial bagi menghulurkan sumbangan bagi meringankan penderitaan yang dialami mangsa bencana banjir di Pakistan, apatah lagi umat Islam sedang menjalani ibadah pada Ramadan yang mulia ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Harakah, Dato' Kamaruddin Jaffar berkata pihak Harakah masih merayu sumbangan-sumbangan daripada pembaca dalam tempoh terdekat untuk dibawa terus kepada mangsa banjir Pakistan.

"Ekoran begitu banyak masalah dan bagi memastikan sumbangan pembaca disampaikan terus ke tangan mangsa banjir di sana, kita akan menghantar sendiri hasil kutipan dalam pelbagai bentuk termasuk barang-barang keperluan. Tabung ini masih dibuka dan berharap jumlahnya meningkat sebelum rombongan wakil kita bertolak ke sana," ujarnya pada sidang media yang sama.

Sementara itu, Ketua Pengarang Kumpulan Harakah, Ahmad Lutfi Othman berkata pihaknya telah membuat keputusan untuk menghantar wartawan, Intan Abdullah dan jurufoto, Wan Zahari Wan Salleh menyertai misi menghantar sumbangan tersebut ke Pakistan.

"Kita akan menghantar dua wakil untuk sama-sama mengikuti rombongan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Amal Malaysia pada 31 Ogos ini, yang akan membawa sumbangan awal pembaca kepada mangsa banjir," katanya.

Mereka dijangka bertolak pada 31 Ogos ke Lahore, Pakistan dan pulang pada 6 September ke Kuala Lumpur. Menurut maklumat semasa, kira-kira 25 juta penduduk negara tersebut terjejas teruk akibat banjir yang melanda disebabkan empangan yang pecah sehingga mengundang kira-kira 2,000 kematian.

Salam Perantau: Diharap Ramadan upaya bawa tranformasi


Selamat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan al-Mubarak kepada Mak, Abah, Along, Angah, Kinah dan Faie, abang Din yang berada di Kuala Terengganu, Busu sekeluarga, semua kakitangan MATRI dan Kolej Hafiz serta semua yang mengenali saya dengan harapan semoga puasa pada kali ini membawa perubahan kepada kita semua... puasa bukan sekadar lapar dan dahaga.

Salam Perantau: Salam Ramadan untuk keluarga di Perlis


Di kesempatan ini saya Azhani Almuddin dari Ardhu Kinanah Universiti Mu'tah, Jordan ingin mengucapkan salam Ramadan dan selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin buat mak dan ayah yang berada di Perlis, Kak Zahidah, Kak Syahirah, Imran, Athirah, Faiz dan Munirah, sanak saudara yang berada di Perlis, Alor Star dan Kuala Lumpur.  Tak lupa juga buat sahabat handai yang berada di Kuin, Kuis, UKM, UIAM, Usim dan buat semua yang mengenali diri ini. Semoga Ramadan dan Aidilfitri kali ini lebih bermakna dari sebelumnya. Doakan kejayaan saya di sini.

Salam Perantau: Semoga seribu rahmat Ramadan kali ini

Selamat menyambut tarbiyah Ramadan, awalnya kerahmatan, pertengahannya pengampunan dan akhirnya pembebasan dari api meraka, dan salam Aidilfitri diucapkan kepada bonda Rosliah, Along dan Kak Za sekeluarga, Angah dan Abg Raihan sekeluarga, Ateh dan Abg Wan sekeluarga, Uda, Cik Arm dan Acu.

Semoga Ramadan dan Syawal kali ini membawa lebih rahmat dan keberkatan buat kalian semua. Ampun dan maaf dipinta serta doakan kesejahteraan dan kejayaan Anjang di sini.

Daripada Mohd Hafidz Abd Rani, Kuliah Takhassus Qiraat, Maahad Qiraat, Shoubra Jami'ah al-Azhar Mesir.

Salam Perantau: Maafkan segala salah silap Zarina


Khas buat sanak saudara yang berada di Malaysia, Rosehan Anuar Mohd Ramli (ayah), Zainab Omar (Ma), Rozanna (Ayong) , Firdaus (abang), family2 dan kawan-kawan yg mengenali saya.Salam rindu dari saya dan selamat berhari raya! Maafkan segala salah silap Na sepanjang hidup Na. Doakan Na cepat grad dan balik Malaysia yer... Selamat Hari Raya, dan maaf zahir dan batin.

Daripada Zarina Rosehan Anuar, Pelajar Tahun 5 Perubatan, University of Otago, Wellington, New Zealand.

Salam Perantau: Ramadan mengampunkan dosa kita semua


Salam Ramadan Kareem & salam Aidilfitri buat keluarga tercinta, abi, umi, adik-adik tersayang di Kelantan dan kepada semua sanak saudara, jiran dan sahabat-sabahat dan guru tercinta dari Sekolah Kebangsaan Islah, Maahad Muhammadi Lilbanat, Naim Lilbanat, Kolej Mara Banting dan juga buat sahabat seperjuangan di UK & Ireland.  Semoga Ramadan kali ini disambut penuh makna dan agar diampunkan dosa-dosa yang lalu, Insya-Allah. Along rindu umi, abi dan adik-adik. 

Ikhlas daripada Madiihah Nasriff, pelajar tahun pertama perubatan, University of Manchester.

Salam Perantau: Untuk ayah ibu tercinta dan rakan-rakan


Selamat menjalani ibadah di bulan Ramadan dan Salam Ramadan ditujukan khas buat ayahanda dan bonda kami iaitu Aplop Awang dan Che' Ramlah Ismail yang berada di Kampung Seberang Marang, Marang, Terengganu dan Abdul Rahim Ismail dan Fatimah Jusoh yang berada di Perumahan Gong Badak, Kuala Terengganu, adik yang paling teristimewa Qurratul Aini (Yong), kaum keluarga dan sanak saudara, para guru, sahabat handai di RHB Bank Berhad, UMT, Terex-jaques (Subang), Proton, Ismail Engineering (Gong Badak), Unikop, penaja iaitu KPT, para guru, dan juga mereka yang mengenali kami yang berada di seluruh Malaysia. 

Salam sayang dan ingatan tulus ikhlas, maaf zahir dan batin dari kami di Montreal, Qc, Canada. Daripada Faizah Aplop dan Mohd Riduan Abd. Rahim, Concordia University, Montreal.

Salam Perantau: Semoga Ramadan dirai lebih bermakna


Kami pelajar tahun 1 University of New South Wales, Australia mengucapkan salam Ramadan dan Salam Aidilfitri kepada ibu bapa, keluarga, guru-guru Kolej Mara Seremban, SBPI Kuantan, SMK Sultan Ismail, MRSM Langkawi, SMAP Labu, ASIS, MRSM Serting dan SSP. Tak lupa juga kepada penaja kami, MARA kerana membantu kami. Semoga Ramadan di perantauan ini lebih  bermakna. 

Daripada (dari kiri) Nik Muhammad Syafiq, Sharidan Wong, Mohamad Nizam, Mohd Firdaus, Khalis Affan, Muhammad Iqbal, Nurelyna, Nurliyana dan Nadia Farhana.

Salam Perantau: Tak lupa untuk warga UIAM


Salam Aidilfitri dari kami sekeluarga di University of Warwick, United Kingdom kepada ayahanda Morshidi Sa'et dan Ahmad Ismail, bonda Zubaidah Abdullah, Razizah Mohamood dan Ma (Moksu) di Kuching, Sarawak dan Machang, Kelantan serta kaum keluarga, guru-guru dan sahabat handai di seluruh Malaysia. Tidak lupa juga kepada warga UIAM. Maaf zahir batin daripada Arman, Mastura dan anak-anak.

Salam Perantau: Doakan kami cepat pulang


Kami dari dari University of Glasgow dan University of Strathclyde di Glasgow, Scotland mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Aidilfitri kepada kaum keluarga, saudara-mara, sahabat-handai dan semua yang mengenali kami di mana saja berada. Doakan semoga kami dapat menyempurnakan pengajian dan pulang ke tanah air secepat mungkin. 

Dari kiri Harny Abu Khair, Atikah Awang atau Mohd Ramli, Azmiah Jamil dan Norilmi Amilia Ismail.

Salam Perantau: Salam Ramadan untuk keluarga di Kg Mahligai


Selamat menyambut tarbiyah Ramadan, awalnya kerahmatan, pertengahannya pengampunan, dan akhirnya pembebasan dari api neraka.  Salam Aidilfitri diucapkan kepada  Mohd Noor dan Zakirah Mat Adam serta kaum keluarga di Kampung Mahligai, Kelantan dan  Ahmad Mohd Idris dan Siti Aishah Lebai Hussin serta kaum keluarga di Taman Melawati, Kuala Lumpur. Tak dilupakan rakan taulan yang mengenali kami terutamanya ahli kariah di Saujana Utama Sungai Buloh dan rakan sepejabat di Kementerian Pelajaran Malaysia. Semoga Ramadan dan Syawal kali ini membawa lebih rahmat dan keberkatan buat kalian semua. Ampun dan maaf dipinta serta doakan kesejahteraan dan kejayaan kami di sini. Salam sayang dari Milwaukee, Wisconsin, USA.

Dari kiri belakang: Suzana Ahmad, Muhammad Adam, Muhammad Al-Amin, Muhammad Ahnaf, Mohd Atfan Mohd Noor. Duduk: Annur Sofea Damia.

Lagi elok kalau mereka bergelar pemimpin hidupkan ruh Ramadan!


Bekas pesyarah UIAM, Ustaz Zawawi Yusoff membicarakan mengenai transformasi Ramadan yang tidak tercapai oleh kebanyakan orang. Mereka hanya patuh kepada lapar dan dahaga semata-mata, tidak berusaha untuk memulihara pahala puasa. Perkara haram masih diteruskan, walaupun diri berpuasa. Ikuti kupasan menarik pakar motivasi Human Touch Consultant ini. Wartawan INTAN ABDULLAH menerjah isu ini bersama beliau mengapa tranformasi Ramadan gagal. BAHAGIAN AKHIR.

Apa harapan ustaz untuk Ramadan yang sedang diimarahkan sekarang?

Semoga, kita akan lebih menghargai Ramadan pada kali ini, kerana kita masih lagi mempunyai peluang kalau kita pandai menggunakan masa. Cara untuk sedarkan semula ialah dengan ilmu dan mengingati mati. Kalau boleh diuar-uarkan menerusi penulisan seperti penerbitan buku terbaru, hadiah-hadiah sebelum Ramadan dengan buku-buku, dengan filem, dokumentari tentang Ramadan, penemuan-penemuan perubatan.  Itu kena diuar-uarkan secara besar-besaran supaya Ramadan ini dapat dilihat dari aspek rohani dan jasmani. Ia akan dapat mengubah. Satu lagi faktor, ialah masyarakat ini datang daripada pemimpin. Kalau seseorang pemimpin itu hidup dalam ruh Ramadan, baiknya di dalam atau di luar Ramadan menyebabkan orang bawah mudah untuk mengikutinya. 

Maksud Ustaz... kalau boleh dihuraikan sikit?

Contohnya puasa sunat, seperti diamalkan sahabat iaitu puasa sunat Isnin-Khamis mengajar kita tentang persediaan. Itulah yang saya katakan kita kena buat cara untuk mengekalkan semangat Ramadan dan menghidupkan sebelum datangnya Ramadan. Begitu juga dengan solat berjemaah.  Malangnya, kita lihat ada situasi kuliah-kuliah di masjid dihalang, orang-orang yang berkebolehan tidak diberi peluang. Sebenarnya proses mentarbiyah dan memakmurkan masjid itu kena dijalankan sepanjang tahun. Bukan hanya sebulan Ramadan sahaja. 

Tapi dah berpuluh kali sambut Ramadan, masih tak berubah... di mana silapnya?

Kenapa orang tidak berubah pada Ramadan? Sebabnya syaitan telah rekrut dia selama 11 bulan. Jadi bila datang sebulan Ramadan, syaitan rileks sahaja. Jadi kita kena rekrut orang (dengan kebaikan) 11 bulan sebelum datangnya Ramadan.  Isu-isu yang berkait dengan ruh Ramadan itu kena dipanjangkan selepas Ramadan, barulah menyambutnya daripada tahun ke tahun daripada bulan ke bulan, minggu ke minggu. Kalau hari raya, Rasulullah ada menyatakan tentangnya iaitu menurut Imam Malik, hari raya ialah hari yang kita tidak melakukan dosa. Hari yang kita meninggal dunia 'husnul khatimah', selamat daripada azab kubur, kemuncak apabila dapat melihat wajah Allah.  Itu semua berkaitan dengan puasa kerana puasa itu menahan diri. Jadi sifat menahan diri itu kena ada sepanjang masa. Barulah kedatangan puasa itu disambut dan ditunggu-tunggu.  Jadi, persiapan ilmu, buku-buku, kempen besar-besaran, contoh-contoh pemimpin, proses merekrut orang dengan ruh Ramadan, puasa sunat; itu antara perkara untuk mengingatkan kita bahawa bulan ini sememangnya ditunggu-tunggu.  

Mengejar pakej istimewa dalam tranformasi Ramadan - Ustaz Zawawi Yusoff


Bekas pesyarah UIAM, Ustaz Zawawi Yusoff membicarakan mengenai transformasi Ramadan yang tidak tercapai oleh kebanyakan orang. Mereka hanya patuh kepada lapar dan dahaga semata-mata, tidak berusaha untuk memulihara pahala puasa. Perkara haram masih diteruskan, walaupun diri berpuasa. Ikuti kupasan menarik pakar motivasi Human Touch Consultant ini. Wartawan INTAN ABDULLAH menerjah isu ini bersama beliau mengapa tranformasi Ramadan gagal. BAHAGIAN 3.

Tentu ada pakej istimewa dalam tranformasi Ramadan ini ustaz?

Ada bukan tak ada. Pakej takwa contohnya sahur ialah supaya kita bangun makan dan simboliknya ada waktu mustajab doa, dua pertiga akhir malam. Kaedahnya apabila kita hendak berbuat sesuatu kebaikan kebiasaanya ia akan berjangkit, iaitu bila kita bangun bersahur, dia berjangkit dengan ambil wudhu', baca al-Quran, qiyamullail. Secara tak langsung Ramadan menyediakan pakej yang penuh. Itu baru kita sentuh tentang ibadah sunat, seperti solat-solat yang didirikan itu mengajak kita 'online' dengan Allah. 
Bayangkan kalau kita buat solat sunat terawih sebanyak lapan atau 20 rakaat, membuatkan kita terus-terusan 'online' yakni berhubung dengan Allah membuatkan hati kita terbuka dan tercerna. 

Salahkah Ustaz, ikut fahaman sedia ada, Ramadan itu dikenali bulan puasa?

Saya nampak hari ini Ramadan jadi bulan untuk berlapar, malah apa yang salah lagi ialah bulan ini dipanggil bulan puasa. Apabila dikatakan begitu, apa jua tindakan yang dibuat adalah untuk berpuasa sahaja. Orang kita hanya menjaga diri agar tidak batal puasa, dan jarang mengawasi jangan sampai batal pahala puasa. 
Ramai yang berpuasa tetapi meneruskan amalan mengumpat, tidak menutup aurat, tidak solat, mengata orang, sedangkan sebenarnya bulan yang hendak menjaga diri daripada semua dosa itu bukanlah pada Ramadan sahaja. Bulan lain kena jaga juga. Tetapi bulan Ramadan ini ianya dipakejkan sekali kita kena jaga... jangan batal puasa dan jangan batal pahala puasa. 

Kalau berpuasa tapi ada perkara haram masih dibuat, tak dapat pahala ustaz?

Maknanya kalau kita puasa tetapi tidak menutup aurat, tidak solat, mengumpat menyebab, pahala tidak diperolehi. Jadi Ramadan ini mengajar bahawa kita mudah untuk menyedari kalau puasa kita terbatal. Tetapi bila batal pahala puasa kita tidak menyedarinya, hal ini hanya disedari di akhirat nanti. Sebab itu Rasulullah SAW kata, berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hanya memperolehi lapar dan dahaga sahaja. Ianya program lapar sahaja.

Bagaimana hendak menumbulkan kesedaran umat Islam di negara ini, Ramadhan sebagai bulan yang kaya dengan segala bentuk tawaran dan kelebihan daripada Allah?

Saya rasa kena sambut Ramadan dengan ilmu pengetahuan. Ilmu ini merujuk kepada ilmu pengetahuan daripada awal. Kemudian meuar-uarkan bulan ini bukan hanya pada bulan Ramadan tetapi sebelumnya lagi di semua medium seperti televisyen, di sekolah-sekolah, jabatan, akhbar, kenyataan pemimpin, termasuk kem-kem persediaan menghadapi Ramadan yang dilengkapi 'training', kursus Ramadan untuk 'refresh' dan 'revisit' Ramadan dengan ilmu sebagai mana orang yang akan pergi menunaikan fardhu haji. Antara cara lain ialah dengan menziarahi kubur. Orang kita ziarah kubur selepas hari raya. Sebenarnya kita kena ziarah kubur sebelum puasa. Bila kita melakukannya pada masa itu (sebelum puasa) membuatkan kita ingat mati.  Memberi ingatan kepada kita bahawa orang yang mati itu, kini sudah tidak mempunyai peluang lagi untuk memperbaiki amal ibadat - perkara ini semua akan melembutkan hati seseorang.

Ambil iktibar untuk ubah diri, keluarga dan masyarakat dari semangat Ramadan



Bekas pesyarah UIAM, Ustaz Zawawi Yusoff membicarakan mengenai transformasi Ramadan yang tidak tercapai oleh kebanyakan orang. Mereka hanya patuh kepada lapar dan dahaga semata-mata, tidak berusaha untuk memulihara pahala puasa. Perkara haram masih diteruskan, walaupun diri berpuasa. Ikuti kupasan menarik pakar motivasi Human Touch Consultant ini. Wartawan INTAN ABDULLAH menerjah isu ini bersama beliau mengapa tranformasi Ramadan gagal. BAHAGIAN 2.

Bagaimana kita boleh mengambil iktibar daripada sirah Rasulullah SAW dan para sahabat untuk mempastikan transformasi berlaku?

Sebenarnya para sahabat ini mereka berubah pada setiap kali turunnya ayat al-Quran. Antara sifat mereka ini adalah sangat takut kepada Allah, redha dengan yang sedikit, beramal dengan apa yang Allah perintahkan dan membuat persiapan untuk menghadapi kematiannya. Mereka mendekati Allah disebabkan oleh akidah mereka yang kuat.  Jadi, semuanya berpaksi kepada akidah seperti mana yang disebutkan Allah bahawa akidah itu umpama pokok yang mempunyai akar tunjang yang kuat, berbuah yang memberi manfaat kepada insan apabila diperlukan. Jadi, sebab itulah mereka boleh berubah kerana bagi mereka apabila diperintahkan Allah akan dilaksanakan, dan mereka boleh menyuruh diri mereka untuk melaksanakannya. Sama juga keadaannya apabila Allah memerintahkan supaya kita berpuasa, tetapi kenapa ada juga yang tidak berpuasa?  Sebab dia tahu itu Allah yang wajibkan, dan keadaan mereka yang tidak berpuasa itu adalah disebabkan mereka tidak boleh (mampu) mewajibkan diri mereka berpuasa. Ini bermakna dia tidak boleh mengikuti kehendak Allah. Jika dia telah menguasai dirinya, maka sudah tentu dia boleh memaksa dirinya untuk mengikuti apa jua perintah Allah. Kebiasaannya apabila akidah tidak ada pada diri seseorang, apa juga Allah suruh dia tidak akan peduli. Akhirnya kita akan buat apa yang kita mahukan dan bukan apa yang Allah kehendaki. Sedangkan kita ini adalah makhluk, sedangkan Allah pencipta. Kalau kita engkar, bermakna kita lawan pencipta.

Apa kaedah atau mekanisme sepertimana yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 183 hingga 187 yang menyatakan tentang ibadah solat, berdoa, berpuasa dan al-Quran untuk memastikan wujudnya perubahan pada diri seseorang?

Jika kita teliti kepada syariat iaitu Allah suruh kita solat, sebab ia mencegah kejahatan dan mungkar. Allah suruh berzakat untuk bersihkan harta dan diri. Allah suruh pergi haji sebab hendak didik nafsu, Allah suruh puasa untuk dapat takwa. Jadi pakej takwa itu memang ada pada bulan Ramadan.  Sebab itu kalau tanya tentang takwa, ada dalam berpuasa kerana ia kena berlapar. Ia adalah keadaan kita kehilangan tenaga, kalau hendak bergaduh pun tak jadi. Selain itu Nabi kata modul untuk berubah adalah modul al-Quran. Sebab itu bulan Ramadan ini adalah bulan kita berinteraksi dengan al-Quran, sebab semua kitab diturunkan oleh Allah pada bulan Ramadan, bukan hanya al-Quran saja.

Kenapa kita masih tidak berubah selepas baca al-Quran? 

Ia disebabkan kita telah pisahkan antara perkataan iqra' yang bermakna faham iaitu apabila kita baca selepas itu kita akan faham. Sekarang kita telah pisahkan antara baca dengan faham. Rupa-rupanya baca dan faham itu berbeza. Tetapi ada juga yang baca tapi tidak faham-faham. Jadi, apabila al-Quran ada di depan mata, kita tidak memproses apa yang Nabi dan sahabat buat menyebabkan kita tidak berubah. Walaupun baca al-Quran tetapi tidak memahaminya dan al-Quran ini apa yang peliknya ialah kita boleh membacanya walaupun tidak faham. 

Bagaimana budaya sedekah pada bulan Ramadan?

Ya. Bulan Ramadan ini juga ada ibadah sedekah yang melawan sifat kedekut serta menaikkan sifat memberi. Sebab kita seringkali menunggu pemberian orang pada kita. Sedangkan untuk memperolehi takwa, yakni untuk memperolehi perubahan kita kena memberi terlebih dahulu. Barulah kita boleh menerima. Inilah kaedah yang dipinjam oleh Barat menyatakan 'what you give you get back'. Orang kita hari ini suka bercakap tentang 'human rights' ataupun hak asasi manusia. Jarang sekali kita bercakap tentang hak Allah. Asyik mempertikaikan dan meminta hak manusia, tetapi mana hak Allah yang masih tidak tertunai. Sebab kita tidak faham konsep memberi dan konsep menghormati hak. 

Ada yang seronok, ada yang berduka: Ramadan sebagai bulan tranformasi ummat!


Bekas pesyarah UIAM, Ustaz Zawawi Yusoff membicarakan mengenai transformasi Ramadan yang tidak tercapai oleh kebanyakan orang. Mereka hanya patuh kepada lapar dan dahaga semata-mata, tidak berusaha untuk memulihara pahala puasa. Perkara haram masih diteruskan, walaupun diri berpuasa. Ikuti kupasan menarik pakar motivasi Human Touch Consultant ini. Wartawan INTAN ABDULLAH menerjah isu ini bersama beliau mengapa tranformasi Ramadan gagal. BAHAGIAN 1.

Boleh Ustaz jelaskan apa yang dimaksud transformasi Ramadan?

USTAZ ZAWAWI YUSOFF: Transformasi Ramadan ialah bagaimana kita hendak berubah dengan kedatangan Ramadan kerana ia telah datang berkali-kali bergantung kepada usia seseorang. Tetapi nampaknya ramai yang menjadi hamba Ramadan dan tidak menjadi hamba Allah. Hamba Ramadan maknanya seperti mana kata Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi iaitu jadilah kamu hamba Allah, dan janganlah jadi hamba Ramadan. Hamba Ramadan itu bermaksud kita menjadi hamba Allah hanya pada bulan Ramadan sahaja.  Kenapa seseorang itu boleh berubah secara tiba-tiba menunaikan solat berjamaah? Bukan setakat solat fardu sahaja malahan solat sunat dalam jumlah yang begitu banyak, ada mazhab lapan, 20 rakaat. Kemudian membaca al-Quran dengan begitu hebat, memberi sedekah dengan begitu banyak. Ini seolah-olah menunjukkan seperti Allah atau masjid atau al-Quran tiada pada bulan-bulan selain Ramadan. Transformasi ini bermaksud 'berubah' tetapi orang kita tidak berubah selepas datangnya Ramadan. Mereka hanya berubah di bulan Ramadan tetapi tidak berubah selepas bulan Ramadan tapi... bukan semualah. Sebab mereka menyambut Ramadan kerana ianya untuk bulan Ramadan semata-mata.  Ramadan juga dipanggil bulan puasa sebab ianya hanya untuk puasa sedangkan Ramadan adalah bulan untuk dibuat perubahan bukan pada bulan itu sahaja tetapi selepasnya. Sebab itu kalau mahu lihat perubahan jangan lihat pada bulan Ramadan tetapi lihat selepas Ramadan berakhir.

Ada yang berpuasa dengan hasrat untuk tujuan tertentu seperti ingin menguruskan badan dan sebagainya. Mereka ingin menjadikan Ramadan sebagai batu loncatan untuk memperolehi sesuatu. Adakah hal ini dibolehkan?

Sebenarnya seseorang boleh memperolehi perubahan pada Ramadan. Buktinya kita telahpun mengalaminya. Contohnya, apa yang kita tidak pernah buat sebelum ini telah dilakukan sekarang (seperti solat sunat terawih berjemaah, baca al-Quran) dan bermakna pada bulan lain kita juga boleh berubah. Cuma ramai yang kurang faham apa itu Ramadan. Apabila Ramadan dengan tujuan yang bukan keagamaan iaitu tujuan kebendaan, bila tujuan kebendaan mengatasi tujuan yang bukan keagamaan dan peribadatan maka mereka hanya memperolehi keduniaan. Dia hanya dapat dunia sahaja, contohnya dapat kurus sahaja, untung perniagaan sahaja dan apa-apa sahaja yang dihajatinya. 

Kalau niat kerana Allah...

Kalau kita niat kerana agama dan semata-mata kerana Allah kita akan dapat dunia dan sebanding dengannya malah dapat akhirat sekali. selain itu orang kita selalu melebih-lebihkan fadhilat sehingga mereka melupakan syarat sedangkan syarat lebih besar daripada syarat.  Dalam hal fadilat terdapat beberapa kelebihan kalau kita buat sesuatu amalan, tetapi ianya tidak akan dapat diperolehi tanpa mematuhi syarat kerana ianya akan menentukan kelayakan untuk memperolehi takwa. Contohnya ibadah haji yang mempunyai banyak kelebihan (fadilat) tetapi syaratnya ialah kena memperolehi mabrur. Begitu juga dengan salawat ke atas Nabi, ada fadilatnya tetapi syaratnya ialah kena ikut Nabi.

Ada yang berpuasa kerana nak kutip fadilat sahaja...

Apabila kita ambil fadilat, kita hanya mendapatkannya sahajalah. Ini menyebabkan kita tidak berubah sedangkan syaratnya ialah takwa. Kalau dalam ibadah haji, kita akan dapat tawaf, bawa pulang air zam-zam, dan sebagainya tetapi rupa-rupanya untuk memperolehi kelebihan haji yang lain adalah dengan cara mabrur. Bagaimana cara mendapatkan mabrur? Sebelum, semasa dan selepas haji itu terdapat kaedah yang tertentu. Sehingga dalam ketiga-tiga tempoh itu kita memperolehi tahap mabrur itu. Sebaliknya, dalam ibadah Ramadan jika kita hanya menumpukan suatu niat tertentu maka seseorang itu hanya memperolehi fadilat sahaja tanpa syarat. Ini bermakna dia tidak memperolehi takwa seterusnya membuatkan mereka tidak berubah.