KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Ogos 13, 2012

Jom jenguk Ceramah Rafizi, Dato Bujang Hj Ulis pada 14 Ogos di Taman Melewar


Orang ramai dijemput hadir ke majlis Ceramah "Rakyat Ditindas Jerung Diusung" pada Selasa 14 Ogos ini jam 10.00 malam selepas usai solat Terawih. Ia akan diadakan di Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor, Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar. Pemidato utama Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan bekas Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Bujang Haji Ulis. Turut berucap Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Che Gu Ishak Surin dan akan dipengerusikan Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Dato' Tarmizi Mohd Jam.

Sabtu, Ogos 11, 2012

Tiada manusia yang kekal, kita akan pergi tak akan kembali lagi

Penjelasan bacaan Al-Fatihah oleh Ustaz Zulkarnain Astro Osis

Bisikan ku untuk Mu, munajatku mohon restu semoga cintaku bukan palsu

Tanyalah diri samada kita patuh atau tidak kepada Allah melalui Ramadan Kareem - Tuan Guru Abdul Hadi Awang



Firman Allah SWT yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran, menjadi petunjuk bagi  manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa." - 185. 

Petikan ayat ini bukan sahaja menegaskan wajib berpuasa dibulan Ramadan. Bulan yang mulia ini juga dipilih masa yang paling munasabah diturunkan Al Quran kitab petunjuk, keterangan-keterangan dan penjelasan kepada petunjuk, serta menegaskan pemisah yang membezakan diantara dua perkara yang bertentangan. 

Ia bagi menentukan benar dan salah, adil dan zalim, petunjuk dan kesesatan daripada Allah Pencipta Alam Yang Maha Mengetahui segala-galanya dan bersifat dengan segala sifat kepujian. Ibadat puasa bukan hanya sekadar ibadat yang terlalu besar pahalanya, tidak seperti ibadat lain yang dinyatakan pahala sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda sehingga tujuh ratus kali ganda. 

Allah menyimpan puasa itu disisinya dan berjanji untuk diserahkan pada hari kiamat kelak. Ibadat puasa juga adalah tarbiyah diri dengan sifat ikhlas dan kemuncaknya membuahkan taqwa yang menentukan nilai harga diri manusia disisi Allah. Menjelaskan bahawa martabat manusia bukannya keturunan, bangsa, pangkat, ilmu, harta dan warna kulit. 

Apabila berpuasa dengan ikhlas bermakna kesediaan patuh kepada Allah di atas sifat hamba, sehingga  meninggalkan makan minum dan kepuasan hawa nafsu walaupun dihalalkan dimasa yang lain. Walaupun semua perkara yang membatalkan puasa itu adalah rukun hidup manusia secara tabie'nya. Kepatuhan menunaikan perintah itu secara memperhambakan diri kepada Allah, yang berbeza dengan patuh kepada sesama makhluk saperti ibubapa, ketua, raja dan pemimpin. 

Menunjukkan bahawa ketaatan kepada Allah adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada sesama makhluk pula bersyarat selagi tidak berlawanan dengan perintah Allah. Ia menunjukkan bahawa hubungan hamba dengan Allah adalah Maha tinggi, berbeza dengan hubungan rakyat dengan raja dan pemimpin, hubungan pekerja dengan majikan, hubungan anak dengan ibu bapa. 

Adalah menjadi hikmat paling besar Allah memilih bulan ramadan, bahawa Al Quran diturunkan seluruhnya ditempat mulia yang ditentukannya. Ada kalangan para ulama yang menamakannya dengan Bait Al Izzah dan ada yang menamakanya dengan Mawaqei’ Al Nujum.  

Kemudian Al Quran diturunkan melalui wahyu oleh Malaikat Jibril A.S secara berperingkat mengikut sebab dan keperluan yang diatur supaya mendidik generasi awal yang menerimanya dengan cara paling berkesan. Ini kerana mereka menjadi contoh kepada seluruh manusia.

Al Quran adalah kalam Allah. Sifatnya yang wajib dinyatakan ke dalam bahasa Arab, bahasa pilihan Allah di dunia dan pada hari Qiamat. Al Quran juga adalah petunjuk daripada Allah kepada manusia dalam semua perkara yang berkait dengan kejadian mereka dan peranan mereka di alam dunia dengan cara yang betul. Allah memilih manusia berperanan dibumi kerana sifat kejadian mereka dan menguji kesetiaan mereka kepada Allah dengan kemampuan jasad, roh dan akal. 

Dengan kemampuan ini manusia mampu beribadat dibumi dan memakmurkan segala yang lain dengan petunjuk Allah dan kemampuan akal dan ilmu yang ada kepada mereka. Ada kalangan manusia yang menerima perintah Allah itu dengan Islam (menyerah diri) dan Iman (percaya). Namun, ramai kalangan manusia yang tidak bersyukur, lalu menjadi kufur dan sombong menolak petunjuk Allah dengan mencipta cara yang merosakkan diri manusia dan alam kelilingnya. 

Maka berlakulah perlawanan sengit dalam kalangan manusia itu. Rasulullah S.A.W. terpaksa berdepan dengan pertembungan yang membawa kepada perpecahan yang wajib berlaku, bermula daripada perbalahan sehingga terpaksa berperang kerana adanya kalangan manusia yang melampau. Maka menjadi ujian diantara hubungan dengan Allah yang lebih diutamakan atau hubungan dengan manusia yang wajib dijaga dengan semangat kekeluargaan dan persaudaraan.

Bulan ramadhan dipilih berlakunya peristiwa Badar dan Fathu Makkah. Rasulullah S.A.W. dituduh menjadi sebab perpecahan dalam satu bangsa dan satu keluarga kerana tidak bersedia  menerima tawaran menjadi Raja Makkah atau pemimpin bersama harta kekayaan dengan syarat yang ditetapkan supaya meninggalkan Islam, sama ada semua atau sebahagian. 

Puncanya para pemimpin Makkah tetap mempertahankan sistem jahiliyah dan menolak petunjuk Allah yang diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W. menyampaikannya supaya dilaksanakan kepada seluruh manusia di seluruh dunia sehingga hari qiamat. Allah mewajibkan kepada Rasulullah S.A.W. mencari tempat hijrah. Akhirnya berjumpa Madinah dan berbagai kaumnya yang bersedia menerima Islam sehingga ditegakkan negaranya. 

Maka Islam yang adil kepada seluruh manusia masyarakat majmuk dapat ditunjukkan secara nyata dan terbuka. Tiba-tiba para pemimpin Makkah berketuakan Abu Jahal membawa bala tentera menyerang Rasulullah dan para sahabatnya, kerana Islam yang diamalkan itu mendedahkan kejahatan dan kesesatan penentangnya. Kedua-dua belah pihak bertempur di tempat bernama Badar dan berlaku dibulan ramadhan.

Abu Jahal berdoa kepada Allah supaya membinasakan Muhamad yang dituduh membawa ajaran sesat dan memecahbelahkan keluarga dan bangsa. Rasulullah S.A.W. juga berdoa dengan munajat memohon pertolongan supaya Islam dan penganutnya diselamatkan. Kedua-dua belah pihak mengaku benar dan berdoa.

Akhirnya Allah mengurniakan kemenangan kepada Rasulullah S.A.W. dan para sahabat yang setia dalam keadaan terlalu kecil jumlahnya dan tidak mencukupi kelengkapan peperangannya. Bala tentera Musyrikin Makkah dikalahkan. Abu Jahal pemimpin utama dan ramai kalangan para pemimpin dibunuh dan ramai yang ditawan dengan hina walaupun jumlahnya berlipat kali ganda dan lengkap bersenjata. 

Allah menamakan hari Badar dengan Hari Furqan (pemisahan diantara dua pihak), daripada satu bangsa dan satu keluarga. Menjadi peristiwa yang menguji diantara perasaan beriman dan cintakan Allah bertembung dengan perasaan kasihkan keluarga dan bangsa. 

Maka Allah menentukan supaya hubungan dengan Allah mengatasi hubungan dengan sesama manusia. Walaupun kalangan paling hampir hubungan kekeluargaannya. Allah  memberi sanjungan paling tinggi kepada mereka yang berjaya dalam ujian perasaan dan peperangan dalam peristiwa Badar dengan firmannya bermaksud: "(wahai Ahli Badar! Lakukanlah apa sahaja yang kamu mahu, kerana aku telah mengampunkan kamu)."

Di bulan Ramadan juga berlakunya Fathu Makkah (Makkah di bebaskan). Apabila negaranya yang dipimpin oleh Abu Sufian (bapa mertua Rasulullah S.A.W.) yang dilantik selepas terbunuhnya Abu Jahal dalam peperangan Badar. Apabila pengikut Abu Sufian mencabuli perjanjian damai (Hudaibiyah) dan apabila kabilah yang bernaung di bawah kerajaan Islam diserang oleh kabilah yang berpihak kepada Makkah. 

Maka Rasulullah S.A.W. menggerakkan bala tentera Islam menyerang Makkah (tanah airnya sendiri) yang dikuasai oleh keluarga dan bangsanya sendiri, bukannya bangsa asing atau makhluk asing. Akhirnya Abu Sufian dan pengikutnya menyerah kepada Islam dan masuk Islam. Rasulullah S.A.W. mengisytiharkan pengampunan umum yang tidak diduga oleh mereka yang pernah berlaku zalim terhadap Rasulullah S.A.W. dan para sahabatnya, menyebabkan hati mereka terbuka beramai ramai menerima Islam dengan redha tanpa paksaan. 

Semua perkara tersebut adalah hikmat ramadhan yang tinggi nilainya kepada seluruh alam, khususnya kepada umat Islam. Hidayahnya! Bahawa Islam yang menyelamatkan diri, keluarga, bangsa dan tanahair. Maka Islam hendaklah diutamakan dengan melaksanakan rukun puasa sehingga membuahkan taqwa dan menegakkan Islam diutamakan, perintah Allah didahulukan, sehingga mengatasi kepentingan diri. Begitulah makan minum, hawa nafsu yang dihalalkan diketepikan dahulu, apabila berpuasa kerana Allah dengan ikhlas.

>> Artikel ini ditulis oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merangkap Ahli Parlimen Marang, Terengganu

Konsep 1Malaysia Umno-BN hipokrit atau munafik dakwa Tamrin Tun Ghafar



Ketika Perdana Menteri melaungkan konsep 1Malaysia, terdapat cakap-cakap kedai kopi bahawa ia bertentangan sama sekali dengan amalan Umno itu sendiri yang tidak pernah meletakkan calon bukan Melayu bertanding dalam pilihanraya berbanding DAP yang dituduh rasis, sebaliknya sudah sekian lama menerima calon Melayu bertanding atas tiketnya. PAS yang dituduh mengamalkan fahaman Islam sempit juga pernah meletakkan bukan Islam sebagai calonnya.

Selain Umno yang tidak pernah memilih bukan Melayu sebagai calonnya, parti MCA dan MIC yang turut mendokong konsep 1Malaysia juga tidak pernah meletakkan orang Melayu sebagai calon mereka. Kata mereka lagi, sepatutnya Umno, MCA dan MIC mencontohi PAS dan DAP. Dalam hal ini, siapakah yang rasis sebenarnya? Malahan  pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang dituduh rasis itu juga pernah merengkok sekian lama dalam penjara kerana membela nasib seorang gadis Melayu  bawah umur yang diperkosa sehingga melahirkan anak di sebuah pusat tahanan wanita di suatu ketika dahulu.

Dalam debat terbuka antara Lim Guan Eng dengan Chua Soi Lek baru-baru ini, jelas terbukti  kepada kita bahawa DAP lebih menghormati agama Islam berbanding MCA yang tidak mahu bertolak ansur dalam perkara-perkara tertentu yang melibatkan Islam. 

Seperti hujah Chua Soi Lek, Presiden MCA itu, "Kita, MCA berani memberi kata dua kepada pemimpin UMNO" (We, MCA dare to tell off UMNO leaders) dalam perkara hudud (Islam) tetapi Lim Guan Eng dengan tegas memaklumkan bahawa DAP menghormati Islam dan PAS pun tidak mempersendakan agama dan kefahaman bukan Islam.

Saya sendiri hairan dan amat sedih dengan sikap berdiam diri Dato' Seri Najib Tun Razak yang sanggup membiarkan pemimpin-pemimpin MCA menghina agama suci kita semata-mata hendak meraih undi masyarakat bukan Islam. 

Dalam isu royalti  minyak untuk rakyat Kelantan, saya amat kagum dengan ketegasan Tengku Razaleigh Hamzah yang menegaskan rakyat Kelantan berhak memperolehi royalti  minyak itu sebagaimana yang telah  dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Tindakan Najib enggan memberikan royalti minyak sebagaimana yang termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan menggantikannya dengan wang ihsan, bukan sahaja menunjukkan sikap pilih bulu terhadap rakyat Kelantan tetapi juga menganiaya mereka yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Adalah sesuatu yang amat menghairankan jika peruntukan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Tengku Razaleigh dan beberapa yang lain  semasa Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri yang memperuntukkan royalti minyak sebanyak 5 peratus  diberikan kepada negeri-negeri yang mengeluarkan minyak seperti Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan tidak dihormati.

Bukankah rakyat Kelantan juga adalah rakyat negara ini? Apakah rakyat Kelantan tidak dikenakan membayar cukai seperti orang lain? Mengapakah mereka dianak-tirikan semata-mata kerana faktor politik? Baru-baru ini saya ke Kota Bharu bersama Tengku Razaleigh. Saya amat hairan mengapa pemimpin-pemimpin Umno Kelantan termasuk Dato' Mustapa Mohamed dan Dato' Dr Awang Adek Hussain serta pemimpin Umno bahagian bermati-matian menentang PAS yang berjuang bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan royalti minyak bagi rakyat Kelantan.  

Di manakah perjuangan Umno untuk rakyat sebenarnya? Mereka sepatutnya berasa malu mengaku berjuang untuk rakyat Kelantan, termasuk berkempen rumah ke rumah sedangkan apa yang sebenarnya mereka lakukan bukannya untuk rakyat, sebaliknya lebih kepada kepentingan peribadi.

Bermula dengan Terengganu apabila Umno-BN dibawah pimpinan Tun Mahathir tidak dapat menerima kekalahan di sana, maka royalti minyak telah diberhentikan dan digantikan dengan "wang ihsan" sehingga ke hari ini. Ini kerana kerajaan PAS dibawah pimpinan Tuan Guru Haji Hadi Awang ketika itu telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan seperti biasa, mahkamah atas sebab-sebab yang kita semua ketahui telah melengah-lengahkan kes perbicaraan tersebut sehingga kini.

Kini trend yang sama diguna pakai oleh Najib sendiri. Sepatutnya Najib tidak mengikuti jejak langkah Tun Mahathir yang rata-rata rakyat di sana mengatakan tidak mempunyai perasaan dan hati perut. Mereka mempersoalkan di mana sumpah janji Najib "rakyat didahulukan" melainkan Najib, Mustapa Mohamed, Awang Adek Hussain, Fatmi Che Salleh dan pemimpin-pemimpin lain menganggap negeri Kelantan bukan sebahagian dari negara ini.

Jika wang ihsan ini lebih menguntungkan rakyat dari royalti minyak, mengapa tidak diselaraskan saja wang ihsan ini termasuk untuk Sabah dan Sarawak? Mustapa hanya bernasib baik di Jeli kerana terdapat kem tentera (undi pos) yang telah memberi kemenangan kepada beliau.

Semasa Tengku Razaleigh selaku Presiden Petronas menandatangani Akta Kemajuan Petroleum 1974 dengan negeri-negeri, Najib hanya seorang junior officer yang ditempatkan di Pejabat Presiden Petronas ketika itu. Jika Najib sanggup meminta maaf kepada rakyat Kelantan dan memulangkan hak mereka sebagaimana yang diperjuangkan oleh Menteri Besar, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Tengku Razaleigh sendiri, saya percaya negeri Kelantan juga akan dapat dibangunkan dengan lebih maju lagi seperti negeri-negeri lain. 

Perkara ini boleh dilakukan oleh naib jika beliau mahu. Mengikut pengalaman, pasti selepas saja Najibmembuat pengumuman seperti yang dicadangkan ini pemimpin-pemimpin Umno dan BN di semua peringkat terutamanya di Kelantan akan mendabik dada mengatakan perjuangan mereka selama ini telah berhasil. Akhbar-akhbar khasnya Utusan dan Berita Harian serta stesen radia dan TV akan memberi headline sensasi seperti "Najib Pemimpin Rakyat Sebenarnya" dan lain-lain tajuk lagi.

>> Artikel ini ditulis oleh Tamrin Tun Ghafar ialah ahli Umno dan bekas Pengerusi MARA.

Jahatnya juak-juak Umno memutar belit fakta, Raja Berperlembagaan menolak tuduhan republik


Salah satu fitnah yang dilemparkan oleh Umno-BN kepada Pakatan Rakyat ialah bahawa jika Pakatan memerintah sistem beraja akan dihapuskan. Dengan kata lain negara ini akan jadi republik. Antara mereka yang pernah mengeluarkan kenyataan tersebut ialah Dr Khir Toyo dan Dato' Dr Hasan Ali. Saya katakan fitnah kerana perkara itu tidak betul, tidak ada pemimpin Pakatan Rakyat yang pernah membuat kenyataan sedemikian.

Sebaliknya ada ramai pemimpin Umno yang pernah menyebut perkara tersebut; sama ada membayangkan bahawa sistem beraja boleh terhapus atau secara tegas mempersoalkan kegunaan dan relevan sistem berkenaan dalam sistem pentadbiran negara sekarang. 

Ini termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Khususnya ketika beliau menghujah mengapa kuasa-kuasa tertentu Raja-Raja perlu dihapuskan pada 1983 dan juga ketika imuniti Raja-Raja hendak dihapuskan pada 1993. Beliau menyebut hal-hal itu di dalam dan di luar parlimen. Di sisi undang-undang Malaysia hatta sekiranya perkara itu disebut dalam parlimen sekalipun ia tidak akan dilindungi oleh keistimewaan parlimen. Begitulah teruknya undang-undang hasutan kita. 

Bagaimanapun oleh kerana Mahathir adalah Perdana Menteri maka Peguam Negara tidak mengambil tindakan. Bukan itu sahaja Peguam Negara – ketika itu Tan Sri Abu Talib Othman - malah tolong mencari hujah mengapa hujah Mahathir perlu diterima.

Mahathir juga memperlihatkan sikiap sama ketika Istana Perak menghadapi kritikan kerana sikap dan pendekatan mereka yang dilihat menyebelahi Umno dalam krisis yang akhirnya menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat pada awal 2009. 

Bagaimanapun Mahathir tidak terlalu ke depan dengan sikap tidak selesanya dengan kuasa istana kerana ketika itu Umno jelas mahu menggunakan istana untuk mempertahankan kedudukan parti itu yang semakin kehilangan sokongan rakyat. Apa pun Mahathir memang berdolak dalik khususnya apabila beliau tersepit. Sebab itu walaupun beliau mengutuk Raja-Raja pada 1983 Mahathir sanggup melutut memohon simpati Istana Johor apabila Umno diharamkan oleh mahkamah pada 1987. 

Dan di situlah Umno Baru ditubuhkan. Hal yang sama berlaku pada 1999 sewaktu Mahathir bergelut dengan arus penentangan Reformasi yang meletus selepas Dato Seri Anwar Ibrahim dipecat dari Umno dan kerajaan. Mahathir sanggup mencium tangan Sultan Ismail Petra dalam usaha mengemis sokongan. Padahal Sultan Kelantan itulah yang menjadi sasaran kecaman beliau sewaktu pindaan perlembagaan mengenai imunuti Raja-Raja pada 1993.

Itu semua membangkitkan persoalan mengenai sikap Mahathir khususnya dan Umno amnya terhadap institusi beraja. Dari apa yang kita lihat saya fikir mereka tidak ada konsep yang jelas. Apa yang jelas ialah mereka hanya berminat dengan istana – seperti juga konsep perkhidmatan awam yang telah kita singgung sebelum ini -  jika ia selaras dengan  kepentingan politik mereka, yang jelas dan konsisten bagi Umno ialah kepentingan politik semasa.

Salah satu komitmen Pakatan dalam Buku Jingga ialah mempertahankan konsep raja berperlembagaan. Bagaimanapun perlembagaan tidak menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan konsep berkenaan. Yang disebut oleh perlembagaan cuma Raja wajib melaksanakan nasihat kerajaan yang memerintah. 

Suruhanjaya Reid juga tidak menjelaskan apa yang mereka maksudkan dengan prinsip raja berperlembagaan, ia cuma menyatakan bahawa raja berperlembagaan ialah raja yang lazim difahami dan dilaksanakan dalam konteks demokrasi berparlimen. Sultan Azlan Shah pernah menulis bahawa raja berperlembagaan ialah raja yang kuasa-kuasa disebut dalam perlembagaan. 

Bagaimanapun selepas krisis politik yang menyeret Istana Perak baginda bertitah bahawa kuasa raja tidak terhad kepada apa yang termaktub di dalam perlembagaan. Tidak berapa lama selepas itu Mahathir sendiri menyanggah pendapat berkenaan; satu lagi contoh menunjukkan betapa mantan Presiden Umno ini tidak konsisten dan berdolak dalik dalam memperkatakan konsep raja berperlembagaan.

Meskipun definisi tepat raja berperlembagaan itu tidak disebut di mana-mana saya fikir ia adalah konsep yang pelaksanaannya selaras atau seiring dengan ideal atau hakikat perlembagaan. Tidak perlulah kita bertengkar sama ada kuasa raja itu terbatas kepada apa yang ada dalam peruntukan perlembagaan atau sebaliknya. Apa yang penting ialah pelaksanaannya perlu selaras dengan maksud perlembagaan.

Sebagai contoh penolakan oleh Sultan Azlan Shah terhadap permohonan membubar dewan oleh Dato Seri Mohamed Nizar Jamaluddin memang masih berada dalam kerangka peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak. Tetapi semua orang tahu bahawa keputusan itu tidak selaras dengan maksud dan hakikat perlembagaan kerana ia berakhir dengan istana mengambil haluan yang bertentangan dengan kehendak demokrasi yang menjadi nadi undang-undang tubuh itu sendiri. 

>> Artikel ini ditulis oleh Dr Abdul Aziz Bari ialah mantan Profesor Undang-undang di UIAM, Gombak 

Rakyat dan Kerajaan Selangor mahu Agong campurtangan, teliti lima tuntutan pencerahan




1 > Mengembalikan hak air kepada rakyat

Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2 > Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)

Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3 > Menghak-upayakan rakyat

Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan Syabas tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4 > Mengembalikan kuasa Kerajaan Selangor

Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5 > Menghapuskan kronisme

Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan Syabas. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Bantah cadangan Syabas buat catuan air melalui peti undi dalam PRU-13 akan datang



1 > Bantahan Program Catuan Air oleh Syabas

Kami membantah cadangan Syabas untuk melaksanakan program catuan air di beberapa kawasan di negeri Selangor. Tindakan mengadakan catuan ini akan menyebabkan kesusahan kepada penduduk di kawasan berkenaan lantaran mengganggu aktiviti kehidupan harian mereka. Cadangan  catuan ini juga akan menyebabkan situasi panik kepada orangramai yang akan mendorong mereka menyimpan air secara berlebihan dan keadaan ini akan merumitkan lagi keadaan.  

2 > Desak serah operasi air terawat kepada Selangor

Berikutan kegagalan syabas memenuhi tanggungjawab dalam membekalkan air terawat yang mencukupi kepada pengguna seperti termaktub dalam perjanjian konsesi air. Kami mendesak supaya Syabas menyerahkan operasi merawat dan menbekal  air kepada Kerajaan Negeri Selangor. Keengganan Syabas berbuat demikian bukan sahaja melanggari perjanjian yang telah dibuat malah menyusahkan rakyat di negeri Selangor.

3 > Perkhidmatan Syabas tidak memuaskan

Syabas tidak berupaya menyediakan air terawat yang mencukupi walaupun bekalan air mentah di tujuh empangan Selangor melimpah. Dibeberapa kawasan di Selangor, pengguna mengalami bekalan air pada tahap tekanan yang rendah dengan kualiti air yang tidak bersih disebabkan saluran paip yang digunakan sudah lama, sudah berkarat dan harus diganti. Keadaan ini menyebabkan urusan harian pengguna terjejas dan pengguna terpaksa membayar perkhidmatan tersebut dengan nilai yang tidak setimpal.

4 > Kedudukan kewangan Syabas memcemaskan

Kami juga  tidak yakin dengan kelangsungan operasi Syabas. Laporan awal audit mendapati Syabas gagal melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) dengan baik. Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion. Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil NWR (non-revenue water) kepada 20%.

5 > Kerajaan Selangor lebih cekap kendalikan Operasi Air Terawat

Kami menyokong penuh hasrat Kerajaan Selangor untuk 'step in' bagi mengambilalih  Syabas dan percaya bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berupaya memberi perkhidmatan air terawat yang lebih baik dengan harga yang tidak membebankan rakyat Selangor.

6 > Berhenti mensabotaj Kerajaan Selangor

Beberapa tindakan Syabas dilihat tidak professional dan tidak mengutamakan keperluan pengguna yang lebih bersifat kepada tindakan mensabotaj Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor menjelang PRU-13 bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor antaranya;

a. Cadangan catuan air dan program catuan air di beberapa kawasan di Selangor dengan alasan kononnya bekalan air terawat tidak mencukupi dan menyalahkan Kerajaan Negeri Selangor atas keengganan meluluskan Projek Langat 2. Tindakan ini dilihat sengaja mahu mengundang rasa tidak puas hati dan marah rakyat kepada Kerajaan Negeri Selangor.

b. Menyebabkan Selangor kehilangan 60 projek pelaburan akibat perkhidmatan bekalan air yang tidak memuaskan.

c. Sebanyak 162 buah projek pembangunan di Selangor tidak diluluskan oleh Syabas membuktikan Syabas tidak layak untuk mengurus air di negeri ini. Banyak aduan telah diterima dari masyarakat perniagaan yang membangunkan kawasan masing-masing tetapi tidak mendapat sijil atas alasan tekanan air rendah. Tindakan sabotaj telah menyebabkan projek yang dibangunkan tidak dapat diduduki kerana gagal memperolehi sijil menduduki.

d. Cubaan membina persepsi negatif kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dengan mengumumkan krisis air. Syabas serahusnya sedar bahawa kuasa untuk mengumumkan krisis bekalan air di sesuatu negeri terletak pada tangan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan bukan syarikat konsesi yang mengendalikan operasi air. Tindakan tidak bertanggungjawab Syabas boleh mencetuskan isu keselamatan didalam negeri Selangor.
   
e. Menolak Projek Langat 2. Rakyat Selangor menolak Projek Langat 2 yang dilihat akan membebankan rakyat dengan kenaikan tarif air sehingga 70 peratus. Kos penyaluran Air Mentah dari Pahang Ke Selangor dan pembinaan Loji Langat 2 menelan kos perbelanjaan berjumlah RM8.65 Bilion dan kos ini akan "dipaksakan" ke atas rakyat Selangor dengan cara terpaksa membayar bil air yang tinggi apabila projek ini siap kelak. 

Air adalah merupakan hak asasi yang tidak sepatutnya didagangkan hingga membebankan rakyat. Selangor sudah pun mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi dan tidak memerlukan pembekalan air mentah dari Pahang. Apa yang diperlukan adalah operasi rawatan air yang cekap dan Syabas sememangnya tidak berupaya melakukannya dan Projek Langat 2 dilihat hanya mengkayakan segelintir elit yang mempunyai kepentingan.

Transformasi mega perbaiki amal sepanjang Ramadan kareem 2012 - Ustaz Nik Zawawi Salleh


---------------------------------------------------------------------------------------------------
Ramadan Kareem datang lagi. Apakah kehadirannya hanya sekadar bulan untuk menahan lapar dahaga? Sejauh mana persediaan yang sepatutnya bagi seorang mukmin dalam menghadapi bulan ini? Wartawan NYZA AYOB mendapatkan butiran Ketua Penerangan Ulama PAS Pusat, Ustaz Nik Zawawi Salleh mengenai persediaan serta keistimewaan Ramadan ini.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Dalam setiap pekerjaan yang ingin kita lakukan, harus disertai dengan persediaan dan persiapan agar apa yang kita lakukan itu sempurna. Begitu juga dengan kedatangan Ramadan.  Apakah persiapan utama kita sebagai mukmin dalam menghadapi bulan penuh berkat ini?

USTAZ NIK ZAWAWI SALLEH: Kita perlu memahami ibadat Ramadan ini adalah suatu ibadah yang kita mesti terima acuan ibadat itu sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Dalam erti kata lain kita tidak boleh menyambut Ramadan ini dengan budaya, adat dan tradisi. Ini kerana ibadat Ramadan datangnya daripada Allah dan telah ditunjukkan cara dan peraturannya oleh Nabi Muhammad. Umat Islam apabila datangnya Ramadan, mereka sambut dengan tafsiran sendiri. Ada yang terpesong daripada apa yang ditetapkan Rasulullah. Contoh yang paling mudah, mereka tidak apabila berpuasa tidak lebih daripada menahan diri daripada makan dan minum serta memasukkan sesuatu ke dalam rongga. Sedangkan Ramadan yang diajar oleh Rasulullah ialah sebagaimana disebut "Barang siapa yang menyambut Ramadan dengan penuh  keimanan dan pengharapan (pengampunan Allah), Allah akan ampunkan dosanya yang lampau dan akan datang".

Boleh Ustaz jelaskan mengenai keimanan dan pengharapan kepada Allah di bulan Ramadan ini?

Iman maknanya kita memahami dan meyakini  bahawa Ramadan yang dianugerahkan kepada kita ini datangnya daripada Allah dan ia merupakan satu rahmat kepada umat Islam untuk membebaskan diri mereka daripada azab api neraka. Sebagaimana di dalam hadis, "sepuluh yang pertama adalah rahmat, sepuluh yang pertengahan adalah pengampunan dan sepuluh yang terakhir adalah pembebasan daripada api neraka". Jadi ini merupakan peluang yang sangat besar. Dan ia tidak munasabah jika hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum. Sebab itu Rasulullah apabila menyambut Ramadan, Baginda menyambutnya dalam erti kata yang sebenar dan ia menjadi ikutan para sahabat. Para sahabat memanggil Ramadan ini dengan pelbagai seperti 'bulan jihad' iaitu Ramadan ini adalah bulan untuk kerja kuat bagi perjuangan Islam. Dipanggil juga Ramadan ini 'bulan Al-Quran'. Iaitu Ramadan ini adalah bulan untuk kita membasahkan mulut dengan membaca Al-Quran. Dipanggil juga Ramadan sebagai 'bulan rahmat dan keampunan', iaitu dibuka peluang oleh Allah untuk kita bertaubat. Ini juga bermaksud ia satu bulan untuk kita mengangkat tangan serta memuhasabah diri kita, banyaknya dosa yang kita telah lakukan dan kemudian kita memohon keampunan dari-Nya.

Ini bermakna di bulan ini kita harus memperbanyak amalan dan memohon keampunan kepada-Nya?

Sebab itu dalam Al Quran, diajar kepada kita sebelum waktu subuh, apabila kita bangun, kita memohon istighfar daripada Allah. Waktu sahur sepatutnya kita jangan bangun semata-mata untuk kita makan. Kita bangun untuk memohon keampunan daripada Allah dan bertaubat di kala manusia sedang nyenyak tidur. Dan kita harus ingat Ramadan bukanlah sekadar bulan untuk menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi mendidik diri menjadi manusia yang baik. Dan Ramadan seharusnya menjadi bulan yang akan memberi suntikan semangat yang tinggi kepada kita untuk meningkatkan kerja-kerja Islam.

Pelbagai peristiwa berlaku di bulan Ramadan. Boleh Ustaz jelaskan perkaitan peristiwa yang berlaku dengan Ramadan?

Jika Rasulullah pada  bulan Ramadan, Baginda menceburi peperangan. Peperangan Badar berlaku pada Ramadan. Pembukaan kota suci Mekah juga berlaku pada bulan Ramadan. Separuh daripada peristiwa Ahzab berlaku pada bulan Ramadan. Pembukaan negara Yaman dan Andalus juga berlaku pada bulan mulia ini. Pembebasan kota suci Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi juga pada bulan ini. Ia memberi gambaran bahawa bulan Ramadan ini Rasulullah, para sahabat dan para tabi'in serta pejuang yang lain mereka mengisytiharkan bulan ini sebagai bulan peningkatan diri untuk bekerja untuk Islam.

Bagaimana pula  konteks perjuangan kita di Malaysia ini yang dapat kita laksanakan pada Ramadan?

Dalam konteks di Malaysia, kita tidak mengambil pendekatan peperangan. Tetapi kita mengambil jalan demokrasi. Kita bermesyuarat dan menganjurkan program. Jadi, sebelum kita menghadapi Ramadan, kita telah susun program apa yang kita akan lakukan sepanjang Ramadan. Itu persiapan yang kita lakukan daripada sudut perjuangan dalam menegakkan syariat Allah.

Daripada sudut kerohanian pula, bagaimana kita ingin menanam kecintaan terhadap Ramadan?

Di sudut kerohanian pula, perkara yang kita perlu ingat ialah kita kena tanam dalam diri kita sebelum kita menyambut Ramadan, kecintaan kepada Ramadan. Biarlah kita rasa semangat di bulan Ramadan. Tetapi kebanyakan masyarakat kita apabila munculnya Ramadan, semangat semakin luntur. Apabila ingin mengadakan sesuatu program, kebanyakannya menangguhkan atau mempercepatkan sebelum tibanya Ramadan. Sedangkan pada zaman Rasulullah, banyak perkara yang akan dilakukan sebelum Ramadan, Baginda menangguhkannya untuk dilaksanakan pada Ramadan. Ini bermakna kita menyambut Ramadan dalam keadaan kita benar-benar memahami konsep Ramadan yang dituntut Allah dan ditunjukkan Rasulullah. Apabila perkara ini kita tekadkan dalam minda kita, kita akan faham bulan Ramadan adalah bulan untuk kita berkorban dan bulan untuk kita menghayati bagaimana agar iman kita ini diangkat Allah. Yang keduanya kita menerima pakai apa jua perkara yang ditunjukkan Rasulullah dalam soal Ramadan. Baginda menunjukkan secara praktikal. Nabi bersabda: "Berapa ramai orang yang berpuasa ini dia tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga". 

Apa maksud yang mudah kita faham...

Maknanya orang yang tidak makan dan minum, tidak diberi jaminan oleh Allah puasanya diterima. Ini bermakna, apabila puasa kita kena ambil Ramadan ini sebagaimana yang diajar Rasulullah dan jangan kita tafsirkan sendiri. Apabila seseorang itu memahami konsep Ramadan yang sebenar, sudah tentulah dia tidak akan jadi seperti sesetengah masyarakat yang hanya bersemangat pada awal Ramadan termasuk melaksanakan sembahyang sunat terawih, tetapi hanya bertahan hanya beberapa hari. Apabila semakin penghujung Ramadan, semangatnya sudah berkurangan. Sedangkan kita sepatutnya mengambil kesempatan Ramadan ini daripada awal sehingga akhir. Selain  tidak makan dan minum, kita harus menghias Ramadan dengan amalan lain. Seumpama sedekah dan infak kepada perjuangan Islam. Di samping  kita memperjuangkan Islam itu sendiri. Selain itu amalan-amalan kita juga perlu dipertingkatkan. Ini termasuk membaca Al-Quran. Jika Ramadan tahun lepas kita hanya khatam satu kali, tahun ini kita tingkatkan keazaman  untuk khatam dua kali.

Bagaimana kita hendak mendidik diri agar dapat menghayati dan melaksanakan tuntutan Ramadan dengan sempurna?

Begitu juga daripada segi taubat kepada Allah. Nabi Muhammad menyebut: "Apabila datangnya Ramadan, Allah buka semua pintu syurga dan Allah membelenggu semua syaitan dan akan menutup pintu neraka".  Konsep ini seharusnya kita fahami sebelum kita menyambut Ramadan. Adakah Allah buka pintu syurga seluas-luasnya hanya kerana kita tidak makan dan minum? Adakah hanya sekadar itu? Sudah tentulah jawapannya tidak. Jika sekadar tidak makan dan minum, lebih baik Allah buka pintu syurga kepada orang miskin. Ada antara mereka hampir setahun tidak makan dan minum kerana kemiskinan. Tidak makan dan minum hanya satu juzuk sahaja daripada Ramadan. Dan kita mesti menyempurnakan juzuk yang lain yang lebih besar. Dalam perkara kita dengan Allah, kita perlu ingat Allah maha berkuasa. Allah mempunyai sifat pemurah, penyanyang dan pengampun. Allah tidak menzalimi manusia dan tidak pernah memungkiri janji.  Apabila kita kenal siapa dia Allah, dalam waktu yang sama kita kena kenal diri kita. Walaupun kita ini berkedudukan, berpangkat dan berharta, kita perlu ingat Allah sayang kepada kita. Maka, apa yang Allah anugerahkan itu jangan kita khianati. Allah bagi kita harta, tiba-tiba kita mengkhianati diri kita sendiri. Begitu juga jika Allah bagi kita anak-anak dan kita khianati, itu juga tidak boleh. Sebab itu dalam konteks Ramadan Al Mubarak, apabila kita kenal Allah dan kita kenal diri kita, maka dalam waktu yang sama, kita akan hampir dengan Allah. Apabila kita kenal Allah dan dekat dengan Allah, disebut dalam hadis, "Sesiapa yang datang kepada Allah satu jengkal, Allah akan datang kepadanya satu hasta. Apabila dia menuju kepada Allah satu hasta, Allah akan datang kepadanya satu depa. Apabila dia berjalan kepada Allah, Allah akan berlari dengannya". Hadis ini memberi gambaran Allah terlalu kasih kepada kita. Apabila kita menyempurnakan ibadat Ramadan, apabila kita dapat menghadirkan dalam diri kita, Insya-Allah, Dia akan terima apa yang kita minta dan keampunan yang kita pohon kepadaNya. Sebab Allah itu maha kaya. Dia boleh bagi apa sahaja yang diinginiNya kepada manusia. Khazanah Allah itu tidak pernah berkurang. Jadi apabila kita benar-benar menghayati perkara ini, Insya-Allah,  Dia akan  sayang kepada kita dan akan tunaikan apa yang kita minta daripadaNya. 

Apakah taubat dan pengampunan setiap umatnya diterima pada Ramadan ini?

Ini  termasuklah kita pohon keampunan. Dan kita kena kenal diri kita. Kita ini banyak dosa dan banyak kesalahan kepadaNya. Syariat Allah kita tinggal. Dalam masyarakat kita ada yang kuat berjuang, kuat bertakbir tetapi sembahyang subuh lewat, Al-Quran tidak dibaca dan majlis  ilmu tidak hadir. Ada orang yang nampak baik daripada segi fizikal, berjubah dan berserban tetapi tolak perjuangan Islam. Sebagai manusia kita banyak kekurangan. Jadi, apabila kita ingat kekurangan ini, di bulan Ramadan kita berazam setinggi-tingginya untuk kita perbaiki diri kita dan seterusnya kita pohon keampunan daripada Allah. Kita tinggalkan semua sekali perkara-perkara negatif ini. Kemudian kita mulakan dengan azam yang baru. Apabila azam kita ini begitu tinggi, saya yakin tidak ada sebab Allah yang maha penyanyang dan pengampun, tidak menerima taubat kita. Itu satu perkara yang bercanggah dengan sifat Allah. Saya yakin Allah akan terima taubat dan amalan kita terutama dalam bulan Ramadan ini.

Ramadan fasa terakhir, mampukah anda merawat hati dan iman sepanjang 20 hari berpuasa?



Bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadan 1433H, bulan yang mulia (Ramadan Karim). Sempena dengannya, marilah kita merenung perjalanan masa kita hidup ini, kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan bagi menyempurnakan segala urusan seharian. 

Jika diibarat sebuah motokar yang kita pakai sehari-hari, akan ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel untuk diservis atau mungkin perlu dioverhaul bagi memulih dan menjaga kondisi motokar sentiasa berkeadaan baik. Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. 

Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nunjuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini. Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. 

Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. 

Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain. Oleh sebab itu, bulan Ramadan ada kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat tarawih. Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran. 

Ini kerana Al-Quran adalah sebagai buku panduan "How to Use". Ibarat kita memandu motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku "How to Use". Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar akan rosak dan tidak selamat. Oleh yang demikian, manusia kena faham tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya bermaksud: "Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." - (Surah Al-Baqarah 2:29)

Oleh sebab itu manusia yang ramai di dunia ini, perlu ada "How to Use" yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan, jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Katakanlah: "Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan - yang membuka hati - dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman." - (Surah Al-A’araf 7:203)

Bagi menjayakan perintah ini, Allah menetapkan dalam Al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan pembalasan dan pada hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah SWT. Firman-Nya bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." - (Surah Ali-Imran 3:185) 

Di akhirat kelak tidak guna lagi harta, tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi untuk masuk syurga. Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna di akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan. Firman Allah SWT bermaksud: "Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)." - (Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).

Oleh sebab itulah, diwajibkan sebut "maaliki yaumid-din" dalam segenap kali kita solat, atas kerananya kita diwajib baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi maksud kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji Allah SWT.

Dalam ayat "maaliki yaumid-din" itu juga disebut "ad-din" iaitu lafaz "musytarikun" iaitu hari "agama" sebagai al-jazak. Sedangkan lafaz "al-jazak" adalah makna asal dalam memahaami "maaliki yaumiddin", tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan "ad-din" supaya diyakini ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama. 

Atas asas agamalah, segala akta, dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang tidak selaras dengan ad-din akan tertolak. 

Memahami waqi’ sedemikian, bulan Ramadan ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ia selari dengan kelebihan beribadat sepanjang Ramadan akan meningkatkan takwa diri kita di sisi Allah SWT. Firman-Nya bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." - (Surah Al-Baqarah 2:183). Selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dengan penuh ketakwaan.

>> Penulis ialah Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS.

Tamrin Tun Ghafar dedahkan Kerajaan Umno-BN memang ada hubungan dengan Israel



Mengenai hubungan Malaysia dengan Israel ini, saya melihat persepsi rakyat amat keliru kerana Dato' Seri Anwar Ibrahim cuba dikaitkan dengan sokongan terhadap Israel. Hakikat yang terbentang di depan mata ialah wujudnya hubungan dagang yang berterusan antara Malaysia dan Israel seperti pengakuan di Parlimen serta tindakan Dato’ Sri Najib Tun Razak melantik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Israel iaitu Apco Worlwide sebagai perunding media kepada kerajaan dengan bayaran RM77 juta setahun.  

Ini menjadikan apa pun penjelasan yang cuba diberi oleh pihak kerajaan sentiasa menimbulkan kesangsian serta tanda tanya. Sebenarnya hubungan dengan Israel bermula dalam sekitar 1980an semasa zaman Tun Mahathir Mohamad lagi apabila beliau secara senyap-senyap menghantar Tengku Abdullah (Melewar) ke Tel Aviv. Saya masih menyimpan ucapan saya di Parlimen di mana saya menegur tindakan kerajaan berhubung perkara itu.

Amat menghairankan lagi apabila usul yang cuba dikemukakan oleh wakil pembangkang berhubung isu ini di Parlimen baru-baru ini, agar kerajaan menghentikan sama-sekali perdagangan dengan Israel dan dalam masa yang sama meningkatkan jumlah bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza, telah ditolak oleh Speaker.

Jika benar-benar ikhlas, Najib sepatutnya tidak merasa takut untuk mengarahkan Speaker agar menerima usul tersebut untuk dibahas dan diundi dan bukan sebaliknya. Sekarang rakyat khasnya masyarakat Islam sudah mulai nampak siapakah (antara Najib dan Anwar) yang menyokong Israel.

Untuk mencapai kemenangan dalam pilihanraya, selain keyakinan rakyat terhadap Umno dikembalikan, pemilihan calon yang sesuai dan diterima rakyat juga amat penting. Sementara Najib meletakkan kriteria "winnable"  sebagai prasyarat terhadap calon dalam pilihanraya, rakyat juga sebenarnya ingin melihat Najib tidak begitu terkongkong dengan faktor jawatan seseorang dalam Umno bagi pemilihan calon pilihanraya.

Sebagaimana pandangan  Tun Dr Mahathir, kebanyakan calon Umno-BN kini membawa imej rasuah dan agar Umno perlu memilih calon yang lebih  berkelayakan walaupun orang luar dalam pilihanraya akan datang jika ingin menang. 

Saya amat bersetuju dengan pandangan tersebut dan ingin menarik perhatian Najib sebagai contoh  wakil-wakil rakyat PAS terutamanya di Kedah mereka terdiri daripada kalangan professional, berkelayakan serta berhemah berbanding wakil-wakil rakyat Umno-BN di sana yang majoritinya tidak pun lulus SPM. 

Dalam isu Raja-raja Melayu, Umno cuba nak jadi hero baru-baru ini. Apabila ada wakil-wakil rakyat Pakatan tidak menghormati Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada majlis pertabalan baru-baru ini, satu lagi taktik kotor dan 'desperado' Umno-BN terdedah.

Setelah dicabar menama dan membuktikan tuduhan tersebut, Menteri Penerangan dan pemimpin-pemimpin Umno lain yang turut bersuara, gagal berbuat demikian. Mereka mengingatkan saya bagaimana pada awal tahun 1980an, pemimpin-pemimpin Umno yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir telah mencaci dan menghina Raja-Raja Melayu semasa meminda Perlembagaan dahulu di mana kuasa Raja-Raja ditarik balik.

Semasa itu rapat-rapat umum diadakan secara besar-besaran di seluruh negara. Kakitangan kerajaan diarah turut serta manakala akhbar, khususnya Utusan dan Berita Harian termasuk stesen tv kerajaan dan swasta (TV3) diarah mengorek dan mendedahkan cara hidup mewah dan kelemahan Raja-Raja Melayu sehinggakan kos membiayai berpuluh ekor kuda Sultan Pahang pun disiarkan berulang kali.

Dengan ingatan mereka itu, saya teringat bagaimana saya sendiri telah diminta oleh Umno mengepalai Pergerakan Pemuda Umno ketika itu untuk menyerang Sultan Selangor  Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz atas campurtangan Baginda dalam urusan pentadbiran Negeri Selangor serta Sultan Perak berhubung kos pertabalan Baginda ketika itu. 

Saya dipilih di kalangan Exco Pemuda Umno ketika itu kerana saya berasal dari Melaka, negeri yang tidak mempunyai Raja, justeru saya bebas untuk bercakap. Menurut mereka lagi, kini Umno-BN melalui akhbar dan tv cuba menutup pekung lama mereka dengan mencipta isu dan membesar-besarkannya dengan niat dan harapan agar rakyat khususnya pengundi Melayu  benci kepada parti pembangkang dalam pilihanraya ini.

Mereka meminta saya menyampaikan kepada Najib agar memulangkan semula kuasa Raja-Raja yang dirampas dahulu sebagai bukti Umno-BN hari ini benar-benar mencintai dan menghormati Raja-Raja Melayu. Mereka amat kecewa dan jijik dengan permainan pemimpin-pemimpin Umno yang selalu berpura-pura dan menganggap rakyat khususnya orang Melayu mudah lupa serta boleh diperbodoh-bodohkan.

Kepada mereka, tindakan Umno ini tidak ubah seperti orang sedang dalam kelemasan yang akan melakukan apa saja cara untuk menyelamatkan diri. Terserahlah kepada Najib untuk memikirkan pandangan ini sama ada mahu menerima atau menolaknya.

Dalam isu ini, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Tun Hussein mengatakan Suruhanjaya Siasatan Diraja patut diadakan segera untuk menyiasat mereka yang memomok dan menghina Yang Dipertuan Agong.  Kiranya suruhanjaya itu ditubuhkan, ia sepatutnya juga menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemimpin-pemimpin Umno, termasuk akhbar dan tv yang lebih dulu menghina dan memaki hamun Raja-Raja Melayu.

>> Artikel ini ditulis oleh Tamrin Tun Ghafar ialah ahli Umno dan bekas Pengerusi MARA.

Mandat memerintah hanya lima tahun, Najib terpaksa akur PRU-13 April 2013



Dua minggu lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Nazri Tan Sri Aziz berkata, Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Umno sekarang akan membincangkan dengan Peguam Negara tentang kedudukan mereka selepas tempoh lima tahun tamat pada Mac 2013 nanti. 

Tidak lama sebelum itu Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak membayangkan bahawa Umno – mengikuti apa yang pernah disuarakan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim – akan menghabiskan mandat lima tahun yang mereka terima dari rakyat. 

Dari segi politik kedua-dua kenyataan itu memberi bayangan bahawa Umno tidak yakin dan takut untuk menghadapi pilihan raya meskipun Najib dan orang-orangnya bercakap besar akan membubarkan pilihan raya dan menjangka kemenangan besar buat mereka. 

Kita sudah menyaksikan betapa sebelum ini Umno berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan pilihan raya kecil dan ini dibuat melalui peguam-peguam mereka di mahkamah. 
Peguam-peguam itu memujuk mahkamah supaya menerima tafsiran yang akhirnya boleh mengelakkan Umno dari menghadapi pilihan raya.

Walau apa pun, ada beberapa isu penting yang perlu kita faham ekoran dari kenyataan Nazri itu. Yang pertama ialah tempoh pemerintahan oleh kerajaan sebagai mana yang disebut oleh perlembagaan.Yang kedua ialah sifat atau hubungan antara kerajaan dan parlimen dalam sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana yang tertera dalam Perkara 55(3), jelas memperuntukkan bahawa hayat atau tempoh parlimen – yakni Dewan Rakyat – ialah lima tahun dan apabila ini berlaku ia akan bubar dengan sendirinya. 

Dengan kata lain dewan akan luput sebaik-baik sahaja ia genap berusia lima tahun dan tempoh ini dikira dari tarikh sidang pertama dewan selepas pilihan raya umum yang lalu. Dengan itu tidak timbul soal melanjutkan tempoh dewan berkenaan - bila ketika itu sampai dewan akan terbubar secara automatik.

Kuasa membubarkan dewan – yang diletakkan di tangan Yang di-Pertuan Agong dan boleh dilakukan jika ada permintaan dari Perdana Menteri – hanya relevan sebelum dewan itu genap lima tahun. Ertinya dalam senario di mana Umno teragak-agak untuk membubarkan dewan parti itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa atau cara untuk mengelakkan pilihan raya: sampai sahaja ketika di mana usia dewan genap lima tahun ia akan bubar sendiri dan dari detik itu bermulalah tempoh 60 hari di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib mengadakan pilihan raya umum. 

Tugas ini telah dinyatakan dengan jelas oleh perlembagaan – Pekara 55(4) - dan SPR tidak boleh berdaleh untuk mengelakkannya. Apa kaitan kedudukan  di atas dengan kerajaan? Di dalam sistem berparlimen seperti yang ada di Malaysia dan United Kingdom – termasuk Australia dan India – kerajaan dibentuk di parlimen melalui majoriti; yakni parti atau kumpulan majoriti akan dilantik oleh ketua negara untuk membentuk kerajaan. 

Ini semua diperuntukkan oleh Perkara 43(2(, (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan. Di bawah sistem Westminster ini asas atau landasan kerajaan ialah kekuatannya di parlimen. Apabila parlimen itu sudah tidak wujud atau sudah terbubar maka kerajaan pun ikut terbubar sama. 

Sebab itu apa yang dibayangkan oleh Nazri tadi karut dan tidak betul. Apa yang ada selepas parlimen bubar hanyalah kerajaan sementara yang berperanan meneruskan rutin pentadbiran sementara menunggu kerajaan baru dilantik selepas pilihan raya umum yang akan datang.

Saya tidak pasti sama ada Nazri jahil atau memang tidak tahu malu. Sepatutnya beliau – sebagai seorang peguam – tahu tentang prinsip pokok yang menghubungkan parlimen dan kerajaan yang disebutkan tadi.  Kalau beliau tidak tahu undang-undang itu pun beliau sepatutnya akur dan sedar bahawa tempoh maksimum kerajaan di dalam sistem kita – dan ini telah pun dilaksanakan sejak 1957 – ialah lima tahun. 

Tidak timbul soal melanjutkan usia kerajaan selepas itu kerana tindakan sedemikian bertentangan dengan prinsip demokrasi. Dalam demokrasi – termasuk demokrasi berpresiden seperti di Amerika Syarikat – kerajaan perlu tutup kedai sebaik-baik sahaja tempoh mandat yang mereka menangi dalam pilihan raya yang lalu tamat. 

Ia bagaikan ajal; bila kematian datang tidak timbul soal melanjutkan tempoh kehidupan walau pun sedetik. Yang ada selepas itu ialah perbicaraan: dalam konteks demokrasi inilah ketikanya rakyat menimbang sama ada kerajaan tadi patut diberi peluang memerintah lagi atau tidak.

>> Artikel ini ditulis Dr Abdul Aziz Bari mantan Profesor Undang-undang di UIAM, Gombak 

Jumaat, Ogos 10, 2012

Yatt Hamzah, Tamrin Tun Ghafar, YB Ng Sue Lim bakal gegar Taman Melewar 15 Ogos ini


Penampilan pertama artis, pelakon dan pengacara tv, Yatt Hamzah bakal menarik perhatian untuk orang ramai hadir ke Ceramah "Hijrah Bersama Roh Ramadan" yang akan diadakan pada Rabu 15 Ogos jam 10.00 malam sebaik usai solat Terawih. Ia akan diadakan di Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor, Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar. Tokoh lain yang turut mengisi slot ini ialah Adun Sekincan, YB Ng Sue Lim dan anak bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Tamrin Tun Ghafar Baba serta Che Gu Ishak Surin selaku Yang DiPertua PAS Kawasan Batu. Moderator Dato' Tarmizi Mohd Jam, Editor Harakah.

Ceramah "Rakyat Ditindas, Jerung Diusung" 14 Ogos di Markaz PAS Pusat Taman Melewar


Orang ramai dijemput hadir ke majlis Ceramah "Rakyat Ditindas Jerung Diusung" pada Selasa 14 Ogos ini jam 10.00 malam selepas usai solat Terawih. Ia akan diadakan di Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor, Markaz Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar. Pemidato utama Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan bekas Menteri Pelajaran Malaysia, Dato' Bujang Haji Ulis. Turut berucap Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Che Gu Ishak Surin dan akan dipengerusikan Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Dato' Tarmizi Mohd Jam.