KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 21, 2013

Utusan akhbar Umno. Hutang banyak. Saman banyak. Umno suntik RM40 juta lagi!


Isunya daripada mana Umno dapat duit? Tindakan Umno menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat jajahan mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Utusan adalah akhbar mainstream. Orang Melayu menyifatkan ia akhbar bangsa Melayu. Sejak daripada awal lagi, Utusan muncul sebagai akhbar yang memperjuangkan orang Melayu. Kini orang Melayu itu dijelmakan dalam rupabentuk Umno. Wajah Utusan ialah muka depan Umno. Dalam ertikata lain, Utusan adalah lidah rasmi Umno di negara ini.

Tindakan Umno menyuntik RM40 juta harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat. Ini adalah konflik kepentingan apabila Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan.

Berdasarkan peraturan, jika kepentingan Umno meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain. Memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori.

Utusan amat penting bagi survival Umno. Utusan adalah senjata tajam yang bekerja keras melaga-lagakan pemimpin PAS dengan DAP dan PKR. Utusan juga adalah kapak kecil yang sering meniup api perkauman bagi mengekalkan kuasa Umno. Kini Umno menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan "Two Call Rights Issue".

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta. Sebab itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mesti bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan Umno daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia. Menurut sumber daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus.

Dengan jaminan untuk membeli saham terbitan, kuasa mengundi Umno bakal meningkat kepada kira-kira 67.2 peratus iaitu lebih dua peratus dalam tempoh enam bulan. Inilah sebab sebenar, kenapa Umno berulang kali menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membeli iklan secara agresif dalam Utusan. Kini ia terjawab. 

Dana ini penting selain memberi oksigen kepada Utusan untuk terus hidup, ia juga menjadi kantung untuk membayar pelbagai saman fitnah daripada musuh-musuh Umno yang diperlakukan secara biadap oleh Utusan dalam laporannya. Apatah lagi, Utusan kini memikul beban hutang yang besar sebanyak RM195 juta pada Oktober 2013 dan RM15.8 juta pada 2012. Ditambah dengan kerugian RM8.8j juta dalam tiga bulan tahun ini.