KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Mac 30, 2008

Exco Perak ANGKAT SUMPAH: 6 DAP, 3 PKR, 1 PAS

Pengagihan barisan Exco itu adalah seperti yang dipersetujui sebelum ini dalam satu mesyuarat ketiga-ketiga parti berkenaan bagi membentuk kerajaan campuran di Perak.

By ANGELINA SINYANG

TIGA minggu selepas kemenangan di luar dugaan pada pilihan raya umum lalu dan pelbagai spekulasi serta kemelut, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan campuran negeri Perak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

Anggota Exco itu terdiri enam daripada DAP, tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang daripada Pas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Enam daripada DAP ialah Ngeh Koo Ham (Sitiawan), Nga Kor Ming (Pantai Remis), Su Keong Siong (Pasir Pinji), Chen Fook Chye (Keranji), Seah Leong Peng (Pasir Bedamar) dan A. Sivanesan (Sungkai).

Wakil daripada PKR pula ialah Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Tai Sing Ng (Kuala Sepetang), Mohd. Osman Mohd. Jailu (Changkat Jering) dan seorang wakil Pas, Mohd. Zainudin Mohd. Yusof (Lubuk Merbau).

Pada istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan itu, kesemua mereka menerima watikah pelantikan sebelum diteruskan dengan majlis mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah menyimpan rahsia sebagai Exco kerajaan negeri.

Mereka kemudiannya menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk V. T Singam.

Hadir sama pada istiadat itu ialah Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim; Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dan beberapa wakil ADUN Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun tiada pengumuman mengenai portfolio termasuk dua jawatan Timbalan Menteri Besar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Pengagihan barisan Exco itu adalah seperti yang dipersetujui sebelum ini dalam satu mesyuarat ketiga-ketiga parti berkenaan bagi membentuk kerajaan campuran di Perak.

Upacara itu juga sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai kemelut yang dihadapi kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas dalam pembentukan kerajaan negeri dan pengagihan barisan Exco.

Kerajaan campuran yang diterajui tiga parti itu dibentuk selepas memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum 8 Mac lalu manakala BN menang 28 kerusi.

Pada 13 Mac lepas, PKR dilaporkan kecewa dan mengancam keluar daripada kerajaan campuran Perak kerana tidak bersetuju dengan pembahagian kerusi Exco kerajaan negeri.

Satu mesyuarat antara ketiga-tiga parti berkenaan kemudiannya memutuskan PKR diberikan tiga jawatan Exco berbanding satu yang diagihkan kepadanya sebelum itu dan DAP mendapat enam kerusi Exco berbanding lapan daripada peruntukan awal manakala Pas kekal dengan satu kerusi Exco, selain jawatan Menteri Besar.

Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac lalu. - Utusan Malaysia

Tiada ulasan: