KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 24, 2008

KRISIS MB: Idris Jusoh MEMANIPULASI HELAH Yang Tidak DEMOKRATIK!

Pergolakan politik sebelum pilihan raya, khususnya cantas mencantas menyebabkan timbul tanggapan bahawa Datuk Seri Idris Jusoh bukan seorang yang mempunyai sokongan majoriti dalam ertikata yang sebenarnya.

By TARMIZI MOHD JAM

“SEMUA pihak perlu mematuhi keputusan istana dalam soal perlantikan Menteri Besar Terengganu,” demikian nasihat Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Ini kerana, kata Pensyarah Undang-undang Perlembagaan UIAM itu, Terengganu mungkin sudah mencipta rekod dunia kerana mengambil masa 14 hari untuk membentuk kerajaan.

Di Malaysia ia sudah pasti satu rekod baru; sebelum ini tempoh paling lama ialah 11 hari. Rekod itu dipegang oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mungkin ‘terlupa’ untuk menghadap Yang di Pertuan Agong.

Pihak Istana Negara pula semacam tidak memperingatkan perlunya perlantikan itu dibuat dengan segera.

Dr. Abdul Aziz berkata kuasa sultan di bawah Perlembagaan adalah kuasa budibicara dan ia bersifat subjektif.

“Ini ditekankan oleh mahkamah tinggi Kota Kinabalu pada 1986 yang melibatkan saman yang dibuat oleh Tun Datu Mustapha”.

Walaupun faktor majoriti mudah, sangat penting - senario di Terengganu adalah unik dan menyebabkan kuasa subjektif itu tiba-tiba hidup kembali, katanya lagi.

Pergolakan politik sebelum pilihan raya, khususnya cantas mencantas menyebabkan timbul tanggapan bahawa Datuk Seri Idris Jusoh bukan seorang yang mempunyai sokongan majoriti dalam ertikata yang sebenarnya.

“Sesiapa yang mengikuti pergolakan politik di Terengganu akan mendapat tanggapan bahawa Idris memanipulasi dan membuat pelbagai helah yang kelihatannya tidak demokratik untuk terus berkuasa,” ulas Dr. Abdul Aziz lagi.

Beliau berkata sebagai ketua negeri yang sentiasa memerhati dan menerima maklumat sultan khususnya dan istana umumnya tentunya terpanggil untuk bertindak.

Katanya lagi, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh Idris dan para penyokongnya. Beliau menegaskan peruntukan undang-undang adalah jelas dan mereka tidak boleh membawa kes ini ke mahkamah.

Mengenai Mahkamah Khas untuk Raja-Raja Aziz menjelaskan, “Mahkamah tersebut menangani tindakan peribadi seperti gagal membayar hutang dan seumpamanya sedangkan isu perlantikan ini adalah tugas rasmi dan baginda tidak boleh dibawa ke mahkamah berkenaan”.

Satu-satunya jalan yang ada untuk kumpulan yang tidak setuju dengan perlantikan Datuk Ahmad Said itu ialah membawa usul tidak percaya di Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Sekiranya beliau kalah maka seorang Menteri Besar baru perlu dilantik.

Dr. Abdul Aziz berkata, di sini undang-undang Ahmad boleh menyertai PAS untuk memudahkan beliau membentuk EXCO. Tetapi beliau perlu sokongan beberapa orang dari Umno supaya beliau dapat membentuk majoriti di dalam dewan.

Pensyarah Undang-undang UIAM itu, mengingatkan ahli-ahli politik supaya mematuhi undang-undang dan berpolitik secara anak jantan.

“Jangan cuba mengelat dan menipu kerana ini akan menyebabkan undang-undang tidak memihak kepada mereka”.

Beliau berkata tragedi Batu Burok dan kekecohan pada hari mengundi di Marang adalah antara insiden yang menyebabkan kemenangan Umno di Terengganu dipersoalkan. Dan Idris tidak pernah membuat penafian tentang penglibatan beliau dalam kedua-dua insiden itu.

Apa yang berlaku di Terengganu adalah manifestasi kepincangan pentadbiran negara. Kegagalan SPR mengendalikan pilihan raya yang bebas dan adil menyebabkan keputusan pilihan raya di Terengganu – dan beberapa tempat lain – dipersoalkan.

Begitu juga dengan polis yang dilihat melindungi pengundi hantu.

“Apabila ini berlaku maka sukar untuk melaksanakan peruntukan undang-undang termasuk Perlembagaan Negeri. Dan inilah yang berlaku di Terengganu. Ia benar-benar membebankan Sultan dalam melaksanakan tanggung jawab baginda,” tegas Dr. Abdul Aziz lagi.

Tiada ulasan: