KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Februari 11, 2009

Mengapa tafsir maksud "derhaka" ikut nafsu serakah Umno!


KETUA Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob mengesa Pemuda Umno agar menafsirkan maksud derhaka dengan tepat bukan secara hentam keromo. Beliau berkata tiada bukti menunjukkan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin menderhaka kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

"Apa yang dilakukan oleh Nizar bukan menderhaka sebaliknya beliau mematuhi Perlembagaan Perak. Hanya Umno dan media arus perdana sahaja yang menafsirkan perkara itu sebagai menderhaka sedangkan pemimpin Umno lebih banyak melakukan perkara tersebut," tegas beliau.

Salahuddin berkata jika dilihat kembali sejarah Perak, apa yang berlaku antara Sultan Idris Shah dan Tan Sri Ghazali Jawi lebih jelas pemimpin Umno yang menderhaka berbanding apa yang berlaku sekarang.

Kata beliau jika Pemuda Umno mahu berbahas secara akademik mengenai isu menderhaka, mereka perlu menafsirkan peristiwa-peristiwa yang melibatkan pemimpin Umno dengan istana.

"Apa yang dilakukan oleh Tan Sri Annuar Musa ketika menjadi Pengerusi Perhubungan Umno pada tahun 1993 lebih merupakan penderhakaan. Sudahlah dilantiknya Sultan baru ketika Sultan Ismail Petra masih lagi sah sebagai Sultan Kelantan, upacara itu pula dilakukan di padang bola.

"Peristiwa itu merupakan penderhakaan terhadap Sultan tetapi media arus perdana serta Umno tidak pula menentang atau melakukan demonstrasi," tegas Salahuddin. Selain itu beliau juga merujuk tindakan Tan Sri Muhammad Mohd Taib yang melarikan puteri Sultan Selangor dan bernikah di Selatan Thai sebagai perbuatan yang menderhaka tetapi tidak mendapat bantahan Pemuda Umno dan badan-badan bukan kerajaan yang pro Umno.

Salahuddin juga berkata ada pemimpin Umno yang menceraikan isteri dari keturunan raja kemudian menuduh bekas isterinya itu gila tetapi media arus perdana dan Umno tidak pernah melabelkan mereka ini sebagai penderhaka.

"Media arus perdana serta pemimpin Umno seharusnya tidak melupakan peristiwa di Perlis dan Terengganu ketika memilih Menteri Besar selepas pilihan raya 2008 yang lebih menderhaka dari apa yang Nizar lakukan," tegas beliau. PAS kata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau membuat tindakan yang boleh dikaitkan dengan menderhaka kepada Sultan.