KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Februari 15, 2009

Perlantikan Penasihat MB, hanya bazirkan RM720 ribu setahun duit rakyat semata-mata Zamry mahu kukuhkan politiknya!


PAS menyelar tindakan Menteri Besar kerajaan 'haram' Perak Dato' Dr Zambry Abdul Kadir melantik tiga penasihat kepada Menteri Besar dan akan menikmati kemudahan sebagai seorang exco dan menyifatkannya sebagai satu tindakan membazir, lapor Irwan Muhamad Zain.

Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan demikian kepada Harakah ketika mengulas perlantikan tersebut.

"Apa yang dilakukan oleh Zambry ini kerana terikut cara yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat yang banyak melantik penasihat bertaraf menteri," tegas beliau. Beliau juga menegaskan wang sebanyak itu sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang masih dibelenggu kemiskinan bukan untuk kemudahan pemimpin BN.

"Sepatutnya Zambry menggunakan peruntukan tersebut untuk membantu golongan susah lebih-lebih lagi ketika kegawatan ekonomi yang sudah mula dirasakan oleh rakyat negara ini.

"Tetapi ketika ramai yang kehilangan pendapatan akibat kegawatan ekonomi, Zambry pula memperuntukan sebanyak RM240,000 setahun hanya untuk tiga orang ini," tegas Mahfuz.

Pada 12 Februari lalu, DAP Perak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung keputusan Zambry melantik tiga penasihat kepada Menteri Besar yang didakwa oleh parti itu sebagai salah guna kuasa.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata pelantikan itu dibuat tanpa kelulusan exco kerajaan Perak dan juga melanggar peruntukan undang-undang tubuh negeri. Mereka bukan bertaraf exco tetapi akan menikmati kemudahan sebagai seorang exco. Setiap penasihat tersebut akan menerima gaji sebanyak RM240,000 setahun.

Jumlah tersebut termasuk gaji bulanan RM15,000, elaun percutian (RM20,000), sebuah kereta berserta pemandu, elaun bayaran bil bulanan (RM1,000), elaun pakaian bulanan (RM3,500) dan lesen untuk memiliki senjatapi. Bagi jumlah keseluruhannya, kerajaan negeri akan berbelanja sebanyak RM720,000 setiap tahun untuk membayar gaji dan elaun tiga penasihat tersebut.

"Segala tindakan Dato' Zambry yang membawa implikasi kewangan kepada kerajaan negeri adalah tidak sah dan boleh dipandang sebagai satu bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa. Tidak terdapat sebarang peruntukkan dalam perlembagaan negeri Perak yang membenarkan pelantikan seumpama itu dibuat dan ia adalah wang rakyat," kata Nga.

Pengarah SPRM Perak, Bahari Mohd Zain mengesahkan menerima laporan itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Zambry pada 11 Februari lalu mengumumkan pelantikan Dato' Chang Ko Youn sebagai Penasihat Hal Ehwal Masyarakat Cina, Datuk S.Veerasingam Penasihat Hal Ehwal Masyarakat India dan Dato' Mohd Najmuddin Elias sebagai Penasihat Hal Ehwal Agama. Beliau juga mengumumkan pelantikan Dato' Hamdi Abu Bakar sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Perak.

Chang merupakan Timbalan Pengerusi Gerakan peringkat nasional manakala Veerasingam adalah Naib Presiden MIC.

Dalam pilihan raya umum lalu, Chang tewas di Parlimen Beruas manakala Veerasingam pula kalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai. Mohd Najumuddin pula menang di DUN Batu Kurau, manakala Hamdi menang di DUN Pengkalan Baru.

Tiada ulasan: