KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Februari 10, 2009

Sejarah "politik culik" BN dalam menjatuhkan sesebuah kerajaan

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin menunjukkan laci mejanya yang telah kontang dari sebarang dokumen akibat "rampasan kuasa" oleh BN melalui empat Adun Pakatan Rakyat yang melompat dan menjual maruah mereka!

RAKAN saya yang aktif mengumpulkan bahan sejarah berkaiatan PAS, MOHD FADLI ABDUL GHANI menggarap satu artikel tentang sejarah "lompat-melompat" yang membabaitkan Kerajaan PAS sebelum ini. Ikuti paparan beliau:

Tindakan Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai Pakatan Rakyat pada minggu lepas telah menggugat kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai bakal perdana menteri, lebih-lebih ia berlaku selepas kekalahan BN di Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 yang lalu.

Agaknya kerana mahu memulihkan imejnya tercalar, Najib Razak yang dilantik sebagai Pengerusi BN Perak telah melakukan ’penculikan politik’ ke atas beberapa wakil rakyat PR untuk menjatuhkan kerajaan PR di Perak. Dengan tiba-tiba sahaja desas-desus undang-undang anti lompat parti hilang dan tidak diperkatakan lagi, tidak seperti mana ketika Datuk Nasaruddin mengumumkan meninggalkan BN.

Semalam (4 Feb. 2009), kerajaan PR di Perak telah kehilangan majoriti apabila empat ADUN PR termasuk dua orang Exco iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Kapt. (B) Osman Jailu (PKR–Changkat Jering), Datuk Nasaruddin Hashim (PKR–Bota) dan Hee Yit Fong (DAP–Jelutong) diumumkan keluarkan dari PR dan menyokong BN. Kita berserah kepada Allah tentang nasib kerajaan PR di Perak.

Tetapi kita memang tahu bahawa keempat-empat ADUN ini telah diculik dan dibawa ke Kuala Lumpur untuk dipaksa menyokong BN. Blog Setiausaha Politik Menteri Perak menjelaskan bagaimana Datuk Nasaruddin 'dilarikan', begitu juga dengan Yit Fong, manakala Jamaluddin dan Osman pula telah ’diculik’ semejak seminggu yang lalu.

Cerita BN menjatuhkan kerajaan yang dikuasai pembangkang melalui gerakan menculik wakil rakyat bukan suatu perkara yang baru. PAS cukup berpengalaman dalam soal ini kerana beberapa kali PAS mengalaminya ketika memerintah di Kelantan dan Terengganu zaman Perikatan dahulu.

Bahkan, pada 1991, ketika PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menguasai kesemua 39 kerusi DUN Kelantan, BN telah berjaya 'membeli' ADUN Limbongan, Datuk Wan Najib Mohammed dan ADUN Sungai Pinang, Nordin Salleh dari PMS46 untuk menggugat kerajaan APU Kelantan. Ketika Perikatan hampir tumbang pada 1969, tiga orang ADUN PAS di Terengganu telah dibeli oleh Perikatan untuk mengukuhkan kerajaan mereka di negeri itu.

Datuk Joseph Pairin Kitingan sudah tentu masih ingat bagaimana ADUN PBS dibeli oleh Umno setelah parti itu hanya memiliki lebihan satu kerusi majoriti sahaja di DUN Sabah pada 1994.

Apabila mengenangkan strategi BN untuk menculik wakil rakyat ini, pendekatan ini tidak ubah seperti yang dilakukan oleh Perikatan di Terengganu pada 1961 dan juga di Kelantan pada 1968. PAS menguasai Terengganu pada 1959 dengan kelebihan 2 kerusi di mana PAS mendapat 13 kerusi, Perikatan (7) dan Parti Negara - PN (4) dalam DUN yang mempunyai 24 ahli itu.

PAS menghadapi masalah melantik Menteri Besar kerana Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Ahmad Azzam Hanafiah (ADUN Jeram) adalah berasal dari Perak. PAS Terengganu memutuskan untuk melantik Mohd Daud Abdul Samad (ADUN Setiu) sebagai Menteri Besar.

Bekas wakil rakyat Umno kawasan Dungun (1955-1959) yang menyertai PAS pada 1958, Mohd Taib Sabri Abu Bakar (ADUN Marang) dilantik sebagai Speaker, manakala Ustaz Ahmad Azaam menjadi Exco yang bakal dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar.

Walau bagaimanapun, berlaku ketidakpuasa hati sesetengah ahli dan pimpinan PAS Terengganu dalam soal perlantikan ini. Umno mengambil kesempatan untuk mempengaruhi Ustaz Ahmad Azzam dan beberapa wakil rakyat yang lain untuk menjatuhkan kerajaan.

Mohd Taib Sabri dan Ustaz Ahmad Azzam telah mengkritik kerajaan secara terbuka sehingga memaksa PAS berusaha membentuk kerajaan campuran dengan PN. Dalam keadaan gawat ini, Ismail Abbas (ADUN Langkap) telah menyertai PAS dari PN, manakala Ustaz Ahmad Azzam pula keluar dari PAS, diikuti oleh tersiarnya berita bahawa Mohd Taib Sabri juga keluar dari PAS, tetapi beliau menafikan. Kerana marahkan ADUN Langkap menyertai PAS, Ketua PN Terengganu, Wan Daud Wan Ahmad telah membawa dua lagi ADUN PN menyokong Perikatan.

Keadaan ini menyebabkan kedudukan kerusi berubah dengan PAS menguasai 13 kerusi dan Perikatan (10) dan Bebas (1). Sebelum itu, Ibrahim Fikri, Ketua Umno Terengganu telah berjaya memujuk Tuan Guru Haji Abbas Mohamad, Senator PAS menyertai Umno pada 22 Julai 1960.

Ketika suasana kerajaan yang genting ini, Umno telah bertindak 'menculik' dua orang ADUN PAS, Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamed (ADUN Kuala Terengganu Tengah) dan Ustaz Haji Wan Said Mohd Noor (ADUN Kuala Besut) dan dibawa ke Kuala Lumpur untuk disembunyikan dan 'dipaksa' menyokong Perikatan dengan janji pembangunan.

Dalam masa yang sama, Umno mewar-warkan untuk mengadakan usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar. Pada 21 Oktober 1961, Haji Abdul Kadir, Haji Wan Said dan Mohd Taib Sabri dilaporkan menyertai Umno bersama tiga ADUN PN.

Akhirnya, dalam Sidang DUN Terengganu pada 30 Oktober 1961, usul tidak percaya yang dikemukakan oleh Wan Daud Wan Ahmad telah menjatuhkan kerajaan PAS dan Sultan Terengganu tidak memperkenankan permintaan Menteri Besar untuk membubrkan DUN. Demikianlah dramatiknya keadaan politik Terengganu pada 1961 kerana tindakan Umno ’menculik’ wakil rakyat PAS.

Di Kelantan juga berlaku keadaan yang sama. Selepas kejatuhan kerajaan PAS di Terengganu, telah timbul ura-ura Umno hendak 'membeli' wakil rakyat Kelantan pula. Pada akhir Julai 1962, Umno telah berjaya 'membeli' ADUN Pasir Puteh Utara, Dato’ Tengku Mohammed bin Sultan Mohammad Ke-IV yang juga merupakan Exco Kerajaan Kelantan, mengekori Ahli Parlimen Tanah Merah, Ustaz Othman Abdullah yang juga menyertai Umno pada Jun 1962.

Selepas itu, mereka menahan beberapa orang ulamak di bawah ISA dalam isu kafir-mengkafir pada November 1963, diikuti oleh penahanan tiga ADUN PAS iaitu Ustaz Nik Abdullah Arshad (Kota Bharu Pantai), Tuan Guru Haji Hassan Ismail (Tendong) dan Saufi Idris (Kota Bharu Timur) di bawah ISA pada Februari 1964.

Dalam pilihan raya umum pada 3 Mei 1964, PAS memenangi 21 daripada 30 kerusi termasuk kemenangan ketiga-tiga ADUN yang ditahan di bawah ISA. Setelah ketiga-tiga ADUN ini dibebaskan dari ISA pada awal 1965, Saufi Idris telah berjaya dipujuk oleh Umno untuk keluar daripada PAS dan menjadi ADUN Bebas pada April 1965 yang menyebabkan kedudukan bertukar menjadi PAS (20), Perikatan (9) dan Bebas (1).

Pada 1967, keadaan politik semakin parah apabila Ahli Parlimen Pasir Mas Hulu, Abdul Samad Ghul Ahmad Mianji telah dibunuh oleh penjanayah yang sehingga hari ini belum ditangkap.

Pada 1968, timbul pula desas-desus bahawa Umno akan mengemukakan undi tidak percaya kepada kerajaan PAS Kelantan yang dipimpin oleh Datuk Mohd Asri Muda. Cerita membeli ADUN yang timbul semenjak 1961 berbangkit semula apabila empat orang ADUN Kelantan iaitu Ustaz Abdul Rahman Salleh (ADUN Pasir Puteh Tenggara), Omar Mohammad (Tanah Merah Timur), Yusoff Abdul Latif (Tanah Merah Barat) dan Abdullah Yusof (Tok Uban) mengisytharkan keluar PAS.

Omar Mohammad, Yusof Abdul Latif dan Abdullah Yusof bersama Saufi Idris mengisytiharkan mereka menyertai Umno, manakala Abdul Rahman Salleh menjadi wakil Bebas yang menyebabkan kedudukan di DUN Kelantan menjadi seimbang iaitu PAS (15), Perikatan (14) dan Bebas (1).

Umno bercadang menggunakan ISA ke atas wakil PAS bagi mengurangkan majoriti mereka sebelum undi tidak percaya yang dirancang diadakan pada 20 Ogos 1968. Ini terbukti apabila Exco Kerajaan Kelantan, Ahmad Yatim (ADUN Rantau Panjang) ditahan ISA pada 10 November 1968 atas tuduhan terlibat dengan kegiatan komunis.

Walaupun ISA berjaya membuatkan Saufi Idris keluar PAS, tetapi pendekatan yang sama tidak berkesan ke atas Ustaz Nik Abdullah Arshad dan Tuan Guru Haji Hassan Ismail, tidak seperti mana kejayaan mereka membuatkan Tuan Guru Haji Omar Daud Kubang Bemban dan Tuan Guru Haji Mohd Nor Abdullah Teliar menyertai Umno selepas keluar ISA pada 1968.

Ceritanya bermula apabila polis mengarahkan wakil-wakil rakyat PAS melaporkan diri ke balai polis, kemudian mereka ditahan dan dibawa ke Kuala Lumpur dalam ’penculikan politik’ terancang. Di Kuala Lumpur, mereka dipaksa menyertai Umno dan ditawarkan pelbagai imbuhan.

Omar Mohammad pernah mendedahkan perkara ini dalam Harakah baru-baru ini. Akhirnya mereka membuat pengumuman untuk meninggalkan PAS melalui televisyen pada 2 Ogos 1968. Akhbar-akhbar pada 3 dan 4 Ogos 1968 pula turut menyiarkan berita kononnya empat lagi ADUN PAS iaitu Dato’ Ishak Lotfi Omar (Kota Bharu Selatan), Abdul Rahman Awang Sulong (Kota Bharu Barat), Wan Yusof Wan Yaakob (Kuala Kelantan) dan Abdul Kadir Mat Saad (Pasir Puteh Utara) akan menyertai Umno.

Walau bagaimanapun, keempat-empat menafikan, diikuti oleh tindakan Ustaz Abdul Rahman Salleh menyertai semula PAS bersama Omar Mohammad dan Yusof Abdul Latiff. Abdullah Yusof yang juga Speaker DUN Kelantan bersama Saufi Idris kekal dalam Umno kerana beliau dikatakan 'agen Umno' dalam mempengaruhi wakil rakyat PAS.

Peristiwa yang menggemparkan Kelantan ini dikenali di kalangan penganalisis politik sebagai ’Turn About-About Turn’ kerana wakil rakyat yang diculik kemudian dipaksa menyokong Perikatan, telah kembali menyokong PAS sebelum sidang DUN diadakan pada 20 Ogos 1968, sekali gus menyelamatkan Kerajaan PAS di Kelantan.

Inilah pengalaman yang sangat berharga kepada PAS dalam menghadapi Umno/BN, tetapi ia belum dirasai oleh PKR. DAP pernah mengalaminya di Perak pada 1969 ketika kedudukan Perikatan (19) - Pembangkang (DAP, PPP dan PAS) (21). Seorang wakil rakyat DAP telah dibeli bersama 2 ADUN PPP yang menyertai Perikatan sehingga membolehkan Perikatan berkuasa semula ketika darurat perkauman sedang berlaku.

Budaya membeli dan menculik wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan adalah perkara biasa bagi sebuah parti perasuah seperti Umno/BN.

Bagi empat wakil rakyat PR yang diculik dan dipaksa menyokong BN untuk menjatuhkan kerajaan Perak, mereka masih mempunyai masa untuk kembali ke pangkal jalan seperti mana yang dilakukan oleh beberapa ADUN Kelantan dalam menyelamatkan kerajaan PAS pada 1968.

Tidak menjadi satu kesalahan jika mereka yang berikrar untuk menyokong BN secara paksa itu melakukan sebaliknya untuk mengajar Umno/BN yang tidak bermaruah dalam mencari kuasa dan pengaruh. Kembalilah kepada kebenaran dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat!

1 ulasan:

HjMisaiKontot :الدليل السياحي berkata...

Kisah2 ini wajib didokumenkan segera untuk kepentingan generasi sekarang dan akan datang..