KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 09, 2009

Calon PAS Parlimen Bukit Gantang akan diumumkan pada 26 Mac ini, Ustaz Hadi dan Tok Guru Nik Aziz lancar Jentera Pilihan Raya


PAS akan mengumumkan calon untuk bertanding kerusi Parlimen Bukit Gantang 26 Mac ini, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ahmad Awang hari ini, lapor NURUL AIN MOHD HUSSAIN dari mSTAR.Online sekejap tadi.

"Kita akan mengumumkan calon PAS tiga hari sebelum tarikh penamaan calon. Perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat PAS pusat semalam," kata beliau. Bagaimanapun menurut beliau, PAS negeri belum selesai menyenarai pendek nama-nama yang dicalonkan oleh kepimpinan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Bukit Gantang.

"Ada kawasan DUN yang hanya menyerahkan senarai nama saat-saat akhir. Saya belum sempat mengemaskinikan senarai nama itu lagi. Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi saya akan menyemak senarai nama yang telah diserahkan itu," katanya.

Parlimen Bukit Gantang terdiri daripada tiga DUN, iaitu Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang. Kerusi Parlimen Bukit Gantang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Roslan Shaharum daripada PAS awal bulan lalu akibat sakit jantung.

Penamaan calon akan diadakan 29 Mac manakala hari pengundian, jika ada pertandingan, akan berlangsung pada 7 April. Jelas beliau, selepas mengemaskinikan senarai nama calon itu barulah ia akan diserahkan kepada PAS pusat untuk memilih calon yang sesuai.

"PAS Pusat hanya akan bermesyuarat mengenai calon selepas Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pulang dari luar negara pada 20 Mac ini," ujarnya.

Difahamkan Abdul Hadi akan berlepas ke Iran bagi menghadiri seminar dari 12 hingga 20 Mac. Ditanya mengenai agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat PAS Pusat semalam, Ahmad berkata, ia membincangkan mengenai gerak kerja dan persiapan jentera pilihan raya parti.

Sementara itu, Ahmad berkata, jentera pilihan raya PAS telah dilancarkan oleh Hadi pagi tadi di markas PAS di Bukit Chempedak yang terletak dalam DUN Changkat Jering. Turut hadir Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Naib Presidennya, Datuk Husam Musa.

Tiada ulasan: