KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 23, 2009

Jenayah rasuah politik wang yang membadai Umno beri pukulan maut kepada BN Bukit Gantang

Bloggers Sanggahtoksago, Tarmizi Mohd Jam terus mengikuti Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang dari dekat bagi melihat reaksi pengundi terhadap Pakatan Rakyat dan BN

Perang poster makin rancak di Bukit Gantang sejak semalam


KETIKA Umno bercita-cita mahu menang kerusi Parlimen Bukit Gantang, dengan melantik tiga bapa angkat mengikut tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Bukit Gantang, tiba-tiba ada 'kambing hitam' muncul secara tiba-tiba, ulas rakan penulis saya, Idris Samad dari Selayang.

Kambing hitam yang dimaksudkan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin Umno (LDU) adalah bapa angkat bagi DUN Kuala Sepetang, manakala Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilantik menjadi bapa angkat kepada DUN Changkat Jering dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib merupakan bapa angkat kepada DUN Trong.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bagaimana pun menafikan bahawa Mohd Ali adalah kambing hitam dan mangsa kepada Umno yang akan menghadapi pemilihan minggu depan.

Apakah masih ada kepercayaan pengundi-pengundi di Parlimen Bukit Gantang, khususnya yang berada di dalam DUN Kuala Sepetang terhadap kepimpinan Mohd Ali kerana Mohd Ali didapati bersalah kerana terlibat dengan politik wang.

Umno mendakwa mahu dibersihkan dari tohmahan bergelumang dengan politik wang. Pertandingan dalam Umno, bermula dari peringkat cawangan, bahagian dan MT memang tidak boleh terlepas dari cerita politik wang. Hingga ada Menteri dan Menteri Besar enggan bertanding kerana mereka tidak mahu terlibat dengan 'desakan mahukan wang poket' dari calon-calon yang bertanding.

Seorang perwakilan dari Pahang (G 7) mendakwa dia sudah mengumpul RM60 ribu hasil kutipan dari calon-calon yang bertanding, termasuk calon Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden dan MT.

Menurutnya, ada calon yang bagi RM1,000 sekali pertemuan dan paling sedikit, RM100. Jika benar dakwaan itu, mustahil Lembaga Disiplin Umno tidak dapat mengesan transaksi antara calon-perwakilan, hingga membolehkan seseorang perwakilan dapat mengumpul RM60 ribu.

Janganlah ada mana-mana calon menafikan ada berlaku politik wang, walaupun bukan semua yang menaburkan wang kepada perwakilan. Tetapi, sebahagian besar calon, memang 'menggunakan tongkat' untuk mendapat sokongan kerana mereka sedar diri mereka pincang.

Rata-rata menyalahkan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana menangguhkan pemilihan dari Disember 2008 ke Mac 2009. Tempoh tiga bulan ini menyebabkan perwakilan berpesta dengan wang saku dari calon-calon.

Ada yang meminta dan ada juga yang mengendeng-ngendeng kepada calon dengan harapan diberikan habuan. Calon-calon biasanya bersedia memberikan habuan, walaupun mereka sedar, belum tentu mereka akan mendapat sokongan.

Tidak hairanlah ada antara calon MT yang sudah didakwa di mahkamah oleh SPRM kerana dituduh memberikan wang kepada seseorang bagi mencari sokongan. Ada juga pegawai Menteri yang ditangkap SPRM kerana mempunyai sejumlah wang yang banyak selepas mengadakan pertemuan dengan perwakilan dari Wilayah Persekutuan di sebuah bistro terkemuka di Kuala Lumpur.

Dari cerita-cerita ini, pengundi di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai (Sarawak) tentunya kecewa dengan Umno dan BN. Bagi mereka, Umno tidak pernah mahu belajar dari pengalaman pahit kekalahan mereka dalam PRU 12 yang lalu.

Cerita mereka berebut jawatan dalam parti, seolah-olah parti mereka masih kuat dan utuh padahal, Umno sekarang sedang sakit tenat. Pelbagai isu melanda parti dan kepimpinan. Ini langsung tidak menyedarkan mereka malah, masih ada lagi yang kena jerat LDU dan SPRM kerana pelanduk sering melupakan jerat sedangkan jerat tidak pernah melupakan pelanduk.

Lihat bagaimana Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mempertahankan jawatannya. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkannya seolah-olah pergerakan itu milik peribadinya. Begitu juga pertembungan pengaruh Dr. Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui pertandingan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Lihat juga bagaimana perebutan berlaku untuk jawatan dalam Pergerakan Puteri, seolah-olah tiada esok lagi bagi mereka untuk mencari kedudukan.

Dalam Umno, ugutan dari pelbagai lapisan kepimpinan sudah terkehadapan. Apabila disahkan berlaku kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang, Umno Bahagian Bukit Gantang mendesak, walaupun dalam suasana lembut mahu calon tempatan diletakkan di situ jika BN mahu kemenangan.

Khabarnya, Pak Lah hilang keberanian dalam bab memilih calon kerana dua kali pilihan raya kecil yang terdahulu, Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Pak Lah dipersalahkan kerana calon-calon tersebut pilihannya.

Kali ini, pemilihan Ismail Saffian dikatakan pilihan penduduk tempatan Bukit Gantang kerana kekalahannya merebut jawatan ketua bahagian dikatakan kerana 'kisah malam terakhir' yang memperlihatkan permainan 'Ismail Saffian' tertewas di tangan yang menang.

Orang Bukit Gantang tentunya tahu kenapa Ismail Saffian tewas dalam pemilihan di peringkat bahagian tetapi kekalahannya itu akan berterusan jika Umno Bahagian Bukit Gantang masih ada 'permainan silap mata' dengan Datuk Seri Najib dalam pilihan raya kecil ini nanti.

Sejarahnya, Bukit Gantang tidak pernah tewas. Bukan sahaja orang luar boleh dipilih menjadi calon di Bukit Gantang, malahan kawasan yang bermajoriti Melayu ini pernah memenangkan calon BN dari Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe.

Namun, apabila pengundi mula benci, kerana kawasan Parlimen Bukit Gantang jauh ketinggalan dari segi pembangunan dan pelbagai infra, calon yang berpotensi menjadi Menteri, jika menang dalam PRU 12 yang lalu, pun ditolak.

Datuk Seri Abdul Aziz Zabidi, adalah Bendahari Umno dan Pengerusi BSN dikatakan bakal Menteri jika menang. Namun, pengundi Bukit Gantang tidak mahu mengadaikan maruah mereka dengan tunduk sahaja kehendak pucuk pimpinan.

Ketika ini, Najib sedaya upaya mahu memenangkan calon BN kerana khabarnya Ismail Saffian adalah 'orang Najib' yang perlu dimenangkan, bagi membolehkan Najib menjanjikan harapan baru kepada kepimpinannya.

Ketika Ali Rustam terkial-kial membersihkan imejnya, yang memerlukan beliau bercuti buat seketika, tentunya sedikit sebanyak apa yang berlaku ke atasnya akan menjejaskan peluang BN di Bukit Gantang.

Ali Rustam hanya boleh berbangga kerana Umno di Melaka tidak pernah kalah dalam setiap pilihan raya mungkin menjadi penyebab BN kalah di Bukit Gantang.

Tiada ulasan: