KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mac 28, 2009

KDN sarat dengan agenda politik, jika Harakah lakukan kesalahan, seret saja ke mahkamah!


JIKA benar Harakah ada melaporkan yang salah, fitnah, adu-domba, hasutan, mendedahkan maklumat Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA), menentang Raja, pihak yang berkenaan perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Harakah. Seret sahaja lidah rasmi PAS itu ke muka pengadilan. Itu yang paling tepat dan profesional, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tegas beliau tidak sepatutnya bertindak bagi pihak lain dan mengambil tindakan yang tidak sepatutnya terhadap Harakah. Apa agenda KDN?

Apakah tindakan menggantung permit Harakah ini dilakukan secara profesional atau mengikut telunjuk orang-orang politik yang berkepentingan? Atau taktik Syed Hamid Albar untuk mencuri tumpuan perwakilan Umno dan Najib Tun Razak, menunjukkan ketegasan beliau terhadap "musuh-musuh" Umno?

"Jika Harakah ada laporkan berita yang salah, tidak tepat, fitnah atau adu-domba, pihak atau individu yang berkenaan sepatutnya mengambil tindakan undang-undang iaitu menyaman Harakah.

"PAS kesal dengan sikap KDN yang mengambil tindakan bagi pihak orang lain dan ini merupakan satu tindakan yang mencabuli kebebasan media," tegas Mahfuz dalam satu sidang media bersama Ketua Penerangan KeADILan, Tien Chua di lobi Parlimen 24 Mac lalu.

Mahfuz juga menegaskan dalam syarat-syarat permit yang diberikan oleh KDN tidak terdapat peraturan mengatakan Harakah perlu dijual kepada ahli-ahli parti. Harakah sama seperti akhbar-akhbar lain. Untuk dijual, mestilah dijual di kedai-kedai akhbar bukannya di markaz-markaz parti.

Lagipun, semua orang sedar ahli PAS bukan sahaja berada di markaz parti apabila ada aktiviti tetapi bertaburan di serata tempat. Kalau dijual di kedai akhbar, mereka lebih mudah mendapatkannya dan pihak pekedaipun merasakan akhbar Harakah adalah suatu yang laris dijual.

Yang membelinya sudah tentulah ahli dan penyokong parti. Mustahil pula ahli MIC, MCA apatah lagi ahli Umno untuk membeli lidah rasmi PAS seperti Harakah. KDN tidak perlu takut dan cemas kalau Harakah boleh dibeli di tempat awam. Ini kerana ahli-ahli PAS sudah melata seperti ahli-ahli Umno yang berada di mana-mana.

Tindakan pengantungan Harakah dan Suara Keadilan ini tegas Mahfuz merupakan satu tindakan terdesak kerajaan BN menjelang pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

"Apa yang dilakukan ini adalah cubaan untuk menyekat rakyat daripada memperolehi maklumat sebenar menjelang pilihan raya kecil di tiga-tiga tempat tersebut," tegas Mahfuz.

Sementera itu Ketua Penerangan KeADILan, Tien Chua menegaskan pihaknya kesal dengan tindakan yang dibuat oleh KDN tetapi akan tetap menerbitkan Suara Keadilan seperti biasa.

Beliau menegaskan tindakan terbaru KDN ini telah mendapat bantahan banyak pihak termasuk dari kalangan NGo-NGO yang memperjuangkan kebebasan media dan hak asasi manusia.

"Kita akan teruskan walaupun tanpa permit dan pelbagai cubaan untuk menyekat penyebaran maklumat kepada rakyat. Dalam konteks sekarang, ada pemilihan (Umno), pilihan raya kecil, peralihan kuasa (Perdana Menteri kepada Datuk Seri Najib Razak), pihak berkuasa cuba menutup ruang penyebaran maklumat," tegas Tien Chua.

Beliau juga menegaskan tindakan kerajaan terhadap dua akhbar pembangkang berpengaruh ini "hanya permulaan" untuk kawalan yang ketat terhadap media selepas ini.

Tiada ulasan: