KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mac 28, 2009

PENA sifatkan KDN bertindak keras gantung dua lidah rasmi pembangkang

Profesor Dr Shaharil Muhamad Zain


PENGGANTUNGAN permit Harakah selama tiga bulan oleh KDN disifatkan sebagai satu kekerasan dalam usaha menyekat kebebasan akhbar di negara ini.

Timbalan Pengerusi Tetap Persatuan Penulis Malaysia (Pena), Dr Ibrahim Ghaffar, berkata kekerasan itu bukan tertakluk kepada menyekat Harakah semata-mata, tetapi menyekat periuk nasi para wartawan dan tenaga kerja Harakah dalam usaha mereka menyebarkan maklumat.

"Harus diingatkan bahawa penulis ini seorang yang kreatif, yang menjadikan tulisannya sebagai ikhtiar hidup mencari nafkah. Apabila ia disekat melalui Harakah, tidak semestinya ia akan berakhir tetapi akan terus tersebar luas di media-media lain," kata beliau yang ditemui di Rumah Pena, 23 Mac lalu.

Beliau turut mengingatkan, pihak kerajaan harus sedar dengan tindakan tersebut akan mewujudkan perasaan marah yang akhirnya akan menyebabkan semakin banyak tulisan yang menjurus kepada rasa tidak puas hati dan kebencian.

"Penggantungan ini bukan saja menyekat penulis Harakah terus menulis, hak pembaca terus membaca, tetapi kebebasan saya menulis di Harakah juga sudah tersekat. Begitu juga dengan penulis-penulis lain di akhbar itu. Kerajaan tidak boleh sekat keinginan saya menulis," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Ibrahim turut berkata Harakah dijual hanya untuk ahlinya sahaja, dan BN tidak perlu bimbang dengan penulisan yang tersiar di Harakah dan sepatutnya menyuburkan percambahan pendapat dan perbezaan pandangan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Gerakan Mansuh PPSMI, Prof Dr Shaharil Mohd Zain, berkata secara umumnya KDN menyekat kebebasan akhbar yang sepatutnya terjamin dalam perlembagaan negara.

Katanya, tanpa alasan kukuh daripada KDN menambahkan lagi kekangan kerajaan terhadap akhbar yang berpengaruh itu, selain menimbulkan perspektif negatif rakyat terhadap kerajaan.

"Apabila KDN tidak mengemukakan alasan kukuh berhubung penggantungan tersebut, ia menambahkan tanggapan negatif rakyat terhadap kerajaan. Seharusnya, setiap tindakan itu perlu diberikan alasan yang munasabah," kata beliau.

Tiada ulasan: