KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Dato' Wan Rahim mahu perwakilan Muktamar PAS beri input pastikan kemenangan PAS di Manek Urai

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Wan Rahim Abdullah berkata, pandangan dan idea bernas mengenai isu Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manik Urai yang akan dicetus para perwakilan dalam Muktamar Tahunan PAS ke 55 nanti akan dijadi input yang berguna kepada pimpinan parti, lapor Roy Rasul.

Perwakilan ujarnya mungkin cuba memberikan pengalaman masing-masing untuk memastikan PAS mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil tersebut pada 14 Julai depan.

"Jadi pandangan-pandangan yang baik daripada perwakilan, khasnya yang mempunyai pengalaman di tempat masing-masing merupakan input-input yang berguna kepada pimpinan parti dalam merangka dan menyusun strategi menghadapi pilihan raya kecil Manek Urai," katanya semasa diminta mengulas mengenai isu pilihan raya kecil Manik Urai yang dijangka menjadi topik perbahasan dalam Muktamar Agung PAS pada 5 hingga 7 Jun ini.

Kerusi Manek Urai kosong berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negerinya (Adun), Ismail Yaacob 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Ismail, 60, yang mewakili PAS memenangi kerusi Manek Urai sejak pilihan raya umum 1986 kecuali pada 2004 kerusi tersebut diwakili oleh Zamzuri Mat Lazim tetapi tewas ditangan calon BN Mohamed Zulkifli.

Pada pilihan raya umum ke-12, Ismail yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kuala Krai menewaskan Mohamed Zulkifli dari BN dengan majoriti 1,352 undi. DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang turut terdiri daripada DUN Dabong, Guchil serta Mengkebang.

Menurut Wan Rahim yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Umno beranggapan Dun Manek Urai memberi satu peluang yang baik kepada mereka untuk mencari kemenangan dalam membakar semangat dan memberi satu peralihan baru sejak siri pilihan raya kecil yang bermula daripada Permatang Pauh sehingga ke Penanti.

Ujarnya, beliau tidak menolak Umno mempunyai peluang 50-50 di Manek Urai berdasarkan kepada hakikat BN pernah memenanginya dalam pilihan raya umum 2004 walaupun dengan majoriti yang kecil.

Oleh kerana itu tegasnya, PAS menghadapi satu penentangan yang cukup kuat dari BN pada pilihan raya kali ini.

Wan Rahim berkata, PAS tidak boleh terlalu yakin untuk mencapai kemenangan dan jentera pilihan raya perlu membuat penyusunan yang rapi dalam gerakerja. Malah katanya, pengalaman lalu menunjukkan kelalaian dan kesilapan kecil membawa kepada kekalahan PAS pada 2004.

"Inilah yang menjadikan pilihan raya Manek Urai cukup menarik dan Umno akan bermati-matian bagi mendapat kemenangan di sini untuk menyuntik satu semangat baru kepada ahli-ahli mereka.

"Umno akan cuba untuk memberikan satu arah baru dalam senario politik nasional," katanya.

Ujarnya, mungkin perwakilan akan cuba memberikan pandangan masing-masing kerana Manek Urai merupakan satu mercu tanda dalam perjuangan PAS di Kelantan. Sejarah pernah tercipta pada tahun 1978 apabila PAS hilang kuasa dalam pilihan raya ketika itu. PAS hanya menang di dua kerusi sahaja iaitu Dun Manek Urai dan Sering daripada 36 kerusi yang ditandingi.

Dua Dun tersebut katanya, Umno mengelarnya sebagai "batu nisan" kepada PAS.

"Jadi benda-benda ini mungkin cukup menarik untuk perwakilan di muktamar nanti memberikan pandangan mereka mengenai penyusunan jentera pilihan raya mengenai calon, sikap terlalu yakin kepada kemenangan yang akan membawa kepada kekalahan," tegasnya.

Walaupun Wan rahim berpendapat, PAS mempunyai peluang untuk menang namun jentera pilihan raya kecil perlu bekerja lebih kuat dan perlu melaksanakan kegiatan-kegiatan mesra pengundi.

Tegasnya lagi, di samping cuba untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada, PAS tidak boleh terlalu yakin dan perlu hati-hati dan kuat bekerja. Apa lagi katanya jika diukur dari faktor calon, PAS tidak mampu mencari calon yang baik seperti allahyarham Ismail atau Pak Su Weil.

"Oleh kerana Pok Su Weil (Ismail) cuma satu saja kita tidak mungkin dapat cari yang lebih baik dari allahyarham. Sama juga kita tidak boleh cari pengganti Tok Guru Nik Aziz (Menteri Besar Kelantan) sebagai pimpinan parti di Kelantan. Tak mungkin ada orang lebih baik daripada beliau. Begitu juga di Manek Urai pun sama juga," ujarnya sambil menyifatkan Ismail seorang Adun cemerlang dalam perkhidmatannya kepada masyarakat Manek Urai.

Tiada ulasan: