KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 10, 2010

Mursyidul Am seru ketiga-tiga dewan tingkatkan keupayaan kuasai massa

JIKA demikian besarnya urusan parti, maka setiap dewan ada amanah yang perlu dilaksanakan. Terawalnya kepada Dewan Ulama, saya menaruh kepercayaan untuk berperanan sebagai pemantau dan penasihat yang berkesan, tegas Tok Guru Nik Aziz berucap merasmikan muktamar tiga dewan semalam.

Alhamdulillah golongan ulama telah lama turun padang berkhutbah, berceramah, naik rumah turun rumah sebagaimana Rasulullah SAW masuk khemah keluar khemah di Padang Mina dahulu. Ulama perlu yakin bahawa mereka merupakan kiblat kepada perjuangan.

Mana yang salah mereka perbetulkan, mana yang rebah mereka bangunkan, mana yang bengkok mereka luruskan. Jika ulama sendiri salah, rebah dan bengkok maka malanglah perjuangan ini. Al-Imam al-Ghazali rahimahullah di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin (jilid pertama) menyebut yang bermaksud: "Ulama ialah garam Allah di bumiNya".

Daging dan ikan dapat diselamatkan daripada berbau busuk dan rosak setelah diserapkan dengan garam. Apa kata jika garam itu sendiri tidak masin? Sudah tentu tidak ada lagi yang dapat menghalang daging itu busuk.

Berbezanya kita dengan UMNO ialah kita meletakkan ulama sebagai institusi yang dihormati, UMNO pula meletakkan ulama sebagai alat meraih sokongan. Selain itu, saya mencadangkan agar Dewan Ulama gigih berusaha membenttuk pelapis yang terdiri daripada ulama muda.

Latihlah generasi pelapis yang boleh memandu perjalanan parti dengan ilmu yang mereka ada. Lihatlah contoh terbaik yaang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW yang mengamanahkan kepada Usamah bin Zaid sebagai panglima pada saat-saat akhir usia baginda.

Selain itu, sebarkanlah keyakinan kepada masyarakat bahawa hidup ini tidak hanya tamat setakat di dunia sahaja, tetapi akan dinilai semua amalan di akhirat kelak. Jika masyarakat dapat diyakinkan dengan aqidah ini, saya yakin peruangan PAS secara automatik akan diterima kerana inilah tujuan sebenarnya PAS bergerak.

Di samping itu, para ulama boleh mempelopori langkah mempelajari bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia. Jika ulama dapat menguasai bahasa Mandarin dan bahasa Tamil contohnya, tentunya perjuangan PAS lebih mudah ditrima oleh rakyat Malaysia.

Kepada Dewan Pemuda, saya berpesan supaya sentiasalah menjadi pendokong kepada parti. Pemuda merupakan tonggak kekuatan gerak kerja parti. Bekalkanlah diri dengan wala’ dan thiqah kepada pimpinan dan luahkanlah teguran dengan cara yang baik dengan meraikan adab berjemaah.

Sesungguhnya saya telah melalui perjalanan yang panjang lebih separuh abad di dalam PAS, saya benar-benar mmenyaksikan bagaimana rakanrakan kita yang asalnya bersama dengan kita memilih untuk meninggalkan PAS hanya kerana terkilan dengan isu-isu peribadi yang tertentu. Oleh yang demikian, saya berharap pemuda hendaklah sentiasa memasak keyakinan bahawa perjuangan ini pasti akan diganjari oleh Allah SWT.

Akhirnya, kepada Dewan Muslimat, saya harap supaya terus istiqamah di dalam menjadi sayap penting parti. Firman Allah yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya".

Kerana itu, di samping lelaki (yakni Pemuda dan Ulama) peranan Muslimat akan mengukuhkan lagi jemaah. Maka pimpinan Muslimat perlu merancang langkah efektif untuk mendekati dan menguasai golongan pengundi wanita yang merupakan separuh daripada jumlah pengundi. Muslimat juga perlu lebih ke hadapan menampilkan sifat kepimpinan yang boleh dihormati.

Mungkin tidak berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki, tetapi tetap berdiri teguh dalam menongkat perjuangan, menabur baja iman dan menyiram air taqwa. Jadikanlah tokoh-tokoh juang muslimah yang melakar sejarah terdahulu (seperti Siti Aisyah isteri Nabi dan Zainab al-Ghazali muslimat Ikhwan Muslimun) sebagai idola dan ikutan di dalam menongkah arus perjuangan.

Sebenarnya, pihak parti sedia melayani suara Muslimat dan ruang menyampaikan suara itu terbuka luas dalam parti. Justeru, pihak parti sendiri sentiasa terbuka dalam meningkatkan lagi penglibatan Muslimat. Saya sendiri sejak awal-awal pentadbiran PAS di Kelantan telah mengiktiraf Msulimat sebagai senator dan kemudian wakil rakyat serta melantik sebagai ahli Exco.

Tiada ulasan: