KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Oktober 19, 2010

Bajet tak sentuh pelaksanaan gaji minimum: Kerajaan Umno-BN perlekeh nasib pekerja!


ISU pelaksanaan gaji minimum belum diputuskan. Kerajaan Umno-BN yang dulunya menentang keras tuntutan gaji minimum, muktahir ini berlembut dan cuba memenuhinya. Sudah tentulah motif mereka, untuk menarik perhatian kaum pekerja agar terus mengundi mereka dalam Pilihan Ray Umum ke-13 nanti.

Tuntutan kali terakhir dibuat secara besar-besaran oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada 18 Jun 2007.  MTUC menghantar memorandum kepada Perdana Menteri waktu itu, Abdullah Ahmad Badawi untuk menuntut gaji minimum RM900 dan Elaun Kos Hidup RM300.

Kemudian pada 21 September 2006, Jaringan Rakyat Bertindak (JERIT), sebuah pertubuhan bukan kerajaan, juga menganjurkan satu piket yang melibatkan lebih 1,500 pekerja kilang dari seluruh Malaysia di Kuala Lumpur.  

Mereka menuju ke Parlimen menghantar lebih 50,000 kad tuntutan yang menuntut Perdana Menteri supaya menggubal Akta Gaji Minimum serta undang-undang yang menjamin hak pekerja. Tindakan ini menjadi tekanan kepada pihak kerajaan yang enggan tunduk kepada tuntutan kaum pekerja.  

Kedua-dua desakan langsung tidak dihiraukan oleh kerajaan, malah ramai penuntut gaji minimum tersebut diserbu dan direman oleh polis. Namun, pendirian kerajaan Umno-BN berubah secara drastik pasca 8 Mac 2008. Tuntutan itu dilayan dengan baik.

Pasca 8 Mac telah menyaksikan pembentangan Manisfesto Pakatan Rakyat yang dicorakkan oleh wacana gaji minimum, dan juga pelaksanaan dasar berkaitan oleh Kerajaan Selangor.  Selangor menggariskan laluan yang terpaksa diikuti oleh Kerajaan Persekutuan.

Apakah pelaksanaan gaji minimum membawa faedah kepada pihak pekerja, perniagaan dan pertumbuhan ekonomi negara?  Mengapakah gaji minimum harus dilaksanakan di Malaysia?

Pendapatan pekerja di Malaysia masih rendah dan sudah lama berada pada tahap hampir beku (stagnation). Inilah sebab utama mengapa perlu ada akta yang membela nasib mereka. 

Mengikut Laporan Model Ekonomi Baru, sebanyak 40% isi rumah di Malaysia yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan.  Selain itu, kira-kira 442,000 orang atau 34% daripada 1.3 juta pekerja tempatan memperoleh pendapatan bulanan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM720 sebulan.

Tambahan lagi, Malaysia telah mengalami stagnasi produktiviti di mana mengikut kajian Bank Dunia, pertumbuhan gaji sebenar di Malaysia hanya mencatatkan pertumbuhan 2.6% dari tahun 1994 hingga 2007.

Malaysia juga mengalami cabaran dari segi jurang pendapatan yang semakin luas.  Pendapatan isi rumah 40% terendah hanya mencapai 1/7 daripada 20% isi rumah tertinggi, dan lebih kurang 4 juta warga Malaysia hidup di bawah purata tahap KNK iaitu AS$7,600 setiap tahun atau RM2,200 setiap bulan.

Oleh yang demikian, pelaksanaan gaji minimum adalah kritikal untuk mengurangkan jurang pendapatan golongan berlainan dalam strata masyarakat tanpa mengira kaum, di samping mengimbangi gaji sebenar (real wage) yang tidak mencatatkan peningkatan signifikan dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Dengan kata lain, penetapan gaji minimum bukan sahaja dapat dilihat sebagai salah satu langkah memantapkan jaringan perlindungan sosial untuk golongan miskin (majoriti golongan pekerja), malah juga dapat membantu meningkatkan produktiviti melalui pengenalan faktor tolakan (push factor), iaitu dengan menetapkan gaji minimum dan memaksa majikan mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan produktiviti mereka.  

Sesungguhnya, pelaksanaan gaji minimum adalah selari dengan hasrat rakyat untuk mencapai negara berpendapatan tinggi. PAS sudah tentu menyokong penuh apa jua usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat. Maka pelaksanaan gaji minimum sangat-sangat diharapkan agar nasib kaum pekerja terbela dan taraf hidup mereka ditingkatkan.

Tiada ulasan: