KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Julai 09, 2012

Talqin FGV: Paku terakhir buat keranda Umno PRU13


Semuanya bermula dengan pengumuman Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2012 untuk menyenaraikan Felda di Bursa Malaysia. Maka bermulalah Tan Sri Isa Samad yang belum setahun menjadi Pengerusi Felda menunjukkan belangnya. Selepas struktur penyenaraian dibentangkan kepada Lembaga Pengarah Felda, beberapa ahli lembaga pengarah tidak bersetuju dengan struktur penuh cadangan penyenaraian. 

Antara yang menentang ialah Dato' Zulkifli Abdul Wahab, Pengarah Besar Felda yang juga Pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF). Masalah utama ditentang kerana Felda yang berpendapatan purata 2.5 bilion setahun dan perbelanjaan purata sekitar RM2 bilion, hanya akan menerima RM508 juta sahaja hasil pajakan tanah-tanah Felda Plantation dan lain-lain aset Felda kepada FGV.

Ini bermakna Felda akan mentadbir dengan bajet yang berkurangan 75 peratus. Sudah semestinya juga ia adalah proses penyingkiran Felda secara tidak langsung sebagai entiti induk dan meletakkan FGV lebih atas daripada itu. Maka diberikan cuti wajib sambung belajar sembilan bulan kepada Dato' Zulkifli Abdul Wahab. Penentangan juga khabarnya datang daripada orang nombor dua Felda iaitu Abidin Abdul Rahman, Timbalan Pengarah Besar Felda yang juga Setiausaha Koperasi Permodalan Felda (KPF). 

Maka beliau dipindahkan daripada Felda ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan tugas menjaga perpustakaan sahaja. Lebih mengejutkan, Pengerusi Gabungan Naib-Naib Pengerusi JKKR rancangan-rancangan Felda, Shamsudin Osman turut menentang. Beliau mengadakan sidang akhbar pertama dihadiri oleh sembilan daripada 11 Naib-naib Pengerusi Wilayah Felda dan sebahagian besar Pengerusi GPW (Penerokawati) Felda. Shamsudin Osman merupakan ketua kepada seluruh peneroka-peneroka di Felda di Malaysia dan beliau juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Felda. 

Penentangan seterusnya daripada Dato' Zainal Hasan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Felda Holding dan Koperasi Permodalan Felda (KPF). Beliau merupakan peneroka Felda Sungai Nerek Pahang yang juga bekas Adun Jengka 1990-1999 sebelum ditewaskan Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS) 1999. Khabarnya Tan Sri Isa Samad meninggalkan mesyuarat Lembaga Pengarah KPF yang dirampas beliau pada awalnya selepas disergah beberapa ahli lembaga pengarah. Individu-individu lain yang turut menentang ialah Dr Kamari Kasan, bekas Pegawai Khas Tan Sri Yusuf Nor bekas Pengerusi Felda dan Tan Sri Rozali Ismail (GWGF).  

Senario yang berlaku adalah kejutan kepada Perdana Menteri. Ini kerana kesemua nama disebut diatas adalah 'orang kuat Umno'. Dato' Zulkifli Abdul Wahab ahli Umno di Keramat. Abidin Abdul Rahman, Pengarah setiap Pilihanraya Kecil mewakili Felda untuk membantu BN. Dato' Zainal Hasan bekas Exco Kerajaan Pahang yang juga Setiausaha Umno Bahagian Maran. Shamsudin Osman juga AJK Umno bahagian di Johor. Bermakna, penentangan bukanlah atas sifat 'kepembangkangan' mereka. 

Tetapi atas sikap tidak dapat menerima 'keburukan dan kebusukan' terlampau dalam penyenaraian ini dilakukan oleh Najib dan Isa Samad. Ini hanya sebahagian nama-nama ternama yang disebutkan dan banyak lagi individu diperingkat pentadbiran kanan dan pertengahan Felda dan lain-lain pihak yang menentang keras usaha ini. Situasi ini bakal memberi pukulan maut kepada Umno-BN dalam PRU-13 akan datang. Ini dapat dilihat dalam beberapa hal. 
Antaranya individu seperti Mazlan Aliman, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka (Anak) yang konsisten menentang penindasan di Felda sejak 17 tahun dahulu. Saya yang akrab dengan beliau boleh dikatakan, lebih separuh 'musuh-musuh' lama beliau yang selama ini menyerang usaha beliau perjuangkan isu Felda, kini menjadi kawan. Samada di kalangan kakitangan, tokoh-tokoh Umno sendiri dan ahli-ahli korporat yang rapat dengan Felda berpatah arang menyokong perjuangan Anak. 

Jika 'dijelmakan' kesemua wajah mereka, pasti mengejutkan politik Malaysia dan Perdana Menteri boleh terbeliak, terduduk dan tersandar. Ini kerana orang yang tidak disangka yang mungkin ada talian darah, pernah sebantal, serumah juga menentang penyenaraiaan ini daripada belakang. Keduanya, di kalangan kakitangan Felda yang berkhidmat di Pejabat Felda dan anak-anak syarikat khususnya merasa tertekan dengan situasi yang berlaku. 

Mereka berada dalam ketidak-tentuan dengan perubahan mengejut melanda Felda. Apatah lagi 'pembuangan terancang' bos nombor satu dan dua Felda yang selama ini berkhidmat berbelas tahun bersama dengan mereka penuh gigih. Kakitangan sayangkan Dato' Zul dan Abidin. Dibawah mereka dividen KPF yang turut disertai kakitangan berada pada paras cemerlang 10-15 peratus setahun dan menjadi koperasi terbaik di Malaysia. Semua yang berlaku memberi kesan kepada mereka. 

Maka tidak pelik, kita diberi maklumat, paling sedikit 70 peratus kakitangan Felda protes dengan kelaku Isa Samad di Felda dan ia akan diterjemahkan dalam undi dipilihanraya. Harus diingat, kakitangan-kakitangan seramai 23 ribu ini amat berpengaruh dikalangan peneroka-peneroka Felda. Maka tidak mustahil Felda yang putih bagi pihak BN selama ini akan bertukar gelap dalam PRU-13 akan datang.

>> Mohd Nasaie Ismail (gambar) ialah Setiausaha Akhbar Presiden PAS merangkap Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda di Lembah Klang.

Tiada ulasan: