KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 28, 2010

Saman ekor: Pakatan Rakyat Perak sediakan khidmat guaman lawan kerajaan


Pakatan Rakyat Negeri Perak sedia memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana rakyat Perak yang mahu membawa isu saman ekor ke mahkamah.  Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Pakatan Rakyat negeri, Dato' Seri Ir Mohamad  Nizar Jamaluddin dalam sidang akhbar di Pejabat Perhubungan PAS Perak, 20 Julai lalu.  Turut hadir Peguam PAS, Asmuni Awi dan beberapa pimpinan serta Adun Pakatan Rakyat.

Asmuni Awi, seorang pengamal undang-undang dan juga Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak, berkata tindakan Jabatan Pengangkuan Jalan (JPJ) yang tidak mahu memperbaharui cukai jalan kepada pesalah saman ekor adalah bertentangan dengan peraturan dan undang-undang, malah pesalah saman ekor tidak pernah dibuktikan bersalah samada melalui pengakuan atau pembuktian pihak pendakwa.

Tindakan ini katanya adalah satu penganiayaan ke atas rakyat. Saman ekor katanya, beroperasi melalui perangkap kamera ke atas pesalah jalanraya tidak dianggap satu kesalahan yang dilakukan oleh pemilik kenderaan selagi tidak dibuktikan di mahkamah.

Tindakan tidak boleh memperbaharui cukai jalan seolah-olah pemilik kenderaan sudah dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan ini bercanggah sama sekali dengan keadilan yang sebenar, jelas beliau. Pengguna jalanraya, sekalipun di perangkap dengan kamera mesti dibuktikan bersalah terlebih dahulu oleh mahkamah, dan pengguna tersebut mesti diberi peluang membela diri di mahkamah.

"Pakatan Rakyat Perak melalui pasukan peguamnya bersedia memberi khidmat guaman percuma kepada mana-mana pesalah saman ekor," ujar Nizar.

Memperkasakan pengaruh PAS di kawasan Melayu - Tuan Guru Abdul Hadi Awang


PRESIDEN PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetap yakin, kemaraan PAS pada PRU ke-13 nanti, cukup positif untuk menggantikan Umno. Dasar Umno sudah tidak relevan, ia perlu berehat. PAS akan meletakan calon bukan Islam dari dewan himpunan yang baru ditubuhkan. Selain Umno terus mengulangi isu-isu lapuk untuk mencetuskan gelombang rakyat menyebelahinya, PAS kini sudah dilihat parti alternatif kepada Umno. Pelbagai isu yang dibangkitkan, Umno gagal mendapat keuntungan politik darinya. Rakyat kian sedar, celik politik dan sukar ditipu. Anak-anak muda, akan jadi pemangkin berkesan mengocak gelombang PRU-13 akan datang. Ikuti wawancara eksklusif Wartawan Kanan, WAN NORDIN WAN YAACOB dan INTAN ABDULLAH bersama Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung baru baru ini.

Selepas Muktamar PAS ke-56 yang baru lalu, pimpinan PAS Pusat telah mengadakan pemukiman. Apa hasil yang boleh dikongsi bersama?

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG: Sebenarnya tema ucapan dasar yang dibentangkan dalam Muktamar PAS lalu ialah 'Islam Adil Untuk Semua'. Melihat kepada perkembangan positif politik terhadap PAS. Bukan sahaja PAS mendapat sokongan daripada pengundi yang setia, yang tidak berganjak, PAS juga mendapat sokongan daripada golongan yang bukan Islam. Bukan sahaja dalam bentuk tahaluf siyasi atau persefahaman politik sebagai mana yang kita laksanakan selama ini, berlaku anjakan paradigma yang lebih di kalangan golongan bukan Islam hasil daripada pemerintahan kita di Kelantan, dan satu penggal di Terengganu, setahun di Perak begitu juga kita turut memerintah di Kedah menyebabkan mereka ingin bersama dengan PAS. Setelah PAS mengadakan muzakarah dengan ulama, rakan-rakan gerakan Islam di peringkat antarabangsa, khusus dengan Presiden Persatuan Ulama Antarabangsa, Syeikh Yusuf al-Qaradhawy, serta beberapa orang ahlinya. Sejak dibincang dengan wakil PAS, daripada tahun 1998 bersetuju supaya melibatkan orang bukan Islam di dalam PAS dan akhirnya kita telah membuat satu peruntukan iaitu menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Adakah ini suatu yang positif buat PAS masa ini?

Perubahan ini juga dilihat meningkatnya sokongan bukan Islam dalam PRU ke-12. Namun kita melihat sokongan orang Islam tidak bertambah atau bertambah juga tetapi tidak meningkat yang membolehkan kita memerintah dan memimpin negara. Padahal tahun 1989 yang lalu, kita telah mendapat sokongan orang Melayu Islam sehingga PAS memperolehi 27 kerusi. Pada masa itu kurang sokongan daripada golongan bukan Islam. Dengan sebab itu, PAS mesti menunaikan tanggungjawab yang besar. PAS adalah parti Islam yang bertanggungjawab memimpin rakyat dengan Islam ini, lebih utama juga menarik pengundi-pengundi Melayu Islam supaya menyokong PAS.

Maksud Dato' Seri...

PAS melihat kegagalan Umno dalam memartabatkan orang Melayu dan memperkasakan mereka. Jadi, kita merasakan bahawa orang Melayu wajib diperkasakan dengan Islam. Islam yang dimaksudkan ialah Islam yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis, selaras dengan undang-undang tubuh PAS. Kita perlu mengambil alih kepimpinan orang Melayu untuk menyelamatkan mereka dengan Islam setelah Umno gagal memperkasakan orang Melayu dengan Islam. Dalam masa yang sama juga Umno gagal mewujudkan perpaduan kaum. Kita merasakan hanya Islam yang mampu mewujudkan perpaduan, adil terhadap semua termasuk kaum yang lain. Dalam masa yang sama menyelamatkan orang Melayu kerana kita merasakan bahawa yang menyelamatkan semua orang Melayu khususnya beragama Islam adalah dengan Islam. 

Adakah dasar nasionalisme yang dicanang Umno itu gagal?

Kalau Melayu ditegakkan dengan nasionalisme yang sempit dengan meninggalkan Islam, tidak ke mana-mana juga. Kita tidak boleh mengubah sikap mereka dengan cara yang baik dan dengan cara yang adil. Dengan mengambil kira Malaysia adalah sebuah masyarakat yang majmuk, maka PAS merasakan masyarakat majmuk pun perlu diambil kira. PAS tidak boleh memprovokasikan semangat perkauman yang menyebabkan berlakunya permusuhan antara kaum. Itu salah sebagaimana yang dilakukan oleh Umno setiap kali mereka tersepit, mereka menimbulkan isu keMelayuan, fanatik yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara ini. Kita merasakan yang menyelamatkan perkara ini hanyalah Islam. Islam adil untuk semua sebagai mana tema yang kita kemukakan itu. 

Sekarang, PAS digambarkan seolah-olah hanya menumpukan kepada pengundi bukan Islam terutamanya apabila tertubuhnya dewan himpunan. Bagaimana Dato' Seri melihat perkara ini dan adakah PAS mampu mengatasinya?

Sangkaan itu adalah tidak benar. Kita perlu melihat bahawa PAS tidak berganjak daripada prinsip dan konsep Islam. Realiti pada hari ini orang Melayu adalah majoriti dan beragama Islam. Pergantungan PAS dengan orang Melayu yang beragama Islam ini sangat penting. Masalahnya ialah bagaimana PAS hendak mengubah minda orang Melayu supaya benar-benar kembali kepada Islam dan tidak bermusuh dengan bangsa lain yang ada dalam negara ini. Ini tanggungjawab yang mesti kita tunaikan, kerana pendekatan atau opsyen perpaduan ini terlalu banyak dalam dunia politik. Ada yang memilih perpaduan yang berdasarkan sempadan negeri, ada yang memilih perpaduan yang berdasarkan kepentingan ekonomi, ada yang memilih perpaduan yang berdasarkan kepentingan kaum; semua itu gagal. Ini kerana kita hendak menyatukan manusia tidak boleh dengan menggunakan jasad semata-mata.

Ada aspek lain yang patut diberi penekanan? Begitu...

Mestilah... Kena dengan aspek rohani yang ada dalam diri mereka, kerana manusia ada akal, perasaan, sikap yang boleh menyatukan ialah adil terhadap semua, barulah semua berasa puas hati dan tidak buruk sangka antara satu sama lain. PAS wajib untuk memperkenalkan Islam untuk semua, di mana dalam politik Islam berbeza dengan konsep ibadat kerana dalam ibadat syaratnya mestilah seorang Islam. Tetapi dalam politik sebagai mana yang telah diamalkan oleh Rasulullah SAW, dan Islam di zaman kegemilangannya ialah menerima orang yang bukan Islam yang bersedia bernaung, dengan adil yang kita kemukakan ini. Kalau orang bukan Islam boleh menerima ideologi (maksud saya orang bukan Islam di negara ini yang berasal daripada kaum Cina, India dan sebagainya) mereka boleh menerima ideologi yang tiada kena-mengena dengan asal-usul bangsa mereka. 

Contoh yang boleh Dato' Seri kemukakan...

Contohnya, kapitalisme dengan tokoh-tokoh Barat seperti Adam Smith dan lain-lain. Mereka ini bukan dari Cina dan India. Begitu juga dengan mereka yang menganut komunis dulu dan berjuang sehingga mati mengikut teori Karl Marx yang bukan dari Cina dan India tetapi daripada Yahudi. Jerman begitu juga dengan sosialisme, yang bukan daripada keturunan di sini. Mereka pun diterima kerana mereka melihat ianya suatu sistem yang adil dan semua yang lain telah gagal. Dengan sebab itu, sudah tiba masanya kita mengajak orang yang bukan Islam supaya melihat konsep Islam yang kita perjuangkan dan hari ini sudah berlaku satu perubahan yang besar apabila sudah ada orang yang bukan Islam ini menyokong PAS pada pilihan raya umum yang lalu dan mereka sudah bersedia ke tahap yang lebih mendalam lagi iaitu menjadi ahli dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Adakah sokongan ini akan kekal atau meningkat pada PRU ke-13, memandangkan konsep 1Malaysia Najib, dilihat terbuka.

Ini bergantung kepada keikhlasan kita melakukan sesuatu. Saya yakin dan percaya sekiranya wakil-wakil rakyat dan negeri yang dipimpin oleh PAS dan negeri yang disertai PAS dalam kerajaan campuran menunjukkan keikhlasan tidak menipu dalam menunaikan tanggungjawab ini, insha-Allah kita boleh meningkatkan sokongan daripada orang yang bukan Islam. Dalam masa yang sama kita perlu mengubah kesedaran orang Melayu sendiri terhadap Islam dan bukan Islam secara sekular sebagaimana warisan daripada penjajahan yang diteruskan oleh Umno. 

Islam yang diperjuangkan mesti dilebarkan penjelasannya bagi menolak dasar yang dibawa Umno...

Ya, kita perlu memperkenalkan Islam sebagaimana yang ada di dalam al-Quran dan Hadis dan sebagaimana yang diamalkan oleh Rasulullah SAW; Islam untuk seluruh manusia khususnya dalam memperkenalkan konsep politik dalam Islam ini. Saya yakin dan percaya kita akan dapat undi daripada orang Melayu dan orang Melayu akan memberi kepercayaan kepada PAS setelah mereka rapuh dengan Umno dan penyakit-penyakit yang ada pada hari ini di samping PAS juga akan mendapat kepercayaan daripada orang yang bukan Islam. Apa yang penting ialah kepercayaan. Kita jangan memaksa mereka, sehingga ke hari ini kita melihat tahap konsisten wakil-wakil rakyat PAS di semua kawasan teguh, tiada yang lompat parti sebagai mana parti lain dan tiada yang khianat dengan janji ini. Kalau ada yang khianat, mereka lapor pada PAS dan akan dibuat pembaikan. Saya yakin dan percaya kita akan dapat sokongan yang terus-menerus daripada mereka.

Ada disebut sebelum dan selepas muktamar PAS akan menonjolkan calon bukan Islam pada PRU ke-13 nanti. Sejauhmana persediaan PAS untuk itu dan apa kriterianya?

PAS telah bersedia dan Majlis Syura Ulamak telah membuat keputusan dari segi hukum syaraknya ia dibolehkan. PAS melantik calon yang bukan Islam di kawasan yang bukan Islam atau kawasan yang majoriti bukan Islam dalam pertandingan dengan parti-parti bukan Islam dan dengan BN. Itu satu pendekatan yang kita ambil dengan mengambil kira kerjasama kita dengan rakan Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat dan DAP. 

Ada perbincangan tentang hal ini dengan KEADILAN dan DAP?

Kita akan adakan perbincangan tentang hal ini, di mana Jawatankuasa PAS Pusat akan buat mesyuarat dan kita akan memilih kawasan-kawasan untuk kita letakkan calon mewakili Dewan Himpunan Penyokong PAS. 

Baru-baru ini dimainkan lagi isu beberapa pemimpin Umno mengajak PAS 'bersatu' dengan parti itu. Reaksi Dato' Seri bagaimana?

PAS mempunyai sikap yang terbuka dan PAS tidak menggadai prinsip perjuangan. Kita tidak berganjak dengan Islam kerana Islam mengajar kita jika terdapat pertelingkahan hendaklah kembali kepada Allah dan Rasul-Nya. Sejak beberapa dekad yang lalu, PAS menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan syarat muzakarah itu mestilah berdasarkan al-Quran dan hadis. Bukan muzakarah berdasarkan semangat tanpa dasar dan tanpa konsep yang betul. Ini pendirian kita yang jelas di mana hukum yang tertinggi dalam PAS ialah al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas. Dalam PAS ada dewan ulama, ada majlis syura ulama. Dalam Umno pula ada Biro Agama Umno, dan Umno yang memerintah negara boleh memanfaatkan khidmat mufti-mufti dengan sebab itu mereka boleh berbincang mengikut wadah ini iaitulah mengembalikan kepada ajaran Islam yang sebenar. 

Bukan atas kepentingan Umno tapi untuk negara?

Bukan kerana kepentingan parti Umno, kepentingan politik mereka kerana kalau dengan kepentingan politik mereka kita menolak dengan sekeras-kerasnya kerana matlamat kita bukan untuk menyelamatkan sesiapa tetapi untuk menyelamatkan negara. Ini kerana PAS yakin yang boleh menyelamatkan negara ialah Islam, dengan sebab itu sebarang perbincangan mestilah bertolak daripada Islam yang diperjuangkan oleh PAS. 

Sejauh manakah Umno boleh menerima konsep Islam yang dibawa PAS kerana kalau kita lihat ketika berdepan dengan isu judi mereka meluluskan judi. Sebelum ini pula, mereka banyak meluluskan isu perkara halal-haram begitu juga dengan isu Apco yang ada kaitan dengan Israel. Adakah mereka mahu mengumpan PAS supaya terjerat dengan permainan ini?

Saya melihat apa yang berlaku itu menunjukkan Umno tidak istiqamah dan tidak konsisten dengan dasar yang sebenar. Umno masih lagi berkonsepkan pragmatisme. Berdasarkan kepada kepentingan untuk mempertahankan kuasa semata-mata, bukan untuk menyelamatkan negara dan rakyat. Kalau amalan itu masih ada, ini menunjukkan suatu sikap yang tidak benar, tidak bertanggungjawab dan tidak amanah untuk menyelamatkan negara. Kita mesti sedar dalam amalan negara demokrasi berlakunya pemerintahan yang silih berganti. Parti yang demokratik ikhlas dalam menyelamatkan negara, sekiranya parti itu mengalami kelemahan di dalam pemerintahan mereka sedia berundur dan memberi tapak kepada parti lain untuk memerintah seperti yang berlaku di England, Amerika, India, Jepun. Apabila satu-satu parti memerintah terbabit skandal, kelemahan dalam pentadbiran; mereka terbuka untuk rakyat menolak dan bagi parti lain untuk memerintah seterusnya parti itu memulihkan diri mereka. 

Tapi ini tak berlaku di negara kita...

Kalau dia tak boleh baiki parti memerintah yang lemah itu, dia akan jatuh dan parti yang lain akan mengambil alih. Seperti yang berlaku di Jepun sekarang ini. Itu politik yang sihat berlaku dalam amalan demokrasi. Saya rasa sudah tiba masanya Umno memberi peluang kepada PAS untuk memimpin orang Melayu dan menyelamatkan mereka. Sudah tiba masanya Umno memberi peluang kepada PAS untuk menunjukkan konsep keadilan kepada masyarakat majmuk dengan adunan perpaduan yang kita kemukakan dan kita cadangkan. Sudah tiba masanya dan biarlah Umno berehat dahulu. Itu satu sikap yang lebih bertanggungjawab.

Serangan ke atas parti-parti dalam Pakatan Rakyat makin 'ganas'. Ini tanda simptom kepada pilihan raya umum yang dijangka awal tahun depan. Apa reaksi Dato' Seri?

Saya melihat serangan itu lebih kepada bersifat peribadi bukan bersifat politik yang menjurus kepada perkara yang betul. Seringkali mengulangi modal dan hujah lama untuk membuat gelombang di kalangan rakyat. Setelah berlakunya gelombang yang berpihak kepada Umno-BN maka baru mereka mengadakan pilihan raya. Itu satu taktik untuk menipu rakyat bukan untuk memberi kefahaman yang adil kepada rakyat. Dalam negara demokrasi yang sebenar, rakyat adalah hakim, media adalah saksi yang adil, hakim tidak boleh menjadi adil sekiranya saksi memberi maklumat yang salah. Seringkali BN menimbulkan isu-isu menghentam parti lawan kemudian mereka menggunakan media sebelah pihak khususnya media elektronik iaitu televisyen yang masuk ke setiap buah rumah. Dalam masa yang sama mereka menghalang ceramah-ceramah, yang merupakan satu-satunya media meluas kepada Pakatan Rakyat.

Bagaimana PAS dan Pakatan Rakyat boleh menangkis semua serangan Umno-BN setelah media alternatif milik parti disekat?

PAS sudah berpengalaman dalam menghadapi keadaan yang lebih teruk daripada ini lagi. Dalam tahun 1960-an, 1970-an agak reda sedikit kerana semasa itu kita berada dalam kerajaan. Awal 1980-an kita menghadapi keadaan ini dan PAS boleh melepaskan diri daripada kepompong yang dibuat itu. PAS menjadi parti yang selamat. Insha-Allah pada kali ini juga kita dapat lepas daripada kepungan-kepungan media ini dan hal ini jelas PAS dapat bertahan di kawasan yang mendapat mandat yang rakyatnya mendapat maklumat alternatif. Antaranya ialah kawasan pinggir bandar dan bandar, PAS terus bertahan di kawasan ini dan di Kelantan kerana banyak rakyat Kelantan bekerja di luar; mereka dapat memberikan maklumat ke kampung halaman mereka. Inilah rahsia kita dapat pertahankan negeri itu.

Persiapan PAS hadapi pilihan raya pula macam mana setakat ini?

Jika berlaku pilihan raya, PAS telah menggerakkan jentera di peringkat cawangan di seluruh negara sejak pilihan raya lalu selesai. Dalam masa yang sama jabatan Pilihan Raya PAS Pusat (JPPP) bukan sahaja melakukan aktiviti pentadbiran yang biasa, bahkan kita telah melawat ke seluruh negara. Kita baru sahaja selesai. Lawatan yang disertai saya sendiri adalah untuk melihat sendiri sejauh mana jentera pilihan raya kita berjalan dan kita menggerakan jentera itu. Sebab itu, PAS bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum bila-bila masa. 

Daftar pemilih yang agak lembab ini, macam mana?

Dalam isu daftar pemilih pula, saya lihat SPR sengaja menyusahkan rakyat padahal boleh diamalkan secara mudah iaitu daftar pemilih secara automatik. Setiap yang cukup umur didaftarkan. Inilah yang diamalkan di negara maju. Adakah kita masih lagi negara yang tidak maju dalam amalan demokrasi? Ianya banyak diamalkan di negara maju lain. Sepatutnya SPR kena kemaskinikan untuk buat pilihan raya yang adil dan bebas. 

Sudah tiba masanya, orang Melayu sertai PAS, gantikan Umno


PAS yang ditubuhkan pada 1951 kini mengorak langkah lebih jauh sebagai parti yang berteraskan perjuangan Islam dan membawa mesej Islam yang terbesar dinegara ini. Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, PAS tidak pernah menafikan sumbangan rakan-rakan dari badan bukan kerajaan (NGO) lain yang turut sama memperjuangkan dakwah Islamiah di negara ini dan dari semasa ke semasa. PAS turut menjalinkan hubungan yang akrab serta saling bekerjasama dengan mereka.

Katanya, PAS memilih untuk menyertai politik dan pilihan raya sebagai satu wadah bagi menyumbang kepada penyebaran dakwah serta mengangkat martabat umat Islam dinegara ini disamping kekal menjalankan tanggungjawab mengharmonikan hubungan antara kaum dan agama lain. Jelasnya lagi, PAS parti yang mengutamakan keamanan, perpaduan serta berpegang teguh kepada prinsip bahawa akidah Islam dan dasar-dasar Islam mampu memberikan kesejahteraan kepada semua.

"PAS bukanlah parti perkauman yang khusus buat kaum-kaum tertentu, tetapi kita tidak nafikan bahawa majoriti ahli PAS adalah dari kalangan umat Melayu. Namun mereka bersama dengan parti ini atas semangat Islam dan bukannya kerana semangat Melayu," ujarnya. PAS juga jelas beliau, berdiri teguh menghormati dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu khususnya dalam aspek agama, budaya, tanah dan juga sosialogi yang lain. 

Ustaz Idris menegaskan, PAS begitu prihatin dengan nasib umat Melayu akhir-akhir ini yang sering dijadikan mangsa dasar Liberalisasi dan Model Ekonomi Baru Kerajaan Umno-BN yang akhirnya mengecilkan kuota ekuiti Melayu daripada 30 peratus kepada 12.5 peratus sahaja. "Banyak lagi hak Istimewa orang Melayu yang gagal diangkat oleh Umno walaupun mereka bangga mengatakan bahawa merekalah parti Melayu terbesar," ujarnya.

Tegasnya, PAS sedar kepentingan orang Melayu dan mengajak seluruh umat Melayu untuk bangkit berjuang atas nama Islam, kerana hanya dengan Islamlah mereka akan lebih dihormati. Perpaduan umat Melayu atas nama Islam adalah pilihan terbaik berbanding apa yang ditawarkan oleh Umno, kerana dalam Islam kita tegas mengharamkan apa yang haram dan menghalalkan apa yang halal.

PAS akan terus berjuang untuk semua, kerana PAS yakin setiap yang lahir kedunia ini ada hak untuk diperjuangkan tanpa mengira apa bangsa mereka. Keterbukaan PAS ini jelas dengan kelahiran Dewan Himpunan Penyokong PAS, dimana sebagai parti Islam kita juga mempunyai sokongan yang kuat kalangan bukan Islam untuk memimpin negara ini, ujarnya.

Ustaz Idris berkata, pemerintahan PAS di Kedah dan Kelantan berjaya membuktikan bahawa Islam adalah agama yang memberikan kesejahteraan kepada semua bangsa dan agama. Tidak cukup dengan itu, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat jelas memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya. 

"Dan PAS dari semasa ke semasa akan terus menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran Kerajaan yang harus difahami bahawa sesuatu perkara yang ingin dilakukan haruslah bermula dari tangga pertama hingga tangga terakhir secara bijaksana," tegasnya.

Oleh itu, katanya, PAS terus menyeru kepada rakyat untuk sama-sama menyertai parti ini, menyokong parti ini dan memberikan kepercayaan untuk parti ini menjadi alternatif kepada Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.

KAMI diaktifkan untuk lancarkan GERAM mansuh pinda Akta Mesin Cetak & Penerbitan


Kuasa penuh yang diberikan kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) menentukan kelulusan penerbitan sesebuah akhbar yang terkandung dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 perlu dimansuhkan. Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dalam diskusi kedua mereka pada 21 Julai baru-baru ini menggesa kerajaan Umno-BN meminda dan memansuhkan beberapa peruntukan dalam akta tersebut.

Seksyen 13a, menjelaskan apa-apa keputusan menteri untuk menolak daripada memberikan atau untuk membatalkan atau menggantung sesuatu lesen atau permit adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah atas apa-apa jua alasan pun. Bagi maksud seksyen ini "keputusan" yang diertikan termasuklah apa-apa perintah atau arahan yang dibuat oleh menteri di bawah akta ini.

Pengerusi KAMI, Ahmad Lutfi Othman berkata, apa yang terkandung di dalam akta tersebut jelas penyalahgunaan kuasa amat mudah dilakukan oleh menteri terbabit bagi menyekat kebebasan bersuara sekali gus menghalang rakyat mendapat maklumat.

"Penyalahgunaan kuasa di kalangan menteri amat mudah dilakukan dalam akta ini yang mudah dimanipulasi bagi menyekat rakyat," katanya kepada media, selepas usai diskusi berkenaan di Pejabat Editorial Harakah, Jalan Pahang, dekat sini.

Mereka yang hadir, bekas Pengarah Pusat Islam, Ustaz Ahmad Awang; adik almarhum Dr Burhanuddin Al-Helmi, Dr Norbit Mohd Noor; Exco Paksi, Kassim Mohamad dan Razali Endun; bekas Editor Harakah, Shukor Harun; Exco Dewan Muslimat PAS Pusat, Athirah Al-Jundi dan Ustazah Rosiah Salleh; wakil-wakil media Harakah; Harakahdaily dan Suara Keadilan. Diskusi dipengerusikan Setiausaha KAMI, Tarmizi Mohd Jam.

Menurut Lutfi, cabaran paling besar sekarang untuk menangani masalah permit dua lagi lidah rasmi Pakatan Rakyat iaitu Suara Keadilan dan Roket, yang masih ditahan KDN dan satu pertemuan akan diatur dengan pihak KDN dan Suhakam bagi menyelesaikan masalah tersebut.

"Ini isu besar yang perlu diselesaikan segera. Kerajaan Umno-BN semasa membuat pertimbangan pada masa itu tidak pernah memikirkan nasib kakitangan yang bekerja di akhbar berkenaan.

"Keputusan itu juga memberikan kesan kepada syarikat percetakan selain editor akhbar yang sering dipanggil dan diberi amaran olah KDN," ujarnya.

Aiman Athirah Al-Jundi berkata pada sidang media yang sama, perjuangan KAMI akan bersifat objektif dan diplomasi dengan mengikut segala prosedur undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian dan mewujudkan situasi menang-menang di antara kerajaan dan media alternatif.

Setiausaha KAMI, Tarmizi Mohd Jam pula menegaskan, pertemuan kedua itu berjaya mencapai beberapa keputusan bagi memulihkan kebebasan akhbar dalam negara yang diiktiraf sebagai mengamal demokrasi.

KAMI akan turut membincangkan perkara ini dari sudut undang-undang dan juga mengenal pasti beberapa bahagian dalam akta ini yang jelas bercanggah dengan konsep pengasingan kuasa dan demokrasi, jelas menyekat kebebasan rakyat.

Jelas Tarmizi, pertemuan berikutnya akan diadakan bersama wakil-wakil media yang lain serta pakar perlembagaan, Prof Dr Aziz Bari dan pensyarah media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah bagi membincangkan perkara tersebut, selain beberapa pertemuan dengan individu media dan NGO berkaitan.

Menurutnya lagi, satu memorandum berhubung tuntutan itu akan disampaikan kepada pihak KDN, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB) dalam masa yang terdekat.

KAMI juga akan menggerakkan kempen mendidik rakyat dari masa ke semasa tentang kekangan akta ini, sehingga ke matlamat akhirnya melancarkan gerakan rakyat dikenali sebagai GERAM (Gerakan Rakyat Mansuh Pinda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan) agar akta berkenaan mememuhi kepentingan rakyat.

Terdahalu, diskusi kali pertama telah diadakan dengan beberapa aktivis media teramsuk Setiausaha GMP, Husni Abbas di Pejabat editorial Harakah, Jumaat sebelumnya.

Langkah mengaktifkan KAMI rentetan syor Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said yang mahu sudah rakyat bangun menuntut agar Akta Penerbitan dan Mesin Cetak yang diguna pakai di negara ini dihapuskan kerana ia jelas mengongkong kebebasan bersuara.

"Perpaduan Melayu" cuba tutup 'bangkai gajah' Umno-BN dari dibantah rakyat


Parti Islam Semalaysia (PAS) sentiasa mengingatkan semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat supaya jangan terpedaya dengan taktik media Umno untuk menenggelamkan isu negara yang bertimbun-timbun sekarang yang mengambarkan kerajaan yang ditunjangi Umno-BN semakin rapuh dan reput. 

Ketika gelombang krisis keyakinan kepada Umno dan BN di bawah pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak sedang karam, maka produk perpaduan Melayu dijadikan sebagai benteng untuk menutup bangkai gajah yang terlalu besar. 

Slogan 1 Malaysia nampaknya tidak menjadi dengan gelagat Perkasa dan kenyataan pedas Dato' Nasir Safar. Slogan ini hanya menjadi pemanis mulut tetapi sebanrnya hampas kepada rakyat. Tidak ada makna slogan ini diterapkan, kerana dalam masa yang sama Umno terus keras dengan asobiyah Melayunya, dan menikam parti-parti bukan Melayu lain dalam BN secara halus.

PAS menyedari ini adalah sebahagian daripada taktik media untuk mengalih isu yang sebenar dan melupakan isu pokok yang mencengkam rakyat. Mereka melontarkan isu ini melalui proksi mereka Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Perak, yang hendak menjadi perantara, untuk  menunjukkan bahawa mufti yang mencadangkan perpaduan ini. Bukannya Umno tetapi mufti. 

Apabila PAS menolak, maka adalah peluang untuk Umno menduduh PAS sombong dan angkuh, tak mahu kepada perpaduan. PAS yang tak mahu bukannya Umno, begitulah propaganda mereka nanti.  Perlu diingat bahawa isu perpaduan Melayu diuar-uarkan ketika rakyat didahulukan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga gula pada 16 Julai 2010. Pemimpin Umno mahu rakyat leka dan berbincang  mengenai isu perpaduan Melayu, yang tidak pernah berbangkit langsung dalam mesyuarat tertinggi PAS. 

Hajat Umno supaya rakyat tidak marah mengenai kenaikan harga minyak, gas dan gula. Perlu dingatkan bahawa gula, tepung dan minyak akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat ke arah untuk menghapuskan subsidi di negara ini dalam masa 3 hingga 5 tahun. PAS hendak mengingatkan kepada rakyat, bagaimana pihak atasan negara mengarahkan editor-editor media utama agar jangan sama sekali menggunakan tajuk berita "harga barang naik" ketika ditaklimat pada 15 Julai 2010. 

Sebaliknya, media perlu meletakkan "subsidi dikurangkan", "rasionalisasi", "menstrukturkan semula" supaya rakyat menjadi tidak faham, malah ada yang faham dengan tindakan kerajaan itu, bahawa harga barang turun.  Maka tidak hairanlah kepada kita, pada hari ini media proksi Umno-BN memainkan isu perpaduan Melayu supaya rakyat lupa isu negara yang begitu banyak dan kenaikan harga barang.

PAS hendak memaklumkan kepada semua ahli dan pimpinan parti supaya fokuskan kerja kita untuk mengantikan Umno di negara ini. Penerangan dan dakwah kepada ahli Umno yang tidak faham perjuangaan PAS perlu dilakukan secara berterusan, usah dilayan segala ajakan dan pujuk rayu Umno untuk melamar PAS. Kita biarkan cinta Umno tidak berbalas dan biarkan Umno 'angau' seorang diri.

Petunjuk ekonomi negara semakin tertekan dengan kadar faedah pinjaman bank dinaikkan. Bank Negara Malaysia (BNM) pada 8 Julai lalu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi kali ketiga tahun ini kepada 2.75 peratus. Susulan itu, bank turut menaikkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) masing-masing. Maybank menaikkan BLRnya sebanyak 0.25 peratus kepada 6.30 peratus. Semuanya gara-gara pemimpin negara yang boros dan rasuah sehingga amat dirasai oleh rakyat biasa di negara

Begitu banyak isu-isu negara yang mengambarkan Umno-BN sudah tidak mampu mengemudi negara, antaranya peruntukan saham bumiputera lesap sebanyak RM52 bilion; kadar jenayah meningkat; anak luar nikah Melayu sahaja 17,303 orang (2009); enjen kapal terbang hilang; kapal selam berharga RM1.7 bilion tidak boleh menyelam; hutang negara RM362.4 bilion; serah telaga minyak blok L dan M pada Brunai bernilai RM320 bilion (kalau perbelanjaan negeri Kedah RM400 juta, dapat belanja selama 700 tahun);  terlepas Pulau Batu Putih pada Singapura; Pos Malaysia rugi RM 227 juta; 217 hektar tanah serah pada Singapura; serah 50 peratus kepada Singapura untuk membangun Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI); wang Felda susut daripada RM4.08 bilion 2004 hanya tinggal RM1.35 bilion pada tahun 2009; membazir wang rakyat RM77 juta kepada APCO Israel setahun untuk menjadi penasihat komunikasi dan bermacam-macam lagi kepincangan Umno-BN sepanjang memegang tampuk kuasa.

Isu-isu inilah yang perlu disampaikan kepada rakyat, maka jangan kita hiraukan pujukan Umno-BN melalui proksinya, PAS sudah tegas dengan Paktan Rakyat. PAS tidak akan mencari nahas untuk untuk mencari pasangan hidup dengan orang yang ada masalah kesihatan yang sukar hendak diubat. - Ustaz Idris Ahmad

Tak ada Umno, Melayu akan lebih mulia dan perpaduan ala Hang Tuah diganti dengan Islam - Tok Guru Nik Aziz


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa Umno hanya mengamalkan perpaduan yang berasaskan kepada bangsa seperti yang dibawa oleh Hang Tuah. Tergasnya, perpaduan di antara Umno-PAS sudah tidak timbul lagi, ia sudah selesai dua tahun yang lalu dengan PAS memilih untuk bersama Pakatan Rakyat, bukan bersama Umno. 

Sebaliknya perpaduan yang perlu diterapkan bukanlah bersifat bangsa dengan bangsa tetapi berteraskan Islam kerana ia bermatlamatkan jangka panjang dengan membawa kepada akhirat. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menegaskan, perpaduan yang dijalankan dalam Pakatan Rakyat adalah bertujuan untuk menyampaikan mesej Islam.

"Perpaduan kami dalam Pakatan Rakyat membolehkan kami menyampaikan mesej Islam kepada DAP dan PKR tetapi bolehkah dengan Umno? Kami meneruskan mesej Islam kami?" ujarnya ketika diminta mengulas isu Melayu akan menjadi lebih mulia tanpa penguasaan Umno.

Tambahnya, kesan daripada perpaduan Melayu yang dilaungkan boleh menyebabkan terhasilnya dendam yang berterusan daripada orang bukan Melayu. "Mereka juga akan menyepi diri kerana terlalu lemah dan tidak boleh melawan. Hal ini sangat bahaya kepada produktiviti rakyat Malaysia atau apabila dia menang dia akan menimbulkan dendam," katanya.

Dengan sebab itu, PAS ujarnya mengambil pendekatan yang tidak menimbulkan dendam, iaitu merapatkan diri dengan orang bukan Islam untuk menimbulkan kesedaran, ukhuwah dan rasa reda. Kelantan katanya, telah memulakan program iaitu Kifaalah dan Ladang Rakyat kepada golongan bukan Islam untuk meredakan semangat dan rasa dendam yang diasah oleh golongan nasionalis Melayu(Umno-BN).

Tegasnya, hasil daripada rapatan tersebut, tidak mustahil golongan bukan Islam bangkit untuk mempertahankan Islam berdasarkan sejarah Islam apabila golongan ulama yang menulis atau meriwayatkan hadis tidak berbangsa Arab.

"Satu hari nanti mereka pula yang akan menjadi pembela Islam sama ada mereka akan masuk Islam ataupun membela dasar Islam kerana dalam sejarah Islam semua kitab-kitab hadis, sunan sittah iaitu Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ibnu Majah, Nasaie, semua ini dikarang oleh orang bukan Arab.

"Jadi, apakah yang kita hairankan jika orang bukan Islam akan berbuat sesuatu untuk kebaikan Islam pada masa akan datang?" tegasnya lagi. Nabi Muhammad tegas Tok Guru Nik Abdul Aziz, adalah orang yang benar-benar menunjukkan perpaduan di atas dunia, kerana agama yang dibawa baginda adalah agama tauhid rahmatan lil 'alamin. 

Sebab itu, tegasnya, sejak daripada awal Islam lagi, Rasulullah dikerumuni oleh pelbagai bangsa di dunia contohnya Salman al-farisi daripada Iran, Bilal Habasyi daripada Afrika, Suhaib ar-rumi daripada Roma, Byzantine - inilah sebenar-benar perpaduan.

"Apa yang ada sekarang (di Malaysia) adalah yang dibawa oleh Umno asalnya adalah daripada Hang Tuah. Akhirnya, apabila kita berada di padang mahsyar, siapakah yang akan dicari? Hendak cari orang Melayu atau Rasulullah? Rasulullah akan membantu orang yang menolongnya. 

"Di atas dunia ini siapakah yang membantu baginda? Erti membantu baginda adalah membantu warisnya iaitu golongan ulama kerana ulama itu adalah pewaris nabi, dan bukan semestinya orang Melayu, Cina pun boleh, India pun boleh dan bangsa-bangsa lain," tegasnya lagi.

Jelas beliau, Islam adalah sejenis ajaran dan ia boleh jadi ada ataupun tiada. Boleh jadi kukuh, boleh jadi luntur. Melayu sampai bila pun katanya, tetap menjadi Melayu. Dia miskin pun Melayu, kaya pun Melayu, jahat pun Melayu, baik pun Melayu. Jika beginilah keadaannya, kenapa perlu kita membelanya? 

Sebaliknya dalam agama, ada benda yang ada atau tiada, kuat atau luntur. Inilah yang perlu dibela iaitu menerusi perjuangan PAS, tegas Menteri Besar itu lagi. 

Ketua Penerangan PAS Pusat bidas Mufti Perak yang kemaruk satukan PAS-Umno

PAS mengingatkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar membuat kajian dan meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan, khususnya berkaitan kuasa politik Melayu terancam. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebagai mufti, beliau perlu merujuk al-Quran, hadis, ijmak dan qias dan mengetahui gambaran masalah yang berbangkit sebelum mengeluarkan fatwa. 

"Lihat dulu keputusan Pilihan Raya 2008 lalu, siapa yang khianat kuasa politik Melayu? PAS atau Umno? Macam mana kuasa Melayu boleh hilang kuasa kerana semua kerusi Melayu, PAS akan lawan Umno? Kalau Umno kalah, PAS akan menang. PAS Melayu juga. Mana sifir kuasa Melayu terancam?" soal beliau kepada Harakah.

Sehubungan itu, Ustaz Idris menegaskan, PAS menolak cadangan Harussani yang berhasrat mahu menjadi perantaraan antara PAS dan Umno bagi mewujudkan perpaduan Melayu di negara ini.

Katanya, PAS bukan angkuh tetapi hakikatnya Umno sudah tidak relevan untuk orang Melayu sebagai tempat berteduh kerana penuh dengan penyakit barah yang tenat seperti rasuah dalaman parti, penyakit khianat kepada amanah rakyat, tidak bertanggungjawab kepada hasil mahsul negara, penyakit hanya memikirkan kepentingan perut semata-mata, dan penyakit tidak peduli kepada rakyat dengan menaikkan harga barang.

"Adakah beliau lupa apa yang dilakukan Umno sepanjang pemerintahan parti yang kononnya memperjuangkan Melayu? Lupakah yang menutup surau di Sek 8 Shah Alam itu dibuat oleh Umno pimpinan Khir Toyo. Siapa yang menghalau orang Melayu di Kg Berembang dan Kg Plentong, Pasir Gudang, Johor?  

"Dato' Dr. Harun Din, Dato' Ismail Kamus, almarhum Dato' Ishak Baharom diburu seperti penjenayah kerana mahu menyampai agama di Selangor ketika di bawah kekuasaan Umno. Adakah dengan tindakan tersebut Umno masih boleh dikatakan memperjuangkan Melayu?" soal beliau lagi.

Tegas Ustaz Idris, hakikat yang berlaku ialah Umno yang menyerahkan kerusi majoriti Melayu kepada bukan Melayu. Sebagai contoh, di Parlimen Bukit Gantang pada tahun 2004, Dr Lo' Lo' menentang Tan Lian Hoe dari Barisan Nasional (BN).  

Begitu juga tahun 2008, Tan Lian Hoe bertanding di Grik melawan Mohd Noor Abd Rahman; Mohd Azman Marjohan lawan Ong Ka Chuan (Parlimen Tanjung Malim), dan Dato' Seri Haji Nizar lawan Dr. S Vasan (Dun Pasir Panjang). 

"Malah, dalam usaha hendak menambah kerusi Melayu bertambah, maka PAS bertanding di kerusi pengundi Melayu kurang daripada 50 peratus di Parlimen Kota Raja yang ditandingi oleh Dr Mariah. Ini adalah sebahagian contoh yang dikhianati parti Umno yang menjadi 'kekasih' mufti Perak itu," kata beliau.

Bunag Umno, bangsa Melayu, negara Malaysia akan jadi lebih maju

PAS menegaskan bangsa Melayu akan bertambah kukuh dan mulia sekali gus akan menjadikan Malaysia lebih maju tanpa Umno.  Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar berterima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana meyakini kuasa politik Melayu akan hilang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Saya ucap terima kasih kepada Tan Sri Harussani kerana begitu kasyaf tentang politik negara yang nampak kuasa politik Melayu iaitu Umno akan hilang. Dan kita yakin kuasa politik baru akan wujud yang dikuasai Melayu serta semua kaum yang ditunjangi Pakatan Rakyat suatu masa nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, berkata orang Melayu tidak perlu risau jika PAS dan Umno tidak bersatu kerana hak orang Melayu lebih terbela tanpa Umno. Tegasnya, sepanjang pentadbiran Umno sudah jelas terbukti sebuah parti yang menghakis kepentingan Melayu bukannya membela Melayu.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pula menjelaskan, PAS tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk menghantar mana-mana pihak atas tujuan menjalin kerjasama politik dengan Umno.

"Kita dah tutup buku kerjasama dengan Umno. Dakwaan (kerjasama) itu satu ftnah, mereka cuba menghakiskan kepercayaan penyokong dan ahli PAS terhadap pemimpin PAS," katanya.

Salahuddin menjelaskan, beliau dan Mahfuz lazimnya menghadiri kesemua mesyuarat utama parti tetapi setahu mereka PAS tidak pernah membincangkan langkah untuk menghantar wakil menemui Harussani bagi tujuan tersebut.

"Kalau PAS ada membincangkan soal ini, sudah pasti saya dan Dato' Mahfuz sudah tahu," katanya lagi. Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS sudah memutuskan akan tetap komited bersama Pakatan Rakyat dan isu kerjasama dengan Umno tidak lagi berbangkit.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan wujud perbezaan pandangan antara Muhyidin dengan Najib berhubung isu kerjasama ini, Mahfuz berkata Muhyidin seperti mempunyai agenda dalaman menjatuhkan Presidennya Najib Tun Razak. 

Tegas Mahfuz, Muhyidin sedang berusaha meyakinkan pemimpin dan ahli Umno lain bahawa Najiblah punca kuasa politik Melayu yang diperjuang parti itu terhakis.

"Muhyidin sedang bina imej untuk jadi hero Melayu dalam Umno. Dia sedang mengambil kesempatan mengajak pemimpin Umno lain tikam Najib daripada belakang," katanya.

Sementara itu, Mantan Menteri Besar Perak Dato' Seri Nizar Jamaluddin membidas Harussani yang mana beliau sebagai mufti seeloknya mengeluarkan fatwa berhubung rampasan kuasa Umno BN di Perak terlebih dahulu. Katanya, Harussani tidak layak untuk menyatukan Umno dengan PAS kerana gagal menghalang kerajaan haram berkuasa di Perak.

"Jangan sibuk mencampuri urusan sebagai perantara penyatuan. Beliau tidak layak dan tidak ada hak untuk menjadi perantara kerana ia diluar bidang kuasa sebagai mufti,"katanya yang juga AJK PAS Pusat.

Selamatkan Malaysia daripada cengkaman Umno - Presiden PAS


Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, sudah tiba masanya PAS diberi peluang oleh rakyat menggantikan Umno yang sudah rosak bagi menyelamatkan negara Malaysia keseluruhannya.

Perkara ini ditegaskan beliau dalam wawancara ekskusif Harakah bersama beliau di Pejabat Agung PAS dekat sini 14 Julai lalu. Beliau mengulas isu jemputan kerjasama yang dilaungkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini mahu PAS bekerjasama dengan Umno.

"Sudah tiba masanya Umno memberi peluang kepada PAS untuk memimpin orang Melayu dalam menyelamatkan mereka dan sudah tiba masanya Umno beri peluang kepada PAS untuk kita tunjukkan konsep kepada masyarakat majmuk dengan adunan perpaduan yang kita kemukakan dan cadangkan, dan sudah tiba masanya Umno berehat," katanya.

Ustaz Hadi juga menolak laungan kerjasama yang diutarakan pimpinan Umno hari ini sekiranya parti itu masih lagi mengamalkan 'pragmatisme' dalam menyampaikan hasrat mereka. Ini kerana kata beliau, Umno hanya mahu bekerjasama semata-mata untuk survival politik mereka tatkala rakyat mula menolak mereka sejak Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

"PAS ada sikap terbuka tanpa gadai prinsip, kita tidak berganjak dengan Islam ajar kita sebarang pertelingkahan hendaklah kembali kepada Allah dan rasul,  muzakarah kena pada semangat Islam, kerana hukum tertinggi dalam PAS ialah al-Quran, hadis, ijmak ulama dan kias," katanya 

PAS menolak kerjasama yang hanya berdasarkan kepada kepentingan politik Umno sahaja, kerana PAS tidak mempunyai matlamat untuk selamatkan Umno, sebaliknya PAS yakin yang dengan iltizam bahawa menyelamatkan negara ialah dengan Islam,  katanya.

Beliau juga melihat bahawa apa yang dilakukan oleh Umno tidak istiqamah dengan dasar sebenar, kerana Umno menggunakan konsep 'pragmatisme' dan hanya mahu kepada kepentingan mempertahankan kuasa semata-mata.

"Mereka (Umno) tidak ada iltizam untuk selamatkan negara dan masyarakat, mereka ini tidak benar, tidak amanah kepada negara," dakwanya. Bagi Ustaz Hadi, PAS sebagai parti Islam bertangggungjawab dalam memimpin rakyat dengan Islam dan dalam masa yang sama menarik pengundi Melayu Islam supaya menyokong PAS.

Ia perlu direalisasikan apabila meihat kegagalan Umno dalam memartabat dan memperkasakan orang Melayu dan Islam. PAS merasakan bahawa orang Melayu wajib diperkasakan dengan Islam iaitu Islam yang tekandung dalam Al-Quran dan hadis, selaras dengan undang-undang tubuh PAS, tegasnya.

Ustaz Hadi juga menyifatkan, Umno akan meneruskan perkauman Melayu yang fanatik setiap kali mereka tersepit untuk mendapatkan sokongan, katanya. Justeru beliau mengingatkan PAS hanya menerima penyatuan jika Islam dijadikan sebagai dasar dan asas kepada sebarang bentuk muzakarah untuk menyelamatkan negara.

PAS yakin dengan kemampuan dan kesepakatan yang ada dengan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat yang telah dibuat, rakyat mampu untuk menjadikan PAS sebagai pengganti kepada kerajaan yang korup hari ini, tegasnya.

Dengan keikhlasan dan kesungguhan yang ditunjukkan PAS dan parti dalam komponen Pakatan Rakyat, rakyat akan memberi kepercayaan kepada parti ini untuk menggantikan kerajaan yang ada dalam pilihan raya akan datang, katanya.

KAMI: BN gusar lambakan maklumat tepat, telus - Malaysiakini

Tindakan drastik Kementerian Dalam Negeri (KDN) menahan permit Suara Keadilan dan Rocket dilihat sebagai kebimbangan kritikal Umno BN menghadapi kebangkitan rakyat yang kian tegar mempersoalkan dasar-dasar kerajaan akhir-akhir ini.

Setiausaha Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Tarmizi Mohd Jam berkata, jika Umno BN dalam keadaan kuat, stabil dan selamat, maka sudah tentu penahanan, penafian hak dan penggantungan permit dua lidah rasmi PKR dan DAP itu tidak dilakukan, sebaliknya ia akan diberi seperti biasa.

“Tindakan tidak popular itu hanya memburukkan imej Umno BN yang menguasai kerajaan dan sekaligus mengesahkan sikap tidak demokratik mereka terhadap kebebasan bersuara dan bermaklumat di negara ini.
Rosakkan imej BN

“Mengapa Umno BN sanggup merosakkan imejnya, mencalar kepercayaan rakyat jika tidak kerana mereka benar-benar dalam keadaan terdesak untuk mempertahan kuasa yang kian tergugat akibat lambakan maklumat berani, telus dan bersifat reformasi,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Tarmizi, KAMI yakin, kekangan terhadap media cetak sejak akhir-akhir ini terpaksa dilakukan oleh kerajaan bagi mengurangkan fakta tepat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan isu-isu politik yang boleh menikam dan menghakis pengaruh Umno dan BN.

“Sebagai persediaan nekad menghadapi pilihan raya umum ke-13, dan mempertahankan kuasa yang sedia ada, demi untuk merampas kembali Kedah, Pulau Pinang dan Selangor serta Kelantan yang terlepas ke tangan Pakata Rakyat, maka sudah tentulah kerajaan Umno-BN terpaksa bertindak 'membunuh' suara rakyat melalui dua lidah rasmi ini, kerana ia menjadi perhatain rakyat,” katanya.

Menurut Tarmizi adalah mustahil jika Suara Keadilan dan Rocket tidak berbisa, permitnya ditahan. Begitupun, katanya, tidak bermakna kelulusan permit lidah rasmi PAS, Harakah menjadi petunjuk keadilan dan sikap profesional KDN.

Amaran keras

“Sebaliknya amaran keras, larangan dijual di premis awam serta arahan dibesarkan perkataan "Hanya Untuk Ahli Sahaja" pada maskhead akhbar itu jelas kekangan melampau yang tidak wajar wujud dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.“

KAMI terus mendesak agar KDN menghormati hak kebebasan bersuara, sistem demokrasi berparlimen dan menghormati kebijakan bermaklumat dengan mengembalikan semula kedua-dua permit Suara Keadilan dan Rocket kepada parti-parti berkenaan, sebagai lidah rasmi dan menarik semula amaran keras yang tidak munasabah yang dikenakan ke atas Harakah,” katanya lagi.

Menurutnya, sebagai lidah rasmi parti, dan bukannya akhbar komersial adalah amat tidak wajar sama sekali KDN menafikan hak-hak warga negara ini dalam menegaskan suara mereka.

Katanya, tindakan tidak memberikan permit bermakna kerajaan 'menggam' mulut rakyat, memaku minda dan mengganyang rakyat dengan dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.

Beliau berkata, berbanding penguasaan Umno BN terhadap media tradisi seperti RTM, TV3, NTV7, NTV9, Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, News Strais Times, beberapa akhbar berbahasa Cina dan India; kekangan KDN terhadap Suara Keadilan, Rocket dan Harakah boleh digambarkan sebagai tindakan tegar dari emosi takut, bimbang dan risau kerajaan Umno BN hilangnya segenggam kuasa yang membukitkan kekayaan kepada pemimpin dan kroni, yang memayahkan rakyat dan yang memayungi kezaliman.

"Obor Keadilan" akhbar tak berkala PKR dirampas, edaran akhbar terpaksa ditambah

Walaupun Obor Keadilan didakwa mula dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), PKR terus menerbitkan akhbar barunya setelah Suara Keadilan digantung bulan lalu. Kali ini, Sinar Keadilan pula muncul dengan edaran lebih besar sebanyak 85,000 di seluruh  negara - bertambah sebanyak 25,000 daripada edaranya biasa 60,000 naskhah.

Ketua pengarang akhbar parti itu Dzulkarnain Taib berkata, tindakannya meningkatkan edaran "akhbar tidak berkala" itu dibuat susulan daripada permintaan daripada ahli dan orang ramai. "Daripada respons, ketiadaan Suara Keadilan amat dirasai oleh ahli dan orang ramai yang melanggan (akhbar itu)," katanya.

"Ahli-ahli mahukan maklumat, terutama di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai akses internet," kata Dzulkarnain ketika dihubungi Malaysiakini petang ini. Menurutnya Sinar Keadilan berada di pasaran sejak semalam.

Edisi terbaru ini diterbitkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan tajuk muka hadapannya, 'Projek mencurigakan... RM12 ribu juta untuk JPM'. Ia antaranya mempertikaikan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi dengan menaikkan harga barangan asas, tetapi pada masa yang sama sebanyak "RM12 ribu juta" didakwa diperuntukkan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM).

PKR dipercayai terus menerbitkan akhbar dengan judul berbeza ekoran akta mesin cetak dan penerbitan membenarkan terbitan berkala untuk edisi tunggal dicetak tanpa permit. Mengulas mengenai rampasan Obor Keadilan, Dzulkarnain mendakwa rampasan itu dilakukan oleh  pegawai KDN daripada beberapa buah kedai di Ipoh, Johor Baharu dan Pulau Pinang.

Beliau juga mendakwa, sekurang-kurangya 1,000 naskhah telah dirampas. Jumlah sebenar tidak dapat dipastikan pada masa itu, tambahnya. "Tujuannya adalah hendak adalah untuk menakut-nakutkan wakil pengedar kita," dakwa  Dzulkarnain lagi.

Kebebasan untuk memboikot media akibat kemelut Akta Mesin Cetak & Penerbitan


Lantaran daripada ketidakpuasan terhadap siri laporan Sin Chew Daily yang "berniat jahat", Pengarah Strategi PKR Tian Chua mencadangkan melalui twitter agar rakan partinya memboikot ("no favour") akhbar yang dikuasai Tiong Hiew King, tycoon balak dan bekas Naib Presiden SUPP.

Secara tiba-tiba, parti pemerintah yang biasa menyekat kebebasan media dengan akta media yang draconian, dan akhbar Cina terbesar yang biasa diam seribu bahasa ketika jentera negara menghenyak kebebasan media - tampil sebagai pejuang kebebasan akhbar, dan mengasak Tian Chua atas nama "kebebasan akhbar".?Kritikan mengasak Tian Chua sarat dada Sin Chew?

Ketidakpuasan Tian Chua nampaknya bukan tertimbun hanya dalam sehari dua.  Menurut kenyataan Tian Chua baru-baru ini, laporan Sin Chew Daily pada 1 Julai 2010 berjudul "Lawatan ke Australia mencungkil spekulasi: Khalid bakal letak jawatan MB selepas pulang ke Malaysia?" adalah laporan yang berniat jahat, tetapi bukan punca beliau mencadangkan boikot ("no favour") terhadap akhbar itu.  Tian Chua mengemukakan cadangan tersebut berikutan daripada "siri tindakan" Sin Chew Daily.

Pada hakikatnya, spekulasi "Khalid meletak jawatan Menteri Besar" mungkin terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan laporan Anwar Nafi serah tampuk kepada Zaid "Nurul Izzah pewaris saya". (gambar kanan)

Wartawan (yang membuat liputan berita politik) yang memiliki daya pemahaman dan kemampuan membuat pertimbangan (biarpun sedikit), seharusnya sedar bahawa kenyataan Anwar berbunyi "Pewaris saya?  Pewaris saya Nurul Izzah", ketika menjawab soalan wartawan, adalah satu jenaka, dan bukannya jawapan sebenar.

(Nota: dalam bahasa Melayu, pewaris juga boleh bermaksud anak, selain pengganti.  Lebih-lebih lagi, semua orang termasuk diri Anwar bergelak selepas Anwar berkata demikian.)

Namun demikian, Sin Chew Daily menjadikan jenaka ini seolah-olah maksud sebenar Anwar, sehingga menonjolkannya sebagai tajuk berita pada muka surat ke-7 dalam akhbarnya pada keesokan.  Lebih dahsyat, Chief Leader Writer Sinchew Daily, Lo Jeng Wung dalam kolumnya yang disiarkan pada 3 Julai (gambar kiri), terus mengkritik "Penasihat PKR Anwar Ibrahim menafikan bahawa beliau akan mewariskan kuasanya kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Wilayah Persekutuan, Zaid Ibrahim, malah menyatakan bahawa anak perempuan sulungnya, Nurul Izzah adalah pewarisnya.  Ini menunjukkan pergelutan kuasa parti ini telah sampai ke tahap di mana pemimpinnya perlu menyatakan apa yang terpendam dalam hati secara terus."

Bukan sahaja Sin Chew tidak memperbetulkan kesilapan laporannya pada 30 Jun, malah menggunakan kesilapan ini untuk mengkritik PKR dan Anwar Ibrahim dalam komentarnya -  semestinya mengelirukan pembaca yang tidak tahu apa yang berlaku.  Hanya Sin Chew yang boleh menjelaskan mengapa hal ini boleh berlaku.

Boikot tidak bersamaan dengan penindasan

Apakah ianya boleh dituduh sebagai "menindas media dan mencabul kebebasan akhbar dengan kuasa daulah", untuk sesebuah parti politik yang menguasai kerajaan tempatan, tetapi belum menguasai kerajaan persekutuan - apabila parti tersebut mengambil langkah untuk boikot media?

Biar kita rujuk kes di Taiwan pada tahun 1996.  Datuk Bandar Taipei ketika itu, Chen Shui Bian meminta jabatan kerajaan tempatan dan sekolah untuk tidak melanggani Zhong Yang Daily (akhbar yang berlatar-balakangkan Kuomintang, iaitu parti musuh Chen Shui Bian) kerana menganggap akhbar harian itu tidak "seimbang" dalam laporannya.

Maka Kuomintang dan ahli akademik mengkritik Chen Shui Bian atas nama "menindas kebebasan media".  Tetapi penganalisa politik yang berpengaruh di Taiwan, Nan Fang Shuo mempertikaikan apa kaitannya tindakan ini (tidak melanggani akhbar tersebut) dengan penindasan terhadap kebebasan media.

Persamaan yang dikongsi dalam kedua-dua kes ini adalah, parti politik ini hanya menguasai kerajaan tempatan, dan bukannya kuasa di pusat.  Malah, kawalan hal ehwal media terletak di bawah bidang kuasa pusat.  Apa yang berbeza, Taiwan pada tahun 1996 telah membebaskan diri dari zaman sekatan media untuk kira-kira 10 tahun.  Sukar untuk sesebuah parti politik menindas syarikat media biarpun menguasai kerajaan pusat.

Berbalik kepada kesangsian antara Tian Chua dengan Sin Chew, walaupun PKR merupakan parti dominasi dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Selangor, tetapi sebagaimana yang diketahui, pisau yang menentukan hidup matinya sesebuah media berada dalam genggaman kerajaan persekutuan Barisan Nasional.  Tundaan Kementerian Dalam Negeri untuk memperbaharui permit lidah parti ketiga-tiga parti pembangkang ini adalah bukti yang jelas.

Kita menuduh parti politik menindas media apabila ia menggunakan kuasa jentera negara untuk memaksa media agar tunduk kepadanya.  Misalnya, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 yang memperuntukkan kuasa yang hampir tidak terbatas kepada Menteri Dalam Negeri untuk menghukum media.  Jadi, apabila KDN menjemput Ketua Pengarang media untuk "minum kopi", "memberi nasihat" dengan senyuman yang manis dan mesra supaya tidak melaporkan isu-isu tertentu -- sudah memadai untuk menutup mulut media tersebut.

Oleh itu, parti pemerintah langsung tidak perlu memboikot akhbar, kerana media telah dijinak-jinakkan.  Seandainya sesiapa cuba menonjolkan betapa buruknya Tian Chua dengan hujah bahawa "parti pemerintah tidak pernah memboikot akhbar", ia semestinya tukang solek untuk parti pemerintah, kalau bukan terlalu jahil terhadap keadaan kawalan media di Malaysia.

Dari konteks ini, cadangan "no favour" terhadap Sin Chew oleh Tian Chua masih belum boleh dianggap sebagai penindasan media atau pencabulan kebebasan media dengan kuasa daulah.  Ini kerana Tian Chua masih tidak memegang kuasa untuk menghukum media.  Malah, tindakan yang digelar "no favour" ini gagal menandingi operasi lalang pada tahun 1987, yang menutup syarikat akhbar Sin Chew untuk setengah tahun, menjadi igauan yang menghantui syarikat-syarikat akhbar sehingga hari ini.

Persoalannya adalah, pertama, dari perspektif parti politik dan ahli politik, sejauh manakah kesannya terhadap imej awam dirinya, dan mereka perlu menanggung akibatnya - apabila pihak berkepentingan akan mengambil kesempatan untuk mengasak mereka (yang sudah berlaku), dan mungkin dimasukkan ke dalam senarai hitam akhbar tersebut- yang mana individu itu akan "dinyahkan" dari dada akhbar. ?Sin Chew bakal tunjuk belang??

Persoalan keduanya, sejauh manakah keadaannya - yang membenarkan sesebuah parti politik untuk mengambil pendekatan untuk memboikot media?

Bahayanya media Godzilla

Untuk persoalan kedua, "kebebasan media" tidak harus menjadi perisai untuk media mempermainkan isu dengan niat yang jahat, memutar-belitkan kebenaran dan mensensasikan berita yang ganas dan lucah.  Sebagaimana yang diperhatikan, wujud satu fenomena yang tidak sihat - "kebebasan media" dijulang untuk menangkis segala kritikan terhadap kelakuan diri yang terpesong, atau apabila newsmaker enggan menerima wawancara media tersebut.  Inilah yang dikatakan oleh Nan Fang Shuo sebagai "hak keistimewaan yang sudah menjadi kelumrahan".

Namun demikian, kebebasan tidak boleh diasingkan dari tanggungjawab sosial.  Media perlu berdepan dengan pemantauan masyarakat.  Untuk media yang tetap enggan bertaubat, kita mempunyai hak untuk boikot - tidak beli, tidak baca, henti tulis, malah menolak wawancara daripadanya.

Untuk parti politik, seandainya laporan media hanya kesilapan teknikal, dan bukannya kesalahan dari segi moral, malah media tersebut sudi memperuntukkan ruang untuk dijawab, dan mengelakkan diri daripada mengulangi kesilapan, maka tiada alasan untuk parti politik berperang dengan media tersebut.

Namun, seandainya mereka berdepan dengan Utusan Malaysia yang dikuasai UMNO, bukan sahaja melapor dengan niat yang jahat, malah tidak memperuntukkan ruang kepada pihak yang terlibat untuk menjawab tuduhan.  Nampaknya tiada jalan lain selain boikot untuk menyatakan protes.  Tian Chua memilih untuk tidak menggunakan Sin Chew Daily sebagai salurannya menyampaikan mesej, dan bukannya dengan kuasa daulah (yang pada hakikatnya tidak dimiliki olehnya), adalah pihak yang menanggung kerugian di sebaliknya.

Isu "no favour" ini sebenarnya mendedahkan persoalan yang lebih wajar diambil perhatian umum, iaitu betapa ngeri dan bahayanya sesebuah konglomerat media yang menjadi dominasi lantaran daripada monopoli.  Selepas cadangan "no favour" dilontarkan, Sin Chew telah mengasak Tian Chua dengan pelbagai ruang komentar, tetapi tetap tidak mengakui kesalahan dirinya.  Keadaan ini adalah sesuatu yang lumrah dan berlaku untuk sekian lama.  Tetapi selain daripada sesetengah penganalisa, jelas kebanyakan pembaca tidak menyedari apa masalahnya dengan tindakan sedemikian.

Keduanya, selepas cadangan "no favour" oleh Tian Chua, EXCO Selangor DAP hingga sebahagian wakil rakyat PKR, dengan cepat mengasingkan diri daripada Tian Chua, untuk mengelakkan diri daripada menyinggung Sin Chew Daily - mencerminkan satu fenomena yang aneh di sebaliknya.

Media menjadi alim bagaikan kucing ketika berdepan dengan parti pemerintah, tetapi garang bagaikan harimau ketika berdepan dengan pembangkang.  Walaupun tidak kurang wakil rakyat pembangkang yang sedar bahawa media tradisional biasa menjadi penyalur suara parti pemerintah, tetapi mereka tetap berbaik-baik dengan mereka, atau sekurang-kurangnya tidak berani untuk menyingung mereka, semata-mata untuk mendapatkan liputan dalam media tradisional.

Jelas, orang awam langsung tidak mempunyai modal untuk memboikot media.  Ini kerana monopoli media oleh konglomerat media telah merampas hak pembaca untuk memilih antara media A dengan media B, malah hak orang awam untuk diberi liputan media B kalau tidak media A.

Oleh yang demikian, persoalan yang harus direnung di sebalik isu "no favour" ini adalah, kalau media adalah pemantau, siapa pula yang memantau pemantau ini?  Ia menjadi satu keperluan yang harus diteliti, apabila kita berdepan dengan realiti bahawa ruang wacana kini didominasi oleh dua media Godzilla, iaitu Media Prima dan Media Chinese International Limited.

Tulisan ini adalah lidah pengarang yang disiarkan dalam MerdekaReview, edisi bahasa Cina pada 16 Julai 2010. Diterjemah oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

AMK Selangor mahu Kerajaan Umno-BN mansuhkan permit penerbitan akhbar


Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa kerajaan memansuhkan permit penerbitan akhbar yang tidak lagi relevan.  Permit penerbitan akhbar menghalang kebebasan media dan kebebasan maklumat di negara ini.  Dalam era globalisasi, permit mengekang hak rakyat mendapatkan maklumat sudah ketinggalan zaman tatkala dunia media sudah berubah.

AMK Selangor membidas perlunya permit penerbitan akhbar ini kerana ianya bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Negara.  Tidak ada keperluan untuk adanya permit penerbitan akhbar ini kerana ianya tidak akan menjejaskan keselamatan negara.  Malahan, kita yakin media lebih akan meriah dengan kepelbagaian akhbar-akhbar yang wujud dan ia terpulang kepada kuasa pengguna untuk membuat pilihan.

Malahan kita berkeyakinan kuasa pengguna pembaca akhbar sudah bijak untuk membuat pilihan kerana kecanggihan teknologi maklumat kini lebih pantas dan meluas.  AMK Selangor juga menggesa kerajaan tidak lagi menggunakan alasan tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar setiap tahun untuk dijadikan asas mengekang penerbitan sesuatu akhbar.

Kewujudan undang-undang sedia ada masa kini sudah cukup untuk mengenakan tindakan perundangan kepada media-media cetak jika membawa berita berunsur fitnah dan mengancam keselamatan negara.  Justeru permit penerbitan akhbar hanya akan mengekang perkembangan budaya fikir dan kritis rakyat.  Tatkala peranan media cetak menjadi jurubicara rakyat dan pengimbang kepada pihak pemerintah.

AMK Selangor yakin jika permit penerbitan akhbar ini dimansuhkan, rakyat akan lebih berfikiran kritis dan terbuka tatkala kini jumlah akhbar di negara masih kurang di pasaran berbanding negara-negara maju lain.  Akhirnya, Malaysia akan lebih maju dan inovatif kerana mempunyai akhbar yang berkualiti yang membentuk budaya fikir rakyat ke arah kecemerlangan. - Mohd Ezli Mashut selaku Ketua Penerangan AMK Selangor.

Enakmen Kebebasan Maklumat Selangor bertentangan dengan Perlembagaan




Berikut adalah perbahasan "Rang Undang-Undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010", oleh Sulaiman bin Razak selaku ADUN Permatang, dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan DUN Selangor ke-12 tahun 2010.


Tuan Speaker, 

Terima kasih kerana diberi peluang untuk mengambil bahagian perbahasan mengenai Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 yang telah dibentangkan bagi pihak kerajaan negeri.

Tuan Speaker,

Kita baru sahaja mendengar penjelasan dan rasional dari pihak kerajaan mengapa Rang Undang-undang ini perlu dibentangkan dan diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.  Sepertimana masyarakat umum di luar sana, saya juga menghormati harapan murni kerajaan untuk menjadikan enakmen ini salah satu mekanisme untuk mempastikan ketelusan dan kebebasan mendapatkan maklumat kerajaan.

Ini juga sebagai suatu usaha untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan berintegriti.  Walaupun begitu kita perlu juga melihat dari segi nawaitu dan tujuan tersurat serta tersirat di sebalik pembentangan enakmen ini.

Dari segi keikhlasan, keberkesanan dan pencapaian sepenuhnya matlamat syumul enakmen ini, TETAPI yang lebih penting dalam konteks ini ialah sama ada penggubalan dan pembentangan enakmen ini selaras dan mematuhi peruntukan Perlembagaan Malaysia dan beberapa undang-undang yang berkaitan dengannya.  Saya dan rakan-rakan saya ADUN-ADUN Barisan Nasional telah meneliti secara terperinci perkara-perkara dalam Rang Undang-undang Enakmen ini dan mendapati bahawa Enakmen ini pada prinsipnya tidak selaras dan bertentangan dengan beberapa peruntukan dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dan beberapa undang-undang berkaitan dengannya.

Saya tidak mahu mempersoalkan tujuan murni enakmen ini sehingga dituduh oleh PAKATAN RAKYAT bahawa Barisan Nasional sebagai takut dengan bayang-bayang sendiri.  TETAPI sebagai Ahli Dewan yang bertanggungjawab menggubal undang-undang yang wajar dan bersesuaian, adalah tidak wajar Dewan ini membentang dan meluluskan Enakmen ini yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan kesahihannya boleh dipersoal di Mahkamah.

Berdasarkan kepada prinsip ini dan fakta-fakta yang akan saya dan rakan-rakan saya bangkitkan nanti saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 ditolak oleh Dewan yang mulia ini.

PERTAMA

Tuan Speaker,

Rang Undang-undang ini didapati tidak selaras dengan Perlembagaan Malaysia.  Ini kerana enakmen ini didapati telah menceroboh (encroaching) pada kuasa dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Hak untuk menggubal sesuatu berhubung dengan maklumat dan "Rahsia Kerajaan" adalah di bawah kuasa Parlimen Malaysia atau Kerajaan Persekutuan.

Rang undang-undang secara jelas menyebutkan Tafsiran "maklumat" ertinya apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan Kerajaan Negeri tetapi tidak termasuk dokumen - (a) yang telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Walaupun dikatakan maklumat dan dokumen tidak terkait dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 di bawah kuasa Parlimen dan Kerajaan Persekutuan, klausa "maklumat" ertinya apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan "Kerajaan Negeri" sudah cukup menunjukkan ia tertakluk di bawah bidang kuasa Parlimen atau Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan negeri atau Dewan ini tidak mempunyai hak untuk meluluskan undang-undang berkaitan maklumat dan kerahsiaan kerana perkara tersebut jatuh di bawah peruntukan Jadual Kesembilan Senarai Perundangan, Perkara 74, 77 Senarai 1- Senarai Persekutuan.  Jelas di bawah ”Senarai 1 ini Perkara 4 - Undang-undang dan acara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan termasuk (f) Rahsia Kerajaan; perbuatan rasuah” termasuk dalam senarai ATAU bidang kuasa Parlimen / Kerajaan Persekutuan.

Adalah difahami bahawa "maklumat" ertinya apa-apa dokumen yang dibuat oleh mana-mana jabatan "Kerajaan Negeri" adalah tertakluk di bawah perkara (f) Rahsia Kerajaan.

Walaupun subjek maklumat itu adalah di bawah Senarai Negeri seperti tanah, agama, perhutanan dan sebagai, tetapi saya beranggapan bahawa ia tetap tertakluk di bawah perkara (f) Rahsia Kerajaan.

Di bawah Senarai yang sama menyebutkan "Perkara 22 – Penapisan".  Penapisan ini bukan setakat kandungan dalam filem, bahan-bahan cetakan dan penyiaran, tetapi juga mencakupi penapisan maklumat rahsia kerajaan setakat mana yang boleh didedah atau diberikan kepada rakyat umum.

Kedua-dua perkara 1. Perkara 4 - Undang-undang dan acara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan termasuk (f) Rahsia Kerajaan; perbuatan rasuah dan 2.  "Perkara 22 - Penapisan" difahami sebagai berkaitan dengan pengawalan maklumat dan rahsia dalam jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang hanya boleh digubal undang-undangnya oleh Parlimen atau Kerajaan Persekutuan.

Oleh kerana undang-undang ini jelas cuba menceroboh peruntukan undang-undang Kerajaan Persekutuan yang jelas terdapat di bawah Senarai Persekutuan (Federal List) di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka sewajarnya rang undang-undang ini ditolak dan tidak diluluskan.

KEDUA

Tuan Speaker,

Peruntukan tentang "maklumat dan kerahsiaan kerajaan" dalam kerajaan yang terkandung dalam rang undang-undang ini juga tidak terdapat di dalam Senarai Bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.  Senarai bersama sekadar menggariskan antaranya perkara berkaitan kebajikan masyarakat, biasiswa, perlindungan haiwan liar, ternakan binatang, perancangan bandar, kutu rayau dan penjaja, kesihatan awam, perparitan, pemulihan tanah lombong, pencegahan kebakaran, kebudayaan dan sukan, perumahan, bekalan dan perkhidmatan air.

Jika ada peruntukan undang-undang yang jelas memberi kuasa kepada kerajaan negeri seperti yang terkandung dalam Senarai Bersama ini, maka kerajaan negeri masih tidak mempunyai hak atau locus secara bersendirian untuk meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat ini.

Sudah jelas, perkara "maklumat dan kerahsiaan kerajaan" ini tidak terkandung langsung dalam Senarai Negeri yang rata-rata meliputi perkara berkaitan agama, adat istiadat, pemegangan tanah, perlombongan, perlesenan panggung wayang, tempat hiburan dan tapak bersejarah.

Oleh kerana rang undang-undang ini jelas tiada dalam bawah Senarai Bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dan Senarai Negeri.  Maka sewajarnya rang undang-undang ini ditolak dan tidak diluluskan.

OLEH KERANA ITU RANG UNDANG-UNDANG INI MENJADI TIDAK RELEVAN, TIDAK BOLEH DIKUATKUASA DAN BESAR KEMUNGKINAN BOLEH TERBATAL DI MASA HADAPAN JIKA IA DIBENTANG DAN DILULUSKAN DI PERINGKAT DEWAN UNDANGAN NEGERI SAHAJA.

KETIGA

Cuba kita lihat kandungan rang undang-undang ini di bahagian Kesalahan 15 (2) "Mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya".

Apa (Sulaiman bin Razak, gambar kanan) yang saya maksudkan adakah Dewan Undangan Negeri yang mulia ini boleh membentang dan meluluskan suatu bentuk hukuman atau penalti yang melibatkan denda kewangan tinggi atau dipenjarakan?  Bukankah ini suatu kesalahan dan hukuman sivil yang hanya layak dibuat oleh Parlimen atau Kerajaan Persekutuan dan penguatkuasaan pendakwaan serta hukumannya oleh pihak Peguam Negara.  Malah subjek dalam rang undang-undang terang-terang terletak dalam Senarai Persekutuan seperti yang telah dijelaskan.

Sehubungan itu saya ingin mendapatkan pengesahan daripada pihak kerajaan, adakah enakmen ini telah dipersetujui dan mendapat "lampu hijau" dari pihak Peguam Negara untuk dibaca dan diluluskan?

Situasi yang sama dilihat pada Enakmen Penghinaan Dewan 2008 di mana soal Hukuman 4 (a) "...hendaklah dikenakan hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan kepada dua belas bulan atau dengan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit..." dan (b) "...hendaklah dikenakan hukuman penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan kepada 3 tahun dan hendaklah juga dikenakan hukuman denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit."

Dalam kes YB Sungai Panjang yang ingkar untuk hadir ke sesi pendengaran SELCAT atau didakwa menghina Dewan, pihak polis tidak tertakluk dan tidak dapat mengambil tindakan kerana tidak diizinkan oleh Peguam Negara.

PENUTUP

Justeru, apakah maksud dan relevannya rang undang-undang ini jika ia tidak dapat digunakan untuk menghukum mereka yang melanggarnya. Ternyata ini adalah penggubalan dan kelulusan rang undang-undang yang membuang masa, tidak praktikal dan sia-sia.  Kerajaan negeri hanya mahu mencari populariti murahan. Tuan Speaker saya mohon menolak Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2010 yang telah dibacakan.

Sekian, terima kasih.