KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Oktober 29, 2010

PRK Dun Galas >> Adakah UMNO akan lawan untuk kekalkan kuasa atau serah kuasa?


Soalan yang kedua adalah: Adakah UMNO akan hilang kuasa secara aman dan senyap, atau mereka akan lawan sehingga akhir untuk terus berkuasa?  Ini merupakan soalan yang jauh lebih susah untuk dijawab.

Jawapan untuk soalan ini bukan sahaja bergantung kepada kelemahana BN tetapi juga bergantung kepada kekuatan PR.  Ajaran daripada semua revolusi dunia yang berjaya dari revolusi agung kaum pekerja di Russia, kepada revolusi Cina, revolusi Cuba, Revolusi Iran termasuk juga Peoples Power (EDSA) di Filipina dan Gerakan reformasi di Indonesia menunjukkan bahawa apabila kuasa rakyat atau kuasa revolusi cukup kuat dan menyeluruh, maka tentangan yang paling minima dan pertumpahan darah yang paling minima akan berlaku.  Ini adalah keadaan di mana arus perubahan yang melanda terlalu besar dan momentum yang cukup gergasi sehingga mereka yang hendak menentang akan akur sahaja dan undur tanpa tentangan (walkover).

Untuk suasana sebegitu, PR mesti menjadi gerakan yang dapat lebih kurang 65 -70% sokongan rakyat.  Suasana ini belum wujud dan jauh daripada wujud buat masa kini. Keputusan pilihanraya beberapa pilihanraya lalu terkini menunjukkan bahawa UMNO masih mendapat sokongan orang Melayu, manakala sokongan orang India sedikit sudah kembali ke pangkuan BN, dan nampaknya hanya Kaum Cina yang cukup bersedia untuk menguburkan rejim lama.

Faktor kedua yang kita harus ambil tahu adalah faktor samada UMNO itu berwajah facisme atau menuju fasisme. Fasisme merupakan ideologi politik yang mempunyai beberapa ciri, antaranya ialah ia mempromosi satu bentuk nasionalisme yang ultra - yang meletakkan kepentingan negara lebih penting daripada kepentingan individu atau masyarakat.  

Fasisme mementingkan perpaduan antara masyarakat bangsa yang sama.  Dalam situasi ini adalah perpaduan Melayu dan ideologi ini juga meliputi unsur-unsur nasionalisme, ketenteraan, korporatisme, totalitarianisme, antikomunisme dan antiliberalisme. Pengasah ideologi fasisme biasa dikaitkan dengan bekas pemimpin Itali, Benito Mussolini.

Adakah Najib menuju pemerintahan Fasis?

Justeru itu, kalau kita petik tujuh ciri fasis yang disimpulkan oleh ahli akedemik politik Laurence W Britt, dan kesimpulan Dzulkarnain yang terdapat dalam kertas yang disediakan oleh penganjur, maka tidak sah lagi ciri-ciri seperti - mempromosikan semangat kebangsaan atau patriotisme yang menjurus kepada perkauman; sokong pertubuhan perkauman seperti PERKASA; kebencian terhadap nilai dan hak asasi manusia; pencabulan hak asasi manusia; pengawalan ketat media massa;  penyalahgunaan institusi keselamatan Negara; dan pelaksana undang-undang iaitu agensi penguatkuasa dan kehakiman disalahgunakan; kepentingan kroni dan koporat dilindungi secara rapi; dan subsidi diteruskan kepada syarikat kroni; gejala kronisme dan rasuah berleluasa; pemberian kontrak dibuat tanpa ketelusan; dan akhirnya penipuan terancang dalam sistem pilihan raya.

Jika ini bermakna menuju fasisme maka tiada soalan lagi kecuali menyimpulkan bahawa Najib menuju kepada fasisme.  Kerana semua ciri-ciri ini dilaksanakan pada masa ini.

Namun demikian, suasana zaman Benito Mussolini jauh berbeza berbanding dengan zaman Najib Razak.  Najib berada dalam zaman ekonomi global kapitalisma di mana syarikat-syarikat MNC lebih kuat dari negara-negara berdaulat.  

Oleh yang demikian - fasisme akan membawa kepada keadaan iklim perniagaan yang tidak selesa.  Ini akan ditentang oleh puak peniaga kecuali jika Najib dan UMNO dapat mengimbangi suasana kuku besi dengan syurga pernigaan kepada kaum kapitalis.

Mungkin Najib boleh belajar dari Singapura beberapa tips.  Oleh yang demikian adalah satu halangan untuk Najib.  Sejauh manakah sistem kapitalis itu sendiri mahu menyokong Najib, atau mereka mahu mencari pengganti dalam bentuk PR?  Inilah berlaku di Indonesia apabila kaum peniaga merasakan peniagaan lebih baik di bawah pembangkang daripada di bawah Suharto.

Isu kedua: Sistem maklumat merupakan senjata yang paling berkesan hari ini.  Marx pernah berkata bahawa teknologi yang dibawa oleh kaum borjuis boleh digunakan balik terhadap golongan mereka sendiri.  Dalam suasana berbincangan kita hari ini, informasi maklumat tidak lagi menjadi monopoli BN dan parti pemerintah.  

Oleh yang demikian, keadaan maklumat yang penting dapat disalurkan.  Keadaan berbeza pada zaman dahulu dimana informasi dan maklumat menjadi monopoli satu golongan sahaja.

Faktor ketiga yang saya rasa cukup penting adalah sejauh mana PAS akan termakan umpan UMNO.  Hari ini saya ingin mengangkat topi nak tabik kepada PAS kerana sejak kebelakangan ini, PAS telah berkelakuan dengan penuh tanggungjawab dan penuh matang.  

Dulu semasa saya baca Harakah Bahasa Melayu dan kertas Harakah bahasa Inggeris yang ada di dalamnya, saya dapati Harakah Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris mempunyai bau politik yang berbeza.  Satu untuk tarik orang Islam Melayu dan satu lagi untuk tarik orang bukan Melayu.  

Namun demikian, kebelakangan ini saya melihat bahawa kenyataan-kenyataan pemimpin PAS dan juga tulisan-tulisan pemimpin PAS cukup konsisten sekali, baik dalam Harakah bahasa Melayu mahupun Harakah bahasa Inggeris.

UMNO telah mencuba banyak isu-isu perpaduan Melayu, isu Ahli Parlimen Serdang yang masuk surau bagi bantuan, isu Kalimah Allah, isu penukaran agama dan isu pembakaran gereja.  Dalam semua ujian ini, PAS telah meperlihatkan satu imej yang cukup baik dan matang.  PAS tidak menari dengan nada dan muzik UMNO lagi.  Pendirian PAS semakin konsisten dan semakin dapat diterima oleh majoriti rakyat yang berbilang kaum.

Dulu setiap kali, isu Melayu dan Islam dipermainkan oleh UMNO, PAS terus mengambil satu posisi bersama UMNO dan ini dengan senangnya memecahkan perpaduan di kalangan pembangkang terutamanya dengan DAP.  

Tapi PAS hari ini berbeza dan mungkin dengan slogan PAS UNTUK SEMUA dan membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu PAS, maka PAS hari ini tidak lagi dapat memainkan peranannya sebagai kumpulan radikal atau fundamentalism Islam.  PAS harus tegas dan berani memperjuangkan konsep ini demi perpaduan pembangkang dan PR.

Selagi PAS di landasan yang tidak terjerat dengan umpan UMNO, selagi itu UMNO susah untuk memecahbelahkan perjuangan rakyat.  Saya juga ingin menegaskan perpaduan kaum dapat kita kekalkan hari ini, sebahagian besar adalah berpunca daripada sifat dan sikap PAS yang tidak memainkan sentiment kaum dan agama untuk sekadar popular sahaja. - S ARULCHELVAN

PRK Dun Galas >> Pastikan Umno akan tumbang dalam PRU-13


Ya, untuk soalan pertama, saya sesungguhnya percaya bahawa rejim UMNO-BN akan tumpas dan hilang kuasa. Hujah ini berlandaskan kepada realiti hukum alam dan saintifik. Mana-mana satu pemerintahan dan sistem tidak boleh memerintah sehingga akhir atau secara kekal. Perubahan pasti berlaku dari dalam (pereputan struktur dalaman) dan ditambah dengan tuntutan perubahan dari luar, pastinya UMNO tidak dapat bertahan lama.

Ahli Falsafah Hegel akan mengariskan ini sebagai hukum dialetiks iaitu pertembungan antara Tesis dan Anti-thesis.  Hari ini kita dapat melihat bahawa UMNO-Barisan Nasional semakin lemah dan semakin hari menghitung hari penguburannya.  UMNO-BN sudah hilang momentum politik, di mana pada satu masa kedudukan mereka seperti tidak boleh digoyang langsung, tetapi kini keadaan mereka semakin goyang.

Pada tahun 1969, Parti Perikatan menghadapi nasib yang sama, tetapi mereka berjaya hidup semula dengan "repackaging" baru dengan nama Barisan Nasional.  BN wujud setelah peristiwa berdarah 13 Mei, darurat dan penahanan beramai-ramai di bawah ISA. BN hidup semula dengan bergabung dengan parti pembangkang pada masa itu,  termasuk Parti GERAKAN, PAS dan PPP, dan ini telah memberikannya nafas baru kepada hegemoni UMNO untuk terus kekal dan memerintah selepas itu.

Kini BN menghadapi zaman kehancurannya sekali lagi.  Adakah UMNO BN akan cuba "repackaging" balik, dan siapakah yang akan tampil ke depan untuk menyelamatkan mereka?  Dua cadangan "repackaging" telah dikemukakan, iaitu:  satu, menjadikan BN satu parti pelbagai kaum (multiracial) diusulkan oleh PPP selepas Tsunami 2008 dan mendapat sokongan beberapa parti komponen BN termasuk Parti Gerakan, tetapi tidak direstui oleh UMNO.  Najib mahukan 1Malaysia tetapi tidak mahu 1Parti pelbagai kaum.

Kemudian adalah cubaan "repackaging" atas nama perpaduan Melayu dan Islam dengan kerjasama dengan PAS.  Di sini kita dapat lihat bagaimana media arus perdana diguna habis-habisan untuk membuat khawin paksa antara UMNO-PAS dan ini memang telah mengugat foundation(asas) Pakatan rakyat (PR).  Kalau bukan pendirian tegas diambil oleh beberapa pemimpim termasuk Tok Guru, kemungkinan UMNO dan BN akan dapat nafas baru.  

Tetapi cubaan itu gagal.  Dan cubaan pengabungan UMNO-PAS, bukan sahaja ditentang oleh DAP dan PKR, tetapi ia turut ditentang oleh komponen parti BN yang lain seperti MCA, Gerakan, MIC dan sebagainya.  PAS pula telah membuat perhimpunan Parti tergempar untuk memberikan komitmen ia masih bersama PR.

Oleh yang demikian, UMNO kini dalam dilemma yang paling serius dalam riwayat hidupnya.  Nak berkawan dengan PERKASA, komponen BN marah.  Nak menentang PERKASA, Mahathir dan penyokong UMNO yang ultra Melayu pula marah.  Oleh yang demikian, selagi UMNO gagal untuk "repackaging" baru, maka saya tidak dapat lihat bagaimana UMNO-BN akan pulih, dan saya meramalkan UMNO-BN akan hancur.  Saya juga tidak menolak kemungkinan parti komponen BN atau sebahagaian daripada parti komponen BN bertukar khemah dan menjadi ahli PR.

Dalam suasana kita menanti penguburan UMNO, kita jangan lupa bahawa MCA sudah mengatasi krisis kepimpinan, dan Samy Vellu akan bersara dari MIC. Adakah reformasi dalam MIC dan MCA dapat menyelamatkan BN dan UMNO sendiri?  Saya kurang yakin memandangkan rakyat Malaysia semakin muak dengan politik lama MCA dan MIC.

Namun adalah baik kita tidak meremehkan usaha yang dibuat oleh BN untuk kembali mendapat keyakinan rakyat.  Namun demikian, jika PR gagal ke Putrajaya, saya merasakan pihak yang harus disalahkan adalah PR sendiri yang gagal mengambil kesempatan yang ada.  Saya melihat musuh paling besar dalam PR ke arah menuju Putrajaya bukanlah sekadar UMNO-BN, tetapi ia juga adalah bagaimana PR mengurus diri mereka sendiri? - S ARUTCHELVAN

PRK Dun Galas >> Bina kuasa rakyat, kuburkan hegemoni UMNO

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada  Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram (FOS) negeri Johor, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) atas jemputan dan memberi peluang kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) membincangkan dan membicarakan isu yang cukup menarik dan panas ini.


Topik "Menentang Pemerintahan Fasis (Kuku Besi), Kuburkan Rejim UMNO" adalah satu topik yang sungguh straight forward dan penganjur mengariskan persoalan yang cukup tajam dan tidak berbelit belit. Persoalan di hadapan kita adalah persoalan yang nyata dan factual.

Kita hari ini berdepan dengan satu zaman yang penuh menarik.  Politik Malaysia yang untuk beberapa dekad ini yang lesu dan tenang, tiba-tiba bergelora dan dinamik.  Tsunami politik 2008 membawa bersama perubahan tetapi masih tidak berjaya menumpaskan rejim pemerintah yang memerintah sejak kemerdekaan.  Ini adalah zaman transisi iaitu zaman perantaraan antara dua rejim.  Persoalan adalah: Adakah rejim lama UMNO-BN akan terkubur atau sebaliknya?  Adakah ia dapat memperkukuhkan diri dan kembali memerintah dengan mandat baru?

Dan saya (S. Arutchelvan, gambar kanan) juga harus memberi tahniah kepada penganjur kerana berani mengadakan satu forum untuk membincangkan penguburan UMNO dan program ini pula diadakan di kubu UMNO yang paling kuat, iaitu di Johor, tempat lahirnya Onn Jaafar - pengasas UMNO.

Kalau kita berani berucap mengenai penguburan UMNO di Negeri Johor, maka boleh dikatakan harapan menguburkan UMNO memang cerah sekali.  Ada pandangan bahawa Johor akan merupakan negeri yang paling akhir sekali yang akan tumbang. 

Semasa penaklukan Inggeris ke atas Tanah Melayu, Johor menjadi negeri terakhir untuk akur kepada kehendak British, semasa penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu, Johor sekali lagi menjadi negeri terakhir ditakluki memandangkan Jepun masuk dari Utara.  Dan hari ini, tidaklah mustahil untuk meramal Johor mungkin menjadi negeri terakhir untuk UMNO pula tumbang.  Justeru itu, forum ini diadakan di Johor ini sungguh signifikan dan mempunyai ada kepentingan politiknya.

Persoalan di hadapan kita:

Penganjur telah bertanyakan tiga soalan yang cukup relevan, iaitu -

1) Adakah kerajaan BN yang diterajui oleh Najib adalah sebuah regim fasis atau menuju ke arah fasis?

2) Apakah pula pendirian yang harus rakyat pelbagai kaum pegang terhadap regim tersebut?

3) "Di manakah jalan keluar Rakyat jelata dibawah pemerintahan regim fasis?"

Persoalan ini cukup tajam dan jitu.  Namun saya hendak menambah dua lagi soalan yang ada kaitan dengan tiga soalan di atas, dan dua soalan ini adalah persoalan yang paling pokok untuk zaman transisi ini:

1. Adakah rejim UMNO-BN akan tumpas?

2. Adakah mereka akan hilang kuasa secara aman dan senyap atau mereka akan lawan sehingga akhir? - S. ARUTCHELVAN 

PRK Dun Galas >> Royalti minyak mula bergema di Galas

Isu tuntutan royalti minyak Kelantan telahpun mula dibangkitkan dalam kempen pilihan raya kecil DUN Galas. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Nik Abdul Aziz bagaimanapun sekadar menyebut perkara itu sepintas lalu dalam ucapannya di satu ceramah lewat malam tadi. 

Bayaran royalti minyak sememangnya hak negeri berkenaan, katanya dalam satu ceramah yang turut mementaskan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

"(Royalti) Petroleum ini sama ada beri kepada orang Terengganu atau Siam (Thailand) sebab kita berada di tengah-tengah," katanya di hadapan lebih 200 orang yang hadir.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut isu berkenaan yang disebut di akhir ucapannya. Nik Abdul Aziz memeriksa jam tangannya dan berkata: "Oh, tengah malam dah" sebelum menutup ucapannya dengan bacaan doa.

Khamis, Oktober 28, 2010

PRK Dun Glas >> Tok Guru Nik Aziz dakwa PAS tolak perpaduan dengan Umno ada asas!


Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan dasar parti itu untuk menerima dan menolak untuk bersatu dengan Umno dan sekali gus berbaik-baik dengan bukan Islam mempunyai asas yang kukuh. Menteri Besar Kelantan itu (gambar) berkata, PAS menyertai Barisan Nasional (BN) sekitar tahun 70-an itu atas jemputan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein dan bukan PAS yang mahu menyertai gabungan itu.

“PAS tidak pernah meminta untuk bersatu dengan Umno apabila menyertai BN ketika itu... malah ketika ‘ditendang’ dari BN, kita tidak diajak untuk berbaik-baik semula sehinggalah selePAS pilihan raya umum ke-12 lalu,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Nik Aziz  berkata, PAS pernah berbaik-baik dengan Majlis Perundingan Cina (CCC) selepas Umno tidak menjemput PAS semula menyertai gabungan itu. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana dikatakan terus mengeluarkan ‘fatwa’ sesuka hati berhubung kerjasama Umno dengan MCA dalam BN.

Dalam kenyataannya di Gua Musang semalam, Timbalan Presiden Umno itu dilaporkan berkata, PAS menganggap kerjasama Umno dengan MCA adalah salah tetapi pada masa sama ‘menghalalkan’ kerjasama PAS dengan DAP.

Ini membuktikan pemimpin PAS suka membuat ‘fatwa’ sesuka hati mengikut kepentingan politik mereka, katanya. Menurut Nik Aziz, tindakan PAS menyertai BN sebelum ini menimbulkan perpecahan di kalangan PAS di mana wujud empat kumpulan di kalangan penyokong parti itu, termasuk Islah, Hamim dan Berjasa.

Katanya, selepas itu PAS ditendang keluar daripada parti gabungan BN itu sehingga bekas Presidennya, Datuk Asri Muda dilucutkan daripada Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah.

Beliau juga berkata, PAS mempunyai asas yang kukuh untuk bersekongkol dengan DAP dan pernah keluar dari gabungan itu bila DAP gagal menerima perjuangan PAS sehinggalah mereka kembali semula selePAS memahami konsep perjuangan PAS.  – Bernama

PRK DUn Galas >> BN cemas pengundi Tionghua lebih minat dengan PAS


Kesungguhan jentera Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) bagi membantu calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad begitu terserlah dalam Pilihan Raya Kecil Dun Galas kali ini. Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, kerjasama jentera Pakatan Rakyat dalam setiap pilihan raya menggambarkan keutuhan parti yang menakutkan Barisan Nasional.

"Kita tengok pergerakan jentera parti ini boleh memberi kelebihan dan keyakinan kepada semua pihak untuk menyokong calon PAS," ujarnya.

Beliau ditemui ketika bersama Dr Zulkefli dalam siri kunjungan muhibbah ke Kampung Pulai yang mempunyai 471 pengundi, majoritinya kaum Tionghua.

Nurul Izzah juga berkata dalam masa berkempen, penerimaan masyarakat Tionghua terhadap calon PAS amat memberangsangkan seperti lawatan di Kampung Baru dan Kampung Pulai.

"Di Kampung Pulai sudah ada pos yang didirikan oleh kaum Tionghua dan mereka sanggup bertungkus lumus untuk memenangkan calon Pakatan Rakyat ini, saya ucapkan syabas kepada penduduk di kampung ini yang sanggup berubah dalam memberi sokongan," katanya lagi.

Katanya, kempen kali ini akan digunakan oleh KeADILan untuk menjelaskan soal penindasan terhadap masyarakat Tionghua di Kampung Pulai yang sebelum ini menerima bantuan baja.

Namun, katanya setelah mereka tidak lagi berpihak kepada BN dan mendirikan pos untuk Pakatan Rakyat, nama mereka dengan serta merta dibuang dari senarai penerimaan baja tersebut.

Menurutnya, usaha jentera parti kali ini dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat Tionghua akan dapat meningkatkan jumlah undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PAS.

"Masyarakat Tionghua di Kelantan mempunyai  pendirian politiknya tersendiri kerana mereka sudah lama berada di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz dan mereka tahu apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mereka," kata beliau lagi.

PRK Dun Galas >> Malaysia bukan wasiat Umno melalui Amanah Raya, kalau kalah kenapa nak pertahan Putrajaya?


PRESIDEN Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak perlu sedar bahawa Malaysia ini bukan harta pusaka Umno-BN yang telah diwasiatkan melalui Amanah Raya, tetapi ia adalah hak rakyat untuk menentukan kepimpinan di negara ini melalui pilihan raya, tegas Ustaz Idris Ahmad kepada Harakah.

PAS mengharapkan Najib selaku Perdana Menteri yang bertegas mempertahankan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan (Putrajaya), mestilah dilakukan dengan cara demokrasi, dan bukan bermain di padang yang tidak rata dan mengubah tiang gol.

Najib sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung Umno di PWTC baru-baru ini, menyebut; "Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!"

Ustaz Idris yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat, menyifatkan ucapan Najib itu sebagai mimpi ngeri pemimpin Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam pilhan raya umum akan datang. 

Katanya, mereka membayangkan apa akan terjadi kepada rumah banglo mewah mereka, kereta mewah mereka dan perniagaan mereka jika kerajaan Umno-BN jatuh tersungkur. 

Sebenarnya, tegas beliau, mereka bukan takut rakyat tidak boleh makan, bukan takut hak Melayu akan hilang, kerana selama ini pun mereka tidak  pedulikan rakyat tetapi takut kemewahan mereka yang akan lenyap. 

Banyak perwakilan Umno telah membangkitkan bagaimana pemimpin Umno yang tidak memperdulikan rakyat selama ini,  yang hanya turun berjumpa rakyat ketika kempen-kempen pilihan raya sahaja.

PAS katanya, mengharapkan supaya Umno belajar menjadi orang kalah, kerana dalam negara demokrasi ada masa turun naik. 

"PAS hendak tahu juga apa maksud  ucapan Presiden Umno "Walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" Apakah kalau BN tidak mendapat suara majoriti nanti, mereka tidak mahu menyerah kuasa juga? 

"Demokrasi apakah ini? Belajarlah daripada PAS yang pandai menghormati demokrasi di negara ini. PAS pernah memerintah Kelantan pada tahun 1959, tapi tewas pada tahun 1978 walaupun dengan taktik Undang-undang Dharurat, namun PAS menyerahkan kuasa kepada Umno, kemudian kembali memerintah pada tahun 1990 hingga kini," jelas Ustaz Idris.

PAS juga kata beliau lagi, pernah menang 1959 dan kalah di Terengganu pada tahun 1961 melalui taktik kotor. Kemudian menang pada tahun 1999 dan tewas pada tahun 2004. 

Walaupun pada ketika itu emosi penyokong PAS tidak boleh menerima kekalahan ini, namun kebijaksanaan pemimpin PAS telah berjaya menenangkan rakyat supaya menghormati suara rakyat, ujarnya. 

Tegasnya lagi, begitu juga dengan peristiwa jatuhnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak walaupun dengan cara tidak demokratik, namun PAS dan Pakatan Rakyat terus bersabar dan akur dengan keputusan ini. 

PRK Dun Galas >> Rupa-rupanya kaum India di Kelantan disisih oleh MIC Samy Vellu


KEHADIRAN begitu ramai penduduk bukan Islam pada ceramah sempena pelancaran jentera pilihan raya PAS dan pengumuman calon mengejutkan banyak pihak. Mereka kelihatan begitu berminat mengikuti ceramah dan tidak berganjak sehingga program berakhir. 

Situasi itu secara tidak langsung menggambarkan sokongan mereka tidak berbelah bagi terhadap calon PAS, Dr Zulkefli Muhamed yang akan meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Chek Hashim Sulaima. Timbalan Ketua Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP), Balasubramaniam A/L Nachiappan berkata, masyarakat India di Kelantan dan negeri lain tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada MIC.

"Sebaliknya mereka tidak merungut berada di bawah pemerintahan PAS yang diketuai Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Di Galas orang India tidak menghadapi banyak masalah. Ini kerana kebanyakan permasalahan yang timbul berjaya diselesaikan kerajaan negeri terutamanya dari aspek kebajikan,” katanya ketika ditemui.

Beliau bersama DHPP Pahang datang ke Galas bagi membantu kempen PAS terutamanya membabitkan di kalangan pengundi masyarakat India. Turut serta Ketua Penerangan DHPP Pahang, P Kanagarajah dan ahli jawatankuasa, S Vadivelu.

Katanya, beliau akan menggunakan pengalaman menyertai kempen pilihan raya sebanyak 11 kali bagi mendekati masyarakat India di Galas. Terdapat seramai 185 pengundi India di Galas. Mereka bekerja di ladang, kilang dan bekas pekerja Kereta Api Tanah Melayu (KTMB).  

"Saya sudah banyak kali datang ke Kelantan dan saya lihat rakyat di kalangan kaum India tidak pernah merungut mengatakan Menteri Besar tidak membuat apa-apa. Tok Guru sudah 20 tahun memerintah negeri ini dan beliau melayan rakyat dengan adil tanpa mengira kaum, agama serta fahaman politik," katanya.

Bala juga menyifatkan Pilihan Raya Kecil Galas pada 4 November ini sebagai petanda baik bagi calon PAS kerana rakyat senang dengan khidmat diberi Chek Hashim sebelum ini. 

PRK Dun Galas >> Pengundi Galas diingatkan, RM70 juta untuk 'lubang kubur' VIP


KETUA Umum Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat satu projek baru kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dinamakan Pusara Negara menelan belanja RM70 juta. Menurutnya, projek Pusara Negara itu merupakan 'lubang kubur' yang dikhaskan kepada para pembesar-pembesar VIP muslim dan bukan muslim.

Malah, katanya projek berkenaan memperuntukan sebanyak 500 buah lubang kubur di lokasi bersebelahan dengan Tugu Negara.

"Ada projek baru namanya Pusara Negara. 500 buah lubang kubur disediakan, 250 buah lubang kubur untuk pembesar-pembesar VIP muslim dan 250 buah lubang kubur lagi untuk pembesar-pembesar VIP bukan muslim. Lokasinya di sebelah Tugu Negara. Jumlah peruntukan kos Pusara Negara untuk  pembesar-pembesar ini adalah RM70 juta. Dia (pemimpin Umno) hidup pun dia (pemimpin) ambil wang rakyat, dia (pemimpin Umno) mati pun dia (Umno) hendak ambil wang kita (rakyat) lagi," jelasnya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Sempena 20 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam berhampiran Masjid Tengku Faiz Petra, Gua Musang, 21 Oktober lalu. Justeru itu, kata beliau seorang pembesar bertaraf VIP Umno yang muslim atau bukan muslim kos harga kubur sahaja bernilai RM140,000.00 seorang.

Menurutnya, usahlah membazirkan wang rakyat kerana urusan kematian ditentukan oleh Allah SWT yang tidak diketahui bila dan di mana. Beliau dengan nada berseloroh menggamatkan suasana medan ceramahnya apabila membuat sindiran kematian para pemimpin Umno-BN mungkin di Zimbabwe atau Mongolia.

"Maknanya, satu orang pembesar VIP mati harga kuburnya sahaja dan belum harga yang lain adalah RM140,000.00 seorang. Ini pemimpin berjiwa rakyat? Mati tanamlah di mana pun dan belum tentu seseorang (pembesar Umno-BN) itu matinya di Malaysia. Mungkin matinya di Zimbabwe atau mungkin mati di Mongolia. Saya pun tidak tahu di mana hendak mati tapi ada orang berdoa mati di Mekah. Jika macam ini biarlah mati di luar sebab 'mahal' mati di Malaysia ini," ujarnya dengan berseloroh. 

Ketua Pembangkang itu juga turut mempersoalkan jumlah kos yang terlalu tinggi hanya untuk kerja membaik-pulih kediaman Perdana Menteri di Putrajaya. Menurutnya, di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi kos baik-pulih kediaman rasmi PM di Putrajaya telah dilakukan dengan harga RM17 juta.

Namun begitu, katanya di zaman Dato’ Seri Najib Tun Razak pula menjadi Perdana Menteri kos membaik-pulih kediaman tersebut mencecah RM65 juta.

"Nok (hendak) kata saya fitnah, rekodnya ada dan baca buku laporan Kementerian Kewangan. Najib 'tak sempat' (duduk) sebab selepas pilihan raya (PRU ke-13) esok 'orang lain' yang akan ambil-alih Putrajaya... (ketawa), jangan membazir wang rakyat,” ujarnya dengan sinis.

Anwar menjelaskan kos membangunkan masjid dan surau-surau di seluruh negara di bawah peruntukan Jabatan Perdana Menteri hanya sebanyak RM14.3 juta. Oleh itu, katanya di kalangan pemimpin Umno dan kerajaan Umno-BN diminta menjawab persoalan itu sama ada benar atau tidak segala dakwaan tersebut. 

"Saya minta kawan-kawan (pemimpin Umno-BN) kita dalam Umno tidak usah maki-hamun kita, jawab isu ini betul atau tidak. Saya minta adik-kakak (pengundi) di Gua Musang ini ambil pendirian kita (rakyat). Kita (pengundi) kena pertahankan maruah kita (rakyat)," ujarnya.

Pada majlis tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Bentara Setia, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengistiharkan Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkifli Mohamad sebagai calon PAS bertanding Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas.

Hadir sama pada majlis tersebut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalannya, Ustaz Nasarudin Mat Isa, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dato’ Ngeh Koo Ham dan Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail.

Analisa Politik >> Apakah Rosmah Mansur mahu baca Memo Taubat Ketua Pemuda PAS ini?


ASTAQHFIRULLAH... satu tindakan yang cukup memalukan, jahil lagi berniat jahat terhadap ajaran Islam yang suci ini. Lebih-lebih lagi penganjurannya dinaungi oleh orang besar negara.

Islamic Fashion Show atau Islamic Fashion Festival (IFF) ini memang berasal dari Malaysia dan ianya diasaskan oleh Dato' Raja Rezza Shah  sementara Datin Rosmah Mansur bertindak sebagai penaungnya (founding patron).

Bukan sahaja pakaian yang diperagakan ini bertentangan dengan prinsip pakaian Islam, lebih malang mereka berani menghina Rasulullah saw dengan melakarkan nama baginda di pakaian yang sedemikian.

Jika bukan niat menghina Islam, tindakan apakah seperti ini? Sungguh memalukan. Saya tidak jangka mereka sejahil itu, sehingga tidak mengetahui bagaimanakah bentuk pakaian Islam yang sebenarnya, sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt. Firman Allah swt di dalam Surah An Nuur ayat: 31 yang bermaksud: 
"Katakan kepada orang-orang perempuan yang beriman, supaya mereka merendahkan pandangannya dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga ke bawah dadanya. Janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali kepada suaminya, bapanya, bapa suaminya, anaknya, anak suaminya, saudaranya, anak saudaranya yang lelaki, anak saudaranya yang perempuan, perempuan muslimah, hamba sahayanya, orang-orang yang mengikutnya dari kalangan lelaki yang tiada syahwah kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan.  Jangan mereka berjalan sambil menggoyangkan kakinya supaya diketahui orang perhiasan yang tersembunyi. Bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman mudah-mudahan kamu beroleh kejayaan".

Datin Seri Rosmah telah diberikan peluang oleh Allah swt menjadi orang penting dan berpengaruh dalam negara ini. Suami Datin Seri adalah orang bertanggungjawab memimpin negara sebagai Perdana Menteri. 

Malang jika kedudukan yang dimiliki itu membawa Datin Seri jauh daripada Allah swt apalagi secara terbuka menentang syariat Allah swt.

Baru-baru ini Datin Seri Rosmah berjaya mempengaruhi suami untuk menganugerahkan RM 111 juta bajet negara kepada PERMATA sebagai satu badan yang dipimpin oleh Datin Seri. 

Kini Datin Seri memiliki segalanya selain suami , iaitu harta dan takhta. Kemungkinan juga ia menjadikan Datin Seri Rosmah sebagai orang paling berkuasa di negara ini.

Namun kuasa bukanlah tiket untuk Datin Seri  berbuat sesuka hati terutama terhadap agama Islam yang suci ini kerana ia adalah agama milik Allah swt Tuhan yang Maha Berkuasa. 

Tuhan yang memberi sedikit harta dan takhta kepada Datin Seri. Allah swt berhak dan mampu pada bila-bila masa sahaja menarik kembali segala nikmat yang dikurniakan justeru segala nikmat itu hanya ujian untuk melihatnya hambaNya bersyukur kepadaNya atau kufur.

Datin Seri Rosmah boleh memilih untuk bersyukur kepada Allah swt disamping segala keistimewaan dan kemewahan yang dimiliki , tetapi kenapa Datin Seri memilih untuk ingkar dan mempersenda Nabinya saw melalui tindakan Datin Seri menaungi Islamic Fashion Show yang jelas bertentangan dengan Islam ? 

Dan pula menghina Rasulullah saw melalui satu khat nama Rasul yang ditulis secara terbalik pada pakaian murahan sebagaimana yang terdapat di dalam gambar.

Tindakan Datin Seri Rosmah cukup meninggalkan kesan jengkel dan kesal dalam jiwa ummat Islam yang perihatin. Memandangkan Datin Seri Rosmah cukup berkuasa dalam negara ini, kenapalah tidak dijadikan kuasa yang dimiliki itu benar-benar memartabatkan Islam. 

Islamic Fashion Show adalah satu idea yang bijak tetapi malang salah pakaian yang di peragakan. Bukan begitu pakaian Islam. Jika Datin Seri keliru, bagaimanalah pakaian Islam yang sebenarnya, Datin Seri boleh merujuk kepada para mufti yang ramai dalam negara kita atau paling tidak Datin Seri boleh merujuk kepada 40 ulama' muda yang baru-baru telah dirai dengan hebat lagi berprestij dikala mereka menyertai parti  yang dipimpin oleh suami Datin Seri.

Justeru itu saya melihat jahil bukan alasan dan isunya di sini. Saya bimbang benar Datin Seri bersekongkol dengan pihak musuh-musuh Islam untuk menghina dan mempersendakan Islam lalu menjadikan Datin Seri sebagai boneka. 

Namun saya harap tidak begitu, sebaliknya apa yang saya harap ialah Datin Seri kembali kepangkal jalan dan bertaubat kepada Allah Azza wa Jalla  terutama saat usia kita telah hampir ke penghujung.

Biarpun Datin Seri kelihatan masih sihat, muda, kaya dan berharta, namun suka saya mengingatkan kata-kata hikmah yang selalu dilafazkan oleh Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa mati tidak syarat sakit dan mati juga tidak syarat tua. Sementelah jika kita selalu sakit dan usia pula telah meningkat tua.

Datin Seri berdepan dengan amanah ummah. Datin Seri masih ada ruang dan peluang untuk berbakti kepada ummah dan mentaati Allah Azza wa Jalla. 

Pertama , janganlah diulang lagi kesilapan serupa. Tarik diri dari terus menaungi program mungkar seperti penganjuran Islamic Fashion Show yang menghina Islam dan mengelirukan ummah.

Kedua, melalui PERMATA yang dipimpin oleh Datin Seri, setelah memiliki peruntukan sedemikian banyak dari bajet negara (RM 111 juta), mengatasi peruntukkan Sekolah Agama Rakyat (RM 95 juta) dan peruntukan rakyat marhain, Datin Seri sewajarnya manafaatkan anugerah tersebut untuk berbakti kepada agama, negara dan bangsa seperti mempertingkatkan bantuan pendidikan kepada pelajar luar bandar yang rata-ratanya tidak bernasib baik kerana faktor kemiskinan.

Juga membantu ibu tunggal dan anak-anak yatim di seluruh negara tanpa mengira dari parti manakah mereka warisi kemiskinan itu. Jadilah ibu kepada semua rakyat bukan hanya ibu kepada golongan bangsawan dan kenamaan. Rendahkan sayap untuk turun bersama rakyat , bukan hanya singgah dan berpaut di istana hinggap.

Andai Datin Seri terbaca atau membaca "Memo Taubat" yang saya hantar buat tatapan Datin Seri di alam cyber lalu ini , saya harap Datin Seri tidak marah kepada saya. 

Justeru saya hanya menyeru agar Datin Seri kembali kepangkuan Islam  dengan melaksanakan suruhan Allah swt seperti menutup aurat lalu bertaubat kepada Allah swt atas kesalahan lslam. Lantas pimpinlah tangan suami Datin Seri ke arah jalan yang betul agar ia menjadi Perdana Menteri yang juga taat kepada Allah swt.

Bicara atau "Memo Taubat" yang saya nukilkan ini memang tidak sedap di dengar oleh Datin Seri berbanding bisikan-bisikan para penasihat istana Datin Seri yang senantiasa mengampu dan memuji. 

Percayalah, kata-kata itu bukan kerana mereka kasihkan Datin Seri tetapi menjadikan Datin Seri lupa diri dan semakin angkuh di puncak bumi.

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia bahkan seluruh ummat Islam yang terkilan dengan tindakan yang diambil oleh Datin Seri dalam menaungi program mungkar ini sangat berharap agar Datin Seri kembali menyusur pulang ke pangkal jalan dan insyaalah tidak hilang bisa ular dek kerana menyusur akar  sebaliknya tawar ilmu sang pendita dek kerana menyusup laku. - USTAZ NASRUDDIN HASAN

Analisa Ekonomi >> Saiz kerajaan Umno-BN perlu dikecilkan segera!

MALAYSIA telah mengalami kejatuhan sekali lagi dalam Senarai Indeks Kebebasan Ekonomi Sedunia (The Economic Freedom of the World: 2010 Annual Report), yang telah dilancarkan pada 29 September 2010 oleh Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).  

The Economic Freedom of the World: 2010 Annual Report adalah sebuah penerbitan tahunan dari Economic Freedom Network, sebuah jaringan badan-badan pemikir antarabangsa. IDEAS adalah satu-satunya ahli jaringan ini dari Malaysia.

Menganalisa data daripada 141 negara, indeks tahun ini menempatkan Malaysia di kedudukan ke-77.  Ini adalah penurunan sebanyak sembilan tempat dibandingkan dengan pencapaian tahun lepas, apabila kita berada di tempat ke-68.

Hong Kong mengekalkan kedudukan tahap tertinggi dalam kebebasan ekonomi di seluruh dunia, dengan skor 9.05 daripada 10. Skor tinggi yang lain dicapai oleh Singapura (8.70), New Zealand (8.27), Switzerland (8.08), Chile (8.03), Amerika Syarikat (7.96), Kanada (7.95), Australia (7.90), Mauritius (7.82), dan United Kingdom (7.81).

Zimbabwe pula merekodkan tahap kebebasan ekonomi yang terendah di antara 141 negara-negara yang dianalisis, diikuti oleh Myanmar, Angola, dan Venezuela.

Indeks 2010 ini  menggunakan 42 garis pengukur berbeza untuk membuat penilaian polisi-polisi yang menggalakkan kebebasan ekonomi.

Landasan-landasan asas dalam kebebasan ekonomi adalah pilihan individu, pertukaran secara sukarela, kebebasan untuk bersaing, dan keselamatan pemilikan peribadi. 

Berdasarkan itu, tahap kebebasan ekonomi diukur dalam lima bidang berikut: (1) saiz kerajaan, (2) struktur undang-undang dan keselamatan hakmilik harta, (3) laluan kepada kewangan yang mantap, (4) kebebasan untuk berdagang di arena antarabangsa, dan (5)  regulasi kredit, tenaga buruh dan perniagaan.

Skor kita merosot dalam semua bidang pada tahun ini apabila diukur secara objektif, menggunakan data terkini yang boleh diperolehi.

Lebih membimbangkan, ini bukan kali pertama skor negara kita jatuh, tetapi ia seolah-olah telah menjadi satu trend. Pada tahun 1995 kita di tempat ke-14; tahun 2000 kita yang ke-44; tahun 2005 kita ke-64, dan pada tahun 2007 kita di tempat yang ke-68.  

Bagaimanapun, bagi saya Indeks 2010 ini menarik kerana ia turut mengkaji kaitan antara kebebasan ekonomi dengan beberapa bidang keberhasilan penting yang telah diisytiharkan oleh ahli-ahli politik kita sebagai keutamaan, termasuklah KDNK per kapita, pengangguran dan rasuah.

Data daripada Indeks 2010 menunjukkan bahawa negara-negara yang paling bebas ekonominya mempunyai purata KDNK per kapita sebanyak US$ 32,744. Tetapi negara-negara yang ekonominya terkongkong pula memiliki purata KDNK per kapita hanya US$ 3,858.

Bahkan di kalangan negara-negara yang mendapat kedudukan tertinggi, pendapatan purata 10 peratus rakyat termiskin mereka adalah US$ 8,474, iaitu lebih tinggi daripada purata pendapatan ramai rakyat biasa di Malaysia pada masa ini.

Maka, dalam rangka untuk mencapai tahap pendapatan lebih tinggi yang digagaskan oleh Model Baru Ekonomi (NEM), data Indeks 2010 ini menunjukkan bahawa kita wajib menjalankan usaha-usaha lebih agresif untuk memerdekakan sistem ekonomi kita.

Analisa data Indeks 2010 juga menunjukkan bahawa apabila pengangguran akan berkurang apabila ekonomi lebih bebas. Ini berlau terutamanya di kalangan orang muda.  

Jadi, ketika kita mencari cara untuk mengatasi masalah pengangguran siswazah, kita perlu sedar bahawa membekalkan mereka dengan kemahiran, atau menambahkan bilangan institusi pendidikan tinggi, adalah tidak mencukupi. Hanya jika kita meningkatkan kebebasan ekonomi sahaja maka pengangguran boleh dikurangkan. 

Dalam menghadapi gejala rasuah pula, didapati bahawa negara-negara yang ekonominya bebas adalah tiga kali lebih bagus daripada negara-negara yang mempunyai sistem ekonomi terkongkong. Dalam kata lain, kadar rasuah adalah lebih rendah di negara-negara yang lebih bebas ekonominya.

Kita biasanya terlalu cepat melihat kepada SPRM apabila menuntut agar rasuah dihapuskan. Memang betul SPRM perlu diperkukuhkan. Tetapi data yang kita perolehi menunjukkan bahawa liberalisasi ekonomi merupakan langkah penting dalam membenteras jenayah rasuah.

Indeks Kebebasan Ekonomi 2010 ini telah menunjukkan bahawa sistem ekonomi berteraskan prinsip keterbukaan sangat penting bukan sahaja jika kita ingin keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan (middle-income trap), atau meningkatkan pendapatan per kapita kita dan mengurangkan pengangguran lulusan ijazah, tetapi ia juga menyumbang pada isu-isu penting yang biasanya tidak dikaitkan dengan liberalisasi ekonomi, seperti mengurangkan kadar jenayah rasuah.

Kerana itulah saya menyokong prinsip-prinsip umum di sebalik Program Transformasi Ekonomi Negara. Bagaimanapun, saya bimbang mengenai kebolehan pemerintah kita melaksanakannya. Dalam Bajet 2011 pula hampir tidak ada disentuh mengenai komitmen kerajaan untuk memebaskan ekonomi negara kita.

Satu masalah yang sekian lama menyebabkan skor Malaysia turun dalam Indeks Kebebasan Ekonomi adalah saiz kerajaan kita. Saiz kerajaan Malaysia semakin besar dari tahun ke tahun. 

Untuk memperbaiki skor kita dalam Indeks ini, kita sangat perlu mengurangkan jumlah penjawat jawatan kerajaan. Kita juga perlu menghentikan penglibatan kerajaan dalam ekonomi melalui syarikat GLC.

Para pembuat dasar ekonomi tidak boleh menutup mata terhadap isu saiz kerajaan yang terlalu besar ini. Jika kita benar-benar mahu menjadi berpendapatan tinggi, setiap pihak perlu berusaha memperkecil saiz perkhidmatan awam dan mengurangkan bilangan GLC. 

Kita mesti bertegas jika mahu menjadi negara maju dan kaya. Pada peringkat awalnya saya mengharapkan Bajet 2011 akan memberikan indikasi bagaimana saiz kerajaan akan diperkecilkan. Tetapi malangnya perkara ini pun tidak disentuh oleh YAB Perdana Menteri. 
-------------
WAN SAIFUL WAN JAN adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS).  Indeks Kebebasan Ekonomi 2010 boleh dimuat turun secara percuma dari www.ideas.org.my.

Analisa Politik >> Ekonomi merudum, hutang negara mencanak semua angkara Umno yang tamak

ANDAI ada hanya satu pihak yang layak dipertanggungjawabkan di atas keterbelakangan bangsa Melayu dalam hampir segenap bidang kehidupan berbanding bangsa-bangsa lain di negara ini, maka tidak syak lagi pihak yang satu-satunya itu ialah Umno.

Banyak sebab boleh menyokong kesimpulan itu. Antaranya, Umno sering mendakwa hanya ia parti yang memperjuangkan hak dan kepentingan bangsa Melayu di negara ini. 

Kononnya perjuangan memartabatkan agenda Melayu hanya sah dan diperakui benar sekiranya ia dilakukan Umno atau mana-mana pihak yang diiktiraf Umno.

Bahawa sebarang perkara bernama, bersifat atau berbau Melayu tidak akan lengkap atau sah sekiranya tidak melibatkan Umno. Parti itu digemariuhkan sebagai satu-satunya wadah Melayu. 

Para pendokongnya pula hanyalah Melayu dan tidak ada yang tidak Melayu, melainkan semuanya Melayu sahaja.

Ertinya Melayu dan Umno tidak boleh dipisahkan. Ia bagaikan dua perkataan yang sinonim, seolah-olah tidak wujud satu antara mereka tanpa yang satu lagi. Jatuh Umno, maka rebahlah Melayu. Hilang Melayu, lenyaplah Umno.

Itulah persepsi dan norma yang sejak sekian lama cuba ditanam Umno dalam minda masyarakat negara ini, terutama di kalangan orang-orang Melayu sendiri.

Lalu sejak sekian lama sebarang kejayaan dicapai bangsa Melayu dibahasakan sebagai hasil usaha gigih Umno memperjuangkannya. Maka bagaimana pula kegagalan Melayu dianggap tidak ada kena-mengena dengan Umno?

Kedua, selaku satu-satunya parti yang menerajui kuasa pemerintahan negara sejak dulu hingga kini, Umno ada peluang tersangat luas mencapai apa dimahukannya. 

Parti itu ada kesempatan amat banyak memanfaatkan kuasa dan kemudahan yang ada di sisinya untuk menjamin bangsa Melayu berada di hadapan bangsa lain dalam semua hal.

Tidak dinafikan Umno banyak membentangkan agenda memartabat bangsa Melayu, sama ada di bidang ekonomi, sosial, politik dan lain-lain. Malangnya, apa yang dicapai amat jauh dari sasaran diharapkan.

Satu-satunya kejayaan Umno ialah menguasai teraju politik negara. Malangnya, kejuaraan itu terpaksa dirayakan seiringan dengan "kejuaraan" sosio-ekonomi bangsa.

Selepas lebih 50 tahun Umno menjadi tuan politik negara, Melayu muncul juara penyalahgunaan dadah. Jumlah penagihnya dari tahun ke tahun bukan sahaja gagal dikurangkan, sebaliknya semakin meningkat.

Melayu juga juara buang anak. Semua tempat berpotensi menjadi lokasi pembuangan bayi. Dalam tong sampah, di tepi jalan, di atas pagar, dalam longkang, dalam mangkuk tandas atau tangki najis.

Di kalangan yang hidup pula, jumlah Melayu yang tidak berbapa semakin melonjak dan mungkin telah mengatasi jumlah Melayu tidak berumah.

Melayu juga juara samseng jalanan. Hampir tidak ada bangsa lain menjadi mat rempit, berlepak di kompleks beli-belah atau berpeleseran di tempat-tempat awam.

Melayu semakin rosak akhlak dan hilang jatidiri. Agenda pembinaan insan tajaan Umno yang mengutamakan budaya hedonisme dan gaya hidup bebas tidak membantu memperbaiki keadaan ini.

Di sektor ekonomi pula, Melayu gagal bersaing dengan bangsa lain. Umno memanjakan korporat dan usahawan Melayu dengan 'payung' dan 'tongkat'.

Peniaga Melayu tidak mampu berdikari, berterusan bergantung harap kepada bantuan kerajaan. Rakyat kebanyakan pula diprogramkan Umno dengan mentaliti subsidi.

Maka lahirlah bangsa yang tidak berdaya saing merebut peluang berkerjaya. Setiap kali apabila meritokrasi diutamakan, Melayu akan tersisih berbanding Cina atau India. Melayu tidak kompeten dan gagal mendapat kepercayaan. Peratusan Melayu sering tercorot dalam senarai profesional pelbagai bidang.

Sebab itu setiap kali berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno, berkumandang lagu-lagu pilu nasib bangsa Melayu yang masih terkebelakang. Ia diiringi rayuan agar mereka terus dibela dan diangkat pencapaian ekonomi. Bukankah suara sebegitu kedengaran lagi beberapa hari lalu?

Sungguh muka tak malu, para pemimpin Umno seakan tak ada maruah dan harga diri terus mengemis simpati untuk bangsanya, walau sudah separuh abad mereka di tampuk kuasa.

Minda Melayu ikut dikongkong. Bandingkan saja tahap kebebasan berfikir diamalkan penguasa media berbahasa Cina atau Inggeris dengan kesempitan minda peneraju media arus perdana berbahasa Melayu. 
Terbukti media Melayu jauh lebih mundur dan terkebelakang dari segi garapan dan keberanian menyatakan kebenaran berbanding media-media bukan Melayu.

Natijahnya, bangsa Melayu hanya terdedah kepada maklumat separa benar atau sudah ditapis. Rakyat tidak didedahkan kepada maklumat tepat, terutama dalam perkara yang dianggap boleh merugikan Umno.

Akibatnya, kebebasan orang Melayu berfikir juga terbantut. Melayu menjadi bangsa yang tidak kritis atau sukar menghasilkan pandangan kedua.

Akhirnya jadilah Melayu sebagai bangsa yang bukan sahaja terkebelakang dalam aspek ekonomi, paling bobrok akhlak dan sosial, malah juga paling mundur tahap mindanya.

Rakyat telah memberi peluang dan meletakkan harapan ke bahu Umno selama lebih separuh abad untuk memperbaiki kepincangan sosial dan mempertingkatkan tahap pencapaian ekonomi Melayu. Justeru, mengapa teragak-agak menyalahkan Umno dengan kebobrokan menimpa Melayu kini? - MOHD NASIR AWANG

Analisa Politik >> Umno jadi elit, ahli akar umbi melopong, melolong!


SECARA tiba-tiba, muncul Maxson Abdullah Jaafar yang mahu dikenali sebagai CEO PWTC. Dia mengadakan sidang akhbar, sempena Perhimpunan Agung Umno 2010, memberitahu perwakilan akan dilayan dengan cara layanan bertaraf hotel lima bintang.

Ia menunjukkan, PWTC selama ini, tidak diketahui berapa bintangnya tetapi, yang pasti, semua peniaga-peniaga kecil yang selama ini dapat menyewa satu lot kecil dengan harga seribu dua, untuk empat hari, sudah tidak lagi diberikan peluang serupa tahun ini.

Mereka, yang rata-rata ingin menumpang kemeriahan setahun sekali itu, dialihkan ke lokasi lain, di tingkat yang lebih atas, di kawasan yang kurang sesak, kerana lokasi lama, di arah bawah, dikhaskan kepada syarikat-syarikat besar dan mungkin kroni mereka yang berkuasa mengeluarkan lesen sementara tersebut.

PWTC, di mana Ibu Pejabat Umno berada, sebenarnya adalah pejabat kepada ahli-ahli Umno di seluruh negara. Dengan membayar yuran RM1, mereka menyokong Umno sejak dahulu, hingga Umno boleh memerintah negara ini, mendirikan bangunan pencakar langit, tetapi akhirnya ahli-ahli yang setia ini, apabila mereka ingin menumpang mencari makan, mereka dihambat.

Di luar sana, jika mereka mahu berniaga kecil-kecillan, termasuk mendapat satu tapak di bulan Ramadan, dalam kawasan DBKL, mereka terpaksa dihimpunkan di Stadium Titiwangsa, dengan alasan mencabut undi, tetapi yang jelas, akhirnya Persatuan Penjaja Wilayah Persekutuan terpaksa mengadakan piket, menyatakan bantahan.

Sudah bertahun-tahun, mereka yang berniaga kecil-kecillan ini berniaga di tingkat bawah PWTC, berhampiran dengan pintu masuk dan keluar. 
Apabila mereka memutuskan untuk menyewa tapak untuk berniaga itu, pastinya mereka mengharapkan kawasan itu mestilah tempat laluan utama orang ramai, sama ada perwakilan atau pemerhati.

Malangnya, dengan alasan mahu member layanan lima bintang, perkara pertama yang mereka lakukan ialah, meminggirkan peniaga kecil. Tapak peniaga-peniaga kecil ini, mahu disewakan dengan harga yang lebih tinggi kepada syarikat-syarikat besar – mungkin kerana mahu menjaga imej PWTC.

Apakah PWTC, yang menempatkan ibu pejabat parti dengan yuran RM1 ini tercemar dengan kewujudan peniaga-peniaga kecil selama ini? 

Tetapi apabila sampai musim pilihan raya, pemimpin-pemimpin Umno akan turun ke bawah mencari penarik beca, penoreh getah, peniaga kecil, cikgu sekolah rendah dan orang-orang susah untuk ditagih sokongan dan undi mereka.

Tetapi, musim mereka menyambut Perhimpunan Agung Umno, ketika penjaja kecil dengan seorang dua pembantu mereka, dihambat dari tapak berniaga, hanya kerana mereka dikatakan menjadi punca laluan utama ke Dewan Merdeka, PWTC, sesak.

Hakikatnya, orang Umno sendiri tahu, memang selama ini Umno dan mereka yang memegang kuasa memberi layanan berbeza. Tidak hairanlah kalau Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011, meletakkan cadangan membina mercu tanda bangunan 100 tingkat sebagai ikon kerajaan, tanpa menjadikan rakyat susah di bawah sebagai tumpuan untuk mereka utamakan.

Najib, selepas mengambil alih tampuk kekuasaan dari Tun Abdullah Ahmad Badawi, mencipta pelbagai jawatan di PWTC untuk memberi tempat kepada kroni-kroninya. 

Pernah berlaku, kakitangan bawahan PWTC berpiket untuk menyatakan bantahan, mengapa elaun-elaun kecil untuk mereka dimansuhkan tetapi beberapa orang yang berjawatan diberikan kereta mewah.

Umno mungkin mahu menjadikan parti mereka sebagai sebuah parti elit. Hanya mereka yang kaya raya sahaja boleh mendekati PWTC. Mana-mana orang miskin, yang mungkin juga peniaga kecil, mereka diperlukan untuk mengundi BN dalam piulihan raya, tetapi agihan kekayaan, mereka tidak mungkin dapat merasainya.

Bukan kerana mereka (peniaga kecil dan ahli-ahli Umno) tidak mampu tetapi mereka tidak akan mendapat layanan serupa. Kalau ada akhbar arus perdana mengembar-gemburkan kononnya rakyat di bawah akan dilayan serupa mereka yang kaya, ia hanya cerita dogeng yang senagaja direka.

Umno sebenarnya mahu berubah. Mereka mahu berubah kerana mereka takut dengan kuasa rakyat yang boleh menyebabkan mereka rebah. Yang mereka takut ialah 'rebah'. Mereka hanya tahu menyanyikan slogan berubah sebelum rebah tetapi sebenarnya mereka tidak pernah mahu berubah.

Yang berubah, seorang dua. Mereka yang duduk di ibu pejabat parti, berlagak dan sombong. Mereka merasakan, mereka pun macam Perdana Menteri dan mereka merasakan mereka tidak akan jatuh selagi ada gula-gula yang boleh ditaburkan kepada rakyat di bawah.

Di Ibu Pejabat Umno inilah, mereka mencipta projek Juara Rakyat. Di sinilah, mereka bermesyuarat kononnya mahu mengikut jejak Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat yang pernah berjaya dengan "Semarak – Setia Bersama Rakyat".

Bukan sedikit wang dihabiskan untuk tujuan ini tetapi, kesannya sifar! Mereka yang berada di ibu pejabat sedang memikirkan projek lain pula, kerana setiap satu cadangan akan melibatkan urusniaga dan komoditi yang tentunya dikaut oleh mereka yang berkuasa di situ.

Semakin banyak projek, termasuk seminar, konvensyen dan wacana dianjurkan, semakin banyak perniagaan mereka libatkan. Mereka akan mecetak t shirt, payung, topi dan lencana berlogokan BN bukan untuk mempromosi parti, tetapi untuk mengautkan keuntungan sendiri.

Perut mereka yang berkuasa di ibu pejabat makin besar. Orang susah dan peniaga kecil mereka hambat. Mata mereka, pandangan dan focus mereka ini, hanya mencari seberapa ramai korporat yang boleh mereka damping untuk kesenangan mereka dan dalam masa yang sama, mereka berbohong mengatakan ada 100 ulama muda akan menyertai Umno.

Mana 100 ulama itu? - SAFAR JUMAAT

PRK Dun Galas >> Melayu tak lupa pengkhianatan Umno weh!


MASYARAKAT Melayu tidak akan dapat melupakan penghakisan hak Melayu yang berlaku lantaran lebih 50 tahun Umno memerintah Malaysia, antaranya:

1. Melemahkan institusi Raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu dengan meminda perlembagaan menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu di era 90-an dahulu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara dengan wujud campur tangan dalam sistem kehakiman.

3. Menarik balik royalti petroleum rakyat Terengganu yang majoriti rakyatnya orang Melayu.

4. Memperkenalkan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI); menghapuskan bahasa Melayu dan tulisan jawi.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu sedangkan di dalam perlembagaan jelas memperuntukkannya.

8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu. Akhirnya bilangan parlimen majoriti tidak bertambah.

9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu sejak tahun 2004.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.

11. Menyenarai awamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato' Harussani Zakarian 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana. Tanah orang melayu semakin kecil saiznya.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

19. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas Kerajaan Perak dari tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009. 

Analisa Politik >> Sokongan terhadap Umno-BN mengecut, Umno bakal jadi dinosaur


TIMBALAN Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin muncul dengan ucapan bertajuk "Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan" yang menyentuh banyak mengenai mempertahankan identiti bangsa setelah Presidennya, Dato' Seri Najib Tun Razak mahu kekal dengan slogan 1Malaysia.

Mereka berdua tidak bercanggah tetapi, mereka berdua bermain politik. Ketika Najib mahu dilihat kepada pemimpin semua kaum, dengan ucapan terdahulu di Perasmian Perhimpunan Agung MCA, Muhyiddin pula dilihat bergayut dengan sokongan Melayu.

Mainan politik ini, mereka mengharapkan Melayu, Cina dan India akan menyokong semula BN, selepas BN kehilangan majoriti 2/3 dalam PRU 12 yang lalu. 

Mereka berdua, Najib dan Muhyiddin dikatakan cukup rapat. Kononnya gandingan terbaik yang pernah berlaku dalam kepimpinan Umno. Maka, kedua-duanya, perlu menampakkan ada sedikit perbezaan.

Najib mahu terus menjadi pemimpin 1Malaysia, yang dianggap mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tidak jelas konsepnya dan perlu dijelaskan lagi. 

Manakala, Muhyiddin, mahu terus dilihat sebagai "Melayu dahulu baru Malaysia".

Perlu dicatatkan, Muhyiddin juga menyokong saranan Dr. Mahathir supaya Konsep 1Malaysia diperjelaskan semula, sedangkan semua sudah tahu apakah yang dimaksudkan dengan 1Malaysia itu.

Orang Melayu yang menyokong Umno benar-benar berkecil hati dengan Najib. Mereka merasakan sejak Najib melaungkan slogan 1Malaysia, Umno terasa mereka tersisih. Kata mereka, Najib terlalu melayan karenah bukan Melayu hingga Melayu terabai.

Muhyiddin pula, diberikan peranan oleh Najib, supaya menampakkan dirinya sebagai tempat Melayu boleh menumpang, mampu berpaut. 

Jika kedua-duanya, turut dilihat sebagai pendokong 1Malaysia, nescaya, hari ini, Perhimpunan Agung Umno, akan menjadi sasaran mereka yang ektremis Melayu, melontarkan kecaman.

Najib mahu orang Umno mengamalkan budaya politik baru. Apa maksud budaya politik baru itu, baru saja mahu mereka perbincangkan. Yang pastinya, orang susah di kampung-kampung, terbiar begitu sahaja, kecuali menjelang Ramadan akan nada sedikit bantuan beras, minyak dan gula.

Budaya politik baru bagaimana ya yang Najib mahukan? Apakah budaya politik dengan berkereta mewah baru, atau memperkayakan adik beradik dan anak menantu? 

Persoalan ini, barangkali tidak ada sesiapa yang berani mempersoalkannya. Najib, sudah hampir pasti dilihat sentiasa bersama adik beradiknya. Muhyiddin pula dikatakan sedang membina empayar anak dan menantu. 

Kedua-duanya, sudah menyamai bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang diserang teruk kerana isu 3K iaitu Kamaruddin, Kalimullah dan Khairy!

Dalam setahun Najib hanya mahu duduk bersama perwakilan Umno hanya tiga hari sahaja. Katanya, dia bersikap terbuka dengan ucapan perwakilan. Muhyiddin pula, yang sedang lemas dengan sikap pegawai-pegawainya yang dikatakan sombong, risau kalau-kalau perwakilan yang menyerangnya secara terbuka.

Kedua-dua mereka ini, adalah orang yang terlibat sama dalam Team Wawasan. Tapi kini, kedua-duanya mahu dilupakan dari label itu. 
Kedua-dua mereka ini juga, terlibat dalam meruntun tangan Abdullah Badawi turun dari kerusi Perdana Menteri. Tetapi, kedua-duanya sudah meminta maaf.

Disebabkan kedua-duanya berjaya menarik Abdullah turun, maka, kedua-duanya menjadi 'budak kesayangan' Dr. Mahathir. Mahathir sudah puas menjelajah ke serata pelosok tanahair, memberi ucapan bertujuan menyerang Abdullah. Namun, ia tidak berjaya.

Bukan itu sahaja. Usaha Dr. Mahathir untuk menjadi perwakilan Umno dari bahagian Kubang Pasu juga dihampakan oleh orang-orang Abdullah. Dr. Mahathir bertindak keluar dari Umno, sebagai tanda kecewa.

Perasaan perwakilan Umno kali ini dipermainkan lagi. Mereka dinyanyikan dengan dendangan bahawa mereka mesti mengamalkan budaya politik baru, kata Najib. Muhyiddin pula, mahu dilihat sebagai juara orang Melayu yang tidak perlu apologetic untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu.

Kalau orang Melayu tersintuk limau dengan kata-kata mereka berdua, maka perbahasan di Perhimpunan Agung Umno ini akan menjadi lemah.  Puji-memuji akan berterusan dan sesekali akan diselang-selikan dengan lawak jenaka, bertujuan menghiburkan hati-hati yang marah.

Sedaya upaya, akhbar arus perdana akan memainkan peranan mereka menyembunyikan isu yang berbangkit dalam Pembentangan Bajet 2011 beberapa hari yang lalu. 

Sorak-sorai perwakilan yang seolah-olah menyambut hari raya akan digambarkan dengan penuh warna-warni, seolah-olah Umno kini sudah kembali seperti sediakala.

Dalam masa yang sama, sudah banyak sistem pesanan ringkas (SMS) tersebar, mengatakan ada rombongan dari Sungai Petani mahu mengadakan piket kerana ada rasa tidak puashati terhadap Umno Negeri Kedah.

Ada juga SMS yang mendakwa ada nada kumpulan mengeboo Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Ini semua masalah! Walaupun Najib dan Muhyiddin mahu memberi gambaran bahawa Umno kini sudah pulih seperti sediakala apabila mereka berdua menerajuinya, hakikatnya, ia tidak begitu.

Disebabkan tahun ini bukan tahun pemilihan, mungkin duit tidak begitu banyak beredar dan tidak banyak rombongan membawa penyokong ke Kuala Lumpur. Tetapi, budaya ini atau budaya lama Umno ini akan berlaku semula, walaupun sistem pemilihan akan diubat formatnya.  

Ketika segala anaconda, buaya, naga dan sepsis makhluk pemusnah ada di dalam Umno, Umno tidak akan pulih. Sokongan akan semakin mengecut dan akhirnya, Umno akan menjadi dinosaur!

PRK Dun Galas >> Seorang tokoh Umno Kelantan akan keluar parti Sabtu ini!


Di tengah-tengah kesebukan dan keriuhan berkempen di PRK Dun Galas, kedengaran juga bahang cerita yang mungkin menggemparkan politik Umno Kelantan kononnya terdapat seorang tokoh Umno negeri Che Siti Wan Kembang itu yang akan meninggalkan parti (Umno) yang telah disertainya sejak zaman remajanya lagi untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Blog AJK Umno Bahagian Wangsa Maju, Locengwangsa mempersoalkan sejauh mana kebenaran desas desus itu? Katanya, sama-samalah kita menunggunya di penghujung bulan ini atau di awal November sebelum hari pembuangan undi pada 4 November yang akan datang. 

Difahamkan tokoh Umno ini akan mengadakan sidang medianya di Kuala Lumpur pada Sabtu ini yakni pada hari perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia diantara Kelantan dengan Negeri Sembilan.

Jika desas desus ini juga menjadi kenyataan, dibimbangi PRK Dun Galas yang sedang hangat berjalan akan memberi impak yang kuat kepada Umno yang mengimpikan Dun itu dirampas semula daripada tangan PAS.

Difahamkan tokoh Umno Kelantan ini begitu kecewa kerana ketokohannya selama ini tidak dipedulikan oleh Umno terutama dalam menggalas gerak kerja PRK Dun Galas yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarahnya.

Siapakah tokoh Umno itu... rasanya pihak Pakatan Rakyat juga sudah mengetahuinya, cuma menunggu pengumuman rasmi. Sengaja tak mahu bagi tahu awal, biar kenyataan mendahului berita.

PRK Dun Galas >> Kerjasama politik Umno-BN lain, PAS tak tiru sebab ia berdasarkan "Wala" bukan "Tahaluf Siasi"


PAS menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyidin Yasin yang mendakwa kononnya PAS meniru Umno dalam soal kerjasama dengan parti bukan Islam. 

Menegaskan perkara ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata kerjasama PAS dengan bukan Islam melalui kaedah  "Tahaluf Siasi" tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang dibawa oleh PAS. 

"Sedangkan kerjasama Umno dalam komponen Barisan Nasional hanya dalam bentuk 'wala', yang menggadaikan prinsip Islam," jelas beliau kepada Harakah.

PAS katanya, sebagai sebuah parti yang berdasarkan Islam, rujukannya sudah semestinya al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qias. 

PAS tidak sekali-kali akan membuat sesuatu yang boleh menjerumuskan diri ke dalam neraka, semata-mata untuk mendapatkan kuasa, ujarnya lagi.

"Perjuangan yang menuntut mardhatillah tidak akan menggadaikan prinsip Islam. Jika dunia dan kuasa menjadi perhitungan, lebih baik PAS bekerjasama dengan BN untuk sama-sama menaja program mungkar seperti pusat hiburan malam yang bakal meruntuhkan tamadun negara ini," usik Ustaz Idris.

PAS katanya, mencabar Tan Sri Muhyidin agar menjelaskan, bilakah PAS menggadaikan prinsip Islam dan memusnahkan Islam di negara ini?

Tidak ada sebuah masjid dan surau yang ditutup dan diroboh ketika PAS bekerjasama dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam dalam BN, telah bertindak biadab dengan agama, antaranya merobohkan Masjid Bujal Kemaman, Surau Kampung Berembang Ampang Jaya, menutup Surau al Rahman Seksyen 8 Shah Alam dua minggu sebelum puasa 2007.

Ustaz Idris menjelaskan, melalui "Tahaluf Siasi" ini membolehkan PAS melaksanakan dakwah dengan lebih cergas. Masjid dan surau meriah dengan majlis ilmu. 

Umno yang bekerjasama dengan bukan Islam mematikan majlis ilmu, meletakkan ahli jawatankuasa masjid bukan ahlinya sebagai orang yang mengendalikan masjid, akhirnya masjid dan surau "berkubur" sebelum manusia mati, dakwa beliau.

PRK Dun Galas >> Tok Guru Nik Aziz sifatkan kerjasama Umno umpama Lebai Malang


MURSYIDUL Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan dasar parti itu untuk menerima dan menolak untuk bersatu dengan Umno dan sekali gus berbaik-baik dengan bukan Islam mempunyai asas yang kukuh.

Kata menteri besar kelantan itu, beliau hairan dengan sikap Umno yang dianggap sebagai sebuah parti bertaraf elit sebelum ini tetapi pendek akal untuk memahami konsep atau matlamat kerjasama PAS-DAP.

"Kadang-kadang terfikir juga pasal apa tak faham sangat Umno ini pada hal telah berkali-kali kita beri penjelasan. Perbezaan kerjasama antara Umno dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional (BN) dengan kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) amat jelas.

"Kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membidas PAS kerana dikatakan terus mengeluarkan 'fatwa' sesuka hati berhubung kerjasama Umno dengan MCA dalam BN. 

Dalam kenyataannya di Gua Musang semalam, Timbalan Presiden Umno itu dilaporkan berkata, PAS menganggap kerjasama Umno dengan MCA adalah salah tetapi ada masa sama 'menghalalkan' kerjasama PAS dengan DAP.

"Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA," Muhyiddin dipetik sebagai berkata ketika berkempen di Galas.

Menurut Nik Aziz, tindakan PAS menyertai BN sebelum ini menimbulkan perpecahan di kalangan PAS di mana wujud empat kumpulan di kalangan penyokong parti itu, termasuk Islah, Hamim dan Berjasa.

Mengulas lanjut, Nik Aziz berkata kerjasama dengan DAP yang dikatakan sebagai chauvinis Cina tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Beliau menyifatkan Umno masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit sehingga tidak tahu menilai kesyumulan Islam secara keseluruhan.

"Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama Lebai Malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Apa yang mereka tahu, hanya mengkritik orang saja," jelasnya.