KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 04, 2009

Faizal Tehrani setuju 100% Mohamad Sabu layak, dan cabar Timbalan Presiden PAS Jun depan!



SAYA tertarik dengan hasrat Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS. Selain beliau, ahli-ahli PAS mulai mencalonkan Husam Musa, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din untuk jawatan Timbalan Presiden PAS tersebut.

2. Saya berpandangan Mohamad Sabu amat sesuai untuk jawatan tersebut. Datuk Seri Azizan Razak memanglah berkelayakan tetapi beliau lebih sesuai menumpukan kerja-kerjanya di Kedah Darul Aman untuk memastikan pentadbiran negeri yang berada di bawah PAS tidak dicampuri oleh 'orang itu'. Jika beliau disibukkan oleh kerja parti, tidak mustahil kerajaan negeri Kedah juga akan tergoncang oleh perangai-perangai tidak senonoh segelintir pemimpin Parti Keadilan Rakyat.

3. Datuk Dr Haron Din adalah lebih sesuai menjawat jawatan Mursyidul Am PAS yang kini disandang Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau adalah satu-satunya calon yang menonjol dan dapat diterima umum. Masyarakat mengenal beliau sejak pembabitan beliau sebagai ahli akademik di UKM. Kerja-kerja berkebajikan beliau yang melibatkan rawatan perubatan secara Islami misalnya memberi kredit yang besar. Meskipun beliau dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sama-sama dalam keadaan uzur, Datuk Dr Haron Din lebih hampir dengan Lembah Kelang, justeru boleh menghadiri mesyuarat Majlis Syura tanpa masalah, dan alasan. Ilmu agama beliau juga setanding dan tidak kalah berbanding Mursyidul Am sekarang ini. Sudah tiba masanya PAS memberi ruang kelegaan supaya Datuk Nik Abdul Aziz dapat lebih banyak berehat selain menumpukan perhatian dengan kerajaan negeri Kelantan yang tidak pernah sunyi dari masalah dalaman dan keletah YB yang membuatkan kita jengkel.

4. Mohamad Sabu lebih layak berbanding Husam sebagai Timbalan Presiden PAS. Dedikasi yang ditunjukkan oleh beliau dalam parti ini sukar untuk ditandingi Husam. Beliau berada di dalam PAS saat sukar dan senang. Mohamad juga menunjukkan keteguhan dan komitmen, istiqamah, dan kecekalan luar biasa saat dipenjarakan sebanyak dua kali. Calon ini telah teruji berbanding Husam.

5. Mohamad juga tidak asing di peringkat bawahan. Kemesraan beliau dengan ahli biasa, masyarakat marhaen dan kumpulan murbawan dalam kalangan rakyat tidak dinafikan lagi. Kejuaraan beliau dalam memperjuangkan isu-isu penindasan telah pun ditunjukkan. Keprihatinan beliau dalam masalah orang bawah sudah direkod dengan tinta emas dan tidak tertuliskan. Beliau misalnya tidak segan duduk minum dengan ahli biasa di warung murahan. Faktor ini tidak akan pernah dapat disaingi oleh calon lain termasuk Husam.

6. Mohamad juga dikenali akrab, dan tahu bila harus menjual mahal, dan bila pula harus bertolak ansur dengan pemimpin DAP. Hubungan persahabatan beliau khusus dengan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng amat menarik. Kecintaan Guan Eng kepada model Khalifah Umar Abdul Aziz datang dari Mohamad Sabu.

7. Mohamad Sabu juga tidak tergila-gilakan agenda bekerjasama dengan Barisan Nasional khususnya UMNO. Ini menepati kehendak sebahagian besar ahli PAS.

8. Mohamad Sabu juga amat dikenali di luar. Ahli-ahli PAS harus ingat, yang PAS tetaplah sebuah gerakan Islam. Meskipun bukan berlatar belakang agama, Mohamad sering ke luar negara oleh undangan pelbagai gerakan Islam termasuk Ikhwanul Muslimin, Hezbullah, Parti Saadet Turki, Hamas Palestina, parti-parti Islam di Indonesia dan Jamaat Islami di Pakistan. Kelantangan Mohamad dalam isu ummah khusus Palestina tidak dapat dipertikaikan lagi. Ini adalah bonus yang besar berbanding Husam yang kurang dikenali dalam kalangan gerakan Islam di luar.

9. Mohamad juga adalah pemimpin PAS yang berani. Malah sudah ada semacam satu peribahasa dalam kalangan ahli PAS, 'di mana ada demonstrasi di situ ada Mohamad Sabu'. Hal ini tidak akan dapat ditandingi oleh mana-mana calon lain.

10. Lebih penting, dalam isu pemansuhan PPSMI, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said sendiri pernah mengatakan Mohamad Sabu adalah model 'negarawan' yang sebenar. Negarawan adalah pemimpin yang mengambil berat dan sensitif dalam isu-isu rakyat marhaen, serta tidak pernah lelah memperjuangkan kebenaran. Lihat sahaja program atau ceramah yang dihadiri Mohamad Sabu, jumlah khalayak yang hadir luar biasa sekali.

11. Berbanding Husam, Mohamad juga sekarang tidak mempunyai jawatan tertentu (kecuali Naib Presiden) yang memungkinkan beliau menumpukan perhatian kepada kerja-kerja parti. Jika Mohamad menjadi Timbaan Presiden PAS, rakyat biasa akan membandingkan Timbalan Presiden PAS dan UMNO, dan mereka akan merasakan Timbalan Presiden PAS lebih dekat di hati. Beliau tidak kelihatan aristokrat dan bangsawan. Beliau seperti telah saya sebutkan, tidak kekok untuk menggauli rakyat.

12. Mohamad Sabu berasal dari utara (meskipun menetap di Shah Alam), ini dapat memberi imbangan kuasa dalam PAS supaya PAS tidak kelihatan terlalu diwakili oleh kumpulan ahli dari Timur Semenanjung.

Oleh kerana itu, saya berpendapat tidak ada calon lain yang lebih munasabah untuk jawatan Timbalan Presiden PAS bagi membantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Apa kata calonkan saja Nik Abduh sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat - Feizal Tehrani


SAYA berpendapat keberanian Nik Abduh Nik Aziz, selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, dan Exco Dewan Pemuda Pas Pusat wajar dihargai oleh ahli-ahli PAS sempena pemilihan akan datang ini. Nik Abduh adalah pemimpin masa hadapan PAS yang jujur, serta sanggup menanggung risiko apabila 'menmeecelupkan' pembantu bapanya dalam isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

2. Saya tidak fikir beliau tergesa-gesa menulis entri tersebut (dalam blognya) seperti yang disangkakan. Nik Abduh menyatakan 'saya hanya memohon lampu hijau daripada Allah.' Beliau tentulah arif, dan bijak. Sebagai 'ahlul bait Nik Aziz', Nik Abduh tentulah lebih faham dan dapat melihat dengan telus apa yang sedang mengasak Mursyidul Am sebuah parti Islam. Sahabat dan pembantu ayahandanya yang didakwa 'mengambil kesempatan' tentulah wajar dicegah. Kebenaran tentunya harus ditegakkan. Sebagai anakanda Mursyidul Am tentulah beliau lebih dekat berbanding pembantu bapanya (yang hanyalah sekadar pembantu). Keikhlasan hubungan darah tidak dapat memadam keakraban hubungan persahabatan. Kerana itulah saya rasai kejituan nukilan beliau: "Saya mahu kekal sebagai pembantu di rumah. Saya meyakini kekuatan para pembantu ayahanda di luar. Saya tidak banyak masuk campur walaupun kadang - kala bonda bersungut mengenai beberapa pembantu yang dilihat gagal berperanan."

3. Kerana kedudukannya yang paling hampir dengan Nik Aziz itulah kita dapat memahami kebimbangan, dan sekaligus keikhlasan beliau, seperti yang dicatatkannya lagi: "Saya menulis kerana ia sedang mengancam kesatuan dan ketenangan. Bukan saya, bahkan semua berasa tidak tenteram. Saya menyerang pada puncanya agar anda tahu puncanya. Apabila anda menguasai puncanya, anda akan kembali dengan ketenangan dan kekuatan". Kita berharap ahli PAS akan segera mengambil iktibar dan bertindak. Sahabat dan pembantu boleh sahaja ada muslihat tersembunyi, tetapi seorang ahli keluarga tentu tidak akan mengkhianati.

4. Tidaklah menghairankan orang seperti Nik Abduh akan dimomokkan dan disudutkan oleh sesetengah orang yang ingin menutup kebenaran. Begitulah sejarah terdahulu pernah mengambil tempat. Saudara tentu faham apa maksud saya. Kena tepat. Saya kira beliau tidak perlu menamakan sesiapa, kerana tujuan beliau bukanlah melakukan 'pemenggalan politik'. Sekadar misalan; ahli keluarga Rasulullah saw dahulu, misalnya mempunyai maklumat yang cukup mengenai musuh-musuh dalam selimut baginda, tetapi memilih untuk 'tidak menamakan siapa orangnya secara terbuka'. Justeru, saya kira Nik Abduh hanya menulis untuk mendedahkan keadaan ini, kerana itu sahaja cara yang terlihatkan. Untuk yang makan cili tentunya merasa pedas.

5. Ini juga menunjukkan PAS lebih transparen dari parti-parti lain.

6. Sesungguhnya dalam kekaburan mencari Ketua Pemuda PAS Pusat yang baharu, kemunculan berharga Nik Abduh ini wajar disambut dan disahut dengan pantas oleh ahli yang masih menyayangi kepimpinan ulama. Kita mengalu-alukan dan berterima kasih dengan kesungguhan beliau.

7. Mengenepikan tuduhan rambang yang pernah beliau lakukan terhadap saya lama dahulu, hari ini saya berdoa semoga beliau akan diberi tempat yang wajar di dalam PAS dan segala kekeruhan yang berkocak akan kembali jernih. Ini kerana, dalam kekalutan parti-parti di luar sana, PAS mampu menyinar dengan modal moral. Pemuda seperti beliaulah yang dapat kita harapkan untuk memulihkan semula sinar dan keserian kepimpinan ulama yang telah dikotori kumpulan Islam Liberal dalam PAS.

8. Terima kasih.

Ustaz Zolkharnain dakwa tak perlu jadi "Pembidas Profesional" terhadap ulama!


SUMBER yang dipercayai memaklumkan bahawa Mustafa Ali, pelopor kepimpinan ulama’ dalam Pas telah menjelaskan maksud kepimpinan ulama’. Pertama, ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Besut dan kedua, ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu, tulis Zolkharnain Abidin, bekas Adun Santan, Perlis yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

Difahamkan bahawa Mustafa berkata, kepimpinan ulama’ yang digagaskannya antara lain bermaksud dua pemimpin tertinggi Pas hendaklah ulama’. Difahamkan juga kenyataannya itu disiarkan oleh Sinar Harian Terengganu.

Kalau semangat dan ruh kepimpinan ulama’ gagasan Mustafa ingin dipakai, maknanya jawatan Presdien dan Timbalan Presiden hendaklah dipegang oleh ulama’. Sama ada orang itu Abdul Hadi atau Nasharuddin atau sesiapa sahaja, itu bukan isunya.

Namun ketepikan sahaja kenyataan itu. Kenyataan Mustafa itu tiada tempat lagi sekarang. Kenyataan itu tidak mampu membentuk arus atau gelombang. Lagi pun Mustafa tidak penting lagi waktu ini, sama seperti ulama juga.

Mustafa hanya akan dicari apabila diperlukan untuk mengkisahkan mengenai sejarah perjuangan Pas sama seperti ulama’ juga akan dicari apabila Pas ingin menganjurkan solat hajat untuk mengalahkan Umno dalam pilihanraya.

Anda ada sapu tangan? Ya, sangat diperlukan apabila hingus meleleh atau air mata mengalir tetapi ditolak ketepi apabila badan segar-bugar. Seperti sapu tangan yang tidak pernah kecil hati, demikian saya yakin dengan Mustafa dan ulama’ di dalam Pas.

Inilah waktu yang sesuai untuk para ulama’ di dalam Pas diserang dan dibidas. Tidak perlu menjadi penyerang atau pembidas yang bagus, serang dan bidas saja, serangan dan bidasan itu pasti mengena kerana sasaran serangan dan bidasan itu adalah ulama’.

Bukan susah menyerang dan membidas ulama’. Mudah saja, begini caranya.

Pertama - Kalau kenyataan ulama’ dilaporkan oleh media arus perdana milik Umno, katakan begini;

· Ulama’ mencari publisiti murahan
· Ulama’ sudah menjadi alat musuh
· Ulama’ membawa jamaah masuk perangkap musuh
· Ulama’ sudah kena perangkap

Kedua – Kalau ulama’ bertemu dengan pemimpin parti lawan, katakan begini;

· Ulama’ itu gila pangkat
· Ulama’ itu nak bawa jamaah menyertai pakatan lawan
· Ulama’ itu kejar dunia
· Ulama’ itu idamkan jawatan menteri

Ketiga – Kalau ulama’ mempertahankan Presiden dan Timbalan Presdien mesti ulama’, katakan begini;

· Ulama’ perasan dia bagus sangat?
· Ulama’ rasa parti ini untuk ulama’ saja?
· Parti lain tidak begitu pun
· Gerakan Islam dunia tidak begitu pun

Keempat – Kalau ulama’ terkhilaf membuat sesuatu keputusan dan kenyataan, katakan begini;

· Ulama’ tidak tahu ilmu pengurusan
· Ulama’ tidak jauh bacaan politik
· Ulama’ mudah tertipu dengan gerak politik musuh
· Ulama’ cetek ilmu strategi politik
· Ulama’ tak baca buku ilmu perang bikinan Sun Tzu

Maksudnya, seseorang tidak perlu menjadi penyerang atau pembidas profesional untuk menyerang dan membidas ulama, penyerang dan pembidas amatur pun boleh. Kalau membidas dari belakang pun bidasan itu akan mengena.

Kalau tak percaya, buatlah.

Mengapa Timbalan Presiden perlu seorang ulama? - Ustaz Zolkharnain Abidin


SAYA tetap mempertahankan bahawa kerusi Timbalan Presiden hendaklah diisi oleh ulama'. Saya ada alasan dan hujah, tulis Zolkharnain Abidin, bekas Adun Santan, Perlis yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat.

Satu: Semangat Kepimpinan Ulama’

Semangat ini perlu diterjemahkan secara praktikal. Paling praktikal ialah dengan menjadikan dua jawatan tertinggi parti ini dipegang oleh ulama’

Dua: Timbalan Presiden Adalah Presiden

Ketika ketiadaan atau keuzuran Presiden, Timbalan Presiden adalah Presiden. Atas semangat Presiden adalah ulama’ maka pemangkunya ketika sebarang kemungkinan perlulah seorang ulama’ agar semangat kepimpinan ulama’ itu sentiasa segar.

Tiga: Kemampuan Ilmu Syarak

Presiden atau Timbalan Presiden mesti seorang yang berkemampuan tinggi menyelesaikan masalah jamaah atau masalah umat berdasarkan peraturan syarak. Mampu merujuk masalah yang rumit dan halus daripada sumber-sumber yang muktabar. Hanya ulama’ yang mampu melakukan itu semua.

Empat: Pas Adalah Gerakan Islam

Pas bukan sekadar sebuah parti politik tetapi adalah gerakan Islam. Kemampuan pemimpin tertingginya membawa Pas menghayati ruh sebuah gerakan Islam sangat diperlukan. Sesiapa sahaja mampu memimpin sebuah parti politik tetapi tidak semua orang berupaya memimpin sebuah gerakan Islam.

Lima: Tiada Cacatnya Timbalan Presiden Adalah Ulama’

Semenjak sekian lama dua jawatan utama itu dipegang oleh ulama’ dengan gandingan Yusof Rawa Fadhil Noor, Fadhil Noor Abdul Hadi dan Abdul Hadi Nasharuddin, tidak timbul masalah besar. Kalau Timbalan Presiden sekarang bermasalah, itu adalah masalah individu terbabit bukan masalah ulama’. Jangan korbankan ulama’ kerana individu.

Enam: Siapa Yang Layak Menduduki Kerusi Itu Daripada Kalangan Bukan Ulama’?

Sistem pendidikan kita bukan seperti sistem pendidikan di Mesir atau negara-negara Arab yang lain. Sekadar contoh, jurutera atau doktor mereka menguasai Fiqh, Usul Fiqh, Tafsir, Usul Tafsir, Hadis dan Mustalah Hadis dan ilmu-ilmu syarak yang lain. Tetapi jurutera dan doktor kita sebahagian besarnya adalah asing dengan disiplin ilmu itu. Memang ada yang boleh berbahasa Arab, tetapi kemampuan berbahasa sahaja bukan bermakna berupaya menguasai semua disiplin ilmu itu.

Tujuh: Kita Perlu Berbeza Dengan Orang Lain

Parti sahabat kita atau parti saingan kita tidak meletakkan ulama’ sebagai tunggak. Sesiapa sahaja boleh berada di hierarki tertinggi parti-parti itu. Mengapa kita perlu sama dengan mereka? Lebih baik dan lebih bermakna kita kekalkan kelainan dan keunggulan kita.

Lapan: Kita Bakal Mundur Ke Belakang

Kita sedang mara dengan identiti kita sendiri. Masyarakat bukan Islam menerima kita dengan identiti kita ini. Adakah, setelah kita diterima dengan begitu baik dengan identiti itu, kita ingin mundur ke belakang semula? Kemudian selepas beberapa puluh tahun, kita ingin gagaskan semula kepimpinan ulama’ apabila parti kita tidak lagi menghayati ruh itu?

Sembilan: Buatlah Kerja Masing-masing Dan Buktikan Kecemerlangan Masing-masing

Mereka yang berada di kerusi Naib Presiden sekarang hendaklah meneruskan kecemerlangan masing-masing. Adakah tugas anda sebagai Naib Presiden sudah benar-benar selesai sehingga anda perlu mara dengan jawatan yang lebih tinggi? Kemudian setelah itu anda perlu mara lagi dengan jawatan yang lebih tinggi sebagai Presiden pula, hebat benarkah anda?

Sepuluh: Kewajipan Kita Ialah Memperkukuh Institusi Ulama’ Dan Memartabatkan Ulama’

Majlis Syura Ulama’ masih ditahap seperti dahulu, tidak berkuku dan tidak berbisa. Ketrampilan semangat kepimpinan ulama’ melalui Majlis Syura Ulama’ tidak terserlah langsung. Dalam suasana sebegini, maka semangat kepimpinan ulama' perlu diterjemahkan dengan dua jawatan tertinggi parti.

Isunya di sini bukan individu tertentu. Tiada siapa menafikan jasa dan sumbangan sesiapa, tetapi adakah jasa itu perlu dibalas dengan meletakkan mereka di kerusi yang lebih tinggi semata-mata kerana kita tidak berpuashati dengan seseorang sehingga kita sanggup menjadi seperti orang lain.

Orang lain itu siapa? Ya, parti yang tidak meletakkan ulama’ di hierarki utama kepimpinan parti mereka. Sesiapa pun boleh berada di dua kerusi tertinggi itu, asalkan dia adalah seorang ulama’.

Pengukuhan Majlis Syura amat penting bagi memantapkan PAS - Subky Latiff



MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz ada membuat kenyataan menyatakan kira-kira perwakilan Muktamar parti berkuasa menentukan sesiapa bagi menjawat jawatan tertinggi dalam PAS, lapor Ahmad Subky Abdul Latiff.

Kiranya perwakilan merasakan barisan pimpinan yang ada perlu dirombak, maka kuasa itu ada pada perwakilan dan perwakilan boleh membuat pilihan dengan bijaksana.

Yang perwakilan tiada kuasa untuk memilihnya ialah Mursyidul Am. Kuasa itu hanya ada pada Majlis Syura. Majlis Syura yang terdiri dari empat wakil Dewan Ulama dan empat wakil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bersidang memilih baki jumlah anggota Majlis Syura itu yang terdiri dari ulama dalam PAS. Mereka bersidang memilih Mursyidul dan Timbalannya.

Walaupun kuasa menentukan pimpinan parti itu ada di tangan perwakilan Muktamar, mesyuarat agung Kawasan perlu serius, teliti dengan penuh rasa tanggungjawab mencalonkan sesiapa bagi menduduki saf pimpinan itu terutama bagi anggota Dewan Harian pusat yang dipilih dalam Muktamar.

Jangan sekadar bernafsu bagi mengadakan perubahan, maka dicalonkanlah sesiapa saja yang difikirkan dinamik dan berwibawa tanpa melihat kepada peranan, keperluan dan tanggungjawab sebagai pimpinan utama PAS yang peranannya adalah bagi memimpin umah bagi mewujudkan masyarakat Islam yang berdaulat dan membentuk pemerintahan yang di dalamnya terlaksana aturan dan peraturan Islam.

Ketika PAS ditubuhkan tahun 1951 regu pimpinan utama yang dipilih adalah ulama, Tuan Haji Ahmad Fuad dan timbalannya Haji Ghazali Abdullah. Apabila Haji Ghazali berundur dan diikuti oleh perletakan jawatan Haji Ahamd Fuad sebagai Yang Dipertua Agung, timbalan dipegang oleh Dr. Abbas Alias, seorang professional dan bukan ulama.

Secara tradisinya selepas Dr. Abbas berundur perwakilan memillih dua pimpinan utama parti dari kalangan ulama bermula dengan Dr. Burhanuddin al-Hilmi dan Prof. Zulkifli Mohamad.

Pernah sekali untuk satu tempoh yang agak panjang pimpinan utama PAS tidak dipegang oleh ulama iaitu semasa pimpinan Dato Asri.

Isu pimpinan itu mesti ulama tidak berbangkit ketika itu. Tetapi timbulnya Dato Asri sebagai pimpinan tidak dirancang. Muktamar tetap memilih regu Dr. Burhanuddin dan Prof. Zulkifli sebagai pimpinan.

Dato Asri timbul adalah disebabkan oleh insiden Dr. Burhanuddin ditahan di bawah ISA untuk satu waktu yang lama dan beliau uzur semasa dalam tahanan. Apabila dibebaskan tidak lagi dapat bergerak cergas.

Prof. Zulkifli yang memangku pimpinan ketika Dr. Burhanuddin ditahan pula maut dalam kemalangan jalanraya, maka pimpinan yang paling kanan selepasnya ialah Dato Asri yang menjadi Naib Yang Dipertua Agung ketika itu. Beliau secara otomatis menjadi pemangku pimpinan.

Dato Asri ketika itu adalah Menteri Besar Kelantan. Dengan kedudukan itu beliau ada kemudahan dan ada pengalaman mentadbir kerajaan negeri, maka beliau disahkan menjadi pimpinan walau pun beliau tidak ulama. Tetapi timbalannya tetap ulama bermula dengan Hassan Adli, Dato Abu Umar dan Haji Yusof RAwa.

Ditakdirkan berlaku krisis kepimpinan yang getir semasa pimpinan Dato Asri yang berakhir dengan PAS keluar dari Barisan Nasional dan berlaku perpecahan disebabkan ada di kalangan serpihan PAS membentuk parti Berjasa hingga kerajaan tunggal PAS di Kelantan tewas.

Timbul gelombang dalam PAS mahukan perubahan pimpinan dan merasakan krisis itu berlaku kerana ia tidak dipimpin oleh golongan ulama atau ia mengkesampingkan ulama. Gelombang mahukan kepimpinan ulama dalam PAS tidak dapat haling dan memaksa Dato Asri menyerahkan mandat pimpinannya kepada Muktamar dan perwakilan menerimanya.

Era kepimpinan ulama sebenarnya bukan bermula tetapi muncul dan disambung semula. Sejak tahun 1982 itu tradisi PAS meletakkan ulama sebagai Presiden dan Timbalan Presiden disambung hingga sekarang.

Tuntutan itu dikuatkan pula pembentukan Majlis Syura di bawah konsep kepimpinan ulama, maka ia menjadikan seperti satu kemestian Presiden dan timbalannya adalah wajar dari kalangan ulama.

Gelombang yang memperjuangkan konsep kepimpinan ulama bukan saja berjaya mengatasi kebuntuan pimpinan masa itu, malah ia berjaya mengatasi krisis besar itu dan dapat memulihkan semula kelumpulan yang dihadapi oleh PAS kira-kira sedekat itu.

Apabila PAS menerima gelombang itu dan selesa dengan kehendak kepimpinan ulama yang berjaya memilihkannya dari kelumpuhan dan perpecahan, maka dengan sendirinya Presiden PAS mestilah seorang ulama. Maka ia akan dilihat janggal kalau ia tidak berpresidenkan seorang ulama sedang ia mempelopori konsep kepimpinan ulama.

Anggota Majlis Syura Ulama yang dibentuk itu mestilah terdiri dari ulama. Tuntutan itu begitu dan orang PAS pun mahu ia begitu. Logik susunan itu begitu ialah bagi mengelakkan krisis yang besar tidak berulang lagi. Ia tidak disebut begitu tetapi itulah hasrat yang tersurat.

Apabila ia mesti terdiri dari ulama, Presiden PAS wajar ada dalam majlis itu bagi membentangkan segala perkara yang perlu disampaikan oleh Jawatankuasa PAS Pusat kepada majlis itu. Walaupun ia tidak mensyaratkan Presiden mesti ada dalam Majlis itu tetapi ganjillah Majlis itu kalau Presiden tidak menjadi anggotanya. Walaupun Majlis itu mesti diwakili oleh empat orang ulama di dalamnya, Presiden adalah penting dan patut duduk di situ.

Sekalipun tidak dituntut Timbalan Presiden itu seorang ulama, tetapi timbalan itu akan memangku jawatan Presiden sekiranya berlaku sesuatu kepada Presiden. Timbalan Presiden bukan sekadar memanku jawatan Presiden tetapi dia mesti mewakili Presiden dalam Majlis Syura.

Adalah ganjil bagi sebuah parti yang mempelopori konsep kepimpinan ulama kalau pemangku Presidennya bukan ulama. Jika ia bukan ulama, maka akan berulang semula kejadian dalam tahun 70an PAS tidak dipimpin oleh ulama.

Yang membezakan PAS dengan UMNO ialah ia dipimpin oleh ulama. Adalah benar pada satu masa dulu semua orang takut kepada ulama. Tetapi sesudah ulama didaulatkan sejak 30 tahun dulu, tiada lagi orang yang takut kepada ulama. Pengundi Cina dan India kini amat yakin dengan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Bukan sekadar semua artis laki-laki dan perempuan berhajat untuk mengunjungi Tok Guru, kebanyakan tokoh dan pimpinan Cina dan India mahu bertemu dengannya. Hatta Elizerbeth Wong yang baru selesai dari tauma penyebaran gambar, mengunjung Tok guru Nik Aziz untuk menyatakan terima kasih dan mendapatkan nasihat sebelum memulakan tugasnya sebagai Exco Selangor.

Kepimpinan ulama itu sudah diterima dan PAS mendapat kedudukannya yang baik dalam politik Malaysia dewasa ini dipercayai dari lempahan dan barakah kepimpinan ulamanya.

Kita faham bahawa kesan penindasan penjajah terhadap Islam khususnya ulama oleh penjajah sejak lebih empat tahun lalu. Ada kelemahan dan rasa rendah. Tetapi PAS telah memulihkannya. Orang tidak nampak Tok Guru boleh menggantikan Dato Asri hampir 40 tahun lalu. Tetapi era kepimpinan ulama telah mengukuhkan keterampilannya hingga ia lebih disegani dari Dr. Mahathir. Dr. Mahathir itu jauhlah lebih bergeliga dari Tok guru, tetapi orang dari semua kaum lebih menghormatinya.

Sekarang PAS berada pada kedudukan yang terbaik. Berkat kepimpinan ulama. Ia akan ada pemilihan dalam Muktamar Jun ini. Maka perwakilan bersedia untuk mencalonkan pimpinan. Boleh jika pimpinan yang ada diganti dengan yang lain. Demokrasi membenarkan dan Islam serta ulama pun membenarkannya.

Tetapi perwakilan mesti serius perubahan pimpinan itu mesti jangan sampai ia mencicirkan kepimpinan ulama. Ulama tidak mendakwa mereka ulama dan menuntut mereka dikekalkan. Yang mahu ulama tetap memimpin ialah Islam. Pada Islam ulama adalah pimpinannya. Ada sesuatu yang tidak kena pada Islamnya apabila tiada ulama yang dapat diketengahkan.

Orang Islam yang taqwa tetapi bukan ulama, mungkin lebih pintar dari ulama, tetapi ketaqwaannya mesti membantu mengenegahkan ulama kedepan. Barakah kepimpinan ulama itu adalah penting. Tidak ada pada yang lain.

Mungkin munasabah Majlis Syura yang kukuh dan didaulatkan memantau siapa dan ulama mana yang wajar menjadi Presiden dan Timbalan Presiden setiap kali ada pemilihan bagi memastikan ia tidak terlepas dari konsep kepimpinan ulama.

Mungkin Majlis Syura Ulama itu sendiri membincangkan kepimpinan ulama dalam Jawatankuasa PAS Pusat itu. Ia memberi nasihat dari semasa tentang pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden. PAS bukan sekadar mahukan Presiden yang berwibawa tetapi ia juga mahukan timbalannya yang berwibawa.

PAS mahu era Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil dikembali. Di samping mereka ada sepasukan ulama yang bila-bila masa boleh mengambil alih pimpinan. Gugur dan lenyap beberapa orang tetapi masih ada yang boleh meneruskan pimpinan.

Mungkin Majlis Syura sekarang mengambil tanggungjawab baru iaitu memikir dan menentukan barisan ulama yang berwibawa yang mesti berada dalam saf pimpinan pusat bagi menjamin tradisi pimpinan ulama yang kukuh dipertahankan.

Tokoh boleh diganti, tetapi institusi ulama sebagai pimpinan mesti dipelihara. Mursyidul Am telah membuka ruang bolehnya pimpinan itu ditentukan oleh perwakilan. Memang perwakilan ada tanggungjawab itu. Tetapi seruan itu lebih sempurna dijadikan satu peranan baru Majlis Syura bagi memestikan pimpinan ulama itu terpelihara dan sentiasa berada di bawah pimpinan yang dinamik.

Bukan ia bertujuan bagi mengongkong kebebasan perwakilan menentukan haknya tetapi ia perlu memandu perwakilan bagi membuat pilihan yang tepat. Orang Ansar merasakan Ansarlah patut memimpin umat selepas Rasulullah SAW wafat. Tetapi syura sahabat yang terdekat dengan Nabi SAW belum boleh ia dibuka kepada Ansar.

Ia dibuka dulu kepada sahabat-sahabat yang lebih berwibawa terutama sepuluh orang yang dijamin syurga. Justeru pengukuhan Majlis Syura amat penting bagi membandu parti.

Kerajaan Perpaduan atau penjenamaan semula muzakarah - Kickdefela


“If Malays want to defend their rights, go ahead based on Bumiputera rights or whatever. But you cannot say Islam does not defend you because you are Chinese or Indian. Islam was not given just to the Malays.

Do not in your efforts to defend Malay rights relate it to Islam. Islam was not sent down by God to protect Malays but all of humanity,” - Bekas Mufti Perlis Mohamad Asri Zainul Abidin.

Suka dimulakan bicara kali ini dengan memetik kata-kata Bekas Mufti Perlis walaupun kata-kata itu terlafaz dalam konteks yang berlainan. Ia dilafazkan di Wales, United Kingdom dan tersiar di Malaysian Insider, lapor Kickdefela dalam blognya.

Jika diambil dari konteks Muzakarah UMNO-PAS dan kemudiannya Muqabalah UMNO-PAS, ternyata hujah diatas mengena terus ke sasarannya.

Maka benarlah bila Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz menentang usaha tersebut dan secara terang-terangan berkata dia hanya rela jika ia bertujuan memperkasakan Islam.

Kemudian munculnya gagasan Kerajaan Perpaduan oleh Presiden PAS. Kerajaan tanpa pembangkang kata Presiden PAS. UMNO berminat tapi seperti hanya berminat dengan PAS bukan dengan PKR dan DAP.

Kalau kerajaan tanpa pembangkang, maka PKR dan DAP perlu diambil kira sama. Bererti PKR dan DAP berhak mendapat posisi lebih kanan dan lebih banyak di dalam kabinet kerana kedudukan kerusi mereka di Dewan Rakyat lebih besar dari PAS, MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain parti dari Sabah dan Sarawak.

Ini bererti, PAS hanyalah parti ke 4 penting dalam Kerajaan Perpaduan. Sudikah UMNO menerimanya? Jika pembahagian benar-benar tulin maka, seluruh rakyat Malaysia, seluruh penyokong PKR, DAP dan PAS akan menyokongnya. Kerana banyak bentuk reformasi boleh dilakukan berdasarkan kekuatan perwakilan yang inginkan reformasi dalam kabinet kelak.

Penentangan terhadap Kerajaan Perpaduan bukanlah seperti kata Presiden PAS bahawa ia ditentang kerana kita kurang membaca dan kurang faham. Penentangan ialah kerana penjelasan cadangan Presiden PAS itu amat kabur dan tidak selari dengan konsep Kerajaan Perpaduan tanpa Pembangkang.

Konsep yang dijelaskan hanyalah seperti satu penjenamaan semula kepada Muzakarah PAS-UMNO. Ia seolah-olah kembali kepada isu mempertahankan hak orang Melayu dan kuasa politiknya.

Lebih memeningkan bila Presiden PAS dalam temuramahnya dengan Harakah berkata: “Saya telah memaklumkan kepada DAP dan DAP menyertai dalam beberapa usaha yang dilakukan tetapi oleh kerana, kita melihat orang Umno sendiri takut hendak buat ‘Unity Government’ dan mungkin dia (pemimpin Umno) bimbang kerana akan ada orang dia (Umno) dibicarakan di Mahkamah, maka ia terhenti”.

Apa yang saya faham, ungkapan diatas jelas lagi bersuluh bahawa UMNO lah tidak berminat dengan Unity Government.

Oleh itu jelaslah apa yang UMNO minat hanyalah memperkukuhkan kedudukan mereka dengan ehsan PAS.

Ianya amat-amat mengelirukan.

Islam tidak diturunkan oleh Allah kepada Muhammad S.A.W untuk mempertahankan umat Melayu. Islam diturunkan untuk manusia sejagat. Oleh yang demikian, hak bukan Islam juga perlu diambil kira.

Dengan itu, saya suka akhiri dengan terjemahan secara kasar kata-kata Bekas Mufti Perlis,

“Jika orang Melayu mahu mempertahankan haknya, teruskan berdasarkan hak-hak yang diperuntukan kepada Bumiputera dan sebagainya. Tetapi, jangan gunakan Islam untuk mempertahankan Melayu dan tidak mempertahankan hak bukan Melayu. Islam bukan diturunkan semata-mata untuk umat Melayu.

Usah sekali-sekali usaha mempertahankan hak-hak Melayu dikaitkan dengan Islam. Islam tidak diturunkan untuk mempertahankan umat Melayu tetapi untuk mempertahankan hak semua umat manusia”.

Kalau Tok guru dikelilingi ‘Pembantu Sesat’ PAS tidak mampu kekal berkuasa selama 19 tahun di Kelantan!


DUA hari lepas, (1 Mei) Sinar Harian menyiarkan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nik Abduh diselar Ketuanya sendiri, Mohd Zaki Ibrahim dengan tajuk besar “Dewan Pemuda selar Nik Abduh” atas isu yang dicipta Nik Abduh sendiri melalui kerja-kerja bodoh dalam PAS dalam blognya, lapor Wan Johari pada blognya jiwokelate.

“Kita yakin kalau Tok guru dikelilingi ‘Pembantu sesat’ PAS tidak mampu kekal berkuasa selama 19 tahun di Kelantan. Semua kerja dilaksanakan secara kolektif dikalangan penggerak parti dan kerajaan. Ini menunjukkan Tok Guru dibantu oleh pembantu-pembantu yang baik dan jujur dalam menajyakan program kerajaan dan parti,” kata Zaki yang juga Timbalan Speaker DUN Kelantan.

Zaki berkata demikian mengulas kenyataan Nik Abduh dalam blognya yang mendakwa ayahandanya dikelilingi ‘Pembantu-pembantu yang sesat’. PAS mampu mengekalkan kuasa di Kelantan kini selama 19 tahun kerana Tok Guru dikelilingi Pembantu-pembantu yang baik dan bukannya pembantu yang sesat.

i. Nik Abduh dipanggil beri penjelasan

Memang Nik Abduh dipanggil Ketua Dewan Ulamak, lantas katanya “Ya, saya telah dipanggil dan saya berharap untuk terus dipanggil lagi dan lagi. Saya telah ditegur sebagaimana lebih kurang ayahanda menegur saya. Saya juga telah menyatakan pendirian saya lebih daripada apa yang telah saya sampaikan kepada ayahanda kerana ianya adalah pertemuan lebih satu jam.”

Kata Nik Abduh lagi, “Pertama, sila ke berita BERNAMA semalam. Apa al Fadhil Al Ustaz Dato Mohamad Daud Iraqi, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat kata pasal pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden”.

Memang mengcelarukan! Tetapi nampaknya Nik Abduh masih cuba menegak benang basahnya walaupun telah di”nasihat”kan Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan. Tarik sajalah, menjatuh maruah diri sendiri! Menyusahkan ahli-ahli PAS yang ikhlas bekerja yang setengahnya tak berupahpun. Apapun kita tunggulah apa kata ayahandanya?

ii. Kenyataan Ketua Dewan Ulamak disanggah, aiyya apa sudah jadi
Kenyataan Ketua Dewan Ulamak telah disanggah Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang yang juga Ahli Majlis Syura Ulamak atas isu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh Ulamak.

Kenyataan Mat Iraqi itu disanggah lagi oleh Bapa mertua sendiri, Abdul Fatah Haron dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub. Salahuddin dalam kenyataannya hari ini dilaporkan berkata sesiapapun yang memimpin parti itu perlu berpegang dan memperjuangkan Institusi Kepimpinan Ulamak sejak 1985 bagi memastikan PAS tidak lari daripada landasan perjuangan.

“Samada jawatan nombor satu dan nombor dua dalam parti biarlah akar umbni yang memilihnya samada mahu memilih dikalangan ulamak atau tidak,” katanya.

Salahuddin mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak Datuk Muhammad Daud Iraqi bahawa Presiden dan Timbalan Presiden hendaklah dari kalangan Ulamak.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng sangat kagumi PAS








KALI pertama menjejaki kaki ke Markaz Tarbiah PAS Pusat, begitu menerujakan bagi Nga Kor Meng. Kehadiran penyokong Pakatan Rakyat dilihat begitu ramai sekali. Saya menganggarkan lebih 10,000 orang. Bersesak-sesak hingga di jalan utama, sebelah luar dan di atas sungai buatan, tidak jauh dari markaz.

Setiausaha DAP Perak, yang dipertahankan oleh Mursyidul AM PAS dalam isu membaca sepotong ayat al-Quran ketika kempen pilihan raya kecil di Bukit Gantang, akhirnya menjengah markaz setelah PAS Kawasan Batu mengundangnya.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat begitu gembira dengan kehadiran Nga pada malam 19 April itu. Kedua-duanya berceramah dan Nga memuntahkan hujahnya dengan begitu bersemangat sekali. Kebanjiran penyokong Pakatan Rakyat malam itu diyakini ekoran isu keberanian Nga berkempen dengan membaca ayat al-Quran dan kepantasan Tok Guru Nik Aziz pertahankan Nga.

Mereka datang untuk melihat dan mendengar penjelasan Ahli Parlimen Taiping itu. Selain, mahu mendengar hujah Tok Guru Nik Aziz. Waktu itu ada beberapa isu menarik. Saya mempengerusikan majlis, melontar agar Tok Guru menyentuh tentang isu kedatangan penyanyi tersohor, Dato' Siti Nurhaliza ke pejabat Tok Guru bersama suami, Dato' K.

Pada masa yang sama, suatu yang mengejutkan tentang penyertaan vokalis kumpulan rock Arrow bernama Renggo ke dalam PAS di Kota Bharu dan kesediaan raja rock, Amy Seacrh memeriahkan 'Kempen Jom Serai PAS' anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan.

Nga berceramah dalam bahasa Melayu yang agak baik. Menarik dan sarat isi. Selain menceritakan apa yang terjadi di Perak, Adun Pantai Remis itu juga melahirkan rasa kesal dengan tuduhan liar Umno terhadapnya, kerana semata-mata beliau membaca al-Quran semasa kempen.

"Saya baca ayat kitab suci al-Quran masa kempen. Maksud betul. Bacaan mungkin ada telo sikit. Biasalah, lidah keras lagi. Tapi saya terima 35 laporan polis. Apa cerita," tanya beliau sambil disambut ketawa hadirin.

Turut berceramah malam itu, penulis buku-buku motivasi, Ann Wan Seng. Sebelum ceramah bermula, saya dan TVPAS mengadakan sesi interbiu eksklusif untuk Harakah bersama Nga.

Sebaik usai ceramah, Nga dibawa minum tea di sebuah restoran tidak jauh dari markaz. Waktu keluar, mengharuk kesesakan lalu lintas dan orang ramai, Ngaterkejut dengan kehadiran yang amat sendat.

"Saya kagum betul dengan PAS. Ahli-ahlinya setia. Sederhana dan terbuka. Kami dalam DAP pun, genarasi muda, tidak kekok bersama PAS. Bukit Gantang betul-betul telah sedarkan kami tentang PAS," ujar Nga sambil menikmati mee goreng segera.

Kesimpulan bicara malam singkat malam itu, PAS benar-benar sudah boleh diterima oleh orang-orang Cina. Tidak seperti dulu, takut-takut. Nga mengakui, orang PAS lebih mesra dan mudah didekati serta ringan tulang.

Tranformasi Najib tidak sampai ke mana...Khalid mahu mencari pemimpin yang ikut Waqi'

AHLI Parlimen Shah Alam tidak percaya Dato' Seri Mohd Najib akan melakukan banyak tranformasi. Bagi Abdul Khalid Samad, Najib seorang yang penakut dan hanya mengikut telunjuk Tun Mahathir Mohamad. Kabinetnya masih terpacak menteri yang dipersoal integritinya, begitu juga dalam kepimpinan Umno. Butiran lanjut, ikuti intrebiu eksklusif WAN NORDIN WAN YAACOB bersama beliau.

Apa pandangan saudara terhadap 'transformasi' yang sedang dan mahu dilakukan Dato' Seri Najib Tun Razak samada dalam Umno mahupun kerajaan?

ABDUL KHALID: Pertamanya berhubung dengan transformasi dalaman Umno, saya rasa memang amat bercelaru kerana mesej yang ingin dibawa pada awal kononnya dengan kepimpinan baru, berwajah baru, mempunyai wawasan baru yang bersih dan sebagainya tetapi apa yang berlaku kita lihat tidak ada apa-apa perubahan dilakukan.
Dan mereka yang memimpin Umno masih lagi di kalangan mereka yang dipertikai wibawanya.Tambahan pula dengan peranan Tun Mahathir Mohamad dalam kerajaan Najib.
Justeru saya tidak nampak perubahan atau tranformasi yang disebut-sebutkan walaupun dikatakan bersih, dalam masa yang sama tidak benarkan Mohd Ali Rustam bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, namun dilantik semula Ali menjadi ahli MT.
Segala kata-kata Najib berhubung perubahan ini hanya kata-kata yang kosong semata, tiada perubahan atau standard piawaian yang tepat dan tega. Bagi saya, jika Najib mahukan orang yang bersih dan wibawa atau tidak ada keperibadian yang tercemar, semua itu tak mungkin akan dilaksanakan.
Perkara ini sukar untuk beliau sebab antara yang paling tercemar dan hilang kredibiliti ialah beliau (Najib) sendiri. Perpecahan dalam Umno saya lihat masih berterusan dan meruncing, dengan krisis di Terengganu dan Perlis satu petunjuk kepada kita Najib tak berjaya satukan Umno dan persengketaan semasa. sementara kroni dan kem-kem masih berterusan dan ini akan membawa keruntuhan kepada Umno.

Bagaimana pula transformasi dalam Kabinet dan kerajaan?

Dari sudut Kabinet juga begitu. Kita tak lihat adanya satu pemimpin yang mempunyai wibawa dan satu wawasan arah pembangunan dan kemajuan yang jelas. Jika mahu dibandingkan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini pun yang dikatakan lemah, sebenar pada hakikatnya Najib jauh lebih lemah berbanding Abdullah.
Abdullah jauh lebih boleh berdikari sebab mampu bebaskan dirinya daripada pengaruh Tun Mahathir dan cuba membawa arah yang lebih terbuka berbanding cara Mahathir dahulu. Sementara Najib ini sejak hari pertama menjadi PM pun beliau telah berpaut dan bertongkat kepada Mahathir. Perkara ini menunjukkan kepada kita bahawa Najib lemah dan tiada wawasan jelas.

Atau kerana Najib tidak pernah bergelumang dengan susah?

Dari segi sejarah perjuangan, Najib tidak pernah tempuhi kesusahan atau diuji. Sebaliknya Najib sentiasa dapat laluan mudah dan dipimpin oleh seniornya. Apabila dia jadi PM, keyakinan dirinya pun tak jelas kelihatan sementara prestasi dalam Parlimen pun mendukacitakan.
Dari segi kepimpinan kabinetnya tidak nampak ada perubahan atau wawasan baru atau 'line up' yang ada wibawa yang semuanya dnegan sikap yang lama, dan partisannya dalam pelantikan itu jelas apabila Khairy Jamaluddin yang menang Ketua Pemuda dipinggirkan sebaliknya orang yang tak ada sebab duduk di Kabinet pula dapat tempat seperti Mukriz Mahathir.
Ini nampak pengaruh Mahathir dan perbalahan masih berterusan, sementara budaya kronisme berterusan dalam pelantikan kabinetnya.

Tentang dasar-dasar baru Najib, termasuk isu ekuiti, agaknya apa yang boleh diperhatikan?

Penarikan kembali ekuiti bagi syarikat perkhidmatan itu bukan merupakan persoalan yang besar tetapi yang penting wawasan dan arah tuju mesti jelas. Sebab suatu ketika dahulu mereka (Umno) serang PAS dan PKR. Mereka dakwa kita gadaikan kepentingan orang Melayu,
Tetapi, kini apa yang mereka tuduh kepada kita itu, mereka buat pula. Dan kalau dahulu mereka kata kita buat pengkhianatan tetapi kini mereka pula yang mengkhianati. Ini menunjukkan kecelaruan pemikiran yang amat jelas sekali.
Mereka cuba buat 'One Malaysia' tetapi jelas kelihatan satu tindakan yang tak ada kesungguhan sebab pada masa yang sama mereka masih terus main sentimen perkauman. Ini tak konsisten dan percanggahan pemikiran dalam Umno yang wujud.
Tawaran yang dibuat hanya tawaran politik yang ada tujuan khusus dan mahu kembalikan sokongan bukan Melayu yang telah tinggalkan BN dan meluat dengan Umno.Saya rasa rakyat Malaysia dah dapat baca helah ini.

Najib dilihat sebagai liabiliti kepada negara dan Umno. Sebelum ini banyak laporan negatif tentang Najib terdedah di media antarabangsa. Namun, tiada tindakan membersihkan nama diambil beliau mahupun kerajaan. Baru-baru ini PAS mencadangkan kepada Majlis Raja-raja Melayu agar menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat hal ini, apa respons Saudara?

Saya rasa itu satu perkara yang amat tepat. Sebab sememangnya imej Najib ini tidak akan pulih kerana beliau mengelak dirinya daripada berhadapan dengan mereka yang menuduhnya termasuk akhbar luar negara, rakyat dan sebagainya.
Isu pembunuhan Altantuya Shaariibu tidak akan selesai meskipun Sirul Azhar dan Azilah Hadri dijatuhkan hukuman bunuh kerana satu dunia tahu dua tertuduh itu hanya budak upahan atau suruhan. Sebenarnya banyak sekali isu yang tidak terjawab dalam isu pembunuhan itu. Ini kerana pihak Kementerian Keselamatan Dalam Negeri boleh kawal akhbar-akhbar dan berita dalam negeri.
Itulah akibat yang akhirnya memperlihatkan imej beliau dan negara akan terus tercemar.Sekiranya Najib ambil berat tentang kepetingan negara rakyat dan bangsa, beliau sepatutnya memberanikan dirinya berhadapan tuduhan-tuduhan ini dengan cara terbuka, telus dan tidak selindung.

Maksud Saudara, Najib sedang berselindung?

Sekarang ini, Najib memang berselindung di sebalik perundangan negara sebab peguam negara sahaja yang boleh dakwanya. Namun itu hanya sekadar mampu menutupkan mulut tetapi tak mampu menghalang rakyat ataupun dunia memikirkan bahawa beliau ada masalah.
Justeru, bagi saya cadangan mewujudkan suruhanjaya diraja adalah bagus tetapi sekali lagi lah kita mesti tentukan suruhanjaya ini benar-benar bebas dan tidak jadi sebagai satu badan yang awal-awal lagi diarahkan untuk dapati Najib tak bersalah. Cara siasatan dan laporan perlu telus dan lagi cepat Najib hadapi satu proses bersihkan namanya lagi baik lah untuk negara kita.

Di awal Najib menjadi PM, ramai yang harap adanya perubahan atau ketelusan, tetapi semua hampa apabila banyak agensi kerajaan kini diikat kebebasannya, termasuk SPR yang mula nampak digunakan lagi untuk survival politik Umno/BN dengan pelbagai larangan terkini terutamanya menjelang pilihan raya Dun Penanti...

Itulah, saya rasa ini kembali kepada wawasan lama yang dipegang BN bahawa mereka memerintah dan rakyat kena ikut kepimpinan mereka, walhal rakyat lah yang perintah dan kita memegang amanah untuk membenarkan rakyat itu membangun, tapi kalau wawasan Umno/BN, rakyat ini diperintah dan dikawal ikut telunjuk pemimpin.
Justeru itu, tidak hairanlah SPR akan dipergunakan. Makhamah diasak dan ditekan supaya akhirnya rakyat ikut telunjuk pemimpin. Berbeza dengan wawasan Pakatan Rakyat yang memikirkan kehendak rakyat dalam mencorakkan negara dan untuk itu berlaku yang paling penting semua institusi kenegaraan seperi SPR, SPRM dan mahkamah, semuanya mesti telus dan dibebaskan supaya dapat dilihat peranan mereka dengan cara yang lebih baik. Ia juga penting agar rakyat boleh nilai prestasinya, dan bukan pemerintah menguasai rakyat sebaliknya rakyat mencorakkan negara.
PAS sendiri bersama arah itu. Sebab kita yakin jika diberi ruang sebenarnya hujah Islam itu akan terbukti sebagai hujah yang paling tepat dan yang selari dengan naluri manusia dan selari dengan tuntutan keadilan dan sebagainya. Dalam suasana bebas seperti itu Islam akan dapat menguasai pemikiran rakyat dan akhirnya mencorakkan negara.

Jun ini, PAS akan mengadakan muktamar tahunannya. Kini, sudah 25 tahun PAS di bawah kepimpinan ulama. Apa pandangan saudara terhadap potensi dan pencapaian yang telah capai PAS?

Kalau nak bandingkan dengan keadaan pada tahun 1983 hingga kini memang jauhlah berbeza. Dan antara pembaharuan yang dilakukan ialah untuk menolak fahaman asabiyah dan jadikan risalah Islam serta perjuangan PAS ini lebih inklusif.
Kita berjaya menarik perhatian Islam dan bukan Islam, dan meletakkan PAS sebagai parti yang memperjuangkan keadilan bagi semua pihak samada Islam mahupun bukan Islam. Kita berjaya keluar daripada kepompong perjuangan hanya untuk kepentingan orang Melayu atau orang Islam semata.
Ini satu transformasi yang besar dan satu perkara yang sepatutnya dilakukan oleh PAS seluku parti Islam. Perjuangan Islam bukan sahaja kita perjuangkan kepentingan orang Islam semata, dua benda yang berbeza.
Saya rasa dalam persoalan ini masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk kita manfaatkan suasana baru yang wujud di mana pendirian dan konsep pemerintahan kenegaraan Islam dengan cara yang lebih inklusif itu dapat dijelaskan kepada masyarakat dan tidak lagi dibentangkan dalam corak hukum sahaja.

Barangkalai saudara ada idea untuk disyorkan?

Ia perlu diteliti dari sudut yang lebih rasional. Sebab musabab mengapa hukum itu membela rakyat dan kaedah yang lebih menarik sokongan semua rakyat patut difikirkan. Apa yang kita nak satu penjelasan konsep pemerintahan Islam yang boleh menarik perhatian Islam dan bukan Islam.
Saya rasa arah tuju kita selama ini agak baik walaupun ada yang nampak perlahan. PAS juga diharapkan dapat menjadi penyumbang kepada perkembangan kemajuan perjuangan Islam di negara ini dan di seluruh dunia. PAS mampu menzahirkan kaedah perjuangan yang dapat menarik sokongan Islam dan bukan Islam bahawa Islam membela kepentingan semua pihak.

PAS sudah diterima bukan Islam walaupun ada sedikit pertentangan antara parti dalam Pakatan Rakyat seperti DAP, tetapi apakah cadangan atau harapan saudara kepada kepimpinan ulama dalam mendekatkan lagi mesej PAS kepada mereka agar lebih jelas dan mudah difahami?

Saya rasa itulah cabaran yang perlu difikirkan dan ditangani oleh ulama-ulama kita. Dalam soal ini kita kena fahamilah cara bagaimana nak jelaskan supaya dapat difahami dan diterima oleh bukan Islam. Kita juga kena akui, kita semua mempunyai pengalaman yang agak terhad tetapi kena fikirkan cara nak jelaskan kepada bukan Islam.
Kita kena lihat perjuangan Islam ini satu proses seperti mana Rasulullah s.a.w sendiri dahulu pernah lalui. Satu proses sehingga tempuh peristiwa Perjanjian Hudaibiyah; Peperangan dan perdamaian; penjelasan dan Aulawiyatnya dan begitu juga dengan kita.
Kita kena ada pemikiran taktikal dan strategik dalam soal ini dan kena perhalusi perjuangan Rasulullah sendiri dengan segalanya. Tindakan yang menjamin risalah Islam itu akan terus ke hadapan, kita jangan terlalu lurus bendul hingga tak ada strategi, dan jangan sampai digadai risalah kita. Kita buat sekadar yang kita boleh dan diiringi dengan penjelasan.

Mutakhir ini kepimpinan PAS pelbagai, ada semua peringkat golongan masyarakat, ulama dan profesional serta aktivis. Ramuan ini cukup indah...

Kita kena faham Islam tidak ada kasta, dan ini kita kena ingat Rasulullah pun dengar pandangan para Sahabat walaupun Rasulullah jauh lebih mahir dalam ilmu agama berbanding sahabat-sahabat. Tetapi dalam soal strategi dan taktik untuk menangani masyarakat dan maju ke hadapan dalam menjelaskan persoalan, Rasulullah s.a.w memanfaatkan seluruh kemampuan setiap individu yang ikut banginda.
Tiada mana-mana pihak yang anggap dirinya tidak ada peranan atau tak mampu sumbang kepada perjuangan Islam. Begitu juga PAS yang perlu menilai sumber yang ada pada kita, dan memanfaatkan semua pihak. Kita ada ulama, ada profesional dan ada aktivis.
Inilah yang penting. Jangan anggap kemenangan Islam itu bergantung hanya kepada satu kumpulan semata, sebab kemenangan itu akan tercapai apabila setiap lapisan masyarakat itu bergerak bersama ke arah keinginan melaksanakan Islam itu, justeru semua dalam PAS perlu jalankan tugas masing-masing.

Apa harapan saudara terhadap perjalanan Muktamar PAS kali ini terutama kepada perwakilan. Dari segi kualiti perbahasan barangkali?

Saya berpendapat, kita berada dalam satu Waqi' politik yang tertentu dan kita kena mencari pemimpin yang mampu membawa kita untuk tangani atau bergerak dalam Waqi' tersebut.
Saya rasa, terbukti dalam soal politik Malaysia, kaedah dan pendekatan Pakatan Rakyat dengan Tahaluf Siyasinya berjaya setakat ini. Dalam soal pemerintahan ini dan dengan apa yang dikatakan sebagai 'musyarakaf fil hukumah', apakah kaedah yang terbukti paling sesuai dan paling berkesan dalam waqi' politik kita, yang mampu untuk memainkan peranan dalam Waqi' seperti itu.
Golongan itu sudah tentu terdiri dari gandingan mantap golongan ulama, bukan ulama dan sebagainyalah. Ianya merupakan suatu perkara yang perlu diambil kira. Kita kena lihat ke hadapan dan memilih kaedah terbaik untuk negara, agar akan alami perubahan dengan PAS diberi peranan besar dalam perubahan itu. Kita jangan sampai berpatah balik atau sikap yang bertukar-tukar pandangan dalam memilih. Saya harapkan muktamar kali ini mampu membawa kita meneroka jalan itu.

Maaf tak update blog. Ziarah rakan-rakan dan bawa anak-anak melihat tapak pembunuhan JWW Birch dan makam Si Puntum








MAAF... Sejak hari Buruh, 1 Mei saya menelusur ke utara untuk menghadiri kenduri kahwin beberapa kenalan dan saudara terdekat di Parit. Juga menghadiri kenduri tahlil abang ipar di Batu Gajah.

Kesempatan itu, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, anak-anak mengajak melihat tapak sejarah di Kompleks Pasir Salak, yang sebenarnya tidak jauh dari rumah ayah saya di Kampung Lambor Kanan. Kompleks yang tersergam indah dan pernah kontroversi kerana menjadi "gajah putih" ketika di bawah pentadbiran Dato' Seri Mohd Tajol Rosli.

Selainkan mempamerkan "rumah kutai", tapak ini juga sarat dengan kisah pembunuhan orang kanan penjajah Inggeris bernama JWW Birch di kawasan kompleks itu. Melalui konspirasi dan strategi rapi Dato' Maharaja Lela dan Dato' Sagor, JWW Birch dibunuh oleh Si Puntum, iaitu salah seorang dari pengikut Dato' Maharaja Lela. Selain dibantu oleh Pandak Endut.

Si Puntum atau Sepuntum dipercayai berasal dari Sumetera. Beliau dianggap oleh sejarah Perak sebagai salah seorang yang gugur sebagai "Pahlawan Melayu" yang telah berani menentang penjajah Inggeris. Sentimen ini telah dapat menaikkan semnagta juang orang-orang Melayu menentang penjajahan Inggeris di Tanah Melayu dan seterusnya untuk menuntut kemerdekaan.

Beliau adalah salah seorang yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan JWW Birch, Residen Inggeris yang pertama di Pasir Salak pada 2 November 1875 yang dirancang oleh Dato' Maharaja Lela dan Dato' Sagor. Si Puntum kemudiannya ditangkap dan dibicarakan oleh Inggeris di Bandar Bharu pada 3 dan 4 Mei 1876. Beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh.

Masih terdapat tinggalan kawasan tebing di mana JWW Birch dibunuh yang berada dalam Kompleks Pasir Salak tersebut.

Jumaat, Mei 01, 2009

Meneliti minat Dato' Paduka Husam Musa terhadap jawatan Timbalan Presiden PAS


BERIKUT kenyataan penuh yang disediakan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa bertarikh 29 April 2009 yang diedarkan kepada media berkenaan sikap dan pendirian awal beliau terhadap pencalonan untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan parti itu Jun depan. Ikuti teks penuh di bawah:

SEHINGGA hari ini saya rasa sebelum saya mengumumkan secara rasmi sama ada saya bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS atau tidak. Saya perlu membuat pertimbangan terhadap beberapa perkara terlebih dahulu.

Faktor pertama ialah, saya harus meneliti harapan daripada PAS kawasan-kawasan yang mencalonkan saya ke jawatan Timbalan Presiden. Sejauh mana mereka mengharap supaya saya bertanding. Saya harus menghubungi PAS kawasan-kawasan yang telah memberikan pencalonan mereka untuk mengetahui sebab-sebab mengapa mereka merasakan saya perlu bertanding. Dan jika sebab itu valid, Insya Allah barulah saya buat keputusan secara muktamad.

Faktor kedua ialah, saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya. Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu di ganggu. Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, insya Allah.

Ketiga, faktor yang saya harus pertimbangkan adalah, adakah dengan penyertaan saya itu saya boleh mengukuhkan pencapaian PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 nanti, dan bagaimana cara saya boleh berperanan untuk tujuan tersebut. Jawatan Timbalan Presiden PAS ditandingi sejak tahun 2005 dan sekali lagi pada tahun 2007. PAS tidak berpecah walaupun ada yang menang dan ada yang tewas.

Saya percaya bahawa tradisi dan nilai mulia dalam PAS masih kekal dan PAS sama sekali tidak akan menjadi seperti Umno dalam soal pemilihan ini. Cuma ada pihak-pihak tertentu yang cuba menggambarkan seolah-olah ada perebutan kuasa yang sengit dalam PAS.

Suka saya nasihatkan pimpinan dan ahli-ahli PAS supaya menjaga etika sepanjang pemilihan ini supaya tidak memenuhi agenda media memperlihatkan PAS ini sama dengan Umno. PAS sebenarnya tidak sama dengan Umno, tetapi kadang-kadang cara kita bertindak boleh jadi silap dan memenuhi agenda media arus perdana yang dikuasai Umno-BN.

Kesilapan kita menyebabkan media gembira memetik maklumat dalaman yang boleh melaga-lagakan antara sesama pemimpin, sedangkan agenda media jelas, mahu menyamakan antara PAS dengan Umno.

Bagi saya jika terdapat perkara, yang ahli-ahli ataupun mana-mana pihak dalam PAS rasa menyalahi disiplin PAS, mereka perlu memaklumkan kepada parti dan saya berharap pimpinan-pimpinan tertinggi parti tidak berdiam diri mereka mesti memperlihatkan satu tahap displin yang tinggi supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan yang boleh merosakkan imej PAS yang telah dibina selama ini termasuk termasuk perpaduan sesama ahli.

Pada pendapat saya, Pilihan Raya Umum ke 13 adalah satu pilihan raya yang kritikal kepada semua parti-parti politik utama dalam negara kita. Ianya adalah penentuan samada PAS boleh menjadi teraju utama menggantikan Umno dalam politik negara.

Ini bermakna pertandingan yang lebih kritikal adalah di antara PAS dengan Umno. Jika PAS berjaya mendapatkan kemenangan diatas kerusi-kerusi yang sekarang ini dipunyai oleh Umno, maka PAS boleh keluar sebagai the main anchor party pada masa akan datang.

Jadi tiga faktor inilah yang harus saya pertimbangkan dan rundingkan dengan PAS kawasan-kawasan, ahli-ahli, sebelum saya memberikan kata muktamad saya untuk bertanding.

Pada tahap ini, saya merasakan masih terlalu awal untuk membuat keputusan. Walaupun terdapat beberapa nama lain yang dicalonkan ke jawatan Timbalan Presiden, saya fikir tiada masalah untuk mengadakan muqabalah rakan-rakan yang dicalonkan untuk menarik diri dan memberi laluan kepada mana-mana calon yang lebih mustahak di kedepankan.

Jika PAS boleh membuat muqabalah dengan Umno, maka saya merasakan tiada sebab untuk tidak boleh berunding dengan calon-calon jawatan tertinggi dalam PAS.

Bagaimanapun setakat pemahaman saya, PAS sendiri tidak pernah secara rasmi mempunyai pendirian terhadap perkongsian kuasa dengan parti pemerintah yang sedia ada.

Oleh kerana tidak ada apa-apa ikatan rasmi maka saya fikir, jalan yang lebih munasabah bagi PAS ialah untuk memperkuatkan parti, mendapatkan sokongan di kawasan-kawasan yang sekarang ini dikuasai oleh Umno.

Bagaimanapun, iika sekiranya arah tuju PAS dapat diperjelaskan dan tidak ada keraguan tentang hubungan hubungan sulit PAS dan Umno, saya rasa tidak ada sebab besar untuk saya bertanding mencabar pemegang-pemegang jawatan yang sedia ada.

Tetapi pada pendapat saya dari trend yang berlaku sekarang ialah wujudnya keraguan terhadap arah tuju PAS, dan masa kita singkat, saya yakin Pilihan Raya Umum ini akan dipanggil lebih cepat dan mungkin dalam tempoh 6 bulan hingga 12 bulan daripada sekarang.

Jika PAS teragak-agak untuk menentukan arah tujunya, maka PAS akan kehilangan peluang persiapan yang secukupnya.

Jelas Muktamar Tahunan PAS yang diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak sudah membuat ketetapan untuk memperkukuhkan PAS dalam Pakatan Rakyat. Kemudian dalam pilihan raya-pilihan raya kecil pun ada kenyataan dan usaha bersama untuk berdiri atas platform Pakatan Rakyat, itu adalah yang telah dimuktamadkan dan kita kena harus bergerak di atas format yang telah dimuktamadkan bagi memenuhi agenda tersebut.

DATO' HAJI HUSAM MUSA
NAIB PRESIDEN PAS
29 April 2009
Kota Bharu, Kelantan

Mengapa SPR tidak guna dakwat celup jari di Dun Penanti? Susah sangatkah? - Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man


AJK PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yakin, kesedaran rakyat Pahang terhadap kepincangan BN negeri, kian meningkat. Usaha sedang dijalankan terutama di kawasan Felda, bagi menjelaskan isu-isu terkini yang membabitkan kepentingan mereka. Beliau juga mencadangkan agar SPR memulakan penggunaaan dakwat "celup jari" pada pilihan raya kecil Dun Penanti. Beliau juga turut menyedari Najib hanya menjadi boneka kepada Tun Mahathir. Ikuti interbiu eksklusif Pesuruhjaya PAS Pahang ini bersama wartawan ANIS NAZRI.

PM baru, Dato' Seri Najib Tun Razak dilihat seperti "PM boneka" apabila banyak dipengaruhi Tun Mahathir Mohamed dan ini dikatakan memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat. Bagaimana Dato' melihat peranan Mahathir ini boleh meningkatkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat?

DATO' TUAN IBRAHIM: Ada dua perkara dalam hal ini. Pertamanya, peranan Mahathir dalam 'menentukan' dasar negara itu dilihat sebagai kelemahan Najib sendiri sebagai PM. Campur tangan seperti Mahathirlah yang tentukan siapa boleh duduk dalam kabinet, tentukan dasar hubungan luar negara. Semua ini akan menonjolkan lagi kelemahan Najib.
Dalam Pakatan Rakyat, kita lihat Mahathir dulu turun dalam keadaan beliau dipaksa rakyat. Apabila dia kembali semula, ini akan membangkitkan semula nostalgia lama rakyat yang terguris dengannya. Dari sebelah pihak, keadaan ini memberi kelebihan dan kekuatan kepada Pakatan Rakyat.
Dengan suasana yang ada hari ini, senario pilihan raya kecil menunjukkan dokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat cukup kuat dan ini lebih mempercepatkan lagi kemenangan Pakatan Rakyat dengan kemunculan Mahathir semula bersama Najib.

Menyentuh isu Pilihan Raya Kecil Dun Penanti, ia telah menonjolkan sikap berat sebelah SPR. Pada pandangan Dato', adakah SPR telah bertindak menjadi perkakas BN secara langsung atau sebenarnya badan itu cuba bertindak profesional?

Seingat saya, SPR kena ingat tindakan mereka muktahir ini jelas menunjukkan ia tidak profesional. Kita nampak rakyat mula sedar SPR ini sebagai satu agen kepada BN dengan beberapa larangan-larangan yang dibuat, yang jelas menunjukkan sikapnya yang tidak bebas.

Bagaimana Dato' melihat isu penggunaan dakwat kekal di jari pengundi? Mungkin ini masanya untuk SPR membuktikan tahap profesional mereka?

Rakyat sedang tunggu. Dalam pilihan raya dulu, SPR bertindak memperkenalkan penggunaan tersebut. Tiba-tiba ia bertindak menarik balik penggunaan itu. SPR boleh menjadikan Penanti sebagai satu medan untuk membuktikan dakwaan pembangkang selama ini berkaitan pengundian berulang ini.
Bagi PAS, SPR patut ambil peluang ini untuk melakukan perubahan dan ini memang jelas berada di dalam bidang kuasa SPR, bukan seperti yang dilakukan sekarang dengan mencampuri urusan politik kepartian. Isu dakwat ini memang di dalam bidang tugasnya. Jangan buat benda lain yang bukan bidang tugas SPR.

Sasterawan Negara, Dato' A. Samad Said melihat perlantikan Menteri Pelajaran yang baru tidak membawa apa-apa perubahan kepada penghapusan PPSMI. Apa cadangan Dato' untuk menyelesaikan kemelut PPSMI ini?

Gerakan untuk memansuhkan dasar ini perlu ditingkatkan. Kalau dulu menganjurkan
himpunan. Kita sudah bagi masa kepada kerajaan. Kalau tiada lagi sebarang perubahan, rakyat perlu bangkit sekali lagi.
Soalnya sekarang ini, memang tidak nampak menteri baru ini utamakan rakyat. Kalau betul utamakan rakyat, awal-awal lagi boleh kembalikan dasar asal pendidikan dahulu dengan memansuhkan PPSMI ini.

Selain isu PPSMI, banyak lagi isu lain yang menggambarkan kebobrokan kepimpinan BN. Bagaimana Dato' melihat akta ISA yang kini mendapat tentangan rakyat?

ISA ini secara jelasnya bertentangan dengan syarak. Dalam Islam, sesiapa yang dituduh perlu diberi peluang untuk membela diri. Walaupun Najib menguar-uarkan untuk mengkaji akta ini, tetapi dalam masa yang sama, baru-baru ini berlaku penangkapan di bawah akta ini.
Kajian apa lagi diperlukan? Rakyat sudah muak dengan sandiwara Umno. Setiap kali naik PM baru, janji macam-macam. Sepatutnya mansuh terus bukan kaji. Biasanya, benda kaji ini benda yang tidak jelas. Yang jelas macam ISA ini, mansuh sahaja.
Berapa banyak kos akan dibazirkan jika buat kajian? Kalau Najib mahu buat perubahan, inilah masanya. Ketika inilah rakyat tunggu perubahan yang ingin dibawa Najib.

Berkaitan ISA ini, GMI akan menganjurkan satu himpunan besar-besaran yang dijangka penyertaan 100 000 peserta bagi membantah akta ini. Sejauh mana demonstrasi ini membantu untuk menghapuskan akta rimba ini?

Rakyat sebenarnya tidak suka berdemo. Tapi ini merupakan cara terakhir, kalau pemimpin tidak prihatin dengan kehendak rakyat. Jadi, apa pilihan yang ada? Itu yang rakyat turun ke jalan raya, sedangkan rakyat bukan suka sangat turun ke jalan. Kita sudah beri masa kepada kerajaan, sepatutnya masa ini mansuh terus akta itu.

Baru-baru ini, Kabinet memutuskan kanak-kanak mesti mengekalkan agama asal ketika ibu bapa berkahwin walaupun salah seorang daripada mereka menukar agama lain. Selain membelakangkan ahli agama, BN dikatakan mempunyai agenda tersendiri untuk menarik sokongan bukan Islam. Sejauhmana Dato' melihat isu ini?

Apabila melibatkan soal agama, Kabinet tidak boleh membuat keputusan tanpa merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan, dan majlis agama. Apabila menyentuh sahaja soal agama dia tidak boleh mengatasi bidang kuasa pihak tadi. Apabila buat keputusan bercanggah dengan syarak, Kabinet kena tanggung dosa tersebut dunia akhirat.
Bila timbul bantahan dari mufti, NGO, rakyat melihat kecelaruan tersebut. Ini akan merosakkan institusi kekluargaan. Kabinet perlu tarik balik, rujuk kembali majlis fatwa. Jika ada sekalipun agenda politik, jangan peralatkan agama. Bagi kita, kalau isunya jelas melanggar syarak, kalau guna juga ia akan 'back fire' kerajaan balik.

Umno Pahang dilanda krisis kebelakangan ini ekoran kecuaian melampau MBnya hingga disaman RM63juta, suatu yang boleh dielakkan. Apa yang Dato' nampak?

Isu ini isu lama, zaman MB terdahulu. Tapi asal isu ini melibatkan kepentingan Umno. PAS Pahang membuat laporan polis tentang mengapa MB boleh bagi tanah kepada Umno. Kemudian syarikat ini pada awalnya tuntut ganti kawasan lain, tapi kerana sikap degil Umno, akhirnya kerugian ini terpaksa ditanggung rakyat.
Dulu kena RM60 juta, sekarang sudah RM63 juta. Sekarang MB minta tangguh lagi dan akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kos lagi.
Bagi PAS, MB sepatutnya kena menghormati keputusan mahkamah, undang-undang. Juga membuat pembayaran yang diminta. Saya rasa, jalan terbaik, kegagalan ini perlu ditanggung MB. Kita cadangkan MB dikenakan potongan gaji sebagai pengajaran kepada dia. Walaupun ia dilakukan MB dahulu, tapi kenapa dia biarkan? Hakim sudah membuat keputusan, jangan tangguh-tangguh lagi.

Sejauh mana tindakan PAS Pahang mendesak MB untuk melepaskan jawatan akibat kecuaian melampau ini?

Apa yang penting, MB dan barisan Exco perlu bertanggungjawab. Kenapa mesti rakyat Pahang yang terpaksa tanggung dalam keadaan kritikal, dengan banyak projek negeri tidak boleh berjalan dengan baik. Kita akan teruskan desakan, dia mungkin tidak akan letak jawatan, tapi ini suara rakyat kalau dia mahu dengar suara rakyat.
Kita minta dia jelaskan hutang tersebut. Kalau tangguh, akan menambah kos dengan 'interest'nya. Jika Pakatan Rakyat menang di Pahang pun, Pakatan Rakyat terpaksa tanggung kos ini.
Dengan pelbagai konflik yang melanda Umno Pahang, namun PM baru ini dari Pahang. Di mana serba sedikit rakyat Pahang menaruh harapan tinggi kepada PM kerana berasal dari Pahang.

Apakah strategi PAS Pahang untuk meningkatkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?

Dari sudut perasaan rakyat Pahang terhadap Najib itu memang ada. Tidak boleh dinafikan, cuma rakyat perlu rasional. Perlu letak harapan kepada orang yang memang membina rakyat. Najib sudah menjadi MP berpuluh tahun, baru inilah nampak Pekan itu membangun sikit. Bukan soal kepimpinan Najib sahaja dipertikai, tapi kewibawaan parti itu dilihat secara keseluruhannya.
PAS Pahang baru siap membentangkan satu pelan induk. Kita ada jangka panjang bagi menghadapi PRU ke 13. Kita kukuhkan dengan pelan tindakan untuk menarik dokongan rakyat kepada kita.
Oktober nanti, kita akan adakan konvensyen bersama parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Saya lihat dalam gerak kerja yang kita turun sekarang ini perlu beberapa tumpuan.
Pertamanya, Felda. Kedua, kampung tradisional yang tidak menerima maklumat menyeluruh. Dan ketiganya kekuatan kita dalam menubuhkan Kelab Penyokong PAS di kawasan-kawasan tertentu termasuk di kalangan masyarakat orang asli.

Tadi, Dato' ada sebutkan tentang penumpuan di Felda-Felda. Mungkinkah ada strategi tertentu yang boleh dikongsi bagi menarik sokongan peneroka ini kepada Pakatan Rakyat dan adakah selama ini Dato' berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil parti dalam usaha tersebut?

Mengenai Felda ini memang kita perlu membuat kajian khusus, bagaimana nak meningkatkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat. Tugas PAS ialah menghapuskan tanggapan mereka bahawa seolah-olah mereka mendapat anugerah dengan penerimaan tanah oleh BN.
Sedangkan dalam masa yang sama ditekan dengan harga komoditi yang tidak menentu, terpaksa tangung kos pembajaan, yang dia sendiri tidak tahu betapa kosnya. Kita juga menubuhkan satu NGO yang dikenali sebagai Anak yang nampaknya berjaya menarik generasi kedua dan ketiga kepada Pakatan Rakyat.
Memang agak susah mahu menembusi tanah rancangan ini, tapi di Jengka, ada beberapa felda yang kita tidak pernah kalah. Sampai sekarang menang, waktu kalah teruk pun, ada peti undi yang kita menang. Jadi, bagi saya jika ada tumpuan di kawasan ini, sokongan golongan ini boleh berubah. Insya-Allah.

'Title' ulama sahaja tidak cukup dalam kita memimpin, elakkan dari dituduh lembab dan tidak pandai beroganisasi - Ustaz Nasruddin Tontawi


KEPIMPINAN Ulama mesti berkeupayaan menarik keyakinan rakyat dari pelbagai pihak, bukan hanya dari kalangan PAS semata-mata. Ia perlu segera menempatkan diri di tengah-tengah masyarakat. Apa lagi kejayaan lebih besar selain orang Cina dan India kini tidak lagi takut untuk bersama PAS malah mulai memahami aspirasi perjuangan Islam setelah lebih 50 tahun mereka dimomokkan oleh Umno dan BN bahawa PAS adalah bahaya, parti yang ekstrim, ganas dan pelampau agama. Itu antara pandangan yang diutarakan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan mengenai perjuangan 25 tahun kepimpinan ulama dalam PAS. Wartawan NYZA AYOB mencungkil pendapat spontan beliau.

Bagaimana Pemuda PAS melihat setelah 25 tahun kepimpinan Ulama dalam PAS?

NASHARUDDIN HASSAN: Gerak tindak pemerkasaan parti sememangnya menjadi agenda yang berterusan dan ia melibatkan kepimpinan ulama’ yang telah melalui pengalaman kepimpinannya sejak 25 tahun yang lalu. Meskipun kita tidak pernah berasa memadai dengan pencapaian, tetapi Alhamdulillah kepimpinan ulama dalam tempoh 25 tahun ini telah berjaya meletakkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam kontemporari yang mampu memberi saingan dan tamparan hebat kepada kerajaan nasionalis bahkan berjaya mengatasi penguasaan mereka serta disegani bukan sahaja dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa.
Pengalamannya ditimba oleh gerakan Islam antarabangsa. Kepimpinan ulama ini menjadi tonggak untuk PAS terus kekal bersama ketulenan manhaj perjuangannya membawa negara dan rakyat agar diredhai oleh Allah.

Setelah berjaya mengalihkan kepimpinan terdahulu (kepimpinan Dato' Mohd Asri Muda) banyak kejayaan telah dikuasai parti selain memerintah Kelantan, Terengganu, Perak dan Kedah. Apa yang boleh diperkatakan di sebalik kejayaan ini?

Alhamdulillah, kejayaan ini menjadi khibrah (pengalaman) dan ibtila’ (ujian) yang besar dan bermakna buat PAS. Ianya telah berjaya menafikan persepsi negatif yang menjadi khurafat sekian lama kononnya PAS tidak mampu memerintah dan mentadbir negara.
PAS juga telah berjaya keluar dari lingkaran imej 'parti pak lebai' dan 'parti kampungan' yang kononnya tidak mampu menyaingi tuntutan dan memenuhi keperluan zaman.
Kini PAS telah bersedia dengan segala upaya dan kemahiran yang dimiliki untuk diberi kepercayaan atau mandat oleh rakyat bagi memerintah dan mentadbir negara ini sebagai kerajaan alternatif.
Ya! kerajaan alternatif setelah rakyat sekian lama menderita di bawah kepimpinan parti perkauman dan tidak mesra kebajikan. Perkara kedua, suka saya tegaskan di sini bahawa kemenangan ini juga menjadi satu latihan praktikal kepada PAS untuk menghadapi suasana berbeza sebagai sebuah kerajaan yang memerintah bukan lagi pembangkang.
Tentunya berjuang dalam suasana menang dan senang sangat jauh beza dan cabarannya berbanding sewaktu kalah dan susah. Kita perlukan latihan praktikal ini untuk melahirkan kepimpinan yang bertaqwa dan berilmu, sederhana, amanah dan bijak memimpin serta benar–benar berkesan dalam melaksanakan tanggungjawab pemerintahan.

Pada pemerhatian ustaz, apakah kejayaan terbesar yang telah memecah landskap politik tanah air sepanjang 25 tahun kepimpinan Ulama?

Saya melihat Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS telah meresap jauh ke dalam hati nurani masyarakat. Betapa kini mereka memerlukan Islam untuk keluar daripada segala kemelut yang menimpa negara sama ada politik mahupun ekonomi.
Jika dulu sering kita dengar pemimpin negara menyebut bahawa 'politik suku agama suku', maka kini tiada siapa lagi berani berkata demikian kecuali mereka yang benar–benar jahil dan kufur. Ini adalah episod kejayaan yang ditempa oleh kepimpinan ulama yang menjadi teras kepimpinan PAS.
Malah kita berjaya mematahkan tongkat Umno dan BN yang selama ini membenarkan mereka tegak angkuh sekian lama. Tongkat yang saya maksudkan ialah MIC dan MCA. Kini masyarakat Tiong Hua dan India tidak lagi 'berkiblatkan' MCA dan MIC untuk terus mendokong BN tetapi rata–ratanya telah beralih menyatakan sokongan kepada KeADILan dan DAP sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat.
Sebahagiannya kepada PAS sendiri melalui Kelab Penyokong PAS yang kita tubuhkan di bawah Lajnah Perpaduan Nasional. Apa lagi yang lebih besar selain orang bukan Islam di kalangan bangsa Cina dan India kini tidak lagi takut dan bimbang untuk bersama PAS malah mulai memahami aspirasi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS setelah lebih 50 tahun mereka dimomokkan oleh Umno dan BN bahawa PAS adalah bahaya, parti yang ekstrim, ganas dan pelampau agama.
Apabila tongkat Umno dan BN ini patah, kini mereka mulai kenal tinggi rendahnya langit dari bumi setelah mereka dibelenggu perasaan angkuh dan bongkak di puncak kuasa sejak sekian lama.

Sokongan bukan Islam terhadap PAS sejak akhir-akhir ini begitu luar biasa hebat. Bagaimana peranan yang dimainkan ulama dengan perkembangan amat positif ini?

Keistimewaan ulama ialah ketakwaan, keikhlasan dan keilmuan mereka. Berasaskan tiga faktor ini ulama telah memimpin gerakan membawa risalah perjuangan dengan cukup meyakinkan.
Bermula dengan maklumat yang disebar secara gigih tanpa jemu melalui penulisan, kuliah, khutbah, ceramah, berhujah di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dan kini melalui blog, laman web atau Facebook, ulama juga tampil dengan syakhsiyah (peribadi) dan watak serta 'skil' kepimpinan yang cukup mempesona dan meyakinkan.

Ini bermakna rakyat melihat ulama sebagai 'role model' yang dapat menyelamatkan negara?

Ya! Setelah rakyat muak dengan rasuah, gelisah dengan penyelewengan kuasa dan benci dengan keruntuhan moral para pemimpin negara hari ini, para ulama kita dilihat sebagai 'role model' yang boleh menyelamatkan negara dari segala kerendahan aqal dan moral tersebut.
Sentuhan spiritual para ulama mengisi kekosongan jiwa rakyat sekalipun dari kalangan non muslim setelah mereka ditinggalkan lompang oleh kerajaan Umno dan BN tanpa pengisian insaniah yang berkesan.

Setakat ini bagaimana penerimaan Pemuda dan PAS khususnya tentang gerakan Kelab Penyokong PAS yang tumbuh bagai cendawan?

Melalui Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS Pusat, kita juga menubuhkan Kelab Penyokong Muda PAS dan ini menunjukkan kita sangat peka dan gembira dengan perkembangan ini. Ia menjadi cabaran baru kepada PAS dalam meluaskan 'coverage' risalah perjuangan yang diperjuangkan oleh parti sejak sekian lama.
Selama ini, orang PAS sering bercakap tentang PAS kepada orang PAS dalam markaz PAS, akhirnya risalah perjuangan ini tidak lepas–lepas! Perkembangan ini membawa PAS menemui semua orang terutamanya 'non muslim' untuk mengenali hati budi dan aqal budaya mereka.
Kemudiannya ia meletakkan PAS berjiwa besar untuk memimpin bukan sahaja di kalangan orang PAS tetapi juga rakyat pelbagai lapisan latar belakang agama, bahasa dan bangsa.

Dalam pilihan raya umum yang lepas, bukan Islam dibenarkan bertanding sebagai proksi PAS. Hingga kini sejauh mana orang bukan Islam boleh bertanding menggunakan tiket atau lambang PAS itu sendiri?

Pengalaman dan suasana semasa yang didepani oleh PAS akan banyak membantu PAS dalam membuat keputusan demi kepentingan perjuangan yang didokong selama mana ia tidak bercanggah dengan kehendak syarak.
Untuk meletakkan calon 'non muslim' bertanding menggunakan tiket PAS dalam keadaan tertentu seperti di kawasan majoriti 'non muslim', pada asasnya tidak bercanggah dengan prinsip perjuangan Islam yang didokong oleh PAS selama mana calon tersebut turut sama memberi komitmen untuk mendokong dasar perjuangan PAS.

Sejauh mana keputusan Majlis Syura memutuskan keahlian bersekutu, ahli bukan Islam dalam PAS?

Untuk soalan ini, saya rasa wajar dihubungi 'direct' pengerusi atau ahli Majlis Syura .

Berbalik kepada kepimpinan ulama, apakah ustaz berpuas hati dengan penyertaan ulama dalam hiraki kepimpinan PAS Pusat, Pemuda dan juga negeri-negeri?

Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, namun pada asasnya saya sangat berpuas hati. Malah kita mempunyai gandingan yang baik antara tiga unsur kepimpinan parti iaitu ulama, profesional dan aktivis.
Cuma saya kurang senang apabila cuba digambarkan oleh pihak–pihak tertentu kononnya berlaku krisis antara ulama dan profesional dalam parti. Sememangnya dua pihak yang berbeza disiplin pengajian dan kerjaya ini akan dilihat berbeza pendekatan dalam banyak keadaan namun parti mempunyai mekanisme tersendiri yang mengurus gaya dan cara kepimpinan secara kolektif.

Apa sikap Majlis Syura dalam hal ini?

Majlis Syura yang menjadi teraju parti akan terus meletakkan kepimpinan ulama sebagai tonggak kepimpinan kolektif ini. Saya juga mengharapkan ulama’ yang diberi ruang menyertai hiraki parti walau di mana posisi mereka benar–benar dapat berperanan bagi membukti kemampuan sebenar ulama’ dalam memimpin. Saya cukup tidak sedap hati kalau orang kata ulama lembab, tidak agresif, tidak peka, tidak pandai berorganisasi dan mengurus.
Apatah lagi, kalau apa yang disebutkan itu ada benarnya, maka para ulama mestilah memastikan mereka benar–benar mampu memikul amanah yang diberi. 'Title' sahaja tidak cukup dalam kita memimpin. Ulama mesti bekerja keras untuk memimpin dan mendokong cita–cita perjuangan agar ulama tidak menjadi bahan sendaan apalagi diperlekehkan.

Akhir sekali, apakah Pemuda berpuas hati dengan pencapaian 25 tahun kepimpinan ulama dan apakah harapan Pemuda terhadap kepimpinan PAS pada masa depan yang menanti 1001 cabaran?

Kepimpinan yang optimis, senantiasa meletakkan diri mereka tidak berpuas hati terhadap pencapaian sebelum kerana mereka terus akan membina pencapaian yang lebih baik dari masa ke semasa. Kita belajar dari kelemahan dan kekurangan semalam untuk kesempurnaan di hari esok.
Sebagaimana saya sebutkan tadi, masih banyak perkara yang perlu diperbaiki dalam kepimpinan ulama setelah kita melalui tempoh pengalaman 25 tahun kepimpinannya. Apa yang pasti, kepimpinan ulama mesti dipertahankan dan diperkasakan dari masa ke semasa.
Kepimpinan Ulama mesti berkeupayaan menarik keyakinan rakyat dari pelbagai pihak, bukan hanya dari kalangan PAS semata–mata. Ia perlu segera menempatkan diri di tengah–tengah masyarakat terutama saat mereka diperlukan untuk membimbing dan memimpin masyarakat.
Kepimpinan yang bersedia untuk memerintah dan mentadbir negara atau negeri, bukan lagi hanya memimpin organisasi, tetapi juga kepimpinan yang mampu merungkai kebuntuan negara dan rakyat dalam berhadapan dengan pelbagai polemik kehidupan pada zaman moden ini.
Justeru itu, kepimpinan ulama masa depan yang kita perlukan ialah kepimpinan yang mampu dan berani berijtihad, tangkas menangani isu, cepat bertindak dan menjadi kepimpinan yang memimpin bukan kepimpinan yang dipimpin.

PAS Batu ucap takziah kepada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak

PAS Kawasan Batu merakamkan ucapan takziah kepada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak dan seisi keluarga atas kembalinya kerahmatullah wanita pertama negeri itu, Datuk Amar Puan Sri Dr. Laila Taib kira-kira jam 3.45 petang pada Rabu, 29 April 2009.

Menurut Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Tarmizi Mohd Jam, kepimpinan PAS Batu amat berdukacita atas pemergian beliau. Tarmizi mewakili seluruh kepimpinan PAS Kawasan Batu menyampaikan ucap takziah kepada keluarga Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, petang semalam.

Laila Taib telah menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman rasminya di Demak Jaya Kuching, Sarawak. Beliau berumur 68 telah meninggalkan empat orang anak kesayangannya Jamilah, Mahmud, Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah; termasuk 15 orang cucu.

Laila adalah ibu kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abd. Taib telah dipertemukan jodohnya bersama Abdul Taib Mahmud pada 13 Januari 1959, di Adelaide, Australia. Pada masa itu Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sedang mengikuti pengajian undang-undang di negara tersebut. Nama remaja Laila Taib pada masa itu ialah Lejla Chalecki.

Tarmizi mengucapkan takziah kepada YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sekeluarga di atas pemergian Almarhumah isteri kesayangannya itu. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya... Al-Fatihah!