KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 07, 2009

DUN Perak kecoh, BN-PR bertegang, ramai yang ditangkap polis!





PERSIDANGAN DUN Perak yang dinanti-nantikan - menentukan hidup mati pentadbiran menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan kestabilan kerajaan pencabarnya Datuk Zambry Abd Kadir - bermula seawal menjelang subuh hari ini apabila sekumpulan penyokong PAS mengadakan solat hajat di Manjoi, beberapa kilometer dari pusat bandar Ipoh.

Berikut perkembangan terkini di Perak:

10.35am: Kedua-dua kumpulan wakil rakyat BN dan Pakatan terus bertegang. Speaker terus mengulangi bahawa usul yang dibawa Zambry untuk menggantikan beliau terbatal dan tidak sah, sementara menteri besar BN itu tetap bertegas Speaker itu telah diganti.

Speaker mengarahkan pengawal keselamatan dewan menghalau keluar tujuh wakil rakyat BN, termasuk Zambry, dan tiga bebas. Pengawal bagaimanapun enggan berbuat demikian.

10.20am: Suasana kecoh di dalam dewan apabila kedua-dua kumpulan wakil rakyat BN dan Pakatan Rakyat masing-masing bangun untuk campur tangan keputusan Speaker, V Sivakumar. Sekumpulan ADUN Pakatan menghalang setiausaha dewan Abdullah Antung - yang juga digantung tugasnya - duduk di depan Speaker untuk memulakan persidangan.

Mereka menggesa Abdullah agar tidak campur tangan dengan alasan beliau hanya seorang kakitangan kerajaan. Tindakan itu mendorong wakil-wakil rakyat BN bangun dan turut berhujah. Kedua-dua pihak saling bertengkar dan menjerit-jerit. Suasana dewan menjadi tidak tentu hala. Bagaimanapun tiada pergaduhan fizikal berlaku.

Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir cuba berkata sesuatu tetapi Speaker menjawab bahawa beliau enggan mendengarnya. ADUN-ADUN Pakatan juga cuba menghalang Zambry bercakap. Menteri Besar BN cuba membawa usul menggantikan Speaker tetapi ditolak.

10.19am: Dua ahli parlimen Pakatan Rakyat ditahan polis berdekatan DUN Perak kerana memasuki kawasan larangan polis 500 meter dari bangunan tersebut. Wakil rakyat PAS bagi Parit Buntar, Mujahid Yusof Rawa dan wakil PSM bagi Sungai Siput, D Jeyakumar antara ADUN dan ahli parlimen pembangkang yang telah ditahan.

9.55am: Speaker DUN V Sivakumar mengarahkan Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir dan enam exconya - yang digantung oleh jawatankuasa khas dewan tersebut - keluar. Beliau enggan memulakan persidangan jika ketujuh-tujuh itu enggan mematuhi arahannya. Wakil-wakil Pakatan Rakyat menepuk meja sebagai tanda sokongan.

Tindakan tersebut bermakna Speaker - yang mempunyai kuasa tersendiri dalam cabang legislatif - tidak mengiktiraf keputusan mahkamah yang telah membatalkan penggantungan yang dibuat oleh DUN. Sivakumar, yang mengetuai jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Perak, juga mengarahkan tiga ADUN bebas meninggalkan dewan.

Ketiga-tiganya dianggap telah meletakkan jawatan awal Februari lalu, sebelum rampasan kuasa BN. Wakil-wakil Pakatan Rakyat menepuk meja dan menjerit "keluar" ke arah 10 ADUN tersebut, tetapi mereka masih berdegil. ADUN Pakatan dan BN masing-masing menjerit ke arah satu sama lain. Speaker DUN terus mengarahkan 10 ADUN itu meninggalkan dewan. Kedua-dua pihak BN dan Pakatan masih saling jerit-menjerit ke arah satu sama lain.

9.45am: Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub, yang juga ahli parlimen Kubang Kerian, ditahan polis di belakang bangunan utama pentadbiran Perak - yang menempatkan DUN.

9.30am: Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah tiba untuk memeriksa perbarisan di luar dewan DUN. Kedatangan baginda disambut dengan rasa hormat semua ADUN Pakatan Rakyat, mereka semua berdiri, tidak seperti sikap mereka terhadap Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir yang tidak menerima penghormatan itu.

9.24am: Menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir tiba untuk memeriksa perbarisan di luar dewan DUN sebelum pembukaan rasmi sidang. Beliau berjabat tangan dengan Speaker DUN V Sivakumar, juga seorang ADUN DAP bagi Tronoh.

9.23am: Bilangan anggota polis yang kebanyakan berpakaian biasa - dalam vest kuning bertulisan "polis" - semakin ramai di bangunan Umno. Suasana tenang, helikopter kelihatan mengawal dari udara.

9.00am: Ahli parlimen PKR-Ampang, Zuraida Kamaruddin [foto, serba hitam] dan ADUN Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong - yang ditahan - dibawa di dalam trak polis. Mereka menjerit "1Black Malaysia", "Bubar DUN" dan "Reformasi."

8.50am: Sekurang-kurangnya 11 orang ditahan polis, termasuk ahli parlimen PKR-Ampang, Zuraida Kamaruddin, ADUN Teratai (Selangor) Janice Lee [foto, tersenyum] dan ADUN Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong.

8.40am: Semua lebih kurang berada di perkarangan lobi bangunan Umno Perak, beberapa kilometer dari bangunan DUN. Sepanduk yang direntang berbunyi, antaranya, "kami anti penderhaka, pertahankan hak rakyat, biarkan DUN bersidang dengan aman." Mereka juga melaungkan "daulat tuanku."

8.35am: Mohamad Nizar dan semua ADUN Pakatan masuk ke Bangunan Perak Darul Ridzuan. Semua pengawal peribadi mereka disekat masuk di pintu utama. Pemandu dibenarkan masuk.

8.30am: Semua ADUN Barisan Nasional tiba di Bangunan Perak Darul Ridzuan dalam sebuah bas. Mereka disambut oleh sekumpulan penunjuk perasaan yang berpakaian hitam di luar bangunan tersebut - yang menempatkan DUN Perak. Tiga orang ditahan polis, termasuk ADUN Ayer Keroh (Melaka) Khoo Poay Tiong.

7.55am: Kira-kira 100 penyokong BN berkumpul di bangunan Umno, beberapa kilometer dari bangunan DUN Perak.

7.45am: Kawalan keselamatan ketat di Bangunan Perak Darul Ridzuan - yang menempatkan DUN Perak - bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada hari pertama persidangan yang akan dibuka secara rasmi oleh Raja Muda Perak.

Selasa, Mei 05, 2009

Jika arah tuju PAS tidak terang, Ustaz Nasruddin Hassan saran Husam tanding jawatan Presiden PAS!



KOMENTAR Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan (Tontawi) tentang minat Dato' Paduka Husam Musa untuk merebut jawatan Timbalan Presiden baru-baru ini cukup menarik. Katanya, Dato' Paduka Husam bin Musa Naib Presiden PAS telah menegaskan bahawa beliau bersedia untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS menjelang pemilihan di muktamar kelak. Ikuti pendapat beliau di bawah yang dikutip dari blognya:

Saya mengikuti beberapa alasan yang dikemukakan oleh beliau bagi mewajarkan tindakannya mencabar penyandang Timbalan Presiden PAS hari ini. Alasan beliau terhenti diatas tiga faktor:

1. Meneliti harapan dari PAS kawasan yang mencalonkan beliau
2. Menimbang faktor arah tuju parti
3. Memperkukuhkan pencapaian PAS dalam PRU ke 13


Saya tertarik kepada alasan ke dua yang dikemukakan dan ia berkait dengan hala tuju PAS . Dato' Husam menyatakan: "Saya harus mempertimbangkan faktor arah tuju parti, iaitu arah tuju PAS sendiri. Adakah PAS memerlukan satu sumbangan saya untuk pengukuhan arah tujunya.

"Jika arah tuju PAS sudah jelas dan nyata saya tidak fikir perlu di ganggu. Tetapi sekiranya ahli-ahli parti merasakan satu pengarahan masa depan parti yang lebih terang dan tidak ada satu keraguan terhadap parti, mungkin saya akan pertimbangkan penyertaan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden, insya Allah. "

Meneliti kenyataan Dato' Paduka Husam Musa, dapat difahami dengan jelas bahawa beliau kini merasakan arah tuju PAS tidak terang atau tidak jelas malah meragukan, lantaran itu beliau kini bersedia untuk bertanding ke jawatan Timbalan Presiden PAS bagi memastikan selepas ini arah tuju PAS lebih terang dan tidak ada keraguan terhadap parti.

Andai arah tuju PAS telah jelas dan nyata, nescaya beliau tidak akan mengganggu malah tidak akan berfikir untuk mengganggunya.

Jika benar Dato' Paduka Husam Musa merasakan arah tuju parti tidak jelas dan nyata, sehingga mendorong beliau bertanding ke jawatan Timbalan Presiden di musim pemilihan parti akan datang, saya merasakan tindakan Dato' Paduka salah dan tidak tepat.

Saya tidak ragu terhadap telahan Dato' Paduka kerana sebelum ini saya sangat mengenali beliau sebagai seorang yang objektif dan strategis. Tentunya telahan beliau bahawa arah tuju parti tidak terang dan meragukan itu ada benarnya.

Tetapi saya tidak bersetuju beliau bertanding ke jawatan Timbalan Presiden. Kerana jawatan Timbalan Presiden tidak akan banyak membantu beliau untuk membetulkan kembali arah tuju parti yang kini telah kabur dan pudar malah meragukan ahli parti.

Jawatan yang sepatutnya ditandingi oleh seorang yang hebat dan berwibawa seperti Dato' Paduka Husam Musa ialah jawatan Presiden PAS itu sendiri. Kekuatan untuk merubah arah tuju dan memastikan ianya terang lagi jelas tanpa sedikitpun keraguan dikalangan anggota parti mestilah bermula dari kerusi Presiden parti.

Tambahan pula, hari ini pelbagai pihak menimbulkan keraguan terhadap Al Fadhil Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai Presiden parti dan menganggap idea-idea pelik yang di bawa oleh Tok Guru Presiden seperti muzakarah dan unity government , sangat meragukan ahli parti.

Barangkali inilah juga asas kenapa Dato' Paduka Husam Musa menganggap arah tuju parti kini mengelirukan dan memaksa beliau bertanding ke jawatan Timbalan Presiden. Sekali lagi saya tegaskan di sini bahawa jawatan yang layak dan paling sesuai untuk misi dan visi Dato Paduka Husam Musa ialah Presiden bukan Timbalan Presiden .

Kawasan-kawasan yang masih belum selesai bermesyuarat agung atau belum menyerahkan kertas pencalonan kepimpinan parti boleh turut sama memikirkan kewajaran ini dan saya sarankan agar ada kawasan mencalonkan Dato' Paduka Husam Musa sebagai Presiden PAS dan saya sangat berharap agar Dato' Paduka tidaklah pula selepas ini menarik diri daripada pencalonan yang diberikan oleh kawasan kerana itu juga sebahagian dari harapan PAS kawasan dan ia menepati faktor pertama yang mendorong Dato' Paduka bertanding ke jawatan tertinggi parti.

Harapan saya selepas ini, PAS akan kembali mempunyai arah tuju yang terang lagi nyata dan tidak meragukan ahli parti setelah Presiden PAS sekarang banyak menimbulkan keraguan kepada ahli parti.

Atas alasan serupa demi masa depan parti sekali lagi saya nyatakan sokongan saya agar Dato' Paduka Husam Musa diberi peluang untuk merebut jawatan Presiden parti. Justeru itu PAS kawasan mestilah mencalonkan beliau dan saya merayu sungguh - sungguh agar beliau benar - benar diberi peluang demi masa depan parti.

Dato' Seri Tuan Guru Presiden juga telah berulang kali menyebut bahawa beliau bersedia dicabar jika perwakilan merasa kepimpinan beliau tidak lagi berkesan malah meragukan, pula menyebabkan arah tuju parti menjadi tidak terang dan tidak nyata.

Bila Khalid Samad membelasah Nik Abduh tentang "Kerja-Kerja Bodoh Dalam PAS"


KHALID ABDUL SAMAD antara pemimpin PAS yang keras dalam membicarakan isu-isu dalaman parti. Pandangannya kritis, tajam dan berani. Agak sesuai dengan era kini dan beliau antara pemimpin PAS yang melontarkan sanggahannya terhadap tulisan Ustaz Nik Abduh baru-baru ini. Biarpun sudah berlanjutan, namun meneliti idea dan pendapatnya dalam isu ini cukup menarik dan patut juga diperhalusi:

Saya diminta memberikan pendapat oleh beberapa orang berhubung tuduhan serius yang dilemparkan oleh anakanda Nik Abduh dalam blognya. Saya jarang mengunjung blog beliau dan oleh itu tertanya-tanya apakah tuduhan serius ini? Hari ini, diberikan kesempatan dan ruang masa oleh Allah, maka saya membaca postingnya yang bertajuk ‘kerja-kerja bodoh dalam pas’. Setelah selesai membacanya, saya memahami mengapa ada yang meminta saya mengulas.

Walaupun saya bukan ulama’ dan tidak pernah mengaku diri saya seorang ulama’ namun oleh kerana tulisannya menyentuh parti yang telah saya habiskan lebih separuh dari hidup saya di dalamnya, saya rasa saya berhak untuk memberi komen. Walaupun saya ini mungkinlah dianggap olehnya sebagai di antara ‘mi celup’ tersebut.

Untuk memudahkan semua, khususnya untuk mereka yang mi celup seperti saya, pendapat saya akan dikemukakan dalam bentuk point seperti di bawah.

1. Tuduhan Yang Dibuat

Saya sebenarnya terkejut dengan tuduhan yang dibuat. Pembantu-pembantu TGNA melagakan TGNA dengan TGHH? Kalau betul, kenapa tidak Nik Abduh beritahu perkara ini kepada ayahandanya sahaja? Apa? TGNA tak akan percaya? Hmmm... Kalau TGNA tak percaya, kenapa pula kita nak percaya?
Semestinya TGNA lebih tahu samada tuduhan itu tepat atau sebaliknya. Apakah TGNA tak mampu memahami hujjah-hujjah yang dikemukakan yang begitu lantang mendoakan pembantu-pembantunya dibalas Allah atas kejahatan mereka? Samada TGNA tak mampu memahami atau ada hujjah disebaliknya yang tidak mampu Nik Abduh sendiri memahami? Saya rasa yang kedua adalah lebih tepat.
Kalau nak menuduh pun, bukan ini caranya. Takkan tuduh secara borong! Adakah semua pembantu-pembantu TGNAA yang jahat? Saya rasa kalau ditanya, ramai, mungkin separuh dari rakyat Kelantan, akan mengakui mereka pembantunya! Yang dimaksudkan sebagai pembantu ini pula pembantu yang macam mana? Yang pegawai kerajaan ke, yang pegawai parti ke, yang pemimpin parti ke? Yang kawan rapat ke? Dato’ Husam ke? Anual Bakri ke? Nik Amar ke? Yang mana satu? Atau kesemua mereka?
Tuduhan semberono macam ini bagi saya tidak bertanggung jawab dan mengundang fitnah. Hasil dari tuduhan ini akan wujud suasana syak wasangka dan saling tuduh menuduh di antara pembantu-pembantu yang entah mana satu. Itu kalau orang tak matang. Tetapi saya harap ahli PAS yang telah matang akan mampu melihat tuduhan ini sebagai tuduhan kosong yang tidak layak diberikan layanan. Tiada bukti yang dikemukakan kecuali andaian.
Sepatutnya, kalau nak tuduh, sebut siapa dan kemukakan bukti. Kalau belum ada bukti, usahakan cari. Sabar, bila ada bukti barulah kemukakan. Jangan buat kenyataan yang kurang matang yang mengundang fitnah.
Sebenarnya saya sendiri khuatir Nik Abduh yang diperalatkan untuk melaga-lagakan pemimpin-pemimpin dalam PAS, khususnya yang di negeri Kelantan. Cuba lihat kenyataannya, “Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH”.
Nik Abduh diberitahu. Bukan dia dengar sendiri. ‘Sumber’ yang dia rasa boleh dipercayai tidak semestinya orang yang boleh dipercayai. Kalau nak bandingkan TGNA dan Nik Abduh, sudah jelas siapa yang lebih berpengalaman dengan tipu-helah manusia.
TGNA lebih mampu memilih orang kepercayaan yang boleh dipercayai berbanding Nik Abduh. Adakah kita diminta menolak orang kepercayaan TGNA supaya berpegang kepada orang kepercayaan Nik Abduh? Saya rasa bukan orang kepercayaan TGNA yang memperalatkan TGNA tetapi orang kepercayaan Nik Abduh yang memperalatkan Nik Abduh. Itu saya rasa jauh lebih mudah untuk dilakukan.
Lagipun, tengok sahaja kepada maklumat yang diberikan kepada Nik Abduh. “Menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH”. Ini memang maklumat batu api. Saya rasa anakanda Nik Abduh kena matang sikit bila menerima maklumat supaya tidak mudah di permainkan orang.

2. Perbezaan Pendapat Satu Rahmat

Bagi saya memang ada perbezaan pendapat dalam soal hubungan kita dan BN di antara TGNA dan TGHH. Perbezaan pendapat ini perkara biasa dan tidak merupakan satu masalah. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan ulama’ seperti TGNA dan TGHH kerana mereka memahami dan menghayati ‘adabul ikhtilaf’. Itulah sebabnya walaupun berbeza pendapat, TGNA memuji kemampuan dan kebolehan TGHH berhujjah dalam Parlimen. TGNA bukan macam kita. Bila tak setuju atas satu perkara, maka semuanya tak betul.
Begitu juga, oleh kerana adabul ikhtilaf ini, TGNA tidak membuat tuduhan liar bahawa TGHH diperalatkan pembantunya atau memperlekehkan peribadi pembantu-pembantu ini. Seperti TGNA, saya rasa TGHH juga ada para pegikutnya ke serata tempat. TGNA memahami perbezaan pendapat ini atas persoalan yang dibenarkan adanya perbezaan pendapat.
Kenyataan Nik Abduh bahawa “ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya” adalah tidak tepat. TGNA tak pernah menerima ‘muzakarah’ dan itulah sebabnya mengapa akhirnya istilah yang diguna ditukar kepada ‘muqabalah’. Ulama’ mi celup pun faham beza muzakarah dan muqabalah, tak kan yang ‘ulama’ mi goreng’ tak faham? (Yang mi goreng ini lama sikit berada dalam kuali).
Begitu juga penggunaan istilah-istilah menghina sahabat-sahabat seperjuangan. Jangan oleh kerana perbezaan pendapat kita mula menghina dan mencaci sahabat-sahabat kita sendiri. Saya harap budaya ini ditamatkan dan sebagai pemimpin pemuda peringkat nasional, Nik Abduh patut menunjukkan contoh yang baik. Biar kita berhujjah tetapi hayati adabul ikhtilaf seperti sepatutnya, seperti yang dilakukan ayahanda. Istilah-istilah seperti ‘pejuang nafsu’, ‘ulama’ mi celup’ dan sebagainya amat tidak sesuai digunakan. Ia menghina orang lain dan menzahirkan satu sikap yang terlalu angkuh.

3. Musyarrakah Fil Hukumah

Saya rasa soal keperluan seseorang Muslim dan lebih-lebih lagi sebuah gerakan Islam untuk melibatkan diri dalam sebuah kerajaan bukan Islam atas syarat-syarat seperti yang disebut oleh Nik Abduh tidak menjadi pertikaian. Itulah mengapa soal Tahalluf Siyaasi diamalkan sehingga membawa kepada musyarrakah fil hukumah atau pengongsian dalam pemerintahan.
Bila saya membaca hujjah yang disebut, khususnya kes Nabi Yusuf AlaihisSalaam, teringat saya akan episod tahun 80an apabila hujjah ini digunakan oleh Anwar Ibrahim semasa beliau, bersama beberapa ahli ABIM, masuk UMNO. Pada masa itu orang PAS marah kerana terasa dikhianati kerana selama ini, sebelum itu, Anwar dilihat bersama PAS walaupun menyokong melalui ABIM. Sepatutnya, PAS yang pernah terasa dikhianati memahami betapa marahnya perasaan orang yang dikhianati.
Atas kefahaman yang sama, bahawa pengongsian kuasa ini boleh dilakukan, atas syarat-syarat tertentu, PAS menyertai BN pada tahun awal 70an. Dalam kedua-dua peristiwa ada untung dan ada ruginya. Ramai berpendapat, tetapi mungkin belum mencapai tahap ijma’, lebih rugi dari untung.
Dalam perkara ini, jelas bahawa hukumnya bergantung kepada samada ianya menguntungkan atau merugikan perjuangan Islam. Oleh itu syarat-syarat perlu ditentukan dan perkiraan untung rugi diambil berat. Dalam soal untung rugi ini, semestinya akan ada perbezaan pendapat kerana ianya berhubung bacaan seseorang terhadap suasana politik dan tindakan yang paling berkesan untuk memanfaatkan suasana tersebut demi perjuangan Islam. Bagi sesetengah pihak jawatan menentukan secara muktamad untung-rugi sesuatu tindakan. Bagi sesetengah yang lain, bukan jawatan tetapi kesedaran dan sokongan rakyat. Saya akan kupas persoalan ini secara lebih terperinci kemudian di bawah ini.

4. Soal Kerajaan BN Dan Kerajaan PR

Nik Abduh menyebut “Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam.” Betul dan saya cukup bersetuju dengan kenyataan ini. Ini kembali kepada kefahaman kita berhubung persoalan ‘Musyarrakah fil hukumah’, kita berkongsi kuasa dan oleh itu tidak boleh menganggap kita berkuasa seorang diri maka semuanya mesti ikut kehendak kita. Namun beradanya kita sebagai rakan kongsi mesti menguntungkan perjuangan yang dibawa kita.
Yang saya tidak setuju ialah bagaimana beliau meletakkan BN dan PR itu sebagai sama sahaja. Mungkin dia lupa bahawa kita bersama PR dan atas kebersamaan kita, telah kita mendapat sokongan dan undi dari masyarakat yang sebahagiannya belum lagi menyokong perjuangan PAS. Untuk meletakkan BN dan PR pada taraf yang sama dalam perkiraan kita merupakan satu penafian hakikat suasana politik yang kita wujudkan bersama. Atau beliau baru bangun tidur dan tidak sedar semua yang berlaku sebelum dan selepas PRU ke-12?
Bagaimana kita boleh menilai secara tepat soal untung rugi sesuatu tindakan kalau kita tidak mampu meletakkan konteks penilaian kita dengan betul dan tepat? Kita bersama PR dan atas nama PR, kita memerintah beberapa negeri. Ya, saya tahu. PR hanya wujud selepas PRU ke-12 tetapi itu tidak menafikan kerjasama BA (iaitu PAS dan PKR) bersama DAP dalam menghadapi PRU ke-12. Undi masyarakat Cina dan penyokong DAP untuk kita dan undi kita untuk mereka dalam menentang BN? Begitu juga masyarakat India dan lain-lain. Kebencian rakyat terhadap BN yang memungkinan pengundian sebegini berlaku! Dan apakah setelah kita mencapai kemenangan, melalui sokongan ini, kita berpaling dan mengatakan BN dan PR sama sahaja?
BN dan PR tak sama. Kita ada pakatan dan perjanjian bersama PR dan kita tidak akan khianati mereka selagi mereka tidak khianati kita. Sila rujuk ayat 91 hingga 95 Surah An-Nahl dan jelaskan kepada semua Maqasidnya serta Asbabun Nuzulnya. Saya bukanlah ulama’ maka harap yang merasa dirinya ulama’ (yang bukan jenis mi celup) sila jelaskan.

5. Untung Rugi Perjuangan

Soal apa yang menguntungkan dan apa yang merugikan perjuangan memang penting. Tetapi yang mesti untung adalah perjuangan, bukan diri kita sendiri atau indvidu-individu tertentu.
Persoalannya apakah yang menguntungkan dan apa pula yang merugikan? Ada yang menganggap jawatan adalah ukuran muktamad. Kita mesti memegang jawatan Menteri ini dan Menteri itu. Siapa yang menawarkan jawatan-jawatan ini maka kita akan bersamanya! Kita mesti terima dan dengan itu perjuangan kita akan untung. Adakah ini benar?
Yang pasti individu yang menjawat jawatan itu yang untung. Itupun di dunia, diakhirat tak tentu lagi. Dari sudut perjuangan, tidak semestinya. Perjuangan PAS bukan perjuangan untuk jawatan. Perjuangan PAS adalah perjuangan untuk mendidik rakyat berhubung ugama Allah dan bagaimana melalui Islam ini, manusia akan selamat dunia dan akhirat.
Itulah sebabnya bila nak menentukan tindakan mana menguntungkan dan tindakan mana merugikan, kita mesti memahami waqi’ persekitaran kita. Hakikat bahawa kita naik bersama PR mesti diambil kira. Ia sebahagian dari waqi’ ini. Tindakan kita mengkhianati amanat rakyat yang mengundi kita akan merugikan perjuangan kita.
Walaupun kita diberi jawatan-jawatan yang dipohon. Kerana kita akan dilihat sebagai wanita jalang yang menerima tawaran tertinggi untuk khidmatnya. Rakyat akan memarahi kita. Sepertimana kita marah Anwar dulu yang hingga kini ada yang masih belum mahu memaafkan beliau.
Dan mereka tidak akan percaya lagi pada kita dan menjelang PRU ke 13, kita akan kecundang walaupun kita memegang jawatan-jawatan Menteri sebelum dari itu. Yang paling tidak boleh diterima, Islam akan dilihat sebagai perjuangan yang tidak berprinsip. Adakah kita sanggup melakukan sebegitu? Jatuh taraf perjuangan PAS sehingga menjadi setaraf perjuangan Othman Jailu mengikut pandangan rakyat?

6. Soal Kerajaan Perpaduan Atau Unity Government

Nik Abduh menulis, “Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”
Ya, secara selamba jawapan TGNA. Mungkin kerana dia tahu bahawa jawatan yang disebut tidak akan ditawarkan oleh BN. Sepertimana juga penjelasan TGHH, syarat yang pertama untuk konsep ini berjaya adalah keikhlasan - sepertimana yang telah saya huraikan di dalam Persoalan Kerajaan Perpaduan. Kita semua menyedari bahawa syarat ini tidak dipenuhi BN. Cuba lihat, tawaran yang dibuat tidak langsung dihiraukan.

Akhirnya kita tarik balik. Kita ikhlas dan khuathir masalah meruncingnya keadaan politik tanah air. Tetapi BN tidak. Yang meruncingkan keadaan adalah mereka dan memang mereka inginkan ianya meruncing supaya kita akan ketakutan dan hentikan usaha kita untuk menjatuhkan mereka. Supaya kita menjemput BN berdamai dan bersatu, sehingga berlaku perbalahan sesama kita. Akhirnya berkatalah orang, ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’!

Apa yang kita nak gaduh? Tawaran itu tiada yang menerimanya. Kita buat tawaran, orang buat tak tahu lepas itu kita gaduh sesama kita. Kelakar dan pelik bukan? Gaduh sehingga berlaku tuduh menuduh, cakap macam kita tahu apa yang ada di dalam hati manusia.

Lupakan sahajalah persoalan Unity Government ini. TGHH sudah pun tarik balik. Hayatilah keputusan Muktamar tahun lepas di Ipoh dan perkukuhkan PR. - http://www.khalidsamad.com

Tidak adil "Kerajaan Perpaduan" disimpulkan dengan simplistik sebagai sertai BN - Hariz Zalkapli



IDEA Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan telah menerima pelbagai reaksi dari ahli-ahli parti dan sekutu dalam Pakatan Rakyat, yang sebahagian besarnya negatif, dengan mengaitkan usaha itu sebagai berbaik-baik dengan Umno dan menyertai Barisan Nasional, tulis Haris Zalkapli pada blognya.

Debat isu ini menjadi sukar untuk dinilai dengan jelas dan rasional disebabkan sentimen dan emosi politik yang mendominasi perbincangan – dan halangan untuk berbincang – mengenai isu kerajaan perpaduan ini.

Cadangan kerajaan perpaduan Abdul Hadi itu sewajarnya diberi penilaian yang rasional oleh semua pihak untuk kepentingan semua rakyat Malaysia yang hampir separuh daripadanya tidak memberikan undi kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu.

Kerajaan perpaduan didakwa akan memberikan talian hayat kepada Umno, memberikan kekuatan semula kepada Umno pada masa ia hampir musnah dan paling buruk, usaha ke arah itu dilihat sebagai cubaan untuk menyertai Umno atau Barisan Nasional.

Sebenarnya, kerajaan perpaduan, menurut perlaksanaan yang mengambil kira kekuatan parti-parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Rakyat, akan memaksa Umno untuk berkongsi kuasanya dengan parti-parti pembangkang.

Ini selari dengan peningkatan undi dan perwakilan parti-parti pembangkang di parlimen dan dewan-dewan undangan negeri. Amat tidak wajar peningkatan kuasa pembangkang tidak dicerminkan oleh perwakilannya dalam hal ehwal pentadbiran negara, sama seperti tidak wajar kemerosotan undi Umno dan BN tidak dapat dilihat terjemahannya dalam pembahagian kuasa di peringkat pusat dan negeri.

Pembahagian kuasa melalui kerajaan perpaduan mampu menyelesaikan kelumpuhan seperti yang disaksikan di Perak, dengan pihak yang memegang kuasa dengan pembangkang mempunyai pembahagian kerusi yang hampir sama, dan kedua-dua pihak tidak boleh mendakwa mereka mendapat sokongan rakyat, kerana jumlah yang besar rakyat menolak mereka.

Perbezaan yang tipis ini berpotensi menyukarkan mana-mana pihak untuk mentadbir dan melaksanakan dasar-dasar ekoran tentangan yang agak kuat.

Kerajaan perpaduan hakikatnya ialah pilihan yang bermoral berbanding menubuhkan kerajaan hasil pertukaran ahli-ahli parlimen ke parti lain melalui lompat parti. Dengan melompat parti, wakil-wakil rakyat terbabit meninggalkan pendiriannya sebelum itu, yang menjadi antara sebab utama mereka dipilih, dan menyokong pula pendirian yang bertentangan. Hal ini sangat tidak adil kepada konstituensi beliau, dan akan mengundang krisis lain yang mungkin berpanjangan.

Sebagai contoh, seorang ahli parlimen dipilih berdasarkan platform konservatif beliau oleh pengundi-pengundi yang menyokong pendirian konservatif itu. Setelah melompat ke parti yang berpendirian liberal dan menyokong dasar parti itu, apakah ertinya proses pengundian yang dilaksanakan sebelum itu? Hal ini satu penghinaan kepada suara pengundi yang menyokongnya dalam pilihan raya.

Melalui kerajaan perpaduan, parti-parti terbabit masih boleh bergerak berdasarkan platform masing-masing. Pengundi-pengundi juga boleh menuntut dasar-dasar yang mereka sokong sebahagiannya dilaksanakan oleh kerajaan.

Tidak adil sekiranya usaha-usaha berunding untuk menubuhkan kerajaan perpaduan disimpulkan dengan simplistik sebagai usaha menyertai Umno dan BN. Konsensus sesetengah media yang membahagikan kumpulan yang menyokong kerajaan perpaduan sebagai “promuzakarah” dan kumpulan yang menentang sebagai “pro-Pakatan” amat menyeleweng dari makna sebenar.

Label itu memberikan implikasi mereka yang meenyokong muzakarah dan kerajaan perpaduan sebagai anti-Pakatan. Mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dan muzakarah dengan Umno tidak boleh disimpulkan sebagai anti-Pakatan.

Hakikat bahawa rundingan perlu diadakan dengan Umno untuk mencapai kerajaan perpaduan tidak boleh dielakkan, kerana Umno ialah pihak yang memegang kuasa terbesar dalam kerajaan persekutuan.

Usaha menolak terus Umno sangat tidak realistik dalam realiti politik Malaysia hari ini. Apa pun yang diharapkan akan berlaku ke atas Umno, parti ini mempunyai satu kekuatan yang terbina akibat asas binaannya, daripada rakyat dan ahli-ahli akar umbi dan kepentingan-kepentingan perniagaan yang mendapat manfaat daripadanya dan mempunyai kepentingan untuk memastikannya terus kuat.

Di mana-mana pun di seluruh dunia, rundingan melibatkan entiti politik terbesar dan terkuat dalam sesebuah masyarakat tidak boleh dielakkan untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu, termasuk kerajaan perpaduan. Tindakan mengabaikan dan menolak terus satu kumpulan yang mewakili satu etnik atau kumpulan masyarakat yang dominan tidak akan dapat mencapai apa-apa.

Di Palestin, Israel dan Lubnan, kerajaan perpaduan nasional terpaksa diusahakan untuk memberikan bahagian yang sewajarnya kepada setiap kumpulan yang diwakili oleh parti-parti yang mendapat undi yang signifikan. Tidak ada satu kumpulan yang mendapat undi yang cukup besar untuk menubuhkan kerajaan.

Sudah tiba masanya di Malaysia, idea kerajaan perpaduan ini dibincangkan dengan serius demi kepentingan rakyat terbanyak. Pakatan Rakyat, yang menggunakan isitlah “rakyat” pada namanya, wajar memikirkan pendekatan ini untuk kepentingan bersama.

Kecamukan dalaman PAS ibarat kocak air dalam cawan, resam parti yang kian berpengaruh!


AKHBAR yang selama ini dikawal mutlak Umno-BN tiba-tiba saja banyak memberikan ruang agak besar kepada PAS, termasuk di muka depan. Sebabnya mudah ditelah iaitu agenda pemilihan yang berlaku dua tahun sekali, bentak Ahmad Lutfi Othman pada kolumnya Catatan Hujung akhbar Harakah terbaru.

Walaupun liputannya lebih tertumpu kepada "aspek-aspek negatif" yang boleh dicungkil daripada debar pemilihan kepimpinan parti Islam itu, yang dijadualkan awal Jun depan, namun saya tidaklah mahu terburu-buru mahu memberikan label negatif kepada akhbar-akhbar berkenaan.

Ada teman-teman yang mahu saya menempelak media yang menyorot "secara berlebihan" senario pencalonan yang dibuat oleh mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan di seluruh negara, bagi jawatan tertinggi parti, khususnya Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Saya cuba mengelak.

Lumrah sebuah parti besar

Bagi saya, biarlah... bukankah PAS itu sebuah parti besar yang terbukti mampu berdepan pelbagai tribulasi, mehnah dan fitnah? Ia bagai pohon kayu yang makin kukuh pegangan akarnya apabila sering dilanda angin dan taufan. Apa perlu dirisaukan sangat dengan persepsi media jika di kalangan kita sendiri menyediakan "bahan sensasi" untuk mereka?

Masakan parti boleh lumpuh hanya kerana jarum propaganda musuh dikatakan sudah menjalar ke segala urat nadi organisasi? Saya tidak rasa daya tahan PAS dan kekebalan pendokongnya menghadapi "ujian kecil" ini begitu lemah.

Lebih daripada itu, PAS kini sudah dianggap saingan terdekat kepada Umno, dan bersama-sama mengungguli Pakatan Rakyat yang dilihat tegak berdiri sebagai sebuah "kerajaan menanti".

Sebagai parti yang bukan lagi terbatas pengaruh dan kekuatannya di wilayah tradisi seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, fokus yang diberikan rakyat terhadapnya, termasuk daripada media tentulah meningkat. Apa jua pergolakan dalam parti pastinya cepat dihidu, dan akan diberi tafsiran mengikut kehendak seteru politik PAS.

Rakyat memerhati penuh minat

Semua akur, peranan PAS tidak boleh diperlekehkan, malah boleh dianggap sebagai penentu politik masa depan. Rakyat sebenarnya sedang meneliti apa jua perkembangan dalam PAS dengan penuh minat. PAS kini bukan lagi berada di pinggiran tetapi sedang merapati posisi yang dapat mendefinisikan situasi politik mutakhir.

Oleh itu, jika berlaku pertandingan dalam proses pemilihan kepimpinan PAS, terutama di peringkat atasan, ia suatu fenomena biasa. Ia hanya menyaring tokoh terbaik di kalangan mereka yang menawarkan diri, yang diperuntukkan perlembagaan. Dan saya kira semua ahli-ahli parti, selain tidak perlu panik membaca laporan "adu-domba" yang melaga-lagakan pemimpin-pemimpin kanan PAS, harus bersikap terbuka dan tidak mudah melatah.

Apabila setiap gerak parti diperhatikan, sehingga dibaca berapa darjah kecondongannya dalam isu-isu tertentu, maka PAS tidak boleh memandang remeh apa jua pandangan dan kritikan terhadapnya.

Ahli-ahli dan pemimpin pula harus bijak "menjaga diri" dengan tidak terdedah dalam aktiviti "melobi" di luar batasan, yang jika tidak dikendali secara beradab boleh mencetuskan tunas-tunas yang kemudiannya boleh mewabak tanpa sedar.

Apabila prestasi pemimpin diperhalusi

Agenda rutin pemilihan itu juga dapat mengingatkan penyandang jawatan agar sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam tempoh tertentu bagi memenuhi amanah dan aspirasi perwakilan dari seluruh pelosok negara. Prestasi akan dihalusi setiap dua tahun sekali. Dan terbukti selama ini pun perwakilan PAS bijak memanfaatkan peluang untuk membuat pilihan.

Kini umum memperkatakan di mana-mana, era Umno-BN sudah menghampiri penghujungnya. Namun gelagat pemimpinnya tetap menjolok mata. Gejala kehidupan materialistik yang menyuburkan rasuah bagai tidak boleh dibendung. Rakyat diperbodohkan dengan pelbagai ungkapan manis dan jaminan yang tidak pernah tertunai.

Tidak pernah dalam sejarah, Umno-BN menghadapi cabaran segetir ini daripada pakatan pembangkang yang begitu menyerlah.

Majoriti rakyat pelbagai kaum di semua peringkat sudah bersedia untuk melakukan perubahan besar, seperti ditandai keputusan mengejutkan dalam pilihan raya Mac 2008, dan dituruti beberapa pilihan raya kecil kemudiannya. Namun perubahan juga ada ilmu dan seninya, yang hanya mampu digerakkan dan disempurnakan oleh pemimpin terpilih.

Tanggungjawab pemimpin PAS meneroka perubahan yang diimpikan rakyat ini cukup besar dan mendesak sekali. Usah kecewakan harapan mereka

Bacalah artikel yang melaga-lagakan PAS dan Pakatan Rakyat, tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini!


PAS membantah keras keputusan Kabinet mengenai kedudukan agama anak mualaf. Pendirian Pas itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Mahfuz Omar. Pendirian Pas itu diselar oleh Karpal Singh, Pengerusi DAP, rakannya dalam pakatan pembangkang.

Demikian komentar mantan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Hamzah Sidek pada akhbar Utusan Melaysia hari ini, 5hb Mei 2009.

Perkembangan ini menyerlahkan lagi ironi Pas berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR. Ia memperkukuhkan lagi pertanyaan, berapa lama Pas boleh bertahan dalam muafakat yang sangat rapuh itu.

Jika pun ada titik-titik keserasian dalam pakatan tersebut, ia adalah lebih kepada DAP dan PKR, dua buah parti sekular. Pas amat janggal dalam muafakat tiga parti itu.

Seperti yang pernah dikatakan, jika ada ruang keserasian antara parti, kemungkinan yang lebih besar adalah antara Pas dan UMNO. Ada banyak titik yang boleh dijuruskan kepada persamaan.

Pas lahir daripada UMNO. Majoriti ahli mereka adalah Melayu dan lubuk kuasa politik mereka juga adalah di kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Kedua-dua parti itu juga meletakkan kedaulatan Islam sebagai amanah besar dalam perjuangan. Hanya pendekatan terhadap proses memartabatkan Islam itu sahaja yang berbeza.

Pendekatan itulah yang menyebabkan kerenggangan yang kadang kala muncul sebagai permusuhan paling sengit sehingga mereka tidak boleh duduk semeja dan bertentang muka.

Namun jika ada keinsafan tentang mala petaka yang boleh menimpa orang Melayu dan Islam, sejarah telah menunjukkan bahawa kedua-dua parti Melayu itu boleh mengetepikan permusuhan dan bermuafakat dalam sebuah gabungan sebagai mana yang dilakukan di bawah pimpinan Datuk Asri Muda dan Tun Abdul Razak pada 1970-an.

Bagaimanapun, permuafakatan itu berakhir dengan perpecahan yang menyebabkan luka lama berdarah semula dan lebih banyak pula darah yang keluar. Sebab itulah orang lama dalam Pas seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agak keberatan untuk menyokong muafakat baru Pas dan UMNO yang dianjurkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disokong kuat oleh timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Hadi mulai nampak bahawa permusuhan antara Pas dan UMNO hanya akan merugikan orang Melayu dan Islam jika berpanjangan. Sebaliknya kedudukan sekarang yang banyak berpunca daripada putar muslihat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengejar cita-cita yang terkulai untuk menjadi Perdana Menteri, terlalu memberi kelebihan kepada kepentingan bukan Melayu dan bukan Islam.

Betapa kumpulan bukan Melayu dan bukan Islam membuat pelbagai tuntutan dan desakan melalui parti-parti politik, NGO serta pertubuhan yang tidak sah. Tuntutan-tuntutan itu kelihatan pada mulanya hanya bersifat untuk keadilan bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi akhirnya ia mengasak ke tepi kepentingan Melayu dan Islam pula.

Siapa pernah terfikir gereja Katholik Wilayah Persekutuan berani menuntut penggunaan perkataan Allah. Begitu juga isu-isu mualaf dijadikan bahan kritikan terbuka terhadap kerajaan sehingga mendorong kepada keputusan terbaru.

Tetapi sejak Anwar mengatur muslihat dan akhirnya berjaya 'meyakinkan' Pas dan DAP untuk menyokongnya menjadi Perdana Menteri, kedudukan Melayu dan Islam sudah tidak stabil seperti dulu lagi walaupun ada peruntukan jaminan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selepas Pilihan Raya Umum 2008, UMNO dilihat banyak beralah. Pas tidak boleh menyalahkan UMNO jika Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak mualaf hanya boleh menukar agama selepas berusia 18 tahun kerana Pas sendiri yang menyebabkan UMNO terdesak.

Secara jujur eloklah Pas bertanya kepada diri sendiri, adakah bukan Islam akan berani membuat tuntutan seumpama jika UMNO dan Pas bersatu hati dalam soal-soal yang melibatkan kedudukan Melayu dan Islam.

Sayangnya Pas telah menjual roh perjuangan Islam mereka kepada Anwar dan Lim Kit Siang. Apakah seluruh pemimpin Pas dan ahli-ahlinya berasa 'perjuangan akhirat' mereka sudah tercapai hanya dengan kemampuan menubuhkan kerajaan pimpinan Menteri Besar dari Pas di Kelantan, Kedah dan seketika di Perak?

Percayalah bahawa jika Pas terus bergembira dengan kedudukannya dalam pakatan pembangkang, bukan Islam akan terus membuat tuntutan demi tuntutan. Percayalah bahawa bukan Islam tidak akan berpuas hati selagi kedudukan Islam tidak sama rata dengan kedudukan agama-agama lain.

Betapa pejuang-pejuang Katholik yang menuntut penggunaan perkataan Allah telah menjadikan Indonesia sebagai hujah mereka. Di Indonesia yang nisbah majoriti penganut agama Islam dikatakan melebihi 90 peratus, kedudukan agama-agama lain adalah setaraf.

Barangkali, atas kesedaran inilah terdetik hati Hadi Awang untuk mengusulkan kerajaan perpaduan BN-Pas, tapi syor tersebut ditentang kuat oleh Nik Aziz. Dan ia tidak berakhir setakat itu sahaja.

Kini wujud dua kem dalam Pas. Satu kem menyokong cadangan untuk mewujudkan semula rundingan dengan UMNO dan satu lagi menentang. Mereka yang menentang mahu Pas terus bersama Anwar, PKR dan DAP kerana mereka melihat melalui pakatan itu sahaja Pas boleh terus memerintah Kelantan, Kedah dan barangkali beberapa negeri lagi selepas pilihan raya umum akan datang.

Jelas sekali pemimpin Pas yang cukup kuat keyakinan untuk meneruskan pakatan dengan Anwar, Kit Siang, PKR dan DAP ialah Datuk Husam Musa, Naib Presiden Pas dari Kelantan. Di kalangan pemimpin Pas, Husam dilihat paling akrab dengan Anwar.

Husam yang lulus dari Universiti Sains Malaysia bukanlah golongan ulama. Kemunculan Husam serta Mohamad Sabu dan Datuk Hassan Ali untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Pas daripada Nasharuddin Mat Isa dalam muktamar Jun ini telah menimbulkan kegelisahan di kalangan golongan ulama Pas.

Sebab itulah Dewan Ulama Pas baru-baru ini menyatakan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden mestilah dipegang oleh golongan ulama.

Nasharuddin yang fasih bertutur dalam banyak bahasa termasuk Inggeris, dianggap dari golongan ulama kerana turut mendapat pendidikan agama. Istilah ulama dalam Pas ialah seseorang yang berpendidikan sekolah dan pusat pengajian tinggi agama Islam.

Oleh sebab Nasharuddin juga mempunyai latar belakang pengajian bukan agama, beliau juga dilihat sebagai pemimpin yang ideal bagi Pas. Beliau dianggap memiliki ciri-ciri ulama dan teknokrat.

Husam, Mohamad Sabu dan Hassan Ali tidak dianggap golongan ulama walau sepandai mana sekalipun mereka berceramah mengenai agama. Ini kerana mereka tidak memiliki kertas kelulusan agama.

Dalam keadaan biasa sudah pasti Husam, Mohamad Sabu atau Hassan Ali tidak akan berani menampilkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas.

Tapi apabila Pas berada dalam keadaan yang tidak jelas lagi 'identitinya' kerana semakin tunduk kepada PKR dan rapat sangat dengan Malaysian Malaysia DAP, maka golongan bukan ulama melihat ini adalah peluang untuk mereka mendaki tangga dalam Pas.

Di antara mereka, Husam yang paling akrab dengan Anwar adalah paling bercita-cita tinggi. Cita-citanya mungkin tidak berakhir dengan sekadar menjadi Timbalan Presiden Pas (jika menang).

Mungkin dengan bantuan Anwar dan penyokong-penyokong kuat Anwar dalam Pas (termasuk Kamarudin Jaafar), Husam melihat bahawa satu hari nanti bukan golongan ulama juga boleh menjadi Presiden Pas. Dan bagi mereka detiknya semakin hampir.

Roslan SMS bertanya pada blognya, gawatkah suasana dalam PAS sekarang?

Benarkah pemilihan PAS Jun ini makin bergelora dan pelbagai kenyataan media pimpinan PAS kian mendedahkan PAS kepada musuh!

KATA orang suasana tampak makin gawat dalam PAS. Sehingga Harakah edisi terbaru, para kolumnis dan penulis jemputan pun tumpang menyala dan memadamkan apinya menurut selera masing-masing. Itu belum pun mengambil kira luahan perasaan dalam blog dan alam maya.

Begitulah senarionya, tetapi adakah ia menggawatkan PAS?

Semalam semasa mengunjungi Karangkraf, syarikat yang menguruskan akhbar harian Sinar Harian, Presiden PAS Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang menyebut bahawa apa yang berlaku ini perkara biasa, malah katanya pernah lebih gawat lagi di zaman Asri, tetapi ia tidak menjejaskan parti, sekadar masing-masing mahu menonjolkan calon masing-masing, yang pentingnya PAS sebagai sebuah parti dan gerakan Islam perlu terus unggul dalam menjalan dan melaksanakan tugas dan amanahnya.

Lantas saya turut tertarik apabila adinda Nasrudin Tantawi menulis dalam posting di blognya: Kem kita satu iaitu PAS. Kumpulan kita satu iaitu kumpulan pejuang. Line kita satu iaitu jihad fi sabilillah.

Adapun kumpulan yang macam - macam istilah hari ini saya kira seperti kumpulan basuh pinggan, kumpulan menyedia dan menambah makanan, kumpulan penyambut tetamu dan kumpulan berbual untuk menceriakan suasana namun semuanya untuk menjayakan majlis kenduri tadi. Habis kenduri nanti kumpulan tu akan bubar dengan sendirinya. Setuju tak?

Siapa yang boleh tidak setuju?

Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab kita masih besar di hadapan. Agenda perjuangan yang kitra warisi sejak dari zaman junjungan besar Nabi Muhammad saw dan diperkasakan oleh para pengasas PAS lebih 50 tahun lalu dengan doa, darah, airmata dan hartabenda perlu terus dinobatkan.

Yang penting kita membuktikan bahawa proses pemilihan dalam PAS tidak seperti dalam parti-parti lain. Ia dijalankan dalam suasana penuh kasih-sayang dan hormat-menghormati. Kita mengharapkan calon yang kita calonkan menang, dan kita berusaha ke arah itu, tetapi kita sekali-kali tidak akan menyerang dan menggunakan fitnah untuk memburukkan lawan calon kita. Kerana kita akur daninsaf bahawa kita semua duduk dalam satu jemaah yang sama.

Belajarlah dari orang lama, saya kagum melihat bagaimana Dato Mustafa Ali contohnya boleh mempengerusikan Jawatankuasa Pemilihan parti dan boleh duduk mesra dengan Ustaz Hasan Shukri dalam satu jawatankuasa sedangkan mereka berdua pernah bertarung menantang satu sama lain satu ketika dahulu. Lihatlah juga betapa Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy dan Almarhum Prof Zulkifli Mohammad, pernah bertanding jawatan yang sama. Tetapi selepas keputusan gandingan keduanya dapat membawa PAS memenangi Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya umum pertama 1959.

Kita kini berada pada tahap yang lebih baik dari itu, hasil pencapaian bersama. Marilah kita syukuri apa yang Allah swt berikan pada kita ini, ia mungkin kekal dan mungkin juga buat sementara, yang pentingnya kita istiqomah dalam perjuangan, amalkan adab dan disiplin Islam. Jalan menuju kejayaan masih jauh di hadapan.

Saya yakin kita sudah matang melalui dan menempuh ini semua dan akhirnya akan ikhlas menyambung perjuangan sehingga kita menempuh syahid atau kemenangan.

Isnin, Mei 04, 2009

Puak pro Anwar Ibrahim dibidas kerana menyalah Presiden PAS dalam isu Kerajaan Perpaduan

Dato' Takiyuddin Hassan, Exco Kerajaan Kelantan

GOLONGAN pro Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas dibidas kerana menyalahkan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharuddin Mat Isa berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, lapor Azran Fitri Rahim untuk Utusan Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, cadangan pembentukan kerajaan perpaduan itu telah diputuskan secara bersama oleh pimpinan parti-parti dalam pakatan pembangkang dan bukannya datang dari Pas sahaja.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan turut menyelar golongan tersebut kerana hanya berani mengeluarkan kenyataan di luar dan tidak bersuara ketika mesyuarat rasmi diadakan.

‘‘Soalnya kenapa golongan ini hanya menyerang presiden dan timbalan presiden dalam isu kerajaan perpaduan sedangkan ia turut melibatkan Anwar.

Polemik Kepimpinan Ulama berlarutan: Dato' Paduka Husam Musa 'berpuasa' dari memberi komen soal parti PAS!


NAIB Presiden PAS Datuk Husam Musa yang sebelum ini 'membayangkan' akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS pada pemilihan pada Muktamar parti Jun ini, enggan lagi menyentuh soal parti bagi mengelak timbul salah faham di kalangan anggota parti itu, lapor Bernama.

Beliau juga enggan mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menegaskan hanya golongan ulama profesional yang layak memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.

"Saya sekarang 'berpuasa' daripada bercakap soal parti. Lagi banyak ia dibincangkan dalam akhbar lagi menimbulkan keresahan kepada anggota parti. Tumpuan utama saya adalah soal perpaduan parti supaya imej PAS tidak terjejas menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau sebelum itu melawat mangsa kebakaran melibatkan 13 rumah di Blok Tanah Merah, Kampung Ayer Lanas, di sini Jumaat lalu.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika ditemui pemberita di kediamannya pagi tadi berkata mereka yang ingin menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS perlu bermuhasabah diri sama ada mereka benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan parti.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan parti Jun ini yang dijangka menyaksikan saingan sengit untuk jawatan Timbalan Presiden yang dikaitkan dengan hala tuju sebenar parti.

Beberapa nama termasuk Husam dan seorang lagi Naib Presiden parti, Mohammad Sabu selain Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali disebut-sebut akan mencabar jawatan nombor dua parti itu walaupun penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa telah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan tersebut.

Bagaimanapun Husam hanya membayangkan untuk menawarkan diri bagi jawatan tersebut berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang 'hubungan sulit' PAS-Umno.

Kenyataan Nik Aziz itu senada dengan ketetapan Dewan Ulama PAS yang mahu dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama yang mempunyai pendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.

Ketetapan yang dibuat oleh Dewan Ulama PAS itu bagi memastikan dasar parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam diteruskan pada masa akan datang.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama Datuk Mohamed Daud Iraqi meminta ahliahli parti mengutamakan kepimpinan ulama kerana dua pemimpin tertinggi itu berperanan memberikan nasihat dan memastikan hala tuju parti bertepatan dengan ajaran Islam.

TERKINI: Mohamad Sabu tetap akan lawan Nasharuddin Mat Isa. Orang yang hendak pimpin saya mestilah lebih berani dari saya!

Mohamad Sabu dalam sidang media petang tadi tetap bertegas akan bertanding kerusi Timbalan Presiden PAS Jun ini


PAS bakal menyaksikan perebutan sengit jawatan Timbalan Presidennya apabila seorang calonnya Mohamad Sabu bertegas enggan berundur walaupun kemungkinan diasak calon sepopular Datuk Husam Musa, lapor Muda Mohd Noor kepada Malaysiakini.

Mohamad, yang juga Naib Presiden PAS berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan Husam dan menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.

"Kerana orang yang hendak pimpin saya mestilah lebih berani dan lebih pandai daripada saya. Sama ada anda bersama saya atau anda tinggalkan," katanya di sidang media di pejabat PAS di ibu negara hari ini, yang dipanggil untuk mengumumkan solat hajat khas bersempena sidang DUN Perak. Khamis ini.

Selain Mohamad dan Husam; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan exco kerajaan Selangor, Datuk Dr Hasan Ali juga menawarkan diri bertanding jawatan penting itu.

Husam, exco kerajaan Kelantan dan naib presiden PAS, dianggap calon pilihan untuk jawatan tersebut - khususnya dalam sentimen aliran anti-muzakarah dengan Umno dan penentang idea kerajaan perpaduan dengan BN.

Mohamad dan Husam dikenali sebagai dua pemimpin kanan yang tidak selesa dengan rundingan sulit PAS-Umno awal tahun lalu yang merebak menjadi isu besar dalam muktamar di Ipoh, Ogos lepas.

Penyandang jawatan Nasharuddin Mat Isa sehingga ini belum memutuskan sama ada mempertahankan jawatan itu. Beliau dipercayai akan bersaing untuk mengekalkannya.

Muktamar PAS bermula 4 Jun ini di Shah Alam akan diwarnai persaingan sengit jawatan-jawatan tertinggi, termasuk naib presiden dan ketua dewan-dewan utama parti, susulan wujudnya dua aliran besar tersebut.

Diminta mengulas sama ada parti itu kini berdepan konflik antara kelompok ulama dan profesional, Mohamad berkata beliau sendiri terlibat menegakkan kepemimpin ulama PAS pada 1982.

Mohamad bersama pemimpin Pemuda - yang dianggap terpengaruh dengan revolusi Islam di Iran pada 1979 - menggulingkan Datuk Asri Muda, seorang pemimpin nasionalis. Diminta mengulas usaha segelintir PAS Pulau Pinang untuk bertanding di DUN Penanti, Mohamad berkata:

"Mereka boleh berkata mahu bertanding tetapi majlis presiden (Pakatan Rakyat) yang memilih calon dan parti mana yang akan bertanding. Seperti (DUN) Bukit Selambau, Umno kata hendak bertanding tetapi akhirnya diberikan kepada MIC," tambahnya.

Mengulas larangan mendirikan pondok panas dan merayu undi pada pilihanraya tersebut 31 Mei ini, Mohamad berkata partinya akan tetap membina bangsal untuk kegunaan pada hari mengundi. Tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah berbincang dengan parti-parti politik sebelum mengeluarkan larangan tersebut, 27 April lalu.

Mohamad berkata, pilihanraya peringkat negeri Perak perlu diadakan untuk memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan baru - susulan krisis perebutan kuasa antara BN dengan gabungan pembangkang sejak Februari lepas. Beliau juga mengumumkan PAS menganjurkan program munajat perdana di sebuah masjid di Manjoi menjelang subuh Khamis ini.

Penarik Beca lebih kagum dengan Dato' Mohd Asri yang bukan ulama, dengan apa yang dibising-bisingkan sekarang!



PENARIK BECA mula mengorak langkah dalam tulisannya. Beliau memperkatakan tentang isu ulama dan profesional dalam PAS yang hangat disentuh kawan dan lawan. Barangkali ada terselit sesuatu hujah dalam kerangka mindanya yang juga seorang aktivis parti sejak awal kepimpinan ulama:

Kalau professional menjadi pertikaian untuk jawatan Timbalan & Presiden, saya cdgkan digubal menghadkan professional hy utk jawatan naib presiden kebawah atau sekurang-kurangnya memiliki sarjana pengajian Islam utk jadi calon tim presiden. Atau PAS kena definasikan secara jelas apa itu ulama?... (SMS dari 012-9*****9)

Dok mikir nak kerajaan perpaduan nga ameno. 'kerajaan perpaduan' dlm parti sdiri x sei jaga.... (SMS dari 019-9*****1)

Yang di atas ialah dua dari begitu banyak SMS yang saya terima. Tak semestinya saya setuju. Apa tujuan hantar saya tak tahu. Saya bukan boleh mengundi. Saya hanya penyokong Fasal 5 Perlembagaan PAS. Sekarang ni, tak jumpa pintu masuk dan tak jumpa pintu keluar.

Oleh kerana saya tak tahu apa tujuan, saya masukkan saja dalam blog ini.

Sebut fasal pintu masuk pintu keluar, teringat Pak Yazid Kampung Baru, pahlawan PAS yang tawaquf bila PAS menyertai Barisan Nasional (BN). Sebut fasal PAS masuk BN, dah tentu teringat Allahyarham Tan Sri Asri Muda. Sebut fasal Asri, saya nak ingatkan budak-budak kanyaq dalam PAS, termasuk para talabah yang merasa diri mereka ulama, hampa jangan nak tebiang cerca hina Asri.

Apa pun kesilapan beliau yang popular di Kelantan dengan panggilan Ayah Mat tu, nak banding pengorbanan dia kepada PAS dengan pengorbanan hampa, pengorbanan hampa besar taik kuku pun tak dak.

Saya pesan gitu sebab dari tahun 1982 hingga beliau meninggal dunia, sebut nama Asri pun saya tak nak dengar. Tetapi, bila saya baca majalah-majalah lama PAS dan berjumpa dengan orang-orang lama PAS, saya yakin saya banyak bersalah kepadanya. Asri sudah tidak ada untuk saya memohon maaf kepadanya. Saya hanya mampu merayu keampunan Allah s.w.t.

Saya memohon kepada generasi kini dan generasi muda PAS, jangan ulang kesalahan saya.

Satu perkara yang saya perhatikan ialah apa yang berlaku di zaman Asri kini berulang lagi. Di zaman Asri, beliau dan puaknya yang dituduh puak nasionalis sekular begitu paranoid dengan istilah 'kepimpinan ulama'. Lalu Asri melabelkan penyokong kepimpinan ulama dengan label Iran, Syiah dan entah apa-apa.

Hari ini, golongan ulama pula yang kelihatan begitu allergic dan paranoid terhadap puak yang kononnya professional. Yang lebih sudu dari kuah ialah tukang-tukang ampu. Lalu dikaitkan dengan kegianan nak menabalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin (lebih kurang seperti zaman Asri yang pakai label Iran dan Syiah terhadap kumpulan pro-kepimpinan ulama).

Memang tak dinafikan memang wujud dalam lima enam orang yang tebiang sangat nak Anwar jadi pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sampai orang nampak depa ni tak hormat Presiden. Bagi saya, puak tu jenis low self-esteem (allow me my democratic right to speak up my mind and I will surely publish your rebuttal, if any).

Tapi bukan semua macam tu malah ada yang disangka pemuja Anwar nombor wahid tapi Anwar pernah kata dia tak nak maafkan orang tu malah dituduh kurang ajar oleh Azmin Ali (ia berkaitan dengan surat saya kepada Malaysiakini di sini). Yang tak pernah dituduh pemuja Anwar, tak berani pun nak bertegang leher dengan Anwar. Saya tak nak sebut nama orang yang Anwar pernah kata dia tak nak maafkan itu sebab dia kata nak bertanding. Nanti dituduh berkempen pula.

Takat tu cerita tu. Ni bab nak tergelak pulak.

Yang nak tergelaknya, puak yang dipanggil professional tu bukannya professional pun. Mat Sabu pun depa panggil professional. Memang la, selepas dipecat dari ITM kerana berdemonstrasi lawan kerajaan, dia kerja kira pangkat tinggi jugak la di bahagian food technology sebelum berhenti pada tahun 1982 untuk berkhidmat sepenuh masa kepada PAS. Tapi, Mamat tu bukan professional la!

Aku pun tak reti. Bila nak bercakap main taram ja. Yang tak professional dipanggil professional.

Orang-orang seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub dan Mahfuz (susun ikut rank ni) adalah puak aktivis. Ulama bukan, professional pun bukan. Depa ni jenis yang berhenti kerja kerana nak berkhidmat sepenuh masa kepada PAS (tulis ni pun boleh dikira kempen jugak kot? Suka hati hampalah. Sampai nak sebut fakta pun tak boleh, teruk sangat la).

Dari pemerhatian saya sebagai pemerhati PAS dan penyokong Fasal 5 Perlembagaan PAS, golongan ulama mahupun talabah tak perlulah paranoid. Yang saya nampak, orang bukan nak buang tuan-tuan semua. Yang saya nampak ramai yang tak nak hanya seorang sahaja. Dan, dia bukan ulama pun, baru talabah ja. Belum ulama lagi.

Kita patah balik dalam sejarah. Katakan belum wujud cerita berkendak politik dalam gelap dengan Umno. Pada masa itu pun sudah meluas keresahan terhadap talabah itu. Kita ingat, bila kita bangkitkan soal prestasi, akan bertambah baiklah selepas itu. Rupa-rupanya tak naik-naik darjah. Malah, ada yang tuduh lagi teruk.

Tak perlulah saya cakap berapa banyak gesaan dan SMS yang saya terima supaya menegur beliau sampai saya naik sakit hati. Kadang-kadang angin satu badan: "Hampa ingat aku ni apa?!! Hampa penakut tak berani cakap, suruh aku yang buat donkey job untuk hampa!!"

Kesimpulan dari pemerhatian saya itu, tak perlulah para ulama mahupun talabah yang belum lagi naik taraf jadi ulama menjadi paranoid tak tentu hala. Orang bukan nak buang tuan-tuan!

Timbalan Presiden PAS: Mampukah Husam jadi macam Nik Aziz, Mohd Sabu jadi macam Azizan Razak, Hassan Ali jadi macam Ustaz Harun Taib?


"Kalau Profesional Itu Ulama', Silakan!" - Begitulah ulasan spontan Ustaz Zolkharnain Abidin dalam melangsungkan polemiknya tentang isu panas menjelang pemilihan agung PAS, Jun depan. Beberapa postingnya telah saya apungkan dalam blog ini untuk telaah para pengunding budiman, sekalipun anda dari kawanan politik yang berbeda. Ikuti kupasan beliau tentang kenyataan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat berkenaan kisah terbaru "ulama perofesional"!:

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan hanya golongan ulama profesional yang layak memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan yang akan diadakan bulan depan. - (mSTAR – Isnin, 4 Mei 2009)

Kenyataan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa hanya ulama’ profesional yang layak memegang dua jawatan tertinggi dalam Pas difahami memberi beberapa signal.

Sekali imbas kenyataan itu meletakkan konsep kepimpinan ulama yang bersemangatkan Presiden dan Timbalan Presiden daripada kalangan ulama’ tidak perlu dibangkitkan, bahkan kenyataan ini turut mencabar para ulama’.

Dapat difahami, ulama’ profesional bukan bermaksud ulama’ jurutera, ulama’ farmasis, ulama’ doktor, ulama’ lawyer atau profesion profesional yang lain, tetapi bermaksud ulama’ yang berfikiran dan berktrampilan profesional.

Signal-signal itu ialah;

Pertama – Itulah keputusan yang bakal dibuat oleh Majlis Syura Ulama’ pada 10 Mei akan datang. Mesyuarat tersebut dijangka akan memperincikan alasan-alasan keputusan itu, juga kriteria ulama’ yang layak menduduki kerusi berkenaan. Walau pun penakrifan ulama’ telah sedia termaktub di dalam perlembagaan Pas, namun suara Majlis Syura Ulama’ dalam menafsirkan klausa tersebut bakal memperkukuhkan konsep ‘kepimpinan ulama’.

Kedua – MB Kelantan itu tidak mahu jawatan Timbalan Presdien dipertandingkan. Kalau dipertandingkan juga, biarlah antara sesama ulama’. Ini pernah berlaku pada sesi lepas apabila Harun Taib bersaing dengan Nasharuddin. Ini juga bermaksud Husam Musa, Mohamad Sabu dan Hassan Ali lebih manis tidak bersaing untuk jawatan itu.

Ketiga – Bila Tok Guru menyebut ulama’ profesional, maknanya ada ulama’ yang tidak profesional yakni ‘ulama’ sahafiyyah’. Ulama’ yang hanya tahu dan pandai baca kitab dan berteori tetapi tidak pandai menterjemahkan kandungan kitab itu dalam realiti perjuangan jamaah. Ulama’ sebegini tentunya ramai dan mereka tetap diperlukan untuk tugasan tertentu. Namun untuk berada di dua kerusi tertinggi Pas ulama berkenaan hendaklah ‘ulama’ harakiah’.

Keempat – Kenyataan itu menggambarkan Tok Guru, Majlis Syura Ulama’ dan Pas sendiri mengiktiraf dan memerlukan profesional. Bukan semua perkara mampu ditangani oleh para ulama’. Sukar wujud di negara ini individu seperti Mustafa Masyhur atau Qadi Hussain yang terdidik secara langsung dan tersusun dalam dua aliran pengkhususan iaitu pangajian Syariah dan pengajian profesional. Maka, gabungan dua kelompok berlainan pengkhususan ini di dalam Pas menjadikan Pas istimewa berbanding parti lain.

Kelima – Tok Guru juga bermaksud bahawa profesional juga boleh berada di dua kerusi berkenaan dengan syarat dia juga adalah ulama’ atau ‘profesional ulama’. Yakni, profesional yang menguasai bidangnya dan dalam masa yang sama mempunyai keupayaan untuk memahami sumber-sumber dan kaedah-kaedah penentuan hukum menurut syarak. Dan dengan syarat, sumber-sumber dan kaedah-kaedah tersebut difahami berdasarkan disiplin ilmu bukan sekadar menghafaz istilahnya sahaja.

Justeru, sebagaimana ulama’ yang tidak profesional tidak layak menduduki dua kerusi itu maka, profesional yang tidak ulama’ juga tidak layak mendudukinya. Lantas, ungkapan yang Tok Guru gunakan ialah ulama’ profesional yang dari segi semangatnya serupa sahaja dengan profesional ulama’.

Mengapa Tok Guru menyebut "ulama profesional" dan tidak "profesional ulama"?

Realitinya, melahir dan menampilkan ulama’ profesional lebih mudah berbanding profesional ulama’. Kerana, untuk menjadi ulama’ seseorang bukan sekadar perlu memiliki sekeping kertas yang mengiktiraf pencapaian akademiknya tetapi perlu juga membuktikan kewibawaan ilmunya.

Dan, membuktikan kewibawaan ilmu itu bukan sekadar dengan kuliah Subuh atau kuliah Dhuha, tetapi keupayaan menampilkan penguasaan ilmu untuk merungkai serta menyimpul persoalan-persoalan yang halus dan rumit. Kalau setakat kuliah Subuh atau Dhuha, tidak perlu sangat kepada ulama’. Pendek kata, ulama' tersebut alim dan faqih.

Mudahnya begini, melahirkan Nik Abdul Aziz Husam (ulama’ profesional) lebih mudah berbanding melahirkan Husam Nik Abdul Aziz (profesional ulama’). Atau, melahirkan Azizan Razak Mohamad Sabu (ulama' profesional) lebih mudah berbanding melahirkan Mohamad Sabu Azizan Razak (profesional ulama'). Atau, melahirkan Harun Taib Hasan Ali (ulama' profesional) lebih mudah berbanding melahirkan Hasan Ali Harun Taib (profesional ulama'.

Oleh itu, kalau Husam mampu menjadi Nik Abdul Aziz atau Mohamad Sabu mampu menjadi Azizan Razak, atau Hasan Ali mampu menjadi Harun Taib, ayuh, silakan bertanding. Kerana, apabila mereka adalah profesional ulama', mereka juga sebenarnya adalah ulama' profesional.

Tok Guru Nik Aziz mahu PAS tidak kacau KeADILan bertanding di Dun Penanti


MURSYIDUL AM PAS berkata beliau tidak mahu anggota parti itu membuat kacau dan membelakangi perjanjian dengan sekutunya dalam Pakatan Rakyat dengan menuntut PAS meletakkan calon pada pilihanraya kecil DUN Penanti.

Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata PAS perlu berpegang pada janji yang dibuat dengan PKR berhubung pengagihan kerusi pilihan raya yang dibuat sebelum ini, lapor Bernama.

"Kalau itu kawasan PKR, hak dialah. Kita kena balik kepada perjanjian. Kita orang Islam pentingkan janji, jangan buat kacau, janji mesti sempurna. Macam di Kelantan, kita ikut perjanjian. Kita beri (kerusi) kepada PKR, dia nak menang ke, kalah ke, itu dia punya pasallah," beliau dipetik berkata di kediaman beliau di Pulau Melaka hari ini.

Nik Abdul Aziz mengulas desakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin supaya pimpinan parti itu menimbangkan untuk meletak calon PAS bertanding di DUN Penanti.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya yang juga bekas timbalan satu ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin, 16 April lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 Mei dan hari pengundian 31 Mei.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian parti itu untuk menyokong calon PKR Mansor Othman dan keputusan itu adalah muktamad.

Beliau berkata keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya, PKR telah bertanding di kawasan berkenaan pada pilihanraya umum tahun lepas dan memenanginya. BN akan memutuskan hari ini, sama ada akan bertanding atau tidak pada pilihan raya kecil kali ini.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf nafi dihasut pemimpin PKR

TIMBALAN pesuruhjaya PAS Pulau Pinang menafikan beliau dihasut oleh pemimpin PKR tertentu supaya mencadangkan partinya meletakkan calon dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, lapor Athi Veeranggan untuk Malaysiakini.

Ketika dihubungi, Mujahid Yusof Rawa berkata, cadangannya hujung minggu lalu dibuat menurut prinsip dan bukannya kerana hasutan pihak lain.

"Kenapa saya atau pemimpin PAS mesti menurut kehendak pemimpin PKR tertentu? Kita tidak bertanggungjawab kepada mereka," tambahnya.

"Tuduhan seperti itu tidak berasas sama sekali. Penyebar khabar angin ini sepatutnya meneliti prinsip-prinsip yang didukung oleh PAS".

Mansuhkan saja "Kepimpinan Ulama" saran Ustaz Zolkharnain Abidin sinis




BERIKUT dua posting dari blog bilasauhdibongkar yang ditulis sendiri oleh pemiliknya, Ustaz Zolkharnain Abidin. Agak menarik, tajam dan pedas untuk dibelek dan ditelaah. Namun, ia patut direnungi dari semua aspek dan tidak wajar kalau saya tidak mengapungkan posting itu untuk pengunjung sekalian:

Umno pernah mengaku mereka parti Islam kerana mereka ada Abdullah Mat Zain, Yusof Nor dan Abdul Hamid Othman. Umno juga ada Biro Agama. Mahathir pernah mengisytiharkan Malaysia negara Islam kerana Malaysia ada Pusat Islam, Jabatan Agama Islam dan IKIM. Malaysia juga ada Mufti yang semuanya Islam.

Kepimpinan Pas berkonsepkan kepimpinan ulama’ kerana Pas ada Majlis Syura Ulama’ dan Pas juga ada Dewan Ulama’. Pas tidak memerlukan Presiden atau timbalannya daripada kalangan ulama'.

Cukup sekadar itu. Full stop.

Sesiapa sahaja boleh meneruskan hasrat masing-masing, samada Husam Musa atau Mohamad Sabu untuk bertanding kerusi nombor dua. Tiada peraturan yang boleh menghalang, tiada semangat dan ruh yang boleh mengekang. Tiada perlembagaan yang boleh melarang.

Bukan sahaja kerusi nombor dua, kerusi nombor satu pun boleh. Itu tidak bercanggah langsung dengan semangat dan ruh kepimpinan ulama’. Malah itulah maknanya kepimpinan ulama' kerana wujudanya gandingan mantap antara ulama' dan bukan ulama'.

Jangan bimbang, siapa pun yang menjadi Presiden Pas dan Timbalan Presiden, kita boleh maklumkan kepada Umno, kepada PKR, kepada DAP dan kepada dunia juga, konsep kepimpinan Pas adalah kepimpinan ulama’.

Tentu gerakan Islam dunia bangga dengan kita. Kalau mereka tidak percaya konsep kepimpinan Pas adalah kepimpinan ulama', tengoklah sendiri siapa Presiden dan Timbalan Presiden Pas. Dewan ulama’ tidak perlu bersuara lagi dalam perkara ini, kerana Dewan Ulama’ dalam hiraki Pas setaraf sahaja dengan Dewan Pemuda dan Muslimat.

Majlis Syura Ulama’ juga sampai sekarang tidak bersuara apa-apa dan tidak diminta bersuara apa-apa, walau pun dikatakan majlis itu berhak menentukan dasar-dasar parti dan menafsirkan perlembagaan.

Tidak mengapa, walau pun kedua-dua institusi itu tidak bertaring apa-apa, Pas masih berpegang teguh dengan konsep kepimpinan ulama’. Atau, usulkan dalam muktamar akan datang supaya dimansuhkan sahaja konsep kepimpinan ulama’ dalam Pas, kerana:

> Konsep itu menjadikan para ulama’ dan bukan ulama’ sentiasa bertembung di dalam muktamar atau di luar.
> Konsep itu boleh memecahbelahkan Pas kerana mengundang polemik berpanjangan.
> Konsep itu tidak membawa apa-apa makna kerana kalau tiada konsep itu pun Majlis Syura Ulama’ dan Dewan Ulama’ tetap wujud berdasarkan perlembagaan.
> Konsep itu menghalang mereka yang bukan ulama’ untuk berada dikerusi nombor satu.
> Konsep ini tidak menepati konsep kepimpinan bertaqwa kerana taqwa itu milik semua dan bukan milik ulama’ sahaja.
> Konsep ini bercanggah dengan makna kepimpinan Islam kerana kepimpinan Islam lebih luas daripada makna kepimpinan ulama’.
> Konsep ini menjadikan Pas parti yang tidak relevan dengan realiti kerana pemimpin dunia hari ini bukan lagi ditunjangi ulama’.
> Konsep ini tidak selari dengan realiti Malaysia, Malaysia bukan Iran yang berpegang dengan Wilayatul Faqih.

Tok Guru Nik Aziz juga perlu menarik balik syarat yang pernah dibuatnya sebelum ini, Menteri Besar penggantinya hendaklah seorang ulama’. Syarat itu tidak lagi relevan. Bila ini berlaku, barulah kita setanding dan seiring dengan parti-parti itu.

Dan kalau konsep itu kekal, boleh juga kita memberitahu kepada cucu-cucu kita beberapa puluh tahun akan datang, "Konsep Kepimpinan Pas Adalah Kepimpinan Ulama".

"Kamu tak percaya cucuku? Tengoklah siapa Presiden dan Timbalannya."

Dalam posting lain yang bertajuk "Ulama’ Sudah Dipukul Dua Kali", Ustaz Zolkharnain Abidin menulis begini:

Gandingan Yusof Rawa – Fadhil Nor dan Fadhil Nor – Abdul Hadi tidak terusik seperti gandingan Abdul Hadi – Nasharuddin.

Setakat ini yang diusik sungguh-sungguh ialah jawatan nombor dua. Walau pun ada angin yang bertiup bahawa jawatan nombor satu akan terusik, tetapi nampaknya tiupan angin itu sudah berhenti.

Apabila Mohamad Daud, Ketua Dewan Ulama’ Pas Pusat menyarankan supaya jawatan nombor dua juga perlu diisi oleh ulama’, saranan itu seperti tidak berkesan (baca sini). Pencalonan terbaru selepas saranan itu ialah kawasan Shah Alam yang mencalonkan Husam untuk kerusi itu (baca sini).

Malah akhbar melaporkan Mohamad dibidas oleh Pengarah Pilihanraya Pas Kelantan, orang senegeri dengannya. Mohamad dikatakan tidak memahami konsep kepimpinan ulama’ (baca sini).

Setakat ini, telah dua kali ulama’ dipukul. Kali pertama, saranan Ketua Dewan Ulama’ seperti tidak dipandang apatah dihargai, bahkan dibidas. Kedua, ulama’ dikata tidak memahami konsep kepimpinan ulama’. Saya yakin akan ada yang ketiga dan keempatnya, tunggulah.

Apabila ulama’ mempertahankan kerusi nombor dua perlu diisi oleh ulama’, pantas dibidas ulama’ tidak faham. Bagaimana pula kalau ulama’ berkata, golongan bukan ulama’ (saya tidak gunakan profesional kerana bukan semua bukan ulama’ adalah profesional) juga tidak faham?

Apa yang mereka tidak faham? Konsep kepimpinan ulama’ pada pandangan ulama’ adalah Presiden mestilah ulama’. Presiden adalah termasuk Timbalan Presiden kerana Timbalan Presiden adalah Presiden ketika keuzuran Presiden. Agaknya, inilah yang bukan ulama’ tidak faham.

Kerusi nombor dua perlu diisi oleh bukan ulama’ kerana bimbang Pas akan dimonopoli oleh ulama’. Semenjak bila pula doktrin ini ada dalam Pas? Bagaimana pula kalau dikata begini, golongan bukan ulama’ sedang berusaha memonopoli Pas? Bolehkah diterima?

Saya fikir ada banyak udang yang sedang bersembunyi di sebalik batu. Bongkah ais memang nampak kecil dipermukaan laut. Kalau ini adalah buruk sangka, maka buruk sangka ini diperlukan pada ketika ini.

Apa kata, Pas meminda perlembagaannya dan menubuhkan sebuah lagi dewan setaraf dewan-dewan sedia ada. Namakan sahaja dewan itu Dewan Profesional. Dalam dewan itu, golongan profesional perlu membuktikan keprofesionalan mereka. Kalau ada yang bukan profesional ingin masuk dewan itu, namakan saja dewan itu Dewan Bukan Ulama’.

Syarat mesti ulamak tidak terkandung dalam Perlembagaan PAS: Dato Tuan Ibrahim, Ustaz Ghani Rahman, Dato' Ahmad Yaakob dan Cikgu Pa rasional



SYARAT Presiden, Timbalan Presiden PAS disandang oleh Ulamak tidak terkandung dalam Perlembagaan. Pesuruhjaya PAS, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman berkata mana-mana pihak bebas, membuat cadangan dan mengemukakan pandangan berhubung perkara itu. Demikian dilaporkan Wan Johari pada blognya jiwokelate.

“Ini merupakan perkembangan sihat, asalkan yang diperkatakan itu tidak terkeluar daripada apa yang ditetapkan oleh oleh Perlembagaan Parti,” kata Ustaz Abdul Ghani yang juga merupakan seorang AJK Dewan Ulamak PAS Pusat.

Fasal 22 dan 23 Perlembagaan PAS tidakpun menyatakan seorang Presiden dan seorang Timbalan Presiden merupakan dari kalangan Ulamak. Jelas, tidak ada kesamaran lagi. Mengapa ada pertikaian?

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan (Peguam) menyokong kenyataan Ketua Dewan Ulamak supaya dua jawatan tertinggi parti disandang golongan Ulamak, walaupun ia tidak tercatat dalam Perlembagaan parti namun ia tetap dilaksanakan.

Katanya, situasi itu dalam bahasa undang-undang disebut sebagai ‘convention’ dan ia diterima sebagai suatu benda yang diterima walaupun tidak tercatat dalam Perlembagaan dan juga tidak boleh dipertikaikan oleh mereka yang waras.

Issh sedap mainan kata-kata Takiyuddin. Setuju dengan tidak ikut Perlembagaan, tidak boleh dipertikaikan. Mereka yang waras.

Nampaknya semacam orang yang patuh dan ikut Perlembagaan sebagai orang tidak waras. Apa masalah Takiyuddin ni sebenarnya? Semacam ada masalah peribadi jer?

Sementara Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mencadangkan supaya isu ulama dan profesional dibincangkan secara terperinci dalam muktamar agung parti itu Jun ini. Baca Biar Muktamar tentukan siapa layak Ulamak hanya tradisi.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berkata apa yang lebih penting ialah pemimpin yang dilantik menerajui kedua-dua jawatan tertinggi parti adalah mereka yang mendukung kepimpinan Ulamak yang menjadi dasar parti. Menurutnya tradisi yang diikuti oleh PAS sejak sekian lama bagi mengekalkan kepimpinan ulamak boleh berubah.

“Walaupn Ulamak tetapi kalau tidak mendukung kepimpinan Ulamak. Ia bertentangan juga dengan dasar perjuangan PAS. Sebaliknya jika orang itu profesional tetapi mendukung kepimpinan Ulamak, itu tidak mengapa,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang berkata golongan profesional mahupun ulamak layak memimpin parti asalkan mereka memahami Islam dan berpendidikan tinggi. Katanya parti itu tidak pernah menetapkan garis panduan tentang siapa yang layak untuk dilantik sebagai pemimpin PAS.

“Siapa saja layak samada yang mempunyai latar belakang atau agama atau profesional layak menerajui PAS,” kata yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

Bagi, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar berkata persoalan siapa yang layak menerajui parti samada golongan profesional atau ulamak tidak wujud kerana kedua-duanya memeiliki kehebatan dan kebolehan tersendiri.

Semuanya mengulas mengenai perbezaan pendapat antara Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Mohamed Daud Iraqi berhubung dua jawatan tertinggi dalam parti berkenaan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Pas disandang oleh golongan ulama.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mustafa Ali (antara pelopor Usul mengenai Kepimpinan Ulamak) berkata, kedua-dua jawatan tertinggi dalam parti itu boleh ditandingi oleh sesiapa sahaja ahli parti yang berminat.

"Dalam Perlembagaan parti, tidak terdapat sebarang peraturan yang menyatakan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu dipegang oleh ulama," ujarnya. Beliau menyifatkan apa yang diperkatakan antara kedua-dua pihak tersebut sebagai pendapat peribadi masing-masing.