KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Julai 04, 2010

Pengarang Berita Harakah cadang GMJ rayakan kejayaan bersama media baru dan blogger

Pengarang Berita Harakah, Tarmizi Mohd Jam mencadangkan kepada Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) yang diketuai Azmi Abdul Hamid merayakan kemenangan gerakan rakyat itu membatalkan lesen judi bola sepak baru-baru ini dan meraikan juga kejayaan Himpunan "Kempen Tak Nak Judi" yang dilancarkan di Masjid Negara, 3 Julai lalu bersama para penggerak media baru dan blogger.

Katanya, usaha mereka tanpa jemu melaporkan segala aktiviti dan kenyataan GMJ telah meransang kebangkitan rakyat untuk membantah kemungkaran judi di negara ini, secara terbuka dan tidak lagi dilihat sambil-lewa. Ini adalah kejayaan kedua rakyat selepas berjaya mengasak kerajaan Umno-BN dalam Himpunan Membantah PPSMI sebelum ini.


Jika diperhatikan, jelas Tarmizi yang juga blogger Sanggahtoksago.Com, wartawan media baru dari pelbagai premis telah bekerja keras secara efektif membantu kejayaan GMJ dan isu-isu lain menyebelahi Pakatan Rakyat selama ini. Selain itu, kebanjiran para blogger dan penggerak laman sosial seperti Facebook, Twitter dan lain-lain laman yang popular, memeriahkan lagi tsunami maklumat dalam internet untuk rujukan orang ramai di mana jua mereka berada. 

"Dengan kemudahan telefon berkamera digital, dan pelbagai jenis kamera poket yang mudah dibawa, setiap orang kini menjadi blogger dan wartawan laman sosial masing-masing dalam melapor dan menyiarkan pelbagai gambar menarik yang upaya memberitahu 1001 makna kepada rakyat," tegasnya.

Tarmizi akan mencadangkan kepada GMJ melalui Setiausahanya, Suhaizan Kaiat agar merayakan kedua-dua kejayaan GMJ dan rakyat dalam isu judi ini bersama media baru dan para blogger sebagai menghargai jasa mereka mengasak, mendesak dan membangkitkan kesedaran rakyat terhadap kemungkaran judi.

Shamsul Iskandar yakin judi akan jadi senjata tajam tikam Umno-BN dalam PRU-13 nanti!


Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin yang muncul setelah berlangsung kira-kira 25 minit himpunan Kempen Tak Nak Judi di Masjid Negara, mengalih slogan judi kepada pio politik apabila dengan nada bersahaja beliau melaungkan "Najib, Najib...Najib judi", "Tolak, tolak, tolak.. judi" dan diakhiri "Rosmah, Rosmah, Rosmah... judi".

Hadirin yang memenuhi halaman utama masjid meminta diulang lagi. Shamsul mengulangi slogan itu sebanyak tiga kali sambil diikuti oleh mereka. Pihak polis yang berada di tangga besar masjid berdepan Bangunan JAWI (dulu Pusat Islam), menoleh ke arah serambi masjid yang menjadi pentas utama pemidato.

Shamsul dalam ucapanya yakin, judi akan menjadi senjata paling tajam untuk menikam Umno-BN dalam pilihan raya akan datang. Inilah kali pertama Najib disanggah oleh MT Umno, terhadap keputusannya yang telah meluluskan lesen judi bola sepak kepada Vincent Tan.

"Akibat kemarahan rakyat, dan kebijaksanaan Pakatan Rakyat memainkan isu judi ini, menyebabkan Umno-BN bimbang judi akan menjadi senjata tajam yang akan menusuk diri mereka dalam PRU-13 nanti. Sebab itu judi bola sepak ini di tarik balik lesennya dan ia tidak diputus dalam Kabinet tetapi diputus dalam Mesyuarat MT Umno sahaja," tegas beliau.  

"Tolak, tolak... tolak tahi" gamatkan himpunan sambil sifatkan menteri yang luluskan lesen judi juga sebagai "tahi judi"



Teriakan pemimpin NGO Muslim Care, Ustaz Norazli Musa yang menyamakan golongan yang meluluskan lesen judi sebagai "tahi judi" menarik perhatian peserta perhimpunan. Bukan sahaja mereka yang berjudi dogelar oleh orang Melayu sebagai "tahi judi" tetapi mereka yang bertanggungjawab meluluskan lesen judi juga patut digelar "taji judi" juga.

Sebelum itu, Pengerusi Muslim Care yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Noor melaungkan pelbagai slogan untuk menghangatkan himpunan, antara lainnya "Tolak-tolak, tolak judi", "Judi-judi, judi haram", "hapus-hapus, hapus judi", bagi mencetuskan kegamatan di kalangan orang ramai yang hadir.

Namun, kemunculan Ustaz Nor Azli dega slogan "Tolak-tolak, tolak tahi" - benar-benar menggamatkan himpunan. MNaklumlah nak tolak "tahi" yang menjijikan itu bukannya mudah. 

"Orang yang ketagih judi (dipanggil) tahi judi," katanya yang disambut dengan gelak ketawa. Orang yang lulus lesen judi, patut dipanggil "tahi judi" juga.

Bercakap kepada media selepas itu, Pengerusi GMJ, Azmi Abdul Hamid berkata kempen berkenaan akan diteruskan memandangkan kerajaan masih belum menunjukkan kesungguhan untuk mengharamkan kegiatan judi.

"Kita tidak boleh desak untuk mansuhkan serta merta jadi kita ambil pendekatan untuk desak kerajaan mendidik rakyat (tentang bahaya judi)," tegas beliau sambil menyifatkan gabungan GMJ yang dianggotai 60 NGO itu akan memperkemaskan usaha untuk mempertingkatkan program kesedaran kepada masyarakat di negeri-negeri.

Turut berucap di majlis itu termasuk Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin, Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan serta Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat yang juga Setiausaha GMJ.

Kira-kira 50 polis dilihat mengawal keadaan di sekitar kawasan tersebut yang berakhir tanpa sebarang insiden. Himpunan kali ini juga tidak kelihatan polis bertopi merah, trak-trak "keras" berwarna merah. Polis hanya mengawal di bahagian luar masjid sambil memerhati dari jauh gelagat himpunan tersebut yang bermula jam 5 petang dan berakhir sekitar jam 6 petang. 

Selain Azmi, Ustaz Nasruddin, Suhaizan, Shamsul Iskandar, Ustaz Abdullah Husin dari Johor, wakil daripada Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan juga Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut berucap di majlis berkenaan.

Azmi Hamid lancar Kempen "Tak Nak Judi" dan buku "Judi di Malaysia: Menghalalkan yang haram - Musibah kepada rakyat dan negara"


Dengan lafaz "salam reformasi", perhimpunan "Tak Nak Judi" oleh lebih hampir 3,000 orang di ibu negara petang semalam, Pengerusi Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) Mohd Azmi Abdul Hamid berasa teruja kerana tidak menyangka ada rakyat yang boleh bangun dan bangkit untuk menentang kemungkaran judi ini.

Katanya, sejak beliau dilahirkan hingga ke hari ini, tak terfikirkan akan terdapat sekelompok rakyat yang peduli dengan kemungkaran judi serta sedia bangkit pada hari ini bagi membersihkan judi dari menjadi kemungkaran rasmi ditaja oleh kerajaan Umno-BN.

"Selama 53 tahun cukuplah mereka menghancurkan negara. Kita tidak boleh terima ini lagi," katanya dalam perhimpunan yang berlangsung selama hampir 45 minit itu. Perhimpunan itu juga menunjukkan rakyat sudah tidak boleh menerima alasan yang diberikan oleh sesetengah pemimpin Umno-BN dalam menangani isu judi.

"Ada ulama mereka kata judi ini tidak ada kaitan dengan Islam. Orang ini sudah kenyang dengan judi. Seluruh rakyat telah nampak bencana. Yang menjalar dalam masyarakat bukannya kemungkaran kecil tapi oleh orang yang meraih keuntungan (daripada judi)," kata Mohd Azmi yang juga Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS).

Tegasnya, kempen "Tak Nak Judi" anjuran GMJ akan diteruskan walaupun kerajaan telah menarik balik keputusannya untuk memberikan lesen pertaruhan judi sukan sebelum ini. Pada kesempatan itu, beliau melancarkan Kempen "Tak Nak Judi" dan serentak itu melancarkan juga sebuah buku terbitan Teras bertajuk "Judi di Malaysia: Menghalalkan yang haram -  Musibah kepada rakyat dan negara".

Azmi yakin, rakyat kini sudah celik dan sedar dalam banyak perkara, dan tidak semudah itu untuk pihak kerajaan melakukan sebarang dasar menuju mungkar apatah lagi yang membabitkan judi di pelbagai peringkat. Dengan kehadiran lebih ramai anak-anak muda pada himpunan itu, menunjukkan kesedaran masa depan cukup kuat untuk mempastikan kerajaan tidak bermaharajalela meluluskan lesen judi di negara ini.

Hampir 3 ribu sertai Himpunan Tak Nak Judi: Slogan "Belia benci dadah" bertukar jadi "Belia benci judi"



Perhimpunan bermula pada kira-kira jam 5 petang semalam, Sabtu 3 Julai, bertukar menjadi program perhimpunan bagi pelancaran Kempen Tak Nak Judi oleh Gerakan Rakyat Mansuh Judi (GMJ). Hampir 3,000 membanjiri perkarangan Masjid Negara sebaik usai solat Asar.

Himpunan diketuai Pengerusi GMJ, Azmi Abdul Hamid dan para pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong kempen tersebut. Himpunan ini adalah lanjutan kepada demontrasi aman menentang judi bola sepak yang telah dibatalkan lesennya oleh Perdana Menteri minggu lalu. Ia suatu kejayaan amat berharga buat GMJ dan rakyat seluruhnya.

Bagaimanapun, ekoran tindakan kerajaan membatalkannya, "perhimpunan 100,000 orang itu' bertukar format sebagai satu lagi majlis pelancaran bagi kempen baru GMJ "Tak Nak Judi" bagi menolak semua jenis judi di negara ini.

Lebih 90 peratus yang hadir terdiri daripada anak-anak muda sekitar Lembah Klang dan IPTA serta IPTS di sini. Mereka kelihatan begitu ghairah tampil menentang semua judi yang dimaksudkan itu dengan membawa tema "Belia benci judi" iiatu tema popular kerajaan BN berkenaan dadah "Beliau benci dadah" yang tukar fokus kepada judi.

Turut berucap di majlis itu termasuk Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan; Ketua Pemuda PKR; Shamsul Iskandar Mat Akin, Ketua Penerangan PAS Pusat, Suhaizan Kaiat yang juga Setiausaha GMJ; Ketua Dewan Ulama PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin; dan beberapa pemimpin Islam dari negeri Pulau Pinang, Perak, serta wakil PKPIM, Abim, Gamis dan JIM. 

Kira-kira 50 polis dilihat mengawal keadaan di sekitar kawasan tersebut yang berakhir tanpa sebarang insiden. Tiada trak FRU kelihatan. Perhimpunan aman berjalan aman. Satu lagi bukti, tanpa provokosi polis, perhimpunan aman tetap akan aman. 

Sabtu, Julai 03, 2010

Blogger Buzz: Show off your Followers

Blogger Buzz: Show off your Followers

Jangan lupa tengahari ini: Himpunan Rakyat Tak Nak Judi di Masjid Negara Sabtu 3 Julai!


Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) tetap menganjurkan perhimpunan aman dikenali "Himpunan Rakyat Tak Nak Judi" pada tengahrai ini, Sabtu, 3 Julai jam 2 petang di Masjid Negara. Menurut Setiausahanya, Suhaizat Kaiat, walaupun judi bola sepak sudah ditarik balik kelulusannya, tetapi sebagai usaha untuk mendidik rakyat membenci judi yang baru bermula, masih terlalu banyak aktiviti perjudian dalam negara yang patut dicegah. 

Tegasnya, jika kerajaan menjadikan asas agama dan politik untuk membatalkan lesen judi sukan maka pihak kerajaan sememangnya wajar membatalkan lesen-lesen judi yang lain secara berperingkat.  "Rakyat perlu di didik membenci judi. Undang-undang perlu diperketatkan penguatkuasaanya," ujarnya kepada Sanggahtoksago.

GMJ katanya, mengajak semua pihak daripada pelbagai agama dan bangsa tanpa mengira fahaman politik agar dapat bersama dalam himpunan aman ini dan ia sangat penting bagi mempastikan rakyat Malaysia bebas daripada judi. 

Judi tegas Suhaizan sangat bertentangan dengan semua agama dalam dunia ini dan ia boleh meruntuhkan masyarakat dan negara. Selain pemimpin GMJ, beberapa pimpinan PAS Pusat akan turut bersama-sama rakyat menyatakan bantahan pada himpunan ini. 

Kontroversi artikel The Washington Post: Label Anwar Ibrahim & Recep Tayyip Erdogan fanatik anti-Israel


Oleh JACKSON DIEHL, Washington Post

Berikut terjemahan bebas MUHAMMAD NOR ABD SAMAD terhadap artikel bertajuk "Flirting with zealotry in Malaysia" yang disiarkan akhbar The Washington Post, Isnin 28 Jun 2010 yang menimbulkan polemik di Malaysia:

Anwar Ibrahim, pemimpin politik pembangkang Malaysia sejak sedekad yang lalu cukup terkenal sebagai pejuang demokrasi liberal di kalangan negara-negara Islam. 

Di antara kawan-kawannya yang ramai di Washington, termasuk ahli pergerakan neokonservatif ternama seperti Paul Wolfowitz, bekas Presiden Bank Dunia dan duta Amerika Syarikat (AS) ke Indonesia dan juga tokoh demokratik ternama Al Gore. Akhir-akhir ini Anwar menjadi tumpuan atas sesuatu yang lain pula: retorik keras mengenai Israel dan dakwaan "pengaruh Zionis" di Malaysia. 

Baru-baru ini beliau menyertai demonstrasi di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur di mana bendera Israel dibakar. Beliau mengecam kerajaan Malaysia kerana menggunakan perkhidmatan syarikat perhubungan awam Washington, Apco Worldwide yang "dikuasai Yahudi".

Terdapat satu cerita dalam era Obama - mengenai survival politik dan peribadi seorang ahli demokrat yang bermasalah dengan sedikit bantuan daripada Washington; mengenai peningkatan tekanan masyarakat antarabangsa terhadap Israel; dan mengenai peningkatan kesediaan sahabat-sahabat AS di beberapa tempat seperti Turki dan Malaysia untuk mengeksploitasikannya.

Pertama, sedikit mengenai Anwar: Sewaktu berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri di bawah orang kuat Malaysia Mahathir Mohamad dalam 1990-an, beliau mula menekankan soal pembaharuan - tetapi berkesudahan dengan beliau ditangkap, dibicara dan dipenjarakan atas tuduhan yang direka-reka iaitu liwat. 

Setelah dibebaskan enam tahun kemudian, beliau menubuhkan pergerakan pembangkang multietnik yang mengejutkan parti pemerintah dengan pencapaian yang diperolehinya dalam pilihan raya umum yang lalu. 
Pergerakan itu kini dilihat mempunyai peluang yang besar untuk memenangi kempen parlimen akan datang dan ini mungkin membolehkan Malaysia menyertai Indonesia dan Turki sebagai negara demokrasi majoriti Islam sepenuhnya. 

Tidaklah mengejutkan, Anwar didakwa sekali lagi. Sekali lagi atas tuduhan melakukan liwat, yang mengikut undang-undang Malaysia merupakan satu jenayah yang perlu dihukum sebat dan penjara sehingga 20 tahun. Anwar, 63, berkahwin dan mempunyai anak menafikan dakwaan tersebut, dan bukti-bukti yang dikemukakan sekali lagi dicurigai.

Sipenuduh yang berusia 25 tahun mengaku menemui Perdana Menteri Najib Razak dan berbual melalui telefon dengan Ketua Polis Negara beberapa hari sebelum kejadian liwat tersebut didakwa berlaku.

Perbicaraan yang diadakan tidak berjalan dengan baik. Jika ia berakhir dengan Anwar sekali lagi disabitkan bersalah, masa depan politik dan gabungan pembangkangnya mungkin musnah, begitu juga dengan hidupnya: Kesihatannya tidak begitu baik. 

Pemimpin pembangkang itu kali ini tidak mendapat sokongan sewajarnya daripada Amerika Syarikat, tidak seperti perbicaraannya yang pertama di mana timbalan presiden AS pada waktu itu, Al Gore bercakap bagi pihaknya. Obama tidak bercakap apa mengenai Anwar di khalayak ramai sewaktu menerima kunjungan Najib di Washington dalam bulan April lalu.

Selepas "dialog pegawai kanan" di antara dua kerajaan itu bulan ini, soal perbicaraan Anwar tidak juga dibangkitkan oleh Jabatan Negara kerana "isu telah pun dibincangkan dengan panjang lebar". Apabila menyentuh soal hak asasi manusia, pentadbiran Obama tidak mahu mengulangi perkara yang sama.

Anwar bagaimanapun menemui jalan untuk bertindak balas. Kalau selama ini beliau dihentam hebat oleh propaganda kerajaan mengaitkannya sebagai ejen Israel dan sahabat Amerika kerana berkawan dengan Wolfowitz, kali ini beliau menyerang dengan mengatakan Apco telah memanipulasi kerajaan untuk menyokong Israel dan kepentingan AS. 

Beliau juga berkata ejen Israel telah menyusup masuk dalam pasukan keselamatan dan "terlibat secara langsung" dalam urusan kerajaan. Najib menyifatkan Israel sebagai "gangster dunia". Tetapi beliau cepat memusingkan kata-kata Anwar terhadapnya: Apco berusaha melibatkan diri dalam kenyataan anti-Israel di sekeliling Washington.

Anwar adalah seperti Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan, yang disifatkannya sebagai kawan dan teman sepengembaraan. Kedua-duanya tahu bagaimana untuk melibatkan diri dalam perkara sebegini.  Kedua-duanya telah pun memulakannya - setahun selepas pentadbiran Obama melahirkan rasa tidak senangnya terhadap Israel. "Jika anda kata kami sudah hilang sabar terhadap Israel, itu benar," Anwar memberitahu saya. "Jika anda kata saya tidak berhati-hati bila bercakap kadang-kadang, itu juga benar."

Anwar yang berada di Washington buat beberapa hari minggu lalu, menghabiskan banyak masa cuba menjelaskan kepada kawan-kawan lama, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Howard Berman dan beberapa orang pemimpin Yahudi. 

Beliau berkata beliau kesal menggunakan istilah "pencerobohan Zionis" yang selalu digunakan oleh beberapa pemimpin seperti Mahmoud Ahmadinejad. "Mengapa saya perlu menggunakannya jika ia mendatangkan salah faham?" katanya. "Saya perlu berhati-hati."

Ramai di kalangan sahabat-sahabatnya di Malaysia bersedia memaafkannya. "Apa yang Anwar lakukan adalah salah, tapi memandangkan beliau sedang berjuang untuk hidupnya - secara fizikal dan politik - menentang kerajaan yang menyerangnya sebagai berkata 'boneka Yahudi', saya kira ia boleh dimaafkan," kata Wolfowitz memberitahu saya. Tetapi cerita Anwar perlu dibaca sebagai amaran. Perubahannya daripada seorang demokrat yang pro-Amerika kepada seorang fanatik anti-Israel merupakan sesuatu yang serius - dan ia kini mula menjadi trend.  

Khairy jadi tukang salak: Putar belit Utusan Malaysia penuhi dakyah APCO


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin diselar berikutan tuduhan yang dibuat ke atas Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam isu pertemuan dengan Yahudi di Amerika Syarikat. Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau disifatkan Anwar sebagai 'tukang salak' Umno dan semata-mata hanya untuk menarik perhatian pemimpin atasan sahaja.

Anwar sendiri tidak tahu apa tujuan sebenar Khairy berbuat demikian dalam masa yang sama bertelagah pula dengan Presiden Perkasa, Dato' Ibrahim Ali. Penasihat KeADILan itu berkata demikian ketika mengulas tentang kenyataan Khairy, yang menuduh beliau meminta maaf dengan pemimpin Yahudi semasa di Washington baru-baru ini.

Anwar menjelaskan sepatutnya Khairy bertanyakan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno siapa yang membayar yuran pengurusan komunikasi bernilai USD22 juta kepada syarikat yang ada kaitan dengan Israel?

"Bukankah kerajaan Umno dan Najib yang bayar. Perkara pokoknya isu Apco. Umno juga menggunakan Apco untuk menyerang saya di luar negara, selama ini saya dituduh sebagai agen Yahudi tetapi Umno menggunakan wang rakyat dan diberikan kepada Israel," ujarnya lagi.

Anwar juga memberitahu laporan di dalam Utusan Malaysia adalah satu penipuan besar kerana kenyataan yang dikeluarkan berkenaan dengan dunia sudah hilang kesabaran terhadap Israel tidak dijadikan tajuk utama tetapi menggunakan tajuk yang menyeleweng.

"Tajuk di dalam Utusan Malaysia hari ini (1 Julai) jelas berbohong kenapa mereka tidak meletakkan kenyataan bila dunia sudah hilang kesabaran dengan Israel. Inilah kerja APCO yang menjadi penasihat tidak berguna kepada kerajaan. Bayar RM70 juta maka semua itu tidak boleh disebut.

"Jadi atas alasan yang sama TV3 dan RTM tidak akan mengeluarkan kenyataan itu. Jadi apa isunya? Pendirian saya tentang Palestin tidak pernah berubah malah saya mengecam dasar yang digunakan Israel," katanya.

Anwar menjelaskan beliau berkawan dengan semua tetapi beliau tidak membayar beberapa tokoh Israel untuk mempertahankan beliau. Sebaliknya Umno-BN pula bertindak membayar APCO untuk mendapat pembelaan dari puak-puak Israel, katanya.  "Begitu juga lesen judi, saya tidak pernah luluskan lesen tetapi Umno meluluskanya. Jelaskanlah?" soal Anwar.

Ketua Pembangkang itu memberitahu, beliau ke sana kerana diundang oleh Woodrow Wilson Centre untuk satu ucapan dan sudah tentu mesyuarat diadakan bersama dengan kakitangan editor dan juga media antarabangsa.

"Kebanyakan dari mereka dari Amerika dan Yahudi mengatakan tidak adil bila menuduh Israel kejam kerana Zionis mempunyai negara yang adil dan sah. Saya nyatakan itu pendapat mereka tetapi pendapat saya jelas rejim Zionis Israel adalah penjajah dan zalim," tegas Anwar.