KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 18, 2012

Najib muntah angin: Bekas Timbalan Menteri Pelajaran serah borang jadi ahli PAS kepada Abdul Hadi Awang


Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Salleh Jafaruddin secara rasmi menyertai PAS, hari ini 18 Jun. Beliau menyerahkan borang keahlian kepada Presiden sendiri, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut sambil disaksikan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid. Salleh berkata, beliau menyertai PAS atas pilihan sendiri dan yakin dengan petunjuk Allah selepas melakukan solat istikharah.

"Selepas bermesyuarat dengan ahli Parlimen PAS bulan lepas, saya terus berfikir, istikharah minta petunjuk dari Allah. Kalau PAS ini baik untuk saya, baik untuk perjuangan keluarga, agama dan negara saya minta Allah tunjukkan. Mungkin hidayah atau petunjuk yang diilhami daripada istikharah itulah yang membuatkan saya buat keputusan untuk masuk PAS," kata beliau ketika ditemui selepas itu.

Salleh, 68 pernah menjadi Adun dan ahli Parlimen Sarawak dan pernah bertanding sebagai calon Bebas menentang Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kerusi DUN Balingian pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, tahun lalu. Salleh yang berketurunan Melanau dari Oya, merupakan dua pupu Taib. Beliau merupakan anak emas Tun Rahman Yaakob ketika menjadi ketua menteri dan gabenor dalam tahun 70-an dan 80-an itu, turut bersama Rahman dalam insiden Ming Court 1987 untuk menjatuhkan Taib. Kini, Salleh giat melibatkan diri dalam kerja-kerja dakwah secara persendirian di Sarawak dan membuka beberapa sekolah tahfiz.

"Saya ada aktiviti dakwah untuk menyebarkan syiar Islam secara persendirian di Sarawak sebab kedudukan saya sebagai pembangkang, sukar saya nak mendapatkan laluan ataupun kemudahan daripada kerajaan. Bahkan saya nak mengadakan sekolah tahfiz 19 tahun lalu guru-guru agama datang dari Indonesia saya terpaksa hantar ke Sabah," katanya.

Tambahnya lagi, selepas mengenali PAS dengan lebih dekat, beliau yakin dengan perjuangan PAS membawa Islam. Penyertaan beliau ke dalam PAS menambahkan lagi bilangan tokoh-tokoh pentadbir dan teknokrat yang bersama-sama dalam perjuangan Islam.

Gempar: Sultan Kelantan guna plat MUHAMMAD 5, ganti "Daulat Tuanku" dengan "Allahuakbar"


Jika pembida plat WWW1 adalah Sultan Johor, ini agak berbeza dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang memakai plat kereta rasminya MUHAMMAD 5 dalam tulisan jawi. Dengan latar belakang papan plat berwarna putih, MUHAMAD 5 ditulis menggunakan warna merah. Sultan Kelantan menggunakan nombor plat tulisan jawi kerana dipercayai nombor plat bagi seorang Sultan boleh diperolehi secara percuma. Seseorang Raja tidak mempunyai masalah untuk menguna apa pun nombor plat kereta.

Sebaik ditabal menjadi Sultan, langkah pertama beliau memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan "Daulat Tuanku" yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan "Allahu Akhbar". "Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. Itulah yang terbaik untuk rakyat saya," tegas Tuanku Sultan Muhammad V.

NGO Umno akan berbogel sambil berbasikal, setelah tunggeng punggung berjaya?


Umno dijangka akan melakukan apa sahaja yang boleh menarik perhatian bagi mengukuhkan pengaruhnya yang kian tenggelam ditelan Pakatan rakyat. Selain mengadakan acara "tunggeng punggung" yang tidak terfikir oleh rakyat yang beradab, mereka lakukannya di hadapan rumah Dato' S Ambiga, seorang India bulan lalu. 

Melalui NGO yang bertopeng ini, tidak menjadi masalah besar bagi mereka menunjuk rasa dengan kaedah berbogel sambil berbasikal seperti yang berlaku di Mexico City. Mereka sudah mengheret kepala lembu, menunggeng punggung, mengangkat isyarat lucah, mengangkat kain, mengundang K-Pop yang hanya memakai seluar katak, maka tidak mustahil akan ada kumpulan NGO yang berbogel sambil berbasikal nanti. 

Berpuluh-puluh orang berbogel dan mengayuh basikal di bandar Puebla, selatan Mexico, untuk membantah risiko yang terpaksa mereka hadapi di jalan raya. Dengan tulisan "sekarang kamu nampak saya?" dicat pada badan mereka, peserta protes itu juga berharap dapat menggalakkan aktiviti berbasikal sebagai sumber riadah serta memulihara alam sekitar, lapor Reuters.

Seorang daripada mereka, Artuto Rivera, berkata pengguna basikal berharap dapat mengubah keadaan melalui aktiviti berkenaan. Mereka berkumpul di satu daripada jalan paling sibuk di Puebla untuk menarik perhatian orang ramai. Walaupun sesetengah penunjuk perasaan wanita mengenakan pakaian mandi, kebanyakan lelaki memilih berbogel sepenuhnya ketika mengayuh basikal dalam hujan di tengah Puebla. Protes itu didorong kematian dua pengayuh basikal baru-baru ini. 

Tamrin Tun Ghafar Baba dedah kongkalikong Muhyiddin dalam isu Ladang Stamford Holding


Ahli Umno yang berceramah di pentas Pakatan Rakyat, Tamrin Tun Ghafar menjadikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai sasaran dalam satu ceramah di kawasan parlimen yang diwakili menteri tersebut. Bercakap kepada kira-kira 300 hadirin dalam majlis minum petang di Sungai Terap, Bukit Pasir, anak kepada timbalan perdana menteri Tun Ghafar Baba itu mengimbau kembali dakwaan yang timbul ketika Muhyiddin menjadi Menteri Besar Johor antara 1986 hingga 1995.

"Adakah awak ingat sewaktu beliau menjadi menteri besar dalam isu ladang Stamford Holdings, kerajaan negeri terpaksa pergi ke mahkamah dan akhirnya diselesaikan di luar mahkamah? Siapa yang untung? (Tan Sri) Syed Mokhtar Al-Bukhary. Siapa yang buat dia kaya? Muhyiddin," katanya dalam majlis anjuran PAS Johor di DUN Jorak, dalam parlimen Pagoh, 16 Jun lalu.

Tamrin merujuk kepada kes saman ke atas Muhyiddin, ahli perniagaan Datuk Yahya Taib dan Syed Mokhtar yang didakwa berkonspirasi untuk memiliki 6,600 ekar tanah yang dimiliki oleh Stamford Holdings. Syarikat itu mendakwa telah diugut bahawa, sekiranya ia tidak menyertai usahasama untuk membangunkan tanah tersebut dengan menyerahkan 70 peratus ekuitinya, tanah syarikat itu akan diambil alih oleh kerajaan negeri.

Muhyiddin menafikannya dakwaan tersebut, yang disifatkan sebagai cubaan untuk menjejaskan kredibiliti dan merosakkan imejnya. Kes tersebut berakhir dengan penyelesaian luar mahkamah di mana kerajaan negeri dan syarikat berkaitan diperintah membayar RM405 juta berbentuk pampasan untuk pengambilan tanah berkenaan.

Menunggu "kejantanan" Rosmah saman akhbar New York Post burukkan bakal menantu


Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor menyaman malu akhbar Amerika yang mendakwa bakal menantu mereka terlibat dalam kes penipuan. Zuraida berkata, tindakan undang-undang adalah penting kerana jika terbukti pendedahan itu benar, ia memalukan keluarga Perdana Menteri, selaku pemimpin negara.

"Rosmah harus bersedia dengan keputusan mahkamah dan jika disabit kesalahan, keluarga Najib patut saman, tak perlu menafikan," katanya kepada Keadilan Daily. Ahli Parlimen Ampang itu mengulas laporan media yang melaporkan bahawa sumber yang rapat dengan Rosmah menyatakan isu tersebut sengaja diperbesar-besarkan.

"Saya hairan bagaimana Rosmah boleh kata tidak ada kena-mengena dengan isu itu sedangkan tertuduh adalah bakal menantu dan suami kepada anak dia, melainkan pertunangan itu diputuskan," katanya. Awal minggu lalu, negara digemparkan dengan isu mengaitkan bakal menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa terlibat dalam kes penipuan. Berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan Amerika Syarikat, Daniyar Nazarbayez, 24, didakwa menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 (RM62 juta).

Tunang kepada anak perempuan Najib itu merupakan warganegara Kazakhstan dan mempunyai pertalian dengan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayez. Dokumen mahkamah itu menyebut, Daniyar memalsukan dokumen untuk memberikan gambaran bahawa dia berkelulusan sekolah tinggi di Kazakhstan bagi membolehkannya memasuki Universiti columbia, tempat di mana beliau bertemu Nooryana Najwa Najib.

Bagaimanapun, sumber akhbar itu berkata, dia sebenarnya bersekolah di Switzerland dan tidak menamatkan pelajaran. Rekod Columbia juga menunjukkan Daniyar masih dalam senarai bekas pelajar dan bergraduasi pada 2010. The New York Post melaporkan, jurucakap Columbia sudah dihubungi tetapi enggan mengulas lanjut. Dokumen mahkamah itu difailkan Bolat Nazarbayez, abang kepada Presiden Kazahkstan dan bekas bapa tiri kepada Daniyar. Bolat mendakwa Daniyar dan ibunya, Maira mengambil kesempatan terhadap beliau dengan menipu unit kondominium Plaza Hotel dan dua pangsapuri mewah bernilai berjuta-juta dolar di Wall Street.

"Saman itu menyatakan Daniyar sepatutnya menamakan bapa tirinya sebagai empunya apartment, sebaliknya meletakkan nama ibunya. Lapan bulan kemudian, Maira menjual apartmen tersebut kepada Daniyar dengan harga 1 dolar, kata kertas mahkamah," lapor The New York Post.

PTPTN tak mufliskan negara: Najib kata RM80 bilion tolak RM5 bilion negara jadi bankrap


Ketua Pembangkang yang merimaskan Umno-BN, Dato' Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk membatalkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika berjaya menawan Putrajaya dalam PRU-13 akan datang. Kata Anwar, Pakatan Rakyat mampu berbuat demikian kerana negara mengaut hasil minyak sebanyak RM80 bilion, sedangkan tanggungan kos PTPTN hanya RM5 bilion.

"Tapi Najib kata, RM80 bilion tolak RM5 bilion jadi bankrap," katanya sambil diiringi ketawa hadirin dalam ceramah di di Stadium Kajang. Lebih 5,000 hadirin membanjiri majlis ceramah Merdekakan Rakyat di stadium tersebut. Turut hadir dalam ceramah tersebut beberapa pemimpin Pakatan antaranya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, anggota Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan AJK PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

Saksi pertama Scorpene ke Perancis: "Anda boleh lari tetapi anda tidak akan boleh sembunyi"


Saksi pertama kes skandal penyelewengan kapal selam Scorpene akan hadir ke Mahkamah Perancis kerana sapina terhadapnya telah dikeluarkan, kata Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel. Saksi berkenaan ialah Jasbir Singh Chal, bekas Pengarah Perimekar Sdn Bhd yang juga pembantu kanan Abdul Razak Baginda.

Cynthia mengumumkan perkara itu di akhir Majlis Makan Malam Kutipan Dana Ops Scorpene anjuran Suaram yang dihadiri kira-kira 1000 orang, malam 16 Jun lalu. "Kita patut merasa gembira dengan perkembangan kes ini kerana saksi pertama iaitu Jasbir Singh, saksi yang terlibat dan mengetahui banyak maklumat akan dipanggil ke mahkamah (Perancis) kerana sapina sedang dalam perjalanan ke rumahnya," kata Chynthia.

Menurut Chynthia beliau difahamkan Jasbir bersetuju untuk memberi kerjasama bagi membantu perjalanan kes itu.
Tambah beliau, sapina dari Mahkamah Perancis itu akan dihantar kepada Jasbir Singh dalam masa seminggu dari sekarang.

"Kemudian Jasbir akan uruskan penerbangan ke Paris. Buat masa ini Suaram tidak akan ke sana, melainkan sekiranya muncul saksi baru penting yang lain," kata Cynthia. Selain Jasbir, individu lain yang akan turut dipanggil termasuk Perdana Menteri, Dato Seri Najib Razak; pemilik Perimekar Sdn Bhd dan Terasasi (HK) Limited, Abdul Razak Baginda serta isteri dan bapanya.

"Kes ini semakin terdedah sedikit demi sedikit, secara perlahan-lahan, jadi agak kurang bijak bagi seorang Menteri Pertahanan untuk mengatakan tidak terlibat. Manakala seorang Timbalan Perdana Menteri berkata 'no comment' dan tindakan bodoh untuk seorang Perdana Menteri berkata 'saya tidak perlu jawab'," kata Chyntia sinis.

"Disebabkan itu tema kita pada malam ini (majlis makan malam) ialah you can run but you cannot hide yang bermaksud "anda boleh lari tetapi anda tidak akan boleh sembunyi" dengan makna tersirat ditujukan kepada pengkhianat negara yang terlibat," jelasnya.

Lemas Umno dibuatnya: Bekas Ketua Jemaah Nazir KPM, AJK Umno Bahagian Gopeng kini sertai PAS


Belum reda isu kemasukan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi, Prof Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof menyertai PAS, kini seorang lagi bekas pegawai kanan kerajaan mengikut jejak langkah sama. Terbaru, bekas Ketua Jemaah Nazir Kementerian Pelajaran Malaysia, Haji Ahmad Zabidi Shamsuddin malam 16 Jun lalu, menyerahkan borang menyertai PAS.

Beliau menyerahkan borang itu kepada Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersempena Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Negeri Perak. Beliau berkhidmat dalam kerajaan selama 33 tahun dan di Kementerian Pelajaran hampir 10 tahun. Ahmad Zabidi juga pernah menjadi Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu dan bertugas sebagai pengetua di beberapa buah sekolah.

Dalam ucapan sulungnya, beliau berkata, di sepanjang beliau berkhidmat di Kementerian Pelajaran, pelbagai kezaliman dan penindasan berlaku. Katanya, kuasa politik pemerintah telah menguasai pentadbiran kerajaan.

"Orang yang  tidak menyokong BN akan dikenakan tindakan dan mereka ditukarkan jauh dari tempat asal," katanya di hadapan lebih 30 ribu hadirin. Ujar Ahmad Zabidi, tindakan itu semata mata guru-guru tersebut tidak sehaluan dengan kerajaan dan bukannya atas kesalahan yang berat.

"Yang menukarnya itu bukanlah Pengarah Pelajaran tetapi tindakan tersebut atas desakan oleh pemimpin Umno dan BN," jelasnya. Beliau menjelaskan, tindakan seperti ini masih berterusan dan lebih giat dibuat oleh pihak Kementerian Pelajaran atas arahan Umno dan BN.

Tambahnya, antara faktor lain mendorongnya menyertai PAS ialah dasar yang diperjuangkan oleh Umno ketika ini berkisarkan sistem sekular ciptaan manusia. Turut menyerahkan borang keahlian PAS ialah AJK Umno Bahagian Gopeng, Haji Nazri Nordin yang  bergelumang lebih 30 tahun dalam parti itu kini hilang keyakinan dan melihat perjuangan PAS adalah benar serta mewarisi perjuangan Rasulullah.

Foto: Zabidi (dua dari kanan) dan Nazri (dua dari kiri) diraikan selepas menyerah borang menyertai PAS kepada Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Sabtu, Jun 16, 2012

Tok Nan Brahim, Tok Tarmizi, Pak Salleh Bako, Ustaz Ismi, Dr Najihah di Markas PAS Kuchai Bota Parit, 16 Jun 9.30 malam ini


PAS Kawasan Parit akan mengadakan Ceramah "Tun Daim Ramal BN Menang 3 Negeri" di Markas Tarbiah PAS Kg Kuchai malam ini, 16 Jun, jam 9.30 malam. Antara penceramah yang diundang bekas Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Dato' Adnan Ibrahim dan bekas Setiausaha Dewan Negara yang juga Timbalan Setiausaha Bagi Dewan Rakyat, Pak Salleh Abu Bakar. Turut berceramah blogger Sanggahtoksago, Dato' Tarmizi Mohd Jam, Yang Dipertua PAS Parit, Ismi Muhamad Taib dan Ketua Muslimat PAS Perak, Dr Najihah Ahmad.

Tarmizi dijangka akan melancarkan Jentera Unit Peti Undi PAS Cawangan Kuchai pada malam ini. Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi mengikut kupasan menarik dan perkembangan terkini politik tanahair Malaysia.

Antara tangguh haji dan tuntutan sertai pilihan raya menurut syarak


Persoalan mengenai mana prioriti yang perlu diutamakan apabila melibatkan pertembungan ibadah Haji dan juga kewajipan mengundi sekiranya pilihanraya berlaku pada musim Haji dapat dilihat kepada beberapa aspek yang penting sebelum kesimpulan dibuat. Aspek-apek yang penting ialah mengetahui bentuk kewajipan ibadah Haji dan kewajipan mengundi dalam pilihanraya serta memahami kaedah feqh muwazanat dan feqh aulwiyat.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI

Haji merupakan rukun kelima dalam rukun Islam. Hal ini jelas berdasarkan kepada sabda Nabi SAW : “Dibina Islam itu atas 5 perkara (rukun), penyaksian tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad merupakan utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan puasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan.” – Bukhari dan Muslim

Bermula musim untuk umat Islam mengerjakan haji dengan ihram haji ialah pada bulan Syawal, Zulkaedah dan sehingga 10 Zulhijjah. Maka inilah ibadah Haji yang mempunyai waktu-waktu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Masa untuk mengerjakan ibadah) Haji itu ialah beberapa bulan yang tertentu.” – Surah Al-Baqarah : 197

Para ulama’ sepakat bahawa kewajipan haji adalah sekali sahaja bagi yang berkemampuan. Adapun kali yang kedua dan selebihnya merupakan ibadah tambahan yang dilakukan oleh individu tersebut sahaja, bukan atas dasar kewajipan. Hal ini dilihat kepada Nabi SAW tidak melaksanakan haji melainkan sekali sahaja iaitu Haji Wada’.[1]

Syarat wajib Haji ialah :
1 > Islam
2 > Baligh
3 > Berakal
4 > Merdeka
5 > Berkemampuan

Berkemampuan di sini dimaksudkan dengan cukup bekalan untuk melaksanakan ibadah Haji serta perjalanan yang ingin dilalui selamat ke atas jiwanya dan hartanya. Jika seseorang muslim tersebut tidak mencukupi salah satu syarat ini maka Haji tidak wajib ke atasnya. Dalam Mazhab As-Syafie, kewajipan Haji tidak wajib melaksanakannya di awal waktu, bahkan terpulang kepada seseorang muslim untuk melaksanakannya pada bila-bila masa (ketika mencukupi syarat-syarat wajib) sebelum luput kewajipan tersebut iaitu kematian dan sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu.

Sehubungan itu, sekiranya seseorang muslim tersebut mengetahui walau secara sangkaan yang kuat (zhan) akan seperti kematiaan dan sakit yang teruk maka haram baginya untuk melewatkan kewajipan haji sehingga menyebabkan luput kewajipan haji ke atasnya. Namun jika ia tidak mengetahui walau secara sangkaan yang kuat maka hukum kewajipan Haji kembali kepada asal iaitu terpulang kepadanya untuk melaksanakan kewajipan Haji pada bila-bila masa (apabila mencukupi syarat-syarat wajib).

Justeru, berdasarkan ilmu usul feqh berkenaan dengan kewajipan Haji ini, ia termasuk dalam kategori wajib muwassa’[2] (luas) iaitu wajib melakukan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan tersebut sebelum luput kewajipan itu. Maka kesimpulan mengenai kewajipan Haji dapat dibuat beberapa perkara:
> Wajib dan merupakan salah satu rukun Islam.
> Kewajipan hanya sekali sahaja.
> Kewajipan apabila mencukupi 5 syarat wajib.
> Termasuk dalam wajib muwassa’ (luas) iaitu boleh melaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh kewajipan sebelum luput kewajipan dengan sebab kematian atau sakit yang teruk.

Hukum Mengundi

Majoriti ulama’ menyatakan bahawa hukum mengundi wajib dan ia dikira berdasarkan kepada konsep penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah. Pendapat ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.

Justeru warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat dengannya.

Berkata Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam memilih calon yang baik (serta amanah)”

Hal ini demikian kerana mengundi mengundikan wasilah bagi memilih tampuk kepimpinan Islam dalam konteks mendirikan Negara Islam untuk melaksanakan syariat Islam secara menyeluruh. Sehubungan itu mengundi merupakan wajib kerana ia termasuk dalam wasilah bagi tujuan yang wajib iaitu mendirikan Negara Islam.

Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya, gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.

Imam Ibnu Qayyim menyebutkan bahawa jihad tidak hanya tertumpu kepada satu jenis sahaja iaitu menganngkat senjata berhadapan dengan musuh di medan perang. Sehubungan itru, Imam Ibnu Qayyim membahagikan jihad kepada 13 peringkat [3] iaitu:
>  Jihad menentang nafsu sebanyak 4 peringkat
> Jihad menentang syaitan sebanyak 2 peringkat
> Jihad menentang golongan kafir sebanyak 4 peringkat
> Jihad menentang golongan zalim, bid’ah dan fasik sebanyak 3 peringkat

Maka segala perbuatan yang dilakukan bagi memenangkan Islam atau menaikkan Islam merupakan jihad dan ketaatan kepada Allah SWT serta mendapat pahala di hari akhirat. Sekiranya membuang benda yang menyakiti di tengah jalan atau laluan manusia juga dikira dalam Islam sebagai perkara yang mendatangkan pahala serta salah satu cabang daripada iman sebagaimana dalam hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: “Iman itu lebih 70 cabang atau lebih 60 cabang, yang paling afdhal (tinggi) ialah (mengucap) penyaksian ‘tiada tuhan yang disemnbah melainkan Allah’ dan peringkat yang terendah ialah membuang perkara yang menyakiti (benda kotor dan sebagai) yang berada di tengah jalan. Malu itu satu cabang daripada iman.” [4]

Justeru apakah menentang serta menolak kezaliman (dengan cara mengundi kepada pihak yang adil dalam pilihanraya) tidak termasuk dalam berjihad di jalan Allah SWT? Maka sudah tentu ia juga termasuk dalam konteks berjihad, melihat kepada beberapa hujah iaitu:
1 > Ia merupakan seruan dakwah yang disebutkan oleh Allah SWT sebagai seruan yang berbentuk hikmah dan peringatan yang baik
2 > Waktu, masa, tenaga serta harta yang dibelanjakan bagi memenangkan pihak yang adil dan menarik masyarakat kepada perjuangan Islam dan menerima perundangan Islam merupakan jihad sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT berkaitan Allah SWT membeli jiwa serta harta mereka dengan bayaran syurga
3 > Termasuk juga dalam konteks menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia menyeru masyarakat dalam memilih perjuangan Islam dan menolak pihak yang zalim. Pihak yang tidak melaksanakan Islam adalah pihak yang zalim
4 > Undi juga dikira sebagai salah satu konsep nasihat iaitu menasihati pemimpin. Ia termasuk dalam seruan Islam berkenaan agama sebagai konsep nasihat.
5 > Termasuk dalam kewajipan masa kini iaitu menentang kerajaan yang zalim. Mengalahkan pihak dengan undian sebagaimana mengalahkan pihak musuh di medan perang. Tuntutannya mengalahkan pihak kezaliman dan memenangkan Islam walau dalam bentuk yang berbeza.

Sehubungan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa:
1 > “Sesiapa yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud:
2  > “Dan jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”
3 > Maka sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :
4 > “Dan hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”
5 > Dan sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak (dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :
6 > “Dan janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”[5]

Justeru berkaitan hukum mengundi, dapat disimpulkan kepada beberapa perkara:
> Mengundi merupakan satu kewajipan kerana mengundi merupakan wasilah bagi memilih kepimpinan Islam dalam mendirikan Negara Islam.
> Mengundi dalam pilihanraya termasuk dalam konteks jihad kerana menentang kezaliman dan menolak pihak yang melawan syariat Islam bagi memenangkan pihak Islam atau gerakan yang membawa perjuangan Islam.
> Dalam ilmu usul feqh, kewajipan mengundi termasuk dalam wajib mudhaiyaq (sempit) iaitu mesti dilaksanakan pada waktu itu juga. Iaitu tempoh mengundi bagi pilihanraya Malaysia adalah 5 5 tahun sekali, maka kewajipan mengundi adalah pada waktu pilihanraya sahaja iaitu dalam tempoh 5 tahun sekali.
> Kewajipan mengundi adalah setiap kali berlakunya pilihanraya.

Feqh Muwazanat Dan Feqh Aulawiyat

Feqh muwazanat ialah pemahaman bagi sesuatu perkara yang bertembung samada pertembungan di antara maslahat dengan mudharat atau pertembungan maslahat dengan maslahat, mudharat dengan mudharat. Feqh Aulwaiyat ialah memahami keutamaan bagi sesuatu perkara dalam mendahulukan apa yang sepatutnya didahulukan. Maka kedua-dua feqh ini mempunyai kaitan yang sangat rapat kerana dalam permasalahan yang timbul iaitu yang melibatkan pertembungan 2 perkara maka kita mesti memahami pertembungan yang berlaku sebelum mendahulukan atau mengutamakan sesuatu perkara tersebut.

Antara contoh yang disebutkan dalam Al-Quran ialah, firman Allah SWT yang bermaksud: "Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji dan memakmurkan MAsjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah."

Maka dalam ayat tersebut perbuatan memberi minum dan memakmurkan Masjid Al-Haram merupakan kebajikan namun ia bukanlah aulawiyat yang dikehendaki oleh Allah sehingga mereka tidak mahu beriman serta berjihad. Maka aulawiyat yang patut diutamakan ialah beriman serta berjihad. Sebab itu Allah menyebut 2 golongan tersebut tidak sama martabat mereka di sisi Allah. Justeru, dalam konteks jika pilihanraya berlaku pada musim Haji, maka kita mesti mengambil kira dari sudut feqh muwazanat dan feqh aulawiyat. Penilaian ini dapat dilihat kepada:

Feqh Muwazanat
1 > Haji merupakan kewajipan dan ia adalah termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu rukun Islam. Mengundi merupakan kewajipan dan ia juga termasuk dalam konteks maslahat dan martabat dharuriyatnya adalah martabat agama iaitu wasilah bagi mendirikan agama.
2 > Hasil kewajipan menunaikan Haji adalah kembali kepada individu yang melakukan Haji tersebut. Hasil kewajipan mengundi adalah kembali kepada umum iaitu pemerintah Islam yang diundi dan menang akan membawa maslahat umum dalam pemerintahannya.
3 > Kesan tidak melaksanakan Haji pada tahun tersebut akan memberikan mudharat individu tersebut sahaja (iaitu masih belum melaksanakan kewajipan Haji) dan kewajipan tersebut boleh diganti dengan peluang pada tahun-tahun yang akan datang. Kesan tidak mengundi akan memberikan kesan yang umum (apabila pihak Islam dikalahkan oleh pihak yang menolak perjuangan Islam) dan kesannya adalah sepanjang tempoh 5 tahun iaitu Islam tidak dapat memerintah dan kezaliman akan memerintah sepanjang tempoh tersebut.

Justeru, ibadah Haji dan mengundi merupakan pertembungan di antara maslahat dan maslahat, maka konsep yang dilihat adalah kepada 3 perkara[6] sebagaimana yang dibentangkan di atas, iaitu:
> Martabat maslahat. Haji (agama) dan mengundi (agama)
> Kadar menyeluruh samada umum atau individu. Haji (individu) dan mengundi (umum)
> Kesan waktu mudharat samada pasti atau tidak. Haji (pasti berlaku mudharat tetapi tahun tersebut sahaja) dan mengundi (pasti berlaku mudharat tetapi untuk tempoh 5 tahun)

Feqh Aulawiyat
> Haji merupakan penting iaitu tahap wajib. Mengundi merupakan penting iaitu tahap wajib.
> Haji tidak segera iaitu termasuk dalam konteks wajib muassa’ (luas), tempoh melaksanakannya sebelum luput kewajipan iaitu kematian atau sakit teruk. Mengundi termasuk dalam konteks wajib mudhaiyyaq (sempit), tempoh melaksanakannya ialah dalam waktu kewajipan tersebut ketika dalam pilihanraya.

Maka dalam penilaian feqh aulawiyat dilihat kepada sesuatu kondisi perkara tersebut samada penting atau tidak, dan segera atau tidak. Hasilnya sebagaimana yang telah dibentangkan di atas.

Kesimpulan: Berdasarkan kepada pembentangan di atas mengenai hukum Haji dan mengundi dalam pilihanraya serta pemahaman mengenai feqh aulwaiyat dan feqh muwazanat, dapat kita ketahui bahawa:
1 > Haji dan mengundi merupakan kewajipan dan maslahat serta martabat dharuriyatnya adalah peringkat agama kerana Haji merupakan salah satu rukun Islam manakala mengundi merupakan kewajipan dalam mendirikan agama.
2 > Haji lebih fokus kepada individu yang melakukan ibadah Haji terseut iaitu maslahat dan mudharat adalah ke atas individu sahaja. Adapun mengundi lebih fokus kepada umum iaitu maslahat atau mudharat yang bakal terima menyebabkan pihak yang ramai dan umum.
3 > Haji dan mengundi merupakan penting kerana ia merupakan kewajipan namun Haji tidak termasuk dalam konteks yang perlu diselesaikan segera (wajib muwassa’) manakala mengundi mesti dilaksanakan segera iaitu dalam tempoh tersebut juga (wajib mudhaiyyaq).
4 > Kewajipan haji adalah sekali sepanjang hayat manakala kewajipan mengundi adalah setiap kali pilihanraya.

Sehubungan itu hasil perbincangan di atas menjelaskan beberapa perkara:
1 > Pihak kerajaan (mana-mana negara terutama Negara-negara Islam), elakkan daripada berlakunya pertembungan tarikh antara pilihanraya dan ibadah Haji bagi meraikan syiar Islam iaitu Haji agar umat Islam dapat fokus untuk melaksanakan ibadah Haji sepenuhnya.
2 > Jika terdesak seperti tidak ada tarikh yang lain melainkan terpaksa bertembung maka umat Islam mesti peka dan faham terhadap aulawiyat antara 2 kewajipan ini.
3 > Individu yang sudah melakukan Haji sebelum ini, tidak menjadi keutamaannya lagi untuk melakukan ibadah Haji ketika itu, kerana Haji wajib sekali sahaja. Maka apabila bertembung perkara wajib (mengundi) dengan sunat (Haji kali ke-2 dan seterusnya) didahulukan perkara wajib (mengundi).
4 > Jika bertembung antara 2 kewajipan iaitu ibadah Haji dan mengundi maka sebagaimana perbincangan di atas, diutamakan mengundi. Sirah menunjukkan bahawa jenazah Nabi SAW dikebumikan selepas para sahabat berbincang melantik ketua pemimpin. Besarnya kewajipan melantik pemimpin sehingga dilewatkan pengebumikan jenazah baginda SAW.
5 > Jika individu yang sudah mendapat peluang mengerjakan Haji, akan tetapi berasa berat untuk menangguhkan ibadah Haji tersebut kerana bimbang berlaku mudharat besar yang dirasakan, maka jangan niat larikan diri daripada kewajipan mengundi, akan tetapi wajib ke atasnya ketika itu berdoa di depan Kaabah agar diberikan kemenangan kepada pihak Islam. Namun perlu ingat, walaupun begitu, keutamaan yang sebenar ialah mengundi (berdasarkan perbincangan di atas).
6 > Umat Islam perlu memahami kaedah bahawa menanggung mudharat yang kecil (wang dan masa kerana terpaksa tunggu giliran untuk ibadah Haji) supaya menghilangkan mudharat yang lebih besar (pihak zalim memerintah disebabkan pihak Islam hilang undi).

Rujukan:
(1) Al-Intikhabat Ahkam Wa DHawabit, oleh Dr Akram Kassab, cetakan Dar As-Salam. (2) Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Sharouq. (3) Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, Dr Abdul Aziz Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah. (4) Dhawabit Al-Maslahat, Dr Muhamad Said Ramadhan Al-Buti, cetakan Dar Al-Fikr. (5) Nihayah As-Sul Syarh Minhaj Al-Wusul Ila ‘Ilmi Al-Usul, cetakan Dar Ibnu Hazm. (6) Hasyiah Baijuri, cetakan Dar Al-Maktab Al-Islami

>> Rencana ini ditulis oleh Ustaz Muhamad Zuhaili Saiman, Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Dr Awang Adek dicabar tunai haji ke Mekah jika PRU-13 diadakan pada musim haji


Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Dato' Dr Awang Adek Hussin dicabar menunaikan haji kalau PRU-13 diadakan serentak dengan musim haji tahun ini. Ketua Penerangan PAS Pahang, Haji Suhaimi Saad berkata, Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan mesti membuktikan beliau lebih pentingkan haji dari politik dengan berbuat demikian, ekoran bidasan beliau kononnya PAS lebih mementingkan politik daripada agama.

"Kalau calon itu meninggal dunia tidak sempat pergi Mekah, siapa tanggung dosa? Adakah Tuan Ibrahim, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat nak tanggung dosa ini?" soal beliau seperti dilaporkan Sinar Harian.


Terdahulu, Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang meminta calon Pas terpilih dalam pilihan raya menangguhkan ibadah haji sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, tindakan Tuan Ibrahim itu membuktikan Pas meletakkan kepentingan politik mengatasi agama. Awang Adek berkata, pemimpin Pas dilihat mengetepikan kepentingan agama kerana cuba menangguhkan bakal haji menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Kalau calon itu meninggal dunia tidak sempat pergi Makkah, siapa tanggung dosa? Adakah Tuan Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat nak tanggung dosa ini,”  katanya kepada Sinar Harian, 14 Jun lalu.

Lihatlah tajuk utama KOSMO dan gambar karikatur yang menyindir pembida Plat WWW1


Mengikut fahaman pengamal media, bahan berita untuk tajuk depan adalah yang paling utama. Ia dipilih oleh editor berdasarkan dasar akhbar tersebut. Tidak mudah untuk mendapat ruang muka depan jika tiada motif. Inilah yang ditampilkan KOSMO 8 April dengan tajuk "SANGGUPKAH ANDA BAYAR RM500 UNTUK NOMBOR PLAT INI?". Kenapa KOSMO akhbar tunggangan Umno ini menyiarkan berita ini di muka depan? Nak tunjukan kekayaan, pembaziran atau apa?

Pada 25 Mei, sekali lagi berita ini di sensasikan dengan laporan muka depannya.Kali ini KOSMO yang Umno dobelakangnya memilih tajuk muka depannya "Plat WWW1 berharga RM520,000" dengan huraian teks sebalah kiri muka surat depan itu "Seperti yang dijangka nombor pendaftaran plat WWW1 mencipta rekod baharu apabila menerima bidaan tertinggi bernilai RM250,000, jauh mengatasai rekod yang dipegang nombor MCA 1 yang dijual pada harga RM300,100 pada tahun 2010".

Pada 28 Mei sekali lagi KOSMO memainkan isu ini bahkan cara serangan yang dibuatnya sama sahaja dengan apa yang di tweet oleh bekas Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaludin melalui kartun yang disiarkannya. Apabila media menyiarkan plat WWW 1 ini diletakkan di kereta Satria Neo sekali lagi Kosmo mempermainkan isu ini sebagaimana karikatur yang disiarkan. Dua karikatur jelas menyindir Sultan Johor oleh KOSMO.

Nizar hanya menulis dalam tweetnya: "rm520k boleh dibelanjakan membantu rakyat melayu johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah pprt!" - jadi dimana yang dikatakan menghina? Alahai Umno-BN dah habis isu... nak jawab susah jadi timbulkan isu yang mereka cipta dan halakan kepada Pakatan Rakyat.

Demam PRU-13: 105 kerusi 'di tangan', Pakatan Rakyat boleh sungkurkan Umno-BN

Pakatan Rakyat yakin akan memperoleh sekurang-kurangnya 105 kerusi Parlimen dengan selesa, dan boleh menambah tujuh lagi kerusi untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan peringkat Persekutuan pada PRU-13. Pengarah Strategi KeADILan, Mohd Rafizi Ramli berkata, pihaknya meletakkan keyakinan itu berdasarkan perkembangan demografi dan sokongan pengundi termasuk di Johor, Sabah dan Sarawak.

"Ini bukan lagi harapan, tetapi keyakinan. Kami yakin boleh memperoleh 105 kerusi selepas menolak beberapa kerusi, kemungkinan tiga hingga empat kerusi yang kami miliki sekarang boleh kalah, tetapi kami akan menang di tempat-tempat lain. Pada pilihan raya umum 2008, kami (Pakatan) menang 82 kerusi. Status quo jumlah kerusi 2008 akan kekal, selepas tolak dan tambah kerusi yang akan dimenangi dan kemungkinan kalah, kami yakin akan memperoleh kerusi tambahan di Johor, Sabah dan Sarawak," kata beliau seperti dilaporkan Sinar Harian.

Secara purata, katanya, Rafizi berkata, Pakatan boleh memperoleh 24 kerusi, masing-masing lapan dari Johor, Sabah dan Sarawak. "Di Johor, daripada 26 kerusi Parlimen, sebanyak 18 kerusi berada dalam bahaya, kesemua kerusi-kerusi yang mempunyai pengundi campuran," kata beliau. "Kalau tengok keadaan 'mood', saya yakin kami boleh mendapat lapan kerusi di Johor.

"Begitu juga di Sarawak, dengan mengambil kira perkembangan politik dan prestasi pilihan raya negeri tahun lalu, kami boleh memperoleh tambahan lapan kerusi Parlimen dan begitu juga di Sabah," katanya lagi. Rafizi melahirkan keyakinan itu khususnya di kawasan-kawasan majoriti bukan Muslim di Sabah dan Sarawak.

Pada PRU-12, Pakatan yang terdiri daripada DAP, KeADILan dan PAS, pembangkang menang satu kerusi Parlimen dan 25 oleh BN. Di Sabah dan Sarawak, yang masing-masing menawarkan 25 dan 31 kerusi, BN memperoleh 54 kerusi. "Kira-kira 100 daripada 140 kerusi dimenangi BN empat tahun lalu datang dari tiga negeri ini," katanya.

Hipokrit: Umno undang Parti Komunis China untuk kukuh hubungan Umno-PKC


Kerajaan Umno-BN kini umpama "senjata makan tuan" kerana menuduh kononnya terdapat usaha oleh aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menghidupkan semula ideologi Komunis di negara ini. Walhal tuduhan itu memakan diri mereka sendiri apabila delegasi Parti Komunis China (PKC) tiba di negara ini, 14 Jun lalu, kononnya bagi perkukuh hubungan. Menurut portal kawalan Umno, Anggota Jawatankuasa Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC), He Guoqiang tiba di sini untuk lawatan kerja empat hari.

Ketibaan He, yang juga Setiausaha Suruhanjaya Pusat bagi pemantauan disiplin CPC bersama anggota delegasinya, disambut Duta Besar China ke Malaysia, Chai Xi dan Setiausaha Kerja Umno, Dato' Ab Rauf Yusoh. Ab Rauf dilapor berkata, ketibaan He adalah atas jemputan Kerajaan Malaysia dan Umno untuk memperkukuh hubungan kepimpinan antara kedua-dua parti dan negara.

"Malah peminjaman sepasang beruang panda dari Kerajaan China juga adalah simbolik persahabatan antara kedua-dua negara," katanya dipetik. Sepanjang lawatan ke Malaysia, He dijadual membuat kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada 26 Jun tahun lalu, 30 aktivis PSM ditahan di Pulau Pinang dalam kempen bertemakan "Udahlah..Bersaralah..." Kerajaan Umno-BN menerusi polis pernah menuduh aktivis berkenaan menghidupkan semula gerakan Komunis dan cubaan memerangi yang Dipertuan Agong. Tindakan Umno BN itu bertujuan menyekat Perhimpunan Aman Bersih 9 Julai tahun lalu.

Tuduhan ini kononnya kerana polis menjumpai kemeja dan risalah dengan gambar pejuang kemerdekaan seperti Rashid Maidin, Abdullah CD dan Suriani. Namun, hari ini, tuduhan itu balik semula memakan diri kerajaan Umno BN.

Sayuti bidas tidakan Nizar Jamaluddin mohon maaf kepada Sultan Johor


Rakan saya Mohd Sayuti Omar dalam blognya Merah Tinta MSO menyifatkan dalam isu kontroversi plat kereta WWW1 yang dibida Sultan Johor, Datuk Seri Nizar Jamaluddin sudah pun merasai 'derita' bagaimana kejujuran dan niat baiknya telah memakan diri. Semoga Nizar insaf dan selepas ini gam terus soal-soal sultan dan raja dari perbicaraan politiknya, kata Sayuti.

"Begitu juga hasrat nak jumpa sultan Johor dan mohon maaf rasanya tidak perlu. Lagipun raja tidak menjawab surat permohonannya. Kalau sultan tidak hendak jumpa diamkan saja, jangan kita mengada-ngada hendak tunjuk berani. Silap hari bulan keberanian dan ketulusan itu akan memarahkan lagi diri kita."

Bidas Sayuti, Nizar harus belajar daripada kesilapan lalu untuk memulihkan reputasinya dalam politik. Gara-gara telah melakukan "sembah derhaka" kepada Sultan Perak - walau pun istilah itu ada yang menganggap Nizar derhaka. Parahnya konotasi dan erti derhaka atau tidak itu bukan ditentukan oleh raja dan sultan tetapi mereka yang mencari perlindungan dari istana.

Jumaat, Jun 15, 2012

Tok Guru Nik Aziz beri amaran, Najib jangan buat PRU-13 dalam musim haji


Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, haji bukan ibadat yang perlu disegerakan. Mursyidul Am Pas itu berkata, Rasulullah SAW sendiri menunaikan haji pada tahun ke 10 Hijrah meskipun wahyu wajib haji turun pada tahun keenam Hijrah lagi, lapor Sinar Harian.

"Ini menandakan ibadat haji tidak mesti dibuat segera," katanya. Nik Aziz berkata, perkara itu yang membuat beliau berasa pelik terhadap sistem haji di negara ini. Apa yang pelik berlaku di tempat kita, apabila tersenarai nama di Tabung Haji, kena pergi selalu (segera). Nabi Muhammad sendiri tunai haji pada tahun ke-10," katanya. 

Dalil itu, kata Nik Aziz menunjukkan Islam membenarkan penganutnya menangguhkan haji walaupun sudah tersenarai dalam kumpulan yang layak menunaikan ibadat tersebut. 

Dalam pada itu, beliau tetap meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi jaminan tidak akan mengadakan pilihan raya pada musim haji kerana ibadat itu sangat penting bagi umat Islam.

"Isu ini tak akan berbangkit kalau Umno yang jadi kerajaan faham kepentingan orang Islam. Fahamlah sikit bagaimana susah orang nak pergi haji, baik Pas mahupun Umno. Bukan senang nak dapat peluang buat haji. Oleh itu, saya minta janganlah buat pilihan raya pada musim haji dan juga pada musim perayaan," katanya.

Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika ditanya pendiriannya mengenai kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilaporkan telah menasihatkan ahli parti itu supaya menangguhkan ibadat haji tahun ini jika pilihan raya diadakan pada musim haji.

Tuan Ibrahim dalam e-mel terbarunya, bagaimanapun menjelaskan, kenyataan beliau pada 5 Jun yang disiarkan portal berita Selangorku itu telah diputar belit daripada maksud asal yang hanya menjurus kepada calon, wakil  atau ejen parti seperti pengarah pilihan raya.

Menurut Tuan Ibrahim, tujuan kenyataannya itu adalah supaya Perdana Menteri sendiri memberi jaminan pilihan raya tidak akan diadakan pada musim haji seperti yang berlaku pada 1985. 

"Bila pilihan raya akan diadakan memang tiada siapa yang tahu. Adakah pada musim haji? Jawapannya, mungkin. Jika pada musim haji, wajar atau tidak? Jelas tidak. Ada jaminan untuk tidak ada pilihan raya pada musim haji? Jawapannya, tidak ada. 

"Sebab itu Pas mendesak Perdana Menteri jaminan, dan kita tekankan jika demi untuk menang Umno buat pilihan raya pada musim haji, mereka yang terlibat ini kita kita minta tangguh haji. Mereka ialah  calon, wakil calon dan ejen parti sebab golongan ini dalam Pas, ramai yang sudah haji," katanya.

Anak Jamaluddin Jarjis dapat RM280 juta projek sistem kawalan trafik berbahaya


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendapati, projek sistem baru kawalan trafik yang mengancam ruang udara negara diberi kepada keluarga menteri. Menurutnya, dalam carian syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tertera nama Ikhwan Hafiz Jamaluddin iaitu ahli keluarga bekas Menteri sebagai Pengarah Tirai Variasi Sdn Bhd Advanced Air Traffic System (M) Sdn Bhd.

"…Saya tanya, dan ini belum dijawab oleh Kementerian (Pengangkutan)," katanya pada sidang media di Parlimen, 14 Jun lalu. Naib Presiden KEADILAN itu turut mempersoal adakah menjadi norma Kerajaan Umno BN menganugerahkan satu daripada projek kerajaan kepada keluarga menteri.

"Apakah alasan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) memberi kontrak sistem yang cukup penting ini secara rundingan tertutup?" soalnya lagi.

Beliau turut menunjukkan salinan dokumen dari SSM kepada media yang mempamerkan Ikhwan Hafiz Jamaluddin, 25, sebagai Pengarah Tirai Variasi Sdn Bhd. Tirai Variasi adalah pemegang saham utama Advanced Air Traffic System (M) Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak bernilai RM280 juta itu.

Apabila ditanya wartawan mengenai kesahihan dakwaan tersebut, Izzah menjawab, kementerian patut menafikannya jika dakwaan itu tidak benar.

"Sekali lagi, saya persoalkan nama tersebut dan (saya) belum terima sebarang jawapan. Saya sudah hantar surat pertanyaan (kepada Kementerian Pertahanan dan DCA) sebelum ini, namun masih belum terima maklum balas dari mereka," jelas Izzah lagi. Bagaimanapun, carian media mendapati Ikhwan adalah anak kepada Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Pada 8 Jun lalu, Izzah bersama-sama Naib Presiden KEADILAN, N Surendran dan Tian Chua menyerahkan memorandum kepada DCA mengenai sistem baru Human Trafic Interface yang membahayakan ruang udara negara. Sistem itu turut dibangunkan bersama syarikat Selex Sistemati Integrati dari Itali yang dikaitkan dengan pelbagai tuduhan rasuah di Itali, Cyprus, Panama dan Namibia.

Bukti media Umno kaki auta lagi: Tuduhan Anwar sorok RM3b tidak berasas


Bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Abdul Razak Idrus memberitahu, siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai kaitan dengan kepentingan barat, didapati tidak berasas.

Abdul Razak, yang kini telah bersara tetapi menjadi pengarah dalam beberapa syarikat, berkata, BPR telah menyiasat perkara itu ekoran dakwaan yang dibuat dalam akuan bersumpah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid. Katanya, sepasukan pengawai BPR telah ke Singapura dan United Kingdom untuk menyiasat dakwaan tersebut.

"Kami berjumpa dengan Murad dan beberapa saksi di Britain. Tetapi siasatan mendapat 'tiada kes' terhadap Anwar berhubung dakwaan dalam akuan bersumpah Murad," katanya memetik semula laporan Malaysiakini.

Beliau menjelaskan demikian di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 November 2009. Bekas Pegawai Kanan BPR itu memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Anwar terhadap News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad.

Anwar memfailkan saman itu pada 4 Julai 2003. Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu, disiarkan pada 2 Mac 2002. Oleh itu, katanya, beliau membuat kesimpulan bahawa dakwaan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak berasas dan mengarahkan supaya siasatan ditutup. Murad menandatangani akuan bersumpah itu pada 20 Oktober 1999 – kira-kira sebulan selepas Anwar ditahan selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada awal September tahun berkenaan. Abdul Razak kemudiannya membuat akuan bersumpahnya mengenai perkara itu dan mengemukakannya kepada mahkamah. 

NSTP diarah bayar RM100,000 pada Anwar Mahkamah Tinggi mengarahkan NSTP membayar gantirugi RM100,000 kepada Anwar berhubung penyiaran artikel berunsur fitnah itu. Mahkamah juga memerintahkan syarikat media itu membayar kos RM20,000 kepada Ketua Umum KEADILAN itu.

Sebelum itu, mahkamah memutuskan bahawa NSTP telah memfitnah Anwar dalam artikel yang disiarkan dalam akhbar NST pada 2 Mac 2002. Artikel tersebut yang bertajuk ‘Anwar’s link to US lobbyist’ mendakwa Ketua Pembangkang itu menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai hubungan dengan kepentingan barat. Artikel itu berdasarkan kepada satu lagi artikel – ‘The Bush Administration’s dubious envoy to Taiwan’ – yang disiarkan dalam edisi Mac 2000 majalah mingguan politik New Republic.

Dalam keputusannya, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Harminder Singh Dhaliwall dipetik berkata, NSTP tidak boleh menyandarkan pembelaannya atas alasan kelayakan terhad kerana artikel tersebut berniat jahat dan lebih daripada sekadar menerbitkan semula artikel majalah New Republic. Oleh itu, katanya, mahkamah mendapati artikel tersebut berunsur fitnah dan defenden perlu membayar gantirugi kepada Anwar.

Terbongkar: Khalid dedah agen Umno-BN tawar RM2 juta beli MP Pakatan Rakyat


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini menayangkan video pendek yang didakwa bukti cubaan agen Umno Barisan Nasional (BN) membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Rakaman sepanjang 3 minit 41 saat itu mengandungi perbincangan antara lima orang di sebuah restoran di ibu negara.

Mereka terdiri daripada dua orang agen yang membuat tawaran, dua orang wakil ahli parlimen (MP) Pakatan Rakyat dan seorang driver kepada agen. Khalid turut mendedahkan salah seorang agen tersebut adalah bekas ketua AMK Kedah, Zamil Ibrahim yang kini mengaku dirinya sebagai pemimpin Parti Kesejahteraan Tanah Air (Kita).

Antara kandungan perbincangan itu, salah seorang dari wakil ahli parlimen Pakatan itu berkata "Dua juta tak berapa cukuplah". Lalu disambut oleh seorang lagi agen yang dinamakan Mr. X berkata "kita punya maksimum is like that...".

Kemudian kedengaran Zamil mencelah dengan berkata "kita dapat syiling sahaja...cuma itu Pak Zahrain...". Rakaman perbincangan itu diakhiri dengan Mr. X berkata "Mula-mula dia dah bagi, lepas tu dia increase...tapi dalam Barisan Nasional sudah ada dah, ini price mana standardized,". Lalu Zamil mencelah dengan berkata "Directlah!".

Menurut Khalid, rakaman yang didedahkan hari ini (gambar bawah) adalah sebahagian daripada rakaman sepanjang 3 jam. Katanya perbincangan itu dirakam dua tahun lepas selepas beberapa ahli parlimen dari PKR melompat termasuk Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim dan juga Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong.

"Video ini membuktikan bahawa pembelian ahli parlimen Pakatan Rakyat memang dijalankan oleh agen-agen yang bertindak bagi pihak Umno. Sebelum ini kita tidak ada bukti, tapi sekarang kita ada bukti dan kita mintak orang yang dinamakan (Zamil) memberi respons," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga turut mempersoal kemewahan yang diperolehi Zamil sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Zamil katanya kini tinggal di banglo mewah di Kelab Cinta Sayang di Sungai Petani dan memiliki beberapa kereta mewah. Sedangkan kata Saifuddin, beliau hanya mengenali Zamil dengan latar belakang seorang penjual burger, dan isterinya hanya penjual alat kosmetik tradisional.