KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, April 28, 2009

Utusan Malaysia juga berahi dengan pendedahan Nik Abduh pada blognya!

Tok Guru Nik Aziz bersama Salahuddin Ayob dan Setiausaha Politiknya, Anual Bakri Haron meraikan Amy Seacrh di Restoran Cheng Ho milik penyayi rock itu di Wangsa Maju tahun lepas


MURSYIDUL Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia untuk menerima kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden parti itu dengan syarat Barisan Nasional (BN) memberikan jawatan-jawatan penting seperti Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran, lapor Azran Fitri Rahim untuk Utusan Malaysia.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata dalam blog anaknya, Nik Abduh: "Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya.

"Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran misalnya. Kita nak jadi Perdana Menteri, mesti mereka tidak terima. Jadi, kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama."

Nik Abduh menjelaskan jawapan tersebut diungkapkan oleh bapanya ketika beliau membangkitkan soal penerimaan kerajaan BN dan pakatan pembangkang yang disifatkan kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam - ketika mereka berdua sedang berbual.

Bagaimanapun, Nik Abduh ketika dihubungi Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tulisannya itu memberitahu, beliau akan hanya menjelaskan semuanya dalam blog tersebut pada masa akan datang.

Dalam blognya itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan menyifatkan, pembantu-pembantu ayahnya memberikan gambaran salah tentang situasi yang berlaku demi meraih keuntungan politik sehingga menunjukkan seolah-olah budaya kotor mula menular dalam PAS.

“Justeru, fahami ini bahawa Unity Government yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang ‘berpakaian’ serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan di antara ayahanda saya dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mereka menyangka, mereka telah melakukan kebaikan, sedangkan telah sesat segala usaha mereka di sisi Tuhan. Semoga Allah membalas mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!” katanya.

Katanya lagi, ia terbukti apabila bapanya berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu muzakarah dan kerajaan perpaduan selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi dan 10 ulama PAS.

Menurutnya, sesetengah pembantu bapanya berasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempatkan diri mereka.

"Bagaimana mereka akan memperolehnya, sedang mereka hanya belajar agama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah-istilah agama yang dihafal, bukan difaqihi?

"Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama Pas di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana ‘keruh’ dan ‘panas’ dengan Abdul Hadi.

"Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka,” jelasnya. Katanya lagi, ia juga merupakan salah satu usaha para pembantu terbabit untuk mendapatkan restu bagi calon mereka untuk menghadapi pemilihan parti Jun nanti.

"Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

"Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan! Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keengganannya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli-ahli Pas di dalam kebebasan memilih,” katanya.

Pakatan mahu SPR batal larangan pondok panas, BN kecewa ia tak untungkan "dacing"


PAKATAN Rakyat sebulat suara menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar menarik balik keputusannya semalam yang melarang parti-parti politik daripada mengadakan pondok panas dan memancing undi pada hari mengundi, lapor Ariffuddin Ishak untuk Malaysiakini.

Malah Pakatan Rakyat juga sebulat suara menolak keputusan suruhanjaya itu semalam kerana beranggapan alasan-alasan yang diberikan adalah tidak munasabah.

"Kita mahu agar SPR tidak melaksanakan larangan yang mereka putuskan itu dan kita mahu sistem pilihan raya dilaksanakan seperti pilihan raya sebelum ini," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat juga mahu menemui semula SPR Khamis ini - buat kali kedua - bagi membincangkan mengenai larangan tersebut.

"SPR sebelum ini menyatakan bahawa parti-parti politik ini ialah pelanggan mereka, jadi kami sebagai pelanggan, mungkin akan pergi kedai mereka semula.

"Kami cadangkan untuk berjumpa dengan SPR Khamis ini untuk jelaskan semula dan untuk lihat apa sebenarnya perkara-perkara yang dirasakan (SPR) boleh menimbulkan masalah... kami akan berikan hujah-hujah," kata beliau selepas mengadakan mesyuarat bagi menentukan pendirian Pakatan Rakyat berhubung larangan tersebut di sini hari ini.

Semalam SPR memutuskan supaya semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas selain dilarang memancing undi pada hari mengundi. Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), R. Sivarasa berkata, larangan yang dibuat oleh SPR itu bercanggah dan tidak mengikut undang-undang pilihan raya.

"Kami dah teliti dari segi undang-undang dan di sini kami menyatakan untuk menolak pendirian yang diambil oleh SPR. Ini satu pendirian yang tidak munasabah dan bagi kita ia tidak mengikut undang-undang pilihan raya itu sendiri," katanya.

Malah jelas Sivarasa, keputusan yang dibuat oleh SPR itu juga bercanggah dengan pendirian suruhanjaya sebelum ini.

"Keputusan ini bercanggah dengan pendirian mereka sendiri yang dibuat dulu pada pilihan raya umum 2004. Undang-undang pilihan raya membenarkan parti politik mendirikan pondok panas mengikut Seksyen 24 B (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Sivarasa juga berkata menerusi surat yang dikeluarkan oleh SPR pada 19 Mac 2004, jelas menyatakan bahawa semua parti yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya dibenarkan menubuh atau menyelenggara pejabat atau pondok parti di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

"Jadi jelaslah bahawa tindakan mereka melarang untuk adakan pondok panas bercanggah dengan tafsiran mereka sendiri yang dibuat dahulu," katanya.

Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Dr. Siti Maria Mahmud (PAS-Kota Raja) dan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang).

Takiyuddin akan bincang dengan Nik Abduh tentang tuduhan terhadap pembantu-pembantu Tok Guru Nik Aziz!

Berita BERNAMA melaporkan, tidak wujud persengketaan atau konflik kepimpinan antara dua pemimpin tertinggi PAS, kata Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun hari ini.

Beliau berkata, khabar angin kononnya berlaku perpecahan antara Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya merupakan khabar angin yang digembar-gemburkan tertentu terutamanya media, lapor Megat Ali Megat Alang untuk Blog Ibnuhasyim.

Hakikat sebenarnya, kata beliau, konflik yang digembar-gemburkan itu hanyalah perbezaan pendapat antara kedua-dua pemimpin dan ini adalah lumrah di dalam kepimpinan yang mengamalkan demokrasi.

"Oleh itu, ahli parti harus bertenang dan tidak mudah mempercayai sesuatu kenyataan yang berbentuk kontroversi," katanya kepada Bernama.

Abdul Fattah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa badan itu masih belum berbincang berhubung kenyataan anak Mursyidul Am itu, Nik Abduh yang percaya pembantu-pembantu bapanya berkonspirasi dengan niat untuk melaga-lagakan bapanya dengan Abdul Hadi.

Beliau berkata, sebarang kata putus mengenai isu itu hanya akan ditentukan oleh Mursyidul Am itu yang akan pulang daripada menunaikan Umrah di Mekah pada 2 Mei ini.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Dr Hj Mohd Hasyim selaku Presiden Grup Universiti Ulu Klang, menganggap perkara itu sebagai biasa kerana “Perbedaan pendapat memang ada di mana-mana, cuma jangan keterlaluan dan berlebih-lebihan sahaja. Bagaikan gelombang kopi dalam cawan yang tidak tumpah! Apalagi kalau pendapat dan idea berlainan itu macam pokok rendang yang banyak dahan, ramai orang boleh tumpang teduh, ” jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Tarmizi Mohd Jam menyifatkan sikap berani Nik Abduh patut dipuji dalam menyuarakan pendapat tetapi dalam kes ini, beliau telah membuat "tembakan" rambang yang sudah tentu menimbulkan fitnah kepada sesiapa sahaja yang boleh dilihat sebagai "pembantu-pembantu Tok Guru Nik Aziz".

Beliau berharap, "tembakan" seperti itu patut dihentikan. Fokuskan isu sebenar tentang kenapa dan mengapa Tok Guru Nik Aziz berbeda pendapat dalam isu muzakarah dan isu Unity Gaovernment dengan melengkapkan nama-nama yang dikatakan orang terbabit merosak dan melaga-lagakan antara ayahnya dengan Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

"Itu lebih wibawa. Jadi, kalau ada orang luar atau mereka yang dikatakan pembantu yang dituduh itu mahu membela diri, ia lebih mudah. Dengan menembak secara umum, sama seperti kita percaya kepada si bomoh santau yang menuduh secara umum kepada orang yang tidak tentu identitinya, kononnya merekalah melakukan kerja jahat terhadap dirinya.

"Jadi, siapa sahaja yang kita syak akan menjadi mangsa. Ini akan menganiayai mereka yang tidak bersalah. Gelagat ini (spekulasi) patut dihindari dalam sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan itulah etikanya termasuk dalam media," tegas Tarmizi.

Isnin, April 27, 2009

Tulang Besi bidas Nik Abduh tak faham penerangan ayahandanya Tok Guru Nik Aziz dalam isu "Unity Government!"



SAYA membaca artikel Ustaz Nik Abduh yang terbaru bertajuk ”Kerja-kerja bodoh dalam PAS”. Saya merasa terpanggil untuk menjawab beberapa hujjah yang dilayangkan oleh beliau semoga semua pembaca mendapat penilaian yang seimbang dalam isu ini. Dan semoga kita dapat menilai isu ini dengan akal yang rational.

Saya bersyukur kerana Mursyidul Am PAS adalah Tok Guru Nik Aziz dan bukannya Ustaz Nik Abduh. Ini kerana melihat cara pemikiran beliau berpotensi untuk menghancurkan PAS seluruhnya.

Nik Abduh (NA) berkata: ”Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Apa yang Nik Abduh tak faham dari jawapan ayahandanya adalah jangan haraplah UMNO akan ”bermain bersih” walaupun Kerajaan Nasional(Perpaduan) berjaya ditubuhkan.

Apa yang UMNO akan buat ialah mereka akan mengekalkan kekuasaan mereka ke atas Kementrian2 yang strategik dan penting di masa yang sama parti2 lain akan memegang portfolio yang kurang strategik. Kalau tidak mereka tidak akan bersetuju untuk menubuhkan kerajaan ini.

Bila masa yang sesuai, UMNO akan menggunakan kekuasan fizikal mereka untuk menghancurkan kita. Itu pasti dan itulah hujjah utama di belakang jawapan Ayahanda kamu seperti diatas yang kamu tidak mampu memahami lagi.

Mampukah Nik Abduh Memberi Jaminan?

Apakah beliau lupa ayahandanya ada semasa UMNO menikam PAS dari belakang. Ayahanda beliau lebih kenal UMNO ini berbanding dengan beliau. Bak kata orang terkilas ikan di air, tau jantan betinanya. Begitulah dalam pengetahuan berkenaan UMNO yang terkandung dalam minda Tok Guru Nik Aziz. Pendek kata, segala ”trick” UMNO itu ada dalam poket Tok Guru Nik Aziz.

Yang lagi baik, bolehkah Nik Abduh memberi jaminan bahawa di dalam Kerajaan Nasional (Perpaduan) ini, UMNO tidak akan menipu? Kerana dahulu semasa PAS menyertai kerajaan Barisan Nasional PAS telah ditipu hidup2 walaupun sebelum itu UMNO telah menjanjikan berbagai-bagai perkara.

Apa makenisme yang boleh menghalang PAS dari ditipu dalam kerajaan perpaduan tersebut? Mahkamah? Polis? Tentera? SPRM? Bomoh? Tidak ada.. kerana UMNO akan memastikan semua alat kekuasaan kekal di dalam tangan mereka walaupun sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan.

Dalam kes Perak kita lihat bagaimana Istana, Mahkamah, SPR, Polis, Tentera dan PEKIDA digunakan dengan jayanya untuk mengkhianati PAS. Ertinya, tiada yang haram bagi UMNO. Segalanya halal dan mereka tidak ada belas ehsan didalam menghancurkan musuh mereka.

Jangan merendah-rendahkan taraf pemikiran Tok Guru Nik Aziz!

Nik Abduh menulis: ”Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH. Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!”

TGNA mempunyai sifat kepimpinan dan kepintaran di dalam politik yang amat tinggi. Dan penasihat-penasihat TGNA tidak akan mampu untuk menipu TGNA dengan memberikan nasihat-nasihat yang bertaraf rendah. Mustahil Tok Guru Nik Aziz menyalah-fahami konsep sebenar Kerajan Perpaduan ini kerana ayahanda kamu ini seorang yang teliti dan mampu membuat penilaian yang baik.

Dengan membuat kenyataan di atas, Nik Abduh seperti berkata bapanya seorang dunggu yang tidak mampu berfikir sendiri. Mudah menerima cakap penasihat-penasihat beliau tanpa usul periksa. Apa Nik Abduh ni hebat sangat ke sampai lupa bahawa TGNA telah menjadi Menteri Besar Kelantan selama 4 penggal berturut2. Tiga Presiden UMNO telah berlalu namun TGNA masih kekal sebagai MB Kelantan.

Juga, TGNA adalah tokoh nasional yang paling popular sekarang ini melebihi Dr.Mahathir, Abdullah Ahmad Badawi ataupun Najib Tun Razak? Adakah tokoh seperti ini boleh dikatakan dunggu sehingga tidak mampu membezakan antara nasihat yang baik dengan nasihat yang tidak baik?

Berhentilah menyalahkan penasihat-penasihat Tok Guru. Kalau hujjah kamu kuat dan padat nescaya ayahanda kamu akan mendengar nasihat kamu.

Nik Abduh Nak Suruh Kerjasama Dengan Kerajaan Zalim?

Nik Abduh menulis lagi: ”Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata. Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.”

Di sini saya berani kata Nik Abduh ni ”naive”. Kenapa saya kata begini? Walaupun kedua-dua kerajaan ini dipandang bukan kerajaan Islam, tapi satu kerajaan ni zalim dan satu tidak.

Bukti kezaliman BN ini terlalu banyak. Suka saya ambil contoh satu sahaja yang melibatkan abang saudara, Nik Adli. Kerajaan Malaysia telah menahan beliau dibawah ISA atas arahan Amerika dengan alasan untuk menentang keganasan. Padahal, dosa Nik Adli hanyalah kerana beliau pernah berjihad di Afghanistan sewaktu CIA menyokong serta membekal senjata kepada Mujahiddin Afghanistan.

Pada waktu yang sama, Najib Tun Razak telah pergi ke Amerika dan berucap di Heritage Foundation di mana beliau dengan bangga menyenaraikan kesemua bantuan dan kerjasama kerajaan Malaysia dengan Amerika.

Antara ucapan beliau adalah: "Some 62 terrorists and militias with global and regional links have been arrested under our Internal Security Act, and more are currently being hunted down."

Beliau begitu berbangga dengan penangkapan tersebut. Dah lah tangkap tu sendiri zalim, boleh berbangga dan menunjuk kepada Amerika pula tu.

Beliau dilaporkan sehingga berkata: ” The United States has excellent access to Malaysian intelligence.” (Amerika mempunyai capaian yang amat baik kepada maklumat perisikan Malaysia).

Begitu komitednya Malaysia kepada Peperangan Terhadap Keganasan anjuran Amerika dan Bush. Menahan orang yang tidak berdosa seperti Nik Adli adalah terlalu kecil berbanding dengan senarai kerjasama yang diberikan oleh UMNO/BN kepada Amerika. Bacalah ucapan Najib Tun Razak itu di sini dan buat penilaian sendiri.

Dengan kata lain, walaupun kedua-dua Pakatan Rakyat dan BN tidak ”islamik” tetapi sekurang-kurangnya Pakatan Rakyat tidak zalim, tidak pernah mengkhianati PAS hatta DAP dan tidak korup. Ertinya, Islam lebih terjaga dan terpelihara di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Begitu dangkal sekalikah tahap penilaian Ustaz Nik Abduh dalam perkara ini?

Siapa Sebenarnya Yang Bodoh?

Saudara/ri pembaca buatlah penilaian sendiri. Cumanya saya nak dedahkan bahawa Ustaz Nik Abduh adalah antara yang terlibat dalam perjumpaan yang saya laporkan tempohari dalam artikel saya bertajuk "Roslan SMS Harus Nafi Cerita Ini!!!!

Nasihat saya, siapa yang teringin nak masuk UMNO, silalah masuk UMNO. Jangan bawa PAS bersama.

Oleh Tulang Besi

Presiden PAS nafi tarik balik kerajaan perpaduan, sebaliknya ditangguh!



PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan dengan pemimpin Umno berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan terpaksa ditunda kerana beliau perlu menilai terlebih dahulu kepimpinan baru Umno dan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, hasrat untuk membincangkan cadangan tersebut adalah dengan kepimpinan dahulu iaitu sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan kononnya beliau menarik balik cadangan itu bagi menjaga kepentingannya dalam mempertahan jawatan Presiden parti yang mungkin dicabar dalam muktamar agung parti Jun depan.

"Cadangan ini (kerajaan perpaduan) semasa Abdullah, tetapi sekarang (Umno) di bawah pimpinan baru (Datuk Seri Najib).

"Pada masa itu, pada dasarnya saya setuju, tapi sekarang lainlah ceritanya apabila Umno di bawah kepimpinan baru," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-52 PAS kawasan Bachok, hari ini, lapor Bernama.

Berdasar kepada perkembangan masa dalam parti itu, terdapat kalangan akar umbi PAS yang tidak setuju dengan rundingan dengan Umno itu.

PAS Bukit Bintang merupakan kawasan pertama yang tidak mencalonkan Abdul Hadi untuk mempertahankan jawatan presiden. Sebaliknya, kawasan tersebut mencalonkan Menteri Besar Kelantan, yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi jawatan tersebut.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang melibatkan semua parti politik ditarik balik atas alasan ia tidak difahami orang ramai termasuk ahli PAS sendiri.

Hasrat Abdul Hadi berhubung cadangan itu juga dibantah oleh Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS, yang menyatakan cadangan itu bertentangan dengan keputusan Muktamar Agung PAS di Ipoh tahun lalu.

Nik Aziz berkata, sebarang keputusan mestilah berdasarkan keputusan yang diambil dalam muktamar agung parti dan keputusan lain hendaklah dibuat melalui satu mesyuarat khas yang dipersetuju oleh Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Abdul Hadi mencabar BN supaya bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Penant. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijadual mengumumkan tarikh pilihanraya kecil itu Isnin depan.

Abdul Hadi berkata, BN serba salah untuk berbuat demikian berikutan kemenangan pakatan pembangkang dalam beberapa siri pilihanraya kecil di Permatang Pauh, Bukit Selambau dan di Bukit Gantang. Berdasarkan kemenangan sebelum ini, Abdul Hadi yakin parti pakatan pembangkang boleh menang dengan mudah di Penanti.

PAS Parit calonkan Dato' Seri Nizar Jamaluddin Naib Presiden, lain-lain Presiden dan Timbalan kekal


DATO' Seri Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, masing-masing dicalonkan semula oleh PAS Kawasan Parit pada Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja kali pertama parti itu hujung minggu lalu.

Demikian dimaklumkan oleh Ketua Penerangan PAS Kawasan, Rafie Kasini Haji Bahari kepada Sanggahtoksago sebentar tadi melalui SMS.

Muka baru, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin turut dicalonkan untuk merebut jawatan Naib Presiden bersama Mohamad Sabu dan Dato' Paduka Husam Musa. Kesemua pencalonan tersebut dibuat pada sesi mesyuarat itu.

PAS kawasan Parit telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunannya pada 19 April lalu dan memberi mandat kepada Jawatan Kuasa PAS Kawasan untuk menentukan pencalonan semua jawatan penting dalam parti.

PAS Gombak calonkan Dr Hatta, Salahuddin dan Dato' Seri Nizar sebagai Naib Presiden. Husam pula Timbalan Presiden.

Husam dicalonkan oleh PAS Gombak untuk lawan Nasharuddin Mat Isa rebut kerusi Timbalan Presiden PAS

YANG DiPertua PAS Gombak yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai menarik diri dari bertanding dua penjuru untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kawasan Gombak pada ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan parti itu, 26 April lalu.

Hatta ditentang mantan Yang Dipertua PAS sebelum ini, Ustaz Sallahuddin Mohd Nasir. Dengan pengunduran beliau di saat-saat akhir, telah membeli laluan mudah kepada kemenangan Salahuddin mengetuai semula PAS Kawasan Gombak.

Pada mesyuarat tersebut, perwakilan telah mencalonkan Dato' Paduka Husam Musa sebagai Timbalan Presiden menentang Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang mempertahankan jawatan tersebut.

Gombak juga mengekalkan Dato' Seri Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS, manakala tiga muka baru dicalonkan untuk merebut jawatan Naib Presiden. Mereka ialah Dr Mohd Hatta Ramli, Salahuddin Ayub dan Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin.

Mesyarat tersebut telah dirasmikan oleh Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin, MB Perak yang sah.

Sehingga kini, selaian dari Ustaz Nasharuddin yang telah mengumumkan untuk pertahankan jawatan Timbalan Presiden, Mohd Sabu dan Dato' Seri Azizan Abdul Razak, masing-masing telah mengistiharkan untuk bertanding merebut kerusi tersebut.

Sementara Husam, belum membuat sebarang keputusan. Dalam perkembangan yang berkaitan, Dato' Dr. Hassan Ali turut menawarkan diri untuk bertanding kerusi tersebut.

PAS Batu calonkan 18 muka lama duduk AJK PAS Pusat

Salahuddin Ayub antara yang dicalonkan sebagai Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat pada pemilihan parti itu Jun ini

PAS Kawasan Batu dalam Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja kali pertama pada 25 April lalu telah mencalonkan seramai 18 orang untuk menduduki kerusi Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat pada Muktamar Tahunan PAS, Jun ini.

Menurut Yang Dipertuanya, Ishak Surin, mereka yang dicalonkan terdiri dari muka lama yang dilihat mampu utuk memajukan parti berdasarkan kebolehan masing-masing.

Mereka ialah YB Salahuddin Ayub; Ustaz Idris Ahmad; YB Dato' Mahfuz Omar; Hanipa Maiden; Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man; YB Dato' Dr Hassan Ali; YB Dr Mujahid Yusuf; YB Dzulkifli Ahmad; Dr. Mahfoz Mohamad; YB Ir Khalid Abdul Samad; YB Dr Mohd Hatta Ramli; Wan Hasrina Wan Hassan; Salbiah Abdul Wahab; Dato' Abu Bakar Chik; YB Abdul Wahid Endut; Ustaz Nik Zawawi Mohd Salleh dan YB Dr. Syed Azman Syed Nawawi.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan yang diadakan pada 12 April lalu, para perwakilan telah mencadangkan lima jawatan utama diputuskan pada mesyuarat itu semnetara calon-calon Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat diberi mandat kepada saff kepimpinan kawasan yang baru untuk menentukannya.

Tegas Ishak, mesyuarat hari itu memutuskan, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa, masing-maisng kekal sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Sementara muka baru, Dato' Ir Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dicalonkan untuk merebut jawatan Naib Presiden. Nama Mohamad Sabu dan Dato' Paduka Husam Musa kekal untuk kerusi tersebut.

PAS Kawasan Batu akan jadikan "dakwah" agenda utama dekati masyarakat

Yang Dipertua, Ishak Surin bersama Timbalannya, Shuhaimi Abdul Rahman


PAS Kawasan Batu akan menjadikan "dakwah" sebagai agenda utama mendekati masyarakat dan mengajak mereka menyertai PAS. Ini tidak bermakna, PAS kawasan ini meninggalkan agenda politik dan pilihan raya.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan, Haji Ismail Yahya, oleh kerana PAS tidak bertanding di Parlimen Batu, maka usaha-usaha untuk menumpukan kerja-kerja dakwah akan diutamakan disamping meneruskan gerakerja politik di kawasan ini.

Kali terakhir PAS meletakkan calon di Batu pada pilihan raya umum 1986 melalui calonnya, Ustaz Hassan Shukri. Pada pilihan raya berikutnya, 1990 dan 1995, Parti Rakyat Malaysia (PRM) bertanding. KeADILan mula meletakkan calonnya pada pilihan raya umum 2004 dan 2008 yang lalu. Pada pilihan raya lalu, Parlimen Batu dimenangi oleh Tian Chua, Ketua Penerangan KeADILan Pusat.

Untuk memenuhi aspirasi itu, kata Ismail, PAS Kawasan pada Mesyuarat Jawatan Kuasa Kerja kali pertamanya 25 April lalu telah memperkemaskan peranan lajnah-lajnah, jabatan dan sekreteriat.

Beberapa lajnah baru dan sekreteriat diperkenalkan. Berikut hiraki kepimpinan dan penyandang tanggungjawab yang telah diputuskan pada mesyuarat tersebut:

Yang Dipertua: Haji Ishak Surin
Lajnah Politik dan Pilihan Raya

Timbalan Yang Dipertua: Haji Shuhaimi Abdul Rahman
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kawasan (JPK)
Lajnah Gerak Saraf, Risikan dan Hubungan NGO

Naib Yang Dipertua: Tarmizi Mohd Jam
Lajnah Pemerkasaan Parti dan Tugas-Tugas Khas

Ketua Urusan Ulama: Ustaz Azhar Yahya
Ketua: Lajnah Tarbiyyah dan Perkaderan
Timbalan: Ustaz Mohd Arif Arshat

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan: Rafaie Abdul Razak

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan: Hajjah Salbiah Abdul Wahab

Setiausaha: Haji Ismail Yahya

Penolong Setiausaha: Ibrahim Awang
Pengarah Akademi Penerangan dan Teknologi Maklumat

Bendahari: Haji Rosden Mohd Yasin
Ketua: Lajnah Urusan Bangunan dan Dana

Ketua Penerangan: Haji Jamhor Nawawi
Lajnah Penerangan, Penyelidikan dan Dakwah
Timbalan: Haji Ismail Yahya


Lajnah-lajnah

Lajnah Imarah Masjid dan Surau
Ketua: Ustaz Marzuki Zakaria
Timbalan: Haji Abdul Rahim Dahlan

Lajnah Pendidikan dan Persekolahan
Ketua: Ahmad Fathy Yosoof
Timbalan: Khadija Ali

Lajnah Kebajikan dan Pembangunan Keluarga
Ketua: Abdul Manan Abdul Ghani
Timbalan: Haji Rosden Mohd Yassin

Lajnah Pembangunan Ekonomi
Ketua: Haji Radhi Johari
Timbalan: Yusof Mohd Isa

Lajnah Perpaduan Nasional
Ketua: Haji Abdul Kadir tauhid
Timbalan: Shamsuddin Yaakob

Sekreteriat-sekreteriat

Sekreteriat Penggerak Demokrasi & Mobilisasi
Ketua: Khaironas Moin

Sekreteriat Gerak Mansuhkan ISA
Ketua: Mohd Shukri Che Senik

Sekreteriat Gerak Mansuh PPSMI
Ketua: Umi Kalthom Omar

Ismail yang dilantik semula menjadi Setiausaha kawasan berharap, saff kepimpinan baru serta susunan semula lajnah dan sekreteriat mampu memberikan impak positif dalam gerakerja PAS kawasan untuk sesi ini.

PAS Putrajaya calonkan Dr Haron Din Timbalan Presiden

PADA Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Putrajaya hujung minggu lalu, perwakilan telah mencalonkan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Selain mengekalkan Dato' Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden dan Dato' Husam Musa sebagai Naib Presiden, dua lagi nama untuk kerusi Naib Presiden ialah Salahuddin Ayub dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Nazir Zakaria kekal sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan tetapi bagi Timbalan dan Naib Yang Dipertua disangdang oleh muka baru yang dinaikan pangkat.

Sabtu, April 25, 2009

Menanti penjelasan Mufti Perak tentang Jom Heboh di Lumut?


Apakah hukum "haram" tentang Sure Heboh ini masih terpakai lagi di Perak atau sudah ada hukum yang lebih baru?

SUDAH lama tidak kedengaran Konsert Jom Heboh TV3 di Perak namun pada 25 dan 26 April lalu, pesta ria ini telah mengambil tempat di TLDM Lumut. Bezanya kali ini, belum lagi terdengar ungkapan sama daripada Mufti Perak Dato' Seri Harussani Zakaria yang pernah mengeluarkan fatwa "haram" pada 30 Julai 2004 berhubung konsert ini.

Dalam keputusan itu Majlis Mufti-Mufti Malaysia melalui Harussani Zakaria telah mengeluarkan kenyataan bahawa konsert Sure Heboh TV3 adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT) telah menghantar surat kepada Harussani merujuk kepada keputusan Majlis Mufti-Mufti Malaysia tersebut.

Ketuanya, Salman Salleh meminta penjelasan adakah penguatkuasaan Undang-Undang terhadap mereka yang memberikan kebenaran, menganjur, menghadiri dan menonton konsert tersebut akan dikenakan tindakan atau sebaliknya.

"Selepas majlis penutup Muzakarah Ulama 2004 sempena Hari Keputeraan Sultan Perak Ke-76 di Ipoh, kami mahu penjelasan daripada Dato' Seri adakah Majlis Fatwa Kebangsaan telah membuat keputusan berhubung perkara tersebut?

"Kami memohon agar Dato' Seri dapat memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut agar rakyat Negeri Perak tidak keliru didalam perkara ini," katanya dalam satu kenyataannya.

Raja tidak buta, tidak pekak dan tidak bisu - Sultan Azlan Shah


SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah, hari ini bertitah bahawa seseorang raja sebenarnya berada di atas politik dan tidak boleh turun untuk berdebat secara terbuka dalam memberi jawapan dan penerangan untuk menangkis tohmahan dan fitnah yang dilemparkan oleh kumpulan politik tertentu.

Baginda bertitah tindakan kumpulan politik berkenaan yang sampai ke peringkat menghasut rakyat untuk mencetuskan huru-hara selain turut mencemar institusi raja dengan menyemai rasa benci rakyat terhadap raja adalah satu perbuatan "menyalakan api dalam sekam" yang amat berbahaya dan boleh memusnahkan kerukunan rakyat dan negara.

"Betapa perbuatan kuasa politik telah mencemar dan mempamerkan wajah hodoh dengan membenarkan kelakuan orang-orang sedemikian. Matlamat kini dibenarkan menghalalkan cara.

"Betapa kumpulan politik tertentu merasakan mereka tidak pernah silap serta memiliki kekebalan. Betapa pula beberapa individu politik yang merasakan diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan, memiliki imuniti daripada sebarang tindakan undang-undang sehingga undang-undang diketepikan atas matlamat untuk mendapatkan kuasa," titah baginda pada istiadat menghadap sembah taat setia dan penganugerahan darjah kebesaran negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan ke-81 baginda di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Sultan Azlan bertitah pada hemat baginda, negara kini telah terlalu berlebihan berpolitik sehingga menjejaskan produktiviti ekonomi dan imej negara di kaca mata antarabangsa.

"Dalam menghadapi kemelut ekonomi yang sedang melanda dunia ketika ini, aktiviti-aktiviti politik secara keterlaluan kerana perebutan kuasa ini tidak akan memberi manfaat kepada warga, malah rakyat biasa akan menjadi mangsa terpaksa bergelut untuk memiliki keperluan hidup harian," titah baginda.

Baginda bertitah oleh itu pemimpin yang mewakili kumpulan politik yang berbeza perlu mencari titik pertemuan dan kaedah bekerjasama di antara mereka demi kepentingan negara dan warga.

Sultan Azlan bertitah sepanjang perjalanan hampir 52 tahun kemerdekaan negara, diakui bahawa berlakunya kepincangan dan salah laku serta insiden penyalahgunaan kuasa dalam urus tadbir negara.

"Beta sendiri dari masa ke masa turut menzahirkan teguran, pandangan dan nasihat baik secara terbuka mahupun secara tertutup akan perkara-perkara yang tergelincir dari dasar dan garis perundangan.

"Namun kesilapan yang berpunca daripada beberapa individu atau yang berpunca dari kumpulan tertentu jangan sampai ke peringkat mendorong warga dan bangsa berfikiran singkat mahu meruntuhkan sistem dan institusi sehingga boleh mencetuskan keadaan tidak seimbang, hatta membawa kepada keadaan huru-hara.

"Barang dijauhkan Allah dari bangsa menghadapi nasib malang 'menang sorak kampung tergadai', akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri," titah baginda.

Sultan Azlan bertitah anggapan salah bahawa raja berperlembagaan adalah sekadar lambang tanpa sebarang kuasa adalah tafsiran yang perlu diperbetulkan.

Titah baginda, raja pemerintah bukanlah daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan, bahkan segala perkara yang berlaku dalam negara ini adalah dalam ruang penglihatan, pendengaran dan pertuturan raja pemerintah.

"Perlu ditegaskan bahawa raja berpelembagaan itu memiliki tiga hak iaitu hak untuk menyampaikan nasihat dan pandangan, hak untuk memberi galakan dan dorongan dan hak untuk memberi peringatan dan teguran."

Sultan Azlan bertitah raja berpelembagaan bertindak tertakluk kepada kuasa yang termaktub di dalam perlembagaan tetapi adalah satu kesilapan untuk memikirkan bahawa peranan seorang raja pemerintah itu sama seperti seorang presiden yang terbatas semata-mata kepada apa yang tersurat.

"Peranan raja pemerintah adalah mengatasi apa yang tersurat dalam peruntukan perlembagaan. Raja pemerintah mempunyai tanggungjawab yang lebih luas dalam memastikan bahawa semangat perlembagaan, falsafah di sebalik setiap undang-undang yang tersurat, kepentingan negara dan warga negara perlu sentiasa dilindungi," titah baginda.

Baginda bertitah berlandaskan semangat penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, raja-raja mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja-raja, melindungi agama Islam, melindungi bahasa Melayu dan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain.

"Perkara-perkara ini adalah asas persefahaman yang telah tercapai dan adalah resipi kejayaan terbentuknya sebuah negara bangsa yang merdeka lagi berdaulat, membolehkan warganya hidup rukun lagi bersatu," titah Sultan Perak. - Bernama

Ulasan pedas Bloggers Penarik Beca: Ayat Puteri Gunung Ledang Tok Guru Nik Aziz!

Ustaz Nik Abduh telah mendedahkan sesuatu yang orang lain tidak tahu tetapi sarat tandatanya...


DAH baca isi hati anak Tok Guru Mursyidul Am, Ustaz Nik Abduh? Dasat jugak perdebatan dalam postingnya yang bertajuk "Kerja-kerja bodoh dalam PAS" (dalam Blog sanggahtoksago.blogspot diberi tajuk "Pendedahan berani Nik Abduh tentang pembantu-pembantu Tok Guru Nik Aziz yang berpakaian serba tahu").

Saya tak nak campur. Saya tak suka dua-dua. Nak berkendak dengan Umno saya meluat. Gila (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tahap Tampoi sampai tak hormat Presiden pun saya meluat. Meluat sungguh-sungguh!

Namun apa yang menarik dalam posting Ustaz Nik Abduh ialah petikan kata-kata ayahnya. Saya tak la tau membaca isi hati Tok Guru Mursyidul Am PAS. Tetapi, Ustaz Nik Abduh yang saya hormati menulis seperti berikut:

Selamba saja ayahanda memberi komen. "Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama."

Setakat cetek dan dangkal saya, secara zahirnya kata-kata tersebut tak ubah seperti kata-kata Puteri Gunung Ledang kepada Tun Mamat bangang pecacai raja ketika puteri itu mengenakan syarat yang luar biasa kepada Sultan Mahmud dengan tujuan untuk menolak peminangan raja bodoh yang rakus dan kurang ajaq itu.

Kalau saya tak betul, tolonglah betulkan. Maklumlah, saya ni sekolah menengah pun tercicir. Lebih dari itu, Tok Guru Mursyidul Am bukan ayah saya. Manalah saya nak tau baca fikiran dia.

Setakat tu saja la ulasan saya. Tak berani nak lajak sangat dalam memberi ulasan.

Tetapi yang saya nak ulas sangat ialah beberapa komen dalam blog ni yang menuntut Tok Guru Presiden berundur. Saya hormati pandangan dan keinginan depa.

Tapi saya teringat perbualan saya dengan seorang bekas pensyarah UKM. Dengan begitu cermat dan sopan, dia menyatakan kegelisahannya terhadap kepimpinan Tok Guru Presiden.

Saya lalu mengajak dia melengung dengan saya fikir seorang demi seorang pemimpin PAS dalam Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Nama Tok Guru Mursyidul Am kami tolak siap-siap. Kami sependapat, dah elok dah Tok Guru Nik Abdul Aziz berada pada jawatannya sekarang.

Kami sama-sama tak ada kepentingan. Yang bekas pensyarah tu ada PhD. Dia pun dah senang lenang dah. Tak payah nak minta apa satu pun dari PAS. Saya pulak, walaupun Tok Guru Presiden melayan saya seperti manusia, tetapi saya yakin dia bukannya berkenan kat saya. Saya tak percaya saya boleh melunakkan hatinya terhadap saya walaupun saya membodek dia sampai tunggin buyung sekalipun.

Kami lalu menyebut nama demi nama. Semua nama yang disebut kami sepakat menolak. Tak dak seorang pun yang layak dan berhak untuk berada pada jawatan Presiden PAS. Lemah macam mana pun Tok Guru Abdul Hadi, belum ada yang layak menggantikannya.

Yang beria-ia sangat bagi komen kat blog ni nak undurkan Tok Guru Abdul Hadi, berapa orang dari hampa yang tua atas jalan? Tau apa dia tua atas jalan? Pi sana sini buat kerja parti sehingga lebih banyak usia dihabiskan atas jalan dari di rumah bersama keluarga.

Berapa orang yang tua atas jalan kerana Islam?!

Sepucuk emel diapungkan: Datuk Seri Azizan Razak layak jadi Presiden PAS!


BARANGKALI saya bukanlah orang pertama mendapat emel dari seorang yang menamakan ahli PAS seumur hidup. Ia yang dihantar terus menerobos ke emel saya. Ada hujah-hujah yang dikemukakan dan kewajaran beliau untuk meletakkan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak sebagai Presiden PAS. Ikuti kupasan beliau untuk paparan pengunjung blog ini:

Datuk Seri Azizan Razak layak jadi Presiden PAS

Pada dasarnya ahli akar umbi Pas di Kedah kali ini mahukan seorang pemimpinnya menjadi pemimpin kanan dalam Pas setelah berjaya dalam usahanya merampas kerajaan Kedah daripada BN. Ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dicapai tanpa kewibawaan kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak di samping keberkatan naungan Ilahi.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan yang merupakan anak didik Almarhum Ustaz Fadzil Noor adalah pimpinan pelapis yang diketengahkan oleh Almarhum untuk memimpin PAS satu hari nanti.

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan adalah pemimpin yang pandai menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan. Beliau tidak lagi terikat dengan pakaian jubah dan serban sepanjang masa. Sebaliknya cara berpakaiannya itu adalah bersesuaian dengan majlis yang dihadirinya.

Selain itu hubungan beliau dengan rakyat pelbagai kaum adalah begitu akrab sekali tanpa mengira bangsa samada Melayu, Cina, India atau Siam. Sejak Kedah di bawah pentadbirannya, beliau telah mentadbir dengan baik kepada rakyat kedah.

Kemenangan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Kecil Bukit Selambau tempoh hari membuktikan bahawa kewibawaan dan kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan telah diterima dengan baik oleh majoriti pengundi di Kedah.

Ianya juga telah melonjakkan lagi nama YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan di mata rakyat Kedah khususnya dan ahli-ahli Pas amnya.

Di samping itu, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan adalah seorang pemimpin yang boleh diterima oleh semua golongan dalam Pas termasuk Ulama, Ustaz, profesional dan ahli di peringkat grass root (akar umbi).

YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan juga pandai untuk menjadikan musuh politik iaitu Umno sebagai rakan. Mana-mana jawatan atas tiket politik di negeri Kedah yang dilantik oleh Umno sebelum jatuh tersungkur pada tahun lepas dikekalkan oleh beliau tanpa membuang begitu sahaja sehinggalah kontrak mereka tamat.

Keadaan ini telah menjadikan motto ‘Kedah sejahtera’ tercapai dalam masa yang singkat sahaja kerana Kedah aman damai di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan.

Sekiranya sebuah negeri yang besar seperti Kedah boleh ditadbir dengan baik oleh beliau, tidak mustahil Pas dapat dipimpin dengan lebih baik lagi di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan.

Berikut adalah profil YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak:

ASAL: Anak kelahiran Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Dilahirkan pada tahun 1944. Ayahnya, Haji Abdul Razak Haji Awang adalah imam dan pimpinan masyarakat setempat serta salah seorang pejuang kemerdekaan menentang British

PENDIDIKAN: Sekolah Kebangsaan Sungai LimauMaktab Mahmud, Alor Star (1959 - 1965) Universiti Al-Azhar, University Of Kent, Canterbury.

KERJAYA: Tenaga pengajar Maktab Mahmud, Alor Star (1966); Ketua Jabatan Syariah, UKM; Pensyarah pelawat Mindanao State University, Filipina; Pensyarah UIAM (1983-1984, 1986-1995)

PENGALAMAN ANTARABANGSA: Muktamar Al-Haj anjuran All Indian Iranian Association di New Delhi (1980); Pembentangan Kertas Kerja di 1st Asean Syariah Administration Conference Workshop - Manila (1983); Persidangan Gerakan Islam Sedunia, Lubnan (2001)
Conference of South East Asia Islamic Law, Manila

PENULISAN ANTARABANGSA: Dirasah Hawla At-Tashriq Al Islami, terbitan Kementerian Hal Ehwal Agama Filipina; Introduction To Islamic Law Jurisprudence, terbitan Office of Muslim Affair and Cultural Communities, Quezon City, Filipina, 1986; Syariah, Adat And Command Law Amongst the Maranaos of Southern Philippines : And Exploratory and Corporative Study, terbitan Southeast Asian Studies Program

Oleh: Ahli Seumur hidup Pas

Siapa Di belakang cubaan memurtadkan nenek tiri Obama di Kenya?

Obama pernah memeluk Islam pada usia kecilnya...


Nenek tiri Obama (kiri) mama Sarah (87 tahun) dilaporkan se buah gereja Kenya sebuah gereja di kenya telah cuba mempengaruhi dan membawa nenek ini supaya bertukar agama dari Islam kepada agama Kristian.

SAYA mengutip tulisan sahabat saya, Drs Rosdi Deraman dari blog ibnusahyim (Dr. Mohd Hasyim). Isunya amat menarik untuk direnungi. Saya paparkan untuk bacaan para pengunjung blog ini.

MAMA Sarah (87), adalah nenek tiri Barack Obama, Presiden Amerika Syarikat sekarang. Beliau adalah seorang Muslimah sejati dari Kenya, negara asal ayah Obama. Tetapi baru-baru ini se buah gereja Kenya dilaporkan telah cuba mempengaruhi dan membawa nenek ini supaya bertukar agama dari Islam kepada agama Kristian.

Namun percubaan itu telah mencetuskan kemarahan masyarakat Islam di Kenya. Masyarakat Islam mendesak pemerintah menghalangi usaha tersebut, kerana gereja Seventh Day Adventist di kota Kisumu di barat Kenya dilaporkan menjadi dalangnya. Dalam sebuah acara besar-besaran anjuran gereja tersebut Sabtu lalu, Sarah, yang memang seorang Muslim sejati merasa terkejut dan menolak acara tersebut. “Ketika saya mendengar ada rancangan menjadikan saya penganut Kristian, saya tetap menolak!” katanya dikutip dari The Standard.

Sarah menjadi terkenal sejak cucunya menjadi Presiden Amerika pada November 2006. Sarah pernah ditunjuk terus oleh Kesatuan Afrika supaya menjadi dutanya dalam memerangi lalat tsetse. Lalat tsetse yang boleh menyebabkan penyakit tidur dan menyebarkan infeksi pada ternakan. Kini Majlis Ulama dan Imam Kenya yang mewakili umat Islam di negara berpenduduk 32 juta jiwa itu, mengecam rancangan pemurtadan tersebut. Setiausahanya Syeikh Mohamed Khalifa, seperti dikutip dari berita AFP, menggambarkan usaha tersebut sebagai suatu bentuk provokasi.

“Saya merasa kesal dengan usaha yang dilakukan oleh pihak gereja memaksa Mama Sarah tukar agama.” Dedah Syeikh Khalifa. “Mengapa hanya dia? Mengapa hal itu tidak dilakukan sebelum Obama menjadi presiden? Apakah mereka ada melihatnya sebelum cucunya menjadi presiden? Kami tetap siapsedia untuk melindungi agama kami!” Jelas Syeikh Khalifa dengan tegas.

“Pada saya, hal ini menjadi bukti bahawa peranan Obama sebagai Presiden AS telah digunakan oleh kalangan-kalangan tertentu untuk menyerang dan melenyapkan Islam dari dianuti oleh penduduk dunia dan umatnya, hatta di dalam negara umat Islam itu sendiri!” Demikian pandangan Dr Hj Mohd Hasyim selaku Presiden Grup Universiti Ulu Klang, Kuala Lumpur yang di hubungi sebelum sholat Jumaat pagi tadi.

Mampukah "Barisan Perang" Najib merampas semula negeri-negeri Pakatan Rakyat?


UMNO sedang mempergiatkan usaha merampas empat negeri Pakatan Rakyat dalam rombakan terbesar barisan pengerusi perhubungan negeri hari ini sejak Datuk Seri Najib Razak mengetuai parti itu, akhir Mac lalu. Demikian laporan Abdul Rahim Sabri untuk Malaysiakini.

Najib sendiri kini memimpin Selangor dan melepaskan jawatan tersebut di Perak - tugas itu diserahkan kepada Datuk Zambry Abd Kadir, Menteri Besar selepas negeri itu dirampas kembali BN, Februari lalu.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib digugurkan daripada Pengerusi Perhubungan Selangor dan juga ketua penerangan Umno Malaysia.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih Pengerusi Perhubungan Wilayah Persekutuan - sebuah lagi negeri yang dikuasai Pakatan dalam pilihan raya umum 2008. Beliau menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang tidak dikekalkan dalam kabinet dalam rombakan awal bulan ini.

Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kini mengetuai Badan Perhubungan Umno Kedah, menggantikan bekas menteri besar, Datuk Seri Mahadzir Khalid. Seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kini mengepalai Umno Pulau Pinang, melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Umno Perak. Beliau menggalas tugas yang dahulunya dipegang oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara di Terengganu yang menyaksikan pergeseran dua kumpulan - antara Menteri Besar, Datuk Ahmad Said dengan tokoh yang digantinya Datuk Seri Idris Jusoh - diambil alih oleh Datuk Seri Hishammuddin Hussein, seorang lagi Naib Presiden Umno.

Perlis yang turut mengalami pergeseran dalaman juga menyaksikan pertukaran ketua perhubungan negeri - kini diketuai menteri besarnya Datuk Seri Md Isa Sabu, menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilantik menganggotai Majlis Tertinggi (MT).

Kelantan - yang dikuasai PAS selama 19 tahun - turut mendapat ketua perhubungan baru Datuk Mustapa Mohamed, menggantikan Tan Sri Annuar Musa. Mustapa, yang mendapat jumlah tertinggi undi untuk anggota MT, pernah memimpin negeri itu dalam usaha Umno merampas Serambi Mekah itu

Selain lapan perubahan ini, lima ketua perhubungan negeri dikekalkan di Sabah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. Rombakan besar-besaran itu diumumkan Najib selepas mesyuarat pertama MT sejak pemilihan parti hujung bulan lalu di bangunan Umno petang semalam.

Selain pengerusi perhubungan, Umno juga melantik Ahmad Maslan, seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebagai Ketua Penerangan. Manakala Datuk Ahmad Husni Hanadzlah dilantik menggantikan Datuk Azim Zabidi sebagai Bendahari Agung.

Ahmad Husni, yang dilantik Menteri Kewangan Kedua awal bulan ini, juga memegang jawatan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Perak.

Berikut ialah pelantikan jawatan Umno yang diumumkan oleh presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Agung: Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

Bendahari Agung: Datuk Ahmad Husni Hanadzlah

Ketua Penerangan: Ahmad Maslan

Pengerusi Perhubungan Umno negeri

PERLIS: Datuk Seri Md Isa Sabu
Timbalan: Datuk Zahidi Zainul Abidin

KEDAH: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
Timbalan: Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanapiah

PULAU PINANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan: Datuk Zainal Abidin Othman

PERAK: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir
Timbalan: Ahmad Husni Hanadzlah

SELANGOR: Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan: Datuk Noh Omar

WILAYAH PERSEKUTUAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan: Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

NEGERI SEMBILAN: Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan: Datuk Shaziman Abu Mansor

MELAKA: Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Timbalan: Datuk Wira Abu Seman Yusop

JOHOR: Datuk Abdul Ghani Othman
Timbalan: Datuk Latiff Ahmad

PAHANG: Datuk Seri Adnan Yaakob
Timbalan: Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin

TERENGGANU: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan: Datuk Ahmad Said

KELANTAN: Datuk Mustapa Mohamed
Timbalan: Datuk Awang Adek Hussin

SABAH: Datuk Seri Musa Aman
Timbalan: Datuk Salleh Said Keruak

Najib turut mengumumkan semiblan ahli Majlis Tertinggi yang dilantik, iaitu: Datuk Seri Rais Yatim, Datuk Nazri Aziz, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Aziz Sheikh Fadzir, Datuk Seri Ali Rustam, Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Ghani Othman dan Datuk Seri Shahidan Kassim.

Presiden Umno itu juga mengumumkan pelantikan tambahan tiga lagi ahli MT dari kalangan sayap parti itu, iaitu Naib Ketua Wanita, Datuk Kamaliah Ibrahim; Naib Ketua Pemuda, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Puteri Umno Perak, Dr Wan Norashikin Wan Nordin.

Najib berkata semua Menteri Besar dari Umno yang tidak dilantik ke jawatan MT akan dijemput hadir mesyuarat. Najib juga berkata, beliau mempengerusikan Biro Politik manakala Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Umno dan juga Pengerusi Biro Pendidikan.

Manakala pelantikan pengerusi biro-biro yang lain, tambahnya, akan dibuat dalam mesyuarat yang akan datang. Ditanya mengenai pelantikan Rafidah dan Shahidan menganggotai MT, Najib berkata, mereka masih boleh memberi sumbangan kepada parti.

"Jadi kita ada kesinambungan dan pembaharuan," tambahnya.

Mengenai pertukaran Pengerusi Badan perhubungan Terengganu, Najib berkata: "Soal MB (menteri besar) itu lain, ini soal politik parti."

Jumaat, April 24, 2009

Pendedahan berani Nik Abduh tentang pembantu-pembantu Tok Guru Nik Aziz yang berpakaian serba tahu!




DI MEJA makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam-macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua-duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan-jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah-mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu-pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga-lagakan di antara Tok Guru Nik Aziz dan Tok Guru Hadi Awang.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama Tok Guru Hadi Awang, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada Tok Guru Hadi Awang. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi Tuhan!? Semoga Allah melaga-lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan Tok Guru Hadi Awang. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing-masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TOk Guru Haji Hadi, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji Tok Guru Haji Hadi. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan Tok Guru Haji Hadi di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tok Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan! Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keengganannya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda. - Catatan Ustaz Nik Abduh ( Anak Tok Guru Nik Abdul Aziz)

TERKINI: Fairus mahu kekal di Dun Penanti, Speaker kata tak boleh patah balik! Menanti tindakan Anwar...



DILIHAT sebagai perkembangan mengejutkan, bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin menyerahkan kepada pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung soal sama ada perlu kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti ataupun sebaliknya, lapor G Manimaran dan Zanariah Abd. Mutalib untuk mSTAR.Online.

"Saya menyerahkan kepada pucuk kepimpinan untuk menentukan (sama ada tarik balik surat ataupun sebaliknya)," kata Fairus yang ditanya sama ada beliau bersedia untuk menarik balik keputusannya untuk melepaskan kedudukan sebagai ADUN Penanti.

Ketika ditanya sama ada reaksi itu bermakna beliau bersedia untuk kembali kekal sebagai wakil rakyat kerusi berkenaan, Fairus mengulangi bahawa "saya menyerahkan kepada pucuk kepimpinan."

Dan, apabila ditanya sama ada masih ada ruang untuk kembali menarik balik keputusannya melepaskan jawatan ADUN, Fairus sekali lagi menekankan beliau menyerahkan kepada PKR untuk menentukan.

Malah beliau juga berkata bahawa bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PKR berhubung perkara tersebut dalam waktu terdekat. Bagaimanapun beliau tidak menyebut bila pertemuan itu akan diadakan.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Abdul Halim Hussin hari ini berkata, Fairus tidak boleh menarik semula surat peletakan jawatannya sebagai ADUN Penanti.

Ini kerana surat letak jawatan Fairus yang dihantar kepada beliau turut disertakan dengan surat akuan bersumpah yang menyatakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang 1 itu ingin meletak jawatan sebagai ADUN Penanti kerana mahu menyambung pelajaran.

"Daripada segi perundangan, beliau tidak boleh menarik semula peletakan jawatannya sebagai ADUN kerana surat peletakan itu disertai dengan pengakuan bersumpah. Bila sudah buat perakuan bersumpah, ia memang sudah jelas (meletak jawatan).

"Kita juga sudah menghantar surat kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) memaklumkan kekosongan kerusi DUN itu. Jadi tidak timbul soal untuk menarik semula surat peletakan jawatan itu," katanya.

Perkembangan itu dilihat kemungkinan berlaku ekoran keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memutuskan keterangan yang diperolehnya berhubung siasatan terhadap Fairus tidak mempunyai asas untuk mendakwanya.

Keputusan itu dibuat setelah SPRM meneliti kes itu dengan mendalam dan mengambil kira keseluruhan keterangan yang terdapat dalam siasatan itu.

SPR bakal mengadakan pilihan raya kecil berikutan Fairus, 33, meletakkan jawatan pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran. SPR sepatutnya mengumumkan tarikh pilihan raya hari ini tetapi ditunda sehingag Isnin ini.

Pencalonan Nasharuddin Mat Isa ke kerusi Naib Presiden bukan untuk meremehkan beliau! - PAS Selayang


PAS Kawasan Selayang hari ini menjelaskan mengapa pihaknya mencalonkan Nasharuddin Mat Isa - yang kini Timbalan Presiden PAS - untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden, lapor Abdul Rahim Sabri untuk Malaysiakini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak berniat untuk merendah-rendahkan kewibawaan Nasharuddin sebagai Timbalan Presiden parti.

"Jangan bersangka, menolak Nasharuddin kerana ingin mengurangkan kewibawaannya. (Tetapi) ahli-ahli nak ketengahkan Datuk Dr Haron Din (Timbalan Mursyidul Am PAS) dalam pentadbiran PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam mesyuarat agungnya hujung minggu lalu, PAS Selayang mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan presiden dan mencalonkan Dr Haron sebagai Timbalan Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Husam Musa pula dicalonkan untuk mengekalkan jawatannya serta mencalonkan ahli Parlimen Bukit Gantang yang baru, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk jawatan yang sama. Pemilihan calon-calon berkenaan dijalan secara undian angkat tangan oleh kira-kira 300 perwakilan yang hadir dalam mesyuarat agung kawasan tersebut.

Menurut Mohamad, Nasharuddin mendapat undi ketiga terbanyak selepas Husam dan Nizar. Bagaimanapun, beliau menjelaskan, pencalonan Dr Haron bagi jawatan timbalan presiden merupakan keputusan majoriti perwakilan. Katanya, secara peribadi, beliau sendiri tidak bersetuju dengan pencalonan Dr Haron tersebut.

Ini kerana, katanya, beliau sudah menjadi Timbalan Mursyidul Am dan boleh memangku tugas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila Mursyidul Am PAS itu berada di luar negeri.

"Masing-masing (perwakilan) ada pendirian, ada sokongan dengan mengangkat tangan. Tak ada usaha langsung untuk merendah-rendahkan wibawa Nasharuddin," tegas Mohamad.

PAS Selangor mempunyai 22 kawasan. Difahamkan beberapa kawasan PAS di Selangor telah mengadakan mesyuarat hujung minggu lalu, termasuk Shah Alam, Kota Raja, Kelana jaya, Subang dan Kelang.

Setakat semalam, selain Dr Haron, beberapa lagi tokoh PAS dicalonkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, antaranya dua Naib Presidennya, Husam dan Mohamad Sabu serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Nasharuddin juga mendapat pencalonan untuk mengekalkan jawatan yang disandangnya sekarang. Semalam, Malaysiakini melaporkan, Mohamad telah mengisytihar kesediaannya untuk bertanding jawatan tersebut, manakala Husam pula masih belum membuat keputusan.

Rais Yatim dakwa ada komplot mahu jatuhkan Najib Tun Razak

MENTERI Penerangan, Komunikasi dan Kebudayan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tohmahan yang dikeluarkan oleh media asing terhadap kepimpinan baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tujuan tertentu untuk menjatuhkan beliau atau satu "grand design".

Katanya, perbuatan media itu bukan satu perkara baru kerana mereka pernah menggunakan taktik yang sama tetapi gagal sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui kepimpinan negara.

"Media asing itu akan menggunakan pelbagai istilah mengaitkan pelbagai kelakuan (perdana menteri) yang kononnya tidak boleh diterima (oleh pihak tertentu)," katanya selepas menghadiri majlis bacaan yasin dan tahlil untuk bekas timbalan perdana menteri Tun Abdul Ghafar Baba di Peringgit, Melaka malam tadi.

Majlis itu dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia sempena memperingati ulang tahun pemergian Allahyarham yang meninggal dunia pada 23 April 2006, lapor Bernama. Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Rais diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir bahawa terdapat usaha media asing yang bersatu dan berterusan menggambarkan impak negatif terhadap Najib sebagai perdana menteri baru Malaysia.

Menurut Rais, Najib telah dikaitkan dengan isu "undang-undang" kononnya boleh mencemarkan nama baik beliau oleh beberapa pihak termasuk pemimpin PKR.

"Sedangkan dakwaan itu hanya kosong semata-mata oleh media sama ada di Eropah atau di Amerika Syarikat," katanya yang percaya dakwaan terhadap Najib itu akan berakhir begitu sahaja.

"Bagaimanapun, kami akan meneliti (keadaan) dan sekiranya berpeluang saya sendiri ingin berdebat dengan pihak-pihak yang cuba 'mengenakan' pemimpin kita dengan perkataan tak senonoh atau tidak diterima akal pada masa ini," katanya.

Mengenai Datuk Zaid Ibrahim yang sering dipetik oleh media asing untuk memburukkan Najib, Rais berkata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memiliki peribadi yang mempunyai beberapa sifat "si lunchai" kerana Zaid tidak mengenal sifat kebijaksanaan atau faedah mengutuk pemimpin sendiri.

"Kita akan lihat setakat mana hebatnya beliau (Zaid) menggunakan istilah-istilah itu terhadap perdana menteri," katanya. Rais mencabar Zaid untuk berdebat di khalayak ramai jika beliau yakin dakwaan terhadap Najib itu benar.

Presiden PAS tarik balik: Masih ramai tidak faham 'Unity Government'?


PELBAGAI isu panas berlegar dalam masyarakat dan rakyat, amat memerlukan kupasan serta penjelasan oleh kepimpinan PAS. Jika tidak dirungkai akan berlaku kekusutan serta terbelit dalam kefahaman sesama sendiri. Justeru, KHAIRUL AZLAM MOHAMAD mewawancara Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di kediamannya, di Rusila, Marang bagi mendapatkan pandangan berkenaan isu-isu yang melingkungi dalam dan luar parti.

Dalam agenda membentuk 'Kerajaan Perpaduan' atau 'Government Unity', adakah PAS masih optimis untuk berunding bersama Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak bagi merealisasikan hasrat tersebut?

USTAZ ABDUL HADI: Saya melihat masih ramai yang tidak faham tentang 'Unity Government' termasuk orang PAS sendiri dan di kalangan pimpinan pun ada yang masih belum faham lagi. Ini kerana, mungkin mereka sibuk, tidak berpeluang membaca buku-buku politik dan tidak membaca istilah-istilah politik.
Dalam politik ada kerajaan yang sepenuhnya, ada yang disebut'Unity Government', ada 'Coalition Government' dan ada 'Front National'. 'Front National' itulah dia Barisan Nasional (BN) yang ada pembangkang. Kerajaan campuran ini adalah antara satu parti yang memerintah dengan parti yang lain diajak sama dalam pemerintah dengan syarat-syarat yang dibuat.
Di mana kebiasaannya dia (parti) terikat, partinya terikat dengan syarat-syarat bersama dengan kerajaan dan tidak banyak perubahan dibuat. Dan PAS berpengalaman dalam dua kerajaan iaitu Kerajaan Campuran (Perikatan) dan Kerajaan Barisan Nasional.
'Unity Government' bukan Kerajaan Campuran dan bukan Barisan Nasional. Itu kena faham. Ini kerana ada orang PAS sendiri faham masuk Barisan Nasional dan kerajaan campuran semula. Ini menandakan tidak faham 'Unity Government'.

Boleh Dato' Seri jelaskan apa yang dimaksudkan dengan 'Unity Government' ini?

'Unity Government' ini adalah Kerajaan Perpaduan yang melibatkan semua parti politik dan tidak ada pembangkang langsung. Semua parti duduk dalam kerajaan dan semua parti ini ada identiti, ada syakhsiyyah, ada kepelbagaian dan dia (parti) berhak untuk membangkang di mana 'Unity Government' ini membolehkan orang dalam Umno sendiri bangkang kerajaan.
Ini kita (PAS) memecahkan tradisi yang dibuat oleh Umno yang ada pada hari ini. Di mana orang Umno tidak boleh bangkang parti dia dan kalau bangkang dia akan kena pecat. Ini termasuklah, kita membebaskan Umno itu sendiri.
Ini kena faham dan dalam masa yang sama 'Unity Government' ini mestilah melakukan perubahan yang adil untuk semua rakyat. Ini termasuklah untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan Kehakiman, pentadbiran.

Boleh Dato' Seri kemukakan contoh-contoh apa yang dikatakan "Unity Government" yang dipakai di mana-mana?

Konsepnya mesti berubah dan bukan apa yang ada pada hari ini. Sebagai contoh, di Indonesia yang saya sebut tadi. 'Unity Government' di Indonesia berlaku pemisahan kuasa dengan 'SPR' atau Pemilu di Indonesia dengan badan politik. Pemisahan kuasa dengan badan kehakiman, sehingga badan kehakiman di Indonesia boleh menyeret Suharto ke Mahkamah, boleh menyeret Perdana Menteri dan Menteri-menteri ke Mahkamah jika melakukan kesalahan.
Ini kita (PAS) hendak bersihkan negara. Di Israel sebagai contoh, Perdana Menteri Israel pun boleh dibawa ke mahkamah dan disiasat. Ini 'Unity Government' dan pilihan raya di Indonesia adalah pilihan raya yang berubah. Di mana Barisan Nasional tidak ada hak memonopoli TV termasuklah semua parti boleh menggunakan TV.

Tapi Dato' Seri, masih ramai orang yang tidak faham termasuk ahli-ahli PAS sendiri?

Inilah masalahnya. Ramai yang tidak faham dengan konsep ini. Rakyat ada kebebasan. Ini 'unity' biar kita kena faham. Apa yang saya rasa lucu, ada orang Umno yang membangkang dan ada orang Umno yang bersetuju.
Tetapi, orang PAS juga bangkang dia (PAS) tidak tahu. Ini menandakan, dia (orang PAS) tidak tahu apa 'Unity Government'. Barangkali kalau dia tahu bentuknya saya rasa orang boleh terima.
Oleh kerana, ramai orang tidak faham. Maka, saya tarik balik cadangan saya itu. Saya tarik balik sehingga orang kita faham betul-betul.

Adakah cadangan Dato' Seri ini telah dibincangkan pada peringkat jawatankuasa tertinggi parti?

Sebenarnya, 'Unity Government' ini kita telah bincang dalam dialog politik di kalangan kepimpinan PAS Pusat. Kita telah membincangkan semua aspek.
Aspek Barisan Nasional, aspek Kerajaan Campuran termasuklah 'Unity Government' dan ini juga menjadi perbincangan termasuklah aspek undi tidak percaya. Dan termasuk 'Unity Government' yang saya kemukakan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa menjadi Perdana Menteri. Ianya disokong oleh KeADILan dan DAP.
Saya telah memaklumkan kepada DAP dan DAP menyertai dalam beberapa usaha yang dilakukan tetapi oleh kerana, kita melihat orang Umno sendiri takut hendak buat 'Unity Government' dan mungkin dia (pemimpin Umno) bimbang kerana akan ada orang dia (Umno) dibicarakan di Mahkamah, maka ia terhenti.

Umno takut untuk teruskan?

Dia (Umno) tidak berani. Sebab itu "Unity Government' tidak jadi dan saya tarik balik cadangan saya. Saya yakin dan percaya pada suatu hari nanti orang akan terima cadangan saya, orang akan fikir balik.
Apabila masa tenang balik dia (Umno) fikir balik. Apabila keadaan yang munasabah. Dan 'Unity Government' adalah untuk membuangkan orang yang bermasalah dalam negara. Ini bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga dalam pembangkang sendiri.

Apakah isu ini dijangka akan menjadi topik perbahasan hangat para perwakilan pada muktamar akan datang?

Ini akan menilai orang yang bercakap itu faham atau tidak dan dengan sebab itu, saya harap jika tidak faham usah bercakap nanti orang nampak kita tidak faham, kita jahil. Tetapi yang hendak bercakap (Unity Government) mesti yang faham.

Apakah implikasi terhadap kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan KeADILan di Bukit Selambau?

Implikasi terhadap kemenangan PAS di Bukit Gantang dan Bukit Selambau sudah tentu kepada perkembangan politik tanah air. Sokongan kepada Pakatan Rakyat terutama kepada PAS sendiri.
Pertama, sudah tentulah terserlah jentera pilihan raya di semua tempat adalah jentera PAS yang memainkan peranan yang besar.
Kedua, kerjasama yang erat antara PAS dengan parti-parti Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Melayu memberi implikasi Islam. Di mana, kita telah berjaya memecahkan tembok pemisahan yang memisahkan antara kita dengan orang-orang bukan Islam hasil daripada kita memperkenalkan politik Islam yang terbuka kepada semua manusia bukan sahaja kepada orang Islam termasuk juga orang bukan Islam.

Adakah ini kesan langusng dari dakwah PAS selama ini?

Keadilan Islam adalah mutlak dan kita telah berjaya merealisasikan konsep ini dalam pemerintahan PAS di Kelantan dan pernah di Terengganu. Dalam masa yang singkat pemerintahan PAS di Perak dan di Kedah dan kenyataan kita di negeri Pakatan Rakyat.
Hasil dari pelaksanaan yang ringkas ini telah memberi keyakinan awal kepada orang-orang bukan Islam menyebabkan mereka bekerjasama dengan jentera PAS. Bahkan, memberi undi kepada orang-orang PAS sendiri dalam pilihan raya di Bukit Gantang dan dalam masa yang sama kita berjaya memberi kefahaman kepada akar umbi PAS tentang pelaksanaan kerjasama.

Maksud Dato' Seri, hubungan kerajsama itu makin erat dan dihayati sebetulnya dalam bentuk praktikal...

Ya! Jentera PAS di Bukit Selambau telah memberi kerjasama yang baik untuk memenangkan calon KeADILan. Walaupun calonya dari bukan Islam tetapi mereka adalah dalam kumpulan yang bertahaluf dengan PAS dan akan memberi kekuatan kepada kerajaan yang dipimpin PAS di Kedah.
Ini sudah tentu ia memberi implikasi yang mendalam pada perkembangan politik tanah air. Maka, berlakunya satu anjakan paradigma di kalangan pengundi-pengundi muda orang Melayu Islam yang memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat termasuk PAS.
Ini ternyata, melalui saluran-saluran orang muda seperti saluran 3, 4, 5 dan 6. Saluran ini memberi kemenangan besar kepada PAS, walaupun saluran-saluran tua masih lagi menunjukkan perubahan yang sedikit walaupun banyak isu yang berlaku.

Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang, undi kaum Cina meningkat banyak. Apakah mesejnya itu?

Kita melihat pengundi bukan Islam telah mengundi PAS di Bukit Gantang dan memberi undi yang besar. Sebab itu, majoriti di Bukit Gantang adalah di luar jangkaan PAS. Ia di luar kiraan yang kita buat.
Ini kerana, ditambah dengan pengundi-pengundi yang bukan Islam. Saya sendiri telah memberi hujah untuk mengemukakan satu senarai calon di Bukit Gantang. Dan hujah ini dibincang bersama kalangan Jawatankuasa Politik PAS Pusat, kemudian mendapat sokongan daripada pengundi muda dan bukan Islam.
Ini perubahan yang berlaku. Sudah tentu dengan perkembangan politik tanah air khususnya di Semenanjung iaitu di kawasan-kawasan rakyat mendapat maklumat, celik politik meningkat. Walaupun media arus perdana yang dikuasai kerajaan dan disalahgunakan oleh kerajaan, cuba menutup kebenaran di pihak Pakatan.
Sebab itu, tidak pelik jika di Batang Ai kita menemui kegagalan kerana itu kawasan pendalaman yang rakyat tidak mendapat maklumat. Radio dan berita pun jarang-jarang dengar, apa lagi TV dan kertas-kertas undi dibawa dengan helikopter. PAS kurang yakin dengan ketelusan, keamanahan pilihan raya itu.

Pada pengamatan Dato' Seri, bagaimana reputasi Perdana Menteri baru yang dipimpin oleh Dato’ Seri Najib?

Saya anggap ini kenderaan lama yang masih lagi kebocoran tayar, kelemahan enjin dan akan lebih parah. Ia berlaku, sejak pada zaman Tun Dr Mahathir dan ini bukan baru.
Pada zaman Tun Dr Mahathir lagi sudah berlaku kelemahan-kelemahan ini dan Tun Abdullah Ahmad Badawi memikul dengan berat penyakit-penyakit itu dan penyakit itu tidak boleh diubat. Sehingga zaman Tun Abdullah Badawi dan Najib mengambil-alih kenderaan yang sama.
Cuma yang berubahnya ‘nakhoda’. Kapalnya ‘bocor’ yang sama dan dibayangi gejala rasuah, dibayangi penyalahgunaan kuasa dan dibayangi oleh pelbagai jenis penyelewengan yang tidak boleh diatasi hingga ke hari ini.

Jadi, perubahan yang dijanjikan oleh Umno dengan pelantikan Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri sekadar perubahan yang bersifat kosmetik. Apa komen Dato' Seri?

Begitulah! Kalau kita hendak kata secara jelas kerana sehingga hari ini tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan berlaku satu perubahan yang menyeluruh. Sebab itu, kita kata tunggu. PAS akan lihat positif terhadap sebarang perubahan yang baik dan PAS akan menentang penyelewengan. Soalnya sama sahaja. Tiada perubahan bahkan lebih meningkat dari masa-masa yang lalu berdasarkan kemajuan yang dicapai.

Boleh Dato' Seri mengulas sedikit beberapa keputusan mahkamah terutama dalam kes yang berkait dengan kemelut di negeri Perak?

Sehingga hari ini, saya tidak yakin dengan kebebasan kehakiman berlaku dengan sepenuhnya di negara kita. Dan tidak ada pemisahan kuasa di antara ‘legislative’ dengan pentadbiran, dengan kehakiman.
Tidak ada dalam erti kata yang sebenar dalam pentadbiran mengikut sistem British. Apatah lagi mengikut sistem Islam. Dan British pun banyak mengambil daripada Islam dan membekalkan sistem pemerintahan kepada negara barat.
Di sini berlakunya pemisahan kuasa yang diajar oleh Nabi s.a.w. pada zaman pemerintahannya. Dan pemisahan kuasa di antara politik, kehakiman dan pentadbiran.
Sehingga Nabi kita Muhammad s.a.w. dalam mengendalikan kes dia (Nabi) dengan rakyat dibawa kepada hakim yang dilantik, yang dibebaskan bercampuran dengan Rasulullah s.a.w. sendiri. Tiada campurtangan Rasulullah s.a.w. sendiri dalam kehakiman.
Ini pada zaman Khilafah dan cara ini diambil oleh British dan diamalkan di negara kita. Diamalkan pada zaman Tunku Abdul Rahman, masih ada di zaman Tun Abdul Razak dan makin lemah pada zaman Tun Hussein Onn dan zaman Mahathir lagi lemah.
Semua orang tahu bagaimana bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dipecat dan bagaimana hakim-hakim yang lain dipecat. Ini adalah gejala yang tidak sihat yang dimulakan pada zaman Tun Dr Mahathir dengan sebab itu, saya meragui zaman pemerintahan Najib yang dibayangi oleh Tun Dr Mahathir yang ada di dalamnya.

Muktamar PAS dijangka akan diadakan pada bulan Jun ini. Beberapa jawatan utama pastinya dipertandingkan. Wajarkah 'pertandingan' di peringkat jawatan tertinggi parti itu?

Ini bukan kali yang pertama berlaku sejak zaman PAS mula ditubuhkan. Zaman Dato’ Asri Muda, zaman Ustaz Yusof Rawa, zaman Dato’ Fadzil Noor bahkan, pada zaman saya pun berlaku dalam muktamar yang lalu.
Tetapi saya yakin terdapat kematangan di kalangan ahli PAS dan saya minta kematangan ini dipelihara. Dan PAS hendaklah selamat daripada gejala-gejala politik yang tidak sihat seperti politik wang, politik ugut, politik melobi dan politik kempen yang ‘melampau’.
Apa yang berlaku, pertandingan atas dasar ‘berlumba-lumba untuk mengerjakan kebajikan’ dan bukan berlumba-lumba untuk menjadi ketua dan berlumba-lumba mendapat kelebihan.
Kalau berlumba untuk jadi ketua itu dilarang oleh Islam. Kalau berlumba untuk mendapat fadhilat, untuk berada di medan yang hadapan, untuk menghadapi musuh dan menjadi sasaran kepada gejala-gejala politik zalim. Itu merupakan satu petanda yang baik dan itulah yang kita harapkan berlaku dalam PAS ini.

Penilaian Dato' Seri terhadap cabaran dan harapan kepada Pakatan Rakyat yang menggabungkan kerjasama antara PAS, KeADILan dan DAP?

Harapan saya supaya Pakatan Rakyat diteruskan dan bagi PAS sendiri kita akan meningkatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Sebenarnya, Pakatan Rakyat ini ditaja oleh PAS sejak zaman kita (PAS) bersama dengan Parti Melayu Semangat 46.
Kemudian, lebih meningkat lagi dengan Barisan Alternatif (BA) pada zaman Ustaz Fadzil Noor dan pada tahun 2004-2008 ianya menjadi lebih matang lagi.
Dan kita mengharapkan mantap lagi pada masa yang akan datang. Harapan saya 'Pakatan Pembangkang' ini tidak berpecah. Kita bersatu dalam menghadapi ‘Pakatan Kerajaan’ dan berlakunya dua parti dalam negara itu lebih sihat dan tidak banyak memecahkan rakyat.
PAS bersikap anjal atau fleksibel dalam menangani kerjasama di atas prinsip Islam dengan PAS tidak menjual prinsip dan PAS tidak memaksa parti-parti lain dalam pakatan menjual prinsip tetapi kita (PAS) boleh bekerjasama dalam perkara yang sama atau titik persamaan yang satu di antara kita bagi membuat perubahan ke arah yang adil, menentang kezaliman.
Di mana menegakkan yang adil dan menentang yang zalim merupakan perkara sejagat yang kita tidak berbeza antara satu sama lain.

Sejak mutakhir ini dilihat kecelaruan berlaku dalam politik Umno-BN, bukan sahaja di Terengganu, malah di seluruh negara. Apa yang Dato' Seri boleh simpulkan?

Saya tidak mahu campurtangan banyak dalam hal Umno. Pengamatan saya dari luar itu lebih bersifat perlumbaan untuk merebut kepentingan. Royalti akan dipulangkan balik kepada Terengganu. Ini sudah tentu banyak projek yang akan mencurah di Terengganu melalui royalti yang akan dipulang-balik itu.
Mereka merasakan mereka tidak berpeluang lebih banyak melalui projek-projek ini, akan berrsikap haloba untuk mendapat kuasa itu. Kepada saya ini suatu gejala yang tidak baik bagi negeri Terengganu, cukup dengan berlakunya projek-projek haloba dari tahun 1978 hingga 1998.

Ketika PAS berkuasa dulu, macam mana PAS betulkan kepincangan ini?

Apabila PAS cuba hendak buat pembetulan, kita telah dicantas melalui politik yang kotor. Daftar pemilih yang terlalu besar jumlah sehingga tidak padan dengan penduduk di negeri Terengganu. Dan kita sabar menghadapi karenah itu. Kita tidak bertindak liar.
Bahkan, saya pernah sebut di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun), PAS pernah bersabar selama 40 tahun. Dari tahun pilihan raya 1959, kita menang dan kita jatuh. Kita tunggu hingga pilihan raya 1999 (40 tahun). Kita boleh sabar, kerajaan PAS jatuh di tengah jalan dalam tahun 60-an. Kita sabar dan kita menunggu sehingga PAS menang tahun 1999. PAS pernah diguling tahun 2004 dengan cara yang begitu rupa dan kita bersabar.
Kita balik dengan lapan kerusi semula dan kita sabar menghadapi karenah-karenah ini. Saya percaya mereka (pemimpin) yang rakus dalam Umno tidak bersabar dalam melihat perubahan ekonomi yang akan berlaku bagi kepentingan puak masing-masing tanpa mengira dunia ditenggelam oleh gejala dan krisis ekonomi yang parah.
Sudah tentu Terengganu yang duduk dalam Malaysia akan menerima kesan yang sama. Sepatutnya, kita berfikir bagaimana untuk mengatasi masalah rakyat dan kekayaan yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Bukan kita berebut untuk mendapat projek dan merasakan kuasa politik yang ada ini boleh menghalang di kalangan tertentu mendapat projek dan berlakulah pergolakkan itu.

Pakatan Rakyat sekali lagi bakal berdepan dengan pilihan raya kecil di Dun Penanti Pulau Pinang, ekoran pengosongan kerusi Adunnya, Mohamad Fairus Khairuddin daripada KeADILan. Apa harapan Dato' Seri?

PAS bersedia untuk menghadapi pilihan raya. Sebenarnya, PAS mempunyai cawangan yang banyak di Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti dan kawasan itu juga adalah ‘kubu’ kuat PAS.
Insya-Allah, jentera PAS akan lebih baik daripada Bukit Gantang dan lebih baik daripada Bukit Selambau. Apatah lagi, PAS pernah menghadapi pilihan raya di Permatang Pauh. Di mana, Dun Penanti berada dalam Parlimen Permatang Pauh dan kita mengganggap ini satu latihan yang paling baik bagi PAS untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.