KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Ogos 05, 2011

Taktik jahat Umno-BN terbongkar: 17 ribu pengundi bertindih di Selangor!


Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat,  Mohd Sany Hamzan

SEMANGAT Bersih 2.0  tidak terhenti pada 9 Julai. Ia akan terus disemarakkan sehingga lapan tuntutan yang terkandung dalam memorandum kepada Yang DiPertuan Agong dipenuhi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ini yang ditegaskan Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Pusat,  Mohd Sany Hamzan yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor. Ikuti butiran lanjut mengenai perkara ini sebagaimana dinyatakan dalam wawancara Editor Harakah, DATO' TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan NYZA AYOB pada 28 Julai lalu.

Momentum Bersih 2.0 akan mati jika PAS tidak "memanaskannya" dalam bentuk pelbagai aktiviti di semua peringkat. Bagaimana PAS dapat mobilisasi perkara ini?

MOHD SANY HAMZAN: Mungkin saya boleh tekankan di peringkat Jabatan Pilihan Raya dan Lajnah Mobilisasi dan Demokrasi Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Di peringkat PAS Selangor, kita minta di semua Pusat Khidmat Masyarakat, Adun atau Penyelaras Dun, Ahli Majlis serta penjawat awam di Selangor sekiranya ingin mengedarkan kad ucapan Hari Raya, lapan tuntutan Bersih itu dimasukkan dalam kad ucapan tersebut. 
Begitu juga sekiranya pihak berkenaan menyediakan sampul duit raya. Lapan tuntutan Bersih itu mesti dicetak di sampul duit raya tersebut. Selain itu kita juga berharap risalah berkenaan tuntutan tersebut diedarkan di masjid-masjid dan surau di Selangor. Ia boleh dimanfaatkan di bulan Ramadan ini kerana  ramai mengunjungi masjid dan surau sepanjang bulan ini. 

Tentang kempen "Kuningkan Sabtu". Kenapa tidak Pemuda PAS sahaja yang mempelopori kempen ini dengan memperkenalkan pelbagai program pada setiap Sabtu?

Memang kami ada mengeluarkan arahan kepada Pemuda PAS di setiap negeri dan kawasan. Sebenarnya Pemuda PAS di negeri dan kawasan cuba untuk melaksanakan program untuk menghidupkan Bersih ini.  Cuma kita nampak sekarang ini Umno dan BN menggunakan polis untuk memerangi momentum Bersih ini.  Apabila ada kalangan Pemuda PAS atau Pakatan Rakyat memakai baju Bersih, mereka akan dicekup. Kita tidak tahu sebenarnya apa yang menyebabkan polis bertindak demikian. 
Apakah yang menyebabkan mereka takut dengan baju kuning dan lapan tuntutan kita itu? Tuntutan kita adalah tuntutan munasabah. Kita bukan hendak merusuh atau melakukan revolusi atau ingin menumbangkan kerajaan dengan mengadakan demonstrasi di jalan raya. Lapan tuntutan seperti celup dakwat, tempoh berkempen 100 hari dan akses kepada media merupakan tuntutan yang kita kira munasabah.
Tetapi apabila kita hendak menghidupkan 'Kuningkan Sabtu', BN menggunakan polis untuk menghalang setiap program yang kita lakukan. Walau bagaimanapun, kita tetap akan teruskan dengan pelbagai program pada setiap Sabtu tetapi dengan program-program seperti yang kita nyatakan di atas sempena Ramadan ini. Kita juga boleh menyatakan sokongan kita dengan menyemarakkan 'semangat kuning' ini dengan mengenakan tema kuning pada Aidilfitri nanti. Itu sebagai tanda sokongan yang penuh simbolik. 

Apa langkah Pemuda PAS untuk menyedarkan masyarakat di luar bandar khususnya di kalangan orang Melayu yang tidak mendapat maklumat benar tentang Bersih 2.0 ini?

Kita juga meminta Pemuda PAS dan Jawatankuasa PAS kawasan  mempergiatkan aktiviti memberi penerangan kepada masyarakat mengenai  apa yang kita tuntut kepada SPR pada 9 Julai lalu supaya dapat dijelaskan kepada masyarakat luar bandar. Saya kira masyarakat luar bandar dan pinggir bandar yang mempunyai akses kepada media dan internet mungkin sudah mengetahui dan memahami tentang lapan tuntutan Bersih ini.
Mungkin masalah tentang memahami perkara ini timbul di kalangan masyarakat luar bandar. Kami akan menerbitkan poster dan kalendar 2012 yang menerangkan mengenai lapan tuntutan Bersih ini. Kami juga telah mengeluarkan arahan kepada PAS kawasan menjual kalendar Bersih ini dengan harga yang amat murah. Dan kita minta kalendar ini dibingkaikan dan ditampal di rumah masing-masing. Maknanya setiap rumah ahli atau penyokong PAS ini mesti mempunyai poster dan kalendar Bersih dan digantung di tempat yang menjadi tumpuan tetamu. Sekurang-kurangnya tetamu yang datang itu, jika dia  belum memahami atau langsung tidak mengetahui apa itu tuntutan Bersih, akan bertanya kepada tuan rumah. 

Ini cara untuk menterjemahkan Bersih?

Lapan tuntutan ini sebenarnya boleh diterjemahkan.  Selain itu kita juga meminta kerjasama Lajnah Penerangan  dan Lajnah Tarbiah supaya semua ustaz-ustaz menggunakan sedikit waktu apabila memberi tazkirah atau  kuliah agama tentang mengapa perlunya untuk mengembalikan  pilihan raya  yang adil, bebas dan saksama dalam sistem demokrasi di negara ini. 
Di peringkat Pemuda PAS Pusat, Lajnah IT sedang menyiapkan cakera padat (CD) yang akan kita edarkan kepada 1.2 juta warga kota yang akan balik bercuti sempena hari raya nanti. Itu antara perancangan kita bagi mobilisasi kelangsungan aktiviti Bersih 2.0 ini. Kita tidak mahu ia mati pada 9 Julai.

Ramai yang beranggapan tuntutan Bersih 2.0 ini hanya untuk kepentingan politik. Bagaimana Pemuda PAS hendak menangkis dakwaan ini?

Ini bukan politik. Kami kira tuntutan Bersih 2.0 ini bukan hanya melibatkan golongan pembangkang. Sebagaimana yang kita lihat pada Debat 'Apa Selepas 9 Julai?' baru-baru ini, Timbalan Menteri  Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah  turut menyokong tuntutan Bersih 2.0. Dalam  ceramah-ceramah kita yang menyentuh mengenai Bersih 2.0 ini, kita sanggup kalah seribu tahun lagi selagi sistem pilihan raya kita tidak adil. 

Selepas Debat 'Apa Selepas 9 Julai?', tidak nampak ada banyak diskusi dianjur tentang Bersih seperti forum dan seminar. Kenapa kesuraman ini berlaku?

Di peringkat Dewan Pemuda PAS Pusat, melalui jabatan pilihan raya, kita telah mengumpul data-data dan bukti pertindihan seorang pengundi yang boleh mengundi dua kawasan parlimen. Ia melibatkan perkara-perkara teknikal. Sebab itu saya tidak mahu menguarkannya dahulu. Baru-baru ini sewaktu kami membuat laporan polis mengenai perkara ini, kita cuma mendedahkan empat dan lima nama sahaja. Kami dapati kad pengenalan lama dia betul tapi my kad dia empat angka terakhir diubah. Sebagai contoh dalam kad pengenalan asal namanya Mohd tapi dalam mykad diubah kepada  Muhd. Yang perempuan pula contohnya ejaan Binti ditukar kepada Bt. Jadi dia boleh mengundi di lokasi yang berbeza. 

Bagaimana ini boleh terjadi? Sedangkan pengerusi SPR mengatakan data ini sudah dibersihkan...

Insya-Allah perkara ini kami akan dedahkan secara besar-besaran. Di Selangor, kami dapat dedahkan hampir 17,000 pengundi yang bertindan yang dapat mengundi di kawasan parlimen yang berbeza dalam satu-satu pilihan raya. Jabatan Pilihan  Raya di setiap PAS negeri juga tengah mengumpulkan bukti. Pada  4 Ogos nanti bertempat di Hotel De Palma, Ampang, kita akan mengadakan forum bagi menjawab semula jawapan diberikan SPR dalam Debat 'Apa Selepas 9 Julai?' baru- baru ini. Kita akan menjawab semula segala jawapan yang diberikan SPR berdasarkan buku yang diedarkan badan tersebut. Kita juga akan menjawab segala persoalan kenapa relevan lapan tuntutan tersebut.

Bohongi diri sendiri: Jika Bersih 2.0 gagal, kenapa BN 'cekup' kuning?



PERISTIWA menarik Himpunan Bersih 2.0 yang berlangsung pada 9 Julai 2011 sebenarnya telah mencipta satu momentum yang cukup baik kepada rakyat, yang mahu memberi tahu BN bahawa mereka tidak usah bercakap banyak lagi kerana rakyat sudah muak.

Itulah sebabnya, kesan daripada penganjuran Himpunan Bersih 2.0 telah berbekas di hati setiap mereka yang tidak dapat menghadirkan diri, tetapi menanam cita-cita mahu menumbangkan BN dalam PRU 13 akan datang.

Kalau kita belajar dari sejarah, gerakan reformasi tahun 1998 dahulu, ialah dengan hadirnya anak-anak muda setiap Sabtu di Dataran Merdeka hingga menakutkan. Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu terfikir untuk mengujudkan Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana takut dengan perkembangan ketika itu.

Boleh dikatakan anak-anak muda tidak memihak kepada BN ketika itu dan Dr. Mahathir dianggap sebagai musuh kepada generasi muda yang dikatakan sebagai bakal pemimpin negara. Ia cukup menakutkan dan hingga timbul kertas-kerja yang dicadangkan Allahyarham Prof Dr. Ahmad Fawzi Basri.

Anak-anak muda yang sudah menghabiskan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditarik menyertai PLKN dan kenal asal-asas penubuhan negara dan tidak diberi peluang menghadirkan diri pada setiap Sabtu di Dataran Merdeka. Apakah sejarah ini akan berulang dengan peristiwa Sabtu 9 Julai 2011 lalu? 

Jika ia berlaku, tentulah Perdana Menteri (PM) Dato' Seri Najib Tun Razak terpaksa mencari idea baru, bagaimana mahu mencegah dan menyekat momentum kuning, setiap Sabtu ini. Walaupun mereka tidak mungkin berhimpun di Dataran Merdeka setiap Sabtu hingga memaksa FRU dan polis terpaksa berkawal di situ, tetapi jika mereka menyarung jersi kuning Bersih seperti jersi pasukan bola Malaysia, tentulah Najib terasa.

Lena Najib akan terganggu dengan warna kuning yang dulu pernah menjadi warna Parti Melayu Semangat 46, sebelum ia berkubur dan kini, menjadi uniform Bersih. Memetik kata-kata Menteri Dalam Negeri (KDN), kuning tanpa lambang Bersih tidak salah tetapi jika kuning ini dipakai setiap Sabtu, insyaAllah kuning yang tidak berlambang bersih juga akan diharamkan.

Kesihan warna kuning. Warna yang melambangkan Raja-Raja Melayu kini sudah menjadi masalah kepada polis dan BN, walaupun bukan masalah sepanjang masa tetapi akan menjadi masalah setiap Sabtu. Kalau ada mana-mana uniform sekolah yang berwana kuning, barangkali akan ada arahan, warna itu perlu ditukarkan kepada warna lain, asalkan jangan warna kuning. 

Dulu, kain samping pelajar lelaki dan kain sarung pelajar perempuan sekolah agama berwarna hijau ditukarkan ke warna merah, tidak mustahil warna kuning bagi pasukan kuning di sekolah-sekolah akan ditukarkan kepada warna coklat.

Nah! Bersiap sedialah ibu bapa semua, kerana mereka mungkin akan dipaksa mengeluarkan belanja ke arah itu dek kerana ada yang takut dan fobia kepada warna kuning. Perkara ini mungkin terjadi dan mungkin tidak, tetapi polis sudah acapkali memberi ingatan "jangan memakai baju kuning berlambang Bersih" kerana ia adalah suatu kesalahan.

Sehingga tulisan ini dapat dibaca, Himpunan Bersih 2.0 sudah lebih tiga minggu berlalu, namun perbincangan mengenainya sudah lebih dua bulan diperkatakan. Walaupun polis mengatakan sekitar lima hingga enam ribu sahaja yang menghadiri Himpunan Bersih 2.0 tetapi ada pihak lain yang mendakwa lebih 15 ribu telah berjaya mengadakan perhimpunan tersebut.

15 ribu dari 26 juta penduduk Malaysia sebenarnya satu jumlah yang cukup kecil hingga memaksa Najib berkata, sokongan senyap lebih besar lagi berbanding yang keluar berhimpun, namun ia tidak menyebabkan Najib dan pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain mahu berhenti bercakap mengenainya.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said telah bercadang mahu menarik balik biasiswa beberapa orang pelajar di Mesir yang dikatakan turut terlibat dengan Himpunan Bersih di Mesir. Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Mohd Khaled Nordin telah menyerahkan kepada pihak IPTA mengkaji bentuk tindakan terhadap hampir 500 mahasiswa yang dikatakan terlibat dengan Himpunan Bersih 2.0.

Setakat ini, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dato' Saifuddin Abdullah sahaja yang bersendirian mempertahankan bahawa demokrasi tidak menghalang demontrasi. Tidak pula diketahui, apakah respons pucuk pimpinan Umno terhadap timbalan menteri ini.

Kalau ada sesiapa terserempak dengan timbalan menteri ini berbaju t kuning setiap Sabtu, eloklah merakamkan gambarnya untuk disiarkan di mana-mana portal atau media, bagi menyampaikan mesejnya kepada seluruh alam, bahawa demokrasi tidak menghalang demontrasi.

Pengerusi Tan Sri Aziz Yusof dan Timbalan Pengerusi SPR, Dato' Wan Ahmad Wan Omar semakin sibuk kini memenuhi undangan menghadiri wacana, seminar dan ceramah. Nampaknya mereka berdua, lebih sibuk dari Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan kebelakangan ini.

Mereka terpaksa mencadangkan kepada kerajaan, supaya menggunakan biometrik dan bukan dakwat celup dan memaksa Najib meluluskan peruntukan segera untuk menjayakan hasrat SPR itu namun, adalah mustahil jika ia mahu dimulakan, bimbang takut sempat  digunakan untuk PRU 13.

Berbuih mulut Tan Sri Aziz Yusof mempertahankan bahawa cadangan menggunakan dakwat celup sebagai ketinggalan zaman dan hanya dibuat di negara-negara miskin, tetapi pihak yang menuntut mengunakan dakwat celup tetap mempertahankan hujah mereka.

Cuma, secara bergurau beberapa pihak berkata, mungkin dengan menggunakan dakwat celup, ia murah tetapi kalau menggunakan biometrik ia akan menelan belanja yang bukan sedikit – jadi siapakah yang bakal diberikan kontrak membekalkan mesin biometrik tersebut?

Jadi, dari semua perkembangan ini tidak menyebabkan mereka mahu melupakan baju t kuning setiap Sabtu dan mungkin akan menambah tugas polis untuk memeriksa beg-beg sandang sama ada berisi t-shirt kuning atau tidak.

Momentum ini akan berterusan sehinggalah selesai PRU-13 dan khabarnya dari satu sumber yang layak dipercayai, BN hanya yakin dapat mempertahankan 120 kerusi Parlimen, sedangkan sekarang mereka mempunyai 137 kerusi dari 222 kerusi.

Ketika BN berhempas pulas mahu memecahkan hubungan antara PAS-DAP, BN juga sedang memperkemaskan jentera partinya yang berpecah. Umno sendiri tidak dapat menyelesaikan pertelingkahan yang berpanjangan di peringkat bahagian-bahagian hingga menyebabkan banyak pihak tidak yakin Najib akan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Jika ramai yang bert-shirt kuning setiap Sabtu, mungkin akan menyebabkan Najib lebih terganggu dan sedikit sebanyak akan memberi pengaruh kepada pemikirannya untuk mencadangkan pembubaran Parlimen. Segala-galanya bergantung kepada momentum ini, sama ada semakin menguning macam padi masak di tengah bendang atau ia terus menghijau seperti padi muda yang menunggu masa hendak masak. 

Oleh SAFAR JUMAAT - penulis prolifik yang rapat dengan serambi kuasa PWTC.

Enam tahanan EO terpaksa dibebaskan akibat hentakan kuasa rakyat suara keramat



TIDAK sia-sia tindakn gigih mereka. Kira-kira 200 penyokong Parti Sosialis Malaysia (PSM) berhimpun di hadapan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bagi menuntut pembebasan enam tahanan Ordinan Darurat (EO) membabitkan aktivis PSM.

Kebanyakan mereka yang mengenakan pakaian berwarna merah dengan tertera wajah enam tahanan yang digelar mereka 'EO6', berhimpun sejak jam 2 petang sambil melaungkan kata-kata pembebasan dan memegang pelbagai sepanduk. Akhirnya, akibat tekanan rakyat yang berterusan, keenam-enam tahanan dibebaskan. Tahniah PSM dan rakyat yang peka di negara ini.

Apa kejadahnya SPR: Kad Pengenalan sama diguna dua penama untuk mengundi di dua lokaliti


Semakan Daftar Pemilih SPR membuktikan ada dua nama pemilik No Kad Pengenalan 6830901.

Ini pula bukti Semakan Daftar Pemilih SPR ada dua nama pemilik untuk No Kad Pengenalan 5962350.

BLOGGER Mutaligat dalam blognya mutaligat.blogspot.com 20 Julai lalu mendedahkan penipuan dan penyelewengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam tulisannya Mutaligat mendakwa seorang pengundi yang mempunyai No Kad Pengenalan lama 6830901 yang sama mempunyai dua nama hampir serupa, cuma ejaan yang berlainan.

Yang pertama, Daud Bin Mohd mengundi di Dun Asahan, Parlimen Alor Gajah dan kedua Daud Bin Mohamad mengundi di Dun Bemban, Parlimen Jasin.

"Bagaimana orang yang berlainan mempunyai No Kad Pengenalan yang sama?" soal beliau. Pendedahan ini dibuat oleh beliau hasil dari maklumat yang diperolehi dari laman sesawang SPR sendiri.

Mungkinkah beliau ini orang yang sama dan boleh mengundi dua kali. Dun Bemban dan Dun Asahan terletak tidak jauh antara satu sama lain dan memang tidak menjadi masalah untuk orang yang sama mengundi pada hari yang sama.

Pendedahan kedua melibat seorang pengundi bernama Asia Binti Osman No Kad Pengenalan lama 5962350 yang mempunyai dua tempat mengundi yang berlainan. 

Satu di Dun Taboh Naning dan satu lagi di Dun Ayer Limau kedua-duanya dalam Parlimen Masjid Tanah. Namanya hanya dibeza dengan perkataan 'Binti' dan satu lagi 'Bt'. "Inilah penipuan SPR yang tidak boleh disangkal lagi?" soalnya. 

Blogger Mutaligat menggesa SPR menjawab segala isu ini yang jelas amat meragukan orang ramai. Mutaligat atau Sofi Abdul Wahab ialah salah seorang Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka yang baru.

'Saya dirempuh Proton Waja, bukan Pajero' - Mohd Sabu


TIMBALAN Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa pihak polis menarik semula kenyataan bahawa beliau membuat tuduhan palsu dilanggar kenderaaan polis pada 9 Julai lalu, atau berdepan tindakan saman. Ketika dihubungi, Mohamad berkata beliau dirempuh kereta Proton Waja polis, dan bukan kenderaan Pajero seperti yang didakwa pasukan keselamatan itu.

Katanya, perkara itu turut dinyatakan dalam laporan polis yang dibuat beliau pada 14 Julai lalu sebagai bukti, di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

"Saya minta tarik balik pembohongan, kalau tidak kita akan saman polis dan Datuk Salleh Mat Rashid (Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman) kerana melakukan fitnah," katanya. Berdasarkan rakaman CCTV yang ditayangkan polis, katanya, rakaman itu juga menunjukkan sebuah kereta Proton Waja mengekori Pajero terbabit ketika sedang mengejar motosikal yang diboncengnya ketika itu.

"Dalam video polis, yang tidak ditunjuk adalah kereta Waja yang di belakang kereta Pajero yang melanggar motosikal itu. Kereta Waja yang cross itu (yang melanggar)," jelas beliau. Ketika ditanya laporan media 11 Julai lalu yang mengatakan beliau dilanggar Pajero polis, Mohd Sabu berkata terdapat berbagai pandangan pada masa itu.

"Tetapi selepas bertanya kepada penunggang motorsikal saya, kereta Waja itu yang melanggar," katanya. Polis pada 21 Julai lalu dilapor tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan ke atas Mohd Sabu kerana didakwa membuat tuduhan palsu bahawa kenderaan polis merempuh motosikal yang dinaikinya.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Dato' Salleh Mat Rashid, berkata dakwaan itu tidak mempunyai kebenaran. Malah polis juga tampil dengan rakaman CCTV menunjukkan Mohd Sabu terjatuh dari kenderaan selepas terlanggar 'fender' Pajero.

Namun, rakaman CCTV itu juga menunjukkan sebuah proton Waja mengekori rapat di belakang Pajero berkenaan, sebelum dikatakan merempuh motosikal dinaiki tokoh pidato PAS itu. Pada masa itu motosikal yang diboncengnya, sudah terbabas ke tengah jalan ketika Pajero itu melepasi mereka. Namun bahagian rakaman di mana Proton Waja itu dikatakan melanggar Mohamad, tidak ditunjukkan oleh pihak polis.

Memang aku kena langgar: Timbalan Presiden PAS anggap polis berbohong


Mohamad Sabu terlantar di rumah keluarga di Pulau Pinang sewaktu wartawan Harakah menziarah untuk wawancara dengan beliau 22 Julai lalu.

Tuan Guru Abdul Hadi memerhati gambar x-ray kecederaan lutut Mohamad Sabu pada 19 Julai lalu di rumahnya di Shah Alam sebaik beliau keluar daripada Hospital Pakar Selangor (KPJ) berikutan pembedahan kecil pada lututnya.

WAWANCARA ringkas Wartawan Harakah Pulau Pinang, MOHD SABRI SAID bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di rumah keluarganya di Tasek Gelugor, 22 Julai lalu bagi menjelaskan dakwaan Polis kononnya beliau terbabas jatuh dari motorsikal dan bukan dilanggar oleh kereta peronda polis. Ikuti butirannya.

Macamana keadaan lutut saudara selepas pembedahan?

MOHAMAD SABU: Alhamdullilah berkat doa rakan-rakan semua, pembedahan lutut saya untuk memasukkan besi sudah pun selesai. Selepas seminggu pembedahan iaitu pada 15 Julai lalu saya sudah boleh meletakkan kaki kanan ke lantai, tidak macam mula kena dulu. Terpaksa dipapah atau bertongkat tanpa meletakkan tapak kaki ke lantai sebab rasa sakit yang teramat sangat di bahagian lutut.
Sakitnya bukan main-main sebagaimana dakwaan polis yang mengatakan saya cuma cedera ringgan selepas dirempuh oleh kereta Proton Waja milik peronda polis pada 9 Julai lalu. Sekarang ini, ia agak membengkak semula apabila duduk terlalu lama atas kerusi roda. Maklumlah pagi tadi terpaksa ke Tingkat 28, Pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng untuk sidang media bersamanya menafikan saya berbohong. Kalau nak berjalan 10 ke 15 kaki bertongkat, sudah boleh dengan kaki diletakkan terus ke lantai berbanding dulu agak sukar.

Media arus perdana mendakwa saudara berbohong dirempuh polis walhal motorsikal yang saudara dinaiki terlanggar pengadang jalan dan jatuh, kemudian polis datang membantu kerana cedera ringgan? Benarkah begitu atau apakah yang terjadi sebenarnya?

Semua apa yang polis paparkan tidak benar. Gambar kereta yang merempuh saya yang sedang membonceng motosikal tidak kelihatan dalam visual kerana Pajero milik polis itu berada di hadapan. Jika diperhati, nampak kereta polis (Proton Waja) merempuh sehingga saya terjatuh dari motorsikal. 
Lagipun, buat apa saya tipu. Siapa mahu masuk hospital, duduk saja  tidak boleh berceramah hentam Umno yang zalim. Tambahan lagi kaki masuk skru besi, tentu mengambil masa lama untuk baik kembali. Doktor yang merawat saya sendiri boleh jadi saksi keadaan sebenar kaki kanan yang dirawatnya. Cuma polis saja yang pandang ringan sebab terlalu ikut kata tuan mereka tanpa bersikap adil, telus dan cekap.
Bagi menangkis tohmahan jahat polis ini, saya sudah pun mengarahkan peguam PAS, Hanifa Maidin untuk menyaman Pengarah Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Saleh Mat Rashid yang melemparkan tuduhan, menghina dan memfitnah saya. Setelah dinasihati peguam, saya tidak akan teragak-agak untuk bertindak menerusi undang-undang sekiranya beliau tidak memohon maaf.

Sekarang, polis bekerja kuat menafikan yang mereka bertindak zalim dengan menyiarkan video kepada pihak media. Padahal, umum tahu sikap polis terhadap peserta Himpunan Aman Bersih 2.0...

Sebab itu kita ada Suruhanjaya Penyiasat, Kehakiman atau Badan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). Namun, saya beri kepercayaan kepada Suhakam kerana ia lebih telus membuat siasatan kerana ia bersikap terbuka berbanding daripada siasatan polis. Jika polis tidak kasar bagaimana boleh ada kematian, kecederaan seperti YB Khalid Samad yang menerima jahitan di kepala. 
Sahabat kita dari Balik Pulau yang menerima 20 jahitan luar dan bahagian dalam mulut, pengawal Dato' Seri Anwar Ibrahim dan ramai lagi yang jadi mangsa keganasan. Sedangkan perhimpunan kita aman. Tidak siapa membawa apa-apa 'senjata' sehingga mengakibatkan pihak polis bertindak di luar batasan.

Apakah saudara merasai sudah memadai dengan Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu?

Belum memadai lagi untuk kita berpuas hati sebab sampai saat ini SPR belum pun berbincang untuk menerima tuntutan Bersih 2.0, begitu juga kerajaan yang berkuasa. Mereka berdiam diri tetapi cuba mengalih pandangan rakyat dengan cerita kononnya pembangkang memperkudakan Bersih 2.0 di samping membuat tuduhan polis bertindak jahat dan keterlaluan.
Sekiranya SPR atau kerajaan masih berdegil, tidak mustahil satu lagi kebangkitan rakyat Bersih 3.0 akan bergema dengan kumpulan yang lebih besar. Apa pun kita tunggu dalam masa tiga bulan akan datang. 

PRU 13: Berkesankah "Tsunami politik 2.0" merusuh di kawasan luar bandar?


MESKIPUN perhimpunan Bersih 2.0 belum membawa perubahan sistem pilihan raya dalam masa yang singkat, namun tetap memberi impak terhadap senario politik dan minda rakyat. Penganalisa menganggap gelombang kuning ini sekadar membadai di kawasan bandar.  

Oleh itu, kemampuan fenomena ini menembusi kawasan desa menjadi faktor penentu sama ada Tsunami Politik 2.0 bakal tercetus daripada gelombang ini.

Perhimpunan Bersih pada 10 November 2007 telah menarik penyertaan kira-kira 40,000 orang, ditafsir sebagai antara faktor tercetusnya tsunami politik pada 8 Mac 2008 - dengan kejayaan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga BN dalam parlimen, dan menguasai lima kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Bersih kini kembali sebagai Bersih 2.0, menganjurkan perhimpunan pada 9 Julai 2011 - dengan kehadiran kira-kira 50,000 orang - meskipun diisytiharkan Kementerian Dalam Negeri sebagai pertubuhan haram, ditambah pula dengan penangkapan polis, ugutan, sekatan jalan dan sebagainya.

Jikalau dibandingkan, kehadiran peserta lebih ramai berbanding empat tahun lalu, di samping sekatan polis yang lebih mencengkam.  Kini, walaupun sudah 10 hari berlalu, namun "impak" ini terus menular d laman internet, menjadi nostalgia sama ada pembangkang mahupun warga internet.

Impak "kuning" di luar jangkaan

Pengkaji politik, Ong Kian Ming mengakui bahawa dirinya menjangka fenomena 709 akan dilupai dalam masa yang singkat. Tapi beliau terpaksa mengubah fikirannya selepas tempoh seminggu. Beliau berkata, perhimpunan Bersih 2.0 telah menggarap imaginasi golongan muda, sehingga mereka teruja dengannya.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian (gambar) turut terperanjat dengan bagaimana impak Bersih2.0 ini dikekalkan, dan tidak hilang selepas tamatnya perhimpunan.  

Beliau berkata, ramai peserta yang memuat-naikkan gambar, klip video mahupun tulisan mereka untuk disebarkan secara meluas di ruang internet, sehingga impaknya menular, dan mengubah pemikiran rakyat.

Ibrahim Suffian menambah, ia memberi makna bahawa rakyat tidak takut, tetap memuat-naikkan dan menonton klip video ini, meskipun diisytiharkan bahawa Bersih adalah pertubuhan haram.  

Selain itu, tidak kurang parti politik dan pertubuhan yang menganjurkan aktiviti berkenaan Bersih 2.0, menjurus kepada merebaknya impak Bersih 2.0.

"Biarpun seminggu telah berlalu selepas 9 Julai, namun banyak lagi parti politik, pertubuhan, NGO yang menganjurkan kegiatan berkenaan.  Dari emosinya, jelas ia amat memberangsangkan, dan dari psikologinya, ia positif," katanya.

Ibrahim Suffian menambah, perhimpunan Bersih 2.0 menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia turun ke jalan raya untuk menyatakan ketidakpuasan mereka, dan mereka juga di"empower"kan dalam proses ini.  

Beliau menekankan, bahkan kaum bukan Melayu yang paling bimbang dengan huru-hara tampil ke depan untuk menyatakan protes, memperlihatkan kekhuatiran mereka terhadap tragedi 13 Mei 1969 semakin terhakis.

Kerajaan gagal mengendalikan perhimpunan

Sementara itu, pengkaji politik Ngeow Chow Bing (gambar) menganggap kebangkitan rakyat pada 9 Julai sebagai kebangkitan masyarakat sivil. Beliau mempertikaikan cara kerajaan mengendalikan perhimpunan kali ini, sama ada sebelum, semasa malah selepas perhimpunan berlangsung. "Masih tidak tahu bagaimana untuk mengendalikannya sehingga hari ini," katanya.

Ngeow Chow Bing mengambil contoh bagaimana sesetengah negara di Timur Tengah akan meneliti dan mengkaji tujuan, tuntutan perhimpunan, walaupun pada masa yang sama akan menekan pemimpin perhimpunan tersebut.  Dengan kata lain, mereka cuba mencerminkan keadaan walaupun penindasan berlaku.

"Malah negara yang tidak demokratik ini mampu mengendalikannya.  Sebaliknya, Malaysia langsung tidak maju dalam hal ini, teruskan dengan penindasan, penipuan dan penafian.  Ini amat mengecewakan," kata Ngeow Chow Bing.

Kerajaan mengambil tindakan terhadap Bersih 2.0 sejak Jun 2011, termasuk menggeledah pejabat sekretariat Bersih 2.0, mengisytiharkan Bersih sebagai pertubuhan haram, menangkap dan mendakwa mereka yang berpakaian kuning, membuat sekatan jalan di sekitar Kuala Lumpur, malah berdolak-dalih selepas menjanjikan stadium untuk perhimpunan Bersih 2.0.

Tindakan ini menghalang kelancaran perhimpunan Bersih 2.0 sebermulanya, disusuli pula dengan pelepasan gas pemedih mata menghala ke pemimpin pembangkang, malah ke dalam perkarangan hospital.  Kritikan terhadap tindakan polis pula dinafikan, malah diberi pujian bahawa polis telah menjalankan tugas secara profesional.

Cabaran: Impak Bersih ke dalam desa

Selepas 10 hari berlalu, adegan perhimpunan Bersih 2.0 seolah-olah masih jelas di depan mata.  Namun, pengaruh Bersih 2.0 nyata lebih lemah di kawasan pedalaman, berbanding kawasan bandar yang lengkap dengan kemudahan internet.

Ketiga-tiga orang penganalisa berkongsi pandangan yang sama, iaitu impak Bersih lebih terbatas di kawasan bandar, golongan muda-mudi dan mereka yang memperolehi maklumat dari internet. Ibrahim Suffian berkata, impak ini masih "dalam proses" merebak, namun lebih terbatas kepada kawasan bandar dan belum menembusi kawasan pedalaman.  

Untuk penduduk di kawasan pedalaman, maklumat yang diterima mereka masih berada pada tahap awal, yang disajikan media arus perdana, iaitu perhimpunan ini adalah haram, Pengerusi Bersih 2.0 Ambiga yang difitnah, perhimpunan yang didalangi pembangkang.

Ibrahim Suffian dan Ong Kian Ming bersetuju bahawa impak 709 boleh dibawa ke kawasan pedalaman, seandainya peserta perhimpunan dan bahan rakaman perhimpunan dibawa ke kawasan itu, dan bukan hanya bergantung kepada sebaran melalui internet.

"Sekarang, keadaan menjadi dua ekstrem.  Penduduk bandar lebih memberi perhatian, berhasrat menyampaikan mesej kepada kerajaan.  Pembangkang pula lebih aktif, untuk membawa 709 ke kawasan desa.  Namun penduduk desa tidak mempunyai maklumat yang seimbang.  Jadi, adalah satu cabaran untuk menjelaskan kepada golongan ini, tentang kepentingan sistem pilihan raya yang adil dan bersih."

Tsunami politik 2.0

Ngeow Chow Bing pula menganggap, impak BERSIH 2.0 hanya boleh mengekalkan prestasi PRU 12, yang tercetus kerana perhimpunan BERSIH tahun 2007. Beliau menjangkakan bahawa nisbah pemerintah-pembangkang tidak akan mengalami perubahan besar, kerana ia lebih kepada fenomena di bandar.

Ong Kian Ming juga menganggap 709 memberi impak di kawasan bandar, terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor, sedangkan kebanyakan kerusi parlimen dan Dun telah menjadi milikan pembangkang.   Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya tsunami politik 2.0, bergantung kepada sejauh manakah impak 709 menembusi kawasan desa.

Oleh ONG VIC KEE  ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Disedut, diterjemah dan disunting daripada teks asal.

Rabu, Mei 04, 2011

Halang rakyat sambut Hari Pekerja 1 Mei, Malaysia kini sedang menuju negara Polis - PAS Batu


PAS Kawasan Batu kesal dengan tindakan pihak Polis yang tidak memberikan kerjasama dalam menjayakan perarakan Hari Pekerja 1 Mei lalu di ibu negara.

Menurut Yang DiPertuanya, Ishak Surin, Malaysia kini seolah-olah sedang menuju negara Polis apabila pasukan keselamatan itu tidak menghormati demokrasi dan cuba menghalang hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Katanya, negara Polis boleh didefinasikan sebagai "sebuah negara yang dikawal oleh sebuah kerajaan yang bersifat menekan dan menindas secara politik, ekonomi dan sosial masyarakat melalui kuasa polis yang digunakan sewenang-wenangnya tanpa mengikut nas undang-undang".

Ishak berkata, negara polis jelas menekan dan menindas kebebasan dan hak asasi rakyat walaupun ia telah dijamin dan termaktub dalam perlembagaan demi mengekalkan kuasa pemerintahan yang bersifat kuku besi.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Malaysia (SUHAKAM) N Siva Subramaniam (gambar kiri) pernah menyatakan bahawa 70% kes yang dirujuk kepada kepada Suhakam adalah berkaitan dengan keganasan Polis yang secara terang melanggar peruntukan undang-undang, norma-norma kebebasan dan hak asasi yang jelas dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) itu kecewa, kerajaan Umno-BN enggan mengiktiraf himpunan kaum pekerja di negara ini kerana bimbang ia akan mempengaruhi pekerja-pekerja yang lain di seluruh negara dalam suasana politik yang tidak memihak Umno-BN.

"Harga barang terus naik. Barang dapur, makanan, dan segalanya naik. Tapi gaji tak dikaji. Tak dinaikkan. BN bimbang ini akan memarakkan kebangkitan rakyat sebab itu Polis digunakan untuk kekang himpunan Hari Pekerja," tegas beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pekerja dan Sumber Daya Rakyat PAS Wilayah Persekutuan.

Pada 1 Mei lalu, Setiausaha PSM, S Arultchelvam dan Bendahari PSM, N Sivarajah serta Ahli Parlimen Sg Siput, Dr Jayakumar turut ditahan Polis bersama 18 peserta himpunan yang lain.

Mengapa Kerajaan Umno-BN takut hapuskan Akta Mesin Cetak 1984?


Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) menuntut agar Kerajaan Pusat segera memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984  dan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA) yang terus mengekang kebebasan media bagi tujuan mengekalkan kuasa Umno-BN.

Menegaskan perkara ini, Setiausahanya, Datuk Tarmizi Mohd Jam  (gambar kiri) menyifatkan kuasa penuh Menteri KDN dalam menentukan kelulusan permit baru dan memperbaharui permit asal setiap tahun membuktikan demokrasi di negara ini dikongkong mengikut acuan pemerintah Umno-BN.

Katanya, kuasa penuh kepada pemerintah untuk menggantung atau membatalkan permit tanpa sebarang alasan kukuh juga, bukti lama yang tidak diendahkan oleh Umno-BN.

KAMI dari awal lagi menentang undang-undang yang zalim ini, dan mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan turut dimansuhkan.

Sebaliknya, tegas beliau, suatu Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information (FOI) harus digubalkan untuk menggantikan undang-undang kejam ini yang tidak relevan lagi dalam dunia tanpa sempadan di mana ekonomi kian berteraskan maklumat dan pengetahuan. 

KAMI juga kata Tarmizi kesal, pemecatan Presiden Kesatuan Wartawan (NUJ) Hata Wahari oleh suratkhabarnya Utusan Malaysia, yang juga majikannya, semata-mata kerana beliau menegur pengurusan akhbar itu agar ia tidak menjadi Lidah Pengarang UMNO tetapi harus berdasarkan peristiwa yang berkaitan dengan rakyat.

Beliau terkejut muktakhir ini, media jajahan Umno-BN mengetepikan etika kewartawanan dan bersedia menjadi alat propaganda kerajaan dengan membesarkan agenda menuduh parti pembangkang sebagai pengkhianat dan yang pelik ialah fitnah dan tohmahan video seks dibuat oleh media ini  atas alasan ia adalah kebebasan akhbar. 

KAMI amat yakin, media yang bebas dapat menegakkan demokrasi, keadilan, kebenaran, dan integriti dan mampu mengurangkan rasuah dan penyelewengan. 

"Ini telah dibuktikan dengan perbandingan negara yang mengamalkan kebebasan akhbar juga lazimnya adalah negara yang bersih," tegas Tarmizi lagi.

Selasa, Mei 03, 2011

Demi mencapai cita-cita terdesak politik, Umno-BN hentam undang-undang macam mak pak dia punya!



PAS kesal dengan mainan media perdana yang dikuasai Umno-BN yang tidak beretika menyiarkan gambar lucah di dalam akhbar mereka dan menayangkan klip video melalui tv bagi menanam persepsi buruk terhadap Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, ia satu tindakan yang tidak bermoral dan melanggar etika kewartawanan dan tatasusila agama demi mencapai cita-cita politik mereka. 

"Pada mereka soal moral dan etika tidak diperhitungkan lagi.  Apakah negara kita sudah hilang nilai-nilai ketimuran sehingga sanggup mengaibkan individu yang belum lagi dibuktikan bersalah. Sudah dua kali media perdana menyiarkan gambar lucah berhubung dengan video seks yang dituduh pelakunya Dato' Seri Anwar Ibrahim," ujar beliau.

Ustaz Idris berkata, PAS ingin mengingatkan kerja gila ini ialah kerja yang menempah dosa dan akan mendapat pembalasan daripada Allah. Sejak mutakhir ini, tegasnya, media perdana tidak lagi segan silu untuk menyiarkan berita yang tidak layak disiarkan lebih-lebih lagi orang yang dituduh belum lagi diputuskan bersalah oleh mahkamah. 

"Begitu juga  berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian bertajuk "Lelaki Y ialah Anwar". Ini merujuk kepada kes yang sedang dibicarakan mengenai kes liwat Anwar. Lelaki Y yang dilaporkan ialah hujah pendakwa, yang belum lagi ditentukan kesahihannya. 

"Kenapa hujah balas pembela tidak disiarkan sama di tajuk muka depan? Ini sudah tentu ada agenda jahat yang tersirat," tegas Ustaz Idris.

PAS kata, hairan ke mana pergi peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang hanya pandai memantau penerbitan Pakatan Rakyat sahaja. Apakah semua laporan yang disiarkan mengenai pemimpin Pakatan Rakyat walaupun fitnah dan menyalahi Akta Penerbitan dan Mesin Cetak tidak boleh diambil tindakan, soal beliau.

"Apakah akta ini hanya untuk menjaga parti Umno-BN sahaja?" bidas Ustaz Idris lagi.

Gaji minima: Pekerja di Selangor sudah dapat, Pusat yang diperintah Umno-BN bila lagi?


Kerajaan Pusat perlu menunaikan tanggungjawab serta menunjukkan rasa hormat kepada golongan pekerja yang menyumbangkan sebahagian besar kepada pendapatan negara. Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata sudah sekian lama golongan pekerja di negara ini menanti agar kerajaan menggubal Akta Gaji Minima sebagaimana yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

"Sudah tiba masanya Kerajaan Pusat mempertingkatkan taraf pendapatan pekerja di negara ini dan tidak lagi berada pada takuk lama dalam memastikan pendapatan rakyat terus berada pada tahap yang sama semata-mata hendak mengejar kepentingan pembangunan ekonomi negara," ujarnya kepada Harakah sempena sambutan Hari Pekerja.

Tegasnya, kerajaan tidak seharusnya meneruskan sikap kerasnya dalam meluluskan akta tersebut sebaliknya memberikan tumpuan serius terhadap nasib pekerja yang kian terabai.

"Kerajaan perlu ada rasa hormat kepada pekerja seterusnya mempertingkatkan kira-kira 70 peratus pekeraja di negara ini dengan sasaran sekurang-kurangnya setiap orang mempunyai RM10 dalam poket mereka setiap hari. Kerajaan Selangor telah menetapkan gaji minima pada tahap RM1500 sejak dua tahun lalu - Kerajaan Pusat bila lagi?" soalnya.

Malah Xavier mencadangkan agar diadakan satu sesi perbincangan meja bulat agar akta tersebut menjadi realiti yakni dilaksanakan untuk kebaikan pekerja secara keseluruhannya. "Inilah perkara yang sedang dinanti-nantikan oleh rakyat selama ini," ujarnya lagi.

Rakyat patut membeliakkan mata lihat nasib pekerja: Harga barang naik, gaji bila lagi?



Pelaksanaan gaji minima antara yang tidak putus-putus dituntut kumpulan yang membela nasib pekerja seperti Jerit dan Suaram. Begitu juga Pakatan Rakyat dan ahli ahli parlimennya sering membuat tuntutan ini. Di bawah Jawatankuasa 1 Mei, setiap tahun mereka mengada Himpunan Hari Pekerja. Wartawan NYZA AYOB meninjau sambutan tahun ini bersama jurucakap Jawatankuasa 1 Mei, S. Arutchelvan. 

Saban tahun Jawatankuasa 1 Mei akan mengadakan Himpunan Hari Pekerja. Apa tuntutan jawatankuasa ini pada tahun ini?

S.ARUTCHELVAN: Pada 1 Mei ini, Jawatankuasa 1 Mei akan mengadakan perarakan dari Chow Kit ke Dataran Merdeka bermula apda 10.30 pagi. Pada hari berkenaan kita akan membacakan Deklarasi Hari Pekerja.  Sehingga kini, 60 organisasi terdiri daripada kumpulan masyarakat, NGO dan parti politik mengesahkan untuk menghadiri perhimpunan tersebut. Pada hari itu, kita juga akan mendengar ucapan daripada pemimpin pekerja peneroka bandar, pekerja kilang serta wakil orang asal. Selepas itu kami akan melancarkan logo Hari Pekerja yang bertemakan 'Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi'. Tuntutan lain kami pada hari itu, agar ISA dimansuhkan. Pakatan Rakyat juga telah mengesahkan deklarasi ini.

Pelaksanaan gaji minima antara tuntutan pelbagai pihak termasuk Pakatan Rakyat bertahun-tahun lamanya. Bagaimana dengan desakan ini?

Setiap tahun seluruh masyarakat di dunia menyambut Hari Pekerja. Jika dilihat sejarah berkaitan dengan pekerja, suatu ketika dahulu ramai pemimpin kesatuan pekerja di tahan di bawah ISA kerana mereka menganjurkan Hari Buruh. Untuk mendapat cuti Hari Buruh, ia jadi satu perjuangan. Oleh itu setiap tahun Jawatankuasa 1 Mei  tetap membuat tuntutan agar kerajaan melaksanakan gaji minima yang dijanjikan kerajaan. Tetapi nampaknya lobi daripada golongan majikan terlalu kuat sehingga kerajaan takut untuk melaksanakannya. Selepas Himpunan 1 Mei ini, kami akan  terus membuat desakan untuk memastikan gaji minima ini dilaksanakan.

Apakah Jawatankuasa 1 Mei juga akan menuntut kerajaan mengembalikan subsidi kepada rakyat?

Ya, kita juga ingin menuntut supaya kerajaan mengembalikan subsidi yang telah diambil. Subsidi ini yang menyebabkan harga barangan ini naik. Subsidi ini untuk golongan rakyat biasa. Seharusnya subsidi golongan korporat dipotong. Kami akan meneruskan kempen berkaitan dua tuntutan utama kami ini.

Saudara ada menyatakan tekanan oleh majikan terhadap kaum pekerja sering kali menggagalkan tuntutan agar Akta Gaji Minima dilaksanakan di parlimen. Boleh saudara jelaskan lebih lanjut.

Tuntutan akta gaji minima ini sudah lama dibuat kesatuan sekerja. Dan pada satu ketika kerajaan ingin melaksanakan Akta Gaji Minima untuk pengawal keselamatan. Tetapi kerajaan berpatah balik dan tidak melaksanakannya. Selepas itu kerajaan menyatakan ingin melaksanakan gaji minima ini kepada pembantu rumah.  Tetapi tetap tidak dilaksanakan. Ini menunjukkan majikan (Malaysia Employee Federation) MAF ini telah mengugut kerajaan dengan mengatakan seandainya kerajaan implementasi Akta Gaji Minima, pelabur akan lari dari negara kita. Kita merasakan hanya dengan ugutan ini kerajaan terlalu memberi muka kepada syarikat-syarikat besar ini. Sebagai contoh di negara Jepun, pelabur asing ini di negara mereka, pekerja dibayar dengan gaji yang baik. Tetapi bagi kilang yang dimiliki di Malaysia, mereka mahu kerajaan kita buat undang-undang supaya pekerja diberikan gaji yang rendah. Ini adalah tidak adil. Kita tidak mahu kerajaan kita menjadi 'lidah' untuk majikan antarabangsa ini.  

Kementerian Sumber Manusia hanya berdiam diri mengenai perkara ini?

Kita lihat Menteri Sumber Manusia, Dato' S. Subramaniam sendiri juga mengakui gaji  pekerja di negara kita sangat rendah. Jauh lebih rendah dari negara-negara lain. Selain itu Malaysia juga antara yang tertinggi di Asia Tenggara, jurang antara kaya dan miskin. Untuk menangani isu seperti ini, jika kerajaan betul-betul serius, kerajaan harus laksana akta gaji minima. Tetapi nampaknya mereka terlalu mengikut dan menjaga hati golongan majikan.

Apakah terdapat penilaian dibuat terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat agar gaji minima ini juga dilaksanakan terhadap pekerja-pekerja dibawah pentadbirannya?

Sekarang ini kebanyakan parti-parti Pakatan Rakyat telah mengesahkan deklarasi Hari Pekerja berkenaan tuntutan kami. Pada masa yang sama kami juga mahukan kerajaan negeri Pakatan Rakyat melaksanakan gaji minima untuk  pekerja-pekerja kerajaan di bawahnya. Setakat ini, kerajaan Selangor ada memberi komitmen untuk melaksana gaji minima tapi masih belum dilaksanakan. Kami rasakan kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah juga harus melaksana gaji minima ini kerana lazimnya apabila kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat melaksana sesuatu perkara, kerajaan pusat akan menurut jejaknya. Sebagai contoh apabila kerajaan Kelantan mengumumkan hari bekerja lima hari seminggu, kerajaan persekutuan juga mengikut jejak langkah tersebut.

Ini bermaksud kerajaan Pakatan Rakyat harus melaksanakan polisi yang membela nasib pekerja agar menjadi pemangkin kepada Kerajaan Persekutuan?

Ya. Kita rasakan ada perkara penting yang harus dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat bagi menunjukkan dirinya membuat polisi-polisi yang betul kepada golongan pekerja. Selain itu kita tahu kerajaan negeri tidak dapat laksana bagi kilang-kilang swasta kerana tidak mempunyai kuasa tetapi untuk pekerja  kerajaan contohnya buruh-buruh yang bekerja dengan PBT dan pejabat tanah, gaji minima RM 900 perlu dilakukan supaya hidup mereka bertambah baik. Apabila kerajaan negeri melaksanakannya, ia akan memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan untuk mengikutinya.

Kerajaan Umno-BN suruh rakyat bersyukur, tapi nasib pekerja terus tak terbela!



Para pekerja di negara ini diajar untuk bersyukur. Walaupun mereka bergaji kecil, tetapi mesti bersyukur kerana ada orang yang tidak dapat kerja. Bila ada pekerja yang bersungut kerana harga barang naik, nanti mereka akan dikecam sebagai golongan yang tidak tahu bersyukur, tidak berjimat dan lebih pentingkan diri daripada mengutamakan kepentingan negara.

Malah, ada yang dituduh, sudah termakan hasutan pembangkang, sering membuat desakan tanpa meningkatkan produktiviti. Jadi, kerajaan mahukan apa daripada pekerja? Berdiam diri sebagai tanda bersyukur, kerana ketika orang lain tidak bekerja, mereka sudah dapat kerja. 

Walaupun gaji mereka kecil, mereka harus berjimat untuk meneruskan kehidupan di zaman yang serba mahal ini. Ketika yang sama, kerajaan terus boros, menghabiskan pelbagai peruntukan untuk memperkuatkan kedudukan mereka dan menarik pengundi menyokong Barisan Nasional (BN).

Jangan langsung bercakap soal menuntut kenaikan gaji. Jangan langsung sebut harga barang naik. Jangan ada sesiapa menyebut harga minyak naik dan jangan sesiapa mahu mempertikaikan soal gaji kecil yang mereka dapat.

Mahu menjadi pekerja di Malaysia, satu hal yang mereka kenal ingat, mesti bersyukur. Kalau tidak minat bekerja, boleh berundur dan ada orang lain mahukan kerja itu. Maknanya, pekerja sentiasa diugut dan ditekan. Jangan komplen dan nantinya akan dicop sebagai termakan hasutan pembangkang.

Siapa yang tersenarai sebagai si muflis jika bukan pekerja? Jumlah mereka besar kerana mereka terpaksa hidup di luar kemampuan. Mereka memang cuba berjimat, tetapi disebabkan desakan hidup, membayar hutang, perbelanjaan anak-anak bersekolah dan sakit-pening, akhirnya golongan ini berhutang dan terus berhutang.

Kerajaan akan memberi pelbagai alasan, negara ini akan muflis jika menurut kehendak pekerja. Tetapi, ketika mereka boros berbelanja, lawatan ke luar negara dan menghabiskan duit untuk kempen 1Malaysia, mereka tidak pernah memikirkan kepentingan dan keperluan pekerja yang hidup di atas sedikit dari paras kemiskinan.

Bagi mereka yang hendak membeli rumah, wang muka dan yuran guaman sahaja sudah cukup menjerut leher. Jika mereka menyewa rumah, wang cengkeram dan bil-bil yang datang setiap bulan, termasuk air dan api, bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan, kecuali mereka bersedia untuk dipotong bekalan.

Mereka akan disuruh bersyukur, kerana ada orang yang masih tidak bekerja. Mereka disuruh bersetuju apa sahaja yang kerajaan putuskan, kerana jika mereka menyatakan mereka tidak bersetuju, bererti mereka sudah termakan hasutan pembangkang.

Nah! Begitu rupa-rupanya nasib pekerja di Malaysia. Mereka tidak boleh langsung bercakap soal gaji mereka yang kecil dan tidak mencukupi kerana jika terdengar pihak berkuasa, nanti mereka akan digelar sebagai golongan pekerja yang tidak tahu bersyukur.

Kalau harga minyak naik, diam sahaja. Kalau harga gula naik, tutup mulut rapat-rapat. Kalau gaji pekerja tak naik, bersyukur dan jika gaji mereka tidak cukup, bandingkan dengan mereka yang tidak dapat kerja.  Maknanya, nasib pekerja tidak dapat dibela. Jika ada sesiapa membela, mereka akan dianggap sebagai tidak mengenang budi, termakan hasutan pembangkang dan golongan yang tidak tahu bersyukur.

Jangan ada sesiapa nak tunjuk perasaan membuat desakan menuntut kenaikan gaji pekerja kerana mereka akan dianggap sebagai golongan yang tidak pernah bersyukur. Jauh sekali, jika ada sesiapa yang berpiket kerana ia akan menyebabkan pelabur takut masuk membuat pelaburan.

Jadi, kalau gaji rendah, diam. Kalau harga barang keperluan naik, anggaplah sebagai sesuatu yang lumrah kerana kemajuan dan perubahan memang menuntut kenaikan harga barang-barang keperluan. Nanti, bila harga sayur naik, menteri yang berkenaan akan menasihatkan rakyat menanam sendiri sayur-sayuran.

Jika harga minyak naik, nanti kerajaan akan mengeluarkan cadangan, gunakan pengangkutan awam. Bila ada komplen mengatakan pengangkutan awam kurang efisen, mereka akan beli bas dan keretapi baru, yang mereka dapat komisen dan serahkan kepada syarikat pasarana negara.

Opp! Jangan kata macam tu kerana itu fitnah. Kerajaan tidak begitu. Kerajaan meletakkan kepentingan rakyat paling utama – slogan yang sedang dikempenkan… rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Mereka juga yang kenyang dengan komisen. Ini bukan cerita komisen kapal selam, ini bukan cerita komisen membeli senjata api, ini bukan cerita komisen membeli kapal terbang dan jet pejuang, tetapi ini cerita membeli bas dan keretapi demi kepentingan rakyat terbanyak.

Nanti kerajaan akan memberi nasihat, rakyat kena berjimat. Dalam masa yang sama, kerajaan terus boros. Kerajaan sibuk dengan cerita Menara 100 Tingkat… kerana ia penting untuk sebuah negara bernama Malaysia. Nanti apabila Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) menganjurkan peluang mencari kerja, sambutan besar-besaran dihebahkan oleh media massa pro kerajaan.

Padahal, sambutan itu sebenarnya membuktikan bahawa pengganguran cukup buruk di Malaysia. Kebanjiran buruh asing dan mereka yang masuk tanpa permit kerja yang sah sudah tidak terhitung lagi. Kadar jenayah cukup mengerunkan, walaupun polis sering menafikannya.

Pengedaran dadah juga, termasuk keldai dadah terus meningkat, ketika kerajaan bertempik memberitahu bahawa rakyat cukup selesa dengan pendapatan mereka. Apakah mereka yang menjadi keldai dadah terdiri dari golongan yang tidak bekerja? 

Bukan. Mereka adalah kalangan yang mempunyai pekerjaan tetapi disebabkan gaji mereka tidak mencukupi, mereka mengalihkan perhatian kepada usaha menambah pendapatan. Ah! Jangan bising-bising. Jangan cakap soal kerja yang kurang selesa. Jangan bercakap soal gaji kecil, jangan berbicara soal harga barang yang mahal dan jangan sesekali sesiapa bercakap mahu membuat tuntutan kenaikan gaji.

Nanti mereka akan dianggap sebagai tidak tahu bersyukur. 

Sumber > Safar Jumaat penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno-BN.

Kuasa luar biasa internet upaya "jahanamkan" BN dalam PRU-13 nanti



Pengakuan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak mengenai kewujudan media internet menyukarkan kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak didakwa merupakan alasan dan jawapan terhadap kehilangan kerusi kepada Pakatan Rakyat.

Menurut editor di sebuah syarikat media internet, Onn Yeoh, keputusan yang dicatatkan pada pilihan raya umum kali ini menunjukkan kerusi-kerusi di kawasan bandar beralih kepada Pakatan Rakyat membuktikan keberkesanan media atas talian kepada pengundi.

"Beliau (Najib) berkata demikian sekadar ingin memberikan alasan kepada kehilangan banyak kerusi BN kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Presiden Umno itu ujarnya, perlu mencari sebab kehilangan 15 kerusi kepada Pakatan Rakyat daripada sibuk menunding jari menyalahkan media internet yang terhasil daripada ruang demokrasi yang lebih luas terbuka. Tambah Onn Yeoh, media arus perdana bersifat tradisi lebih mudah dikawal oleh BN dalam menyebarkan segala bentuk propaganda dan bahan-bahan kempen.

"Kita lihat media internet yang hanya terhad kepada penduduk di kawasan bandar memberikan kesan yang sangat ketara apabila Pakatan Rakyat menang di kawasan-kawasan berkenaan. Jika di kawasan pedalaman dan kampung-kampung, mereka tidak ditembusi liputan internet menyebabkan mereka tidak memperolehi maklumat yang banyak untuk membuat penilaian," ujarnya.

Hal tersebut menyebabkan Pakatan Rakyat hanya menang di bandar sahaja dan kalah di kawasan pedalaman. Jelas Onn Yeoh, kawalan yang longgar ke atas media internet sememangnya menyukarkan kejayaan BN untuk membolot lebih banyak kerusi.

Terdahulu, dalam satu laporan Bernama, Najib dilaporkan sebagai berkata kemenangan BN di Sarawak amat bermakna memandangkan kesukaran berdepan dengan demokrasi terbuka. Pengerusi BN itu berkata, kewujudan media internet menjadikan ianya lebih sukar untuk memenangi pilihan raya dengan majoriti besar, seperti yang berlaku di setengah negara kebelakangan ini.

Hak negeri hanya dihormati dengan perubahan politik



Peruntukan Perlembagaan mengenai hak negeri dan pusat sudah memadai. Meskipun ia menyebelahi pusat, ia tidaklah teruk sangat sekiranya ia benar-benar dilaksanakan. Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam syarahan eksekutif di INSPIN, Alor Setar Ahad lalu. Dalam syarahan yang dihadiri oleh para pegawai kerajaan dan agensi negeri Kedah beliau menghuraikan peruntukan Perlembagaan mengenai konsep federalisme di Malaysia.

Katanya, asas peruntukan yang ada sekarang telah bermula lama dan kerangka moden yang diwarisi sekarang bermula di bawah skima Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Sementara itu, jelasnya lagi, Sabah dan Sarawak mempunyai hak yang lebih istimewa kerana kedua-dua negeri ini menyertai Persekutuan lebih kemudian, yakni pada 1963.

Walau apa pun, kata Aziz, hak-hak negeri tidak begitu dihormati kerana mahkamah tidak komited dengan konsep federalisme. 

"Ini mungkin kerana hakim-hakim dilantik oleh Persekutuan", ujarnya. Beliau turut menyentuh isu royalti minyak Kelantan di mana Kerajaan Pusat memohon untuk disaman bersama Petronas. "Ini satu perkembangan yang pelik", tambahnya.

Syarahan itu diakhiri dengan sesi soal jawab selama hampir dua jam apabila para peserta mengajukan pelbagai soalan mengenai Perlembagaan Negara.


Projek mundur "E-Mel 1Malaysia" untuk selamatkan Tricubes Berhad atau gula-gulakan rakyat dengan emel percuma!




Dalam keadaan kelajuan internet amat perlahan berbanding negara lain, Malaysia berbangga dengan projek "E-Mel 1Malaysia" yang menelan kos RM50juta. Pelaburan sebesar ini bukan untuk email percuma sebaliknya dimanfaatkan untuk mencipta laman sosial baru atau teknologi terkini.

Kajian antarabangsa menunjukkan Malaysia berada di kalangan negara rendah kelajuan internetnya dan lebih baik ia diselesaikan segera supaya negara sama kedudukannya dengan Korea, Sweden atau sekurang-kurangnya Singapura yang kini di tangga ke-16. 

Pemandu akhirnya mengaku telah menukar projek "E-mel 1Malaysia" dari inisiatif kerajaan kepada inisiatif swasta dalam lamannya, setelah didedahkan satu laman internet, GreyReview. GreyReview mendedahkan, Pemandu secara senyap-senyap menukar projek "E-mel 1Malaysia", dari projek "Government Initiative" pada 19 April, kepada projek "Private Sector Initiative" yang diterajui Tricubes Bhd pada 20 April.  

Malah, GreyReview menunjukkan perubahan ini melalui gambar yang diambil dengan "print screen" dari laman Pemandu. Lingkungan fungsinya juga turut diperkecilkan. "E-mel 1Malaysia" adalah satu projek bernilai RM50 juta, diperuntukkan kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan, iaitu Tricubes Bhd.  

Projek ini dipertikai dalam ruang internet, sehingga Perdana Menteri, terpaksa menjelaskan pada malam 19 April, bahawa ia adalah pelaburan sektor swasta. Sebelum itu, Najib mengumumkan kerajaan telah beri projek ini kepada Tricubes Bhd untuk mendirikan satu laman internet, dan setiap warga negara berumur 18 tahun ke atas akan dibuka satu akaun email iaitu "1Malaysia email" untuk kegunaan rasmi; sementara mendirikan pusat perkhidmatan e-kerajaan, termasuk laman sosial, pembayaran hutang melalui internet dan sebagainya.

Namun, maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist". Jikalau Tricubes gagal mematuhi mana-mana peraturan, maka Bursa Malaysia boleh menghentikan sementara jual-beli saham syarikatnya, dan kemudian menarik penyenaraiannya (delist).

Apakah ada kaitan perkara ini dengan projek "E-Mel 1Malaysia" yang dianugerahkan Najib kepada Tricules yang dikuasai adik beliau sendiri ini? Menurut had tempoh, Tricubes harus menghantar laporan penstrukturan kewangannya sebelum 29 Oktober 2011, dan mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia - untuk mengelakkan dirinya daripada ditarik penyenaraiannya (delist).

Pada saat-saat yang genting inilah, Najib membawa cahaya kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek "E-Mel 1Malaysia" bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober.

Apa yang dipertikaikan, Pemandu yang mendakwa diri mengutamakan meritokrasi dan ketelusan itu, telah melantik sebuah syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan ini. Kini, timbul pelbagai percanggah tentang projek yang dianggap Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah sebagai mundur 20 tahun ke belakang.

Mohd Najib menulis dalam akaun Twitternya: Biar saya jelaskan yang "E-Mel 1Malaysia" adalah projek sektor swasta. Tidak ada wang awam terbabit, dan ia adalah sepenuhnya sukarela. Tetapi Pengarah Perkhidmatan NKEA bagi Pengisian dan Infrastruktur Komunikasi, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, pula berkata kerajaan akan membayar 50 sen bagi setiap emel kepada pemenang konsesi iaitu Tricubes Bhd.

Sebenarnya bukanlah emel percuma diimpikan rakyat, tetapi kemudahan internet percuma. Bagaimana rakyat ingin menggunakan emel percuma sekiranya perkara asas untuk menggunakan emel iaitu internet tidak disediakan?  Kerajaan Malaysia seolah-olah tidak tahu apa yang lebih penting untuk rakyat dan tidak tahu apa keperluan dan kehendak rakyat di bawah selain dari menjaga kroni.