KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Julai 18, 2012

Penerbit, pengarah filem dan drama televisyen, Adam Hamid serah borang jadi ahli PAS kepada DatukTuan Ibrahim Tuan Man



Kemuncak sambutan Himpunan Hijau Ke Putrajaya PAS Wilayah Persekutuan yang dinantikan hadirin pada malam 14 Julai lalu ialah penyerahan borang keahlian PAS oleh penerbit dan pengarah filem dan drama televisyen, Adam Hamid kepada Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man. Adam Hamid, 39, telah membintangi  lebih 30 buah drama sebelum menjadi penerbit filem. Antara drama lakonannya ialah Kipas Angin, Anak Teruna, Kalau Itu Takdirnya dan Rahsia Demi Rahsia. 

Manakala filem yang dibintangi beliau ialah Pontianak Harum Sundal Malam 1, Aku No 1 dan Bujang Senang dan sehingga kini Adam sudah pun mengarah lebih 20 buah drama. Ustaz Tuan Ibrahim turut menyarungkan baju T "Hijau Menuju Putrajaya" serta mafla PAS kepada beliau serta diiringi dengan tepukan dan laungan takbir daripada hadirin. Sebelum majlis berakhir, Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat Wilayah Persekutuan turut dilancarkan dengan pelepasan belon oleh Ustaz Tuan Ibrahim dan percikan mercun dan bunga api.

Mirzan diasak bertaubat tinggalkan bisnes "arak" sempena Ramadhan



Sempena Ramadhan ini, Mirzan Mahathir digesa meninggalkan sebarang aktiviti perniagaan yang melibatkan perkara haram di sisi agama, kata Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN, Dr Mohd Nor Manuty. "Sempena bulan puasa yang semakin menjelang beberapa hari lagi, saya menggesa Mirzan supaya muhasabah diri dan meninggalkan perkara yang jelas sekali bertentangan dengan Islam.

"Arak ini haram, jadi duit yang diperolehi dari syarikat arak juga haram. Beliau tidak sepatutnya melibatkan diri dengan perdagangan yang melibatkan perkara yang sudah tentu haram," katanya dihubungi. Mirzan membeli syarikat pembuat arak terbesar di Filipina, San Miguel dengan harga RM2.9 bilion. Wang dari keuntungan syarikat arak tersebut digunakan untuk membeli Esso Malaysia dengan RM1.7 bilion, lalu ditukar nama kepada Petron.

Penasihat MAS, Dr Mahathir Mohamd dengan bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga telah meluluskan kontrak enam bulan untuk membeli minyak dari syarikat anak Mahathir, Petron. Tindakan Mirzan mengabaikan kepentingan agama demi keuntungan peribadi semata-mata turut dibidas. Beliau juga menempelak tindakan Mahathir yang mementingkan poket keluarganya dengan menyalahguna kepentingan rakyat.

Panas! Wang haram RM1 trilion 2009 dijangka meningkat



Senator Dr Syed Husin Ali menjangkakan, jumlah wang haram yang mengalir ke luar negara akan terus meningkat ekoran prestasi buruk Umno BN pada masa kini. Katanya, perkara itu terbukti selepas Umno BN kalah teruk pada pilihan raya umum (PRU) lalu apabila pengaliran wang haram meningkat mendadak pada 2009. 

"Lonjakan besar yang berlaku ini ialah dalam tempoh dua tahun berikutan PRU pada Mac 2008. Umno BN kehilangan majoriti dua pertiga dalam Parlimen. Adakah perkara ini berlaku akibat takutnya sesetengah golongan kaya dengan keputusan pilihan raya itu? Saya harap jumlah aliran keluar tidak terus melonjak oleh kerana ada ketakutan sesetengah pemimpin besar politik dan ekonomi yang mengandaikan prospek buruk Umno BN dalam pilihan raya akan datang," katanya dalam ucapan penangguhan di Dewan Negara, semalam.

Laporan Global Financial Integrity (GFI) pada tahun lalu menyebut Malaysia menduduki tangga kelima pengaliran wang haram, iaitu di belakang China, Rusia, Mexico dan Arab Saudi. Dalam tempoh tahun 2000 hingga 2008, jumlah wang haram mengalir sebanyak $291 bilion, manakala sehingga 2009, jumlahnya ialah $337 atau lebih RM1 trilion. GFI mendefinisikan wang haram merujuk kepada wang daripada aktiviti tidak sah seperti rasuah, kecurian, sogokan serta pengelakan cukai.

Mengulas lanjut, Syed Husin yang juga Ahli Biro Politik KEADILAN berkata, aliran wang haram sebanyak RM1 trilion bersamaan lima kali ganda anggaran Belanjawan 2012 iaitu RM182 bilion. Dari segi hutang negara pula, beliau berkata, jumlah itu lebih dua kali ganda hutang negara pada 2012 iaitu RM456 bilion. "Fikirkan betapa berfaedahnya jika wang atau modal sebanyak ini boleh digunakan sebagai pelaburan dalam negara. Dengan cukai yang boleh dikutip daripada wang haram yang mengalir keluar sepanjang satu dekad antara tahun 2000 sehingga 2009, kita sebenarnya boleh melunaskan sebahagian besar daripada hutang negara tersebut," katanya.

Sah Najib memang takut debat, alasan hanya untuk tutup bangkai gajah



Alasan kerajaan kononnya perdebatan sesuai dibuat di Parlimen hanya untuk menutup ketakutan Datuk Seri Najib Razak berdebat bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata, keengganan Perdana Menteri itu tidak perlu ditutupi kerana umum tahu seberapa banyak alasan pun, pokoknya, Najib memang takut berdebat.

"Sebab itulah mereka takut berdebat. Lagi banyak cakap, lagi banyak keburukan terkeluar. Tambah pula, mereka tidak boleh menjawab isu-isu yang dibawa Pakatan Rakyat. Mereka (Umno) tahu PR kalau bercakap, lebih banyak fakta. Itu semua alasan mereka takut debat. Sekarang rakyat hanya tunggu debat Najib Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya kepada Keadilan Daily.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan perdebatan cukup hanya di Dewan Rakyat. Azmizam menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu sebagai dangkal malah memalukan dirinya. Kata beliau, Muhyiddin perlu sedar negara ini tidak mengamalkan ketelusan dalam laporan media terutama arus perdana, sebaliknya hanya menyiarkan berita di pihak kerajaan.

"Memang berlaku perdebatan dalam Parlimen, tapi rakyat tidak pernah tahu. Beliau juga lebih tahu laporan Parlimen yang disiarkan di TV telah disunting. Kalau kita bandingkan dengan Taiwan, jika Parlimen bermula, mereka wujudkan saluran TV khas secara langsung untuk rakyat menilai dan mendengar perdebatan wakil rakyat mereka," jelas Azmizam.

Musa Hassan dakwa kadar jenayah makin parah, KPN kata itu palsu!



Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar dicabar meletak jawatan jika sanggup berkompromi melibatkan kes jenayah, kata Pengerusi Biro Kemasyarakatan dan Aduan Rakyat KEADILAN, S Manikavasagam. "Semua tempat sekarang banyak kes jenayah, walaupun kejadian di pasaraya masih baru, ini menunjukkan kadar jenayah sudah tidak terkawal. Kes berlaku sebab polis tidak menjalankan tugas mereka, banyak yang tahu ambil rasuah. Saya cabar Ketua dan Timbalan Polis Negara letak jawatan. Kalau tak mahu buat kerja, lebih baik berhenti sahaja," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ismail yang menyalahkan media kerana melaporkan jenayah di pusat membeli-belah berlebihan sehingga kelihatan serius. Katanya, akibat kongkongan Umno BN, polis tidak tahu membezakan tugas mereka sehingga sanggup membiarkan kes jenayah berleluasa. "Polis tidak pernah ambil tindakan jika rakyat buat laporan, mereka hanya tumpu untuk menjaga ahli politik Pembangkang. Ini yang berlaku di negara kita. Penjenayah dibiarkan tanpa pengawasan, tapi rakyat yang mahukan keamanan negara pula ditangkap mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Kapar.

Terdahulu, bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan dilapor berkata, kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai. Beliau yang berkhidmat empat dekad dan memimpin pasukan tersebut selama empat tahun semenjak 2006 hingga 2010 turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.

Isnin, Julai 16, 2012

Facebooker, Bloggers Pakatan kerja tanpa duit, wartawan Utusan diajar 'putar' fakta


Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, Datuk Mohd Zaini Hassan berkata pengamal media dibolehkan "memutar" fakta untuk membentuk gambaran yang diingini kepada khalayak. Menurutnya, langkah itu adalah "serangan berhemah" kepada pembangkang yang kini menguasai persepsi umum sehingga menyebabkan kerajaan BN "dibicarakan" dalam ruang politik negara.

"Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu spin (putar fakta), satu lagi blatant lie (pembohongan terang-terangan). Dari segi perang psikologi kita jangan ikutlah blatant lie, kita jangan tulis pembohongan. Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta tersebut memihak kepada kita, itu OK," kata Zaini.

Beliau turut mengakui kelebihan kini berpihak kepada pembangkang dalam perang psikologi politik menerusi media sosial. "Kalau kita lihat sebelah sana, media (mereka) tidak tengok duit. Di sana mereka kerja dengan hati, perasaan, dan fisabilillah (di jalan Allah). Tetapi kita di sini, minta maaf kalau saya cakap, tidak ada duit tak jalan (jentera)," kata Zaini sewaktu bercakap pada forum Media Sosial: Mengurus Isu, Menangani Persepsi dan Emosi Rakyat di Kuala Lumpur. Zaini yang popular dengan kolum Cuit dalam akhbar Utusan Malaysia turut mengakui bahawa media kini memainkan peranan yang jauh lebih penting berbanding faktor wang dan jentera dalam memenangi pilihan raya.

Jumaat, Julai 13, 2012

Tok Guru Abdul Hadi Awang bertemu pimpinan tertinggi Ikhwanul di Jabal Muqattam



Rombongan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut diraikan dalam satu pertemuan bersama pimpinan Ikhwan Muslimin di ibu pejabat baru pergerakan itu di Jabal Muqattam, Kaherah. Rombongan yang juga turut disertai wakil kerajaan Negeri Kelantan itu turut dibawa bertemu dengan seluruh Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Ikhwan Muslimin (Maktab Irsyad) yang mengadakan mesyuarat mingguan mereka, 11 Julai lalu.

Antara pimpinan tertinggi Ikhwan yang ditemui termasuklah mantan Mursyidul Am Dr Mehdi Akif, Mursyidul Am Dr. Muhammad Badi'e, Dr. Mohd Ezzat serta Dr. Khairat Shater, bekas calon Presiden Ikhwan yang dibatalkan pencalonannya. Di kesempatan itu, presiden sekali lagi menyampaikan ucapan tahniah daripada PAS di atas kejayaan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam pilihan raya lalu dan kemenangan Dr Mohamad Mursi sebagai Presiden negara itu.

Tuan Guru Abdul Hadi kemudian turut diberi penghormatan oleh pemimpin ikhwan mengimami solat Zohor di bangunan itu yang dibuka sejurus kejatuhan bekas presiden Hosni Mubarak ketika revolusi rakyat tahun lalu. Selepas itu, Tuan Guru turut dibawa bertemu dengan Saiful Islam iaitu anak kepada pengasas Ikhwan Muslimin, As-Syahid Imam Hassan al-Banna di kediaman beliau di Dokki di sini. Dalam pertemuan hampir sejam itu, Saiful Islam turut melahirkan harapan agar 'tsunami' politik yang berlaku di Mesir turut sampai ke Malaysia khususnya pada PRU-13 ini.

Di akhir pertemuan, beliau menghadiahkan gambar asal Imam Hassan al-Banna kepada Tuan Guru. Pada sebelah malamnya, Presiden PAS memenuhi jemputan bertemu dengan anak Kelantan di Wisma Kelantan di Seksyen 7 di sini. Wisma Kelantan atau nama sebenarnya Wisma Sultan Muhammad V merupakan bangunan baru untuk penempatan anak-anak Kelantan di Mesir yang dibina dengan kos lebih RM17 juta oleh kerajaan negeri. Bangunan itu dijadual dirasmikan oleh Sultan Kelantan dalam masa terdekat. Hari ini (12 Julai) pula, Tuan Guru Abdul Hadi akan ke Tunisia bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Parti An-Nahdah, Rashid Ghanoushi.

Otak membengkak: Sakit kepala Mahathir memikirkan jika Anwar jadi PM



Tun Dr Mahathir Mohamad adalah individu yang paling takut bila Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. "Sebab apa Mahathir takut kalau saya jadi Perdana Menteri? Sebabnya, beliau takut segala keuntungan berpuluh-puluh bilion yang diperolehi keluarganya selama ini akan terhapus. Buktinya kita dapat lihat dengan jelas, kontrak Petronas telah dibolot oleh Kencana Petroleum milik anak beliau, Mokhzani. Mirzan pula membeli syarikat arak dari Filipina, San Miguel dengan harga RM2.9 bilion dan setelah mengaut keuntungan berlipat ganda dari syarikat arak tersebut, beliau beli pula Esso Malaysia dengan harga RM1.7 bilion, lalu ditukar namanya kepada Petron,” kata Ketua Pembangkang itu lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam di Dewan SJKC San Yuk, Kampung Kenanga, Rawang, baru-baru ini. Ketua Umum KEADILAN itu menambah, Mahathir adalah penggerak utama dan pencetus kepada kronisme yang semakin membiak dan telah menjadi darah daging Umno Barisan Nasional. "Sebab utama Mahathir takut saya akan menjadi Perdana Menteri kerana saya akan membasmi dan menghapuskan segala bentuk kronisme, mengaut keuntungan untuk kepentingan anak-beranaknya…," kata Anwar. Beliau turut membidas tindakan Najib Razak kerana meluluskan kontrak pembelian minyak dengan Petron.

"MAS di bawah telunjuk penasihat mereka, Mahathir Mohamad dengan bantuan Datuk Seri Najib telah meluluskan kontrak enam bulan untuk MAS membeli minyak dari syarikat anak Mahathir sendiri iaitu Petron. MAS dipaksa untuk tidak membeli minyak lain selama enam bulan selain minyak dari syarikat Mirzan dan tindakan ini telah menyebabkan kerugian berkali ganda untuk MAS sendiri. Apa puncanya mereka rugi? Puncanya adalah perangai pemimpin Umno yang dibawa oleh Mahathir yang mengalakkan pemberian keuntungan untuk kroni dan anak-beranak," tegas beliau.

Anwar turut mengulas mengenai Tol Lebuh Raya Utara Selatan yang masih belum dihapuskan untuk BN terus meraih keuntungan. "Tol Lebuh Raya Utara Selatan adalah milik syarikat Umno iaitu syarikat Hati Budi dan duit keuntungan daripada tol itu dikaut bersama oleh Mahathir dan Tun Daim Zainuddin. Selepas mengaut keuntungan lebih 30 tahun, tol tersebut masih tetap ada. Ia sangat berbeza sekali dengan Washington, setelah cukup mendapatkan keuntungan selama 20 tahun, mereka tutup terus tol tersebut untuk tidak mahu terus memberi beban kepada rakyat. Sekarang, Najib pula meneruskan prinsip kronisme ini dengan mengaut keuntungan dari kroninya, Syed Mokhtar (Bukhary). Inilah dia (perangai) Umno kaut untung dan biarkan rakyat menderita,” kata Anwar.

Datuk Husam beri amaran kepada Umno tentang kisah bahtera Nabi Noh



Exco Kebajikan dan Perancangan Ekonomi Negeri Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa mengingatkan pimpinan Umno supaya mengambil ikhtibar daripada peristiwa bahtera Nabi Noh a.s yang dibina atas perintah Allah untuk menyelamatkan umatnya daripada bah. Katanya, ketika pembinaan itu ramai umat Nabi Noh yang memperlekeh dengan mengatakan Nabi Noh bukan seorang arkitek. Penghinaan itu telah berlaku beribu tahun lalu terhadap Nabi Noh kerana terdapat jurang perbezaan fikiran antara Nabi dengan umatnya. 

Sehubungan itu, Husam bertegas tidak memperdulikan kritikan daripada pihak yang memperlekah usaha dan kesungguhan kerajaan Kelantan di bawah Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membina Lebuhraya Rakyat. "Jika Nabi Noh boleh diperlekeh oleh umatnya, saya tidak kisah jika ada pihak yang memperlekeh Kelantan untuk membina lebuh raya. Kita akan buktikan lebuh raya ini jadi," katanya.  Beliau yakin Umno akan celik mata apabila melihat lebuh raya rakyat siap dan ketika itu mereka akan berkata Tok Guru Nik Abdul Aziz memang berfikiran jauh ke hadapan. 

Menurut beliau, pembinaan lebuh raya membuktikan kerajaan Kelantan begitu komited dengan amanah dan tanggungjawab untuk menjaga rakyat Kelantan. Sebenarnya, tegas beliau, untuk membina lebuh raya tidak sukar jika kerajaan mempunyai aset negeri yang dapat diurus dengan baik. "Jika aset negeri diurus dengan baik bukan sahaja rakyat Kelantan dapat menikmatinya bahkan seluruh ummah," tegas beliau.

Menurut beliau, membina lebuh raya menggunakan bahan yang sama untuk membina jalan iaitu batu, besi, tapak, tanah, minyak tar dan lebuh raya itu sama dengan jalan raya hanya beza besar sedikit. Katanya, cara kerajaan Kelantan membina lebuh raya tidak sama dengan cara yang dilakukan oleh BN. "Kelantan membina lebuh raya dengan dua fasa. Satu fasa dimulakan dengan pembinaan sejauh 43 kilometer dengan anggaran kos RM700-800 juta," katanya. 

Dalam pada itu tambah beliau, pembinaan lebuh raya itu juga dibuka dengan ruang wakaf dengan tujuan mengajak rakyat untuk menyambung lebuh rakyat ke akhirat. Katanya, dalam soal wakaf Umno jangan perlekah dengan kekuatan wakaf sebab dalam sejarah umat wakaf dapat dikembangkan. "Kalau anda tidak boleh bagi sebiji batu, berilah kata-kata yang baik, jangan sekali-kali jadi seperti umat Nabi Noh," katanya. 

Lebuhraya Rakyat: RM15,000 dikutip, impian akan jadi kenyataan sekalipun dianiaya Kerajaan Umno-BN Pusat



Ada yang mengutuskan tabung ke Majlis Semarak Seni Lebuhraya Rakyat di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar pada 6 Julai lalu, untuk disumbangkan kepada Lebuhraya Rakyat. Duit syiling disimpan sejak mula Lebuhraya Rakyat dilancarkan oleh MB Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Paling menarik Tabung Buloh sebagai simbolik sokongan rakyat terhadap lebuhraya ini.

Hero filem Lefternan Adnan, Hairie Othman turun padang membawa uncang hijau untuk memungut derma jihad daripada hadirin pada malam itu. Selain beliau, Leman Raja Lawak juga turut berbuat demikian. Ia dibantu oleh ahli-ahli Seniman Paksi dan para petugas PAS Kawasan Batu. Lebih RM15,000 dikutip pada malam itu dengan seutas rantai leher dan sebentuk cincin emas.

"Saya adalah jentera PAS untuk tarik sokongan rakyat tumbangkan Umno-BN dalam PRU-13" - Aishah Arifin



Penyanyi bersuara lunak dan nyaring, Aishah Arifin masuk PAS bukannya kerana nak jadi calon. Tidak terlintas untuknya menyertai PAS kerana mahu menjadi calon parti Islam itu dalam PRU-13 akan datang. Cukuplah beliau menjadi jnetera parti untuk menarik lebih ramai sokongan rakyat dan anak-anak muda mendengar ceramah PAS dan setrusnya memberi undi kepada Pakatan Rakyat.

Begitulah pengakuan Aishah ketika ditanya media seusai Majlis Ceramah Semarak Seni Lebuhraya Rakyat di Markas PAS Pusat, Taman Melewar, 6 Julai lalu anjuran PAS Kawasan Batu dan Paksi. Kemunculan Aishah di pentas PAS telah menarik lebih ramai sokongan rakyat terhadap PAS dan Pakatan Rakyat tanpa disedari. Jadual ceramahnya penuh setiap malam di seluruh negara sehingga kini, malah sehingga selepas Idulfitri, tiada lagi ruang kosong dalam dairynya sehingga Oktober 2012. 
   

Khamis, Julai 12, 2012

Umno Perak terencat: Abdullah Antong pertegas sokong PAS dan kerja keras tumbang Umno-BN



Bekas Setiausaha Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Abdullah Antong Sabri tetap menyokong PAS walaupun masih belum menyerahkan borang keahliannya secara rasmi untuk bersama-sama dengan PAS dan Pakatan Rakyat menumbangkan BN pada PRU-13 akan datang.  Sokongannya terhadap PAS tidak perlu dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu kerana ia bertolak dari pengalamannya sendiri selama 11 bulan berada di bawah Pakatan Rakyat ketika Pakatan memerintah Perak jauh lebih baik berbanding Umno-BN.    

Sehubungan itu, beliau tidak berkesanggupan lagi untuk terus bersekongkol dengan pengkhianatan Umno-BN terhadap rakyat, di samping berasa amat berdosa jika tidak bersama-sama dengan PAS bagi melakukan perubahan terhadap landskap politik tanah air.  "Walaupun saya masih belum menyerahkan borang keahlian PAS secara rasmi, sokongan saya terhadap PAS tidak perlu dipersoalkan lagi oleh mana-mana pihak. Saya tetap akan menyokong PAS, malah akan tetap menyokong PAS buat selama-lamanya. Kalau saya tak sokong PAS, takkan saya hadir dan berani hadir ke majlis PAS pada 7 Julai lalu. Sedangkan apabila saya sudah hadir ke majlis PAS, Umno dan BN pasti telah cop saya sebagai penyokong PAS dan segala peluang untuk saya mendapat apa-apa dari Kerajaan Umno-BN termasuk tanah dan sebagainya pasti disekat," katanya. 

Ketika dihubungi Harakah 10 Julai lalu, Abdullah menjelaskan, dengan kehadirannya ke majlis PAS sudah menjelaskan sokongannya terhadap parti Islam itu, manakala soal penyerahan borang keahlian secara rasmi bukanlah perkara besar, sebaliknya ia hanyalah dari segi pentadbiran sahaja. "Perkara penting adalah hati kita. Dalam hati saya memang dah lama sokong PAS. Malah ketika saya masih bertugas sebagai Setiausaha Dun Perak ketika Pakatan Rakyat memerintah Perak 11 bulan lalu, pelbagai pihak sudah nampak dengan jelas minat dan sokongan saya terhadap PAS," katanya. 

Namun ketika itu, tegas Abdullah, beliau terpaksa bertindak atas arahan pihak atasan Umno-BN, manakala selaku pegawai kerajaan, beliau tidak mempunyai ruang untuk mengingkari arahan itu walaupun di dalam hatinya terasa amat tidak patut diperlakukan penganiayaan sedemikian rupa terhadap PAS dan Pakatan Rakyat. Abdullah menjadi kontroversi ekoran beberapa tindakannya yang dianggap menuntungkan Umno-BN sehingga berlakunya krisis Dun Perak. Antaranya, beliau memanggil sidang Dun tanpa pengetahuan Speaker Dun yang sah ketika itu, V Sivakumar. 

Pada 7 Julai lalu, beliau mengejutkan banyak pihak apabila hadir ke Majlis Hitea Meraikan Ikon Ahli Baru PAS anjuran PAS Perak di Hotell Hill City. Kedatangannya dialu-alukan oleh bekas Menteri Besar Perak yang sah, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, pimpinan PAS Perak serta Adun-adun PAS yang hadir.  Dalam ucapan ringkasnya di majlis itu, beliau menjelaskan, selepas tidak "mesra" dengan Umno-BN tidak lama kemudian, beliau telah ditukarkan jawatan menjadi Ketua Penolong Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak sebelum mengambil keputusan bersara di usia 56 tahun.

Akhbar mesra Umno-BN dalam laporannya 10 Julai lalu, mempertikaikan sokongannya terhadap PAS kerana beliau masih belum menyerahkan borang keahlian sehingga kini. Mengulas lanjut, Abdullah Antong kesal kerana soalan-soalan yang dikemukakan oleh wartawan terbabit yang dijawabnya dengan jujur tidak pula disiarkan dalam berita itu. "Ini termasuk yang membabitkan persoalan mengapa dia menyokong PAS dan mengapa dia berkerjasama untuk menumbangkan BN pada PRU-13 akan datang. Sebagai orang yang faham undang-undang, faham Undang-undang Tubuh Negeri Perak, faham tentang Undang-undang Dun Perak, saya sendiri telah merasakan banyak yang tidak kena telah dilakukan Umno-BN terhadap PAS dan Pakatan Rakyat semasa Pakatan Rakyat memerintah Perak," tegasnya.

Disebabkan perkara itu, katanya lagi, dalam enam bulan terakhir Pakatan Rakyat memerintah Perak, banyak pihak telah nampak saya telah condong kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. Abdullah yakin perkara itu diketahui oleh Nizar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul Munir Masduki kerana beliau mempunyai hubungan yang baik dengan mereka berdua. Sementara itu, Misbahul Munir memberitahu, seawal pagi 10 Julai lalu sebaik sahaja membaca akhbar Berita Harian, Abdullah telah menghantar mesej kepada beliau agar jangan percaya sangat dengan berita mengenainya yang disiarkan di akhbar itu. 
   
"Beliau menyakinkan saya, bila sampai masanya yang sesuai pasti beliau akan membuat pengistiharan rasmi menyertai PAS, namun, hatinya sudah dan tetap bersama PAS, " kata Misbah. Abdullah berazam dengan kuat akan membantu PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU akan datang bagi menumbangkan Umno-BN sekalipun belum rasmi menjadi ahli PAS, tegas beliau sambil turut mengakui telah lama mempunyai hubungan yang baik dengan Abdullah. 

Nur Marzita Mat Isa mohon sumbangan lanjut pelajaran ke Universiti Mu'tah Jordan



Seorang pelajar dari keluarga miskin, Nur Marzita Mat Isa, 23, mohon sumbangan orang-ramai bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Mu'tah Jordan September ini dalam jurusan Pengajian Bahasa dan Kesusateraan Arab peringkat Ijazah Sarjana Muda. Beliau yang menghubungi Harakah, berasal daripada Kg Paya Lintah, Padang Rengas, Perak amat berharap orang ramai dan pembaca Harakah dapat membantunya. Katanya, keseluruhan yuran pengajian selama dua tahun sebanyak RM40,000. Selain itu perbelanjaan bulanan dianggarkan RM600 sebulan selama 24 bulan (RM14,400) termasuk bil elektrik, air, sewa rumah dan wang saku.

"Duit tambang kapal terbang pun tak ada. Tambang RM3,000. Jika ada sesiapa yang nak membantu, hanya Allah sahaja yang membalasnya," ujar beliau dengan nada sedih. Sesiapa yang bermurah hati boleh menghulurkan derma jihad ke akaun May Bank (No: 158097823002) atau hubungi beliau 013-4640487 atau Kamizah Mat Isa (017-6770457) bagi mengatasi kesusahan beliau. Ayahnya, Mat Isa Hamid, 64, bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu, bersama tiga tanggungan. Nur Marzita telah mendapat surat pengesahan melanjutkan pelajaran yang disokong oleh Kolej Islam Darul Ridzuan. Beliau adalah lulusan Diploma Bahasa dan Kesusasteraan Arab daripada kolej berkenaan.

BN tuju ke kubur: Utusan putar belit isu 90 kerusi DAP tanding untuk takutkan pengundi Melayu



Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan Utusan Malaysia sah sebagai "surat khabar pembohong" dan bukannya akhbar apabila ia jelas tidak jujur dan membelakangkan etika kewartawanan. Katanya, ini ekoran laporan mereka yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding di 90 kerusi parlimen untuk mendominasi Pakatan Rakyat dan melantik Perdana Menteri pada PRU-13 nanti sebagai tajuk utama muka hadapan. Utusan mendakwa DAP akan bertanding 90 daripada 222 kerusi parlimen meliputi 40.5 peratus jumlah kerusi parlimen, manakala PAS dan KeADILan akan bertanding masing-masing 66 buah kerusi parlimen.

"Ini sebuah kempen jahat, anti-nasional dan tidak bertanggungjawab oleh propagandis Umno semata-mata untuk menyemarakkan lagi kecurigaan  antara kaum bahawa orang Melayu akan kehilangan kuasa politik sekiranya Umno tewas dan BN digantikan dengan Pakatan Rakyat pada PRU-13 nanti," kata Kit Siang dalam kenyataannya. Menurutnya, pada minggu lalu, beliau telah menempelak taktik menakut-nakutkan rakyat oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sendiri apabila beliau memberi amaran bahawa pengundi Cina merupakan penentu (kingmakers) keputusan PRU-13.

Orang Melayu dakwa beliau dibahagikan kepada tiga bahagian kecil malah dakwanya lagi, pengundi Cina pula akan menentukan siapa yang akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya. "Saya telah jelaskan bahawa realiti yang sebenarnya menunjukkan bahawa pengundi Cina tidak akan menjadi penentu berdasarkan aritmetik pilihan raya," jelasnya. Katanya, faktanya, cuma terdapat 34 buah kerusi dari 222 kerusi parlimen yang menempatkan majoriti pengundi Cina. 

Malah sekiranya Pakatan Rakyat memenangi semua kerusi pengundi Cina, ia cuma sekadar mewakili 15 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen, ujar beliau. Lagipun, jelasnya, terdapat 55 kerusi parlimen lagi dimana pengundi Cina cuma membentuk 30 hingga 50 peratus pengundi.  Walaupun katanya, Pakatan mampu memenangi 80 peratus undi masyarakat Cina, ia masih memerlukan antara 35 hingga 40 peratus sokongan dari komuniti lain untuk memenangi kerusi-kerusi tersebut. Secara keseluruhan ia bermaksud pengundi Cina hanya membentuk lebih 30 peratus jumlah pengundi di 89 kerusi parlimen, jelas beliau.

Beliau berkata, sekiranya Pakatan memenangi keseluruhan kerusi ini (yang mana ia memerlukan sokongan majoroti dari komuniti lain), ia hanya akan membentuk 40 peratus dari jumlah keseluruhan kerusi parlimen yang sebenarnya tidak mencukupi untuk merangkumi majoriti kerusi parlimen. "Sekarang, propagandis Umno telah melakukan kempen menakut-nakutkan rakyat untuk menyemarakkan rasa curiga dan saling tidak percaya antara kaum – yang mendakwa bahawa DAP akan bertanding 90 kerusi manakala KeADILan dan PAS masing-masing 66 kerusi. 

"Dakwaan ini adalah dakwaan liar dan tidak berasas sama sekali," tegas beliau. Penentuan kerusi antara parti-parti Pakatan Rakyat juga masih belum selesai sepenuhnya dan DAP pula tidak akan mempertimbangkan untuk bertanding lebih dari 60 kerusi atau kurang dari 28 peratus dari 222 kerusi parlimen.

WWW 1: Nizar saman kaki bohong, pembelit dan kaki auta Utusan, TV3 RM100 juta



Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin memfailkan saman fitnah kepada dua media mesra Umno iaitu Utusan Malaysia dan TV3 berhubung isu bidaan plat kenderaan WWW1. Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta Kuala Lumpur, 10 Julai lalu. Menurutnya, pihak Utusan dan TV3 tidak memberi respons untuk memohon maaf dalam tempoh yang telah diberikan. "Saya bersama peguam hari ini memfailkan saman masing-masing RM50 juta kepada Utusan dan TV3 selepas enggan memohon maaf kepada saya dalam tempoh tujuh hari yang telah diberikan," katanya. Beliau hadir bersama barisan peguamnya yang diketuai Zamri Ibrahim yang juga Pengarah Juham Pemuda PAS Pusat.

Mengulas lanjut, mantan Menteri Besar Perak itu berkata, TV3 dalam Buletin Utama pada 30 Mei lalu mendakwa beliau telah mendakwa Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida plat WWW1 yang berharga RM520 ribu melalui laman Twitternya. Utusan Malaysia pula dalam keluaran 31 Mei lalu juga mendakwa perkara yang sama. "Kenyataan saya seperti yang kita boleh lihat, ianya langsung tidak menyebut nama Sultan Johor sebaliknya ianya diputarbelitkan untuk menjatuhkan kredibiliti saya," jelasnya.

Jadual Ceramah Gerak-Gempur Pemimpin Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Kedah, Penang, Pahang, N Sembilan & Johor



WILAYAH PERSEKUTUAN

BATU: Himpunan Mega Oren Tolak BN - Jumaat 13 Julai - 9.30mlm - Mohd Sabu, Salahuddin Ayob, Mazlan Aliman, Aspan Alias, Tamrin Ghafar, Dato Dr tan Kee Kwong, Dato Ramli Buyong, Ishak Surin, Dato' Tarmizi Mohd Jam dll - Mrks Tarbiah PAS Pusat Tmn Melewar.

BATU: Malam Gempa Scorpene - Ahad 15 Julai - 9.30mlm - Laksamana (B) Emran Hamid, N Surendren, Cynthia Gabriel, Ishak Surin, Dato' Tarmizi Mohd Jam - Mrks PAS Pusat, Tmn Melewar.

PERAK

BOTA KANAN: Ceramah Gempur BN - 14 Julai - 9.30 mlm - Hairie Othman, Leman Raja Lawak, Ust Ismi Muhd Taib, Dr Najihah Ahmad - Mrks PAS Bota Kanan.

KG GAJAH: Ceramah 10 Sebab Tolak BN - 14 Julai - 9.30 mlm - Aiman Athirah Jundi, Dato' Tarmizi Mohd Jam, Hairie Othman, Leman Raja Lawak - Mrks PAS MTD Kg Gajah.

GOPENG: Ceramah Bongkar Skandal Umno-BN -16 Julai - 9mlm - Khalid Samad, Rafizi Ramli & Siva Subramaniam - Tmn Kinta Gopeng.

KEDAH

SG. PETANI: Ceramah Kebangkitan Rakyat - 12 Julai - 9mlm - Leman Raja Lawak, Hairie Othman & Sanusi Md Noor-Padang Awam, Tmn Kempas Fasa 2.

PULAU PINANG

TASEK GELUGOR: Kuliah Maghrib - Ust Hj Taib Azamuddin Md.Taib - 18 Julai - 8mlm - Markaz Tarbiyah PAS Padang Menora.

PAHANG

TEMERLOH: Ceramah & Jamuan Makan - 14 Julai - 5ptg & 9mlm - Siti Zailah Yusof, Ust Wan Azhar Wan Ahmad, Woo Chee Wan & Md Jusoh Darus - Mrks Darul Amin, Sg.Gau.

MENTAKAB: Majlis Ramah Mesra & Dailog Bersama Masyarakat Cina - 15 Julai - 5ptg - Tmn Tan Chew Tong, Mentakab (Sebelah Kuil Buddha).

NEGERI SEMBILAN

LENGGENG: Ceramah Tamatnya Teori Rahman - 14 Julai - 9mlm - YB Firdaus Jaafar, Chia Kee Chin & Zulkefly Mohamad Omar - Lot 5733, Kg. Sg Jai, Lenggeng.

AMPANGAN: Ceramah Agama - 15 Julai - Slps Maghrib - Ust Ahmad Rizam Ghazali - Surau Al-Mustofa (Surau Hitam), Kg.Gedung Lalang Lama, Ampangan,Seremban.

MELAKA

ALOR GAJAH: Ceramah Malapetaka FGVH - 13 Julai-9mlm - Rafizi Ramli - Felda Hutan Percha, Alor Gajah

ALOR GAJAH: Ceramah Najib Lemas BN Tewas - 14 Julai - 9mlm - Dato'Fauzi Shaari, Adly Zahari, Damien Yeo & Ginie Lim - Pekan Durian Tunggal.

JOHOR

KULAIJAYA: Mengenang Perjuangan Ust Fadhil Mohd Noor - 12 Julai - 7mlm - Subky Abd Latif & Dr Mahfuz Mohamad - Surau Al Hidayah, Jln Jati 9, Bandar Putra, Kulaijaya.

Deligasi Kelantan hantar 'tahniah Morsi' temui Presiden baru Mesir



Deligasi Kerajaan Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yaacob, menghantar perutusan tahniah atas kemenangan Presiden baru Mesir, Dr Mohamed Morsi telah berlepas kira-kira jam 4.30 petang, 9 Julai. Deligasi itu membawa surat perutusan tahniah dari Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Mursyidul Am. Turut serta, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Ahmad Fadzli Shaari; Speaker Dun Kelantan, Dato' Nasharuddin Daud; Anggota Dewan Negara, Dato' Dr Johari Mat; Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Zulkifli Mamat dan Pensyarah Kias, Ustaz Asri Daud. Deligasi berkenaan dijadualkan bertemu dengan Morsi Rabu (11 Julai) ini di Istana Presiden.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz memberitahu, beliau mengirimkan perutusan tahniah itu sebagai sokongan perjuangan Islam yang telah berjaya mentadbir  di sana. Katanya, dengan kemenangan itu cukup membuktikan Islam tidak pernah mengamalkan kekasaran terhadap bangsa di dunia ini. "Morsi yang mewakili Ikhwan Muslimin berkempen tidak menggunakan duit sehingga beliau memenangi pada pemilihan presiden, sebaliknya kebenaran perjuangan Islam ditampilkan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian majlis menandatangani perjanjian pembangunan pusat kitar semula dan kompas antara MPKB-BRI dan SS Microbial Sdn Bhd., 9 Julai lalu.

BN Sabah akan meletup, Pakatan akan bentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU-13



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan satu kejutan besar akan berlaku dalam politik Sabah pada pilihan raya umum akan datang. Jika ini benar, Sabah mampu menyumbang 10 kerusi Parlimen dalam PRU-13 nanti. Seperti pengumuman Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, Pakatan sudah menang atas kertas sebanyak 105 kerusi Parlimen. Ia hanya memerlukan tujuh kerusi lagi untuk menang dengan majorirti mudah dan membentuk Kerajaan Persekutuan.

Pada hemat saya, motivasi Anwar itu ada asasnya. Akan ada kejutan dalam pilihan raya akan datang. Sebab itu Najib (Razak) takut nak umumkan tarikh pilihan raya. Enggan bubar parlimen. Tarikh PRU-13 ditangguh-tangguh kerana kemenangan tidak menyebelahi rakyat. Walaupun pelbagai insentif atau "umpan" memancing rakyat ditabur dengan sejumlah besar wang, tetapi BN masih takut untuk mengadakan PRU-13. Ini memberi gambaran betul bahawa BN akan kalah teruk dalam PRU-13 seperti yang diramal oleh kajian Tun Daim Zainuddin, hanya tiga negeri sahaja BN akan menang selesai iaitu Johor, Melaka dan Pahang.    

Baru-baru ini, bertiup kencang spekulasi enam pemimpin BN Sabah akan menyertai KEADILAN. Mereka tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman yang mahu menaikkan orang-orang kepercayaan beliau menjadi calon dalam PRU akan datang. Situasi itu menyebabkan Najib masih mahu menangguhkan PRU sehingga kemelut Sabah dapat diselesaikan.

Disogok RM20 warga India daftar jadi pemilih di Pejabat Umno



Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memberitahu, hampir 800 masyarakat India ditawarkan RM20 dan disuruh ke Pejabat Umno untuk membuat pendaftaran pemilih. Tegas Zuraida, dia ada bukti. Pada 26 Mei lalu, sekumpulan warga India dalam 600 hingga 800 orang dipanggil ke satu program anjuran Umno dan mereka diminta menunjukkan kad pengenalan masing-masing. Jika tertera dalam kad pengenalan orang itu beralamat di Ampang, mereka beri RM20 untuk daftar mengundi di situ. Manakala yang bukan penduduk Ampang tidak mendapat apa-apa.

Ini adalah bukti terbaru berhubung isu pendaftaran pemilih di kawasan itu. Sebelum ini, Keadilan Daily melaporkan, Tengku Arief Tengku Hamid, 29, memberitahu, dia bersama 15 rakannya ke Pejabat Pos Pandan Indah untuk mendaftar sebagai pemilih tetapi disuruh ke Pejabat Umno Bahagian oleh seorang petugas wanita dengan alasan borang sudah habis.

Menurut Zuraida, tindakan Umno yang jelas cuba memancing undi di Ampang itu menimbulkan kemarahan mereka yang hadir lantas mengadu kepada beliau. Zuraidah membidas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan isu petugas kaunter Pejabat Pos yang menjadi kuda tunggangan Umno seperti didedahkannya Jun lalu. Telah banyak bukti didedahkan, tetapi SPR terus dengan sindrom penafian dulu, kini dan selamanya.

Maharaja Lawak: Tun Zaki Azmi kata mahkamah Malaysia bebas


Saya bersetuju dengan pandangan balas Pengarah Guaman KEADILAN, Latheefa Koya. Pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Fitnah II, langsung tidak membuktikan badan kehakiman negara bebas daripada campur tangan badan eksekutif.

Adakah hanya kerana Anwar dilepaskan 9 Januari lalu, maka badan kehakiman negara sudah menjadi adil dan bebas? Ini tidak boleh diterima sama sekali. Pembebasan Anwar tidak bermakna badan kehakiman bebas, apatah lagi kenyataan itu keluar dari mulut seorang bekas Ketua Hakim yang mendapat konsesi lebuh raya bernilai RM2.2 bilion. Mengukuhkan hujah itu, Tun Zaki Azmi kononnya sejak beliau menjadi Ketua Hakim Negara bermula pada 2008, Perdana Menteri atau Menteri Kabinet lain tidak pernah campur tangan atau bertanya tentang kes-kes yang berjalan di mahkamah.

Tetapi Tun Azmi lupa, sepanjang perbicaraan Anwar untuk kes Fitnah II, banyak kali rayuan dibuat agar kes dihentikan kerana nyata tiada bukti tetapi tetap diteruskan sehingga mahkamah betul-betul terpaksa bebaskan (Anwar), seolah-olah kes itu hanya untuk memburukkan reputasi dan menyusahkan Anwar ke mahkamah setiap hari. Hanya kes yang berkepentingan boleh menguji kebebasan sistem mahkamah di negara ini, seperti kes pembunuhan Teoh Beng Hock dan Altantuya Shariibuu. 

Pada hemat saya, apabila melibatkan kes berkepentingan, maka proses akan menjadi lambat. Lihat seperti kes rayuan Altantuya yang masih belum selesai sampai sekarang, sedangkan kes itu sudah masuk enam tahun berlalu. Contoh lain apabila Mahathir Mohamad diarahkan hadir ke mahkamah, tapi mahkamah kata tak perlu, begitu juga bila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri tak perlu hadir untuk menjadi saksi (dalam kes Fitnah II).

Rakyat terus mempersoal bagaimana Zaki dan Hafarizam boleh mendapat konsesi lebuh raya yang berbilion ringgit itu. Apa kelebihan mereka untuk mnedapatkan projek tersebut? Dan apa peranan mereka dalam "memenangkan" kerja-kerja "rampasan kuasa" di Perak pada tahun 2009 yang lalu? Februari lalu, didedahkan isu pemberian konsesi Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex) berharga RM2.2 bilion melibatkan keluarga Zaki dan Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.

Wakil Mongolia ke Malaysia selongkar misteri pembunuhan Altantunya


Sekumpulan wakil rasmi Mongolia yang ditugas untuk mengendalikan kes pembunuhan Altantuya Shaariibu dijangka hadir ke Malaysia Ogos ini. Begitu kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne. Mereka akan tiba pada bulan Ogos, cuma tarikh yang tepat belum tahu kerana Mongolia baru saja mengadakan pilihan raya dan belum ada kerajaan lagi.

Sudah enam tahun keluarga mangsa (Altantunya) menanti penyelesaian. Malah pada hemat saya, seluruh rakyat antarabangsa yang simpati pada nasib mendiang juga mahukan pengadilan dibuat segera. Tentu sekali mereka nak tahu siapakah pembunuh Altantunya? Atau arahan siapakah Altantunya dibunuh dengan C4 milik kerajaan Malaysia itu? 

Bapa Altantuya, Setev Shariibuu beberapa kali meminta kerajaan Malaysia menyelesaikan kes itu secepat mungkin, namun tidak mendapat respon apabila kes rayuan ditangguh ke Oktober. Sebelum ini, Konsular Kementerian Luar Negara dan Perdagangan Mongolia, G Gankhuyag mendakwa, kerajaan Malaysia lembap dalam mengendali kes pembunuhan Altantuya. Kenyataan itu dipetik dalam satu wawancara dengan laman web Mongolia dan didedahkan Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne dalam satu sidang media 28 Jun lalu.

Rabu, Julai 11, 2012

Presiden PAS arah semua ahli dan penyokong PAS turun Himpunan Oren 14 Julai


Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru semua ahli parti turun ke "Himpunan Oren Selamatkan Felda" di Masjid Wilayah pada jam 2.00 petang 14 Julai ini. Dalam satu ulasan ringkas kepada Harakah melalui Setiausaha Akhbarnya, Nasaie Ismail pada 8 Julai lalu, Ustaz Abdul Hadi mahu ahli-ahli dan para penyokong PAS hadir memberi sokongan padu kepada Himpunan Oren tersebut.

"Saya menyeru kepada ahli dan penyokong PAS supaya hadir memberi sokongan, turun padang ke Himpunan Oren Selamatkan Felda yang dianjurkan oleh gabungan NGO Gerakan Selamatkan Felda pada 14 April ini," katanya lagi. Ustaz Hadi berkata, PAS sentiasa bersama dalam perjuangan rakyat tertindas, khususnya golongan peneroka Felda yang berdepan dengan pelbagai kezaliman sejak sekian lama dilakukan oleh Kerajaan Umno-BN. 

RM170 juta terberancai, persepsi rakyat ditakuk lama, jenayah meletup-letup


Kerajaan Umno-BN telah membelanjakan RM170 juta dengan cara salah hanya untuk membetulkan persepsi orang awam terhadap polis. Kerajaan juga secara berlebihan menumpu kepada menguruskan persepsi awam berbanding menangani masalah jenayah. Ini berdasarkan perbelanjaan besar kerajaan dalam peruntukan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi memerangi jenayah untuk menguruskan persepsi semata-mata.

Pada hemat saya, rakyat Malaysia sebenarnya mahu melihat proses penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan jenayah. Ini hanya diperolehi daripada tatakelola dan pengurusan ekonomi yang kukuh bagi mengurangkan jurang pendapatan rakyat. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab akan sentiasa bekerja untuk memperbaharui struktur pasukan polis, bukan semata-mata memikirkan persepsi umum.

Sebanyak 71 peratus daripada belanjawan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tahun 2012 adalah untuk mengurangkan perasaan takut terhadap aktiviti jenayah. Satu-satunya aktiviti yang dinyatakan dalam laporan Pemandu 2011 adalah kajian "Takut Menjadi Mangsa Penyiasatan Jenayah" dan kerajaan memperuntukkan RM170 juta untuk tujuan itu. Konsep "Keputusan Besar Pantas" hanyalah semata-mata untuk memberi persepsi kepada rakyat bahawa aktiviti jenayah sudah menurun daripada membaikpulih struktur keselamatan Malaysia.

Pengarah Biro Perdagangan, Wong Chen mempersoalkan "program bandar selamat" yang menelan belanja RM28 juta atau 11.27 peratus dari RM240 juta peruntukan pengurusan NKRA. Adakah mereka ada "air time" (iklan di media), atau mereka cetak lima juta risalah untuk diedarkan pada orang ramai? Ini tidak termasuk kos pembelian aset seperti CCTV untuk dipasang di tempat awam dengan kos RM15 juta. Mengapa Cawangan Khas (SB) melebihkan aktiviti mengintip rakyat sendiri daripada mencegah aktiviti jenayah?

Kerja keras nak sumbat Anwar ke penjara terus berjalan, rayuan Peguam Negara bermotif politik


Pada hemat saya, rayuan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim awal tahun ini, daripada tuduhan Fitnah II adalah bermotif politik. Entah kenapa, tiba-tiba isu ini berbangkit semula dan rayuan dijadikan landasan untuk "mematahkan" kembali keputusan sedia ada. 

Ini dibuktikan apabila penghakiman bertulis kes itu hanya dikeluarkan awal bulan ini walaupun keputusan dibuat pada 9 Januari lalu. Kenapa terlalu lama masa diambil? Mengapa sekarang ia dibangkitkan semula? Kelewatan itu juga jelas menunjukkan badan kehakiman telah diperalat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Ini satu lagi taktik politik terdesak pentadbiran Najib untuk mengekang pergerakan Anwar menjelang pilihan raya umum akan datang dengan harapan Pakatan Rakyat tidak menang," kata Sivarasa, Peguam Anwar. Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Kamaluddin Md Said dilapor mengesahkan petisyen rayuan difail 9 Julai lalu, namun enggan mendedahkan alasan rayuan itu.

"Kami akan berhati-hati dengan tindakan pentadbiran Najib ini kerana selain ia bermotif politik, ia juga bertujuan untuk memerangkap Anwar dan buat masa ini, kita menanti apa tindakan susulan Jabatan Peguam Negara. Selepas itu, barulah kita akan membuat kenyataan mengenainya," kata Sivarasa lagi. Dalam penghakiman bertulis setebal 80 muka surat pada 2 Julai lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ini kerana katanya, sampel itu boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis dan oleh itu beliau membebas dan melepaskan Anwar dari tuduhan Fitnah kali kedua itu pada 9 Januari lalu. Sebelum ini, Fitnah 1 bermula sejak 1998 menyaksikan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad memenjarakan Anwar sebelum Ketua Pembangkang itu dibebaskan dari semua tuduhan pada 2004.

Hairie Othman, Leman Raja Lawak, Tarmizi dan Riduan gempur Dun Taman Medan 11 Julai


PAS Petaling Jaya Selatan akan menganjurkan Ceramah Isu Semasa "Kenapa Perlu Tolak BN" pada Rabu, 11 Julai ini jam 9.30 malam di Markas PAS Taman Medan. Dua artis terkenal yang baru menyertai PAS akan tampil di khalayak menyampakan isi hati mereka kenapa boleh mengistiharkan diri bersama PAS. Turut berceramah Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor dan Pengarang Harakah yang juga blogger Sanggahtoksago.Com, Tarmizi Mohd Jam.Orang ramai dijemput hadir.