KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 18, 2007

Sanggah Apa? Pasal Apa? Blog Apa?


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM


TELAH lama berlegar dalam kepala untuk membina blog sendiri. Jam 11.40 malam tadi, Dr. Mohd Hasyim menghubungi saya di rumah. Katanya, nak jumpa sekejap. Saya bergegas menuju Danau Kota. Dr. Mohd Hasyim adalah kenalan lama saya sejak hujung 80an.

Buku pertama saya, suatu cacatan tentang Pilihan Raya Umum 1990 berjudul "Mampukah Ulama Mentadbir?" telah diterbitkan oleh beliau. Seorang yang idealis dan bersahaja. Beliau mengasaskan Gedung Gua, Ad-Dakwah dan G.G Edar. Suatu industri minda yang hebat, pernah diteroka pada waktu itu.

Hampir tiga jam kami berbual. Dr. Mohd Hasyim akan berangkat ke Sarawak. Barangkali, sekarang sudah berada di Kuching. Katanya, untuk meninjau politik di sana dan bertemu beberapa orang kenalan.

Saya begitu tertarik dengan blogibnuhasyim, yang digenyehnya setiap hari bagi memuntahkan idea dan sanggahannya berkenaan politik tanahair. Dr. Mohd Hasyim membina blog itu untuk menajamkan kreativiti mindanya. Begitulah katanya dulu. Saya fikir, menarik juga, pandangan dan ulasannya berkenaan pelbagai isu.

Hajat saya untuk membina blog kembali ghairah. Saya pulang jam 3.15 pagi tadi. Terfikir untuk mengodek-godek internet, bikin blog sendiri. Duduk tak diam, saya mulakannya secara merangkak-rangkak.

Akhirnya, saya kata saya telah berjaya buat blog.... maka menetaslah blog sanggahtoksago.com. Saya harap ianya sarat dengan sanggahan membina untuk ummah sejagat! Moga-moga inisiatif ini akan diberkati Allah Azawajjala. Amin!