KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Ogos 08, 2009

PAS ucap takziah kepada keluarga Adun Permatang Pasir













KUALA LUMPUR: PAS Pusat merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga dan penduduk Dewan Undangan Negeri (Dun) Permatang Pasir di atas pemergian ADUNnya, Ustaz Dato' Hamdan Abdul Rahman disahkan meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara, 31 Julai lalu.

Demikian satu kenyataaan yang dikeluarkan oleh Presiden PAS, Dato' Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada media.

Katanya, pemergian allahyarham bukan sahaja dirasai oleh seluruh keluarganya dan penduduk Dun Permatang Pasir, tetapi juga merupakan satu kehilangan besar kepada seluruh pendukung gerakan Islam, khasnya PAS.

Allahyarham Ustaz Dato' Hamdan adalah seorang pejuang gigih yang telah lama berkhidmat kepada gerakan Islam dalam pelbagai peringkat kepemimpinan.

Selain pernah memimpin PAS Pulau Pinang selama 11 tahun, beliau turut aktif dalam beberapa gerakan dakwah termasuk ABIM pada 1970-an. Beliau juga merupakan aktivis sosial yang cemerlang sehingga diberi kepercayaan berada dalam kepimpinan PEMADAM Pulau Pinang pada satu ketika dahulu.

Allahyarham yang baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato’ pada 11 Julai lalu dari Kerajaan pulau Pinang merupakan ADUN Permatang pasir tiga penggal iaitu sejak tahun 1999 hingga sekarang. Beliau juga sebelumnya adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang hingga tahun 2003.

Sebelum menjadi ahli politik sepenuh masa, allahyarham pernah berkhidmat sebagai Guru Bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah dari tahun 1965–1966, kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbir dalam Kerajaan Negeri Kedah mulai tahun 1966 sehingga 1977 dan jawatan terakhir beliau dalam kerajaan adalah Pegawai Pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Di Raja Malaysia dari tahun 1977 sehingga 1983.

"Berkat komitmen berterusan ini, allahyarham telah dipilih oleh rakyat Permatang Pasir untuk menjadi wakil rakyat sejak dari tahun 1999 lagi," ujar beliau.

Ustaz Hadi menyifatkan allahyarham sebagai seorang pemimpin yang tawaduk kerana tidak suka menonjolkan diri walaupun mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Selain mempunyai kelulusan pendidikan Inggeris di peringkat Senior Cambridge, beliau juga adalah lulusan Rubu' Thanawi dalam bidang agama serta beberapa kali mengikuti kursus dalam pengurusan kastam.

Katanya, sumbangan beliau juga sangat besar kepada negara kerana beliau pernah berkhidmat dalam Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, sebelum aktif dalam politik. .

"Bagi pihak seluruh pimpinan dan ahli-ahli PAS, saya merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai dan penduduk Permatang Pasir dapat bersabar dengan ketentuan Ilahi ini. Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, Insya Allah," ujar Ustaz Hadi.

Sementara itu, dalam satu kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mengharapkan kegigihan dan kerja kuat allahyarham untuk Islam, rakyat dan PAS menjadi contoh ikutan ahli-ahli PAS yang lain di negara ini.

"Marilah kita sama-sama berdoa moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang soleh berkat amal jariahnya sepanjang kehidupan beliau. InsyaAllah PAS bersedia untuk mengekalkan warisan legasi kepimpinan beliau di DUN Permatang Pasir dalam tempoh terdekat," ujar beliau.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebagai penyambung warisan perjuangan beliau.

Wakil rakyat ditaja kongsi gelap, PAS cabar Khir buktikan!


KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan sikap polis yang terlalu dhaif menangani isu-isu yang melibatkan wakil rakyat ditaja oleh kumpulan kongsi gelap tertentu di negara ini, seperti pendedahan penuh maklumat seorang penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim dan mantan Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo yang dilaporkan media tempatan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad mahu polis dan pihak berkuasa menyiasat dan bertindak segera, jika benar terdapat kemungkinan tersebut. Bagaimanapun beliau kesal, polis seolah-olah tiada maklumat berkenaan perkara yang didedahkan oleh Khir Toyo dan Kamal Affandi itu.

"Kenapa penganalisa jenayah Kamal Affandi Hashim boleh mendapat maklumat seperti itu? Kenapa pihak polis boleh mendiamkan diri sehingga perkara terperinci seperti ini lebih diketahui oleh Khir dan penganalisa jenayah yang tidak mempunyai kuasa seperti pihak polis?

"Apakah pihak polis tidak buat kerja? Tuduhan yang dibuat pula membabitkan wakil rakyat. Ini satu tuduhan yang berat. Khir dan Kamal Affandi mesti berani mendedahkan identiti wakil rakyat terbabit supaya dapat dibawa kemuka pengadilan. Kita tidak mahu wakil rakyat di negara ini menjadi wakil kongsi gelap," tegas Ustaz Idris kepada Harakah.

Ustaz Idris bimbang, jika perkara ini tidak dibendung, satu hari nanti negara akan diperintah oleh mafia dan tindakan perlu diambil segera bagi membersihkan imej dan reputasi wakil rakyat lain yang tidak terbabit dengan kumpulan kongsi gelap.

"Tuduhan itu serius sebab wakil rakyat ialah mereka yang membuat undang-undang di Dewan Undangan Negeri atau pun Parlimen. Jadi imej mereka perlu segera dibersihkan. Saya cabar Khir dedahkan bukti tentang apa yang dia dakwa," ujar beliau.

Rabu lalu, Khir mendakwa kebanyakan kegiatan mencuri pasir, perjudian, spa dan pelacuran di Selangor didalangi "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap.

Malah dakwa Khir semasa beliau menjadi MB Selangor dahulu, hanya 700 premis hiburan beroperasi tetapi di bawah kerajaan Pakatan Rakyat hari ini terdapat 4000 pusat hiburan haram.

Sebelum itu, seorang penganalisis jenayah, Kamal Affandi mendedahkan pada sebuah akhbar harian tempatan, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir wakil rakyat ditaja oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap tertentu untuk menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.

Hasil analisis dan pemerhatian pihaknya mendapati, banyak kegiatan haram antaranya pusat judi, hiburan, spa dan pelacuran tumbuh di kawasan terlibat selepas wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya.

Menurut Kamal Affandi, tindakan wakil rakyat itu yang menghalalkan kegiatan haram di kawasannya dianggap sebagai membalas jasa golongan berkenaan.

Sehubungan itu, Ustaz Idris mahu pihak kerajaan tidak menyambung kontrak Tan Sri Musa Hassan sebagai Ketua Polis Negara kerana gagal membenteras masalah jenayah yang makin berleluasa di negara ini.

"Kalau benarlah laporan yang dibuat oleh Kamal Affandi dan dakwaan Khir Toyo maka layaklah Tan Sri Musa tidak disambung perkhidmatan kerana gagal membenteraskan jenayah," tegas beliau.

Antara Kartika, ‘Mantoya’ dan kerajaan Malaysia yang Islamik?

ADA beberapa pemerhatian dan kesimpulan dapat dibuat ekoran berlangsungnya perbahasan agak hangat mengenai isu hukuman sebat ke atas seorang pesalah meminum arak baru-baru ini.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, 20 Julai lalu, menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Sungai Siput, Perak, Kartika Sari Dewi Shukarno. Beliau didapati bersalah atas dakwaan meminum arak di sebuah resort di Cherating, Pahang, pada 11 Julai 2007.

Difahamkan hukuman enam sebatan, denda RM5,000 dan penjara tiga tahun adalah hukuman maksimum diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah seluruh negara di bawah Akta Mahkamah Syariah. Kartika dikatakan wanita pertama di negara ini dijatuhi hukuman maksimum itu.

Keputusan itu mengundang pertikaian beberapa pihak. Seorang menteri bagi hal ehwal wanita dilaporkan terkejut dengan tindakan hakim, terutama membabitkan hukuman sebat itu.

Beberapa pihak lain turut melontarkan pandangan mereka, menerusi media cetak dan siber. Ada hujah bersandarkan undang-undang, ada yang merujuk hak asasi manusia. Ada pula menggunakan logik akal. Tidak kurang juga menghuraikannya dari sudut agama. Segala perbahasan pro dan kontra itu membawa kepada beberapa pemerhatian dan kesimpulan.

Pertama, umat Islam tidak harus terkeliru mengatakan hukum digunapakai dalam memutuskan kes tersebut adalah hukum Islam. Meski pun dinamakan hukum syariah, ia sebenarnya masih jauh dari menepati syariat Islam sebenar.

Menurut hukum Islam, peminum arak hendaklah disebat. Jumlah maksimum pernah dilaksanakan Nabi Muhammad s.a.w. dan Saidina Abu Bakar ialah 40 sebatan. Saidina Umar pula menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan.

Jumlah maksimum enam sebatan dalam undang-undang syariah Malaysia masih terlalu jauh untuk menyamai apa yang dimaktubkan dalam hukum hudud Allah. Ertinya, pelaksanaannya tidak boleh dijadikan bukti sudah menyempurnakan tuntutan pelaksanaan hukum Islam sebenar. Bagaimana pun dari segi semangat pelaksanaannya, ia suatu pendekatan dialukan.

Kedua, hukuman itu dibantah orang Islam dan bukan Islam. Kalangan bukan Islam selalunya atas hujah hak asasi manusia. Ada pun bagi yang Islam, apakah penentangan mereka atas kemanusiaan juga? Ataukah memang dengan niat membantah pelaksanaan hukum Islam (mengambil kira fahaman mereka kononnya kanun syariah adalah hukum Islam)?

Jika atas niat menentang pelaksanaan hukum Islam, tidakkah itu sudah menjebak diri kepada pertikaian akidah?

Kebetulan pula seminggu-dua ini umat Islam negara kita tiba-tiba menzahirkan sikap sangat prihatin terhadap hukum Islam. Gara-gara seorang pemimpin politik pembangkang Islam memegang lilin dalam satu sidang media mengenai kematian kontroversi seorang pemuda Cina, seluruh negara mempertikaikan perbuatan beliau dari sudut akidah.

Malah para pemimpin yang selama ini tidak mengambi berat pelanggaran hukum Tuhan yang berleluasa dalam pemerintahan mereka sendiri pun tiba-tiba begitu beriya-iya mahu tahu apa pandangan dan hukum Islam mengenai perbuatan memegang lilin itu.

Mengambil semangat positif mereka yang begitu prihatin terhadap hukum Islam dalam kes lilin itu, maka elok juga ditanya apa hukumnya bagi seorang Islam membantah hukuman sebat pesalah meminum arak jika ia di atas hasrat membantah pelaksanaan hukum Islam?

Apakah perbuatan itu tidak menyentuh soal akidahnya? Kita rasa itu juga perlukan penjelasan dan penerangan para ulama dan mufti.

Ketiga, wujud salah faham ketara berhubung kaedah pelaksanaan hukum sebat itu. Dalam hal ini, pendekatan diambil sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ahad (26 Julai) lalu wajar dipuji.

Ia menyiarkan dua kumpulan gambar urutan pergerakan tangan penyebat, satu untuk pesalah sivil dan satu pesalah syariah. Perbezaannya ketara, bukan sahaja pada saiz rotan digunakan, malah teknik dan kekuatan hayunan ketika menyebat.

Keempat, sepertimana diharapkan Kartika sendiri, hukuman ke atasnya akan menyedarkan dirinya dan pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan sama. Kita pula mengharapkan pihak yang melakukan kesalahan serupa dikenakan hukuman sama, sebagai pengajaran kepada umat Islam lain.

Ya lah, bukankah kita kerap baca cerita artis terlibat kemalangan dalam perjalanan pulang dari disko? Ada juga kes pergaduhan antara personaliti tersohor di luar bar. Itu hanyalah secebis contoh perlakuan buruk orang terkenal yang dikaitkan dengan pengaruh alkohol.

Satu contoh klasik, ada seorang menteri besar ke majlis rasmi kerajaan terhoyong-hayang memakain pakaian “Mantoya”. Mungkin wajar ditanyakan, mengapa hanya Kartika diseret ke mahkamah? Mengapa pembesar mabuk yang disaksikan ratusan mata itu tidak didenda dan disebat sama?

Kelima, kes Kartika membuka ruang kepada kita merenung betapa ia sebenarnya hanyalah satu titik kecil dalam lautan hitam pelanggaran hukum Tuhan, khususnya berkaitan pengambilan arak.

Contohnya, sepertimana ditegaskan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, sudah sampai masanya pihak berkuasa di Malaysia ‘menyebat’ Pengurus MAS yang menyebabkan semua mereka yang berada dalam satu-satu penerbangan terlibat secara langsung dengan arak.

“Begitu juga perlu ‘disebat’ pihak terbabit (Umno) yang berpuluh-puluh tahun membiarkan orang-orang Islam terlibat secara langsung dengan arak,” katanya.

Najib lebih utamakan politik dari hapuskan selesema babi


SETAKAT rencana ini ditulis, sudah berlaku empat kematian akibat selesema babi atau influenza A (H1N1), tetapi tidak kedengaran kenyataan keras Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, ke arah melaksanakan ‘perintah berkurung’ dalam usaha pencegahan habis-habisan.

Jika setakat kenyataan demi kenyataan Menteri Kesihatan, Dato' Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican untuk mengumumkan penambahan jumlah mereka yang dijangkiti, ia tidak mampu untuk memberi kesedaran secukupnya kepada rakyat.

Jika perlu satu langkah paling drastik hendaklah dimulakan, supaya usaha berjaga-jaga dan langkah-langkah pencegahan optimum dapat dilaksanakan segera. Negara ini bukan tidak pernah dilanda wabak seperti ini tetapi dalam kes H1N1, kerajaan dilihat seperti hilang pertimbangan dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa.

Rakyat seperti tidak memperdulikan. Orang ramai seperti tidak terkesan dan lebih parah lagi, publisiti media yang diterima mereka yang bertanggungjawab terhadap isu ini seperti sia-sia.

Perdana Menteri perlu menangguhkan buat sementara semua cerita 1Malaysia, NKRA atau KPI jika wabak ini menjadi semakin serius. Malaysia tidak memerlukan kehadiran Dato' (Melaka) Sharukh Khan untuk menyumbang kepada YAKEB jika keadaan kesihatan rakyat terancam.

Apakah sebenarnya keutamaan sekarang? Adakah kita mahu terus mewar-warkan slogan demi slogan sedangkan wabak H1N1 tidak berjaya dibendung. Yang ada, sepanduk di sekitar hospital melarang kanak-kanak di bawah 12 tahun melawat pesakit di dalam wad. Pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk pelawat sendiri tidak ‘bertopeng muka’ bagi menunjukkan betapa seriusnya langkah-langkah pencegahan.

Berita penutupan dan perubahan cuti semester beberapa IPTA sudah membuktikan wabak ini menular dengan begitu pantas. Namun, pelajar-pelajar yang diberikan cuti ini ke mana? Adakah mereka ‘berkuratin’ di rumah masing-masing atau mereka merayau-rayau menghabiskan cuti mereka itu?

Apa yang lebih menyedihkan, ketika Malaysia dilanda wabak ini, Kementerian Belia dan Sukan ‘membenarkan’ pasukan Manchester United mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan Malaysia.

Penonton yang membanjiri stadium khabarnya mencecah 80 ribu. Apakah ketika ini Kementerian Kesihatan melalui menterinya, Tiong Lai dan Ketua Pengarahnya, Dr. Mohd Ismail ada memberi ‘pesanan’ kepada Kementerian Belia dan Sukan bahawa ‘wabak H1N1’ sedang melanda Malaysia?

Rakyat juga mendengar dan menyaksikan perhimpunan Jemaah Tablig di Nilai yang khabarnya berjumlah 200 ribu semuanya. Ketika itu wabak ini sedang menular. Walaupun tiada bukti bahawa mereka ini membawa (mengimpot) virus ini tetapi apakah langkah-langkah pencegahan yang dilakukan ketika itu?

Di Malaysia, ramai yang melihat politik lebih penting dari mencegah penyakit yang sedang menyerang. Di negara ini juga orang lebih suka bercakap ‘mencari pengundi muda’ lebih penting dari nasib kanak-kanak sekolah yang terpaksa ‘diberi cuti mengejut’ kerana serangan wabak ini.

Kakitangan kementerian Kesihatan sendiri tidak menunjukkan betapa wabak ini sedang serius dan mereka tidak memakain penutup mulut dan hidung seperti suatu ketika dahulu apabila jerebu menyerang Malaysia.

Mungkin, budaya orang kita, jerebu mereka nampak hingga menyebabkan mereka sanggup bertopeng tetapi H1N1 hanya mereka dengar dan menonton TV sahaja yang menyebabkan mereka anggap ia sebagai tidak serius.

Terbaru Universiti Sains Malaysia (USM) menangguhkan kuliah pengajian kejuruteraan di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal selama tujuh hari.

Begitu juga dua IKM di Kedah, iaitu IKM Alor Setar dan Sik ditutup sementara, sementapa ILP di Ledang dan UPSI di Tanjung Malim, Politeknik, IKBN, 4 sekolah, 2 kem PLKN di Negeri Sembilan diberitakan turut diberi pelepasan kerana wabak ini.

Ini mengambarkan bahawa wabak virus selsema babi ini sudah cukup serius. Namun, tidak ada satu arahan ‘serius’ dari Perdana Menteri dilihat mengenai perkara ini jika dibandingkan dengan gembar-gembur NKRA, 1Malaysia dan KPI.

Cukuplah! Jangan sampai Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga suatu masa nanti terpaksa ditutup kerana wabak ini baru suatu langkah drastik mahu diambil, kerana ketika itu mungkin ia sudah terlambat. Lebih membimbangkan, ramai yang risau jika Kementerian Kesihatan juga akhirnya nanti diserang wabak ini hingga menyebabkan kenyataan-kenyataan yang saban hari dibuat tidak lagi mampu dibuat jika langkah-langkah pencegahan hanya mahu dilaksanakan secara ‘kenyataan-kenyataan santai’ seperti mengumumkan keputusan peperiksaan sekolah rendah.

Ketika Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom mengeluarkan kenyataan bahawa semua peperiksaan diteruskan walaupun jangkitan influenza A semakin membimbangkan seolah-olah ‘ada yang bercanggah’ dengan kehendak Kementerian Kesihatan.

Jika bapa mangsa wabak ini, Ramli Abdul Aziz, 45 tidak menyangka demam anaknya Nur Syazwana yang meninggal akibat jangkitan ini ia masih boleh dimaafkan tetapi Ramli mungkin tidak mengambil berat tanda-tanda awal demam anaknya atau dia tidak faham apakah yang memerlukan dia perlu segera membawa anak ke hospital untuk mendapat rawatan.

Dari pengalaman sedih Ramli, membuktikan pihak kerajaan telah gagal memberi kefahaman kepada rakyat jelata mengenai tanda-tanda awal serangan virus H1N1 ini. Jika rakyat faham, kemungkinan kematian dapat dielakkan walaupun sudah ditakdirkan ajalnya.

KWSP beri pinjaman RM5 bilion kepada Prokhas dipersoal

KUALA LUMPUR: PAS mempersoalkan tindakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersetuju untuk memberikan pinjaman sebanyak RM5 bilion kepada Prokhas Sdn Bhd dan mendesak kerajaan mendedahkan siapa di sebalik agensi yang ditubuhkan untuk membantu syarikat-syarikat tempatan.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan sudah banyak agensi kerajaan sebelum ini diberikan pinjaman dengan menggunakan wang rakyat tetapi akhirnya ia berkesudahan dengan kerugian.

"Untuk apa Prokhas diberikan pinjaman dengan jumlah yang besar sedangkan mereka hanya ditubuhkan untuk memberikan jaminan kepada syarikat yang mahu mendapatkan pinjaman bank.

"Prokhas bukan memberikan pinjaman sebaliknya hanya memberikan jaminan dan bila mereka memperolehi pinjaman berjumlah RM5 bilion dari KWSP ia menimbulkan keraguan, siapa dibelakang syarikat ini?" soal beliau.

PAS, tegas beliau, bimbang jika terdapat mana-mana pihak yang berkepentingan berada dibelakang agensi-agensi seperti Prokhas dan menggunakan kedudukan tersebut untuk merompak wang rakyat yang banyak terkumpul di KWSP.

Mahfuz juga menegaskan, mendedahkan siapa dibelakang Prokhas dan untuk apa pinjaman berjumlah RM5 bilion diberikan oleh KWSP kepada rakyat perlu dilakukan kerana wang yang diberikan itu diperolehi menerusi caruman wang rakyat dan tidak sepatutnya disalahgunakan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu semata-mata.

The Malaysian Reserve, sebuah akhbar elektronik pada 28 Julai lalu mendedahkan KWSP bersedia untuk memberikan pinjaman berjumlah RM5 bilion kepada Prokhas Sdn Bhd.

Prokhas, agensi kerajaan yang dibawah Kementerian Kewangan, ditubuhkan untuk menyediakan Skim Jaminan Modal dan Skim Pinjaman Pengstrukturan Industri ketika kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi pertama 2008.

Pada tahun 2008, syarikat Valuecap telah diberikan RM5 bilion wang KWSP untuk membeli saham-saham dibawah nilai dan sehingga kini wang rakyat tersebut masih belum dipulangkan.

Pemimpin Umno umpama Majnun gilakan Laila - Tok Guru Nik Aziz

MOQADIMAH: BENARLAH kata perumpamaan, pipi tak mancung, hidung tersorong-sorong. Inilah yang berlaku terhadap Umno sekarang. Pantang ada kenyataan yang positif daripada pemimpin PAS, lalu dianggap mampu mempertaut semula hubungan Umno dan PAS. Itulah yang berlaku terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini. Kenyataannya mahu mengeratkan hubungan di antara kerajaan negeri dan pusat telah disalah tafsir. Isu jalinan kerajaan negeri dan pusat, dianggap pula hubungan Umno dan PAS. Ini mencerminkan pemimpin Umno sudah benar-benar kemaruk. Selain itu, Mursyidul Am PAS juga bercakap mengenai bantahan besar-besaran terhadap ISA 1 Ogos ini. Ikuti temubual SALMAH MAT HUSAIN bersama Menteri Besar Kelantan ketika ditemui di pejabatnya Isnin lalu.

Tiba-tiba sahaja timbul semula isu kerjasama Umno dan PAS?

Surat khabar arus perdana menyebut mengenai saya, tetapi saya tidak tahu menahu pun tentang perkara itu. Orang yang bernama Nik Aziz, orang yang disebut Mursyidul Am, orang yang disebut Menteri Besar ialah saya, tidak orang lain.
Sepatutnya perkara yang melibatkan saya kena tanya saya dulu. Orang lain tidak ada hak untuk menjadi jurubahasa kepada saya.

Benarkah Tok Guru sebut lupakan sengketa lama antara Umno dan PAS?

Mengenai perkataan lupakan saja sengketa lama saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian seperti disiarkan sebuah akhbar harian baru-baru ini.
Tuan-tuan boleh check balik semula record atau pun rakaman video tentang pertemuan antara saya dengan Dato’ Mustapa Mohamed di Hotel Rennaissanse Kuala Lumpur semasa program Pesta Kelantan yang dianjurkan sebuah syarikat baru-baru ini.
Saya pun tak faham kenapa perkara ini boleh berlaku, macam cerita Majnun seorang pengembala kambing yang berhajat untuk mengahwini anak raja.
Macam-macam kerenah yang dibuat oleh Majnun sehingga pada suatu hari dia duduk seorang diri di bawah pokok sementara menunggu kambing sedang makan rumput. Majnun bercakap seorang diri. Apabila kawan dia bertanya kamu bercakap dengan siapa lalu Majnun menjawab, saya sedang bercakap dengan Laila, seorang anak raja.
Macam mana seorang pengembala kambing berhasrat untuk mengahwini anak raja. Mahu tidak mahu dia menulis nama Laila atas pasir. Dia tulis nama Laila, lalu dia sendiri membacanya. Kawan dia bertanya lagi, kamu bercakap dengan siapa? Dia jawab lagi... dengan Laila. Mana Laila tanya kawan dia. Lalu dijawab... ini Laila sambil menunjukkan nama Laila yang dia tulis di atas pasir.
Majnun walaupun tak dapat kahwin dengan anak raja, tetap sekurang-kurangnya dia boleh menulis nama Laila dan bercakap dengan Laila melalui nama yang dia tulis sendiri. Umno kini pun macam itulah.

Maksud Tok Guru...

Dah sampai peringkat dia nak sambung balik soal Kerajaan Perpaduan yang ditimbulkan mereka sebelum ini. Mereka cuba memperlihatkan PAS yang mahu perkara itu. Tetapi hakikatnya mereka yang beria-ia.
Mereka nak bentuk perpaduan Melayu. Akhirnya masyarakat menganggap Kerajaan Perpaduan dianjurkan PAS. Umno sekarang sudah semakin tersepit dan sudah lama berhadapan dengan pelbagai masalah. Ada darah tinggi, lemah jantung, ada jenis paru-paru berair, banyak sangat penyakit yang menimpa Umno yang mereka cipta sendiri.

Adakah Umno di bawah kepimpinan Najib betul-betul tersepit?

Dia banyak masalah. Akibat perkara itu telah menyebabkan Umno kini sebenarnya sudah duduk dalam lubang dan akibat masalah yang dicipta sendiri. Parti itu semakin ke bawah mengikut dalamnya lubang berkenaan. Kerana itu Umno kini meminta pertolongan daripada PAS.

Tapi kalau Umno benar-benar nak perpaduan, perpaduan yang macam Tok Guru boleh tawarkan?

Sekiranya Umno inginkan perpaduan, mesti perpaduan dalam semua perkara. Umno, PAS, KeADILan dan DAP. Semuanya bersama dalam perpaduan itu kerana sama-sama memerintah negara. Malaysia ni bukan hak Umno atau Barisan Nasional (BN) tetapi hak semua.
Hak rakyat. Negara kita ini mempunyai demokrasi, jadi kenapa ingin diasingkan bangsa-bangsa atas bumi Malaysia. Perkara ini kita telah buat keputusan pada Muktamar PAS di Ipoh setahun lepas atau di Shah Alam, baru-baru ini.

Tapi isu itu tidak berbangkit?

Umno tak payah fikirlah untuk saya lupakan sengketa lama. Mana boleh orang PAS lupa perangai Umno yang mengkhianati PAS. Pada peringkat awalnya bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussain yang meminta PAS menyertai Umno dan BN walaupun terpaksa berhadapan perpecahan dalam parti.
Saya sendiri pun ketika itu suka PAS masuk BN, tetapi setelah menyertai BN, PAS ditendang begitu sahaja setelah orang lain menjadi Perdana Menteri. Saya berdosa pada Allah SWT dan masyarakat sekiranya saya lupa terhadap apa yang telah Umno lakukan terhadap PAS sebelum ini.

Kenapa isu kerajaan perpaduan sering kali ditimbulkan?

Tanya Umnolah. Kena tanya Umno kenapa persoalan ini ditimbulkan semula sebab PAS tidak pernah menimbulkan soal itu. Kenapa dia timbulkan semula.

Maknanya tiada langsung isu perpaduan atau Kerajaan Perpaduan Tok Guru perkatakan sewaktu bertemu dengan Dato’ Mustapa baru-baru ini?

Tidak ada. Cuba check balik ucapan ketika itu.

Apa sebenarnya yang Tok Guru sebut?

Saya cakap dengan dia (Dato' Mustapha Mohamad), di mana saya berharap adakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan. Kelantan sebagai sebuah negeri yang terletak di bawah Kerajaan Pusat sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Berdasarkan semangat federalisme, Kelantan berhak bekerjasama dengan Pusat dan Kerajaan Pusat juga wajib membantu Kelantan. Kelantan ni adalah sebagai satu juzuk daripada Malaysia.
Tetapi apa yang menghairankan, kerjasama dua parti hanya disebut Dato’ Pa. Kalau tak tiga kali pun sekurang-kurangnya dua kali dia sebut... "walaupun kita berlainan parti tetapi kita kena bekerjasama untuk rakyat Kelantan".
Saya tak cakap apa pun, tetapi naluri saya pun terasa pelik. Eh kenapa asyik dok sebut benda-benda begini. Kita nak berbincang tentang ‘Fiesta Kelantan’ sedangkan beliau asyik sebut soal Kerajaan Perpaduan.

Hasrat Tok Guru sebenarnya mahu Kerajaan Pusat menyelesaikan isu royalti minyak, begitu?

Ya. Jika diikutkan Perlembagaan, Kerajaan Pusat wajib menunaikan tanggungjawabnya terhadap negeri-negeri yang didapati ada sumber gas dan minyak di perairan mereka. Itu hak Perlembagaan dan bukannya pandai-pandai saya.
Masalah royalti jangan sekali-kali Kerajaan Pusat dakwa Kelantan tidak mempunyai hak. Sekiranya Kelantan tidak ada hak, sudah tentu Thailand akan mendakwa itu hak mereka, apa lagi Kelantan pula bersempadan dengan Thailand.
Apabila Kelantan yang telah bersempadan dengan Thailand, Kerajaan Pusat masih mendakwa bukan hak negeri ini, maka sudah tentu Thailand akan mengakui itu hak mereka. Jadi siapa yang rugi? Itu semua kerja bodoh.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah ada menyebut Kerajaan Pusat perlu membayar royalti minyak kepada Kelantan?

Ya itu betul. Saya junjung kasih banyak kepada YM Tengku Razaleigh berhubung perkara itu. Walaupun seorang pejuang Umno, namun berhubung royalti beliau berkata benar dan memihak pada Kelantan, Alhamdulillah.
Saya ulangi, jangan sekali-kali Kerajaan Pusat menyebut Kelantan tidak ada hak royalti minyak, kerana ia akan memberi peluang kepada Thailand akan mendakwa itu hak mereka sepenuhnya.
Bila kata Kelantan tidak ada hak, maknanya Malaysia juga tidak ada hak, sebab Kelantan ini di bawah Malaysia. Ini semua kerja-kerja bodoh yang dicetuskan dari pemikiran sempit pemimpin politik Umno. Mereka mengorek lubang sendiri yang bakal menenggelamkan mereka juga.

Kenapa kerajaan BN cuba menafikan hak Kelantan?

Ini kerja jahat. Seperti firman Allah yang bermaksud, "Orang yang menentang mu wahai Muhammad, sebenarnya dia yakin dengan apa perjuangan yang kamu bawa, tetapi mereka menentangnya juga kerana jahat dan degil."

Bagaimana pandangan Tok Guru berhubung Perhimpunan MANSUH bantah ISA 1 Ogos ini?

Saya amat bersetuju dengan perhimpunan yang akan diadakan itu. Tetapi sayangnya kerana masalah kesihatan, saya tidak dapat hadir pada hari itu. Saya dapat datang ke pejabat hari-hari pun dah cukup baik.
Untuk itu saya kirim salam kepada semua rakyat di negara ini supaya hadir beramai-ramai pada perhimpunan itu nanti. Ia merupakan kewajipan kita sebagai seorang manusia untuk memperbetulkan kesilapan Umno yang telah menzalimkan rakyat.
Mereka tangkap manusia dengan tidak di bawa ke mahkamah. Rakyat Malaysia ni betullah dia tu rakyat, tetapi mereka hamba Allah. Jangan fikir kita ini menteri, kita berkuasa hingga ke akhirat. Silap-silap golongan pemimpin zalim yang akan dipijak muka mereka di akhirat nanti. Kiamat boleh merendahkan orang yang tinggi sewaktu di muka dunia.

Kemungkinan besar perhimpunan itu nanti akan dihalang oleh kerajaan BN melalui pasukan keselamatannya...

Itu terserah pada kerajaan sendiri. Tetapi rakyat akan menilai tindakan mereka jahat atau sebaliknya. Negara ini bukan hak mutlak Umno, tetapi hak rakyat. Bila rakyat pilih nak demontrasi, untuk apa disekat? Kenapa kita mengganggu demokrasi yang kita sendiri laungkan.

Rakyat tidak ragu-ragu bangkit mansuhkan ISA - GMI

MUQADIMAH: Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos ini bukanlah satu provokasi bagi menimbulkan suasana yang tidak enak, tetapi ia adalah satu suara rakyat menuntut akta zalim itu dimansuhkan. Presiden Gerakan Mansuhkan ISA Syed Ibrahim Syed Noh mengajak semua rakyat negara ini sama-sama berhimpun bagi menyatakan suara bantahan mereka. "Ini adalah peluang untuk membuat perubahan," kata beliau. Ikuti temubual SALMIYAH HARON bersama beliau ketika ditemui.

Setakat ini, bagaimana dengan perancangan bagi melancarkan Perhimpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos ini?

SYED IBRAHIM SYED NOH: Kita memaklumkan kepada pihak polis dua hari sebelum perhimpunan. Kita akan bagi tahu secara rasmi apakah tujuan sebenar himpunan itu dan kita minta kerjasama padu daripada mereka. Kerana kita hendak wujudkan keyakinan dan menunjukkan rasa kesungguhan kita melalui perhimpunan aman.
Bukan perhimpunan yang mendatangkan huru hara, berbeza dengan kumpulan yang menyokong ISA, mereka sendiri yang menyebutkan apabila ada huru hara, kalau ada dua kumpulan mestilah timbul hura hara.

Mungkin dengan penglibatan pro-ISA secara tidak langsung mempengaruhi orang ramai untuk tidak hadir ke perhimpunan itu dibimbangi akan ada huru hara.

Saya hendak berpesan kepada orang ramai jangan berasa bimbang dan takut, kumpulan satu lagi ada hak dia untuk berhimpun begitu juga GMI. Perhimpunan itu sama juga dengan perhimpunan menuntut rumah setinggan.
Kita juga ada kawalan keselamatan kita, sebagaimana saya sebut banyak kali sebelum ini kita ada unit Amal yang akan mengawal keselamatan di ketiga-tiga tempat yang telah kita tetapkan iaitu di Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara. Pimpinan kita akan turun bersama dan ini direstui pimpinan dari kalangan parti-parti politik dan Ngo.
Kita perlu merasakan bahawa daripada tuntutan kita untuk melaksanakan hak kita malah lebih mulia lagi kita menuntut sesuatu yang baik dan benar. Kita hendak membanteras kezaliman ISA. Kita turun sebagai suara rakyat, kalau dulu kita lihat GMI sahaja tetapi kini rakyat bersama, ini memberi satu objektif bersama. Dengan itu, kita tidak perlu rasa bimbang atau risau.

Bagaimana kawalan keselamatan yang diaturkan demi menjaga perhimpunan itu terus aman?

Unit Amal seramai 1000 orang yang akan mengawal, mereka akan berada di tiga lokasi yang diputuskan. Mereka akan mengawal keselamatan peserta himpunan, lalulintas dalam memastikan keadaan berjalan dengan aman. Mereka juga terbatas dari segi kawalan ini, melainkan ada kerjasama daripada pihak polis.
Jadi kita mengharapkan pihak polis memberi kerjasama. Kalau semua bagi kerjasaman dan ruang perkara ini boleh selesai dalam masa yang singkat, perhimpunan boleh mula jam 2 petang dan mungkin kita boleh bergerak secara aman ke Istana Negara jam 2.30 petang jam 3 petang kita hantar deklarasi. Tidak ada masalah yang timbul. Saya harap macam itulah apabila kita melihat dalam konteks rakyat berhimpun secara aman mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Mangsa ISA kini sudah ramai membabitkan Cina, Melayu dan India. Kumpulan yang pro-Melayu mungkin merasakan tidak perlulah mereka terlibat sama dalam mansuhkan akta tersebut.

Saya tertarik dengan komen Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebenarnya kalau sesuatu bangsa itu mulia bukan kerana bangsanya tetapi kerana akhlaknya. Kita boleh menilai kalau akhlak Melayu sebenarnya macam mana?
Kalau Melayu akan lihat keadilan itu adalah hak semua, akhlak orang Melayu akan membela semua nasib orang yang tertindas dan dizalimi. Sebagaimana juga orang Cina dan India. Bukan kes orang Cina, Melayu dan India lebih-lebih lagi dalam konteks ISA.
Sebab ISA ini tidak mengenal kaum, agama dan budaya kerana semua ia (ISA) boleh tangkap menyebabkan ramai menjadi mangsa. Saya alu-alukan wakil pelbagai kaum turun. Wakil Hindraft yang turut memberi komitmen dan berjanji akan membawa ahli-ahli mereka pada perhimpunan itu nanti.

Kerajaan dalam usaha untuk mengkaji akta ISA, apa perlunya GMI meneruskan desakan mansuhkan akta itu?

Kalau kita lihat ungkapan untuk kaji semula ISA ini kita sudah dengar daripada perdana menteri sejak beberapa tahun lalu, termasuklah perdana menteri terkini. Sudah lama disebut-sebut untuk kaji semula akta ini, tetapi tidak ada satu plan dan rancangan yang konkrit bila nak kaji semula?
Lepas itu kerajaan tidak ada rancangan untuk bertemu dengan NGO-NGO untuk mendapatkan pandangan. Malangnya sejak Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri yang sudah lebih seratus hari ini, saya tidak dapat apa-apa panggilan daripada pihak kerajaan untuk menyampaikan pandangan. Yang membuat pertemuan adalah kami.
Saya pernah membuat pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri awal Julai lalu dan saya hanya berjumpa dengan pegawai Khas menteri terbabit. Setakat berjumpa dengan mereka kita hanya memaklum sajalah, bukan satu perbincangan yang boleh kita dengar dan respons terus daripada menteri. Bahkan kita tidak tahu apa reaksi dan hasil dialog kita ini.

Apakah ada satu kertas kerja atau kertas putih keluarkan?

Tidak ada! Ini jikalau ada kaji semulalah. Kalau setakat kaji semula Suhakam sudah mencadangkan sejak tahun 2003 lagi. Zaid Ibrahim pun meletak jawatan menteri kerana ISA. Tidak nampak lagi ke? Malah Abdullah Badawi pula mahu akta itu dimansuhkan. Sebab apa? Sebab kezaliman dalam ISA itu sudah melampaui batas agama, keadilan, dan hak asasi manusia. Kuasa yang ada dalam ISA terlalu luas, undang-undang pula salah kemudian disalahgunakan, ini sudah dua kali salah.
Dua kali zalim maknanya! Polis ada kuasa tahan 60 hari, kemudian menteri ada kuasa untuk lanjutkan tempoh tahanan dua tahun tanpa apa-apa proses perbicaraan dan pembelaan. Apakah kita hendak tunggu ada tahanan mati sewaktu ditahan macam berlaku dalam SPRM.

Jika berlaku kekecohan dan huru-hara dalam Perhimpunan MANSUH ISA pada 1 Ogos ini, sudah tentu saudara akan dikaitkan. Apakah saudara sudah bersedia jika di ISAkan?

Ooo...soalan payah tu nak jawab (ketawa). Bagi saya soal masa depan kita tidak tahu, tuhan sahaja yang tahu. Kita akan buat beberapa persediaan yang perlu. Tetapi saya yakin dan Insyallah jika kita berada di landasan yang benar kita kena sedia berkorban. Kita kena persiapkan diri, kawan-kawan juga memberi sokongan.
Saya rasa jelas saya tidak berseorangan dalam perjuangan mansuhkan ISA ini. Ini cukup jelas dan ramai yang memberi sokongan seperti Pakatan Rakyat. Jikalau apa-apapun terjadi pada saya dan sesiapa juga saya rasa, ramai yang akan bangkit mempersoalkan. Kenapa, dan apa salah dia?
Adakah dia buat satu kesalahan, kenapa tidak dibicarakan dia? Biar orang jelas siapa (profile) Tuan Syed. Bagi saya tidak ada apa-apa yang tersembunyi, motif saya jelas dan objektif saya jelas. Kalau ini dilihat satu kesalahan maka itu bukan kita yang salah tetapi orang yang menahan itu yang salah.

Umno mahu perangkap PAS, Tok Guru Nik Aziz tapi gagal


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyifatkan Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam keadaan lemas dan memerlukan 'talian hayat' untuk memberikan suntikan oksigen agar dapat terus bernafas bagi mendapat sokongan masyarakat dengan memerangkap Menteri Besar Kelantan kononnya mahu melupakan peristiwa lama.

Beliau berkata demikian sebagai respons kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya mahu menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dalam konteks PAS-Umno sedangkan Mursyidul Am PAS itu menegaskan kerjasama yang akan dijalinkan antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat.

Jelas Idris, sebagai seorang Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz memperkatakantentang hak yang perlu diperolehi negeri berdasarkan konsep Persekutuan yang mesti difahami oleh pimpinan BN dan Umno hari ini.

"Apabila bercakap mengenai kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, ia amat berbeza dengan kerjasama antara PAS dan Umno atau BN. Apabila disebut Kerajaan Kelantan, sudah tentu rakyatnya termasuk juga orang-orang Umno dan BN atau 'orang atas pagar'.

"Amat jelas, Tok Guru Nik Aziz hanya bercakap soal kerjasama antara kerajaan yang perlu diberi oleh sesebuah kerajaan yang memerintah negara berdasarkan konsep Persekutuan yang perlu dihormati oleh kerajaan," jelasnya sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Muhyiddin itu cuba untuk memecahbelahkan keharmonian yang telah dibina dalam Pakatan Rakyat serta bertindak mengelirukan rakyat agar hilang kepercayaan mereka terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Biasalah orang yang dalam kelemasan. Apabila dia lemas, apa sahaja yang datang padanya dia bertaut untuk menyelamatkan diri. Termasuklah bertaut pada batang pisang atau pada buaya sekalipun dia sanggup.

"Orang yang lemas ini juga umpama orang yang 'gila talak'. Talak pula talak tiga. Sebab itulah BN dan Umno ini mempunyai tujuan untuk memecahbelah perpaduan yang dibina antara Pakatan Rakyat," katanya.

Idris turut menyelar kenyataan Muhyiddin yang seolah-olah ingin menggambarkan Melayu mesti bersatu dengan Umno.

Tegasnya, jika Umno sesama kepimpinan mereka sering bertelagah serta tidak bersatu, bagaimana parti itu boleh mengajak PAS untuk bersama-sama menyertai mereka.

Najib belanjakan RM71 juta untuk bina imej antarabangsa


KUALA LUMPUR: PAS mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak supaya menjelaskan dengan segera dari mana beliau mendapatkan wang berjumlah RM71 juta untuk memperolehi publisiti positif dari pentadbiran luar negara.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan, rakyat berhak untuk mengetahui dari mana wang tersebut diperolehi dan untuk apa dibayar sejumlah wang yang besar semata-mata untuk mendapatkan publisti positif dari pentadbiran luar negara.

Najib, tegas beliau tidak perlu membelanjakan wang dengan jumlah yang besar untuk mendapat publisiti dari luar negara sebaliknya perlu membuat dasar-dasar yang boleh menguntungkan rakyat dan negara untuk mendapatkan perhatian dari negara-negara luar.

"Jika dasar-dasar yang dilaksanakan berkesan, adil dan menguntungkan seluruh rakyat, maka dengan sendirinya publisiti positif yang meluaskan akan diperolehi oleh Najib dari negara-negara luar.

"Dengan membelanjakan RM71 juta untuk mebayar sebuah syarikat bagi membina imej dan mendapat publisti positif, menunjukkan Najib telah memalukan Malaysia kerana beliau tidak mampu untuk mentadbir negara ini dengan baik sebaliknya memerlukan khidmat syarikat asing untuk bina imej beliau.

"Oleh yang demikian, kita (PAS) mendesak agar Najib menjelaskan kepada umum dari mana wang berjumlah RM71 juta ini diperolehi untuk dibayar kepada syarikat Apco Worldwide bagi mendapatkan publisti positif dari pentadbiran luar negara," tegas Mahfuz.

Tegas beliau lagi, nasihat yang diberikan oleh Apco Worldwide ini sudah terbukti tidak menguntungkan rakyat bila banyak dasar yang diumumkan oleh Najib tidak menguntungkan rakyat.

"Contohnya dasar liberalisasi yang diumumkan oleh Najib itu dibuat atas nasihat syarikat tersebut dan ia terbukti tidak menguntungkan rakyat Malaysia tetapi lebih memberikan keuntungan kepada pihak luar," tegas beliau.

Selain dari dasar liberalisasi, 11 perkara yang diumumkan oleh Najib sempena 100 hari pentadbiran beliau juga dipercayai atas nasihat Apco Worldwide yang mana ia tidak bersifat pro-rakyat.

Portal berita The Malaysian Insider baru-baru ini mendedahkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak telah membelanjakan RM71 juta untuk membina imej positif dari pentadbiran luar negara.

Sebuah syarikat yang dikenali sebagai Apco Worldwide - sebuah syarikat publisiti media dan hubungan antarabangsa- antara syarikat yang telah dilantik untuk melaksanakan tugas-tugas mendapatkan publisti yang baik untuk Najib dan juga memberikan input untuk menjalankan dasar-dasar dalam pentadbiran negara.

Mendapatkan slot untuk suami Rosmah Mansor itu di saluran CNBC dan CNN selain rencana yang ditulis oleh Najib yang disiarkan oleh Wall Street Journal merupakan antara yang diusahakan oleh syarikat-syarikat tersebut.

Selain itu, perbualan telefon antara Najib dan Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama telah dijalankan oleh syarikat terbabit.

Difahamkan pentadbiran Najib juga sedang berusaha untuk mendapatkan lawatan rasmi Barrack Obama ke negara ini bagi mengangkat imej antarabangsa Presiden umno itu dan pengaruh Anwar di Washington.

Apco Worldwide dipercayai mula menguasai pentadbiran pejabat Perdana Menteri sejak hari pertama Najib dilantik mengetuai kerajaan dan ianya telah menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dikalangan pegawai-pegawai kerajaan.

Perdana Menteri sebelum ini termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menggunakan khidmat syarikat perunding imej luar negara untuk membina imej positif sebagai pemimpin Islam progresif dan Malaysia sebagai sebuah negara Islam moden.

Pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pula menggunakan pelobi Jack Abramoff termasuk untuk mendapatkan pertemuan dengan George Bush.

Najib paling cemas jika Ku Li sertai Pakatan Rakyat

BUKAN main terkejut Timbalan Presiden Umno, Muhyiddin Mohd Yassin apabila mendapat tahu yang bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim mempelawa Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menyertai PKR.

Terkial-kial juga Muhyiddin menyusun ayat-ayat ‘power’ untuk menunjukkan bahawa Umno masih memerlukan Ku Li dan menyanjung Ku Li sebagai seorang pejuang Umno yang sudah sekian lama bersama-sama parti itu.

Serentak dengan itu, Muhyiddin turut menyebut bahawa Ku Li membantu BN ketika berkempen di Manek Urai, cuma Muhyiddin tidak menyebut mengapa Ku Li tidak muncul sejak hari penamaan calon hinggalah pengundi keluar mengundi pada 14 Julai 2009 yang lalu.

Hubungan Perdana Menteri, Najib Tun Razak dengan Ku Li sukar dibaca. Ku Li turut mencari pencalonan bagi merebut jawatan Presiden Umno ketika Najib sudah menang tanpa bertanding.

Najib tentunya mengharapkan Ku Li yang mengetuai Umno Bahagian Musang supaya mencalonkannya sebagai Presiden. Muhyiddin juga terlalu mengharapkan percalonan dari Gua Musang.

Namun, kedua-duanya, Najib dan Muhyiddin ternyata dihampakan oleh Ku Li.
Gua Musang mencalonkan Ku Li sendiri sebagai calon Presiden manakala bagi jawatan Timbalan Presiden, Shahrir Samad dinamakannya. Entah macam mana, apabila terdengar Zaid mempelawa Ku Li menyertai PKR, bukan main gelabah Muhyiddin.

Najib hanya berdiam diri tetapi kerisauan Muhyiddin tentunya bersebab. Muhyiddin sudah melihat di depan matanya, ketika Najib dan beliau sendiri menyambut 100 hari mereka sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, BN kehilangan Chua Jui Meng, bekas Naib Presiden MCA yang dua kali layak untuk bertanding kerusi Presiden MCA.

Sedikit sebanyak, Jui Meng mempunyai pengaruh dalam MCA. Jika tidak mustahil Jui Meng mampu mengutip pencalonan dan undi ketika dua kali bertanding jawatan Presiden. Pengaruh Jui Meng bukan kecil walaupun belum mampu untuk menjadikan dia sebagai Presiden.

Begitu juga Ku Li. Walaupun beliau dilihat tidak pernah layak mendapat pencalonan untuk bertanding Presiden Umno tetapi siapakah yang boleh menafikan pengaruh bekas Menteri Kewangan ini kepada Umno di peringkat akar umbi?

Ku Li tentunya yakin, jika bukan kerana quota pencalonan yang membolehkan seseorang itu bertanding, beliau sudah tentu mampu mencari pencalonan untuk tujuan tersebut.
Quota pencalonan yang diperkenalkan Dr. Mahathir Mohamad ketika dia mahu mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri, benar-benar ‘menjadi pagar’ kepada mereka yang berjawatan.

Hari ini, Najib dan Muhyiddin tentunya sukar lena malam apabila Ku Li menyatakan sokongannya supaya royalti minyak diberikan kepada Kelantan. Janji Muhyiddin di Manek Urai yang mengatakan Petronas akan membuat penjelasan, ternyata omong kosong.

Seorang penyokong Umno yang kenal Ku Li memberitahu, Umno tidak ‘tahu bahasa’ untuk mengajak Ku Li supaya sama-sama turun berkempen di Manek Urai. Jemputan kepada Ku Li hanya dihantar melalui faks.

Disebabkan tidak ‘tahu bahasa’ ini menyebabkan Ku Li merasakan Umno Malaysia dan Umno Kelantan tidak memerlukan sumbangannya. Manek Urai adalah jiran Gua Musang yang mana ramai yang percaya pengaruh Ku Li sedikit sebanyak mampu meraih sokongan. Setakat ini Ku Li sendiri tidak ada mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai perlawaan Zaid itu.

Malahan, ada yang mula bercakap kemungkinan Ku Li sedang memberi pertimbangan sewajarnya terhadap perlawaan itu.

Ketika Muhyiddin mengharapkan Ku Li akan kekal dalam Umno kerana sejarah perjuangan Ku Li sendiri dalam Umno, namun tidak ada usaha dari Najib atau Muhyiddin untuk mengadakan pertemuan dengan Ku Li.

Ketika Umno terkepung-kepung wakil rakyatnya supaya jangan melompat ke PKR dan Pakatan Rakyat, Najib dan Muhyiddin tentunya terdengar cerita ada lagi bekas Menteri yang akan menyeberang walaupun tidak menggunakan jambatan ‘Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru’ yang belum dibina itu.

Ditulis Oleh SAMAD IDRIS

Memahami "salam" Tok Guru Nik Aziz, manipulasi Umno gagal!


BERITA Minggu (26 Julai 2009) menyiarkan paparan headline ‘Nik Aziz hulur salam’, sementara Berita Harian (27 Julai 2009) selanjutnya menyambung lagi nilai political commercial dengan paparan headline menyosong dari yang kelmarin, ‘Umno positif syor Nik Aziz’.

Jelas dan realistik, di sebalik paparan tajuk besar/muka depan akhbar kawalan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu memberi makna besar dari segi isu dan kesannya kepada pembaca. Ia sudah bertukar persepsi, dari isu asalnya adalah berpunca daripada kenyataan yang cuba menterjemahkan makna ‘federalisme’ kini telah bertukar kepada persepsi politik kepartian.

Jika isu (seperti paparan Berita Harian 27, Julai itu) itu dikorek dengan tajam, sudah pasti puncanya adalah sebagaimana laporan Bernama (25 Julai 2009; 13:57 pm) yang merungkaikan natijah Tuan Guru Nik Abdul Aziz atas kapasiti sebagai Menteri Besar Kelantan telah menzahirkan gaya dan seni pentadbirannya dalam konteks “membina jambatan” antara Negeri dengan Persekutuan.

Sebagaimana dipetik dari Bernama tersebut, Tuan Guru menegaskan bahawa sebelum ini kerajaan negeri tidak pernah pun menganggap kerajaan pusat sebagai musuh, tetapi hanya sebagai lawan dalam mempertahankan perjuangan ideologi politik masing-masing.

Namun, konteks sebenar itu telah diterjemahkan secara licik oleh pihak media, termasuk Bernama telah melakukan tindakan minded spinning, berikutan (27 Julai 2009; 22:54 pm) tersiarnya respon Dato’ Mustapa Mohamed selaku Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang dilaporkan berkata, “BN dan Umno Kelantan khususnya bersikap terbuka dan sememangnya tidak mahu perbezaan dan perjuangan politik menjadi pemisah yang memecahkan umat Islam dan orang Melayu.

Maka, respon Mustapa itu telah meletakkan isu ‘salam’ Tuan Guru tersebut sebagai isu politik kepartian antara PAS dengan Umno, bukan lagi antara kerajaan dengan kerajaan. Logiknya minded spinning yang dicetuskan Bernama dan Mustapa itu adalah bermotifkan political impact ke arah mengalih pemikiran khalayak daripada isu-isu negatif yang dialami kerajaan BN hari ini.

Ini kerana sepanjang bulan Julai ini, setidak-tidak telah berlaku isu-isu besar yang merundum moral kerajaan BN, antaranya kekalahan tipis BN di Manek Urai (mengabsahkan BN sudah tidak popular di kalangan orang Melayu), isu kematian luar dugaan mangsa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia – SPRM – (yang mendedahkan penderaan pihak berkuasa kerajaan BN ke atas ecxo kerajaan Selangor menggunakan SPRM), dan isu ulangtahun ke-50 undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri – ISA – yang bakal disambut secara perhimpunan rakyat anti-ISA pada 1 Ogos (yang dijangka menggugatkan integriti kepimpinan kerajaan BN yang kononnya mendahulukan hak rakyat, sedangkan sekian lama menzalimi hak rakyat).

Meskipun begitu, cara olahan media milik kerajaan BN (seperti mana Bernama dan Berita Harian) tersebut, apa yang harus difahami adalah maksud jelas cetusan ‘salam’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang terlerai semasa majlis prapelancaran Kelantan Fiesta 2009 di Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu.

Mungkin bagi memahami cetusan Tuan Guru itu adalah dengan menilai rekod pentadbiran beliau yang sekian lama (sejak 1990 lagi) boleh dianggap cukup bergaya dan tersirat seni yang cukup halus dalam menjalin hubungan harmoni antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat, sehingga setiap cabaran dalaman dan luaran mampu ditangani dengan bijaksana.

Jika merenung kepada beberapa detik sejarah hubungan itu, antara paling kritikal ialah sikap tegas Tuan Guru dalam soal meluluskan Enakmen Hudud, meskipun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri pada masa itu menyindir dengan pelbagai persepsi buruk terhadap hukum hudud.

Tetapi, Tuan Guru boleh bersama Tun Dr. Mahathir semasa pembukaan rasmi Jambatan Sultan Ismail Petra di Tendong. Begitu pula, ketika Tun Abdullah selaku Perdana Menteri berbangkit penolakan secara total Tuan Guru terhadap konsep Islam Hadhari yang dimomokkan sebagai menyimpang daripada ajaran Islam. Namun, pihak Tuan Guru boleh berada sepentas dan seganding dengan Abdullah ketika pelancaran projek Koridor Ekonomi Pantai Timur – ECER – pada saat hampir dengan pilihan raya umum 2008.

Demikian pula, sifat terus terang dan berhemah gaya dan seni pentadbiran Tuan Guru ketika mengulas dan menjawab isu-isu hubungan kerajaan negeri-pusat ketika persidangan dewan negeri turut menginsafkan Mustapa Mohamed sewaktu menjadi ketua pembangkang dewan negeri Kelantan (selaku ADUN Air Lanas, sesi 2004), terpaksa mengaku betapa beliau adalah antara pemimpin Umno Kelantan yang menyekat beberapa peruntukan pembangunan untuk rakyat Kelantan semasa beliau betrada di Kemeterian Kewangan!

Sehubungan itu, amat logik pula bagi kali ini Tuan Guru sekali lagi mempamerkan realiti gaya dan seni pentadbirannya demi meraih ‘kemenangan untuk rakyat Kelantan’ pada kesempatan kepemimpinan Dato’ Seri Mohd. Najib, Perdana Menteri. Ia juga bertepatan dengan slogan kepemimpinan perdana menteri, “satu Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.”

Maka, pendekatan cetusan ‘salam’ Tuan Guru adalah suatu ajakan kepada semua pemimpin kerajaan negeri dan kerajaan pusat untuk bertindak atas nama Kelantan adalah satu Malaysia. Justeru itu, segala-gala konteks ‘federalisme’ yang bersangkutan sejak merdeka dan terpacak kuat di dalam Perlembagaan Persekutuan harus diutamakan.

Mehamami realiti tersebut, maka menjadi tugas besar pemimpin kerajaan BN untuk menterjemahkan ‘salam’ Tuan Guru mengikut persepsi dan kandungan perlembagaan, bukannya mengikut citarasa politik kepartian. Ini kerana banyak isu-isu federalisme dari perlembagaan semacam dilengah-lengah, malah dikebelakangkan dan tidak didahulukan.

Akhirnya rakyat Kelantan kekal sebagai mangsa penderaan atas hak dan keistimewaan. Sehubungan itu, beberapa aspek kandungan perlembagaan harus diberi perhatian. Di antara kandungan tersebut adalah:

• Bab 3, Perkara 82, mengenai pembiayaan perbelanjaan yang berhubungan dengan perkara dalam Senarai Bersama maka hendaklah diambil tindakan di bawah Perlembagaan, seperti ceraian (a) mengenai komitmen Persekutuan (kerajaan pusat) atau ceraian (b) mengenai komitmen Negeri (kerajaan negeri).

• Bab 5, Perkara 92, berkaitan rancangan pembangunan Negara adalah menjadi tanggungjawab untuk mengadakan rancangan pembangunan termasuk mengadakan peruntukan modal, membayar balik kepada Persekutuan atau membayar kepada Negeri bagi negeri yang terlibat dengan rancangan pembangunan tersebut.

• Di bawah tajuk Majlis Kewangan Negara, Perkara 108, fasal 1 hingga 5 telah dinyatakan peranan yang harus dimainkan oleh kerajaan Persekutuan (kerajaan pusat) bagi memastikan kerajaan negeri menerima peruntukan kewangan yang seadanya. Ia melibatkan juga tanggungjawab memberi pinjaman, pemberian kewangan dan pembuatan rancangan pembangunan oleh kerajaan Persekutuan kepada atau ke atas kerajaan negeri.

• Di bawah tajuk pemberian kepada Negeri pula, dengan terang dinyatakan dalam Perkara 92, fasal 1 mengenai pemberian ikut kepala dan pemberian penyenggaraan jalan Negeri kepada kerajaan negeri berpandukan Bahagian I, Jadual Kesepuluh dan Bahagian II, Jadual Kesepuluh.

• Di bawah tajuk penyerahakkan cukai dan fi kepada Negeri, turut dinyatakan dalam Perkara 110, fasal 1 hingga 5 yang termasuk sama berhubung hak menerima perkadaran duti eksport atas mineral termasuk minyak.

• Di bawah Jadual Kesembilan turut dinyatakan Senarai Bersama yang menjadi tanggungjawab Persekutuan dan Negeri yang tidak boleh tidak memerlukan komitmen kerajaan Persekutuan memajukan tugas-tugas khusus jabatan di negeri-negeri. Antaranya dalam perkara kebajikan masyaraakat, memajukan penternakan, saliran, perumahan, biasiswa dan perancangan bandar dan desa, kebudayaan dan sukan serta pemeliharaan warisan.


Sehubungan dengan parkara-perkara perlembagaan itu yang bersangkutan dengan hak Persekutuan dan hak Negeri, maka di sana terdapat banyak isu-isu yang tertangguh, belum selesai dan perlu komitmen antara dua pihak state (kerajaan negeri-persekutuan) yang berkuasa.

Bagi pihak Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, sudah pasti sedia mencetuskan salam untuk perdana menteri agar memberi perhatian atas beberapa isu yang menjadi tugas beliau untuk segera atau diutamakan/didahulukan. Antara yang kritikal adalah melibatkan penunaian hak negeri Kelantan menerimah wang royalti minyak yang sudah sekian lama termeterai perjanjian (sejak tahun 1975) antara Petronas dengan kerajaan negeri. Realiti ini telah disokong oleh Tengku Razaleigh sendiri selaku bekas Pengerusi Petronas yang terlibat dengan perjanjian tersebut (sebagaimana lapor The Malaysian Insider, 27 julai 2009).

Demikian juga, janji mantan Perdana Menteri Tun Abdullah, kerajaan BN sedia membina jambatan kedua merentasi Sungai Kelantan di Kota Bharu adalah tugas yang harus disempurnakan kerana ia telah termaktub di dalam perlembagaan. Ia juga sebagai suatu projek ‘balas budi’, memandangkan kerajaan PAS sebelum ini telah membina Jambatan Sultan Yahya Petra melengkapkan jalan persekutuan menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat dan Pasir Mas.

Sehubungan itu, rakyat Kelantan tidak sepatutnya terkeliru dengan janji-janji berbau politik ketika atau semasa musim pilihan raya. Maka, seharusnya tidak berbangkit rakyat boleh beralih ‘arah’ apabila dijanjikan jambatan di Manek Urai Lama, sedangkan di situ terletak dalam kawasan pembangunan Kesedar (di bawah Persekutuan) yang memang tugas kerajaan persekutuan menyediakan segala-gala prasarana untuk rakyat di situ. Oleh itu, tidak berbangkit kerajaan negeri mengkebelakangkan pembangunan untuk rakyat, kerana tugas membangunkan negeri ini adalah tugas bersama negeri dan pusat.

Maka, di sebalik projek-projek atau komitmen yang belum selesai itu, adalah logik bagi Tuan Guru Menteri Besar Kelantan menghulurkan ‘salam’ berbaik-baik dengan kerajaan pusat, demi menyelesaikan kesemua urusan rakyat dan kerajaan negeri. Sehingga kini, berlaku banyak perkara red-tape dan karenah birokrasi di sebalik hubungan antara negeri dengan pusat.

Namun, hasil keberkatan dan amalan berintegriti kepemimpinan kerajaan negeri, bermula dari menteri besarnya bersama saf exco dan setiausaha kerajaan serta para pegawainya, hakikatnya ia telah berupaya melaksanakan pentadbiran dalam suatu perjalanan yang selamat, meskipun berhemat.

Dalam konteks, persetujuan dengan ‘salam’ Tuan Guru bersandarkan kepentingan rakyat dan negara serta negeri Kelantan, adalah menjadi harapan kita semua agar persoalan, permaslahan dan nilai-nilai politik pentadbiran yang berbangkit dalam perlembagaan tersebut dapat dirungkaikan melalui rundingan antara kedua belah pihak. Semoga ia juga dapat dijadikan resipi perbincangan sebagaimana janji Tan Sri Muhyiddin (Berita Harian, 27 Julai 2009) untuk membawa perkara ini kepada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Apa yang kita harapkan selepas itu, keputusan MT bakal menjadi panduan untuk kabinet kerajaan BN pimpinan Mohd Najib melaksanakan ‘salam’ Tuan Guru Menteri Besar Kelantan tersebut. Agar terlerai segala kekusutan melalui lakaran wajah politik baru dan terbina jambatan kukuh menghubungkan kerajaan negeri pimpinan PAS dengan kerajaan pusat pimpinan BN.

Sama-sama berdoa agar Tuhan Yang Esa merestui setiap salam ukuhuwah hamba-Nya, demi kebaikan umat-Nya jua. Amin.

Ditulis Oleh WAN NIK YUSUF NGAH
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan

Mengapa tahan tanpa bicara? Apa motif Umno bermatian pertahan ISA?




AKTA Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah ketinggalan zaman masih lagi diguna pakai oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Tujuan mereka hanyalah untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia agar tidak bangkit menentang kerajaan atau menyuarakan pendapat yang bertentangan dengan kehendak kerajaan.
Sesiapa saja yang menentang atau memberikan pandangan keras terhadap dasar-dasar kerajaan, tidak kira ahli politik, aktivis, wartawan atau rakyat biasa akan dikenakan tahanan tanpa bicara dan tidak mustahil akan dikenakan penderaan mental dan fizikal.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu antara mereka yang pernah ditahan dibawah ISA ketika Operasi Lalang pada tahun 1987. Beliau ditahan selama dua tahun di Kem Tahanan Kamunting. IRWAN MUHAMMAD ZAIN berkongsi pandangan dengan tokoh pidato PAS itu mengenai akta rimba yang masih menjadi senjata BN ini. Ikuti interbiu eksklusif bersama pemimpin rakyat ini.


Saudara mempunyai pengalaman ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika Operasi Lalang dalam tahun 1987. Dari pengalaman saudara apakah akta ini masih lagi sesuai atau sudah ketinggalan zaman?

MOHAMAD SABU: ISA sebenarnya sudah tidak lagi sesuai digunakan sekarang. Sudah banyak kali perkara ini disuarakan tapi kerajaan BN masih tetap mahu menggunakan akta ini untuk menahan tanpa bicara terutama mereka yang terlibat dengan politik.
Kerajaan sebenarnya sudah menyalahgunakan akta ini dengan menahan mana-mana individu tanpa bicara dengan tujuan untuk menakut-nakutkan rakyat agar tidak menentang kerajaan atau tidak menyuarakan pandangan yang berbeza serta tidak mengkritik mana-mana dasar kerajaan.
Cara ini salah dan rakyat juga perlu sedar bahawa kerajaan sudah menggunakan akta ini bukan untuk menjaga keselamatan sebaliknya menjaga kedudukan mereka. Rakyat tidak perlu takut untuk menyuarakan pandangan mereka. Dan kerajaan pula seharusnya tidak sepatutnya menggunakan akta ini untuk menakutkan rakyat.

Boleh saudara jelaskan apakah keburukan ISA ini?

Buruknya ISA ini kerana mereka menahan mana-mana individu tanpa bicara. Sepatutnya setiap orang yang ditahan atas apa-apa tuduhan sekali pun perlu dikemukakan apa jenis kesalahan yang dilakukan dan perlu dibicarakan di mahkamah terlebih dahulu sebelum dijatuhkan hukuman.
Tetapi akta ISA ini, sesiapa saja tak kira ahli politik atau aktivis yang dianggap boleh mengancam kerajaan akan ditangkap dan terus ditahan dibawah ISA tanpa bicara. Ini merupakan satu bentuk kezaliman yang tidak seharusnya diamalkan oleh sebuah negara demokrasi apatah lagi sebuah negara yang berslogankan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Mereka yang ditahan itu kebanyakkannya rakyat Malaysia, jadi mereka juga perlu didahulukan dan perlu melalui prosedur adakan perbicaraan sebelum dijatuhkan hukuman.

Apakah terdapat tahanan-tahanan ISA didera atau disiksa?

Memang ada tahanan yang didera atau disiksa mengikut kategori masing-masing. Ada tahanan yang dimaki-hamun, ada tahanan yang dipukul, ada tahanan yang disuruh telanjang dan ada yang didera mental mereka. Tengok apa kategori mereka ini.
Kalau tokoh-tokoh hebat seperti Dr Syed Husin Ali, dia antara tokoh hebat tentunya penderaan yang beliau hadapi lebih hebat. Ada juga tahanan yang dipukul kerana dianggap sebagai musuh utama kerajaan sedangkan mereka ini berjuang untuk kepentingan rakyat.

Apakah saudara juga didera ketika ditahan ISA?

Saya dimaki hamun tidak sampai dipukul tetapi maki hamun itu juga cukup memedihkan dan kalau ada yang tidak kuat mungkin boleh kalah dengan maki hamun ini. Dia tengking dan maki dengan kata-kata yang cukup kesat seolah-olah kita ini tidak ada maruah langsung.

Waktu bila mereka lakukan semua ini, ketika soal siasat atau ketika di kem tahanan Kamunting?

Waktu soal siasat. Bila dah dibawa ke kem Kamunting sudah tidak ada kes penderaan tetapi ada juga yang sudah masuk sampai ke Kamunting, dibawa keluar dan didera. Tapi ini jarang sangat berlaku. Selalunya bila dah sampai ke kem kamunting, sudah tidak ada lagi penderaan dalam apa juga bentuk.
Cuma ketika tempoh 60 hari disoal siasat sebelum dihantar ke Kamunting itu akan dilakukan penderaan untuk melihat dan menguji sejauh mana kekuatan kita, apakah kita tetap dengan pendirian atau akan mengalah dan beralih arah. Kalau dalam tempoh itu kita tetap bertahan, kita akan dihantar ke Kamunting selama dua tahun.
Selepas dua tahun belum tentu bebas sebabnya menteri Keselamatan Dalam Negeri mungkin akan lanjutkan tahanan kita untuk tempoh setahun atau dua tahun lagi. Itu sebab ada antara tahanan ISA sekarang sudah masuk tahun ketujuh dan kelapan tapi masih belum dibebaskan sedangkan tidak dinyatakan dengan jelas apa kesalahan yang dilakukan. Yang diberitahu hanya mereka ini terlibat dengan pihak-pihak yang dituduh melakukan keganasan. Selalunya dikaitkan dengan Jemaah Islamiyah (JI). Tapi bila diminta supaya dibicarakan, mereka tidak lakukan kerana tidak ada bukti untuk menahan mereka ini. Jadi kerajaan guna ISA untuk tahan mereka ini.

Penderaan ini dilakukan kepada semua tahanan atau dipilih hanya tahanan bukan Melayu sahaja?

Semua akan kena tak kira agama dan bangsa. Ada yang kata kalau bangsa lain lagi teruk tapi sebenarnya semua sama. Tak kira Melayu, Cina atau India akan didera ikut kategori sama ada maki, pukul atau suruh telanjang.

Saudara dilihat konsisten berjuang agar akta ini dihapuskan. Apa sebab sebenarnya, apakah kerana saudara pernah ditahan atau kerana akta ini sudah tidak lagi sesuai?

Saya desak supaya dihapuskan kerana ia sudah ketinggalan zaman bukan kerana saya pernah ditahan. Jika saya tidak ditahan sekali pun, apa saja akta yang zalim akan saya berjuang supaya dihapuskan.
Tidak perlu lagi guna akta ini dan jangan kerana untuk kepentingan kerajaan maka akta ini terus digunakan. Tidak perlu asingkan antara mereka yang bersenjata atau tidak. Dan tidak perlu gunakan ISA untuk menyekat kemaraan ahli-ahli politik dari jalur yang berbeza dengan kerajaan.

Apa desakan saudara terhadap kerajaan berkenaan ISA ini?

ISA sudah tidak popular dan ini terbukti bila Tun Abdullah Ahmad Badawi sendiri mencadangkan agar akta ini dihapuskan, jadi saya konsisten bersama pejuang-pejuang anti ISA mendesak kerajaan agar menghapuskan akta zalim ini.
Kerajaan BN yang berslogankan '1Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' tidak perlu lagi menggunakan akta zalim ini.
Jika benra mereka mengutamakan rakyat, maka mereka perlu dengar suara rakyat yang tidak mahukan kezaliman. Rakyat menenantang kezaliman dan salah satu bentuk kezaliman itu adalah akta ISA yang masih diguna pakai oleh kerajaan BN dibawah pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak.

Seruan saudara terhadap rakyat terhadap Perhimpunan MANSUH anjuran GMI 1 Ogos nanti?

Saya harap semua rakyat yang bencikan kezaliman agar dapat turut sama dengan aktivis-aktivis dan pemimpin-pemimpin yang menentang akta ISA beramai-ramai menyatakan bantahan mereka. Kita bukan mahu mengadakan keganasan sebaliknya kita mahu mengadakan demonstrasi secara aman dan berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat kepada yang Dipertuan Agong.

Chua Jui Meng mampu gugat BN Johor, Ghani makin cemas hadapi PRU 13

BELUM habis Presiden MCA, Ong Tee Keat terkejut dengan isu PKFZ, tiba-tiba degupan jantungnya bertambah kencang apabila bekas Naib Presiden, Chua Jui Meng melepaskan jawatan Ketua MCA Bakri dan sehari kemudiannya mengesahkan dirinya sudah bersama PKR.

Tentunya, pemimpin-pemimpin BN tidak dapat menahan gelombang ini tetapi sesekali cuba disekat dengan kata-kata, langkah yang diambil Jui Meng yang juga bekas Menteri Kesihatan tidak memberi apa-apa kesan kepada BN.

Mereka berkata demikian, termasuk Hishammuddin Hussein dan Muhyiddin Mohd Yassin kerana mereka terpaksa berpura-pura. Walaupun ia memberi kesan cukup besar kepada BN di Johor, tetapi, para pemimpin Umno ini masih mahu mengatakan “ia tidak memberi apa-apa kesan”.

Sebelum Jui Meng, Zaid Ibrahim mendahului. Sebelum Zaid, Dr. Tan Kee Kwong sudah di hadapan.

Kenapa Muhyiddin dan Hishammuddin mengatakan Jui Meng melompat masuk PKR, BN tidak terjejas? Kenapa rakyat mahu dikhayalkan dengan kenyataan yang tidak berpijak di bumi nyata?

Ketika Jui Meng masih dalam MCA, membantu calon BN Tay Puan Chuan bertanding di Bakri, BN masih kalah 722 undi sedangkan ketika Jui Meng mewakili BN di sini (Bakri), Jui Meng mengutip majoriti 19,059 undi.

Maknanya, pengundi di Bakri menolak BN di situ kerana faktor Jui Meng. Hanya di Bakri, BN tewas kepada DAP di Johor, sedangkan 25 lagi kerusi Parlimen dimenangi BN.

Berbeza dengan kawasan Labis, walaupun Dr. Chua Soi Lek dikatakan terlalu hebat pengaruhnya di situ, tetapi apabila dia tidak diletakkan bertanding, calon BN yang diletakkan menggantikannya, Chua Tee Yong yang merupakan anak Soi Lek, menang bergaya.

Di sini, pengundi boleh bayangkan, bagaimana keadaan di Bakri dan Johor khususnya apabila Jui Meng sudah tidak bersama-sama MCA lagi. Ketika masih dalam MCA pun, tetapi tidak terpilih bertanding, kerusi yang dimenangi BN sejak wujudnya Parlimen Bakri boleh terlepas, apa tah lagi kalau Jui Meng sudah meninggalkan MCA.

Parlimen Bakri, mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri. Dua kerusi mewakili majoriti pengundi Melayu manakala satu kerusi mewakili kawasan bermajoriti pengundi Cina.

DUN Bentayan dimenangi DAP melalui calonnya Gwee Tiong Heng di mana kawasan ini pengundi Cina menguasai 76.20 peratus dan Melayu cuma 23.81 peratus. DUN Sungai Abong dimenangi Pas, melalui Dr. Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh yang menang kerusi ini mengalahkan calon Umno (BN) Kamaruddin Suratman dengan majoriti 1,550.

Satu lagi kerusi, DUN Bukit Naning dimenangi Datuk Abdullah Ali yang ketika itu adalah Ketua Umno Bahagian Bakri.

Di Johor, kedudukan Bakri dihimpit dengan kawasan-kawasan glamour. Di sebelah baratnya, Pagoh di mana Muhyiddin merupakan Ahli Parlimen di situ, Di utaranya, Ledang di mana Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman mengetuai Umno bahagian itu maakala di timurnya, Muar di mana Ahli Parlimennya ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Haji Ibrahim.

Disebabkan Jui Meng agak lama di Bakri dan pernah menjadi Menteri Kesihatan ketika mewakili Parlimen itu, kini pengundi-pengundi di Bakri tentunya mahukan Jui Meng kembali mewakili mereka di situ dan tidak akan sedia menerima sesiapa lagi yang mewakili MCA (BN).

Kepimpinan BN di Johor tidak akan senang duduk dengan perkembangan politik Jui Meng ini. Walaupun MCA dan Umno mempunyai seorang Timbalan Presiden yang datangnya dari Johor, tetapi ia tidak menjanjikan apa-apa.

Umno Johor pernah menghantar dua orang Presiden iaitu Onn Jaafar dan Hussein Onn. Umno Johor juga pernah mempunyai Timbalan Presiden iaitu Dr. Ismail Abdul Rahman dan Musa Hitam. MCA Johor juga pernah mempunyai pemimpin besar mereka seperti Dr. Neo Yee Pan, Ong Ka Ting dan kini Soi Lek.

Namun sejarah dan kegemilangan itu tidak menjanjikan kegemilangan akan berulang. Di kawasan di mana Ka Ting bertanding (ketika itu Ka Ting masih Presiden MCA), Parlimen Kulai, salah satu DUN di sini, (Senai) calon BN Chun Yoong Fok tewas keada calon DAP Ong Kow Meng dengan majoriti 4,030 sedangkan DUN ini sebelumnya diwakili BN dengan majoriti 5,294.

Ka Ting hanya mampu mengutip majoriti di sini sebanyak 11,744 sedangkan sebelum itu, Lim Si Cheng yang juga Timbalan Speaker Parlimen ketika itu menang dengan majoriti 18,144 undi.

Dengan kedudukan Soi Lek yang tidak lagi menjadi Menteri walaupun menyandang jawatan Timbalan Presiden MCA, Jui Meng sudah meninggalkan MCA dan Ka Ting sudah tidak menjadi Presiden dan bukan lagi Menteri, apakah MCA di Johor masih ‘bergigi’ seperti MCA di zaman Dr. Ling Liong Sik dulu?

MCA mewakili enam kawasan Parlimen, Gerakan dan MIC satu manakala yang lainnya diwakili Umno.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD

Mampukah Suruhanjaya Diraja memberikan jawapannya?


MISTERI kematian Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah terus menjadi tanda tanya umum. Siapakah dalang disebalik tragedi kematian beliau?

Apa pun kematian mendiang Teoh yang menimbulkan pelbagai spekulasi apabila beliau ditemui mati selepas disoal siasat oleh SPRM. Kematian beliau ditangisi rakyat negara ini tidak mengira kaum.

Kehilangan nyawa dalam apa jua keadan merupakan persitiwa yang dahsyat bagi mana-mana keluarga yang terbabit. Kematian Teoh dalam suasana yang menimbulkan seribu satu tanda tanya, amatlah menyayat hati seorang ibu, yang telah kehilangan anak kesayangannya.

Ibunya Chong Saw Huay, 56, menangis tidak henti-henti sejak menerima berita tragis itu, bahkan setiap kali melihat gambar anaknya di dada akhbar, ibunya dilaporkan menangis dalam keadaan sentiasa menunggu mayatnya dibawa pulang ke pangkuannya.

Hasrat keluarga untuk melihat anaknya mendirikan rumahtangga dengan kekasihnya juga hancur berkecai.

Lebih menyentuh hati, sehari selepas beliau ditemui mati mendiang sepatutnya mendaftar perkahwinan bersama tunangnya Soh Sher Wei, 26. Mereka sudah merancang akan mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat ini.

Beberapa teman Teoh sukar menerima kemungkinan mendiang membunuh diri kerana, pada pagi Rabu, bekas wartawan itu menghubungi mereka dan mengundang ke majlis persandingannya.

Kehilangan Teoh secara mengejut itu bertambah pilu apabila tunang yang dikasihinya itu mengandung anak mendiang yang kini mencecah dua bulan.

"Tetapi, kau mesti berjanji sentiasa di sisiku, dan kita bersama-sama membesarkan (bayi ini), " luah hati Soh sebagaimana dalam teks luahanya kepada bakal suaminya mendiang Teoh.

Wanita MCA pula cepat-cepat memberi respon dan menggesa anak yang dikandung tunang Teoh itu didaftarkan dengan nama Teoh sebagai bapanya, bila dilahirkan kelak.

"Dengan mengambil kira persekitaran kematian Teoh dan demi peri kemanusiaan, Wanita MCA menggesa menteri dalam negeri supaya membenarkan anak yang bakal dilahirkan itu, didaftarkan dengan nama bapanya," kata Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Jika didaftar dengan nama ibunya sahaja, anak yang tidak bersalah itu akan menanggung stigma tersebut sepanjang hidupnya.

Suasana cukup sayu dihari persemadian beliau apabila lebih kurang 2,000 orang berhimpun untuk menghadiri pengkebumiannya, sebagai sokongan menuntut keadilan di atas kematian Teoh.

Kehadiran orang ramai di kediamannya, Alor Gajah Melaka turut diringi poster berwarna hitam putih dan foto Teoh dibawa oleh orang ramai, dengan tulisan 'jangan biarkan Beng Hock mati sia-sia'dan "Keadilan untuk Beng Hock".

Mendiang ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menjelang 6 petang 15 Julai untuk memberikan keterangan berhubung siasatan penyalahgunaan peruntukan DUN di kalangan ADUN Pakatan Rakyat.

Beliau disoal siasat oleh SPRM sehingga jam 3.45 pagi, mayat beliau ditemui jam 1.30 petang dan dilaporkan ketika mayat ditemui mendiang sudah empat hingga lima jam meninggal dunia.

Pelbagai spekulasi timbul sama ada mendiang dibunuh atau membunuh diri, bagaimanapun hasil daripada siasatan mendiang mengalami pelbagai kecederaan.

Apapun, SPRM dikatakan bertanggungjawab ke atas nasib malang yang menimpa mendiang Teoh memandangkan mangsa adalah saksi dan masih dalam soal siasat oleh badan itu.

Ada pihak yang menyalahkan SPRM. Ahli Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah adalah orang terakhir yang melihat Teoh hidup di Pejabat SPRM ketika mereka disoal siasat pada 15 Julai lalu.

Sewaktu soal siasat, Tan mendakwa dua pegawai SPRM cuba mendapatkan pengakuan palsu daripadanya dengan memaksa dirinya menafikan telah membekalkan 1,500 bendera Malaysia bagi satu majlis sambutan kemerdekaan di Dun Sri Kembangan.

Tan pula dipaksa berdiri dari jam 10 malam hingga dua pagi. Pegawai penyiasat turut mengugut untuk memukulnya dan mencaci beliau dengan ungkapan 'cina bodoh' kerana tidak fasih Bahasa Melayu.

"Mereka kata, jika saya tidak cakap benar mereka akan ambil isteri dan tiada siapa akan menjaga anak-anak saya. Tetapi saya tidak mengalah," kata Tan.

Menurut laporan akhbar luar negara Philippine Daily Inquirer Teoh didakwa 'dikasari dan diugut' oleh pegawai penyiasat SPRM. Sesi soal siasat ke atas Teoh itu adalah sebahagian daripada konspirasi politik untuk menjatuhkan pimpinan Pakatan Rakyat atas tuduhan kononya menyalahgunakan dana.

"Apabila Teoh enggan memberi kerjasama, pegawai berkenaan mengeretnya ke tingkap di bangunan 14 tingkat berkenaan dan mengugut akan mencampak beliau keluar," kata sumber berkenaan yang tidak diberi kebenaran untuk bercakap kepada media.

Tempoh soal siasat yang luar biasa selama lebih lapan jam membuatkan ramai pihak mengecam tindakan SPRM itu dengan menyifatkan badan itu telah menafikan hak asasi Teoh.

Ekoran itu, Majlis Peguam membidas SPRM yang melanggar Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 28 A(4) Kanun Prosedur Jenayah yang menjamin tahanan hak mendapatkan khidmat guaman.

Langkah SPRM yang enggan membenarkan peguam Teoh hadir untuk sesi soal siasat itu tidak boleh dimaafkan dan tidak harus diterima sama sekali.

Selain mencabuli perlembagaan, Presidennya K Ragunath, menjelaskan SPRM turut melanggar Peraturan 20 Undang-undang Penjara 1953 yang mewajibkan tahanan tidak boleh disiasat antara 6.30 petang hingga 6 pagi keesokkan hari bagi memastikan mereka
berpeluang rehat secukupnya.

Siasatan ke atas Teoh lebih daripada lapan jam sekaligus menafikan beliau tidur secukupnya tidak boleh dipertahankan sama sekali.

Berlainan pula pandangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan kaedah yang dijalankan oleh SPRM adalah kaedah biasa dan diamalkan sejak dahulu lagi.

Ketidakhadiran peguam ketika seseorang individu itu disoal siasat SPRM bukanlah satu masalah besar, demikian penjelasan Nazri.

Justeru, kematian tragis menimpa Teoh itu wajar disiasat secara telus dan berani oleh Suruhanjaya Diraja sebagaimana disarankan banyak pihak. Persoalan bagaimana Teoh meninggal dunia mesti disiasat dan dijawab oleh suruhanjaya itu.

Penubuhan inkues bukti Najib ketepikan rakyat, usaha tutup sesuatu?


SETELAH genap seminggu rakyat Malaysia bernama Teoh Beng Hock ditemui mati di koridor tingkatlima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam yang menempatkan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14, kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang berslogankan '1Malaysia: Rakyat Diduhulukan, Pencapaian Diutamakan' bersetuju untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja sepertimana yang dikehendaki oleh ramai pihak.

Namun, kerajaan yang kononnya mendahulukan rakyat ini bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja hanya untuk meneliti dan mengkaji peraturan berkaitan soal siasat yang diguna pakai SPRM serta menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi ketika Teoh Beng Hock disoal siasat 15 Julai lalu.

Untuk menyiasat kematian Teoh, kerajaan yang diketuai oleh suami Rosmah Mansor itu bersetuju untuk menubuhkan inkues yang akan diketuai oleh seorang majistret yang belum diumumkan namanya.

Dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet, Rabu lalu, suami Rosmah dipetik sebagai berkata, "Kita mahu mencari kebenaran, tidak ada yang lain selain kebenaran dan dalam kes ini siasatan akan dilakukan secara telus kerana mengikut konsep 1Malaysia, setiap nyawa manusia perlu dilindungi dan hak asasi perlu dipertahankan."

Beliau seterusnya berkata, langkah itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen kerajaan untuk mencari punca kejadian supaya keluarga mangsa serta orang ramai mengetahui perkara sebenar.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa saja yang perlu untuk mencari kebenaran ini," katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Menjawab soalan, Najib berkata, keputusan Kabinet itu bukan kerana tekanan mana-mana pihak, sebaliknya dilakukan untuk mengekalkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap institusi penting kerajaan.

Jika benar anak kepada Perdana Menteri kedua itu mahu mencari kebenaran, siasatan kematian dan puncanya bukan hanya diserahkan kepada inkues yang akan ditubuhkan sebaliknya, Suruhanjaya Diraja perlu diberikan tugas tersebut.

Suruhanjaya Diraja itu pula harus dianggotai oleh individu-individu yang berkaliber dan mempunyai integriti perlu dilantik untuk menganggotai suruhanjaya tersebut agar tidak dipersoalkan dan menimbulkan persepsi negatif orang ramai.

Seperti yang dijelaskan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob, perlantikan anggota yang berintegriti juga akan dapat mencapai objektif penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian penuh misteri Teoh itu.

Manakala seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato Mahfuz Omar pula menegaskan penubuhan inkues untuk menentukan punca sebenar kematian Teoh akan menambahkan lagi keraguan rakyat terhadap kematian tersebut.

"Rakyat menuntut suruhanjaya di raja yang menyiasat punca sebenar kematian Teoh, di mana ia termasuk menyiasat cara siasatan yang digunapakai oleh SPRM semasa melakukan soal siasat terhadap Teoh dan semua perkara yang boleh menentukan punca kematian beliau," tegas beliau.

Menurut beliau, suruhanjaya di raja menyiasat punca sebenar kematian Teoh mempunyai bidang kuasa yang lebih luas berbanding inkues yang hanya diketuai oleh seorang majistret.

"Suruhanja di raja bertangungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong sahaja manakala majistret pula tertakluk kepada arahan ketuanya dan ketuanya pula tertakluk kepada arahan lebih banyak lagi ketua," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz juga menggesa rakyat supaya menuntut sidang Parlimen khas diadakan bagi menentukan keanggotaan, bidangkuasa dan prosedur suruhanjaya di raja bagi menyiasat punca sebenar kematian Teoh.

"Untuk menjamin siasatan yang tidak diragui, sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk melantik anggota suruhanjaya di raja itu serta memutuskan bidang kuasa dan prosedur siasatannya," katanya.

Persoalan yang lebih penting, katanya, suruhanjaya di raja itu hendaklah dianggotai oleh tokoh-tokoh yang tidak dipertikaikan integriti mereka.

"Untuk menjamin suruhanjaya di raja itu dianggotai oleh tokoh-tokoh yang tidak dipertikaikan integriti mereka, perlantikan mereka mestilah dicadangkan oleh pihak yang lebih diyakini.

"Sebab itulah saya mencadangkan supaya sidang khas Parlimen yang melantik anggota suruhanjaya di raja itu serta memutuskan bidang kuasa dan prosedur siasatannya," tegas beliau.

Selepas itu, katanya, keputusan itu dicadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut amalan biasa, keanggotaan suruhanjaya di raja seperti itu dicadangkan oleh Perdana Menteri dan kemudiannya mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Masalahnya, bagaimana rakyat hendak meyakini kewibawaan suruhanjaya diraja itu jika keanggotaannya dicadangkan oleh (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak)?

"Amat sukar bagi rakyat meyakini kewibawaan anggota suruhanjaya diraja itu jika mereka dicadangkan oleh orang yang tidak henti-henti dipertikaikan kewibawaanya," kata beliau.

Lebih dari itu, katanya, SPRM berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Bolehkah rakyat mempercayai cadangan Perdana Menteri itu bebas dari kecenderungan melindungi badan yang dituduh menjadi talian hayat parti yang dipimpinnya?" soal Mahfuz.

Beliau yakin hanya dengan cara itu sahaja rasa tidak puas hati rakyat dapat dikurangkan.

KeADILan juga menyifatkan keputusan menubuhkan suruhanjaya diraja dan inkues – dengan dua bidang kuasa berbeza – bagi menyiasat kematian misteri Teoh sebagai "memperolok-olokkan keadilan, kebenaran dan ketelusan".

Naib Presiden KeADILan, Sivarasa Rasiah menegaskan kunci persoalan bagaimana Teoh meninggal dunia mesti juga disiasat (oleh suruhanjaya diraja) dan dijawab.

"Persoalan ini tidak boleh diasingkan daripada isu umum tentang bagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) mengendalikan siasatan.

"Tidak perlu untuk inkues ini diteruskan. Suruhanjaya diraja patut menyiasat keadaan kematiannya. Kami juga mempunyai keraguan yang serius terhadap keberkesanan inkues tersebut," kata beliau.

Dalam kes kematian misteri Teoh ini, rakyat umumnya mahukan sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dan diletak dibawah parlimen serta dianggotai oleh mereka yang berkaliber dan diyakini bukan diletak dibawah Perdana Menteri dan anggotanya pula yang diketahui akan bias kepada kerajaan.

Jika Suruhanjaya Diraja ini ditubuhkan hanya untuk menyiasat prosedur penyiasatan SPRM manakala punca kematian Teoh pula hanya diserahkan kepada inkues, maka slogan '1Malaysia: Rakyat Diduhulukan, Pencapaian Diutamakan' akan hanya tinggal satu susunan ayat untuk meraih sokongan menjelang pilihanraya umum akan datang.

Ditulis Oleh IRWAN MUHAMMAD ZAIN