KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Disember 03, 2010

Keupayaan PAS dekati bukan Islam menakjubkan - Dr Mujahid Yusuf Rawa

Hubungan erat antara PAS dan DAP yang menjadi ketakutan Umno BN hari ini telah banyak mengubah persepsi negatif terhadap kaum Melayu Islam, begitu juga Cina. Ini adalah satu kejayaan besar. Hari ini tembok pemisahan antara dua kaum itu berjaya dipecahkan dengan wujudnya kerjasama PAS-dap yang dimomokkan sebagai ortodoks manakala DAP pula cauvinis. Ini yang mencemaskan Umno-BN sekarang. Ikuti interbiu wartawan SALMIYAH HARUN bersama Ahli Parlimen Parit Buntar yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa ketika ditemui di lobi Parlimen, Isnin lalu. 

Mengapa Umno-BN begitu beriya-iya untuk gagalkan kerjasama erat PAS-DAP? Apa kesannya kepada Umno jika PAS-DAP boleh duudk semeja?

Sebenarnya usaha PAS dapat mengadakan tahaluf siasi dengan DAP agak mengejutkan. DAP selalu dikaitkan dengan anti Melayu dan anti Islam. Tiba-tiba PAS mampu buat pakatan walaupun kita sudah ada pakatan tahun 1999 melalui Barisan Alternatif (BA). DAP keluar dan kembali semula dengan satu persefahaman yang jelas. Asasnya kenapa kita bersatu? Oleh kerana itu, kejayaan PAS bersama DAP telah banyak mengubah persepsi negatif terhadap Melayu dan Islam. Jadi dengan itu, kita telah berjaya memecahkan tembok yang menjadi penghalang dan sering mengaitkan PAS ortodoks dan 'terrorist' dan anti Cina ini. Akhirnya kita dapat bersatu. Dan kesatuan itu pula mencambahkan suasana politik yang sukar ditemui iaitu satu lawan satu. Ini satu kejayaan besar. Tidak berlaku tiga penjuru dalam Pakatan Rakyat. Ini cukup memberi kesan kepada BN. Umno menjadikan BN pendekatan untuk meraih sokongan rakyat dalam negara ini. Tiba-tiba kita (PAS) membawa pendekatan pakatan yang lebih dinamik dalam konteks satu pakatan yang membahagi-bahagikan kaum ikut parti. Tetapi PR melihat semua parti bertanggungjawab.

Ini berbeza dengan konsep BN?

Iya. Itulah antara cabaran yang paling utama, mereka mesti pecahkan Pakatan Rakyat. Salah satu timbul berbagai-bagai fitrnah keraguan seolah-olah berlaku pertikaian antara PAS dan DAP. Mereka akan buat apa saja untuk menyekat Pakatan Rakyat kerana ia benar-benar gugat BN. Sebab itu saya tegaskan Pakatan Rakyat kena teruskan untuk menggantikan apa yang ada hari ini daripada BN. Jadi sudah tentu, dalam usia muda ini, kita (PR) temui pelbagai salah dan silap dan belajar balik. Selepas dua tahun ini, Pakatan Rakyat saya kira di sebalik serangan hebat Umno-BN, tetapi masih boleh bersatu. Ini satu kejayaan yang besar. 

Walaupun PAS sudah ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), tetapi kerjasama PAS dengan DAP itu jauh lebih menonjol. Kewujudan DAP dalam lanskap politik PAS cukup menakutkan Umno. Terbukti di Perak dulu. Hingga memaksa Umno memainkan isu "PAS Boneka DAP". Apa komen YB?

Konsep kita dengan DAP adalah pakatan dan parti politik. DHPP adalah anak kita, yang kita lahirkan. Kita bentuk, kita buat, kita usahakan. Sudah tentulah perbezaan amat nyata. DHPP berbeza, ia menyokong dan memperjuangkan dasar, yakin dengan PAS, menerima perjuangan kita. Manakala, DAP ia satu persefahaman politik yang masing-masing tidak sentuh dasar parti.  Cuma DAP dengan kita berpakat di atas satu kepentingan politik bersama untuk memastikan kezaliman dihapuskan dan perjuangkan keadilan bersama. Di Perak misalnya, PAS memanfaatkan kesempatan dan menumpang nasib. Jelasnya, kita adakan pakatan dengan DAP pada awalnya bukan kerana kita hendak guna DAP atapun DAP gunakan PAS. Ini bukan asas Pakatan Rakyat.

Kalau bukan itu, apa asasnya?

Asasnya jelas. PAS bersatu untuk meletakkan satu sahaja lawan kita iaitu BN. Kedua kita bersama dalam suasana moral menentang sebarang bentuk penindasan dan kezaliman yang merentasi semua kaum. Umpamanya, kalau orang Melayu ditindas, orang Cina pertahankan dan begitu juga sebaliknya. Inilah konsep yang kita bawa dalam Pakatan Rakyat. Ketiga memperjuangkan konsep demokrasi dalam negara iaitu meletakkan perlembagaan dalam kerangka yang betul dan memberikan kebebasan bersuara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan termasuklah reformasi pilihan raya, dan badan kehakiman. Keempat dalam konteks kesepakatan adalah untuk melihat negara ini perlu kepada satu sistem politik yang baik. Kita mahu rakyat ada alternatif bukan hanya didoktrinkan politik BN. Inilah jelas empat prinsip yang dipegang bersama. Ada persepsi kata kita guna DAP begitulah sebaliknya ia tidak ubah sebagai persepsi politik yang muncul atas satu tanggapan buruk untuk memecahkan hubungan PAS dengan DAP.

Sebelum 2008, ada banyak percubaan PAS untuk bekerjasama dengan DAP. Tetapi gagal. PAS dan DAP sama-sama takut hilang undi. Hari ini iklimnya ternyata berubah. Genarasi muda DAP lebih liberal. Apa yang YB boleh katakan kepada politik Malaysia pada masa depan? 

Hubungan PAS dengan DAP bukan hari ini sahaja. Sebelum itu, sudah ada persefahaman dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tetapi agak longgar. PAS hanya nyatakan keperluan kita untuk memastikan tidak bertembung dalam berlawan dengan Umno. Tetapi kita bukan longgar sampai tak ada asas perjuangan. Kemudian 1999, wujud Barisan Alternatif (BA). DAP bersama PAS, tetapi 2004 timbulnya isu negara Islam yang dibangkitkan oleh Umno-BN. Ini mungkin untuk kepentingan strategi DAP. Akhirnya, dia tarik diri. Selagi PAS tak berubah dasarnya (Negara Islam), selagi itulah DAP tak boleh bersama PAS. Dalam PRU 2008, PAS mengemukakan istilah 'negara kebajikan' dan mengolah prinsip itu. PAS lebih mementingkan 'substance' dengan menegakkan keadilan, memperjuangkan hak sama rata antara kaum, dan yang lebih penting berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen untuk membawa rakyat Malaysia jauh lagi ke hadapan. Perspektif negatif tentang negara Islam itu telah dilihat sebagai satu pandangan yang lebih dinamik. Hari ini orang bukan Islam pula bertanya apa itu negara Islam? Kita telah menjelaskan keadilan dalam Islam. Kita tidak memaksa orang lain untuk masuk Islam. Agama adalah hak mereka. Itulah dia negara negara Islam. Sekarang ini orang Cina berduyun-duyun masuk PAS melalui DHPP dan menyatakan sokongan padu bersama PAS.

Ada reaksi dari DAP bila DHPP boleh tarik orang Cina dan India sertai PAS?

DAP melihat perkara ini sebagai satu penilaian semula hubungannya dengan PAS. PAS yang dilabelkan selama ini, sebut sahaja negara Islam orang akan lari tetapi hari ini orang Cina datang kepada PAS. PRU 2008 terbukti di mana kawasan campuran Melayu-Cina, PAS menang. Ini bermakna tanggapan selama ini telah diperbetulkan melalui penjelasan kita. Misalnya, Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat terkehadapan dalam isu ini untuk memperbetulkan keadaan dan mengadakan dialog bersama parti-parti politik, NGO dan golongan agama serta orang ramai. Akhirnya mereka faham.  DAP telah melihat perkembangan ini, dan isu ini bukan lagi menghantui dia. Apa lagi generasi muda DAP sebagai pelapis telah mula melihat perkara ini dalam satu wacana yang lebih terbuka sehingga mereka dapat memahami apa yang dibawa oleh PAS.

Berbanding DAP, kenapa PAS tidak sahaja bekerjasama dengan Umno? Tidak banyak kerusi PAS yang boleh dibantu dimenangi oleh DAP. Ia hanya di kawasan bandar utama. Tetapi Umno ada di kawasan luar bandar yang turut ditandingi PAS... Apa sifirnya YB?

PAS pernah berkerjasama dengan Umno dalam BN. Kita ada sebagai komponen kerajaan campuran. PAS mempunyai pandangan tersendiri dalam isu orang Melayu. Pandangan itu amat berbeza dengan apa yang difahami oleh Umno. Dengan pandangan itu PAS merasakan dia perlu bersendirian. PAS berapa kali tegaskan apabila bercakap Melayu tidak semestinya Umno. Kita hendak ubah persepsi ini. Bila kata isu Melayu, PAS pun mampu. Dari segi moralnya PAS lebih bermoral dalam konteks memelihara orang Melayu termasuklah agama Islam. Mengapa kita berada dalam kerangka doktrin sebut sahaja Melayu mesti kaitkan dengan Umno. Kita kena keluar dari tempurung itu. Sebab itulah kita hendak bersaing dalam konteks yang sihat. Bukan kerana kita hendak berpecah tetapi kita hendak menawarkan lebih baik dari orang Umno. Tidak timbul kawasan orang Melayu kita bertanding dengan Melayu dan tidak boleh menang. Jadi, kita kena yakinkan orang Melayu, PAS lebih baik dari Umno. Ini satu perjuangan yang sukar dan kita telah buat berpuluh-puluh tahun. Kita telah buktikan di Kelantan, cuma media menyerang kita kerana tanggapan itu terus berlaku akhirnya jadi satu tekanan bagi PAS. Isu Melayu lebih kepada soal PAS untuk menjadi lebih baik, menggantikan Umno. Kalau kita hendak gantikan Umno, PAS tidak boleh duduk bersama dengan Umno. Ini bukan soal Melayu berpecah tetapi soal untuk Melayu dapat yang lebih baik.

Akibat berkawan dengan DAP, Umno cuba gambarkan PAS sudah gadai prinsip Islam yang diperjuangkan. Contohnya isu doa Guan Eng ganti Agong; Ahli Parlimen Serdang masuk surau dan terkini, warga emas terima wang judi di Pulau Pinang. Adakah rakyat akan melihat ini benar atau masih terdapat ruang PAS untuk membetulkan dakyat tersebut?

Inilah bezanya antara PAS dengan Umno. PAS bertindak atas landasan kepada al-Quran, sunnah, ijmak, dan qias. Ia mempunyai pandangan politik tetapi rujuk kepada perkara dasar. Contoh soal bughah... persepsi politik dikaburkan dengan serangan media seolah-olah mendoakan untuk bukan Islam satu perkara yang salah dan membuat rumusan  'PAS hendak berbaik sangat dengan DAP, sebab itulah mereka sanggup buat macam itu'. Sebenarnya silap! Asasnya kita kena tanya dahulu, Islam benarkan atau tidak? Kita kena rujuk dahulu! Di zaman Nabi, baginda mendoakan untuk orang bukan Islam seperti Umar Abdul Khattab (sebelum Islam) dan Abu Jahal, doakan kebaikan kepada kaumnya yang tidak beriman. Di mana salahnya? Adakah kita hendak ikut kepada Umno yang berpegang kepada 'Sirah Melayu' dan bukannya Sirah Nabawiyyah? Walaupun pada pandangan orang, PAS buat perkara salah dalam kes ini tetapi hakikatnya ia satu tindakan yang betul. 

Dalam kes Ahli Parlimen DAP masuk surau? 

Siapa kata orang bukan Islam tak boleh masuk surau? Cumanya masuk surau untuk apa? Kalau niat hendak menghina, jahat, memang betul haram! Kalau dahulu orang bukan Islam jumpa dengan Rasulullah SAW di masjid. Kenapa hari ini orang bukan Islam masuk masjid jadi fobia? Kita kena tanya kenapa dahulu? Kita kena tahu apa tujuan dia masuk masjid adakah untuk kebaikan, tanggungjawabnya atau hendak mendengar benda baik? Apa salahnya? Kalau ini dianggap menggadai prinsip, PAS tidak boleh terima kerana ia bertentangan dengan syariat. Syariat kata boleh kenapa Umno kata tak boleh? Ini satu lagi risiko yang PAS hadapi apabila bekerjasama. Niat hendak mendidik rakyat apa Islam sebenarnya, tetapi dalam masa yang sama PAS berhadapan dengan persepsi-persepsi yang segaja diadakan untuk menimbulkan keraguan kepada Islam.  Termasuklah dalam kes duit judi. Fatwa jelas mengatakan duit yang disatukan, dan perbelanjaan duit itu untuk tujuan diberikan kepada orang ramai, jelas ia tidak dianggap haram. Itu tidak bermakna kita mengiyakan judi! Kita menentang judi tetapi dalam konteks isu ini, kalau fatwa kata harus mengapa pula kita hendak membelakangi satu perkara yang ditetapkan oleh Islam? Adakah hanya semata-mata untuk ambil hati orang Umno? Selagi kita anggap yang lebih utama itu adalah Allah dan Rasul maka saya rasa kita terpaksa berdepan dengan cabaran-cabaran itu.

Kerjasama PAS-DAP sebagai pelengkap menuju Putrajaya


Ia bukan bermula dengan tsunami politik Mac 2008 yang menggemparkan itu. Secara rasmi tiada pakatan antara PAS dan DAP semasa menyertai Pilihan Raya Umum ke-12. Hubungan PAS hanya dengan KeADILan, yang kemudiannya menjalin persefahaman politik dengan DAP.

Pakatan Rakyat terbentuk selepas menyaksikan keputusan luar biasa yang langsung tidak terduga dan keperluan menyusun kerajaan-kerajaan negeri yang baru. Sejarah dicipta, dan paling menonjol di Perak, negeri yang langsung tidak terbayang bahawa BN akan terlucut kuasa dalam sekelip mata.

Cukup unik dan menarik sekali apabila apabila wakil parti yang memiliki kerusi Dun terkecil, PAS, dipilih sebagai menteri besar. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak memerlukan masa lama untuk memecahkan tanggapan palsu terhadap keupayaan PAS untuk  memikul amanah rakyat, sekali gus membuktikan kemampuannya menerajui negeri yang berada di luar "wilayah tradisinya".

Di Selangor, Dr Khir Toyo menggelongsor mudah, dan PAS diperlukan oleh setiap parti yang mahu membentuk kerajaan. Ada percubaan nakal daripada Umno untuk menawarkan PAS kerusi menteri besar sekiranya membentuk kerajaan campuran bersama BN di negeri termaju itu, tetapi ditolak tanpa ragu oleh parti Islam.

Di Pulau Pinang dan Kedah, menurut pandangan pemerhati politik, kerjasama PAS-DAP mungkin terjalin lebih kemas dan akrab jika masing-masing mempunyai wakil dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri. Apa pun, Lim Guan Eng dan Ustaz Azizan Abdul Razak berjaya meletakkan batu asas yang kukuh untuk perkongsian kuasa lebih mantap.

Beberapa eksperimen politik PAS, terutama dalam era kepimpinan ulama, menunjukkan kematangannya berdepan real politik di Malaysia. Misalnya seperti membentuk Majlis Perundingan Cina (CCC) terutama di Lembah Kinta, mengadakan persefahaman politik dengan parti-parti kecil seperti Nasma, SDP dan PSRM dalam Harakah Keadilan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum 1986.

Jalinan kerjasama dengan parti-parti lain kian menonjol apabila PAS mengorak langkah awal mendekati kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah yang digagalkan melalui taktik kotor Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan Umno, 24 April 1987.

Hasilnya terbentuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU) menjelang pilihan raya umum 1990, yang menyebabkan Umno kalah semua kerusi di Kelantan, Dun dan
Parlimen.

Kepemimpinan Ustaz Fadzil Mohd Noor juga membuka jalan terhadap gabungan politik lebih mantap dalam Barisan Alternatif pada 1999. Dan PAS sendiri juga yang membuka laluannya. Jika pada 1990, PAS memerlukan Semangat 46 sebagai "orang tengah" merapati DAP, kali ini empat parti termasuk KeADILan dan PRM berdiri sama tinggi.

Buat pertama kali, pada 24 Oktober 1999, manifesto bersama BA dilancarkan di Hotel Federal, Kuala Lumpur. Bagaimanapun, keputusan Pilihan Raya Umum ke-10 itu begitu menyakitkan buat DAP, meskipun ia menghadiahkan Terengganu kepada PAS, selain mengekalkan Kelantan. PAS juga menjadi parti pembangkang terbesar di Parlimen dengan merangkul 27 kerusi, iaitu peningkatan tiga kali ganda berbanding 1995.

Kini, dua parti yang dahulunya dikenali sebagai berbeda kutub, sedang melakar sejarah yang cukup merisaukan BN. Komitmen aktivis PAS dan DAP terhadap perjuangan jarang dipertikai meskipun berdepan onak dan duri. Diuji keperitan dan sekarang dilambung "kesenangan", namun kesetiaan dan istiqamah sukar digugat.

Sesungguhnya Malaysia berada di persimpangan, antara mengekalkan stail lama yang penuh kebobrokan dan merugikan rakyat, dengan pengharapan besar bagi membawa satu perubahan ke atas sistem politik yang bakal menyelamatkan dan membawa kesejahteraan.

Umno-BN terbukti tidak berupaya melakukan reformasi ke arah kebaikan, ia sekadar cuba menampung dan menampal sistem yang korup dan sudah rosak teruk. Selagi rasuah terus menanah dan membarah, khazanah negara akan terus diperkosa dan dirompak.

Teraju Putrajaya perlu diganti segera. Imej "kerajaan menanti" harus meyakinkan. Gabungan baru politik Pakatan Rakyat mesti dibebaskan daripada sebarang elemen yang meragukan. Khususnya kerjasama PAS dan DAP, yang dilihatkan menyediakan asas sistem dua parti di negara, usah biarkan ia dilemahkan dengan pelbagai karenah dan fitnah >> AHMAD LUTFI OTHMAN

Propaganda BN selama ini punca DAP tak boleh dekati PAS


Adun Teratai, Jenice Lee Yin Ha antara pemimpin muda DAP yang dipilih masyarakat untuk membawa hala tuju dan perubahan. Bukan sahaja terbuka, tetapi melihat politik baru memerlukan PAS sebagai rakan strategik untuk bekerjasama. Pengarang Berita, TARMIZI MOHD JAM dan Wartawan Harakah, NYZA AYOB dan SALMIYAH HARUN menelusuri pandangan beliau tentang hubungan PAS-DAP yang kian segar dan dibimbangi Umno-BN, dalam satu interbiu di Pejabat Harakah.

Tertarik dengan keputusan Pilihan Raya Umum 2008. DAP dan PAS terpaksa bekerjasama atas kehendak rakyat pada waktu itu. Ini berlaku di Perak sehingga terbentuknya Pakatan Rakyat. Bagaimana YB melihat perkembangan ini, sedangkan PAS-DAP sukar duduk semeja sebelum 2008?

JENICE LEE: Sebelum 2008 kita tidak boleh duduk bersama tetapi yang penting kita sudah bekerjasama. Sebagai contoh di kawasan parlimen Pandan kita sudah bekerjasama menubuh satu gabungan DAP, KeADILan dan PAS. Kita juga telah melancar program bersama-sama  contohnya pendaftaran pengundi dan program Bersih. Kita memang sudah bekerjasama di kalangan akar umbi walaupun di kalangan pemimpin parti masing-masing nampak seperti tidak bekerjasama. Pada masa itu, kerjasama daripada segi taktik dan strategi saja... sebab ada silap faham antara DAP dan PAS. Mungkin pada masa itu tidak bekerjasama adalah sesuai. Tetapi selepas PRU 12 kita nampak rakyat boleh terima dan kita boleh berkawan baik dalam banyak aspek. Jadi kita boleh bergabung bersama.

DAP pernah meninggalkan Barisan Alternatif (BA) sebelum itu, gara-gara pelbagai tuduhan atas kerjasama dengan PAS, antaranya. Apa yang tak kena, pada pandangan YB tentang hubungan PAS-DAP waktu itu?

Pada waktu itu, daripada segi kertas undi nampak kurang dan ahli akar umbi juga bertanya kenapa bekerjasama dengan PAS dan kenapa kita kalah dalam beberapa kerusi? Pada masa itu kaum Cina misalnya tidak dapat terima apakah itu PAS. Timbul difikiran mereka apakah PAS hanya mengutamakan pengundi Islam sahaja? Begitu juga di kalangan pengundi Melayu mereka tertanya-tanya apakah yang pemimpin DAP lakukan. Apakah perjuangan untuk orang Cina sahaja atau DAP hendak mengambil kuasa? Pada masa itu boleh dikatakan tidak sesuai untuk kita bekerjasama. Ketika itu ahli-ahli DAP ramai yang mendesak agar DAP berpecah daripada BA supaya kita (DAP) boleh mengekalkan kerusi yang ada. Situasi itu menyebabkan DAP terpaksa membuat pilihan. Tetapi sekarang rakyat makin faham dan kita tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan PAS atau KeADILan. Boleh dikatakan keadaan ini 'natural develoment'. Walau bagaimana pun, kita di kalangan (peringkat) akar umbi sudah pun bekerjasama sebelum 2008 lagi.

Baik... Isu 'Negara Islam' sering menjadi 'hantu' yang menakutkan beberapa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Bagaimana YB melihat isu ini memberi kesan buruk kepada pengaruh DAP?

Sebahagiannya ada memberikan kesan buruk. Sebab kita mempunyai tradisi dan budaya masing-masing. Kita boleh terima kalau Islam itu 'moderate' dan tidak terlalu agresif seperti terorist atau Taliban. Perkara seperti ini menakutkan orang ramai termasuk orang Islam sendiri. Jika agama digunakan untuk 'dictatorship' kita tidak boleh terima sebab kita selalu fikir negara kita sekular. Kita boleh terima apa-apa agama tetapi daripada segi imej hendaklah agak 'moderate' dan sekular boleh diterima orang ramai. Ini kerana mereka takut kehidpan mereka terancam dan harus ditukar kerana harus menerima agama ini. Sebenarnya kita ingin menganjurkan satu dialog bagi membolehkan antara kaum dan agama memahami. Tetapi apabila kita ingin cuba buat di kalangan 'civil society', selalu dihentikan oleh BN sebab BN tidak mahu kita faham antara satu sama lain.

Selepas PRU 2008, hubungan PAS-DAP cukup intim dan sihat sekali sehingga ke hari ini. Apa yang mendorong DAP boleh menerima dasar-dasar PAS yang sebelum ini cukup menakutkan DAP?

Ada beberapa perkara yang menakutkan kami seperti hukuman hudud. Kita sudah ada banyak kes, mangsa difitnah dan dihukum. Jadi,  jika ini dijalankan mengikut hukum hudud, bagaimana kita boleh sifatkan itu sebagai keadilan? Kita boleh terima jika hukuman lain dikenakan dan bukan dengan potong tangan. Tetapi, daripada segi ekonomi Islam, saya dapat terima kerana segala keuntungan dikongsi bersama, itu memang bagus. Saya rasa ini untuk menjaga mereka yang berpendapatan rendah serta memelihara keharmonian. 

Pendapat YB sendiri, tentang Islam yang diperjuangkan PAS sekarang? Bagaimana?

Pada pandangan saya di dalam PAS terdapat dua bahagian. Satu bahagian dia sekular dan moderate dan satu bahagian lagi mempunyai pandangan berlainan. Saya berharap jika kita ingin mendekati hati semua rakyat tidak kira bangsa, kaum atau agama, jalan sekular itu harus diutamakan. Sebab dalam negara kita bukan hanya satu kaum dan agama. Ada pelbagai kaum dan agama termasuk Iban dan Kadazan. Jika kita hanya memilih jalan ekstrim, kita mungkin tidak dapat undi dan hanya mendapat sebahagian undi. Sekarang ini kita mempunyai banyak informasi dalam globalisasi. Semua rakyat boleh akses bagaimana rakyat negara lain memajukan negara mereka. Jika kita masih kekalkan minda kita dalam aspek yang kecil, sukarlah untuk kita memimpin seluruh negara. Kenapa negara kita boleh maju begitu cepat pada tahun 70an? Ini kerana kita dapat menerima apa-apa agama dan budaya pada masa itu. Selepas 80an keadaan berubah. Saya rasa jika kita ingin menjadikan sebuah negara maju, polisi dilaksanakan haruslah 'moderate'.

Sebelum DAP-PAS bekerjasama, apa persepsi YB terhadap PAS walaupun sama-sama pembangkang...

Secara peribadi, saya memang tidak mempunyai masalah daripada segi kerjasama ini. Tetapi mungkin orang ramai tidak faham. Sebab jika kita lihat media, terutama media berbahasa Cina melaporkan berkenaan orang Cina dan agama Budha atau Kristian. Akhbar berbahasa Melayu pula lebih menonjolkan masyarakat Melayu dan Islam. Media sepatutnya memainkan peranan penting menyemarakkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Jika ia dapat digabungkan, ia membawa mesej jelas kepada rakyat. Tetapi saya melihat media Cina amat dinamik selepas  PRU ke-12. Laporannya telah menunjukkan masyarakat berbilang kaum. Akhbar berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris agak lambat sedikit.

Kejutan beberapa pemimpin DAP seperti Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming membaca surah al-Quran sehingga menimbulkan kontroversi dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Gantang. Situasi ini membuka lembaran baru politik Malaysia. Apa reaksi YB ketika itu?

Bagi saya ia tidak menimbulkan apa-apa masalah. Saya boleh pergi ke masjid, ke gereja  atau ke tokong. Saya rasa sebagai ahli politik saya mewakil semua agama.  Saya selalu cakap kepada  orang ramai, walaupun saya berbangsa Cina, saya selalu mengatakan saya berbangsa Malaysia. Sebab saya lahir di sini. Kenapa kita perlu ada perbezaan bangsa dan agama? Bagi saya jika kita asingkan seperti Islam untuk Islam sahaja dan Kristian untuk Kristian sahaja, 10 tahun atau 100 tahun pun orang tidak akan faham. Itulah punca orang tidak faham dan akan timbul konflik. Sebagai contoh orang Islam dan Yahudi tidak makan babi manakala orang Hindu tidak makan lembu. Jadi kita kena faham perkara ini. Isu seperti membaca surah al-Quran ini tidak menimbulkan apa-apa masalah kepada DAP.

Ramadan lalu, timbul isu "Guan Eng ganti doa Agung" dan "YB Teo masuk surau". Ini percubaan Umno-BN nak laga-lagakan PAS-DAP. Nak burukkan PAS pada mata orang Islam. Apa reaksi masyarakat Cina terhadap isu ini?

Saya sendiri sudah berapa kali masuk masjid dan surau termasuk bekerjasama dengan sekolah agama. Saya rasa langsung tidak timbul masalah. Hanya sesetengah pihak sahaja mempolitikkan perkara ini.  Jika saya ingin menjadi seorang muslim, saya haruslah memahami tentang Islam. Barulah saya boleh masuk Islam. Begitu  juga dengan Kristian. Jika saya tidak mengetahui dan memahami, bagaimana saya boleh menjadi pengikut agama tersebut. Isu doa untuk Lim Guan Eng timbul kerana Umno yang manipulasi. suatu ketika dahulu sewaktu Teresa Kok ditahan ISA, saya juga bekerjasama dengan masjid melakukan solat hajat. Sebab saya rasa untuk semua agama, sembahyang dan doa itu 'blessing' tidak mengira kaum. Bagi saya jika seseorang itu berbakti kepada masyarakat, tidak ada salahnya untuk kita mendoakan untuknya. Perkara ini hanya dipolitikkan BN sahaja.

YB ada mengatakan YB turut masuk ke masjid dan surau. YB sendiri juga terpalit dengan isu "merasmikan musabaqah al-quran" di Dun Teratai. Apa yang Umno cuba bangkitkan terhadap YB dalam isu ini?

Pada masa itu memang ada kain rentang yang mengajak orang ramai menyertai musabaqah tersebut. Umno melalui surat khabar rasminya Utusan Melayu ambil gambar kain rentang itu serta menimbulkan persoalan bagaimana bukan Melayu boleh merasmikan program musabaqah? Kononnya dia hendak 'provoke' tetapi tidak menjadi kerana saya rasa orang ramai sudah faham. Saya bagi sumbangan dan saya harapkan masyarakat menyertai program tersebut.  Umno juga ada hantar "SB" mereka dan ada yang merakamkan program tersebut. Memang tidak timbul isu cuma Umno sahaja menjadikannya satu isu bagi menunjukkan kehebatan mereka dalam membela Islam.

Adakah YB bersetuju generasi muda seperti YB Teo Ning Ching, YB Nga Kor Ming, YB Tony Pua dan lain-lain, lebih terbuka dan boleh menerima PAS berbanding beberapa pemimpin tertinggi DAP sebelum ini? Kenapa?

Dalam satu parti, terdapat pelbagai pemikiran dan pandangan. Sebab kita generasi baru dan generasi reformasi, saya berpendapat sebagai rakyat Malaysia saya tidak mempunyai sebarang masalah. Mungkin seorang dua sahaja dalam parti tidak boleh terima. Tetapi Lim Kit Siang sendiri baik dengan Tok Guru Nik Aziz (Nik Mat) serta Anwar Ibrahim. Saya rasa kerjasama mereka lebih efisyen.  Seperti isu pemimpin DAP masuk ke surau, Nik Aziz juga mengeluarkan kenyataan perkara tersebut tidak menimbulkan masalah. Sebagai contoh apa yang berlaku pada Dato' Seri Nizar (Jamaluddin) di Perak, kita juga membantu beliau dalam kemelut tersebut.

Tapi PAS  juga terus terusan dituduh 'Boneka DAP' dan ia semacam sukar ditangkis... YB rasa macama mana? 

Akhbar Melayu mengatakan PAS boneka DAP. Akhbar berbahasa Cina pula mengatakan DAP anak suruhan KeADILan. Sebab itu saya katakan media yang memainkan peranan penting membangkitkan perkara seperti ini. Akbar cuba 'brainwash' orang ramai. Saya rasa untuk mengatasi perkara ini, akhbar alternatif seperti Harakah perlu memainkan peranan ini supaya mereka tahu pihak mana yang benar.

Apa harapan saudari terhadap hubungna PAS-DAP yang kian utuh, initp dan mesra bagi iklim politik baru yang segar di negara ini pada masa depan?

Pada masa ini kita dalam formula satu budaya Pakatan Rakyat. BN sudah mempunyai satu budaya iaitu kronisma dan koropsi. Budaya parti itu 'duit boleh melakukan apa sahaja'.  Tapi di kalangan Pakatan Rakyat apa yang saya pentingkan ialah 'filosophy' politik. Adakah pemimpin kita faham halatuju kita dan cara-cara kita hendak menjadi kerajaan.  Walaupun pembangkang, kita (PR) mempunyai hala tuju yang jelas untuk rakyat. Adakah kita bersedia apabila dilantik sebagai YB, kita membawa 'filosophy' untuk Pakatan Rakyat?

Strategi Umno jauhkan PAS dengan DAP meleset: Tidak mungkin 'bulan terbit siang'!


PENING kepala pemimpin Umno hari ini bila menyaksikan sendiri, pemuda-pemuda PAS boleh mengibarkan bendera DAP dan pemuda-pemuda Cina, mengibarkan bendera PAS – sekaligus menampakkan mereka, kedua-duanya tidak ada masalah untuk menghadapi Umno-BN dalam setiap pilihan raya – sama ada pilihan raya kecil mahu pun pilihan raya umum.

Inilah modal Umno selama ini. Usah mengundi DAP kerana ia parti perkauman Cina yang ekstrem dan usah mendekati PAS kerana mereka adalah pendokong Islam yang ortodok. Malangnya, semakin kuat mereka melarang, semakin PAS dan DAP dapat merapatkan diri dan menjauhkan perbezaan.

Hilang segala teori Umno selama ini, kononnya tidak akan berlaku PAS dan DAP boleh duduk semeja, jauh sekali berkempen atas satu pentas, tetapi ia sudah menjadi mustahil sekarang. Mustahil PAS dengan DAP boleh bersama – sudah menjadi sebaliknya. PAS dan DAP sudah mengatakan mustahil kepada Umno-BN yang mereka tidak boleh bersama.

Pakar-pakar strategi Umno sibuk mencari formula baru, untuk memecahkan kembali hubungan PAS-DAP tetapi setakat Pilihan Raya Kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi, nyata usaha Umno-BN itu tidak berjaya.

Dulu, Umno membayangkan kepada penyokong mereka, dengan imej yang ada pada Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang, mana mungkin PAS akan dapat bekerjasama dengan DAP. Begitu juga, harapan Umno, selagi ada Lim Kit Siang, tidak mungkin ‘bulan terbit siang’ dan ‘matahari terbit malam’ dengan PAS.

Umno tidak hairan dengan kekuatan PAS selama ini kerana Kelantan dan Terengganu yang pernah diperintah PAS pernah terlepas ke tangan Umno semula tetapi, dengan kerjasama kuat yang DAP berikan kepada PAS kini, Parlimen Kuala Terengganu yang selama ini mudah untuk dimenangi Umno (walaupun pernah sekali dimenangi Parti Melayu Semangat 46 (S46), sudah terlepas ke tangan PAS.

Suka atau tidak, hubungan PAS dengan DAP disebabkan ada jambatan untuk bekerjasama. Ketika PAS bekerjasama dengan (S46) dahulu, ia dikenali dengan nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tanpa membawa bersama DAP ke Pantai Timur Semenanjung – hanya kerana serangan Umno terhadap DAP.

Namun, selepas PRU 1999, DAP dan PAS seperti sudah banyak persamaan. Pemimpin DAP sudah mula berada di Taman Melewar dan pemimpin PAS sudah boleh ke mana-mana termasuk di Bukit Bintang dan Seputeh hanya kerana DAP tidak pernah keberatan menerima kehadiran pemimpin PAS sebagaimana pemimpin PAS tidak pernah cemburu dengan kehadiran pemimpin DAP.

Apa lagi modal Umno untuk berkempen sekarang? Cerita mereka itu (PAS dan DAP) hanya sandiwara politik, tidur satu bantal tetapi mimpi lain-lain sudah tidak termakan oleh penyokong kedua-dua parti ini. Mereka bukan sahaja tidak termakan, malahan, mereka makin rapat kini, hanya kerana mereka tahu bahawa perbalahan sama-sama sendiri akan menyebabkan Umno-BN terus mengaut keuntungan politik.

Semua jari pemimpin Umno kini menuding ke arah KeADILan. Kata mereka, jika bukan kerana KeADILan menjadi jambatan, mana mungkin antara PAS dengan DAP boleh duduk bersama. 

Namun, makin kerap serangan dihalakan kepada KeADILan, semakin mereka menyaksikan DAP dan PAS sudah boleh menyusun program bersama, untuk berdepan dengan Umno-BN.

Betul, dulu jika ada lukisan mengambarkan Roket (DAP) naik ke Bulan (PAS), dengan kurikutur pemimpin DAP dan PAS, ia sudah cukup menyebabkan pengundi atas pagar, yang kuat menyokong DAP akan kembali menyokong Umno-BN. Begitu juga dengan penyokong PAS, akan berpatah balik sokongan mereka kepada parti itu, hanya kerana pengaruh propaganda Umno.

Hari ini, semuanya itu sudah tidak termakan lagi. Semua itu hanya sejarah dan Umno sendiri terpaksa bekerja keras menarik sokongan pengundi kerana mereka semakin sedar, kempen-kempen kotor, menakut-nakutkan rakyat dengan cerita perkauman yang menebal sudah tidak berkesan.

Jika DAP kuat perkaumannya terhadap orang Cina, apakah ianya salah? Jika PAS kuat keIslamannya terhadap orang Melayu, apakah ianya salah? Dan apakah orang yang kuat semangat keCinaannya tidak boleh berkawan dengan orang yang kuat keIslamannya?

Apakah DAP menentang Islam sejak mereka memerintah Pulau Pinang? Apa yang kurangnya kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang lakukan jika dibandingkan dengan apa yang pernah dilakukan kepimpinan Gerakan ketika berpuluh tahun mereka memerintah negeri itu?

Cina di Kelantan dan Kedah kini terancam sejak PAS memerintah? Begitu juga dengan Cina dan Melayu mana yang kerugian sejak KeADILan menerajui Selangor? 

Dengan dua orang menjadi Menteri Besar dari PAS (Kelantan dan Kedah), seorang dari DAP menjadi Ketua Menteri (Pulau Pinang) dan seorang lagi di Selangor (KeADILan), sekaligus semua persoalan yang membezakan antara PAS, DAP dan KeADILan terjawab dengan tindak-tanduk mereka bertiga, Tan Sri Khalid Ibrahim (Selangor), Lim Guan Eng (Pulau Pinang) dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (Kelantan) dan Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (Kedah).

Jika sesiapa terjumpa ada orang Melayu miskin di Kedah dan Kelantan, mereka tidak boleh salahkan PAS kerana di negeri-negeri yang Menteri Besarnya dari kalangan Umno pun ada orang Melayu miskin. Apakah tidak ada orang Melayu miskin di Sabah?

Begitu juga di Selangor dan Pulau Pinang kerana kemiskinan berada di mana-mana dan jika ada pihak yang sengaja mahu memperbesar-besarkan cerita ini, ia tidak lebih dari propaganda politik yang tidak pernah habis.

PAS dan DAP boleh terus bekerjasama, dengan mengenepikan semua perbezaan dan mencari persamaan – bagi berdepan dengan Umno-BN dalam PRU 13 akan datang >> SAFAR JUMAAT

DAP: Memang berbeda pandangan tapi bersatu antara dua generasi


Kepimpinan DAP semakin menyerlah apabila generasi muda parti itu dilihat lebih liberal memacu politik baru selepas PRU 12 yang lalu. DAP yang dahulunya cukup dikenali sebagai parti 'chauvanis' yang lebih mengutamakan kaum Cina, kini lebih terbuka apabila berada dibawah satu pakatan bersama-sama dengan PAS dan KeADILan.

Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching antara generasi kepimpinan muda DAP yang mengakui pandangan genarasi muda baik dalam PAS dan KeADILan masing-masing mempunyai idea tersendiri. Bagi pemuda DAP, katanya sudah tentu mempunyai fokus antaranya menjadikan parti alternatif itu sebagai parti untuk semua kaum yang tidak lagi tertumpu kepada satu kaum (Cina) sahaja.

"Kita tidak mahu DAP untuk kaum Cina sahaja. DAP bukan untuk Cina sahaja. DAP rasa ini adalah agenda yang cukup penting," tegasnya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, DAP mempunyai cita-cita untuk membawa orang Melayu dan India untuk menyertai parti itu bagi merealisasikan politik baru pada masa akan datang. Nie Ching juga percaya tidak akan berlaku konfrantasi yang besar di antara pimpinan muda dan pimpinan lama DAP memandangkan fokus itu adalah satu perkara yang penting untuk menjadikan DAP parti berbilang kaum.

"Setiap generasi DAP mempunyai agenda yang berbeza, tetapi generasi baru dan lama tetap ada agenda bersama seperti memerangi rasuah, penyelewengan, kronisme dan banyak lagi," katanya.

Isu 'Negara Islam' dan 'hudud' dijadikan hantu oleh Umno takutkan bukan Islam


Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menegaskan 'suara-suara' untuk memecah belah kesatuan Pakatan Rakyat termasuk mempersoal hubungan PAS-DAP merupakan satu usaha terancang dan berterusan Umno-BN kerana hambatan kepada usaha parti itu untuk mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Katanya kepada Harakah, isu 'Negara Islam' dan 'hukum hudud' terus dijadikan 'hantu' oleh Umno-BN untuk menakutkan DAP bekerjasama dengan PAS. Katanya, bagi merungkai kekuatan Pakatan Rakyat ini, BN menggunakan kaedah 'divide and role' serta menggunakan isu yang boleh menarik sokongan rakyat seperti isu 'Negara Islam' dan 'hudud'.

Isu tersebut katanya, dianggap BN sebagai dua ideologi yang bertentangan antara PAS dan DAP.

Beliau yakin perancangan BN ini akan terus gagal kerana DAP dan PAS semakin hari semakin matang dalam menangani isu ini dan semakin masak dengan mainan murahan BN.

Beliau juga menyeru umat Islam agar tidak ragu dengan kerjasama DAP-PAS kerana kerjasama tersebut adalah kerjasama politik dan  bukan menggadai prinsip dan perjuangan.

"Prinsip perjuangan kita ialah memperjuangkan syariat Islam serta mendaulatkan kalimah Allah. PAS juga telah membuat perubahan daripada segi pendekatan. 

"Mungkin pendekatan yang lepas bersifat secara langsung tetapi pendekatan kita sekarang mendahulukan perkara yang perlu kita raikan terlebih dahulu. Menyedari halangan-halangan yang wujud serta kekangan yang ada, kita hanya membuat 'adjustment' daripada segi pendekatan. Pegangan dan prinsip perjuangan kita tetap sama," tegas beliau.

Justeru katanya, masyarakat umum tidak perlu bimbang dan ragu untuk terus memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Ustaz Nasruddin juga menjelaskan walaupun terdapat sebilangan kecil pemimpin DAP tidak bersetuju dengan pembentukan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan PAS, sekurang-kurangnya mereka boleh berkompromi dalam isu menentang kezaliman serta menolak perkauman.

Selain itu katanya, kerjasama PAS dan DAP katanya untuk bersama-sama menentang kezaliman dan kepincangan dalam kepimpinan negara sejak 53 tahun yang lalu.

Umno ujarnya, mempersoal hubungan PAS dan DAP sedangkan Umno juga menolak Islam serta syariat Islam sekalipun mereka mendakwa, mereka juga parti muslim.

"Kerjasama kita tidak mengikat atau menghadkan ideologi perjuangan parti masing-masing. Jika kita tidak bekerjasama dengan DAP, takkan kita hendak kompromi dengan BN? Dalam isu yang kita anggap untuk kebaikan bersama untuk kesejahteraan masyarakat pun Umno tidak mahu.

"Sebagai contoh, isu royalti  yang menjadi hak rakyat. Kerajaan BN tidak boleh berkompromi dalam isu tersebut hanya kerana Kelantan ditadbir PAS. Sebaliknya dalam hal ini DAP boleh berkompromi menuntut hak rakyat serta menentang kezaliman yang dilakukan," katanya.

Tegasnya, pada zaman Rasulullah juga baginda pernah bekerjasama politik dengan pihak bukan Islam untuk menentang kezaliman. Bahkan katanya, Nabi Muhammad SAW pernah memuji sebuah perjanjian yang dibuat orang bukan Islam untuk menentang kezaliman.

Selasa, November 09, 2010

Tak percaya? Umnolah punca bangsa Melayu dihina sekarang!

Umnolah yang menjadi penyebab mengapa bangsa Melayu hari ini dihina di tanahair sendiri, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan Naib Presiden Umno, Dato' Zahid Hamidi kepada media.

PAS cuba memberi jawapan kepada Zahid yang tercari-cari punca mengapa hak orang Melayu sering dipertikaikan di buminya  sendiri. Zahid cuba membentuk persepsi orang Melayu kononnya mereka dalam keadaan terancam, dengan harapan mereka akan menyalahkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu ini.

Kata Ustaz Idris, ini taktik lama Umno untuk memulihkan tenaga yang semakin lemah dan tidak berpengaruh lagi. Strategi ini adalah seperti kata pepatah Arab "Dia pukul orang, dia mengadu bahawa orang lain pukul dia; dia memaki orang, dia mengadu orang lain memaki dia", ujarnya lagi

Hakikatnya, tegas beliau, Umnolah yang menyebabkan bangsa Melayu hilang jati diri dan lemah kuasa politik, sehingga mengakibatkan politik dendam yang berlubuk di dalam hati pemimpin parti Melayu itu lebih mengutamakan Umno-Putera, sekaligus Melayu jadi bangsa yang merempat di bumi sendiri.

Jelasnya, Umno cuba memutar-belitkan sejarah di Pulau Pinang kononnya Melayu terpinggir sejak pemerintahan Pakatan Rakyat, walhal Umno-Gerakan lah yang memerintah negeri itu hampir 51 tahun lamanya, sehingga menyebabkan Melayu merempat. 

"Zahid cuba nak salahkan Melayu yang sering bertolak ansur, sehingga akhirnya ditolak secara beransur-ansur. Hakikat yang berlaku, orang Melayu tidak bertolak ansur, sebaliknya pemimpin Umno yang terlalu bertolak ansur, menyebabkan Melayu terpinggir di negeri sendiri.

"Selama 53 tahun Umno memerintah, mereka gagal untuk mengangkat martabat orang Melayu di negara ini. Banyak dasar-dasar yang dibuat cantik, tetapi oleh kerana pelaksanaannya yang diberikan kepada pemimpin ynag mengkhianat amanah ini maka akhirnya semuanya gagal," tegas beliau.

Ustaz Idris mendakwa, pemimpin Umno sepatutnya malu kepada pemimpin parti lain di negara ini yang gagal mengangkat mertabat bangsa sendiri. 

"Ke mana pergi nilai saham khas Bumiputera RM54 bilion? RM52 bilion sudah lesap, hanya tinggal RM2 billion. Ke manakah pergi tanah rezab Melayu 3 juta hektar yang ditinggal oleh penjajah pada tahun 1957? Pada tahun 1995 tanah rezab Melayu hanya 1.7 juta hektar," soal beliau.

Katanya, Umno sebenarnya tidak layak untuk menjaga hak orang Melayu, ia ibarat seperti menyuruh serigala menjaga kambing. 

"Sudah sampai masanya Umno berundur dan orang Melayu pula meninggalkan parti itu dengan menyertai PAS sebagai ganti kepada Umno yang nazak," pintanya.

Mengapa Kerajaan Umno-BN syok luaskan industri mungkar?


Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan ETP yang sedang dipergiatkan Perdana Menteri sebagai "economy pumping", dakwa Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan kepada Harakah.

Katanya, "melompat" seketika tahap perolehan kasar negara dengan projek Hub Hiburan ini dan kemudiannya ia akan terhentak ke bawah dengan mengeluarkan kos yang banyak untuk menangani kesan langsung dan tidak  langsung dari industri nafsu, sedang ia boleh di elak sejak awal lagi.

Menurut Ustaz Nasruddin, ini langkah yang tidak bertanggungjawab terhadap negara dan rakyat kerana ia mundur ke belakang serta dilihat sebagai usaha untuk men'jahiliyyah'kan negara. Dakwanya, pertambahan pusat hiburan dan konsert artis yang sedia ada jelas tidak terkawal dan ia antara penyumbang besar kepada keruntuhan moral dan akhlak generasi kita. 

"Di situlah berpusatnya segala aktiviti mungkar dan gaya hidup yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, seks bebas, pil ectasy, khayal, mabuk dan sebagainya. 

"Implikasi dari fenomena ini lahirlah jenayah samun, ragut, rompak, rogol, buang bayi, bunuh dan sebagainya. Akhirnya kerajaan terpaksa pula membelanjakan ratusan juta ringgit untuk mempromosi gaya hidup sihat, menangani penyakit aids dan hiv, kos merawat pesakit, belanja tahanan dan sebagainya," tegas beliau. 

Jelas Ustaz Nasruddin, lebih malang langkah kerajaan ini dilihat sia-sia kerana membangunkan material kemudiannya meruntuhkan pembangunan modal insan. 

Negara memerlukan modal insan yang berkualiti untuk meletakkan negara sebaris dengan negara maju pada masa hadapan dan kos membangunkan semula modal insan yang diruntuhkan ini tentu sahaja memerlukan kadar yang tinggi pula, katanya. 

"Akhirnya kerajaan hanya buat kerja-kerja bodoh dan sia-sia iaitu korek lubang kemudian timbusnya kembali.

"Selayaknya kerajaan memiliki acuan sendiri dalam membangunkan negara dan menjana pertumbuhan ekonominya tanpa meniru dan terpengaruh dengan negara-negara barat," tegasnya.  Justeru Malaysia adalah negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi maka wajarlah syariat Islam dijadikan asas dan acuan pembangunan dengan "membangun bersama Islam".

"Masih banyak sektor dan industri lain yang boleh memacu ekonomi negara, kenapa industri mungkar juga yang dipilih?" soal beliau.

Kecamukan dalam Felda sedang mengancam pengaruh Umno


KETIKA pembahas berucap dalam Perhimpunan Agung Umno ke 61 (usia Umno 64), antara nama yang sering menerima kritikan dan kecaman, ialah Ketua Penerangan, Dato' Ahmad Maslan. Namun, yang menghairankan tidak pula Ahmad diberi peluang oleh Presidennya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjawab ketika penggulungan.

Berbeza dengan era kepimpinan Umno terdahulu, biasanya, mereka yang namanya disentuh dalam perbahasan, akan bangkit memberi jawapan tetapi, dalam era Najib, ia diubah. Mungkin Najib tidak membenarkan Ahmad membuat jawapan, kerana khuatir akan diboo perwakilan.

Sejak Ahmad dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, di situlah bermulanya serangan peneroka Felda terhadap Felda. Ada juga yang mengatakan, sejak kebelakangan ini Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Nor sudah semakin kerap menganjurkan pelbagai program dengan harapan jawatannya disambung dua tahun lagi.

Desas-desus bertiup kencang, Dr. Yusof akan ditamatkan jawatannya dan tempatnya digantikan dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tetapi, desas-desus ini senyap begitu sahaja apabila, beberapa kes saman peneroka terhadap Felda berjaya.

Ahmad sebenarnya patut bangun memberi penjelasan di hari terakhir perhimpunan. Sindiran perwakilan Wanita yang menyentuh Felda dan beberapa agensi dan GLC nampaknya tidak mendapat respon yang baik dari pihak tertentu. Ahmad, selaku timbalan menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda sebenarnya sedang digigit dan digugat sekarang ini. Dia tidak boleh lari dari tanggungjawab ini. 

Walaupun, kali pertama Felda kalah bicara, mereka mengatakan peguam yang mewakili Felda tidak hadir bicara, bagaimana pula dengan beberapa kes lain, yang peneroka menang bicara? Dr. Yusof Nor yang jarang muncul di TV, kini sudah pandai mencari publisiti. Mahu buat kolej melatih bakal pembantu rumah dijadikan fokus utama Felda sekarang.  

Dalam masa yang sama, Felda terpaksa membayar 'air time' kepada radio Kelasik Nasional untuk menyampaikan berita-berita Felda. Acap kali, akan ada peneroka-peneroka yang dijemput untuk memberi puji-pujian kepada Felda. 

Entah berapa jumlah Felda terpaksa bayar kepada RTM untuk slot ini, tidak pula diketahui tetapi pelbagai usaha mahu dibuat bagi memberi keyakinan kepada rakyat kononnya Felda teraniaya dek perbuatan segelintir peneroka.

Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda ialah Perdana Menteri sendiri. Tetapi, dalam tugas sehari-harian, Ahmadlah yang dipertanggungjawabkan. Malangnya, Ahmad tidak dapat membendung kehendak peneroka-peneroka yang merasakan mereka tidak mendapat hak mereka selama ini sebagai peneroka.

Selama ini, BN menyifatkan Felda adalah kawasan simpanan tetap mereka. Mereka percaya bahawa peneroka dan anak-anak peneroka tetap akan menyokong BN dalam pilihan raya kerana keyakinan kononnya Felda adalah hak kerajaan.

Namun, apabila ada pihak yang merasakan Felda sebenarnya 'neo kolonial' kepada sesetengah peneroka hingga mereka tampil untuk menyaman Felda, Najib dan Ahmad gelabah. Tentunya Dr. Yusof Nor juga gelabah disebabkan situasi yang tidak berpihak kepada mereka.

Bukan itu sahaja, jika Felda berjaya disaman, agensi yang seakan-akan Felda, Felcra juga menanti masa sahaja untuk diheret ke muka pengadilan. Peneroka dan peserta Felcra sudah nampak tindakan rakan-rakan mereka di Gugusan Raja Alias di Jempol dan Tanah Merah, beroleh kejayaan.

Perkembangan ini cukup merisaukan. Felda yang selama ini, sukar ditegur, kini sudah diserang kiri dan kanan. Malahan, isu penubuhan team bola Felda United dan pembinaan bangunan Felda oleh Kumpulan Naza juga menjadi isu yang cukup sukar dijawab.

Sepatutnya dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu, Ahmad atau Najib sendiri boleh menggunakan platform tersebut untuk membuat penjelasan isu Felda.  Atau, jika mereka mempunyai hujah, boleh sahaja isu ini ditanam untuk menjadi bahan ucapan perwakilan.

Sekurang-kurangnya, mereka berdua boleh menjawab untuk membersihkan nama baik Felda. Malangnya, mereka sendiri, barangkali sudah tidak ada hujah yang mampu mereka luahkan bagi memberi jawapan terhadap apa yang dipertikaikan. Banyak agensi kerajaan kini, menjadi tempat bekas menteri mencari makan. Jawatan pengerusi seperti diwujudkan hanya untuk menteri mendapat ofis selepas tidak lagi dilantik. 

Antaranya, Shahrir Samad dilantik menjadi pengerusi satu agensi berkaitan kelapa sawit, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (Risda), Dato' Seri Ir Mohamad Zin Mohamad (KTMB), Tan Sri Syed Hamid Albar (SPAD), Tajol Rosli Ghazali (Air) dan ramai lagi.

Bagaimana akhirnya Felda di tangan PM dan Ahmad, hanya masa yang akan menentukan. Sekiranya, ada lagi peneroka bertindak mahu menyaman Felda, tiada siapa yang dapat menahannya. Yang lebih penting, BN sudah mula resah untuk menghadapi pilihan raya akan datang, kerana tahu, Felda yang selama ini dianggap sebagai 'simpanan tetap' sudah berubah.

Perubahan ini berlaku kerana semakin ramai peneroka yang sedar bahawa mereka seperti dijajah dalam bentuk penjajahan moden atau neo colonial. Itu mungkin anggapan mereka dan hanya mahkamah yang akan menentukan sama ada kes atau tidak setiap kali saman difailkan. - SAFAR JUMAAT

Isnin, November 08, 2010

10 ekor sudah dicapai: PAS Batu dengan kerjasama Bilik Berita Harakah anjur korban

KUALA LUMPUR: Hanya empat atau lima hari sahaja lagi, PAS Kawasan Batu akan menutup penyertaan ibadah korban anjurannya kepada ummat Islam. Bagaimanapun, sebarang penyertaan masih dibuka sehingga 12 Nov ini bagi membolehkan mereka menyertai ibadah ini.

PAS Kawasan Batu dengan kerjasama Bilik Berita Harakah mempelawa umat Islam di negara ini untuk menyertai ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini dengan harga hanya RM320 untuk satu bahagian.

Demikian dimaklumkan Yang DiPertua PAS Kawasan Batu, Haji Ishak Surin yang mengalu-ngalukan sesiapa yang berminat untuk menyertainya bolehlah menghubungi atau SMS beliau pada talian 019-2310109 (Bendahari-Hj Rosden Yassin) bagi tujuan pendaftaran atau mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, harga tersebut adalah yang termurah berbanding kadar biasa RM350 malah ada yang mencecah RM400 untuk satu bahagian. Bayaran hendaklah dimasukkan ke akaun PAS Kawasan Batu (12113010000551).

Tarikh tutup penyertaan selewat-lewatnya 12 November ini bagi memudahkan urusan. Nyatakan jumlah wang yang dimasukkan beserta maklumat lanjut peserta yang terlibat - nama, nombor kad pengenalan, emel atau no telefon untuk tujuan audit.

Sebelum ini PAS Kawasan Batu mensasarkan 50 ekor lembu untuk sambutan Korban Perdana Aidiladha 2010 dengan memperkenalkan Skim Ansuran Mudah Korban 2010 atau 'SAMIK2010' kepada ahli-ahli dan orang ramai yang ingin melakukan ibadat tersebut.

Bagaimanapun percubaan kali pertama ini agak lembab sambutannya. Sasaran hanya 10 ekor baru dicapai. Anda yang berminat boleh hantarkan penyertaan segera melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada talian 019-2310109 untuk direkodkan.

Keterangan lanjut hubungi Yang Dipertua, Haji Ishak Surin (013-3291966) Timbalan Yang Dipertua, Haji Suhaimi Abd Rahman (019-3648805) Naib Yang Dipertua, Tarmizi Mohd Jam (019-2051419) Setiausaha, Haji Ismail Yahya (013-3847899) dan Bendahari, Haji Rosden Yassin (019-2310109).

Penarikbeca menajam pena, hentak PAS: PAS, please dont tag along idiotically


Penarik Beca menulis agak menusuk juga dalam postingnya. Mengulas tentang kekalahan PAS di galas >> Dalam postingnya bertajuk "Setelah Galas, jangan malas," Dato' Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz menyatakan: Maka persoalan yang harus di pertimbangkan oleh Mustapha ialah adakah puak Umno sanggup mengulangi cara kempen di Galas? Apakah cara kempennya? Cara yang lebih subdued dan muted.

Bernama pula melaporkan, strategi kempen oleh Tengku Razaleigh berjaya mengelak bandar Gua Musang dilanda kesesakan lalu lintas atau "jerit pekik" penceramah pada waktu malam (lihat mStar 29/10/11 "Penduduk suka kempen bersemuka di Galas").

Sambil menghormati dan mengakui kejayaan strategi Ku Li itu, saya bimbang selepas ini pakar-pakar strategi yang tidak strategik serta pakar-pakar taktik yang tidak taktikal di dalam PAS akan menjadi ghairah terlampau untuk mempamerkan kehebatan taktik dan strategi mereka lalu mencadangkan supaya parti itu meniru secara bongok apa yang dilakukan oleh Ku Li.

"Ana nampak tak kena dah cara kita sekarang. Ceramah-ceramah ni tak ada kesan. Betul dia orang kata, bising tengah-tengah malam, jalan sesak... Ana nampak apa yang Ku Li buat di Galas lebih berkesan".

Adoi la! Bimbang sungguh aku kalau ada Mamat tongong yang cakap macam tu dan ketongongan itu pula dianggukkan dengan penuh bangang oleh kawan-kawannya.

Assalamu'alaikum ya akhi mukhtaram! Umno dan Barisan Nasional (BN) memang tak payah buat ceramah sebab depa hari-hari ceramah dalam rumah hampir semua pengundi. TV hari-hari ceramah (kesian orang yang bayar kat Awani untuk dipropaganda dan dibiulkan supaya menyokong BN), radio hari-hari ceramah, Utusan Malaysia, Berita Harian, apa menatang surat khabar harian pun hari-hari berkempen untuk BN.

Jangankan semua itu. Dalam blog cikai aku ni pun puak-puak Umno dok berkempen sakan dalam ruangan komen. Dulu aku pernah tekan reject sebab aku fikir hampa dah ada segala macam media dah, takkan dalam blog cikai ni pun hampa nak menyalak jugak. Tapi fikir-fikir, lantak pi lah. Yang saya click spam la ni hanyalah komen-komen yang membusukkan nama Islam yang ditulis oleh orang Islam sendiri.

Yang saya nak habaqnya, Umno BN terlalu mewah dengan pelbagai media. Buat ceramah pun buat rugi bateri ja, orang bukan datang sangat pun. Bila ceramah Umno orang tak ramai, puak-puak pembangkang pun mengejek-ejek. Tengok-tengok bila keluar keputusan, BN menang. Ambik habuan!

Ketika ceramah tetap menjadi medium pembangkang untuk membina mood rakyat, ketika pembangkang tidak mewah dengan pelbagai media, bayangkan jika tiba-tiba pakar strategi PAS mahu menjadi kucing peniru kepada apa yang dilakukan oleh Ku Li itu. Saya teringat ayat yang ditulis oleh A Voice - Dumb PAS are just tagging along idiotically.

Saya dah tak larat nak tengok para pemimpin PAS tak serik-serik menjadi tukang mengekor. Di Kuala Lumpur, Presiden PAS dan beberapa tukang kipasnya mengekori ajaran sesat bekas Ketua Staf Perisikan Pertahanan (KPPP), Leftenan Jeneral Datuk Wan Abu Bakar Omar. Khabarnya sampai sekarang (itu fitnah ~penarik beca!) Di Ipoh dahulu, Haji Mohammad Nizar Jamaluddin tak puas-puas menjadi pak yet Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming sehingga memaksa saya menulis apa yang saya tulis sebagai "Perjanjian Pangkor II".

Sudah-sudahlah menjadi pak yet orang! Sudah sampai masanya para pemimpin PAS memikirkan apakah X Factor yang boleh membina mood dan sentimen umum untuk menolak Umno BN. X Factor yang baru amat diperlukan. Mengulang-ulang X Factor yang lama seperti percubaan untuk mewujudkan Bersih II tidak akan menarik perhatian rakyat.

Sambil mengakui kehebatan jentera amat diperlukan (saya difahamkan jentera pilihan raya PAS yang paling strategik dan efficient selepas pilihan raya umum 2008 ialah jentera dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu - ia patut diulangi), pembinaan mood dan sentimen rakyat amat penting. Tanpa mood dan sentimen yang digelombangkan seperti tahun 1990, 1999 dan 2008, PAS akan tertungging hangit seperti kecundangnya Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Cik Gu Mohd Zain Abdullah di Bachok pada pilihan raya umum 1986 . - Penarikbeca

Galas saksikan kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN


Punca PAS kalah di Galas secara mudah boleh difahami daripada prestasi undi yang raih antara dua pilihan raya, iaitu daripada pilihan raya umum 208 kepada pilihan raya kecil 2010. Jadual 1 berikut menunjukkan PAS berkurang undi hanya 265 undi sahaja. 

Ini mungkin faktor undi terapung yang beralih kepada BN. Puncanya ialah kerana kekuatan jentera kempen PAS yang tidak dapat menguasai undi terapung yang pernah dicapai 2008. Maka nilai 265 undi itu jika dinisbahkan dengan undi PAS 2008 ialah 6 peratus. Impaknya PAS kekurangan undi popular 10.25 peratus.

Apa pun disebabkan upaya BN menarik 1,571 undi atau 41.85 peratus dibandingkan dengan undi BN 2008, maka undi terapung, malah undi peribadi yang pernah dicapai Arwah Chek Hashim telah beralih kepada BN.

Demikian pula, analisis khas seperti Jadual 2 mendapati populariti PAS kalangan pengundi Orang Asli didapati hanya merosot pada kadar 17 peratus atau 66 undi dinisbahkan dengan undi PAS 2008 sebanyak 387 undi. Berbeza dengan BN yang mencapai lonjakan 75 peratus atau 567 undi dinisbahkan dengan undi BN 2008.

Realiti tersebut membuktikan penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dikira berkesan membawa kepada lonjakan undi maksimum pengundi Orang Asli keluar mengundi BN. Apakah isu ini wajar diamalkan dalam sistem demokrasi di Malaysia?

Sehubungan itu, pilihan raya kecil Galas kali ini menyaksikan suatu kerakusan kuasa state ke atas aparatusnya demi survival dominasi BN dalam mengukuhkan hegemoni! Jelas punca kekalahan PAS kali ini banyak disumbangkan oleh penggunaan maksimum jentera Kerajaan Pusat selain kelemahan persiapan dalaman PAS sendiri dalam menghadapi pilihan raya kecil - Wan Nik Wan Yussof

Bukan dalih baru: PAS terpaksa berdepan agensi Kerajaan Pusat sebagai jentera Umno-BN


Melihat kepada sosioekonomi di Galas adalah berada dalam situasi pesat membangun dengan penduduknya sekitar 37,600 orang. Ekonomi yang berasaskan ekonomi tradisi (perladangan, perkebunan, pembalakan, perlombongan dan perniagaan) membolehkan perkhidmatan agensi dan jabatan Kerajaan Pusat berperanan secara langsung menguruskan sosioekonomi rakyat Galas. 

Paling berkesan ialah agensi yang mewakili Kerajaan Pusat - Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) serta Jabatan Hal Ehwal Orang Asal Malaysia (JHEOA).

Istimewanya Tengku Razaleigh dalam mencipta kemenangan semula BN ialah mengarahkan kesemua agensi Kerajaan Pusat sebagai agen BN. Kesan daripada peranan agensi Kerajaan Pusat telah banyak melakukan pendekatan pengundi kerana semua agensi tersebut memiliki peralatan cukup bagi membujuk dan menarik sokongan politik untuk manfaat calon BN.

Menggunakan kekuatan agensi seperti Risda telah mampu menguasai semula minda ekonomi politik pengundi Cina di Kampung Pulai yang rata-ratanya adalah pekebun getah. Demikian pula Kesedar telah mengumumkan perumahan rakyat bernilai RM180 juta dan JHEOA membuat kurungan khas (menjamu) pengundi Orang Asli sebelum mereka dihantar ke pusat mengundi. 

Sementara agensi seperti jabatan KEMAS, Penerangan, Pembangunan Wanita, RELA dan tidak ketinggalan Jabatan Pendaftaran Negara telah secara terang-terangan digunakan untuk tujuan kempen terhadap pengundi mahu pun menyediakan perkhidmatan meraih sokongan pengundi.

Keseluruhan faktor agensi di bawah Kerajaan Pusat itu dilihat berperanan, maka kemudahan termasuk peralatan dan kewangan telah disalurkan untuk kepentingan kempen BN di Galas. - Wan Nik Wan Yussof

Benarkah pengaruh Arwah Che Hashim atasi Dr. Zulkefli Muhamed di Galas?


Pilihan raya kecil (PRK) N.45 Galas sudah berlaku pada 4 November lalu. Kekosongan kerusi yang berlaku sejak 27 September 2010 sudah diisi oleh seorang wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN). Proses pengisiannya berlaku melalui pengundian yang tidak menyebelahi PAS.

Kesannya membawa kemerosotan pencapaian PAS yang lebih teruk daripada pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai 2009 yang lalu. Ia juga suatu gambaran penggunaan secara salah jentera Kerajaan Pusat di Galas yang mungkin bakal merebak dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Justeru itu, PAS yang mengawal sebuah ‘kerajaan kecil’ di Negeri menerima kekalahan di Galas. Mungkinkah ini punca sebenar kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat di Galas?

Banyak jawapan yang boleh diberi oleh jentera kempen PAS semasa post-mortem bagi merasionalisasikan punca PAS kalah di Galas. Namun latar belakang punca kekalahan PAS pada asasnya perlu dilihat dahulu aspek kekuatan sebenar PAS di Galas. Pencapaian PAS tahun 1999 dan 2004 antara ukurannya.

Pada dua pilihan raya itu, kekuatan PAS hanya sekitar 36 peratus sahaja. Sedangkan pada pilihan raya umum 2008 PAS mencapai kemenangan pada paras 54 peratus. Berlaku penambahan peratus sokongan kepada PAS sebanyak 18 peratus. Apakah punca kemenangan itu?

Banyak pihak bersetuju, ia berlaku atas faktor calon sebagai peribadi yang mewakili PAS pada pilihan raya umum 2008 itu. Tokohnya ialah Arwah Che Hashim, seorang yang popular berkhidmat kepada rakyat dan diterima baik oleh semua pihak termasuk masyarakat Cina dan Orang Asli. Khidmatnya bermula sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihan raya umm 2004. Maka tidak harianlah beliau berupaya menang ‘terkejut’ apabila mengalahkan penyandang wakil rakyat Galas ketika itu, Saufi Deraman.

Namun kemenangan PAS pada 2008 itu bukan bergantung sepenuhnya kepada faktor calon. Malah suatu faktor yang lebih bersifat strategik ialah gerakan kepartian dan penyusunan gerak kerja pilihan raya PAS di Galas antara 2004 sehingga pilihan raya 2008. Di antaranya nilaian strategik yang berjaya dilakukan ialah pendaftaran pemilih baru kalangan warga Galas, termasuk yang berada di perantauan. Hasilnya, pihak PAS dikatakan berjaya mendaftar lebih 1,000 orang pengundi baru. 

Justeru undi PAS tahun 2004 (kira-kira 3,000 undi) dijadikan teras ukuran sokongan rakyat apabila dicampur dengan 1,000 pengundi baru, maka logiknya PAS mencapai 4,000 undi pada pilihan raya umum 2008. Natijahnya, PAS mencapai kemenangan di Galas pada 2008 adalah tepat pada angka sokongan sebanyak 4,399 undi atau pada undi popular 53.96 peratus (54 peratus). Sedangkan undi popular PAS pada 2004 hanya 36 peratus. Bermakna PAS berjaya mencapai lonjakan agak besar iaitu 18 peratus.

Sehubungan itu, sumbangan 1,000 pengundi baru yang berjaya didaftarkan sepanjang 2004-2008 itu adalah bernilai 22.73 peratus apabila dinisbahkan dengan undi yang dicapai 4,399 pada pilihan raya umum 2008. Namun, selepas 2008 didapati usaha mendaftar pengundi baru tidak berlaku secara baik. PAS dikatakan hanya berjaya mendaftar sekitar 500 orang sahaja. 

Sedangkan pihak BN dikatakan berjaya mendaftar kira-kira 1,000 pengundi baru. Maka secara matematiknya, pihak BN sudah berjaya menyeimbangkan nilai undi yang dicapai tahun 2008 yang hanya kalah sebanyak 646 undi pada 2008. Justeru itu, semasa pilihan raya kecil Galas ini kekuatan PAS dan BN berada pada paras 50:50 dan pihak BN hanya memerlukan sedikit tambahan undi ke arah meraih majoriti.

Di atas rasionalisasi strategik tersebut, adalah amat mudah bagi BN meraih tambahan undi. Pendekatan rasional BN tidak lain ialah dengan cara memfokuskan faktor kekuatan dan peluang bagi BN meraih sokongan undi tambahan. Faktor kekuatan BN adalah jentera Kerajaan Pusat dan peluang bagi BN ialah pengundi Orang Asli dan pengundi terapung kalangan orang Melayu dan Cina. 

Pilihan raya kecil Galas kali ini jelas menyaksikan nilai rasionalisasi BN berjaya menggunakan sepenuhnya kekuatan jentera Kerajaan Pusat sekali gus berupaya meraih tambahan undi baru kalangan Orang Asli dan pengundi terapung orang Melayu dan Cina. Logiknya, inilah punca kekalahan PAS.

Meskipun diketahui PAS turut berusaha melakukan pendekatan terbaik bagi memenangi hati Orang Asli dan sejumlah pengundi terapung. Apa yang jelas, jentera kempen PAS hanya berjaya mempertahankan jumlah undi yang dicapai pada 2008 sekitar 4,000 undi. Sedangkan pencapaian BN melebih 5,000 undi adalah disumbangkan oleh peningkatan undi di semua saluran mengundi.

Keputusan pilihan paya kecil (2010)

Walau bagaimanapun, pilihan raya kecil kali ini menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara yang jelas adalah penggunaan jentera Kerajaan Pusat, khasnya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang berjaya memunggah, mengumpul dan menjamu pengundi Orang Asli secara teratur sejak awal sebaik sahaja gendang pilihan raya dipalu.

Analisis mendapati jumlah keluar mengundi kelompok Orang Asli meningkat agak besar, 7.73 peratus, iaitu daripada 77.79 peratus (2008) kepada 85.52 peratus (2010). Sedangkan di semua peti undi bukan Orang Asli peningkatan agak kecil hanya 0.50 peratus, iaitu daripada 81.05 peratus (2008) kepada 81.55 peratus (2010). Menjadikan peningkatan keseluruhan keluar mengundi sebanyak 1.65 peratus, iaitu daripada 80.57 peratus (2008) kepada 82.22 peratus (2010) - Wan Nik Wan Yussof

Kalah p'raya tak bermakna perjuangan tak benar - Presiden PAS


SAYA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua jentera PAS di semua peringkat, ahli-ahli yang membantu daripada segi tenaga dan wang ringgit dalam menghadapi pilihan raya kecil Dun Galas dan Parlimen Batu Sapi.

Begitu juga dengan jentera Pakatan Rakyat, DAP dan PKR yang tidak penat membantu dalam keadaan kita berhadapan serangan dahsyat jentera lawan. Walaupun kita menghadapi kekalahan di kedua kerusi ini, namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang menentang kebatilan BN di masa hadapan.

Apapun pilihan raya ini telah membuktikan kepada rakyat keteguhan Pakatan Rakyat dalam berhadapan dengan usaha musuh hendak memecahbelahkan Pakatan. Kekalahan bukan bermakna perjuangan kita suatu yang tidak benar, sebaliknya lawan kita menguasai segala jentera kerajaan dan berjaya memanipulasi keadaan sehingga mereka beroleh kemenangan.

Namun kita tidak menolak untuk mengkaji segala kelemahan di pihak kita yang perlu diberi perhatian. Semoga ia akan menjadi lonjakan kepada kita bagi berhadapan dengan pilihan raya lebih besar tidak lama lagi.

Sekali lagi saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PAS dan Pakatan Rakyat, para penyumbang wang ringgit dan tenaga, pengundi-pengundi yang setia mengundi Pakatan, semoga usaha tuan-tuan akan diberkati Allah SWT.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 
Presiden PAS

Undi Melayu kembali ke UMNO: Dilema PAS mengejar undi Melayu dari tangan Umno?


Seandainya diimbas kembali, sentimen rakyat jelas menyebelahi Pakatan Rakyat (PR), untuk satu jangka yang agak panjang selepas PRU ke-12.  Situasi ini dapat diperlihatkan apabila PR memenangi dua PRK selepas PRU ke-12, iaitu Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar, dan Kuala Terengganu dengan rampasan kerusi dari BN.

BN hanya berjaya mempertahankan satu kerusi di DUN Batang Ai, Sarawak pada 7 April 2009.  Namun, kemenangan ini sedikitpun tidak menceriakan BN, khususnya Najib Razak yang baru mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan, memandangkan dua PRK yang berlangsung serentak, iaitu Bukit Gantang (Perak) dan Bukit Selambau (Kedah) kekal dalam genggaman PR.

Kekalahan demi kekalahan ini mungkin antara faktor yang membelenggu BN, sehingga tidak menurunkan calon dalam PRK Penanti, yang berlangsung pada 31 Mei 2009.  Bagaimanapun, kekalahan tetap menghantui UMNO-BN apabila tewas sekali lagi di PRK Permatang Pasir, kira-kira tiga bulan selepas itu.

Bagaimanapun, UMNO-BN hampir mengecapi kemenangan dalam PRK Manek Urai pada Julai 2009, apabila berjaya menghakis undi majoriti PAS dari 1,352 ke 65 undi, tetapi tetap gagal untuk menembusi kubu PAS.  BN hanya berjaya menikmati manisan kemenangan pertamanya di Semenanjung Malaysia, melalui Mohd Isa Samad apabila mempertahankan DUN Bagan Pinang dengan majoriti lebih besar pada Oktober 2009.

Sejak itu UMNO-BN kembali dengan keyakinan bahawa undi Melayu telah balik ke pangkuan UMNO.  Dakwaan ini diperkukuhkan apabila BN merampas kerusi parlimen Hulu Selangor dari PKR-PR, pada April 2010.  Namun, kegembiraan ini tidak kekal lama, apabila DAP-PR mencipta keajaiban dengan merobohkan kubu BN di Sibu, Sarawak sebulan kemudian.

Kini, BN berjaya merampas DUN Galas, sementara mempertahankan Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar.  Keputusan ini sekurang-kurangnya melegakan BN di Sabah, sementara merunsingkan PR di Semenanjung Malaysia.  Kemenangan BN pada malam ini lantas mengundang spekulasi bahawa pilihan raya umum kilat mungkin diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. - MERDEKA REVIEW

BN kini merapatkan jurang dengan 5-8: Apakah petanda BN sudah bangkit semula?


Barisan Nasional akhirnya berjaya mempertahankan kerusi parlimen Batu Sapi dengan majoriti yang lebih besar, sementara merampas kerusi DUN Galas dari PAS-Pakatan Rakyat, dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada hari ini.  Kemenangan 2-0 ini semestinya memberangsangkan pemimpin dan penyokong BN, setelah sekian lama diselubungi kesuraman sejak dilanda "tsunami politik" pada 8 Mac 2008.

Malah, kemenangan BN ini berjaya memperbaharui rekod pertarungan antara BN dengan PR kepada 5-8, dalam 13 PRK yang diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-12.

Di Batu Sapi, calon PBS-BN, Linda Tsen Thau Lin meraih 9,773 undi, menang dengan majoriti 6,359 undi.  Ansari Abdullah dari PKR memperolehi 3,414 undi, mengatasi calon SAPP Yong Teck Lee yang hanya mendapat 2,031 undi.  Bagaimanapun, jumlah undi Ansari Abdullah dengan Yong Teck Lee hanya 5,445 undi, iaitu 914 undi lebih kurang daripada undi majoriti.  Di samping itu, terdapat 372 undi rosak mengikut perkiraan Suruhanjaya Pilihan Raya.

Jumlah pengundi berdaftar Batu Sapi adalah 25,582 orang, terdiri daripada 15,099 orang bumiputera Islam (59.02%), 689 orang bumiputera (2.69%), 9,737 orang Cina (38.06%) dan kaum lain 57 orang atau 0.22%.  Peratus mengundi pada hari ini mencatat 61.47%, atau 15, 774 orang, agak dekat dengan 61.45% pada PRU ke-12.

Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, 61.45% pengundi tampil melaksanakan tanggungjawab mereka.  Edmund Chong Ket Wah dari BN meraih 9,479 undi, mengalahkan calon bebas Chung Kwong Wing dengan majoriti 3,708 undi.  Mendiang Edmund Chong meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 9 Oktober 2010.

Sementara di Galas, calon UMNO-BN Abdul Aziz Yusoff memperolehi 5,324 undi, menewaskan calon PAS-PR Zulkefli Mohamed dengan majoriti 1,190 undi.  Dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, Allahyarham Chek Hashim Sulaima (PAS) berjaya meraih 4,399 undi, menewaskan Saufi Deraman (UMNO-BN) dengan majoriti 646 undi.  Allahyarham Chek Hashim Sulaima meninggal dunia pada 27 September 2010, memberi laluan kepada PRK ke-12 selepas PRU ke-12.

Di Galas, jumlah pengundi berdaftar seramai 11,553 orang, terdiri daripada 7,125 orang Melayu (61.67%), 2,317 orang Cina (20.06%), 1,839 orang asli (16.35%), 185 orang India (1.6%), 10 orang bumiputera Sarawak (0.09%) dan kaum lain-lain 27 orang atau 0.23%).  Peratus mengundi adalah setinggi 83%, iaitu 2% lebih tinggi daripada PRU ke-12.

Menurut perkiraan DAP, undi Cina yang diperolehi PAS menurun kira-kira 2% hingga 3.5%.  Malah, undi yang diperolehi PAS jelas berkurang berbanding PRU ke-12, seandainya dibaca dari perbezaan antara menang dengan majoriti 646 undi, dengan kalah 1,190 undi - membawa kepada kehilangan 1,836 undi, mengikut perkiraan kasar. - MERDEKA REVIEW

Rabu, November 03, 2010

PRK Dun Galas >> Dimensi politik Najibnomics

Jika diteliti belanjawan 2011, keunikan Najibnomics menonjol sekali dengan belanja besar, projek besar dan peruntukan besar JPM.  Sesungguhnya, dimensi politik ala Mahathir juga mencorakkan pemerintahan Najib.  Najibnomics terserlah dengan legasi politik Mahathirisme yang negatif.

Politik populis yang mendominasi pembentangan Belanjawan 2011 tidak lain tidak bukan tujuannya untuk meraih sokongan jutaan pengundi tanpa rasa bersalah terhadap kerosakan sistem ekonomi kemudiannya.  Defisit yang terpaksa ditanggung hampir satu setengah dekad terus membengkak akibat projek mega yang tidak strategik mengikut keperluan politik "Kerajaan Besar Nafsu". 

Seterusnya, rakyat yang terus terpinggir dari arus dasar pembangunan mempunyai daya kebergantungan yang tinggi terhadap "Kerajaan Besar Nafsu". Institusi kerajaan yang terlibat dalam gejala kronisme yang berasaskan politik naungan (patronage politics) dan budaya rent-seeking di Malaysia berlaku sejak era pemerintahan Mahathir lagi. 

Rosaknya sistem kehakiman, perundangan dan eksekutif akibat daripada perlanggaran hukum pengasingan kuasa ternyata membawa padah politik dan ekonomi negara.  Rakyat pula terus dicengkam dengan pelbagai tekanan dan intimidasi daripada kerajaan. 

Keseluruhan jentera; polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan sebagainya digunakan sepenuhnya untuk mencapai penguasaan secara total ke atas kehidupan rakyat jelata.

Daripada era Mahathirisme kepada Najibnomics, percubaan penguasaan hegemoni secara total dilakukan secara berterusan.  Jika hari ini disuapkan dengan janji manis pendapatan tinggi dan gaji minimum, keesokan hari disuapkan pula dengan penekanan kebebasan media. 

Jika hari ini disuapkan dengan projek mega yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan, keesokan hari disuapkan pula dengan berita Wartawan Malaysiakini dihalau keluar dari Persidangan Umno. Tatkala rakyat dibuai dengan kehidupan negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, kebebasan ala Mahathir dijadikan rujukan utama Najib untuk menekan pembangkang, media alternatif serta gerakan massa! 
Najib secara terang-terangan menawarkan sejumlah wang kepada rakyat Sibu sewaktu pilihan raya kecil Sibu pada bulan Mei lalu.  Kartunis Zunar menjadi mangsa ketidakadilan gara-gara menulis kisah satira politik Najib dan isteri.

Sejauh manakah kebebasan yang dikatakan oleh Mahathir dan Najib menjadi praktis di Malaysia?  Bukankah Perlembagaan Persekutuan dan kehakiman sepatutnya menentukan semak dan imbang (check and balance) kuasa eksekutif daripada melanggar prinsip negara hukum? 

Bagi Mahathir dan Najib, isu keadilan sosial dan demokrasi bukanlah keutamaan pemerintahannya.  Malahan, tiada pun "NKRA" untuk keadilan sosial dan tiada pun usaha untuk mengembalikan integriti sistem kehakiman negara.

Dalam kenyataan (http://kpru2010.wordpress.com/ 2010/10/01/ laksanakan-bidang-politik-utama-negara-nkpa-serentak-dengan-bidang-ekonomi-utama-negara-nkea/) yang lepas, KPRU pernah mencadangkan lima Bidang Politik Utama Negara (NKPA) sebagai langkah perintis mengangkat kembali keyakinan rakyat terhadap sistem pemerintahan negara. 

Apakah tuntutan pembaharuan dimensi politik dipandang berat oleh "Kerajaan Besar Nafsu" bertunjangkan Najibnomics?  Apakah pembaharuan dimensi ekonomi ala Najib dapat dilakukan tanpa pembaharuan dimensi politik? - KPRU

PRK Dun Galas >> Menatap kroni besar acuan Najibnomics

Amalan kronisme dengan kroni-kroni besar memang jelas dalam kedua-dua pentadbiran baik Mahathir ataupun Najib.  Sistem ekonomi yang dikawal secara langsung dengan tahap penglibatan kerajaan yang keterlaluan merupakan faktor mengapa kronisme dan rasuah berleluasa di Malaysia.
Rakyat telah menyaksikan bagaimana banyak syarikat besar negara telah diselamatkan oleh kerajaan atas alasan menyelamatkan pekerjaan.  Atas mitos "JPM Besar" dan tahu segalanya, keuntungan diswastakan manakala kerugian dinasionalisasikan.

Contohnya, kajian yang dilakukan oleh Simon Johnson dan Todd Minton menyimpulkan bahawa kronisme meningkat selaras dengan kawalan modal dan membuktikan bahawa hanya firma atau syarikat yang berkaitan dengan Mahathir mengalami kenaikan harga saham sejurus krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 (Simon Johnson and Todd Mitton, "Cronyism and Capital Controls: Evidence from Malaysia", Journal of Financial Economics, Vol. 67, No. 2 (February 2003), pp. 351–382).

Jika diimbas kembali era Mahathirisme berpandukan buku Barry Wain (gambar kiri), senarai yang disyaki mengandungi elemen skandal atau elemen kontroversi lain cukup besar saiznya secara total dan secara anggaran. 

Contohnya, Mahathir pernah menyelamatkan syarikat Perwaja Steel daripada kerugian RM10 bilion.  Masih ingat isu penyelamatan UEM?  Masih ingat isu penyelamatan Renong menggunakan dana EPF?

Sementara "Kerajaan Besar Nafsu" berhujah kuat mengenai pendapatan tinggi, amalan kroni besar membawa implikasi sebaliknya di mana yang berusaha dan bekerja dengan gigih terhukum kerana tidak mempunyai pertalian politik kepada kerajaan dan parti politik. 

Justeru, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana. Sistem kapitalis dipersalahkan manakala demokrasi terpimpin ala Mahathir disanjung tinggi oleh Najib berikutan penjelmaan legasi negatif Mahathirisme dalam acuan terkini yang bernama Najibnomics. - KPRU

PRK Dun Galas >> Era JPM bersaiz besar bermula

Ungkapan era kerajaan mengetahui segalanya sudahpun berakhir menimbulkan tanda tanya dalam benak fikiran rakyat.  Sekiranya benar dakwaan Najib bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudahpun berakhir, nampaknya era "JPM Besar" dan tahu segalanya sedang bermula dengan hebatnya!

Mengapakah dikatakan demikian?  Hal ini kerana apabila perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berkembang sebanyak 33% sejak tahun 2007, perbelanjaan JPM melonjak sebanyak 130% dalam tempoh yang sama. 
Akibat pemusatan kuasa JPM, sekarang lebih 50 buah agensi terletak di bawah kendaliannya dan masih ditokok tambah tanpa segan dan sekatan.  UNIK bukanlah agensi terakhir.  UNIK bukanlah sesuatu yang unik.

Agensi-agensi penting yang sewajarnya bertanggungjawab kepada Parlimen seperti Petronas dianaktirikan kepada JPM atau lebih tepat Perdana Menteri. 

Lebih menghairankan, apakah rasionalnya meletakkan Biro Tatanegara (BTN) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) di bawah JPM? 

Malahan, Perdana Menteri sendiri turut menyelia 1MDB dan Ekuinas seolah-olah beliau sahajalah yang mengetahui segala-galanya.

Langkah tersebut mirip penekanan seorang filasuf Perancis, Alexis de Tocqueville yang pernah menulis "A central power, however enlightened and wise imagines it to be, can never be alone foresee all the details of the life of a great nation. Such a task exceeds human strength" (Democracy in America, Volume 1 http://www.fullbooks. com/Democracy-In-America- Volume-13.html) - KPRU

PRK Dun Galas >> Kerajaan bernafsu besar sifat Najibnomics

Belanjawan 2011 bukan sahaja memberi keutamaan kepada projek mega, malahan pemimpin "Kerajaan Besar Nafsu" mempunyai kecenderungan untuk mengagumi projek pembinaan infrastruktur besar-besaran sebagai warisan kepimpinannya. 

Menara Berkembar Petronas umpamanya disifatkan sebagai simbol kemegahan negara dan monumen kepada semangat "Malaysia Boleh". 

Tidak sampai dua tahun berkuasa, Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion diperkenalkan oleh Najib kepada rakyat jelata sebagai satu lagi kononnya mercu kebanggaan negara dan mendatangkan kesan limpahan ekonomi yang besar.

Daripada Mahathirisme kepada Najibnomics, saiz menjadi ukiran pencapaian agenda transformasi ekonomi negara.  Alasan Najib untuk mempertahankan pembinaan Warisan Merdeka juga tiada bezanya dengan alasan penyokong Mahathirisme iaitu semakin besar sesuatu projek tersebut, semakin besarlah keuntungan yang diperolehi. 

Realitinya, semakin besar sesuatu projek tersebut, semakin besarlah tanggungan kerugian yang bakal dipikul oleh kerajaan.  Apa yang dikesali, Najib didapati obses kepada teori ekonomi firaun Mahathir. - KPRU

PRK Dun Galas >> Belanjawan 2011 acuan Najibnomics dan Mahathirisme

APA yang unik (bukan UNIK) sangat dengan Belanjawan 2011?  Kita tak perlukan kaca mata 3-D, kaca mata 2-D sudah memadai untuk mengupas kulit Belanjawan sehinggalah saraf-sarafnya - sebelah kiri warna Mahathirisme, sebelah kanan warna Najibnomics. 

Legasi Mahathirisme tergolong kepada yang positif dan yang negatif. Tetapi yang diwarisi Najibnomics setakat ini hanyalah legasi negatif malahan dibesar-besarkan skalanya sehingga menjangkaui pencapaian legasi negatif Mahathirisme.

Meskipun begitu, pemimpin "Kerajaan Besar Nafsu" masih tersenyum dengan pencapaian sebegitu negatif sedemikian besar dan penuh dengan khayalan sehingga hendaklah dibina Menara Warisan Merdeka yang berangan-angan hendak menyentuh bulan yang membawa kegelapan.

Dasar Mahathirisme masih bersarang kuat dalam kotak pemikiran Najib Razak.  Segala-galanya besar; perbelanjaan besar, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang terlalu berkuasa dan pelancaran projek-projek mewahnya jelas berniat untuk menanamkan legasi pemerintahannya seperti Mahathir. 

Berbilion-bilion ringgit wang rakyat dipergunakan sewenang-wenangnya demi memuaskan nafsu tamak, haloba, serta cita-cita peribadinya.

Sebilangan kecil elit dalam rangkaian politik perniagaan disandarkan harapan untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang terbukti telah merosakkan struktur ekonomi sejak era pemerintahan Mahathir. 

Hasrat Najib dalam mentransformasikan ekonomi politik negara sehingga digelar sekumpulan pengkaji Universiti Harvard sebagai Najibnomics (The Star, Harvard Business School to study Najibnomics, September 25, 2009 http://biz.thestar.com.my/news/story.asp? file=/2009/9/25/ business/20090925134657 &sec=business) rupa-rupanya lanjutan kepada episod besarnya Mahathirisme. - KPRU