KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Disember 03, 2010

Keupayaan PAS dekati bukan Islam menakjubkan - Dr Mujahid Yusuf Rawa

Hubungan erat antara PAS dan DAP yang menjadi ketakutan Umno BN hari ini telah banyak mengubah persepsi negatif terhadap kaum Melayu Islam, begitu juga Cina. Ini adalah satu kejayaan besar. Hari ini tembok pemisahan antara dua kaum itu berjaya dipecahkan dengan wujudnya kerjasama PAS-dap yang dimomokkan sebagai ortodoks manakala DAP pula cauvinis. Ini yang mencemaskan Umno-BN sekarang. Ikuti interbiu wartawan SALMIYAH HARUN bersama Ahli Parlimen Parit Buntar yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa ketika ditemui di lobi Parlimen, Isnin lalu. 

Mengapa Umno-BN begitu beriya-iya untuk gagalkan kerjasama erat PAS-DAP? Apa kesannya kepada Umno jika PAS-DAP boleh duudk semeja?

Sebenarnya usaha PAS dapat mengadakan tahaluf siasi dengan DAP agak mengejutkan. DAP selalu dikaitkan dengan anti Melayu dan anti Islam. Tiba-tiba PAS mampu buat pakatan walaupun kita sudah ada pakatan tahun 1999 melalui Barisan Alternatif (BA). DAP keluar dan kembali semula dengan satu persefahaman yang jelas. Asasnya kenapa kita bersatu? Oleh kerana itu, kejayaan PAS bersama DAP telah banyak mengubah persepsi negatif terhadap Melayu dan Islam. Jadi dengan itu, kita telah berjaya memecahkan tembok yang menjadi penghalang dan sering mengaitkan PAS ortodoks dan 'terrorist' dan anti Cina ini. Akhirnya kita dapat bersatu. Dan kesatuan itu pula mencambahkan suasana politik yang sukar ditemui iaitu satu lawan satu. Ini satu kejayaan besar. Tidak berlaku tiga penjuru dalam Pakatan Rakyat. Ini cukup memberi kesan kepada BN. Umno menjadikan BN pendekatan untuk meraih sokongan rakyat dalam negara ini. Tiba-tiba kita (PAS) membawa pendekatan pakatan yang lebih dinamik dalam konteks satu pakatan yang membahagi-bahagikan kaum ikut parti. Tetapi PR melihat semua parti bertanggungjawab.

Ini berbeza dengan konsep BN?

Iya. Itulah antara cabaran yang paling utama, mereka mesti pecahkan Pakatan Rakyat. Salah satu timbul berbagai-bagai fitrnah keraguan seolah-olah berlaku pertikaian antara PAS dan DAP. Mereka akan buat apa saja untuk menyekat Pakatan Rakyat kerana ia benar-benar gugat BN. Sebab itu saya tegaskan Pakatan Rakyat kena teruskan untuk menggantikan apa yang ada hari ini daripada BN. Jadi sudah tentu, dalam usia muda ini, kita (PR) temui pelbagai salah dan silap dan belajar balik. Selepas dua tahun ini, Pakatan Rakyat saya kira di sebalik serangan hebat Umno-BN, tetapi masih boleh bersatu. Ini satu kejayaan yang besar. 

Walaupun PAS sudah ada Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), tetapi kerjasama PAS dengan DAP itu jauh lebih menonjol. Kewujudan DAP dalam lanskap politik PAS cukup menakutkan Umno. Terbukti di Perak dulu. Hingga memaksa Umno memainkan isu "PAS Boneka DAP". Apa komen YB?

Konsep kita dengan DAP adalah pakatan dan parti politik. DHPP adalah anak kita, yang kita lahirkan. Kita bentuk, kita buat, kita usahakan. Sudah tentulah perbezaan amat nyata. DHPP berbeza, ia menyokong dan memperjuangkan dasar, yakin dengan PAS, menerima perjuangan kita. Manakala, DAP ia satu persefahaman politik yang masing-masing tidak sentuh dasar parti.  Cuma DAP dengan kita berpakat di atas satu kepentingan politik bersama untuk memastikan kezaliman dihapuskan dan perjuangkan keadilan bersama. Di Perak misalnya, PAS memanfaatkan kesempatan dan menumpang nasib. Jelasnya, kita adakan pakatan dengan DAP pada awalnya bukan kerana kita hendak guna DAP atapun DAP gunakan PAS. Ini bukan asas Pakatan Rakyat.

Kalau bukan itu, apa asasnya?

Asasnya jelas. PAS bersatu untuk meletakkan satu sahaja lawan kita iaitu BN. Kedua kita bersama dalam suasana moral menentang sebarang bentuk penindasan dan kezaliman yang merentasi semua kaum. Umpamanya, kalau orang Melayu ditindas, orang Cina pertahankan dan begitu juga sebaliknya. Inilah konsep yang kita bawa dalam Pakatan Rakyat. Ketiga memperjuangkan konsep demokrasi dalam negara iaitu meletakkan perlembagaan dalam kerangka yang betul dan memberikan kebebasan bersuara sebagaimana termaktub dalam perlembagaan termasuklah reformasi pilihan raya, dan badan kehakiman. Keempat dalam konteks kesepakatan adalah untuk melihat negara ini perlu kepada satu sistem politik yang baik. Kita mahu rakyat ada alternatif bukan hanya didoktrinkan politik BN. Inilah jelas empat prinsip yang dipegang bersama. Ada persepsi kata kita guna DAP begitulah sebaliknya ia tidak ubah sebagai persepsi politik yang muncul atas satu tanggapan buruk untuk memecahkan hubungan PAS dengan DAP.

Sebelum 2008, ada banyak percubaan PAS untuk bekerjasama dengan DAP. Tetapi gagal. PAS dan DAP sama-sama takut hilang undi. Hari ini iklimnya ternyata berubah. Genarasi muda DAP lebih liberal. Apa yang YB boleh katakan kepada politik Malaysia pada masa depan? 

Hubungan PAS dengan DAP bukan hari ini sahaja. Sebelum itu, sudah ada persefahaman dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) tetapi agak longgar. PAS hanya nyatakan keperluan kita untuk memastikan tidak bertembung dalam berlawan dengan Umno. Tetapi kita bukan longgar sampai tak ada asas perjuangan. Kemudian 1999, wujud Barisan Alternatif (BA). DAP bersama PAS, tetapi 2004 timbulnya isu negara Islam yang dibangkitkan oleh Umno-BN. Ini mungkin untuk kepentingan strategi DAP. Akhirnya, dia tarik diri. Selagi PAS tak berubah dasarnya (Negara Islam), selagi itulah DAP tak boleh bersama PAS. Dalam PRU 2008, PAS mengemukakan istilah 'negara kebajikan' dan mengolah prinsip itu. PAS lebih mementingkan 'substance' dengan menegakkan keadilan, memperjuangkan hak sama rata antara kaum, dan yang lebih penting berpegang teguh dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen untuk membawa rakyat Malaysia jauh lagi ke hadapan. Perspektif negatif tentang negara Islam itu telah dilihat sebagai satu pandangan yang lebih dinamik. Hari ini orang bukan Islam pula bertanya apa itu negara Islam? Kita telah menjelaskan keadilan dalam Islam. Kita tidak memaksa orang lain untuk masuk Islam. Agama adalah hak mereka. Itulah dia negara negara Islam. Sekarang ini orang Cina berduyun-duyun masuk PAS melalui DHPP dan menyatakan sokongan padu bersama PAS.

Ada reaksi dari DAP bila DHPP boleh tarik orang Cina dan India sertai PAS?

DAP melihat perkara ini sebagai satu penilaian semula hubungannya dengan PAS. PAS yang dilabelkan selama ini, sebut sahaja negara Islam orang akan lari tetapi hari ini orang Cina datang kepada PAS. PRU 2008 terbukti di mana kawasan campuran Melayu-Cina, PAS menang. Ini bermakna tanggapan selama ini telah diperbetulkan melalui penjelasan kita. Misalnya, Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat terkehadapan dalam isu ini untuk memperbetulkan keadaan dan mengadakan dialog bersama parti-parti politik, NGO dan golongan agama serta orang ramai. Akhirnya mereka faham.  DAP telah melihat perkembangan ini, dan isu ini bukan lagi menghantui dia. Apa lagi generasi muda DAP sebagai pelapis telah mula melihat perkara ini dalam satu wacana yang lebih terbuka sehingga mereka dapat memahami apa yang dibawa oleh PAS.

Berbanding DAP, kenapa PAS tidak sahaja bekerjasama dengan Umno? Tidak banyak kerusi PAS yang boleh dibantu dimenangi oleh DAP. Ia hanya di kawasan bandar utama. Tetapi Umno ada di kawasan luar bandar yang turut ditandingi PAS... Apa sifirnya YB?

PAS pernah berkerjasama dengan Umno dalam BN. Kita ada sebagai komponen kerajaan campuran. PAS mempunyai pandangan tersendiri dalam isu orang Melayu. Pandangan itu amat berbeza dengan apa yang difahami oleh Umno. Dengan pandangan itu PAS merasakan dia perlu bersendirian. PAS berapa kali tegaskan apabila bercakap Melayu tidak semestinya Umno. Kita hendak ubah persepsi ini. Bila kata isu Melayu, PAS pun mampu. Dari segi moralnya PAS lebih bermoral dalam konteks memelihara orang Melayu termasuklah agama Islam. Mengapa kita berada dalam kerangka doktrin sebut sahaja Melayu mesti kaitkan dengan Umno. Kita kena keluar dari tempurung itu. Sebab itulah kita hendak bersaing dalam konteks yang sihat. Bukan kerana kita hendak berpecah tetapi kita hendak menawarkan lebih baik dari orang Umno. Tidak timbul kawasan orang Melayu kita bertanding dengan Melayu dan tidak boleh menang. Jadi, kita kena yakinkan orang Melayu, PAS lebih baik dari Umno. Ini satu perjuangan yang sukar dan kita telah buat berpuluh-puluh tahun. Kita telah buktikan di Kelantan, cuma media menyerang kita kerana tanggapan itu terus berlaku akhirnya jadi satu tekanan bagi PAS. Isu Melayu lebih kepada soal PAS untuk menjadi lebih baik, menggantikan Umno. Kalau kita hendak gantikan Umno, PAS tidak boleh duduk bersama dengan Umno. Ini bukan soal Melayu berpecah tetapi soal untuk Melayu dapat yang lebih baik.

Akibat berkawan dengan DAP, Umno cuba gambarkan PAS sudah gadai prinsip Islam yang diperjuangkan. Contohnya isu doa Guan Eng ganti Agong; Ahli Parlimen Serdang masuk surau dan terkini, warga emas terima wang judi di Pulau Pinang. Adakah rakyat akan melihat ini benar atau masih terdapat ruang PAS untuk membetulkan dakyat tersebut?

Inilah bezanya antara PAS dengan Umno. PAS bertindak atas landasan kepada al-Quran, sunnah, ijmak, dan qias. Ia mempunyai pandangan politik tetapi rujuk kepada perkara dasar. Contoh soal bughah... persepsi politik dikaburkan dengan serangan media seolah-olah mendoakan untuk bukan Islam satu perkara yang salah dan membuat rumusan  'PAS hendak berbaik sangat dengan DAP, sebab itulah mereka sanggup buat macam itu'. Sebenarnya silap! Asasnya kita kena tanya dahulu, Islam benarkan atau tidak? Kita kena rujuk dahulu! Di zaman Nabi, baginda mendoakan untuk orang bukan Islam seperti Umar Abdul Khattab (sebelum Islam) dan Abu Jahal, doakan kebaikan kepada kaumnya yang tidak beriman. Di mana salahnya? Adakah kita hendak ikut kepada Umno yang berpegang kepada 'Sirah Melayu' dan bukannya Sirah Nabawiyyah? Walaupun pada pandangan orang, PAS buat perkara salah dalam kes ini tetapi hakikatnya ia satu tindakan yang betul. 

Dalam kes Ahli Parlimen DAP masuk surau? 

Siapa kata orang bukan Islam tak boleh masuk surau? Cumanya masuk surau untuk apa? Kalau niat hendak menghina, jahat, memang betul haram! Kalau dahulu orang bukan Islam jumpa dengan Rasulullah SAW di masjid. Kenapa hari ini orang bukan Islam masuk masjid jadi fobia? Kita kena tanya kenapa dahulu? Kita kena tahu apa tujuan dia masuk masjid adakah untuk kebaikan, tanggungjawabnya atau hendak mendengar benda baik? Apa salahnya? Kalau ini dianggap menggadai prinsip, PAS tidak boleh terima kerana ia bertentangan dengan syariat. Syariat kata boleh kenapa Umno kata tak boleh? Ini satu lagi risiko yang PAS hadapi apabila bekerjasama. Niat hendak mendidik rakyat apa Islam sebenarnya, tetapi dalam masa yang sama PAS berhadapan dengan persepsi-persepsi yang segaja diadakan untuk menimbulkan keraguan kepada Islam.  Termasuklah dalam kes duit judi. Fatwa jelas mengatakan duit yang disatukan, dan perbelanjaan duit itu untuk tujuan diberikan kepada orang ramai, jelas ia tidak dianggap haram. Itu tidak bermakna kita mengiyakan judi! Kita menentang judi tetapi dalam konteks isu ini, kalau fatwa kata harus mengapa pula kita hendak membelakangi satu perkara yang ditetapkan oleh Islam? Adakah hanya semata-mata untuk ambil hati orang Umno? Selagi kita anggap yang lebih utama itu adalah Allah dan Rasul maka saya rasa kita terpaksa berdepan dengan cabaran-cabaran itu.

Tiada ulasan: