KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 28, 2010

Teruskan kerja, enggan layan hipotesis, tegas Tian Chua berikutan keputusan terkini hakim


MERUJUK kepada Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen Batu yang disabitkan kesalahan menyifatkan artikel itu cuba menyekat hak rakyat dan menutup pintu bersuara. Beliau hairan, mengapa isu ini menjadi perdebatan hangat. Baginya, beliau tetap wakil rakyat yang sah, akan terus berkhidmat dan menolak sebarang hipotesis. Wartawan SALMIYAH HARUN cuba menjolok minda Pengarah Strategik KeADILan, Tian Chua dalam isu yang sedang dihadapinya.

Kes saudara mengundang kontroversi. Ia menjadi kelam-kabut samada kosongkan kerusi atau tidak di Parlimen Batu. Seolah-olah ada "permainan" pihak tertentu untuk mewujudkan pilihan raya kecil di Batu. Apa respons saudara?

Bagi saya tidak perlu risau hal ini sebab ia bukan masalah saya. Masalah saya, apa yang saya fahami kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen Batu tidak tergugat atau terancam. Kita sepatutnya jangan terlalu fokus dalam perbahasan ini sebab kita harus faham Artikel 48 adalah satu artikel yang 'repressive' macam ISA. Katakanlah mahkamah bebaskan seseorang daripada ISA, jadi sama ada undang-undang ISA membenarkan mahkamah bebaskan itu sepatutnya kita tidak perlu bahas.

Bagaimana saudara memahami Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, menjelaskan kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan?

Artikel 48 itu adalah artikel yang tidak patut wujud. Ia menekan suara wakil rakyat. Kerajaan menggunakan artikel ini sebagai alat untuk menakutkan wakil rakyat supaya mereka tidak berani untuk pergi demontrasi atau tidak berani bersuara. Ini tutup hak rakyat. Sekat kebangkitan rakyat. Bimbang rakyat berhimpun. Artikel ini digunakan. Isunya sekarang adalah saya tidak melakukan apa-apa dan saya rasa... saya berhak untuk terus berkhidmat sebagai ahli parlimen dan saya fikir rakyat tidak bimbang dengan tindakan undang-undang itu. 

Apakah Artikel 48 itu perlu dipinda?

Kita bukan hendak ketepikan undang-undang, tetapi undang-undang ini tidak adil dan tidak patut kita diikat. Jika tidak kita patut ubah artikel ini supaya membolehkan ahli-ahli parlimen kita bebas bersuara dan berani melawan. Oleh kerana kita terikat dengan artikel itu, akhirnya kita tidak berani untuk turun ke padang dan tidak berani bersuara. Bimbang akan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen. Baik parlimen atau kehakiman saya memang dipilih oleh rakyat, saya tidak mahu fokus sangat kepada masalah ini.

Bagaimana reaksi saudara jika keputusan selepas ini memihak kepada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu?

Kalau pilihan raya kecil betul-betul berlaku barulah saya boleh bagi kenyataan. Oleh kerana tidak berlaku saya tidak mahu fokus ke arah itu. Kita tidak mahu layan hipotesis sebab ini bukan berada di depan kita. Jadi saya tidak mahu cakap perkara itu.

Dalam isu ini apa yang dilihat adalah permainan media. Pada hakikatnya senario ini juga membimbangkan Umno-BN untuk mengadakan pilihan raya kecil. Jika BN kalah, akan jadi pukulan maut kepada mereka dan kayu ukur hadapi PRU-13 nanti. Reaksi saudara? 

Saya tidak nafikan, ia adalah dilema Umno-BN. Saya bukan ahli Umno dan bukan kedudukan saya untuk memahami apa kebimbangan Umno-BN. Bagi saya jelas, dalam Pakatan Rakyat kita harus berkerja dan terus memberi khidmat kepada rakyat atas kapasiti kita sebagai wakil rakyat.

Bagaimana saudara melihat 'mood' pengundi di Parlimen Batu sekarang berdasarkan pelbagai isu yang mencengkam BN?

Bagi saya bukan sahaja 'mood' pengundi di Parlimen Batu akan berubah tetapi keseluruhannya. Rakyat keseluruhannya tidak setuju dengan dasar dan taktik mereka yang tidak adil. Baik pun Umno-BN hendak membeli ahli parlimen Pakatan Rakyat atau hendak tekan mereka supaya hilang kelayakan. Itu semua akan dimarahi rakyat. Kalau lebih banyak lagi taktik macam ini, saya agak lebih ramai pengundi yang akan sokong Pakatan Rakyat.

Jika saudara dikenakan tindakan penjara, apa langkah seterusnya?

Ini bukan kerja saya dan bukan masalah saya. Artikel 48 ini bukan dibuat oleh saya dan saya pun tidak ada kuasa. Saya tidak ada tindakan apa-apa. Saya akan tetap meneruskan kerja sebagai Ahli Parlimen Batu. Misalnya kalau orang bertanya "kalau 'u' dapat kanser apa yang 'u' akan buat? Masalahnya saya belum dapat kanser (Gelak). Saya fikir ini adalah hipotesis.

Jadi apakah ini mainan media sebenarnya?

Saya tidak menafikan, hari ini awak tanya soalan. Esok awak tanya soalan lain pula jadi jawapannya akan berubah-berubah mengikut soalannya. Daripada tidak ada isu akan timbulnya isu. Bagaimana pun saya tidak nampak kedudukan dan relevannya isu ini pada hari ini.

Kes Tian Chua: Mahfuz Omar dakwa Parlimen tak hormati keputusan mahkamah


Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar tidak melihat isu sama ada status Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menjadi konkrit jika semua pihak berpegang kepada keputusan yang dibuat hakim mahkamah tinggi. Jelasnya, walaupun terdapat pandangan mengatakan kes tersebut perlu dirujuk kepada perlembagaan, penghakiman yang dibuat telah memutuskan  tidak ada pilihan raya kecil ekoran kes tersebut.

Tegas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, jika terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan penghakiman tersebut, perlu membuat rayuan pada yang lebih tinggi untuk membatalkan keputusan yang dibuat hakim mahkamah tinggi tersebut.

"Saya tidak faham kenapa Timbalan Speaker menyatakan Tian Chua kena masuk penjara. Hukuman itu ialah hukuman denda atau penjara dua bulan, bukan denda dan penjara dua bulan. Jika Tian Chua dikenakan denda, dia tidak patut masuk penjara. Beliau turut mempersoalkan apakah keperluan Parlimen untuk membuat satu usul bagi menentukan status Tian Chua.

"Kita dapati Parlimen tidak menghormati mahkamah sedangkan ini konsep 'separation of power'. Kita hanya boleh meminda undang-undang, bukannya membatalkan hukuman. Parlimen tidak boleh membatalkan hukuman yang dibuat mahkamah. Parlimen hanya boleh meminda undang-udang untuk membolehkan mahkamah merujuk sesuatu perkara itu berasaskan undang-undang. Saya nampak keadaan ini berlaku kerana masing-masing tidak mahu memahami situasi yang dilakukan hakim Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut," katanya sewaktu ditemui di lobi Parlimen. Beliau juga berpendapat Tian Chua tidak perlu membuat rayuan kerana bukan 'tanggung jawabnya' beliau.

"Tanggung jawab merayu di bawah Timbalan Pendakwaraya. Jika mereka tidak berpuas hati terhadap keputusan hakim tidak perlu pada pilihan raya, dan berhasrat menggugurkan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen, mereka yang harus merayu," tegas Mahfuz. Keputusan hakim itu katanya cukup membuktikan Tian Chua kekal sebagai ahli parlimen.

Ahli parlimen "lompat katak" patut kosongkan kerusi


Wakil rakyat yang mengambil tindakan meninggalkan parti yang diwakilinya dalam pilihan raya umum lalu lebih wajar untuk dikenakan tindakan mengosongkan kerusi berbanding mereka yang dikenakan tindakan undang-undang ketika memperjuangkan nasib rakyat mereka.

Demikian ditegaskan Ketua Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sains Sosial Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Abu Hasan Hasbullah kepada Harakah ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes melibatkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

"Bagi saya, wakil rakyat yang melompat parti lebih patut dihukum mengosongkan kerusinya yakni diminta agar diadakan pilihan raya semula berbanding wakil rakyat yang dikenakan tindakan undang-undang sewaktu melaksanakan tugas membela nasib rakyat," katanya. Ujarnya, isu mengenai tindakan undang-undang ke atas Tian Chua kini disensasikan oleh media dan Umno-BN yang mahu menangguk di air keruh.

"Pelbagai spekulasi dibuat tetapi ianya mestilah berdasarkan konsensus kerana sesuatu pilihan raya yang hendak dilaksanakan itu pastinya dengan sebab yang diperuntukkan oleh undang-undang," tegasnya. Buat masa ini ujarnya, mahkamah telah memutuskan agar beliau membayar denda sebanyak RM2,000 dan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengesahkan tiada sebarang arahan yang diterima daripada mahkamah bagi mengarahkan pilihan raya kecil diadakan.

"Tiada sebarang sebab yang kukuh untuk diadakan pilihan raya kecil kerana undang-undang yang ada menjelaskan seserang wakil rakyat yang dihukum boleh kehilangan kerusinya dengan sebab-sebab tertentu. Maka dengan mengambil tafsiran tersebut, sepatutnya kita harus percaya keputusan ini memandangkan negara ini mengamalkan sistem demokrasi," ujarnya.

Tian Chua diberi tempoh selama 14 hari untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu, yang menetapkan denda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara atas kesalahan menggigit polis. Pertikaian pada masa ini tertumpu kepada kesan denda tersebut ke atas kerusi Chua, memandangkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa kerusi seseorang wakil rakyat boleh dibatalkan oleh mana-mana mahkamah sekiranya dihukum denda "tidak kurang daripada RM2,000."

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu mengurangkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara, yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret pada 29 Oktober tahun lalu.

"Memandangkan perkara ini pada awalnya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Majistret, rayuan di Mahkamah Rayuan bukanlah (secara) automatik. Penangguhan hukuman oleh Mahkamah Rayuan adalah perlu dan tertakluk kepada persoalan undang-undang yang timbul dalam proses rayuan di Mahkamah Tinggi," kata peguamnya, Ranjit dalam satu kenyataan.

"Walau pun penetapan hukuman telah menjadi pertikaian umum (berkaitan kesan kepada kedudukan Chua), permohonan untuk menangguhkan hukuman bagi rayuan akan dikemukakan, sebahagian besarnya, (bagi mencabar) keputusan Mahkamah Tinggi yang mempertahankan sabitan tersebut," katanya.

Jumaat, Jun 25, 2010

Kaum Cina jadi "kambing hitam" untuk penuhi agenda Kerajaan Umno-BN halalkan judi sukan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menuduh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim menjadikan masyarakat Cina di negara ini sebagai kambing hitam dalam agenda kerajaan meluluskan lesen judi sukan. Pada sidang media di lobi parlimen, Lim mengulas dakwaan Rais kerajaan mesti meluluskan lesen judi itu kerana hak bukan Islam di negara ini perlu diiktiraf dan dihormati.

"Saya terkejut dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang sekarang menganggap dirinya pakar hal ehwal Cina dengan menyatakan bahawa adalah perlu untuk menghalalkan judi bola kerana hanya dengan menghalalkan judi barulah kita boleh menghormati dan mengiktiraf hak-hak kaum Cina dan India," katanya mengulas kenyataan luarbiasa Rais itu. Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, dakwaan itu langsung tidak berasas.

"Saya ingin tanya sama beliau, manakah dan siapakah pertubuhan Cina yang memohon kepada kerajaan pusat sebelum ini untuk menghalalkan judi bola. Kerana dalam pengetahuan saya tidak ada sebarang pertubuhan Cina yang meminta judi bola dihalalkan. Saya nak tahu saja," katanya yang juga ahli parlimen Bagan. Beliau turut menegaskan, masyarakat Cina tidak pernah meminta judi dihalalkan kononnya untuk mengiktiraf hak mereka.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa masyarakat Cina tidak meminta bahawa judi bola dihalalkan sebagai tanda hak-hak mereka dihormati dan diiktiraf. Saya ingin menekankan di sini permintaan daripada masyarakat Cina atau India atau masyarakat bukan Melayu, Iban, Kadazan adalah sama dengan semua permintaan masyarakat Malaysia iaitu berteraskan prinsip kebebasan, keadilan, kebenaran, kebajikan kepada rakyat dan ketakwaan kepada Tuhan. Itulah permintaan daripada masyarakat Cina,” katanya.

Lim berkata Umno seolah-olah begitu berminat untuk menghalalkan judi berbanding masyarakat bukan Islam.

"Bukan seperti yang Umno cakap bahawa berkisar ke atas judi sahaja. Nampaknya Umno lebih minat dengan judi daripada orang-orang lain. Tapi jangan pula cakap itu permintaan masyarakat Cina dan hanya dengan memberikan judi bola barulah masyarakat Cina, India dan bukan Melayu dapat dihormati. Saya memang tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian,” katanya. - Malaysiakini

Tiga baki siri Dokumentari Bakun yang dibatal RTM kerana mengandungi 'elemen sensitif' kini boleh ditonton di YouTube

Dokumentari kontroversial mengenai Empangan Bakun - di mana dua siri pertamanya disiarkan oleh RTM2 Mei lalu, tetapi siaran tiga baki sirinya dibatalkan kerana didakwa mengandungi 'elemen sensitif' - kini boleh ditonton di YouTube.

Tiga siri yang dibatalkan siarannya - selama kira-kira 30 minit - kini disiarkan di Internet bersama dua siri pertamanya. Menurut penerbit dokumentari tersebut, Chou Z Lam (kanan), siaran tiga baki siri tersebut dibatalkan atas arahan langsung daripada ketua pengarah penyiaran Datuk Ibrahim Yahya. Siri berkenaan memaparkan masalah asas yang dialami kira-kira 10,000 anggota masyarakat orang asal di Hulu Sungai Balui sejak lebih satu dekad.

Menurut masyarakat Penan, tanah di sekitar sungai Asap Koyan yang diberikan kepada mereka, tidak cukup besar dan tidak subur untuk pertanian.

"Kami hanya diberikan tiga ekar untuk satu keluarga. Bagaimana kami hendak bertani di kawasan sekecil itu? Kami tidak boleh menanam secukupnya untuk makanan kami sendiri," kata Botai Udau, seorang penduduk warga emas Penan. Di kawasan tanah lama, kami boleh pergi memburu dan memancing di hutan sekitarnya, tapi di sini, sukar bagi kami untuk menampung keperluan keluarga kami kerana tidak ada hutan," tambahnya.

Kenyataan Botai dalam bahasa kaum Penan itu, telah diterjemahkan oleh remaja Penan, Uming Anyit. Satu lagi masalah, kata Botai, ialah tanah pertanian yang disediakan untuk masyarakat asal di situ, terletak hampir dua jam perjalanan dari lokasi rumah panjang baru mereka dan ramai yang tidak mampu membeli kenderaan.

Katanya lagi, kerajaan negeri Sarawak hanya menyediakan tiga pegawai pertanian di sebuah pejabat sementara yang mana ianya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan 10,000 penduduk yang hanya bergantung kepada aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan mereka.  Dokumentari tersebut turut memaparkan kekurangan kemudahan asas untuk anak-anak mereka yang kebanyakannya tidak bersekolah. 

Masyarakat tersebut juga berdepan dengan masalah kekurangan bekalan perubatan dan kemudahan pengangkutan. Sewaktu penempatan semula mereka pada 1998, kontraktor ampangan Bakun dan kerajaan negeri berjanji kepada penduduk terbabit untuk menyediakan rumah panjang yang baru, bekalan percuma air dan elektrik, tetapi penduduk kesal kerana janji itu tidak dikotai.

"(Sebaliknya) kami kini dipaksa membayar kos pembinaan rumah panjang, bekalan air dan elektrik," kata salah seorang penuduk masyarakat Kayan, Miku Loyang. 

Sementara itu, menurut Chou, dua episod asal dokumentari tersebut telah ditapis oleh bahagian hal ehwal program Galeri Mandarin Nasional, sebelum episod seterusnya dibatalkan. Chou berkata, beliau merancang untuk membuat penggambaran semula dokumentari tersebut kerana merasakan siri di internet itu belum lengkap dan mungkin juga melibatkan isu hak cipta dengan RTM. - Malaysiakini

Najib bangkitan isu pengganas Islam JI untuk takutkan bukan Islam dari terus sokong PAS dan Pakatan Rakyat

Isu kononnya wujud kembali pengganas dari kumpulan Islam Jamaiyah Islamiyyah (JI) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dibimbangi sengaja dicetuskan kerajaan Umno-BN bagi menakut-nakutkan bukan Islam di negara ini khususnya terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.


Tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, kebimbangan ini berasas setelah bukan Islam, Cina dan India, masih tegar menyokong PAS dan Pakatan Rakyat sekalipun Perdana Menteri sudah mencanangkan 1Malaysia sebagai azimat untuk mendapatkan semula undi bukan Melayu terhadap BN.

Beliau kesal dengan dakwaan IPT negara ini, sudah dibolosi JI yang dilabelkan sebagai kumpulan penganas oleh Amerika, kerana ia boleh menimbulkan suasana yang tidak tenteram dalam negara.  Bagaimanapun, Ustaz Idris sangsi dengan dakwaan itu kerana setelah seminggu berita tersebut berlegar dalam media massa, pihak polis masih gagal membuat sebarang tangkapan, sedangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah antara yang terhebat di dunia untuk memburu penjenayah.

Tindakan kerajaan "membising-bisingkan" tentang adanya gerakan JI di negara ini katanya, akan merugikan negara kerana kemungkinan pelabur-pelabur takut untuk datang dan bimbang diancam kumpulan pengganas. Ini sudah tentulah kestabilan politik akan terjejas teruk.

"Kementerian Pengajian Tinggi juga mulai panik dan turut mengistiharkan mahu memerangi pengganas yang dilaporkan wujud kalangan pelajar dan pensyarah. Jika perkara ini benar, bermakna universiti di negara ini sudah lama tidak selamat. PAS mahu kerajaan dan polis berhenti bermain politik dan menyelesaikan isu ini secara profesional. Pihak polis perlu membuktikan dakwaan ini dengan membuat tangkapan dan dakwaan segera di Mahkamah," tegasnya ketika dihubungi Harakah.

Beliau hairan, mengapa isu keselamatan dimomok-momokkan kepada umum, sedang polis ada cara profesional menanganinya. Di sinilah, tegasnya, terdapat motif tertentu yang boleh dianggap sebagai propaganda menjauhkan bukan Melayu dengan PAS.

Ustaz Idris juga berpendapat pengunaan Akta ISA bagi mereka yang dituduh tidak tepat, kerana sehingga ke hari ini penggunaan ISA didapati tidak releven dan hanya menjadi alat bagi menutup kelemahan Kerajan dalam membuat dakwaan. Jelasnya, PAS tidak mahu isu ini dipolitikkan untuk menampakkan ketidakstabilan politik dalam negara yang akan menakutkan rakyat yang sudah tidak percaya lagi dengan kerajaan Umno-BN. 

"Apa yang menjadi keutamaan adalah tindakan pihak polis sendiri. Mereka perlu pantas dalam bertindak dan menjaga keselamatan rakyat, tanpa perlu dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak tertentu," katanya. Sehubungan itu katanya, komitmen semua pihak dalam memastikan negara ini selamat perlu dipertingkatkan.

"Kami menyeru semua ahli dan penyokong untuk turut sama menyertai usaha membasmi jenayah di kawasan masing-masing. PAS menolak sebarang aktiviti keganasan dan Islam juga tidak mengajar umatnya untuk menzalimi diri dan orang lain," tegasnya.

PAS cabar kerajaan Umno-BN dedahkan bukti kegiatan Jemaah Islamiah (JI) di IPT

Kerajaan dicabar mengemukakan bukti serta memberikan penjelasan berhubung isu pengganas yang dibangkitkan kononnya berleluasa di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) akhir-akhir ini. Demikian ditegaskan ahli-ahli parlimen PAS pada sidang media di lobi Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Tiada sebarang bukti yang sampai ke Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tentang kegiatan kumpulan Jamaah Islamiyah (JI) menggambarkan persepsi untuk mengukuhkan dakwaan terdapat kegiatan keganasan yang melibatkan para pelajar," ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. Dalam nada kesal, beliau turut menjangkakan kumpulan pro-agama di kampus-kampus akan menjadi sasaran yang akan dikambing hitamkan dalam isu ini.

"Kita bimbang terdapat individu tertentu terutamanya golongan pro-agama akan dijadikan kambing hitam," tegasnya. Dalam nada mencabar, ahli parlimen Kubang Kerian itu mendesak jika kerajaan enggan memberi penjelasan pihaknya akan bertindak mendedahkan hasil mesyuarat sulit antara Ketua Polis Negara dan KPT.

"Jika tidak ada penjelasan daripada Perdana Menteri dan KPT, saya akan dedahkan secara terperinci tentang taklimat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dengan pegawai-pegawai tertinggi KPT yang mahu meyakinkan mereka tentang kewujudan kegiatan keganasan di IPT pada 19 Jun lalu," ujarnya lagi.

Selain menegaskan ianya satu strategi bagi mengalihkan isu dan perhatian rakyat daripada isu-isu besar dalam negara, Salahudin mengakui pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat perkaitan antara isu ini dengan pertemuan Najib dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama baru-baru ini. "Ini konspirasi murahan untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan Najib yang kini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah," katanya.

Umno diberi amaran, jangan kaitkan Islam dengan keganasan - Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Pemimpin Umno-BN diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya mengaitkan Islam sebagai agama keganasan dengan menyebarkan dakyah-dakyah jahat bagi menakutkan bukan Islam dan sekaligus memburuk-burukkan Islam.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan, tindakan melabelkan Islam sebagai ganas berdasarkan tindakan beberapa individu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan menghina agama sendiri. Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein berhubung isu ancaman keselamatan yang didakwa dilakukan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang didedahkan baru-baru ini. Jelasnya sewaktu ditemui di lobi Parlimen, pemimpin negara sewajarnya menjaga nama baik Islam apatah lagi Malaysia meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan. Ustaz Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mahu pemimpin Umno-BN 'cermat' dalam memberi kenyataan dan tindakan, agar Islam tidak disalah faham oleh orang bukan Islam sebagai penaja keganasan.

Katanya lagi, menganggap Islam dengan pengganas adalah termasuk agenda musuh dan fenomena keganasan tidak boleh dikaitkan dengan Islam. Dalam isu berkaitan, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu JI sengaja direka kerajaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada pelbagai isu semasa yang berlaku ketika ini.

Najib akui tiga GLC milik Khazanah rugi pada 2005-2009

Tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dimiliki Khazanah Nasional Bhd mencatatkan kerugian antara tahun 2005 hingga 2009, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Tanpa menamakan syarikat terlibat, Najib yang juga menteri kewangan berkata kerugian yang dicatatkan syarikat GLC berkenaan disebabkan oleh persekitaran perniagaan mencabar yang konsisten dengan trend global seperti peningkatan harga minyak dunia, pengurangan permintaan terhadap produk di samping faktor luaran lain seperti penyusutan nilai pelaburan.

"Faktor-faktor lain adalah di luar kawalan dan tidak wajar sekiranya lembaga pengarah GLC berkenaan diambil tindakan atas kerugian yang telah dicatatkan oleh syarikat masing-masing. Tambahan pula, rata-rata GLC-GLC tersebut kembali mencatatkan prestasi kewangan yang lebih baik pada tahun-tahun berikutnya," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat hari ini.

Er ingin tahu bilangan GLC yang menghadapi kerugian sejak tahun 2005 dan tindakan kerajaan ke atas Lembaga Pengarah GLC yang mengalami kerugian serta senarai bantuan kewangan kerajaan yang dihulurkan kepada GLC yang mengalami kerugian. Najib berkata semua syarikat GLC tersebut tidak menerima sebarang tindakan menyelamat atau "financial bailout" daripada kerajaan.

Buku Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun & '1Funny Malaysia' diharamkan KDN


Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharam buku terbitan Malaysiakini oleh kartunis popular Zulkifli Anwar Ulhaque, atau lebih dikenali sebagai Zunar, mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Selain buku '1Funny Malaysia', yang diterbitkan oleh Kinibooks yang merupakan anak syarikat Malaysiakini, dua lagi komik Zunar - Perak Darul Kartun dan Isu Dalam Kartun - turut diharamkan.

Ketua setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata buku-buku tersebut diharamkan kerana ia tidak sesuai untuk bacaan umum.

"Ketiga-tiga bahan penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana mengandungi bahan yang boleh mempengaruhi pemikiran rakyat untuk menentang kepimpinan dan dasar kerajaan. Ia tidak sesuai untuk bacaan umum dan sekiranya dibiarkan, ia boleh memudaratkan ketenteraman awam," katanya.

Bagaimanapun, Mahmood tidak menyebut mengenai satu lagi buku terbitan Malaysiakini - 'Where is Justice?' - yang telah dirampas bersama dengan '1Funny Malaysia' dari kedai buku empat bulan lalu. '1Funny Malaysia' merupakan kompilasi kartun Zunar, manakala buku 'Where is Justice' adalah mengenai kematian atau kekejaman dalam tahanan polis dengan fokus terhadap empat kes besar - Teoh Beng Hock, A Kugan, Altantuya Shaariibuu, dan Anwar Ibrahim

Di bawah akta tersebut, mereka yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan dilarang, jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali. - Malaysiakini

Khamis, Jun 24, 2010

Ustaz Hassan Shukri lihat tumbesaran PAS hinggalah ke saat tengahari Ahad, 13 Jun dengan sapaan yang terakhir


MELALUI kepakaran dan pengalaman jitu dalam PAS, Ustaz Hassan Shukri akhirnya berjaya mewujudkan secara jelas Perlembagaan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dilancarkan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 25 Mei lalu, di Klang. 

Bukan Islam tidak lagi tercari-cari status mereka, sebaliknya Muktamar Tahunan ke-56, 11 Jun lalu telah membolehkan mereka hadir sebagai perwakilan buat kali pertamanya dalam sejarah. Soal menderaf peraturan dan undang-undang parti, Ustaz Hassan lah tempat rujuknya!

Bekas Timbalan Presiden PAS ini, sejak remaja hingga akhir hayatnya, terus bergelut dan bergelumang dengan PAS tanpa henti. Dialah arkitek Markas Tarbiyyah PAS Pusat yang kini diubahsuai sebagai Kolej Universiti Zulkifli Muhamad (KUIZME), bersebelahan rumahnya. Markas dijadikan pejabat parti sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Dia juga upaya menyelesaikan konflik dalaman parti di peringkat negeri dan kawasan. Juga dianggap arkib PAS, sarat fakta sejarah peristiwa, dalam dan luar parti. Tanya saja, peristiwa apa melibatkan PAS, tentu ada bicara tersiratnya dari apa yang tersurat.

Pemergiannya menghadap Ilahi jam 1.50 petang, Isnin 14 Jun, benar-benar memilukan. Saya diajak kolumnis Harakah, Haji Subky Abdul Latiff untuk menziarahi Ustaz Hassan di Hospital Selayang. Belum tiba ke pagar rumah beliau, isteri Subky, Naznah Dato' Taha memberitahu saya melalui telefon, Ustaz Hassan baru meninggal. Kami terus bergegas ke hospital. 

Di sana, saya, Subky, Ishak Surin dan Kak Naznah sedia membawa keluar jenazah diiringi anak Allahyarham. Tidak lama muncul Bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli. Setelah urusan selesai, jenazah di bawa ke van. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan isteri tiba. Beberapa pemuda PAS Gombak dan Wilayah Persekutuan menyambut jenazah di bilik rekod. 

Allahyarham dimasukkan ke hospital Selayang pagi 14 Jun sebaik pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malamnya, selepas menghadiri Muktamar PAS ke-56 di sana. Bersama beliau, Haji Subky dan Haji Abdul Rahman, aktivis yang lazimnya menjadi pemandu peribadi beliau.

Ustaz Hassan berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun, kerana menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang itu dan malamnya menyertai pula majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik. Beliau dianugerahkan Tokoh Pemuda PAS malam itu. Pada Khamis 10 Jun, beliau berkejar ke Muktamar Dewan Ulama di Madu, Machang dan kemudian bergegas ke Muktamar Dewan Pemuda di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.

Di KTC, Allahyarham dan Subky menyapa saya, bertanya di mana hotel penginapan Cikgu Mahmud Zainal Abidin, bekas Adun PAS tahun 1969 yang menang di Dun Kg. Gajah, Perak (sekarang Bota). Dua jam sebelum itu, saya sudah berbual panjang dengan Cikgu Mahmud. Subky, Ustaz Hassan dan Rahman bertolak ke hotel penginapan Cikgu Mahmud. Di sana ada Darji Mutalib, bekas Bendahari Pemuda PAS Pusat yang cukup dikenali kedua-dua mereka.

Kali terakhir saya bertemu Ustaz Hassan petang 12 Jun, sewaktu beliau melambai tangan mengajak saya makan bihun sup di salah sebuah gerai muktamar. Tempat penuh, saya makan di gerai lain. Beliau ditemani beberapa veteran PAS, barangkali rakan beliau. 

Agak menyayat hati, bila hasrat saya untuk menulis beberapa fakta perjuangan PAS yang sering diceritakannya tak kesampaian. Dalam perjalanan pergi dan balik ke Majlis Makan Malam Pelancaran Dana KUIZME di Templer Park Resort, Rawang, Ahad 23 Mei, tidak henti-henti beliau membuka sejarah juangnya kepada saya dengan menyebut beberapa nama aktivis Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Kuala Kangsar, Kedah dan Perlis. 

Beliau turut bercerita pahit jadam meluaskan pengaruh PAS di Perak. Memikul bateri, naik sampan, membonceng basikal, menapak berjalan kaki di kampung-kampung sepanjang Sungai Perak termasuk kawasan Parlimen Parit. 

"Saya akan interbiu Ustaz lepas muktamar. Kita bincang isu persempadanan kawasan pilihan raya dan pemerkasaan PAS," janji saya bila beliau menunjukkan wawancaranya dengan akhbar Kabar Pakatan di rumahnya sebelum solat Maghrib untuk bertolak ke Rawang bersama. Rakannya, Cikgu Ishak ada bersama ketika itu.

Setelah mengadu sakit yang tak henti-henti, kira-kira jam 9.00 pagi, 14 Jun itu, Ustaz Hassan dibawa ke Hospital Selayang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU). Jenazah Allahyarham dibawa keluar hospital kira-kira jam 3.40 petang. 

Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-10 lalu. Pelbagai anugerah diberikan kepadanya termasuklah Tokoh Maal Hijrah Selangor pada tahun lalu dengan antara hadiahnya menunaikan umrah.

Lebih 5,000 ahli, penyokong PAS, sanak saudara dan rakan taulan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebagai seorang mujahid. Solat jenazah di bawah khemah hadapan rumahnya melimpah hingga ke gigi kaki lima rumah dan bangunan KUIZME.

Solat jenazah diimamkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Kira-kira jam 9.30 pagi, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda, Batu Caves. Selain pemimpin PAS, Menteri Hal Ehwal Agama, Dato' Jamil Khir Baharom, bekas Pengarusi YADIM, Dato' Nakhaie Ahmad, bekas Mufti Perlis, Ustaz Asri Zainal Abidin dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw hadir. 

Pemergian Allahyarham benar-benar tersentuh, dan terasa kehilangan besar kepada perjuangan PAS yang kini melakar sejarah perdana dunia. Tiada siapa menyangka, Muktamar Tahunan PAS ke-56 dan Anugerah Tokoh Pemuda yang diterima Allahyarham dari Tok Guru Nik Abdul Aziz, 9 Jun lalu menjadi penutup kepada tali perjuangannya di dunia yang fana ini.

Rupa-rupanya, sapaan Ustaz Hassan sepanjang muktamar, berlegar dalam dewan, di gerai dan pusat pameran sekitar Putik, adalah sapaan terakhir beliau. Allahyarham melihat sendiri, tumbesaran PAS hinggalah ke saat tengahari Ahad, 13 Jun, walaupun beliau tidak berkesempatan mendengar penggulungan Presiden PAS. - Al-Fatihah. 

Sejambak bunga dari Tok Guru Mursyidul Am tanda "Naskhah Cinta" buat isteri tersayang, Tuan Sabariah Tuan Ishak


NASKAH CINTA: Agak meruntuh hati, apabila Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan sejambak bunga kepada isterinya, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dengan disaksikan ribuan yang hadir sebagai simbolik "naskhah cinta" bersempena Konsert Naskah Cinta anjuran Lajnah Seni dan Budaya PAS Pusat yang bertemakan Islam. 

Pada majlis yang diadakan di pentas terbuka Putik itu, Mursyidul Am PAS turut menerima cenderahati daripada  Pengerusi Lajnah, Dr Dzulkifli Ahmad. Konsert dimeriahkan dengan kehadiran Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said mendeklamasi puisi.Ia bersempena Muktamar Tahunan PAS ke-56 yang telah diadakan di pentas terbuka Pusat Tarbiyah Islamiyyah Kelantan (Putik) pada 10 Jun lalu, jam 9 malam.

Kes Alor Limbat bukti Umno Terengganu masih ada "api dalam sekam"

JIKA ada mana-mana pihak menganggap ketiadaan isu dan cerita panas mengenai pergeseran dalaman Umno Terengganu mutakhir ini membuktikan parti itu telah berjaya mendamaikan puak-puak bertelagah di dalamnya, ia memang satu andaian amat silap.


Tepat sepertimana sering disebut orang, perbalahan dalaman Umno memang boleh diibaratkan seumpama api dalam sekam. Meski pun zahirnya kelihatan tenang dan selamat, hakikat sebenar di bawah timbunan hampas padi itu tidak seindah tergambar pada zahirnya. Seperti mana tabiat api dalam sekam yang sentiasa membahang, bara permusuhan para pemimpin Umno juga begitu. Dendam dan kebencian antara mereka sentiasa menyala dan hanya menunggu “cuaca” bersesuaian untuk kembali marak.

Bagi yang memahami dan meyakini tabiat semulajadi parti yang gemar bertelagah itu, sebarang berita mengenai perbalahan dalamannya, meski pun terzahir secara tiba-tiba, bukan lagi suatu yang menghairankan. Sebab itu apabila sebuah akhbar tempatan Terengganu pada Khamis (17 Jun) tidak semena-mena menjadikan berita pertembungan antara para pemimpin cawangan Umno di sebuah kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan wakil rakyat parti mereka sendiri, ia sedikit pun tidak mengejutkan.

Akhbar berkenaan memetik kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah, sebagai mendakwa ada pihak tertentu cuba menjanjikan projek bernilai puluhan juta ringgit kepada mana-mana pihak yang berjaya menjatuhkannya.

Menurutnya, ekoran tawaran itulah wujudnya kumpulan melibatkan sebilangan ketua cawangan di kawasannya menzahirkan penentangan terhadap beliau. Alias mengulas tindakan lebih 40 ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam Dun diwakilinya yang menghantar memorandum kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said, Selasa lalu.

Difahamkan memorandum itu bertujuan mendesak Alias melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Penyelaras Dun Alor Limbat. Para pemimpin Umno terbabit mendakwa beliau gagal menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Cerita pertembungan dan pergeseran dua pihak di dalam Umno Marang, khususnya di Dun Alor Limbat, bukan lagi dongengan atau sesuatu yang boleh dianggap sebagai rekaan parti lawan. Ia ibarat bangkai gajah yang mudah dilihat batang tubuhnya atau dihidu baunya dari jarak yang jauh.

Kekeruhan hubungan antara Adun itu dan pemimpin bawahannya sebenarnya sudah terhasil sejak sekian lama. Kemuncak pertembungan itu ialah pada 2007 lalu apabila ada cawangan di dalam Dun berkenaan mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Alias. Umno Cawangan Padang Midin pernah memutuskan usul berkenaan dalam mesyuarat cawangan berkenaan pada 28 Mei 2007. Dikatakan tiga daripada lima usul tersebut berkaitan hilang kepercayaan terhadap Adun berkenaan.

Pihak cawangan itu mendakwa pertikaian antara mereka dengan waki rakyat itu berpunca daripada tindakan Adun berkenaan yang tidak mematuhi undang-undang parti dan tidak melaksanakan arahan parti. Tidak dapat dipastikan apakah yang dimaksudkan dengan dakwaan tersebut. Bagaimana pun, di antara desas-desus diperkatakan ketika itu, Adun berkenaan didakwa membatalkan pemilihan jawatankuasa Peti Undi Umno Padang Midin yang diarah diadakan oleh Umno Bahagian Marang pada 2006.

Alias juga didakwa menolak senarai calon anggota JKKK kampung berkenaan bagi sesi 2006/07 sepertimana diluluskan sebulat suara oleh mesyuarat Umno cawangan. Perselisihan itu dikatakan merebak kepada fitnah-memfitnah sesama mereka. Perpecahan tambah ketara apaila wujud suasana saling pulau-memulau program yang masing-masing adakan.

Ketika telah pun kedengaran cubaan melunakkan pergeseran itu. Didakwa kononnya pertikaian dihebahkan itu sengaja dicipta pihak yang berseteru dengan Adun berkenaan. Sehingga dikatakan seorang pemimpin kanan bahagian tersebut adalah pemain utama di belakang seluruh episod itu. Beliau dikatakan sangat terliur untuk bertanding di Dun berkenaan. Lalu didakwa bertanggungjawab merancang dan mengadakan pelbagai strategi bagi menjatuhkan Alias termasuk memberi gambaran negatif betapa Adun berkenaan tidak disenangi para pemimpin bawahan Umno dan wajar ditukar.

Andaian itu seakan terbukti apabila kemuncak bantahan kumpulan penentang itu ialah desakan agar Presiden Umno menolak Alias sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 2008. Di dalam hujah mengiringi usul berkenaan, jurucakap cawangan tersebut menegaskan, “biarlah kita korbankan seorang wakil rakyat, asalkan rakyat sekampung hidup harmoni dan berpadu”.

Usul itu secara jelas menerangkan maksud perjuangan mereka, iaitu agar Umno-BN menggantikan Alias dengan calon yang mereka senangi. Ia bagaimana pun tidak diterima pucuk pimpinan Umno. Alias dipilih bertanding semula dan beliau masih mampu mempertahankan kemenangannya. Pada 2004, BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada PAS.

Dalam usaha PAS Terengganu mencanangkan hasrat menawan semula negeri itu, Dun Alor Limbat sentiasa berada di pertengahan senarai 17 atau 18 kerusi yang mesti dimenangi PAS. Sama ada Alias akan kekal mewakili BN nanti atau PAS berjaya merampas semula kerusi Dun tersebut, seperkara yang pasti, kes Alor Limbat membuktikan pergolakan dalaman Umno Terengganu tidak pernah padam.- Mohd Nasir Awang

Rabu, Jun 23, 2010

PAS Kawasan Batu mendesak PAS Pusat mewujudkan polisi peristiharan harta setiap tahun bagi penjawat awam/lantikan politik oleh parti

Sidang media Presiden PAS sejurus selesai menyampaikan ucapan dasar presiden pada Mukatmar Tahunan PAS ke-56 di Putik Kelantan

MENYEDARI isu ketelusan dan integriti mampu memperkuatkan sesebuah kerajaan melalui penghormatan, kepercayaan dan keyakinan tinggi rakyat tanpa berbelah-bahagi;

Menyedari kerajaan pembangkang seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan yang sentiasa diintip, dicari kesalahan, direka-reka kebobrokan dan dinanti-nantikan kepincangan oleh musuh-musuh politiknya serta diakui isu-isu dan kes-kes dalaman parti dan individu mampu menggugat dan memusnahkan kuasa dan masa depan parti;

Menyedari melalui kuasa yang diperolehi dari amanah rakyat pada pilihan raya umum lalu, selain menjadi wakil rakyat terdapat jawatan-jawatan lantikan politik yang penting dalam kerajaan yang dimenangi, yang menjadi lubuk kekayaan serta terdedah kepada rasuah;

Menyedari tidak pernah diamalkan oleh PAS untuk mana-mana pimpinan dan ahli yang berjawatan / lantikan politik dalam kerajaan yang dimenangi atau wakil rakyat di negeri yang dimenangi pihak lawan; mengisitiharkan harta kepada umum;

Menyedari tiada polisi khusus yang disediakan oleh PAS agar mana-mana pimpinan dan ahli yang berjawatan / lantikan politik dalam kerajaan yang dimenangi atau wakil rakyat di negeri yang dimenangi pihak lawan; mengisitiharkan harta kepada umum pada setiap tahun maka;

PAS KAWASAN BATU mendesak PAS Pusat agar menyediakan polisi persitiharan harta pada setiap tahun kepada umum / media melibatkan  mana-mana pimpinan dan ahli yang berjawatan / lantikan politik dalam kerajaan yang dimenangi atau wakil rakyat di negeri yang dimenangi pihak lawan – bagi mempastikan ciri-ciri ketelusan, integriti dan amanah dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab agar ia benar-benar terlaksana dan tidak menjadikan jawatan politik sebagai “batu loncatan” untuk mengisi dan  memenuhi kepentingan diri sendiri.

PAS Kawasan Batu mendesak Kerajaan PAS Kedah dan Kelantan menubuh dan menguatkuasakan HISBAH dengan segera!


Tuan Guru Abdul Hadi Awang sedang menyampaikan ucapan dasar "Islam Adil Untuk Semua" pada Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Putik

MENYEDARI isu ketelusan dan integriti mampu memperkuatkan sesebuah kerajaan melalui penghormatan, kepercayaan dan keyakinan tinggi rakyat tanpa berbelah-bahagi;

Menyedari kerajaan pembangkang seperti Kedah dan Kelantan yang sentiasa diintip, dicari kesalahan, direka-reka kebobrokan dan dinanti-nantikan kepincangan oleh musuh-musuh politiknya serta diakui isu dan kes-kes dalaman mampu memusnahkan parti;

Menyedari Kerajaan PAS Kelantan telahpun menubuhkan HISBAH sejak dimenangi PAS pada tahun 1990, tetapi penguatkuasaannya tidak dapat dilihat, dikesan dan dihayati seolah-olah ianya tidak wujud;

Menyedari Kerajaan PAS Kedah yang dimenangi PAS sejak 2008 belum mengistiharkan ada menubuhkan HISBAH bagi memenuhi objektif sebenarnya;

Menyedari sambutan hebat rakyat terhadap fungi SELCAT atau Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor yang diperkenalkan oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim (Pakatan Rakyat-KeADILan) dalam menangani isu-isu dalaman membabitkan Kerajaan Selangor;

Menyedari respons rakyat meningkat, kukuh dan yakin dengan penubuhan CAT atau Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (Pakatan Rakyat-DAP) dalam menangani isu-isu dalaman membabitkan Kerajaan Pulau Pinang maka;

PAS KAWASAN BATU mendesak PAS Pusat agar mempastikan Kerajaan Kedah menubuhkan HISBAH secepat mungkin dan mempastikan Kerajaan Kelantan terus menguatkuasakan HISBAH dalam pentadbirannya seperti mana CAT dan SELCAT di negeri Pulau Pinang dan Selangor yang terbukti mampu meningkatkan keyakinan, kepercayaan dan menaruh harapan yang tinggi pelabur, kakitangan awam dan rakyat seluruhnya.

PAS Kawasan Batu mendesak agar Kerajaan Malaysia membubarkan SUHAKAM

Perasamian serentak muktamar dewan-dewan oleh Mursyidul Am PAS, 9 Jun 2010 di Putik jam 9.30 malam

MENYEDARI Suruhanjaya Asasi Manusia Malaysia atau SUHAKAM ditubuhkan bagi menangani pelbagai isu berkenaan penindasan, kezaliman, ketidakadilan dan diskriminasi yang dideritai oleh rakyat Malaysia;

Menyedari rakyat yang tertindas sangat bergantung terhadap SUHAKAM agar menyiasat, mengambil tindakan positif dan mengemukakan keputusan yang adil dan saksama terhadap kes-kes membabitkan mereka;

Menyedari selama SUHAKAM ditubuhkan, tidak banyak kes diselesaikan  sebaliknya ia hanya menjadi tempat longgokan rasa tidak puashati rakyat yang dialih-alirkan oleh Kerajaan Malaysia secara halus dari terkena langsung kepada kerajaan;

Menyedari kewujudan SUHAKAM hanya menjadi “pendinding, tembok dan perisai” kepada Kerajaan Malaysia untuk menyelamatkan diri, bersembunyi dari persoalan sebenar, lari dari tanggungjawab dan amanah yang sepatutnya dipikul secara konsisten;

Menyedari harapan yang tinggi rakyat terhadap SUHAKAM tidak lagi bermakna, sebaliknya Kerajaan Malaysia berasa selesa, selamat dan aman dari sebarang tekanan langsung rakyat terhadap isu-isu yang dibangkitkan;

Menyedari juga bidang kuasa SUHAKAM yang amat terhad, tidak boleh membuat keputusan, sebaliknya hanya menjadi “budak surahan” Kerajaan Malaysia semata-mata maka;

PAS KAWASAN BATU mengusulkan kepada PAS Pusat agar mendesak Kerajaan Malaysia membubarkan sahaja SUHAKAM yang tidak berperanan secara munasabah, pantas, adil dan konsisten sebaliknya ia menjadi perisai Kerajaan Malaysia mengalih-alirkan pelbagai isu kepincangan yang ditampilkan rakyat terhadap kerajaan kepada SUHAKAM.

Membaca aksi-aksi tangan pemimpin PAS dalam bergelut dengan pelbagai persepsi politik!


LAZIMNYA orang politik menggunakan tangan sebagai "pemikat" atau "aksesori" dalam menyampaikan pidato yang berkesan. Para pemimpin PAS, jika diperhalusi, sarat dengan pelbagai gaya menggunakan tangan ketika berucap, berbahas, berceramah dan berdiskusi. Gambar-gambar ini adalah rakaman spontan ketika mereka menggayakan tangan masing-masing dalam menyampaikan hujah pada Mukatamar Tahunan PAS ke-55 di Stadium Melawati, Shah Alam tahun lalu.

Dua usul kontroversi PAS Batu diterima tanpa bahasa dalam Muktamar Tahunan PAS ke-56 di Kelantan


PADA tahun ini, saya selaku Naib Yang Dipertua PAS Kawasan menolak untuk dipilih sebagai perwakilan PAS Kawasan Batu. Memberi laluan kepada rakan-rakan pimpinan lain untuk menikmati Muktamar Tahunan PAS Ke-56. Kali ini diadakan di Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan (Putik), Pangkalan Chepa bermula 9 hingga 13 Jun lalu. Menginap di homestay, Jalan Long Yunus.

Saya bertugas mengepalai kru wartawan Harakah di muktamar. Tiga dewan bersidang serentak, Pemuda, Ulama dan Muslimat di tempat yang berasingan. Tahun lalu, dan sebelumnya, saya sudah menjadi perwakilan. Tahun depan, insyaalah.

Perwakilan kali ini ialah Timbalan YDP, Haji Suhaimi Abdul Rahman (baju Melayu pink); Setiauasaha Kawasan, Haji Ismail Yahya (baju Melayu hijau muda); Ketua Penerangan, Haji Jamhur Nawawi (baju Melayu hijau gold), AJK PAS Kawasan, Haji Ismail Ibrahim (baju Melayu hijau biru) dan perwakilan wajib YDP sendiri, Haji Ishak Surin, 75, (baju Melayu hitam). Keterangan ini berdasarkan gambar paling bawah.

Dua usul PAS Batu diterima tanpa bahas. Satu menuntut agar Suhakam dibubarkan. Kedua mendesak PAS Pusat mewujudkan polisi persitiharan harta kepada umum/media terhadap mana-mana individu yang dilantik oleh parti dalam kerajaan termasuklah wakil rakyat serta mendesak Kelantan dan Kedah menubuh dan menguatkuasakan pada kadar segera Jawatankuasa Hisbah bagi meyakinkan rakyat dalam soal integriti seperti mana yang dilakukan oleh PKR di Selangor dengan SELCAT dan DAP di Pulau Pinnag dengan CAT.

Najib Tun Razak berusaha keras untuk mewujudkan Pilihan Raya Kecik Batu dengan harapan BN mencipta keajaiban menang

Tian Chua dalam pertemuan singkat dengan Tarmizi di Pejabat Editorial Harakah hujung Mei lalu

KEMELUT  yang terjadi dengan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap kes Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (KeADILan) dilihat seolah-olah adanya campur tangan politik terhadap mahkamah dalam usaha mengurangkan ahli parlimen Pakatan Rakyat.

Bagaimana pun, BN jelas dilihat mahu kerusi parlimen itu dikosongkan bagi diadakan pilihan raya kecil dengan harapan, BN akan menjuarai kerusi itu kelak. PAS percaya sokongan kaum Cina terhadap Pakatan Rakyat masih utuh dan jika berlakunya Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu ia tidak mustahil akan memihak kepada Pakatan Rakyat, malah mampu meningkatkan jumlah majoriti undi.

Senario ini, diakui oleh Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik yang menegaskan permainan licik Perdana Menteri, Najib Tun Razak ada disebalik keputusan ke atas Parlimen Batu itu. Jelas Abu Bakar, Najib sudah berjanji akan mencari jalan terbaik ke atas kemelut yang berlaku itu.

"Sekarang ini, Najib tidak ada hak untuk menghuraikan keputusan mahkamah, hanya mahkamah sahaja yang boleh menghuraikan. Apa hak Najib?" soalnya ketika dihubungi. Tegasnya, Najib seolah-olah tidak tahu bidang kuasanya dan mencampuri segala urusan termasuklah dalam bidang kehakiman.

"Ini bukan bidang kuasa dia sebagai ketua eksekutif, ini adalah bidang kuasa pembuat undang-undang dan kuasa mahkamah untuk bercakap soal undang-undang! Saya ingat, inilah ketua eksekutif dalam neagra kita ini. Amalan mereka sudah biasa mencampuri urusan kehakiman. Inilah dia hendak campur juga," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak yang disingkirkan, Dato' Seri Nizar Jamaluddin pula percaya tindak-tanduk BN disebalik keputusan yang menimpa Tian Chua itu adalah untuk memastikan adanya pilihan raya kecil. Bagaimana pun, beliau menolak kemelut yang berlaku di kawasan milik Pengarah Strategi KeADILan itu berbeza dengan kes di tiga Dun yang berlaku di Perak. "Apa yang berlaku di Perak berbeza dengan kes Parlimen Batu di mana ia melibatkan kes jenayah. Sebaliknya di Perak akibat lompat parti," katanya. 

Isu mengenai status Tian Chua menjadi perdebatan ramai ekoran keputusan mahkamah mengenakan denda RM2,000 ke atasnya selepas didapati bersalah mengigit seorang penjawat awam yang bertugas.

Sebelum itu, Pengerusi DAP, Karpal Singh  terus mempertahankan hujah dan pendiriannya bahawa kerusi Parlimen Batu perlu diisytiharkan kosong walaupun Tian Chua adalah rakan Pakatan Rakyat. Karpal berhujah, di bawah Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, kelayakan seorang ahli Parlimen gugur jika beliau dihukum penjara melebihi setahun atau didenda melebihi RM2,000 dan tidak mendapat keampunan. Karpal turut menegaskan sebenarnya Dewan Rakyat tidak ada kuasa untuk menentukan sama ada kerusi Batu perlu dikosongkan atau sebaliknya.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato' Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Tian Chua boleh memilih untuk menjalani hukuman penjara dua bulan jika beliau tidak mahu kehilangan kerusi parlimennya itu. Junaidi, bagaimanapun, berkata Tian boleh memilih untuk menjalani hukuman dua bulan penjara bagi mengelak risiko terbatal kelayakannya sebagai ahli parlimen berhubung isu denda tersebut.

Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah. Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan.

Tian Chua, 46, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007. Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur. 

Masa musabaqah al-Quran peserta baca ayat judi haram, tiba musabaqah bola sepak jadi halal...


SEBAGAI sebuah parti yang dinamik, berpegang dengan prinsip agama, maka PAS mengorak langkah setapak lagi dengan melakukan satu ijtihad politik pada 10 Jun 2010 dalam Mesyuarat Majlis Syura PAS di Kota Bharu, Kelantan yang mengambil keputusan mengharuskan calon bukan Islam bertanding menggunakan lambang parti itu dalam pilihan raya umum akan datang. 

Keputusan yang dibuat berdasarkan hujah syarak melalui al-Quran, hadis ijmak dan qias. Inilah kekuatan PAS yang memiliki ulamak muttaqin dan berwibawa. Sudah tentu keputusan yang dibuat bukan dengan nafsu tetapi dengan amanah ilmu. Keputusan itu telah mencukil khazanah ilmu yang terpendam dalam kitab-kitab yang begitu berharga kepada umat Islam. Inilah kelebihan PAS yang mempunyai ulamak yang berwibawa dari sudut hukum dan siasah. Apakah di dalam Umno, orang-orang agama dirujuk dalam sesuatu isu? Atau dirujuk dalam merangka dasar? 

Sudah pasti tidak. Ulamak dalam Umno hanya menjadi kubang tembaga yang tidak ada nilai. Mereka hanya laku untuk mencari dalil bagaimana hendak melawan PAS. Itu pun hanya berani jauh-jauh, ajak berdebat tidak pernah disahut. Keputusan ini Majlis Syura itu, telah menjadi keresahan musuh-musuh PAS. Media umno telah menyamakan apa yang PAS lakukan bertentangan dengan Islam. PAS sudah terkeluar daripada landasan perjuangan, kononya. Saya hairan juga kenapa Umno begitu risau dengan keputusan yang diambil oleh PAS itu?  

Ada seorang Profesor sebuah universiti, meminta secara sinis agar PAS menukar namanya, kerana membenarkan orang bukan Islam bertanding atas lambang PAS. Sebelum PAS disuruh tukar nama, saya meminta dia tukar namanya terlebih dahulu, kerana nama beliau sebagai nasionalis Melayu totok, tidak sesuai dengan ideologi perjuangan Melayu yang dianut beliau. 

Memang Profesor ini saya kenal sewaktu menjadi Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaya dahulu. Dia adalah orang yang cukup anti gerakan pelajar yang beroreintasikan Islam. Sepatutnya, dia sudah insaf, maklumlah nyawa di hujung umur. Kembalilah ke jalan Allah. Jangan malukan ahli akademik yang lain. Lebih baik letak jawatan Profesor dan jadilah Pengerusi JKKP merangkap ketua cawangan Umno di mana-mana tempat dalam Selangor.

Mereka hendak menyamakan apa yang PAS lakukan sama seperti Umno dalam komponan Barisan Nasional. Oh jangan samakan apa yang PAS buat. Ia amat berbeza, seperti langit dan bumi. Umno berkawan dan berwala’ dengan bukan Islam sehingga menggadaikan prinsip, sedangkan PAS "bertahalluf" tanpa menggandaikan prinsip Islam. Perkara ini dapat dilihat dalam Kerajaaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang terutamanya. PAS boleh menyebarkan kefahaman Islam dengan bebas. Selama 50 tahun Islam dibelenggu, sehingga rakyat tidak memahami agama Islam dengan betul. 

Semuanya angkara Umno-BN, yang menyekat perkembangan Islam. PAS tidak rugi bertahalluf dengan Pakatan Rakyat, yang ruginya ialah Umno. Umno gigit jari melihat PAS bersama dalam Pakatan Rakyat dan diterima baik oleh bukan Islam. Umno menggunakan media propaganda mereka untuk meletakkan kononnya PAS "boneka" DAP dan KeADILan. 

Kalau PAS jadi boneka DAP dan PKR, umno pula “pak yet” siapa?. Apa yang umno buat untuk orang Melayu dan Islam. Mungkin kuncu-kuncu umno jawab umno buat sekolah agama, dirikan masjid, adakan tabung haji, bantu orang susah melalui zakat, umno buat universiti Islam, bank Islam. Ini adalah jawapan yang Umno kemukakan kepada orang Melayu supaya mahu menampakkan parti itu berjasa pada Islam. Jawapan inilah yang dikemukan sejak zaman raja bersiong lagi. Umno izinkan judi, dirikan kilang arak, dan menaja program maksiat. Umno tidak bagi tahu kepada rakyat hal ini di kampung-kampung.

PAS tidak pernah menentang apa kebaikan yang Umno buat, malahan boleh dikatakan semua wang PAS disimpan dalam Bank Islam atau dalam kaunter bank yang menawarkan perbankan Islam. Bagaiamana pula umno? Adakah ia simpan dalam bank Islam juga? Mereka bercakap dengan orang Islam kononnya umno yang membuka Bank Islam, tetapi mereka tidak memberitahu akaun bank mana wang Umno disimpan? Sikap umno tidak ubah seperti kaldai yang membawa kitab, dan dia tidak membaca apa yang dia bawa.

Bukan Islam yang akan bertanding menggunakan logo PAS perlu mematuhi kepada prinsip Islam yang PAS pejuangkan. PAS meletakkan syarat-syarat yang ketat sebelum mereka dibenarkan bertanding antaranya, mereka hendaklah faham pada ajaran Islam serta bermoral tinggi. 

Mereka yang tidak bermoral tinggi tidak layak, seperti mana juga ada di kalangan ahli PAS yang tidak dibenarkan bertanding jika tidak memenuhi piawai yang telah ditentukan oleh parti.  Membenarkan orang bukan Islam tidak bererti PAS menggadaikan prinsip. Tindakan yang PAS lakukan sebagai satu langkah untuk melihat kemurnian dan keindahan Islam kepada orang bukan Islam. 

PAS telah membuktikan, dalam Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk menganut agama Islam. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidak ada paksaan dalam agama". PAS tidak memaksa orang bukan Islam. Hak beragama adalah hak mereka. Dalam masa yang sama, PAS cuba berdakwah menunjukkan keindahan Islam keapda orang bukan Islam.

Apa Umno buat dalam BN, ketika mereka berkawan dengan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti bukan Islam selama ini? Apakah di kalangan parti komponan mereka sudah jinak dengan Islam? Apa yang kita lihat, orang bukan Islam yang berkawan dengan Umno semakin jauh dan liar dengan Islam.  PAS tidak menyalahkan orang bukan Islam dalam hal ini. Orang bukan Islam menjadi keliru dengan Islam kerana mereka melihat pemimpin Umno cakap tidak serupa bikin. 

Dalam isu judi, mereka dengan pemimpin Umno bercakap berlainan dengan apa yang dicakap dalam musabaqah al-Quran. Ketika musim musabaqah al-Quran, para peserta membaca ayat yang mengharamkan judi seperti dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermakusd: "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (arak), judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu memang bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan kamu di sebabkan arak dan judi, malah mereka mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan mengerjakan sembahyang. (Oleh yang demikian) tidakkah kamu mahu berhenti." - al-Maidah ayat 90.

Ketika musim musabaqah bola sepak piala dunia, pemimpin Umno mengatakan judi yang diharamkan dalam musabaqah al-Quran jadi halal pula. Tidakkah orang bukan Islam keliru, kalau inilah lidah bercabang yang bercakap. Inilah yang disebut oleh seorang pujangga, "Islam terhalang oleh orang Islam sendiri".

Berbeza dengan PAS, kita konsistan menentang judi, samada di musim musabaqah al-Quran atau musim bola sepak. Penentangan PAS tidak bermusim.  Buktinya boleh dilihat Kerajaan Kelantan sudah tidak ada judi, begitu juga jasa PAS kepada rakyat di Terengganu sewaktu memerintah 1999-2004. PAS tidak membenarkan judi beroperasi lagi sehingga hari ini Terengganu tidak ada kedai judi, kesan daripada jasa PAS di ketika memerintah dulu.

Walaupun waktu Umno memerintah dahulu kedai judi tumbuh subur macam kacang hijau disiram air, tetapi bila PAS berkuasa, kedai judi ditutup. Inilah PAS yang sangat berbaza dengan Umno dalam soal judi.- Ustaz Idris Haji Ahmad

Peneroka Felcra juga alami kesengsaraan dan penderitaan yang sama dengan peserta Felda

SEBAGAIMANA juga Felda, Felcra tidak sunyi dibelenggu dengan pelbagai isu meskipun para peserta diikat dengan perjanjian, ketidakadilan terus berlaku dan kian berleluasa. Ini termasuklah kadar dividen yang rendah, kos pembangunan ladang yang mengelirukan, aktiviti tanam semula yang tidak sempurna, penyata bayaran peserta gagal dikeluarkan dan dakwaan salahguna kuasa serta penyelewengan antara isu utama melanda agensi itu.

Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Peserta Felcra Bhd, Akmalluddin Mohd Noor berkata, semenjak agensi itu diswastakan pada tahun 1997 dilaporkan lebih RM100 juta kerugian berlaku akibat penyelewengan dan salah guna kuasa. Beliau yang mewakili 95,000 peserta Felcra dari seluruh negara kecewa dengan langkah kerajaan mengkorporatkan agensi itu akhirnya pihak Pengurusan Kanan Felcra Bhd mendapat lesen dan restu untuk berbuat apa sahaja sehinggakan matlamat asal penswastaan itu tersasar jauh dari objektif sebenar.

Akmalluddin yang mengunjungi Harakah baru-baru ini, menegaskan para peserta terus di tahap lama malah lebih teruk apabila pemberian dividen yang mengecewakan dan dibebankan dengan hutang yang tinggi. "Peserta-peserta juga langsung tidak mendapat manfaat daripada kenaikan harga komoditi  bahkan aduan kami tidak mendapat layanan dan terus diketepikan," kata beliau.

Amat malang sekali, katanya peserta diikat dengan perjanjian zalim (simpul mati), dan berat sebelah yang memihak kepada Felcra sahaja sehinggakan mereka tidak ada ruang untuk menyuarakan pandangan.  Jelasnya, hak-hak peserta terus dirampas misalnya, kadar faedah melalui simpanan tetap hasil daripada projek peserta bernilai RM600 juta di dalam bank juga belum diagihkan.

"Bayangkan berapa faedahnya, siapa yang samun? Begitu juga keuntungan kilang-kilang sawit Felcra Bhd di mana akan diagihkan balik kepada peserta, malangnya tidak ada," katanya. Justeru, jelas beliau setiap peserta Felcra berhak mendapat hak mereka sepatutnya termasuklah mengetahui pengurusan yang berlaku di dalam agensi itu.

Oleh itu, Akmaluddin menyeru seluruh warga Felcra untuk sama-sama menyertai perhimpunan Warga Felcra Kebangsaan yang akan diadakan pada 1 Ogos ini di dalam kawasan Parlimen Pasir Salak.  Antara resolusi yang bakal diputuskan dalam himpunan itu adalah penubuhan sebuah badan bukan kerajaan menyerupai Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) sebagai wadah perjuangan masyarakat Felcra.

"Para peserta dialu-alukan menyertai himpunan itu nanti sebagai menuntut hak mereka selama ini ditindas oleh Felcra, kita harus berusaha untuk memperjuangkan nasib kita selama ini,"katanya.