KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 24, 2010

Ustaz Hassan Shukri lihat tumbesaran PAS hinggalah ke saat tengahari Ahad, 13 Jun dengan sapaan yang terakhir


MELALUI kepakaran dan pengalaman jitu dalam PAS, Ustaz Hassan Shukri akhirnya berjaya mewujudkan secara jelas Perlembagaan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dilancarkan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 25 Mei lalu, di Klang. 

Bukan Islam tidak lagi tercari-cari status mereka, sebaliknya Muktamar Tahunan ke-56, 11 Jun lalu telah membolehkan mereka hadir sebagai perwakilan buat kali pertamanya dalam sejarah. Soal menderaf peraturan dan undang-undang parti, Ustaz Hassan lah tempat rujuknya!

Bekas Timbalan Presiden PAS ini, sejak remaja hingga akhir hayatnya, terus bergelut dan bergelumang dengan PAS tanpa henti. Dialah arkitek Markas Tarbiyyah PAS Pusat yang kini diubahsuai sebagai Kolej Universiti Zulkifli Muhamad (KUIZME), bersebelahan rumahnya. Markas dijadikan pejabat parti sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Dia juga upaya menyelesaikan konflik dalaman parti di peringkat negeri dan kawasan. Juga dianggap arkib PAS, sarat fakta sejarah peristiwa, dalam dan luar parti. Tanya saja, peristiwa apa melibatkan PAS, tentu ada bicara tersiratnya dari apa yang tersurat.

Pemergiannya menghadap Ilahi jam 1.50 petang, Isnin 14 Jun, benar-benar memilukan. Saya diajak kolumnis Harakah, Haji Subky Abdul Latiff untuk menziarahi Ustaz Hassan di Hospital Selayang. Belum tiba ke pagar rumah beliau, isteri Subky, Naznah Dato' Taha memberitahu saya melalui telefon, Ustaz Hassan baru meninggal. Kami terus bergegas ke hospital. 

Di sana, saya, Subky, Ishak Surin dan Kak Naznah sedia membawa keluar jenazah diiringi anak Allahyarham. Tidak lama muncul Bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli. Setelah urusan selesai, jenazah di bawa ke van. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan isteri tiba. Beberapa pemuda PAS Gombak dan Wilayah Persekutuan menyambut jenazah di bilik rekod. 

Allahyarham dimasukkan ke hospital Selayang pagi 14 Jun sebaik pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malamnya, selepas menghadiri Muktamar PAS ke-56 di sana. Bersama beliau, Haji Subky dan Haji Abdul Rahman, aktivis yang lazimnya menjadi pemandu peribadi beliau.

Ustaz Hassan berada di Kota Bharu sejak Rabu 9 Jun, kerana menghadiri Mesyuarat Majlis Syura Ulama pada petang itu dan malamnya menyertai pula majlis perasmian dewan-dewan oleh Mursyidul Am di Putik. Beliau dianugerahkan Tokoh Pemuda PAS malam itu. Pada Khamis 10 Jun, beliau berkejar ke Muktamar Dewan Ulama di Madu, Machang dan kemudian bergegas ke Muktamar Dewan Pemuda di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bharu.

Di KTC, Allahyarham dan Subky menyapa saya, bertanya di mana hotel penginapan Cikgu Mahmud Zainal Abidin, bekas Adun PAS tahun 1969 yang menang di Dun Kg. Gajah, Perak (sekarang Bota). Dua jam sebelum itu, saya sudah berbual panjang dengan Cikgu Mahmud. Subky, Ustaz Hassan dan Rahman bertolak ke hotel penginapan Cikgu Mahmud. Di sana ada Darji Mutalib, bekas Bendahari Pemuda PAS Pusat yang cukup dikenali kedua-dua mereka.

Kali terakhir saya bertemu Ustaz Hassan petang 12 Jun, sewaktu beliau melambai tangan mengajak saya makan bihun sup di salah sebuah gerai muktamar. Tempat penuh, saya makan di gerai lain. Beliau ditemani beberapa veteran PAS, barangkali rakan beliau. 

Agak menyayat hati, bila hasrat saya untuk menulis beberapa fakta perjuangan PAS yang sering diceritakannya tak kesampaian. Dalam perjalanan pergi dan balik ke Majlis Makan Malam Pelancaran Dana KUIZME di Templer Park Resort, Rawang, Ahad 23 Mei, tidak henti-henti beliau membuka sejarah juangnya kepada saya dengan menyebut beberapa nama aktivis Parti Rakyat Malaysia (PRM) di Kuala Kangsar, Kedah dan Perlis. 

Beliau turut bercerita pahit jadam meluaskan pengaruh PAS di Perak. Memikul bateri, naik sampan, membonceng basikal, menapak berjalan kaki di kampung-kampung sepanjang Sungai Perak termasuk kawasan Parlimen Parit. 

"Saya akan interbiu Ustaz lepas muktamar. Kita bincang isu persempadanan kawasan pilihan raya dan pemerkasaan PAS," janji saya bila beliau menunjukkan wawancaranya dengan akhbar Kabar Pakatan di rumahnya sebelum solat Maghrib untuk bertolak ke Rawang bersama. Rakannya, Cikgu Ishak ada bersama ketika itu.

Setelah mengadu sakit yang tak henti-henti, kira-kira jam 9.00 pagi, 14 Jun itu, Ustaz Hassan dibawa ke Hospital Selayang dan dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung (CCU). Jenazah Allahyarham dibawa keluar hospital kira-kira jam 3.40 petang. 

Ustaz Hassan pernah menjadi Naib Presiden dan juga Setiausaha Agung PAS. Beliau pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan Raya Umum ke-10 lalu. Pelbagai anugerah diberikan kepadanya termasuklah Tokoh Maal Hijrah Selangor pada tahun lalu dengan antara hadiahnya menunaikan umrah.

Lebih 5,000 ahli, penyokong PAS, sanak saudara dan rakan taulan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham sebagai seorang mujahid. Solat jenazah di bawah khemah hadapan rumahnya melimpah hingga ke gigi kaki lima rumah dan bangunan KUIZME.

Solat jenazah diimamkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Kira-kira jam 9.30 pagi, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Taman Batu Muda, Batu Caves. Selain pemimpin PAS, Menteri Hal Ehwal Agama, Dato' Jamil Khir Baharom, bekas Pengarusi YADIM, Dato' Nakhaie Ahmad, bekas Mufti Perlis, Ustaz Asri Zainal Abidin dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw hadir. 

Pemergian Allahyarham benar-benar tersentuh, dan terasa kehilangan besar kepada perjuangan PAS yang kini melakar sejarah perdana dunia. Tiada siapa menyangka, Muktamar Tahunan PAS ke-56 dan Anugerah Tokoh Pemuda yang diterima Allahyarham dari Tok Guru Nik Abdul Aziz, 9 Jun lalu menjadi penutup kepada tali perjuangannya di dunia yang fana ini.

Rupa-rupanya, sapaan Ustaz Hassan sepanjang muktamar, berlegar dalam dewan, di gerai dan pusat pameran sekitar Putik, adalah sapaan terakhir beliau. Allahyarham melihat sendiri, tumbesaran PAS hinggalah ke saat tengahari Ahad, 13 Jun, walaupun beliau tidak berkesempatan mendengar penggulungan Presiden PAS. - Al-Fatihah. 

Tiada ulasan: