KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 10, 2010

Pemuda PAS tubuh Pusat Dialog antara Agama dan Peradaban yang akan mempergiatkan aktiviti dialog dengan bukan Melayu

SEBAGAI menyahut seruannya, Dewan Pemuda PAS melalui Lajnah Perpaduan Nasional akan menubuhkan Pusat Dialog antara Agama dan Peradaban yang akan mempergiatkan lagi aktiviti-aktiviti dialog dengan masyarakat bukan Melayu supaya berkongsi harapan dengan PAS ke arah negara Malaysia yang sejahtera, adil , saksama dan diampunkan oleh Allah s.w.t, tegas Ustaz Nasruddin Hassan sewaktu membentangkan ucap utamanya di KTC, sekejap tadi.

Pusat ini juga akan melahirkan lebih ramai pemuda yang akan menyemarakkan lagi kegiatan dialog, selain turut menjalin hubungan dengan badan-badan seumpama itu sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa seperti The Centre for the Study of Terrorism yang dipelopori oleh Dr Kamal al-Helbawi.

Melangsungkan perjuangan Islam yang diwarisi dari Rasulullah s.a.w, sokongan daripada masyarakat Melayu-Islam sememangnya sangat penting. Agenda memerdekakan manusia daripada perhambaan sesama makhluk kepada memperhambakan diri hanya kepada Allah dan menyelamatkan manusia daripada kezaliman golongan yang melampaui batas menuju rahmat keadilan Allah, sewajarnya lebih difahami oleh mereka kerana ia merupakan tujuan utama para Rasul diutuskan kepada manusia.

Berdasarkan kepada halatuju tersebut suka saya tegaskan di sini, bahawa tiada percanggahan antara usaha untuk mengekalkan sokongan masyarakat bukan Melayu dan meraih sokongan yang lebih luas daripada masyarakat Melayu.

Hanya golongan yang berpegang kepada politik perkauman yang sempit seperti UMNO dan BN , beranggapan masyarakat Melayu akan terancam sekiranya keadilan diberikan kepada masyarakat bukan Melayu. Sedangkan menurut Islam, keadilan itu merupakan sesuatu yang wajib juga diberikan kepada golongan bukan Islam sebagaimana firman Allah swt dalam ayat ke 8, surah al-Mumtahanah: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Bertitik tolak daripada hakikat itu, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada pendukung dan penyokong parti, supaya menghentikan perselisihan dalaman yang tidak berkesudahan. Yakinlah bahawasanya tiada percanggahan antara usaha untuk mempertahankan sokongan masyarakat bukan Melayu seperti yang diperolehi oleh PAS dalam PRU ke-12 yang lalu dengan usaha untuk meraih sokongan masyarakat Melayu untuk PRU ke-13 yang akan datang.

Kedua-dua golongan masyarakat bukan Melayu (ummah al-da`wah) dan masyarakat Melayu (ummah al-ijabah) sepatutnya didekati supaya mereka boleh memahami halatuju perjuangan PAS.

Ayuh! mari kita gemblengkan tenaga untuk mendekati mereka demi membina negara Malaysia yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keredhaan Allah berteraskan prinsip yang digariskan oleh al-Quran: "...negeri kamu negeri yang baik (aman dan makmur) dan Tuhan Yang Maha Pengampun." - Surah Saba’ . Ayat : 15

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS menyeru kepada seluruh masyarakat Melayu-Islam supaya sama-sama berkongsi hasrat dengan PAS ke arah membina sebuah negara yang sejahtera, adil, saksama dan mendapat keampunan Allah s.w.t, seterusnya meninggalkan perjuangan perkauman yang sempit.

Tiada ulasan: