KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 10, 2010

Mengimbau sejarah perjuangan pahit jadam Pemuda PAS - Ustaz Nasruddin Hassan

KEMENANGAN tetap dicari dalam segenap ruang dan peluang demi melestari inti pati perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Namun, untuk menang bukan bermakna kita mesti memudarkan cahaya perjuangan Islam yang didokong, tegas Ustaz Nasruddin Hassan, ketika menyampaikan ucap utama Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, pagi ini di KTC, Kota Bharu.

Sementara PAS menakluk kemenangan dengan tangan kirinya, tangan kanannya mestilah memelihara ketulenan perjuangan yang didokong. Justeru itu, suka saya tegaskan bahawa PAS mesti tetap berada di atas manhaj perjuangan Islam yang tulen dan mesti dilihat tulen dalam pengambilan manhajnya . Justeru, Islamlah menjadikan kita mulia dan hebat.

Sebagaimana penegasan Umar al Khattab r.a : Kita adalah satu golongan yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam maka sekiranya kita mencari kemuliaan selainnya nescaya Allah akan menghina kita.

Berasaskan realiti inilah, kita menitah satu arahan tegas yang diangkat menjadi tema Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat bagi kali yang ke 51 iaitu “Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan”.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) pada usia yang melebihi separuh abad, telah mengharungi pelbagai tribulasi dan pahit jadam dalam perjuangan bagi menegakkan syariat Islam di bumi Allah ini. Sepanjang tempoh tersebut, al-Qur’an dan as-Sunnah tetap menjadi pegangan dan tidak pernah sekali-kali ia ditinggalkan. Inilah rahsia umum kejayaan PAS, istiqamah dan berpegang teguh kepada Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS semenjak dahulu sehingga sekarang.

Lebih menarik apabila tenaga pemuda memainkan peranan penting dalam membantu perjuangan Baginda Rasul s.a.w. Nama-nama agung seperti Ali bin Abu Talib, Khalid Al-Walid, Usamah bin Zaid, Zaid bin Harithah dan ramai lagi, merupakan pemuda-pemuda yang gemilang dalam lipatan sejarah kebangkitan Islam sehingga berjaya mendaulatkan syariah di bumi Madinah dan mengembangkan syiar Islam ke suluruh pelosok dunia.

Negara kita turut menyaksikan tercetusnya gerakan reformis muda yang berjuang untuk menegakkan Islam lalu menuntut kemerdekaan dan bangkit menentang penjajahan British. Nama besar ulama’-ulama’ muda seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abbas Taha, Syed Sheikh Al-Hadi yang muncul pada awal abad ke-20 menjadi tokoh kepimpinan terbilang.

Sementara di pertengahan kurun ke 20 pula , ketika dunia berhadapan dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki, muncul seorang tokoh ulama’ muda, Maulana Abdullah Noh daripada Kelantan yang mempelopori sebuah pertubuhan Islam pada tahun 1946 di dalam negara ini. Obor perjuangan itu terus dilangsungkan oleh tokoh-tokoh pembaharuan Gerakan Islam seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar Al-Bakir yang menubuhkan Hizbul Muslimin dan kemudiannya menjadi satu ancaman besar kepada British.

Kemuncaknya PAS ditubuhkan pada tanggal 23 Ogos 1951. Disusuli beberapa tahun kemudian penubuhan Dewan Pemuda PAS pada tarikh 25 Ogos 1953, yang digagaskan menerusi Kongres Pemuda Islam Malaya di Madrasah al-Ulum, Bagan Datoh. Ia tegas mendokong cita-cita untuk mendaulatkan Islam di muka bumi Malaysia yang kita cintai ini.

Menelusuri kembali perjuangan Dewan Pemuda PAS yang berusia kira-kira 57 tahun, tidak lengkap tanpa saya nukilkan selaut pengorbanan dan suka duka perjuangan yang suci murni ini. Cerminan sejarah perjuangan jatuh bangun PAS terutama dalam tempoh 50 tahun pertama, sewajarnya dijadikan iktibar untuk membentuk dan merajah potret perjuangan pemuda dalam era 50 tahun kedua ini.

Pergerakan Dewan Pemuda PAS pada detik itu lebih cenderung memfokuskan gerak kerjanya kepada aspek kaderisasi ahli dan pembinaan fikrah perjuangan yang sahih. Disinilah Dewan Pemuda PAS menjadi hab produksi pelapis kepimpinan.

Pada tahun 1954, DPPP menubuhkan Kesatuan Penuntut Islam SeMalaya (KEPAS) untuk mengkaderkan anak-anak ahli gerakan di peringkat pelajar. Zaman kepimpinan Ustaz Amaluddin Darus bermula dengan pembangunan dan penstrukturan organisasi bagi membentuk kerangka yang lebih sistematik dan efektif.

Fasa ini juga merancakkan kegiatan tarbiyah secara agresif dengan penganjuran aktiviti-aktiviti seperti usrah, tamrin, daurah dan sebagainya. Sehinggalah penghujung dekad 60-an dan awal 70-an, kita menyaksikan kepimpinan Pemuda PAS diterajui oleh kombinasi ulama’ yang ?????? (mantap) dan ahli profesional yang ‘arif .

Tiada ulasan: