KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Jun 12, 2010

PAS putus mana-mana calon bukan Islam boleh guna logo PAS tanding PRU-13

PRESIDEN PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengumumkan Majlis Syura Ulama telah membenarkan calon-calon bukan Islam yang bakal ditampilkan PAS menggunakan logo parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

Ketika mengadakan sidang medianya selepas Majlis Perasmian Muktamar PAS ke-56 di Putik, dekat sini 11 Jun lalu, Ustaz Abdul Hadi berkata, melihat kepada masyarakat bukan Islam bersedia berjuangan dengan wadah PAS, kewujudan Dewan Himpunan Penyokong PAS telah membuka laluan ke arah perubahan politik lebih besar di negara ini.

Perubahan itu menunjukkan masyarakat bukan Islam semakin menerima PAS, justeru kata beliau, PAS menempa sejarahnya dengan secara rasminya pada 23 Mei lalu Dewan Himpunan Penyokong PAS direalisasikan.

Bercakap samada calon PAS dari kalangan bukan Islam itu akan turut berbaiah sama seperti wakil PAS sebelum ini, Ustaz Abdul Hadi berkata PAS akan perkenalkan kaedah perjanjian atau akujanji. Beliau juga menolak dakwaan kononnya PAS yang menampilkan calon bukan Islam pada pilihan raya, akan memberi saingan kepada parti lain dalam Pakatan Rakyat seperti DAP dan keADILan untuk sesuatu kawasan Dun mahupun Parlimen.

Katanya, bagaimana pun jumlah kerusi dan kawasan pilihan raya yang diperuntukkan bagi golongan ini masih belum dikenalpasti dan beliau yakin akan ada persefahaman antara ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat berhubung keputusan itu. "Kita tidak akan bertanding di tempat KeADILan atau DAP," tegasnya.

Dalam pilihan raya umum dua tahun lalu, seorang penganut Hindu berbangsa India, Kumutha Raman dizinkan bertanding 'mewakili' PAS di Johor. Penyokong PAS itu bagaimana pun bergerak sebagai calon bebas.

Ditanya tentang mekanisme PAS bagi mengelakkan calon bukan Islam mereka melompat parti, Ustaz Abdul Hadi berkata kesemua calon dikehendaki mengadakan iqrar atau perjanjian dengan parti. "Lagi pun, orang yang bermoral tidak akan melanggar perjanjian," katanya.

PAS sebelum ini berjaya mengekang fenomena lompat parti dalam partinya melalui "baiah" (sumpah taat setia) sesama Islam. Bagaimanapun, mekanisme tersebut tidak boleh dilakukan terhadap penyokongnya yang berbeza agama. Beliau yakin perubahan politik yang dilakukan PAS hari ini dengan membawa bukan Islam bersama-sama dalam perjuangan menunjukkan keterbukaan dan keadilan dalam Islam.

Dalam sidang media yang sama, Ustaz Abdul Hadi turut menjawab beberapa persoalan termasuk ucapan dasar yang banyak menyentuh isu-isu dalaman dan pemerkasaan parti. Beliau berkata, PAS akan menumpukan kerja-kerja memperkukuhkan kekuatan parti bagi mempersiapkan gerakan yang lebih mantap untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

1 ulasan:

Abdul Muiz berkata...

Assalamualaikum.

Saya berharap calon bukan Islam PAS itu betul-betul yang boleh diharapkan oleh rakyat,boleh bekerja dan ada integriti serta wibawa.

Jika calon bukan Islam PAS itu sama seperti wakil rakyat Pasir Mas sekarang ini maknanya PAS mengulangi kesilapannya.


Kepada Tuan Tarmizi dan rakan-rakan yang lain,saya mula menulis di dalam blog.saya harap tuan juga boleh melawat,menjadi pengikut blog saya http://kalammindamuiz.blogspot.com/
dan boleh memberi komen kpd blog saya