KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Oktober 08, 2007

50 Tahun Merdeka: Melayu Makin "Mati Pucuk", Tanahair Kian Terkubur Angkara Saka Umno!

Mengapa Kempen 50 tahun Merdeka tidak mendapat sambutan rakyat? Kerana Umno cuba mengekploitasi kempen ini untuk menonjolkan Presiden-Presiden Umno dan parti itu kononnya sebagai perintis kemerdekaan. Di mana pejuang-pejuang tulen kemerdekaan dihumban oleh mereka?

Umno terus menjadi pembelit dan pendakyah tersohor di negara ini dengan berselindung di sebalik kuasa dan undang-undang...

Cikgu Ishak, Tarmizi dan Ustaz Marzuki menyampaikan Memorandum Membantah Kempen 50 Tahun Merdeka kepada Kekwa. Memo diterima oleh Setiausaha Akhbar Datuk Rais Yatim, Jamuddin Idris di pejabatnya.


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

BUKAN kepalang lagi, Umno menggerakkan Kementerian Penerangan Malaysia “melobi” rakyat kononnya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj adalah “Bapa Kemerdekaan”.

Cerita dan mentera tahyul lain, kononnya Umnolah parti keramat yang menuntut dan memperjuangkan kemerdekaan di tanahairku yang tercinta ini.
Cerita mitos dan dongeng ini, terus dipacu siang malam melalui akhbar jajahan mereka dan televisyen yang dicengkam rakus. Atas nama kerajaan, Umno begitu giat berkempen bagi menjayakan sambutan “50 Tahun Kemerdekaan Negara”.

Yang peliknya, tiada gerakkan yang berani menyanggah atau membetulkan fakta palsu yang disogokkan kononnya Tunku dan Umnolah yang menggerakkan usaha kemerdekaan.

Bagaimanakah laungan “Merdeka” oleh Ibrahim Yaakob? Dan apa kaitannya dengan gerakkan merdeka yang diperjuangkan oleh PKMM, KMM, API dan AWAS sebelum diharamkan penjajah?

Saya bersama man Setiausaha Agung Partai Rakyat, CIKGU ISHAK SURIN yang juga antara aktivis yang terlibat diperingkat awal gerakan kemerdekaan, ketika aktif bersama API, baru-baru ini cuba menggerakkan satu gerakan “pemutihan” dan “penulisan semula” sejarah kemerdekaan, bersama beberapa rakan lain.

“Menulis semula sejarah” tidak bermakna melakarkan 1001 kisah benar dari hal perjuangan kemerdekaan dan diadaptasikan ke dalam buku. Sebenarnya jauh dari itu. Skopnya lebih luas.

Kami berhajat untuk membengkelkannya. Menseminarkannya. Mewawancara tokoh-tokoh sejarah yang masih hidup baik dari Umno, PAS, atau bekas-bekas pejuang kemerdekaan yang sudah dilupakan.

Kami mahu mempertemukan mereka. Berdiskusi kisah silam. Membetulkan fakta sejarah. Bukan meneruskan pembohongan seperti yang sedang dilakukan oleh Umno dan BN muktahir ini.

Langkah ini mendapat sokongan Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan. Gerakan harus dimulakan. Bukan mengutip fakta baru dan membenamkan fakta palsu semata-mata, kemudian dicetak sebagai buku.

Penulisan semula ini harus digembelingkan tenaga pemikir, tokoh sejarah, gerakerja pengumpulan maklumat. Yang paling penting “Team Penggerak” gerakan ini harus tahu di mana ianya patut dimulakan.

Sambutan 50 Tahun Merdeka, bulan lalu, kerajaan giat berkempen melalui media cetak dan televisyen tentang sambutan “50 Tahun Kemerdekaan Negara”. Tujuannya untuk tanamkan kepercayaan bahawa Umnolah yang mempelopori kemerdekaan.

Walhal faktanya palsu... Memanglah itu yang sedang berlaku. Usaha ini giat dijalankan untuk menafikan gerakkan awal kemerdekaan negara.Saya bersama Cikgu Ishak, juga rakan-rakan lain seperti Haji Suhaimi Abdul Rahman, Haji Jamhor Nawawi, Haji Ismail Yahya, Ustaz Marzuki Zakaria, Ibrahim Awang, Mohd Nawi, Ahmad Hasyim dan dua orang wartawan Harakah merempuh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekWa) pada 16 Julai lalu untuk menghantar secebis memorandum berkenaan isu ini.

Datuk Rais Yatim ada di Melaka, pada tengahari itu kerana pada malamnya ada program mega sambutan 50 Tahun Merdeka di Padang Hiliran, Melaka. Jadi, kami dilayan oleh Setiausaha Akhbarnya, Jamuddin Idris.

Kami mewakili PAS Kawasan Batu. Kamilah satu-satunya PAS yang memulakan penghantaran memo berkenaan isu 50 Tahun Merdeka. Kemudian diikuti oleh Dewan Pemuda PAS Pusat, kira-kira sebulan selepas itu.
Kita amat prihatin. Kerajaan cuba menonjolkan Umnolah yang mempelopori kemerdekaan dalam Kempen 50 Tahun Merdeka.

Bagi saya, usaha terancang begini amat dayus dilakukan oleh kerajaan semata-mata untuk mempengaruhi genarasi muda kini akur bahawa Umno dan pemimpin hari ini adalah kesinambungan pejuang kemerdekaan.

Umno cuba menafikan fakta sejarah yang sebenar. Siapa Tunku Abdul Rahman pada waktu merdeka dahulu? Siapa Umno? Macam mana Umno itu ditubuhkan?

Semuanya ini perlu dikaji semula oleh kita supaya fakta sejarah yang sebenar dapat diketahui oleh genarasi akan datang dan seterusya. Sebenarnya, Umno begitu takut untuk membongkar rahsia sejarah sebenar berhubung gerakan kemerdekaan ini.

Pejuang-pejuang terdahulu seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boeastamam, Dr. Burhanuddi Helmy dan lain-lain cuba dihapuskan nama mereka dalam buku-buku dan dokumentasi sejarah. Gerakan KMM, PKMM, API dan AWAS juga tidak disebut sebagai pelopor kemerdekaan sedangkan hakikatnya, kumpulan inilah yang mula-mula melaung dan membakar api kemerdekaan.

Maknanya kita ada pandangan kedua dalam isu ini. Mesti ada. Jangan nafikan hal ini. Umno bukan pelopor kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman bukan Bapa Kemerdekaan. Isu ini patut di ketengahkan. Ia bukan idea atau sanggahan membabi buta tetapi ia adalah fakta sejarah. Sejarah tidak boleh ditipu. Sejarah tetap sejarah.

Dengan adanya kempen-kempen media cetak dan televisyen ini (tajaan Umno), kita amat bimbang genarasi muda sekarang dibohongi kerajaan dan Umno khususnya. Mereka mahu fakta sejarah dipesongkan, diseleweng!

Dalam hal ini, kita mesti bertegas bahawa Umno bukan pelopor kemerdekaan. Umno ditubuhkan untuk menentang pembentukan Malayan Union semata-mata.
Tidak langsung disebut pada masa itu soal kemerdekaan.

Sedangkan sebelum itu, telah ada kumpulan tertentu yang bergerak secara tersusun, selepas sahaja tamat Perang Dunia Kedua.

Umpamanya penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Diikuti penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhamad. Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Merekalah (KMM, PKMM, API dan AWAS) yang memulakan gerakan tersusun untuk menentang penjajahan Inggeris di Tanah Melayu ketika itu. Inilah golongan yang sebenarnya patut diketahui oleh rakyat dan genarasi kini yang memula dan memperjuangkan kemerdekaan.

Dan Ibrahim Yaakoblah orang pertama yang melaungkan kalimat “MERDEKA”!. Bukannya seperti yag diwar-warkan, Umno atau Tunku Abdul Rahman.

Sebaliknya, orang-orang ini dilupakan langsung. Akibat laungan kemerdekaan mereka dan keberanian mereka menentang penjajah, maka mereka akhirnya disumbat dalam penjara dan KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan oleh penjajah.

Persoalannya, bilakah Umno muncul dalam catatan sejarah sebagai pejuang kemerdekaan? Jawapannya mudah. Iaitu selepas pejuang kemerdekaan tulin seperti Ibrahim Yaakob, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestaman dan lain-lain dipenjarakan oleh penjajah atas pelbagai alasan yang dicipta.

Selepas KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan. Barulah mereka muncul. Seolah-olah pemimpin-pemimpin Umno inilah yang beriya-iya mahukan kemerdekaan setelah ruang kosong yang ditinggalkan oleh KMM, PKMM, API dan AWAS.

Pada waktu ini, Umno adalah “anak didik” penjajah dan bukan penentang penjajah. Sebab itu, penjajah cukup sayang dan memapah Umno sebagai parti yang boleh “ditarik hidungnya” dan “dipulas telinganya”.

Tadi disebut kumpulan awal seperti KMM, PKMM, API dan AWAS adalah pejuang tulin kemerdekaan. Kemudian pemimpin utama mereka ditahan dan pertubuhan mereka diharamkan. Penjajah pula mengetengahkan Umno hasil kekosongan ini sebab hanya Umno yang boleh meneruskan dasar-dasar penjajah.

Soalnya, mengapa penjajah menentang atau tidak bersengkongkol dengan kumpulan pejuang gerakan kemerdekaan tulin yang awal?

Persoalan ini lazim dikemukakan apabila membicarakan isu ini. Realitinya, Inggeris (penjajah) tahu, mereka yang menggerakkan KMM, PKMM, API dan AWAS terdiri dari pejuang kemerdekaan tulin yang tidak mahu bersengkongkol dengan penjajah. Mereka ini tidak dapat diperkotak-katikkan oleh Inggeris.

Jika ditakdirkan mereka ini berjaya “memerdekakan” tanahair kita, tentu sekali lanskap politik negara kita tidak seperti hari ini.

Selepas diberikan kemerdekaan pada 1957, kita masih dibelenggu dengan pemikiran penjajah, dasar-dasar penjajah diteruskan, pendidikan penjajah dijalankan, ekonomi penjajah diperkenalkan dan macam-macam lagi “tahi” penjajah dimamah oleh rakyat kita yang dikatakan sudah 50 tahun merdeka.

Rakyat Malaysia, yang kononnya sudah “MERDEKA” tidak sedar bahawa mereka sebenarnya sedang terjajah. Penjajahan paling teruk dan kontra dengan “Islam sebagai Agama Rasmi negara” ialah memakai Perlembagaan Lord Reid milik penjajah yang memberikan “kemerdekaan” kepada Umno.

Undang-undang yang diterima pakai hari ini, bukan milik orang Melayu (Umno + PAS + PKR), juga bukan warisan orang India (MIC) atau harta peninggalan orang Cina (MCA + Gerakan). Tetapi milik orang putih yang menjajah Tanah Melayu.

Sebab itu, PAS mengemukan gagasan supaya Malaysia diIslamkan agar Perlembagaan Lord Reid milik penjajah itu ditukar kepada Perlembagaan Islam yang sudah tentu dimiliki bersama oleh orang Melayu, orang Cina dan orang India di negara ini.

Fenomena ini membuktikan rakyat diikat oleh penjajah. Dan Umno yang menjadi “belaci” penjajah sanggup menjalankan dasar-dasar penjajah ini. Inggeris percaya, jika kemerdekaan diberi kepada pejuang tulin seperti Ibrahim Yaakob, dasar-dasar Inggeris tidak akan terlaksana.

Sekarang jelas, sejarah dipalsukan dari segi gerakan menuntut kemerdekaan. Ini kerana Umno yang diberi kemerdekaan oleh Inggeris telah menggunakan kesempatannya sebagai kerajaan untuk memalsukan sejarah dalam semua aspek. Dokumentasi, buku sejarah dan seumpamanya. “Jenayah” ini mesti dibetulkan segara.

Perkara ini harus ditangani secara serius. Lihat balik pemalsuan sejarah dan sejarah sebenar. Betulkan fakta dalam buku sejarah yang jadi rujukan sebagai teks bacaan pelajar kita di sekolah-sekolah. Ini penting.

Kerana melalui paparan dari buku-buku sejarah inilah, pemalsuan berjalan secara rasmi dan terancang. Pelajar-pelajar kita adalah genarasi akan datang yang bakal mentadbir negara.

Tetapi, fakta sejarah yang melekat dalam kepala mereka hanyalah fakta palsu. Mereka tak kenal siapa itu Ibrahim Yaakob, iaitu orang yang mula-mula melaungkan kalimah “merdeka” kepada rakyat untuk mengnyahkan penjajah ketika itu.

Teringat cerita seorang rakan yang berasal dari Sabah yang kini bertugas di Harakah, bagaimana guru mata pelajaran Sejarahnya seringkali mendedahkan, mewar-warkan dan memesongkan fakta sejarah kononnya Ibrahim Yaakob adalah seorang komunis dan pejuang komunis.

Oleh kerana, ketika itu, beliau tidak tahu cerita sebenar, maka seperti murid lain, menganggukkan kepala dan merimanya bulat-bulat.

Saya yakin, cerita begitu menjadi “zikir” sesetengah guru mata pelajaran sejarah era tahun-tahun selepas merdeka hingga 80-an. Barangkali, masih ada lagi guru yang begitu, menanamkan doktrin kononnya Ibrahim Yaakob, PKMM, KMM, API dan AWAS adalah rangkaian mata rantai komunis di tanah air kita. Terutama guru-guru sejarah dari aliran Umno “totok” yang memegang jawatan diperingkat Bahagian.

Mengapa Ibrahim Yaakob yang mempelopori kemerdekaan bukan Tunku Abdul Rahman? Satu kajian yang dibukukan oleh Umno Johor, memperakui hakikat ini. Buku itu mendakwa orang yang mula mempelopori gerakan kemerdekaan tanahair ialah Ibrahim Yaakob. Berpusat gerakannya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Ibrahim membentuk jaringan dari Maktab Perguruan ini hingga idea kemerdekaan bertaburan ke seluruh tanahair; hingga ke Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ibrahim aktif menanamkan api kemerdekaan dalam kesatuan pelajar di Maktab.

Dari sini, pelajar Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak yang tamat pengajian mereka, membawa balik idea dan perjuangan kemerdekaan ini. Ia adi menyeluruh.

Di sinilah mula bibit kemerdekaan tercetus. Fakta ini dinafikan oleh Umno yang cuba meletakkan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Bagi kita yang “membaca” sejarah, tidak segan-slu lagi mempertegaskan bahawa Ibrahim Yaakoblah patut dinabatkan “Bapa Kemerdekaan” sebenar bukan Tunku yang tidak tahu apa-apa.

Sebab itu, satu gerakan penulisan semula sejarah PAS patut digerakkan segera. Kita kena betulkan fakta palsu Umno itu. Gembelingkan tenaga. Kumpulkan pejuang-pejuang yang terlibat diawal gerakan kemerdekaan tulin. Kumpulkan kajian-kajian ilmiah yang dilakukan oleh universiti-universiti.

Penulisan semula sejarah kemerdekaan wajib dibuat. Kita jangan asyik menyanggah soal kemerdekaan ini dalam tulisan-tulisan picisan ketika menjelang setiap kali sambutan hari kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun. Kita mesti sedarkan rakyat bahawa Umno bukan parti yang mempelopori gerakan kemerdekaan di tanahair kita. Tunku bukan Bapa Kemerdekaan.

Semuanya ini kita mesti dipersoalkan semula secara serius. Ini bukan kerja main-main. Kita percaya, semua tokoh-tokoh sejarah dalam negara kita akan bersama dengan kita jika usaha terancang dibuat untuk membetulkan fakta sejarah ini. Tidak mengikut acuan sejarah yang disediakan oleh Inggeris dan dipekik-pekikkan oleh Umno.

Fakta yang ada adalah fakta orientalis Barat yang mahu dilihat sebagai tiadanya penentangan serius dari rakyat terhadap penjajahan mereka. Pemerintahan diberi secara aman kepada Umno bagi menunjukkan baik dan bijaknya Inggeris pada mata dunia sepanjang penjajahan mereka.

Sebab itu, kami cuba mempelopori usaha ini kerana ia penting untuk genarasi akan datang. Ia tidak boleh tunggu lebih lama lagi. Kalau lebih lama, maka banyaklah penyelewengan sejarah akan dilakukan oleh Umno. Memang, PAS Wilayah akan cuba mempeloporinya. Isya-Allah!

Tiada ulasan: