KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 29, 2012

Sertai PAS: Industri hiburan "tergamam" dan jutaan peminat Aishah terkejut


Industri hiburan tanah air 'tergamam' dan jutaan peminat Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah pula 'terkejut' apabila Juara Lagu 1990 itu akhirnya menjadi ahli PAS seumur hidup. Aishah menyerahkan borang keahlian menjadi ahli PAS kepada Mursyidul Am parti itu, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis gilang gemilang di Markas Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar, pada 11 Mei lalu.

Ia disaksikan lebih 5,000 hadirin dan dipancarkan ke seluruh dunia melalui webtv.pas.org.net dan telukbakong.online. Aishah mengistiharkan dirinya bersama PAS pada 4 April ketika berceramah bersama pelawak, penulis lirik, pelakon dan juri Maharaja Lawak, Bob Lokman  di tempat yang sama, anjuran PAS Kawasan Batu.

Keahlian Aishah dicadangkan oleh Pengarang Harakah, Dato' Tarmizi Mohd Jam dan disokong oleh Setiausaha PAS Batu, Dato' Ismail Yahya dengan yuran RM100 ditaja penuh oleh PAS Batu. Tuan Guru Nik Aziz kelihatan begitu gembira menerima borang keahlian PAS daripada Aishah yang terkenal dengan lagunya "Janji Manismu".

Ini ditandai dengan kesudian beliau hadir dan berceramah lebih satu pada malam tersebut, walaupun penganjur dibisikkan oleh Setiausaha Politiknya, Wan Nik Yusuf, Tuan Guru hanya mahu meraikan Aishah sahaja.

Turut meraikan kemasukan Aishah ke dalam PAS ialah anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Tun Ghafar Baba; bekas Menteri Kesihatan, Dr Chua Jui Meng; Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Mariah Mahmood; bekas Ahli Parlimen Bachok, Wan Nik Yusuf; bekas Ketua Penerangan PAS Pusat, Subky Latif; Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah, Salbiah Wahab dan Yang Dipertua PAS Batu, Ishak Surin. 

Laungan takbir bertalu-talu sebaik sahaja Aishah menyerahkan borang PAS kepada Tuan Guru dan kemudiannya borang itu disampaikan kepada Yang DiPertua PAS Batu, Ishak Surin. Aishah dalam ucapan ringkasnya, amat terharu dengan layanan PAS yang menjayakan program besar itu semata-mata mahu meraikan kemasukannya ke dalam parti Islam yang berpengaruh itu.

"Baguslah, PAS kini disertai pelbagai lapisan orang. Artis sedia bersama PAS ni suatu yang menakjubkan," kata Tamrin Ghafar memberi reaksi seusai ceramah. Aishah turut dijadikan keluarga angkat oleh PAS Batu dan Tuan Guru Nik Aziz yakin, lebih ramai artis dan para pemimpin Umno akan bersama PAS menjalang PRU-13 ini.

Tiada ulasan: