KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mac 29, 2008

Setinggan Sifar: Tan Sri Khalid "DIINGAT" JANGAN TIRU Khir Toyo!

Jangan ulangi tindakan Khir Toyo yang kejam dan zalim. Jika pendekatan yang ingin Tan Sri Khalid gunakan sama macam Khir Toyo maka sudah tentulah peneroka bandar ini akan bangkit memberontak.

By MALCOM

HARI ini heboh apabila kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang baru menegaskan ingin meneruskan polisi Dasar Setinggan Sifar. Kenyataan ini dikecam dengan begitu hebat.

Antaranya Dr. Nasir (Hasyim - Adun Kota Damansara), JERIT, sahabat– sahabat didalam perjuangan dan para pejuang rakyat.

Saya akan membicarakan dari dua sudut yang senantiasa menjadi isu besar. Robohnya rumah setinggan atas desakan pemaju yang rakus atau robohnya rumahnya setinggan kerana ingin meningkatkan kualiti hidup mereka.

Dua persoalan yang harus dirungkaikan dengan baik. Saya bukan penulis yang bagus tapi berharap anda semua pembaca yang bijaksana faham akan maksud saya dan diakhir nanti saya berharap saudara bahaskan dengan baik.

Desakan Pemaju

Jika kita melihat kes – kes perobohan rumah – rumah peneroka bandar di seluruh negara, kita dapat membahagikan kepada dua jenis keadaan.

Keadaan yang pertama, perobohan yang berjalan lancar dan aman kerana pihak kerajaan negeri dan pemaju telah memberi pampasan yang setimpal dan menempatkan mereka semula dengan kediaman yang selesa dan infrastruktur yang lengkap.

Manakala keadaan yang kedua, perobohan yang tidak lancar dan ganas kerana pihak kerajaan negeri dan pemaju tidak memberikan tempoh yang cukup untuk mereka pindah, tidak menyiapkan rumah yang sepatutnya menempatkan mereka semula, pampasan yang tidak setimpal, dan bermacam – macam hal lagi.

Dua kes yang pernah menggemparkan negara. Kampung Berembang dan Taman Sri Rimba Jaya -(Maaf kalau salah nama taman.

Kedua-dua kes ini merupakan satu contoh dimana pihak peneroka bandar atau bahasa kasarnya penghuni rumah setinggan tidak mendapat pampasan yang setimpal.

Saya pernah terlibat dengan kes Kg. Melayu Fajar di Taman Melawati. Kampung tersebut ingin dirobohkan oleh pihak PBT kerana desakan pemaju yang tidak sabar–sabar mahu mendirikan projek di sana.

Seluruh penduduk kampung tersebut bantah perobohan tersebut. Mereka menentang kerana mereka diarahkan berpindah dalam tempoh yang cukup singkat. Malah ada sebahagian mereka dijanjikan rumah namun apa tiba saatnya rumah mereka mahu dirobohkan rumah yang dijanjikan tidak siap.

Nah dengan segera aksi penentangan dihasilkan. Saya dapat merasakan kesedihan setelah ditipu oleh pihak yang berkenaan. Mungkin begitu juga dengan kes di Kampung Berembang kerana janji–janji yang ditaburkan tidak ditunaikan.

Inilah masalah yang sering dihadapi oleh pihak peneroka bandar. Mereka merasakan diri mereka dipermainkan.

Ada juga rumah sudah siap akan tetapi keadaan rumah yang tidak selesa, bilik hanya ada dua, infrastruktur yang tidak lengkap dan lain – lain.

Perkara ini juga boleh menimbulkan aksi penentangan kerana bayangkan rumah yang mereka duduki dahulu mempunyai 3 bilik namun rumah yang baru pula hanya ada 2 bilik. Mungkin ada yang mengatakan mereka ini mengada.

Tapi kita harus hargai mereka. Mereka yang meneroka kawasan tersebut hingga tanah yang tidak bernilai menjadi bernilai. Mereka manusia sepatutnya mereka patut diberikan rumah yang selesa dan infrastruktur yang lengkap.

Jika semua ini dapat dipenuhi sudah pasti tidak akan wujud sebarang aksi penentangan.

Mungkin ada yang akan mengatakan mana mungkin semua benda ini dapat dipenuhi. Saya memberi contoh.

Seorang sahabat saya Mohd Khairi Fauzi. Bekas penduduk rumah setinggan di Pantai Dalam. Bekas penduduk Kampung Pasir Kiri, sewaktu menanyakan semasa arahan untuk berpindah dikeluarkan adakah wujud sebarang penentangan oleh penduduk kampung tersebut.

Beliau mengatakan tiada langsung kerana pihak yang berkenaan telah memindahkan mereka dengan tempat yang lebih selesa, infrastruktur yang lebih mantap dan berkualiti.

Jadi apa yang saya cuba sampaikan adalah jikalau pihak yang berkuasa ingin tanah itu kembali haruslah memberikan pampasan yang setimpal sesuai dengan jerit-payah mereka menebas semak samun, pokok dan lain–lain, tempatkan mereka dengan tempat yang lebih selesa dan juga sebagaimana yang saya katakan infrastruktur yang berkualiti.

Jika kesemua perkara ini tidak dibuat maka para peneroka bandar ada hak untuk membuat aksi penentangan.

Keperluan Hidup

Ketua negeri dan ketua negara terbahagi kepada 2 jenis mengikut pengamatan saya. Yang jahat, rakus dan zalim. Yang baik, jujur dan adil.

Kedua–duanya menginginkan kemajuan kepada negara atau negeri masing–masing. Tapi yang negatif perangainya ketika mahu membangunkan sesuatu kawasan akan berperangai seperti bekas MB Selangor dahulu.

Kerana tamakkan habuan, tidak sabar–sabar sesuatu projek itu dibangunkan kerana ada saham atau komisyen didalam projek tersebut maka apa jua cara penduduk setinggan harus dihalau sama sekali.

Mereka tidak pentingkan kebajikan penduduk kawasan tersebut. Rumah yang dijanjikan hanya sekadar janji. Paksaan untuk keluar dari rumah mereka dalam tempoh yang singkat amat memeritkan.

Kalau dipindahkan sekali pun rumah yang diberikan layak digelar umpama sarang burung merpati, infrastruktur yang teruk dan pampasan yang begitu sikit.

Perbuatan seperti ini harus ditentang habis–habisan dan inilah yang menjadi perjuangan kepada badan NGO seperti JERIT, aktivis masyarakat dan lain–lain.

Saya yakin perbuatan seperti ini akan mendapat simpati masyarakat seluruh negara.

Buat pemimpin yang mahu membangunkan kawasan setinggan tapi masih mementingkan kebajikan penduduknya pemimpin seperti ini harus diberi kredit walaupun sedikit.

Kalau tanah itu mahu diambil untuk tujuan pembangunan tapi kalau pampasan yang diberikan setimpal maka sudah pasti tidak akan muncul aksi penentangan oleh kaum peneroka.

Pemimpin baik sudah pasti mahu melihat rakyatnya hidup dalam keadaan selesa, infrastruktur yang bagus, rumah yang selesa, dan lain–lain.

Saya yakin setiap pemimpin yang baik mahu melihat rakyatnya hidup dalam keadaan selesa. Berikan saya contoh pemimpin mana yang mahu melihat rakyatnya hidup dalam keadaan yang tidak selesa?

Saya setuju dengan tuntutan JERIT agar mereka harus dilayan dengan baik dan tanpa ada unsur pengusiran. Malah kaedah yang ingin dilakukan oleh Tan Sri Khalid ingin mengadakan dialog dengan kaum peneroka bandar sebelum tanah yang mereka terokai dulu diambil juga merupakan satu tindakan yang baik.

Jangan ulangi tindakan Khir Toyo yang kejam dan zalim. Saya bukan untuk membela Tan Sri Khalid tapi jika itulah pendekatan yang ingin beliau gunakan maka tidak ada sebab mereka yakni kaum peneroka akan bangkit memberontak.

Bukankah dalam temubual beliau menekan mereka tidak akan diperlakukan seperti mana yang dilakukan oleh Khir Toyo dahulu.- AI@Black

Levi RM9: Tan Sri Khalid DISANGGAH, Lihat Realiti Sebenar

Sebagai bekas tokoh korporat, Khalid harus tahu bagaimana untuk melakukan penyiasatan audit terhadap petinggi yang memegang tidak kurang dari 60 permit agen outsourcing yang memberi mereka wewengan berdagang manusia!

By ALEX (MIGRANT CARE MALAYSIA)

CADANGAN Kerajaan Negeri Selangor mengenakan Yuran RM 9 sebulan ke atas setiap majikan yang mengambil pekerja asing adalah satu kebijakan yang tidak bijak kerana beliau tidak benar benar faham kelakuan dan realiti permasalahan pekerja asing.

Alasan untuk mengurangkan pengaliran keluar penukaran wang asing juga tidak munasabah kerana Khalid Ibrahim tidak mengambil kira "multiplier effects" pembelanjaan pekerja asing di ekonomi Malaysia yang menjanakan sumbangan tidak kurang 20 kali ganda penghasilan mereka kepada " GDP" Malaysia selain dari menggukuhkan angka export negara ke tahap RM 1.0 trillion pada tahun 2007.

Hujah Khalid mengenai hasrat untuk mengurangkan penggantungan terhadap pekerja asing bagi mengelak berlakunya aliran keluar wang negara ke luar negara adalah satu analisa yang terlalu cetek, kerana dengan purata gaji yang kurang dari RM 600 sebulan, berapa banyakkah pekerja asing boleh kirim pulang ke negara asal mereka dengan kondisi kos kehidupan yang begitu tinggi?

Mengambil RM100 setahun dari majikan maupun pekerja asing tanpa sebarang nilai servis yang di berikan oleh Kerajaan negeri Selangor adalah satu tindakan yang zalim dan tidak adil kepada semua golongan yang terbabit.

Pada tahun 2002, apabila Malaysia mengambil langkah untuk mengdeportasi 242,000, akbibatnya sektor industri Malaysia terutama sekali di Lembah kelang menghadapi kerugian yang besar.

Dalam bidang perumahan saja mengalami kerugian hampur 5.0 juta sehari kerana projek yang tergendala. Manakala sektor pembutan juga menghadapi masalah untuk menyempurnakan pesanan export negara.

Dalam jangka waktu 3 bulan Ekonomi Malaysia menanggung kerugian tidak kurang dari 80 billion dalam GDP dalam bentuk "multiplier effect" akibat dari deportasi pekerja asing asal Indonesia

Malaysia terlalu bergantung kepada pekerja asing adalah satu realiti yang benar, tetapi dimana masalahnya?

Khalid harus berani mengambil sikap untuk mencabar peranan Kementerian Dalam Negeri dalam sistem pengambilan pekerja asing.

Kedatangan pekerja Bangladesh melalui sistem Outsourcing yang di kuasai bekas pegawai tinggi Kementerian Dalam Negeri yang bersara pada bulan November, 2007 telah membawa 1,600 warga Bangladesh mendarat di KLIA setiap hari.

Dalam jangka waktu 10 bulan pekerja Bangladesh meningkat dari 18,000 sampai 400,000. Tariff Rasmi untuk pekerja ini ialah Takal 80,000 (RM 4,300) tetapi pungutan liar telah memaksa warga Bangladesh membayar Takal 240,000 (RM13,000).

Ia telah menjadi rahsia umum yang pegawai terbabit menerima RM5,000 bagi setiap orang pekerja Bangladesh.

Sebagai bekas tokoh korporat, Khalid harus tahu bagaimana untuk melakukan penyiasatan audit terhadap petinggi yang memegang tidak kurang dari 60 permit agen outsourcing yang memberi mereka wewengan berdagang manusia!

Walaupun kutipan yuran yang di cadangkan Khalid akan dibebankan kepada majikan, tetapi semua aktivis NGO di lapangan sangat tahu kondisi lapangan dan sikap majikan dalam soal ini. Pekerja asing yang sangat miskin itu pasti akan dibebankan.

Kemeterian Sumber Manusia telah menyediakan lebih dari 40 program latihan kemahiran yang sedang dicadangkan oleh Khalid, apa salah kerajaan baru mengadaptasikan program tersebut dan meningkatkan daya mutunya dengan pendekatan Khalid?

Dasar Pekerja Asing Malaysia yang tidak menentu menyumbang kepada masalah ini? Atau masalah sistem pendidikan dan budaya bangsa kita yang menghina pekerjaan yang kotor, bahaya dan tidak membawa erti?

Khalid Ibrahim perlu lebih fokus kepada wawasan untuk meningkatkan value chain ekonomi negara tanpa menjejas penghasilan pekerja yang menerima gaji paling murah di dalam sektor ekonomi.

Sekarang, yang paling dasar, Khalid perlu memperkasakan pemperdayakan sumber insan Selangor dalam sistem pendidikan dan orientasi minda berkiblat kepada sistem apprentis Islam yang sangat fokus keatas keusahawanan dan produktiviti dan peningkatan kualiti hasil pekerjaan.

Selagi Khalid masih bertumpu kepada konsep makan gaji, saya yakin sampai qiamat, cita-cita beliau masih tetap sebagai impian yang tidak sempurna.

"Khianat yang paling besar adalah bila seorang penguasa memperdagangkan rakyatnya" - (HR Athbrani)

Dipanjangkan oleh: Alex Ong - Migrant CARE Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Member of Migrant Forum in Asia and International NGO Platform on Migrant Workers' Convention) - Laman M@RHAEN

MB Selangor PERJELAS Isu SETINGGAN SIFAR dan LEVI PEKERJA ASING

Kami tidak akan menangani isu ini sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, yang melaksanakan polisi setinggan sifar untuk memberi tanah kepada pihak-pihak berkaitan dan tanpa menghormati kebajikan setinggan. Sebaliknya kami akan terus menekankan hak perumahan untuk semua.

By TAN SRI KHALID IBRAHIM

SAYA menghargai keprihatinan yang dipamerkan oleh beberapa badan bukan-kerajaan mengenai rancangan saya untuk Selangor sejak beberapa hari yang lalu.

Kerajaan Selangor yang baru mendapat dokongan rakyat kerana kami bertekad membuka lembaran baru dalam arus pembangunan Selangor, pendekatan yang akan menumpukan kepada kesejahteraan hidup rakyat, memudahkan perniagaan dan meningkatkan ekonomi untuk semua.

Pertama sekali, cadangan saya untuk mengenakan levi RM 9 daripada majikan bagi setiap pekerja asing mereka adalah untuk berdepan dengan isu sebenar berkenaan pergantungan kita kepada pekerja asing dan kepingitan belia kita yang kini menganggur atau tidak mendapat kerja yang sepatutnya.

Wang yang dipungut akan diagihkan untuk meningkatkan kemahiran belia supaya nilai mereka bertambah dan meningkatkan pembangunan Selangor dan Malaysia ke tahap yang lebih mantap. Kita mesti menerima hakikat iaitu tanpa mengatasi masalah ini kita menjejaskan masa depan negara kita.

Kerajaan Negeri Selangor komited untuk mengatasi masalah ini melalui proses yang sah dan menghormati hak asasi manusia dan akan mengkaji dengan lebih mendalam bagi melaksanakan dasar ini.

Kedua, saya bercadang terus mengurangkan bilangan setinggan di negeri ini untuk membebaskan mereka daripada kitaran kemiskinan dan menjamin hak asasi rakyat untuk mendapat tempat kediaman yang selesa tetapi turut mengiktiraf hak tuan tanah.

Selangor merupakan negeri yang maju dan rakyatnya perlu mendapat rumah yang mampu dimiliki.

Kami tidak akan menangani isu ini sama seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini, yang melaksanakan polisi setinggan sifar untuk memberi tanah kepada pihak-pihak berkaitan dan tanpa menghormati kebajikan setinggan.

Sebaliknya kami akan terus menekankan hak perumahan untuk semua.

Kami juga akan menentukan perumahan kos rendah mencapai spesifikasi minima yang lebih baik. Garis panduan baru akan diwujudkan untuk menentukan hak dan kebajikan setinggan dipertahankan setiap masa.

Namun demikian, tidak boleh dinafikan kita perlu berusaha mengeluarkan mereka dari kawasan setinggan untuk memberi mereka dan anak-anak mereka masa hadapan yang lebih baik disamping untuk menjaga kepentingan hak kepada pemilik harta (property rights) dalam kawasan yang didiami setinggan tersebut.

Kami merancang memperkenalkan proses rundingan dengan semua pihak terbabit, termasuk badan-badan bukan kerajaan dan sektor korporat untuk memastikan semua pihak dapat memberi input dan mendapat maklumat yang sahih mengenai rancangan kami.

Kami tidak berhasrat meneruskan amalan lama meneruskan kesilapan dan kezaliman dengan penguatkuasaan berat sebelah untuk syarikat-syarikat kroni untuk menyelesaikan isu pekerja asing dan setinggan, tetapi kami mengambil pendekatan baru mengikut proses yang sah yang mengambil pendekatan berimbang terhadap implikasi sosial dan komersial untuk pembangunan Selangor.

Mulai Mei, Akses PORNOGRAFI Diinternet DISEKAT!

By UTUSAN MALAYSIA

PARLIMEN Indonesia telah meluluskan undang-undang menyekat kemasukan bahan berbentuk porno melalui dunia maya. Undang-undang tersebut yang dibahaskan sejak 2003 hanya diluluskan Selasa lalu.

Mulai Mei ini, rakyat Indonesia tidak lagi dapat mengakses bahan-bahan porno melalui Internet.

Indonesia yang memiliki lebih 230 juta penduduk mempunyai 26 juta pengguna Internet dan 90 juta pengguna telefon selular.

Undang-undang berkenaan bukan sahaja menyekat beredarnya bahan-bahan pornografi tetapi turut meliputi pencegahan jenayah siber, penipuan dan pemalsuan kad kredit serta perjudian melalui Internet.

Mereka yang didapati bersalah membuat dan menyebar laman porno dikenakan denda sehingga RM400,000 atau penjara sehingga enam tahun.

Menurut laporan, puluhan ribu laman pornografi beroperasi secara bebas di negara ini.
Penggubalan undang-undang Informasi dan Transaksi Elektronik itu disambut baik oleh pertubuhan dan masyarakat Indonesia untuk melindungi kanak-kanak daripada terdedah dengan laman-laman lucah dan berunsur seks itu.

Namun ada juga yang mempertikaikannya. Sebuah akhbar yang memetik seorang pemimpin parti meminta pemerintah memberikan penjelasan tentang definisi tidak bermoral dan pornografi dalam undang-undang berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Informasi Prof. Ir. Mohammad Nuh menyatakan walaupun pengguna Internet di Indonesia masih kecil tetapi jika dibandingkan dengan negara jiran, ia merupakan satu jumlah yang cukup ramai.

Usaha mencegah negara ini dibanjiri bahan lucah melalui dunia maya itu juga sejajar dengan langkah pemerintah untuk menggalakkan pelajar-pelajar sekolah menggunakan Internet.

Pada masa ini laman-laman lucah beroperasi dengan bebas dan para pengusaha tidak bimbang dengan persoalan undang-undang.

Namun sejauh mana pelaksanaan undang-undang itu akan dipatuhi kerana teknologi infomaya berkembang dengan cepat dan canggih.

Di negara ini, bahan porno bukan sahaja dapat diakses melalui internet tetapi juga begitu mudah diperoleh dalam bentuk cakera padat video (VCD), majalah dan beredar dengan melalui telefon selular.

Dalam hal ini, pihak pemerintah diharap mencontohi Malaysia dan Singapura yang tegas dalam menangani pengedaran filem dan bahan lucah.

Bagi pihak yang menentang undang-undang ini akan menggunakan hak-hak kebebasan manusia atau individu untuk mendapatkan maklumat dan hak untuk meluah rasa melalui seni.

Sebelum ini langkah pemerintah untuk melaksanakan undang-undang porno dan aksi lucah ditentang oleh golongan berkenaan berikutan kemasukan majalah Playboy ke pasaran negara ini.

Namun undang-undang itu masih belum diluluskan walaupun majoriti masyarakat dan pertubuhan sosial menyokongnya.

AMANAT Wan Azizah Sebagai KETUA PEMBANGKANG!

PM Tiada PERANAN Dalam PEMILIHAN MB atau KM - Tun Mahathir

By BERNAMA

BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa suratnya yang tersiar di beberapa akhbar hari Jumaat merupakan satu penjelasan terhadap senario politik yang berlaku terutamanya mengenai pelantikan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata penjelasan itu berdasarkan kefahaman beliau mengenai sistem perlembagaan negara.

"Saya ada pengetahuan tentang perlembagaan. Jadi saya fikir terdapat banyak kekeliruan dan kebimbangan berkenaan peranan yang dilakukan oleh Sultan. Saya rasa saya kena jelaskan apa yang saya tahu.

"Ini kerana, supaya orang yang berasa curiga dengan apa yang dilakukan oleh Sultan (Tuanku Mizan Zainal Abidin) akan faham tindakannya. Baginda tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya dan ada sebab," katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) 2007 di sini malam Jumaat.

Surat tulisan Dr Mahathir itu disiarkan di dua akhbar berbahasa Inggeris yang menjelaskan kegusaran dan kekeliruan rakyat Malaysia mengenai peranan Sultan dalam pelantikan Menteri Besar.

Di dalam surat itu, Dr Mahathir berkata Perdana Menteri tiada peranan dalam pemilihan menteri besar atau ketua menteri. Tindakan Perdana Menteri menamakan calon yang sepatutnya menjadi menteri besar hanyalah atas hal ehwal parti semata-mata.

Mengenai sama ada perlu jawatan Presiden Umno dan Timbalannya dipertandingkan, beliau berkata jawatan itu boleh dipertandingkan sekiranya ahli-ahli parti mahukan perubahan.

"Jawatan itu boleh dipertandingkan. Kehendak ahli-ahli perlu dilayan dan tidak boleh ketepikan, jika ketepikan itu salah," katanya.

PRU12: MAXIS Sumbang Jutaan Ringgit Kepada UMNO?

By ABDUL HALIM RASHID

EDITOR Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin menukar nombor telefon tangannya kerana tidak mahu lagi menggunakan perkhidmatan Maxis yang dimiliki Tan Sri Ananda Krishnan.

"Maxis dimiliki oleh Ananda Krishnan, kroni Umno. Dan saya diberitahu bahawa dalam pilihan raya yang lalu beliau menyumbangkan beratus-ratus juta ringgit kepada Umno. Itu menjadikan beliau musuh rakyat," dakwa beliau.

Ananda, dakwa beliau lagi, 'menentang' perubahan yang dikehendaki rakyat dengan menyumbangkan beratus-ratus juta ringgit kepada Umno di dalam usaha untuk mematahkan perjuangan rakyat yang mahukan perubahan.

Mengenai tindakan memboikot akhbar-akhbar, beliau menyatakan usaha tersebut tidak sepatutnya terhenti setakat memboikot akhbar-akhbar sahaja.

"Kita (juga) mesti memboikot kesemua produk yang diiklankan dalam akhbar-akhbar tersebut. Jangan beli apa juga produk yang diiklankan dalam akhbar-akhbar Barisan Nasional (BN).

"Inilah satu-satunya cara untuk menyakitkan mereka, di bahagian yang paling menyakitkan, (iaitu) di dalam poket mereka," tegas beliau.

Menurut beliau, itulah yang dimaksudkan dengan keingkaran awam (civil disobedience).

"Boikot semua makanan, perkhidmatan dan produk yang dimilki kroni-kroni, syarikat-syarikat dan sesiapa juga yang menyokong BN dengan dana politik bernilai beratus-ratus juta ringgit. Mereka mendapat duit dari kita dan kemudian memberikannya kepada BN.

"Mengapa membantu mereka membuat duit, yang kemudiannya digunakan untuk menentang rakyat? Mulakan boikot itu sekarang. Biar keingkaran awam yang berkuasa," kata Raja Petra lagi.

Jumaat, Mac 28, 2008

Cina TAPI Dapat Nikmat DEB Secara TIDAK LANGSUNG

REDHUAN D ONN
Kini saya telah menjadi seorang pakar ICT dan mengetuai sebuah projek Open Source global yang masyur, mendapat jemputan menjelajah ke negara-negara maju maupun membangun sebagai seorang penceramah dan penasihat sehingga ke peringkat kerajaan mereka.

By REDHUAN D ONN

SAYA dilahirkan di Singapura sebagai Daniel Oon Poh Shin pada tanggal 16hb Oktober, 1961.

Saya dapat mengikuti pendidikan sekolah rendah aliran Inggeris sehingga menjadi pelajar terpilih ke Sekolah Menengah Victoria Institution, Kuala Lumpur pada tahun 1974.

Keluarga saya agak miskin kerana ayah saya cuma seorang juru elektrik yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia, Unit Semboyan yang berpangkat paling tinggi Sarjan sebelum beliau bersara awal dalam tahun 1979.

Ibu-bapa saya telah berpisah pada pertengahan tahun itu disebabkan pergaduhan dalaman yang berpunca dari cara hidup bapa saya yang suka duduk di meja judi dan arak.

Saya sebagai anak sulong terpaksa mengharungi hidup hampir seorang diri kerana tidak mendapat apa jua bantuan atau sumber kewangan luar bagi saya meneruskan pendidikan saya ke universiti.

Saya amat berminat dengan sains, sejarah manusia dan falsafah. Saya ingin sekurang-kurangnya menjadi seorang penyelidik sains atau sejarawan dalam alam universiti sekiranya saya dapat menuntut habis-habisan.

Kerana saya dikira bukan bumiputra saya tidak mendapat bantuan kerajaan untuk belajar ke luar negara. Rakan sekelas saya, Khairiltitov saya dengar beliau dapat belajar ke Amerika Syarikat padahal jika tak silap saya dia cuma dapat MCE (SPM) gred 2.

Saya bukan sahaja dapat gred 1 tetapi terpaksa mengejar poin cognix serendah bawah 9 poin untuk layak naik ke tingkatan enam bawah pada tahun 1979.

Adik saya yang kemudiannya gagal memperolehi gred dan poin yang sedemikian terpaksa mencari pembiayaan pendidikannya sendiri iaitu ke TAR (Kolej Tunku Abdul Rahman).

Ibu kamilah yang cuba menanggung kami menerusi perniagaan kecilnya di tepi jalan Ampang depan Kelab Lumba Kuda. Kami bantu ibu kami menjual rokok sehingga dapat menanggung saya selama beberapa tahun dari tingkatan 3 sehingga 6 bawah itu.

Kehidupan kami sudah cukup sederhana tetapi telah ditambah susah kerana tabiat buruk judi dan minuman keras yang dibenarkan oleh budaya semasa masyarakat Cina.

Saya masih ingat menerima kain baju dan seluar sekolah secara derma dari jiran Cina yang lain sewaktu kami duduk di Kem Wardieburn dari tahun 1970 ke 1979. Oleh kerana saya agak tinggi lampai, seluar yang didermakan itu tidak cukup panjang dan perlu di lepaskan kain pada bahagian kelepet kaki.

Namun begitu dengan keadaan ibu-bapa saya sering bertelagahan mengenai isu wang, mereka masih cukup tegas tentang kebebasan anak-anak mereka.

Kita empat adik beradik tidak dibenarkan keluar rumah untuk bermain atau menjalankan apa jua aktiviti ko-kurikulum sekolah selain dari pelajaran untuk peperiksaan semata-mata sahaja.

Kami diterap dengan nilai ekstrim konfucius Cina yang mementingkan buku pelajaran di atas segala-galanya. Kami akan dirotan sekiranya terjumpa bermain di luar rumah.

Saya diberikan kerja rumah yang berat dan memaksa saya berdepan dengan buku sepanjang hari. Sekiranya saya dapat markah merah atau kedudukan dalam kelas lebih dari 10 (walaupun kelas darjah itu paling top seluruh sekolah) saya akan dirotan dengan kuat sekali.

Tabiat saya yang hidup seolah dalam penjara rumah ingin sangat mencari buku bacaan yang lain dari sajian yang amat membosankan di sekolah.

Yang sedihnya kami tidak mampu membeli buku lain dan maka perpustakaanlah menjadi tempat kesukaan saya yang ibubapa benarkan saya melawat.

Masa itu tidak ada komputer PC maupun internet. Saya mampu membaca dengan banyaknya semasa di British Council selama beberapa jam setiap jumaat saya ke sana waktu solat jumaat yang saya tidak hadir dalam tahun-tahun 1974 ke 1979 semasa di Victoria Institution.

Apabila sampai tingkatan enam bawah saya mengikuti kurikulum biologi mathematik lanjutan dan bercadang ingin terus belajar sehingga ke bangku universiti.

Tetapi keadaan kewangan, keluarga serta spiritual makin menekan saya sehingga akhirnya saya berhijrah seorang diri ke Melaka dan memeluk agama Islam di sana.

Sehingga sekarang saya tidak berpeluang kembali ke bangku pengajian tinggi melainkan sekejap sahaja apabila termampu dengan duit yang ada, atau masa lapang yang ada.

Namun dengan cabaran hidup yang sedemikian rupa telah menanam satu jenis jatidiri yang tidak mudah dikalahkan atau ditakut-takutkan oleh mana-mana pihak.

Saya cukup degil dan anti-establishment dan sering mengeluarkan hujah-hujah menentang kerajaan sejak dari bangku sekolah lagi kerana dasar yang saya anggap tidak adil kepada rakyat berbangsa Cina.

Saya berusaha seorang diri sebagai seorang mualaf untuk menyara hidup dan berasa amat beryukur bahawa bukan sahaja saya dapat berbuat demikian tetapi saya berjaya tanpa sehelai ijazah maupun bantuan dari mana-mana pihak.

Kini saya telah menjadi seorang pakar ICT dan mengetuai sebuah projek Open Source global yang masyur, mendapat jemputan menjelajah ke negara-negara maju maupun membangun sebagai seorang penceramah dan penasihat sehingga ke peringkat kerajaan mereka.

Di sini lah ingin saya menyatakan bahawa kejayaan saya adalah berpunca secara tidak langsung dari Dasar Ekonomi Baru.

Dengan dasar itu negara menjadi stabil dan saya dapat merancang satu kerjaya dan perjalanan hidup yang panjang, makmur dan membina dari satu tahap ke satu tahap yang lain.

Tanpa menerima bantuan secara langsung dari kerajaan saya terbina semangat berkobar-kobar untuk membuktikan kepada diri dan yang lain.

Dengan dasar yang stabil, negara menjadi makmur dan saya mengecapinya sehingga dapat menggunakan pelbagai kemudahan seperti sistem internet yang canggih lagi murah untuk melakukan projek Open Source saya ke seluruh dunia tanpa henti, dan juga mudah terbang sini sana dari lapangan terbang tercanggih di dunia.

Keadaan negara ini yang berbilang kaum dan penuh dengan polemik juga mencetuskan bahan pemikiran bagi saya sepanjang masa yang membina falsafah hidup saya supaya lebih pragmatik, realistik dan berjuang, tanpa kira keadaan maupun halangan.

Dalam blog khas ini saya ingin mengajak kepada satu idealisma yang saya percaya bukanlah baru iaitu perpaduan umat sejagat sepertimana yang ditiup dalam Ayat 13, Surah Al-Hujarat di dalam Al-Quranul Karim.

Bersama dengan ramai insan yang lain di dunia yang fana ini saya turut juga ingin satu politik yang membina, positif, berdisiplin, bertanggungjawab dan menjurus kearah bagaimana kita boleh mendapat manfaat maksima di dunia tanpa sempadan ini.

Saya akan mengimbas kembali banyak peristiwa penting dalam hidup saya serta pelajaran yang bakal ditimba darinya.

Antaranya yang saya rasa agak penting ialah Peristiwa Mei 13 dimana saya berumur 8 tahun waktu itu, penglibatan saya dalam parti PAS dan CCC dalam tahun 1985, dan penglibatan saya dalam pelbagai bidang menarik seperti ICT dan pembangunan sumber manusia.

Saya tidak berniat memaksa idealisma saya ke atas mana-mana pihak maupun bersikap tidak santun. Saya cukup memegang kepada prinsip agama Islam yang saya nikmati iaitu bahawasanya ilmu pengalaman yang ada pada kita cuma setitik sahaja dari lautan Ilahi.

Sekurang-kurangnya kita bertafakur, berkongsi dan terbuka untuk ditegur dalam apa jua keadaan pun. Semoga menerusi cara blog ini kita dapat berbuat demikian.

Noor Kumalasari: SAYA BUKANNYA USTAZAH?

By WAHIDA ASRANI

SATU ketika dulu, dialah primadona dunia seni tanahair yang memang cukup hebat.

Malah sehingga ke hari ini pesona selebriti bernama Noor Kumalasari ini masih lagi menyinar meskipun sudah 12 tahun meletakkan titik noktah terhadap bidang yang penuh glamor ini.

Ternyata dalam usia menginjak 52 tahun, bekas pelakon, penyanyi dan model yang selesa disapa Noor ini tidak pernah merasakan karier seni yang diceburinya selama lebih 20 tahun itu satu perkara yang sia-sia buat dirinya.

Malah, ketika dia mengambil keputusan untuk membuat 'perubahan' di dalam kehidupannya dan lebih mendekatkan diri dengan Tuhan, perasaan menyesal bergelar anak seni satu masa dulu tidak langsung tersemat di dalam hatinya.

Bersyukur kerana masih diberi peluang memperbaiki diri untuk menjadi umat Islam yang lebih taat dan tidak alpa dengan hal duniawi, Noor melihat apa yang diraihnya sebelum ini adalah ketentuan dari Yang Maha Esa.

"Saya tidak pernah menyesal dengan kehidupan saya bergelar artis sebelum ini. Itu adalah pengalaman yang cukup berharga buat saya.

"Cuma Alhamdulillah, Allah tidak cabut nyawa saya ketika itu dan masih memberi ruang untuk saya bertaubat.

"Saya sendiri tidak pernah buang album-album saya dulu. Kadang kala saya pasang semula lagu-lagu saya untuk imbas saat-saat dulu. Tapi cukuplah saya simpankan memori itu sebagai kenangan manis dalam diri saya.

"Apa yang penting ketika ini, biarlah saya fokus dengan kehidupan sekarang.

"Saya akui semakin gembira hidup seperti ini dan rasa lebih relaks. Dulu sewaktu masih di dalam dunia seni, saya tidak setenteram ini.

"Walaupun peminat suka dan hargai kita, tetapi selalunya saya akan tetap rasa 'lonely' dan 'lost'. Kini saya lebih gembira dengan hidup sebagai surirumah sepenuh masa bersama suami dan anak-anak," ujar Noor yang ditemui baru-baru ini.

Menceritakan 'perubahan' dirinya itu, kata Noor, semuanya bukan atas paksaan suami tercinta, malah keputusan untuk bertudung dan meninggalkan dunia seni datang dari dirinya sendiri.

"Saya masih ingat, ketika saya menjanda selama tujuh tahun dulu, saya sentiasa doa kepada Allah seandainya saya berkahwin lagi, saya akan tinggalkan bidang seni dan banyakkan ibadah. Nampaknya Allah kabulkan permintaan saya.

"Selepas berkahwin, saya masih lagi belum memakai tudung walaupun ketika itu suami pernah suruh saya berbuat demikian.

Ketika itu saya belum bersedia. Alhamdulillah, pintu hati terbuka sendiri untuk memakai tudung selepas itu," luah Noor.

Meskipun telah mengucapkan selamat tinggal kepada bidang seni, akui anak kepada seniman dan seniwati Allahyarham Datuk S.Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum ini, dia masih lagi mendapat tawaran berlakon daripada beberapa produser.

Namun, Noor menolak secara baik kerana merasakan minat terhadap bidang tersebut juga sudah tiada di dalam dirinya lagi.

Walaubagaimanapun, tambah penyanyi yang pernah popular dengan lagu-lagu seperti Lagu Dari Kamar dan Selamat Pagi Sayang ini, dia tidak mempunyai masalah untuk mempertimbangkan sebarang tawaran yang mahu dirinya mengendalikan program-program berbentuk dakwah.

"Mungkin menarik jika program dakwah itu melibatkan golongan remaja yang mana saya boleh bercakap kepada mereka tentang agama tetapi bukan menerusi cara yang begitu 'berat'.

"Saya bukan ustazah, tetapi melalui sedikit pengetahuan tentang Al-Quran, saya rasa ada cara yang boleh kita relate untuk mendidik golongan remaja ini," tutur ibu kepada empat orang cahaya mata iaitu Abdul Qayyum Roslan, 25, Wan Amin Nurrashid, 16, Wan Amni Nuruddin, 14 dan Wan Irfan Nurul Atiq, 12.

Disebabkan itu juga, Noor tidak kisah berkongsi pengalaman hidupnya bergelar artis satu masa dulu menerusi salah satu episod di dalam program Cerita Artis Malaysia (CAM) yang bakal disiarkan di Astro Ria bermula 7 April depan.

Malah, Noor turut membenarkan pihak produksi, Firdaus Maju Sdn Bhd untuk menggunakan gambar-gambar serta klip-klip video lamanya.

Program 13 episod itu menerokai kisah hitam putih kehidupan artis agar peminat dapat mengenali mereka dengan lebih mendalam.

CAM juga mendedahkan kisah permulaan seni artis tersebut, jatuh bangunnya, fakta yang tidak diketahui umum mengenainya dan apa yang telah mereka lalui sepanjang bergelar anak seni.

"Saya izinkan mereka siarkan gambar-gambar lama yang pada masa itu saya masih seksi lagi...semua itu bukan untuk suka-suka. Saya ingin berkongsi dengan penonton khususnya remaja tentang perubahan hidup saya.

"Mungkin mereka boleh jadikan ikhtibar menerusi perjalanan hidup saya ini," kata Noor sambil tersenyum.

Ditanya sama ada dia selesa lagu-lagunya masih diputarkan serta filem dan drama yang adakalanya disiarkan lagi, ujar Noor, dia tidak mampu berbuat apa-apa jika pihak-pihak tertentu masih ingin berbuat demikian.

"I have no right to stop them. Cuma apa yang saya harap, bila saya 'tiada' lagi nanti, janganlah diputarkan lagi lagu-lagu saya atau pun ditayangkan semula lakonan-lakonan saya," kata Noor. - mSTAR Online

Air 20 Meter Padu PERCUMA Mula 1 Jun DI SELANGOR

By BERNAMA

KERAJAAN Selangor akan membekalkan 20 meter padu air secara percuma kepada semua pengguna di kediaman yang menggunakan meter individu bermula 1 Jun depan, demikian menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh pejabat Menteri Besar di sini, Jumaat.

Kenyataan itu menyebut, kerajaan Selangor juga telah menjalankan kajian berhubung mekanisme bagi melaksanakan dasar berkenaan demi menjaga kepentingan kerajaan negeri sendiri, alam sekitar dan orang ramai.

Menurut kenyataan itu, dasar tersebut bertujuan meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun rakyat masih perlu mengamalkan penggunaan air secara berhemah serta bertanggungjawab bagi mengelak pembaziran agar sumber air negeri Selangor dapat dipelihara dalam jangka masa yang panjang.

Pada masa yang sama, kerajaan Selangor juga akan memperkenalkan langkah mempelbagaikan sumber bekalan air secara menyeluruh dalam masa terdekat.

Bekalan air percuma itu merupakan antara janji dalam manifesto pakatan gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP pada pilihan raya umum lepas!

MENANGIS BACA Warkah, TERKENANG Allahyarham ISMAIL IBRAHIM...

ALAHYARHAM Hj. ISMAIL IBRAHIM
Ayah, kami usaha untuk sambung perjuangan ayah dan kebaikan yang banyak telah ayah buat, sebagaimana pesan sahabat2 ayah, "teruskan perjuangan ayah, contohi kebaikan yang ayah dah buat, ayah mulia kerana mendapat hamparan Jumaat kepadanya!" - Khadijah Ismail

By TARMIZI MOHD JAM

SEKITAR awal 90an, saya diminta Allayarham Hj. Mohd Anang menjadi Setiausaha Lajnah Penerangan PAS Johor. Waktu itu, saya wartawan Harakah dan agak kerap juga bersama Allahyarham berulang ke Johor ikut program politik di sana.

Waktu itulah, saya berkenalan dengan YB. Salahuddin Ayub, ketika itu Ketua Pemuda PAS Johor. Beliau membuka sebuah restoran di Batu Pahat. Di sanalah kami makan dan minum.

Antara yang akan bersama kami ialah Allahyarham Haji Ismail Ibrahim, yang baru meninggal dunia hari Jumaat, 21 Mac lalu. Saya pernah beberapa kali mengikut Allahyarham Mohd Anang ke penjara bertemu beliau (tempat kerjanya), bertanya khabar.

Kalau tidak silap saya, Allahyarham ada memberi kepada saya perakam kaset untuk wartawan yang diperolehinya dari Singapura. Saya gunakan perakam itu untuk tugasan Harakah.

Setiap kali musim Muktamar Agung Tahunan PAS di Taman Melawar mahupun di Kelantan, pastinya beliau akan bersama kami ke mana sahaja. Banyak juga jawatan yang diamanahkan kepada beliau waktu itu.

Pernah dilantik Ahli Jawatankuasa Agung PAS beberapa penggal oleh Presiden parti, Allahyarham Ustaz Fazil Noor. Di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat itu, saya lazimnya bertemu beliau.

Ketika melayari Tranungkite jam 8.00 tadi, terlihat gambar dan warkah dari anaknya, Khadijah yang menghiasai laman web tersebut. Saya klik, baca dan tidak semena-mena air mata saya menitis dan menangis teresak-esak.

Anak perempuan dan isteri saya bertanya, kenapa tiba-tiba menangis? Saya minta isteri saya baca warkah Khadijah itu. Saya memang "tersentuh" sangat dengan Allahyarham.

Saya betul-betul terharu dan sedih, kerana kawan-kawan akrab saya seperti Pak Daeng Turus Daeng Melbek, Ustaz Umar Jani (kedua-duanya Pesuruhajaya PAS Johor), Haji Mohd Anang (Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor) yang banyak mengajar saya erti politik dan berkawan, termasuk Haji Ismail Ibrahim (Setiausaha Perhubungan PAS Johor) telah dulu kembali kerahmatullah...

Membaca warkah Khadijah, sebak rasanya hati saya mengenangkan kembali pertautan dan persahabatan saya dengan Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat, di tempatkan dikalangan orang-orang yang bertaqwa.

Saya berbangga, nafas terakhirnya Allahyarham dihembus dalam gelodak perjuangan Islam yang baru bersinar di Johor. Itulah keringatnya selama ini, yang konsisten dan cekal mengembangkan PAS di negeri kubu Umno itu.

Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham, ketika Taklimat Manifesto PAS PRU12, Januari lepas di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Kuala Lumpur. Susuk tubuhnya agak kurus. Dia kata "sakit" dah tua, biasalah.

Kepada seluruh anak-anak dan isterinya, saya mengucapkan takziah dan banyak-banyaklah bersabar atas pemergian Allahyarham, yang tulus dalam kerja buatnya sepanjang saya kenali - AL-FATIHAH.

BACALAH... Warkah anaknya untuk renungan kita bersama, sebagai pejuang Islam yang menggerakkan PAS di bumi tercinta ini;

Salam sahabat perjuangan sekelian... Terima kasih atas ucapan takziah... ini coretan adik ana Khadijah binti Ismail berkenaan ayah ana... Ana baru baca. Sebak juga di dada dan mengalir juga air mata - Al-Fatihah

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Sekarang di Muar lagi. Cyber cafe, dok ngantar emel pada lecturer, data Hilal.

Sebenarnya, takde ape yang boleh diceritakan tentang arwah ayah, tapi tak tahu kenapa hati sangat meronta-ronta untuk menulis sesuatu buat penenang hati dan merawat sedih...

Ayah hanyalah orang yang biasa, tapi semangat perjuangannya sangat luar biasa. Tak tahu nak ceritakan dari mana. Ayah pergi setelah sempat melihat kemenangan PAS di 2 DUN di Johor, negeri tanah tumpah darah dan kesayangannya.

Negeri yang sejak hampir 30 tahun ayah menyertai PAS dan bergerak aktif didalamnya. Negeri yang pernah 'mereka tak faham lagi tentang PAS' mengacukan parang bila berkempen, negeri yang orang selalu kata - kalau letak batang pisang atas tiket BN pun sure menang punye - negeri yang kebanyakannya orang Jawa (biasanya memang setia pada yang satu)!

Mungkin kemenangan 2 DUN ini lebih menggembirakan ayah dari melihat anaknya gembira dan mendapat cucu baru dua bulan lepas, kerana itulah perjuangan ayah.

Ayah seorang yang tegas pada prinsip, kalau ayah rasa itu salah, salahlah, ayah pasti akan mempertahankan pandangannya dalam mesyuarat dan dalam jemaah sendiri, demi memperbaiki, ayah tak kisah, ayah akan cakap "jangan".

Berani berkata benar. Ayah pasti akan kata - kene buat juga usrah, walaupun ada yang kata tak perlu sangat - ayah akan kata, banyakkan Ngo - walaupun orang pandang tak perlu - ayah akan kata apa yang difikirkannya benar tanpa perlu mengambil hati siapa2...!

Ayah selalu merasakan diri tak layak...

Pernah waktu Ustaz Omar (Jani), Pesuruhjaya PAS Johor meninggal dunia dahulu, arwah Ustaz Fadzil (Mohd Noor) kata anta jadilah Pesuruhjaya. Ayah kata, "ana takde ilmu, Pak Daeng (Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok) la syeikh..."

Ayah akan mementingkan jemaah lebih dari kepentingan dirinya...

Pernah ayah tanak (tidak mahu) pegang sesuatu jawatan kerana lebih mengutamakan jamaah. Biarlah ape org kata, hanya ayah dan keluarga yang mengetahuinya...

Ayah tak kisah orang copy paste dan bawak ke mana paperwork pengurusan yang dibuatnya dahulu. Asalkan untuk kebaikan semua!

Semasa lepas Maghrib waktu pengiraan undi dan dapat tahu PAS menang di DUN Sg. Abong, tempat kami anak beranak mengundi, masa tu ayah tengah rehat di bilik kerana terlalu penat, lalu bingkas bangun dan sebut Allahu Akbar!!!

Bingkas dia ambil baju kot yang dah lama ditinggalkannya dan terus ke Dewan Jubli Perak tempat mengira undi di sana dan ke markaz sehingga pukul 4 pagi baru balik rumah.

Takpe ayah, semua hasil penat lelah ayah selama ni Allah dah bagi kemenangan dengan bantuan-Nya!

Sabtu malam, lepas ayah nak sangat ke Dewan Jubli Perak ada jamuan rakyat sempena kemenangan, Pak Cik Salahudin Ayub (YB) nak jumpe borak2 dan Pak Ungku (Prof. Dr Ungku Mohd Noor - dulu Bendahari PAS Johor) nak jumpe ayah bagi ubat, tapi ayah tak larat sangat nak ke sana.

Mungkin takde jodoh ayah nak jumpe sahabat2 baiknya...

Selepas 2 majlis di rumah hari Sabtu,15 Mac lalu, ayah nampak sangat penat, tapi masih lagi ke sana ke mari.

Selalu sangat tak nak susahkan anak2. Pukul 3 pagi Isnin, mak kejutkan kami, kata ayah sakit dada, nak ke hospital.

Mak kata ayah tak kasi ikut. Ayah yang drive sendiri kereta ke hospital. Begitulah ayah, selalu sangat nak buat kerja sendiri dan tak nak susahkan sesiapa.

Akhirnya ayah masuk CCU di Hospital Muar. Barulah mak suruh datang hospital..

5 hari bersama ayah di hospital. Barulah boleh pegang lama-lama tangan ayah, baru boleh urut2 selalu kaki ayah.

Bila fikir2, bukan ayah yang sibuk juga, tapi kesibukan kami juga yang menyebabkan sangat kurang masa bersama ayah...(moga Allah ampunkan dosa2 anak
ayah ni)!

Mak cerita, rupanya2 ayah dah berjumpa dengan 'lelaki berjubah' lambai dan senyum2 pada ayah masa ayah di CCU.

Terubat juga melihat wajah jenazah ayah yang senyum dan berpeluh-peluh, semacam ayah masih ada lagi bersama kami.

Tersentuh juga bila Kak Muna cerita mimpi arwah Ustaz Fadzil (Mohd Noor) kemas2 bilik. Moga2 ayah dapat bertemu dengan arwah di sana dan jumpe dengan sahabat2 ayah dalam perjuangan.

Arwah Ustaz Fadzil dapat sambut ayah, sahabat kesayangan ayah sehingga ayah buatkan puisi utk arwah Ustaz Fadzil dan selalu sahaja sebut2 namanya.

Esoknya, Ustaz Zakaria (rakan Allahyarham - Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Bakri), mengikut ayah meninggal dunia dalam tidurnye... moga berjumpa juga di taman Firdausi..

Setelah ayah pergi, diri menahan rasa sedih, biar mak tak nampak anaknya menangis.

Sahabat2 ayah datang dari jauh dan dekat, tak putus2 sehingga hari semalam (Ahad - 23 Mac) Sabtu sehari selepas ayah meninggal.

Baru boleh nangis sepuas hati. Lebih sebak lagi bila ambil kereta ayah di Hospital Muar, masih ada lagi bahan2 PRU dalam kereta ayah...

Kepada sahabat2 ayah yang susah senang bersama ayah, memahami ayah, mempercayai ayah, terima kasih diucapkan. Kepada semua kawan2 ayah, maafkan ayah seandainya ayah ada kesalahan dan kekurangan, kepada yang masih berhutang dengan ayah, tolong bagi tahu.

Yang mendoakan ayah, yang menziarahi ayah di kala ayah hidup dan lebih2 lagi setelah ayah meninggal dunia,terima kasih tak terhingga.

Terima kasih kepada sahabat2 rumah, sahabat2 sebatch, sahabat2 seJohor dan sahabat2 Nisa' yang disayangi semua dan semuanya yang tak dapat disebut di sini atas doa, ziarah, ucapan takziah dan kasih sayang sahabat2 semua kepada kami sefamily...

Ayah, tenanglah di sana, seperti kata sahabat ayah di perkuburan, rehatlah Mail!

Pengakhiran talqin yang Ustaz Kasim baca di perkuburan diakhiri dengan 3 kali takbir, melambangkan itulah perjuangan ayah dan pengakhiran hidup ayah juga.

Ayah, kami usaha untuk sambung perjuangan ayah dan kebaikan yang banyak telah ayah buat, sebagaimana pesan sahabat2 ayah, "teruskan perjuangan ayah, contohi kebaikan yang ayah dah buat, ayah mulia kerana mendapat hamparan Jumaat kepadanya!"

Maaf atas coretan dan kata2 yang banyak kekurangan ini...

Doakan kami anak-anak ayah jadi anak soleh solehah dan mak sentiasa tabah dan sabar..

Coretan anak pejuang
dijahis khaDIJAH ISmail

MT Umno IKTIRAF Ahmad: MALUNYA Idris Jusoh BUKAN KEPALANG...


By SAIFULIZAM MOHAMED

KEMELUT pelantikan Menteri Besar Terengganu berakhir hari ini apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu melantik Datuk Ahmad Said memegang jawatan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat berasaskan usaha untuk mencari penyelesaian secepat mungkin dan kesediaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh menerima siapa sahaja yang dilantik oleh MPPR.

‘‘Maka dengan itu MT membuat keputusan sebaik-baik penyelesaian bagi membolehkan kerajaan ditubuhkan ialah BN perlu memberi sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Ahmad Said yang dipilih oleh MPPR,’’ katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, berdasarkan kepada sokongan yang diberikan oleh BN itu, mereka yakin kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Ahmad akan dapat ditubuhkan.

Mengenai reaksi 22 ADUN yang menyokong Idris, Abdullah berkata, beliau percaya kesemua mereka yang merupakan ahli UMNO taat setia kepada parti dan akan menerima keputusan tersebut.

Jelas terbayang kekecewaan dan malunya Idris Jusoh terhadap keputusan yang akhirnya tidak menyebelahinya. Sedangkan, pertempurannya itu bukan calang-calang bertempur MB baru Terengganu tetapi sebenarnya "menderhaka" dengan Sultan Terengganu...

Ditanya tidakkah keputusan menerima Ahmad boleh menjatuhkan air muka beliau yang sebelum ini mempertahankan Idris, Abdullah berkata: ‘‘Perkara itu tidak timbul.’’

‘‘Ini kerana saya menyedari bahawa MPPR telah membuat keputusan, itulah orang yang mereka hendak menjadi Menteri Besar.

‘‘Saya memahami (kedudukan itu) apabila perkara ini ditimbulkan dalam pertemuan dengan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

‘‘Walaupun Seri Paduka tidak ada ‘bahagian’ dalam soal ini kerana ia keputusan MPPR tetapi saya memahami kehendak majlis itu,’’ katanya.

Abdullah yang ditanya bertalu-talu berhubung isu Menteri Besar Terengganu tersebut, turut menegaskan, apabila BN dan UMNO memberi sokongan, Ahmad sebagai Menteri Besar akan melakukan tindakan lanjut bagi menubuhkan kerajaan.

Perdana Menteri juga menjelaskan, pelantikan Ahmad oleh MPPR adalah mengikut perlembagaan negeri Terengganu, oleh itu ia tidak dibincangkan sama ada melanggar perlembagaan atau tidak.

‘‘Apa yang penting bagi kita ialah sudah dua minggu BN mencapai kemenangan, oleh itu tumpuan kita ialah kepada rakyat Terengganu yang menanti kita menubuhkan kerajaan.’’

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berkata, sebaik sahaja BN diumumkan menang dengan majoriti dua pertiga di Terengganu, tindakan awal yang diambil ialah memberi watikah pelantikan Menteri Besar kepada Idris untuk dipersembahkan kepada Pengerusi MPPR.

Langkah itu, kata beliau sebagai cadangan bahawa Idris telah dipilih oleh parti untuk memimpin kerajaan BN kerana mendapat sokongan majoriti ADUN BN yang menang.

Bagaimanapun kata Abdullah, MPPR telah membuat keputusan untuk melantik Ahmad sebagai Menteri Besar.

‘‘Ini telah membawa kepada suatu keadaan yang perlu diselesaikan. Ia adalah perkara yang amat penting bagi parti BN kerana rakyat memberi sokongan dua pertiga.

‘‘Maka usaha penyelesaian telah dicari dengan secepat mungkin bagi membolehkan rakyat Terengganu mendapat sebuah kerajaan yang dapat menggerakkan segala usaha-usaha pembangunan demi kepentingan mereka dan masa depan Terengganu,’’ katanya.

Beliau berkata, MT melahirkan penghargaan kepada Idris kerana menunjukkan kepimpinan yang cemerlang ketika menjadi Menteri Besar.

Isu pelantikan Menteri Besar Terengganu tercetus, apabila Ahmad, 51, menerima watikah perisytiharan pelantikan daripada MPPR dalam satu upacara tertutup di Istana Tetamu di Kuala Terengganu pada 23 Mac lepas.

Beliau menerima watikah pelantikan itu daripada Yang Dipertua majlis itu, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dengan disaksikan dua lagi anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Pelantikan beliau itu sekali gus telah mengetepikan Idris selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang sebelum ini telah mendapat watikah pelantikan daripada Perdana Menteri untuk menjadi Menteri Besar bagi penggal kedua.

Pelantikan Ahmad itu mendapat pelbagai reaksi daripada pucuk pimpinan UMNO sendiri termasuk bantahan daripada 22 wakil rakyat BN Terengganu.

Raja DR. NAZRIN Perkenan ANGKAT SUMPAH EXCO PERAK 29 Mac Ini

MB Perak, Ir. Nizar Jamaluddin yakin nisbah Exco tidak akan membawa sebarang masalah kerana ia hasil persetujuan secara bersama walaupun pembahagian jawatan Exco tidak mewakili komposisi kaum di negeri ini.

By UTUSAN MALAYSIA

PEMANGKU Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini memperkenankan istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak diadakan pada Sabtu ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Raja Datuk Seri Mansur Raja Razman dalam kenyataan ringkasnya hari ini berkata, Majlis Angkat Sumpah berkenaan akan dilaksanakan pada pukul 11 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Majlis istiadat angkat sumpah dilangsungkan setelah 12 hari Menteri Besar Perak baru, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah jawatan pada 17 Mac lalu.

Sebelum ini, beliau yang dijadualkan mengumumkan barisan Exco kerajaan campuran pada 21 Mac lepas, menangguhkannya tiga hari kemudian tetapi sekali lagi ditangguhkan.

Mohammad Nizar memberi alasan penangguhan itu dibuat bagi memperkemaskan barisan Exco yang mengandungi enam wakil DAP; tiga daripada PKR dan dua Pas di samping menunggu perkenan daripada pihak istana.

Sebelum itu, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham berkata, majlis angkat sumpah itu diadakan pada 24 Mac dan beliau akan dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar Perak I, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Sementara itu, menurut laporan Bernama hari ini, Mohammad Nizar berkata, kerajaan campuran di negeri ini masih menunggu perkenan Sultan Perak bagi mengadakan upacara angkat sumpah barisan Exco yang dijangka diadakan pada minggu depan.

Formula barisan Exco kerajaan campuran Perak yang telah dipersetujui iaitu enam daripada DAP, tiga PKR dan dua Pas akan terus dikekalkan.

Katanya, pihaknya yakin langkah berkenaan tidak akan membawa sebarang masalah kerana ia hasil persetujuan secara bersama walaupun pembahagian jawatan Exco tidak mewakili komposisi kaum di negeri ini.

Tegasnya, dakwaan kononnya bangsa Melayu akan terpinggir jika enam ahli exco terdiri daripada wakil rakyat DAP hanyalah satu mitos.

‘‘Walaupun kita di Perak berlainan agama, bangsa, budaya dan latar belakang, tetapi kita bersatu hati,” katanya.

Umno FOR SALE!: Tiada TENGKAH Anak Badawi TOLAK Suara GRASSROOT

Umno dituntut untuk melakukan perubahan dengan mendengar suara akar umbi. Kenapa Umno boleh kalah teruk dalam pilihan lalu – disebabkan kegagalan anak Badawi mendengar suara berkenaan!

By ZULKIFLEE BAKAR

‘TEPAT’ – mungkin itulah perkataan paling sesuai bagi menggambarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk meneruskan pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan MT pada tahun ini.

MT hakikatnya tidak mempunyai banyak pilihan dalam soal berkenaan kerana walaupun ada desakan daripada sesetengah pengerusi perhubungan supaya ia ditangguhkan tetapi suara akar umbi tidak harus diketepikan.

Kini MT benar-benar mendengar suara akar umbi yang mahu ia diteruskan dan ini sekali gus menolak sebarang andaian bahawa pemilihan jika diadakan boleh mendatangkan malapetaka.

Dalam soal ini, MT UMNO dalam keputusannya mengambil kira semua pandangan dan apa yang berlaku dalam pilihan raya umum lalu sudah memberi isyarat adalah sesuatu yang bahaya jika suara akar umbi tidak dihiraukan.

Berdasarkan keadaan itu, pemilihan akan diteruskan dan ini akan membolehkan ahli-ahli UMNO menggunakan kuasa mereka untuk memilih siapa pemimpin yang mereka mahu demi masa depan parti.

Sebenarnya, sejak awal lagi apabila isu penangguhan ini tercetus, sebahagian pemimpin dan ahli UMNO tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Malahan ada suara-suara nakal yang mempertikaikan apakah sesetengah pengerusi perhubungan UMNO memberi cadangan berkenaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi demi kepentingan parti atau peribadi.

Oleh itu apabila MT UMNO memutuskan ia diteruskan, ia sudah tentulah melegakan mereka yang menolak penangguhan.

Bagi yang menentang penangguhan pemilihan tersebut, mereka berpendapat apa bezanya diadakan tahun ini dengan tahun depan.

Kalau ada apa-apa perasaan tidak puas hati, ia akan lebih cepat dipadamkan jika pemilihan diadakan, berbanding membiarkan ia ‘tertangguh’ untuk dilepaskan setahun lagi.

Perasaan tidak puas hati yang terpendam ibarat api dalam sekam, kalau dibiarkan ia boleh mencetuskan api yang lebih besar. Ketika inilah malapetaka yang ditakuti benar-benar berlaku.

“Ini adalah pandangan peribadi saya. Bagi saya, kita jangan lari daripada masalah. Kita kena hadapinya. Kita tangguh sampai bila pun masalahnya akan ada juga,” kata Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Di sinilah terletaknya kebijaksanaan pemimpin dan ahli-ahli yang menyokong pemilihan diteruskan. Mereka tahu bahaya yang menanti.

Dalam keadaan UMNO masih lagi bercakap soal keputusan tidak memuaskan dalam pilihan raya umum lalu, adalah lebih baik jika segalanya ‘dilepaskan’ dalam pemilihan kali ini.

Kenyataan Mohamad Hassan supaya UMNO tidak lari daripada masalah disokong oleh pemerhati politik, Profesor Mustapa Mohamed Ishak yang menegaskan, menangguhkan pemilihan parti bukanlah satu keputusan yang tepat.

“Ini kerana ia akan menyebabkan perasaan tidak puas hati ahli membengkak dan boleh mengundang malapetaka kepada parti,” katanya ketika dihubungi.

Bagi Mustapa, istilah ‘malapetaka’ boleh dielakkan jika UMNO mengadakan satu konvensyen bagi membincangkan kekalahan parti itu dalam pilihan raya sebelum perhimpunan agung diadakan.

“Melalui cara ini segala perasaan akar umbi akan dilepaskan di konvensyen berkenaan manakala perhimpunan agung akan menjadi medan untuk merapatkan barisan,” katanya.

Pemilihan

Malahan Mustapa juga dengan tegas menolak andaian malapetaka akan berlaku kalau pemilihan diadakan.

Ini kerana ia boleh disifatkan memperkecilkan kewibawaan dan kewarasan ahli-ahli UMNO dalam berpolitik.

“UMNO sudah berusia 50 tahun, justeru parti itu perlu yakin bahawa ahli-ahlinya mampu berbincang dan berbahas walaupun berhadapan dengan masalah getir,” katanya.

Bagi Mustapa dan beberapa pemimpin yang menyokong pemilihan diadakan, sekarang adalah waktu terbaik untuk UMNO mengadakan perubahan di semua peringkat.

Ini kerana seperti mana kata Mustapa, mahu tidak mahu perubahan sudah berlaku dengan keputusan pilihan raya lalu.

“Oleh itu UMNO dituntut untuk melakukan perubahan dengan mendengar suara akar umbi. Bagi saya kenapa UMNO boleh kalah teruk dalam pilihan lalu – disebabkan kegagalan mendengar suara berkenaan.

“Kalau pemilihan tidak ditangguhkan sudah pasti, parti akan mendapat maklum balas mengenai situasi di peringkat akar umbi sebelum pilihan raya kerana suara akar umbi UMNO adalah juga suara rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan meneruskan pemilihan ini bukanlah bermakna, ia lesen kepada ahli-ahli UMNO untuk menjatuhkan pemimpin yang mereka tidak sukai.

Adalah lebih baik jika mereka membuat keputusan memilih pemimpin berdasarkan kepada kemampuan pemimpin berkenaan bukan kerana perasaan tidak puas hati.

Namun begitu bagi Mustapa, soal emosi tidak boleh diketepikan memandangkan apa yang dialami oleh UMNO baru-baru ini.

“Tetapi apa yang penting, UMNO akan dapat mendengar suara akar umbi mengenai pemimpin yang mereka yakin mampu membawa perubahan kepada parti supaya ia terus relevan.

“UMNO memerlukan pemimpin yang berwibawa di semua peringkat termasuklah cawangan dan bahagian,” katanya.

Apa pun adalah diharapkan pemilihan kali ini menjadi medan untuk mencari saf kepimpinan yang terbaik dan bukannya gelanggang untuk melepaskan geram atau mempertahankan mana-mana pemimpin.

Ini kerana dalam situasi UMNO sekarang, ia memerlukan saf kepimpinan yang bukan sahaja diterima oleh parti semata-mata tetapi lebih penting rakyat secara keseluruhannya.

Kalau dalam pilihan raya lalu rakyat sudah menolak sesetengah pemimpin, maka ahli UMNO perlu bijak untuk menentukan di mana pemimpin itu seharusnya ditempatkan.

Lebih 10 Ketua Bahagian Umno JUMPA KU LI

By UTUSAN MALAYSIA

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini (27 Mac 2008) mengadakan pertemuan dengan kira-kira 100 ahli mnotermasuk lebih 10 ketua bahagian di kediamannya di sini.

Antara yang hadir ialah bekas Menteri Penerangan yang juga Ketua Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Datuk Dr. Ibrahim Saad (Batu Kawan) dan Datuk Malek Hanafiah (Taiping).

Dalam perkembangan yang sama, Dr. Ibrahim mengesahkan pertemuan dengan Tengku Razaleigh namun enggan mengulas isu yang dibincangkan.

‘‘Ada. Memang ada jumpa Ku Li tadi.

‘‘Kalau hendak tahu pasal apa, kena hubunginya sendiri,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh gagal dihubungi bagi mengulas sebab beliau mengadakan pertemuan dengan ahli serta ketua bahagian di kediamannya.

Umno GERING, Anak Badawi CEMAS Hadapi PERTEMPURAN BARU?

Tangguh Pemilihan: Ini menimbulkan tanda tanya mengenai kemungkinan ada pihak yang tidak demokratik dan takutkan cabaran cuba menggunakan nama ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri untuk menangguhkan pemilihan parti.

By DATUK A KADIR JASIN

URA-URA menangguhkan pemilihan Umno Ogos ini sehingga tahun hadapan kononnya atas desakan ketua-ketua bahagian dan perhubungan negeri cukup menarik.

Pertama ia menunjukkan yang sindrom menidakkan (denial syndrome) masih menular dalam jiwa sesetengah para pembesar Umno walaupun pengundi telah menjatuhkan hukuman yang berat ke atas mereka pada 8 Mac lalu.

Kedua ia menunjukkan betapa mudahnya pihak-pihak tertentu dalam Umno memperkotak-katikkan pendapat umum demi menjaga kepentingan peribadi mereka.

Ketiga kepentingan segelintir peneraju mengatasi kepentingan jutaan ahli Umno.

Dan keempat mereka tidak teragak-agak memperolok-olokkan sentimen ahli akar umbi parti.

Semua ini adalah perbuatan dan tindak tanduk yang sangat berbahaya kepada kelangsungan � survival -- Umno.

Alhamdulillah, tidak semua pembesar Umno hilang akal dan tenggelam punca.

Laporan SMS akhbar The Star pagi ini memetik Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yassin, sebagai berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno sebulat suara bersetuju pemilihan parti tidak ditangguhkan.

Soalnya apakah jaminan yang keputusan itu tidak akan dipertikai dan dibatalkan oleh pihak-pihak yang lebih berkuasa daripada Jawatankuasa Pengurusan?

Ini mendalamkan lagi misteri dakwaan bahawa ketua-ketua bahagian dan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri mahu pemilihan ditangguhkan.

Nampaknya pihak-pihak yang menghebahkan ura-ura itu mahu menguji sentimen ahli dan pembesar parti. Daripada reaksi awal, nyata cadangan itu berpotensi memecahbelahkan lagi Umno.

Ketua Penerangan Umno Mohamad Muhd Taib berkata ketua-ketua bahagian dan pengerusi-pengerusi perhubungan negeri Umno mahu pemilihan parti ditangguhkan.

Tetapi beberapa ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri menafikannya. Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan, misalnya, menolak ura-ura itu.

Ini menimbulkan tanda tanya mengenai kemungkinan ada pihak yang tidak demokratik dan takutkan cabaran cuba menggunakan nama ketua bahagian dan pengerusi perhubungan negeri untuk menangguhkan pemilihan parti.

Apa pun yang hendak dilakukan oleh para pembesar Umno yang berasa mereka masih berkuasa dan masih dikehendaki, mereka tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ahli parti tidak boleh diperkotak-katikkan lagi.

Mereka telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka pada 8 Mac lalu dengan menghukum Umno di bawah kepemimpinan sekarang!

Jika para pembesar Umno masih enggan atau tidak berkeupayaan menghadapi realiti, usaha merawat parti � meminjam slogan Barisan Nasional �merawat Kelantan� -- dan memujuk hati orang Melayu akan tertangguh.

Lagi lama tertangguh lagi sukar merawat Umno yang sedang gering dan hati orang Melayu yang luka.

Jika pemilihan ditangguhkan ia sudah tentu memburukkan lagi kemarahan orang Melayu, khasnya ahli dan penyokong Umno, terhadap pembesar-pembesar parti.

Ini berkemungkinan menyebabkan ahli dan penyokong Umno yang berpaling tadah pada 8 Mac lalu tidak kembali lagi ke pangkuan parti.

Apatah lagi dalam keadaan di mana pada pandangan mereka kerajaan pembangkang tidak mengecewakan aspirasi mereka apabila mereka dengan segala berat hati dan dukacita memangkah Pas, PKR dan DAP.

Malangnya bagi Umno, itulah tanggapan orang Melayu kini. Malah mereka terkejut bahawa kerajaan-kerajaan negeri pembangkang dapat ditubuhkan dengan begitu pantas dan tanpa krisis besar berbanding kerajaan-kerajaan negeri Umno sendiri.

Krisis pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu yang melagakan kepemimpinan Abdullah Ahmad Badawi dengan pihak Istana memburukkan imej kepemimpinan Umno.

Serentak itu ia menyerlahkan lagi sikap hipokrit media massa arus perdana yang menjadi tulang belakang propaganda pemerintah. Padahnya kerana taasub mereka jatuh tersungkur dan misai mencecah debu apabila cuba menggembar-gemburkan masalah pelantikan MB Perak dan menuduh pembangkang, khasnya Lim Kit Siang, biadab terhadap Raja.

Ini terjadi apabila Umno sendiri ternyata lebih teruk ketika menangani krisis di Perlis dan Terengganu dan menunjukkan sikap yang lebih buruk terhadap Raja daripada DAP.

Walaupun media massa arus perdana tidak menuduh Umno "kurang ajar", "biadab" atau "derhaka" namun rakyat jelata tidaklah terlalu bodoh untuk membuat kesimpulan mengenai tindak tanduk pembesar-pembesar tertentu.

Menangani perhubungan yang unik dan sensitif dengan Istana adalah tugas dan tanggungjawab yang telah dipikul oleh Umno sejak penubuhannya pada tahun 1946.

Sama ada dalam suasana aman atau konfrontasi, Umno dan pemimpinnya sebelum ini tidak pernah menunjukkan derhaka, biadab dan kurang ajar kepada Raja.

Penolakan Shahidan Kassim di Perlis dan Idris Jusoh di Terengganu walaupun membawa surat tauliah daripada Perdana Menteri adalah bukti kegagalan kepemimpinan tertinggi Umno meneruskan tradisi berbaik-baik dengan Raja berperlembagaan.

Apatah lagi Presiden Umno sendiri begitu beria-ia mempertahankan dua watak berkenaan tetapi akhirnya terpaksa akur dengan pelantikan Mat Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis dan Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu.

Pada perhimpunan dan pemilihan Ogos ini, Umno memerlukan pemikiran dan kepemimpinan yang lebih secocok dengan suasana baru yang ditonjolkan oleh keputusan pilihan raya umum 8 Mac lalu. Umno memerlukan perubahan di semua peringkat untuk merawat kegeringannya!

PAS Sokong Usaha BOIKOT Utusan Malaysia dan TV3

Mahfuz Omar yakin boikot boleh mendatangkan kesan besar contohnya sebagaimana dilaporkan Audit Bureau of Circulation (ABC) bahawa apabila berlaku sesuatu kes sesebuah media itu boleh jatuh.

By ROY RASUL

KETUA Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar berkata, PAS menyokong penuh hasrat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dan lima negeri kerajaan baru yang diperintah pembangkang untuk menimbangkan saranan memboikot TV3 dan Utusan Malaysia.

Bahkan katanya, cadangan itu perlu dibuat secara serius kerana laporan-laporan media tersebut terlalu teruk.

Dakwanya, laporan media yang berat sebelah dan tidak memberi laporan yang tepat mempunyai agenda yang jahat untuk menimbulkan kekacauan kepada kerajaan-kerajaan negeri barisan pembangkang adalah untuk menimbul kekacauan di kalangan rakyat.

"Saya tahu media negara kita tidak berperanan sebagai media untuk memberi laporan yang betul dan tepat seterusnya mendidik masyarakat dalam negara kita.

"Sebaliknya mereka memberi laporan-laporan yang dimanipulasi untuk mencetuskan suasana yang tidak harmoni di kalangan kehidupan rakyat di negara kita khususnya negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang," katanya yang dihubungi Harakahdaily semalam.

Justeru itu, katanya, pertimbangan itu wajar kerana dalam suasana sekarang pemboikotan akan berhasil dan berjaya jika betul-betul dilaksanakan.

Dalam blog Anwar baru-baru ini, beliau berkata, akhbar Utusan Malaysia dan TV3 masih beranggapan pilihan raya umum belum selesai.

Malah katanya, media milik Umno terus membelasah KeADILan, PAS dan DAP.

Kata Anwar, mereka meniupkan sentimen kaum dan mengalih perhatian khalayak dari krisis kepimpinan Umno, penipuan Suruhanjaya Pilihan raya dan krisis Terengganu.

"Maka ramai kalangan yang mengusulkan agar kerajaan negeri pakatan rakyat, parti, NGO dan rakyat amnya diajak memulau kedua media tersebut.

"Saya, pimpinan parti dan kerajaan negeri sedang menimbangkan saranan tersebut," Anwar dipetik.

Bagaimanapun, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, mereka harus menentukan media mana yang sepatutnya perlu diboikot.

Oleh itu katanya perlu ada perbincangan di kalangan parti pembangkang dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau menegaskan di belakang Barisan Alternatif (BA) mempunyai 49 peratus pengundi yang mengundi pembangkang di seluruh negara.

"Jadi mereka jangan anggap kita seperti dulu. Jika kita menggerakkan usaha ini saya percaya kesan buruk akan dihadapi oleh pihak media dan saya memberi amaran jangan sampai ke peringkat kami bertindak," tegasnya.

Oleh sebeb itu katanya, mereka masih ada ruang dan masa untuk memohon maaf di atas laporan pembohongan media berkenaan dan sebagai media yang beretika mereka perlu berbuat demikian.

Sementara itu, Pengurus Koporat Fomca, Mohd Yusuf Rahman berpandangan BA serta penyokong-penyokongnya mempunyai hak untuk memboikot media berkenaan berdasarkan siaran dan laporan yang dibuat akhbar Utusan Malaysia dan TV3 tidak memihak kepada mereka.

Cuma katanya, jika dilakukan pengguna biasa agak sukar sikit.

Ini kerana katanya, maklumat yang dikeluarkan sama ada TV3 atau Utusan Malaysia banyak yang perlu diketahui para pengguna.

Bagaimanapun, beliau yang ditemui di Pejabat Iklan Harakah, dekat sini, hari ini berkata, BA tidak perlu memberi sebarang amaran.

"Saya rasa kalau mereka merasakan bahawa TV3 dan Utusan memang berat sebelah mereka boleh terus memboikot," katanya.

Tambahan pula katanya, BA sudah lama menghadapinya.

"Sekarang ini mereka boleh mengambil dua pendekatan iaitu pendekatan yang agak radikal di mana tanpa memberi amaran untuk terus boikot dan langkah kedua di segi diplomasi maksudnya memberi amaran dulu bagi tempoh tertentu.

"Umpamanya sekiranya gagal memberi laporan yang tak seimbang mereka boleh menjalankan kempen boikot," jelasnya.

Katanya, ini kerana boikot boleh mendatangkan kesan besar contohnya sebagaimana dilaporkan Audit Bureau of Circulation (ABC) bahawa apabila berlaku sesuatu kes sesebuah media itu boleh jatuh.

Malah katanya, masyarakat hari ini boleh beralih kepada media alternatif termasuk melalui internet.

Namun katanya, adalah lebih baik BA memberi pilihan media lain dahulu kepada rakyat sebelum memboikot sesebuah media.

"Sebab apabila semua media terlibat pengguna tidak ada pilihan dan ini menyebabkan boikot itu gagal.

"Contoh tindakan Persatuan Pengguna memboikot ayam suatu ketika dulu, ia tidak berjaya kerana harga ikan pun mahal dan kita pun tidak ada alternatif lain," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap, pengamal media perlu seimbang sama sama ada versi kerajaan atau pembangkang.

"Masyarakat sekarang ingin satu perubahan dan mereka juga berharap bahawa liputan berita perlu seimbang.

"Kita khuatir jika liputan tidak seimbang pengguna sendiri memboikotnya walaupun tanpa adanya kempen memboikot media," katanya lagi.

PM Didesak MANSUHKAN Jawatan MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN

By ABDUL HALIM RASHID

10 Ahli Parlimen di Kuala Lumpur mengambil keputusan tidak akan akan melayan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menyatakan, keputusan itu dicapai dalam pertemuan wakil-wakil rakyat tersebut Selasa lalu.

Keputusan itu dibuat kerana Zulhasanan bukanlah orang yang selayaknya menjadi Menteri Wilayah Persekutuan kerana beliau adalah Ahli Parlimen "pembangkang" di Wilayah Persekutuan, kata beliau yang juga seorang peguam terkenal.

Sehari kemudiannya, menurut Wee, pejabat Zulhasnan menghubungi sekretariat 10 wakil rakyat KeADILan, DAP dan PAS itu serta menyatakan keinginan Menteri Wilayah Persekutuan itu untuk bertemu mereka pada 4 April akan datang.

Zulhasnan adalah satu-satunya calon dari Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur yang dipilih dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Lebih dari itu, Zulhasnan hanya bergantung kepada undi pos untuk memenangi kerusi Parlimen Setiawangsa. Oleh itu, beliau sepatutnya dilantik sebagai 'Menteri Undi Pos'!" katanya lagi.

Menurut Wee, di bawah Akta Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah satu-satunya pihak yang mempunyai kuasa eksekutif.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak membazirkan wang rakyat dan memansuhkan jawatan Menteri Wilayah Persekutuan yang tidak mempunyai kuasa untuk melakukan apa-apa bagi kepentingan penduduk Kuala Lumpur.

Undang-Undang: Antara PENGAMPU dan TIKUS MEMBAIKI LABU - Dr. Aziz Bari

Sebagai peguam, Zaid Ibrahim sepatutnya ingat bahawa undang-undang seperti "melompat parti" itu telah pun diisytiharkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan pada 1993 - Dr. Aziz Bari

By TARMIZI MOHD JAM

MENGIKUTI perkembangan semasa kadangkala membingungkan. Terutamanya apabila ia melibatkan kedudukan hukum atau undang-undang. Macam-macam fatwa timbul dan dibangkitkan.

Bagi mereka yang mendalami bidang-bidang berkenaan ini mungkin tidak menjadi masalah. Ia malah menambah atau mematangkan kefahaman mereka.

Fenomena ini begitu jelas dalam soal undang-undang. Pelbagai pendapat dan ‘fatwa’ dikemukakan oleh mereka yang sama ada dianggap pakar atau mempunyai kuasa dan kedudukan dalam bidang berkenaan.

Saya ajukan isu ini kepada Profesor Dr. Abdul Aziz Bari yang sering diminta pendapat oleh media dan juga forum-forum awam mengenai Perlembagaan.

Beliau adalah satu-satunya profesor Undang-undang Perlembagaan yang berasal dari Malaysia dan merupakan profesor paling kanan di kalangan tenaga akademik Melayu di IPTA kita.

“Kepelbagaian pendapat sepatutnya tidak menjadi masalah kerana sebagaimana di dalam ilmu-ilmu lain ilmu undang-undang, khususnya Perlembagaan, mempunyai metodologi dan pendekatannya sendiri” kata beliau.

Sebab itu, katanya lagi, tidak timbul soal kekeliruan.

“Bagaimanapun, saya faham oleh kerana masyarakat jahil tentang Perlembagaan maka mereka jadi keliru. Dan sebenarnya ini juga berlaku di kalangan peguam kerana kebanyakan pengamal undang-undang tidak memberi tumpuan kepada Perlembagaan sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada kerja-kerja cari makan dalam bidang perjanjian jual beli rumah, undang-undang jenayah, kes cerai dan seumpamanya.

“Sebab itu para peguam ini ternganga apabila ditanyakan soal-soal itu, terutamanya apabila melibatkan isu yang kompleks seperti yang berlaku di Terengganu sekarang,” ujarnya.

Apakah kemasukan Datuk Zaid Ibrahim dapat memperbaiki keadaan, tanya saya.

“Malang sekali beliau bagaikan tikus baiki labu. Ini kerana beberapa hari ini kenyataan beliau menampakkan kefahaman yang tidak betul,” dakwa Dr. Abdul Aziz.

Beliau berkata adalah tidak masuk akal apabila Zaid menyebut soal mengkaji undang-undang mengenai perlantikan Menteri Besar atas alasan ia undang-undang yang sudah lapuk.

Dr. Abdul Aziz menegaskan kuasa perlantikan sebenarnya telah mantap dan ini terbukti di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Australia.

“Janganlah kerana Umno menghadapi masalah maka undang-undang yang dipersalahkan,” tegas Pensyarah UIAM itu.

Beliau juga mengulas cadangan hendak membuat undang-undang mengenai melompat parti yang disuarakan oleh Zaid.

Katanya, sebagai peguam Zaid sepatutnya ingat bahawa undang-undang seperti itu telah pun diisytiharkan sebagai bertentangan dengan Perlembagaan pada 1993.

Beliau begitu hairan dengan kenyataan Menteri DiJabatan Perdana Mneteri itu (Zaid) dan menyifatkannya akan memburukkan lagi imej kerajaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya hairan apa yang hendak dibuat oleh Zaid sedangkan kita sudah ada Peguam Negara. Dan kenyataannya setakat ini bagaikan tikus baiki labu.”

Saya turut bertanyakan tentang pakar-pakar undang-undang yang sering dijaja oleh media perdana seperti Profesor Shad S. Faruqi.

Dr. Abdul Aziz berkata itu hak mereka untuk menyiarkan pendapat mereka yang dirasakan layak. “Mereka boleh pilih siapa yang mereka suka”.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pihak berkenaan perlu tidak melupakan soal kebenaran dan kredibiliti.

“Saya melihat bahawa Perlembagaan umumnya berhasrat untuk membataskan kuasa awam dan menjunjung hak rakyat biasa. Oleh itu adalah ganjil apabila orang yang dinobatkan sebagai pakar Perlembagaan ini sentiasa mengambil pendirian yang pro-kerajaan dan enggan mengambil sikap yang kritikal.”

Selain itu, Dr. Abdul Aziz menambah, kita perlu ingat bahawa demokrasi di negara ini masih banyak kecacatannya dan ini memberi kesan kepada Perlembagaan.

“Sebab itu meskipun keputusan MPPR di Terengganu itu menimbulkan banyak persoalan, kita harus ingat bahawa istana mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk mempastikan bahawa negeri itu diletakkan ditangan mereka yang bersih dan tidak terlibat dalam rasuah dan keganasan.”

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa tafsiran Perlembagaan menuntut pertimbangan sedemikian kerana jika itu tidak dilakukan maka Perlembagaan akan menjadi alat untuk mereka yang berkuasa meneruskan penipuan dan kezaliman.

Setakat ini Shad Faruqi mengambil pendekatan yang menekankan bahawa istana gagal mematuhi Perlembagaan sebagaimana yang dinyatakan oleh Zaid dan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail.

Bagi Dr. Abdul Aziz, beliau tidak bersetuju dengan pendapat mereka kerana beliau berpandangan di bawah teori Perlembagaan seseorang Ketua Negara itu mempunyai kuasa simpanan dan kuasa ini boleh digunakan untuk menyelamatkan negara dan Perlembagaan dari dicengkam oleh ahli-ahli politik yang autokratik dan korup.

Beliau juga berpendapat bahawa sesuatu fatwa perundangan itu mesti berjejak di alam nyata dan mengambil kira apa yang benar-benar berlaku.

“Jika tidak, timbullah keadaan dimana ahli-ahli ilmu menjadi pengampu mereka yang berkuasa,” ujarnya.

Bagaimanapun Majlis Tertinggi Umno dalam sidangnya pada 27 Mac lalu (semalam) mengambil keputusan yang berbeza dari pendapat tiga orang rujukan mereka apabila mereka mengambil keputusan menerima Ahmad Said dan meninggalkan Idris Jusoh!

Umno akhirnya mengakui bahawa untuk survival mereka, parti melupakan nasihat pengampu-pengampu mereka yang jelas tidak melebihkan teori dan membutakan mata kepada kenyataan dan kebenaran yang ada.

Khamis, Mac 27, 2008

KU LI Mulakan KEMPEN Lawan ANAK BADAWI 12 Tengahari Tadi!

Mereka mendesak Tengku Razaleigh jangan berganjak dan tetap bertanding jawatan Presiden Umno!

By TARMIZI MOHD JAM

SEMENTARA ITU... lapor Agendadaily hari ini, di medan yang lain Tengku Razaleigh Hamzah yang sudah menyatakan hasratnya secara terbuka untuk bertanding jawatan Presiden Umno seperti yang diwar-warnya beberapa hari lalu.

Ku Li dikatakan telah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 100 orang ahli Umno di rumahnya di Jalan Langgak Golf, Kuala Lumpur dari jam 12 tengahari hingga jam 3 petang tadi (Khamis).

Dalam kesempatan itu, mantan Menteri Kewangan dan Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu telah menyampaikan ucapan "muqqadimah pertandingan" kepada para hadirin.

Antara Ketua Umno bahagian yang hadir ialah Datuk Kadir Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baru), Datuk Malek Hanafiah (Taiping), Datuk Ibrahim Saad (Batu Kawan), Datuk Lajim Okin (Beaufort) dan Datuk Rizalman.

Pertemuan itu menururt Agendadaily, antara lain bertujuan untuk melakukan post-mortem keputusan pilihanraya 8 Mac lalu.

Paling menarik dan meningkatkan hasarat Ku Li untuk menentang anak Badawi dalam pemilijan MT Umno tahun ini apabila terdapat beberapa orang hadirin bangun berucap dan meminta Ku Li teruskan niat untuk merebut jawatan Presiden Umno itu.

Mereka mendesak Tengku Razaleigh jangan berganjak dan tetap bertanding jawatan Presiden Umno, kata Agendadaily.

Mereka juga mahu agar pucuk pimpinan mengadakan Perhimpunan Agung Khas Umno (EGM) untuk membolehkan para perwakilan dari seluruh negara meluahkan rasa sebenar hati mereka mengenai isu semasa dan sebab-musabab kekalahan BN pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Barangkali boleh dikatakan resolulsi pertemuan itu, ialah rancangan untuk mengadakan roadshow Ku Li ke negeri-negeri untuk menilai keputusan pilihanraya!

Pertandingan Jawatan Umno "ON", SAYA SEDIA DICABAR - Anak Badawi

Anak Badawi sedia jika ada mana-mana pihak yang ingin mencabar jawatan Presiden, "I'm not runing away, jika mereka mendapat sokongan mereka boleh bertanding".

By AGENDADAILY

MAJLIS Tertinggi Umno yang bermesyuarat hari Khamis memutuskan pemilihan bagi semua jawatan parti akan tetap diadakan pada tahun ini.

Serentak dengan itu, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang medianya memberitahu, Perhimpunan Agung Parti, Pemuda, Wanita dan Puteri akan berlangsung pada 16 hingga 20 Disember 2008.

Manakala pemilihan peringkat Cawangan akan bermula 17 Julai hingga 24 Ogos dan diikuti pemilihan peringkat Bahagian Umno pada 9 Oktober sehingga 9 November 2008.

Ditanya adakah beliau sedia jika ada mana-mana pihak yang ingin mencabar jawatan Presiden, beliau menjawab "I'm not runing away, jika mereka mendapat sokongan mereka boleh bertanding".

Sebelum ini, walaupun ada suara-suara dikalangan Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri dan bahagian yang bimbang pada risiko berlaku perpecahan dalam parti… mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Umno petang Rabu sebulat suara mahu pemilihan jawatan Umno yang dijadual diadakan tahun ini diteruskan.

Jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dianggotai oleh ketiga-tiga Naib Presiden,Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan semua pemimpin sayap Umno Pemuda, Wanita dan Puteri.

Keputusan muktamad mengenai pemilihan itu akan dibuat oleh mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang bermula pada jam 3 petang ini di PWTC.

Bagaimanapun dengan keputusan oleh Jawatankuasa Pengurusan Umno itu para pemerhati politik menjangka pemilihan jawatan itu pasti ‘ON’.

Keputusan jawatankuasa pengurusan berkenaan diberitahu oleh Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada para wartawan selepas satu majlis di Petaling Jaya pagi Khamis.

Katanya pemilihan itu adalah satu proses demokrasi dan tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Muhyiddin menegaskan beliau sendiri akan menentang jika pemilihan jawatan itu hendak ditangguhkan.

Ditanya mengenai hasrat bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah nak bertanding jawatan Presiden Umno, beliau berkata hal itu terserah pada sokongan di peringkat akar umbi kerana Umno berpegang kepada demokrasi.

Selasa Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib memberitahu semasa pertemuan Badan-badan Perhubungan Umno Negeri-negeri dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara berperingkat beberapa hari lalu ada yang meminta pemilihan Umno itu ditangguhkan kerana bimbang ‘malapetaka’ akan berlaku jika ia diteruskan selepas keputusan pilihanraya 8 Mac yang mengejutkan.

Perlembagaan Umno membenarkan pemilihan itu yang sepatutnya diadakan pada Perhimpunan Agong Umno November lalu ditangguhkan selama 18 bulan.Ia perlu diadakan paling lewat Jun 2009.