KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 07, 2008

Individu SEBOTAJ Umno Sudah DIKENALPASTI

By BERNAMA

UMNO sudah menerima gambaran awal mengenai individu-individu yang didakwa terlibat dalam tindakan mensabotaj parti itu pada pilihan raya umum Mac lepas.

Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jika terbukti bersalah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk dipecat keanggotaan seumur hidup.

Beliau berkata setakat ini belum ada tindakan diambil memandangkan Jawatankuasa Disiplin parti masih tidak menerima sebarang laporan rasmi (bertulis) daripada mana-mana pihak.

"Ada suara-suara kita sudah dengar daripada anggota parti dan caloncalon yang kalah tetapi itu tidak mencukupi untuk kita memulakan prosiding disiplin terhadap mana-mana anggota parti, (kerana) mesti ada laporan bertulis (kepada Jawatankuasa Disiplin)," katanya di sini, Isnin.

Najib berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai isu perbuatan sabotaj oleh anggota Umno di peringkat Parlimen dan negeri yang dikenalpasti sebagai punca prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Terdahulu beliau merasmikan Ulang tahun Persidangan Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur ke-30.

Najib turut menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung perbuatan berkenaan supaya membuat aduan rasmi kepada jawatankuasa disiplin parti bagi membolehkan jawatankuasa itu menyiasat dan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terbabit.

Beliau berkata laporan rasmi boleh dikemukakan kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata beliau sendiri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan parti akan turun ke peringkat bahagian dan cawangan untuk mendengar pandangan dan cadangan daripada pemimpin-pemimpin negeri berhubung sebarang ketidakpuasan hati mereka.

"Mungkin mereka ada nak suarakan mengenai tuduhan, ketidakpuasan menggenai anggota parti dalam kawasan sendiri dan jika ada sebarang teguran, saya akan cadangkan supaya mereka buat laporan secara rasmi dan kemukakan kepada jawatankuasa disiplin untuk membuat siasatan dan kemudian baru kita tentukan tindakan yang akan diambil," katanya.

Sambil mengakui perbuatan itu sentiasa timbul setiap kali pilihan raya kerana tidak puas hati mengenai pemilihan calon dan politik dalam bahagian tertentu, Najib berkata walau apapun alasannya, sebagai anggota parti, tidak ada mana-mana pihak yang patut mengambil tindakan sehingga menyebabkan kekalahan parti.

"Soal duit tidak turun ke bawah ('menggelapkan' wang kempen) itu satu bab, tetapi lebih serius ialah bila kita membuat sesuatu yang boleh disifatkan sebagai sabotaj yang menyebabkan parti kalah," katanya.

Ditanya kemungkinan perbuatan itu membabitkan ramai anggota Umno dan kemungkinan ia boleh menjejaskan parti, Najib berkata:

"Kita tidak boleh ambil tindakan secara terburu-buru, namun kalau kita tutup mata pada perbuatan sabotaj itupun tidak betul juga".

Beliau berkata apa sahaja yang akan dilakukan, akan dibuat secara berhemah dan berasaskan kepada bukti yang nyata, bukannya berdasarkan tuduhan yang tidak berasas dan tanpa disertai bukti yang jelas.

Ditanya sama ada anggota parti yang didapati bersalah terbabit perbuatan mensabotaj parti akan dibenar menghadiri mesyuarat cawangan dan bahagian yang akan berlangsung tidak lama lagi, Najib berkata ia tertakluk kepada bila hukuman terhadap mereka dikenakan.

Ini, katanya bergantung kepada laporan yang diterima, bukti yang dikemukakan, proses siasatan dan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin.

Tiada ulasan: