KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 07, 2008

Mengapa Ramai TERPEDAYA Dengan PEMBAIKAN Dilakukan Umno-BN?

By TARMIZI MOHD JAM

LANGKAH Ahmad Shabery Chik, Menteri Penerangan yang baru - melakukan perubahan di RTM adalah jelas bukan untuk kepentingan rakyat tetapi untuk mengubati kebejatan Umno-BN setelah dibedal pengundi pada PRU 12 lalu.

Ini suatu perkara yang patut diperhalusi oleh semua pihak yang bukan Umno-BN, khususnya dari Pakatan Rakyat. Ahli, penyokong hinggalah kepada para pimpinannya.

Ruang yang diberi kepada bloggers dalam Berita Perdana Jam 8 juga bermaksud demikian. Jika tidak ada udang di sebalik batu, sudah tentu tidak semudah itu bloggers diutamakan oleh sebuah kerajaan seperti BN yang menyifatkan mereka adalah "beruk-beruk" sebelum ini.

Begitu juga pertemuan yang bakal diadakan dengan pengendali blog patut dilihat sebagai kekuatan di pihak Umno-BN yang bakal melemahkan keyakinan rakyat terhadap Umno-BN yang selama ini dianggap penindas dan kejam.

Dari satu sudut, ia kelihatan baik dan menarik untuk rakyat. Shabery mengemukakan alternatif dan menolak sikap buruk BN selama ini terhadap rakyat.

Tetapi sebenarnya tujuannya satu, untuk menggamit keyakinan ramai terhadap Umno-BN kononnya mereka kini sudah sedar dan mahu bersikap pro-rakyat. Berubah dan berubah.

Isu yang sama turut memperdaya ramai bloggers dan pimpinan politik (mana-mana peringkat) apabila menyertai "tsunami undur" yang menuntut anak Badawi berundur dari jawatan Perdana Menteri.

Sebahagian besar dalaman Umno memang mahu anak Badawi berundur. Mahathir, anaknya Mukhriz, Ku Li juga tidak ketinggalan, barangkali Rafidah Aziz, Idris Jusoh, Shahidan Kasim, Abdul Rahman Bakar antara yang mahu anak Badawi itu undur!

Agenda Mahathir, Ku Li dan ramai lagi, akan mengisi pengunduran tersebut selain memanggil semula sokongan rakyat terhadap parti yang dianggap keramat oleh orang-orang Melayu itu.

Tujuannya satu, untuk mengukuh, menguat, menyegar, meremaja dan memantapkan Umno serta Kerajaan BN. Sebab itu anak Badawi perlu diundurkan. Dengan pengunduran itu, Umno kembali teguh dan orang Melayu sedia bersatu.

Mengapa kita dari (pembangkang) turut terhegeh-hegeh menyokong langkah tersebut?

Seolah-olah kita bersetuju anak Badawi undur? Seolah-olah suka sangat Khairy Jamaluddin tidak aktif di Tingkat 4, JPM? Seolah-olah kita mahu Umno kuat semula dengan menyokong segala pembaikan dalaman parti haprak itu.

Walhal, pengunduran anak Badawi, sama macam pembukaan ruang oleh RTM terhadap Sidang Dewan Rakyat dan program bersama bloggers yang disediakan Shabery Chik itu.

Tujuannya satu, untuk memartabat kembali Umno-BN. Betul atau tidak, terpulang kepada anda semua!

Sudah tentulah pada masa yang sama, ia akan menggugat Pakatan Rakyat apabila rakyat terpengaruh, terpedaya dan terpikat dengan perubahan dan pembaikan drastik pro-rakyat yang sedang dilangsungkan oleh Umno-BN itu.

Jadi apa untungnya? Apa baiknya kita menyokong dan melihat perubahan serta pembaikan Umno-BN yang dianggap menyebelahi rakyat secara total itu?

Banyakkah faedahnya yang mampu dipungut oleh Pakatan Rakyat dengan pengunduran anak Badawi dan ketiadaan Khairy?

Apa pula impak yang diperolehi jika Ku Li pula yang mnejadi Perdana Menteri selepas itu? Ini patut difikirkan agar kita memiliki kotak fikir yang sihat dan relevan!

Saya lebih bersetuju agar semua perkara itu disempurnakan oleh Kerajaan Persekutuan dari Pakatan Rakyat nanti, atau apa-apa yang boleh dilakukan di bawah bidang kuasa Kerajaan-Kerajaan Negeri kini seperti Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Banyak pembaikan yang dulunya diburukkan oleh pentadbiran haprak Umno-BN kini, boleh diberi nafas baru dan dimajukan secara efisyen. Carilah idea kreatif agar rakyat terus mengikuti perkembangan, pembaikan dan pembaharuan dalam pentadbiran.

Itu lebih baik dan memberikan impak berpengaruh kepada Pakatan Rakyat dari menyokong apa jua perubahan dan pembaikan yang sedang dicanangkan oleh Umno-BN dalam membetulkan tanggapan serong rakyat terhadap mereka sebagai parti yang sudah tidak relevan.

Moga tiada suara kencang yang menyokong apa jua yang dilihat baik dari pihak Umno-BN, melainkan kita meletakkan suatu terjahan bahawa itu semua ke arah untuk mengembalikan kekuatan Umno-BN bagi menghentam, mengunyah, dan membaham Pakatan Rakyat dalam PRU ke 13 nanti.

Rasanya semua percaya, apa jua tindakan Umno-Bn sekarang bertujuan untuk "menyerang" Pakatan Rakyat. Untuk merampas kembali lima negeri yang terlepas dan menawan semula kawasan Dun dan Parlimen yang dikuasai Pakatan Rakyat!

Jika kita gagal sedar, bererti hancurlah Kerajaan-Kerajaan Pakatan Rakyat di lima negeri itu "ditelan" oleh perubahan dan nilai pembaikan yang sedang dilakukan oleh Umno-BN sekarang.

Ingat, strategi Umno-BN yang berselidung disebalik projek kerajaan dan atas nama pembaharuan pro-rakyat itu, jauh lebih sulit untuk fahamkan kepada rakyat kelak.

Tiada ulasan: