KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 19, 2009

Kerugian Projek Landasan Berkembar libatkan Ketua Hakim Negara patut disiasat segera

Oleh NEO CHEE HUA

PROJEK Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh yang mengalami peningkatan kos pembinaan sebanyak RM1.43 bilion, seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009, bakal disiasat Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) pada minggu depan.

Apa yang mengejutkan, salah seorang watak utama dalam projek ini ialah Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid (gambar kanan) memaklumkan kepada media pada 29 Oktober, bahawa Ketua Pengarah Audit Negara telah memberi penjelasan ringkas mengenai laporan audit tersebut. PAC akan bermesyuarat pada minggu depan, dan menyiasat kes mengikut keutamaan.
Menurut Azmi Khalid, kes terbesar ialah Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh yang mengalami peningkatan kos sebanyak RM1.43 bilion. Sebagaimana yang diketahui, PAC bakal memanggil kementerian (Pengangkutan) dan semua kontraktor yang terlibat dalam projek tersebut untuk disoal siasat.

Sekali imbas, peningkatan kos projek kerajaan adalah sesuatu yang lumrah menurut Laporan Ketua Audit Negara. Fokus sememangnya ditumpukan kepada penyelewengan dan angka peningkatan kos/kerugian. Tetapi, apa yang lebih penting, siapa yang terlibat dalam projek tersebut?

Dalam skandal sedemikian, tidak kurang ahli politik dan pegawai awam kanan yang terlibat, dengan menggunakan status diri yang istimewa, dan kelebihan hubungan berkepentingan untuk memanipulasi maklumat dan sumber, lantas mengaut keuntungan diri tanpa disedari rakyat.

Mereka yang seharusnya "memimpin melalui teladan" ini, sebaliknya menyabit kesalahan walaupun bertauliah, lebih menjejaskan negara berbanding dengan kerugian dari segi kewangan.
Antara watak utama dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ini ialah Ketua Hakim Negara, Zaki Azmi yang memegang tampuk kuasa kehakiman.

Zaki Azmi dikaitkan dalam projek ini kerana salah satu kontraktor yang terlibat dalam projek ini ialah Emrail Sdn Bhd. Tun Zaki Azmi ialah pemegang saham terbesar dengan 58% dalam syarikat ini, malah menyandang jawatan Pengerusi, ketika projek ini dalam proses pembinaan.

Projek bernilai RM4.3 bilion

Menurut perkiraan asal Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, nilai projek ini berjumlah RM4.34 bilion, terbahagi kepada Pakej Infrastruktur dan Pakej Sistem, dipertanggungjawabkan kepada dua kontraktor yang berlainan.

Antaranya, DRB-Hicom Berhad memperolehi Pakej Infrastruktur. Mengikut rancangan asal, projek ini bermula pada Julai 2000, dan perlu berakhir pada Jun 2003. Selain itu, Pakej Sistem diberikan kepada Mitsui-MTS, tempoh yang diberikan ialah antara Januari 2001 hingga Oktober 2004.

Di bawah Pakej Infrastruktur yang dikendalikan DRB-Hicom Berhad, terdapat empat sub-kontraktor. Antaranya, Emrail Sdn Bhd mendapat kontrak projek Lay Track. Maklumat menunjukkan bahawa Emrail Sdn Bhd telah mendapat kontrak yang jumlahnya bernilai RM700 juta (nilai pada tahun 2007) dalam projek Landasan Berkembar Elektrik ini.

Tiga sub-kontraktor yang lain ialah Perspec Prime (M) Sdn Bhd (kejuruteraan awam), UEM Bhd (pembinaan jambatan) dan IJM Bhd (pembinaan bangunan).

Namun, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, kelewatan projek disiapkan, peralatan dibeli melebihi keperluan, perolehan tren tidak diselaraskan dengan pembangunan infrastruktur dan lain-lain masalah, telah mengakibatkan projek ini berakhir dengan menelan RM5.77 bilion, dengan peningkatan kos sejumlah RM1.43 bilion.

Menurut kontrak asal, projek ini perlu disiapkan dalam tempoh 35 bulan, iaitu antara Julai 2000 hingga Jun 2003. Kemudiannya, untuk menyelaraskan had tempoh antara DRB-Hicom Berhad dengan Mitsui-MTS, DRB-Hicom Berhad telah mendapat lebihan 177 hari, iaitu dari 16 Jun hingga 10 Disember 2003.

Emrail paling lewat siapkan projek

Namun demikian, Laporan Ketua Audit Negara 2009 menunjukkan Pakej Infrastruktur yang dipertanggungjawabkan kepada DRB-Hicom Berhad hanya menyiapkan 76.8% daripada projek tersebut, pada hari terakhir had tempoh, iaitu 10 Disember 2003.

Laporan syarikat perunding yang dilantik Kementerian Pengangkutan, KS-Opus menunjukkan masalah penangguhan dalam projek Pakej Infrastruktur semakin serius antara November 2002 hingga Oktober 2003.

Antaranya, Emrail Sdn Bhd hanya menyiapkan 56.9% daripada projeknya pada 10 Disember 2003, merupakan syarikat yang paling serius dalam masalah lewat siap. Tiga kontraktor yang lain masing-masing mencatat antara 71.4% hingga 76.7% daripada projek. Sebagaimana yang diketahui, Kementerian Pengangkutan telah menamatkan kontrak DRB-Hicom Berhad pada 5 Ogos 2005, setelah diluluskan Kementerian Kewangan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, penyelewengan di atas bukan sahaja mengakibatkan kelewatan projek ini disiapkan, malah kemudahan infrastruktur gagal digunakan sepenuhnya kerana tidak dapat diselaraskan. Dari segi kos, sehingga 10 Disember 2008, kerajaan perlu membayar RM5.77 bilion untuk projek ini, RM1.43 bilion lebih tinggi dari kos asal.

Lebih penting, kerajaan perlu menanggung kos bernilai RM1.14 bilion, kerana menurut perjanjian antara kerajaan dengan DRB-Hicom Berhad, pampasan maksima yang boleh dituntut oleh kerajaan daripada kontraktor ialah RM 257.99 juta

Punca peningkatan kos Projek Landasan Berkembar

Walaupun Tun Zaki Azmi kini menyandang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara, malah mungkin telah memutuskan hubungannya dengan Emrail Sdn Bhd, namun seandainya dilihat dari tempoh proses pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh, Zaki Azmi bagaimanapun tidak boleh mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab tertentu.

Menurut Laporan Kewangan Kumpulan Fima Berhad tahun 2006, Zaki Azmi dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Emrail Sdn Bhd pada 22 Ogos 2002 (Zaki Azmi adalah Pengerusi Kumpulan Fima Berhad pada tahun 2006).

Tempoh ini kebetulan dalam proses pembangunan Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh (Julai 2000 hingga Jun 2003). Emrail adalah salah satu kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek pembinaan landasan keretapi.

Latar belakang Emrail

Syarikat Emrail Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 1973, menumpukan kepada pembinaan landasan untuk Keretapi Tanah Melayu Berhad. Sebelumnya ditukar nama kepada Emrail Sdn Bhd, syarikat ini bergelar Time Salam Engineering, iaitu anak syarikat kepada UEM Engineering Bhd.

UEM Engineering Bhd ialah syarikat GLC (Government Linked Company) yang berhubungan rapat dengan Umno. UEM Engineering Bhd namanya Renong Group sebelum ini. Semasa krisis ekonomi tahun 1997, Perdana Menteri ketika itu Mahathir Mohamad mengerah sumber negara untuk bail out syarikat yang hutangnya menggunung, tetapi dilihat sebagai lambang maruah orang Melayu ini.

Menurut laporan New Straits Times pada 26 Mei 2000, Emrail telah menjalankan satu penstrukturan semula yang penting pada Mei 2000, iaitu membeli syarikat Noblemax Resources Sdn Bhd.

Melalui pembelian ini, Pengerusi Noblemax Resources, Hari Narayanan menjadi pemegang saham terbesar merangkap Naib Pengerusi Emrail, sementara Ahmad Kamil Jaafar pula menjawat Pengerusi Eksekutif.

Kemudian, Zaki Azmi secara rasminya menyertai Emrail, menggantikan Ahmad Kamil Jaafar sebagai Pengerusi, dan menguasai syarikat ini bersama Hari Narayanan.

Jika dilihat dari sudut tempoh, pembelian syarikat ini oleh Zaki Azmi, selain membolehkan dirinya menikmati "durian yang runtuh", memperolehi Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh ini tanpa perlu melakukan apa-apa, malah beliau juga menyedari hubungan Emrail dengan Keretapi Tanah Melayu Bhd, dan kelebihan Emrail untuk mendapatkan projek Landasan Berkembar Elektrik Utara-Selatan.

Menurut laporan Bernama pada 21 April 2007, Emrail Sdn Bhd berniat untuk mendapatkan Projek Landasan Berkembar Utara-Selatan (Northern And Southern Double-tracking Projects). Pemegang saham terbesar (58%) merangkap Pengerusi Emrail ketika itu, Zaki Azmi berkata kepada wartawan, "Bos kami ialah kerajaan, tiada orang akan membina landasan kecuali kerajaan." - (Baca Laporan Bernama: Emrail Aims For Northern And Southern Double-tracking Projects)

"Kami telah menyiapkan Projek Landasan Berkembar Rawang-Ipoh untuk kerajaan. Perlu diingatkan bahawa Emrail adalah satu-satunya syarikat bumiputera yang membina landasan di Malaysia. Kami berharap kerajaan mempertimbangkan untuk menyerahkan projek landasan Ipoh-Padang Besar dan Seremban-Gemas kepada kami," tambah Zaki Azmi.

Punca peningkatan kos mendadak

Di samping itu, menurut satu tulisan berjudul "Plugging that leak in public sector spending" yang disiarkan pada 16 Mac 2009, di laman web rasmi Ketua Setiausaha Negara, kelewatan projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan mengakibatkan projek ini tertunda lebih setahun daripada jangkaan, dan peningkatan kos yang mendadak.

Seterusnya, berlaku pula perselisihan antara kerajaan dengan kontraktor (termasuk DRB-Hicom Berhad), menjurus kepada keengganan Kementerian Kewangan membayar pampasan selebihnya setelah projek disiapkan.

Selain itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, punca utama peningkatan kos adalah pemohonan kontraktor untuk dapatkan wang daripada kerajaan secara berterusan. Misalnya, DRB-Hicom Berhad menuntut kos lebihan sebanyak RM808.68 juta daripada kerajaan berikutan daripada pengubahsuaian projek landasan (yang dikendalikan Emrail Sdn Bhd). Namun, pemohonan ini tidak diluluskan Kementerian Kewangan.

Walau bagaimanapun, DRB-Hicom Berhad merayu kepada Perdana Menteri pada Julai 2005 untuk mendapatkan RM425.17 juta, akhirnya diluluskan oleh Kementerian Kewangan pada April 2006 dengan RM425.00 juta, sebagai pampasan kepada penamatan kontrak. Sehingga akhir tahun 2008, kerajaan telah memperuntukkan lebihan sebanyak RM371.78 juta kepada DRB-Hicom Berhad.

Menurut laporan Bernama pada 22 November 2004, Menteri Pengangkutan ketika itu, Chan Kong Choy dipetik berkata, kerajaan telah membayar RM20 juta secara terus kepada sub-kontraktor termasuk Emrail, untuk mempercepatkan perkembangan projek tersebut.

Sementara itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2009, sehingga Mei 2005, kerajaan telah membayar secara terus RM 453.16 juta kepada sub-kontraktor, untuk mempercepatkan kelajuan proses agar Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang Dan Ipoh disiapkan. Kesemua "pembayaran terus" ini di luar perhitungan kos asal.

Dengan kata lain, lebihan pembayaran inilah menyebabkan peningkatan kos secara mendadak.

Penulis adalah Penolong Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: