KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 19, 2009

Ong Tee Keat naik jet, 49 ahli parlimen BN lawat Taiwan: Siapa pula taja mereka?

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Dato Bung Mokhtar Radin dilaporkan berkata, selain beliau sendiri, anggota rombongan melawat sambil belajar ke Taiwan September lalu, terdiri daripada Pengerusi BNBBC, Dato' Seri Tiong King Sing, 10 anggota Parlimen Sabah, 12 anggota Parlimen Sarawak dan selebihnya dari Semenanjung.

"Kami dijangka pulang ke Malaysia pada 17 atau 18 September ini," katanya ketika dihubungi Bernama sejurus sebelum berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, lapor Urusan Malaysia, 8 September lalu.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa dalam blognya cuba membongkar siapakah yang menaja mereka ke Taiwan, September lalu.

Tiong dikaitkan dengan skandal PKFZ dan beliau mengaut untung yang banyak. Negara telah rugi lebih besar dari kerugian Skandal BMF. Tiong juga seorang yang pemurah dan mengaku telah mendermakan RM10 juta kepada Menteri Pengangkutan, Ong Tee Keat, ujar Husam dalam blognya.

Beliau juga membangkitkan semula penjelasan Tiong yang mengaku menaja penerbangan Menteri Pengangkutan itu menggunakan jet eksekutif milik anak syarikatnya sebanyak lima kali.

Blog Husam juga mendedahkan paparan Bernama, 13 Ogos lalu, melaporkan mengenai dakwaan Ong Tee Kiat menggunakan jet khas syarikat tersebut lima kali dengan kos AS$40,000. Ong berkata beliau hanya menggunakannya sebanyak empat kali pada tahun 2009.

"Pada kebiasaan, jika saya boleh naik pesawat komersial, saya akan ... hanya jika saya sangat memerlukan perkhidmatan seperti itu, disebabkan kesuntukan masa atau segera, barulah sebagai pilihan terakhir, saya cari perkhidmatan ini," kata Ong.

Ong Tee Kiat mempersoalkan keikhlasan syarikat tersebut membuat dakwaan seperti itu, dengan mengatakan jika ada pembayaran tertunggak, satu invois boleh dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

"Kewajipan itu terletak kepada mereka. Jika kita tidak bayar, mereka mesti beritahu kita," tambah Ong. Mengenai satu lawatan, katanya beliau ditawarkan tempat duduk selepas menghadiri satu majlis di Kuching.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, Dato' Faizal Abdullah berkata invois-invois tidak dikeluarkan kerana pesawat itu dipinjamkan kepada Ong Tee Keat dan tidak pernah disewakan kepada menteri itu.

"Beliau meminta (menggunakan pesawat itu) melalui pegawainya kepada rakan seniaganya," jelasnya pada satu sidang akhbar waktu itu. Menurutnya pesawat itu milik anak syarikat Kuala Dimensi, Wijaya Baru Aviation Sdn Bhd.

Lawatan 49 ahli parlimen BN ke Taiwan, kata Bung Mokhtar tidak ada kaitan dengan usaha menghalang Pakatan Rakyat daripada menubuhkan Kerajaan Persekutuan pada 16 September lalu.

Lawatan yang ditaja itu menimbulkan kontroversi apabila pada 11 September, sebuah portal berita internet melaporkan BNBBC menafikan dakwaan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Dato' Yong Teck Lee bahawa setiap Ahli Parlimen BN yang menyertai lawatan ke luar negara menerima duit sebanyak RM50,000.

Menurut Timbalan Pengerusi BNBBC, Dato' Bung Moktar Radin tiada ahli parlimen yang membuat lawatan ke Taiwan menerima wang termasuk dua Ahli Parlimen SAPP.

"Kita tidak ada buat tawaran memberikan wang kepada setiap ahli parlimen yang menyertai lawatan ini, kita pergi atas perbelanjaan sendiri dan tidak ada menawarkan sesuatu termasuk wang RM50,000 kepada setiap ahli parlimen yang menyertai lawatan ini," kata Bung Mokhtar.

Dua Ahli Parlimen SAPP yang dimaksudkan itu, Dato' Eric Majimbun dan Dato' Dr. Chua Soon Bui yang menolak pelawaan lawatan ke luar negara dan tawaran wang saku RM50,000.

Mengulas lanjut segala laporan tersebut, Husam bertanya, "Pilihlah mana satu anda nak percaya. MP BN pergi Taiwan belanja sendiri! Hebat. Apa yang pasti, kedua-dua isu ini tidak pernah disiasat oleh SPRM."

SPRM itu lagi hebat rupanya, sindir Husam yang juga Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat.

Tiada ulasan: