KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, November 19, 2009

Masjid Beijing di Rantau Panjang cetusan idea kreatif Tok Guru Nik Aziz

DI PANDANG dari jauh seumpama tokong Cina. Bentuk atapnya yang melentik di bahagian hujung betul-betul seperti tokong. Dari jauh bangunan unik itu sudah kelihatan.

Terdapat tujuh bumbung melentik seumpama itu. Tambahan pula warna merah dicatkan di bingkai kayu di bawah atap. Warna terang tersebut juga dilihat di tokong-tokong Cina.

Cuma menara membezakan di antara tokong dan masjid. Menara yang diukir di atasnya seperti serban seorang lelaki. Ia dapat dilihat dari jauh.

Atapnya berwarna hijau tua dan dinding masjid kekuningan. Kaum Tionghua meluah rasa terharu apabila terpandang binaan masjid tersebut.

Mereka mengakui keunikan reka bentuknya tidak pernah disaksikan di negara ini melainkan di China.

Apabila anda memasuki ke ruang solat, ramai yang terpegun. Seni ukuran hasil kerja tangan pengukir dari Uzbekistan cukup mengagumkan. Warna biru muda dan kuning dengan ukiran Timur Tengah tidak puas mata memandang.

Begitu juga mimbar khutbah, sekali lagi terserlah senibina Cina hasil kerja tangan tukang tempatan.

Seorang pelancong Tionghua dari Ipoh berani mengatakan suatu pemikiran baru berjaya dilahirkan di Kelantan.

Siapa yang mencetus idea tersebut. Mungkin ia tidak menjadi kejutan lagi. Itulah idealisme yang ada pada Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang ulama yang juga ketua kerajaan.

Pelancong berkenaan kelihatan begitu ghairah merakam gambar Masjid Beijing. Sikap teruja tidak mampu disembunyikan lagi.

Bagi sesetengah orang, melancong ke luar negara sekadar memenuhi impian untuk berseronok dan membeli belah. Sebaliknya lain pula bagi Menteri Besar Kelantan.

Idea baru dicetus ketika pertama kali melawat China semasa awal menerajui kerajaan negeri negeri.

Hari ini idea yang sudah lama dicetus akhirnya menjadi kenyataan. Ia tersergam indah di depan mata sendiri. Tidak perlu lagi perlu ke Beijing untuk bersolat di masjid seumpama tokong Cina.

Perletakan batu asas pembinaan Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra disempunakan Sultan Kelantan pada 2004. Selepas enam tahun kemudian masjid tersebut ia berdiri megah di tapak bekas sawah padi seluas lebih tiga ekar. Kedudukannya tidak jauh dari pekan Rantau Panjang.

Sawah tersebut telah ditambun sehingga ke paras kepala. Kerja-kerja menambun mengambil masa agak lama. Di atas tanah itulah didirikan masjid tersebut yang lebih dikenali sebagai Masjid Beijing di kalangan penduduk tempatan.

Kini makin popular pekan Rantau Panjang sebagai destinasi pelancongan utama di Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob menjelaskan pembinaan masjid itu mengambil masa agak lama memandangkan atap terpaksa diimport dari negara China.

“Disebabkan bahan binaan terpaksa diimport dari luar negara menyebabkan masjid tersebut mengambil masa untuk disiapkan berbanding jadual asal,” katanya di sini.

Biarpun kelihatan begitu unik dan luar biasa, namun belanja pembinaannya sebanyak RM8.8 juta. Sedangkan peruntukan keseluruhan disediakan kerajaan berjumlah RM10 juta.

Masjid Beijing dilengkapi dengan bilik rawatan, dua kelas fardhu ain, enam unit kedai, dewan makan, perpustakaan dan parkir yang luas.

Masjid berkenaan mulai digunakan sepenuhnya pada Ramadan lalu apabila program Ihya Ramadan disusun sepanjang bulan puasa.

Imam yang menghafal 30 juzuk al Quran mengetuai solat Tarawih. Ustaz Mohd Arif Mohd Salleh, 18 lepasan Madrasah Tahfiz al Quran Darul Riyad bersama Ustaz Mohd Sharif Che Man dari Pusat Kebajikan dan Pengajian al Quran Banggol Kulim dilantik menjadi imam.

Mohd Arif pernah muncul naib johan pertandingan hafazan kategori lima juzuk pada 2005 peringkat kebangsaan.

Beliau melahirkan rasa kagum kerana dipilih menjadi imam di masjid yang begitu unik tersebut.

Pada Ramadan tahun lepas solat Tarawih juga sudah diadakan di masjid berkenaan ketika pembinaan sedang berjalan. Imam ketika itu Cina Muslim, Mohamad Ali yang berasal dari negara China.

Masjid Beijing sekarang diurus jawatankuasa sementara yang dipengerusi Adun Gual Periuk, Ustaz Mohamad Awang. Timbalan pengerusi anggota parlimen Rantau Panjang, Hajah Siti Zailah Mohd Yusof, Kamarulzaman Mat Zain (setiausaha), Wan Hanafi Wan Jaffar (bendahari).

Mohamad berkata, pada Ramadan lalu bilangan jemaah begitu ramai sehingga melimpah ke bahagian luar.

“Tarikan utama penduduk tempatan mendirikan solat di sini kerana bacaan imam dan suara bilal yang begitu lunak,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bilalnya Mat Hassan Abdul Rahman dan Wan Daud Wan Salleh. Selain itu terdapat dua tukang sapu yang berkhidmat sepenuh masa. Terdapat juga dua pengawal keselamatan.

Masjid tersebut juga disedatkan dengan aktiviti agama terutamanya kuliah.

Malam Selasa kuliah oleh Ustaz Khairul Ikwan, malam Rabu (jemaah Tabligh), malam khamis (Ustaz Mustafa) dan malam Sabtu (Ustaz Hamdi).

Mohamad berkata, setiap bulan sebanyak RM4,000 dibelanjakan bagi pengurusan masjid tersebut termasuk elaun imam, bilal dan kakitangan lain.

Wan Hanafi berkata, jumlah sumbangan orang ramai kepada tabung khas masjid sekarang berjumlah RM14,000 yang diwujudkan sejak Ramadan lalu.

Katanya juga jumlah pelancong yang mengunjungi masjid tersebut juga lebih 10,000 orang bermula sejak awal Ramadan lalu.

“Ketika masjid ini sedang dibina pun sudah ramai pelancong yang datang. Mereka datang sambil membeli belah di kawasan bebas cukai di Rantau Panjang,” ujarnya.

Anggota jawatankuasa masjid berkenaan, Mohamad Jusoh pula memberitahu pelancong yang datang termasuk dari Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Perak, Terengganu dan banyak lagi negeri lain.

Manakala dari luar negara termasuk Indonesia, Afrika dan Thailand. Malah katanya, penduduk Cina dari Johor datang dengan sebuah bas bagi melihat dari dekat Masjid Beijing.

Pesara guru, Haji Shamsuddin Yassin, 58 berharap masjid tersebut dijadikan sebagai tempat solat Jumaat pada masa akan datang memandangkan bilangan jemaah semakin ramai.

Beliau juga meluahkan rasa terkilan kepada pihak berkuasa tempatan yang melarang kawasan berdekatan masjid dilekatkan poster mengalu-alukan sesuatu program biar pun dimiliki wakil rakyat.

Sedangkan katanya mesej wakil rakyat kepada masyarakat lebih mudah tersebar apabila dipasang berhampiran masjid, memandangkan bilangan pengunjungnya ramai.

Seorang lagi penduduk, Aris Mahmood, 32 mahu pengurusan masjid berkenaan diletak di bawah jawatankuasa yang dikendalikan sendiri kerajaan negeri.

Mohamad berkata, Masjid Beijing pada perancangannya akan dijadikan sebagai tempat kuliah tetap pada setiap pagi Jumaat seumpama Medan Ilmu di Kota Bharu.

“Masjid ini juga akan dijadikan tempat berkumpul saudara kita yang baru menganut Islam. Dianggarkan terdapat seramai 200 saudara baru di Rantau Panjang. Program tersebut akan dikendalikan dengan kerjasama Perkim Bahagian Kelantan,” katanya.

Keunikan masjid itu dapat dilihat apabila sebuah dokumentasi yang dikendalikan Jakim dan RTM menjadikan masjid itu lokasi penggambarannya.

Masjid Beijing dijangka dirasmikan pada sambutan ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan pada Mac tahun depan. Inilah koleksi terbaru keunikan Kelantan selepas Kota rehal di Kota Bharu.

Ternyata ulama berjaya mencipta ketamadunan baru selepas hampir 20 tahun bertapak kukuh di Serambi Mekah.