KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Februari 13, 2010

Dakwa Pegawai Khas PM bernama Dato' Nasir Safar di mahkamah segera


KUALA LUMPUR: PAS bertegas untuk mendesak pihak polis melakukan siasatan dan membuat pendakwaan terhadap Pegawai Khas Perdana Menteri, Dato' Nasir Safar yang terang-terangan menghina kaum India dan Cina di negara ini.

Kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, PAS sesekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan hak mana-mana kaum yang sah taraf sebagai warganegara ini.

Katanya, selagi Umno, MIC dan MCA masih wujud, isu perkauman akan sentiasa menjadi bahan pertikaian.

PAS melihat tindakan Nasir ini sebagai natijah penglibatannya yang sekian lama bergelumang dengan parti perkauman Umno dan beliau perlu dibicarakan kerana jelas pandangannya itu telah menghina intitusi Perlembagaan negara ini yang menjamin hak setiap warganegara tanpa mengira kaum, tegas beliau .

"Walau pun Nasir menafikan itu pendirian Perdana Menteri, namun jelas Perdana Menteri telah gagal untuk mengajar pegawainya untuk memahami gagasan 1 Malaysia yang dicanangkannya.

"Jika Pegawai yang rapat dengan beliau boleh menganggap gagasan itu sebagai remeh, bagaimana rakyat mahu percaya keikhlasan Najib terhadap dasar berkenaan," soal beliau.

Tegas Ustaz Idris lagi, jika apa yang Nasir lontarkan itu disebut oleh pimpinan Pakatan Rakyat pasti mereka sudah dipenjarakan dengan akta ISA dan dalam isu ini, PAS tetap menolak akta ISA dan Akta Hasutan.

"PAS mahu Nasir didakwa segera di Mahkamah," tegas beliau sekiranya kerajaan mahu berlaku adil.

Jika para blogger yang menghina Institusi Beraja di negara ini boleh dibicarakan, tegasnya, maka Nasir juga berhak untuk menerima tindakan yang serupa walaupun beliau sudah meletakan jawatan sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri.

Dalam perkembangan lain, Ustaz Idris melahirkan rasa kesal dengan kerapuhan sistem keselamatan agensi pertahanan negara mutakhir ini kerana sebelum kes kehilangan enjin pesawat F5E selesai, kini timbul pula isu kebocoran maklumat sulit Angkatan Tentera Malaysia.

Katanya, Angkatan Tentera sepatutnya menjadi contoh dan penanda aras kepada sistem keselamatan agensi pertahanan lain, namun insiden terbaru ini menimbulkan kebimbangan di hati rakyat kerana negara ini boleh dianggap tidak selamat.

"Apa sahaja kekuatan dan kelematan sistem pertahanan yang ada dalam negara ini begitu senang diketahui musuh."

Ustaz Idris berkata, intergriti anggota keselamatan negara bakal menjadi pertikaian jika ianya gagal ditangani segera dan PAS yakin, insiden pembocoran maklumat ini melibatkan pegawai-pegawai kanan berpangkat tinggi kerana dari segi amalan kerahsiaan dalam organisasi kerajaan dan pertahanan, hanya mereka yang yang berpangkat tinggi sahaja mempunyai akses terhadap maklumat bertaraf sulit, rahsia dan rahsia besar.

"PAS berharap agar agensi keselamatan negara membuat kajian semula tentang tahap keselamatan yang ada. Rakyat memerlukan satu jaminan yang kondusif terhadap tahap keselamatan negara," tegas beliau.

PAS mahu kerajaan mendakwa dan memberikan hukuman yang berat kepada pengkhianat negara yang terlibat dalam kes ini.

Tiada ulasan: